HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2010

Anwar : Siap Sedia Hadapi Serangan UMNO-BN

TV SELANGOR


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pimpinan parti merapatkan saf menghadapi gelombang baru serangan Umno-BN.

Bercakap di satu siding akhbar di Ibu Pejabat PKR Pusat hari ini, Anwar berkata Umno sengaja merancakkan masalah kecil dalam Pakatan Rakyat untuk menghakis keyakinan rakyat.

Antara bukti jelas operasi terbaru ini adalah siasatan rasuah dan hasutan keatas wakil rakyat Pakatan Rakyat dan pembantu-pembantu mereka.

“Ada usaha untuk menyiasat juga bukan pimpinan kerajaan negeri Selangor, YB Lim Guang Eng, YB Lim Kit Siang, YB Karpal Sing dan YB Nik Aziz dan kita tengok semua ini disegerakan dan dalam masa yang sama termasuk saya akan dihadapkan ke mahkamah. Jadi dengan cara ini mereka rasa kekuatan kita akan terjejas.

Sementara itu, Anwar berkata pihak parti akan memanggil Ahli Parlimen Bayan Baru Zahrain Hashim ke jawatankuasa displin parti untuk menjelaskan pertelagahan beliau dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Kita tidak setuju dan kita tidak sependapat dengan beliau malah kita bantah keras, hubungan kita YB Lim Guang Eng baik dan saya memerhatikan dalam banyak hal, beliau berjaya mentadbir dengan baik dan ada masalah-masalah dibangkitkan dengan baik dan ada masalah-masalah orang Melayu soal perobohan gerai-gerai, soal mikrokredit dan soal projek, itu perlu kita bincang dengan baik.” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri Pulau Pinang telah menyenaraikan projek-projek yang telah diluluskan kerajaan negeri hari ini.

Senarai ini menunjukkan kontrak-kontrak biasa yang dibida secara tender terbuka dimiliki kontraktor Bumiputera, selain darin kontrak-kontrak kelas F.

Anwar mengingatkan adanya ejen-ejen provokasi yang diwujudkan Umno-BN untuk mengugat persepsi rakyat terhadap PKR.

“Jadi kalau ada masalah dibangkitkan dan mereka berjaya mendampingi beberapa orang di kalangan kita, itu kita tangani dengan cukup tegas,” katanya.

Pro Mahasiswa UM desak NC adakan pilihan raya semula

SABAH DAILY


Kumpulan Pro Mahasiswa Universiti Malaya (Pro M UM) mendesak supaya diadakan semula pilihan raya kampus (PRK) melalui kaedah biasa, ekoran kegagalan sistem e-undi itu beroperasi dengan baik hari ini.

Pengerusi Pro M UM Mohd Shafie Hashim berkata, keputusan pilihan raya yang diumumkan sejak 7 petang tadi di kampus tersebut yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Pro Aspirasi bukanlah sesuatu yang mutlak.

“Kami bantahan ke atas keputusan itu. Selepas diumumkan keputusan itu pada jam 7 petang tadi, ada ruang untuk buat bantahan. Keputusan rasmi akan berhubung bantahan itu akan diketahui pada jam 11 pagi esok,” kata beliau ketika dihubungi erapakatan.com di sini, sekitar jam 1:30 pagi ini.

Ketika tempoh bantahan itu dibuka, tambah beliau, kumpulan mahasiswa itu tidak menumpukan hal keputusan PRK itu, sebaliknya ia masih tertakluk ke atas isu pelaksanaan sistem e-undi yang gagal beroperasi dengan baik sejak petang tadi.

“Dalam bantahan tadi kami tak tumpukan sangat kepada keputusan yang memihak kepada Pro Aspirasi. Kami masih membantah e-undi yang banyak meragukan sepanjang tempoh pembuangan undi sepanjang hari ini.

Berkumpul di depan pejabat Naib Canselor

“Selepas keputusan diumumkan jam 7 petang tadi, kami buat bantahan, berkumpul ramai-ramai di depan pejabat NC. Sebab, beliau mendakwa bahawa sistem e-undi ini akan berjalan dengan baik.

“Tapi, apa yang berlaku tadi ialah ’server down’ di beberapa tempat. Dan ada beberapa orang mahasiswa yang terkeliru ketika buang undi tadi,” kata Mohd Shafie lagi.

Selain itu, tambah beliau, peratusan mahasiswa yang turun membuang undi hari ini amat mendukacitakan.

“Jadi kami ubah pendekatan bantahan kepada meminta penjelasan Naib Canselor tentang kejadian ’server down’ sejak tadi. Kalau boleh, kita desak NC supaya diadakan pilihan raya semula seperti kaedah biasa.

“Kaedah e-undi memang membawa masalah dan keraguan seperti yang berlaku sejak petang tadi,” kata Mohd Shafie. -erapakatan

Exco Pemuda PAS pertikai hukuman ‘berat sebelah’ Khalid, Hasan

SABAH DAILY


Exco Pemuda PAS Abdullah Abdul Karim mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin parti itu menggantung Khalid Samad enam bulan sedangkan Datuk Dr Hasan Ali hanya diberi amaran.

“Keputusan jawatankuasa tatatertib PAS Pusat menggantung Khalid Samad selama enam bulan dan hanya memberi amaran bertulis kepada Datuk Hasan amat mengejutkan dan tidak boleh diterima sama sekali,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Pahang.

Reaksi pertama Exco Pemuda PAS itu juga mempertikaikan kredibiliti jawatankuasa disiplin.

Semalam jawatankuasa mengumumkan bahawa Khalid digantung jawatan parti iaitu sebagai Yang Dipertua PAS Shah Alam dan anggota Lajnah Politik selama enam bulan.

Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor hanya diberi amaran lisan.

Dengan membuat keputusan tersebut, dakwa beliau. jawatankuasa disiplin sama ada disedari atau tidak, telah membenarkan diri mereka dipergunakan untuk melindungi anasir-anasir anti-Pakatan Rakyat (PR) dalam PAS.

Malah menurut Abdullah, keputusan yang diumumkan semalam juga sebenarnya menghantar isyarat salah kepada rakyat Malaysia yang menaruh harapan tinggi kepada PAS untuk membela nasib mereka melalui platform PR.

“Amat menghairankan bila individu yang bermatian mempertahankan dasar dan keputusan PAS untuk berkerjasama dalam Pakatan Rakyat dikenakan hukuman berat, sedangkan individu yang tindakannya boleh menjejaskan kerajaan PR Selangor hanya diberi amaran sahaja,” katanya lagi.

Oleh itu kata Abdullah, beliau rasa hukuman terhadap Hasan ini hanya sekadar wayang untuk “membersihkan” Exco kerajaan negeri Selangor dan pada yang sama Khalid terus dimangsakan.

Beliau menambah ahli PAS dan para penyokong PAS serta PR bukannya bodoh.

“Jawatankuasa disiplin ini yang pada awalnya diwujudkan untuk menyiasat kes-kes di Selangor adalah satu kompromi untuk meredakan kemarahan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat selepas beliau mendesak supaya satu EGM diadakan untuk menyingkirkan pemimpin PAS yang anti-PR.

“Kalau Mursyidul Am tidak bersuara, jangan harap akan ada tindakan dikenakan kepada Dato Hasan.

“Maka, EGM tidak perlu, tapi sebagai ganti pemimpin yang jelas melanggar semangat setiakawan PR perlu dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib.

“Inilah dia semangat dari keputusan mesyuarat khas PAS Pusat pada 28 Oktober 2009,” katanya lagi.

Abdullah juga memberitahu, entah macam mana atas permainan licik sesetengah pihak tanpa kita semua sedari, Khalid yang sepatutnya dianggap sebagai hero dalam mempertahankan keputusan parti, telah turut diheret sama dan menjadi mangsa dendam kesumat anasir anti PR dalam PAS.

“Saya gagal melihat bagaimana tindakan Hasan Ali sebagai seorang anggota Exco kerajaan negeri yang sentiasa bercanggah dengan Menteri Besar dan Exco yang lain hingga boleh melemahkan kerajaan yang PAS adalah anggotanya boleh dianggap lebih ringan kesalahannya berbanding dengan tindakan Khalid selaku ahli parti yang mengkritik pemimpin parti tanpa mengikut saluran yang dianggap begitu berat kesalahannya hingga mewajarkan dia digantung selama enam bulan,” katanya.

Abdullah menjelaskan, apa yang didedahkan Khalid dalam blognya bukanlah satu maklumat sulit atau rahsia berkaitan dengan strategi parti.

“Ia hanya melaporkan perbincangan dalam mesyuarat yang umum tahu apakah kandungannya.

“Di sini timbul persoalan terhadap kewibawaan jawatankuasa tatatertib.

“Saya sendiri lebih dua bulan yang lalu telah membuat satu laporan bertulis kepada jawatankuasa tatatertib PAS berkaitan dengan satu konspirasi di kalangan beberapa orang ahli-ahli PAS untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat,” katanya.

Malahnya kata beliau laporannya itu hanya dipendamkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan diambil.

“Apabila saya merujuk perkara ini kepada pihak yang bertanggungjawab, mereka memberi alasan teknikal kononnya laporan tersebut perlu dihantar melalui Setiausaha Agung PAS sebelum ia disalurkan kepada jawatankuasa tatatertib.

“Wow, nampaknya setiausaha agung pula yang menjadi penapis setiap aduan tatatertib.

“Bagi mengelakkan aduan saya ditolak atas alasan-alasan bodoh sebegini, maka saya telah menghantar semual aduan tersebut kepada Setiausaha Agung PAS lebih kurang tiga minggu yang lalu,” katanya.

Kata beliau, sehingga hari ini tiada tindakan diambil dan tidak dimaklumkan apa yang terjadi terhadap aduan itu.

“Apakah kerana saya mendedahkan tentang aktiviti subversif anti PR maka aduan saya tidak dilayan? Hanya pimpinan parti sahaja yang dapat menjawabnya,” katanya. -MI

10 MP PKR akan sertai BN?

SABAH DAILY


Desas-desus sekumpulan tujuh hingga 10 ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyertai Barisan Nasional (BN) dipercayai ada kaitan dengan langkah parti itu mula menilai prestasi wakil rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Mereka didakwa kemungkinan bimbang tidak akan dipilih semula sebagai calon, sekali gus mencari saluran lain – menyertai parti lain.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, pengarah pilihan raya PKR, Fuziah Salleh tidak menolak kemungkinan tersebut tetapi menekankan parti mengambil langkah penilaian untuk memperbaiki prestasi, bukannya menghukum mereka.

“Saya khuatir mereka membuat penilaian sendiri dan bimbang akan terkeluar daripada senarai calon lagi … tapi kita ambil langkah penilaian untuk mencapai tahap yang dikehendaki pengundi,” kata beliau.

“Apa yang kami (pucuk kepimpinan parti) hendak lakukan ialah membantu mereka untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

“Oleh kerana mereka mungkin merasakan mereka tidak akan terpilih lagi, mereka mula pertimbangkan opsyen-opsyen lain… ini kemungkinan satu daripadanya,” kata Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan.

Fuziah memberitahu pendekatan menilai wakil-wakil rakyat dimulakan sejak sebulan yang lalu.

Penilaian ini menyentuh aspek prestasi wakil rakyat PKR di Parlimen, mendampingi pengundi dan keberkesanan pusat khidmat.

Semalam, Pengerusi PKR Pulau Pinang Mansor Othman mengakui tiga hingga empat ahli Parlimen parti itu menunjukkan ‘hasrat’ untuk menyertai Barisan Nasional (BN).

Antara ahli Parlimen yang disebut-sebut akan meninggalkan PKR ialah bekas ketua PKR Pulau Pinang Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim.

Kini PKR ada empat anggota Parlimen di Pulau Pinang. Selain Zahrain tiga yang lain ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohd Yusmandi Yusoff (Balik Pulau).

Bagaimanapun Zahrain gagal dihubungi sejak kelmarin untuk mendapatkan pengesahan.

Mansor enggan menyatakan sama ada mereka kesemua dari Pulau Pinang ataupun termasuk ahli Parlimen PKR dari negeri-negeri yang lain.

Difahamkan angka itu mungkin mencecah tujuh hingga 10 orang, membabitkan negeri Selangor dan Kedah – yang boleh membantu BN kembali memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Ketika ditanya adakah kemungkinan tujuh hingga lapan orang Ahli Parlimen berkenaan akan keluar PKR kerana penilaian prestasi, Fuziah berkata, “ya kemungkinan tetapi kami mahukan mereka memperbaiki prestasi mereka.”

Sambil merujuk kepada kes Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah, Fuziah berkata, wakil rakyat berkenaan keluar PKR apabila Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim merujuk kes prestasinya kepada parti.

“Isu ini hampir sama… mereka melihat dari sudut mereka sahaja,” katanya.

Akhir tahun lalu Khalid mengusulkan kepada pucuk pimpinan PKR supaya Adun itu meletak jawatan.

Usul itu dibuat setelah Badrul gagal membela penduduk Pelabuhan Kelang, malah enggan membuka pusat khidmatnya. -MI

Jangan biarkan Umno terus zalimi rakyat

Nazri Abdullah


LARUT: Umno Barisan Nasional tidak boleh dibiarkan untuk terus memerintah ekoran telalu banyak penganiayaan dan kezaliman dilakukan kepada rakyat di negara ini.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata, selain mengainaya rakyat, Umno juga tidak boleh diharap untuk menjaga hal berkaitan agama Islam itu sendiri.

"Umno sekat bantuan ke negeri Kelantan sebab Kelantan diperintah pembangkang, Umno khianati orang miskin khususnya dalam Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Umno sebenarnya khianat tanah orang Melayu di Perak dan menuduh Pakatan yang khianat.

" Umno tidak boleh agama, kita tengok apa yang mereka sudah lakukan terhadap agama Islam sekarang," katanya sewaktu berucap merasmikan program Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP) 2010 di Darul Ta'lim, Selama, di sini.

Selain itu dakwanya, kerajaan Umno juga bersikap 'double standard' dalam melaksanakan undang-undang dengan mensasarkan pembangkang dan mereka yang menentang dasar mereka.

"Undang-undang 'double standard', dikenakan kepada pemimpin pembangkang dan orang yang membangkang mereka," katanya lagi.

Menyentuh keputusan mahkamah berhubung kes Menteri Besar Perak yang bakal diketahui 9 Februari ini beliau berkata, PAS dan pakatan rakyat akan menerima sebarang keputusan asalkan ianya dibuat secara adil.

"Kalau kita menang, kita akan buat cara menang, kalau kalah kita buat cara kalah sebab kita dah memang biasa kalah.

"Tapi biarlah kalah dalam bentuk yang adil dan boleh diterima oleh fitrah manusia," katanya lagi.

Namun dalam apa juga keputusan yang bakal dikeluarkan, beliau mengharapakan pemuda terus bangkit menentang sebarang kezaliman Umno BN.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Perak, Zawawi Hassan dalam ucapannya sebelum itu mengarahkan seluruh pemuda bersiap sedia berdepan Pilihan Raya Negeri ekoran ura-ura pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bila-bila masa.

"Saya arahkan pemuda untuk menggerakkan jentera di semua peringkat termasuk kawasan,cawangan dan MTD (Majlis Tindakan DUN) bergerak seperti nadi kita yang sedang berdenyut.

"Untuk hancurkan siapa? Umno," soalnya sambil disahut seluruh pemuda yang hadir.

Lebih 8,000 pemuda sudah memenuhi perkarang Darul Ta'lim di sini dan penganjur menjangkakan kehadiran terus bertambah menjelang acara kemuncak ucapan pimpinan utama PAS petang ini.

Turut akan memberi ucapan petang ini adalah Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan, Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Sekurang-kurangnya terdapat dua sekatan pihak polis dilihat mengadakan sekatan jalan menuju masuk ke kawasan himpunan di sini.

Pemimpin Parti Harus Ambil Berat Pandangan NGO, Kata Dr Mahathir

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pemimpin parti politik harus mengambil perhatian terhadap pandangan dan rintihan yang disuarakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ianya merupakan suara rakyat.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun bilangan NGO di negara ini adalah kecil namum mereka memainkan peranan yang cukup besar pada pilihan raya dengan mampu memberikan kemenangan kepada parti.

"Pada pilihan raya, kita tidak memerlukan beratusan ribu atau pun berpuluhan ribu (undi untuk menang), hanya 102 (undi) sudah mencukupi untuk menentukan menang atau tidaknya sesebuah parti politik itu," katanya pada majlis pelancaran Pertubuhan Perkasa Selangor di sini semalam.

Dr Mahathir berkata malah beliau sendiri mengalami kekalahan dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Setar Selatan di Kedah kerana terlampau yakin bahawa pengundi Melayu akan menyokongnya di kawasan itu.

Ini adalah kerana pada pilihan raya umum 1964, beliau telah memenangi kerusi itu dengan mengalahkan calon PMIP, yang kini dikenali sebagai PAS, iaitu Mohd Shaari Abd Shukor dengan majoriti 4,210 undi.

"Itu adalah kawasan Melayu. Daripada 35,000 pengundi hanya 5,000 sahaja yang terdiri daripada orang Cina, India dan Siam. Oleh kerana saya cuba memperjuangkan nasib orang Melayu maka saya pun berpendapat tentulah ramai daripada mereka akan memberi kemenangan pada saya," katanya.

Dr Mahathir berkata akibat memikirkan beliau akan tetap menang, beliau tidak mengambil berat sama ada pengundi kaum Cina di kawasan Parlimennya akan mengundinya atau tidak.

Akhirnya pada pilihan raya itu Dr Mahathir telah ditewaskan oleh Yusof Rawa dari PAS dengan kelebihan undi 989.

Katanya oleh sebab itulah, parti politik harus memberi perhatian kepada kumpulan kecil kerana mereka mampu menentukan kemenangan sesuatun parti dalam pilihan raya.

Pakatan Rakyat 'Berdarah': Kit Siang

Oleh NG CHENG YEE


PETALING JAYA: Jawatankuasa Disiplin Pakatan Rakyat harus bermesyuarat untuk mengembalikan keyakinan awam terhadap disiplin, komitmen, kepaduan dan perpaduan pakatan yang 'longgar' itu, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Menurutnya, isu mewujudkan jawatankuasa disiplin Pakatan telah menjadi sebahagian agenda majlis kepemimpinan sejak tahun lalu.

'Pendarahan dalaman' tersebut katanya, perlu berhenti terutama ketika Umno dan Barisan Nasional memperhebat serangan politik masing-masing.

"Ini bakal menjadi cabaran kepada majlis kepemimpinan Pakatan apabila ia bermesyuarat esok," katanya dalam blognya semalam.

Penulisan terbaru beliau dalam blog itu berkenaan dakwaan bekas Ketua PKR Negeri, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim.

Zahrain yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru mendakwa, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng seorang yang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya.

Lim berkata, Pakatan memenangi pembaharuan keyakinan serta kepercayaan awam berikutan kejayaan mengadakan konvensyen kebangsaan di Shah Alam pada 19 Disember tahun lalu.

"Ia juga menunjukkan tanggungjawab dan kematangan yang lebih baik berbanding Umno serta Barisan Nasional dalam soal menangani kontroversi penggunaan kalimah Allah.

"Bagaimanapun, dalam tempoh beberapa hari sahaja, kemenangan yang susah dicapai oleh Pakatan ini hampir dimusnahkan bukan oleh tindakan lawan politik tetapi tindak-tanduk sesetengah pemimpin Pakatan," katanya.

Ekoran itu, Lim berkata, rakyat sekali lagi mempersoalkan sama ada Pakatan boleh dipertanggungjawabkan untuk memegang tampuk kuasa persekutuan pada pilihan raya akan datang.

25 Ajaran Difatwakan Sesat di Selangor

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


SHAH ALAM: Sebanyak 25 ajaran telah difatwakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor sebagai ajaran sesat di negeri ini sejak tahun 1990an hingga kini.

Antara ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat ialah, Tarekat Naksabandiyah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Puteh, Tarikat Mufarduyah, Ajaran Hj Ghazali Othman, Ajaran Zamree Ab Wahab, Fahaman Syiah, Tarikat Al-Hasaniah, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, Ajaran Tijah@Khadijah Ali, Ajaran Islam Lamaah, Ajaran Qadani, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit.

Selain itu, Ajaran Ilmu Ahmad Laksaman, Ajaran Tarikat Zikrullah Hassan Anak Rimau, Ajaran Martabat Tujuh, Golongan Anti Hadis, Ajaran Kahar Ahmad, Aurad Ismailiah, Al-Arqam, Ajaran Syed Mohamad Al Masyhor, Ajaran Sulaiman, Ajaran Qadani dan Ajaran Banuar Roslan turut dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, selain 25 ajaran yang telah disahkan sebagai sesat itu, pihaknya juga sedang menyiasat 35 kes lagi yang dilaporkan sebagai sesat.

"Ini termasuk kes perbomohan, ada juga kes seorang budak dapat melihat alam ghaib dan dapat mengubat orang sakit," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama mStar Online.

Beliau menjelaskan, tidak sepertimana yang disangka ramai, pihak jabatan tidak terus menjatuhkan fatwa hanya berdasarkan aduan atau laporan awam melainkan setelah menjalankan siasatan terperinci mengenai kandungan ajaran sesuatu tarikat atau amalan sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk diputuskan.

"Memang kita memerlukan masa yang panjang kerana kita memerlukan bukti kukuh. Tetapi ada juga ajaran yang tidak dapat difatwakan kerana tidak cukup bukti.

"Untuk memfatwakan seseorang itu salah dan sesat bukan mudah kerana ini soal akidah. Kalau kita silap kita bertanggungjawab ke atas keputusan yang dibuat. Sebab itu kita mengambil masa yang lama untuk putuskan,” katanya.

Beliau menambah, Jais tidak boleh mengambil tindakan terhadap kumpulan yang sedang disiasat sehingga ia difatwakan.

Ditanya sama ada 'freemason' dan 'illimunati' tergolong dalam ajaran sesat, Mohammed Khusrin berkata: "Pada pendapat saya ia bukan ajaran Islam maka ia tidak boleh dikira sebagai ajaran sesat.

Menurut beliau yang ditafsirkan sebagai ajaran sesat ialah ajaran yang telah menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Selalunya orang yang menyebarkan ajaran sesat ini mengaku dirinya Islam tetapi dia menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan akidah," katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, tempoh masa yang agak lama diperlukan untuk menyiasat dan mengumpulkan bukti mengenai sesuatu ajaran sebelum ia dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Mengenai garis panduan yang digunakan Jais, Mohammed Khusrin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap ajaran yang didapati bertentangan dengan syarak dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kita berpandukan ajaran al-Quran, hadis, Ijmak Ulamak dan fatwa. Contohnya kumpulan tarekat memang sukar untuk dipastikan mereka menyeleweng atau sebaliknya.

"Ini kerana kita terpaksa ikut dan masuk dalam kumpulan itu dan kita lihat serta kaji zikir mereka," katanya.

Tambah beliau, ajaran sesat bukan mudah untuk dikesan dan untuk mengesan ajaran sebegini pegawai-pegawai Jais akan menyamar dengan menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan tersebut bagi melihat sendiri ajaran yang dibawa oleh kumpulan berkenaan.

Justeru, bagi membendung masalah tersebut, Mohammed Khusrin berkata, Jawatankuasa Panel Akidah yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Tamyes Abdul Wahid dan beberapa pakar dalam bidang syariah dan akidah akan menjalankan sesi kaunseling dengan mereka yang disyaki terlibat dalam menyampaikan ajaran sesat di negeri itu.

"Kita akan panggil mereka yang kita disyaki ini dan kita berdialog mengenai ajaran yang mereka bawa.

"Akan datang kita akan panggil Tarekat Nasabandiyah untuk dapat penjelasan dan cuba membetulkan akidah pemimpin kumpulan ini," katanya.

Selain itu, katanya, Jais dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa mengadakan ceramah dan dialog dengan orang-ramai dari semasa ke semasa.

"Kita akan pergi memberi ceramah dan dialog di daerah dan kawasan yang kita kenalpasti seperti di Gombak, Ampang kerana kawasan ini menjadi tumpuan.

"Kita juga turut mengedarkan risalah dan menyampaikan khutbah Jumaat untuk sedarkan masyarakat tentang bahayanya ajaran sesat ini," kata beliau.

Mahasiswa 'tak matang' tempelak Menteri 'ego'

MALAYSIA KINI



Pengerusi pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM), Mohd Shafie Hashim menyelar kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor UM semalam selepas kalah pada pilihan raya kampus (PRK) sebagai tidak matang.

Shafie sebaliknya mendakwa kenyataan Khaled itu membuktikan bahawa Menteri itu bukan seorang pemimpin rakyat dan mempunyai ego serta tidak ada prikemanusiaan terhadap penindasan.

“Jika begitu, sebenarnya Dato Khaled juga tidak matang kerana mengeluarkan kenyataannya tanpa menyelami apa yang mahasiswa rasai,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya hari ini.

Shafie berkata pro-M jelas dengan prinsip perjuangannya yang hanya mahu menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman terhadap apa sahaja yang berlaku.

Salah tetap salah

“Pro-M tidak bias (berat sebelah) pada mana-mana pihak, yang salah tetap salah, yang benar tetap benar! Dalam konteks pilihan raya Kampus di UM kali ini, kita berhadapan dengan sistem E-voting yang masih baru dan diragui lagi ketelusan dan integriti yang tiada pada pengendalian dan pengurusan sistem berkenaan,” katanya.

Menurut Shafie lagi pro-M berhadapan dengan pentas perlawanan yang tidak adil sehingga berlaku banyak penindasan yang sangat teruk.

Katanyai, “menang kalah bukan ukuran, tetapi mahasiswa tegas dan tetap pendirian di atas perjuangan untuk mepertahankan kebenaran dan keadilan sehingga menumbangkan segala kezaliman dan penindasan.”

Pro-M tidak matang

Semalam, Bernama melaporkan Khaled sebagai berkata tindakan sekumpulan mahasiswa UM yang berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor selepas kalah pada PRK Khamis lalu sebagai tidak matang.

Katanya, kumpulan Pro-M perlu menerima kekalahan dan menghormati pilihan majoriti kerana PRK merupakan suatu proses demokrasi.

"Kalau tak berani terima kekalahan, buat apa nak bertanding," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan penyokong kumpulan Pro-M yang berhimpun dan membantah keputusan PRK yang memihak kepada kumpulan Pro-Aspirasi.

Mengenai desakan Pro-M supaya PRK diadakan semula melalui kaedah biasa dan menghapuskan sistem e-undi, Khaled berkata permintaan itu tidak dapat diterima sekiranya isu yang dibangkitkan itu tidak berasas.

Bagaimanapun, katanya, naib canselor universiti berkenaan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

Ditanya kemungkinan kumpulan pelajar terbabit dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, beliau berkata perkara itu terserah kepada pihak pentadbiran universiti itu untuk menentukannya.

Keputusan PRK digantung

Kekecohan memuncak selepas pengumuman PRK malam Khamis yang lalu dengan beberapa kumpulan pelajar mendakwa berlakunya penyelewengan.

Kekecohan berlarutan sehingga pagi semalam yang menyaksikan rundingan lebih empat jam terpaksa diadakan oleh pentadbiran UM yang diketuai oleh naib canselornya Gauth Jasmon dengan kumpulan pelajar.

Turut hadir bersama rundingan semalam ialah bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad.

Menurut beliau, bagi mengendurkan ketegangan naib canselor bersetuju menggantung buat sementara semua keputusan pilihan raya kampus UM sementara meninggu siasatan lanjut dijalankan.

Gauth juga dikatakan bersetuju membenarkan kumpulan pro-M untuk melantik perunding bagi menguji sistem e-undi yang didakwa mereka dimanipulasikan.

Keadaan di Universiti Malaya tegang

Sekiranya semua tuduhan berkenaan berasas, Ghauth bersetuju pilihan raya kampus harus diadakan semula.

Ghauth juga berjanji akan menyiasat dakwaan yang timbalan naib canselor, Azarae Idris menyalah-gunakan kedudukannya dan terbabit memanipulasikan pilihan raya itu.

Selepas pengumuman butiran perbincangan itu, kumpulan pro-M berarak ke Dewan Tunku canselor untuk meraikan keputusan berkenaan.

Mereka juga menghempas sebuah komputer sebagai melambangkan bantahan terhadap pengundian e-undi dan membawa komputer itu berarak di seluruh kampus.

Pada masa yang sama, mahasiswa berkenaan turut membakar akhbar Kosmo yang didakwa membuat laporan tidak tepat berhubung jumlah kerusi yang dimenangi mereka.

Sebelum ini, lebih 200 pelajar dari kumpulan pro-M yang tewas khamis lalu juga mengugut akan mengadakan demonstrasi jalanan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Antara tuntutan awal mereka ialah supaya pilihan raya kampus diadakan semula dan pembatalan pengundian secara berkomputer atau e-undi.

Pada PRK itu, kumpulan pro-A berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.

BN Gagal Kurangkan Kemiskinan.


http://buletinonline.net/images/stories/berita21/ahmad%20said%20ebook.jpgSetiap Kali Beri Bantuan Minta Rakyat Balas Dengan ‘Beri Undi’

KUALA TERENGGANU – Setiap kali pemberian atau pengagihan apa-apa bantuan, kerajaan Umno dan Barisan Nasional Terengganu akan meminta rakyat yang mendapat bantuan tersebut membalasnya dengan ‘mengundi BN’.

Begitu juga bantuan kepada keluarga miskin melalui dana khas, ia lebih bermotif politik iaitu sebagai usaha memancing undi.

(Gambar - Ahmad 'menjaja' E-Book untuk politik murahan beliau?)

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut kenyataan beliau yang disiarkan akhbar tempatan.

Oleh sebab itu, katanya, usaha mengurangkan kemiskinan menemui kegagalan dan menyebabkan masyarakat negeri ini tidak mampu keluar daripada ‘kepompong’ itu.

Pas mendakwa Kerajaan Negeri masih gagal menangani masalah kemiskinan yang dihadapi rakyat Terengganu meskipun Barisan Nasional (BN) telah diberi mandat memerintah negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik berkata, kegagalan itu menyebabkan masyarakat negeri ini terus dihimpit kemiskinan dan tidak mampu keluar daripada kepompong itu.

“Kerajaan tidak ada program tertentu bersifat konkrit dan konsisten untuk mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan, sebaliknya hanya memberi bantuan tertentu bagi menarik sokongan rakyat sahaja.

“Majoriti rakyat Terengganu adalah masyarakat tradisi seperti petani dan nelayan, justeru, mereka perlu dididik sebab tidak tahu bagaimana ingin menyelesaikan masalah mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata, BN gagal kerana pemimpinnya terlalu sibuk mengejar dan membahagikan projek sesama sendiri selain memberi banyak tumpuan terhadap usaha menyelesaikan kemelut politik.

Beliau yang juga bekas Exco kerajaan PAS Terengganu berkata, ia berbeza dengan zaman pemerintahan PAS pada 1999 sehingga 2004.

Katanya, pemimpin PAS telah merangka strategi terbaik bagi membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program.

Hasilnya kata beliau, kadar kemiskinan Terengganu telah dapat diturunkan sebanyak 6 peratus, daripada 16 peratus berjaya dikurangkan sehingga 10 peratus.

“Selain memberi bantuan kebajikan zakat, kami banyak melaksanakan program secara konkrit termasuk mewujudkan pasar borong di Gong Pauh, itulah satu-satunya pasar borong di sini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, ‘perangai’ BN yang sentiasa meminta rakyat membalas budi dengan mengundi BN turut menjadi ucapan Timbalan Pengerusi Umno Terengganu, Dato’ Ahmad Said.

Kali terakhir beliau meminta rakyat membalas budi dalam Majlis Penyampaian Hadiah Kemerlangan Pelajar peringkat Kuala Nerus anjuran Yayasan Terengganu yang diadakan di Sekolah Menengah Teknik.

Sebelum itu, Ahmad menawarkan ‘potongan harga istimewa’ apartmen mampu milik Ladang Gemilang kepada mereka-meraka yang akan mengundi BN.

Buletinonline juga mengesan, setiap kali program pemberian ‘E-Book’ yang dikatakan ikhlas dari kerajaan, turut diambil kesempatan oleh Ahmad dengan ‘menjaja’ program tersebut untuk politik murahan beliau.

PM gesa seluruh rakyat beri khidmat sukarela

Oleh Abdul Razak Raaff dan Rosli Abdul Jalil


PEKAN: Datuk Seri Najib Razak meminta seluruh rakyat Malaysia yang berkemampuan berganding bahu memberi khidmat sukarela dalam pelbagai kegiatan amal bagi memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik tanpa membezakan warna kulit, bangsa dan agama.

Perdana Menteri berkata, sumbangan dan bantuan itu perlu berdasarkan keperluan asas rakyat negara ini terutama yang kurang bernasib baik.

Malah, katanya, kerajaan sememangnya amat mengalu-alukan semangat sukarelawan kerana penyertaan mereka dalam kegiatan amal dapat mengharmonikan negara sekali gus membawa kesejahteraan rakyat.

"Inilah semangat 1Malaysia yang perlu dipegang semua pihak kerana kita adalah rakyat satu bangsa dan negara dan semangat seperti ini akan mengukuhkan lagi perpaduan rakyat," katanya berucap pada Majlis Perasmian Kem Kesihatan dan Perubatan 1Malaysia di Kuala Pahang, dekat sini, semalam.

Kem sehari yang dikunjungi lebih 1,000 penduduk sekitar kawasan Parlimen Pekan itu dianjurkan Kelab Rotary Metro Diraja Kuantan (KRMDK) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan Majlis Daerah Pekan.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wan Razali Wan Mahussin; Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Presiden KRMDK, Dr S Kanapathy Pillai dan Penasihat Kem Kesihatan dan Perubatan 1Malaysia, Datuk Dr Penny Tevaraj.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, usaha dan kesediaan kelab itu melakukan kerja amal sedemikian adalah satu nilai murni yang membanggakan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Apa yang dilakukan Kelab Rotary menerusi program ini benar-benar memperlihatkan semangat 1Malaysia kerana walaupun ramai ahlinya dari kalangan bukan Melayu tetapi mereka sanggup berkhidmat di kampung nelayan yang majoritinya penduduk Melayu di Kuala Pahang ini," katanya.

Beliau berkata, mereka yang lebih bernasib baik seharusnya sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki berbanding dengan mereka yang kurang berkemampuan seperti penduduk di Kuala Pahang yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan.

Sementara itu, Dr Kanapathy dalam ucapannya berkata, kelab yang baru berusia tiga tahun itu bermatlamat membawa senyuman kepada semua rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina dan India dengan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

Pada majlis itu, KRMDK turut menganugerahkan Keahlian Kehormat kepada Najib sebagai menghargai sumbangannya kepada masyarakat dan rakyat negara ini.

Terdahulu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) daerah Pekan termasuk anak Orang Asli.

SPR mula persiapan Pilihan Raya Sarawak

BERITA MINGGU


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah mula melaksanakan tugas pada peringkat pentadbiran sebagai persiapan awal menjelang berlangsungnya Pilihan Raya Sarawak yang dijangka diadakan tahun ini atau 2011.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata mengikut rekod pihaknya, tarikh akhir pilihan raya di negeri berkenaan adalah pada Jun tahun depan.

“Walaupun tempohnya ada lebih setahun sehingga tarikh akhir, SPR sebagai badan pengendali pilihan raya mesti bersedia awal kerana mengikut pengalaman lalu, pilihan raya Sarawak tidak menunggu sehingga tarikh akhir tamat tempoh.

“Berikutan itu, arahan sudah diberi supaya SPR negeri berkenaan membuat persediaan terutama merangka anggaran bajet terutama membabitkan aspek logistik,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini, SPR menemui Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk memaklumkan supaya badan itu diberi tempoh notis secukupnya untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri itu.

Pengerusi SPR itu berkata, pilihan raya Sarawak biasanya tidak diadakan dalam tempoh cukup-cukup mandat memerintah lima tahun itu.

Abdul Aziz berkata, persiapan awal seperti kemudahan helikopter, bot, sampan dan kenderaan darat perlu kerana penempatan dan kedudukan geografi negeri berkenaan yang berbeza berbanding di Semenanjung.

“Selain itu, perlu dikenal pasti tempat penamaan calon, lokasi mengundi dan tempat yang sesuai untuk diadakan kursus bagi memilih pegawai sementara SPR sepanjang proses menjelang pilihan raya negeri itu,” katanya.

Beliau berkata, sebagai badan yang mahu melaksanakan tugas dengan berkesan, SPR tidak mahu ‘terperangkap’ kerana tidak bersedia dari sekarang.

Malah, katanya, SPR juga meminta kerjasama kerajaan Sarawak supaya memberi notis yang cukup (sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri).

YBK tak cukup wang bayar cukai

Usaha yayasan mohon tempoh kumpul RM5.7j ditolak kerajaan Selangor

Oleh Wan Jailani Razak


SHAH ALAM: Pertelagahan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan kerajaan Selangor berterusan apabila permohonan seminggu oleh yayasan itu mencari sumber bagi menjelaskan bayaran cukai tanah tertunggak berjumlah RM5.7 juta, ditolak Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor, kelmarin.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom, berkata yayasan itu hanya mampu menyediakan RM180,000 untuk bayaran sebahagian cukai tertunggak dan memohon tempoh seminggu bagi membolehkannya mengusahakan bayaran baki, namun ditolak pada hari sama.

Berikutan itu, katanya, yayasan terpaksa akur dengan tindakan kerajaan negeri merampas kira-kira 312 hektar tanah di Serendah, Rawang, yang bernilai RM42 juta, selepas memilikinya selama 15 tahun.

"Di mana keadilan yang selalu dilaungkan Pakatan Rakyat? Kerajaan negeri sepatutnya boleh memberi pertimbangan dari segi masa tetapi permohonan kami ditolak mentah-mentah.

"Bukan mudah untuk kami mencari wang sebanyak itu (RM5.7 juta) kerana kami ada banyak tanggungan lain seperti memberi makan kepada anak-anak jagaan kami di asrama," katanya ketika dihubungi, semalam.

YBK memperoleh tanah itu selepas permohonannya diluluskan pada 1995 oleh Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan pemilikan tanah itu atas nama anak syarikatnya, Permodalan YBK Sdn Bhd.

Zainal Abidin berkata, perkara yang menjadi titik hitam kepada pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sepatutnya tidak berlaku jika Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mentadbir negeri secara profesional.

Bagaimanapun, katanya, Abdul Khalid dilihat sudah hilang pertimbangan akal menyebabkan rakyat yang cuba dipimpinnya menderita.

"Orang yang memimpin tak terasa kerana mungkin baginya, `puas hati aku.' Dalam keadaan ini, dia rasa puas hati kerana dapat memberi tekanan kepada sebuah yayasan yang kegiatannya menjurus kepada usaha membasmi kemiskinan.

"Ketika saya menjadi Setiausaha Politik dulu, pegawai daerah diturunkan kuasa untuk membuat pertimbangan (dalam meluluskan sesuatu permohonan) tetapi sekarang, ia tidak berlaku," katanya sambil menambah ia menyerlahkan sikap tidak amanah pemimpin dalam membangunkan negeri.

Ditanya tindakan kerajaan negeri meneruskan usaha mengubah status semua maklumat berkaitan aset dan dana yang diberikan kepada YBK, Zainal Abidin bertegas mahu Abdul Khalid mengemukakan bukti bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinannya pernah memberi sumbangan ratusan juta ringgit kepada yayasan itu.

Kelmarin, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam kenyataan medianya berkata Pejabat Menteri Besar menerima banyak dokumen daripada pelbagai unit kerajaan mengenai semua aset dan dana yang diberikan kerajaan negeri kepada yayasan itu untuk membasmi kemiskinan.

Nik Nazmi berkata, semua maklumat itu akan didedahkan dalam satu laporan terperinci mengenai YBK yang akan dikeluarkan secepat mungkin.

Zainal Abidin dalam laporan polis yang dibuatnya kelmarin menegaskan kenyataan dikeluarkan sebelum ini oleh Abdul Khalid berhubung YBK adalah suatu pembohongan dengan niat jahat untuk menjejaskan imej YBK yang sudah lebih 20 tahun membantu masyarakat miskin di Selangor.

Dolak-dalik Ku Li

Oleh Rohaniza Idris, Khairul Anuar Abdul Samad,
Norliza Wasilan dan Haspaizi Mohd Zain


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah diselar kerana berdolak-dalik dalam isu hasil minyak di Kelantan, terutama pendirian terbarunya yang menyokong bayaran royalti dan bukannya wang ihsan.

Sambil mempersoalkan perubahan pendirian beliau berbanding ketika menjadi Pengerusi Petronas pada 1974 yang terbabit dalam perjanjian berhubung pemberian wang ihsan itu kepada Terengganu dan Kelantan, Tengku Razaleigh juga didakwa cuba bermain politik dan mahu mengelirukan rakyat Kelantan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kenyataan Tengku Razaleigh pada Khamis lalu yang mendakwa kerajaan Kelantan patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukan wang ihsan bertentangan dengan kenyataan yang dibuatnya pada Oktober 2000.

"Kenyataan Tengku Razaleigh pada 2000 itu amat nyata bahawa semua negeri di Semenanjung tidak mempunyai hak mengikut Akta Petroleum 1974, dan apabila beliau ubah pendirian dua malam lalu, ini satu perkara yang sangat mengejutkan.

"Bagaimana beliau sanggup tukar pendirian yang dilahirkannya akhir Oktober 2000 semata-mata berhadapan dengan ribuan orang," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Razaleigh mengenai isu royalti minyak yang dibuatnya ketika berucap pada majlis solat hajat dan ceramah perdana royalti petroleum di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, Kelantan pada Khamis lalu yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Berita Harian terbitan 1 November 2000, melaporkan Tengku Razaleigh pada sidang media di Parlimen, berkata berdasarkan undang-undang dan pandangan ketika Petronas ditubuhkan, negeri-negeri di Semenanjung tidak berhak ke atas minyak yang dijumpai di luar kawasan kekuasaan negeri.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Terengganu tidak terlalu mempercayai tohmahan yang dilemparkan Kerajaan Pas Terengganu ketika itu, yang disifatkan sengaja menimbulkan kekeliruan berikutan tersepit dengan masalah kewangan.

Tengku Razaleigh yang menjadi Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas antara 1974 hingga 1980, juga berkata, kaedah penyaluran wang terbabit tidak harus dipertikaikan kerana yang penting perubahan kaedah pembayaran itu tidak menjejaskan, malah akan memberi faedah dan menguntungkan rakyat Terengganu.

Rais berkata, bagi negeri yang memikirkan untuk membuat tuntutan ke atas royalti minyak seperti Kelantan, ia tidak berhak di bawah mana-mana Akta Petroleum kerana berada di kawasan antarabangsa yang haknya milik Persekutuan.

"Ini adalah kedudukan undang-undang antarabangsa dan juga undang-undang negara. Akta Petroleum berbeza dengan peruntukan Akta Pelantar Benua yang mana Sabah dan Sarawak tertakluk bawahnya," katanya.

"Sekiranya hendak jadi orang tengah tidak menjadi masalah, tapi saya berharap beliau tidak kemukakan tuntutan dan pandangan bagi pihak Pas dan parti pembangkang kerana beliau masih Ketua Umno Bahagian Gua Musang dan saya berharap rakyat faham keadaan sebenar," katanya.

Di KOTA BHARU, Tengku Razaleigh menyarankan supaya tuntutan royalti yang dikemukakan Kerajaan Kelantan dibawa ke mahkamah jika berasakan Akta Pembangunan Petroleum 1974 tidak dihormati.

"Kenyataan saya mengenai Kelantan layak mendapat royalti adalah berdasarkan peruntukan akta dan perjanjian itu yang ditandatangani Petronas dan kerajaan negeri dengan restu Kerajaan Pusat.

"Saya cakap apa yang diperuntukkan akta dan perjanjian yang dibuat itu yang dipakai sampai sekarang. Jika nak selesai segalanya di mahkamah, tak perlu pakai (rujuk) akta, selesai di mahkamah saja," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, semalam.

Tengku Razaleigh bagaimanapun, enggan mengulas percanggahan kenyataannya yang dibuat Khamis lalu dengan kenyataan pada sidang media di Parlimen pada Oktober 2000.

negeri di Semenanjung, layak mendapat royalti minyak berdasarkan perjanjian sama kerana kawasan pengeluaran minyak itu terletak di luar perairan negeri.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Tengku Razaleigh mengenai royalti itu sebagai sesuatu yang benar dan jelas.

Saya ingin beri keterangan di mahkamah - Saiful

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Pengadu kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan hanya berharap beliau dapat memberikan keterangan di mahkamah bagi menyelesaikan kes itu yang telah tertangguh beberapa kali.

Menurutnya, sejak hari pertama Anwar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, kira-kira 20 kali perbicaraan ditangguhkan kerana pelbagai permohonan yang dibuatnya.

"Selama ini, hanya 'satu' sahaja permintaan saya iaitu untuk memberi keterangan di mahkamah. Namun, setelah sekian lama saya menanti dengan sabar, beliau masih berusaha sedaya upaya untuk menafikan 'hak' saya,'' katanya dalam blog beliau, http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com.

Mengulas laporan akhbar hari ini mengenai 'Rayuan terakhir Anwar gagal' beliau bagaimanapun berkata, semua pihak akan menunggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 2 Februari ini sama ada permohonan penangguhan Anwar diterima atau sebaliknya.

"Akan terus berdoa, istiqamah dan bersabar, kepada Allah saya berserah," katanya.

Menurut laporan akhbar, Anwar sekali lagi gagal dalam rayuannya supaya dibekalkan semua dokumen penting pendakwaan termasuk spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) Mohd. Saiful Bukhari untuk menyediakan pembelaan kes liwatnya.

Usahanya itu menemui jalan buntu setelah Mahkamah Persekutuan semalam membuat keputusan muktamad menolak rayuan terakhir Ketua Pembangkang itu.

Bagaimanapun, Anwar masih mempunyai satu lagi peluang mendapatkan dokumen-dokumen tersebut menggunakan Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 melalui permohonan semakan yang akan difailkan pada Selasa ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria ketika menolak rayuannya berpendapat, Anwar tidak layak dibekalkan dokumen-dokumen tersebut kerana perbicaraan belum dimulakan.

Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkannya membekalkan dokumen penting itu.

Bagaimanapun, perbicaraan kes liwat itu yang sepatutnya didengar Selasa depan di Mahkamah Tinggi masih tidak dapat dimulakan setelah Anwar mengemukakan penangguhan saat akhir, kelmarin.

Beliau memohon penangguhan atas alasan rayuan berhubung penolakan terhadap permohonannya untuk membatalkan tuduhan liwat masih belum didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 6 November tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan balas Anwar supaya dibekalkan spesimen DNA yang telah diuji milik Mohd. Saiful Bukhari, 25, yang juga pengadu kes.

Pemimpin pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Dedahkan hasil siasatan Raja Petra - Mohd. Puad

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa digesa mendedahkan laporan siasatan mengenai pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin yang kini dikatakan hidup mewah di London serta ditaja oleh pihak tertentu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, laporan mengenai individu yang memboloskan diri ke luar negara itu penting supaya masyarakat khususnya pelayar Internet tidak lagi terkeliru dengan penipuan di portal berita tersebut.

''Apa yang lebih penting, pihak berkuasa harus menunjukkan kredibiliti mereka kerana Raja Petra dikatakan telah meloloskan diri dengan menggunakan pasport palsu serta ditaja pihak tertentu yang mahu melihat perpecahan masyarakat di negara ini.

''Walaupun kita tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan United Kingdom (UK), tiadakah cara lain pihak berkuasa boleh membawa Raja Petra pulang ke negara ini untuk didakwa,'' katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pada 7 Januari lalu menegaskan, pihaknya akan menggunakan saluran undang-undang antarabangsa untuk memburu pengendali portal berita Malaysia Today berkenaan.

Menurutnya, semua pihak perlu bersabar kerana proses permohonan ekstradisi memerlukan masa yang lama.

Raja Petra dalam satu artikel yang disiarkan pada 31 Disember lalu pula mendakwa dia kini berada di Poland.

Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mohd. Puad menambah, penangkapan Raja Petra serta proses pendakwaan di mahkamah boleh menyelesaikan pelbagai tohmahan tidak berasas yang dilemparkan terhadap kerajaan dan para pemimpin negara selama ini.

Beliau berkata, pihak Imigresen dan polis sudah tentu mempunyai maklumat mengenai Raja Petra berdasarkan jaringan polis antarabangsa (Interpol) dan ia harus dikemukakan segera.

Yayasan Melaka sedia bantu lunas hutang

UTUSAN ONLINE


JITRA – Yayasan Melaka sedia membantu melunaskan tunggakan RM5.7 juta cukai tanah seluas 526 hektar milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor di Serendah, jika kerajaan negeri Selangor bersetuju melanjutkan tempoh bayaran itu sehingga Isnin ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pihaknya sudi berbuat demikian atas dasar semangat membantu golongan miskin.

Sehubungan itu, beliau meminta YBK membuat rayuan kepada kerajaan negeri Selangor supaya memberi kebenaran membayar cukai tanah berkenaan pada minggu depan.

“Saya mengetahui perkara ini menerusi media sahaja. Kalau tahu awal, Yayasan Melaka boleh bantu YBK bayarkan dulu RM5.7 juta cukai tanah itu. Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom perlu membuat rayuan terlebih dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Juara Rakyat 1Malaysia 2010 anjuran Biro Pendidikan UMNO Bahagian Kubang Pasu di Dewan Wawasan di sini hari ini.

Mohd. Ali berkata, jika kerajaan negeri Selangor membenarkan rayuan tersebut, Yayasan Melaka akan mengadakan usaha sama dengan YBK untuk membangunkan kawasan berkenaan demi kepentingan orang miskin.

Kata beliau, pihaknya melihat potensi luas kawasan itu untuk dibangunkan sama ada dalam bidang pertanian atau perindustrian.

Kami Mahu Waklit Rakyat,Bukan Wakil Pos!

Oleh LanH

MELIHAT betapa cepatnya generasi muda mengikuti dan seterusnya mengaplikasikan perkembangan teknologi maklumat semasa membuatkan penulis menjadi kagum dan cemburu; mereka terlalu 'advance' (ke depan) dalam pengendalian pelbagai gajet seperti telefon mudah alih dan komputer. Peralatan semakin canggih, demikian juga penerimaan anak-anak muda.

Bagaimanapun satu perkembangan kurang menyenangkan, kebanyakan golongan ini kurang berkemahiran dan berkesenian dalam bidang penulisan termasuk menulis surat. Ada yang mungkin tidak pernah menulis surat seumur hidup, lantas tidak pernah berurusan di pejabat pos, barangkali tiada pengalaman membeli dan melekatkan setem di envelop. Ertinya perkataan POS mungkin asing kepada mereka

Ketika masyarakat semakin jauh daripada Pos, amat mengejutkan sebuah organisasi kerajaan bernama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini bercadang memperluaskan hak pengundi pos kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan-perkhidmatan penting. Apabila perkataan POS semakin sirna, amat melucukan apabila SPR mahu memperluaskan pengundian cara ini. Baru-baru ini pula SPR berkata ia mahu memperkenalkan pengundian awal bagi menggantikan perkataan undi pos itu.

Secara logik akal, langkah SPR itu menongkah arus, masyarakat semakin ke depan dalam perkembangan teknologi tetapi organisasi itu berazam kembali ke zaman dulu, memperhebatkan undi pos sekalipun namanya ditukar kepada pengundian awal. Sesetengah pihak menganggapnya sebagai mengarut dan tidak masuk akal serta tindakan mengundur yang memalukan.

Mengenai perluasan undi pos, Pengerusi SPR, Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof berkata, doktor, jururawat dan wartawan mungkin dipertimbang untuk dibenarkan mengundi secara kaedah kuno itu pada pilihan raya umum akan datang. Perkara itu akan dibuat menerusi pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang sedang diteliti oleh SPR.

Dalam mengulas perkembangan ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, langkah itu adalah ke belakang kerana sistem undi pos yang ada sudah banyak menimbulkan masalah dan mahu dibuang apatah lagi dengan tindakan mahu menambahkan golongan yang layak mengundi pos.

"Saya mengesyaki ada agenda tersirat dalam langkah ini jika benar SPR bercadang berbuat demikian," kata beliau.

Langkah SPR mahu memperhebatkan undi pos ternyata bertentangan apa yang disuarakan rakyat yang mahukan pengundian telus semasa pilihan raya termasuk yang dituntut oleh Bersih yang pernah menganjurkan demonstrasi kuning yang bersejarah pada lewat tahun 2008.

Mereka tidak menyakini undi pos yang dakwa mereka memudahkan berlaku ketidaktelusan malah penyelewengan dan manipulasi.

Memang betul, berdasarkan pendedahan bekas pegawai tinggi tentera, berlaku amalan kurang sihat dalam pengendalian undi pos ini. Pengakuan ini bukan dibuat seorang dua, malah sejumlah anggota tentera berpangkat tinggi.

Seorang bekas mejar dalam pertemuan dengan penulis baru-baru ini, mendedahkan bahawa beliau telah diberi kuasa untuk memangkah kertas undi anggota pasukan di bawahnya. Katanya dia terbabit dalam perkara itu sebanyak dua kali pilihan raya.

Katanya, pada pilihan raya berkenaan, beliau bersikap 'happy go lucky' untuk memangkah kira-kira 100 kertas undi setiap kali sedangkan pengundi sebenar berada dalam hutan, menjalankan operasi.

Beliau yang menyesal bertindak demikian,, berkata kini dia sudah bertaubat atas 'dosa' itu termasuk pergi Makkah, menunaikan haji. "Tangan inilah yang memangkah kertas undi itu, jadi saya bertaubat depan Kaabah minta Allah SWT ampunkan dosa saya yang berat itu," katanya.

Sebagai mendenda dirinya, katanya, dia sekarang banyak melakukan kerja-kerja kebajikan, semoga Allah SWT menerimanya bagi menebus doa yang dilakukan masa dia muda dulu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman pula dipetik sebagai berkata, prinsip PAS jelas untuk memansuhkan undi pos di kalangan anggota polis dan tentera dan tidak akan bersetuju jika perkara itu mahu diperluaskan kepada pengundi selain mereka.

"Ini cadangan yang mengarut. Pada dasarnya PAS memang tidak bersetuju sebab kita berjuang selama ini untuk hapuskan undi pos di kalangan polis dan tentera, tiba-tiba SPR nak luaskan hak pengundi pos," katanya.

Seorang penyokong Pakatan Rakyat yang ditemui penulis merumuskan isu undi pos ini dengan berkata keras: “Kami mahukan wakil rakyat, bukan WAKIL POS!”

http://lanh14.blogspot.com

Sabtu, 30 Januari 2010

Karpal: Keputusan Mahkamah Persekutuan Timbulkan “Banyak Masalah”

TV SELANGOR


Alasan yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini dalam menolak permohonan mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan bahan bukti akan melewatkan kes-kes jenayah umumnya dan bukan sahaja perbicaraan Anwar, kata peguam Karpal Singh.

Tiga hakim mahkamah tertinggi negara menolak permohonan Anwar itu kerana ia dibuat sebelum perbicaraan bermula, kata Karpal. Perbicaraan atas tuduhan fitnah liwat Anwar dijadualkan bermula Selasa depan.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini akan menimbulkan banyak masalah kepada orang. Ia akan membawa kepada kelewatan perbicaraan dalam kes-kes jenayah,” kata Karpal.

Karpal berkata demikian selepas mendengar hujah hakim Mahkamah Persekutuan dalam menolak permohonan Anwar bagi mendapatkan dokumen dan bukti relevan bagi membolehkan beliau menyediakan pembelaan tuntas.

Karpal berkata Mahkamah Persekutuan berpendapat permohonan Anwar itu hanya boleh dilayan setelah perbicaraan bermula, dalam erti kata lain, saksi pertama telah mula memberikan keterangan.

“Jika ini berlaku, maka pihak yang mempertikaikan akses kepada bukti-bukti akan tentunya merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi. Tindakan ini pasti diambil bukan sahaja oleh peguam bela tetapi pendakwaraya juga mempunyai hak membantah dan memrayu …semua ini akan melambatkan proses perbicaraan,” kata Karpal.

Karpal berkata peguambela Anwar tentunya akan merayu sekali lagi untuk mahkamah membenarkan Ketua Pembangkang itu diberikan bukti-bukti berkenaan selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini.

Anwar telah meminta salinan kenyataan penuduh Saiful Bukhari Azlan, laporan perubatan yang relevan dan salinan rakaman video di pintu masuk kondominium Jalan Setiakasih Bukit Damansara di mana Salful mendakwa tuduhan fitnah liwat itu berlaku pada Jun tahun 2008 .

Peguam-peguam Anwar memohon untuk diberikan akses kepada bahan bukti itu bagi membolehkan mereka menyediakan soal balas yang bernas terhadap saksi yang dikemukakan oleh pendakwaraya, demi memastikan keadilan.

Kerajaan Kikis Petronas Ketika Ekonomi Jatuh

MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


Ekonomi Negara terjejas teruk apabila harga pasaran minyak dunia jatuh merudum, ekoran kebergantungan kerajaan kepada sumber petroleum.

Kegagalan kerajaan mempelbagaikan nadi ekonomi Negara, menyebabkan pendapatan merosot RM20 bilion dengan dari RM50 bilion kepada RM30 bilion dengan kejatuhan pasaran minyak dunia.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan Datuk Kamarul Baharin Abbas berkata kerajaan Pusat diancam kelumpuhan sekiranya situasi ini berterusan.

Namun apa yang dikesalkan adalah Umno-BN terus memerah perbendaharaan Petronas agar Belanjawan Perdana Menteri Najib Tun Razak dapat dilaksanakan.

“Keuntungan Petronas yang turun kepada lebih 60 bilion daripada dekat 100 bilion, sewaktu itu pada tahun 2009, 2008 sumbangan Petronas kepada kerajaan ialah 50 bilion lebih, separuh daripada keuntungan, tetapi 2010 ni, sumbangan Petronas mesti berdasarkan keuntungan 2009, dan 2009 diumumkan bahawa keuntungan hanya 60 bilion lebih saja, maka bergegarlah pihak-pihak kementerian khususnya Menteri Kewangan menghubungi Petronas dan mendesak Petronas membuat pengumuman esok harinya bahawa komitmen Petronas pada Kerajaan pada tahun ini tetap kekal sebagai 50 bilion lebih”, jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Ceramah Perdana Sempena Pelancaran Maljis Pakatan Rakyat Negeri Sembilan di Dataran Muhibbah, Kg Ismail, Ampangan, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Yang amat dikesalkan adalah pemerintah enggan menuruti nasihat Pakatan Rakyat supaya memperketatkan displin perbelanjaan, memulihkan ketanggungjawaban kementerian-kementerian kerajaan bagi mengekang kelembapan yang semakin membengkak.

Ketua Audit Negara melaporkan kira-kira RM20 bilion setiap tahun tanpa dapat dikesan kerana kebocoran dan pembaziran.

“Kita menyebutkan perkara yang berlaku, perbelanjaan yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional tiap-tiap tahun di mana sebanyak lebih 20 bilion tidak dapat dikesan dan ini dinyatakan oleh Ketua Audit negara memberi komen ini adalah hasil dari 3P iaitu Pemborosan, Pembaziran dan Penyelewengan”, tambahnya lagi.

Dua hotel di Melaka antara terkotor di Asia

SINAR HARIAN ONLINE


AYER KEROH - “Memalukan!” Itulah reaksi Penasihat Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Chua Kim Tee ketika merujuk kepada laporan laman web antarabangsa yang menyenaraikan dua hotel terkemuka Melaka sebagai hotel terkotor di Asia.

Salah sebuah hotel tersenarai di tempat keempat, manakala sebuah lagi di kedudukan kesembilan, berdasarkan maklum balas diperoleh laman web daripada mereka yang pernah menghuni hotel berkenaan.

Kim Tee berkata, penyenaraian ini amat memalukan Melaka dan ia adalah tamparan terhadap usaha Kerajaan Negeri mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama.

Menurutnya, walaupun pihak Kerajaan Negeri, terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, banyak berusaha menaikkan nama Melaka dalam sektor pelancongan, tindakan sesetengah hotel mengabaikan faktor kebersihan boleh menjejaskan usaha kerajaan menaikkan imejnya.

“Penyenaraian dua hotel ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan nama Melaka sebagai destinasi pelancongan dan pada masa sama menjejaskan usaha serius kerajaan untuk menjadikannya sebuah bandar raya warisan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Daripada hasil kaji selidik dijalankan laman web berkenaan, 77 peratus mereka yang pernah menginap di hotel di kedudukan keempat itu mengatakan mereka tidak akan mengesyorkan sesiapa menginap di hotel berkenaan, manakala bagi hotel di tempat kesembilan, 61 peratus memberi komen yang serupa.

Antara komen ditinggalkan pengunjung di laman web berkenaan mendakwa cadar yang dibekalkan dalam bilik-bilik kotor dan buruk, bilik penuh dengan nyamuk, keadaan bilik mandi tidak bersih dan sebagainya.

Sehubungan itu, Kim Tee menggesa pihak berwajib menjalankan pemeriksaan segera ke atas kedua hotel berkenaan.

Menurutnya, jika perlu, kedua hotel berkenaan disita untuk tempoh yang sesuai bagi menunjukkan kepada mereka betapa kebersihan perlu diberi keutamaan.

“Dan sekiranya perlu, bukan sahaja dua hotel itu, tetapi hotel lain juga yang mengabaikan aspek kebersihan.

"Mungkin pihak berkuasa boleh membatalkan lesen mereka,” katanya.

Kim Tee juga menggesa pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan berkala di semua hotel di negeri ini, terutama yang kecil.

Menurutnya, ini kerana beliau sudah beberapa kali menerima rungutan pengunjung mengenai keadaan hotel kecil yang tidak terurus, termasuk keadaan tandas yang teruk.

“Dalam keadaan ini, pihak hotel tidak seharusnya disalahkan sepenuhnya kerana orang ramai turut memainkan peranan menjaga kebersihan.

”Hanya kerana mereka membayar sewa tidak bermakna mereka boleh berbuat sesuka hati, termasuk mengabaikan kebersihan,” katanya.

UPNM Tidak Ambil Pelajar Awam Mulai Tahun Depan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mulai tahun hadapan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tidak lagi mengambil pelajar baru di kalangan pelajar awam dalam usaha menjadikan universiti itu sebuah universiti ketenteraan sepenuhnya.

Naib Canselor universiti itu Left Jen Datuk Pahlawan Zulkifli Zainal Abidin berkata sejak universiti itu dibuka pada 2007, universiti itu memperuntukkan kuota 20 peratus bagi pengambilan pelajar awam.

"Kini kuota tersebut akan diisi daripada kalangan pegawai kadet tentera sahaja," katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah kepada pegawai kadet pengambilan 2003/2004 dan 2005 di Kem Sungai Besi di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pemangku Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, dan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaludin.

Zulkifli berkata tindakan itu akan menjadkan UPNM sebagai sebuah universiti yang berbeza dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain di mana graduan universiti itu bukan sahaja ditekankan aspek akademik tetapi juga pembinaan karektor yang perlu pada bakal pemimpin masa hadapan.

Zulkifli berkata universiti itu juga akan menambah fakulti baru iaitu Fakulti Perubatan pada tahun ini, dan Fakulti Aeroangkasa pada tahun depan.

Pada masa ini universiti itu mempunyai tiga fakulti iaitu Fakulti Pengurusan, Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Sains dan Teknologi, yang menawarkan sembilan program.UPNM bakal menghasilkan graduan pertamanya seramai 155 orang pada Oktober tahun ini.

Pada majlis hari ini, seramai 381 pegawai kadet ditauliahkan termasuk 61 wanita dan daripada jumlah itu 190 orang adalah pegawai Perkhidmatan Tentera Darat (TD), 151 orang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)dan 40 orang dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Empat pegawai kadet terbaik menerima anugerah khas pada majlis hari ini dengan Mohd Faiz Mohamed, 24, dipilih sebagai pegawai kadet terbaik keseluruhan.

Ahmad Muadz Ahmad Shuhaili, 25, adalah pegawai kadet terbaik TD, Muhammad Sarmizi Abdul Halim, 23, (TLDM) dan Ashraf Mohamad Radzi, 24, (TUDM).

Kerajaan Tidak Cadang Tubuh Suruhanjaya Agama

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama pada masa ini kerana dialog tertutup yang dilakukan berterusan sekarang sudah memadai untuk menangani isu berbangkit, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata dialog tertutup itu juga dapat membantu mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana aman dan saling hormat-menghormati di kalangan rakyat majmuk di negara ini.

"Kita tidak perlukan Suruhanjaya Antara Agama. Pada ketika ini kita tidak fikir yang ia sesuatu yang perlu, tetapi dialog berterusan antara kumpulan yang mewakili agama-agama...Islam dan bukan Islam...sudah memadai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda di Angkasapuri di sini, hari ini.

Ditanya isu kalimah Allah yang melibatkan sensitiviti penganut agama Islam dan Kristian di negara ini, Muhyiddin berkata perbincangan secara tertutup antara pertubuhan kedua-dua agama itu sudah diadakan dan akan diteruskan.

"Kadang-kadang faedahnya lebih baik begitu (secara tertutup)...ini cara berhemah pasal bukan ada kepentingan politik.

"Ini untuk mencari satu titik pertemuan, mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana yang aman dan saling hormat-menghormati," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut berdialog dan menjelaskan pelbagai isu semasa yang dibangkitkan mahasiswa Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara serta wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, Muhyiddin melancarkan laman web politik rasmi pertama beliau My-Malaysia, yang antara lain memaparkan aktiviti kemasyarakatan dan politik, koleksi ucapan dan liputan berita dalam dan luar negara mengenainya.

Laman web itu juga mempunyai medium interaksi dua hala di antara Muhyiddin dengan rakyat dan boleh dilayari di http://www.my-malaysia.com.my.

"Hari ini, saya telah lancarkan laman web peribadi sebagai wadah untuk kita berkomunikasi.

"Saya berharap saudara-saudari akan menggunakan laman web ini untuk kita memberikan pandangan secara langsung mengenai apa sahaja isu," katanya ketika berucap melancarkan laman web itu.

Muhyiddin berkata penubuhan laman web itu juga sebagai usaha untuk mendekati dan berinteraksi dengan dengan anak-anak muda dengan menerima pandangan dan kritikan mereka.

"Anak-anak muda sekarang inginkan kerajaan yang telus, dalam erti kata lain menjelaskan dan menjawab apa saja isu yang dibangkitkan (dan) kerajaan komited untuk berbuat demikian.

"Dan untuk itu, kita akan terus mendekati anak-anak muda melalui media sosial," katanya.

Menurutnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga aktif berinteraksi melalui laman web 1Malaysia, Twitter dan Facebook dan anggota-anggota Kabinet juga telah diminta untuk berinteraksi dengan rakyat melalui media sosial itu.

"Justeru itu, saya ingin ingatkan anak-anak muda untuk menggunakan media sosial dan membuat kritikan secara berhemah. Walaupun kita berbeza pendapat, usah ketepikan adab dan budaya," katanya.

2 guru ‘bergusti’

SABAH DAILY / METRO


BANTING: Memalukan apabila seorang ustazah dan guru wanita di sebuah sekolah rendah di sini bergaduh sesama sendiri dengan disaksikan pelajar dan guru lain di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, ustazah berusia 40-an dan guru Matematik berusia 24 tahun dikatakan ‘bergusti’ selepas berlaku salah faham ketika berada di kantin sekolah. Difahamkan, guru muda terbabit terpaksa melarikan diri sambil dikejar sehingga ke padang sekolah sebelum ditampar dan bergelut dengan ustazah terbabit.

Sumber berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada dendam ustazah berkenaan sejak setahun lalu selepas anaknya yang diajar guru terbabit dipukul dengan pembaris kerana melakukan kesalahan. Bagaimanapun katanya, tindakan guru itu menimbulkan perasaan tidak puas hati ustazah itu sehingga membawa kepada pergaduhan. “Guru muda itu dikatakan dikejar sehingga ke padang sekolah sebelum dia ditampar, dipukul dan bergelut dengan ustazah itu.

“Insiden itu berlaku beberapa minit dan dipercayai turut disaksikan pelajar yang sedang melakukan aktiviti luar sebelum beberapa guru lain berjaya mententeramkannya,” katanya di sini, semalam. Difahamkan, kejadian itu kali pertama berlaku di sekolah berkenaan, bagaimanapun kejadian itu boleh menimbulkan implikasi negatif kerana ia disaksikan pelajar. Susulan kejadian itu, guru Matematik itu kemudian membuat satu laporan polis kira-kira jam 10 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat berhubung kejadian itu.

Kedua-dua guru berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, bagaimanapun difahamkan mereka sudah dipanggil pentadbir sekolah untuk mendapatkan penjelasan mengenai kejadian itu kerana ia mula menjadi buah mulut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohamad Radzi Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu. “Saya difahamkan kedua-dua guru terbabit pernah berselisih faham sebelum berlaku kejadian ini. “Bagaimanapun ia dapat dikawal dan diselesaikan secara baik oleh pihak sekolah,” katanya.

Enjin Jet Hilang: Laporan PAC Banyak Kesangsian

SABAH DAILY


Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hanya menimbulkan lebih banyak kesangsian apabila mendakwa tidak ada pihak atasan Tentera Udara Diraja Malayia (TUDM) yang terbabit dalam kecurian dua enjin jet pejuang dua tahun lalu.

Pengerusi PAC Datuk Seri Azmi Khalid berkata pihaknya mencapai rumusan itu kerana tidak ada rekod TUDM digunakan untuk membawa keluar dua enjin berkenaan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail mempersoalkan hasil siasatan itu dan menyifatkan laporan itu sebagai longgar dan perlu diperjelaskan dengan lebih teliti.

“Buat masa ni yang mengatakan tidak ada pihak atasan terlibat ini adalah satu persoalan yang besar. Adakah ia dicuri ? Kalau dicuri, soal keselamatan mereka kita pertikaikan. Tapi kalu kata dikeluarkan, bukan dicuri, bagaimana benda sebesar ini memerlukan kelulusan dari penjawat bawahan saja,” kata Azan.

“PAC telah memberikan kita gambaran bahawa kaedah pengurusan pengendalian aset- aset kerajaan yang menuntut tahap keselamatan yang tinggi tidak diuruskan dengan baik setakat ini,” tambahnya lagi.

Azan berkata orang awam tidak akan menerima penjelasan bahawa dua enjin jet pejuang boleh dibawa keluar dari negara ini, tanpa keperluan dokumen dan prosedur ketat.

“Benda tu perlu diangkat keluar dan melalui satu prosedur yang ketat. Ia perlukan semakan ketua komanden DEPO dan banyak lagi prosedurnya. Tapi hilang juga,”katanya.

“Mungkin benda itu dirancang dengan melibatkan individu yang mempunyai tanggungjawab yang ketat,” hujahnya lagi.

Azan berkata hasil siasatan PAC perlu diperinci dan dibahas di Parlimen dan tidak boleh diterima secara bulat.

“Bila PAC kata tidak ada orang atasan yang terlibat, kita masih tidak boleh buat apa- apa tindakan sebab PAC hanya keluarkan kenyataan itu selepas bermesyuarat sesama mereka dan saya yakin perkara ini akan dibentangkan diparlimen bulan 3 ini,” katanya.

“Saya akan mula mengkaji isi kandungan laporan itu dari semua sudut, prosedur, pengauditan, siasatan pengurusan kita akan tengok,” katanya.

Sidang Parlimen dijangka kembali bersidang Mac ini.

Laporan Polis : Kerajaan Selangor Tidak Gusar

TV SELANGOR


Kerajaan negeri Selangor tidak gusar dengan tindakan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) membuat laporan polis kononnya Menteri Besar Selangor memburukkan kepimpinan badan itu.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tindakan pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom membuat laporan polis itu, jelas tidak mengambilkira keperluan YBK bertindak telus dalam urusannya.

Zainal, bekas ADUN UMNO untuk Batang Kali, membuat laporan di Ibupejabat Polis Shah Alam pagi tadi.

Beliau diiringi oleh beberapa pegawai YBK dan beberapa pihak lain yang membawa sepanduk mencaci Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid menegur YBK kerana gagal bersifat terbuka dalam keperluan memberikan hak kerajaan negeri bersuara dalam urusan badan itu.

Hak itu penting kerana kerajaan negeri adalah antara penyumbang terbesar hartanah YBK.

Antara lain, YBK telah diberikan tanah 1'300 ekar di Serendah namun badan itu gagal memanafaatnya untuk faedah rakyat miskin di Selangor.

Selepas membuat laporan polis ini, Zainal mengakui YBK hanya memberikan butiran perbelanjaannya kepada awam menerusi laman webnya.

"Misalnya disebutkan masalah ketelusan dalam pentadbiran sedangkan yayasan sudah 20 tahun melaksanakan tugas ini dalam laman web ada kita bentangkan," ujar Zainal.

Nik Nazmi yang juga setiausaha politik kepada menteri besar berkata kerajaan negeri bertanggungjawab menekan YBK bersikap telus dalam urustadbirnya.

"Apa yang kita dedahkan dikerajaan Selangor setakat ini adalah fakta- fakta yang ada dengan kita, jadi samaada dia nak buat laporan polis ke apa ke itu hak dia. Kita kena dedahkan kebenaran. Sebab orang kena tahu tentang apa kebenaran disebalik YBK," ujar Nik Nazmi.

Nik Nazmi berkata kerajaan negeri akan melakukan apa yang perlu untuk memastikan YBK bertindak secara telus dalam pengurusan demi membela kepentingan rakyat miskin Selangor.

"Kita sekarang, yang kita nak ceritakan adalah pengurusan YBK, jadi kita fikir kerajaan negeri Selangor yang sudah banyak memberi tanah dan sebagainya, kita ada hak untuk mengetahui pengurusan YBK, jadi samaada dia hantar atau tidak itu perkara lain," ujarnya lagi.

Beliau berkata keperluan untuk menteri besar memimpin badan itu bukan atas kepentingan parti.

"Yang kita mintak dari awal YBK, untuk menteri besar ambil alih selaku menteri besar bermakna menteri besar itu dari parti mana pun, mereka tetap mendapat tempat, itu sahaja yang kita pinta," katanya lagi.

"Kita sudah dari awal kita, kata kita boleh bantu mereka sekiranya mreka dapat bekerjsama, mereka sudah bersetuju diperingkat awal jadi kita pun memang tidak ada masalah kita memang nak bantu, kalau kita tak nak bantu tidak ada usaha pun kita berbincang dengan YBK, kita bincang dari awal mereka setuju untuk menteri besar menjadi pengerusi kepada YBK pada peringkat awal tapi kemudian mereka tidak bersetuju,"katanya lagi.

Insiden Kepala Babi: Anasir dari UMNO dan Polis terlibat?

oleh Syed Husin Ali



Banyak pihak mengkritik Naib Presiden KEADILAN Azmin Ali mendedahkan bahawa beberapa anggota UMNO terlibat dalam pembakaran sebuah gereja di Desa Melawati. Beliau akan mengumumkan nama mereka pada ketika yang sesuai. Mungkinkah kerana itu pihak Menteri Dalam Negeri dan polis tidak mahu memanggil beliau untuk siasatan?

Berikutan peristiwa kepala babi hutan diletakkan dekat masjid di Taman Datuk Harun dan Seri Sentosa pula didapati banyak perbualan mengenainya di kalangan orang ramai setempat. Sehubungan perbualan-perbualan di Taman Medan beberapa kesimpulan dapat dirumuskan, antaranya:

Pertama, kawasan di sekeliling masjid di Taman Medan itu didiami oleh orang Melayu dan tidak mungkin bagi seorang bukan Melayu yang dikenali atau tidak dikenali berani memasuki kawasan untuk membuat kerja buruk ini.

Kedua, kepala babi hutan itu dimasukkan dalam plastik dan diikat dengan tali, menunjukkan kemungkinan besar ia diletak dekat masjid oleh seorang atau lebih Muslim yang tidak mahu memegangnya kerana tahu ia dilarang dalam Islam.

Ketiga, ramai penduduk Taman Medan menganggap kerja ini mungkin dilakukan oleh beberapa orang extremis, termasuk ahli Umno, kerana mereka biasa dengan cara lama UMNO ini untuk mengapikan kemarahan kaum.

Keempat, Ketua Polis Negara Musa Hassan mengandaikan bahawa kepala babi itu mungkin dibeli dari restoran, dan ekoran dari andaian ini ramai penduduk mengesyaki ada anasir polis yang boleh jadi terlibat, kerana mereka saja - tidak orang biasa - yang boleh mendapatkan empat kepala babi hutan dari restoran sekaligus.

Saya menggesa pihak-pihak berkuasa menyiasat dengan segera dan teliti segala kesimpulan orang ramai ini sebelum ia merebak sebagai yang sebenarnya.


Bakar Gereja : Hishamuddin Jangan Masuk Campur - Polis Kena Panggil Azmin

BULETIN ONLINE


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang melarang Polis mengambil keterangan daripada naib presiden PKR Azmin Ali, yang sebelum ini mendakwa mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat dalam kes membakar dan mendalangi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle baru-baru ini.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau tidak boleh memberikan arahan sedemikian demi untuk melindungi ahli partinya. Setiap kali ada kes jenayah dilaporkan, Polis sering meminta bantuan orang ramai untuk mengumpul maklumat. Tetapi bila sudah ada orang yang mahu tampil memberikan maklumat dan bukti, kenapa perlu dihalang?

Walaupun beliau adalah Menteri yang bertanggungjawab, namun bila wujud kes yang melibatkan kepentingan parti dan ahli Umno, maka beliau wajar mengumumkan untuk tidak masuk campur dan menyerahkan urusan siasatan Kes berkenaan dibawah tanggungjawab Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sepenuhnya.

Dalam keadaan sebegini, rakyat jelas melihat bahawa beliau cuba untuk menafikan maklumat Azmin, dan cuba untuk menghalang bukti-bukti disalurkan kepada pihak Polis untuk mendakwa suspek.

Dalam Kes Teoh Beng Hock sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pantasnya dipanggil memberikan keterangan berikutan dakwaan beliau bahawa Beng Hock dibunuh.Tetapi kenapa bila Azmin berkata beliau mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat membakar gereja beliau tidak dipanggil memberikan keterangan.

PAS mendesak supaya Polis bersikap profesional dan tidak tunduk kepada arahan Menteri dan bersubahat menafikan maklumat dan keterangan rakyat. Jika perkara ini dibiarkan, tidak mustahil selepas ini, ahli-ahli Umno boleh melakukan apa sahaja jenayah dan tidak perlu disiasat walaupun ada rakyat yang mempunyai maklumat dan bukti.

PAS bertegas, agar Polis mengambil keterangan Azmin bagi mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak. Jika benar ahli Umno terlibat merancang perbuatan ini, maka PAS dan rakyat Malaysia melahirkan rasa sedih di atas perbuatan yang memalukan negara.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

E-Voting 'pilot test' kecenderungan pengundi muda PRU-13

Dzulfikar Mashoor


KUALA LUMPUR: Pro-Mahasiswa (Pro-M) mendakwa pengenalan sistem e-undi di Universiti hanya bertujuan membantu kerajaan membaca trend politik pengundi muda pada Pilihanraya Umum ke-13 kelak.

Menurut Pengerusi Pro-M Nasional, Mohd Shafie Hashim, strategi sedemikian dengan menjadikan Universiti sebagai ‘pillot test’ telah lama dilakukan oleh parti-parti pemerintah di negara maju.

“Ini baru kebarangkalian...Saya tidak mahu katakan pasti atau sebaliknya motif e-Undi ini sebenarnya untuk membantu Umno BN membaca trend pengundi muda,” jelasnya.

“Tetapi, parti-parti pemerintah di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sendiri sudah lama menggunakan cara ini, jelasnya.

Sekiranya kebarangkalian tersebut benar, beliau yang juga Pengerusi Pro-M Universiti Malaya (UM) memuji parti-parti pemerintah kerana mahir dalam memanfatkan teknologi tinggi.

“Kalau benar, kerajaan serta parti-parti pemerintah boleh dikata hebatlah sebab sudah pakai strategi berkapasiti tinggi yang lazim digunakan oleh negara-negara maju saja.”

“Ini baru kebarangkalian yang dikeluarkan oleh Unit Kajian Strategik (UKS) kita (Pro-M),” jelasnya.

Tambahnya lagi, penggunaan universiti untuk kepentingan parti-parti pemerintah sudah tentu memberi banyak kelebihan, berbanding pembangkang iaitu Pakatan Rakyat.

“Kerajaan dilihat terkehadapan jika benar menggunakan Universiti (sebagai ‘pillot test’), sedangkan parti-parti Pakatan Rakyat masih dilihat bekerja cara lama (iaitu) kenal pasti penyokong parti masing-masing, kemudiannya didaftarkan mereka sebagai pengundi baru untuk persiapan PRU13 kelak,” jelasnya.

Ditanya tentang kaedah membaca trend pengundian pengundi muda menggunakan e-undi, beliau menjelaskan bahawa data-data perolehan boleh disusun secara automatik mengikut demografi tertentu secara strategik.

“Secara relatif, data ini boleh disusun ikut demografi negeri, faham politik, latar belakang pendidikan dan tahap hidup selesa (sama ada) tinggal di kolej atau di luar (kampus).”

“Kalau keputusan e-undi menunjukkan (bahawa) majoriti mahasiswa (pengundi) peranakan atau bemastautin di Kedah umpamanya cenderung pada parti-parti yang memerintah negeri tersebut, maka ianyanya memberi isyarat (kepada kerajaan persekutuan) bahawa pengundi muda dalam PRU13 kelak mungkin lebih cenderung (pada) mengekalkan kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) yang sedia ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kesal kerana universiti yang sepatutnya bersifat autonomi akhirnya dijadikan perkakas politik oleh pihak-pihak tertentu.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Exco Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) turut mempersoal motif di sebalik pertemuan sulit antara ProA dan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustafa Mohammad yang dijangka akan diadakan pada malam ini.

“Malam ini, saya diberitahu (bahawa) akan ada suatu pertemuan tertutup (yang) melibatkan semua MPP Pro Aspirasi di kediaman peribadi Datuk Mustafa, di ibunegara,” jelasnya.

“TNC HEP (Profesor Madya Datuk Dr. Azarae Idris) dan semua staff universiti yang terbabit menjayakan sistem e-undi ini pun turut dijemput.”

“ Adakah pertemuan tersebut untuk menjelaskan (laporan) trend undi muda di Universiti seperti yang saya perkatakan ini?” soal beliau.

Semalam, keputusan Pilihan Raya Kampus UM menyaksikan Pro-A mendapat 21 kerusi manakala Pro-M mendapat 17 kerusi.

Biarpun Digantung Matlamat Saya Tercapai - Khalid Samad

BERNAMA


SHAH ALAM: Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini berkata beliau tidak kecewa walaupun digantung jawatan sebagai Yang DiPertua PAS Shah Alam dan Ahli Lujnah Politik Pas Pusat selama enam bulan berkuatkuasa semalam kerana matlamatnya telah tercapai.

"Ramai yang tidak sedar, tetapi pada hakikatnya matlamat minimum saya telah pun tercapai," katanya di dalam laman blog beliau www.khalidsamad.com hari ini.

"Tindakan Datuk PJ (Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali)selama ini yang saya tentang secara terbuka telah diisytihar SALAH dan beliau telah diberi amaran keras serta seterusnya dilarang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan menjejaskan pakatan pembangkang Selangor," kata Khalid.

Beliau berkata Dr Hasan tidak boleh lagi memberikan gambaran bahawa tindakan beliau direstui oleh pemimpin tertinggi.

Semalam, Jawankuasa Disiplin PAS Pusat yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapati kedua-duanya bersalah dan Dr Hasan turut dikenakan amaran bertulis.

Khalid mengakui walaupun jawatannya digantung tetapi itu tidak sepenting tindakan terhadap Dr Hasan yang telah diberi kata dua berhubung sikap dan tindakannya selama ini.

Beliau berkata hukuman gantung jawatan yang dikenakan ke atasnya disebabkan cara beliau menegur Dr Hasan yang dianggap memudaratkan PAS.

"Mungkin betul, mungkin tidak. Namun saya telah lama berusaha sebelum itu, secara dalaman, secara surat kepada pihak atasan tetapi semuanya tidak berhasil.

"Budaya wala' (taat kepada pemerintah) terlalu menebal. Menghampiri ketaatan membuta tuli," kata Khalid.

Khalid berkata akhirnya beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali menghadapi perbalahan secara terbuka.

"Memang mengikut budaya Malaysia, apabila melawan 'tauke' kuli yang akan kena.

"Ikut macam mana pun pasti akan kena. Tetapi kali ini 'tauke' pun kena juga. Walaupun hanya sedikit tetapi pada saya sudah mencukupi," kata beliau.

Beliau berkata jika Dr Hasan terus dengan cara lamanya, beliau sendiri akan melaporkan perkara itu kepada Jawatan Kuasa Disiplin PAS.

Katanya beliau juga tidak merasa kecewa di atas penggantungannya itu memandangkan keputusan sudah dibuat tetapi belum memutuskan untuk membuat rayuan.

'Badan bebas siasat ahli politik'

Oleh Ridzuan Yop, Norfatimah Ahmad dan Nazura Ngah


KUALA LUMPUR: Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan rasuah perlu mewujudkan sebuah badan bebas untuk memantau dan menyiasat aduan membabitkan ahli politik termasuk yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

Presiden Transparency International (TI) Malaysia, Datuk Paul Low pula menganggap tindakan telus itu akan lebih meyakinkan orang ramai terhadap kerajaan, begitu juga dengan pemantauan terhadap proses tender terbuka untuk pelbagai projek kerajaan.

Beliau berkata, walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada, badan yang tidak terikat dengan kerajaan dapat memberi kesan jangka panjang terhadap usaha untuk membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Sementara itu, Low yang di petik Bernama memuji langkah Kerajaan Pusat kerana mengiktiraf persepsi yang semakin bertambah buruk berhubung kos rasuah kepada negara ini sehingga mencapai RM10 bilion setahun dan di atas pelancaran NKRA bagi membanteras rasuah.

Beliau berkata, berkata adalah sesuatu yang menggalakkan bahawa ukuran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang mencapai standard bebas antarabangsa bagi penanda aras, Petunjuk Persepsi Rasuah TI dan Barometer Rasuah Global, telah diterima pakai.

"Terdapat banyak cadangan yang menggalakkan, seperti menangani rasuah kecil di agensi penguatkuasaan dan rasuah besar di kalangan ahli politik dan pegawai kanan perkhidmatan awam, perlindungan kepada pemberi maklumat dan mengurangkan kebocoran dalam pemerolehan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau mencadangkan supaya langkah tambahan diambil termasuk mengukuhkan SPRM dan institusi lain yang melindungi integriti dan keadilan bagi memastikan mereka bertindak tanpa rasa takut atau berpihak.

Mengulas mengenai NKRA Jenayah, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan supaya taman atau kawasan perumahan mengambil inisiatif sendiri untuk mewujudkan 'Bandar Selamat' atau 'Kejiranan Selamat'.

Beliau berkata, Persatuan Penduduk (RA) juga wajar merangka NKRA Jenayah masing-masing bagi merapatkan hubungan dalam komuniti dengan pihak polis bagi menangani jenayah.

"Langkah ini sebagai rangka kongsi antara RA dan polis di taman atau kawasan perumahan, selain mewujudkan integrasi antara kaum sejajar gagasan 1Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Saman dihantar 48 jam

BERNAMA


PUTRAJAYA: Mulai Ogos ini, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan trafik terutama memandu laju dan melanggar lampu isyarat menerima saman dihantar terus ke alamat mereka dalam tempoh 48 jam selepas kesalahan itu dikesan.

Tindakan itu dilaksana bila penggunaan Kamera Pengesan Saman Secara Automatik (AES) dikuatkuasakan, yang membolehkan gambar wajah pemandu dan plat nombor kenderaan mereka dirakam terus melalui teknologi radar kamera itu.

Maklumat dirakam itu dihantar terus ke pusat kawalan memproses bagi penghantaran saman kepada pesalah, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Suret Singh.

“Melalui penguatkuasaan ini, pesalah jalan raya tidak dapat menafikan kesalahan dilakukan kerana gambar dan nombor kenderaan mereka tertera dalam saman akan dihantar.

“Saya memberi amaran kepada pengguna jalan raya, agar menukar amalan pemanduan mereka dari sekarang dan jangan menunggu sehingga Ogos apabila penguatkuasaan mula dijalankan,” katanya kepada Bernama dalam temubual ekslusif di pejabatanya, di sini semalam.

Suret berkata, projek AES digunapakai di kebanyakan negara maju termasuk Singapura mampu mendidik masyarakat untuk menjadikan mereka lebih berhati-hati dan mengikut peraturan jalan raya.

Beliau berkata, projek perintis AES dijalankan di beberapa lokasi terpilih pada Mei ini bagi mengenalpasti kelemahan dan untuk melatih anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengendali 1,000 kamera yang dipasang di seluruh negara.

“Ia membabitkan 70 peratus kamera statik manakala 30 peratus kamera bergerak yang membuat penguatkuasaan beberapa di lokasi terpilih yang tidak diketahui pengguna jalan raya.

Kamera AES dipasang di lokasi berisiko tinggi berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Kemalangan Jalan Raya Malaysia (Miros), antaranya di 265 kawasan lampu isyarat dan 556 kawasan kemalangan disebabkan kenderaan dipandu laju, katanya.

Beliau berkata, satu perjanjian akan ditandatangani antara JPJ dan dua syarikat pembekal kamera itu dalam masa terdekat ini.

AES adalah sebahagian daripada pendekatan penguatkuasaan elektronik yang diperkenalkan untuk mencapai sasaran nisbah hanya dua kematian daripada 10,000 kenderaan menjelang 2010.

Selain berfungsi sebagai perangkap kelajuan, Suret berkata AES juga boleh digunakan bagi mengatasi masalah jenayah yang berlaku di sepanjang jaringan jalan raya di seluruh negara dan memudahkan kaedah memantau keadaan lalu lintas.

Bomoh nombor ekor minta janda

Oleh Johari Ibrahim


SEPANG: Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membongkar kegiatan seorang bomoh nombor ekor yang melakukan upacara dengan menggunakan wanita, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kelanang, Kuala Langat, dekat sini, malam kelmarin.

Difahamkan, serbuan itu dilancarkan selepas Jais menerima maklumat awam mengenai kegiatan seorang lelaki yang memberi perkhidmatan menurun nombor ekor dengan upacara pelik, termasuk memerlukan pelanggan membawa seorang janda sebagai syarat upacara.

Serbuan itu membabitkan 22 anggota penguat kuasa Jais, masing-masing sembilan dan tujuh anggota polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, berkata dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, penguat kuasa Jais menahan bomoh terbabit, berusia dalam lingkungan 50-an yang ketika itu berada bersama seorang wanita lingkungan 40-an dalam sebuah bilik di rumah itu, dipercayai sedang menjalankan upacara.

Selain wanita dan bomoh itu, Jais turut menahan dua lelaki lain, masing-masing berusia 40-an dan 72 tahun serta dua wanita lingkungan umur 40-an kerana bersubahat. Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jais di Shah Alam untuk diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan Jais manakala bomoh itu disiasat mengikut Seksyen 4, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 9/95 kerana melakukan pemujaan salah.

Shahrom berkata, lebih 10 lagi pelanggan yang menunggu giliran di luar rumah juga diambil butir peribadi dan diberikan notis supaya hadir di Ibu Pejabat Jais bagi membantu siasatan.

“Kebanyakan pelanggan beragama Islam mendakwa pergi ke situ untuk berubat manakala yang bukan Islam mengakui untuk mendapatkan nombor ekor,” katanya.

Shahrom berkata, Jais juga merampas pelbagai barang termasuk puluhan minyak atar, sejumlah sejadah, beberapa bilah keris dan pedang lama yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemujaan.

Semakin ramai takut naik bas

Oleh AZRAI MOHAMMAD


KUALA LUMPUR – Tabiat sebahagian pemandu bas ekspres yang suka memandu seperti ‘pelesit’ sehingga mencecah kelajuan 170 kilometer sejam (km/j) sedikit sebanyak telah menjejaskan industri pengangkutan awam.

Ibarat “kerana nila setitik rosak susu sebelanga”, sesetengah pemandu bas ekspres merasakan mereka dihukum oleh masyarakat disebabkan kesalahan sebahagian pemandu yang tidak berdisiplin.

Begitu luahan rata-rata pemandu bas ekspres yang ditemui wartawan Unit Khas Utusan Malaysia ketika melakukan tinjauan di Hentian Duta di sini baru-baru ini.

Tinjauan itu susulan laporan penyiasatan muka depan Utusan Malaysia Isnin lalu bertajuk ‘Jerat maut’ mengenai pemandu-pemandu bas ekspres ‘pelesit’ iaitu memandu terlalu laju dan berbahaya.

Siasatan susulan Unit Khas Utusan Malaysia selepas penyiaran laporan khas itu sehari kemudian mendapati pemandu-pemandu ‘pelesit’ terbabit tidak gentar atau takut sebaliknya memandu lebih laju.

Dalam siasatan bersama-sama penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dua malam kemudian, menemui seorang pemandu bas yang memandu sepantas 170 km/j, seperti kelajuan dalam perlumbaan Formula One.

Pemandu bas ekspres, Johari Raman, 50, berkata, segelintir pemandu yang tidak berdisiplin ini telah merosakkan imej pemandu dan syarikat lain.

“Mereka menyebabkan penumpang takut menaiki bas ekspres. Apabila penumpang kurang maka ia menjejaskan pendapatan kami kerana elaun perjalanan yang kurang,” katanya yang mempunyai pengalaman 20 tahun memandu bas.

Jelasnya, bagi mengatasi masalah pemandu tidak berdisiplin, majikannya menghantar pemandu-pemandu berkursus bagi memahami teknik pemanduan selamat dan pengendalian bas.

Di samping itu, kata Johari, pemandu juga disediakan buku panduan pemanduan dan kad perjalanan bagi memastikan sentiasa peka dengan disiplin pada setiap perjalanan.

Seorang lagi pemandu, Baharom Abdul Rahman, 48, berkata, pengusaha sentiasa mengingatkan agar berhati-hati kerana sebarang kesilapan mengakibatkan nyawa melayang malah menutup ‘periuk nasi’ pemandu lain jika syarikat didenda.

“Pemandu harus sentiasa memikirkan tanggungjawab mereka kepada keluarga dan juga penumpang kerana ini adalah punca rezeki.

“Malah pemandu perlu sentiasa cergas supaya tidak leka, saya mengamalkan makan makanan ringan untuk menghilang mengantuk ketika memandu,” katanya yang memandu bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

Elias Ariffin, 35, pula berkata, orang ramai harus berterima kasih atas jasa yang dicurahkan oleh pemandu bas ekspres.

“Jangan ketika ada kemalangan sahaja kami dipersalahkan, tapi ketika ribuan penumpang yang sampai ke kampung halaman dengan selamat kami langsung tidak diendahkan.

“Bagi yang tidak pernah memandu bas, mereka boleh kata macam-macam, hakikatnya tugas kami amat besar tanggungjawabnya dan amat memenatkan,” katanya.