HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Oktober 2021

Gah konon tolak Bersatu, ahli Umno hidup-hidup kena tipu

Sembang kari dan gebang lebih saja Umno selama ini rupanya. Konon tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dan sedia berlawan dengan parti itu dalam PRN Melaka, hakikatnya semua itu hanya tipu dan propa saja.

Realiti yang tersembunyi, Umno sebenarnya penakut dan kecut perut untuk bertanding solo dalam pilihan raya tersebut.

Kalau dengar sembang pemimpin Umno, khususnya Zahid Hamidi bukan main lagi konon beraninya mereka – mahu bertanding sololah, sedia lawan tiga penjurulah, yakin boleh menanglah, tak mahu bersama dengan Bersatulah, akur ketetapan PAUlah dan macam-macam lagi gebang gajah terbang, tapi semua itu tidak lebih suatu penipuan belaka.

Kalau tidak takut untuk bertanding solo dan bukan menipu namanya, untuk apa MT Umno membuat keputusan memberi mandat kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri untuk mencari jalan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru dalam PRN Melaka?

Dalam pengakuannya yang mustahil beliau berbohong, Ismail Sabri berkata, MT Umno telah memberi mandat kepadanya selaku Perdana Menteri untuk berunding, termasuk berbincang dengan parti dalam kerajaan agar tidak berlaku pertembungan tiga penjuru dalam PRN Melaka.

Ismail yang juga Naib Presiden Umno berkata, Umno dan BN akan berusaha untuk mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan Bersatu.

Katanya lagi, beliau sedang menjalankan rundingan dengan Pas dan Bersatu bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya dapat dielakkan, serta bagi menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka, selaras mandat yang diberi MT itu.

“Keputusan Umno adalah kita berhasrat mengelakkan pertembungan dengan mana-mana parti dalam kerajaan, terutama tiga penjuru.

“MT Umno memberi mandat kepada saya untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi mengelak pertembungan,” demikian katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian.

Dalam hal ini, adakah ahli Umno tahu mengenai keputusan MT yang memberi mandat kepada Ismail Sabri untuk berunding dengan Pas dan Bersatu itu?

Kenapa dalam kenyataan media selepas mesyuarat MT minggu lalu hanya dilaporkan tentang hasrat Umno untuk meneruskan kerjasama dengan Pas saja dan langsung tidak disebut tentang hubungan dengan Bersatu?

Mengapa Umno tidak berterus-terang tentang mandat yang diberi kepada Perdana Menteri untuk mengadakan rundingan mengelakkan pertandingan tiga penjuru, termasuk dengan Bersatu itu?

Apa yang berlaku sekarang, Zahid Hamidi sudah berada di Jerman untuk menerima rawatan sakit belakang sehinggalah PRN Melaka berakhir, Najib Razak sedang sibuk berkempen untuk mencari kemenangan, tetapi Ismail Sabri dalam masa yang sama sedang mengadakan rundingan perdamaian dengan Bersatu.

Lakonan apakah semua ini?

Kepada ahli bawahan turut didendangkan dengan gegak gempita laungan Umno tetap mahu berlawan dengan Bersatu, namun diam-diam Perdana Menteri diberi mandat berunding yang mana ia diputuskan oleh mesyuarat MT Umno yang dipengerusikan oleh Zahid Hamidi sendiri.

Drama hipokrasi apa sedang mereka pentaskan ini?

Apa pun, lakonan dan hipokrasi ini menjadikan 3.4 juta ahli Umno hidup-hidup kena tipu oleh pemimpin mereka sendiri.

BN nafi beri kata putus pada PAS

MALAYSIA POST

BN nafi beri kata putus pada PAS

BARISAN Nasional (BN) menafikan mengeluarkan kenyataan memberi kata putus kepada PAS supaya hanya menggunakan logo atau bendera parti itu ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau Muafakat Nasional (MN) dibubarkan.

Perkara tersebut dimaklumkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memuat naik di laman Facebook kenyataan daripada BN Command Centre.

Menurut kenyataan itu, BN meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan agenda pihak tertentu menjelang PRN Melaka pada 20 November ini.

“Ahli BN dan pihak awam dinasihati agar tidak terpengaruh dengan agenda jahat pihak tertentu dalam memburukkan imej BN menjelang PRN Melaka yang semakin hampir.

“Command Centre turut menasihati agar orang ramai sentiasa rujuk kepada laman-laman rasmi media sosial seperti Barisan Nasional, BN Comms dan Umno Online bagi sebarang berita informasi serta maklumat yang sahih,” katanya. – Malaysiapost

PRN Melaka: PKR dikompaun RM10,000, Shamsul desak Khairy jelaskan perihal larangan

Fareez Azman
PRN Melaka: PKR dikompaun RM10,000, Shamsul desak Khairy jelaskan perihal larangan
"Mungkin mereka tak fahami dengan jelas atau mungkin mereka anggap ini satu arahan boleh dipukul rata," kata Shamsul Iskandar. - Gambar fail
 
AYER KEROH: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan perincian larangan perhimpunan sosial berkaitan pilihan raya di Negeri Melaka.
 
Tegasnya, meskipun parti itu menggunakan pendekatan ceramah secara mobil dengan lori dan alat siar raya sejak malam Sabtu, parti itu tetap dikenakan kompaun RM10,000 oleh pihak polis kerana didakwa ingkar prosedur operasi standard (SOP).
 
"Pendekatan seperti ini tidak ada pertemuan atau perkumpulan yang mungkin dibimbangi wujud kluster dan sebagainya.
 
"Program itu tidak boleh kita takrif majlis sosial, ia program hit and run. Jadi saya kesal sewaktu kami menganjurkan program itu di Taman Krubong Jaya, pasukan polis telah keluarkan kompaun yang mengatakan kesalahan kami ingkar SOP kerana mengadakan kempen pilihan raya," jelasnya.
 
Soal Shamsul, pendekatan yang kreatif telah diguna pakai untuk memastikan tiada penyebaran COVID-19 berlaku, namun masih dikenakan kompaun.
 
"Ini perkara amat dikesali, buat pertama kali Keadilan cuba jadi parti kreatif untuk gunakan pendekatan lebih teliti supaya tidak berlaku kontak fizikal dan sebagainya.
 
"Tetapi polis masih lagi ingin mengeluarkan kompaun atas kesalahan kononnya mengadakan kempen pilihan raya.
 
"Kita nak tegaskan kami diberikan kompaun RM10,000 bagi saya amat tidak munasabah kerana tidak ada kontak fizikal, hanya program mobil bergerak," kata Ketua Penerangan PKR itu lagi.
 
Justeru, beliau mendesak agar Menteri Kesihatan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneliti larangan yang dikenakan itu.
 
Tambahnya, ia bagi memastikan demokrasi di negara ini tidak diperolok-olokkan.
 
"Ini perkara yang amat saya dikesali, saya desak Menteri Kesihatan meneliti dengan lebih tepat apa perinciannya dalam konteks tidak boleh mengadakan majlis sosial dalam tempoh pilihan raya.
 
"Saya akan tulis surat kepada Menteri Kesihatan, saya ingin tegaskan Menteri Dalam Negeri supaya dapat jelaskan kepada anggota di bawah.
 
"Mungkin mereka tak fahami dengan jelas atau mungkin mereka anggap ini satu arahan boleh dipukul rata," katanya lagi.
 
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata demikian dalam sidang media secara dalam talian pada Ahad.

Amanah yakin menang sembilan kerusi di PRN Melaka

2e94ae1f79ca95f0a1c63929054d3516617cf45288b8f-e1635581947437
Asmuni Awi

IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) yakin dapat memenangi sembilan kerusi yang akan ditandingi parti itu menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

Pengarah Pilihan Raya Amanah Nasional Datuk Asmuni Awi berkata keyakinan itu berdasarkan hasil kajian rambang di peringkat akar umbi yang mendapati kebanyakan pengundi di negeri itu masih menyokong PH.

“Peluang untuk menang kesemua kerusi dalam PRN Melaka adalah cerah dan bagus dengan isu-isu tempatan yang ada dan kita pun boleh bergerak mendekati pengundi semasa berkempen mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan

“Bagaimanapun, kita (PH) tidak sekali-kali memandang rendah kekuatan pihak lawan walaupun berlakunya perpecahan (politik) dalam kalangan mereka tetapi kita perlu menghormati kekuatan mereka kerana kadang-kadang kelemahan yang ada itu dapat diatasi melalui pengalaman yang ada,” katanya.

Asmuni yang juga Pengerusi Amanah Perak berkata demikian pada sidang media sempena Konvensyen Negeri Perak 2021 Amanah kali ke-6 yang dirasmikan Naib Presiden Amanah Nasional Dr Siti Mariah Mahmud di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gabungan berkenaan telah selesai mengagihkan kerusi ditandingi komponennya daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 11 kerusi, Amanah dengan sembilan kerusi dan DAP lapan kerusi.

Pada PRU14, Amanah menang dua kerusi DUN iaitu Durian Tunggal dan Bukit Katil daripada enam kerusi yang ditandingi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka, 8 Nov hari penamaan calon dan 16 Nov tarikh undi awal.- BERNAMA

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT       

Majlis Syura Ulamak Pas tentukan calon PRN Melaka malam ini

PAS-2
Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Kamarudin Sidek

KUALA LUMPUR – Majlis Syura Ulamak Pas Melaka akan bermesyuarat malam ini bagi menentukan calon yang disenarai pendek untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Datuk Kamarudin Sidek berkata, senarai calon itu telah dihantar ke Majlis Syura Ulamak pada semalam dan mesyuarat mengenai perkara itu dijadual berlangsung malam ini.

“Kita serahkan malam ini (malam tadi), pasal besok (hari ini) Majlis Syura akan bermesyuarat, mereka mahu senarai nama dahulu untuk dipilih di peringkat pusat, di peringkat negeri kita sudah sediakan.

“Setakat ini, pada peringkat awal kita hantar untuk 14 Dewan Undangan Negeri (DUN), itu secara rambanglah. Nanti apa hasil perbincangan pusat, kalau PAS dapat (bertanding) empat atau lima kerusi, jadi kerusi-kerusi tertentu sahajalah.

“Satu DUN kita hantar ramai, paling kurang dia hendak dua orang nama, ada DUN yang kita hantar tiga nama untuk diberi pilihan kepada pusat,” katanya seperti dilapor laman portal Harakah Daily.

Menurut Kamaruddin lagi, sebahagian calon yang dihantar terdiri daripada golongan yang mempunyai latar belakang profesional dan berpengalaman dalam mentadbir sesebuah agensi.

Selain itu katanya, terdapat juga calon dalam kalangan ulama yang berketerampilan menguruskan dana pentadbiran. – MalaysiaGazette

PRN Melaka: Pas guna logo Pas, tak payahlah guna logo PN

KUALA LUMPUR – Pas wajar menggunakan lambang parti sendiri daripada berkongsi lambang dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Malah, UMNO juga tepat untuk menggunakan logo Barisan Nasional (BN) untuk pertandingan pada PRN berkenaan.

Pandangan itu dilontarkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menerusi hantaran di Facebook.

“Memang tepat UMNO guna logo BN. Pas guna logo Pas di PRN Melaka. Tak payahlah Pas guna logo PN,” tulis beliau di laman sosial itu.

Sebelum ini, kecoh di Melaka apabila Pas bersama PN membuat keputusan untuk menggunakan logo PN dalam PRN di negeri itu.

Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki berkata, kuasa untuk memutuskan logo mana yang perlu digunakan hendaklah diputuskan oleh Pas sendiri menerusi Majlis Syura Ulama PAS.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan, agar BN dan PN menggunakan logo Pas pada PRN Melaka kerana kedua-dua parti itu mahu bersama parti itu. – MalaysiaGazette

PRN Melaka: Srikandi hantar enam calon

MGF31102021_RINA-HARUN-HADIR-KE-PUSAT-PENJAJA-PUCHONG-0112
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bercakap pada sidang media Program Pusat Sokongan Sosial Setempat di pusat Penjaja Taman Putra Perdana, Puchong. Foto AMIRUL SHAUFIQ

PUCHONG – Sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyenarai pendek enam calon bagi diketengahkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 8 November depan.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, senarai itu telah dihantar ke Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.

“Belum ada pengumuman tapi Srikandi telah hantar enam nama dan kami berharap mereka diberikan peluang untuk menjadi calon.

“Semua muka baharu sebab di Melaka tidak ada ADUN Srikandi,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) bergerak di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, hari ini.

Sebelum ini, PN menerusi Muhyiddin berkata, gabungan itu akan meletakkan calon di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Ini kerana rundingan dengan UMNO-Barisan Nasioanal (BN) gagal mencapai kata sepakat.

Ditanya mengenai jumlah calon wanita bagi PN, Rina berkata, perkara itu telah diserahkan kepada Muhyiddin nanum jumlahnya masih belum diputuskan.

“Kita juga ada hantar nama-nama daripada PN dan kita harap akan dapat sokongan daripada PN supaya ramai lagi wakil rakyat wanita diberikan peluang dan saya yakin mereka akan dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Jumlah itu belum ditentukan, ada beberapa lagi yang menuntut kerusi di antara parti dan ia masih lagi dalam proses,” jelas Ahli Parlimen Titiwangsa itu lagi.

Untuk rekod, pembahagian kerusi PN bagi PRN Melaka masih belum dimuktamadkan dan bergantung kepada hasil rundingan dilakukan sebelum hari penamaan calon pada 8 November.

Rabu lalu, Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, parti itu diberikan lima kerusi DUN di PRN itu kali ini. – MalaysiaGazette

Muafakat bukan sekadar rebut kerusi pilihan raya – Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man

PAS hari ini mengingatkan parti-parti Melayu bahawa cabaran sedang dihadapi sangat besar sehingga parti itu yang mempunyai pengalaman panjang sanggup mengadakan pelbagai kompromi demi muafakat.

Berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-62 di Port Dickson, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, perkara itu menunjukkan jiwa besar parti tersebut.

‘’ Antaranya (Pas) pernah memberi kerusi Kuala Terengganu kepada Parti Negara ditandingi Dato’ Onn Jaafar dan bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah semasa menubuhkan Semangat 46,’’ katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, perpaduan yang digagaskan Pas dengan menyatu dan mengukuhkan antara parti-parti politik bukan tanda kelemahan parti untuk bergantung kepada orang lain, tetapi kerana muafakat adalah tuntutan Allah SWT.

Katanya,  ia bermakna perpaduan adalah tuntutan prinsip Islam, sekali gus mengingatkan parti rakan untuk tidak melakukan tindakan yang bertentangan dengannya.

Sambil merujuk tindakan parti rakan Pas yang mengumumkan untuk bertanding melawan parti itu pada PRU15 nanti, Tuan Ibrahim mengingatkan  muafakat dijalin bukan untuk kerusi pilihan raya sahaja, tetapi agenda lebih besar daripada itu.

“Agenda besar kita ialah bagaimana untuk menyelamatkan negara kita dan dunia daripada kemurkaan Allah SWT.Maka kerana itu Allah letakkan asas al I’tisom billah sebagai syarat penyatuan itu ialah bergantung teguh dengan tali Allah SWT.

“Baru datang ayat wala tafarraqu. Ayat wala tafarraqu datang kedua setelah al I’tisom billah. Maka kerana itu jangan kita terpengaruh dengan agenda yang sengaja setengah-setengah orang mengambil ayat wala tafarraqu saja, jangan berpecah. Tapi penggabungan atau prinsip apa atau dasar apa tidak diletakkan sebagai gagasan,” katanya.

Beliau dalam ucapannya itu turut menyeru pada Pemuda PAS untuk menangani sentimen-sentimen anak muda termasuk sikap anti-establishment yang membimbangkan serta menimbulkan kesenjangan di sebalik cabaran semasa.

“Pertama, sentimen untuk tidak jadi ahli parti. Yang kedua, tak mahu ada ikatan dengan dasar yang diperjuangkan oleh mana-mana parti politik. Yang ketiga sikap 28 peratus anak muda di Universiti sudah bosan dengan politik,” ujarnya.

Beliau turut menyebut beberapa perubahan yang terhasil dari desakan dan tuntutan kehidupan dunia baik di negara ini mahupun bersifat global termasuk isu-isu semakin kompleks zaman ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, James Masing meninggal dunia

Tan Sri Dr James Masing, 72, meninggal dunia pagi ini di sebuah hospital swasta di Kuching.

TIMBALAN Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing meninggal dunia pagi ini.

James, 72, meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching kira-kira pukul 7.05 pagi.

Berita kematian tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Janang Bungsu ketika dihubungi BERNAMA hari ini.

James meninggalkan seorang isteri Puan Sri Corrine Masing dan dua orang anak.

Presiden PRS itu pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada September lalu akibat COVID-19.

James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh sejak 1983 itu kemudian dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Mendiang memulakan kerjaya politik bersama Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) yang sudah terbubar sekarang sebelum bersama-sama beberapa pemimpin lain untuk menubuhkan PRS pada 2004.

Baca artikel berkaitan:

James menyertai Kabinet negeri sebagai Menteri Pelancongan pada 1996 dan seterusnya memegang tiga portfolio lain selepas berjaya mempertahankan kerusi DUN Baleh selama lapan penggal berturut-turut, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Sarawak pada 23 Jan 2017.

Sementara itu, pemimpin di peringkat negeri dan Persekutuan turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Antara terawal Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang menyifatkan pemergian mendiang satu kehilangan besar buat Sarawak.

PRN Melaka: PAS jangan rasa kuat ‘mandi 2 kolam’, kata veteran Umno

Cadangan barisan parti memerintah menggunakan lambang PAS hanya lontaran 
idea yang tidak boleh diterima kerana tiada asas, menurut veteran Umno.

PETALING JAYA: PAS perlu sedar kekuatannya sebelum mencadangkan penggunaan lambang “bulan” mewakili semua parti dalam kerajaan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi Veteran Umno Othman Desa.

Berdasarkan sejarah, Othman berkata parti itu tidak pernah menawan pilihan raya umum dan hanya menjadi kerajaan selepas membentuk kerjasama politik dengan Bersatu dan Umno pada tahun lalu.

Malah katanya, dalam konteks di Melaka, PAS juga tidak mempunyai sebarang kerusi.

“PAS jangan rasa dia terlalu kuat, orang semua nak dia, kena pakai logo dia. Saya rasa itu bukan cadangan tetapi hanya lontaran idea yang tidak boleh diterima kerana tiada asas,” katanya kepada FMT.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan barisan parti pemerintah menggunakan lambang PAS pada PRN Melaka nanti, memandangkan dua parti yang berbalah, Umno dan Bersatu, masing-masing mahu bersama parti Islam itu.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air mencadangkan perkara itu pada satu mesyuarat khas pemimpin tiga parti kelmarin.

“Malam tadi (Jumaat) kita adakan mesyuarat dengan tiga parti, PAS-Umno-Bersatu. Nampaknya PAS dikehendaki oleh semua parti – Umno buat keputusan dia setuju bersama dengan PAS dan pada waktu sama Bersatu pun nak bersama kita.

“Lalu saya cadangkan guna saja lambang PAS,” katanya ketika merasmikan Muktamar Pemuda PAS Malaysia ke-62 di Port Dickson, Negeri Sembilan semalam.

Mengulas lanjut, Othman berkata, tawaran kerjasama Umno bersama PAS bukan hanya fokus kepada lambang semata-mata tetapi keikhlasan dan kejujuran “sahabat politik” yang mahu diterjemahkan dalam PRN Melaka.

Katanya, Umno secara ikhlas menawarkan kerjasama menerusi semangat yang terbina di bawah Muafakat Nasional, namun bebas menggunakan logo masing-masing dan ia berbeza jika PAS bekerjasama dengan Bersatu, yang mana PAS perlu akur menggunakan logo Perikatan Nasional.

“Bagaimana dengan keikhlasan PAS untuk terima tawaran Umno. PAS kena buat pendirian, bukan cerita mandi dua kolam sana nak sini nak, bukan macam tu.

“Kita bukan cakap pasal logo, kita bincang pasal sikap. Bila Umno tawar kerjasama dengan PAS dalam PRN Melaka, tajuk dia pasal kerjasama, bukan logo,” katanya.

Beliau turut mengakui pengundi di Melaka mahu melihat PAS berkongsi pentas bersama Umno dalam pilihan raya negeri itu.

“Veteran Umno amat gembira sekiranya PAS dapat bekerjasama dengan Umno dalam PRN Melaka, kerana ini adalah kehendak dan semangat MN (Muafakat Nasional) yang rata-rata pengundi nak.

“Jika PAS kerjasama dengan Barisan Nasional, Insyaallah kita akan bentuk satu kerajaan negeri yang mantap dan pengundi Melaka pasti akan gembira. Paling utama, semangat MN perlu diterjemahkan dalam PRN Melaka,” tegasnya.

PAS adalah parti komponen Perikatan Nasional bersama Bersatu, Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Jangan ‘longgok’ 3 ADUN Melaka dengan kumpulan ‘Langkah Sheraton’, kata Anwar

Anwar Ibrahim berkata beliau kurang bersetuju ramai ‘longgok’ tiga ADUN 
Melaka sebagai satu kumpulan sama dengan Langkah Sheraton yang 
mengkhianati amanah rakyat.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengakui sukar untuk menolak tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang terbabit menggulingkan kerajaan pimpinan Sulaiman Md Ali.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, ini kerana trio ADUN Umno dan Bersatu itu mengambil pendirian untuk menyokong dan mengembalikan mandat kepada Pakatan Harapan, berbeza dengan kumpulan yang terbabit dalam Langkah Sheraton yang mengkhianati amanah rakyat.

“Satu dah (selesai)… tinggal tiga, kita masih dalam peringkat akhir sebab kita kena jelaskan juga kedudukan ini.

“Sekarang kita ada masalah untuk menolak begitu saja seperti diharapkan sesetengah dalam media sosial. Dia sokong untuk kembalikan mandat kita.

“Tetapi saya kurang bersetuju orang longgok mereka sebagai satu kumpulan sama dengan Langkah Sheraton umpamanya yang mengkhianati amanah rakyat, ini mereka nak kembalikan amanah kepada PH. Itu pertimbangan kita,” katanya kepada media selepas penyerahan sumbangan bakul makanan sempena Deepavali di DUN Chuah, Negeri Sembilan.

Tiga ADUN berkenaan dipercayai bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron (BN-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Sementara nasib bekas ADUN DAP Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) sudah dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PH pada 21 Okt lalu yang memutuskan untuk tidak meletakkan beliau sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, kedudukan tiga ADUN berkenaan sedang dibincangkan bersama pimpinan di Melaka dan pimpinan PH pusat sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Persefahaman mereka untuk bersama (PH) dan kemudian mereka ambil keputusan (tarik sokongan) dia dah jangka dia akan dipecat oleh partinya dalam kes ini Umno atau Bersatu.

“Oleh demikian kita nak ketepikan begitu saja tak boleh. Jadi saya terpaksa bincang bersama pimpinan di Melaka kemudian pimpinan PH untuk ambil kira hal ini sebelum kita ambil keputusan,” katanya.

Sumbangan politik ‘RM2 juta’ masuk poket Ku Nan, kata hakim dalam penghakiman bertentangan

Dakwaan Tengku Adnan yang mengatakan wang terbabit diberikan sebagai 
sumbangan politik dan bukan kepada dirinya juga adalah tidak benar, menurut 
Hakim Mahkamah Rayuan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi membuat keputusan tepat dalam perbicaraan kes rasuah Tengku Adnan Mansor bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mengambil wang RM2 juta untuk dirinya sendiri kerana tiada bukti menunjukkan sama ada beliau atau syarikatnya menyalurkan wang diterima daripada seorang ahli perniagaan itu kepada Umno sebagai sumbangan politik.

Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais berkata dakwaan Tengku Adnan atau Ku Nan yang mengatakan wang terbabit diberikan sebagai sumbangan politik dan bukan kepada dirinya juga adalah tidak benar.

Hakim itu berkata ini kerana ia tidak pernah dibuktikan menerusi sebarang rekod yang menunjukkan Umno diberikan wang terbabit.

Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd Chai Kin Kong menghantar sendiri cek itu secara peribadi kepada Ku Nan, beberapa hari sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Wang itu kemudiannya didepositkan ke dalam akaun bank Tadmansori Holdings Sdn Bhd milik Ku Nan.

“Tidak ada rekod menunjukkan Tadmansori memberikan wang itu kepada Umno selepas menerima cek.

“Perayu mengambil wang terbabit,” kata Abu Bakar dalam penghakiman bertentangannya yang mengesahkan sabitan dan hukuman oleh hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan.

Abu Bakar berkata Ku Nan ketika membela diri berkata beliau menggunakan wangnya sendiri untuk dua PRK yang diadakan pada 2016 itu dan sebab itu beliau tidak perlu membayar wang kepada parti.

Katanya, kenyataan itu “tidak meyakinkan”.

Beliau berkata bukti menunjukkan sekurang-kurangnya dalam lapan keadaan, Umno telah membayar balik wang pendahuluan yang dibuat oleh Ku Nan selepas dia menggunakan wang sendiri.

“Namun dalam kes ini, tidak ada bukti menunjukkan Umno membayarnya untuk RM2 juta yang dikatakan telah digunakannya dalam PRK itu,” katanya dalam penghakiman 20 muka surat dikeluarkan pada Jumaat.

Hakim Suraya Othman dan Ahmad Nasfy Yasin yang merupakan majoriti dalam penghakiman itu membenarkan rayuannya dan membatalkan sabitan terhadap Ku Nan selepas menyatakan wang RM2 juta itu adalah sumbangan politik.

Pihak pendakwaan telah membuat rayuan terhadap pembebasan itu di Mahkamah Persekutuan.

Pada 21 Dis tahun lalu, Zaini mensabitkan Ku Nan bersalah menerima wang itu daripada Chai, walaupun mengetahui syarikat ahli perniagaan itu mempunyai urusan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, yang diterajui Ku Nan pada masa berkenaan.

Ahli Parlimen Putrajaya itu dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Ahmad Fadhli terajui Pemuda PAS penggal 2021-2023

Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas sebelum ini adalah 
Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari diumumkan sebagai Ketua Pemuda PAS yang baharu bagi penggal 2021 hingga 2023, selepas penyandang sebelum, Khairil Nizam Khirudin tidak mempertahankan jawatan berkenaan.

Timbalannya pula Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang sebelum ini bertindak sebagai Naib Ketua Pemuda PAS, manakala jawatan berkenaan diisi oleh Hanapi Zulkifli.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) , Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang juga anggota Exco kerajaan Terengganu pada hari terakhir muktamar DPPM ke-62 sebentar tadi.

Pengundian secara e-pengundian diadakan petang semalam, disertai 636 daripada 709 perwakilan bermula jam 5.30 petang hingga 7.30 malam.

Seramai 90 perwakilan mengundi secara atas talian di Corus Paradise Resort Port Dickson, lokasi muktamar pada tahun ini.

Nurkhuzaini juga mengumumkan jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap menang tanpa bertanding, masing-masing disandang Riduan Mohd Nor dan Nor Azariza Mohd Alawi.

Pemeriksa Kira-Kira pula Mohd Ali Rajae dan Shahrir Abu Hassan.

Berikut adalah senarai penuh Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Malaysia Sesi 2021-2023:

KETUA PEMUDA
Ahmad Fadhli Shaari

TIMBALAN KETUA PEMUDA
Afnan Hamimi Bin Taib Azamuddin

NAIB KETUA PEMUDA
Hanafi Zulkapli

12 AHLI JAWATANKUASA

  1. Hafez Sabri (610 undi)
  2. Ahmad Nawfal Mahfodz (511 undi)
  3. Hanif Haron (483 undi)
  4. Muhd Khidhir Izaidin (479 undi)
  5. Khairul Nadzir (470 undi)
  6. Wan Abu Bakar (433)
  7. Arifiriazul Paijo (425 undi)
  8. Abdul Malik Abd Razak (424 undi)
  9. Hilmi Ismail (412 undi)
  10. Nurul Amin Hamid (412 undi)
  11. Mohd Saifuddin Hassan (376 undi)
  12. Ahmad Bilal Rahudin (355 undi)

PRN Melaka: 'Saya serahkan duit baki, jangan salah faham... itu fitnah' - Muhyiddin

 Shuhada Abdul Kadir

PRN Melaka: 'Saya serahkan duit baki, jangan salah faham... itu fitnah' - Muhyiddin
Jelas Muhyiddin, gambar terbabit telah ditularkan sehingga mencetuskan fitnah kononnya beliau memberi rasuah kepada pengundi. - Foto media sosial
 
AYER KEROH: Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan cubaan merasuah pengundi di Melaka.
 
Ia susulan gambar yang menunjukkan beliau menghulurkan wang kepada seorang individu yang tular sejak semalam.
 
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjelaskan bahawa beliau sebenarnya sedang memulangkan baki wang kepada seorang lelaki yang membeli barangan dalam Program Gerai Prihatin Rakyat pada Sabtu.
 
"Tak ada, saya duduk dengan Mohd Rafiq. Mereka (pembeli) ini nak (beli barang). Dia bagi RM20, satu barang tu RM15, jadi saya serah (baki) kepada dia.
 
"Saya dah agak, mesti ada orang niat jahat kata tengok Tan Sri Muhyiddin bagi rasuah.
 
"Tak ada, itu niat baik, itu duit baki. Kalau mereka nak beli tiga barang RM45, pulang balik RM5.
 
"Takkan saya sebodoh itu," jelasnya lagi.
 
Gambar tersebut tular di laman sosial, antara lain memaparkan Muhyiddin sedang memberi wang RM5 kepada seorang lelaki di atas motosikal.
 
Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa Gerai Prihatin Rakyat digunakan sebagai medium berkempen, jelas Muhyiddin, inisiatif itu telah dijalankan enam bulan lalu dalam membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
 
"Sewajarnya mungkin sebab mereka iri hati, kalau ada pun mereka iri hati dengan Datuk Mohd Rafiq yang mulakan, bukan baharu, dah enam bulan berlangsung dan masih berterusan.
 
"Ini perkara amat saya hargai kerana mereka teruskan usaha pihak kerajaan beri bantuan kepada ramai orang Melaka memerlukan bantuan barangan lebih berpatutan harga sederhana diberikan kemudahan.
 
"Jadi saya fikir tidak ada salah. Yang penting mereka hargai usaha sebegini untuk menolong rakyat.
 
"Apa kerajaan buat, parti kita buat, itu langkah sewajarnya langkah harus dihargai semua pihak," jelasnya lagi. 
 
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin dalam programnya di Negeri Melaka hadir di beberapa Program Gerai Prihatin Rakyat.

PRN Melaka: 'Perkukuh MN? Saya harap Pas pertimbangkan semasaknya' - Muhyiddin

Fareez Azman
PRN Melaka: 'Perkukuh MN? Saya harap Pas pertimbangkan semasaknya' - Muhyiddin
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada kebijaksanaan Pas dalam membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu dengan UMNO. - Gambar fail/BERNAMA
 
AYER KEROH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada kebijaksanaan Pas dalam membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu dengan UMNO.
 
Jelasnya, perbincangan telah dijalankan sebelum ini di bawah gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November depan.
 
"Saya serahkan kepada Pas, kami dah bincang panjang dalam mesyuarat PN, bagi saya apa pun Pas nak putuskan itu hak mereka.
 
"Saya harap Pas berikan pertimbangan semasak-masak supaya strategi menghadapi PRN tepat, tidak timbul situasi tidak ketentuan mungkin beri kesan di Melaka," jelasnya.
 
Mengulas lanjut mengenai tawaran UMNO kepada Pas, jelas Muhyiddin, Bersatu tidak terkesan dengan keputusan itu.
 
Malah ujarnya, fokus PN ketika ini adalah untuk menghadapi PRN sama ada tiga atau empat penjuru.
 
"Soal sama ada keputusan orang lain buat, bagi saya tidak terkesan kerana saya sedar dalam UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dah buat keputusan tak mahu bekerjasama dengan Bersatu.
 
"Kita tak perlu berpandu lebih daripada itu, kita lebih gariskan rancangan buat persiapan penting menghadapi PRN sama ada tiga atau empat penjuru.
 
"Ini bukan soal Pas, ini soal Perikatan Nasional kena melihat kami bukan sebagai Pas, Bersatu dan Gerakan. PN ada dasar, prinsip asas, itu harus dihargai dan dihormati," jelasnya lagi.
 
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Minum Petang bersama Profesional Melaka di Ayer Keroh pada Sabtu.

PN yakin pengundi Melaka buat keputusan bijak

  Borhan Abu Samah

Perikatan Nasional (PN) akan menyerahkan kepada pertimbangan bijaksana rakyat negeri Melaka untuk membuat pilihan dalam Pilihan Raya Negeri pada 20 November depan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya amat menyedari ramai rakyat negeri Melaka yang marah apabila negeri berkenaan terperangkap dalam kemelut politik yang merugikan.

“Kita akan umumkan calon-calon kita. Calon-calon yang kita akan ketengahkan ini adalah mereka yang berkelayakan, terdiri daripada orang muda lelaki dan wanita serta mewakili semua kaum. Saya jangka kita akan dapat sokongan pengundi Melaka,” katanya pada sidang akhbar selepas program Minum Petang Bersama Profesional Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.

Dalam pada itu, berhubung kenyataan beberapa pemimpin Pas agar parti itu menggunakan logo sendiri bagi Pilihan Raya Negeri Melaka, Muhyiddin berkata, keputusan PN untuk semua parti komponen bertanding menggunakan logo PN adalah dibuat berdasarkan keputusan bersama.

“Saya serahkan kepada Pas untuk membuat keputusan, apa pun Pas nak putuskan, itu hak mereka, saya harap mereka berikan pertimbangan semasak-masaknya.

“Ini supaya strategi yang kita hadapi mempunyai kesepakatan dan kita tidak berhadapan situasi ketidak tentuan yang membawa kesan kepada penyertaan kita di Melaka,” katanya.

Sementara itu, mengenai pembahagian kerusi antara parti-parti komponen, jelas beliau, perbincangan perkara tersebut masih berjalan dan akan diputuskan sebelum Hari Penamaan Calon pada 8 November depan.

“Kita setuju bertanding 28 kerusi, kalau pihak lain nak bertanding 28 kerusi, takkan kita nak bertanding 10 kerusi sahaja, soal menang kalah, soal lain sebab kita akan serahkan kepada orang Melaka untuk membuat pertimbangan bijaksana,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai tindakan tidak bertanggungjawab beberapa pihak memfitnahnya memberi wang kepada pengundi di Melaka, Muhyiddin berkata, perbuatan itu jelas sekali berniat jahat terhadapnya.

Jelasnya, gambar-gambar yang disebarkan dalam media sosial itu adalah gambar beliau menyerahkan baki wang kepada penduduk-penduduk Melaka yang membuat pembelian barang keperluan pada program Gerai Prihatin Rakyat.

“Sekarang ini banyak orang nak memfitnah kita walau apa pun niat baik kita, itu kita serahkan kepada Tuhan,” katanya.

Beliau memberitahu, program Gerai Prihatin yang telah dijalankan oleh Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sejak bulan Jun merupakan inisiatif yang harus dihargai kerana ia merupakan usaha untuk mengurangkan beban rakyat.

PRN Melaka: PN kekal ketengah calon muda, guna satu lambang


Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan calon muda yang akan diketengah gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini, terdiri daripada pelbagai kaum dan berkelayakan.

Menurutnya sebahagian besar calon kali ini terdiri daripada golongan muda lelaki dan wanita yang dijangka akan mendapat sokongan.

“Sebelum itu bila dah sepakat, kita akan perkenalkan calon-calon kita. Saya bagi jaminan calon-calon (PN) yang berkelayakan, sebahagian besar orang-orang muda lelaki dan wanita, daripada semua kaum dan saya jangka akan dapat sokongan,” jelasnya.

Mengenai pembahagian kerusi DUN di antara parti komponen PN, Muhyiddin berkata perkara itu akan diputuskan sebelum hari penamaan calon pada 8 November depan.

“Itu bagi saya harus terima sebagai satu cabaran dan akan usahakan menawarkan kepimpinan untuk negeri Melaka. Kita dah bincang tapi belum lagi selesai, saya jangkakan akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Katanya, pembahagian kerusi dalam PN adalah adil dan saksama.

Mengenai kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menggunakan lambang parti itu menghadapi PRN Melaka, Muhyiddin perkara itu adalah pandangan peribadi.

Katanya, keputusan telah dibuat dalam mesyuarat PN untuk menggunakan satu logo dalam berdepan PRN Melaka.

“Dalam sistem demokrasi ini semua orang boleh bagi pendapat, tapi saya nak jelaskan dalam PN dan beberapa mesyuarat, kita dah sepakat bahawa parti-parti dalam gabungan ini akan gunakan satu simbol sahaja.

“Itu keputusan, sama ada itu akan disokong oleh mana-mana pihak parti, itu soal kedua.

“Tapi dalam PN, itu keputusan kita, jadi pandangan lain-lain itu pandangan peribadi dan tidak mengikat kita membuat apa apa pendirian untuk pandangan peribadi, kita buat keputusan atas dasar keputusan bersama,” katanya.

Sebelum ini UMNO memberi syarat kepada PAS menggunakan logo sendiri bertanding pada PRN itu jika mahu meneruskan kerjasama.

PRN Melaka: Ismail Sabri janji cuba elak pertembungan parti kerajaan


Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau sedang berusaha untuk mengelak pertembungan antara parti-parti dalam kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.

Menurutnya Majlis Tertinggi (MT) UMNO telah memberi mandat kepada beliau untuk berunding dan berbincang dengan parti lain dalam Kerajaan Persekutuan untuk mengelak pertembungan.

Perdana Menteri berkata ada pihak lain yang akan mendapat keuntungan dan faedah daripada pertembungan sesama parti dalam kerajaan pada PRN Melaka.

“Memang mereka tunggu sahaja ingin melihat supaya parti kerajaan ini bertembung, mereka yang untung, ibarat antan sama antan berlaga, ayam tepi lesung yang kenyang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021, hari ini.

UMNO sebelum ini memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi menghadapi PRN Melaka, tetapi tidak menyatakan apa-apa kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mengekalkan keputusan Perhimpunan Agung (PAU) 2020 lalu.

Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah dua kali membuat kenyataan menolak kerjasama dengan PN dan Bersatu pada PRN Melaka, namun MT yang bermesyuarat Khamis lalu menghulurkan tangan kepada PAS.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon, 16 November hari pengundian awal dan 20 November hari pengundian biasa.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Undi18 akan dilaksanakan bermula 1 Januari tahun depan sepertimana diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.

Beliau berkata Kabinet memutuskan untuk tidak merayu keputusan berkenaan walaupun sebelum ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa persediaan ke arah pelaksanaannya hanya boleh dibuat menjelang September tahun hadapan.

“Bila mahkamah buat keputusan, kerajaan boleh merayu keputusan ini, tetapi bagi menghargai dan menghormati anak-anak muda, Kabinet telah putuskan kita tidak akan merayu keputusan dibuat Mahkamah Sarawak.

“Tidak merayu bermakna keputusan kekal, bermakna tarikh akhir 31 Disember dan 1 Januari bermulalah pendaftaran automatik untuk pengundi 18 tahun,” katanya.

PRN Melaka: Tuan Ibrahim kata ada berita positif PAS-Bersatu-UMNO?


Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ada perkembangan positif berhubung kerjasama tiga parti – PAS, Bersatu dan UMNO – bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Bagaimanapun, Menteri Alam Sekitar dan Air itu tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkembangan positif yang dimaksudkan, dan sama ada ketiga-tiga pemimpin tertinggi parti duduk semeja membincangkan kerjasama itu.

Sebaliknya beliau memberitahu perkembangan positif itu menyusul setelah perbincangan ketiga-tiga parti diadakan semalam.

“Ada sedikit berita gembira malam tadi. Kita telah mengadakan mesyuarat bersama… PAS, UMNO dan Bersatu. Insya-Allah, dalam membicarakan persiapan PRN Melaka, nampaknya sekarang PAS dikehendaki oleh semua parti.

“UMNO buat keputusan dia setuju bersama PAS, kita rakamkan ucapan terima kasih kepada UMNO kerana merasai dan perlunya muafakat politik dikekalkan dan pada waktu sama, Bersatu pun nak bersama kita,” katanya berucap pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia ke-62 di Port Dickson yang bersiaran secara langsung di laman Facebook rasmi sayap Pemuda parti itu hari ini.

Tuan Ibrahim juga berkata permuafakatan dan kerjasama antara ketiga-tiga parti adalah lebih besar berbanding perebutan kerusi selain PAS turut memiliki pengalaman yang panjang dalam arena politik negara.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin berkata parti itu konsisten mengajak UMNO dan Bersatu serta pemegang taruh yang lain untuk menerima prinsip perpaduan.

Beliau juga berkata Pemuda PAS mempunyai peranan besar sebagai ejen keharmonian kaum antara parti.

Menyentuh landskap politik negara, Khairil Nizam berkata pendaftaran automatik pengundi baharu berusia 18 tahun (Undi18) merupakan ‘pencetus perubahan’ terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas ialah seramai 5.6 juta individu dan daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun berjumlah 1.2 juta manakala 4.4 juta orang lagi adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, mereka layak mengundi,” katanya.

PRN Melaka: Terserah kepada PAS terima UMNO tapi…, kata Muhyiddin


Bersatu tidak terkesan dengan tawaran UMNO untuk bekerjasama dengan salah satu parti komponen Perikatan Nasional (PN), PAS, sebaliknya tumpuan terus diberi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan bahawa fokus PN sekarang ini adalah menghadapi PRN Melaka sama ada tiga atau empat penjuru.

“Soal sama ada keputusan orang lain buat, bagi saya tidak terkesan kerana saya sedar dalam UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dah buat keputusan tak mahu bekerjasama dengan Bersatu.

“Kita tak perlu berpandu lebih daripada itu, kita lebih gariskan rancangan buat persiapan penting menghadapi PRN sama ada tiga atau empat penjuru.

“Ini bukan soal PAS, ini soal Perikatan Nasional kena melihat kami bukan sebagai PAS, Bersatu dan Gerakan. PN ada dasar, prinsip asas, itu harus dihargai dan dihormati,” katanya selepas hadir pada Majlis Minum Petang bersama Profesional Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menyerahkan kepada kebijaksanaan PAS dalam membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu dengan UMNO.

Katanya, perbincangan telah dijalankan sebelum ini di bawah gabungan itu bagi menghadapi PRN Melaka pada November depan.

“Saya serahkan kepada PAS, kami dah bincang panjang dalam mesyuarat PN, bagi saya apa pun PAS nak putuskan itu hak mereka.

“Saya harap PAS berikan pertimbangan semasak-masak supaya strategi menghadapi PRN tepat, tidak timbul situasi tidak ketentuan mungkin beri kesan di Melaka,” katanya.

Khamis lalu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO menghulur tangan kepada PAS untuk bekerjasama menghadapi PRN Melaka 20 November ini tetapi memberi syarat parti Islam itu perlu menggunakan lambang sendiri, bukan logo PN.

PAS sebelum ini menjalin hubungan kerjasama dengan UMNO menerusi persefahaman dalam Muafakat Nasional (MN) tetapi ianya bukan gabungan sebuah parti politik berdaftar.

PAS yang menubuhkan PN bersama Bersatu dan Gerakan dijangka membuat keputusan berhubung kerjasama dengan UMNO dan penggunaan lambang parti pada PRN Melaka, esok.

PRN Melaka: Tentera siber UMNO mula kempen fitnah Muhyiddin

Tentera siber UMNO mula menabur fitnah terhadap Perikatan Nasional (PN), khususnya Pengerusi PN, apabila mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin mula menyogok pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Berdasarkan gambar yang mereka peroleh tentera siber UMNO menuduh bekas Perdana Menteri itu yang berada di Melaka hari ini, memberi wang secara terang-terang walaupun RM5.

Antara tentera siber UMNO yang membuat fitnah Muhyiddin memberi wang kepada orang ramai di Melaka ialah Rafi Awg Kechik dan Akmar Hisham Mokhles. Kedua-duanya memuat naik fitnah itu di laman Facebook masing-masing sebagaimana gambar di atas.

Bagaimanapun, Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata pihak terbabit sengaja berniat jahat untuk memburuk-burukkan Muhyiddin dengan membawa persepsi negatif sempena PRN Melaka.

“Gambar yang disebarkan itu adalah gambar ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin singgah di sebuah Gerai Prihatin Rakyat di mana beliau membantu memulangkan baki wang yang dibeli oleh rakyat Melaka yang bernilai RM5 ke atas jualan Gerai Prihatin Rakyat anjuran sebuah NGO di Melaka.

“Saya harap pihak yang tidak bertanggungjawab harus menghentikan fitnah dan rakyat Melaka harus menilai taktik jahat pihak tertentu ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Presiden Bersatu itu sebenarnya memulangkan wang baki selepas penunggang motosikal berkenaan membeli barangan asas di Gerai Prihatin Rakyat secara pandu lalu.

“Gambar yang disebarkan itu ketika Muhyiddin singgah di Gerai Prihatn Rakyat dan pulangkan baki wang sebanyak RM5,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin dalam siri melawat ke program Gerai Prihatin Rakyat di Kampung Tersusun Jus Permai, Selandar dan Pantai Klebang.

Sementara itu, satu laporan polis akan dibuat oleh Bersatu Melaka berhubung kiriman yang dimuat naik oleh pihak berkenaan.

Ketua Penerangan Bersatu Negeri Datuk Hishamuddin Abdul Karim berkata laporan polis itu akan dibuat di Balai Polis Air Keroh.

“Saya akan membuat laporan polis terharap mereka hari ini. Tindakan tidak bermoral ini perlu dihentikan dan harus diambil tindakan tegas,” katanya.

 

Persefahaman UMNO-PAS: Terserah PAS untuk putuskan – Muhyiddin

 Azrulhakimie

PN akan meneruskan strategi yang telah dibincangkan dan dirancang

MELAKA – Perikatan Nasional (PN) menyerahkan kepada kebijaksanaan pimpinan PAS untuk membuat keputusan berhubung keputusan Majlis Tertinggi UMNO untuk meneruskan persefahaman dengan parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu akan meneruskan strategi yang telah dibincangkan dan dirancang serta bersedia dengan untuk pertembungan tiga penjuru.

“UMNO di Perhimpunan Agung dia telah buat keputusan tak nak bekerjasama dengan Bersatu. Jadi kita tak akan tunggu dan teruskan persiapan kita untuk pilihan raya negeri ini.

“Sama ada tiga penjuru ke, empat penjuru ke, kerana bagi saya ini adalah cabaran dan kita berusaha untuk menawarkan pilihan yang terbaik untuk negeri Melaka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang bersama profesional Melaka di sini hari ini.

Khamis lepas, UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November ini. – Bernama

PRN Melaka: Undi pemimpin yang mampu beri manfaat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

Pecah undi Melayu tidak bagus untuk masa depan

BANGI – Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum penamaan calon, namun masih tiada persefahaman yang kukuh untuk UMNO bersama Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Justeru, tidak mustahil pertembungan sengit antara parti Melayu akan berlaku, sekali gus memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Dari satu sudut, penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff tidak menafikan pertembungan parti Melayu akan membuka ruang kepada perpecahan undi di kalangan orang Melayu.

Baginya, keadaan itu tidak bagus dalam hala tuju serta masa depan orang Melayu.

Sekiranya situasi itu tidak dapat dielakkan, beliau menyarankan rakyat melihat kepada ciri-ciri pemimpin yang mampu memberi manfaat di sesuatu kawasan.

“Saya berpandangan, pertama kita lihat sama ada parti itu memberi manfaat kepada masyarakat sesuatu kawasan serta keseluruhan.

“Kedua, personaliti tokoh politik itu sendiri iaitu individu yang bertanding boleh dipercayai, amanah dan ikhlas membantu, tidak menimbulkan masalah dan kekeliruan kepada masyarakat serta boleh menyatupadukan masyarakat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau menyifatkan penilaian sebegini lebih optimis dan rasional, berbanding memilih pemimpin daripada satu parti namun tidak mengenali wakil rakyat berkenaan.

“Bagi saya sampai masanya rakyat Melaka bersikap matang bukan sahaja memilih parti tetapi juga pemimpin yang memperjuangkan nasib mereka.

“Tidak guna bazir masa hanya memilih parti. Ini bukan macam dulu, kita pilih parti sebagai tonggak tapi kadang-kadang kita dapati ada pemimpin parti yang tidak berkaliber, gagal jadi wakil rakyat,” katanya.

Sabtu, 30 Oktober 2021

Tuntutan Hua Zong melampau, cuba ubah sejarah Malaysia

Oleh Zuhayati Yazid

'Sepatutnya mereka yang patuh dan akur dengan sistem pendidikan kita'

BANGI – Tuntutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina, Hua Zong supaya kerajaan meminda Perlembagaan dalam usaha menjaga sekolah vernakular disifatkan sebagai bukan satu permintaan ringan.

Ia kerana tuntutan tersebut jika dilihat dengan teliti seolah-oleh cubaan untuk mengubah sejarah negara ini.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mendakwa, tindakan sedemikian mampu mengugat perpaduan penduduk berbilang bangsa di Malaysia.

“Orang Melayu sendiri tidak pernah desak mahu ubah atau pinda Perlembagaan…ini tindakan sangat melampau.

“Kenapa mahu pinda dan tunduk dengan permintaan mereka, sedangkan sistem pendidikan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) berlawanan dengan sistem pendidikan negara.

“Sepatutnya mereka yang patuh dan akur dengan sistem pendidikan kita,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Hua Zong meminta kerajaan mengadakan perbincangan yang mendalam mengenai kedudukan sekolah vernakular di bawah Perlembagaan Persekutuan serta meminda atau memperkuatkan peruntukan yang relevan jika perlu.

Presiden Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan berkata, ia bagi mengelakkan kedudukan Sekolah Jenis Kebangsaa Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) di bawah Perlembagaan terus dicabar.

Mengulas lanjut, beliau mempersoalkan mengapa kerajaan sehingga ke hari ini masih belum mampu menyelesaikan isu berkaitan sekolah vernakular.

“Ini melibatkan isu negara dan harus ingat kemantapan sesebuah negara sebenarnya bergantung kepada sejarah,” katanya.

Sehubungan itu, Prof Ahmad Murad berharap sekolah satu aliran dapat diwujudkan segera demi menjamin perpaduan kaum yang lebih utuh.

MCA dakwa isu arak ‘Timah’ sandiwara politik

 Siti Hafidah

Menjadi detik tewasnya logik dan pemikiran rasional

BANGI – Perdebatan mengenai penggunaan nama ‘Timah’ oleh jenama wiski tempatan, yang akhirnya menyebabkan penukaran nama dan gambar pada produk itu bakal membuka ruang kepada muslihat politik yang mengarah kepada pemikiran tidak rasional, kata Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Memetik laporan MCA Lantian semalam, beliau mendakwa, kontroversi penggunaan nama itu oleh produk wiski dimulakan oleh Parti Amanah Negara (PAN), yang kemudiaannya disahut oleh parti lain, ahli politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurutnya, hujah mengenai kontroversi ini semakin tidak masuk akal di antaranya kenyataan Ahli Parlimen PKR, Rusnah Alua baru-baru ini yang menyamakan penggunaan nama ‘Timah’ dengan meminum wanita Melayu.

Kenyataan sedemikian katanya, sudah mencapai tahap yang tidak dapat difahami.

Dakwanya lagi, kontroversi berkaitan ‘Timah’ dari mula lagi adalah permainan parti dan ahli politik untuk meraih sokongan yang akhirnya bertukar menjadi sandiwara politik yang tiada berkesudahan serta telah mengorbankan kebebasan rakyat Malaysia.

“Andainya Timah akhirnya menukar nama dan gambarnya, ia akan menjadi detik tewasnya logik dan pemikiran rasional kepada sandiwara dan muslihat politik, Malaysia akan menjadi bahan jenaka di seluruh dunia,” kata beliau.

Sebelum ini, syarikat pengeluar arak tempatan berjenama ‘Timah’ memohon tempoh selama seminggu bagi menukar nama dan imej pada label produk keluaran mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan kerajaan dengan wakil syarikat pengeluar arak terbabit – Winepark Corporation (M) Sdn Bhd.

“Melalui perbincangan yang diadakan, syarikat ini memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka,” katanya.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT       

PRN Melaka: Jangan bagi muka pengkhianat bersekongkol DAP

Siti Hafidah

Parti Melayu perlu 'move on' menang semua kerusi

BANGI – Keputusan yang sukar dijangka apabila UMNO memutuskan untuk menjalinkan kerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Difahamkan, keputusan itu selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Biarpun begitu timbul persoalan sama ada keputusan UMNO itu atas dasar semangat untuk selamatkan negara ataupun semata-mata tindakan segera ‘selamatkan diri’.

Apa-apa pun Ketua Pergerakan Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Fahmi Bazlan Muda merakamkan ucapan tahniah berhubung keputusan itu kerana dilihat langkah yang terbaik untuk rakyat Melaka.

“Jika tiada keputusan ini, PRN Melaka tiada makna, merugikan dan menggadai masa depan Melaka untuk terus kekal di tangan kita.

“Move on untuk menang semua kerusi, yang penting jangan bagi muka kepada pengkhianat yang bersekongkol dengan DAP,” katanya menerusi kenyataan, hari ini

Dalam perkembangan sama, beliau yakin Pakatan Harapan (PH) pastinya tergugat dengan perkembangan terbaru ini.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November ini, manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

Bajet 2022 jangan sekadar cantik di atas kertas saja: BERJASA

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI – Bajet 2022 yang dibentangkan kerajaan diharapkan bukan sekadar cantik di atas kertas semata-mata tetapi perlu memastikan pelaksanaan yang sempurna.

Dalam hal ini, sistem pengagihan adalah aspek paling penting supaya segala perancangan seperti yang diideakan dapat direalisasikan dengan berjaya dan mencapai sasaran.

Selain itu, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Haji Zamani Ibrahim mengingatkan, kepentingan aspek pemantauan agihan bagi mengelak daripada berlakunya ketirisan.

“Kita tidak mahu bajet semalam sekadar cantik di peringkat idea sahaja sedangkan pelaksanaannya nanti tidak selancar dan sempurna seperti yang diharapkan.

“Perlu ada pemantauan dan kawalan bagi menjayakan setiap yang dicadangkan kerana kita juga tidak mahu idea bernas tadi hanya dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja terutama mereka yang rapat dengan ahli politik sahaja menyebabkan tidak sampai kepada sasaran,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pembentangan Bajet 2022 semalam melibatkan peruntukkan RM332.1 bilion dalam usaha Malaysia memulihkan semula setiap segmen sosioekonomi pada tahun depan.

Belanjawan tersebut merangkumi RM233.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM75.6 untuk perbelanjaan pembangunan dan RM23 bilion dibawah Kumpulan Wang COVID-19.

Dalam masa sama, Haji Zamani memuji Bajet 2022 yang dilihat mengambil kira roh dan kesan daripada pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, beliau berharap tidak wujud karenah birokrasi yang boleh membantutkan perjalanan bajet dirancang.

“Kita mahu di peringkat pelaksana bersungguh jayakan seperti yang dibincangkan supaya tidak tersasar kepada pihak lain,” ujarnya.

Ditanya mengenai peruntukan kepada golongan usahawan dalam usaha kerajaan memacu semula ekonomi yang kini bergerak lemah kesan daripada COVID-19, beliau berpandangan bantuan dari semasa ke semasa perlu diperluaskan.

“BERJASA merasakan kerajaan perlu serius membantu golongan usahawan untuk kembali bangkit kerana kini bukan sahaja sakit lagi tetapi ada yang terus lumpuh berikutan terkesan dengan COVID-19.

“Kita melihat menjadi keperluan dan keutamaan kepada kerajaan untuk wujudkan program khas kepada golongan terkesan supaya mereka mampu bangkit dengan sokongan dan bantuan daripada kerajaaan sendiri,” katanya.

Yusoff cabar jawapan pembelaan Anwar, dedah butiran kejadian


Bekas staf, Muhammed Yusoff Rawther mencabar kenyataan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman serangan seksual yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang itu tiga tahun lalu.

Yusoff dalam kenyataan pendakwaan mendedahkan butiran yang jelas melibatkan keberadaan Anwar sekitar 3 petang pada 2 October 2018, selepas diarahkan menyerahkan sendiri draf ucapan yang akan disampaikan bekas bosnya itu bagi acara peringatan mengenai Mahatma Gandhi pada malamnya.

Beliau mencabar kenyataan Anwar yang mengatakan ahli keluarganya termasuk anak perempuan dan cucu-cucunya turut berada di banglo tersebut ketika insiden itu didakwa berlaku.

Dalam kenyataan itu juga, Yusoff mendakwa tidak berapa lama selepas masuk ke ruang perpustakaan rumah tersebut, Anwar cuba melakukan serangan seksual terhadapnya.

Dalam pernyataan pembelaannya bulan lalu, Anwar menolak semua tuduhan, mengatakan beliau sibuk melayani anak keduanya, Nurul Nuha dan anak-anaknya selain beberapa orang kawannya antara pukul 2 petang dan 6 petang di rumahnya, sejurus selepas tiba dari Port Dickson untuk berkempen sebagai calon Pilihan Raya Kecil Port Dickson mewakili Pakatan Harapan (PH).

Anwar dicabar Yusoff perlu membuktikan semua dakwaan lain selain daripada kenyataan Anwar yang dijadualkan berada di Port Dickson pada sebelah pagi.

Untuk rekod, Yusoff pertama kali membuat tuduhan terhadap Anwar dalam sebuah akuan bersumpah pada November 2019.

Sebuah laporan polis juga turut dibuat susulan pengakuan tersebut yang kemudian disusuli beberapa minggu siasatan dijalankan Bukit Aman di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang meliputi jenayah kekerasan dan cabul.

Sepanjang siasatan, polis turut melakukan ujian poligraf terhadap Yusoff selama empat jam di Bukit Aman.

Bagaimanapun Anwar menolak untuk menjalani ujian tersebut.

Anwar dalam pembelaannya, menuduh Yusoff bekerjasama dengan beberapa individu “tidak dikenali” bagi menjatuhkan beliau menjelang peralihan kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Anwar kemudian turut mempertikaikan waktu kejadian yang didakwa Yusoff dan pemfailan saman yang dilakukan pada Julai, mengatakan ketika itu berlaku krisis politik di mana beliau “ada kemungkinan” menjadi perdana menteri.

Yusoff juga mempersoalkan kegagalan Anwar untuk membuat tindakan susulan berhubung ancaman pada Januari 2020 yang mahu membuat saman malu terhadapnya ekoran dakwaan serangan seksual tersebut.

“Defendan mempunyai setiap peluang untuk membawa tindakan saman terhadap plaintif sebelum pemfailan tindakan plantif terhadap defendan, namun defendan takut untuk berbuat demikian dan/atau gagal berbuat demikian,” katanya.

Geram tuntutan ditolak Asyraf beri amaran akan semak dokumen bajet


Pemuda UMNO yang begitu terkesan dan kecewa dengan Bajet 2022, memberi amaran kepada kerajaan pimpinan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa kerajaan akan berdepan cabaran dan kekangan untuk melaksanakan belanjawan berkenaan.

Bukan itu sahaja, disebabkan kecewa kerana kerajaan tidak tunduk kepada kehendak mereka dalam Bajet 2022 itu juga menyebabkan Pemuda UMNO geram hingga mahu menyemak semua dokumen belanjawan, termasuk Laporan Ekonomi.

Tidak terlepas untuk mereka teliti ialah teks ucapan Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perkara ini dijelaskan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan hari ini ketika mengulas pembentangan Bajet 2022 oleh Tengku Zafrul di Dewan Rakyat semalam.

“Saya dan teman-teman Pemuda UMNO Malaysia mendengar dengan penuh minat dan harapan yang Belanjawan 2022 yang dibentangkan kelmarin bakal menjadi instrumen penting untuk pemulihan negara yang ramai rakyat di luar sana dambakan,” katanya.

Mengakui Bajet 2022 itu ‘agak menyeluruh dan optimistik’ beliau dan Pemuda UMNO tetap kecewa kerana beberapa permintaan mereka – kononnya ‘tuntutan rakyat’ – tidak dimasukkan ke dalam belanjawan itu.

“Sejujurnya, saya dan teman-teman di Pemuda UMNO Malaysia tidak dapat menyimpan perasaan kecewa, apabila ada beberapa #TuntutanRAKYAT yang kami perjuangkan tidak dipenuhi, walaupun tidak dinafikan sudah ada beberapa #TuntutanRakyat yang kami perjuangkan ditunaikan kerajaan termasuk Moratorium tanpa faedah.

“Namun antara yang menjadi harapan besar majoriti rakyat iaitu Pengeluaran Simpanan KWSP i-Citra RM10,000 secara one-off yang tidak dimasukkan oleh Kerajaan dalam pembentangan kelmarin.

“Apakan daya, walaupun perkara ini telah berkali-kali diperjuangkan secara konsisten bahkan diutarakan di dalam pelbagai medium, platform termasuk mengadakan siri-siri pertemuan dengan pemimpin-pemimpin tertinggi negara hatta pengurusan tertinggi KWSP,” katanya lagi.

Oleh itu, Asyraf berkata beliau dan pasukan Pemuda UMNO akan menyemak semua dokumen berkaitan Bajet 2022 berkenaan.

“Pun begitu, saya dan teman-teman di Pemuda UMNO tidak boleh “lepas tangan”. Dokumen-Dokumen Belanjawan 2022 termasuklah Laporan Ekonomi dan Teks Ucapan YB Menteri Kewangan akan diteliti dengan mendalam oleh kami secara bersama.

“Banyak cabaran dan kekangan yang akan dihadapi oleh semua pihak termasuklah Pemerintah untuk menjayakan Belanjawan 2022 ini,” katanya.

Menurutnya, andaian ekonomi dan pengenalan cukai dan duti eksais baru untuk menampung perbelanjaan besar yang dirancang sudah pasti akan memberi impak kepada iklim perniagaan dan harga pengguna kelak.

Noh pecat ahli Bersatu pegang jawatan agensi bawah kementeriannya

 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar didakwa memecat semua ahli Bersatu yang memegang jawatan dalam agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (MEDAC) yang diterajuinya.

Menteri MEDAC itu menamatkan perkhidmatan beberapa lantikan dari kalangan pemimpin Bersatu di dalam agensi-agensi bawah kementerian itu seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Yayasan Bank Rakyat.

Perkara itu didedahkan Naib Ketua Bersatu Bahagian Puchong, Ts. Shaik Shaszari Shaik Sulaiman dalam satu kenyataan yang membidas tindakan Noh itu cuba mengugat keharmonian dalam kerajaan pusat yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya turut mempersoalkan adakah langkah ini diambil bagi digantikan dengan lain-lain pemimpin UMNO?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah yang diambil oleh pemimpin UMNO Selangor itu menurut Shaik Shaszari juga dibuat secara tergopoh-gapah walaupun kontrak lantikan masih belum tamat, malah langkah itu secara tidak langsung akan memecahbelahkan keharmonian yang dibina antara Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin dan Ismail Sabri dalam kerajaan pusat.

“Saya secara peribadi mempersoalkan rasional yang diambil dalam masa sama kementerian-kementerian termasuk MEDAC sedang mencapai KPI 100 hari dan saya percaya ahli-ahli Lembaga Pengarah tersebut sedang bersama-sama dalam agensi-agensi bawah MEDAC untuk membantu pihak menteri dalam mencapai KPI 100 hari dan seterusnya.

“Namun sebaliknya tindakan ini secara tidak langsung makin memecahkan keharmonian yang sedang dibina antara Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemimpin Parti UMNO antaranya Datuk Seri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri,” katanya lagi.

Beliau turut memberi senarai pemimpin Bersatu yang ditamatkan kontrak lebih awal, antaranya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman selaku Ahli Lembaga Pengarah SKM yang sepatutnya tamat kontrak pada Disember 2022, Ahli Lembaga Amanah TEKUN ialah Puan Najwah Halimah (Timbalan Pengerusi Tekun Nasional), Puan Mizmah Appehdullah (Exco Srikandi Pusat Bersatu), Datuk Wan Shaharir bin Wan Jalil (mantan Ketua Badan Perhubungan Bersatu Pahang) serta beberapa pemimpin lain lagi.

Untuk rekod, Noh merupakan salah seorang ahli kumpulan 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan setia bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Ismail Sabri pada saat akhir bertindak melantik Noh dalam Kabinetnya selepas mengangkat sumpah sebagai PM baharu.