HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 September 2007

Subsidi tak kekal....

Subsidi bahan api tidak dapat dikekalkan

KUALA LUMPUR – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd. Hassan Marican hari ini berkata, subsidi bahan api yang diberi sekarang ini tidak dapat dikekalkan dalam jangka panjang.

Ini berikutan harga minyak dunia yang melambung tinggi menyebabkan ia tidak berkesan dalam membetulkan ketidakseimbangan ekonomi, iaitu tujuan asalnya.

Beliau juga menegur beberapa syarikat yang mengambil kesempatan daripada harga gas yang diberi subsidi oleh Petronas untuk menjimatkan kos dan seterusnya mencapai sasaran kewangan mereka.

“Siapa yang kita beri subsidi? Bolehkah kita terus mampu melakukannya? Akan tiba masanya bila negara tidak boleh memberi subsidi terlalu banyak,” tegas beliau.

Petronas berhasrat menaikkan harga gas, memandangkan ia hanya mengenakan kadar RM6.40 bagi setiap mmBtu (juta unit Termal British) kepada industri tempatan sejak 1997, walaupun gas yang diberi subsidi berharga kira-kira RM40 bagi setiap mmBtu.

“Secara tidak langsung, kita memberi subsidi kepada dunia,” katanya semasa taklimat kepada editor mengenai Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di sini.

Produk minyak melonjak ke tahap paling tinggi melebihi AS$81 setong pada Selasa dengan kebimbangan kekurangan bekalan untuk musim sejuk di Amerika Syarikat.

Hassan berkata, keseluruhan subsidi, walaupun tidak termasuk minyak dan gas, yang dibayar oleh kerajaan merupakan suatu jumlah yang ‘menakutkan’.

Gas yang disubsidi sehingga kini bagi tahun ini telah menyebabkan Petronas menanggung kira-kira RM15 bilion. Sejak 1997, syarikat minyak nasional itu telah menyediakan subsidi gas berjumlah hampir RM50 bilion.

Subsidi yang diberikan oleh kerajaan untuk gas dan petroleum akan menyebabkan Petronas berbelanja lebih RM35 bilion untuk seluruh tahun.

Walaupun harga minyak yang tinggi, beliau berkata, margin berkurangan disebabkan oleh kos yang meningkat dalam mendapatkan komoditi tersebut.

Hassan berkata,subsidi gasolin dan diesel, sebenarnya telah memberi faedah kepada orang kaya. Mereka mempunyai tiga kereta mewah dan membiarkan alat penyaman udara terpasang di rumah agam mereka sepanjang masa.

Bagi gasolin, beliau berkata, harga sedia ada ialah pada kadar RM1.92 seliter, sedangkan harga sebenar sepatutnya RM3 seliter.

Semasa ditanya mengenai harapan beliau daripada mesyuarat jawatankuasa kabinet pada Isnin ini yang akan memutuskan mengenai dasar gas serta harga gas untuk Tenaga Nasional Bhd. serta pengeluar tenaga bebas, beliau berkata:

“Saya tidak tahu.”

Tetapi beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh berterusan membekalkan gas pada harga “murah”.

– Bernama

Tiada ulasan: