Pada satu pagi pada 1986, bilik berita Utusan Melayu menerima
panggilan dari pejabat menteri kesihatan yang memaklumkan beliau akan
mengadakan sidang akhbar tergempar dalam masa beberapa jam lagi.
Sebagai pemberita di situ ketika itu, penulis ditugaskan membuat
liputan. Ketika itu pejabat Kementerian Kesihatan terletak di Jalan Tugu
(nama asalnya ialah Cenotaph Road) iaitu berhampiran Masjid Negara dan
Bukit Aman. Menteri ketika itu Mak Hon Kam yang juga pemangku timbalan
presiden MCA.
Jalan Tugu bernama sedemikian kerana sebelum Merdeka, batu
peringatan peninggalan British yang dipanggil Cenotaph terletak di situ.
Kini ia terletak di kawasan Tugu Negara.
Menjelang 1986, MCA dilanda krisis rebutan pucuk pimpinan. Mak Hon
Kam yang merupakan naib presiden menyebelahi ketuanya, Neo Yee Pan
berdepan Tan Koon Swan yang mencabar kepimpinan. Setelah kalah dalam
krisis itu, Mak beserta kumpulan Neo mengambil alih Parti Progresif
Rakyat (PPP). Beliau kemudian kembali ke MCA.
Bilik sidang akhbar itu penuh dengan para pemberita akhbar, radio dan
televisyen dari dalam dan luar negara. Ternyata ia merupakan perkara
besar kerana menteri mengumumkan kes AIDS yang pertama di Malaysia.
Beliau mengumumkan pesakit AIDS itu seorang warga Malaysia yang baru
pulang dari Singapura dan dimasukkan wad di Hospital Sultanah Aminah
Johor Bharu. Radio menyiarkan laporan itu pada warta berita pertama
selepas sidang akhbar itu. Televisyen pula menyiarkannya dalam siaran
beritanya pada malam itu. Sementara semua akhbar harian menyiarkan
laporan itu di muka depan pada keesokan harinya. Berita penulis
disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dan Utusan Melayu.
Berita itu menggemparkan dan menjadi perbualan masyarakat. Ini kerana
gejala AIDS itu sendiri menggemparkan dunia. Ia pula dikaitkan dengan
golongan homoseksual. Sebelum itu, AIDS menjadi heboh di Amerika
Syarikat dan Eropah. Laporan mengenainya sampai di Malaysia melalui
berita Reuters, AFP dan AP yang disiarkan oleh media tempatan. Majalah
Time dan Newsweek yang diedar di negara ini juga melaporkannya.
Tetapi kebanyakan orang Malaysia hanya bergantung maklumat pada
akhbar-akhbar tempatan, radio dan televisyen RTM dan TV3. Tidak ada CNN,
BBC, Al-Jazeera, NHK dan Deutsche Welle.
Penyakit AIDS dirasakan jauh dan merupakan penyakit
negara-negara Barat yang tidak akan sampai ke Malaysia. Tiba-tiba keluar
laporan Singapura mengesan pesakit AIDS pertamanya.
Bila AIDS sampai Singapura, orang Malaysia mula berasa bimbang. Ada
antara yang merasakan Tambak Johor itu perlu dikawal supaya tidak ada
sesiapa yang boleh membawa penyakit AIDS itu ke Malaysia.
Tetapi ternyata apa yang dibimbangi itu berlaku juga. Seorang
penghidap penyakit AIDS menyeberangi Tambak Johor dan menjadi pesakit
AIDS pertama Malaysia.
Perasaan bimbang terhadap penyakit ini tidak tergambar dalam media.
Baik akhbar, radio dan televisyen mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan
dalam membuat laporan mengenai penyakit ini. Perkara utama ialah orang
ramai tidak wajar panik daripada sepatutnya.
Walaupun ada orang yang berpandangan berlainan menulis surat pembaca
di akhbar, tetapi ia tidak begitu dihiraukan. Tidak ada laporan palsu
dan teori konspirasi yang disiarkan oleh media.
Kepercayaan orang ramai
terhadap pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan, kerajaan dan
menteri adalah tinggi.
Ketika itu perdana menteri ialah Mahathir Mohamad yang pada 1986
menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum.
Kini AIDS sudah begitu luas berlaku. Walaupun ia masih menjadi ancaman
serius pada kesihatan tetapi orang ramai tidak panik.
34 tahun kemudian
Tahun 2020 tentulah berbeza daripada 1986. Perdana menteri walaupun
tetap Mahathir tetapi beliau dari Pakatan Harapan. Menteri kesihatan
pula Dzulkefly Ahmad dari Amanah. Kedua-duanya kini dan kerajaan menjadi
sasaran bertubi-tubi kecaman oleh pengguna Internet terutama di media
sosial.
Bertambah buruk lagi penularan laporan palsu yang mengelirukan dan memberi imej buruk pada kerajaan.
Pengkritik terdiri daripada 3 pihak. Pihak pertama ialah penyokong
pembangkang yang sememangnya memusuhi PH. Mereka akan sentiasa
berfikiran dan mencari keburukan PH dalam apa jua isu. Maka isu wabak
virus Wuhan ini durian runtuh bagi mereka.
Pihak ke-2 ialah golongan politik rasis dan keagamaan Melayu-Islam.
Mereka akan sentiasa melihat semua isu dari kaca mata rasisme Melayu.
Kerajaan PH bagi mereka diteraju DAP. Mereka menentang DAP dari sudut
mereka orang Cina. Bila berlaku wabak virus Wuhan, dengan mudah ia
dilihat dari sudut perkauman dan keagamaan. Ada kalanya pihak pertama
dan kedua itu orang sama.
Sementara pihak ke-3 orang biasa bukan politik atau ideologikal.
Malah antara mereka penyokong kerajaan dan pengundi PH. Bagaimanapun
mereka terpengaruh dengan laporan-laporan palsu dan termakan dengan
hujah mereka. Maka mereka turut mempersoalkan langkah-langkah kerajaan
dan segala jawapan Kementerian Kesihatan ditolaknya.
Bagaimanapun, tidak seperti Mak Hon Kam dahulu, Dzulkefly tidak
mempunyai masalah dengan partinya. Sebaliknya yang bermasalah ialah
Mahathir. Kalau pada 1986, Mahathir tidak mempunyai masalah dengan BN.
Tetapi dalam PH, ada isu peralihan kuasa dengan pemimpin PKR, Anwar
Ibrahim.
Seperti AIDS, penyakit virus Wuhan masuk ke Malaysia melalui Tambak
Johor dari Singapura. Tetapi ada 4 perkara yang membezakan 2020 dengan
34 tahun dahulu.
Pertama, dulu China tidaklah begitu maju seperti pada hari ini dan
Malaysia tidaklah banyak berkait dengannya. Tetapi kini bilangan
pelancong China begitu besar dengan memberi kesan bermakna pada kedua
negara. Malah sudah banyak warga China yang memiliki hartanah.
Ke-2, pengangkutan udara penumpang kini jauh lebih meluas berbanding
1986. Dengan adanya perkhidmatan tambang murah, banyak orang boleh ke
mana-mana dalam waktu yang singkat. Maka terdapat banyak penerbangan
dari China ke Malaysia. Ia memudahkan pergerakan manusia dan juga
mempercepatkan penyebaran penyakit.
Ke-3, landskap teknologi maklumat yang berbeza daripada 1986. Orang
ramai tidak lagi bergantung maklumat daripada akhbar, radio dan
televisyen. Mereka memperolehi maklumat daripada media digital dan media
sosial yang bercampur-baur dengan kepalsuan serta dapat dimanipulasi
oleh pelbagai jenis pihak hinggakan kelunturan kepercayaan terhadap
pihak berkuasa.
Ini membawa kepada perkara ke-4. Komen-komen negatif dalam media
sosial terhadap pihak berkuasa menunjukkan terdapat sentimen besar
penolakan terhadap kerajaan. Suasana ini tidak dirasakan pada 1986. PH
bukan seperti BN. Tetapi BN sekarang pun tidak sama dengan yang dahulu.
Zaman itu sudah berlalu. Kerajaan akan terus melakukan apa yang
difikirkan terbaik tetapi akhirnya pada pilihan raya umum ke-15, rakyat
akan memilih siapa yang patut memerintah walaupun banyak dalam kalangan
mereka termakan dengan berita palsu dalam media maya.
Dengan mentaliti yang ada ini, kerajaan yang mereka pilih kelak tidak akan lebih baik, malah mungkin lebih buruk.