HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 September 2007

Reezal arah Syed Arabi paksa Hamidon buka semula penamaan calon UIAM

Ahmad Lutfi Othman

Saya kurang bersetuju dengan cadangan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus UIAM 2007/08 dipecat ekoran kontroversi penamaan calon "terpaksa" dibuka semula selepas 11 calon Pro-Mahasiswa diisytihar menang tanpa bertanding.

Apatah lagi pihak yang bakal memecat suruhanjaya itu ialah pentadbiran tertinggi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sendiri. Sedangkan orang yang bikin onar dan keributan ialah Rektor Dr Syed Arabi Idid, selepas ditekan oleh pihak luar, yang diketuai oleh Presiden GPMS, Reezal Merican Naina Merican, yang juga Setpol Menteri Kewangan I.

Bagi saya, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ustaz Hamidon Abdul Hamid, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Kampus UIAM, boleh diumpamakan seperti kambing hitam. Beliau bersama pesuruhjaya, Dr Raihan Othman sudah menjalankan tugas sepertimana diamanahkan.

Agak ramai juga bakal-bakal calon Aspirasi yang tidak melepasi syarat dan kelayakan asas untuk bertanding. Dan ini menimbulkan kemarahan amat sangat Reezal Merican (bersama isterinya, Datin Ismalina), yang seterusnya membuatkan Setpol Abdullah Ahmad Badawi itu menghubungi Syed Arabi mendesak agar dilakukan apa jua jalan bagi menghalang kumpulan Pro-Mahasiswa menang mudah.

Pastinya jiwa Reezal Merican "terbakar hangit", sekali gus diaibkan apabila "budak-budaknya" tewas sebelum berjuang. Ada di kalangan mereka yang terkandas dalam ujian pengucapan awam. Lebih mengaibkan, dua daripadanya tidak mengisi borang pencalonan dengan lengkap, dan ini menyebabkan mereka tersingkir lebih awam.

Sumber memberitahu, selepas diasak Reezal, maka Syed Arabi bertindak segera mengarahkan Hamidon mengeluarkan satu notis baru memaklumkan proses penamaan calon dibuka semula pada hari minggu, 30 September, manakala hari mengundi tidak berganjak daripada tarikh asal, 2 Oktober, Selasa.

Mungkin menyedari beliau akan dituduh sebagai pihak tidak bertanggungjawab atau tidak mahu dilabelkan "pak sanggup", Hamidon, dalam notis umum pada petang 27 September, iaitu sehari selepas penamaan calon (pertama) berakhir, meletakkan ungkapan "Directive From Top Management" pada para awal.

Beliau seperti mahu memberitahu bahawa keputusan drastik (dan tidak munasabah itu) bukan idea Suruhanjaya Pilihan Raya yang dipengerusikannya, tetapi merupakan "wahyu" (yang tidak boleh disanggah) pengurusan tertinggi universiti, merujuk langsung kepada Syed Arabi.

Dalam ayat kedua notis tersebut, Hamidon sekali lagi menekankan: "The Election Commission has been instructed ...."

Peranan Reezal sebagai dalang utama Aspirasi di UIAM terbongkar apabila satu kertas kerja "e-day 07/08" bertajuk "Revival of Students Movement", yang membutirkan langkah pihaknya untuk menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) UIAM daripada kumpulan mahasiswa yang dianggap propembangkang, bocor kepada warga universiti Islam itu.

Dalam lampiran I kertas kerja berkenaan, disenaraikan panel penasihat mereka, antara lain Menteri Pengajian Tinggi, Mustapa Mohamad; Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein; Dr Khir Toyo, Menteri Besar Selangor;Sanusi Junid, Presiden UIAM; Dr Syed Arabi Idid, Rektor UIA; Reezal sendiri; Dr Adham Baba, Setiausaha Parlimen KPT; dan Yuszahari Mohd Yusoff, Adun Gombak.

Dimaklumkan Pengetua Kolej Kediaman Bilal, Dr Jamil Hashim juga merupakan tenaga penting menggerakkan perancangan Reezal itu, termasuk menyediakan beberapa kemudahan logistik dalam kampus. Manakala Adun Gombak Setia, Yuszahari bertanggungjawab memcari markas operasi di luar kampus. Isteri Reezal turut menjadi pembantu kanan beliau.

Dalam kertas kerja itu juga dicatatkan bahawa Reezal menyumbangkan RM1,5000. Anggota Exco Pendidikan Pemuda Umno, Ahmad Ikmal Ismail (diperkenalkan sebagai Abang Ikmal) turut menghulurkan wang tunai dalam jumlah yang sama, selain membayar RM1,000 lagi untuk kegunaan segera.

Justeru, ada pihak menjangkakan Hamidon mungkin akan digugurkan selepas ini akibat kegagalannya menjaga maruah dan air muka Reezal. Syed Arabi hanya melaksanakan saja tuntutan pihak luar yang berkepentingan itu.

Ia dapat dijangka lebih awal memandangkan Hamidon tidak pun disenaraikan dalam kertas kerja itu sebagai penasihat, sedangkan tujuh kakitangan UIAM yang lain dilibatkan bersama.

Difahamkan Timbalan Rektor HEP itu sudah lama disangsikan "kesetiaannya" dan jarang dijemput menghadiri siri pertemuan sulit rakan-rakan sejawatannya bagi merumuskan tindakan memenangkan Aspirasi dalam PRK.

Tiada ulasan: