HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 April 2021

Siapa bakal tentang Zahid?

 Borhan Abu Samah

APABILA Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti tahun ini, tiba-tiba politik menjadi sedikit tenteram.

Tetapi tenteram di luar tidak bermakna tenteram di dalam. Khabar yang diterima mereka bercita-cita menawarkan diri untuk bertanding mula bergerak, termasuk cuba melihat sokongan di bahagian-bahagian.

Pelbagai perjumpaan diadakan, apatah pula sekarang bulan puasa, ia digunakan sepenuhnya untuk menganjurkan program berbuka puasa di seluruh negara.

Jawatan yang menjadi tumpuan tentulah presiden. Beberapa nama disebut bakal menentang penyandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Antaranya ialah Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin.

Masing-masing meninjau peluang sebelum menawarkan diri kerana keburukan bertanding jawatan presiden adalah apabila kalah akan hilang segala-galanya.

Ini adalah kerana ia adalah kemuncak kerjaya politik seseorang dan jika kalah tidak memungkinnya untuk bertanding jawatan yang lebih rendah di dalam parti.

Tengku Razaleigh contohnya selepas kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad merebut jawatan presiden beliau terus tersisih dari arus perdana politik. Begitu juga beberapa pemimpin lain.

Seseorang mungkin mencuba berkali bertanding jawatan presiden jika merasakan masih mendapat cukup sokongan.

Sebab itulah pemimpin seperti Mohamad atau Tok Mat hanya bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan lalu.

Jika mahu selamat Tok Mat mungkin hanya mempertahankan jawatan yang sedia disandang, kerana pertembungan banyak penjuru menyukar lagi peluang untuk menang jika tiada sokongan yang benar-benar mantap.

Bagi Zahid pula beliau tidak akan rugi apa-apa kerana hanya perlu mempertahankan jawatannya.

Zahid sebelum ini telah mempelawa siapa sahaja yang mahu menentangnya semasa pemilihan nanti dan ini bermakna beliau akan bertanding serta tidak akan memberi laluan, walaupun terdapat pihak yang menggesa Zahid melepaskan jawatan berkenaan.

Pihak yang mahu Zahid melepas jawatan atau tidak bertanding sedar akan sokongan terhadap Zahid masih lagi kuat.

Kelebihan Zahid beliau bijak menjaga ukhuwah dengan ketua-ketua bahagian yang bakal menentukan siapa yang akan menang pada pemilihan.

UMNO pula terpaksa menjalankan pemilihan tahun ini, walaupun sedar akan risiko perpecahan dan pergeseran akibat daripada pertandingan tersebut.

Apatah lagi jika sebaik selesai pemilihan dan terpaksa pula berdepan dengan pilihan raya ia bukan satu situasi yang baik.

Apapun UMNO tidak boleh mengambil risiko tidak mengadakan pemilihan kerana belum pasti bila pilihan raya akan diadakan. Ini adalah kerana perdana menteri kali ini bukan orang UMNO.

Ibaratnya pisau di tangan orang lain. Jadi UMNO perlu bersedia jika pilihan raya diadakan sebaik tamatnya darurat pada Ogos depan.

Desakan yang semakin memuncak kemungkinan besar menyebabkan darurat tidak disambung dan apabila parlimen bersidang kerajaan hari ini hilang majoriti akan memaksa pilihan raya diadakan.

Siapa jua dipilih menerajui parti keramat orang Melayu kelak harus mampu memikul tanggungjawab yang besar iaitu memastikan UMNO tidak sekali lagi berdepan dengan kekalahan pada pilihan raya kerana parti terbesar orang Melayu tidak boleh kalah sekali lagi.

Selain itu kepimpinan baharu juga perlu mampu menjaga hubungan UMNO dengan Pas yang akan menjadi fomular untuk menang pada pilihan raya dan kunci kepada kestabilan politik negara yang mewakili majoriti orang Melayu yang menjadi majoriti penduduk negara ini.

Orang Melayu keseluruhannya memang mengharapkan Pas dan UMNO berbaik kerana ia penting kepada survival politik Melayu. SM

Annuar Musa nasihat mereka yang fitnah beliau tidak babitkan pihak lain

  Borhan Abu Samah

Tan Sri Annuar Musa terkilan apabila fitnah bukan sahaja dilemparkan terhadap beliau tetapi turut melibatkan nama baik pihak lain.

Menteri Wilayah itu berkata, penyanyi Nora ialah dari keluarga yang baik-baik turut dijadikan mangsa fitnah.

Kata Annuar di bulan Ramadan juga tidak menghalang pihak berkenaan untuk menyebar fitnah.

Menurut Annuar, beliau berasa tidak sedap hati apabila terbaca berita tersebut, apatah lagi melibatkan nama baik orang lain.

Sebagai orang politik Annuar berkata, beliau sedar terpaksa berdepan dengan semua asam garam tersebut.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

   BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT

Kenyataan Hamzah angkuh, hina istana - Pemuda PH

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Shazni Munir Mohd Ithnin menyelar Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang memetik nama "Tuanku" sebagai justifikasi bagi menaikkan pangkat pegawai anggota polis pilihannya.

Jelas Shazni tindakan Hamzah itu adalah satu perbuatan biadab, sekali gus mengheret istana dalam kancah politik.

"Jika diamati butir demi butir audio yang tular, jelas bahawa Hamzah Zainuddin telah memetik nama ‘Tuanku’ sebagai justifikasi untuk beliau menaikkan pangkat anggota polis yang mahu dipilihnya.

"Tanpa segan silu menggunakan panggilan ‘budak kita’, Hamzah jelas telah berlaku biadab dengan menyalahgunakan nama ‘Tuanku’, sekaligus menghina dan mengheret institusi Raja Berperlembagaan untuk kepentingan politik beliau.

"Kita merasakan bahawa tindakan menteri dalam negeri ini telah melampaui batas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Hamzah hari ini mengakui bahawa suara dalam klip audio viral yang membincangkan pemilihan ketua polis baru untuk negara itu adalah miliknya.

Ahli Parlimen Larut itu memberitahu sidang media bahawa dia bersedia mengakui hakikatnya kerana dia tidak melakukan sebarang kesalahan.

"Saya percaya itu benar-benar suara saya. Dan saya tidak melakukan kesalahan. Apa kesalahan di sini?

"Satu-satunya kesalahan (dengan klip audio) adalah orang yang merakam perbualan saya dengan seseorang. Itu salah. Apa yang saya buat tidak salah," kata Hamzah.

Dalam pada itu, Shazni yang juga ketua pemuda Amanah menyifatkan pengakuan Hamzah penuh keangkuhan selain mengakui apa yang dilakukan adalah mengikut skop kerjanya.

Oleh itu katanya, satu laporan polis akan dibuat terhadap Hamzah yang jelas menghina istana.

"Kita merasakan bahawa tindakan menteri dalam negeri ini telah melampaui batas. Justeru satu laporan polis akan dibuat pada hari Selasa, 4 Mei 2021 jam 11 pagi di IPD Dang Wangi.

"Kita mahu penghinaan dan cubaan untuk mengheret nama ‘Tuanku’ oleh Hamzah itu disiasat setelus-telusnya. Menteri masih tertakluk kepada undang-undang. Jawatan itu bukan tiket untuk disalahguna, apatah lagi dijaja seolah-olah perlakuan salah itu direstui payung negara," katanya.

Kekosongan DUN Melor diisytihar lepas sijil mati diperoleh - Speaker

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor berikutan kematian penyandangnya Dr Md Yusnan Yusof hari ini, akan diisytiharkan selepas sijil kematian daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diperoleh.

Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub berkata setakat ini beliau belum memperoleh sijil kematian itu dan beliau akan memaklumkan perkara itu kepada SPR selepas menerima sijil berkenaan.

"Saya akan menghubungi SPR mengenai kematian ADUN Melor, Dr Md Yusnan Yusof. Sebaik dimaklumkan barulah pengisytiharan kekosongan kerusi bagi DUN itu akan saya lakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Yusnan meninggal dunia di rumahnya di Melor, di sini, selepas mengalami serangan jantung sebelum menghembuskan nafas terakhir 2.28 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Romaini Mat Daud, 52 dan enam orang anak.

Md Yusnan memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilhan Raya Umum ke-13 dan ke-14.- Bernama

Laksana Undi18, pendaftaran pemilih secara serentak – Pemuda UMNO

MGF30032021_FORUM-DEMOKRASI51
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengesyorkan agar Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan garis masa yang jelas berkenaan dengan pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik.

Ini bagi memastikan tidak ada lagi sebarang persepsi negatif seolah-olah menggambarkan ada usaha terancang untuk menggagalkan agenda bersejarah yang disepakati secara bipartisan di Parlimen, kata ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki.

Katanya, Pemuda UMNO menyambut baik keputusan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan Undi18 menjelang PRU-15 kelak dan mahu pelaksanaan berjalan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik.

Kaedah itu adalah sebagaimana syarat utama yang diletakkan oleh Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional ketika pindaan Perlembagaan Persekutuan hendak diluluskan di Dewan Rakyat pada 2019, tegas Asyraf.

Tuntasnya, ujar beliau, pelaksanaan Undi18 adalah hasrat murni untuk memberikan suara dan hak demokrasi kepada lebih 1.2 juta anak muda berumur diantara 18 dan 20 tahun serta hampir 4.2 juta rakyat Malaysia yang berumur lebih 21 tahun tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih.

Dalam pada itu, Pemuda UMNO menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan yang terus komited untuk memastikan perlaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik sebagaimana yang diputuskan di Parlimen merentasi parti menjadi satu kenyataan. – MalaysiaGazette

Mengapa ramai sangat kaum India mati dalam tahanan polis – AMK

3B447ADC-32BC-4EAC-A93D-D4E315C9A008

KUALA LUMPUR – “Bukan niat untuk sesuka hati menuding jari atau cuba timbulkan isu perkauman namun kebenaran dan kerunsingan pastinya tidak dapat disangkal langsung,”.

Itu kata Naib Ketua Angkatan Pemuda Keadilan Malaysia (AMK), Thiban Subramaniam mengenai kematian A. Ganapathy, yang didakwa dipukul polis dengan paip getah ketika berada dalam tahanan.

Thiban mendakwa hampir 55 peratus kematian yang dikaitkan dengan tahanan polis sejak beberapa tahun kebelakangan ini masih belum nampak terdapat penyelesaian.

“Sudah seperti satu menjadi satu ‘norma’ ada tahanan mati dan kita pula terpaksa bertungkus lumus perjuangkan keadilan kematian-kematian ini, walaupun yang ditahan dan ditangkap ini dikaitkan dengan kejadian jenayah, adakah mereka perlu diperlakukan sebegitu rupa?

“Kita ada undang-undang, adakah mati itu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh pesalah itu? Bayangkan apa yang perlu dilalui oleh keluarga yang kehilangan ahli keluarga, darah daging atau keluarga terdekat untuk selama-lamanya?,” katanya sambil menambah polis perlu tampil beri penjelasan berhubung kematian Ganaphaty

Beliau yang mempersoalkan mengapa ramai kaum India mati dalam tahanan polis berkata, Ganapthy bukan satu-satunya contoh itu, malah ada kes yang berkubur begitu sahaja.

C99910CB-2EBB-4974-B511-5DD21BC67057 

Pada 24 Februari, Ganapathy telah ditahan bagi membantu siasatan terhadap seorang adiknya yang dicari polis.

Dia dibebas pada 8 Mac dan dimasukkan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang.

Ibunya, S Thanaletchumy mendakwa anaknya memberitahu bahawa dia dipukul oleh polis dengan menggunakan paip getah.

Mendiang yang bekerja sebagai penjual susu lembu mempunyai masalah buah pinggang dan kakinya perlu dipotong.

Keluarga mendiang mendakwa kesihatannya merosot ketika dalam tahanan polis, mengakibatkan kakinya bengkak dan lebam seolah-olah dipukul.

Thiban mendakwa, masyarakat sudah tidak tahan dengan amalan pilih bulu dan mahukan keadilan dalam semua perkara.

“Bukan sahaja Ganapathy, kisah ‘Abang Burger’ dan penjual kerepok juga, kita perlukan keadilan sewajarnya, kerajaan perlu bertindak kerana rakyat sedang perhatikan anda semua,” ujarnya. -MalaysiaGazette

(*) KDN perlu jawab dakwaan kematian Ganapathy – Sivarraajh

Tak mustahil Zahid juga antara calon PM selepas Muhyiddin, kata penganalisis

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Walaupun berdepan pendakwaan di mahkamah dan kritikan dikalangan pemimpin dalam parti diketuainya sendiri, penganalisis politik tidak menolak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi antara calon perdana menteri (PM) yang layak dipertimbangkan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, dinamika semasa politik negara sentiasa berubah-ubah dan meskipun Zahid dianggap sebagai calon ‘underdog’ disebabkan banyak terpalit dengan kontroversi, ia bukan sesuatu yang mustahil sekiranya pemimpin nombor satu UMNO tersebut ditabalkan sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum nanti.

“Begitu ketika sekarang ramai dilihat cuba memperlekehkan Zahid sebagai calon perdana menteri selaku Presiden UMNO.

“Pihak yang cuba meminggirkan dan memperlekehkan Zahid perlu sedar nasib politik Zahid dalam keadaan kurang dalam radar politik negara dengan pelbagai tuduhan boleh berubah berdasarkan situasi politik semasa dan takdir politik boleh yang dianggap kelam boleh bertukar cemerlang dan mengambil tempat serta kedudukan.

“Tiada siapa dapat meneka dengan tepat seperti pernah berlaku dalam konteks Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kurang dalam radar politik arus perdana sebelum ini,” katanya kepada Agenda Daily hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada Zahid masih sesuai menjadi calon perdana menteri daripada UMNO, rentetan dakwaan mahkamah yang membelenggu orang nombor satu UMNO itu.

Tambahnya, dalam politik apa-apa sahaja boleh berlaku, kerana tiada siapa dapat jangka secara tepat takdir politik seseorang ahli politik, sebagai contoh nasib yang menimpa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sebelum ini ramai menjangka Anwar akan ambil alih kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana semua sudah dipersetujui dalam perjanjian PH sebelum PRU lagi.

“Meskipun sudah ada perjanjian bertulis, namun perjanjian ini dikhianati dan Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan tiba-tiba tanpa berunding dengan komponen PH,” tegasnya.

Dalam pada itu jelasnya lagi, tiada siapa juga menjangka Muhyiddin dapat menjadi PM kerana sebelum ini dilihat tak ada kelebihan berbanding Anwar.

“Namun takdir politik menentukan Muhyiddin jadi PM,” katanya lagi.

Pada awal bulan lalu, nama Zahid kembali terpalit kontroversi apabila satu klip audio tular pakatan sulit dengan Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU) lalu.

Rentetan itu wujud desakan dari dalam parti yang mahukan Zahid segera membersihkan namanya selain tuntutan supaya beliau melepaskan jawatan.

Malah, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan ketika berbicara berhubung calon perdana menteri seolah-olah memberi bayangan bahawa beliau tidak yakin untuk meletakkan presiden parti sendiri, Zahid sebagai calon perdana menteri.

Dalam kenyataanya itu, Shahril membayangkan UMNO mempunyai ramai calon perdana menteri secara tidak langsung mengakui bahawa parti itu tidak ada keyakinan penuh terhadap Zahid.

Sokong Anwar: Sampai bila MT UMNO nak berdiam diri?

AGENDA DAILY

Datuk Seri Shahidan Kassim pada sidang media malam tadi. Turut sama, kegtua Wanita UMNO Perlis, Datuk Shamsiah Yasin.

Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dilihat masih berdiam diri terhadap pemimpin yang melanggar keputusan parti menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua UMNO Bahagian Arau itu berkata apakah tidak menjadi kesalahan bagi mereka yang cuba melakukan gerakan menyokong Anwar sedangkan parti telah membuat ketetapan ‘No Anwar’, No DAP’?

Katanya, MT atau jawatan kuasa disiplin parti tidak boleh berdiam diri dalam soal itu.

“Contohnya ada orang tulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong Anwar, itu sesuatu yang tidak boleh didiamkan. MT nampaknya diam, jawatan kuasa disiplin pun nampaknya diam, ambil lah tindakan kalau betul.

“Kalau tidak salah tidak mengapalah, tetapi kena beritahu. Ini kata ‘No Anwar, No Dap’ tetapi pergi menyokong Anwar. Kalau ada orang pergi menyokong Anwar, DAP maka orang itu perlu dikenakan tindakan,” katanya dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Tambah Shahidan, MT kena beri perhatian serius kepada orang melanggar keputusan parti tersebut.

“Kalau ada membuat gerakan menyokong Anwar salah atau tidak. Kalau tidak salah tidak apa mungkin keputusan MT ‘No Anwar, No DAP’ tetapi nak sokong Anwar bolehlah,” katanya.

Sementara itu, Shahidan memberi gambaran terdapat dalam kalangan ahli Parlimen UMNO melakukan gerakan mendapat tandatangan menyokong Anwar.

Bagaimanapun beliau berkata, perincian mengenai isu tersebut akan didedahkan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

“Yang lain-lain lepas raya lah. Lepas raya saya hendak cerita sikit pasal gerakan yang dibuat dalam kalangan ahli Parlimen dan saya tahu siapa yang tandatangan dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, Shahidan memaklumkan pendedahan akan dibuat berhubung dakwaan usaha Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang cuba mengumpulkan tandatangan untuk menyokong Anwar baru-baru ini di Parlimen.

Annuar kesal difitnah kahwin penyanyi, tak nak marah-marah

ANNUAR, gambar fail. FOTO Arkib NSTP
ANNUAR, gambar fail. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Anuar Musa menyifatkan khabar angin kononnya beliau berkahwin dengan seorang penyanyi tanah air, yang tular di media sosial sebagai fitnah yang cuba menjatuhkan karier politiknya.

Annuar turut meluahkan kekesalan dan terkilan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan khabar angin yang turut menjejaskan reputasi pihak lain tidak berkaitan.

"Saya orang politik tak mengapalah, kalau kawan-kawan nak fitnah sikit-sikit, tapi janganlah melibatkan orang lain yang juga ada keluarga.

"Setahu saya (penyanyi berkenaan) daripada keluarga yang cukup terhormat, saya kenal latar belakang mereka, kalau nak fitnah, libatkan saya sahaja jangan kaitkan orang lain," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak binaan blok tambahan Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz, di sini, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, setakat ini beliau tidak berniat untuk mengambil tindakan lanjut sebaliknya meminta pihak yang menyebarkan khabar angin berkenaan bermuhasabah.

"Walau bagaimanapun, saya doakan orang tersebut (penyebar) mengambil iktibar bulan Ramadan ini kurangkanlah perkara mungkar, saya tak nak marah-marah, elok sabar sajalah, " katanya.

Sejak Rabu, tular di Twitter kononnya Annuar, 65, dan penyanyi Datuk Nora Ariffin, 48, sudah bernikah sebagai isteri kedua, namun penyanyi berkenaan menafikan khabar angin berkenaan.

Adun Melor meninggal dunia

Kota Bharu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr Md Yusnan Yusof meninggal dunia di kediamannya, di sini, hari ini.

Allahyarham yang berusia 53 tahun menghembuskan nafas terakhir, 2.28 pagi tadi di kediamannya di Melor.

Perkara itu disahkan anak allahyarham, Mohd Auzaie di Facebook.

"Dukacita dimaklumkan bahawa baba, Dr Yusnan sudah pergi menghadap Ilahi jam 2.28 pagi.

"Mohon doakan arwah ditempatkan di kalangan para solihin.

"InsyaAllah solat jenazah akan diadakan jam 2 petang di Masjid Ketereh. Mohon kepada semua untuk patuh prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham dari PAS menang dengan mendapat 7,820 undian ketika menentang Azmi Ishak daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 7,173 undi.

Saifuddin Abdullah positif COVID-19

Athirah Huda Zalhe

Masih jalani kuarantin di rumah sementara tunggu kemasukan ke wad

BANGI – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah disahkan positif COVID-19 setelah mendapat keputusan ujian saringan, malam tadi.

Pejabat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) memberitahu, beliau akan menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Kata kementerian lagi, setakat ini, Saifuddin sedang menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu kemasukan ke wad di hospital.

“Sepanjang tempoh rawatan dan kuarantin, Datuk Saifuddin akan terus memantau dan memastikan segala urusan kementerian berjalan dengan lancar.

“Datuk Saifuddin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan kesembuhan beliau dan memohon maaf di atas kesulitan yang timbul akibat daripada situasi ini,” kata KKMM dalam kenyataan, hari ini.

Desakan Parlimen bersidang sangat kuat, kerajaan terpaksa akur

Siti Hafidah

Muhyiddin mungkin hilang kepercayaan anggota Dewan Rakyat

BANGI – Desakan supaya pengisytiharan darurat dibatalkan dan Parlimen bersidang ketika ini dilihat sangat kuat.

Sekiranya perkara itu berlaku, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin berdepan undian yang membuktikan bahawa beliau hilang kepercayaan anggota Dewan Rakyat, sekali gus memerlukan Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, jika tiada tokoh lain yang ada majoriti, Parlimen perlu dibubarkan.

“Dalam masa 60 hari perlu diadakan Pilihan Raya Umum ke-15. Desakan agar Parlimen bersidang sangat kuat. Kerajaan akhirnya terpaksa akur.

“Semua kena bersedia ke arah itu,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Dr Fathi turut mengulas mengenai peningkatan kes COVID-19 di India yang dianggap luar biasa mendadak.

“Jumlah kematian pada hari semalam 28 April 2021 adalah 3,647. Jumlah kes baru pula pada hari itu pula 379,459. Jumlah kematian dan jangkitan semakin naik dari hari ke hari.

“Dalam laporan disebut bahawa fenomena ini berlaku akibat kerajaan melonggarkan SOP. Pada 5 April, Menteri Kesihatan India berkata India dalam proses ‘end-game’ kepada pandemik.

“Dengan kelonggaran itu, dua bentuk aktiviti besar menjadi rancak. Pertamanya aktiviti politik – kempen pilihan raya. Keduanya aktiviti agama – antaranya Pesta Kumb dan perhimpunan besar di Sungai Gangga,” katanya.

Dibandingkan dengan langkah membendung COVID-19 di Malaysia, beliau berkata, kerajaan masih bertegas.

“Aktiviti keagamaan terkawal mengikut SOP. Aktiviti politik juga terkawal termasuklah pilihan raya yang dihalang melalui Proklamasi Darurat. Namun risiko tetap ada,” katanya.

Khamis, 29 April 2021

"Saya berpegang pada kenyataan Setiausaha Agung UMNO bukannya 'Taj Mahal'" - Khairy

Abd Hadi Che Awang
"Saya berpegang pada kenyataan Setiausaha Agung UMNO bukannya 'Taj Mahal'" - Khairy
Menurut Khairy, anggota jemaah menteri dari UMNO hanya akan berpegang pada kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung dan bukannya orang lain. - Gambar fail
 
KANGAR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan, beliau hanya akan berpegang kepada kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung UMNO mengenai sebarang keputusan khususnya bagi menteri dan timbalan menteri dari parti itu untuk menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.
 
Menurutnya, setakat ini, tidak ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung tarikh sebenar untuk berbuat demikian.
 
Justeru, tegas Khairy, kenyataan yang dikeluarkan oleh ‘Taj Mahal’ iaitu merujuk kepada Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada awal bulan ini bahawa ahli-ahli parti itu yang sedang berkhidmat sebagai menteri akan melepaskan jawatan masing-masing menjelang Ogos depan adalah tidak selari dengan apa yang disebut Ahmad.
 
"Kita berpegang kepada kenyataan yang telah dibuat Setiausaha Agung UMNO (Ahmad Maslan) tidak sebut apa-apa tarikh (letak jawatan),
 
"Jadi yang bercakap pasal (bulan) Ogos ini (adalah) 'Taj Mahal', (iaitu) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman… jadi 'Taj Mahal' tak boleh cakap (mengenai letak jawatan), kita (menteri dan timbalan menteri) kena dengar (dan ikut kenyataan) Setiausaha Agung (UMNO)," jelas Khairy.
 
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 (PPV) Dewan 2020, di sini pada Selasa.
 
Awal bulan ini, Tajuddin berkata, kesemua pemimpin UMNO yang kini sedang berkhidmat sebagai menteri, timbalan menteri dan pengerusi di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan melepaskan jawatan masing-masing menjelang Ogos depan.
 
Dalam wawancara bersama sebuah portal berita tempatan itu, Tajuddin turut menegaskan UMNO membuat keputusan pada Perhimpunan Agung lalu untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bulan yang sama jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih gagal membubarkan Parlimen.

Pemilihan UMNO tahun ini, ramai akar umbi lega - KB Kapar

Astro Awani
Pemilihan UMNO tahun ini, ramai akar umbi lega - KB Kapar
Menurut Ahmad Roslee, Ahmad Zahid harus tegas dengan kata-kata sendiri kerana ia akan membuatkan pimpinan akar umbi dan ahli UMNO hormat kepada beliau - Sumber foto UMNO ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Keputusan mengadakan Pemilihan UMNO tahun ini melegakan ahli parti untuk memilih kepimpinan baharu dan menggerakkan parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
 
Ketua UMNO Bahagian Kapar, Mohd Roslee Abd Hamid berkata, parti tidak ada sebab untuk menangguhkan pemilihan melainkan alasan lain ditentukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
 
"Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak ada sebab menangguhkan pemilihan, kalau dia hendak kekal, bertandinglah, kalau dia bertanding, dia kuat.
 
"Walaupun dia terpalit kes, kalau dia menang, tidak boleh hendak salahkan ahli UMNO.
 
"Ahmad Zahid harus tegas dengan kata-kata sendiri kerana ia akan membuatkan pimpinan akar umbi dan ahli UMNO hormat kepada beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah RoS dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meminta nasihat dan garis panduan bagaimana untuk UMNO menjalankan pemilihan parti pada tahun ini.
 
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia dibuat selaras peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan SOP COVID-19.
 
Dalam pada itu kata Mohd Roslee, ahli perlu akur jika keputusan ROS kelak menyekat pemilihan diadakan tahun ini.
 
"Memandangkan COVID-19 dan surat yang sudah dihantar kepada RoS, ada kemungkinan ahli akan tersekat untuk hadir mesyuarat yang hanya dibenarkan separuh kapasiti bangunan.
 
"Jadi UMNO tidak nampak pengecut hendak buat pemilihan tetapi dengan meminta kebenaran RoS akan menyebabkan secara tersiratnya ia mungkin ditangguhkan.
 
"Kita bukan lagi parti pemerintah, jadi bukan kita yang tentukan bila Parlimen akan dibubar atau sahaja alsan penangguhan pilihan parti kerana hendak PRU15.
 
"Jadi alasan COVID-19 akan digunakan jika pemilihan ditangguhkan kerana ia berkait rapat dengan persidangan Parlimen yang juga tidak diadakan kerana alasan sama," tegasnya.
 
Mohd Roslee di dalam portal SuaraTV sebelum ini berkata, Zahid harus tegas untuk mengotakan janji beliau yang memberi jaminan pada Februari lalu bahawa pemilihan parti akan tetap diadakan tahun ini.
 
Tambahnya, ia akan membuatkan pimpinan akar umbi dan ahli UMNO hormat kepada beliau.
 
Katanya, pemilihan UMNO wajar dibuat sebelum PRU15 selain mengikut jadual dan Perlembagaan parti yakni pemilihan setiap tiga tahun sekali.
 
"Kami tidak mahu Presiden UMNO tangguh untuk kepentingan pihak tertentu yang minta dilanjutkan. Presiden kalau dia 'firm' orang akan hormat.
 
"Kalau tangguh, berlengah orang akan anggap dia (Zahid) takut dengan desakan dalaman parti yang minta dia letak jawatan.
 
"Zahid kena tegas, UMNO bukan mewah, Zahid bukan ada jawatan dalam Kabinet malah bukan Timbalan Perdana Menteri pun," tegas Mohd Roslee, memetik sebagai berkata dalam portal berita tersebut.

Tunggu keadaan 'panas' reda dahulu - Azlan

Bernama
Tunggu keadaan 'panas' reda dahulu - Azlan
Azlan berkata walaupun UMNO Bahagian Arau dan Padang Besar mengeluarkan kenyataan menolak pelantikan beliau, ia tidak menggambarkan keadaan sebenar di peringkat akar umbi. - Gambar fail
 
KANGAR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata beliau bersikap terbuka dan menunggu keadaan kembali reda untuk sedia bekerjasama dengan semua pemimpin parti di peringkat bahagian.
 
Beliau yang juga Menteri Besar Perlis berkata pendekatan tersebut diambilnya bagi mengelak keadaan di dalam parti menjadi lebih teruk dan sedia untuk bekerjasama dengan semua, termasuk pihak yang menolak pelantikannya sebagai peneraju UMNO Perlis.
 
"Tunggu keadaan 'panas' ketika ini reda dahulu dan saya akan cari jalan terbaik agar kita dapat duduk sebaris nanti. Saya mengambil sikap terbuka dan tidak mempunyai sifat pendendam, jauh lagi bermusuh dengan sesiapa sahaja," katanya pada majils berbuka puasa bersama-sama kepimpinan UMNO Bahagian Kangar di kediamannya di sini, malam tadi.
 
Ahad lepas, Bernama melaporkan UMNO Bahagian Arau dan sayap Puteri Bahagian itu menolak pelantikan Azlan sebagai Pengerusi UMNO Perlis menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim, dan mendesak presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengembalikan jawatan itu kepada Shahidan.

Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata walaupun UMNO Bahagian Arau dan Padang Besar mengeluarkan kenyataan menolak pelantikan beliau, ia tidak menggambarkan keadaan sebenar di peringkat akar umbi.
 
"Yang tidak dapat menerima keputusan itu adalah ketuanya bukan keseluruhan Bahagian..apa pun biarlah keadaan reda dahulu dan saya yakin keadaan akan bertambah baik selepas ini...Insya-Allah," katanya menambah bahawa keadaan politik di Perlis tidak huru-hara sebaliknya apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendekatan yang digunakan oleh pemimpin politik di negeri itu.

Polis terima 18 laporan mengenai rakaman audio tular mirip Anwar, Zahid - Bukit Aman

Afiezy Azaman
Polis terima 18 laporan mengenai rakaman audio tular mirip Anwar, Zahid - Bukit Aman
Melalui audio berdurasi empat minit 17 saat itu, kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) menerusi panggilan telefon.
 
KUALA LUMPUR: Polis menerima 18 laporan berhubung rakaman audio tular yang didakwa mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata siasatan dijalankan bagi menentukan kesahihan atau kemungkinan terdapat pihak memalsukan rakaman itu bertujuan mencetus kegentaran awam dan mewujudkan perasaan tidak harmoni antara dua parti politik.
 
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang menyebabkan atau mungkin mengundang kegentaran awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar atau perkhidmatan rangkaian mengikut peruntukan Seksyen 108 (2) Kanun Tatacara Jenayah.
 
"Penularan rakaman audio tersebut telah memberikan pelbagai persepsi negatif dan menimbulkan kebimbangan masyarakat berdasarkan ribuan komen netizen di media sosial memandangkan kedua-dua individu dikaitkan merupakan pemimpin politik berpengaruh," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Huzir turut mengesahkan memanggil Ketua Pembangkang itu untuk dirakamkan percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan beliau telah hadir bersama peguamnya di Bukit Aman, hari ini.
 
"Tindakan memanggil Anwar ialah satu prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan. Ini diperlukan untuk membantu siasatan tentang sejauh mana rakaman audio tersebut dapat disahkan sebagai perbualan beliau bersama Zahid.
 
"Siasatan terperinci juga dijalankan untuk mengenal pasti individu yang membuat rakaman audio tersebut, motif ia disebarkan dan sama ada wujud modifikasi rakaman oleh pihak tertentu untuk bertujuan menyebabkan atau mungkin mencetus kegentaran awam," ujarnya.
 
Melalui audio berdurasi empat minit 17 saat itu, kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) menerusi panggilan telefon.
 
Menerusi rakaman sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dikatakan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat, selama 22 tahun.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT

Tiada pertembungan BN-Pas di Pahang atas semangat Muafakat Nasional

Bernama
Tiada pertembungan BN-Pas di Pahang atas semangat Muafakat Nasional
Wan Rosdy berkata kedua-dua pihak juga bersetuju dengan formula mengekalkan kerusi DUN dimenangi pada PRU lalu. - Gambar fail
 
KUANTAN: Tiada pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Pahang berdasarkan semangat dan keikhlasan Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.
 
Perkara itu dipersetujui Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan Pesuruhjaya Pas negeri Rosli Abdul Jabar menerusi satu kenyataan yang ditandatangani bersama pada Rabu.
 
Pimpinan MN negeri ini, menurut Wan Rosdy dan Rosli, melihat kerjasama politik itu perlu dipertahankan demi kestabilan dan kemakmuran negeri selain Pahang harus menjadi pengasas trend dan model perpaduan ummah yang padu dan jitu di Malaysia.
 
Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri berkata kedua-dua pihak juga bersetuju dengan formula mengekalkan kerusi DUN dimenangi pada PRU lalu, manakala perbincangan lanjut diperlukan bagi sembilan kerusi di bawah Pakatan Harapan (PH).
 
"UMNO Pahang berhasrat tidak akan meletakkan calon di lapan kerusi dimenangi PAS pada PRU ke-14 dan tidak akan menyokong serta bekerjasama dengan calon yang bertanding di kerusi tersebut kecuali calon PAS.
 
"Begitu sebaliknya, PAS dengan berpandukan persetujuan dan pendirian PAS Pusat, tidak akan meletakkan calon di 25 kerusi DUN dimenangi UMNO dan BN serta tidak akan menyokong dan bekerjasama dengan pihak lain yang bertanding di 25 kerusi itu," katanya.
 
Wan Rosdy ditemui pemberita pada Majlis Iftar Bersama yang dihadiri semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kedua-dua parti termasuk Rosli yang juga ADUN Tanjung Lumpur di kediaman rasmi Menteri Besar Pahang di sini pada Rabu.
 
UMNO menang 24 kerusi daripada 42 kerusi DUN Pahang manakala satu lagi kerusi BN diperoleh menerusi MCA pada PRU ke-14.
 
Sementara itu, Rosli semasa ditemui berkata Pas negeri akan memaklumkan kepada pimpinan Pas Pusat supaya mereka diberikan sedikit kebebasan dalam menentukan hala tuju pada pilihan raya akan datang.
 
Ditanya mengenai kerjasama Pas negeri dalam Perikatan Nasional Pahang bersama Bersatu dan Gerakan, Rosli hanya berkata: "perkara akan datang dibiarkan akan datang dan bukan untuk dijawab sekarang".-- BERNAMA

 


Khairy nafi beri arahan vaksin kepada sejumlah pekerja Kumpulan Genting

Oleh NUR SHARIEZA ISMAIL
KHAIRY JAMALUDDIN

PUTRAJAYA: Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan beliau mengeluarkan arahan supaya sejumlah pekerja syarikat Kumpulan Genting Berhad diberikan vaksinasi Covid-19 seperti yang tular dalam laman sosial. 

Beliau berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Persekutuan hanya mengetahui tentang keputusan CITF negeri Pahang memberikan vaksin kepada pekerja-pekerja di sektor pelancongan di negeri itu selepas mereka memulakan vaksinasi kepada kumpulan tersebut. 

“CITF negeri memberi vaksin kepada pekerja di 56 buah hotel di Kuantan, Genting Highlands, Cameron Highlands, Jerantut, Raub, Mentakab, Bentong, Bukit Tinggi dan Bukit Fraser. 

“Keputusan pemberian ini dibuat apabila negeri Pahang telah selesai memberikan vaksinasi dos pertama (sementara menunggu selang masa bagi dos kedua) kepada kesemua penerima yang tersenarai dalam kumpulan keutamaan Fasa 1,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Khairy berkata, susulan kejadian itu, beliau menulis surat kepada Kerajaan Negeri Pahang pada 12 April lalu bahawa keputusan untuk menyenaraikan kumpulan awal penerima vaksin adalah di bawah bidang selia Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV). 

“Sehingga mana-mana kumpulan disenaraikan, keputusan senarai keutamaan terdahulu adalah terpakai,” katanya. 

Terdahulu, tersebar dalam laman media sosial satu dakwaan yang menyatakan sejumlah pekerja syarikat Kumpulan Genting menerima vaksinasi Covid-19 kononnya atas arahan menteri. – UTUSAN

Bila nak robohkan tugu komunis MPAJA di Taman Peringatan Nilai?

 Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Dah lupa bagaimana ultra kiasu bersungguh pertahan komunis Chin Peng

SAYA ucap syabas kepada Majlis Perbandaran Kajang yang telah merobohkan monumen atau patung Mao Tze Tung yang dibina secara haram di Taman Peringatan Nirwana, Semenyih.

Bagaimana pula dengan tugu Komunis MPAJA? Bila Majlis Perbandaran Nilai mahu bertindak merobohkan tugu komunis yang juga dibina secara haram pada 1996.

Sampai bila kita harus biarkan rakyat negara ini, terutamanya ultra kiasu, terus mengagung-agungkan komunis? Kepada ultra kiasu komunis itu adalah pejuang sepertimana mereka mendewakan Mao Tze Tung.

Mana lebih bahaya daripada patung Mao Tze Tung atau patung komunis MPAJA?

Sudah tentu MPAJA lebih bahaya. Mao Tze Tung berada di China, sedang MPAJA ada di depan mata. Saban kali MPAJA terus dinobatkan dan didewa-dewakan.

Saya cukup hairan, kenapa kita terus membiarkan tugu atau patung komunis itu terus didewa-dewakan hingga hari ini, sedangkan saya telah bangkitkan perkara ini sejak ia mula didirikan.

Sudah sampai masanya, kita melihat perkara dengan serius. Pemikiran komunis MPAJA sedang menguasai generasi dahulu dan diperturunkan hingga kini.

Sebab itu, kita lihat perangai dan tingkah laku komunis terus- menerus mengganggu-gugat pembinaan negara bangsa yang kita idam-idamkan.

Silibus sejarah sekolah persendirian Cina masih mengagungkan komunis.  Komunis dilihat sebagai pejuang menentang Jepun.

Sedangkan kita semua tahu bahawa penentangqn komunis terhadap Jepun disebabkan oleh permusuhan yang panjang antara negara  China-Jepun dalam Perang China-Jepun.

Permusuhan China-Jepun terus berpanjangan hingga ke hari ini. Bukan kerana komunis mahu memerdekakan negara ini ketika Jepun menduduki Tanah Melayu sekitar 1941-1945.

Justeru,  saya amat berharap tugu komunis MPAJA ini segera dirobohkan sebelum pemikiran komunis terus mencengkam generasi akan datang. Pastinya ia akan menghalang pembinaan negara bangsa kerana ia telah ditanam sejak kecil lagi. Lebih-lebih lagi dengan wujudnya sekolah perkauman seperti sekolah vernakular dan sekolah persendirian Cina

Apakah kita sudah lupa bagaimana bersungguh-sungguhnya ultra kiasu mempertahankan komunis Chin Peng? Ultra kiasu turut menyeludup abu Chin Peng ke negara ini meskipun jasadnya tidak dapat dibawa pulang.

Teramat malang jika kita mudah lupa. Tidak hairan patung Chin Peng secara diam turut ditegakkan nanti jika tidak ada ketegasan dalam membina negara ini.

Artikel ini telah disiarkan lebih awal di Facebook Dr Ridhuan Tee

DAP, MCA ‘bergaduh’ lagi kali ini dalam isu pembinaan Hospital UTAR

Athirah Huda Zalhe

MCA kini giat kumpul sumbangan orang ramai sebanyak RM150 juta

BANGI – DAP mengingatkan MCA untuk tidak lupa akan projek pembinaan Hospital Kampar yang dibatalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), pada ketika parti berteraskan kaum Cina itu cuba membina Hospital Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

MCA melalui Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon sedang giat mengumpul sumbangan orang ramai bagi merealisasikan usaha pembinaan Hospital UTAR yang dianggarkan bernilai RM150 juta.

Setiausaha Publisiti DAP Perak, Chong Zhe Min berkata, pada 2019, PN telah meluluskan peruntukan sebanyak RM416 juta dalam Belanjawan 2020 untuk membina sebuah hospital dan 20 klinik baharu.

Katanya, hospital yang diluluskan pembinaannya pada masa itu ialah hospital kerajaan di Kampar

Kata ADUN Keranji itu lagi, setelah peruntukkan dan tapaknya diluluskan, pembinaan Hospital Kampar sepatutnya berjalan tahun lepas tetapi PN telah membatalkannya.

“Pada tahun 2012 bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengumumkan Barisan Nasional (BN) meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk pembinaan Hospital Kampar, tetapi rancangan pembinaannya telah dibatalkan pada 2017. 

“Ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, projek pembinaan Hospital Kampar dirancang semula, kawasan pembinaan baru ditetapkan dan telah mendapat kelulusan kerajaan negeri.

“Parlimen juga meluluskan peruntukkan untuk pembinaan hospital ini, tapi setelah Langkah Sheraton, PN membatalkan projek ini,” katanya seperti dilapor Portal Enanyang, semalam.

Zhe Min percaya, MCA dan UTAR mampu merealisasikan impian untuk membina Hospital UTAR.

Rabu, 28 April 2021

Azlan tak takut berdepan kem Shahidan

AGENDA DAILY

Dua daripada tiga bahagian UMNO Perlis menolak Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sedia berdepan dengan kem yang menentang pelantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Bagaimanapun, pertemuan itu akan mengambil masa dan beliau tidak akan tergesa-gesa untuk bertemu UMNO Bahagian Padang Besar dan Arau untuk merapatkan saf, katanya.

Azlan dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis oleh Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menggantikan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Susulan itu, dua daripada tiga bahagian UMNO di Perlis – Arau dan Padang Besar – menolak kepemimpinan Azlan selain mendesak Zahid mengembalikan jawatan itu kepada Shahidan.

‘Perang’ antara kem Shahidan dan Azlan sudah bermula sejak sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu.

Malah pada 24 Mei 2018 Azlan yang baharu sahaja mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis, dipecat sebagai ahli UMNO berkuatkuasa serta-merta.

Shahidan yang ketika itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, mengumumkan keputusan pemecatan itu diputuskan sebulat suara UMNO Perlis.

Mengulas lanjut, Azlan berkata beliau akan bertemu dengan seluruh akar umbi UMNO Bahagian Arau dan Padang Besar untuk memberi penjelasan dan merapatkan semula saf UMNO Perlis yang dilihat berpecah kepada beberapa kem.

Ditanya sama ada beliau sedia bekerjasama dengan Shahidan semula untuk memantapkan jentera UMNO Perlis di ketiga-tiga bahagian Kangar, Arau dan Padang Besar, Azlan berkata, beliau tidak ada masalah untuk bekerjasama dan sentiasa mengamalkan sikap terbuka.

“Tak perlulah saya nak beri nasihat kerana dia (Shahidan) lebih berpengalaman daripada saya dan saya menghormatinya sebagai pemimpin yang sudah lama mengetuai kerajaan negeri dan UMNO Perlis. Jadi, Datuk Seri Shahidan dan pemimpin lain sudah tentu lebih arif dan mempunyai kebijaksanaannya sendiri,” katanya.

Shahidan tak peduli, akan dedah rahsia Zahid lepas raya

AGENDA DAILY

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim tetap dengan pendirian untuk mendedahkan rahsia yang menunjukkan pemimpin UMNO menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya akan dedah gerakan sokong Anwar selepas raya nanti kerana perbuatan tersebut melanggar keputusan MT (Majlis Tertinggi)

“(Jika) langgar keputusan parti kena ambil tindakan disiplin,” kata Ahli Parlimen Arau itu hari ini.

Pada 24 April lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memecat Shahidan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, dan digantikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Susulan itu, Shahidan yang dipercayai marah dengan tindakan Zahid, mengadakan sidang media pada malam hari yang sama dan memberitahu beliau akan mendedahkan beberapa rahsia disimpannya selepas sambutan Aidilfitri ini.

Pada sidang media itu Shahidan mendakwa beliau mengetahui banyak perkara di dalam UMNO tetapi tidak mendedahkannya demi menjaga keharmonian parti serta aib pemimpin.

“UMNO adalah parti yang kuat. Jadi saya tak mahu parti yang kuat ini diperkotak-katikkan mana-mana pihak. Sebab itu saya tak mau cerita apa-apa yang boleh merugikan UMNO. Lepas raya ni pun kalau pemilihan diputuskan dibuat pada Jun saya akan simpan rahsia itu.

“Semua yang saya tahu ini saya akan tulis dalam tesis saya. Saya buat PhD. Tesis tak boleh dipertikai sebab kita akan uji kenyataan… kita akan melihat perkembangan selanjutnya dalam UMNO,” kata Shahidan.

Pada sidang media itu juga Shahidan berkata, Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu mengambil tindakan disiplin terhadap ahli yang melanggar peraturan.

“Siapa yang langgar peraturan parti kena ambil disiplin.. contohnya ungkapan no Anwar, no DAP, no PKR… tapi kita dapati ada satu surat yang ditulis oleh Presiden (Zahid) kepada Agong dan disaksikan Najib (Datuk Seri Najib Razak).

“Dan surat itu semua kita diam sebab nak jaga hubungan harmoni politik… tapi saya terpaksa timbulkan balik mengenai surat itu… sebenarnya ini sudah melanggar arahan parti… kalau kata no Anwar tiba-tiba ada surat menyokong Anwar?…,” katanya.

Najib bukan ‘orang dalam’ SRC untuk salah guna dana, kata peguam

Bernama

Peguam mewakili Najib berkata hakim yang mendengar kes berkenaan telah terkhilaf dari segi undang-undang.

Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa Najib Razak bukan seorang pengarah atau pengarah bayangan di SRC International Sdn Bhd untuk didapati bersalah menyalahgunakan RM42 juta dana syarikat.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas perdana menteri itu berkata hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar kes berkenaan mengguna pakai konsep pengarah bayangan undang-undang sivil dan common law dari England untuk menyabitkan perayu (Najib) bersalah terhadap tuduhan itu.

“Yang Arif, Seksyen 402A Kanun Keseksaan bagi definasi pengarah adalah “suatu yang serupa dengan pengarah bayangan” tetapi tidak sama seperti di England.

“Najib bukan orang dalam syarikat seperti yang disyaratkan di bawah Kanun Keseksaan untuk melakukan pecah amanah (CBT). Najib adalah orang luar. Pihak pendakwaan juga tidak membuktikan unsur-unsur tuduhan CBT untuk dipanggil membela diri,” katanya.

Peguam itu berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim yang diketuai hakim Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan bekas perdana menteri itu terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menyalahgunakan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Dua lagi hakim ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

Shafee berkata hakim yang mendengar kes berkenaan telah terkhilaf dari segi undang-undang dengan mengimport common law dari England untuk melibatkan ahli Parlimen Pekan itu dengan kesalahan tersebut.

“Perlu dibuktikan bahawa perayu mempunyai kawalan dan diberi kepercayaan dengan RM42 juta untuk didapati bersalah.

“Perayu berhujah bahawa hakim perbicaraan melakukan kesalahan besar dengan bergantung kepada common law dan tersalah dalam bahasa Seksyen 402A Kanun Keseksaan melangkaui makna biasa dari peruntukan itu,” katanya sambil menambah bahawa tindakan itu telah menimbulkan prasangka serius dan ketidakadilan terhadap Najib.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib setelah mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International.

Perbicaraan bersambung.

Bagaimana 'tanduk dan taring setan' DAP gugur di kawasan Melayu

Malaysiakini

WAWANCARA | Adun Pekan Nanas Yeo Tung Siong percaya DAP mampu memenangi hati pengundi Melayu tanpa perlu dilihat "merendah-rendahkan" parti itu sendiri.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Yeo mengimbau pengalamannya di kawasan orang Melayu, ketika kali pertama bertanding sebagai calon DUN di Johor pada PRU13, lapan tahun lepas.

“Kain rentang hilang atau dirosakkan - diconteng dengan lukisan tanduk dan taring syaitan.

"Naratifnya ketika itu adalah, DAP ini jahat,” kata bekas guru itu yang menyifatkan imej contengan tersebut masih jelas di fikirannya sehingga kini.

Semasa berkempen di sebuah kampung Melayu, kata Yeo, ada seorang penduduk yang menempelaknya kerana dikatakan hanya muncul semasa pilihan raya bagi menghasut pengundi untuk menyokong DAP.

Meskipun berdepan cabaran demikian, Yeo berjaya menumpaskan MCA yang menyandang kerusi itu sejak ia diwujudkan pada 2004. Dia meraih 53 peratus undi di kawasan campur bermajoriti Cina itu, dengan majoriti 2,669 undi.

Pada masa itu, Pekan Nanas terdiri daripada 58 peratus pengundi Cina manakala pengundi Melayu pula seramai 39 peratus.

Pun begitu, persempadanan semula sebelum PRU 2018 menyebabkan Pekan Nanas menjadi kawasan campur bermajoriti Melayu - iaitu 54 peratus pengundi Melayu, 45 peratus p engundi Cina dan satu peratus pengundi India.

Bagaimanapun Yeo masih mampu mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 1,308 undi. Dia mendapat 52 peratus daripada undi di Pekan Nanas.

Undi Melayu terhadapnya juga meningkat lebih 25 peratus.

Hapuskan perseteruan, raih kepercayaan

Menurut Yeo, bagi memenangi hati dan fikiran orang Melayu, dia bekerja keras di lapangan.

“Lama kelamaan, mereka (pengundi Melayu) mula mahu bercakap dengan saya. Tahun ini, saya hadir ke pengebumian seorang penghantar makanan Foodpanda yang meninggal dunia akibat kemalangan.

“Ayahnya beritahu hasrat terakhirnya, iaitu untuk mengecat semula gerbang masuk ke kampung. Jadi kami gotong-royong mengecat semula struktur itu.

“Ayah dia ahli Umno. Tak kiralah siapa pun orang itu, hubungan boleh dibina apabila kita berkomunikasi antara satu sama lain. Ia meleraikan segala prasangka,” tambahnya.

Yeo menceritakan satu lagi peristiwa, ketika dia membangkitkan masalah seorang isteri kepada peniaga warung yang mengidap kanser di media sosialnya.

"Ketika saya ke warungnya, saya terserempak dengan anak saudara peniaga itu yang datang dari Johor Bahru. Dia beritahu saya dapat tahu tentang penyakit ibu saudaranya itu melalui Facebook saya," katanya.

Kata Yeo, bagi memenangi kepercayaan pengundi Melayu, apa yang penting adalah menghapuskan sebarang rasa perseteruan.

“Jika kawasan itu menyimpan kebencian (terhadap DAP), tak guna kalau anda edar 10 juta risalah sekalipun. Lepas berusaha setengah abad pun, anda tak akan capai apa-apa.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, saya pergi ke banyak tempat. Orang yang saya temui, jemput saya ke rumah mereka, hidangkan saya minuman. Mereka mungkin tak akan undi saya, tapi mereka tidak lagi bermusuh terhadap (terhadap ahli politik DAP),” katanya lagi.

Sokong strategi lautan biru

Bagi Yeo, DAP yang kini sedang menyaksikan perdebatan dalaman susulan kenyataan Adun Sungai Pelek Ronnie Liu bahawa ia harus melindungi kecinaannya, harus meningkatkan usaha untuk meraih sokongan masyarakat Melayu.

Ronnie Liu

Yeo menyokong hala tuju strategi lautan biru parti itu, dan tanpa strategi itu, katanya, sokongan yang diraih DAP akan merosot.

Katanya, banyak kerusi majoriti Cina akan bertukar menjadi kerusi bercampur dalam masa 10 tahun, bahkan mungkin menjadi kerusi majoriti Melayu dalam masa 20 tahun.

“Tanpa memahami denyut nadi pengundi Melayu, (sokongan) DAP akan merosot. Sekian lama kawasan Melayu sentiasa menjadi kelemahan terbesar DAP.

“Kita mesti atasi (kelemahan) ini. Kamu boleh bercakap tentang 'Hua Sha' (cauvinis Cina) dan 'Ying Sha' (cauvinis Inggeris), tapi kata hati saya adalah, masyarakat Melayu beri tumpuan terhadap apa yang ahli politik buat,” tambahnya.

Cauvinis Cina dan cauvinis Inggeris adalah label yang diberikan untuk dua kelompok dalam DAP, antaranya berdasarkan latar belakang pendidikan dan bahasa.

Yeo turut menyuarakan bantahannya terhadap amalan DAP mengetengahkan "calon payung terjun" dalam pilihan raya - merujuk calon pilihan raya yang lazimnya tidak tinggal dan mempunyai hubungan lemah di kawasan ditandinginya.

Kata Yeo, dalam keadaan-keadaan tertentu, seperti ketika gelombang politik semasa PRU 2013 dan 2018, amalan itu boleh difahami apabila parti mahu melihat lebih ramai “calon yang baik” berjaya ke Parlimen atau DUN.

Tetapi, dalam situasi yang tidak menyebelahi parti, sementara calon pula bukanlah calon ‘boleh menang’, dia harus berusaha keras untuk masa yang lama bagi meraih undi di suatu kawasan.

“Adakah calon payung terjun ini mampu kekal menyelesaikan tugasnya? Apa pula tanggapan akar umbi tentang ini? Apakah mereka akan fikir calon-calon ini hanya muncul ketika pilihan raya, dan hilang selepas itu?” soalnya.

Yeo menggesa kepemimpinan DAP supaya berwaspada dalam hal tersebut. Katanya, senario seumpama itu mengecewakan pengundi dan akar umbi, dan membawa kepada perselisihan.

Pada PRU 2013, nama-nama besar DAP seperti Lim Kit Siang, Liew Chin Tong dan Teo Nie Ching berpindah daripada kawasan parlimen asal mereka di negeri lain, untuk bertanding di Johor. Ketiga-tiganya menang.

Pada 2018, Liew, yang merupakan pengerusi DAP Johor, berpindah lagi. Dari Kluang, dia bertanding di Ayer Hitam menentang presiden MCA Wee Ka Siong. Liew tewas dengan perbezaan hanya 303 undi.

Yeo, yang juga penolong setiausaha organisasi DAP Johor, dilihat berada dalam kem berbeza daripada Liew, yang dikatakan akan dicabar dalam pemilihan parti negeri pada 2 Mei nanti.

Azalina persoal justifikasi Takiyuddin untuk terus gantung Parlimen

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bagi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said, penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan tentang sebab kerajaan tetap menggantung Parlimen, hanya membangkitkan lebih banyak persoalan.

Dalam bantahannya terhadap apa yang dinyatakan Takiyuddin, Azalina yang juga ahli Parlimen Pengerang daripada Umno meminta Takiyuddin memberi penjelasan lanjut.

Antara justifikasi Takiyuddin yang jug ahli Parlimen Kota Bharu adalah ketika Parlimen digantung, semua pihak termasuk pembangkang masih boleh memberi pandangan kepada kerajaan melalui saluran seperti jawatankuasa bebas.

Azlina menyatakan Parlimen dan jawatankuasa tersebut mempunyai peranan yang jauh berbeza.

"Parlimen adalah badan perundangan tertinggi bagi kerajaan persekutuan meluluskan dan meminda undang-undang persekutuan, memeriksa dan menyoal dasar kerajaan melalui pertanyaan bagi jawab lisan, sesi kamar khas dan waktu pertanyaan menteri serta meluluskan belanjawan dan cadangan cukai baru.

"Sebaliknya, jawatankuasa khas bebas hanya bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat perlu diteruskan atau tidak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, ahli Parlimen dan wakil rakyat tiada akses kepada prosiding mesyuarat jawatankuasa khas bebas, dan jawatankuasa itu juga tidak menjalankan siasatan atau inkuiri berdasarkan pendengaran awam.

Takiyuddin Hassan

Azalina berkata jika Takiyuddin membayangkan jawatankuasa tersebut sebagai menggantikan peranan Parlimen, maka jawatankuasa baru perlu diwujudkan yang merangkumi ahli Parlimen dan dipengerusikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Azalina juga mempersoalkan kenyataan Takiyuddin bahawa rakyat tidak wajar sangsi yang kerajaan mungkin menyalahgunakan kuasa di saat Parlimen digantung.

Bagi Azalina, kenyataan Takiyuddin yang pentadbiran boleh terus dipantau oleh pihak seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebagai "melepaskan batu di tangga".

Katanya, tidak hairanlah apabila Pengerusi PAC Wong Kah Woh telah mengeluarkan kenyataan bagi menolak pandangan Takiyuddin.

Terdahulu, Wong bertanya bagaimana PAC boleh memainkan peranannya apabila ia telah diarahkan untuk menggantung mesyuaratnya sepanjang tempoh darurat.

"Adakah kenyataan YB Kota Bharu mengatasi dapatan perundangan yang telah diberikan Peguam Negara, dan bererti kegiatan PAC kini boleh diteruskan?

"Seiring dengan ini, adakah kegiatan jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan di Parlimen juga boleh diteruskan?" soalnya lagi.

Katanya, konsep pemisahan kuasa dan demokrasi berparlimen tidak boleh diabaikan, dan penggantungan Parlimen telah menjejaskan konsep itu.

"Tidakkah YB Kota Bharu berpendapat ada kebenaran dalam kata-kata: ‘the Constitution is not a document for the government to restrain the people; it is an instrument for the people to restrain the government'? (Perlembagaan bukan dokumen untuk kerajaan mengawal rakyat; ia adalah satu alat untuk rakyat mengawal kerajaan)."

Pada Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang ketika darurat jika perdana menteri menasihatinya untuk berbuat demikian, tetapi setakat ini ia belum berlaku.

Darurat diisytiharkan pada 11 Januari lalu dan dijadual tamat pada Ogos ini.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

 BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT

PN runding lagi pembahagian kerusi PRU-15 hari ini – Wan Saiful

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL

KUALA LUMPUR – Parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan rundingan lanjut mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Beliau memberitahu, parti-parti komponen PN telah menunjukkan kesungguhan dalam rundingan agar berjalan adil dalam mengekalkan kerajaan hari ini yang lebih stabil dan memiliki agenda kuat.

“Rundingan berjalan dengan baik bersama kawan-kawan dalam PN malah hari ini pun ada perbincangan rundingan kerusi dan saya akan ke sana selepas ini.

“Alhamdulillah, setakat ini seperti yang dijelaskan oleh Datuk Seri Ahmad Faizal (Timbalan Presiden Bersatu) bahawa perbincangan setakat ini 30 peratus dan kita akan cuba pastikan akan diselesaikan secepat mungkin.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Tinggi Pinjaman Tabung Pendidikan (PTPTN) berkata demikian kepada media selepas Majlis Ikrar Bebas Sumpah PTPTN di sini hari ini.

Ditanya jumlah 30 peratus itu melibatkan negeri mana, Wan Saiful enggan mengulas lanjut.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Ahmad Faizal berkata, perbincangan itu bagi memastikan tiada pertindihan kerusi berlaku antara parti komponen dalam PN.

Baru-baru ini, satu perjumpaan diadakan antara Bersatu dengan Pas bagi membincangkan pembahagian kerusi PRU-15. – MalaysiaGazette

Zahid anggap Wan Saiful sebagai Kluster Spin

 Wartawan MalaysiaGazette

MGF28032021_PAU-UMNO55
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – ”Adakah patut Kluster Spin menyamakan wang KWSP dengan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN),” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyelar Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Wan Saiful Wan Jan.

Presiden UMNO itu menyelar kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah milik rakyat dan mereka keluarkan wang mereka sendiri untuk digunakan pada waktu sukar.

Itupun bukan mudah dapat kelulusan kerajaan.

Tetapi dana KWAN pula tabung amanah negara sebagai sumber berterusan negara dan generasi akan datang dan ia digunakan apabila sumber semulajadi negara contohnya minyak menyusut.

Namun, kata Ahmad Zahid, dana itu mahu dikorek Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum tiba masa dengan alasan Covid-19 selepas begitu banyak wang negara diperuntukan untuk tujuan sama.

”Justeru soalan kepada Kluster Spin siapakah sebenarnya yang merapu sehingga terbabas-babas disamakan dana KWSP dengan KWAN?,” soalnya.

Beliau mengulas kenyataan Wan Saiful yang mendakwa penggunaan dana KWAN sama seperti pengeluaran KWSP.

Katanya, segelintir pengkritik yang lantang mengkritik tentang penggunaan dana dari KWAN itu dianggap tidak konsisten dalam mengeluarkan pandangan.

Wan Saiful turut menggelar kumpulan pengkritik itu sebagai ‘Kluster Merungut’ kerana melontarkan pandangan tidak rasional serta tidak mencerminkan kepentingan untuk rakyat.

Kata Wan Saiful, kumpulan itu begitu lantang mengemukakan kewajaran kepentingan pengeluaran KWAN walhal pada masa sama kumpulan itu juga yang berjuang bantu rakyat keluarkan melalui KWSP.

Menurut Ahmad Zahid, Kluster Spin PPBM semakin merapu apabila cuba menunding jari kepada menteri dari UMNO dalam kerajaan PN di sebalik penggunaan dana KWAN.

”Kluster Spin kata UMNO gagal berbincang di peringkat dalaman dengan menteri dari UMNO yang menjaga hal kesihatan dan vaksin sebab terlalu ghairah nak tunjuk pandai.

”Memang sah ini Kluster Spin PPBM. Apa mandat UMNO untuk menentukan hala tuju pentadbiran kerajaan PN dan adakah Perdana Menteri atau Menteri Kewangan dari UMNO?,” soal beliau lagi. – MalaysiaGazette

Kemungkinan berpakat tipis, tetapi “persefahaman” boleh wujud

 MalaysiaGazette

UMNO-PH

KUALA LUMPUR – Selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sanggup bersumpah menafikan pernah berjumpa dengan pemimpin UMNO untuk berbincang mengenai kerjasama politik, seorang pemimpin PKR juga menegaskan kemungkinan berlaku kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan UMNO adalah tipis.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, peluang untuk PH dan UMNO bekerjasama dalam satu “pakatan yang sama” menjelang pilihan raya adalah sangat tipis, malahan tidak mungkin.

Walau bagaimanapun, Lih Kang tidak menolak kemungkinan berlaku “persefahaman” di kawasan tertentu bagi mengelakkan perang tiga segi.

“Bukan sahaja dengan UMNO, tetapi persefahaman ini adalah mungkin dengan mana-mana parti politik,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Katanya, peluang kerjasama dengan UMNO adalah tipis kerana masing-masing enggan bertolak ansur dalam isu tertentu, termasuk dalam soal calon Perdana Menteri.

“Yang pasti, kami akan bertembung dalam medan perang semasa pilihan raya.

“Ia juga sangat mencabar kebijaksanaan untuk kami bekerjasama dalam bidang yang terhad.

“Hakikatnya, keadaan politik sudah berbeza dengan ketiadaan satu parti politik yang mampu menguasai semua sumber kerajaan,” kata Ahli Parlimen Tanjung Malim itu.

Menurutnya, PKR setakat ini belum mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan UMNO, walaupun PH memberi restu kepada presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang dengan parti-parti politik, termasuk UMNO dan parti dari Borneo.

“Perbincangan masih di peringkat awal dengan melihat sama ada wujud peluang kerjasama.

“Maklumat lebih teliti dan syarat kerjasama belum lagi dibincangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Lih Kang turut mengakui kerjasama dengan Pejuang dan Warisan bukan sesuatu yang mudah.

“Masing-masing Pejuang dan Warisan  telah beberapa kali berkata mahu menjadi kuasa ketiga dan ‘kingmaker’, satu keadaan yang tidak menguntungkan perbincangan dengan PH.

“Mereka mahu PH memberi laluan di kerusi tertentu untuk mengelakkan pertembungan, tetapi kami juga perlu mengambil kira kemungkinan mereka tidak mahu bekerjasama dengan kami selepas menang kerusi berkenaan,” katanya.

Menurut Lih Kang, Anwar ada berhubungan dengan Muda, tetapi bukan dengan Warisan dan Pejuang pada masa ini.

Sementara itu,  Guan Eng ketika merasmikan persidangan tahunan DAP Wilayah Persekutuan menegaskan beliau tidak pernah bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membincangkan kerjasama politik.

Guan Eng dilaporkan sanggup bersumpah sekiranya perwakilan DAP tidak mempercayai kenyataannya itu. – MalaysiaGazette

Bukan pengaruh luar yang pecahkan DAP

MGF24112019_KONVENSYEN-OTAI-REFORMIS02-1
Ronnie Liu.
KLANG – Perpecahan dalam DAP bukan disebabkan “pengaruh luar”, tetapi keadaan itu diakibatkan pentadbiran ala feudal yang membawa kepada kelahiran kumpulan elit dalam parti, kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu.

Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek di Selangor berkata, situasi tersebut juga mewujudkan perbezaan pendapat yang besar dalam DAP.

Kenyataan Ronnie itu seakan-akan menyasarkan veteran parti, Lim Kit Siang yang  menyeru DAP terus menyokong Pakatan Harapan (PH) dan mempertahankan parti daripada pengaruh luar yang cuba memecah dan memusnah DAP.

Dalam satu hantaran Facebook yang dipetik Sinchew Daily, Ronnie berkata, 2008 merupakan masa kebangkitan kumpulan elit dalam parti.

“Golongan elit ini tidak pernah merasakan air mata, titik peluh dan kesusahan yang dialami ahli akar umbi, tetapi mereka menikmati hasil usaha orang lain.

“Kumpulan feudal yang berkuasa telah menambahkan rasa tidak puas hati. Mereka dipelihara dalam ‘kabinet dapur’ selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 dan menasihatkan pemimpin cara bermain kuasa,” kata Ronnie.

Menurutnya, kumpulan elit memegang jawatan penting dalam kerajaan semasa DAP berkuasa, sedangkan pemimpin yang berusaha sebelum ini telah diabaikan.

Katanya, pemimpin yang diketepikan termasuk Pengerusi DAP, Tan Kok Wai yang menjadi Duta Khas ke China tetapi tidak bertaraf menteri; Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang sekadar menjadi timbalan menteri serta Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang hanya menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

“Keadaan ini adalah satu tamparan kuat buat ahli akar umbi kerana sistem hierarki dalam parti tidak dihormati,” katanya.

Tegasnya, kumpulan akar umbi banyak berkorban dengan berdepan gas pemedih mata, baton polis dan penahanan.

Menurutnya, pengorbanan itu dan slogan berubah juga membawa kepada kemenangan pertama DAP pada 2008 apabila berjaya mentadbir Selangor, Pulau Pinang dan Perak.

Ujarnya, pemimpin DAP justeru tidak harus takut untuk berubah dalam pemilihan parti. – MalaysiaGazette

Kluster Merungut gagal cipta persepsi palsu – Wan Saiful

MGF_03042021_MESYUARAT-MT-BERSATU_15
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan Foto SYAFIQ AMBAK,

KUALA LUMPUR – Kecekapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguruskan ekonomi mampu mengembalikan kekayaan negara.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, peningkatan prestasi ekonomi negara bukan sahaja di atas kertas, tetapi lebih penting, dinikmati segenap lapisan masyarakat, terutama golongan berpendapatan rendah dan di luar bandar.

Menurutnya, menerusi dasar kewangan yang cekap dan telus, strategi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hanya bersifat ‘sementara’.

“Ia bukan taktik memberi ‘gula-gula’ yang sering diamalkan kerajaan terdahulu bagi menutup kelemahan pentadbiran mereka, tetapi sebaliknya merangkumi pelan pembangunan jangka panjang yang lebih efektif dan lestari.

“Ia di samping program jangka pendek yang dapat membantu rakyat meneruskan kehidupan ketika menghadapi cabaran wabak Covid-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada pengagihan dividen RISDA dan Felcra dengan nilai keseluruhan RM189.08 juta seperti diumumkan.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan dividen RISDA berjumlah RM82.03 juta diagihkan kepada 16,080 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan sawit di bawah Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB).

Menurut Wan Saiful lagi, jumlah agihan akhir Felcra sebanyak RM107.05 juta itu adalah lebih tinggi berbanding RM83.82 juta pada 2019.

“Tahniah saya ucapkan kepada barisan Kabinet PN walaupun setiap hari ada ‘kluster merungut’ yang cuba mencipta persepsi palsu kerajaan ini gagal supaya mereka nampak seperti hero yang bersih.

“Hakikatnya kerajaan PN terus menempa kejayaan demi kejayaan yang dikongsi dengan rakyat. Ini membuktikan kerajaan PN adalah kerajaan cekap dan prihatin,” ujarnya. – MalaysiaGazette