HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 September 2007

Isu PKFZ: Peguam Negara dipanggil beri penjelasan
Oleh: SA'ODAH ELIAS

KUALA LUMPUR: Keputusan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk membeli tanah seluas 400 ha untuk pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) pada harga RM1.807 bil dibuat setelah kerajaan negeri Selangor tidak bersetuju dengan cadangan untuk mengambil alih tanah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) Datuk Shahrir Samad berkata, kerajaan negeri itu tidah bersetuju dengan cadangan pengambilalihan tanah berkenaan dengan alasan kawasan berkenaan telahpun mempunyai kawasan yang dibangunkan, sebaliknya berpendapat jika projek itu hendak dibangunkan, LPK perlulah membeli tanah di kawasan terlibat.

Sehubungan itu, katanya, jawatankuasa itu akan memanggil Peguam Negara bagi memberi penjelasan berhubung tafsiran undang-undang dalam isu itu pada mesyuaratnya mengenai PKFZ akan datang.

Menurut beliau, penjelasan mengenai tafsiran undang-undang itu penting bagi menghilangkan keraguan masyarakat memandangkan kerajaan telah memilih untuk membeli tanah untuk projek berkenaan dan tidak menggunakan peruntukan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk pengambilan semula yang sudah pasti akan menjimat kos.

Kerajaan telah membeli tanah yang diperlukan itu daripada Kuala Dimensi Sdn Bhd pada harga RM25 sekaki persegi, sedangkan harga jika pengambilan tanah dibuat ialah RM10.16 sekaki persegi.

Tanah terlibat adalah tanah kerajaan yang telah diberikan kepada Koperasi Pulau Pembangunan Pulau Lumut yang kemudian menjualnya kepada Kuala Dimensi pada harga RM96 juta atau RM3 sekaki persegi.

Beliau berkata, keputusan kerajaan untuk membeli tanah berkenaan dan tidak menggunakan peruntukan undang-undang untuk mengambilnya telah menimbulkan pelbagai sangkaan buruk dalam masyarakat.

"Jadi kita perlu mendengar penjelasan dari Peguam Negara supaya jika memang ada benda yang tidak kena kita boleh perbetulkan, dan jika tidak, sekurang-kurangnya kita boleh beri penjelasan kepada media dan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Bangunan Parlimen hari ini.

Mengenai dakwaan bahawa harga tanah RM25 sekaki persegi yang dibayar kerajaan adalah jauh lebih tinggi daripada kadar yang dinilai oleh Jabatan Penilaian, Shahri berkata, jabatan itu sebenarnya telah membuat beberapa penilaian ke atas berkenaan atas permintaan pihak yang berbeza.

Penilaian pertama ialah untuk tujuan pembelian dan diarahkan oleh Kementerian Pengangkutan, kedua untuk tujuan pembelian tetapi diminta oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dikuti oleh penilaian untuk tujuan pengambilalihan oleh kerajaan.

Nilai yang ditetapkan oleh jabatan itu pada setiap penilaian, menurut Shahrir, juga berbeza berdasarkan keluasan tanah yang terlibat serta tahun penilaian dibuat.

Menurutnya, penilaian pertama meletakkan nilai tanah itu pada harga RM17 sekaki persegi untuk tujuan pembelian, diikuti RM10.16 sekaki persegi untuk tujuan pengambilan dan pada penilaian berikutnya harga itu meningkat sehingga mencapai RM21 sekaki persegi.

Wakil Jabatan Penilaian adalah antara beberapa pihak, termasuk Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Datuk Zarinah Anwar yang dipanggil memberi keterangan hari ini.

Mesyuarat kali ketiga PAC mengenai isu PKFZ dijangka diadakan selepas raya.

Esok, jawatankuasa itu akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sebelum meneliti laporan membabitkan projek pembinaan Institut Latihan Belia Negara yang tidak buat mengikut tender terbuka oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Tiada ulasan: