HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 April 2017

China ceroboh perairan Sarawak, Putrajaya perlu bertindak tegas


Nik Nazmi

Oleh Nik Nazmi Nik Ahmad

Saya merujuk laporan berita Malaysiakini berkenaan Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) menceroboh perairan Sarawak yang dituntut Malaysia.

Menurut laporan tersebut, CCG melakukan rondaan hampir setiap masa di perairan tersebut sejak akhir tahun lalu.

Pada tahun 2015 Malaysia telah membuat bantahan diplomatik terhadap China akibat kapal mereka yang telah memasuki Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

Sejak bantahan pada 2015 itu, dilaporkan sebanyak 11 kapal CCG telah meronda berdekatan perairan Malaysia — seolah-olah langsung tidak menghiraukan bantahan tersebut.

Hal ini jelas merupakan satu cabaran ke atas kedaulatan negara kita dan Putrajaya sepatutnya mengambil pendirian lebih tegas untuk membantah kehadiran kapal-kapal negara China ini.

Jika kita terus berdiam adakah ini bermakna kita terus akur dengan pencerobohan China ke tanahair kita?

Ini bukan sahaja terbatas dengan kehadiran mereka di perairan kita, tetapi akibat kelemahan pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Najib Razak serta skandal besaran seperti 1MDB, ia seakan-akan memberi peluang untuk negara asing seperti China menerobos negara ini termasuk di dalam hal politik dan ekonomi.

Kebergantungan kepada China untuk memperbaiki keadaan ekonomi yang mengalami kerugian berbilion akibat skandal besar juga telah melemahkan pendirian diplomatik negara.

Jika Putrajaya terus gagal mengambil pendirian lebih tegas di dalam hal ini maka jelaslah bahawa pentadbiran Najib Razak kini tidak lagi mampu menegakkan kedaulatan negara dan hanya akan terus mengundang campur tangan negara asing.

* Nik Nazmi merupakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN.

Ahmad Yaakob pemimpin terbaik pada firasat Nik Aziz

Mohd Haizal Yatiran
Ahmad Yakob


ALOR SETAR-Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob merupakan Menteri Besar yang terbaik pernah ada berbanding dengan menteri besar pembangkang yang lain.

Demikian menurut Perwakilan Pas Kelantan, Datuk Abdullah Yaakob dalam ucapan perbahasannya pada Muktamar Pas hari ini.

Menurut Abdullah lagi, pemilihan Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar Kelantan oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika masih hidup tidak pernah silap mengikut firasat bekas Mursyidul Am Pas itu.

“Ianya tidak ada sebab untuk musuh lama atau baru untuk pertikai polisi kita (Kelantan).

“Tuan-tuan sekalian, Datuk Ahmad Yaakob, Menteri Besar Kelantan sekarang ini dipilih oleh Tuan Guru (Nik Aziz) yang ketika itu masih sihat.

“Tuan Guru masih menjadi Pesuruhjaya Pas kawasan. Tok Guru memilih Menteri Besar kita yang disayang ini. Pada firasat Tok Guru, inilah dia yang terbaik pada firasat tok guru,” katanya.-MalaysiaGazette


Kit Siang depani pasukan petugas forex minggu depan

MALAYSIAKINI



Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang akan berdepan dengan pasukan petugas khas yang menyiasat kerugian tukaran asing Bank Negara antara tahun 1991 dan 1993.

Dalam satu kenyataan, Lim berkata, beliau akan menghadap pasukan tersebut yang terdiri daripada tujuh anggota dengan dikepalai oleh bekas ketua setiausaha, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada minggu depan.

Lim juga mengulangi bahawa beliau telah menggesa siasatan terhadap kerugian Bank Negara sejak lebih dua dekad lalu.

"Saya tetap teguh dengan ucapan di Parlimen pada bulan April 1994 untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas kerugian tukaran asing Bank Negara yang besar," kata Lim, sambil menambah bahawa fungsi pasukan itu harus kekal sama seperti yang pernah dicadangkan.

Antara lain, ujar Lim, siasatan tersebut bagi memastikan sama ada kerugian tukaran asing Bank Negara sejak 1992 melebihi RM30 bilion.

"(Juga) bagi menentukan sama ada terdapat apa-apa penyelewengan dan penyalah gunaan kewangan memandangkan penjelasan yang tidak konsisten dan bercanggah mengenainya.

"(Dan) untuk mengenal pasti bagaimana Bank Negara boleh menanggung kerugian sebesar itu," katanya.
Lim, bagaimanapun, menegaskan bahawa apa yang lebih penting pada masa ini adalah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke dalam skandal 1MDB

Polis tolak pe Polis tolak penganjuran Himpunan 1 Mei nganjuran Himpunan 1 Mei

SELANGOR KINI

POLIS BIRU 2 4x4


KUALA LUMPUR: Polis menolak permohonan penganjur Himpunan 1 Mei di ibu negara, esok sempena sambutan Hari Pekerja.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman berkata, penolakan itu ekoran penganjur gagal mengemukakan surat kebenaran pemilik lokasi perhimpunan itu.

“Mereka tidak mendapat kebenaran daripada premis di kawasan Lot 10 yang separuhnya adalah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedangkan pemohon sepatutnya berbuat demikian.

“Atas alasan itu, polis tidak mengeluarkan kelulusan,“ katanya lapor Astro Awani.

Beliau turut mengesahkan sudah menerima surat pemberitahuan daripada penganjur berhubung perhimpunan yang dirancang itu, pada Selasa lalu.

Katanya, perbincangan dengan wakil mereka juga sudah diadakan.

Peserta perhimpunan dikatakan merancang untuk berkumpul di hadapan bangunan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Kuala Lumpur sebelum berarak ke dataran pusat membeli belah Lot 10 di Bukit Bintang.

Lebih 49,000 penjawat awam berdepan risiko muflis

SELANGOR KINI

CUEPACS


SHAH ALAM: Lebih 49,000 penjawat awam berdepan risiko muflis ekoran kegagalan menguruskan hutang pinjaman, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Beliau berkata, penjawat awam terbabit didapati melakukan pinjaman peribadi daripada institusi kewangan melebihi kemampuan gaji mereka.

Katanya, ketiadaan sistem yang mengawal pinjaman dilakukan penjawat awam juga adalah antara punca mereka melakukan pinjaman bertindih.

“Hal ini saya lihat semakin serius dan ia terjadi kerana ada penjawat awam bertindak memalsukan slip gaji ketika membuat pinjaman.

“Sekarang ini kerajaan memberi peluang kepada lebih 20 agensi pinjaman membuat potongan gaji kepada penjawat awam yang melaksanakan pinjaman tanpa perlu merujuk antara satu sama lain.

“Mereka (penjawat awam) boleh meminjam di mana-mana institusi pinjaman dengan hanya membawa slip gaji dan potongan dibuat setiap bulan. Terdapat penjawat awam yang pinjam dengan institusi A, kemudian pinjam pula dengan institusi B dan C,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Cuepacs mencadangkan kerajaan melaksanakan sistem seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia iaitu Sistem Pelaporan Kredit (Spekar) yang mempunyai rekod penjawat awam.

“Sistem ini akan dapat mengawal pinjaman yang dilakukan penjawat awam kerana sistem itu dapat mengesan data potongan gaji dan maklumat pinjaman penjawat awam.

“Sekarang ini yang dudah diisytihar muflis lebih 3,000 orang, kalau tidak dibendung, jumlah itu akan bertambah,” katanya.

Lebih 49,000 penjawat awam berdepan risiko muflis

Graduan sertai PROGRESS dapat elaun RM1,000 sebulan

OLEH NAZLI IBRAHIM

20170429_151253

KUALA SELANGOR: Seramai 300 peserta Progress Selangor terdiri daripada graduan lepasan institut pengajian tinggi dalam dan luar negara menerima elaun sara diri RM1,000 sebulan selama enam bulan.

Pengarah Program Graduate Employablity Enhancement For Smart Selangor, Azman Ibrahim berkata, selain Kerajaan Negeri, syarikat graduan ditempatkan itu turut menambah elaun peserta.

“Mereka dikumpulkan selama sebulan di Hotel Goldcourse, Klang dan diberi latihan ‘soft skill’ serta asas untuk bekerja sebelum ditempatkan di beberapa syarikat bagi menjalani latihan selama enam bulan.

“Bergantung kepada prestasi, mereka akan diserap berkerja di syarikat itu dan selama enam bulan Kerajaan Negeri membekalkan elaun RM1,000 sebulan untuk setiap peserta,” katanya.

Azman Ibrahim berkata demikian pada Majlis Penutup PROGRESSIVE Society “We Care We Share” (Progress Selangor) di Maahad Tahfiz Wal-Qiraat, Pusat Dakwah Islamiah, Jeram, di sini, semalam.

Katanya, 300 graduan itu dipecahkan kepada dua bahagian membabitkan 145 peserta.

Katanya, latihan itu diberi kerana lazimnya penuntut IPT hanya belajar untuk lulus pengajian sedangkan situasi itu berbeza dengan cabaran sebenar di alam pekerjaan.

“Latihan membabitkan sembilan modul pelbagai progam dalam dan luar kelas,” katanya.

Kit Siang tidak faham Bahasa Inggeris ke?

Mohammad Arif Nizam
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani (dua kiri) diiringi Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan, Mohd Talib Ubah (dua kanan) menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), Anita Cecelia Francis selepas merasmikan Program Larian Perpaduan dan Sepakat Komuniti 1 Malaysia Kampung Pandan 2017 di Dewan Komuniti Taman Maluri, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR,


KUALA LUMPUR  – Datuk Seri Johari Abdul Ghani menempelak Lim Kit Siang yang disindirnya sebagai seorang tidak tahu membaca dalam bahasa Inggeris me­n­genai penjelasannnya tentang penyelesaian luar kes secara timbang tara antara ­1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan International Petro­leum Investment Company (IPIC).

Menteri Kewangan II itu berkata, Penasihat DAP itu perlu membaca dan memahami kenyataannya yang disiarkan di sebuah portal sebelum mengeluarkan kenyataan balas yang mengelirukan.

“Awak cakap kepada Kit Siang, beliau tidak tahu baca ke di MalaysiaKini?

“Baca saya punya kenyataan di situ dan faham. Kecuali dia tidak faham Bahasa Inggeris. Itu sahaja,” katanya ringkas.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Program Larian Perpaduan Dan Sepakat Komuniti 1Malaysia di Taman Maluri, Kampung Pandan di sini hari ini.

Johari diminta mengulas kenyataan Kit Siang di sebuah portal yang mendakwa beliau dilihat menjauhkan diri daripada memberi penjelasan tentang tentang penyelesaian luar kes secara timbang tara antara 1MDB dan IPIC.

Selain dilihat cuba menjauhkan diri daripada penyelesaian timbang tara itu, Kit Siang mendakwa Johari sepatutnya menjadi pemain utama dan ‘penjaga akhir’ bagi isu kontroversi yang membelenggu selama ini.

Johari dalam penjelasan balasnya menafikan beliau bercanggah kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penyelesaian timbang tersebut. Beliau juga menuduh pembangkang, ahli parlimen terutamanya DAP Tony Pua, cuba untuk membuat konflik antara dirinya dan Perdana Menteri.

Sementara itu, mengulas program tersebut, Johari yang Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, perpaduan kaum menjadi elemen penting bagi kemajuan negara pada masa akan datang.

Program tersebut anjuran pertubuhan bukan kerajaan iaitu Komuniti 1Malaysia di bawah Jabatan Penerangan yang disertai lebih 300 peserta selain aktiviti lain seperti futsal yang turut diadakan. – MalaysiaGazette


Kerajaan sasar 50 % rakyat miliki diploma, ijazah menjelang 2050 – TPM

Bernama
BAGAN DATUK --Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kiri) menyampaikan surat tawaran pendidikan kepada para pelajar pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera Profesor Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar (tiga, kiri). --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA


HUTAN MELINTANG – Kerajaan menyasarkan 50 peratus rakyat Malaysia memiliki diploma dan ijazah menjelang 2050, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sasaran itu diyakini tercapai menerusi Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk kepentingan generasi akan datang.

Katanya untuk mencapai mobiliti sosial secara vertikal dan memastikan tiada pihak yang ketinggalan, rakyat perlu mengetepikan berbezaan termasuk dari segi kaum, tetapi sebagai rakyat Malaysia.

Timbalan perdana menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di sini, Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria dan Anggota Parlimen Pasir yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2017 yang diilhamkan Najib itu bermatlamat memberi peluang kepada pelajar Bumiputera yang tercicir ke universiti atau kolej kemahiran untuk melanjutkan pelajaran.

Mengenai program itu, Ahmad Zahid berkata ia merupakan program luar biasa apabila hampir 60,000 tawaran pengajian dikeluarkan melebihi sasaran sebanyak 50,000.

Sehubungan itu, beliau menyeru mereka yang telah tamat pengajian dan telah mendapat pekerjaan untuk terus meningkatkan pengetahuan bagi menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi selain membantu keluarga.

“Ini bagi menentukan bahawa produktiviti dapat dipertingkatkan kerana 33 tahun akan datang pada tahun 2050, kita mahu melihat negara kita (berada di kedudukan) ke-20 terbaik di peringkat dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata program yang diadakan di 44 lokasi seluruh negara itu bukan agenda pilihan raya atau bermusim, sebaliknya untuk memastikan rakyat mendapat peluang terbaik daripada aspek pendidikan.

Timbalan perdana menteri turut memberi jaminan bahawa beliau dan perdana menteri akan terus menyokong penganjuran program itu.

“Ia (program) tidak bermusim, kami tetap turun padang dan melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Berterima kasihlah kepada perdana menteri, jangan berterima kasih dengan hanya bertepuk tangan sahaja tetapi terima kasih dengan memberi dukungan kepada kerajaan dan parti (UMNO dan BN pimpinan) perdana menteri,” katanya. – MalaysiaGazette


Penyebar poster serang ulama dikenali


PAS sudah berjaya mengenal pasti pihak yang menyebarkan poster berbaur serangan peribadi terhadap beberapa pemimpin parti itu hari ini.

Menyifatkan tindakan berkenaan sebagai terdesak, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, bagaimanapun berkata beliau tidak terkejut dengan perkembangan itu.

"Kami kenal siapa yang buat itu, sama ada poster oren ke, poster melalui sebaran dalam akhbar-akhbar, itu pun kami kenal pasti orang yang buat," katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Kedah, di Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.

Bagaimanapun, Takiyuddin tidak mendedahkan dengan lebih terperinci pihak yang dimaksudkan itu.
Terdahulu Muktamar PAS ke-63 yang memasuki hari kedua hari ini dikejutkan dengan kewujudan poster menyerang beberapa tokoh ulama parti itu.

Bertajuk ‎'Zuhud PAS???' kertas bersaiz A4 itu menyerang dua pemimpin PAS berstatus ulama dengan memaparkan perbandingan kenderaan digunakan sebelum dan selepas mereka menjadi anggota parlimen‎.
Seorang lagi pula dituduh terlibat dalam skandal dengan seorang wanita tidak dikenali.

Tiga tokoh kanan PAS yang disasarkan ialah Anggota Parlimen Temerloh merangkap Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan; Anggota Parlimen Kuala Nerus merangkap Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali; serta pendakwah terkenal merangkap Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik.

Kata Takiyuddin, serangan itu juga dilihat sebagai langkah terdesak pihak terbabit dan ia bukan mengejutkan PAS.

"Orang itu kita tak terkejut, (pada) asasnya kita kenal orang itu.

"Bagi kita, itu tindakan terdesak pihak-pihak berkenaan. Mereka cuba menggangu perjalanan muktamar kita.

"Sepatutnya apabila kita buat muktamar kita yang sibuk, tapi nampaknya mereka pun sibuk juga," katanya.

LIHAT  VIDEO DI SINI


30 ahli PPBM Dungun kembali kepada Umno

 Bernama

Mereka mengambil keputusan itu kerana mendapati  PPBM tidak mampu membela nasib orang Melayu sepertimana yang dilakukan Umno selama ini .

DUNGUN:  Seramai kira-kira 30 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Bandar Al Muktafi Billah Shah dekat Bukit Besi di sini termasuk Anggota Jawatankuasa Biro Penerangan PPBM Dungun Azmi Mohammad mengisytiharkan keluar dari parti itu dan kembali menyertai Umno.

Mereka mengambil keputusan itu kerana mendapati  PPBM tidak mampu membela nasib orang Melayu sepertimana yang dilakukan Umno selama ini .

Mereka mengumumkan keputusan keluar parti itu dalam program “Selamat Tinggal PPBM- Sirih Pulang ke Gagang, Umno Dulu, Kini dan Selamanya” di sini, malam tadi. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Dungun  Din Adam.

Azmi berkata 20 hingga 30 lagi anggota  PPBM Dungun dijangka turut berbuat demikian dalam masa terdekat.

Din berharap tindakan mereka itu akan memberi keinsafan kepada orang lain bahawa tiada parti lain yang benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan agama dan bangsa Melayu seperti yang dilakukan Umno selama ini.

Wakil PAS S'wak tawar diri bertanding kerusi Mahfuz


MUKTAMAR | Perwakilan PAS dari Sarawak, Hamdan Sani meletakkan harapan besar kepada kepimpinan parti supaya memilih calon Bumi Kenyalang itu untuk bertanding di kerusi boleh menang dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

Malah, beliau sempat menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Pokok Sena yang kini disandang oleh bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, saranan itu dikemukakan bertujuan supaya ada suara yang dapat mewakili masyarakat Sarawak daripada PAS di Parlimen.

"Masalah rakyat dan isu pentadbiran di Sarawak akan lebih didengari atau wakil rakyat PAS Sarawak (yang) boleh bercakap di parlimen.

"Oleh demikian, kami mencadangkan agar boleh dipertimbangkan calon dari Sarawak untuk bertanding di kerusi Parlimen yang boleh menang di Semenanjung Malaysia," katanya pada sesi membahas ucapan dasar presiden PAS, pada Muktamar tahunan PAS Ke-63 di Alor Setar, hari ini.

Terdahulu, ucapannya diusik oleh timbalan pengerusi tetap yang bertindak sebagai pengerusi acara kerana sudah kehabisan masa yang diperuntukkan.

Hamdan, kemudiannya meminta masa untuknya ditambah dan meneruskan ucapannya sekaligus menwarkan diri untuk bertanding di kerusi Pokok Sena.

Tawaran itu sekali gus mendatang rasa lucu di kalangan para perwakilan termasuk kepimpinan tertinggi, malah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut kelihatan tercuit hati dengan permintaan perwakilan tersebut.

Sementara itu, Hamdan berkata, menjadi harapan rakyat Sarawak dapat disampaikan oleh wakil rakyat berkenaan dengan lebih efektif dan relevan.

"Akhir kata, kami juga mohon doa agar kami dapat memenangi kerusi DUN sulong di Sarawak, sekiranya kami menang satu kerusi, Insya-Allah PAS pusat bolehlah mempertimbangkan agar muktamar pada tahun tersebut dibuat di Pulau Borneo.

"Bersama kekuatan rakan kami, di Sabah. Contohnya, saya bersedia jika diberi peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Pokok Sena (Kedah).

"Bukan setakat itu saja, kami juga mempunyai pemimpin Iban dan penyokong-penyokongnya dalam PAS. Jika parti lain tidak berjaya mengangkat dan membela kaum Iban, PAS sebagai parti Islam akan berada di sisi kaum Iban," katanya.


Tak boleh layan parti tak sabar

HARAKAHDAILY


 
 
DATUK Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS sebagai sebuah parti yang sabar tidak boleh melayan parti yang tidak sabar.
 
"Kita parti yang sabar, kita tak boleh layan parti yang tak sabar," ujar Presiden PAS itu pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, hari ini.
 
Menjawab pertanyaan mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), beliau berkata PAS telah membuat penilaian parti itu tidak mempunyai ketentuan arah.
 
"Kita sudah buat penilaian parti Pribumi parti yang tak ada ketentuan arah dan pemimpin pun tak tahu siapa, siapa imam siapa makmum.
 
"Itu kenyataan yang berlumba antara satu sama lain. Dengan sebab itu kita sudah buat keputusan tak ada hubungan dengan parti itu," katanya. - HARAKAHDAILY
 
 

Ada lagi ke chai muktamar di Kedah?

 
 M FAQIH  

KETIKA proses pengundian dijalankan bermula jam 3 petang tadi, perwakilan yang layak mengundi kelihatan beratur panjang. Mereka berbaris panjang menunggu giliran untuk membuang undi.

Bermula dari dalam Dewan Datuk Mohd Fadzil Mohd Noor sehingga ke tingkat satu, tempat pembuangan undi berlangsung. Hampir jam 6 petang masih ada perwakilan yang  beratur di tangga untuk naik ke tingkat atas.

Pengundian secara elektronik (e-voting)  hanya membenarkan 10 orang bagi satu kumpulan untuk masuk ke bilik tempat mengundi. Kaedah mengundi secara e-voting pertama kali diperkenalkan PAS.

Biar pun ramai perwakilan yang merungut kerana terpaksa beratur panjang, namun mereka tetap menunai tanggungjawab bagi memilih pemimpin untuk membantu Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi mengemudi parti sesi 2017-2019.

Empat calon bertanding merebut kerusi Naib Presiden. Tiga calon mempertahankan jawatan iaitu Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Iskandar Abdul Samad.

Bekas ketua penerangan Ustaz Nasruddin Hassan turut mencuba mengintai peluang menduduki kerusi nombor tiga.

Manakala 26 calon menawarkan diri bertanding bagi menduduki 18 kerusi anggota jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi baharu.

Ketika pengundian dijalankan muktamar ditangguh dan akan bersidang jam 8.30 pagi esok.

Biarpun ada rungutan kaedah baru pengundian, namun proses itu berjalan lancar selepas diberi penjelasan oleh Setiausaha Lembaga Pemilihan PAS, Wan Rohimi Wan Daud.

Tumpuan perwakilan sekarang hanya terarah kepada siapa yang akan mengekalkan kerusi naib presiden, memandangkan empat pemimpin yang dicalon ada kewibawaan tersendiri.

Kesemua mereka wakil rakyat, di mana dua sebagai anggota parlimen dan dua lagi Adun.

Rentak pemilihan mungkin berdasar kepada negeri iaitu Kelantan, Pahang, Selangor dan Perak.

Namun bagi PAS Kubang Kerian tiada perkiraan awal dibuat bagi memilih sesiapa sahaja untuk menduduki kerusi naib presiden. Yang Dipertuanya, Ustaz Abdul Rahman Yunus  berkata, beliau dan perwakilan tidak pernah berbincang mengenai siapa yang mahu dipilih.

“Kita beri kebebasan kepada perwakilan bagi menentukan siapa yang mereka fikir layak. Ini kerana empat calon yang disenarai ada kelebihan  masing-masing,” katanya di sini. 

Tiada senarai chai

Tidak lagi kedengaran ada chai seperti yang cuba digambarkan pihak yang tewas pada pemilihan dua tahun lepas. Malah penulis pun tidak menjumpai ada senarai chai seperti yang cuba digambarkan pada 2015.

Tiada pula helaian chai yang boleh ditemui di kerusi perwakilan atau mana-mana tempat di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor. Apapun yang jelas isu chai hanya timbul apabila ada pihak yang merasakan cukup hebat, namun tidak dipilih perwakilan.

Sistem e-voting seperti yang diberitahu Wan Rohimi, perwakilan boleh menukar pilihan untuk kali kedua sebelum menghantar undi kepada sistem. Selepas pilihan dibuat di skrin komputer, ia akan dicetak dikertas sebelum dimasukkan ke dalam tong disediakan.

“Keputusan pemilihan itu hanya akan dibuat pada hari terakhir muktamar,” katanya pada taklimat sebelum pengundian dijalankan petang tadi.

Keputusan pemilihan itu tentunya dinanti dengan alunan debar oleh perwakilan. Ini antara segmen menarik yang dibiarkan ternanti-nanti pada muktamar di Kota Sarang Semut.

Debaran yang kedua, tentunya berkaitan usul yang digeger di seluruh negara sebelum  ini tentang tahaluf siyasi dengan PKR.

Kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, terdapat lebih 30 PAS kawasan yang melulus usul tersebut pada mesyuarat yang diadakan sebelum ini.

Isu tersebut seakan-akan menjadi fokus utama pada muktamar kali ini. Namun apa yang berlaku pada hari pertama muktamar tadi, isu itu seolah-olah dibiarkan tenggelam

Tiada disebut pada ucapan dasar Presiden yang bertema Sejahtera Bersama Islam. Sebanyak 83 paragraf ucapan tersebut, Tuan Guru Abdul Hadi tidak menyentuh secara langsung mengenai tahalus siyasi dengan PKR.

Pada ucapan terbabit  Presiden mengajak perwakilan menyedari dan memahami realiti halangan dan kelebihan yang ada di hadapan kita

“Malah PAS amat menyedari kepelbagaian rakyat yang ada dalam negara bernama Malaysia ini,” katanya.

Mesej ucapan dasar itu memperlihatkan kepelbagaian rakyat di negara kita perlu diambil kira dalam merencana perubahan, pembangunan fizikal dan spiritual

Dan sekiranya kita amati pula penjelasan dibuat Dr Mahfodz ketika penggulungan muktamar Dewan Ulama Khamis lepas, ia menjelaskan lagi situasi itu.

Kata beliau, Majlis Syura Ulama sudah membuat kajian berkaitan tahaluf siyasi dengan PKR  selepas usul mengenainya ditimbul pada muktamar lepas. Dan sekarang hanya keputusan sahaja belum dinukilkan

Kemudian penegasan dapat dibayangkan apabila Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menyebut hanya Majlis Syura Ulama yang boleh memutuskan berkaitan tahaluf siyasi berdasar perlembagaan parti.

Mesej-mesej yang dihantar tersebut seakan-akan memberi gambaran, biarpun usul tahaluf dengan PKR dibincang esok atau lusa, namun kata pemutus berada di genggaman Majlis Syura. – HARAKAHDAILY 

 
e voting 2

e voting 1

Mahfuz Dakwa Tidak Dijemput Hadiri Muktamar PAS

 
 


ALOR SETAR – Bekas Yang Di Pertuan (YDP) Pas Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tidak hadir ke Muktamar Pas ke-58 bagi mengelak daripada dimalukan.


Ia berikutan tidak mendapat jemputan daripada sekretariat Muktamar Pas kali ini, katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette melalui aplikasi Whatsapp.

“Salam…Saya tak di jemput, untuk mengelak daripada kesipuan, saya tak hadirlah,” jawabnya ringkas.
Sementara itu, beliau mengingatkan supaya perbahasan yang akan berlangsung pada hari esok dapat dikawal oleh kepimpinan parti.

Katanya, pemimpin harus mengawal serta memantau setiap hujah dalam perbahasan agar tidak memberi kesan negatif seterusnya memberi imej yang tidak baik kepada Pas.

“Selamat bermuktamarlah. Pesan saya pada pimpinan, janganlah perbahasan kali ini memberikan imej yang buruk kepada parti. Pemimpin harus mengawalnya.” – MalaysiaGazette

Usul Putus Tahaluf Siyasi : PKR Kecewa, Bakal Balas ‘Serangan’ PAS






ALOR SETAR – Pas mungkin akan menerima ‘balasan’ apabila pemimpin PKR berhimpun di Pulau Pinang untuk konvensyen parti negeri, esok.


Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata, rata-rata pemimpin PKR semakin kecewa dengan ‘serangan’ dan kelantangan suara perwakilan yang mengkritik parti itu di Muktamar Pas yang kini sedang berlangsung di Alor Setar.

“Sudah tentu pemimpin kita akan menangani isu ini. Kita berasa tersinggung.

“Apa yang mereka katakan mengenai kita adalah tidak wajar. Kita mahu melawan Umno dan BN, musuh kita bukan Pas,” katanya dipetik mStar.

Merujuk kepada hasrat Pas untuk memutuskan hubungan dengan PKR, Dr Afif berkata tiada satu pun parti yang dapat melakukannya secara bersendirian dan kemenangan hanya dapat diraih dengan cara bergabung.

Dr Afif yang juga Adun Seberang Jaya berkata, pemimpin Pas perlu menangani isu-isu seperti ekonomi dan masalah sosial, bukan menyerang rakan-rakan parti pembangkang.

Pemimpin yang dijadualkan berucap pada konvensyen itu termasuk Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali, Naib Presiden Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution.

Konvensyen PKR negeri akan berlangsung menjelang kongres kebangsaan parti itu pada bulan depan – SH


Sepatutnya PAS yang sibuk, tapi ada yang lebih 'sibuk' - Takiyuddin Hassan

Oleh Ainor Rahim & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Ada pihak yang terdesak untuk menjatuhkan PAS, itu respon setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan bersabit penyebaran risalah bertajuk 'Zuhud PAS???'.
 
Risalah bersaiz A4 menampilkan gambar kenderaan milik dua pemimpin PAS berstatus ulama, sebelum dan selepas menjadi ahli Parlimen.
 
Dua ulama itu adalah Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan dan Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Khairuddin Aman Razali.
 
Risalah itu juga memaparkan perbualan tidak senonoh antara seorang janda muda dengan AJK PAS Pusat, Mokhtar Senik.
 
"Pada asasnya, kita kenal (dalang). Kita tahu siapa kawan, berbanding lawan kita kan? Jadi bagi kita (PAS), itu adalah satu tindakan terdesak pihak berkenaan mahu ganggu perjalanan (muktamar) kita. 
 
"Sepatutnya bila kita buat muktamar kita lah yang sibuk tapi nampaknya mereka pun sibuk juga. Pasang poster juga. Jadi itu langkah terdesak bagi kita," katanya ketika membuat tinjauan di bilik media Muktamar PAS Pusat, sebentar tadi.
 
Takiyuddin juga mengulas insiden 'patung monyet berserban' yang dijumpai tergantung di sebatang pokok, menyerupai karikatur kontroversi terbitan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, baru-baru ini.
 
Karikatur itu membayangkan 'monyet berserban' itu sebagai Persiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengusulkan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian, untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
Akhbar itu bagaimanapun memohon maaf kepada Hadi dan PAS.  
 
"Saya nampak ahli kita tenang tidak menjadi emosi. Sebaliknya kita terima itu adalah satu serangan psikologi dari pihak-pihak yang cuba nak menimbulkan suasana tidak senang pada kita. 
 
"Mungkin juga untuk mempengaruhi pemilihan. Mungkin juga dari pihak tertentu," tambahnya. 
 
Pemilihan PAS kali ini dilihat berjalan lancar lebih-lebih lagi kesemua jawatan panas dalam PAS sudah diketahui selepas menang tanpa bertanding.
 
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing mengekalkan jawatan presiden dan timbalan presiden.
 
Sementara Muhammad Khalil Abdul Hadi menang jawatan Ketua Pemuda juga tanpa bertanding selepas penyandangnya Nik Abduh Nik Aziz enggan mempertahankan kerusi tersebut. 


Umno Kelantan serah kepada SPRM siasat ketua Wanita bahagian

 
Setiausaha Umno Kelantan, Datuk Hanafi Mamat berkata, pihaknya yakin siasatan terhadap ketua wanita berusia 69 tahun itu tidak akan menjejaskan parti.


hanafi-mamat

KOTA BHARU: Badan Perhubungan Umno Kelantan menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat seorang ketua wanita bahagian parti negeri itu berhubung dakwaan kes penyelewengan.

Setiausahanya, Datuk Hanafi Mamat berkata, Umno Kelantan yakin siasatan terhadap ketua wanita berusia 69 tahun itu tidak akan menjejaskan parti.

“Dalam kes ini individu terbabit masih lagi menjawat jawatan ketua wanita Umno bahagian dan kita akan melihat hasil siasatan sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sambutan Hari Umno ke-71 di Bangunan Umno Negeri di sini, hari ini.

Khamis lepas, SPRM mengambil keterangan bekas timbalan presiden Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) yang juga ketua wanita Umno bahagian di negeri ini, berhubung dakwaan kes penyelewengan dana pada pilihan raya kecil Parlimen Rompin pada 2015

Sosma bukan motif politik, saya kategori mana, soal Maria

 
Maria menempelak Nur Jazlan yang menafikan Sosma digunakan pada tahanan politik


maria-chin-jazlan

PETALING JAYA: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menempelak Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menjustifikasikan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak digunakan ke atas tahanan politik, dengan mengambil contoh diri beliau.

Maria turut mempersoalkan hujah timbalan menteri dalam negeri itu dengan bertanya atas sebab apa beliau ditahan di bawah Sosma November lalu.

“Dalam siasatan (sebelum ini), saya diberitahu keganasan, penjualan dadah dan sekarang digunakan untuk gengster.

“Saya ada di kategori yang mana? Sebab saya sebenarnya dari NGO dan apa yang saya perjuangan adalah pilihan raya yang adil dan bersih. Kenapa dengan itu?” kata beliau kepada FMT.

Nur Jazlan ketika menggulung perbahasan usul berkenaan Sosma memberikan penjelasan terhadap kekhuatiran sesetengah pihak yang mendakwa akta itu digunakan sewenang-wenangnya untuk menahan ahli atau pemimpin politik.

“Kita tengok kes Maria Chin. Dia bukan tahanan politik, apa parti politik dia? Jadi dakwaan Sosma digunakan pada tahanan politik adalah tidak benar,” kata beliau di Dewan Negara.

Mengulas lanjut, Maria berkata, Nur Jazlan turut memberikan pandangan sempit tentang maksud politik yang sebenar.

“Dan, sangat jelas Sosma, untuk apa digunakan. Saya tak ada dalam apa-apa kategori. Saya rasa saya punya penahanan (di bawah Sosma sebelum ini) menyalahi undang-undang.

“Juga sangat bertentangan dengan Perlembagaan (Persekutuan). Kerana mereka menekan kebebasan untuk bercakap,” tegasnya.

Maria, yang merupakan antara 14 suspek ditangkap pada 18 November lalu beberapa jam menjelang perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur, ditahan selama 10 hari di sebuah lokasi tidak diketahui.

Polis kemudiannya mengumumkan beliau ditahan di bawah Sosma yang biasanya digunakan untuk menangani kesalahan berkaitan keganasan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abdu Bakar memberitahu Maria ditahan di bawah Sosma berdasarkan penemuan 1 dokumen ketika serbuan ke atas pejabat Bersih di Petaling Jaya.

Beliau dibebaskan 28 November, pada hari menjelang permohonan habeas corpusnya didengar oleh mahkamah

Tidak boleh berbahasa Inggeris punca majikan pilih warga asing

 
Persekutuan Majikan Malaysia berkata pekerja Myanmar dan Filipina digemari untuk mengisi kekosongan di sektor jualan dan perkhidmatan


bardan-warga-asing-kerja

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) kecewa dengan kekurangan berterusan pekerja layak yang mahir berbahasa Inggeris dan menyebabkan negara mengalami kerugian besar.

Pengarah Eksekutif Datuk Shamsuddin Bardan berkata banyak syarikat mengambil pekerja asing yang boleh berbahasa Inggeris untuk mengisi kekosongan di sektor jualan dan perkhidmatan walaupun terdapat 200,000 siswazah tempatan yang menganggur.

Beliau berkata industri perkhidmatan yang menyumbang 60% daripada ekonomi memerlukan pekerja yang mahir berbahasa Inggeris.

“Malah bagi kerja jualan mudah, kami bergantung kepada pekerja dari Myanmar dan Filipina untuk mengisi kekosongan,” katanya kepada FMT,

“Kami selalu berdepan masalah untuk mengisi jawatan yang memerlukan orang tempatan boleh bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini tidak baik untuk kita.”

Beliau berkata hala tuju dasar pendidikan yang berubah-ubah sejak dahulu menyumbang kepada masalah itu.
Sistem pendidkan terpaksa berdepan dasar yang tidak konsisten tanpa keutamaan diberikan kepada pembelajaran bahasa Inggeris, tambahnya.

Shamsuddin berkata salah satu cara mengatasi kekurangan itu dengan mendorong anak muda memperbaiki kemahiran komunikasi, terutamanya menguasai bahasa dunia itu.

“Mereka boleh belajar dari Youtube atau mendaftarkan diri ke sekolah bahasa. Harganya juga tidak begitu mahal,” katanya, dan menambah tidak ada cukup usaha diberikan ke arah insiatif seperti itu.

Beliau menambah majikan juga memerlukan bakat dalam big data – kemahiran menganalisis set data yang besar untuk mendedahkan pola, kecenderungan dan pertautan – untuk membantu mengenal pasti keadaan ekonomi.

Shamsuddin berkata majikan Malaysia sekarang ini menggaji pakar dari Bangalore, India untuk melakukan kerja khusus itu.

“Kira-kira 20% daripada ekonomi kita berdasarkan ekonomi digital. Tetapi yang mengejutkan kita tidak beri keutamaan kepada menghasilkan penganalisis data besar,” katanya.

Beliau menambah sekarang ini seolah-olah tiada rancangan untuk membangunkan bakat tempatan untuk memenuhi permintaan itu pada masa depan.

Beliau menggesa kementerian pendidikan, sektor swasta dan universiti memupuk kemahiran dalam data besar kerana ia berkaitan dengan semua sektor.

“Kita perlu melihat perkara ini dengan segera. Kita tidak boleh mencari sumber luar sepanjang masa,” katanya.

Keluarga trauma hantar anak ke sekolah tahfiz

 
Suraya trauma apabila mengetahui nasib anaknya, Muhammad Resan yang mengikuti pengajian di sebuah tahfiz di Bandar Bukit Tinggi, Klang.


keluarga-trauma-rotan

KLANG: Susulan kes Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang meninggal dunia minggu lalu didakwa akibat didera pembantu warden, 1 keluarga menceritakan kisah trauma pihaknya apabila mengetahui nasib anak mereka ketika berada di sebuah sekolah tahfiz di Bandar Bukit Tinggi di sini.

Ibu pelajar terbabit, Suraya Fatimah Abdullah, 45, berkata, disebabkan dia dan suaminya, Muhammad Ekramul Allen, 35, ingin melihat anaknya belajar di sekolah tahfiz dan mahir mengaji al-Quran, mereka menghantar dia ke sekolah tahfiz swasta April tahun lalu.

Malangnya menurut Suraya, anaknya Muhammad Resan Abdullah, 11, melalui situasi ‘sukar’ apabila berhadapan dengan layanan kasar ustaz sekolah tahfiz berkenaan.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah berkata, ustaz terbabit pernah meminta dia dan suaminya agar tidak selalu melawat anak mereka kerana dikhuatiri akan mengganggu tumpuan ke atas pembelajaran di pusat tersebut.

Pun begitu kata Suraya, dia menghubungi ustaz terbabit dari semasa ke semasa untuk mengetahui keadaan anaknya.

“Saya pernah telefon ustaz, tanya anak saya macam mana. Dia kata OK, tak ada masalah.

“Tapi bila pergi tengok, dia sakit, tak boleh bangun dan jalan pun tak OK,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Kata Suraya, disebabkan anaknya mengalami kecederaan, dia ada memberitahu ustaz berkenaan mahu membawa anaknya ke hospital, tetapi dihalang atas alasan sekolah tahfiz itu ada ubat.

“Saya cakap kepada dia, awak dah pukul beberapa minggu, tak bawa ke hospital, klinik, tak apa saya hantar anak saya saya,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu terjadi selepas anaknya mula tinggal di asrama sekolah terbabit sebulan selepas mendaftar diri di pusat tahfiz berkenaan.

Suraya berkata, pihaknya juga mengetahui nasib yang menimpa anaknya semasa melawat kanak-kanak itu.
Akibat layanan buruk, Muhammad Resan telah dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang selama 2 minggu. Kini dia belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi.

Suraya juga telah membuat laporan polis ke atas ustaz berkenaan pada 26 Mei tahun lalu. Mahkamah dijadual mendengar kes itu Julai ini.

Isu mengenai pusat tahfiz menjadi polemik apabila Mohamad Thaqif minggu lalu selepas dia dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru ekoran kecederaan di kaki yang didakwa akibat dirotan pembantu warden asrama di sekolah tahfiznya.

Dia meninggal dunia Rabu lalu selepas menjalani pembedahan memotong 2 kakinya bagi menghentikan jangkitan kuman daripada merebak dan sepatutnya menjalani pembedahan susulan untuk memotong tangan kanannya.

Seorang pembantu warden asrama didakwa memukul pelajar berusia 11 tahun itu dengan paip getah sehingga menyebabkan kakinya cedera.

Kata Suraya, pihaknya berkongsi pengalaman mereka mengambil kira kesukaran dialami keluarga Allahyarham Mohamad Thaqif dan berharap masalah yang sama tidak dilalui keluarga-keluarga lain.

Dalam pada itu, peguam Suraya Gerard Lazarus berkata, pihaknya mahu agar kanak-kanak lain tidak diseksa melalui tempat-tempat seperti itu.

Malah, beliau berharap pihak kerajaan akan melakukan sesuatu untuk memastikan kanak-kanak di sekolah tahfiz juga mendapat layanan yang baik demi masa depan mereka.

Sabtu, 29 April 2017

Bekas tentera tiada pembelaan, ramai yang melarat, kata Mejar (B) Anuar

MOHD ALI HASHIM

Mejar(B) Anuar di Merbok malam tadiMejar(B) Anuar di Merbok malam tadi


Nasib ramai bekas tentera yang bersara amat menyedihkan kerana masih ada bekas-bekas tentera yang pernah berjuang sehingga terkena jarangkap samar, kaki dipotong tetapi kini hidup melarat tanpa pembelaan sewajarnya oleh kerajaan.

Akhirnya mereka terpaksa hidup miskin dan mengharapkan simpati orang ramai walaupun telah berjuang mempertaruhkan nyawa untuk bangsa dan negara.

Demikian diluahkan oleh Ketua Pendaftar Pertubuhan Parti Pribumi Bersatu Negeri Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid ketika berucap pada program ceramah isu semasa yang telah diadakan di Taman Lembah Bujuang semalam.

"Ramai bekas tentera yang dipotong kaki, uzur, termasuklah di dalam Parlimen Merbok ini masih ramai tidak dibela.

"Kalau tidak percaya cuba semak buku akaun bank mereka baki tidak sampai RM100.

"Yang amat memilukan masih ada yang masih berhutang pinjaman perumahan serta anak yang masih belajar di universiti dan juga sekolah menengah, " jelasnya lagi.

Malah katanya pembelaan yang tidak serius oleh kerajaan terhadap bekas tentera seolah-olah khidmat mereka tidak dikenang dan dibalas.

"Sepatutnya selepas mereka berkhidmat melebihi tempoh yang begitu lama, bekas tentera seharusnya sudah mempunyai kediaman dan tanah sepertimana yang dijanjikan.

"Anak-anak bekas tentera turut diberi pembelaan memandangkan jasa yang begitu lama dicurahkan kepada negara sehinggalah mencapai usia pencen.

"Dalam sisa baki usia yang ada bekas tentera terpaksa mencari sesuap nasi lagi dengan berjaga siang dan malam sebagai pengawal keselamatan dan seumpamanya, " tegasnya.

Namun begitu katanya, sekiranya kerajaan begitu prihatin dan peduli kepada bekas tentera, sewajarnya tidak ada lagi yang hidup kais pagi makan pagi, maupun kais petang makan petang.

"Terdapat juga bekas tentera yang terpaksa mencari sesuap nasi dengan menjadi nelayan turun ke laut, turun ke bendang dan juga mencari upah membuat kerja-kerja kampung.

"Sebagai seorang bekas tentera saya rasa amat terkilan dengan tindakan kerajaan yang masih tidak memberi perhatian sepenuhnya terhadap nasib bekas tentera sehingga kini.

"Kerajaan seharusnya memberi perhatian terhadap perumahan, pendidikan dan juga kesihatan bekas tentera selepas persaraan mereka dan bukannya membiarkan mereka melalui laluan sukar yang begitu menyiksakan dalam keadaan kos sara hidup yang begitu tinggi, "ujarnya lagi.

Oleh itu katanya, perubahan bagi sebuah kerajaan yang lebih baik bagi membela nasib rakyat termasuk bekas tentera hanyalah dengan memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk menerajui Putrajaya dalam pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Sungei Petani, Datuk Johari Abdul serta Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Nasional, Faiz Fadzil serta pimpinan DAP.

SPR sah hentikan edar Rang Daftar Pemilih Tambahan


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan bahawa telah mengeluarkan arahan kepada pengarah-pengarah pilihan raya negeri untuk pemberhentian pengedaran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun kepada parti-parti politik semasa pameran RDPT dijalankan.

Setiausaha SPR DatuK Abdul Ghani Salleh berkata ia adalah bagi pemakluman awal kepada pengarah-pengarah pilihan raya negeri sebagai persediaan sebelum surat pemakluman rasmi mengenainya kepada semua parti politik dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Tindakan tersebut bukan hanya terpakai kepada parti politik tetapi juga kepada semua pihak lain yang berkepentingan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya berdasarkan kepada Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, urusan pameran RDPT dijalankan di tempat-tempat yang diwartakan sebagai tempat pameran RDPT selama 14 hari dengan mempamerkan senarai nama pemohon yang memohon mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih yang memohon tukar alamat bahagian pilihan raya.

"Dalam tempoh pameran ini, Rang DPT adalah terbuka untuk semakan oleh orang awam termasuklah parti-parti politik bagi mengemukakan tuntutan atau bantahan ke atas senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT tersebut," katanya.

Beliau menjelaskan sebelum ini adalah menjadi amalan SPR mengedarkan RDPT kepada parti-parti politik bagi tujuan pemakluman bahawa urusan semakan sedang dijalankan.

"Bagaimanapun, Mesyuarat SPR Kali Ke-773 pada 28 Mac lalu telah memutuskan agar Rang DPT (buku dan cakera padat) tidak lagi diedarkan kepada parti-parti politik mulai Pameran Rang DPT Suku Tahun Pertama Tahun 2017," katanya.

Abdul Ghani berkata keputusan itu dibuat memandangkan pameran RDPT memadai bagi membolehkan pihak berkepentingan memeriksa nama-nama pemohon yang terbabit.

Katanya buat masa ini pihak berkepentingan masih lagi mempunyai akses sepenuhnya kepada Rang DPT yang dipamerkan bagi tujuan semakan, tuntutan dan bantahan.

Menurutnya, pemberhentian amalan itu tidak pada bila-bila masa mengehadkan akses pihak-pihak berkepentingan kepada RDPT yang dipamerkan dan dalam masa yang sama, tiada keperluan perundangan untuk SPR berbuat demikian.

"SPR akan menghantar surat pemakluman secara rasmi kepada semua parti-parti politik mengenai perkara itu dalam masa terdekat berhubung pemberhentian amalan membekalkan Rang DPT (buku dan cakera padat) oleh SPR berkuat kuasa mulai pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Pertama 2017," katanya.

Oleh yang demikian, katanya mana-mana pihak yang berhasrat untuk membuat semakan semasa tempoh pameran RDPT bagi tujuan membuat tuntutan atau bantahan, hendaklah membuat semakan tersebut di tempat-tempat pameran RDPT sebagaimana yang diwartakan.-Bernama


Rafizi Dapat Maklumat Harga Minyak Terus Dari OPEC

 Suara Kebenaran
 


Sidang media mingguan oleh YB Rafizi mengenai harga minyak setiap Selasa bermula semalam adalah satu yang sangat ditunggu oleh rakyat.  Sidang media ini mampu mengurangkan kebimbangan rakyat berhubung harga semasa minyak.

Difahamkan, YB Rafizi mendapat maklumat mengenai pergerakan harga minyak terkini, terus dari OPEC dan tiada alasan untuk sesiapa yang waras akalnya menolak maklumat yang diberikan Rafizi ini.

Sekurang-kurangnya rakyat dapat bersedia sehari lebih awal sama ada untuk mengisi atau tidak minyak mereka dengan adanya sidang media Rafizi mengenai harga minyak ini.  Kerajaan hanya mengumumkan perubahan harga minyak pada pukul 6 petang setiap Rabu dan ini menyukarkan rakyat kerana hanya ada 6 jam sahaja untuk membuat persediaan bagi harga minyak yang baru.

Beginilah Rafizi dapat membantu rakyat.  Sekalipun beliau adalah ahli parlimen Pandan, jarang bercakap mengenai kawasannya di Parlimen, itu bukan bermaksud beliau tidak menyumbang, dan sumbangan itu adalah kepada seluruh rakyat Malaysia sebenarnya.

Kita saja yang kadang-kadang terlupa dengan jasa dan pengorbanan Rafizi?

Hindraf lobi PBB untuk batal status PR Zakir Naik

MALAYSIAKINI



Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) telah menulis kepada Jawatankuasa Memerangi Keganasan Majlis Keselamatan PBB (CTC) bagi menasihati Malaysia membatalkan status Pemastautin Tetap (PR) kepada pendakwah dari India, Zakir Naik berhubung kebimbangan kaitannya dengan pengganas.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy dalam surat kepada pengerusi CTC Amr Abdellatif Aboulatta di ibu pejabat PBB di New York, menyampaikan aduan mereka berhubung kehadiran pendakwah kontroversi itu dan aktivitinya di Malaysia.

Waythamoorthy berkata Malaysia adalah anggota CTC dan oleh itu harus dimaklumkan mengenai "bahaya" yang dipercayai ditimbulkan Zakir.

"Kami agak bimbang dengan karektor seperti Zakir Naik yang sewenang-wenangnya dibenar bergerak secara bebas, menggalakkan permusuhan antara kumpulan yang berbeza atas alasan agama, bangsa, puak dan melakukan tindakan memudaratkan keharmonian kami di Malaysia.

"Kami menulis ke pejabat anda dengan harapan bahawa anda boleh menangani isu ini dengan wakil Malaysia yang duduk di CTC bagi memberi amaran pada kebimbangan rakyat Malaysia dan kerosakan jangka panjang sama ada langsung dan tidak langsung, domestik dan antarabangsa," tulis Waythamoorthy.

Beliau berkata lebih-lebih lagi kerana Zakir tidak bersedia untuk kembali ke India bagi menghadapi tuduhan dan spekulasi bahawa pendakwah itu beralih operasinya ke Malaysia.

Status PR Zakir di Malaysia telah mencetuskan kemarahan sesetengah pihak, terutamanya orang bukan Islam, yang tersinggung dengan ceramahnya.

Hindraf terperangkap dalam perang mulut minggu lalu dengan salah seorang penyokong Zakir - Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, selepas beliau menulis puisi mempertahankan status PR pendakwah itu

Khalid: Terpulang pada PAS untuk letak jawatan di S'ngor


Terpulang kepada PAS sama ada mahu kekal atau tidak sebagai anggota pentadbiran dalam kerajaan negeri Selangor, kata bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Itu terpulang kepada PAS. Pentadbiran kena bezakan dengan politik," kata Khalid kepada pemberita di luar acara muktamar PAS di Alor Setar, Kedah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan agar empat exco PAS di Selangor meletakkan jawatan berikutan usul dari PAS memutuskan hubungan dengan PKR, yang memimpin kerajaan negeri.

Khalid berkata exco PAS dipilih sebagai wakil rakyat dengan janji untuk berkhidmat kepada rakyat, yang mesti dipenuhi mereka.

ADUN bebas dari Pelabuhan Klang itu bagaimanapun berkata, situasi yang boleh mengganggu kerajaan negeri mesti dielakkan.

"Tapi Selangor dah ada pentadbiran yang kuat sejak sekian lama, jadi ia tidak terlalu susah untuk mentadbirnya," katanya.

Khalid pada 2014, memecat semua exco, kecuali dari PAS, berikutan perebutan politik yang menyebabkan beliau dipecat daripada PKR.

Khalid mentadbir negeri itu sehingga meletakkan jawatan pada Ogos tahun itu dan digantikan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

PAS berkata PKR tidak akan mentadbir Selangor tanpa sokongan parti itu yang telah memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13, manakala PKR hanya menang 13 kerusi.

Sementara itu Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin yang turut hadir di muktamar hari ini sebagai tetamu kehormat berkata, kerjasama dengan PAS masih boleh berlaku walaupun kedua-duanya memutuskan hubungan.

"Dalam politk can be anything (boleh jadi apa saja). Kalau tak ada tahaluf pun, ia boleh dalam bentuk understanding (persefahaman), electoral pact (kerjasama pilihan raya)," kata Shaharuddin.

Bagaimanapun, beliau berkata adalah lebih baik jika tahaluf siyasi itu masih dikekalkan.

Bagaimanapun Biro Politik PKR masih belum membincangkan perkara itu, katanya.

Majlis Syura PAS akan membuat keputusan sama ada hubungan PKR akan dikekalkan atau sebaliknya

Hadi: 'Tak tahu siapa makmum, siapa imam' dalam BERSATU

 

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan sekali lagi bahawa parti itu tidak akan mengadakan sebarang hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Menurutnya, ia berikutan PAS melihat BERSATU tidak mempunyai arah ketentuan dalam aspek kepimpinan.

"Dah buat penilaian, BERSATU tak ada ketentuan arah kepimpinan. Tak tahu siapa makmum, siapa imam.

"Sebab itu kita buat keputusan tak ada hubungan dengan BERSATU," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di Alor Setar hari ini.

Penegasan oleh anggota Parlimen Marang itu sekali gus dilihat menamatkan tanda-tanya mengenai nasib kerjasama antara kedua-dua parti terbabit.

Sebelum ini keputusan mengenai hubungan PAS dan BERSATU diberi gambaran berbeza di kalangan pemimpin PAS yang bertentangan dengan kenyataan Hadi.


Terdahulu, Timbalan Presidennya Datuk ‎Tuan Ibrahim Tuan Man memberi gambaran bahawa PAS masih berunding dengan BERSATU.

Bagaimanapun, Hadi kemudiannya memaklumkan PAS sudah membuat keputusan untuk tidak bertahaluf siyasi dengan BERSATU


Rafizi Punca Harga Minyak Turun 6 Sen

Suara Kebenaran




Sumber industri mengesahkan bahawa harga minyak dunia akan kekal tinggi berikutan ketegangan yang wujud di Semenanjung Korea selain kesan dari serangan peluru berpandu Tomahawk USA ke atas sebuah pengkalan udara di Syria yang masih memberi impak besar kepada pasaran berikutan wujud ketidaktentuan bekalan.

Justeru, sepatutnya, tidak ada sebab kenapa harga mingguan minyak turun pada minggu ini berdasarkan kepada petunjuk dan sentimen yang dikatakan di atas.

Maka itu, bila diumumkan bahawa harga semua jenis minyak turun antara 5-7 sen seliter semalam, keputusan ini tidak lain tidak bukan, dibuat kerana kerajaan takut dengan Ahli parlimen Pandan, YB Rafizi Ramli.

 Kerajaan takut kalau harga minyak dikekalkan, rakyat akan lebih mempercayai Rafizi selepas ini, dari kerajaan.

Apatah lagi Rafizi kini mempunyai akses terus dengan OPEC.  Dengan perkembangan terbaru ini, masih beranikah kerajaan mahu menipu rakyat lagi selepas ini?

Rafizi telah berjanji, malah memulakan pada Selasa, pengumuman harga minyak sehari lebih awal berbanding pengumuman rasmi kerajaan pada setiap 6 petang Rabu.  Ini yang ditakuti kerajaan, terutama Menteri KPDNKK Hamzah Zainuddin.  Hamzah ni, sudah tidak ada beza dengan Menteri KPDNKK yang dulu, Hassan Malek

PKR masih tunggu PAS, kata Wan Azizah

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya sedia maklum Dewan Ulama PAS telah bersepakat membuat keputusan itu, namun ia masih belum diputuskan oleh Majlis Syura Ulama parti Islam berkenaan.

KUALA LUMPUR: PKR masih menunggu keputusan muktamad PAS berhubung status kerjasama politik antara dua parti itu sebelum mengambil tindakan lanjut, kata Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya sedia maklum Dewan Ulama PAS telah bersepakat membuat keputusan itu, namun ia masih belum diputuskan oleh Majlis Syura Ulama parti Islam berkenaan.

“Kita lihat dahulu apa keputusan Majlis Syura, adakah keputusan ini akan memberi kesan terhadap PKR, PAS di Selangor.

“Dari segi kerja, tiada masalah. Cuma dari segi polisi perlu tunggu keputusan muktamar,” katanya, memetik laporan Sinar Online, hari ini.

Pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Ke-56 di dewan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) di Alor Setar semalam, Muktamar Dewan Ulama PAS bersetuju untuk mengusulkan agar tahaluf siyasi antara PAS dan PKR diputuskan.

Usul itu kemudian mendapat persetujuan sebulat suara perwakilan namun ia tertakluk pada keputusan Majlis Syura Ulama menurut peruntukan Perlembagaan PAS.

PAS tentang parti perkauman dan penghalang syiar Islam

Oleh Shuhaniza Said & Ainor Rahim
Post Pic


ALOR SETAR:  Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menyentuh nasib hubungan parti itu dengan PKR apabila merasmikan mukatamar PAS hari ini, namun menegaskan pihaknya kesal dengan parti tertentu yang menentang agenda untuk meningkatkan syiar Islam.

Tanpa menyebut nama, Hadi juga menegur parti-parti berteraskan Melayu yang diperkudakan oleh rakan sekutu mereka sehingga membelakangkan Islam.

“Ada pula dikalangan umat Islam yang terlalu teruja, sehingga tidak sedar menjadi biduk di papan catur yang dipergunakan oleh kalangan yang mempunyai agenda tidak baik terhadap umat Islam, sedangkan umat Islam ingin kembali pada kehidupan beragama sebagai satu cara hidup,” kata beliau.

Hadi dilihat membidas DAP sebagai parti perkauman dan berkata PAS akan terus memperjuangkan Islam sebagai teras penyelesaian pelbagai kemelut yang melanda negara.

“PAS hanya menentang sikap chauvinis dan perkauman sempit parti – parti tertentu ini sahaja. Apa yang penting ialah, kita menyerlahkan keyakinan Islam sebagai penyelesaian dan melibatkan idea–idea bernas dan kritis dari rakyat untuk perubahan di Malaysia,” kata beliau.

Setelah Dewan Ulama dan sayap Pemuda PAS meluluskan usul untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR sejak dua hari lalu, Hadi dilihat enggan diheret ke dalam isu itu, pada perasmian muktamar parti itu.

Sebaliknya ucaptama beliau lebih bertumpu kepada gerak kerja yang di susun oleh PAS tanpa cenderung kepada sama ada Pakatan Harapan mahupun Umno-Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun Ahli Parlimen Marang itu menzahirkan rasa kesal dengan kecenderungan parti-parti tertentu yang dilihat mengekang perjuangan PAS, khususnya dalam usaha untuk mempertingkatkan undang-undang Islam di negara ini.

“Apa yang kita kesalkan ialah, ada juga di kalangan parti politik yang berlumba – lumba untuk menjadi penentang agenda untuk meninggikan syiar Islam di kalangan rakyat beragama Islam dalam negara kita ini.

“Mereka saling cabar mencabar, siapa yang lebih dahulu dan paling kuat menentang syiar Islam, seolahnya menjadi kebanggaan baharu di zaman ini,” kata Hadi.  

“Tindakan sebegini sekiranya berterusan, adalah ancaman terbesar kepada keharmonian dan kebebasan hidup beragama yang dinikmati di Malaysia yang menjadikan “Islam sebagai Agama Persekutuan,” tegas beliau.

Hadi berkata PAS peka kepada kepelbagaian agama dan kaum di Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak yang memerlukan parti itu menyusun langkah berkesan untuk memenangi kefahaman mereka mengenai perjuangan PAS.

“Apa yang pentingnya ialah kita tidak tidur dan hanyut dengan politik moden yang meminggirkan panduan Al-Quran dan As-Sunnah, atau yang hanya mengambil sekerat-sekerat dari ajaran Islam sehingga menjadi alat mainan kepada pihak yang terang dan nyata menjadi musuh kepada Islam dengan agenda pecah perintah dan penyelewengan ilmu yang dirancangkan terhadap umat Islam,” tegas Hadi.

Beliau juga mengumumkan PAS  akan melancarkan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) merangkumi asas – asas kenegaraan yang ingin didirikan oleh parti itu.

“Secara umumnya, kita ingin membina sebuah negara yang mempunyai ciri Keharmonian Dan Keadilan Sosial, Ketelusan dan Kecekapan Urustadbir Kemantapan Dan Kemapanan Ekonomi, Keberkesanan Sistem Pendidikan, Kecemerlangan Insan dan masyarakat; dengan menjadikan Islam sebagai asas panduannya sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan,” kata Hadi.

Hadi yakin PAS mampu mencerna sebuah “gelombang tsunami hijau” pada pilihanraya umum akan datang dengan terus mendokong politik kematangannya.

“ Budaya politik matang dan sejahtera (BPMS)… lebih berkesan terutama dalam masyarakat Malaysia yang bencikan budaya keras – kasar dan politiking melampau sehingga semua perkara dilihat dalam perspektif negatif dan penuh kebencian, sedangkan rakyat tidak berubah keadaan hidup mereka.

“Pendekatan ini juga menepati ciri muwajahah silmiyah yang kita amalkan, bahkan lebih menepati sirah perjuangan Islam,” kata beliau

PKR, AMANAH anggap 'monyet berserban' cubaan sabotaj


PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah menganggap tindakan menggantung patung monyet berserban di tepi jalan menuju Kompleks PAS di Kota Sarang Semut, Alor Setar sebagai tindakan sabotaj.

Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail menyifatkan tindakan meletakkan patung monyet berkenaan bersama bendera PKR dan AMANAH sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

"Ini disabotaj oleh seseorang. Kita tidak pernah menyerang orang secara peribadi. Kita akan ambil tindakan jika ada di kalangan ahli kita yang terlibat.

"Kita naikkan bendera (di kawasan itu) sebab kita ada program dengan (Naib Presiden PKR) Rafizi (Ramli) di Kuala Kedah," katanya kepada Malaysiakini.

Bagi Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, beliau tidak tahu siapa melakukan perbuatan itu dan menganggap ia dilakukan kumpulan sama yang menggantung kain rentang 'harumanis'.

Jelasnya, AMANAH negeri sejak 17 Januari lalu lagi secara berterusan memperkenalkan parti itu dengan menaikkan bendera di pelbagai kawasan antaranya Kuala Kedah, Alor Setar dan Kota Sarang Semut.

"Kita pun tak tahu siapa yang letak patung dan selendang PAS tu. Kita tak tahu siapa buat.

"Mungkin kumpulan yang sama buat ini (kain rentang). Kain rentang itu cukup banyak. Di sekitar Batu 9 dan Jalan Kuala Kedah," katanya.

Mahfuz tak terasa hati

Sementara itu, bagi Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, beliau memberitahu bahawa kain rentang tersebut tidak memberi kesan kepada dirinya.

Malah, katanya, semangat beliau untuk terus berusaha menyedarkan pemimpin dan anggota PAS tentang pentingnya bersama Pakatan Harapan tidak luntur.

"Saya ucap terima kasih pada orang yang buat benda ini. Saya tak terasa hati apa-apa pun.

"Tak terkesan sedikit pun semangat saya untuk terus berusaha menyedarkan pimpinan dan anggota PAS tentang pentingnya untuk bersama Pakatan Harapan.

"Walaupun pimpinan PAS mahu putuskan hubungan dengan PKR dan menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan tetapi saya percaya majoriti anggota PAS mahu bersama Pakatan Harapan," katanya.

Hari ini Malaysiakini melaporkan, hari pertama persidangan Muktamar Tahunan PAS ke-63 dicemari dengan seekor patung monyet berserban yang ditemui tergantung di sebatang pokok.

Patung monyet yang lengkap berserban, berkaca mata serta diletakkan 'misai' itu digantung di atas pokok di Jalan Tandop yang terletak kira-kira lima kilometer dari Kompleks PAS Kota Sarang Semut.

Di kawasan berlainan, satu kain rentang yang memaparkan tiga wakil rakyat PAS negeri digesa keluar dari parti Islam tersebut ditemui digantung di Jalan Putra, Alor Setar.

Tiga pemimpin yang digelar sebagai 'harumanis' itu merupakan anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, bekas Yang Dipertua PAS Kuala Kedah serta ADUN Anak Bukit Datuk Ir Amiruddin Hamzah serta ADUN Kubang Rotan Nasir Mustafa.


Raja Muda: MAIPs harus malu jika belum bantu asnaf

Bernama
 
Warga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) harus berasa malu jika masih belum mampu membantu golongan asnaf di negeri ini keluar dari kepompong hidup mereka.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah walaupun MAIPs dilihat sebagai sebuah agensi yang semakin mantap dalam melaksanakan amanahnya namun tidak harus ada istilah berpuas hati dengan khidmat bantuan yang telah dilaksanakan.

"Sekiranya terdapat segelintir asnaf yang ditemui dan santuni masih berada di takuk lama setelah sesuatu tempoh yang wajar maka MAIPs harus melipatgandakan usaha memperbaiki keadaan itu.

"Jika ada yang tersisih dan terbiar masih kelihatan lesu, seolah-olah tidak pernah dibantu, ini satu situasi yang harus dielak dan perlu untuk sama-sama kita lakukan luar daripada kebiasaan, fikir dan renungkan," titah baginda menurut siaran media yang dikeluarkan oleh MAIPs hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika menutup Mesyuarat MAIPs kali ketiga bagi tahun 2017 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Dewan Kulliyah MAIPs di Behor Temak, semalam.

Raja Muda menyeru seluruh warga MAIPs untuk mengatasi cabaran berkenaan dengan penuh komited, profesional dan bukan emosional serta secara hikmah dalam membantu memperbaiki taraf kehidupan rakyat.

Pada masa yang sama, asnaf pula hendaklah diterapkan juga rasa malu kerana tidak berjaya berusaha mengubah dan memajukan diri serta keluarga mereka, titah baginda. -Bernama


'PAS...semoga berjaya', ucap PPBM

Oleh Farhain Mazlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengucapkan 'Good Luck' kepada PAS selepas parti itu mengumumkan 'menutup pintu' untuk kerjasama politik dengan partinya.
 
Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata,  PPBM tiada masalah, malah tidak terkejut dengan pengumuman yang dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
 
“ Saya kira selamatlah, 'Good Luck to PAS'. Tiada masalah, kita ni sebenarnya nak ajak dia masuk  (Pakatan Harapan), supaya PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan “in waiting” iaitu kerajaan yang akan dibentuk nanti di pilihan raya. 
 
"Jika dia (PAS) tidak mahu tidak mengapalah, ok lah,” katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Kamaruddin berkata PPBM sudah bersedia dengan penolakan daripada PAS, melihat kepada respon demi respon pemimpin PAS bahawa partinya enggan bekerjasama dengan pihak yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah.
 
Malangnya ujar Kamaruddin, PPBM tetap memilih untuk bersama DAP dan Amanah disamping PKR dalam Pakatan Harapan (PH), demi menjatuhkan Umno Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya akan datang.
 
“Ini pun tidak memeranjatkan, sebenarnya kita pun buat masa yang lama telah menjangkakan perkara ini.
 
“Kita lihat lagak PAS beberapa waktu kebelakangan ini jadi, keputusan ini sebenarnya tidak memeranjatkan,”katanya.
 
Hadi dalam sidang media selepas meramikan Muktamar PAS ke-63, di kompleks PAS Kedah memberitahu partinya tidak akan bekerjasama dengan PPBM.
 
Ujar Hadi, PPBM adalah parti yang tidak hala tujunya selain tidak jelas 'siapa imam dan siapa makmumnya'.
 
Kenyataan Hadi itu mungkin merujuk situasi di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memegang jawatan presiden parti, namun dibayangi kuasa Tun Dr Mahathir Mohamad  yang menggalas tugas 'pengerusi'.
 
Muhyiddin dan Dr Mahathir juga dilihat bercanggah pendapat dalam banyak isu melibatkan PPBM.


Zairil, Dyana perlu buat laporan polis - Rahmad Ishak

Oleh Farhain Mazlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli DAP, Dyana Sofya Mohd Daud perlu membuat laporan polis bagi membersihkan nama mereka daripada terus dikaitkan dengan beberapa keping gambar tidak senonoh, yang menjadi tular baru-baru ini.
 
Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP) Rahmad Ishak berkata meskipun Zairil dan Dyana menafikan mereka adalah lelaki dan wanita dalam gambar tersebut, ia tidak cukup untuk meyakinkan rakyat.
 
"Perlu ditegaskan bahawa penafian mereka menerusi media dalam isu berkenaan hanya sekadar melepaskan batuk ditangga namun tidak mampu untuk melenyapkan bebanan fitnah secara menyeluruh.
 
“Sehingga satu siasatan oleh pihak polis dijalankan daripada hasil laporan oleh kedua-dua mereka dalam menentukan kesahihan mengenai identiti melalui gambar-gambar berkenaan," ujar beliau menerusi kenyataan medianya hari ini.
 
Baru-baru ini pelayan internet kecoh dengan penyebaran gambar seorang lelaki dan wanita dalam keadaan mesra termasuk aksi bercumbu, yang mirip wajah Zairil dan Dyana.
 
Zairil menafikan beliau adalah lelaki itu, sementara Dyana pula berkata ini adalah serangan peribadi ke atasnya dalam tempoh tertentu, namun tidak menafikan beliau ada kaitan dengan kontroversi itu.
 
Rahmad berkata Zairild an Dyana perlu terus membuat laporan polis dan tidak perlu berasa takut, jika benar mereka tiada kaitan dengan gambar tidak senonoh itu.
 
Bahkan mereka berdua dituntut berbuat demikian untuk mempertahankan maruah serta akidah sebagai seorang Islam serta membersihkan imej DAP daripada pandangan negatif masyarakat.
 
 

Khalid Ibrahim nasihatkan PAS-PKR utamakan rakyat Selangor

Oleh Shuhaniza Said & Ainor Rahim
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menggesa PAS dan PKR mengutamakan rakyat sungguhpun wujud desakan agar exco parti Islam itu meletakkan jawatan daripada kerajaan negeri ekoran 'ketegangan' hubungan kedua-dua parti itu.
 
Khalid, yang juga bekas ahli PKR berkata, hal ehwal pentadbiran negeri dengan hal ehwal parti mesti dibezakan kerana masing-masing mendapat mandat rakyat ketika pilihan raya lalu.
 
"Itu terpulang kepada pihak PAS tapi saya rasa pentadbiran mesti dibezakan dengan politik. Pentadbiran mesti telus, bertanggungjawab sebab PAS juga masuk pilihan raya dan berjanji untuk mewakili rakyat Selangor. 
 
"Jadi dia mesti bertanggungjawab kepada rakyat Selangor.. serupa juga parti-parti yang lain.. saya juga menang saya juga bertanggungjawab kepada rakyat Selangor," kata ADUN Pelabuhan Klang itu ketika ditemui pemberita sewaktu menghadiri Muktamar PAS Pusat Kali Ke-63, di sini, sebentar tadi.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail semalam yang menggesa exco PAS dalam kerajaan Selangor meletak jawatan sekiranya muktamar parti itu membuat keputusan menamatkan hubungan dengan PKR.
 
Saifuddin dalam kenyataannya mendakwa, tidak masuk akal sekiranya PAS yang sudah memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah, masih mahu kekal dalam kerajaan Selangor setelah putus dengan PKR.
 
Kenyataan Saifuddin itu ekoran keputusan Muktamar Dewan Ulama PAS dan Dewan Pemuda PAS yang meluluskan usul putus hubungan dengan PKR tanpa bahas, kelmarin dan semalam.
 
Bagaimanapun usul tersebut akan diangkat ke Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan. 
 
Keputusan itu, jika diluluskan, akan menyebabkan berlakunya pertembungan kerusi dengan PKR yang menganggotai PH bersama DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). 
 
Dalam perkembangan berlainan, Khalid menafikan bakal menyertai PAS dan bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya akan datang.
 
"Saya sudah beri beberapa kenyataan yang saya tidak lagi ingin menyertai parti politik selepas pilihan raya. 
 
"Saya menunggu dengan penuh gembira bila pilihan raya diisytiharkan," katanya lagi.
 


Jumaat, 28 April 2017

Muktamar Pas kenapa Azmin yang berdebar?

Siapa berselfie dengan siapa, Hadi ke Azmin.
Mukatamar Pas ke-63 yang akan berlangsung empat hari lagi tidak mendebarkan banyak pihak dalam kalangan Pas terutama pemimpin tertingginya. Walaupun ada pencabar untuk jawatan naib presiden, tetapi ianya bukan suatu yang menarik untuk dinanti-nantikan dan tidak begitu mendebarkan. 
Sama ada berjaya atau tidak ahli Parlimen Temerloh, Nasaruddin Hassan menjadi salah seorang naib presiden, ia bukan perkara yang dinanti-tunggukan.

Begitu juga sama ada ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya Pas Selangor (kurang hafal namanya, maaf) salah seorang yang akan tersingkir, ia juga bukan sesuatu yang ingin diketahui. Cerita tersingkirnya sesiapa penyandang kerusi naib presiden kini dengan digantikan oleh Nasaruddin bukan menyeronokkan untuk didengar dan ia bukan cerita box-office di sini. 

Idris Ahmad
Bagi saya, kedudukan Pesuruhjaya Pas Selangor yang menjadi salah seorang naib presiden kini mungkin selamat. Kedudukannya di Selangor yang mana Pas ada menyimpan hajat dan telah membuka "cekandi" nafsunya untuk mengusai Selangor, pastilah naib presiden itu menjadi bakal calon MB daripada parti agama (Pas) itu. Sudah tentu bakal calon MB akan diselamatkan dalam apa juga game dan perlawanan. Kalau bakal calon tidak diselamatkan macam mana dia hendak dilantik menjadi MB.

Kenyataan dikeluarkan yang Pas Selangor akan bertanding 45 dari 56 kerusi DUN di Selangor jelas menggambarkan Pas tidak lagi mengharapkan pihak lain memimpin Selangor sebaliknya mereka mengidamnya sendiri. Sama ada hasrat itu sebagai mimpi di siang hari atau igauan di senja seore, tetapi itulah kenyataanya. Ada bantal dan tilam untuk Pas Selangor tidur dan ia boleh bermimpi.

Idris mungkin tergugat

Kalau pun tergugat ialah Idris Ahmad. Latar belakang pendidikannya bukan berasal dari Timur Tengah, Mesir atau Madinah menjadi faktor untuk beliau ditolak dan diganti dengan golongan Azhar atau Timur Tengah. Pemonopolian "belaka" jawatan Pas di kalangan lepasan Timur Tengah sedang menyala dan dijadikan aset dalam parti itu. Selain itu Idris juga dikatakan kurang disenangi memandangkan kenyataan dan ulasan-ulasan politiknya sama standard dan sekelas dengan kenyataan dan ulasan politik Mohd Amar Nik Abdullah menggunakan metafora Abu Nawas.

Bagaimana pun kedudukan Mohd Amar (Nik Amar) saya percaya beliau selamat kerana beliau akan diselamatkan. Sebagai orang yang bakal mengambil alih teraju MB Kelantan selepas Piruam akan datang Nik Amar akan dikekalkan. Mereka yang suka dengan cara politik "kecek huduh" Nik Amar akan memastikan beliau kekal di kerusi naib presiden di tempat pertama?

Dalam catatan ini saya tidak mahu menyorot mengenai apa yang berlaku dalam Pas, melebih daripada apa yang telah saya sebutkan di atas tadi kerana tidak ada apa-apa penantian mendebarkan dan dramatik lagi. Apa yang ditunggu akan berlaku perubahan kepimpinan bagi meletakkan Pas diatas landasan yang real sudah tidak akan berlaku lagi.

Pas kini sedang mengalami musim luruh dan bertukar musim. Musim ini akan kekal setidak-tidak sehingga Piraum akan datang. Kalau kepimpinan dan suasana Pas akan berubah pun selepas parti itu mengalami kekalahan teruk nanti.

Pas akan tetap kekal seperti sekarang selagi Hadi Awang masih jadi presiden dan Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi timbalan presiden. Tidak banyak beza antara kopiah Hadi dengan kopiah Tuan Ibrahim, sama-sama bulat kalaupun berbeza dari segi warna -- colour sahaja. Perbezaan warna tidak memberi apa-apa nilai dan kesan kepada orang kabur penglihatan atau pun kalau ia dilihat diwaktu malam, tanpa nur.

Kedudukan PKR Selangor
Sebaliknya apa yang hendak dianalisa di sini ialah mengenai muktamar itu ialah menegnai kedudukan PKR khususnya di Selangor dan juga nasib menteri besarnya Azmin Ali. Muktamar Pas kali ini saya percaya bukan sahaja sedang diperhati oleh pemerhati tetapi ia sedang ditunggu hasilnya oleh PKR khasnya oleh timbalan presidennya, Azmin. Azmin adalah Pengerusi PKR Selangor dan juga MB Selangor.

Situasi ini berlaku ekoran adanya suara-suara dalam Pas yang mahu memutuskan hubungan politik parti itu dengan PKR. Beberapa kawasan Pas dan begitu juga dengan Dewan Pemuda Pas telah pun membuat usul agar muktamar memutuskan hubungan dengan PKR. Usul inilah juga yang saya rasakan ditungu-tunggu oleh pemerhati muktamar Pas dan ia menjadi perhatian khas Azmin Ali.

Seandianya muktamar Pas menerima usul berkenaan ia memberi implikasi besar dari berbagai-bagai sudut khasnya kerjasama politik PKR - Pas. Terutamanya ia akan merubah senario politik di Selangor. Penerimaan usul itu nanti akan merubah status atau persefahaman politik kedua-dua parti itu yang terjalin hari ini. Penerimaan usul itu akan meretakkan hubungan di antaranya keduanya yang kini sudah pun ada retak-retak kecil.

Ia boleh menjejaskan kedudukan Pas dalam kerajaan Selangor itu sendiri dan ia juga menyebabkan Azmin Ali mengarap pelan politik lain kalau usul itu diterima sebulat suara nanti. Inilah yang saya rasakan sesuatu yang menarik dalam muktamar yang akan berlangsung di Kedah itu.

Bagi Azmin tentu beliau tidak seronok dengan cadangan usul berkenaan, dan pasti dia tidak setuju Pas memutuskan hubungan dengan PKR. Kenapa, sebab baginya kewujudan Pas di Selangor sangat penting dalam membantu dan memberi semangat kepadanya. Umum tahu bahawa keberadaan Azmin di kerusi MB itu adalah hasil daripada projek Langkah Kajang yang gagal. Tanpa ada projek LK itu Azmin tidak akan berada di situ.

Azmin pula mendapat bantuan padu daripada Pas untuk membolehkan dia duduk di kerusi MB. Cerita ini tidak perlu saya selak dan buka lagi kerana ia sudah menjadi pengetahuan umum,. Secara peribadi juga saya tahu bagaimana persepakatan Azmin dengan Pas (baca Hadi Awang) yang diuruskan oleh Mustapa Ali. Saya tahu bila dan bagaimana ia bermula.

Sebab itu Azmin dilihat selesa dan serasi dengan Hadi walaupun presiden Pas itu bukan sedikit menyakiti hati presidennya sendiri dan juga Penasihat Umum partinya, Anwar Ibrahim. Perkara ini mungkin boleh disahkan oleh Saifuddin Nasution Ismail.

Berbalik kepada situasi yang berlaku dalam Pas kini dan juga pengusulan oleh Pas itu, wajar untuk Azmin berasa berdebar menanti keputusan muktamar berkenaan. Muktamar itu memberi signifikan tersendiri kepadanya. Sekiranya muktamar mengambil keputusan tahalul syiasi dengan PKR terputus, secara automatik hubungan Azmin dengan Pas Selangor juga terpenggal. Mala petaka itu berat bagi Azmin.

 Bukan itu sahaja ia juga turut menimbulkan mala petaka kepada Pas. Ketiga-tiga orang Exco dan timbalan Speaker Dun Selangor daripada Pas juga boleh didesak untuk berundur. Demikian juga dengan ratusan penjawat lantik politik. Jika kedudukan penjawat itu kekal maka orang akan lihat aneh dan ganjillah kerajaan pimpinan Azmin.

Secara logiknya Pas tidak akan mengambil keputusan demikian. Mungkin akan ada muslihat kalau pun usul itu diterima dengan mengecualikan kedudukan Pas di Selangor. Ia boleh diubah atau dipindah sedikit, hubungan Pas dengan PKR di Selangor akan putus dari sudut parti tetapi bukan dari sudut kerajaan. Mungkin ini akan berlaku. 
Boleh jadi juga ketetapan dicapai dalam muktamar itu nanti akan dilaksanakan selepas Piraum bukannya sebelum Piraum ke-14? Keistimewaan dan keenakan apabila ada kedudukan dan pangkat tidak siapa berani mengorbankannya dan ia juga perlu dipertimbangkan Pas akan untung dan ruginya. Saya juga yakin untuk meredakan keadaan itu kalau Pas menjemput Azmin hadir pada perasmian mukatamr Pas itu beliau akan hadir dengan seselambanya.

Kenapa saya kata Azmin yang berdebar menanti keputusan muktamar Pas itu? Ada beberapa perkara kenapa Azmin berkeadaan demikian. Dia sangat sayang dengan kedudukannya sebagai MB. Jawatan MB bukan sembarangan dan senang untuk diperolehi. Untuk menjadi timbalan presiden PKR lebih mudah daripada menjadi MB Selangor, yang diperolehi melalui pelan Langkah Kajang. Jawatan disandang Azmin itu bolehlah dianggap sebagai bernasib baik sahaja, tersangkut kepadanya.

Apabila pelan Langkah Kajang gagal untuk menggantikan Dr Wan Azizah dengan Khalid Ibrahim, mengikut adat dan pendirian berpolitik, Azmin sepatutnya tidak menerima "tawaran" jawatan MB itu setelah Sultan dikatakan tidak mahu menerima Dr Wan Azizah Wan Ismail seperti mana dakwa Abdul Hadi Awang. Apa hendak jadi pun, dan betapa dia mahukan jawatan itu Azmin harus menolak demi menjaga maruah dan integriti partinya. Tetapi kenapa apabila namanya dicalonkan beliau "berlari" untuk mengangkat sumpah?

Justeru hari ini Azmin sangat menyayangi jawatan MB dan jawatan itu seakan titik awal dan akhirnya dalam politik. Mengapa tidak dengan jawatan itu beliau bukan saja boleh merancang pembangunan untuk rakyat tetapi ikut sama merancang masa depannya dalam PKR. Tiada puncak yang sedang direnung dan ditinjau sekarang ini melainkan presiden PKR. Beliau boleh dan sedang menggunakan jawatan itu untuk merukas ke atas. Perkara ini lumrah dalam politik.

Lantaran itu melihat cara dia berpolitik, mengguna dan mengeksplotasikan jawatan itu seakan dia lebih mementingkan jawatan itu daripada maruah dan semangat hubungan partinya dengan pembangkang terutamanya DAP di Selangor. Azmin boleh memperlekehkan parti AMANAH tetapi tidak DAP, kerana DAP adalah asas kepada kewujudan kerajaan yang dipanggunginya sekarang.

Apa yang Azmin balas budi kepada dua wakil Amanah dalam DUN Selangor yang bertindak berani tanpa peduli kecaman untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat, yakni Saari Sungip (Adun Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Adun Morid)? Mungkin saya tidak nampak apa yang Azmin laku atau hargai tindakan berani mereka berdua itu?
Seandai muktamar Pas mengambil keputusan sebulat suara memutuskan hubungan dengan PKR apa yang akan Azmin lakukan? Juga apakah akan berlaku kepada nasib kerajaan Selangor kini yang didokong oleh DAP, PAS dan Amanah bersama PKR?

Untuk ini saya tidak mahu membuat spekulasi di sini. Tunggu sehingga muktamar Pas itu lengsai.

Mengenai usul berkenaan ada dua kemungkinan akan berlaku; usul itu diterima tetapi tidak akan dibahaskan, ia akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat Pas. Jika ini berlaku bermakna debaran Azmin akan meredakan sedikit. Kemungkinan akan berlaku kesimpulan-kesimpulan di atas tadi. Bahawa dalam pilihan raya nanti Pas tetap bersama PKR. Kalau formula ini diambil belum tentu lagi kalau Selangor berjaya dikuasai PKR bersama Pas, MBnya adalah Azmin Ali.

Begitu juga kalau wujud kerjasama anih di Selangor di mana Pas masih bersama Pakatan Harapan, melawan BN satu lawan satu, MBnya belum tentu juga Azmin lagi. Sikap playsafe Amin mungkin menyebabkan dia tidak disenangi. Semua kemungkinan mendebarkan Azmin dan jika ia berlaku dan terjadi adalah kerana komplikasinya yang terlahir dari cara playsafe Azmin berpolitik.