HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Oktober 2017

Hadi yang sepatutnya perlu bertaubat, kata Dr Mahathir

 
Dr Mahathir mendakwa perpecahan dan permusuhan sesama orang Islam di Malaysia bermula dengan PAS dan Amanat Hadi.


mahathir_hadi_memali_600

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya yang bertaubat kerana mengeluarkan amanat yang menyebabkan perpecahan orang Islam di negara ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dalam entri terbaru di blognya menggesa Hadi menarik balik amanat itu kerana Al-Quran mengatakan umat Islam dilarang berpecah dan berpuak.

“Hadi suruh saya bertaubat, sebenarnya yang mesti bertaubat ialah Hadi sendiri. Sesungguhnya Hadi berdosa besar dan Hadi perlu bertaubat dan batalkan amanatnya,” kata pengerusi PH itu, merujuk kepada sedutan ceramah umum yang dikaitkan dengan Hadi pada 1981, yang dipanggil sebagai Amanat Hadi.

Sedutan itu mendakwa PAS menentang dan melawan Umno dan Barisan Nasional kerana mereka mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliyah. Pada 1984, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan amanat tersebut bertentangan dengan Islam.

Dr Mahathir berkata amanah itu terbawa kepada Peristiwa Memali 1985 di Baling, Kedah yang mengorbankan 14 orang, berpuluh lain cedera dan penahanan beratus orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam usaha pihak berkuasa menahan seorang pemimpin PAS tempatan.

“Kerana Hadi kafirkan pemerintahan Malaysia dalam amanatnya, maka 4 orang anggota polis dibunuh oleh pengikut Ibrahim Libya kerana percaya mereka sedang berjihad dan mati mereka apabila diserang balas oleh polis adalah mati syahid,” kata bekas perdana menteri itu.

Pada 20 Oktober lalu, dalam wawancara bersama Sinar Harian, Hadi menggesa Dr Mahathir bertaubat kerana menurutnya bekas perdana menteri itu menjadi punca kerosakan sistem negara,
pengurangan kuasa raja Melayu, amalan demokrasi tempang dan mentadbir negara secara diktator.

“Semua kesalahan ini beliau tidak mengaku dan tidak minta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salah lakunya. Ini menunjukkan beliau tidak jujur untuk selamatkan Malaysia.

“Yang beliau mahu adalah jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, Amanah dan PPBM adalah mengundi dan mengiakan kezaliman Mahathir,” katanya menurut laporan itu.

Dr Mahathir bagaimanapun mengingatkan Allah melarang perbuatan mengkafir dan berjanji “kafir” itu akan akan kembali kepada pihak yang mengkafirkan orang lain. “Inilah yang terjadi kepada Hadi dan PAS apabila bekerjasama dengan DAP.”

Beliau turut mempertikaikan hak Hadi dan PAS mengkafirkan mereka yang tidak menyertai parti itu.

“Perpecahan yang berlaku dikalangan orang Melayu Islam di Malaysia amat mendalam. Ada yang menafi keislaman ibu bapa mereka. Ada di antara orang PAS yang menidakkan keislaman isteri, yang berkahwin sekali lagi.

“Ada yang sembahyang berasingan, dengan imam lain; yang tidak sanggup dikebumi di kubur biasa kerana kononnya kubur itu kubur orang kafir.

“Ada yang bangun masjid berasingan sehingga sekarang ini pun. Inilah hasil amanat Hadi. Ia adalah satu dosa besar. Kerana ini sahaja pun ia perlu bertaubat,” katanya.

Meskipun begitu, Dr Mahathir berkata beliau sedar ramai pengikut Hadi yang berbai’ah dan taksub kepada Hadi hingga menerima semua dakwaan presiden PAS itu tanpa soal.

Pengerusi PH itu mendakwa Hadi sedang berusaha untuk memberi kemenangan kepada Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun di masa yang sama PAS akan kalah.

“Tetapi PAS akan terus peralatkan Islam. Tuntutan terhadap hudud PAS sudah digugur. Sekarang kononnya PAS akan bawa usul RUU 355. Berkali-kali usul ini ditangguh. Tetapi PAS masih mengguna usul ini untuk menarik sokongan politik bagi dirinya.

“Inilah PAS. Sebelum adanya PAS orang Melayu bersatu dan bersaudara sebagai dituntut oleh agama mereka – agama Islam. Perpecahan dan permusuhan sesama orang Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan parti PAS. Dianya tidaklah begitu buruk sehingga Hadi keluar amanatnya,” katanya.

KENAPA SUSAH SANGAT NAK MELENGKAPKAN SIASATAN 1MDB?

shahbudindotcom

SATU DUNIA SELESAI DAN SUDAH AMBIL TINDAKAN UNDANG-UNDANG PADA YANG TERLIBAT DALAM KES SKANDAL 1MDB TETAPI DI MALAYSIA PIHAK PENGUATKUASA UNDANG-UNDANG MASIH MAIN 'TARIK TALI!!'

Persoalan utama yang ingin saya tanya Apandi Ali selaku Peguam Negara ialah kenapa beliau tidak mahu menjalinkan kerjasama dalam isu 'Mutual Legal Assistance' dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland?!

Di Singapura tindakan undang-undang sudahpun dikenakan pada semua yang terlibat dalam kes skandal 1MDB!!

Ramai yang sudah kena penjara!! Malahan bank yang terlibat pun sudah diarah tutup oleh pihak kerajaan Singapura!!

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pun sudah memfailkan saman sivil dan kini sedang bergerak ke arah saman jenayah!! 

Terdapat bukti sejumlah hampir RM19 bilion duit syarikat 1MDB telah diselewengkan dan mereka membeli pelbagai harta-harta di Amerika Syarikat!!

Pejabat Peguam Negara Switzerland pernah keluarkan kenyataan dianggarkan RM16.8 bilion duit-duit syarikat 1MDB diselewengkan dan kemungkinan wujud kesalahan jenayah 'pengubahan wang haram' di sana!!

Negara Luxembourg turut mengesahkan ujud salah laku penyelewengan dana syarikat 1MDB!!

Tetapi di Malaysia bekas Ketua Polis Negara iaitu Khalid Abu Bakar mengesahkan pada 12 April 2017 siasatan kes 1MDB sudah selesai dan kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara!!

Ketua Polis Negara yang baru turut mengesahkan pada 20 September 2017 siasatan kes skandal 1MDB telahpun selesai!!

Tetapi kini Azalina Othman Said selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan Peguam Negara telah mengarahkan PDRM pada 24 Oktober 2017 untuk buat siasatan lanjut mengenai kes skandal 1MDB!!

PIHAK PENGUATKUASA UNDANG-UNDANG DI SELURUH DUNIA KHUSUSNYA DI NEGARA-NEGARA YANG SAYA TELAH BUAT LAPORAN SELESAI SIASATAN MEREKA!! NAMUN MENGAPA PIHAK PENGUATKUASA UNDANG-UNDANG DI MALAYSIA MASIH BERDOLAK-DALIK SERTA 'MAIN TARIK TALI' DALAM ISU SKANDAL KEWANGAN TERBESAR DUNIA PADA DEKAD INI?!*

Saya berhak tanya pihak penguatkuasa undang-undang di Malaysia kerana saya adalah orang pertama yang buat laporan kes skandal 1MDB pada PDRM, SPRM, Bank Negara serta juga menghantar beberapa memorandum kepada Peguam Negara Malaysia!!

Apabila saya mengesyaki wujudnya unsur-unsur pengubahan wang haram di luar negara maka pada waktu itu saya terbang ke Singapura, Hong Kong, Peranchis, Switzerland, United Kingdom dan melaporkan pada pihak FBI di New York!!

Akhirnya, saya telah ditahan di dalam lokap ibu Pejabat Polis Dang Wangi serta Penjara Sg Buloh selama 2 bulan!!

Kononnya penahanan saya adalah kerana cuba mensabotaj ekonomi serta sistem perbankan negara!! 

Penahanan saya di bawah akta SOSMA!!  Saya adalah rakyat Malaysia yang pertama ditahan serta didakwa di bawah akta SOSMA!!

Dalam ertikata yang lain, saya bukan nak buat kalut dalam kes skandal 1MDB ini tetapi saya mempunyai 'Locus Standi' untuk menyoal pihak penguatkuasa undang-undang di Malaysia mengenai status siasatan terkini!!

BANK NEGARA MALAYSIA TELAHPUN KOMPAUN BANK ARAB MALAYSIAN DAN MENGENAKAN KOMPAUN TERTINGGI SEJUMLAH RM150 JUTA DI ATAS BEBERAPA KESALAHAN SYARIKAT 1MDB!!

Bukankah ini bukti sahih salahlaku penyelewengan kes skandal 1MDB itu ada asas kebenarannya!! 

Dari tindakan bank negara Malaysia ini sudah mengsahihkan jenayah kes skandal 1MDB!!

Keseluruhan dunia sedang memerhati gelagat pihak penguatkuasa undang-undang di negara Malaysia sepertimana kata YBHG Tuan Haji Mat Sabu "MALAYSIA TANAH TUMPAH DARAH KU!!"

Ikhlas dari;
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Koordinator
Deklarasi Rakyat
30 Oktober 2017

Ulasan - Berikutan kenyataan Azalina Othman Said bahawa Peguam Negara pada 24 Oktober lalu telah mengarahkan pihak polis menyiasat dengan lebih lanjut berhubung skandal 1MDB, bermakna sudah dua kali kertas siasatan pihak polis dipulangkan oleh Pejabat Peguam Negara.

Apa yang tidak lengkap lagi berhubung siasatan pihak polis itu?

Susah sangatkah untuk menyempurnakan siasatan sehingga dua kali ia dipulangkan oleh Pejabat Peguam Negara?

Apa dan di mana yang masih tidak lengkap itu?

Adakah ini bermakna Pejabat Peguam Negara benar-benar mahu melakukan pendakwaan atau sekadar bertujuan melengah-lengahkan masa sebelum tibanya tarikh pilihanraya?

Kalau Jho Low dapat dibawa balik untuk disiasat dengan teliti, agaknya mudah tak untuk mendapatkan bukti dan mensabitkan sesiapa berkaitan skandal 1MDB? 

Lokasi tak strategik punca penutupan KR1M, kata menteri

 
Hamzah Zainudin berkata, kos operasi KR1M meningkat kerana saiz kedai yang besar dan terletak di kawasan pedalaman.
 
 
Hamzah-Zainudin-kedai


KUALA LUMPUR: Lokasi tidak strategik dan saiz kedai yang besar punca kos operasi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) meningkat sehingga menyebabkan beberapa kedai itu terpaksa ditutup, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan itu berkata, perkara itu dibangkitkan dalam perbincangan kementeriannya bersama pengusaha KR1M.

“Ini semua telah kita bincang dan apabila perbincangan ini dibuat setahun yang sudah, mereka tak mampu lagi.

“Di kawasan pedalaman, sudah 8 (kedai) mereka tutup kerana kos terlampau tinggi.

“Pertama, mereka katakan lokasi KR1M yang tak strategik di luar bandar jauh ke pedalaman, kosnya terlalu tinggi. Ini yang menyebabkan mereka agak tertekan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan menjalin kerjasama dengan syarikat besar melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Strategi kita adalah untuk bincangkan perkara ini bukan hanya dengan 1 atau 2 operator, tapi yang kita lakukan untuk bergabung dengan ‘blue ocean strategy’ bersama banyak syarikat besar seperti indistri kecil dan sederhana (IKS) serta syarikat multinasional.

“Semua ini kita lakukan untuk mengurangkan kos barang dipasarkan dalam negara,” katanya.

Jumaat lalu, perdana menteri ketika membentangkan Bajet 2018 mengumumkan sebagai permulaan, 50 KR1M akan distruktur semula menjadi KR1M 2.0 mulai 2018, sebelum diperluaskan kepada 3,000 kedai dalam tempoh 3 tahun.

Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata, KR1M 2.0 akan menyediakan 5 barang keperluan asas pada harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan gas LPG, selain 50 jenis barangan pengguna berjenama yang akan dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran.

KR1M yang diilhamkan Najib, dirasmikan pada Jun 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat, selain membantu memasarkan produk pengusaha IKS tempatan.

Pada 29 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menamatkan kontrak pengendali KR1M yang didapati menjual barang lebih mahal daripada harga pasaran.

Pengendali KR1M, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) selepas itu mendakwa syarikat berkenaan mengalami kerugian besar ketika mengendalikan KR1M yang merupakan projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, projek itu diteruskan juga demi manfaat rakyat, walaupun banyak yang diperkatakan mengenai kegagalan operasi KR1M.

Najib 'dedikasi' 13 perenggan ucapan selar 'bekas pemimpin'

MALAYSIAKINI

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kritikan beliau paling keras terhadap mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memperuntukkan hampir satu pertiga ucapan beliau membidas pengerusi HARAPAN itu.

Sejumlah 13 perenggan daripada ucapan sepanjang 47 perenggan itu didedikasikan untuk mengkritik Mahathir yang enggan dirujuk beliau dengan nama tetapi hanya digelar 'bekas pemimpin'.



Najib menyampaikan ucap tama berjudul 'Governance in a Developing Democracy' dalam majlis makan malam anjuran United Nations Assocation Malaysia (Unam) di ibu negara malam ini.

Perdana menteri dalam ucapannya mengeluh tentang apa yang dikatakannya sebagai 'wabak berita palsu'.

"Dari semasa ke semasa, beberapa media Barat telah melaporkan wawancara dengan salah seorang bekas pemimpin dan menghidangkan dakwaan beliau terhadap negara sebagai fakta.

"Ia tidak betul. Bekas pemimpin ini, selama hampir tiga tahun misi tidak sah beliau adalah menggulingkan kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokratik di antara kitaran pilihan raya," kata beliau.

'Sebar berita palsu'

Bekas pemimpin itu, tambah Najib telah cuba 'berbagai cara dan gagal setiap kali melakukannya'.

Akibatnya, Najib berkata pemimpin itu membuatkan dirinya bersedia kepada sebarang organisasi media yang mahu mendengar supaya beliau boleh 'menyebarkan berita palsu dan memberitahu penipuan mengenai negara untuk faedah politik yang mementingkan diri sendiri'.

"Beliau fikir jika beliau kerap memberitahu suatu penipuan , orang ramai akan mula percaya ianya sebagai kebenaran.

"Dan malangnya mungkin itulah yang terjadi kerana tiada sesiapa yang menjangkakan seorang bekas pemimpin akan memberitahu sesuatu yang tidak benar sama sekali," katanya.

Misalnya, Najib menyebut dakwaan mantan pemimpin itu yang mendakwa Malaysia sebagai salah sebuah 10 negara paling korup di dunia.


"Apabila dicabar untuk mengemukakan bukti bagi hal ini, beliau tidak mampu berbuat demikian. Ini kerana ia tidak masuk akal," jelas Najib.

Memetik kedudukan terbaru NGO Transparency International, Najib menunjukkan Malaysia disenaraikan di tangga ketiga di kalangan negara-negara yang kurang korup, pada tempat ke 55 daripada 176 buah negara.

Najib turut menafikan dakwaan negara sedang menuju pemerintahan diktator.

"Kami membenarkan demonstrasi menentang kerajaan di Kuala Lumpur. Ini bukan penanda kediktatoran. Dakwaan itu tidak munasabah.

"Ironinya bekas pemimpin itu juga telah mengakui bahawa beliau ialah seorang diktator semasa berhidmat dalam kerajaan. Ini kata beliau, bukan saya," kata Najib mengundang tawa hadirin.

Kapitalisme kroni

Najib maklum banyak yang telah berubah semenjak era bekas pemimpin itu.

"Kita telah menjelaskan bahawa tiada lagi kapitalisme kroni.

"Kita telah melabur dalam keperluan infrastruktur dan pengangkutan awam Malaysia serta di negeri-negeri pembangkang dan juga negeri-negeri BN, tidak ketika era beliau," selar Najib lagi.

Selain serangan terhadap Mahathir, ucapan Najib juga menggariskan inisiatif yang dibuat beliau yang didakwa penting terhadap urus tadbir yang baik di dalam negara.

"Pertamanya, konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Keduanya, Program Transformasi Kerajaan dan ketiga, Program Transformasi Ekonomi," ucap Najib.

Padan muka aku

MALAYSIAKINI



Padan muka, padan muka, padan muka - setelah menunggu lebih lapan tahun, akhirnya Amran Ahmad kalah di Mahkamah Perusahaan dalam kes buang kerja dari Utusan Melayu (M) Berhad pada tahun 2009.

Secara ringkas, Amran kalah selepas gagal dalam tuntutannya di Mahkamah Perusahaan di Kuala Lumpur atas dakwaan dibuang kerja secara salah oleh syarikat itu selepas mengadukan transaksi syarikat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Padan muka Amran, sebab kononnya hendak berjuang demi ahli-ahli Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan Melayu bagi mendapat perjanjian bersama (CA) yang lebih baik dan akhirnya 'terkorban' setelah dibuang kerja semasa bulan Ramadan, bulan yang mulia.

Pada ketika itu, NUJ masih dalam proses rundingan untuk mendapatkan CA dengan majikannya sehingga menyebabkan majlis eksekutifnya termasuk pengerusi ada kalanya 'naik gila' dengan beberapa cadangan majikan yang tidak masuk akal, potong itu dan ini, selain menawarkan kadar kenaikan gaji yang tidak setara dengan akhbar arus perdana lain.

Padan muka, barang kali tiada sesiapa yang mengenang 'pengorbanan' tersebut apatah lagi untuk mengucapkan berterima kasih bukan sahaja kepada Amran malah juga kepada beberapa exco NUJ lain seperti Hata Wahari dan Wan Syamsul Amly yang saya percaya, turut terkena tempiasnya.

Dengar-dengar cerita, bukan exco-exco kesatuan yang 'bersekongkol' dengan Amran sahaja terkena tempias yang maha hebat dugaannya tetapi beberapa kenalan yang rapat atau pernah rapat juga diuji dengan pelbagai cabaran yang tidak terduga sama sekali.

Padan muka sekali lagi kerana kalah di Mahkamah Perusahaan setelah tidak mahu menerima tawaran selesaikan kes lebih awal dengan bayaran 12 bulan gaji tetapi terpaksa minta maaf dalam surat yang ditulis oleh pihak majikan.

Lagi, padan muka sebab terikut-ikut cakap exco-exco yang sebulat suara bersetuju untuk ke SPRM bagi membuat laporan setelah ada exco mendapat invois pembelian 'cantilever steel support' dan 'goal post fencing' yang disangka sebagai tiang gol bernilai ratusan ribu ringgit.

Padan muka juga sebab mengeluarkan kenyataan sebagai pengerusi NUJ Utusan kepada Malaysiakini dan Harakahdaily yang menyebabkannya terheret dengan dakwaan menfitnah syarikat dan mengeluarkan kenyataan tidak benar sebagai individu.

Dipecat sebagai wartawan

Paling padan muka dan agak melucukan juga, Amran keluarkan kenyataan sebagai pengerusi NUJ Utusan tetapi dipecat sebagai wartawan.

Padan muka lagi sebab percayakan ayat bos yang pernah berkata 'I will be the first to defend you, kalau you kena buang' setelah bertemu empat mata dengannya dan melahirkan rasa bimbang jika dibuang kerja atas pejuangan kesatuan.

Padan muka juga kerana menyahut 'cabaran' bos paling besar Utusan untuk menunaikan hak dalam melaporkan isu 'cantilever steel support' dan 'goal post fencing'  itu ke SPRM.

Yang peliknya, dalam perjumpaan dengan bos-bos ketika itu, tidak pula mereka menjelaskan bahawa 'cantilever steel support' dan 'goal post fencing' itu tiada sangkut-paut dengan apa jua unsur yang berkaitan tiang gol.

Lagi padan muka sebab termakan kurniaan 'durian pejuang' yang pernah dikopek sendiri oleh bos semasa suatu majlis keraian.



Apapun, pada hakikatnya, walaupun 'padan muka' di sana ini, saya tidak pernah menyesal berjuang untuk NUJ kerana faham ianya sepak terajang yang terpaksa dilalui dalam perjuangan kesatuan, bukan persatuan, demi mempertahan serta menambah baik kebajikan ahli-ahlinya.

Saya juga percaya, jika arwah abah masih ada pun, beliau pastinya memahami apa yang telah saya lalui dan saya tidak akan 'dimarahi' kerana dibuang kerja, bukan kerana melakukan perkara tidak senonoh yang tidak sepatutnya.

Buat ibu, isteri, ahli keluarga serta sahabat handai yang cukup memahami akibat dan sebab musabab terjadinya musibah ini, saya sangat hargai, ucap terima kasih dan insya Allah, saya kalah di dalam pertempuran tetapi bukan kalah di medan perang.

Ya, saya kehilangan pekerjaan yang bukan sahaja menjadi periuk nasi selama hampir 10 tahun kerana NUJ tetapi saya tetap akan ingat bahawa kehilangan pekerjaan itu adalah atas ikhtiar yang saya percaya sebagai baik, perlu dilakukan dan terpaksa diusahakan.

Bersabarlah, mungkin ada cahaya di hujung terowong nanti. Insya Allah.


AMRAN AHMAD NOR adalah bekas pengerusi NUJ cawangan Utusan Melayu dan masih menjejaki perjuangan arwah Ahmad Nor, bekas presiden Cuepacs dan naib pengerusi DAP.

'Saham' banduan pandai buat senjata kini makin tinggi

MALAYSIAKINI



GLOBAL | Banduan yang disabitkan kesalahan kerana membuat senjata api di 142 penjara dan pusat tahanan di seluruh Thailand kini mendapat perhatian 'istimewa'.

Ia ekoran cadangan perdana menteri negara itu Prayut Chan-o-cha untuk memanfaatkan bakat yang ada pada mereka.

Mengikut cadangan Prayut banduan terbabit akan diberi latihan kemahiran semasa di penjara dan apabila selesai menjalani hukuman, mereka diambil bekerja dengan kilang membuat senjata tentera.,
 
Buat masa ini, lapor Bangkok Post, Prayut sudah mengarahkan Jabatan Penjara mengumpul data berkaitan banduan yang dihukum atas kesalahan membuat senjata api secara haram.

Jika memiliki keperluan yang ditetapkan banduan terbabit akan dihantar ke kilang senjata api tentera, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Kongcheep Tantravanich.

Setakat ini katanya cadangan yang dikemukakan Prayut semasa mesyuarat Majlis Pertahanan Kebangsaan sudah diterima.

Berdasarkan pelan dikemukakan Prayut, Jabatan Logistik Tentera Diraja Thailand ditugaskan untuk melatih banduan terbabit sebelum mereka diserapkan ke Institut Teknologi Pertahanan atau Pusat Tenaga dan Industri Pertahanan Negara.

Mengulas mengenai kebimbangan terhadap aspek keselamatan apabila bekas banduan diambil bekerja, Kongcheep menjelaskan, ia tidak wajar disalahertikan.

Katanya masyarakat tidak wajar melihat usaha itu dari sisi negatif.

"Dulu mereka membuat senjata api diam-diam, dengan berahsia tapi nanti mereka melakukannya dengan cara yang betul," katanya.

Kes 'muka badut' PM diremit kembali ke Mahkamah Sesyen

MALAYSIAKINI



Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya mahkamah tertinggi dalam negara itu mendengar kes cabaran perlembagaan artis grafik Fahmi Reza terhadap Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin berkata lima anggota panel berpendapat kes itu tidak sesuai dibawa ke Mahkamah Persekutuan, kerana tidak selari dengan prosedur bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Justeru, kami ketepikan arahan Mahkamah Tinggi untuk merujuk kes ini ke mahkamah ini.
“Kes ini akan diremit semula ke Mahkamah Sesyen,” kata Zulkelfi.

Beliau menetapkan 8 November untuk tarikh baru sebutan untuk menetapkan tarikh perbicaraan Fahmi bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ditemui selepas itu, peguam Fahmi Syahredzan Johan berkata pihak pendakwaan telah memfailkan bantahan di Mahkamah Tinggi terhadap usaha mereka mengetepikan pertuduhan atas alasan Seksyen 233 (1)(a) melanggar perlembagaan.

Jun tahun lalu, Fahmi mohon dibicarakan atas dua dakwaan jenayah susulan lakaran wajah perdana menteri seperti badut – satu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan satu lagi di Ipoh.

PAS: Siapa pula sumbermu, Ambiga?


PAS menuntut Datuk S Ambiga memohon maaf susulan dakwaan bekas presiden Majlis Peguam itu membekalkan maklumat salah berkaitan dana diterima PAS kepada Sarawak Report.

“Dia patut minta maaf sebagai peguam yang perjuangkan integriti, yang perjuangkan soal kebenaran, yang perjuangkan pilihan raya bersih, dia patut minta maaf.

“Jadi tak betul (kalau diam),” kata Naib Presiden PAS Idris Ahmad (bawah).




Semalam editor laman pembocor maklumat itu Rewcastle-Brown menamakan Ambiga sebagai sebahagian daripada pembelaannya dalam saman oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 Rewcastle-Brown mendakwa, beliau telah bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 berhubung perkara berkaitan 1MDB, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan PAS.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, Ambiga didakwa memberitahu Rewcastle-Brown tentang hubungan Najib dengan PAS, termasuk dakwaan persetujuan kewangan antara kedua-dua pihak dan motif di sebaliknya.

Bercakap kepada pemberita di parlimen hari ini, Idris mempertikaikan etika laporan Sarawak Report yang mudah memetik sesuatu sumber tanpa menyelidik sendiri dakwaan berkaitan.

“Sepatutnya (dakwaan berkaitan) sumber kewangan ini mereka kena kesan melalui transaksi kewangan, wang masuk macam mana,” katanya.

Beliau juga membangkitkan persoalan kenapa laman itu sebelum ini boleh menjejak maklumat berkaitan kemasukan derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib tetapi tidak berbuat demikian dalam isu berkaitan PAS.

'Ambiga mesti jawab'

Sementara itu anggota jawatankuasa pusat PAS Datuk Khairuddin Aman Razali turut mendesak Ambiga memberi maklum balas dengan segera mengenai kenyataan Rewcastle-Brown itu kerana ia telah merosakkan imej parti Islam itu.

“Ambiga kena respon, dalam penyata Clare, sumbernya adalah Ambiga sahaja dari dengar cakap sedangkan sebelum ini PAS telah dizalimi dengan fitnah begitu besar, ia merosakkan imej PAS.
“Ambiga sebagai peguam kena respon segera, di mana sumber Ambiga, adakah ia suatu andaian ataupun ada sumber yang tepat,” katanya yang juga anggota parlimen Kuala Nerus.

LIHAT VICEO DI SINI


'Dakwaan 300,000 orang India tiada kerakyatan cuma dongeng'

MALAYSIAKINI






Dakwaan pembangkang yang menjaja kononnya terdapat kira-kira 300,000 kaum India di negara ini terabai dan teraniaya tanpa memiliki hak kewarganegaraan terbukti tidak benar menerusi kempen Mydaftar Mega yang dilaksanakan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata dakwaan tersebut hanyalah pembohongan semata-mata memandangkan hanya kira-kira 2,500 sahaja permohonan kewarganegaraan diterima daripada kaum India di negara ini, termasuk yang lahir sebelum merdeka, atau kelahiran tidak didaftarkan.

"Menerusi inisiatif MyDaftar yang masuk ke segenap pelusuk, selongkar di segenap negeri dan cari di serata tempat, tidak ada 300,000 stateless Indian sebagaimana diuar-uarkan, sampai ke Parlimen Westminister dijaja bahawa kita aniaya kaum India di negara ini.

"Ini cerita dongeng, yang kita dapat hanya 2,500 permohonan saja... cerita tidak betul. Sama macam cerita kita bawa masuk 40,000 pengundi Bangladesh pada pilihan raya yang lalu, juga sama cerita negara akan bankrap.

"Banyak cerita auta dan tidak berasas seperti diuar-uarkan itu," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan surat kelulusan kewarganegaraan kepada kaum India di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam dan pemimpin parti mewakili kaum India termasuk Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Parti Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF) dan Makkal Sakti.

Tidak diabai kerajaan

Menurut Najib, kerajaan pimpinan beliau komited untuk menyelesaikan isu kerakyatan melibatkan masyarakat India di negara ini dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) di bawah kendalian Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) yang melaksanakan inisiatif MyDaftar sejak 2011.

Inisiatif MyDaftar Mega dilaksanakan pada awal tahun ini, selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India (MIB) untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan di kalangan masyarakat itu sepenuhnya.



Seramai 177 penerima Surat Kelulusan Kewarganegaraan terdiri daripada masyarakat India yang lahir sebelum kemerdekaan negara, kelahiran tidak didaftarkan dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri menerima surat berkenaan hari ini.

"Walaupun masyarakat keturunan India hanya 7.4 peratus dalam negara kita, tetapi, kumpulan minoriti ini tidak diabaikan oleh kerajaan hari ini," kata Najib, yang menambah, isu masyarakat India tidak dapat diselesaikan oleh pemimpin terdahulu walaupun memegang tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun.

Pada masa yang sama, beliau juga menyeru semua parti politik yang mewakili masyarakat India bersepakat memperkasakan kumpulan minoriti itu seiring kaum lain di negara ini.

"Sebagaimana saya sebut semasa (pembentangan) Bajet 2018, kaum India tidak perlu sedekah, tetapi perlu pada pemerkasaan.

"Sebab itu kerajaan tetapkan tujuh peratus kaum India dalam perkhidmatan awam, dan di institusi pengajian tinggi awam, tapi pokoknya, perlu ada kewarganegaraan.

"Namun ramai yang ambil mudah, tetapi dengan adanya kewarganegaraan, boleh dapat macam-macam bantuan kerajaan seperti, BR1M, pinjaman Tekun, rawatan di Klinik 1Malaysia... kami tidak mahu apa-apa, cuma bila sampai masanya, tolonglah... itu saja," katanya.- Bernama


Menteri cabar Ambiga dedahkan sumber

MALAYSIAKINI







Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini mencabar bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan untuk mendedahkan sumbernya mengenai dakwaan mengenai dana 1MDB yang mengaitkan PAS.

Rahman berkata langkah itu perlu bagi memastikan setiap tuduhan yang dibuat selama ini bersandarkan fakta, berbanding sekadar omong kosong demi mengelirukan rakyat.

“Bertahun lamanya kita tanya berulang kali kepada Clare Rewcastle-Brown (Editor Sarawak Report) mengenai sumber yang digunakan dalam siri penerbitan penulisan menerusi blog beliau.

“Kita bertanya kerana nak jalankan siasatan menyeluruh terhadap semua pertuduhan yang dilemparkan terhadap 1MDB, namun beliau berkeras untuk tidak dedahkan sumbernya.


“Tiba-tiba, beliau menamakan Ambiga sebagai sumber selepas diberi tekanan ketika sesi pertanyaan yang berlangsung di mahkamah,” kata Rahman seperti yang dipetik oleh portal Ahli Majlis Parlimen BN (BNBBC).

Walau bagaimanapun, Rahman yakin bahawa Ambiga akan terus berdiam diri, tanpa mendedahkan sumber atau fakta bagi menyokong dakwaannya selama ini.

“Beliau tidak akan sesekali dedahkan kerana kita tahu ia (penyaluran dana 1MDB kepada PAS) palsu, malah sebab itu juga Hadi Awang (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) bawa perkara ini ke mahkamah.

“Ustaz Hadi buat tindakan sedemikian kerana tuduhan seperti ini membabitkan reputasinya sebagai pemimpin, justeru saya menyangkal sebarang kemungkinan Ambiga akan tunjukkan bukti dan sumber beliau,” katanya.

Menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai "episod pembohongan", Rahman berkata, Rewcasltle-Brown menggunakan Ambiga, manakala peguam itu mengemukakan sumber tidak rasmi bagi menampakkan setiap artikel dipaparkan Sarawak Report seperti berpaksikan fakta.

“Cara Rewcasltle-Brown menulis artikelnya sebelum ini pun seolah-olah cuba beri gambaran bahawa kesahihan setiap fakta yang terkandung didalamnya tidak mungkin dipersoalkan, namun kebenaran terjelma apabila beliau berdepan tekanan daripada mahkamah,” katanya.


Hadi telah memfailkan saman fitnah ke atas Rewcastle-Brown di mahkamah di UK berhubung satu artikel di Sarawak Report yang kononnya bahawa PAS menerima kira-kira RM90 juta daripada Najib.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Rewcastle-Brown, yang menetap di London, menyebut Ambiga sebagai sumber maklumatnya dalam pemfailan mahkamah. Ambiga enggan mengulas mengenai perkara ini.

Najib dan penyokongnya menuduh Sarawak Report menjadi sebahagian daripada konspirasi yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuhkan pentadbirannya. Rewcastle-Brown walau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

2 Mahkamah: UM tak patuhi prosedur denda, gantung pelajar




Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan Universiti Malaya tidak mematuhi prosedur dalam mengenakan denda atau menggantung lima pelajarnya.

Semua mereka didakwa menganjur dan menyertai perhimpunan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk David Wong Dak Wah yang mengetuai panel hari ini bersama Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Zabariah Mohd Yusof juga mengarahkan UM membayar kos RM2,000.

Lima bekas pelajar itu adalah bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dan ahli jawatankuasanya, Safwan Shamsuddin, Adam Fistivil Wilfrid, Haw Yu Hong dan Khairol Najib Hashim.

Universiti itu kemudian menggantung Fahmi selama dua semester dan denda RM600, manakala Safwan digantung selama satu semester dan didenda. Sementara pelajar lain hanya dikenakan denda.

Mahkamah Tinggi Shah Alam Hakim Mohd Yazid Mustafa dalam keputusannya tahun lalu membenarkan permohonan semakan kehakiman pelajar berkenaan untuk membatalkan keputusan universiti itu selepas ia memutuskan bahawa prosiding tatatertib tidak dijalankan mengikut peraturan tatatertib UM (Kaedah-Kaedah Universiti Malaya Tatatertib Pelajar-Pelajar 1997).

Ia juga memutuskan bahawa apabila lembaga disiplin UM bertemu dengan lembaga rayuan, ia dilakukan tanpa kehadiran pelajar berkenaan.

Kelima-lima mereka diwakili peguam New Sin Yew.

New ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara.

PAS Pokok Sena Serah Nama Calon Ganti Mahfuz Omar






SHAH ALAM: PAS Pokok Sena memberitahu beberapa nama sudah dihantar kepada PAS Kedah untuk menggantikan penyandang kerusi Parlimen kawasan itu, Datuk Mahfuz Omar.

Yang Di-Pertua (YDP) PAS Pokok Sena Wan Romani Wan Salim kemudiannya memberi jaminan kesemua calon pilihan raya yang dikemukakan adalah mereka yang senang didamping dan diterima rakyat.

“(Calon) Dah ada, kita dah serah kepada perhubungan (PAS Kedah) yang kemudian serah kepada (PAS) pusat.

“Insya-Allah, sebab kita menang pun bukan atas tiket peribadi…menang atas parti,” katanya kepada Antarapos.

Bagaimanapun ADUN Bukit Pinang itu enggan mendedahkan jumlah nama yang dihantar kepada PAS negeri.

“Insya-Allah kita masih mampu mempertahankan kemenangan di kawasan Parlimen Pokok Sena,” katanya.

Kerusi Parlimen Pokok Sena kini disandang Mahfuz, yang sebelum ini secara terang-terangan menyatakan kesediannya menyokong kepimpinan Pakatan Harapan (PH), meskipun masih bersama PAS.

Mahfuz juga mengajak ahli PAS yang lain agar mencontohinya, memberi undi kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), biarpun tidak keluar parti.

Susulan itu, PAS mengumumkan Mahfuz tidak akan dicalonkan bagi mewakili PAS pada PRU14, selepas mewakili parti itu selama dua penggal.

Pada PRU13 (2013) beliau berjaya mempertahankan kerusi kerusi Parlimen Pokok Sena dengan 34,657 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Shahlan Ismail yang memperoleh 30,485 undi.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan PAS negeri menerima beberapa nama calon daripada PAS Pokok Sena untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Ramai (calon dikemukakan)… Keputusan akhir PAS Pusat akan tentukan.

“Tunggu masa PAS akan umum calonnya di Pokok sena,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bertegas, hanya parti yang terdesak akan menerima Mahfuz untuk meneruskan perjuangan politiknya.

“Saya tak mau layan dah Mahfuz…buang masa saja

“Dia dah tidak relevan bila tinggalkan PAS.

“Mungkin parti-parti terdesak macam Amanah atau PPBM boleh terima dia. Elok dia pergi sana,” katanya – AP

Dalangi Sindiket Judi, PDRM Buru ‘9 Dragon’

 
 


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat dalang dan ketua sindiket perjudian di negara ini terdiri daripada kalangan orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri serta Tan Sri.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan menyifatkan golongan orang kenamaan tersebut menggunakan pengaruh mereka untuk melindungi sindiket haram berkenaan.

“Saya tidak boleh mendedahkan siapa mereka kerana bimbang akan mengganggu siasatan kes. Bagaimanapun ada dalam kalangan mereka terdiri daripada orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri diburu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Pada 19 Oktober lepas, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan ketua digelar dragon selain mengutip hasil RM5 bilion sebulan.

Ditanya mengenai lokasi sindiket tersebut, Mohamad Fuzi memaklumkan perkara itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana bimbang mengganggu siasatan.

“Untuk makluman kita telah mengenal pasti siapa mereka ini, kalau saya dedah lokasi dan individu tersebut sudah pasti mereka akan melarikan diri ke lokasi lain termasuk luar negara.

“Sindiket perjudian terbesar negara ini terdapat di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi meminta semua pihak memberi ruang kepada PDRM untuk menyiasat perkara tersebut dan mengheret individu yang terlibat ke muka pengadilan.

“Beberapa kali saya tegaskan bahawa kita tidak akan bersekongkol dengan pihak yang terlibat termasuk anggota PDRM. Tetapi saya minta jangan ada dakwaan menyatakan terdapat anggota polis ‘dibayar’ untuk melindungi kegiatan ini,” katanya – Astro Awani

Skim Peduli Sihat : PAS Selangor Bidas Wanita PKR

 
 



PAS Selangor membidas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli yang mempertikai penggunaan gambar ADUN PAS pada sampul borang Skim Peduli Sihat program Kerajaan Negeri Selangor.

ADUN PAS Sabak, Sallehen Mukhyi berkata PAS juga sebahagian daripada Kerajaan Negeri Selangor, justeru wakil rakyat parti Islam itu berhak menggunakan gambar mereka pada mana-mana risalah program kerajaan negeri.

Menurut Sallehen yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, amalan penggunaan gambar untuk program kerajaan negeri sudah lama dipraktikkan sejak pembentukan Pakatan Rakyat (PR) lagi.

“Persoalannya meletak gambar pada satu kesalahan ke? Meletak gambar untuk program kerajaan negeri bagi seorang ADUN itu satu standard yang semua orang boleh terima. Ini bukan amalan baru, sudah lama. Meletak gambar pada program kerajaan negeri.

“Cuba baca apa yang ditampal pada gambar itu. Memang jelas dinyatakan bahawa iu memang program kerajaan negeri. Bukan program saya. Sebagai seorang ADUN kita menyampaikan program kerajaan negeri, kita letak gambar disitu. Itu amalan biasa yang berlaku. ADUN PKR sebelum ini ramai buat program. Apakah ADUN ini bukan sebahagian daripada kerajaan?,” katanya ketika dihubungi Antarapos.



Beliau berkata demikian ketika menjawab tohmahan Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli yang menuduh Sallehen sengaja mengelirukan rakyat apabila meletakkan gambarnya berserta lambang partinya pada sampul borang Skim Peduli Sihat.

Ujar Juwairiya, tindakan ADUN PAS itu tidak profesional dan meminta agar Sallehen tidak mencampuradukkan urusan parti dengan program kerajaan negeri.

Mengulas perkara itu, Sallehen berkata beliau dengan jelas mempromosi skim tersebut adalah program kerajaan negeri dan tidak sesekali membayangkan kepada rakyat, bahawa ia program PAS.
“Kita beritahu sendiri bahawa program itu kerajaan negeri bukan kita. Kita beritahu pada masyarakat. Tidak pernah kita kata itu program PAS. Tidak ada.

“Tiada masalah isu gambar. Melainkan kalau kita kata atas nama jawatan politik. Gambar itu bukan isu bagi seorang ADUN dalam program kerajaan negeri,” katanya.

Ujar Sallehen, jika benar tindakkannya adalah satu kesalahan, beliau menuntut agar polisi atau dasar membabitkan penggunaan gambar serta logo parti diselaraskan semula membabitkan semua pihak.

“Sekarang ini tidak ada satu polisi atau arahan yang jelas. Amalan-amalan itu kita sudah biasa guna sebelum ini. Yang realitinya bahawa PAS masih ada kerajaan negeri Selangor. Dia nak nafikan macam mana pun realitinya memang PAS memang ada dalam kerajaan negeri,” ujarnya.

Jurang Pembangkang-Rakyat



Kita berada dalam zaman yang tidak menentu. Sungguhpun saban hari kita dihubungkan dengan jaringan sosial yang luas melalui Facebook, Whatsapp dan sebagainya, hakikatnya kita tidak memahami antara satu sama lain. Malah kita gagal memahami cara laman sosial beroperasi dengan “big data”-nya. Ia merapatkan mereka yang senada, di samping menjarakkan mereka yang berbeza.

Akhirnya kita menang sorak di kalangan kelompok sendiri, namun gagal menawan hati kelompok yang lain.

Beberapa fenomena yang agak membimbangkan jikalau diteliti. Untuk dua tahun kebelakangan, pemimpin pembangkang membedil regim Najib-UMNO-BN dengan skandal 1MDB, namun satu kaji selidik oleh Merdeka Center pada Ogos 2017 menunjukkan hanya 6% anak muda menganggap isu ini penting kepada mereka. Ini bukan bermaksud 1MDB tidak mustahak, tetapi persoalan yang lebih besar – mengapa anak muda tidak memandang berat skandal ini?

Jikalau skandal kewangan yang mewariskan hutang yang lebih tinggi dari Menara Kembar KLCC kepada generasi akan datang pun diremehkan, apatah lagi dengan analisis perang tiga penjuru dalam PRU14? Pertikaian sama ada perang tiga penjuru menguntungkan Pakatan Harapan atau sebaliknya telah berlanjutan untuk sekian lama, lebih kalut apabila pihak yang berbeza pandangan mengemukakan hasil soal selidik untuk menyokong pendirian masing-masing.

Lantas ruang wacana sarat dengan perbahasan angka, dengan formula 5%+10% dan andaian yang pelbagai. Kemudian diuar-uarkan pula “Tsunami Melayu” bakal menenggelamkan UMNO. Secara jujur, saya sangsi dengan keberkesanan perbincangan strategi secara terbuka ini. Jikalau benar momentum Tsunami Melayu itu menunggu masa untuk meledak, mengapa kita hanya berpusu-pusu ke stesen minyak pada setiap Rabu apabila harga minyak diumumkan naik keesokannya, tetapi bukan berdemonstrasi di jalan raya?

Dari perspektif pentadbiran negara, pengurusan ekonomi dan pengagihan kuasa, sememangnya pertukaran kerajaan persekutuan memiliki makna yang besar dalam konteks politik Malaysia terkini.

Namun, pembangkang kita sama ada terikut-ikut dengan rentak retorik kaum dan agama yang didendangkan UMNO, ataupun terperangkap dalam perbalahan sesama diri. Isu yang besar, keras dan serius gagal dicairkan ke dalam hidup harian rakyat, atau diolah untuk mendapat restu pengundi.

Lebih dahsyat, perjuangan pembangkang ditonjolkan seolah-olah hanya untuk merebut kuasa, sehingga menimbulkan rasa jemu di kalangan rakyat.

Dengan kata lain, tatkala pemimpin Pakatan Harapan berapi-api membincangkan isu besar seperti 1MDB dan GST, ia gagal menggambarkan bagaimana masalah rakyat jelata pelbagai lapisan ditangani. Misalnya, seorang penjual burger tepi jalan, bersama anak-anaknya yang terpaksa menyiapkan kerja sekolah dengan meminjam cahaya lampu dari gerai burgernya – Apakah jaminan yang boleh ditawarkan PH untuk keluarga sebegini?

Itu belum lagi jikalau sepasang suami-isteri diuji dengan kelahiran OKU di keluarganya. Bagaimana masyarakat kita menghulurkan tangan kepada keluarga ini, agar OKU juga dilayan sebagai manusia yang sama haknya dengan insan lain? Seandainya seseorang anggota masyarakat ditimpa kemalangan, dijangkiti penyakit yang menelan kos perubatan yang tinggi – sejauh manakah sumber boleh diperuntukkan kepada mereka agar talian hidupnya tidak terputus lantaran kemiskinan?

Isunya tetap ekonomi. Satu Kajian Kemasukan dan Keupayaan Kewangan yang dikendalikan pada tahun 2015 mendapati, 32% rakyat Malaysia hanya mampu menampung perbelanjaan untuk seminggu, sekiranya mereka hilang punca pendapatan. Lebih 75% rakyat Malaysia sukar untuk menabung, dan gagal mengeluarkan RM1,000 untuk menampung keperluan jika berlaku kecemasan.

Di samping itu, 47% responden sebenarnya hidup bergantung kepada pinjaman kad kredit.
Angka-angka sedemikian cukup menggusarkan, seandainya kita menyelak lagi laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang dibentang pada 28 April 2017. Daripada 14.7 juta populasi penduduk umur bekerja (umur 15-64 tahun) pada tahun 2016, seramai 504,100 adalah penganggur. Jika diimbas

Laporan Tahunan Bank Negara yang dibentangkan pada tahun 2016, kadar pengangguran belia (umur 15-24 tahun) telah mencecah 10.7% pada tahun 2015. Malah, 61% penganggur terdiri daripada belia.

Namun apakah tawaran PH untuk mereka, yang masih gagal mencari rezeki selepas seminggu dibuang kerja? Mengapa belia kita gagal menempah tempatnya dalam bidang kerjaya – apakah daya saing mereka yang terhakis, atau peluang pekerjaan yang berkurang?

Itu belum lagi masuk bab pengangkutan dan perumahan. Jauh lagi apabila belia itu cukup dewasa untuk mendirikan rumah tangga. Bagaimana sepasang suami-isteri mengimbangi, antara tekanan ekonomi dengan ruang dan masa untuk menemani anak-anaknya. Kualiti hidup menurun jika kesempitan wang. Tetapi jikalau kedua-dua ibu-bapa bekerja, malah ditambah dengan kerja sampingan sebagai pemandu Uber, penjual nasi lemak, anak-anak pula terbiar dan membuka ruang untuk masalah sosial.

Kesemua ini berlaku dalam satu kitaran dan kesannya ditanggung semua. Senang kita menuding jari kepada budaya Barat apabila penyakit sosial merebak, padahal wabak sosial berpunca daripada kegagalan kita menguruskan ekonomi. Bukankah masalah sosial yang kita baca sebagai berita sensasi dari media, berpunca dari kepincangan dan kebobrokan sistem negara kita? Cuma, mengapa ia kekal sebagai masalah sosial, yang gagal dikaitkan dengan politik yang perlu kita reformasikan?



Datuk Seri pukul anggota RELA direman

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
AMPANG: Lelaki berstatus 'Datuk Seri' yang didakwa memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ketika bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru di sini, Jumaat lalu, direman empat hari bermula hari ini.
 
Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan reman sehingga 3 November ini bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya.
 
Terdahulu, lelaki berusia 29 tahun yang memakai kemeja putih itu tiba di perkarangan bangunan Mahkamah Ampang pada jam 9.30 pagi.
 
Pada jam 10.50 pagi, dia diiringi anggota polis ke kamar mahkamah untuk prosiding reman.
 
Prosiding reman mengambil masa lebih sejam sebelum suspek dibawa keluar pada jam 12 tengah hari.
 
Suspek ditahan pada jam 4 petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi Jumaat lalu, tiga anggota RELA iaitu Melvin Cheong Mun Khai, 19; Leong Jiun Jie, 21, dan Lee Weng Poh, 27, masing-masing bengkak mata kiri, selain sakit di beberapa bahagian badan selepas mendakwa dipukul dan ditendang suspek.
 
Mereka mendakwa kejadian berpunca daripada tindakan meminta suspek mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.
 
Berikutan kejadian, laporan dibuat di Balai Polis Ampang, selain aduan kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, yang juga Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA

Menteri tak tolak punca banjir kilat di KL semalam akibat pembangunan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Sebuah projek pembangunan di Kuala Lumpur mungkin menjadi punca banjir kilat di ibu kota semalam yang mengganggu aliran trafik di beberapa lebuh raya.
 
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pemaju tidak mengambil kira penyediaan kolam tadahan dan perangkap sampah bagi memastikan hanya air mengalir ke dalam sungai.
 
Beliau justeru berharap Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mengenal pasti jika terdapat kesalahan berlaku bawah Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
 
“Mana-mana pembangunan yang ada sensitiviti perkara-perkara yang saya sebutkan tadi perlu ada EIA,” katanya yang dipetik Malaysiakini.
 
Bagaimanapun, katanya, projek yang dilulus sebelum Ogos 2015 adalah bebas daripada EIA kerana ia belum diperkenalkan.
 
Hujan lebat sejak awal petang semalam di beberapa kawasan di Lembah Klang mengakibatkan banjir kilat.
 
Antara laluan yang dilapor terjejas ialah Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Bangsar South atau Kerinchi, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 berdekatan Bukit Jalil dan Lebuh Raya LEKAS di susur keluar Kantan Permai Kajang.
 
Mengulas insiden semalam, Wan Junaidi berkata, lumpur dan sampah sarap mengalir ke dalam longkang kerana tapak pembangunan berdekatan dengan jalan raya.
 
“Bila ia masuk ke dalam longkang ia menyumbatkan pembetung, jadi pembetung tersebut tidak mempunyai kapasiti lagi untuk mengalirkan air ke sungai.
 
“Jadi dengan sendirinya air terus melimpah ke jalan berdekatan,” katanya lagi.
 
 

Pergi Mampuslah Umno

Oleh

 
 
Tajuk buku PERGI MAMPUSLAH UMNO  dianggap sebagai ganas dan tidak seharusnya datang dari seorang yang sepatutnya berterima kasih kepada UMNO kerana pernah menjadi menteri menerusi UMNO. Inilah  sikap orang yang tidak tahu mengenang budi.

Inilah  pandangan terhadap saya dari  penyokong UMNO  yang tidak mempunyai kejatian diri, tidak menghayati dan memahami sejarah UMNO untuk membolehkan mereka merasa dan  melihat  betapa UMNO telah tersesat dari jalan kebenarannya.

Saya dapat merasakannya kerana saya  mengenali UMNO dari sejak  era kepimpinan  presidennya yang pertama Datuk Onn Jaafar hingga sekarang, mengikuti dan mendekati mereka sebagai wartawan tetapi saya tidak pernah melihat dan merasa kehilangan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan mereka  seperti yang berlaku di era Abdullah Badawi dan Najib Tun Abdul Razak.

Dalam keadaan UMNO berada pada nafasnya yang terakhir pada pilihanraya 1990, saya boleh  mendakwa telah  menyelamatkan UMNO bila Tengku Razaleigh  berkonspirasi dengan PBS untuk  menggulingkan kerajaan BN  pada Piliharaya Umum. BN dan khsususnya UMNO sudah terkapar-kapar  kerana semua benteng pertahanannya telah runtuh dua hari menjelang  pilihanraya itu.

Ditakdirkan  Allah  pada malam 18 Oktober 1990, ketika mesyuarat  Jawatankuasa Perang Sarap Pilihanraya BN di rumah Wan Ismail Wan Mahmood (bapa mertua Anwar Ibrahim) di Jalan Maarof, saya  ternampak di kaca TV RTM Tengku Razaleigh memakai tengkolok berlambang salib dalam sidang akhbar bersama Presiden PBS Joseph  Pairin Kitingan di Sabah.

Saya mengexploitasi gambar  ini sepenuhnya  dengan menjadikannya sebagai sisipan kepada Utusan Malaysia keluaran 19 Oktober yang diedarkan sebanyak lebih 250,000 naskah keseluruh negara. Di bawah gambar itu tertulis "Oh Tuhan Jesus Christ selamatkan  46 Amin"

Gambar ini sangat berkesan seperti berkesannya video Kelantan Dalam Gerhana semasa saya menjadi Timbalan Menteri Penerangan yang hampir menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan. MB Kelantan  Tok Guru Nik Aziz mengecap saya sebagai  budak celaka.

Apabila saya disingkirkan dari jawatan Ketua Pengarang Utusan Melayu kerana dianggap menderhaka kepada Mahathir, saya tidak merasa sedih atau marah kerana saya rasa telah menjalankan tanggungjawab saya mengikut kepercayaan saya atas prinsip profesionalisme.

Apabila Mahathir  melantik saya sebagai Senator mungkin kerana menyedari kebenaran pendirian saya menganggap  Anwar Ibrahim sebagai  anasir asing yang menyusup ke dalam  UMNO, Pengerusi Utusan Melayu, Tan Sr Khalid Abdullah menyatakan  "Zam, Mahathir tak terhutang apa2 lagi pada you". Saya faham.

Kebimbangan saya dengan kehadiran Anwar  ialah mengancam masa depan Najib  dalam UMNO.

Najib pernah memanggil saya ke pejabatnya ketika dia menjadi menteri pertahanan  apabila mengetahui saya akan disingkirkan dan memberitahu "Zam you pergilah jumpa Mahatir" dan saya bertaya "mengapa harus saya berjumpa dengannya."

Saya sempat berada bersama Najib di bawah pimpinan Abdullah Badawi tetapi saya kecewa kerana apabila beliau mengambil alih dari Abdullah Badawi beliau  mahu mengambil hati rakyat terutama orang Cina dengan menunjukkan liberalisme yang lebih hebat dari Abdullah. Beliau seolah-olah tidak memahami sejarah  keharmonian dan kestabilan Malaysia  kerana kebebasan yang terbatas.

Beliau dengan bangga menghapuskan ISA yang menerima tentangan dari dalam UMNO sendiri dan dari sini bermula berbagai dasar dan sikap flip-flop. Menyedari kelemahan ini pembangkang mengexsploitasi sepenuhnya menyebabkan maruah kepimpinannya terhakis hari demi hari.Yang terakhir tertipu  dengan projek menggulingkan kerajaan negeri Selangor yang gagal walapun menteri -menteri dan sidang media  tergempar dipanggil berserta siaran langsung TV.Hal ini menjadi bahan ketawa negara.

Bila semakin tertekan ternyata beliau semakin tidak demokratik. Hasratnya hendak menggambarkan dirinya sebagai tokoh demokrasi terbalik kepada imej autoritarian yang tidak bijaksana..

Pandangan saya yang  kritikal terhadap Najib dilihat oleh sesetengah orang sebagai  merbahaya kepada UMNO jika saya terus berada dalam UMNO. Mereka ini tentuya melihat diri saya lebih besar dari  saya yang sebenarnya. Siapalah saya.

Saya tidak akan menjadi mana-mana anggota parti politik walaupun telah dijemput berkali- kali kerana saya tidak ada cita-cita politik. Politik bukan lapangan saya sebaliknya penulisan dan kewartawanan  adalah medan perjuangan saya secara sendirian. Ada orang yang menilai saya lebih dari sepatutnya

Hubungan saya dengan UMNO sekarang  adalah ibarat putusnya hubungan  cinta sejati. Saya merasa kekasih berkhianat dan  bersikap curang. Sekalipun saya kecewa, patah hati, sedih dan hiba tetapi sukar untuk dipadamkan kasih sejati yang terpendam amat mendalam sekian lama. Sekalipun dalam kekecewaan  tetapi  sukar untuk mengucapkan selamat tinggal.

Untuk mengetahui perasaan  sebenar saya terhadap UMNO, bacalah "PERGI MAMPUSLAH UMNO" yang merupakan kompilasi dari tulisan saya di blog zamkata.

Saya mengakhiri buku ini dengan konklusi  bahawa Tun Mahathir  menjadi  punca keruntuhan peradaban suatu bangsa yang dibinanya atas kepercayaan  meterialisme sebagai  pengangkat maruah dan pertahanan bangsa tanpa memberikan perhatian berat kepada pengawalan  moral dan integriti yang  membawa kepada pendedahan memalukan manusia Melayu yang tamak haloba  memburu kekayaan dan kehidupan mewah dengan mengenepikan nilai-nilai yang baik  sehingga akhirnya mengheret peneroka Felda membeli saham dengan menanggung hutang.

Perbezaan nilai inilah yang  menyebabkan negara kecil Singapura menjadi besar dan negara besar Malaysia menjadi kecil kerana tidak menyemai dan menekankan   prinsip moral dan undang-undang kepada rakyatnya menerusi sistem kepartian dan kepimpinan negara dengan tegas dan berani.
 
 Anda boleh membeli  terus PERGI MAMPUSLAH UMNO dari penulisnya Tan Sri Zainuddin Maidin dengan harga sebuah RM35 temasuk belanja pos, hantar ke akaun CIMB 8002397357. Sertakan slip bank-in dan alamat lengkap anda dan nombor phone ke e-mail  zainudinmaidin@gmail.com

Sumber:http://zamkata.blogspot.my 
 
 

Ibu segala bajet Najib hanyalah bajet cerekarama

DEIK DAILY


Bajet 2018 dengan temanya yang merepek panjang, merupakan bajet berunsur cerekarama yang terhebat dalam sejarah negara dan oleh itu, layak menjadi pemenang anugerah cerekarama terbaik Malaysia!

Ada beberapa sebab mengapa saya katakan demikian.

Pertama, pelbagai peruntukan dan pemberian diumumkan dengan sepintas lalu dan penuh bangga namun dari manakah Datuk Seri Najib Razak akan mencekau wang defisit sejumlah RM42.35 bilion akibat daripada unjuran perbelanjaan Bajet 2018 sebanyak RM282.25 bilion yang melebihi hasil sebanyak RM239.86 bilion?

Sudah tentulah dengan meminjam atau berhutang kan. Namun umum mengetahui bahawa hutang negara sudah tinggi iaitu hampir mencecah siling nisbah hutang-KDNK sebanyak 55 peratus.




Itu belum dikira hutang kontingen yang tidak dimasukkan dalam bajet kerajaan seperti 1MDB, MRT dan Felda.

Apakah tambahan hutang RM42.35 bilion sangat perlu? Sudahkah kerajaan mengambilkira kadar faedah yang terpaksa dibayar ke atas hutang itu yang dianggarkan berjumlah RM31 bilion atau lebih kurang 15 peratus daripada perbelanjaan operasi negara?

Apakah rakyat kini dicukai untuk membayar hutang atau untuk mendapat manfaat daripada cukai tersebut?

Menurut Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang dan Presiden Pakatan Harapan, dalam ucapan perbahasan beliau pada 30 Oktober, RM31 bilion itu cukup untuk membina 60 buah hospital dalam setahun!

Tanya beliau kepada Dewan Rakyat, “apakah harapan rakyat Malaysia terhadap pembentangan bajet 2018 ini? Jawapannya mudah; rakyat mengharapkan bajet ini mampu merawat derita yang mereka tanggung sejak 2009”.

Rakyat terhimpit

Namun hakikatnya, ramai rakyat yang terhimpit akibat kenaikan harga barang dan harga minyak. Subsidi dihapuskan, kesihatan semakin mahal dan pendidikan didagangkan.

“Rakyat tidak mampu menyediakan makanan berkualiti untuk keluarga terutama untuk anak-anak yang sedang membesar,” kata Wan Azizah.



 
Dalam masa yang sama, mengapakah kerajaan tidak meletakkan keutamaan kepada pembanterasan rasuah, pembaziran dan ketirisan sebagai langkah penjimatan penting kepada perbelanjaan yang terus mengembung? Saya langsung tidak nampak komitmen kerajaan dalam hal ini.

Pakatan Harapan sebaliknya telah membentangkan Belanjawan 2018 yang dengan jelas meletakkan asas prinsipnya kepada premis ini dan menolak cukai regresif GST sebagai langkah penampungan perbelanjaan negara malah dengan berani meletakkan angka RM20 bilion sebagai penjimatan daripada ketirisan dan rasuah termasuk memotong peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang diketahui sangat kembung.

Menurut Wan Azizah, Pakatan Harapan secara bersungguh-sungguh mengetengahkan idea-idea fiskal, kewangan dan ekonomi dalam kerangka mengurus dan membangunkan negara yang bebas dari amalan kleptokrasi, rasuah, ketirisan, pembaziran, salah guna kuasa, penyiasatan terpilih, pendakwaan terpilih dan penghakisan demokrasi berparlimen.

“Pakatan Harapan telah menggariskan dasar-dasar sosioekonomi, pembangunan ekonomi serta perindustrian dan perdagangan yang menyentuh langsung dalam usaha merawat derita rakyat lantaran salah urus dan tadbir kewangan negara oleh Barisan Nasional” kata Wan Azizah.



Lantas katanya lagi, Pakatan Harapan telah mengumumkan 10 perkara berikut dalam belanjawannya iaitu hapuskan GST, hapuskan tol, pendidikan percuma untuk semua, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 di seluruh negara, rumah mampu milik, dasar hapus rasuah, hapus campur tangan politik dalam Felda, menaikkan royalti minyak 20 peratus kepada negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, cuti bersalin 120 hari dan dana RM15 bilion untuk pembangunan Sabah dan Sarawak.

Siapa dapat faedah

Kedua, terdapat penurunan peruntukan beberapa perkara penting jika dibandingkan dengan Bajet tahun lalu walaupun pengumuman yang dibuat oleh Najib kedengaran sangat hebat. Contohnya, perbelanjaan untuk pendidikan dan latihan yang diumumkan peruntukan sebanyak RM5.2 bilion.
Namun apabila disemak peruntukan Bajet tahun lalu, ia sebenarnya lebih tinggi, iaitu RM5.9 bilion. Bermakna ada penurunan peruntukan dalam Bajet tahun ini.



Ketiga, jurang perbezaan peruntukan yang ketara antara pemberian kepada rakyat secara langsung dan dana yang diperuntukkan kepada projek atau inisiatif tertentu.

Contohnya, walaupun diumumkan bayaran khas bagi penjawat awam sebanyak RM1,500 bagi penjawat awam, bayaran "one-off" sebanyak RM1,500 kepada imam, bilal, guru KAFA dan takmir serta elaun bagi warga emas dan OKU dinaikkan kepada RM350 and RM100 masing-masing, namun jumlah peruntukan bagi pemberian-pemberian itu adalah kecil jika dibandingkan dengan peruntukan kepada misalnya Dana Pembangunan Pengangkutan dengan peruntukan RM3 bilion.

Siapakah yang mendapat faedah daripada dana begini? Sudah tentu bukan rakyat biasa.

Ketiga, isu utama rakyat iaitu kos sara hidup jelas tidak ditangani oleh Bajet 2018. Antara sebab utama kenaikan kos sara hidup ialah kenaikan harga barang, cukai GST dan gaji yang rendah. Apakah Bajet 2018 mengutarakan dasar untuk menangani kos sara hidup selain daripada pemberian segera seperti BR1M dan bayaran khas “one-off”?

Pada pendapat Wan Azizah, pelaksanaan GST adalah semata-mata untuk menampung kekurangan dana kerajaan akibat pemborosan, rasuah dan ketirisan. Maka seluruh rakyat termasuk fakir miskin, penerima BR1M dan asnaf zakat pun terpaksa membayar GST. Katanya, “tidak semua rakyat menerima BR1M, tetapi semua rakyat dipaksa membayar GST”.

Tiada kenaikan gaji minimum

Sedang Belanjawan Pakatan Harapan mengesyorkan pemansuhan GST dan memperincikan kaedah menampung kekurangan hasil akibat daripadanya, Bajet 2018 masih mengekalkan GST malah memberikan pelepasan kepada perkara-perkara yang tidak meringankan beban rakyat secara langsung.

Contohnya, pelepasan GST ke atas operator kapal persiaran (cruiser) dan ke atas pengimportan big ticket items seperti kapal terbang dan kapal oleh syarikat penerbangan dan perkapalan. Apakah faedah pelepasan itu akan sampai kepada rakyat biasa yang terhimpit dengan derita kehidupan?



Keempat, berkait dengan gaji yang rendah dan lambakan pekerja asing, amatlah jelas bahawa Bajet 2018 juga tidak menyentuh tentang kenaikan gaji minimum. Kadar semasa sebanyak RM1,000 bagi Semenanjung dan RM920 bagi Sabah dan Sarawak tidak boleh lagi dianggap sebagai jumlah sara hidup yang wajar di Malaysia. Belanjawan Pakatan Harapan meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 untuk seluruh negara. Inilah kadar yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Kesimpulannya, Bajet 2018 berunsur bajet cerekarama kerana persembahannya yang bersandarkan janji-janji yang tidak ditepati, sindiran yang angkuh dan angan-angan mat jenin yang tidak berpijak kepada bumi nyata. Bajet yang juga boleh dikatakan bajet bangsawan yang gah lagi hebat tetapi gagal dan pincang dalam mengeluarkan rakyat dan negara daripada gejala najis rasuah, pemborosan dan kleptokrasi.

Justeru, akuilah bahawa Bajet 2018 yang dikatakan Ibu Segala Bajet itu hanyalah sebuah bajet cerekarama.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon menolak jauh ke tepi Bajet 2018!

Isnin, 30 Oktober 2017

Menteri: Kira-kira 300 harga barang lebih murah sejak GST

 
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagaimanapun tidak menyatakan apakah 300 barangan itu.
 
 
GST_shoping

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini berkata harga kira-kira 16% hingga 26% daripada 1,396 barangan yang dipantau turun sejak cukai barangan dan perkhidmatan dilaksanakan pada April 2015.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Baihaki Atiqulah (PAS-Kubang Kerian).

Beliau meminta kementerian menyatakan peratusan barangan yang kini lebih murah, seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Jawapan 2 perenggan itu bagaimanapun tidak menyatakan apakah kira-kira 300 barangan itu. Kementerian mengingatkan harga barangan bukan sahaja ditentukan oleh GST, tetapi juga kadar tukaran mata wang, bekalan, cuaca dan harga minyak.

Pada Mei 2015, Timbalan Kementerian Datuk Ahmad Maslan dilaporkan berkata rakyat akan merasai kesan penurunan harga barangan selepas GST dilaksanakan.

Tun M: Saya Mahu Mansuhkan ISA Tahun 1987





PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad terperangkap dalam kenyataan yang dikeluarkan beliau sebelum ini yang mahu menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Operasi Lalang dijalankan.

Bekas perdana menteri, dalam temu bual dengan portal berita dalam talian baru-baru ini, mengatakan bahawa pihak polis bertegas mahu meneruskan ISA dan terus menahan seramai 106 orang pada 1987.

“Saya tidak bersetuju. Saya meminta pihak polis untuk menerima keputusan untuk menghapuskan ISA.

“Polis tidak bersetuju. Saya terikat dengan nasihat keselamatan daripada polis, tidak boleh menentang mereka,” kata Tun M.

Tambahnya, Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tun Hanif Omar, memberitahu bahawa seorang perdana menteri perlu mendengar nasihat KPN mengenai isu keselamatan negara.

“Dia cakap macam tu dan sebenarnya saya tidak menentang polis kerana saya bergantung dengan mereka. Keselamatan adalah kerja polis.

“Jadi jika dia kata kita perlu menangkap orang ini, maka teruskan,” kata Tun M.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu menyokong tindakan polis terhadap ahli politik barisan pembangkang dan Barisan Nasional, para akademik dan pemimpin badan bukan kerajaan termasuk tindakan menutup tiga akhbar.

Beliau berkata, tindakan tersebut dilakukan untuk membendung kekacauan yang berlaku di negara ini.

Tun M tidak berjaya memansuhkan ISA sehingga beliau bersara sebagai perdana menteri pada akhir 2003.

Akta tersebut akhirnya dimansuhkan oleh perdana menteri semasa, Najib Tun Razak pada 2012.

Bagaimanapun, Tun M menyenaraikan pemansuhan ISA sebagai salah satu sebab utama mengapa beliau menarik balik sokongannya terhadap kerajaan yang dipimpin Najib iaitu pada Ogos 2014 – The Star