Minda Pembaca: Komposisi ahli panel siasatan diragui
Oleh Abdullah A Karim
BAGI pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, saya ingin memberi sedikit pandangan berhubung dengan pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri berhubung penal menyiasat rakaman video .
Kerajaan telah bersetuju menubuhkan suruhanjaya (panel) untuk menyiasat rakaman video perbualan diantara peguam Dato V.K Lingam dengan seorang hakim kanan yang dipercayai Ketua Hakim Negara.
Pada hemat saya, penubuhan suruhanjaya ini sedikit sebanyak dapat dilihat sebagai respon positif kerajaan terhadap sentimen sebenar rakyat
1) Ianya bukanlah satu suruhanjaya siasatan diraja yang dibentuk atas titah dan perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagaimana suruhanjaya-suruhanjaya diraja yang lain yang pernah dibentuk sebelum ini seperti dalam kes Dato Seri Anwar Ibrahim dipukul di dalam lokap.
Suruhanjaya yang diumumkan hari ini adalah jelas hanya ditubuhkan oleh badan Eksekutif, yang mana kerajaan sendiri (melalui nama-nama yang disebut di dalam perbualan tersebut) turut merupakan pihak yang terlibat. Situasi ini menunjukkan bahawa suruhanjaya ini bukan suruhanjaya bebas. Bagaimana suruhanjaya ini nanti dapat menyiasat secara adil dan benar-benar berkecuali?
2) Oleh kerana ianya ditubuhkan oleh kerajaan, sudah tentu ahli-ahli suruhanjaya ini bertanggungan dan answerable kepada kerajaan (khususnya kabinet). Seharusnya, jika pun suruhanjaya ini bukan suruhanjaya diraja, ianya perlu bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukannya kepada eksekutif bagi menunjukkan keberkecualiaan dan transparensi.
3) Komposisi ahli panelnya turut menimbulkan persoalan jika dilihat dari segi latar belakang masing-masing, kecualilah Dato Mahadev Shankar.
Saya merasakan Pengerusi suruhanjaya tersebut, Tan Sri Mohamed Noor bukanlah orang yang layak dan sesuai untuk mengetuai suatu suruhanjaya yang begitu mustahak demi mempertahankan wibawa badan kehakiman negara ini. Ini adalah kerana peranan yang beliau mainkan semasa Krisis Kehakiman 1988 yang membawa kepada pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abbas.
Pada masa itu Tan Sri Haidar merupakan Ketua Pendaftar Mahkamah Agung dan pada tarikh 2hb Julai 1988, beliau terlibat secara langsung mengarahkan supaya pintu bilik mahkamah dikunci, cop meterai rasmi Mahkamah Agung disembunyikan dan semua kakitangan mahkamah dilarang dari memberikan bantuan kepada mana-mana hakim Mahkamah Agung sekiranya mereka berhasrat untuk bersidang bagi memutuskan permohonan Tun Salleh untuk mendapatkan perintah tegahan kepada Tribunal dari menyerahkan laporan mereka kepada Yang Dipertuan Agong (untuk maklumat lanjut sila baca buku yang ditulis oleh Tun Salleh Abbas, May Day for Justice).
Bagaimana seorang yang masih terpalit dengan dakwaan keterlibatan dalam menghancurkan badan kehakiman boleh dilantik mengetuai satu suruhanjaya yang begitu penting? Tan Sri Lee Lam Thye juga tidak sesuai untuk terlibat di dalam suruhanjaya ini memandangkan program PLKN yang berada di bawah pengendaliannya pun turut terlibat dengan pelbagai masalah yang hingga ke tahap mengorbankan nyawa mereka yang tidak berdosa.
Inilah antara kebimbangan dan keraguan awal yang ingin saya lontarkan berkaitan dengan penubuhan suruhanjaya ini. Setakat ini, masih belum dikeluarkan lagi apakah terma-terma rujukan (terms of reference) secara spesifik berkaitan dengan bidang tugas suruhanjaya ini. Namun, yang penting suruhanjaya ini perlu amanah dalam melaksanakan tugasnya serta bebas dari cengkaman sesiapa.
Kita tidak mahu, sebagai contoh, suruhanjaya ini nanti hanya menyiasat siapa yang mula-mula mendedahkan rakaman perbualan tersebut hingga ianya jatuh ke tangan Dato Seri Anwar Ibrahim. Tetapi yang perlu disiasat ialah kandungan perbualan tersebut.
Penulis merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang - Pengarang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan