HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 September 2007

LHDN gagal serah RM13.82b

LHDN gagal serahkan RM13.82b kepada kerajaan

Oleh: HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 8 Sept. – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih belum menyerahkan hasil kutipan cukai berjumlah RM13.82 bilion kepada Kerajaan Persekutuan sehingga 31 Disember tahun lepas, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, RM13.82 bilion itu adalah sebahagian besar daripada RM14.62 bilion tunggakan hasil yang belum diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan oleh kementerian serta agensi-agensi kerajaan.

Beliau memberitahu, tunggakan hasil adalah jumlah wang yang sepatutnya diterima oleh Kerajaan Persekutuan pada sesuatu ketika di mana hasil itu terdiri daripada cukai, hasil bukan cukai serta terimaan bukan hasil.

‘‘Jumlah tunggakan hasil Kerajaan Persekutuan telah meningkat dari setahun ke setahun dan sehingga 31 Disember tahun lepas jumlah tunggakan hasil itu sebanyak RM14.62 bilion berbanding RM12.06 bilion pada tahun 2005 dan RM9.43 bilion pada tahun 2004.

‘‘Sejumlah RM9.23 bilion daripada tunggakan hasil pada akhir tahun lepas telah tertunggak melebihi tiga tahun,’’ katanya dalam laporan itu yang dikeluarkan di sini semalam.

Laporan tunggakan hasil kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM14.62 bilion terkandung di bawah Kementerian Kewangan, di bahagian Pengurusan Tunggakan Hasil Kerajaan Persekutuan, Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Ambrin memberitahu, agensi kedua paling tinggi gagal menyerahkan hasil kepada Kerajaan Persekutuan ialah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) iaitu sebanyak RM340.27 juta.

Tambah beliau, agensi-agensi lain ialah Kementerian Kesihatan sebanyak RM113.67 juta, Kementerian Penerangan (RM103.04 juta), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (RM53.09 juta) dan Kementerian Pertahanan (RM34.32 juta).

Kementerian Pelajaran pula sebanyak RM28.37 juta, Kementerian Pengangkutan (RM22.82 juta) sementara kementerian-kementerian lain antara RM2.22 juta hingga RM80,000.

Ambrin berkata, antara faktor yang menyebabkan hasil tidak dapat diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan kerana kementerian atau jabatan tidak dapat mengutip hasil tersebut memandangkan pemiutang tidak dapat dikesan, tidak mampu membayar, bankrap, telah meninggalkan negara atau meninggal dunia.

Tambahnya, ada setengah kes, syarikat yang berhutang tidak beroperasi, dibubarkan dan tidak dapat dikesan.

‘‘Kementerian dan jabatan gagal untuk mengutip hasil itu juga disebabkan penghutang enggan membayar hutang serta tiada rekod sahih untuk menuntut hasil tertunggak.

‘‘Tuntutan sivil di mahkamah juga tidak berhasil dan keputusan mahkamah tidak dapat dilaksanakan kerana kekurangan maklumat,’’ katanya.

Beliau menambah, kegagalan untuk mengutip hasil itu juga disebabkan kementerian dan jabatan kerajaan kekurangan kakitangan.

Bagi menyelesaikan masalah kegagalan kementerian atau jabatan mengutip hasil, Ambrin mengesyorkan supaya semua rekod berkaitan hasil disediakan dengan lengkap dan kemas untuk pemantauan terhadap urusan tunggakan hasil.

Katanya, laporan kedudukan hasil tunggakan hendaklah dibuat dua kali setahun oleh semua kementerian dan jabatan.

‘‘Pada masa ini hanya lima kementerian dan jabatan iaitu LHDN, KDRM, Kementerian Penerangan, Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah serta Kementerian Pengangkutan melaporkan kedudukan hasil tunggakan dua kali setahun,’’ katanya.

Tiada ulasan: