HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 September 2007

Amalan kerajaan...

Amalan Kerajaan: RM 5,700 Dibayar Untuk Barang Bernilai RM 50

Kuala Lumpur - Pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang bahawa wujud banyak penyelewengan yang membabitkan kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan di dalam Laporan Audit Negara 2006 perlu diambil serius oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) agar siasat segera dilakukan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, laporan autoritatif ini jelas satu pembuktian jelas betapa wujud penyelewengan ketara ke atas perbelanjaan kerajaan.

Dalam Kenyataan Media yang dikeluarkan AMK hari ini, pendedahan tersebut yang antara lain mendedahkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang membeli peralatan pada kadar harga yang terlalu tinggi sehingga lebih daripada 200% membuktikan korupsi peringkat kementerian berada di tahap yang parah, termasuklah membeli barangan mekanikal yang berharga RM50 pada kadar RM5,700.

Malah, dilihat ada pembelian dua buah kren menara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dibeli pada harga yang tidak munasabah iaitu hampir RM3 juta berbanding harga pasaran kira-kira RM1.5 juta.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga didapati masih belum menyerahkan hasil kutipan cukai berjumlah RM13.82 bilion kepada Kerajaan Persekutuan sehingga 31 Disember tahun lepas.

Menurut Shamsul, lebih mengejutkan ialah bagaimana 4 NGO di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat didedahkan tetap menerima bantuan berjumlah RM1.5 juta walaupun kedudukan kewangan mereka kukuh.

“AMK menegaskan bahawa fakta-fakta ini menunjukkan penyelewengan ketara wang rakyat oleh pemerintah Umno-BN, di saat rakyat digesa mengubah cara hidup, kerajaan sewenang-wenangnya berbelanja dengan begitu boros dan keterlaluan,” kesal beliau.

Shamsul turut menggesa ahli-ahli Parlimen Malaysia untuk membahaskan laporan Ketua Audit Negara ini di Parlimen dan siasatan menyeluruh dilakukan dengan serta merta.

“Wajar diperingatkan, gesaan ini adalah serius, memandangkan asas kepada pendedahan ini bukanlah datang daripada sumber yang tidak sahih, sebaliknya adalah Laporan Rasmi Ketua Audit Negara yang telah melakukan siasatan mengikuti prosedur yang ketat.”

Intipati Laporan Audit Negara ini, menurut Shamsul, akan dihebahkan AMK kepada rakyat dengan meluas.

“Rakyat berhak tahu tentau penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan pimpinan BN supaya mereka lebih yakin bahawa kerajaan sedia ada perlu ditukar kepada kerajaan alternatif untuk Malaysia yang lebih gemilang.

Tiada ulasan: