Muhammad Hafeezzur Rahman
Selepas 10 bulan Perikatan Nasional (PN) memerintah negara sejak
kejatuhan kerajaan PH yang lepas, politik negara masih lagi goyah
apabila jumlah majoriti yang dimiliki kerajaan hanya dibezakan dengan 3
undi.
Berdasarkan undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021, kerajaan PN
hampir tumbang apabila terdapat desas-desus mengatakan segelintir Ahli
Parlimen UMNO akan menolak belanjawan tersebut jika permintaan mereka
gagal dipersetujui oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.
Namun, segalanya terjawab apabila tiada satu pun Ahli Parlimen UMNO
yang berani menolak, malah tetap menyokong walaupun permintaan mereka
tidak ditunaikan sepenuhnya.
Selepas beberapa siri serangan yang dilakukan oleh pihak pembangkang,
antaranya mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen dan usaha Anwar
Ibrahim mempersembahkan akuan bersumpah (SD) yang dimilikinya kepada
Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober, pemerintahan yang diketuai oleh
Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi gagal ditumbangkan oleh kerana
pendirian UMNO yang tidak jelas.
Meskipun, terdapat beberapa nama disebut menyokong Anwar, antaranya
ialah Zahid Hamidi dan Najib Razak, namun sehingga ke hari ini tiada
apa-apa yang berlaku.
Saya berpendapat bahawa UMNO berada dalam dilema iaitu sama ada ingin
terus menyokong pemerintahan Muhyiddin ataupun membentuk gabungan
politik baru bersama PKR, DAP dan Amanah.
Hal ini tercetus apabila beberapa veteran UMNO, antaranya ialah Puad
Zarkashi, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Shahrir Samad, menyeru Ahli-ahli
Parlimen parti itu menarik sokongan mereka dari terus menyokong
kepimpinan Muhyiddin.
Hal ini demikian kerana, bagi mereka, UMNO telah dibuli dengan teruk
dan ketidakadilan berlaku apabila Ahli Parlimen UMNO hanya menjawat
jawatan portfolio yang tidak penting dalam Jemaah Menteri, meskipun
mempunyai Ahli Parlimen yang terbesar dalam kerajaan PN.
Contohya, lihat bagaimana PRN Sabah yang menyaksikan penenggelaman BN
sehingga mengakibatkan jawatan ketua menteri diserahkan kepada parti
pimpinan Muhyiddin Yassin walaupun mereka menang kerusi terbanyak.
Adakah UMNO sedar bahawa mereka bukan lagi kuasa besar dalam politik
tanah air? Berdasarkan perjanjian yang dimeterai antara parti-parti
dalam Perikatan Nasional, UMNO terpaksa melepaskan Sabah, Sarawak,
Kedah, Terrengganu, dan Kelantan kepada PPBM, GPS, dan PAS.
Sedarkah UMNO bahawa mereka mungkin terpaksa melepaskan beberapa
negeri lagi misalnya di Johor, Perak, dan Melaka jika terus berada dalam
PN pada PRU-15 akan datang?
Sedarkah bahawa UMNO terpaksa melepaskan kerusi yang dimenangi kepada
wakil rakyatnya yang telah berpaling tadah ke PPBM? Ini ditambah lagi
dengan “sahabat sejati” mereka iaitu PAS yang seolah-olah berpihak
kepada Muhyiddin dan seakan-akan sudah lupa piagam yang dipersetujuinya
bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
Adalah amat tidak wajar apabila jawatan timbalan perdana menteri
tidak diserahkan kepada UMNO dengan alasan Presiden Zahid Hamidi
mempunyai kes di mahkamah.
Persoalannya, undang-undang mana yang menyatakan seseorang itu tidak
layak menjawat jawatan timbalan perdana menteri kerana mempunyai kes
yang masih berjalan walaupun belum dinyatakan bersalah atau tidak?
Adakah Muhyiddin ingin menjadi diktator ataupun ingin menonjolkan imej bersih beliau kepada rakyat?
Ataupun mungkinkah benar desas-desus bahawa beliau mahukan Azmin Ali menjadi pengganti beliau pada masa akan datang?
Bagi saya, saranan pemimpin veteran UMNO tersebut perlu disegerakan
walaupun ditentang oleh segelintir ahli Parlimen UMNO yang telah
mendapat habuan jawatan dalam kabinet dan GLC.
Menteri Sains, Inovasi, dan Teknologi, Khairy Jamaluddin mengatakan
tiada siapa yang layak menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri,
baik dalam UMNO mahupun pembangkang. Beliau juga menyarankan Muhyiddin
terus mengetuai kerajaan pada PRU-15 akan datang. Persoalannya, adakah
wajar pemimpin dalam UMNO sendiri mengeluarkan kenyataan sebegini rupa?
Dalam pada itu, terdapat juga beberapa pemimpin yang menyatakan
bahawa UMNO rela hilang kuasa daripada bekejasama dengan DAP. Hal ini
demikian kerana, mereka merasakan bahawa orang Melayu akan menolak UMNO
jika menjalinkan hubungan dengan DAP kerana telah mengorbankan dasar
perjuangan parti itu iaitu ABATA (Agama, Bangsa,Tanah, Air).
Kini, slogan “No Anwar, No DAP” digunakan bagi memastikan tiada sebarang kerjasama dapat dilakukan.
Secara peribadi, saya merasakan bahawa UMNO akan mengalami kerugian
yang sangat besar jika terus menyokong kerajaan sedia ada. Hal ini
berlaku kerana, mereka tidak mungkin lagi berkuasa seperti dulu akibat
dibayangi oleh PPBM pimpinan Muhyiddin. Pada waktu yang sama, secara
sedar atau tidak, UMNO bakal hilang satu persatu pemimpin mereka yang
sedang menjalani perbicaraan di mahkamah.
Saya yakin bahawa ini merupakan masa yang tepat untuk menjatuhkan
Muhyiddin dan seterusnya menamatkan penguasaan parti pimpinan beliau di
peringkat persekutuan dan negeri. Buat masa ini, keputusan yang paling
tepat ialah untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri di samping
merangka strategi baru bagi menghadapi PRU-15 kelak.
Dengan menyokong Anwar sebagai perdana menteri ke-9, ia bukanlah satu
langkah ke belakang, namun merupakan strategi yang mampu memastikan
UMNO kekal menjadi parti Melayu utama di negara ini tanpa perlu mengikut
telunjuk PAS dan PPBM. MINDA RAKYAT