Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, tindakan Dr Mahathir yang dipercayai akibat pengaruh pihak-pihak sekeliling itu dikhuatiri akhirnya beliau dianggap sebagai ‘sampah politik’.
Syed Ali dikatakan antara pemimpin UMNO yang meninggalkan parti itu selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Berikut salinan penuh surat terbuka tersebut:
- Salam sejahtera buat Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikasihi semoga dilimpahkan rahmat Allah S.W.T.
- Saya panjangkan surat terbuka kedua ini susulan ketiadaan langsung perubahan sikap politik Tun terhadap senario politik semasa, malah saya berpendapat tingkah-laku Tun jelas semakin merisaukan.
- Sebelum ini saya menganggap tindak-tanduk Tun dipengaruhi oleh pihak-pihak sekeliling, namun mungkin saya silap.
- Saya cukup khuatir apabila Tun secara sedar dan waras menegaskan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan apa cara sekalipun, rakyat akhirnya akan memandang jelek kepada Tun.
- Sejujurnya, saya tidak tergamak untuk melihat akhirnya Tun akan dipandang orang sebagai ‘sampah politik’, tidak sepadan dengan jasa yang pernah Tun sumbangkan selama ini.
- Apa lagi yang Tun mahu ketika usia sudah 95 tahun, yang secara adatnya bagi orang Melayu, usia sebegitu adalah saki baki untuk mencari redha dan keberkatan Allah S.W.T. sebelum menutup mata.
- Ambillah contoh pemimpin besar dunia, seperti Presiden Obama misalnya, walaupun asyik diktitik teruk oleh Presiden Trump mengenai polisinya yang terdahulu, Obama terus bersikap tenang dan tidak melenting.
- Saya cukup sedih dengan sikap pengampu dan penjilat politik Tun yang masih tergamak mempergunakan Tun untuk menyerang Muhyiddin, hanya dengan alasan kononnya mengembalikan mandat rakyat.
- Untuk pengetahuan Tun, rakyat sebahagian besarnya orang Melayu dan umat Islam di Malaysia sudah tidak lagi memperdulikan kehadiran Tun dalam kancah politik, sebaliknya mereka mula merasai nikmat dan selesa dengan kerajaan Perikatan Nasional ( PN) pimpinan Muhyiddin. Malah jika tidak berubah kerajaan ini secara pra-matang pun, rakyat terutama orang Melayu sudah tak sabar-sabar menunggu ketibaan Pilihan Raya Umum. Mereka sudah serik dengan kerajaan PH, pimpinan DAP!
- Apa sebenarnya ‘penyakit’ Tun yang masih tidak mahu menerima hakikat bahawa keberadaan politik Tun sekarang sudah tidak lagi relevan dengan dunia masakini. Berubah dan insaf lah Tun, generasi muda hari ini semakin meluat dengan perlakuan politik Tun yang paling menjijikkan dalam sejarah modern. Sudah-sudahlah.
- Dua hari lalu, tindakan Tun memasuki ibu pejabat BERSATU seperti diketahui umum, adalah satu perbuatan yang pada mata orang ramai sebagai tidak masuk akal kerana Tun bukan lagi Pengerusi BERSATU seperti dinyatakan sebelum ini oleh pihak ROS dan keahlian Tun dalam parti itu ‘terhenti’ secara otomatik gara-gara perbuatan Tun sendiri yang melanggar perlembagaan parti.
- Bagi orang yang waras akalnya dan yang tidak memihak kepada mana-mana pihak perbuatan Tun dan budak-budak Tun itu akan ditafsirkan sebagai menceroboh dan tidak hirau kepada peraturan. Sungguh memalukan sikap buruk sedemikian rupa kerana pernah memerintah negara ini selama 22 tahun 22 bulan. Bayangkan jika itu berlaku dalam kerajaan Tun?
- Penjelasan Presiden BERSATU, Muhyiddin semalam berhubung isu keahlian Tun dan budak-budak Tun, ternyata boleh diterima umum dan memperlihatkan Muhyiddin sudah banyak bertolak ansur dan memberi ruang kepada Tun untuk memperkukuhkan BERSATU, sebaliknya Tun memilih haluan berbeza dengan bersekongkol dengan PH.
- Saya tidak berniat untuk mencampuri urusan politik songsang Tun, tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya tidak mahu melihat sifat dendam Tun terhadap Muhyiddin akan menjahanankan negara dan menyusahkan kehidupan rakyat jelata.
- Apa sebenarnya Tun mahu? Takkan dengan usia lanjut itu Tun masih lagi ketagih untuk jawatan PM? Apakah Tun mahu jawatan PM perlu dijadikan harta pusaka agar diwarisi oleh keturunan Tun sahaja? Apakah lebih 30 juta rakyat Malaysia ini tidak layak, hanya Tun seorang sahaja yang selayaknya jadi PM?
- Pada pemerhatian saya, Tun selalu berhelah dengan mendakwa untuk ‘kembalikan mandat rakyat’ dan Muhyiddin perlu dijatuhkan. Saya nak tanya Tun, rakyat mana? Rakyat Malaysia sudah tidak perlukan Tun lagi, kalau ada pun minoriti Melayu termasuk yang bersekongkol dengan DAP.
- Tolonglah Tun. Cukuplah berhelah dengan nama rakyat. Tolonglah Tun, rakyat sudah tidak mahu lagi Tun jadi PM, rakyat mahu Tun berehat sesuai dengan usia Tun. Rakyat sudah bosan dengan karenah Tun. Rakyat mahu Muhyiddin teruskan tugasnya sebagai PM-8, sehingga PRU15.
- Jika Tun berhajat sangat untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara, Tun sewajarnya menyokong Muhyiddin sebagai Presiden BERSATU dan Perdana Menteri. Tun boleh berkhidmat selaku seorang Negarawan yang dihormati.
- Pada hemat saya, maruah Tun tidak akan ‘jatuh’ jika Tun menyokong perpaduan rakyat dan berlapang dada dengan ‘berketuakan’ Muhyiddin selaku PM yang sah di segi undang-undang dan perlembagaan negara.
- Percayalah Tun, Tun tidak akan melakukan ‘kesilapan lagi’ dengan memilih Muhyiddin Yassin ini.
- Sebaliknya, jika Tun masih keras kepala dan berdegil untuk menjayakan agenda politik yang menyusahkan rakyat, saya khuatir, kelak di penghujung usia Tun hanya akan dikenang sebagai ‘sampah politik’.
- Sudahlah Tun. Rakyat sudah letih dengan adu-domba politik yang sedang berlaku ini, di masa negara sedang dilanda COVID-19.