HALAMAN SANTAI
Selasa, 31 Ogos 2010
Hello Umno, kalau PAS salah, hampa tibai la cukup-cukup
Oleh Penarik Beca
Sebelum ini, Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi yang juga antara panglima utama Umno di Selangor menyatakan, orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki dalam masjid dan surau apatah lagi di ruang solat utama kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid (lihat posting sebelum ini bertajuk "It's Umno sensitivity, stupid!").
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan bahawa apa yang telah ditegaskan oleh Khusrin itu memang betul-betul ajaran dalam kitab muktabar Umno. Nampaklah oleh saya status ajaran tersebut sebenarnya bersifat ijma' - bukan lagi bersifat khilaf.
"Kini, apabila Nie Ching dalam keadaan berhadas besar masuk ke ruang solat di Surau Al-Huda..." kata Naib Presiden Umno itu (lihat Malaysian Insider semalam "Isu masjid: Puak ‘sosialis’ mahu beli jiwa Muslim").
Bagaimanapun, ajaran itu hanya terpakai kepada orang-orang bukan Islam di luar Barisan Nasional (BN) sahaja.
Oleh kerana Hishammuddin orang Johor dan wakil rakyat di negeri itu, beliau boleh bertanya kepada Datuk Lim Si Cheng misalnya. Lim ialah bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan pernah menjadi Ahli Parlimen Kulai. Dalam pilihan 8/3/06 lalu, entah apa sebabnya, beliau tidak lagi menjadi calon BN kuota MCA.
Cuba Hishamuddin tanya bekas Ahli Parlimen Kulai itu, pernah tak dia membawa makanan untuk menghadiri majlis berbuka puasa dengan penyokong-penyokong yang beragama Islam di kawasan yang diwakilinya dalam usaha beliau hendak menyantuni mereka. Dan, sempena majlis berbuka puasa yang dihadirinya itu, pernah tak beliau memberikan ucapan?
Tanya Lim, adakah beliau sudah mandi hadas ketika menziarahi pengundi-pengundinya di masjid-masjid?
Malah, Hishammuddin boleh bertanya pemimpin atau bekas pemimpin MCA yang lain seperti Presiden MCA kini, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik, pernah tak mereka menghadiri majlis di masjid-masjid untuk bertemu rakyat apabila di kampung berkenaan tidak ada tempat pertemuan lain seperti balai raya?
Saya percaya Hishamuddin boleh call mereka dan-dan ni jugak untuk bertanya perkara itu.
Secara peribadi, saya suka bila orang-orang Umno jadi polis yang akan ambil tindakan terhadap PAS atau mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat (PR) bila depa buat salah seperti Amerika Syarikat yang melantik dirinya sebagai polis dan samseng dunia. Bila depa buat salah, tutoh dan tibai sampai depa lembik.
Pemimpin politik, dari parti apa sekalipun, kalau tak dak orang perati kelaku depa, depa mudah gelong dan buat perangai macam dajai. Tak pa, kalau depa salah, hentam rapat-rapat. Dah salah, nak kira apa, tutoh, tibai la cukup-cukup.
Aku pun tibai dan persoalkan bila aku nampak ada orang nak jadi pelakon pulak. Nak kata celaka ka, apa ka, ikut hampa la.
Tapi, jangan la buat kelaku "macam beruk telan mercun".
(Selamat menyambut Hari Merdeka. Kalau tak larat banyak-banyak, sikit-sikit pun jadi la kita merdekakan diri kita dari 'asobiyyah politik kepartian. Pemimpin parti apa sekalipun, kalau salah tetap salah. Saya menyeru diri saya supaya jangan bantu mana-mana pemimpin politik melakukan kezaliman dengan memberi hujah bohong untuk mewajarkan kesalahan depa. Itu 'asobiyyah namanya. Nabi Muhammad s.'a.w.w. tak mengaku ummatnya.)
http://penarikbeca.blogspot.com
Tiada lagi label 'isu sensitif'
Aqil Fithri |
Memang, kerumitan mampu mengugat kestabilan. Hal seperti ini sering berlaku tatkala wujudnya konflik kepentingan antara kelompok (Gemeinschaft) dalam sesebuah negara (sistem politik bersama). Dan, usah malu-malu untuk kita menginsafi bahawa Malaysia kini tengah bergelut dengan perkembangan tersebut.
Tetapi, apakah ada jalan-keluar untuk kemelut ini, atau apakah kita dapat melakukan sebuah tindakan kesedaran bagi merungkaikannya? Barangkali, kita boleh berkilas balik pada sejarah negara, lalu mengamati arus masyarakat dewasa ini di tanahair, serta cuba menawarkan alternatifnya.
Dalam sejarah modennya, Malaysia konon bermula dari gagasan Melayu-Islam. Sebetulnya, ini sebuah idea intelektual yang kental digagaskan dari Syed Muhammad Naquib al-Attas, sebelum di tangan Umno diangkat sebagai sebuah gagasan politik negara. Lalu, nyawa Malaysia yang terbentuk sering saja disandarkan pada Melayu-Islam, sembari disaluti dengan omongan, "turut menghargai kaum-kaum lain."
Bagaimanapun, sejarah dan omongan tak menghasilkan apa-apa. Shahdan, kita perlu menyedari bahawa ada sesuatu yang bergerak dengan denyut-zaman, iaitu, masyarakat. Sama seperti budaya, selama-lamanya masyarakat tak pernah kaku pada satu bentuk, bahkan menuju kerumitan demi kerumitan.
Demikian juga, berpaut-erat pada nostalgia sejarah tak lagi merupakan mantik sistem politik yang sesuai dengan rakaman baru, meski diakui antara detik-detik sejarah itu sentiasa bergulir, serta punya berkesinambungannya.
Lantaran itu, dewasa ini negara kita sedang berdepan dengan ragam konflik kepentingan, yang amat menuntut bikinan sejarah baru; sebuah sistem-politik dengan konsep negara yang munasabah. Jadi, konsep Melayu-Islam sudah sangat sulit untuk bertahan bila berdepan sebuah sistem politik negara moden yang makin rasional.
Negara kita harus dirawat
Jadi, negara kita harus dirawat. Malaysia harus dirawat, sekiranya pun enggan membina semula. Kita masih mampu merawatnya dengan meletakkan keabsahan sistem politik kepada inti konsep negara itu sendiri, iaitu, dari rakyatmya, atau dari masyarakatnya. Bukan lagi pada Melayu-Islam secara sepihak.
Namun, bagaimana tatacara (procedure) untuk merealisasikannya?
Jürgen Habermas filsuf teori sosial dari Jerman boleh membantu kita, menerusi dualisme sistem-politik dan Lebenswelt-nya. Dalam kata yang dipinjamnya dari fenomenologi Husserl, Lebenswelt itu merujuk kepada dunia-kehidupan, di mana setiap kelompok memiliki kesedaran tentang pandangan-hidup yang dihayatinya. Misalnya, Melayu ada pandangan hidupnya. Cina juga begitu, dan India pun, serta kaum-kaum yang lain-lain.
Lebenswelt ini tentu boleh berkait dengan agama, atau dengan faham-faham lain, seperti yang akhirnya juga telah melahirkan lekatan antara Melayu-Islam. Mudahnya, setiap kaum berhak memiliki pandangan hidupnya, serta berhak memperjuangkan pandangan-hidup mereka ini ke arah membangun sebuah sistem politik negara. Hak ini harus terus dibenarkan, dan dipertahankan.
Memang penting untuk dipertahan dan dibenarkan, kerana kita tak mahu setiap kelompok memendam dendam yang hujungnya membibit konservatisme dan fundamentalisme. Sehubungan itu, setiap hal mestilah dibenarkan untuk diwacanakan dalam ruang awam. Dan, tiada lagi label, "isu sensitif," "mengugat keselamatan negara," "ketuanan Melayu" dan "bangsa pendatang".
Tentu, dari keterbukaan ini kelak akan bangkit persoalan: Bagaimana untuk mengawal ketegangan yang muncul dari perbezaan-perbezaan dalam masyarakat ini? Untuk itu, sistem negara-hukum juga perlu dibangunkan berasaskan pada hukum yang terhasil dari wacana antara kelompok (kaum dan agama) tersebut. Ini bermakna, sistem-hukum bukan lagi digubal multak secara elit yang eksklusif (legislative).
Sebetulnya, apa kesan dari tatacara ini? Kesannya ialah masyarakat pada akhirnya dapat membangun sistem hukumnya sendiri. Lalu, ini akan menerbitkan "rasa keterlibatan" dan menambah "tingkat kepatuhan" terhadap hukum tersebut. Sebab, masyarakat merasakan ini adalah hukumnya, dan untuknya. Walhasil, dari Lebenswelt yang beragam, terbinalah sistem-politik yang tunggal.
Satu Individu wakili hasrat rakyat
Namun, malangnya, setelah separuh abad kita merdeka, kita tak begitu merasa memiliki negara ini. Kita tak pernah merasakan lantaran kita (rakyat) tak diajak untuk berdeliberasi dalam membangunkan sistem-hukum dalam negara ini. Yang kerap berlaku adalah: satu individu tertinggi (perdana menteri) mewakili seluruh fikiran dan hasrat rakyat. Yang muncul, fasisme.
Inilah lambang dari sebuah pemiskinan demokrasi, atau juga, sebuah manipulasi demokrasi.
Akibat ketempangan inilah juga, terdapat satu kelompok (misalnya Melayu-Islam) yang ingin menguasai kelompok-kelompok lain menerusi jalan pintas kuasa politik. Mereka - dengan malas - ingin membolot sistem politik negara ini. Sikap seperti ini sangat berbahaya, serta mendorong sifat tidak rasional dalam sistem-politik kita.
Malah, kesendengan ini diperkukuhkan lagi dengan sistem hukum-negara yang tak digubal seara benar. Hukum yang digubal tak melewati proses wacana rakyat, dan kita pun tanpa sikap kritis terus-menerus mempertahankan kesendengan ini. Bukannya membuka lahan wahana setara buat semua kelompok.
Justeru, melihat sistem-politik yang tempang sebegini terus bernafas, maka amat mustahillah konflik di Malaysia akan reda dengan tindakan sepihak. Konflik seperti ini pasti akan terus berlanjut, sampailah negara-hukum diabsahkan, dan sampailah jiwa masyarakat merasakan mereka memiliki negara ini.
Negara kita, jujur saja, tak pernah merdeka dari dalam dirinya sendiri. Hatta, takkan pernah, hinggalah kita dapat merawat sistem politik negara kita yang rawan ini. Sebaliknya, kemerdekaan yang hakiki itu pula, hanyalah lahir menerusi sebuah "tindakan keabsahan dari jiwa warganegara-nya." Dan ternyata, itu belum pun terlaksana.
Hari ini kebetulan hari kemerdekaan. Maka selamat merawat negara!
Aqil Fithri adalah zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, tajaan Nippon Foundation, Jepun. Beliau dapat dihubungi menerusi aqilfithri@gmail.com.
Zul Noordin: Ironis bukan Islam masuk surau
MALAYSIA KINI | ||
|
Memetik tulisan pengerusi jawatankuasa kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (iLMU) Fathul Bari Mat Jahaya, Zulkifli berkata apa yang berlaku itu amat ironis kerana pada masa yang sama golongan bukan Islam dibenarkan, "sambil memijak tempat sujud umat Islam".
"Dikenali sebagai seorang yang giat berdakwah melalui ceramah dan penulisan, beliau (Fathul Bari) sendiri pernah ditahan kerana memberikan tazkirah (tanpa tauliah) di dalam sebuah surau," kata Zulkifli yang dipecat daripada PKR sebelum ini berpunca daripada pendapat berbezanya dalam isu kalimah Allah.
Zulkifli dipercayai mengulas tindakan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki dan memberikan ucapan di sebuah surah di Kajang - yang mengundang perdebatan hangat, sehingga Sultan Selangor dikatakan amat murka dan dukacita.
Walaupun dilaporkan memberikan 'tazkirah', Teo bagaimanapun menjelaskan beliau hanya hadir memberikan sumbangan kewangan kepada pengurusan surau dan tidak menyentuh langsung perkara politik dalam ucapannya.
Menulis dalam blognya, Zulkifli juga memperli sikap umat Islam yang didakwanya "tanpa segan (dan) malu menghulur tangan menagih angpau dan bantuan dari tangan kafir harbi ini."
Pada 1 Mac lalu, Fathul Bari dituduh mengajar agama tanpa tauliah selepas ditahan ketika berceramah di sebuah sebuah pusat pengajian agama di Kuala Pilah sehari sebelum itu.
Fathul Bari dituduh bawah Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah 2003 Negeri Sembilan. Kes tersebut masih dibicarakan.
Fathul: Urusan niat adalah milik Allah
Sementara itu, Fathul Bari dalam tulisannya yang dirujuk Zulkifli itu antaranya berkata, apa yang berlaku sekarang berbeza dengan keadaan di masa lalu apabila bukan Islam masuk ke masjid "untuk didakwah".
"Jika dulu, bukan Islam masuk ke masjid untuk didakwah, tapi hari ini mereka masuk ke masjid memberi nasihat dan tazkirah.
"Dua suasana dan pendekatan yang berbeza. Maka sudah tentu hukumnya tidak sama," tulisan Fathul Bari dalam Utusan Malaysia itu dipetik.
Dalam tulisan itu, Fathul Bari juga memuatkan pendirian majlis fatwa ulama Arab Saudi yang "bersepakat bahawa melibatkan bukan Islam dalam pembinaan atau pengimarahan masjid di samping wujudnya Muslim yang mampu untuk membantu, adalah dilarang sama sekali."
Justeru, anak bekas mufti Perlis itu meminta semua pihak lebih berhati-hati dalam memohon bantuan kewangan agar tidak melanggar dasar dan prinsip Islam.
Manakala orang Islam yang berkemampuan pula dinasihatkan tidak terlalu memilih parti sahaja untuk dibantu.
"Islam tidak melarang kita menyiarkan kebaikan yang dilakukan sekiranya berniat agar dicontohi orang ramai. Tetapi jika niat kita untuk meraih undi dan populariti, maka hukumnya haram.
"Bagaimanapun, urusan niat adalah milik Allah. Usah sesiapa cuba mengambil alih tugasan Allah," tulisan Fathul Bari itu dipetik.
Teresa Kok: Hishamuddin patut cermin diri
MALAYSIA KINI | ||
|
Teresa mempersoalkan daripada mana Hishamuddin mendapat hak sebagai pihak berautoriti dalam hal moral untuk menyifatkan orang lain sebagai 'kotor' sedangkan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching dengan hati terbuka masuk ke dalam surau kerana diundang.
"Beliau (Teo) sendiri telah membuat permohonan maaf kepada semua pihak terbabit. Saya fikir Hishammuddin menggelarnya sebegitu hanya kerana beliau bukan Islam atau kerana beliau seorang perempuan," katanya.
"Hishammuddin patut cermin diri, semak sama ada beliau sendiri bersih sebelum menghukum orang lain."
Semalam, Bernama melaporkan Hishammuddin yang juga naib presiden Umno berkata perkembangan isu Teo amat mengejutkannya kerana ia mendapat sokongan daripada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sekali lagi tampil membuat kenyataan mengelirukan umat Islam.
"Kini, apabila Nie Ching dalam keadaan berhadas besar masuk ke ruang solat di Surau Al-Huda, Nik Abdul Aziz berkata "kita sekarang berada di zaman moden, jangan jadi jahil", lepas ini apa lagi "bala" nak datang?
"Kenyataan-kenyataan sebegini ternyata hanya membawa kepada keadaan yang mengelirukan sesama kita orang Islam," beliau dipetik sebagai berkata.
Walaupun Hishammuddin menggunakan perkataan "berhadas besar", versi Inggeris agensi berita itu melaporkannya seagai "dirty" (kotor) dalam bahasa Inggeris.
Dalam satu kenyataan hari ini, Teresa yang juga ahli parlimen Seputih dan setiausaha publisiti DAP berkata menteri berkenaan harus segera menarik balik kenyataannya dan mengemukakan permohonan maaf kepada Teo atau gagasan "1Malaysia akan selamanya hilang kewibawaan di mata rakyat"
Umno juara fitnah, cetus sentimen agama
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) kesal kerana Umno terus memainkan intrumen fitnah bagi memburukkan Imej PAS dan Pakatan Rakyat, walaupun masih berada dalam bulan Ramadhan. Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, tindakan cybertrooper Umno yang menggunakan nama "PAS Beruk" mencipta dan menyebarkan gambar super impose yang kononnya Lim Guan Eng sedang menyembelih lembu korban untuk umat Islam dengan tagline "Sanggupkah kita lihat jika jadi begini? Dalil apa lagi nak halalkan perbuatan DAP??" adalah keterlaluan dan sengaja mencetus sentimen agama. “DPPWP kesal kesal budaya fitnah terus membiak dalam Umno walaupun dalam bulan Ramadhan ini. Begitu jauh mereka tersasar dari hidayah Allah,” ujarnya dalam satu kenyataan. Baginya, demi kepentingan politik mereka, gambar sedemikian dicipta, walhal gambar sebenar adalah menunjukan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sedang menyembelih lembu korban untuk rakyat. Katanya, gambar berkenaan sengaja direka dengan harapan rakyat melihat bahawa kerjasama PAS dan DAP kononnya merosakan Islam. “Hal sebegini sudah berakar umbi dalam Umno sehingga diwarisi oleh anak-anak muda hingusan yang baru bersama Umno,” katanya. Sebelum ini, media Umno-Utusan Malaysia memutar belitkan fakta dengan menyebarkan kepada rakyat yang ahli parlimen DAP Serdang, Teo Nie Ching beri 'tazkirah' dalam surau di mana ucapan aluan sengaja ditukar kepada 'tazkirah' bagi mencetuskan polemik awam. Dua hari lepas, Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga mantan Ketua Penerangan Umno pula menyebarkan fitnahnya dengan mengatakan PAS mahu rampas harta Cina semasa peristiwa 13 Mei dan PAS kononnya turut menyokong tindakan Indonesia menyerang Malaysia semasa konfrontasi. “Semua ini adalah fantasi Umno. Kini mereka bermain gambar pula, sama seperti gambar Zaid minum arak yang mereka cipta di Hulu Selangor. Tindakan ini menunjukan Umno semakin kehabisan modal untuk burukkan PAS dan Pakatan rakyat,” katanya lagi. Sehubungan itu, DPPWP berharap pemimpin dan ahli Umno bertaubat. Katanya, semakin banyak fitnah disebar, semakin terdedah keburukan Umno, semakin banyak fitnah disebar, semakin meluat rakyat kepada Umno. “Malulah kepada bukan Islam, malulah kepada umat Islam, malulah kepada Allah kerana perbuatan fitnah ini begitu jijik dan jauh lebih dahsyat dari membunuh. Ianya tidak akan diterima oleh mana-mana kaum dan agama sekalipun,” ujarnya lagi. |
UMNO Terus Dipinggirkan, Rakyat Terus Undang Teo
Teo hadiri satu lagi majlis di surau
Meskipun dikecam hebat kerana mengunjungi sebuah surau dalam kawasan pilihan raya minggu lalu, ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching mengunjungi sebuah lagi surau semalam.
Teo dijemput ke surau Al-Muhajirin, Bukit Mahkota, di mana beliau juga menyumbangkan RM500 kepada RELA.
Bagaimanapun kali ini, beliau tidak memasuki ruang solat tetapi memakai selendang. Majlis tersebut berlangsung di bawah sebuah khemah dalam kawasan surau.
Dalam satu kenyataan hari ini, Teo berkata kunjungannya itu adalah berasaskan kepada prinsip berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama mereka.
Menurut Teo, beliau diberi sambutan yang baik sepertimana ketika beliau mengunjungi surau Al-Huda di Kajang, yang telah mencetuskan kontroversi.
Katanya, majlis tersebut berjalan lancar walaupun terdapat kecaman terhadapnya dan penyiaran siri laporan yang mengecamnya, terutamanya oleh akhbar berbahasa Melayu, Utusan Malaysia.
Malah, katanya, ada antara para hadirin yang bersalaman dengannya dan menyuara sokongan mereka kepadanya.
Teo yakin, selagi tindakannya itu berasaskan kepada prinsip, rakyat tidak akan mempercayai serangan bermotif politik terhadapnya.
Tambahnya, selain sumbangan dari kerajaan negeri, beliau juga turut mengedarkan kurma dan duit raya kepada anak-anak dari ibu tunggal.
Teo menjadi sasaran kecaman ahli-ahli politik BN, blog pro-BN dan akhbar Melayu ekoran kunjungannya ke Surau Al Huda pada 22 Ogos lalu.
Antara lain, mereka mendakwa Teoh telah melakukan penghinaan besar terhadap umat Islam kerana bercakap di depan dewan solat, yang dianggap suci dan dilarang dimasuki bukan Islam.
Ekoran itu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengambil alih pentadbiran surau tersebut dan akan menghantar surat amaran kepada Teo. -MK
Ulasan GB
Demikian, kebenaran tidak dapat disekat walaupun akhbar telah memutar isu tersebut untuk memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat, walau sultan telah dihasut dan dipujuk oleh pihak tertentu untuk menghalang kehadiran pemimpin yang rakyat mahukan.
Tahniah YB Teo. Jangan takut, teruskan kerja-kerja menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. UMNO BN sudah tidak mempunyai apa-apa kekuatan lagi sebenarnya. Mereka sedang menunggu untuk rebah menyembam ke bumi. Pada masa itu tiada sultan yang akan membela mereka lagi!
Hishamuddin Minum Satu Tin Mau Mabuk Satu Tong
Isu masjid: Puak ‘sosialis’ mahu beli jiwa Muslim
Umat Islam perlu tahu membezakan konteks lawatan ke masjid atau surau berbanding mempergunakan masjid bagi tujuan politik dalam keadaan tidak beradab, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau yang terkilan dengan perkembangan politik di Selangor baru-baru ini, berkata dalam kejadian itu, mereka yang memberi sumbangan datang daripada latar belakang parti sosialis yang selama ini semua maklum dan sedar tujuannya mahu membeli “jiwa” umat Islam supaya menyokong perjuangan dan pemerintahan mereka.
“Langkah ini tidak akan menjadi begitu menghiris jiwa orang Melayu jika majlis itu diadakan di pekarangan surau atau masjid berkenaan.
“Jika kariah masjid atau surau itu beria-ria sangat hendak terima sumbangan daripada pihak sosialis, kenapa perlu langgar titah Sultan. Mereka yang hendak memberi sumbangan tidak perlu pun hadir hingga ke ruang solat untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan yang dipetik dari laman blog Selangordaily bahawa Anggota Parlimen Selayang, William Leong dibenarkan masuk ke ruang solat Masjid At-Taqwa, Selayang Baru untuk memberi bantuan.
Kejadian itu berlaku sehari selepas Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching “bertazkirah” di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral tanpa menutup aurat.
Mengulas lanjut, Hishammuddin (gambar) yang juga Naib Presiden Umno, berkata perkembangan perkara itu amat mengejutkannya kerana ia mendapat sokongan daripada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sekali lagi tampil membuat kenyataan mengelirukan umat Islam.
“Kini, apabila Nie Ching dalam keadaan berhadas besar masuk ke ruang solat di Surau Al-Huda, Nik Abdul Aziz berkata ‘kita sekarang berada di zaman moden, jangan jadi jahil’, lepas ini apa lagi “bala” nak datang?
“Kenyataan-kenyataan sebegini ternyata hanya membawa kepada keadaan yang mengelirukan sesama kita orang Islam.
“Saya kira dalam perkara yang menyentuh soal pegangan agama, pemimpin parti politik perlu berani menyatakan perkara sebenar dan mengambil tindakan jelas dan nyata serta mengelakkan kenyataan-kenyataan yang boleh terus menerus mengelirukan orang Islam,” katanya.
Hishammuddin berkata agenda yang dibawa oleh DAP amat jelas dan mereka tanpa henti terus mengambil pendekatan ekstrem, mempertikai hak yang selama ini dipertahankan oleh pemimpin Melayu dan Raja-Raja Melayu.
“Namun, mengapa ada pemimpin daripada parti yang mengaku memperjuangkan Islam enggan mengakui apa yang dibawa oleh DAP ini sebagai menghakis sedikit demi sedikit kekuatan orang Melayu?” soalnyanya.
Pada masa ini, Hishammuddin dalam rangka lawatan tugas rasmi di Bandar Seri Begawan, Brunei bagi membincangkan soal-soal berkaitan hubungan dua hala antara kedua-dua negara. — Bernama
Ulasan GB
Sepertimana biasa, Bernama akan terus mengutip kata-kata menteri-menteri untuk membelasah Pakatan Rakyat. Go on...
Tentang Hishamuddin, we knew you very well. Cuba bercakap mengenai surau dan masjid sedangkan dirimu berselaput dengan noda.
Beliau bertanya:
“Namun, mengapa ada pemimpin daripada parti yang mengaku memperjuangkan Islam enggan mengakui apa yang dibawa oleh DAP ini sebagai menghakis sedikit demi sedikit kekuatan orang Melayu?”
Hei Hishammuddin, parti kamu, UMNOlah yang mengaku memperjuangkan Melayu dan Islam tetapi UMNOlah yang selama ini menjadi perosak kepada bangsa Melayu dan agama Islam.
Siapa yang menghakis kekuatan orang Melayu dan yang beragama Islam dengan segala bentuk kezaliman, tekanan, rasuah dan pelbagai macam kemungkaran di negara ini kalau bukan UMNO?
Apabila Mursyidul Am PAS menyatakan "jangan jadi jahil", sememangnya kamu-kamu di dalam UMNO adalah manusia jahil yang tak kenal pahala dan dosa, syurga dan neraka. Kamu-kamu berlagak seperti lebai-lebai yang kononnya mempertahankan kesucian masjid dan surau. Sedangkan yang sebenarnya berlaku kamu dihambat oleh ketakutan apabila rakyat sudah muak dan mual dengan UMNO dan lebih menghormati pemimpin-pemimpin dari Pakatan Rakyat.
Faekah: Tindakan Umno politikkan isu MP Serdang malukan Islam
KUALA LUMPUR — Kerajaan Selangor menyifatkan tindakan Umno mempolitikkan isu kehadiran Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching bagi menyampaikan sumbangan di Surau Al-Huda, Kajang minggu lalu keterlaluan dan memalukan umat Islam, kata pegawai Menteri Selangor hari ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin berkata, apatah lagi tindakan pantas Teo memberi penjelasan dan memohon maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seluruh umat Islam sepatutnya diterima semua pihak dengan terbuka.
“Tindakan wakil rakyat itu sepatutnya telah memadamkan sebarang unsur prasangka terhadap mana-mana pihak,” kata Faekah dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Katanya, ia juga menunjukkan komitmen pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk menyelesaikan isu lebih besar dan mutakhir yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara antaranya; jenayah pembuangan bayi, rogol, rasuah dan jenayah sosial lain.
“Jenayah-jenayah inilah yang sebenarnya menghina kesucian agama Islam dan umatnya.
“Umat Islam diajar bersyukur kepada Allah di atas limpah kurnia-Nya dan berterima kasih kepada kebaikan manusia.
“Tindakan menyerang Teo yang menyerahkan sumbangan untuk membaiki pagar surau begitu begitu terpesong dari ajaran Islam dan memalukan umat Islam,” katanya.
Faekah berkata, beliau khuatir jika tindakan ini tidak dikawal ia akan melebarkan jarak pemahaman antara kaum dan agama yang sememangnya gagal ditangani secara bijak oleh pemerintah BN.
“Kerajaan Selangor memandang serius perkara ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang sengaja mewujudkan ketegangan dalam hal-hal agama mahupun kaum.
“Kerajaan Selangor pada masa yang sama, mengamalkan politik matang dengan meletakkan kepentingan rakyat teramai mengatasi ideologi politik itu sendiri,” katanya.
Kata beliau, kerajaan negeri sentiasa merai dan mengalu-alukan mana-mana pihak untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan aktiviti keagamaan dan kebajikan.
“Berpaksikan prinsip inilah, kerajaan Selangor dengan hati terbuka membenarkan pemimpin dari kerajaan pusat dan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan di masjid dan serta surau di negeri ini bagi mengimarahkan rumah Allah sepanjang bulan Ramadan penuh berkat ini.
“Kerajaan Selangor mengambil pendirian bahawa sumbangan kepada golongan miskin dan memerlukan bantuan ketika ekonomi kian mencengkam ini adalah lebih penting dan melangkaui fahaman politik kepartian,” katanya.
Faekah juga menggesa semua pihak berhenti dari membuat telahan dan tohmahan jahat kepada mana-mana pihak yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada kefahaman agama Islam itu sendiri.
“Jangan sampai kesucian Islam dicemari semata-mata kerana sikap prejudis yang mengatasi akal dan budi.”
Jaminan Najib, masih percaya cara terbuka tangani ketegangan
The Malaysian Insider difahamkan, Najib ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Jumaat lalu ada menekankan aspek berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi BN dikatakan mengetepikan syor pelbagai pihak agar kepimpinananya menggunakan undang-undang tegas termasuk kemungkinan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Beberapa pihak mengesyorkan pendekatan sedemikian ketika negara menyaksikan kenyataan berbaur rasis melibatkan dua pengetua masing-masing dari Johor dan Kedah manakala kumpulan membela komuniti Cina dan MCA menggesa agar proses liberalisasi ekonomi dipercepatkan.
Gesaaan MCA itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan sesetengah pemimpin Umno dan NGO Melayu.
“Datuk Seri Najib ada memberitahu bahawa beliau tidak terfikir untuk menggunakan undang-undang bagi mengawal kebebasan bersuara meskipun ada yang berpandangan sebaliknya.
“Beliau berkata bahawa keadaan masih terkawal,” kata sumber-sumber kalangan anggota MT Umno kepada The Malaysian Insider.
“Perdana Menteri berkata beliau masih percaya pada politik terbuka, bukannya autokrasi, kita berada dalam alaf baru,” kata pemimpin itu.
Kali terakhir negara menyaksikan penggunaan ISA secara besar-besaran adalah ketika era kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad - Operasi Lalang pada 1987.
Ketika kemarahan terhadap pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putra Siti Inshah Mansor yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasis terhadap pelajar Cina dan India belum reda, penulis kirik muda dari Muar Johor, Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee mencetuskan kontroversi baru.
Klip video terbaru itu dipercayai bertujuan mengutuk seorang pengetua sekolah menengah di Kulaijaya yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolahnya pada 12 Ogos lalu.
Namewee dalam klip video itu antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.
Setakat semalam polis mengesahkan telah menerima empat laporan berhubung klip video berbaur perkauman terbaru oleh Wee.
Polis mengingatkan semua pihak agar membiarkan polis melakukan siasatan dan tidak perlu bagi mereka mempolitikkan perkara tersebut.
Sejak beberapa hari lalu pentadbiran Najib juga berhadapan dengan tekanan ekoran syor-syor daripada pemimpin dalam Umno dan Perkasa akan mengenakan larangan ke atas bukan Islam melawat masjid dan surau.
Pada 22 Ogos lalu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) sepakat mendesak kerajaan mengenakan tindakan ISA terhadap Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang didakwa mencetuskan ketegangan kaum selain melanggar semangat perlembagaan dengan mempersoalkan hak istimewa orang Melayu.
MPM memberikan syor itu dengan merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang mendakwa Dr Chua melanggar Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dengan meminta ekuiti 30 peratus pegangan bumiputera dalam perniagaan dikurangkan.
Beberapa hari sebelum syor MPM itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari PAS khuatir Perkasa sengaja cuba untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama yang dilihat boleh menyediakan ruang kepada BN menggunakan semula operasi ISa terhadap pembangkang.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu terbesar itu, berusia dua tahun, kelihatan lantang dan ke hadapan dalam memberi amaran kepada mereka yang mempersoalkan dasar-dasar afirmatif Bumiputera.
Melihat perkembangan terbaru, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Samsul Adabi Mamat perdana menteri sentiasa berusaha ke arah mahu menggunakan keterbukaan politik sejak mengambil alih kepimpinan kerajaan April tahun lalu.
“Beliau ada mengatakan dalam ucapannya bahawa kita bukan lagi berada dalam tahun 1970-an, di mana kerajaan boleh menggunakan kuasannya sebagaimana ia suka,” kata Samsul kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.
“Dalam kebanyakan tindakannya, kita boleh melihat bahawa Datuk Seri Najib Razak kelihatan terbuka, beliau berkata beliau terbuka untuk (sebarang) perbincangan,” kata beliau merujuk kepada pendirian terbuka kepada idea agar mahasiswa dibenar terlibat dalam politik.
Samsul menambah, tidak mungkin Najib akan gagal dalam meyakinkan parti beliau dalam melaksanakan pendekatan baru ini.
“Memang akan ada percanggahan antara kepimpinan tertinggi, pemimpin-pemimpin peringkat pertengahan dan akar umbi. Bagaimanapun secara tradisi, Umno akan sentiasa patuh kepada kepimpinan tertinggi,” jelas Samsul.
Seorang lagi penganalisis dari UKM, Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman berkata, jika itu yang disebutkan oleh Najib bermakna ketua BN itu mahu menggunakan pendekatan baru dalam menangani persekitaran politik buat masa sekarang.
Kata beliau, kemungkinan Najib sudah sedar bahawa pendekatan ‘keras’ yang perlu diambil untuk menangani pesaing politik sudah tidak berkesan lagi pada alaf baru ini.
“Dalam situasi sekarang setiap tindakan tegas yang dikenakan oleh kerajaan sebenarnya akan mencetuskan simpati ke atas mereka yang menjadi mangsa, misalnya mereka yang ditahan dan diheret pihak berkuasa, maklumat dan imej disiar meluas dengan segera (dalam media alternatif)... jadi ini sebenarnya menimbulkan rasa simpati dan kerajaan pula dipandang negatif,” katanya.
“Kemungkinan Perdana Menteri sudah menyedari perkara ini.
“Jadi Perdana Menteri mahu menggunakan pendekatan mesra rakyat, tidak lagi bergantung pada kaedah kekerasan,” katanya.
Bagaimanapun penganalisis ini pesimis sama ada Najib benar-benar boleh melaksanakan dengan terbuka dan berkesan tanpa halangan ataupun tentangan daripada ahli-ahli Umno sendiri.
“Beliau boleh cakap tetapi adakah beliau boleh melaksanakannya, saya was-was dengan pelaksanaan (idea beliau),” kata Nizamuddin.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian juga melahirkan pandangan yang sealiran dengan Nizamuddin sama ada Najib selaku Presiden Umno boleh melaksanakan mengikut cara Umno.
Ibrahim menegaskan, ada juga ahli dalam Umno yang tidak boleh menerima pendekatan mesra rakyat ini, sebagaimana pernah disaksikan ketika era perdana menteri sebelum ini Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Misalnya Pak Lah (Abdullah) pernah memperlihatkan pendekatan bertolak ansur tetapi akhirnya ia tidak mendapat sokongan menyeluruh dalam Umno, yang ahli-ahlinya menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang lemah (dan akhirnya ditolak),” katanya,
Oleh itu, Ibrahim meletakkan persoalan sama ada Najib boleh mengelakkan keadaan seperti itu di bawah era kepimpinannya.
Ibrahim juga berkata Najib cuba membawa beberapa pandangan yang dibangkitkan oleh Makmal Pemuda BN minggu lalu.
Makmal itu membentangkan rumusan dan syor mereka kepada Perdana Menteri.
“Saya rasa Perdana Menteri sudah sedar bahawa situasi menggunakan pendekatan keras dalam menangani sesuatu keadaan sudah berakhir... kemungkinan apa yang beliau sampaikan sekarang adalah pendekatan yang beliau tekankan ketika menyampaikan ucapan selepas dilantik sebagai perdana menteri (April 2009),” katanya lagi.
“Najib mahu menggunakan pendekatan berhujah berbanding kaedah undang-undang yang tegas, ini yang dimahukan oleh generasi muda sekarang... generasi muda mahu kerajaan berhujah apabila berhadapan dengan kumpulan yang mempersoalkan kerajaan, bukannya kaedah keras,” kata Ibrahim lagi.
Merdeka 53: Membudayakan Demokrasi
SHAH ALAM - Sambutan menyambut kemerdekaan negara ke-53 tahun ini telah dicemari serta dinodai tindakan Umno-Barisan Nasional yang memainkan sentimen perkauman saban hari melalui media di bawah kawalannya sehingga menyebabkan keadaan gelisah dengan tujuan membangkitkan kemarahan rakyat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata justeru itu tema perayaan menyambut kemerdekaan pada 2010 seharusnya dimaknakan dengan pembudayaan demokrasi dan pembebasan diri daripada sebarang polemik perkauman dan agama yang mengkal.
"Tetapi ini tidak berlaku di bawah Umno-BN, memperlihatkan bagaimana media saban hari memuatkan perihal isu-isu sempit yang nyata mengelirukan rakyat.
"Sistem politik negara yang menjadi akar kepada pembangunan negara terus dilacur dengan sentimen agama dan perkauman yang busuk lagi membusukkan, dengan mengapi-apikan sentimen di kalangan rakyat pelbagai kaum tanpa memikirkan impak kepada masa depan negara," kata Shamsul dalam mesej beliau sempena Hari Kemerdekaan ke-53 hari ini.
Tegas Shamsul setelah melangkah ke usia 53 tahun sewajarnya Malaysia telah digarap menjadi sebuah negara yang merdeka sebenar-benar merdeka daripada sebarang kepompong politik usang dan rakus.
Daam konteks ini beliau mengingatkan kembali peranan penting golongan muda untuk membawa perubahan kritikal kepada kerangka politik negara yang kini didominasi oleh kebobrokan sistem pentadbiran Umno-BN yang pincang dan menyeleweng.
"Tidak ada maknanya merdeka jika generasi muda masih dipasung mindanya, tanpa pendedahan kepada muafakat dan musyawarah dalam kepelbagaian. Dan semoga tahun 2010 ini memberi makna baru kemerdekaan negara, sebagaimana yang dilaung oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman lewat Pemasyhuran Kemerdekaan 53 tahun yang lampau.
"Dewasa ini kita dipertontonkan dengan pudar dan lunturnya semangat kemerdekaan dan pemahaman makna merdeka di kalangan generasi pasca merdeka. Maka yang terus dipersalahkan ialah generasi muda, tanpa sesekali kalangan penguasa melihat betapa lompongnya sistem politik, ekonomi dan sosial yang tidak jauh bezanya daripada zaman kolonial dahulu," ujar beliau.
Shamsul juga menyeru menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut dalam bulan Ramadhan Al Mubarak dijadikan sebagai penguat semangat dan iltizam untuk terus berjuang menegakkan prinsip keadilan, ketelusan dan keharmonian kaum .
"2010 menyaksikan ulangtahun kemerdekaan Malaysia disambut di dalam barakah Ramadhan al-Mubarak, bulan di mana umat Islam melalui proses penyucian diri dengan berjuang melawan hawa nafsu daripada membungkam diri dan jiwa. Perkaitan signifikan Ramadhan al-mubarak dan kemerdekaan ini harus digabung-jalin, bagaimana roh kemerdekaan itu harus dikecap dengan menghindarkan negara dan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan luar dan dalam.
"Salam kemerdekaan daripada seluruh kepimpinan dan keluarga besar Angkatan Muda KEADILAN Malaysia buat seluruh rakyat dan generasi muda Malaysia. Ayuh kita singkap makna merdeka, kita pupuk jiwa merdeka, yang sebenar-benarnya merdeka!" kata Shamsul lagi.
Khalid Gesa Rakyat Julang Maruah Negara
SHAH ALAM — Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata rakyat perlu sedar dan memahami erti kemerdekaan berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-53, beliau menyeru rakyat berikrar untuk memperbaiki diri demi menjulang maruah negara.
“Sejarah sudah cukup membentangkan banyak pengalaman tentang jatuh bangun peradaban dan ketamadunan untuk kita jadikan teladan bersama.
“Ia tidak ada pada semangat yang membabi buta, tetapi ada pada keinginan kuat manusia untuk menegakkan kemulian insan melalui jaminan kebebasan dan daya untuk mencapai keadilan.
“Inilah sebuah negara dan masyarakat madani yang harus kita laksanakan," kata beliau dalam mesej Hari Merdeka.
Abdul Khalid berkata rakyat juga perlu mengakui wujud pelbagai bentuk usaha dalam mencapai kemerdekaan negara.
“Sama ada kita bersetuju atau tidak, kita perlu menerima cita-cita dan kaedah perjuangan yang di bawa.
“Kemerdekaan adalah cita-cita besar rakyat pada zaman itu. Terlepas apa juga perbezaan dalam realiti jamak sosio-masyarakat kita, Merdeka adalah lambang sebuah keberanian kita untuk mengambil tanggungjawab terhadap negara sendiri,” ujar Khalid lagi.Sambutan Merdeka Dicemari Tindakan Fitnah Umno-BN Apikan Sentimen Perkauman
SHAH ALAM - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 hari ini seolah-olah tidak mempunyai jiwa kerana masih ada pihak yang meniupkan api perkauman yang dikhuatir boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.
“Tidak ada gunanya jika kita melaungkan Merdeka tetapi hakikatnya ia kosong tanpa amalan.
“Tidak ada guna bercakap soal perpaduan kaum jika masih ada anasir-anasir yang meniupkan api perkauman.
“Malah tidak ada gunanya mengaku antiperkauman jika membiarkan musuh-musuh perpaduan menggalakkan sikap membenci antara kaum dan agama,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Merdeka bermaksud bebas daripada segala penindasan dan pengekangan hak hak termasuk undang-undang zalim.
“Erti Merdeka amat penting kepada kita semua kerana ia mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran khususnya dalam usaha kita untuk memupuk perpaduan kaum.
“Merdeka juga bererti kita bebas daripada undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan banyak lagi undang-undang yang bersifat antirakyat dan antikebebasan.
“Malah, Merdeka juga sepatutnya bererti Malaysia bebas daripada rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, diskriminasi dan perkauman. Merdeka bermaksud rakyat hidup aman damai tanpa rasa takut,” katanya.
Tambah beliau, parti DAP sentiasa berjuang dalam usaha mewujudkan masyarakat pelbagai kaum dengan menawarkan peluang dan keadilan untuk rakyat.
“DAP tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjamin hak-hak setiap rakyat di negara ini.
“Tetapi malangnya usaha dan semangat yang kita lakukan ini cuba dipatahkan oleh pihak yang tidak mahu melihat masyarakat hidup dalam suasana harmoni dan kasih sayang,” kata beliau.
Beliau juga kesal dengan tindakan akhbar Utusan Malaysia dan beberapa pemimpin Barisan Nasional menabur fitnah terhadap wakil rakyat Pakatan Rakyat.
“Saya sendiri pernah menjadi mangsa fitnah dan pembohongan Utusan Malaysia dan pemimpin BN.
“Selain itu, kawan-kawan saya dalam DAP termasuk Tony Pua, Teo Nie Ching, Teresa Kok dan beberapa pemimpin Pakatan lain turut menjadi mangsa,” katanya.
Guan Eng juga berkata, DAP akan tetap meneruskan agenda untuk mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum di negara ini walaupun ditentang kerajaan BN.
APAKAH DOSA KAMI SEHINGGA DIHINA SEBEGINI?
SERAMAI enam orang pekerja asing Indonesia yang menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara merayu Konsulat Indonesia di Malaysia membela maruah mereka yang dihina oleh 100 orang Polis Malaysia yang menyerbu mereka di waktu subuh menjelang satu Ramadan dan menahan mereka di dalam lokap yang sempit selama empat hari tanpa sebarang kesalahan jenayah.
Turut mendukacitakan, kesemua isteri dan anak-anak mereka seramai 35 orang berusia antara 35 hari hingga 13 tahun turut disumbat ke dalam lokap yang sempit dan kotor bersama tahanan yang lain tanpa belas kasihan.
“Apa dosa kami pak? Kami cuma kerja ngikut arahan majikan. Kami nggak ada salah apa-apa pak. Kenapa kami ditangkap? Kasian anak-anak kami, kayak anjing dikandang (kurung) begitu,” ujar Bahlan Bin Pabe yang kesal kerana Konsol Indonesia di Tawau enggan membantu mereka walaupun majikan sudah melaporkan berhubung tangkapan mereka.
Kata Bahlan, mereka diambil bekerja secara sah oleh Gabungan Saga Sdn.Bhd, konktraktor yang menguruskan kontrak perladangan dengan OKK Hassnar MP Ebrahim sejak tiga bulan lalu tidak menyangka polis Malaysia akan bertindak secara kasar tanpa perikemanusiaan, terutama terhadap wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.
“Mereka begitu tega jadikan kami sandera (tebusan) agar majikan kami tampil. Tetapi apabila majikan kami datang untuk bebaskan kami, mereka (polis) nggak apa-apa in majikan kami,” ujar Bahlan yang mendengar perbualan polis bahawa alasan mereka ditahan ialah untuk memaksa majikan datang ke balai polis bagi menghadapi dakwaan.
Kata Bahlan, beliau terkejut kerana tidak menyangka dakwaan rakan yang baru pulang dari Malaysia bahawa polis Malaysia kejam adalah benar kerana sebelum ini beliau mengganggap mereka sengaja mahu menakut-nakutkan beliau agar tidak datang ke Malaysia.
“Walau polisi (polis) beragama Islam, tapi nggak punyai perasaan sesama agama. Apalagi kami ngerjain ibadah puasa. Apa salah itu ibu-ibu dan anak-anak kok sama ditangkap kayak banjingan? Mereka kan nggak tau apa-apa. Kan baik kalau mereka biar saja di rumah. Biar kami saja yang digiring ke balai,” ujar Bahlan yang kesal kerana rayuan mereka tidak diendahkan polis Malaysia.
Kesemua mereka termasuk seorang lelaki warga tempatan, Mohammad Bin Awang ditahan di bawah Seksyen 448, Kanun Keseksaan berdasarkan Laporan Polis Kinabatangan/1487/2010.
Enam pekerja asing Indonesia yang menggunakan pas lawatan kerja sementara yang ditahan ialah;
01. Busry Bin Rahmat
02. Yusuf Duren
03. Jerry Bin Kassim
04. Jusman Bin Gasing
05. Bahlan Bin Pabe
06. Udin Bin Ary Sad
Manakala isteri pekerja yang ditahan terdiri daripada;
01. Harni Binti Lahari
02. Rosma Binti Made
03. Augustina Paulus
04. Faridah Bin Randu
05. Tina Bte Sukardi
06. Rosdianah Bte Made
07. Sudarmi Bte Made
08. Yusmah Bte Wahidin
Dalam pada itu, Krew Sabahkini.net berjaya menghubungi Mantan Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar MP Ebrahim, pemilik benefisial tanah berkenaan untuk mendapatkan ulasan.
Menurut Hassnar, tiga hari sebelum puasa, beliau telah memberi cuti tanpa rekod kepada para pekerja ladang warganegara Indonesia selama tiga hari agar mereka dapat menyambut kedatangan Ramadan dengan selesa.
Namun menjelang subuh, 13 Ogos 2010, di antara jam 3.00 hingga 5.00 pagi satu battalion polis seramai 100 orang telah dikerah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Kinabatangan, DSP Jaini Abdul Kadir menangkap tujuh pekerja ladang termasuk seorang warga tempatan yang mempunyai pasport dan permit kerja yang sah.
Menurut OKK Hassnar, Polis mempunyai niat malafide menangkap para pekerjanya dan pekerja kontraktor pada subuh Jumaat agar dapat memberi tekanan kepada pekerja supaya berhenti kerja kerana mereka tidak dapat dijamin keluar selepas tempoh 24 jam kerana cuti umum.
“Sifat khianat Iblis dan otak Syaitan yang ada dalam kepala Pesuruh Jaya Polis Sabah dan Ketua Polis Daerah Kinabatangan menunjukkan betapa pengecutnya mereka kerana hanya berani menangkap pekerja yang tidak mampu melawan,” Ujar Hassnar dengan nada kesal dengan peristiwa melontar najis ke Kedutaan Malaysia di Indonesia dan membakar bendera jalur gemilang kerana marah dengan layanan buruk kerajaan Malaysia terhadap warga Indonesia.
Menurut Hassnar, dua orang pegawai kanan polis (Noor Rashid dan Jaini) sewajarnya dipersalahkan kerana membangkitkan kemarahan rakyat Indonesia dengan menahan mereka yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak kecil yang tidak tahu apa-apa.
“Mereka terlalu bacul kerana tidak berani menangkap saya, sebaliknya menangkap pekerja Indonesia yang mempunyai permit yang sah dengan pelbagai tuduhan palsu termasuk menceroboh tanah berhak milik,” kata Hassnar yang mendesak Ketua Polis Negara menukar dua pegawai polis ini yang telah disamannya kerana salah laku dan salahguna kuasa polis pada 2007.
Kata OKK Hassnar, Noor Rashid dan Jaini mungkin dalam keadaan terdesak terpaksa mengikut arahan ‘Taukey’ Cina (kemungkinan akibat sogokan) yang menggunakan Sijil Anak Negeri Palsu melakukan kezaliman kepada warga Indonesia yang bekerja secara sah.
Sehubungan itu, OKK Hassnar meminta Ibu Pejabat Polis Bukit Aman agar menjalankan siasatan kenapa Noor Rashid dan Jaini menyalah gunakuasa polis mengerah 100 orang polis menyerang ladangnya yang masih dalam pertikian mahkamah, sedangkan polis tidak mempunyai bidang kuasa menceroboh tanah berhak milik, apatah lagi jika masih dalam perbicaraan di Mahkamah Undang-Undang.
“Saya menggesa agar Konsol Indonesia campurtangan kerana warga negara mereka yang bekerja secara sah menerima layanan buruk daripada Polis Di Raja Malaysia yang langsung tidak berperi kemanusiaan,” kata OKK Hassnar yang mengakui sedang menyediakan laporan rasmi untuk dihantar kepada Konsol Indonesia dalam masa terdekat.
Menurut OKK Hassnar, kejadian ini mengulangi serangan polis pada 27 November 2007 di ladang berdekatan dengan kejadian terbaru. Ketika itu, Noor Rashid dan Jaini yang menerima arahan daripada ‘Mafia Perladangan’, Kwan Bersaudara (Kwantas Corporation Berhad) mengerahkan lebih 200 orang anggota polis pelbagai pangkat yang lengkap bersenjata menyerbu tanah bergeran dan menangkap 17 pekerja yang berdokumen dengan mencipta tuduhan palsu, kononnya mereka ‘mengadakan perhimpunan haram’.
Akibat daripada serbuan haram polis tersebut, OKK Hassnar telah memfailkan saman terhadap Noor Rashid, Jaini dan lebih 50 pegawai polis yang telah menyalahguna kuasa mereka menyerbu ladangnya yang mempunyai geran hak milik pada jam 2 pagi untuk merampas semua parang dan tombak yang digunakan untuk bekerja di ladang. Kes tersebut akan dibicarakan pada September 2010.
“Saya amat sedih dengan sifat kebinatangan CP dan Jaini yang tidak berhati perut menyumbat wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa ke dalam lokap yang sempit dan berbau busuk seperti kandang babi dalam keadaan mereka berpuasa. Di mana Jabatan Kebajikan dan SUHAKAM?,” getus OKK Hassnar dengan nada kesal kerana polis Malaysia sengaja mencetus kemarahan agar warga Indonesia di Sabah memberontak.
Walaupun kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah empat hari ditahan di lokap, namun kata OKK Hassnar, tidak dapat membasuh dosa ‘The Satanic Police’ Noor Rashid dan Jaini yang sewajarnya diberi hukuman berat dan digantung tugas masing-masing setelah beliau memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu awal tahun ini.
Tragis: Abang hanya melihat adik perempuannya kena rogol
“Sebuah kisah benar. Abang mereka hanya melihat sahaja adik perempuan mereka dicabul kehormatannya di hadapan mereka sendiri!!”
Pada suatu hari yang nyaman, dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, sebuah keluarga besar telah pergi piknik di tepi pantai. Keluarga ini merupakan keluarga yang kaya raya. Ada tauke balak, ada tauke minyak, ada tauke minyak sawit, ada tauke getah, ada tauke emas dan macam- macam lagi. Namun, tidak mungkin dalam satu bakul buah itu, semuanya elok, pasti ada jugak yang busuk.
Sebenarnya kehidupan adik-beradik ini mula goyah selepas bapa mereka dibunuh secara kejam di Turki. Kehidupan mereka mula bertelagah sesama sendiri. Bagi abang-abang yang kaya, mereka melupakan adik- adik mereka yang miskin. Bagi adik-adik yang mula belajar hidup berdikari, maka berusahalah mereka membantu adik-adik yang miskin itu semampunya sambil menempelak abang-abang mereka yang mula lupa diri.
Satu hari, semasa keluarga ini berpiknik, seorang adik perempuan mereka telah diculik dan telah dicabul dengan kejam. Perlakuan ini berlaku di depan khemah abang-abang yang kaya ini. Pencabulan si adik itu dilakukan oleh sekumpulan pendatang haram yang suka membuat kacau kehidupan orang lain. Adik-adik yang lemah ini hanya mampu memandang dengan kesayuan. Tetapi si abang-abang hanya melihat dengan keseronokan adik perempuan mereka dicabul kehormatannya di hadapan khemah mereka sendiri.
Tidak lama selepas itu pula, salah seorang adik lelaki mereka pula telah lemas dihanyut ombak. Salah seorang daripada mereka cuba menyelamatkan si adik yang lemas itu tetapi dihalang oleh abang atas alasan, marilah bawak berbincang dahulu. Jangan terburu-buru, bahaya. Akhirnya, di saat adik perempuan mereka diratah dengan penuh nafsu oleh sekumpulan pendatang haram itu, dan adik lelaki pula hampir kelemasan di tengah lautan, mereka telah duduk berbincang sambil makan makanan yang mewah-mewah dan minuman yang lazat-lazat.
Tajuk persidangan kita hari ini adalah, “Cara-cara menyelamatkan adik perempuan yang dirogol dan adik lelaki yang kelemasan.” Itulah kata si abang sulung selaku pengerusi majlis.
Adik-adik yang lebih muda dengan bersemangat hendak terus bergocoh dengan pendatang-pendatang haram tersebut, dan juga tanpa menghiraukan keselamatan, ingin sahaja terus menyelamatkan adik lelaki mereka yang semakin kelemasan itu. Tetapi dengan tenang si abang-abang berkata,”Inilah orang muda, suka sangat ikut perasaan.”
Cuba sikit hormat orang tua. Kita ambik jalan yang lebih berdiplomasi.” Akhirnya, si abang berjumpa dengan ketua pendatang haram tersebut.
“Ini resolusi kami. Jangan rogol adik kami lagi. Kalau nak sangat tubuh adik kami pun, cuba hentikan rogol tu dulu. Kita buat gencatan nafsu.” Maka mereka pun berbincang. Sambil berbincang itu, pencabulan terhadap adik perempuan itu masih berjalan sambil ditonton oleh adik- beradik yang lain.
Tentang si adik lelaki yang kelemasan, seorang dari mereka cuba mendapatkan bot penyelamat, tapi dihalang oleh abang yang lain.
“Hoi monyet…senyaplah… pengkhianat!” Getus hati si adik yang tidak puas hati kerana bot penyelamat yang ada telah dibocorkan oleh abang-abang mereka.
Akhirnya adik-adik berdarah muda telah diketepikan. Bagi si abang, adik berdarah muda merosakkan keadaan sahaja. Adik-adik muda ada yang dikenakan akta Ikut Suka Aku, dikhatankan buat kali kedua, dirosakkan khemahnya dan pelbagai lagi. Manakala, adik-adik perempuan muda pula ditakut-takutkan akan hilang kehormatannya.
Keadaan semakin genting. Adik-beradik tadi melakukan mesyuarat kununnya tergempar pula. Kali ni mereka agak sepakat. “Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pendatang haram mencabul adik perempuan kami.”
“Selamatkan adik kami yang kelemasan.”
Tetapi mereka hanya memasang banner di sepanjang pantai tersebut. Dengan harapan, ada orang yang akan membantu mereka. Adik perempuan mereka semakin terus dicabul. Pakaian adik perempuan mereka sudah tidak ada lagi di tubuh. Adik-beradik tadi hanya terus menonton drama cabul mencabul itu dari dekat selepas bermesyuarat yang kununnya tergempar itu.
Adik lelaki mereka pula sekiranya tadi tangannya kelihatan, kini seolah-olah sudah hampir mati. Hanya menunggu malaikat maut datang mengambil nyawa. Lalu, diangkatlah lagi banner “Selamatkanlah adik kami yang kelemasan” setinggi-tingginya dengan harapan ada orang lain yang membantu.
Bila melihat banner itu tidak berkesan. Mereka bermesyuarat lagi. Dan mereka mengeluarkan banner yang baru. Yang lebih cantik dan mahal. Adik perempuan terus dinodai. Adik lelaki sudah semakin hanyut di tengah lautan… adik-beradik lain pula terus bermesyuarat dan mesyuarat untuk menghasilkan banner dengan wording yang lebih menarik….
Itulah kisah keluarga besar di satu tempat yang dirahsiakan namanya.
Sime Darby: Saiz Bukan Lambang Kekuatan
Saiz yang besar tidak semestinya melambangkan kekuatan dan penggabungan di antara syarikat-syarikat dalam bidang yang sama tidak semestinya membawa keuntungan.
Lihat sahaja apa yang telah terjadi kepada Kumpulan Sime Darby Bhd. Syarikat konglomerat ini baru tiga tahun menjalani proses penggabungan dengan Golden Hope Plantation Bhd dan Guthrie Berhad untuk muncul sebagai sebuah syarikat perladangan terbesar di dunia. Oleh saiznya yang besar, Sime Darby juga muncul sebagai salah sebuah syarikat yang terbesar dari segi nilai dan keaktifan pasaran (market capitalisation) di Bursa Malaysia.
Hari Khamis lalu, Sime Darby mengumumkan kerugian sebanyak RM77.4 juta untuk tiga bulan berakhir 30 Jun 2010. Ini merupakan kerugian suku tahun kedua berturut-turut selepas ia memperuntukan RM777.3 juta untuk potensi kerugian ke atas projek-projek di bawah bahagian tenaga dan utilitinya. Apabila dicampur dengan peruntukan RM1.3 bilion dalam suku ketiga, jumlah peruntukan yang dibuat oleh kumpulan itu untuk tahun kewangan berakhir 2010 melambung kepada RM2.08 bilion.
Bagaimanapun dari segi kumpulan, Sime Darby masih mencatat keuntungan sebanyak RM726.8 juta berdasarkan untung operasi RM2.1 bilion yang dicatatkan oleh aktiviti teras perladangan dan sektor-sektor lain dalam kumpulan itu.
Penyusunan semula organisasi
Langkah pemangku presiden dan ketua eksekutif kumpulan Datuk Mohd Bakke Salleh menyusun semula struktur organisasi Sime Darby dengan memecahkan enam aktiviti teras perniagaannya kepada enam buah anak syarikat adalah dialu-alukan bagi menyelamat dan memulihkan kedudukan kewangan konglomerat itu.
Ketika menyampaikan taklimat kepada media Khamis lalu, Mohd Bakke berkata, enam teras perniagaan Sime Darby – perladangan, hartanah, kenderaan bermotor, peralatan/logi industri, tenaga dan utiliti dan penjagaan kesihatan – akan beroperasi dalam enam buah syarikat yang berasingan dan masing-masing mempunyai pasukan pengurusan dan lembaga pengarah tersendiri, berkuatkuasa 1 Januari 2011.
Perancangan ini dibuat agar tiap-tiap anak syarikat mempunyai akaun untung ruginya yang tersendiri. Jika ada mana-mana anak syarikat yang mencatat kerugian, kesannya tidak tempias kepada kedudukan untung rugi syarikat induk. Langkah ini dilakukan supaya kerugian yang dialami oleh bahagian tenaga dan utiliti tidak memberi kesan buruk kepada penyata untung rugi Sime Darby sebagai sebuah entiti kumpulan.
Walaupun pada peringkat awal, langkah ini akan menelan perbelanjaan yang lebih, ekoran bayaran gaji kepada pasukan pengurusan dan elaun serta emolumen kepada ahli-ahli lembaga pengarah yang semakin besar saiznya tetapi langkah ini adalah menjimatkan pada jangka panjang dan lebih berdaya maju.
Pasukan pengurusan dan ahli-ahli lembaga pengarah akan dipilih dari golongan profesional dan mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing. Inilah yang dilakukan oleh Mohd Bakke ketika menerajui Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Dalam kes Felda, aktiviti perniagaannya dipecahkan kepada dua entiti besar iaitu Felda Holdings Bhd dan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd.
Sebenarnya, penyusunan semula yang akan dilaksanakan oleh Sime Darby nanti, bukanlah perkara baru. Malahan konglomerat itu kembali kepada struktur asal pada peringkat awal penubuhannya. Setiap aktiviti ekonomi dikendalikan oleh anak syarikat yang berlainan.
Tidak membebankan syarikat induk
Strategi inilah juga yang digunakan oleh syarikat-syarikat pemaju perumahan. Apabila melancarkan sesuatu projek pembangunan bercampur dan perumahan, mereka akan menubuhkan anak syarikat yang berasingan. Tujuannya supaya jika sekiranya projek itu gagal, ia tidak akan membebankan syarikat induk, terutama dari segi kewangan.
Menurut kajian, saiz tidak semestinya melambangkan kekukuhan dan kekuatan sesebuah syarikat. Penggabungan syarikat juga tidak semestinya membawa kelebihan dan menambah nilai syarikat. Tiga dari setiap empat buah syarikat yang bergabung dengan syarikat lain mengalami penurunan nilai.
Objektif utama saiz yang besar melalui penggabungan dan pengambilalihan syarikat (merger & acquisition) dilakukan ialah untuk menaikkan keupayaan syarikat untuk bersaing dalam perniagaan, terutama di persada antarabangsa. Lagi pun saiz yang besar lebih mudah untuk mendapatkan pinjaman dan instrumen pinjaman yang lain serta berada pada kedudukan yang lebih meyakinkan para pelabur tempatan dan luar negeri.
Tetapi kesan buruknya ialah apabila sesebuah unit atau bahagian daripadanya mengalami kerugian maka syarikat induk yang akan menerima padahnya. Dalam kes Sime Darby, berkemungkinan ia tidak dapat melabur dalam aktiviti petroleum dan gas di Qatar jika bahagian tenaga dan utiliti berasingan dari kumpulan.
Kos lebihan Bakun RM855 juta?
Begitu juga dengan projek empangan hidro elektrik Bakun bernilai RM7.3 bilion, yang suatu masa dahulu tergendala ketika Ting Pek Khing menerajui Ekran Bhd, diberi kepada Sime Darby dan kini mengalami kos lebihan (cost overrun) adalah berdasarkan saiz konglomerat itu dan bukan berdasarkan kemampuan dan kemahiran yang ia miliki. Kos lebihan Bakun dijangka meningkat kepada lebih RM855 juta (RM365 juta telah diperuntukan dan berkemungkinan sebanyak RM490 juta lagi akan diperuntukan).
Mungkin Sime Darby sudah belajar dari episod yang menyedihkan ini. Peruntukan RM2.08 bilion ini telah melenyapkan faedah sinergi bernilai RM260 juta hasil dari penggabungan dengan Golden Hope dan Guthrie sejak 2007. Maka langkah penggabungan ini nampaknya tidak berhasil dan merupakan satu usaha yang sia-sia.
Golden Hope dan Guthrie, kedua-duanya juga merupakan syarikat gergasi perladangan mungkin tidak nampak pada suatu hari nanti bahawa aktiviti bukan teras Sime Darby, tenaga dan utiliti, akan membawa bencana setelah penggabungan.
Usaha Sime Darby melantik Bakke untuk menyelamatkan Sime Darby kelihatan telah berjaya menanam bibit-bibit keyakinan di kalangan para pelabur sepertimana harga sahamnya telah melonjak sedikit di Bursa Malaysia hari Jumaat lalu. Pada sidang media pertamanya, beliau juga mengumumkan langkah-langkah baru untuk memperbaiki tadbir urus korporat dan pengawasan dalaman yang lebih ketat.
Episod yang menimpa Sime Darby ini mengajar kita tentang betapa pentingnya tadbir urus korporat yang baik, pengawasan dan pengauditan yang teliti oleh lembaga pengarah dan pengurusan, tidak terjun dalam bidang yang tidak mempunyai kemahiran dan bebas dari tekanan pihak luar.
Guan Eng: Tiada erti merdeka jika rakyat masih dibelenggu
PETALING JAYA: Kemerdekaan tidak memberi makna jika masih ada pihak tertentu yang masih meniupkan api perkauman, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menurutnya, DAP dengan penuh iltizam telah berjuang ke arah mewujudkan masyarakat pelbagai kaum dengan menawarkan peluang saksama dan keadilan untuk semua.
DAP, katanya, tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjamin hak-hak setiap rakyat di negara ini.
"Tidak ada gunanya mengaku antiperkauman jika membiarkan musuh-musuh perpaduan menggalakkan sikap benci membenci antara kaum dan agama.
"Malangnya, iltizam dan semangat DAP ini cuba dipatahkan oleh segelintir manusia yang tidak mahu melihat masyarakat Malaysia hidup dalam suasana harmoni dan kasih sayang," katanya dalam satu kenyatan sempena sambutan kemerdekaan negara.
Guan Eng berkata, erti merdeka amat penting kepada kita semua kerana ia mencerminkan kematangan rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran, khususnya dalam usaha kita untuk memupuk perpaduan kaum.
Katanya, merdeka bererti kita bebas daripada penindasan dan pengekangan hak. " Merdeka bererti Malaysia bebas daripada undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan banyak lagi undang-undang yang bersifat antirakyat dan antikebebasan.
"Malah, Merdeka juga sepatutnya bererti Malaysia bebas daripada rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, diskriminasi dan perkauman.
Merdeka bermaksud rakyat hidup aman damai tanpa rasa takut," katanya. Sementara itu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula mengajak rakyat mengingati semangat pemahsyuran kemerdekaan iaitu berteraskan prinsip kebebasan dan keadilan.
Katanya, kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat sentiasa berusaha menegaskan semula asas ini yang sedikit sebanyak kabur dalam persaingan politik kepartian di Malaysia.
Menurutnya, kita mesti berani memperakui kewujudan pelbagai bentuk usaha memerdekakan negara, sama ada kita bersetuju atau tidak dengan cita-cita dan kaedah perjuangan yang dibawa.
" Kemerdekaan adalah cita-cita besar rakyat pada zaman itu. Terlepas apa juga perbezaan dalam realiti jamak sosio-masyarakat kita, Merdeka adalah lambang sebuah keberanian kita untuk mengambil tanggungjawab terhadap negara sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid menambah, bukan sekadar itu, sejarah jelas mencatatkan bahawa merdeka terhasil daripada kesedaran semua negeri-negeri dengan kedaulatannya tersendiri untuk bersatu di bawah satu Perlembagaan bersama yang terkandung hak kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam menjalankan tanggungjawab kepada rakyat. Perlembagaan inilah yang bertindak sebagai dokumen penyatu, katanya.
Kita Bertindak Dulu, Najib Pun Ikut
TV SELANGOR
PULAU PINANG - Guru-guru Kelas Agama dan Fadhu Ain (Kafa) seluruh Pulau Pinang tentunya tersenyum simpul kerana buat pertama kalinya kerajaan negeri memberikan RM250 wang raya kepada mereka.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, memandangkan peranan guru Kafa tiada tolok bandingnya memberikan pendidikan kepada anak-anak Islam, maka kerajaan negeri sedia mengeluarkan peruntukan untuk menghiburkan hati golongan tersebut menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Kerajaan Pusat ujarnya, pasti akan meniru langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat beberapa hari lagi sebagaimana langkah mengharamkan judi bola dan bantuan kepada kakitangan kerajaan sebanyak RM400.
"Bila kita bertindak dulu, Najib pun ikut. Itulah kelebihan kita. Rakyat patut sokong kerajaan yang bertindak dulu kerana tanpa tindakan berkenaan Kerajaan Pusat sukar untuk menyalurkan bantuan seperti mana hari ini," ujarnya.
Sebagai sebuah kerajaan yang berhemah sambungnya, peruntukan tetap diberikan kepada semua kaum dan agama berbanding Barisan Nasional (BN) yang asyik memilih bulu.-HARAKAH DAILY
Hari Kemerdekaan ke 53 Bukan Melayu Perlu Tahu Melayu dan Islam Yang Sebenar
Perpaduan tidak dapat dicapai sekirannya kita yang berbangsa bukan Melayu ada prejudis, pemikiran negatif, perasaan takut dan gementar dan salah faham dan pandangan terhadap erti Melayu dan Islam yang sebenar. Kita akan cenderung untuk lebih menjarakkan dan menjauhkan diri daripada mereka.
Jangan sebab nila setitik rosak susu sebelangga. Jangan disebabkan beberapa pemimpin Melayu yang memiliki kepentingan politik dan peribadi sendiri dengan menggunakan nama Melayu dan Islam sebagai alat dan senjata maka kita terus menyalahkan seluruh komuniti Melayu dan Islam.
Keris
Sebelum ini ada seorang pemimpin Melayu menghunus keris ke langit dan mencabar bukan Melayu jangan mencabar mereka. Bukan Melayu kena faham bahawa itu bukan budaya dan adat Melayu. Hakikatnya dalam adat mereka keris tidak boleh dihunus sesuka hati. Keris hanya boleh dihunus apabila mereka dicabar dan bukannya digunakan untuk mencabar. Sebab itu dalam adat Melayu ada pepatah menyatakan biar mati anak jangan mati adat. Namun ada juga sebilangan pemimpin yang lebih rela biar mati adat jangan mati UMNO.
Terdapat juga seorang pemimpin Melayu di Pulau Pinang yang menyatakan Cina adalah pendatang. Tindakan biadap dan kurang ajar ini juga bukan Melayu. Melayu yang sebenar kaya dan budi perkerti dan budi bahasa mereka. Jika benar sekalipun bukan Melayu adalah pendatang maka Melayu yang sebenar dalam budaya dan karya kesusasteraan mereka merupakan satu – satunya bangsa di dunia yang banyak menekankan tentang melayan tetamu mereka dengan baik.
Dalam Islam juga merupakan antara agama yang amat memuliakan tetamu.
“Setiap kamu terhadap kehidupan ini adalah seperti rumah tamu. Setiap hari kamu dikunjungi pelbagai tamu dengan pelbagai kerenah. Bukalah pintu untuk mereka dan layan sebaik yang kamu mampu. Andai kamu menutup pintu, kamu sangka diri makin selesa tetapi hakikatnya kamu semakin kehilangan segala-galanya”. (Jalaluddin al-Rumi)
Hak Beragama dan Beribadat
Terdapat juga segelintir pemimpin Melayu yang tidak menghormati hak beribadat dan beragama orang lain. Mereka ini bukan Islam yang sebenar. Realitinya dalam perlembagaan madinah iaitu perlembagaan pertama di dunia yang digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri memperuntukkan fasal – fasal perundangan untuk melindungi bukan Islam termasuk Yahudi dan mereka bebas mengamalkan dan mempraktikkan agama mereka.
Kelemahan Pemimpin Melayu
Soal negara ini lemah dipimpin oleh Melayu Islam. Tidak. Sejarah dan tamadun Islam kaya dengan kecermerlangan dan kegemilangan mereka. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz kekayaan negara sampai boleh bertahan sehingga beberapa generasi. Begitu unggulnya pemerintahan dan pentadbiran Islam yang sebenar.
Isu Melayu malas dan tidak maju. Tidak. Itu bukan Islam yang sebenar. Tuhan mereka merupakan satu – satunya Tuhan di dunia dalam wahyu pertamanya menekankan tentang soal membaca dan menimba ilmu pengetahuan.
Keistimewaan dan Ketuanan Melayu
Melayu dikatakan telah merasakan mereka istimewa berbanding kaum di tanah ini. Itu juga bukan Melayu dan Islam yang sebenar. Pada pandangan Tuhan mereka tiada perbezaan antara keturunan dan warna kulit. Jika tidak mengapa Tuhan mereka memilih seorang rasul yang suku kaumnnya bukannya majoriti di Makkah pada ketika itu? Yang membezakan sesama diri kita di mata Tuhan adalah dosa dan pahala yang kita bina selama ini.
Isu ketuanan dan keistimewaan Melayu. Tidak itu juga bukan Melayu yang sebenar. Antara perjuangan awal Nabi Muhammad s.a.w di Makkah adalah hak persamaan taraf antara golongan hamba dengan suku kaum utama di Makkah iaitu Arab Quraisy pada ketika itu. Ciri – ciri Arab jahiliah seperti semangat kabilah dan assabiyah ditentang sepenuhnya oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Dendam Melayu
Melayu pada hari ini dikatakan berdendam. Tidak. Itu bukan Melayu Islam yang sebenar. Bangsa Arab Quraisy yang menyeksa penganut Islam , memulaukan Nabi dan keluarga , mencaci , menentang dan cuba membunuh Nabi Muhammad sendiri tetapi apabila Kota Makkah dibuka semula oleh Nabi Muhammad. Baginda sendiri tidak pernah membalas dendam terhadap segala ketidakbaikkan yang dilakukan oleh mereka.
Segala keganasan dan provokasi yang dilakukan oleh organinasi dan pemimpin tertentu juga bukan Melayu yang sebenar. Melayu amat mementingkan tentang sifat keserdehanaan. Islam pula mementingkan kedamaian.
Muafakat
Melayu yang sebenar amat mementingkan tentang soal muafakat, kerjasama dan perpaduan. Sebab itu banyak peribahasa Melayu yang berunsur sedemikian. Contoh bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, sehati sejiwa, berganding bahu, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat dan pelbagai lagi.
Tun Mahathir
Ada juga seorang bekas Perdana Menteri negara baru – baru ini garang memperjuangkan agenda Melayu. Muka talam sebeginilah yang menggunakan Melayu dan Islam demi populariti sendiri. Beliau sendiri ada 22 tahun untuk memajukan Melayu tetapi ke manakah Melayu pada hari ini?
Hudud
Terdapat juga Melayu Islam sendiri yang cuba takutkan bukan Melayu terhadap perundangan Islam seperti Hudud. Pertama perundangan tersebut hanya tertakluk kepada Islam. Kedua jika kita tidak mencuri , merogol dan melakukan kejahatan mengapa kita perlu takut pada perundangan sebegini? Ketiga jika pada hari ini anak , adik dan orang terdekat kita yang menjadi mangsa penjenayah bukankah perundangan sebegini baik untuk kita?
Sekolah Vernakular
Terdapat juga Melayu Islam yang hendak menghapuskan sekolah vernakular. Hakikatnya dalam hadis mereka ada menyatakan tuntutlah ilmu sampai ke negeri China.
PERKASA dan Ibrahim Ali
Perjuangan pertubuhan ini terlalu radikal. Kita lihat bagaimana Nabi Muhammad menyebarkan Islam. 3 tahun secara sulit dan 10 tahun secara terbuka namun tidak pernah menggunakan paksaan dan kekerasaan. Melayu pula percaya pada falsafah berpuasa iaitu hidup besederhana maka segala tindakan mereka seharusnya bersederhana.
Bukan Islam Masuk Masjid dan Isu Berdoa Untuk Bukan Islam
Isu ini hanya dipolitikkan semata – mata. Dalam al – Quran iaitu sumber rujukkan , tertinggi dan utama dalam Islam hanya menyebut hanya satu masjid al-haram dan tanah haram sahaja yang tidak boleh dimasuki oleh bukan Melayu. Nabi Muhammad sendiri membenarkan bukan Islam tinggal dan berada di dalam masjid pada zaman pemerintahannya. Iman Shafee juga menyatakan tiada masalah untuk bukan Melayu memasuki masjid.
Isu berdoa untuk bukan Islam juga dipolitikkan oleh pemimpin , organisasi dan media kawalan mereka. Sebagai bukan Islam saya tidak berani untuk mengatakan dari segi hukum boleh atau tidak namun yang saya pasti jika benar sekalipun mereka silap Islam yang sebenar adalah membenarkan mereka. Mengajar mereka dan membawa mereka ke arah jalan yang benar. Bukannya mengaibkan mereka di media , memaki , memalukan dan menyerang mereka. Saya pasti itu bukan Islam yang saya kenali.
Lagipun isu ini Teo Ni Ching sudah memohon maaf. Masih ingat bagaimana Khalifah Ali bin Abu Talib berhenti menyerang apabila pihak lawan menyerah diri dan mengaku kalah?
Isu Ekonomi Melayu Dirampas
Ekonomi mereka dirampas oleh Melayu UMNO dan bukannya bukan Melayu. Banyak Cina dan India yang kaya juga disebabkan oleh UMNO yang menjadikan mereka kaya . 52 Billion yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan Melayu lesap di tangan mereka. Fitnah dan tohmahan dalam Islam lebih teruk daripada membunuh. Sebab itu mereka bukan Melayu dan Islam yang sebenar. Mereka cuba mengasingkan penguasaan GLC yang dimiliki 100% oleh Melayu dalam ekuiti sebenar negara. Jika tidak Melayu sudah memiliki ekuiti lebih daripada 60% jika mereka jujur untuk melaporkannya.
Segala serangan dan kenyataan mereka yang bodoh , dangkal , keterlaluan , melampaui batas dan jahil juga bukan Melayu. Melayu amat berjaga – jaga dan tutur kata mereka. Terkenal dengan sifat kelembutan dan budi bahasa yang tinggi. Sebab itu dalam peribahasa Melayu ada menyatakan terlanjak perahu boleh diundur tetapi terlanjur kata buruk padahnya.
Saya Merayu Supaya Kita Adil Kepada Melayu dan Islam Lain
Bukankah Melayu dan Islam sebenar yang saya bongkarkan kepada kalian jelas menunjukkan betapa agungnya dan tingginya nilai , moral , etika dan kebaikkan Melayu dan Islam yang sebenar ? Jangan sesekali kita keliru untuk membezakan antara yang tulen dan yang palsu. Yang benar dan yang salah. Yang baik dan yang buruk.
Cubalah mendekatkan diri lagi kepada Melayu dan Islam yang sebenar yang banyak terdapat dalam masyarakat dan individu biasa di negara ini. Janganlah kita dipengaruhi oleh segelintir pemimpin dan organasisi sehingga kita ada Melayuphobia dan Islamphobia.
Isnin, 30 Ogos 2010
Bekas Pengarah Perbadanan Putrajaya bebas tuduhan rasuah
FREE MALAYSIA TODAY
KUALA LUMPUR:Bekas Pengarah Perbadanan Putrajaya Datuk Shahoran Johan Ariffin hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerima rasuah berupa tiket kapal terbang ke London.
Hakim Rosbiahanin Ariffin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Abdul Ghaffar Abdul Latif gagal membuktikan kes prima facie terhadap Shahoran.
"Selepas mahkamah meneliti kesemua hujahan dan keterangan, tertuduh dalam kes ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.
"Mahkamah juga melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan alternatif," kata Rosbiahanin.
Shahoran, 58, didakwa menerima tiket kapal terbang pergi balik dari Kuala Lumpur ke London bernilai RM3,022 daripada seorang kontraktor, Yaacob Hassan melalui Azizi Johan Ariffin sebagai dorongan untuk memberikan kerja-kerja projek Taman Putra Perdana kepada Fortress Synergy Sdn Bhd yang dimiliki Yaacob melalui Kenas Prima Sdn Bhd.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Landskap dan Taman Awam, Bahagian Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya.
Shahoran turut didakwa atas tuduhan pilihan menerima rasuah daripada Yaacob yang diketahuinya adalah pemilik syarikat Fortress Synergy Sdn Bhd yang ada kena mengena dengan urusan rasminya sebagai pengerusi Mesyuarat Penilaian Tender bagi kerja penyelenggaraan projek Taman Putra Perdana di Putrajaya.
Syarikat Yaacob telah memperoleh kerja itu melalui Kenas Prima Sdn Bhd. Shahoran sebelum ini didakwa melakukan kesalahan itu di KL International Hotel pada 4 hingga 5 Mei 2005.
Bagi tuduhan utama Shahoran didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.
Beliau yang diwakili peguam bela Raja Sharafina Raja Shuib dan turut ditemani anggota keluarga kelihatan gembira dengan keputusan mahkamah itu.
Kaitkan Malcom X dengan Teo, Kit Siang tegur Presiden PERKASA
PETALING JAYA: Penasihat DAP Lim Kit Siang menegur Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang mengheret nama pendakwah Islam Malcom X dengan peristiwa melibatkan lawatan ke sebuah surau oleh ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching.
Kit Siang menyifatkan analogi yang diberi Ibrahim sangat bahaya kerana ia boleh disalah tafsir pihak lain ekoran Malcom X ditembak mati ketika berucap di New York.
Malcom X pendakwah Islam terkenal yang ditembak mati oleh tiga lelaki tidak dikenali ketika berucap di sebuah rumah ibadat bukan Islam di Manhattan Audubon Ballroom pada 1965.
Kit Siang yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur turut mempersoalkan sama ada analogi digunakan Ibrahim cuba membawa dorongan bahawa umat Islam perlu bertindak kejam terhadap Teo.
"Rakyat Malaysia yang rasional mesti tersentak dengan bahasa keterlaluan digunapakai oleh Presiden Perkasa. Adakah dia mencadangkan Teo patut dibunuh seperti Malcom X? soalnya.
"Wujud unsur hasutan dan ia perlu dikutuk oleh mana-mana agama kerana ia jelas bertentangan dengan hasrat keharmonian dan keamanan masyarakat di Malaysia dan 1 Malaysia dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang menerima kepelbagaian agama, etnik dan budaya," katanya seperti dilaporkan oleh blog beliau.
Teo pada 22 Ogos lalu selaku wakil rakyat kawasan itu beliau telah mengunjungi surau al-Huda dengan tujuan menghulurkan bantuan kewangan sumbangan kerajaan negeri Selangor bagi memperbaiki pagar surau dan juga sumbangan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.
Tindakan Teo Perkasa sebelum ini dan turut dilaporkan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut
Semalam Presiden Perkasa itu mahu tindakan tegas dikenakan terhadap Teo.
Beliau mahu Mais mendakwa Teo ekoran mencemar Surau Al-Huda, malah kegagalan Mais berbuat demikian katanya tidak menyahut titah Sultan Selangor yang murka.
Bonus Kakitangan Awam Hujung Tahun Dibatal?
Oleh Faizal Ezzany
SHAH ALAM - Pemberian sumbangan khas RM500 kepada kakitangan dan pesara kerajaan sempena perayaan Adilfitri mungkin menyebabkan bonus pada hujung tahun ini terpaksa dibatalkan.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata ada kemungkinan besar bonus kepada kakitangan awam pada hujung tahun akan dibatalkan kerana kerajaan menganggap ia telah diberi awal pada Hari Raya Aidilfitri bulan depan.
"Pemberian bonus bukanlah satu agenda utama Najib, kerajaan hanya akan beri bonus pada hujung tahun sahaja tetapi bagi menutup perasaan malu bila negeri Pakatan Rakyat mampu memberikan bonus kepada kakitangannya beliau juga terpaksa berbuat demikian. Disebabkan perubahan rancangan saya pasti pemberian bonus pada hujung tahun ini akan dibatalkan kerana ia telah diberikan pada musim perayaan kali ini," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata kerajaan Umno-Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat berada dalam keadaan terdesak dan tertekan apabila negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat mengumumkan pemberian bonus Aidilfitri kepada kakitangan awam negeri masing-masing.
Najib terpaksa mengumumkan pemberian khas Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam dan pesara kerajaan untuk menutup malu setelah Pulau Pinang lebih awal berbuat demikian dengan sumbangan khas RM400 kepada kakitangan awam negeri.
Ini pula diikuti oleh Selangor yang mengumumkan sumbangan kepada kakitangan awam begeri sebanyak RM500 dan Kedah yang memperuntukkan RM3 juta untuk tujuan yang sama.
Keputusan Najib membabitkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM934.6 juta kepada 1.24 juta penjawat awam dan 590,000 pesara kerajaan.
Mengulas perkara ini, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata Perdana Menteri merasakan begitu tergugat apabila melihat Pakatan Rakyat kehadapan dalam mengutamakan kebajikan rakyat.
"Najib sebenarnya tergugat apabila melihat Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang mengumumkan pemberian bonus hari raya sehingga beliau terpaksa mengambil tindakan membuat pengumunan yahg sama walaupun berada dalam keadaan tertekan dengan kedudukan kewangan dan ekonomi sekarang.
"Saya tidak menolak pemberian bonus tersebut dan ia adalah satu langkah terbaik untuk kakitangan awam mahupun yang telah berpencen mendapat peruntukkan tambahan bagi menghadapi hari raya nanti. Bagaimanapun apa yang perlu Najib juga lihat adalah nasib pekerja yang bukan kakitangan kerajaan yang tidak mendapat apa-apa bonus hari raya.
"Satu perkara yang kita perlu ingat setiap kali pemberian bonus dilakukan ialah isu kenaikan harga barang keperluan. Apatah lagi bila tibanya hari raya nanti, barangan keperluan perayaan sudah pasti meningkat. Bagi kelompok kakitangan kerajaan yang mendapat bonus sudah pasti tidak menimbulkan beban tetapi bagaimana pula mereka yang bukan kakitangan kerajaan," tegas Azan.
Kata Azan, pekerja sektor swasta yang merupakan golongan majoriti kini terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barangan menjelang musim perayaan tanpa sebarang sokongan kewangan daripada pihak kerajaan.
Pemberian sumbagan khas RM500 juga dilihat sebagai tindakan Najib untuk mengambil hati kakitangan kerajaan yang sudah hilang keyakinan terhadap pentadbirannya yang diselubungi pelbagai masalah dan kepincangan.
"Najib cuba mengambil hati kakitangan awam yang kebanyakannya sudah hilang keyakinan terhadap beliau dari isu kerugian Sime Darby, isu saman terhadap Felda sehingga kepada skandal kapal selam Scorpene. Rakyat tahu kepincangan besar berlaku sejak Najib mengambil alih kuasa dan pemberian bonus ini sebagai umpan beliau untuk menutup mulut rakyat.
"Rakyat berterima kasih dengan pemberian bonus tersebut tetapi nilai RM500 bukanlah satu jumlah yang dapat dibeli oleh Najib bagi mengambil hati rakyat untuk menunjukkan beliau pemimpin yang memahami kehendak rakyat. Jelas rakyat tahu mana yang terbaik untuk mereka membuat pilihan," kata beliau lagi
Gobind Desak Kerajaan Kaji Semula Perjanjian Konsesi Lebuh Raya
SHAH ALAM - Kerajaan Umno-Barisan Nasional didesak supaya segera menyemak semula perjanjian konsesi yang ditandatangani dengan syarikat konsesi lebuh raya yang dilihat mengaut keuntungan secara berlebihan ke atas rakyat walaupun pemilik konsesi sudah lama mendapat kembali modal yang dikeluarkan termasuk keuntungan yang berlipat ganda.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berpendapat kebanyakan perjanjian konsesi lebuh raya yang sudah ditandatangani sekian lama kini dianggap sudah tidak lagi berlaku adil kepada pengguna malah ia menjadi opresif.
"Perjanjian konsesi ini seharusnya disemak semula terutamanya dalam kes di mana sasaran kewangan yang diunjur sudahpun dicapai. Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan syarikat-syarikat ini mengaut keuntungan berkali ganda ke atas rakyat.
"Saya berpandangan kerajaan pusat yang memainkan peranan dalam mendraf perjanjian ini kini mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan mengkaji semula kontrak dan bertindak segera," kata Gobind dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata demikian sebagai ulasan kepada laporan media semalam berhubung kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor yang mengumumkan empat syarikat konsesi lebuh raya negara bersetuju memberi diskaun 20 peratus manakala sebuah lagi syarikat konsesi iaitu Lingkaran Transkota Sdn Bhd (LITRAK), memberi laluan tol percuma kepada pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) sempena ulang tahun ke-53 kemerdekaan negara.
Shaziman Abu Mansor juga berkata tol percuma untuk pengguna LDP akan bermula dari jam 12.01 pagi 31 Ogos sehingga tengah malam hari kemerdekaan.
Gobind berkata pengumuman tersebut mengesahkan kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa pengguna perlu dibebaskan daripada bebanan membayar tol terutamanya di kawasan parlimen beliau di mana bayaran tol yang dikenakan adalah sebanyak RM1.60 untuk satu hala.
Jelas beliau, bagi sebuah keluarga yang mempunyai dua kereta dan terpaksa melalui tol LDP Puchong sebanyak dua kali sehari dua hala, ini bermakna pengguna terpaksa membelanjakan RM12.80 sehari dengan purata RM384 sebulan.
Kebanyakan pengguna terpaksa melalui tol tersebut sekurangnya 10 kali dalam sehari kata Gobind lagi.
Menurut Gobind, laporan media juga menyatakan purata jumlah kenderaan yang melalui tol LDP adalah 450,000. Ini bermakna jumlah pungutan tol adalah RM720,000 sehari, RM22.32 juta sebulan atau RM276.84 juta setahun.
"Jumlah ini hanya anggaran kasar kutipan tol dalam setahun. Jumlah ini akan meningkat secara mendadak dalam tempoh beberapa bulan dan tahun kerana Puchong sedang pesat membangun dan sudah tentunya aliran trafik juga akan meningkat.
"Jumlah ini juga tidak termasuk hakikat bahawa kadar tol akan dinaikkan setiap tahun. Mengikut perjanjian konsesi tol akan dinaikkan daripada RM2.10 kepada RM3.20 dimasa akan datang," jelas Gobind.
Beliau menarik perhatian kepada perjanjian konsesi yang telah didraf bertahun dahulu dan samada perjanjian tersebut merangkumi unjuran peningkatan aliran trafik dan kenaikan kadar tol secara tepat.
"Tidakkah ada tempoh masa dalam perjanjian untuk pengambilan keuntungan dan kemudian konsesi tersebut dikembalikan semula kepada kerajaan dan rakyat?
"Adakah rakyat hilang daya dan tiada tempat mengadu hanya kerana perjanjian tersebut telah ditandatangani dan berkuatkuasa seperti yang selalu dijelaskan oleh kerajaan di Parlimen?
"Kita rakyat, bukan kita yang menandatangani perjanjina ini. Kenapa pula kita perlu tanggung semua implikasinya?" soal Gobind.
Ujar beliau, keadaan lalulintas di lebuh raya LDP Puchong amat sesak terutamanya ketika masa puncak.
Beliau mempertikaikan mengapa perlu pengguna membayar tol bila mana perjalanan mereka terhalang disebabkan kesesakan.
"Tanya sahaja sesiapa di Puchong dan kita akan dapati isu tol dan kesesakan trafik menjadi isu paling utama dalam senarai aduan orang awam. Jadi mengapa kita harus menunggu bertahun-tahun lamanya dan menderita secara senyap bila sejumlah wang yang besar dikutip daripada penduduk Puchong?
"Sebagai Ahli Parlimen Puchong, saya ingin bertanya kepada kerajaan pusat samada keuntungan yang dijangka diraih daripada lebuh raya ini dalam lingkungan RM13.8 bilion antara tahun 2016 hingga 2029. Berapakah jumlah keuntungan yang sudah dikutip setakat ini dan berapakah pula yang akan dikaut dari sekarang hingga tahun 2016 berdasarkan unjuran aliran trafik dan kadar tol?," soal Gobind lagi.
Gobind meminta Shaziman menyatakan pendirian kerajaan samada opsyen untuk membeli semula konsesi lebuh raya adalah lebih wajar dari segi menjimatkan wang rakyat.
"Ada sesuatu yang tidak kena.Peningkatan aliran trafik sepatutnya menyebabkan kadar tol menurun dan seterusnya meringankan beban rakyat, bukan sebaliknya.
"Tidakkah perjanjian tersebut membuat peruntukan sedemikian dan tidakkah ia juga menyebut mengenai mekanisme harga untuk opsyen tersebut?" tanya beliau.
Umno-BN Mangsakan Satu Juta Pemilik Kenderaan, Pakatan Rakyat Janji Hapus Saman Ekor
Oleh Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR - Kerajaan Umno-Barisan Nasional telah mengeluarkan 10 juta saman ekor serta memangsakan lebih satu juta pemilik kenderaan di negara ini daripada memperbaharui cukai jalan.
Sehubungan itu Pakatan Rakyat berjanji akan memansuhkan terus saman ekor, sekiranya diberikan mandat untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata kejayaan Pakatan Rakyat melalui PAS menangguhkan peraturan yang menyenarai hitamkan pemilik kenderaan yang gagal menjelaskan saman ekor hanya bersifat sementara sehingga 28 Februari 2011.
"Kami berpendapat ini adalah usaha yang berterusan, kerana setiap kesalahan (yang dilakukan), mesti diselesaikan mengikut proses mahkamah. Adalah tidak adil untuk menghukum dengan tidak membenarkan kenderaan pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan, kerana mungkin kesalahan tersebut bukan dilakukan oleh pemilik kenderaan.
"Bayangkan kalau satu saman, kompaunnya berjumlah RM300. Kalau sepuluh juta saman, berapa pula?
"Saman juga mesti diserahkan terus dengan notis kepada pemandu kenderaan, bukan kepada pemilik kenderaan. Contohnya pemilik syarikat kenderaan. Ini akan menimbulkan masalah apabila musim perayaan tiba. Mujur penangguhan ini dilaksanakan," jelas Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Beliau berkata demikian semasa mengedarkan risalah kepada pemandu kenderaan selepas melancarkan kempen kesedaran 3M (Memandu Berhemah, Mansuhkan Senarai Hitam dan Mansuhkan Saman Ekor) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa KASE (Kempen Anti Saman Ekor) di Plaza Tol Sungai Besi, petang semalam.
Risalah itu mengandungi maklumat berkenaan saman, saman ekor, hak pengguna jalan raya yang disaman serta petua mengenai keselamatan jalan raya.
Turut hadir pada pelancaran kempen itu termasuk Timbalan Pengerusi KASE, Mohamad Taufek Ghani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi bersama petugas lain.
Sehubungan itu beliau memaklumkan, KASE akan melancarkan laman sosial facebook sempena pelancaraan kempen 3M ini, di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, di Gombak pada sebelah malam.
"Ia bertujuan untuk memberi ruang kepada pengguna jalan raya berkomunikasi dengan KASE dan memberikan maklum balas, tindakan susulan dan pembelaan sewajarnya kepada mangsa saman ekor dan mangsa senarai hitam," jelas Mahfuz lagi.