UMNO ONLINE
KUALA
LUMPUR– Laporan Ketua Audit Negara 2018 (Siri 2) bulan
Disember 2019 menimbulkan tanda tanya dan persoalan di mana terdapat
lebih 100 ribu orang warga asing tiada rekod keluar dari Malaysia dan
masih berada dalam Negara.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berkata persoalan yang
wajib dirungkaikan di manakah mereka tinggal, adakah mereka ini
pendatang haram atau telah pun memilik dokumen pengenalan diri MyKad
yang sah dan adakah penjualan MyKad telah dijalankan oleh sindiket
terancang yang menjadi pengkhianat kepada rakyat dan Negara
Menurut
beliau daripada laporan audit tersebut terdapat seramai 76,258 orang
pelancong China dan 39,806 orang pelancong India tiada rekod keluar dari
Malaysia dan masih berada dalam Negara Malaysia dan angka tersebut yang
amat membimbangkan semua pihak.
“Bilangan itu baru jumlah bilangan yang berdaftar melalui kemasukan
secara sah melalui pintu-pintu masuk utama negara, belum lagi di kira
angka pendatang haram yang memasuki negara dengan menggunakan lorong
tikus dan jalan kemasukan secara haram.
“Dalam aspek ini, dengan kebanjiran warga asing ini tanpa kawalan dan
penjualan dokumen MyKad serta Sijil Kelahiran, membuatkan kita semua
berada dalam dilema dan mimpi yang menakutkan. Mereka yang terlibat
dalam penjualan MyKad dan Sijil Kelahiran tersebut adalah pengkhianat
sebenar yang wajib di beri hukuman berat seperti dilucutkan hak
kerakyatan dan dihukum penjara seumur hidup.
“Pihak Kerajaan perlu bersifat tegas serta tidak akan bertolak-ansur
dengan mana-mana pihak yang terbabit secara langsung atau bersubahat
dalam sindiket terbabit. Pada tahun lepas, kita dikejutkan dengan berita
penangkapan 20 individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara
yang terbabit dalam sindiket penjualan MyKad dan sijil lahir kepada
warga asing adalah pengkhianatan besar kepada negara,” katanya dalam
satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya lagi menjadi Warganegara Negara Malaysia adalah satu bentuk
hak dan keistimewaan yang hanya boleh dianugerahkan melalui kelahiran
atau kepada mereka yang sudah membuktikan bahawa mereka layak setelah
mengikut proses yang sah.
Tegasnya menggugat prosedur ini melalui jalan belakang dengan suapan
wang ringgit adalah tindakan pecah amanah terhadap negara dan rakyat.
“Kita harus sedar, masih terdapat rakyat dalam negara Malaysia yang
masih tidak mempunyai dokumen MyKad dan Sijil Kelahiran yang sah kerana
mereka ini mempunyai masalah untuk mendaftarkan diri disebabkan
kekurangan dokumen sijil pernikahan, dokumen kelahiran hospital, anak
luar nikah dan lain-lain masalah lagi.
“Rakyat seperti golongan ini yang wajar dibantu oleh pihak Kerajaan
untuk memudahkan urusan mereka bagi mendapatkan dokumen MyKad dan Sijil
Kelahiran dengan pengesahan sokongan dari wakil rakyat setempat atau
ketua kampung,” ujarnya.
Ujar beliau lagi isu penjualan MyKad adalah pengkhianat negara kerana
sikap tamak segelintir pihak yang mahu mendapatkan wang lumayan hasil
daripada jualan Mykad kepada warga asing maka, mereka mengambil
kesempatan di atas beberapa situasi dengan menjadikan penjualan Mykad
ini sebagai ‘pendapatan sampingan’ mereka.
Tegasnya isu ini sememangnya cukup membahayakan keselamatan terhadap
negara, apa lagi ia melibatkan pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara
Malaysia.
“Sekiranya isu ini tidak diambil tindakan yang tegas, maka pelbagai
impak dan kesan akan berlaku terhadap Malaysia khususnya pada rakyat
negara ini. Antara impak yang jelas kelihatan adalah kemungkinan
berlakunya siri penggodaman ke atas pengkalan data JPN oleh pihak tidak
bertanggungjawab dan mencuri identiti rakyat Malaysia untuk diberikan
kepada warga asing.
“Selain itu, isu ini juga turut memberi impak ke atas semakan daftar
pengundi buat rakyat Malaysia. Ini kerana telah terjadi beberapa kes
semasa PRU14 di mana beberapa pengundi berdaftar telah kehilangan hak
mengundi apabila nama mereka telah disenaraikan sebagai individu yang
telah melakukan undian awal.
“Ini secara tidak langsung memberikan kesan terhadap keselamatan
rakyat apabila identiti mereka digunakan untuk melakukan jenayah
antarabangsa. Isu ini juga berkait rapat dengan keselamatan di dalam
negara yang mungkin sedang diancam secara sembunyi oleh pihak musuh,”
tambahnya.
Tambah Norshida jadi, langkah yang perlu diambil oleh kerajaan adalah
dengan mengubah atau menyusun semula prosedur operasi standard (SOP) di
JPN dengan melakukan proses ‘pemutihan’ dengan menyaring pengkalan data
di JPN agar ke semua data dapat diselaraskan semula dan kemudian
‘dipaterikan’ dengan identiti pengecaman wajah atau cetakan ibu jari.
Di samping itu, tambah Norshida lagi kerajaan dan JPN juga disarankan
untuk menghentikan sementara pengeluaran Mykad atau Kad Pemastautin
Tetap (MyPR) kepada warga asing buat sementara waktu dan ini bagi
memudahkan jabatan yang terlibat dalam melakukan proses ‘pemutihan’
terhadap pengkalan data rakyat Malaysia.
Dengan cara ini, kata beliau ia lebih memudahkan pihak berkuasa
melakukan pengecaman terhadap warga asing yang menggunakan identiti
rakyat Malaysia sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal
dunia sebagai jalan untuk menjadi warganegara.
“Justeru, semua pihak termasuk pihak berkuasa disarankan agar
memainkan peranan yang tegas dalam hal ini. Jangan hanya disebabkan isu
ini melibatkan individu yang berkepentingan dalam kerajaan, maka ia
hanya dipandang enteng tanpa ada apa-apa tindakan.
“Ingat, kelalaian pihak yang terlibat akan menyebabkan keselamatan
negara terjerumus ke lembah bahaya. Tidak mustahil, ada pihak yang tidak
bertanggungjawab mahu menjadikan negara ini sebagai sarang pengganas
dan juga tempat penyebaran fahaman komunisme secara besar-besaran,”
katanya.
Katanya lagi dalam mengesan hampir lebih 100ribu orang pelancong
China dan Pelancong India, Kerajaan perlu untuk menarik balik
kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada pelancong daripada China untuk
memasuki Malaysia termasuklah Program Pengecualian Visa melalui
kemudahan eNTRI (Electronic Travel Registration and Information),
kemudahan permohonan visa atas talian (eVisa), kemudahan mendapatkan
visa di pintu masuk (Visa On Arrival – VOA) dan Multiple Entry Visa atau
permohonan Visa dengan Kemasukan Berulang Kali.
“Keselamatan negara terancam dengan jenayah-jenayah yang dilakukan
oleh warga asing yang sering kita lihat dalam media massa termasuklah
yang melibatkan sindiket penjualan kad pengenalan, pemerdagangan
manusia, sindiket judi atas talian, sindiket jual emas palsu dalam
talian, penyeludupan dadah sehinggalah kepada sindiket pelacuran di
premis-premis maksiat.
“Keselamatan negara tidak wajar digadaikan demi keuntungan yang
disasarkan daripada kedatangan pelancong asing. Ketatkan proses
kemasukan pelancong-pelancong dari China dan India atau hentikan buat
sementara waktu sehingga kerajaan dapat mencari kembali ke mana perginya
pelancong yang hilang selama ini.
“Strategi untuk mencari pelancong-pelancong dari negara China dan
India yang hilang ini juga perlu diperkemaskan dan perlu dimasukkan
dalam Pelan Holistik Penguatkuasaan agensi kerajaan yang terlibat.
Malaysia sebuah Negara yang berdaulat, rakyat berbilang kaum hidup aman
makmur dalam sebuah keluarga yang sejahtera,” ujarnya.
- UMNO Online