Pemuda PAS Pusat mengecam tindakan kerajaan Sabah menafikan hak ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar memasuki negeri itu, sedangkan pengganas Sulu berjaya menjejak ke Lahad Datu selama beberapa minggu sehingga mengorbankan anggota keselamatan.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor mendakwa insiden terhadap Nurul Izzah itu menunjukkan ada dendam yang tersimpan dalam lubuk hati pemimpin negeri itu sehingga pemimpin Pakatan Rakyat yang disenaraihitamkan tidak dibenarkan datang.

riduan mohd nor"Tatkala pengganas Sulu berjaya menjejak dan mendarat di daerah Lahad Datu, bertapak beberapa minggu sehingga akhirnya mengorbankan beberapa anggota keselamatan negara, Nurul Izzah pula yang baru sahaja dinobatkan sebagai ahli parlimen yang sah dinafikan hak untuk sampai ke Sabah," kata Riduan dalam satu kenyataannya hari ini.

"Nurul Izzah dianggap seperti insan yang paling berdosa dan penjenayah paling kejam bagi rakyat Sabah. Mungkin beliau adalah pengganas Sulu yang paling dikehendaki atau individu yang memiliki senjata api dan boleh membunuh rakyat di sana. Kerana itu beliau diharamkan dari menjejak kaki ke negeri tersebut," kata Riduan lagi.

Beliau mengulas insiden di mana pihak imigresen tidak membenarkan Nurul Izzah yang juga naib presiden PKR memasuki negeri itu dan mengatur penghantaran pulang malam tadi.

Pemimpin PKR itu berkata beliau tidak dibenarkan berjumpa MP Penampang, Darell Leiking yang bertindak sebagai peguamnya.

NONEMengulas lanjut, Riduan berkata sebagai warganegara, rakyat bebas untuk melancong, merantau dan pergi ke mana-mana sahaja negeri di Malaysia dan tidak terbatas pada sesetengah negeri sahaja.

Menurutnya lagi, Sabah bukannya sebuah republik atau negara lain yang boleh menentukan siapa yang boleh atau tidak datang ke negaranya.

"Seorang ahli parlimen yang mempunyai kuasa menentukan arah tuju dan dasar negara serta boleh meminda perlembagaan melalui sidang parlimen tidak dibenarkan masuk ke salah sebuah negeri dalam negara ini!

"Selagi warganegara tersebut memiliki kad pengenalan yang sah, tidak mempunyai rekod jenayah serta tidak mempunyai masalah apa-apa dengan kerajaan Malaysia, apa hak Sabah untuk menghalang seseorang warganya untuk datang ke negeri tersebut?" kata Riduan.

NONESementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendesak Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menerangkan mengapa Nurul Izzah dihalang masuk dan berapa ramai lagi ahli parlimen Pakatan yang disenaraikan berdepan dengan tindakan itu.

"Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak menghormati hak asasi manusia malah menentang prinsip-prinsip asas demokrasi. Lebih teruk lagi, ia menimbulkan persoalan bagaimana seorang warganegara Malaysia boleh dilayan lebih teruk daripada warga asing di dalam negara sendiri," kata Lim dalam satu kenyataan.

Walaupun senarai itu adalah hak prerogatif ketua menteri Sabah, Lim juga berkata DAP ingin mengetahui individu yang dinamakan dalam senarai larangan berkenaan.

"Amat menyedihkan apabila seorang ahli parlimen Malaysia daripada pihak pembangkang, yang dipilih oleh rakyat, yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dihalang daripada masuk ke negara sendiri dan dilayani dengan lebih buruk daripada penjenayah yang pernah disabitkan kesalahan dan pernah dipenjarakan.

bung mokhtar parliament 080708 03"Apalah yang ditakutkan sangat oleh Musa Aman dan BN sehingga ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak dibenarkan masuk ke negeri itu?" soal Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Sementara itu, tindakan terhadap Nurul Izzah turut mengundang reaksi ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dalam tweetnya yang menyifatkan sebagai "satu kesilapan dan malapetaka".

"Saya tidak faham mengapa Nurul (Izzah) tidak dibenarkan memasuki Sabah. Kalau benar, ini satu kesilapan dan malapataka," katanya.