HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Oktober 2008

Razak Baginda bebas, bagaimana keyakinan rakyat pada sistem kehakiman?

SUARA KEADILAN


KUALA LUMPUR - Walaupun Razak Baginda dibebaskan namun kes ini harus dilihat bagaimana penghakiman ini memberi kesan kepada rakyat Malaysia, kata Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Ketika dihubungi Suara Keadilan Online, Yusmadi berkata, terdapat beberapa kecurigaan yang berlaku sepanjang kes ini berlaku yang menjadi persoalan kepada rakyat negara ini.

“SAYA Berpendapat bahawa keputusan tersebut patut dihormati, tapi pada masa yang sama sejauh mana keputusan ini boleh memberi keyakinan rakyat kepada sistem jenayah dan sistem keadilan negara yang setakat ini dikritik hebat,” katanya.

Pagi ini Mahkamah Tinggi Shah Alam, Hakim Mohd Zaki Md Yasin membebaskan tertuduh ketiga kes pembunuhan berprofil tinggi, Abdul Razak Baginda degan alasan pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap penganalisis politik berkenaan.

Mengulas mengenai keputusan bekenaan, bapa kepada mangsa bunuh, Dr Setev Shariibuu berkata beliau amat kecewa dengan keputusan mahkamah berkenaan yang bebaskan Razak.

Tambah Yusmadi yang juga peguam hak asasi, sesuatu penghakiman yang diputusan makamah mesti mempunyai nilai kepentingan awam, yang bermaksud pihak awak mampu melihat satu proses keadilan yang adil kepada kedua-dua pihak samaada tertuduh dan yang mendakwa.

“Saya rasa ini merupakan satu isu yang besar dan perlu dilihat oleh pemerintah dan pihak-pihak berwajib supaya keputusan mahkamah yang diputuskan dinegara tidak dijadikan bahan ketawa apatah lagi tidak dapat pengiktirafan oleh rakyat dan masyarakt global,” katanya lagi.

Selain Razak yang dibebaskan, tertuduh pertama dan kedua, Azilah Hadri dan Sirul Azhar dikehendaki membela diri, hakim mengumumkan 10 November ini sebagai tarikh perbicaraan bela diri bagi mereka.

Mereka bertiga didakwa kerana membunuh seorang warga Mongolia, Altantuya Shariibuu. Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam dan dipercayai diletupkan pada 19 Oktober 2006

Harga petrol, diesel turun 15 sen lagi

MALAYSIA KINI


Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan harga petrol dan diesel sebanyak 15 sen seliter berkuatkuasa esok.

Sehubungan itu, harga runcit petrol dan diesel adalah seperti berikut:

• Petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter;

• Petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter; dan

• Diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, penurunan itu dibuat ekoran harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini.

Katanya, kerajaan juga telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya.

Ini merupakan penurunan harga kali keempat kerajaan mengumumkan bagi minyak petrol dan diesel

Pada 15 Oktober lalu kerajaan menurunkan harga minyak petrol RON97 sebanyak 15 sen kepada RM2.30 sen seliter manakala harga petrol RON92 diturunkan 10 sen kepada RM2.20 seliter. Harga minyak diesel pula diturunkan 20 sen kepada RM2.20.

Pada 4 Jun lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kira-kira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, perubahan harga itu dibuat setiap dua minggu sekali dan semakan semula harga seterusnya ialah pada 15 November.

Ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini, beliau berkata, walaupun harga mentah minyak susut kepada AS$62 setong, tetapi pertimbangan lain harus diambil kira ketika menurunkan harga minyak.

Menurutnya, kerajaan telah membuat simpanan minyak sebulan lalu ketika harga masih tinggi dan oleh itu, penurunan harga mesti berasaskan kepada harga pembeliannya dibuat.

Bapa Altantuya kecewa tapi terima keputusan...

MALAYSIA KINI


Dr Shaariibuu Setev, bapa wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan penganalisis Abdul Razak Abdullah Baginda daripada pertuduhan bersubahat membunuh anaknya.

Bagaimanapun, Shaariibuu berkata beliau dan anggota keluarganya menerima keputusan berkenaan kerana hakim, yang membuat keputusan itu, telah mempertimbangkan semua alasan dan keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah.

Beliau turut bertanya mengapa Abdul Razak, yang mengenali anak perempuannya dibebaskan tetapi dua anggota polis yang tidak dikenali anaknya, diperintah membela diri, demikian menurut laporan Bernama.

Ditanya wartawan sama ada beliau menjangkakan Abdul Razak akan dibebaskan, Shaariibuu berkata beliau sangat kesal dengan nasib yang menimpa anaknya dan menyangka anaknya akan mendapat keadilan di Malaysia.

Mengenai sama ada keputusan Mahkamah Tinggi itu akan memberi kesan kepada sistem kehakiman di Malaysia, beliau berkata dunia mengikuti perkembangan kes anaknya dan beliau percaya keputusan itu, sedikit sebanyak, akan memberi kesan kepada kehakiman Malaysia.

Shaariibuu berkata beliau enggan mengulas banyak mengenai keputusan berkenaan kerana tidak mahu campur tangan dalam kehakiman Malaysia, tetapi akan berunding dengan peguamnya berhubung tindakan selanjutnya.

Beliau bercakap kepada wartawan dalam bahasa Mongolia, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh setiusaha kedua Kedutaan Mongolia di Thailand, Siizkhuu Sainbileg.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin hari ini membebas dan melepaskan Abdul Razak tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia itu.

Tindakan lanjut

Namun dua anggota polis yang menghadapi pertuduhan membunuh Altantuya, diperintah membela diri. Mahkamah menetapkan 10 November ini bagi Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, daripada Unit Tindakan Khas (UTK), untuk membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar menghadapi pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi antara lot 12843 dan lot 16735 di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Abdul Razak, 48, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dalam pembunuhan Altantuya, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 pagi 19 Oktober 2006.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Peguam Karpal Singh, yang menjadi peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya, semasa ditanya mengenai tindakan selanjutnya selepas keputusan pembebasan Abdul Razak, berkata beliau akan menulis surat ke Jabatan Peguam Negara memohon pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Katanya pembebasan Abdul Razak belum muktamad kerana pendakwaan boleh memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang mengetuai barisan pendakwaan, beliau akan berbincang dengan Peguam Negara sama ada mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak.

Tun Abdul Majid berkata pendakwaan akan mempertimbangkan untuk memfailkan rayuan selepas meneliti penghakiman.

"Kami mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan tetapi kami perlu menunggu arahan Peguam Negara," katanya, sambil menambah kata bahawa pihak pendakwaan telah melaksanakan tugas secara teliti bagi membuktikan kes.

Unit pemusnah bom periksa perkarangan PWTC

Muda Mohd Noor


Kehadiran unit pemusnah bom berada di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), difaham untuk memeriksa sebuah bungkusan berhampiran kawasan letak kereta di luar bangunan tersebut.

Kira-kira 10 anggota polis kelihatan mengawal kawasan berkenaan dan mengarahkan orang ramai beredar dari situ.

Para wartawan juga dilarang menghampiri kawasan tersebut.

Sehingga jam 5.16 petang ini, robot dari unit tersebut masih menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut.

Para wartawan berkenaan berada di situ untuk membuat liputan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang sedang berlangsung di tingkat 38 ibupejabat Umno itu.

Bagaimanapun, para pekerja tidak diarahkan supaya mengosongkan bangunan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangsa, ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, tidak ada apa yang berlaku.

Unit pengesan bom, katanya, tidak menemui sebarang bentuk bahan letupan.
Beliau berkata, polis dihantar ke situ selepas menerima panggilan telefon yang mendakwa wujudnya ancaman terhadap keselamatan.

Eurocopter: Anwar mahu Suruhanjaya Diraja ditubuh

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu satu Suruhanjaya Diraja bebas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan berhubung isu pembelian 12 Eurocopter EC-725 walaupun Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memulakan siasatannya.

"Saya harap PAC akan buat siasatan dengan berjaya tapi bagi saya cara yang terbaik untuk menangani isu ini ialah melalui Suruhanjaya Diraja yang bebas.

"Tapi kami akan sokong wakil Pakatan Rakyat yang berada dalam PAC untuk pastikan semua prosedur yang diambil telus dan betul," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh mengemukakan usul supaya menubuhkan suruhanjaya tersebut bagi menyiasat keraguan yang timbul dalam urusan pembelian helikopter tersebut.

Anwar juga mempersoalkan perolehan Eurocopter yang dibuat tanpa melalui proses penilaiaan dan pemeriksaan.

"Penjelasan Timbalan Menteri Pertahanan (Datuk Wira Abu Seman Yusop) tadi (dalam sesi perbahasan), perolehan Eurocopter yang menjamin kepentingan keselamatan negara dan keselamatan juruterbang kita dibuat tanpa pasukan penilaian.

"Maknanya beli berdasarkan dokumen. Lihat dokumen canggih, lengkap serta semua perkara teknikal dipenuhi...beli dengan RM1.6 bilion," kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Menurut beliau, berdasarkan pengalamannya semasa dalam kerajaan, semua proses pembelian perlu melalui ujian dan pemeriksaan lengkap dan jelas situasi yang berlaku sekarang ini tidak mengikut prosedur yang betul.

"Saya nak beritahu berdasarkan pengalaman saya, ini tidak pernah berlaku dan tidak mungkin berlaku.

"Ia ada pasukan penilaian, lepas lulus kita buat pemeriksaan, kemudian kalau kita nak letakkan kelengkapan tambahan seperti radar...semua itu akan diteliti oleh pasukan ini tatkala ia dipersiapkan," katanya.

Anwar juga mendakwa wujud penyelewengan yang besar dalam proses pembelian Eurocopter tersebut serta mempersoalkan jawapan terhadap isu ini tidak dijawab oleh Menteri Pertahanan yang terlibat dalam proses pembelian tersebut.

"Sepatutnya menteri yang berdiri menjawab, malangnya timbalan menteri yang tidak terlibat dalam proses ini dipaksa menjawab...saya bersimpati dengan beliau," katanya.

Anwar juga mempersoalkan mengenai percanggahan harga pembelian Eurocopter itu.

"Ada percanggahan harga, yang diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Datuk Abu Bakar Abdullah) RM1.1 bilion tapi yang diumumkan secara rasmi termasuk di Parlimen tadi ialah RM1.6 bilion," katanya.

Tambah beliau lagi, percanggahan harga itu tidak sepatutnya berlaku dan ia amat tidak munasabah kerana Kementerian Kewangan atau kerajaan perlu mengumumkan hanya satu harga yang lengkap.

PM minta maaf, akui kesilapan kos belian Eurocopter

Oeh ARIFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi mengakui berlaku sedikit kesilapan semasa beliau menyatakan mengenai harga pembelian Eurocopter EC-725 semasa mengumumkan keputusan penangguhan pembeliannya Selasa lalu.

"Mengenai harga, semasa saya keluarkan kenyataan iaitu RM1.7 bilion, itu berlaku sedikit kesilapan... saya minta maaf pada kesilapan itu.

Beliau berkata, angka "dibundarkan" sebanyak RM1.7 bilion yang diberikan sebelum ini adalah silap.

"Semasa saya membuat kenyataan yang ia sebanyak RM1.7 bilion, itu silap... saya minta maaf bagi kesilapan itu, pegawai letakkan RM1.607 bilion, jadi saya kata kita boleh bundarkan angka itu kepada RM1.7 bilion.

"Pagi ini semasa saya di Kementerian Pertahanan, saya dimaklumkan yang angka itu salah, sebenarnya harganya RM1.607 bilion. Tetapi ini adalah akademik sebenarnya, apabila kami memutuskan kemudiannya untuk merundingkan pembelian helikopter dan pada ketika itu kami berpendapat tiba masanya untuk kami berbuat demikian, kami lihat apakah harganya yang sebenar," katanya.

Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Daya Saing Industri Sawit di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata, pertikaian mengenai harga dalam urusan pembelian Eurocopter pada peringkat ini akan menjadi akademik dan teknikal khususnya apabila kerajaan memutuskan menangguhkan pembelian pesawat itu.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas isu yang dibangkitkan pembangkang di Dewan Rakyat hari ini mengenai perbezaan harga pembelian helikopter terbabit.

Semalam, anggota Dewan Rakyat dari DAP, Lim Kit Siang meminta Perdana Menteri supaya menjelaskan perbezaan dalam jumlah kos yang diperuntukkan untuk membeli 12 helikopter berkenaan.

Menurut Lim, pengumuman Abdullah menunjukkan kerajaan akan memperuntukkan RM1.67 bilion iaitu berbeza berbanding dengan nilai RM1.1 bilion yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah pada Sabtu lalu.

"Bagaimana tender RM1.1 bilion boleh berkembang menjadi RM1.7 bilion sebelum surat tawaran dikeluarkan," kata Lim.

Beberapa ahli Parlimen juga membangkitkan hari ini.

Pada Selasa, Abdullah mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725, yang keseluruhannya bernilai RM1.679 bilion, pada masa ini sehingga keadaan krisis ekonomi dunia kembali stabil.

Abdullah, yang juga Menteri Pertahanan, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan beliau pada 13 Oktober lepas.

Abdullah berkata kerajaan akan membeli helikopter itu lebih awal jika keadaan ekonomi kembali pulih.

Beliau berkata proses pembelian pesawat itu memgambil masa selama tiga tahun.

Abdullah turut menjelaskan bahawa peruntukan pembelian Eurocopter itu adalah sebanyak RM1.679 bilion dan bukannya RM2.3 bilion seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata prestasi helikopter itu telah terbukti kerana beberapa negara termasuk Perancis, telah menggunakannya sebagai pesawat sokongan tempur di Afghanistan.

"Juruterbang kami juga telah menggunakan dan mencuba helikopter itu di pameran LIMA, jadi mereka tahu akan prestasinya.

"Sebelum kami mengesahkan pembelian itu, biasanya kami akan pergi melakukan pemeriksaan penghantaran, ketika itulah helikopter itu diperiksa secara terperinci, jadi tiada apa yang luarbiasa mengenai apa yang kami lakukan itu.

"Ia bukan satu eksperimen, ia telah diuji malahan dalam situasi tempur," katanya.

Najib berkata, pembangkang sebenarnya suka memperbesarbesarkan isu urusan pembelian hekikopter itu.

Norman, Memey ditangkap khalwat

Oleh WAHIDA ASRANI


PETALING JAYA: Belum pun lagi reda isu tentang pergolakan rumah tangga yang dibina lebih enam tahun lalu bersama aktres dan bekas penyanyi, Abby Abadi, Norman Hakim (gambar) berhadapan dengan kontroversi baru - kali ini dia ditangkap berkhalwat bersama pelakon baru, Memey Suhaiza awal pagi tadi.

Mereka ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat Norman di Ukay Perdana, Ampang dekat ini, sekitar pukul 3 pagi.

Pasangan itu dijangka dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Januari depan.

Ketua Penguat Kuasa JAIS Daerah Gombak, Khairul Hazri Sulaiman berkata, pihaknya menjalankan operasi sebaik menerima maklumat kira-kira pukul 2.30 pagi.

Mereka dibebaskan selepas siasatan selesai kira-kira pukul 4 pagi.

Kata beliau, pihaknya mengetuk pintu kira-kira setengah jam tetapi apabila tiada respons, mereka bercadang untuk masuk dengan memecahkan pintu.

"Belum sempat memecahkan pintu, abang Norman tiba (di kawasan pejabat Norman)," kata beliau.

mStar Online difahamkan kedua-dua mereka berpakaian lengkap ketika serbuan dilakukan dan telah dibawa ke Balai Polis Melawati untuk disoal siasat.

NORMAN TIDAK NAFI

Dalam pada itu, Norman, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Gerak Khas ketika dihubungi mStar Online, tidak menafikan kejadian tersebut.

Namun, secara tegas dia berkata: "Cuma di sini saya ingin perjelaskan hal yang sebenarnya. Sekitar pukul 10 malam, saya dan empat lagi pekerja saya mengadakan mesyuarat di pejabat saya."

"Memey juga adalah salah seorang yang sertai mesyuarat ini kerana sejak Ogos lalu, dia banyak membantu dari segi pengurusan setelah pekerja am saya berhenti," katanya lagi.

Kemudian sekitar pukul 12 tengah malam, jelas Norman, dia keluar meneruskan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya dan pulang semula ke pejabat sekitar 1 pagi.

"Saya terus ke tingkat dua pejabat saya manakala Memey pula berada di tingkat 1 dan saya dapati, salah seorang staf pengurusan, Natalie juga sudah pulang dan hanya tinggal Memey di situ," katanya.

Kata Norman, tidak lama kemudian dia terdengar bunyi bising di tingkat bawah.

"Hanya selepas seketika baru saya turun dan dapati JAIS memang sudah berada di situ.

"Malah, abang saya juga tiba di pejabat setelah dia menerima panggilan daripada Memey yang menghubunginya kerana terdengar bunyi bising di luar pejabat," katanya.

Oleh itu, katanya, dia tidak tahu bagaimana perkara tersebut boleh berlaku kerana memang tidak menyangka sama sekali.

"JAIS kata mereka menerima aduan yang kami berada dalam keadaan mencurigakan sedangkan saya dan Memey berada di tingkat pejabat yang berbeza.

NORMAN DAKWA DISABOTAJ

"Saya tidak tahu siapa yang membuat aduan seperti itu kepada JAIS... mungkin juga ada orang nak sabotaj, entahlah kerana saya sendiri masih bingung.

"Apa yang pasti, saya tetap berikan kerjasama dengan pihak JAIS dan pihak polis Melawati selepas itu. Memang saya pertikaikan juga tindakan mereka itu pada awalnya, tetapi tidak guna bergaduh kerana walau apapun, saya kena ikut prosedur yang mereka tetapkan," kata Norman.

Menurut bapa kepada tiga orang anak itu, dia sudah menjelaskan hal yang sebenar kepada isterinya, Abby.

Sebagai suami, kata Norman, dia akui perkara itu pastinya sukar diterima oleh isterinya.

Tetapi, tegas Norman, seboleh mungkin, dia tidak mahu kejadian itu menjejaskan lagi rumah tangga mereka memandangkan masalah keluarganya sudah heboh diperkatakan baru-baru ini.

MASALAH RUMAH TANGGA

Awal minggu ini, Abby pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia seolah-olah tidak dipedulikan oleh Norman lagi, yang lama tidak pulang ke rumah sejak Ramadan lalu.

Namun, aktor berusia 32 tahun itu menafikan hal tersebut ketika hadir pada majlis cukur jambul anak bongsunya minggu lalu dan menegaskan bahawa dia tidak pulang ke rumah kerana sibuk di lokasi penggambaran, tetapi masih pulang beraya bersama keluarga pada Hari Raya pertama sebelum balik semula ke lokasi pada hari raya kedua.

Norman juga ketika itu turut menafikan khabar angin bahawa dirinya sudah pun bernikah lagi secara rahsia di sempadan Malaysia-Thailand tidak lama dulu dan wanita itu dikatakan adalah Memey yang popular dengan drama bersiri Mahsuri.

Pasangan ini juga sebelum ini pernah bercerai sekitar Mei 2006 tetapi merujuk semula seminggu kemudian.

REAKSI ISTERI NORMAN

Mengulas lanjut tentang hubungannya dengan Abby ekoran insiden ditangkap khalwat, kata Norman, dia lebih senang perkara itu diselesaikan antara mereka sahaja.

"Saya tidak sempat menghubunginya pada masa kejadian, tetapi pagi tadi saya sudah berjumpa dengannya dan jelaskan sendiri perkara sebenar. Ya, memang ada sedikit ketegangan, tetapi perkara itu boleh diselesaikan. Saya perlu lebih masa untuk meyakinkannya," kata Norman.

Berbeza dengan kenyataan Norman yang sedang berusaha untuk memperbaiki hubungan mereka, Abby yang dihubungi kemudiannya memberikan reaksi berbeza apabila diminta komennya tentang kejadian yang berlaku.

"Umum sedia maklum bahawa hubungan kami sememangnya sedang dilanda krisis... malah sebelum kejadian ini berlaku pun. Saya tidak tahu bagaimana untuk respons kepada pertanyaan seperti ini. Saya anggap kes ini adalah jawapan kepada masalah pergolakan rumah tangga kami selama ini.

"Apa yang boleh saya katakan, saya tergamam bila mendapat tahu tentang kes ini. Tetapi saya tidak menangis. Dia ada datang berjumpa dengan saya tadi, tetapi apa saja alasan dia, orang tetap akan nampak dia yang bersalah," kata Abby dalam nada sugul.

Ditanya sama ada insiden ini akan menjejaskan lagi hubungan mereka suami isteri itu, Abby menjawab:

"Ya, ia akan bertambah teruk. Saya sebenarnya sudah putus asa. Sudah lama saya rasa hati dan perasaan saya tidak dijaga.

"Apa yang saya tanggung selama ini, sudah tidak mampu diluahkan lagi. Biarlah apa saja kenyataan yang dikeluarkannya, saya mempunyai kenyataan saya sendiri.

"Apa yang saya harap, saya cuma berdoa agar Allah lembutkan hati saya agar memaafkannya. Itu saja," kata Abby.

MEMEY ENGGAN ULAS LANJUT

Sementara itu, Memey yang dihubungi enggan mengulas lanjut tentang kejadian tersebut.

Menerusi SMS, pelakon muda itu berkata: "Saya minta maaf, saya hanya perlukan ruang buat masa ini untuk menenangkan fikiran saya.

"Insya-Allah, jika saya sudah bersedia nanti, saya akan jelaskan semuanya."

'Sindiket tabur paku' atas Jambatan P.Pinang

Mohd Sabri Said


PULAU PINANG- Pengguan Jambatan Pulau Pinang terutamanya penunggang motosikal semakin resah berikutan keengganan pihak pengurusan Jambatan Pulau Pinang untuk memastikan tiadanya 'sindiket menabur paku' terus berulang.

Ramai yang kecewa terhadap pengurusan Jambatan Pulau Pinang kerana tidak bertindak segera walaupun aduan telah diberikan termasuk kepada polis.

Harakahdaily mendapat maklumat sindiket itu manabur paku pada awal pagi dengan menaiki motosikal, diikuti oleh pembantu mereka dua kilometer dari belakang di samping memerhati jika ada mangsa termasuk jerat.

Lazimnya bayaran dikenakan terlalu tinggi dari RM20.00 ke RM40.00 sebelah tayar berbanding hanya RM10.00 di kedai biasa.

Bayaran boleh meningkat dua kali ganda jika peristiwa itu berlaku pada sebelah malam atau awal pagi.

Jesteru, ramai pengguna Jambatan Pulau Pinang berharap ia diatasi segera atau jika terdapat tayar pecah di tengah jambatan pihak pengurusan jambatan menyediakan petugas dengan bayaran sama seperti di kedai bukan meletakkan harga yang tinggi sebagai upah. - mns_

Pusat pemulihan dadah, hanya 30 peratus berteraskan Islam

Anis Nazri


Parlimen KUALA LUMPUR - Hanya 30 peratus pusat pemulihan dadah berteraskan agama Islam, manakala 70 peratus lagi berteraskan agama lain daripada 54 buah pusat pemulihan yang wujud di seluruh negara ketika ini.

umlah tersebut meliputi Pusat Pemulihan Dadah Persendirian yang telah dikenalpasti menerima bantuan kewangan bagi melaksanakan program pemulihan bagi tahun 2008.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini memberitahu Dewan Rakyat ketika soalan tambahan diajukan Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) dalam sesi soaljawab, hari ini.

Dalam pada itu, Zailah turut meminta kerajaan menyatakan keberkesanan pendekatan Islam dalam usaha memastikan penagih dadah dapat dipulihkan dan tidak kembali ke kancah tersebut.

Dalam soalan asal, kementerian terbabit diminta menyatakan nama badan-badan bukan kerajaan dan pusat pemulihan dadah persendirian yang menerima peruntukan sebanyak RM 700,000.00 yang diperuntukkan pada tahun 2008. - mks._

Khamis, 30 Oktober 2008

Altantuya: Menanti Jumaat penuh tanda-tanya

BERNAMA


MAHKAMAH Tinggi Shah Alam akan menjadi perhatian orang ramai dan media pada Jumaat ini apabila Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin menyampaikan keputusannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Keputusan Mohd Zaki bukan sahaja menjadi debaran kepada tiga tertuduh, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar (kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas, UTK) dan penganalisis politik tanah air Abdul Razak Abdullah Baginda malahan kepada para pemerhati politik dan orang ramai.

Kes berprofil tinggi ini mencetuskan pelbagai spekulasi sehinggakan nama seorang pemimpin negara pernah dikaitkan dan menyaksikan babak-babak yang mengejutkan pada sepanjang prosiding.

Kes pembunuhan Altantuya di mana mayatnya dilupus menggunakan bahan letupan di Puncak Alam berlarutan hampir dua tahun dan pihak pendakwaan akhirnya menutup kes pada 23 Jun lepas.

Sekiranya keputusan hakim memihak kepada pendakwaan yang berpendapat wujud prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh, mereka akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya kesemua mereka akan dilepas dan dibebaskan.

SIKAP BERDIAM DIRI

Ketika ditanya Bernama semasa perbicaraan apakah yang akan dilakukan sekiranya dibebaskan, Azilah, 32, yang mempunyai seorang anak angkat walaupun belum berkahwin berkata "terlalu banyak hendak dibuat, tetapi saya nak lepaskan rindu pada anak dahulu dengan memeluknya dan buat kenduri kesyukuran".

Sirul Azhar, 36, pula hanya tersenyum dan sememangnya anggota UTK yang berkhidmat sebagai pengiring orang kenamaan ini amat sukar meluahkan perasaan. Beliau lebih banyak berdiam diri ketika di kandang tertuduh tetapi gemar meminta asam dan gula-gula daripda wartawan yang berada di belakangnya bagi menghilangkan rasa mengantuk.

Abdul Razak, 48, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia pula menyatakan beliau berhasrat untuk bersama anak perempuan tunggalnya Rowena ke luar negara setelah semuanya selesai nanti.

Beliau sentiasa ditemani isteri, Mazlinda Makhzan, kedua ibu bapa dan ahli keluarga terdekat sepanjang perbicaraan tetapi pada peringkat awal, kehadiran Mazlinda tidak disenangi bapa Altantuya, Shaariibuu Setev yang menyatakan wanita itu telah mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya hingga memaksa anggota keselamatan memastikan kedua-dua mereka tidak bertembung.

Sepanjang perbicaraan kes ini pelbagai peristiwa telah berlaku yang bukan sahaja melibatkan pertukaran hakim dan pendakwaan malah timbul juga perebutan antara dua peguam untuk mewakili tertuduh.

GANGGUAN SEMASA PROSIDING

Selain itu, gelagat Abdul Razak juga kadang-kala mengejutkan dengan beliau beberapa kali mengamuk dengan menendang pagar kandang tertuduh dan menyumpah orang tertentu. Dia adalah tertuduh yang paling kerap meminta peguamnya Wong Kian Kheong memohon perbicaraan dipercepatkan tanpa sebarang penangguhan hingga memaksa Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah menempelak Wong dengan berkata bukan Abdul Razak seorang sahaja yang berada dalam penjara.

Kehadiran bilangan besar orang awam yang ada di antaranya berperangai 'pelik' ketika perbicaraan juga menunjukkan ada yang mahu mengambil kesempatan daripada publisiti meluas akan kes pembunuhan ini.

Mungkin pembaca tidak lupa kehadiran seorang wanita yang berpakaian seperti peguam yang mendakwa dirinya mewakili satu badan keamanan serta diberi kuasa oleh pegawai tertinggi polis dan Jabatan Peguam Negara.

Beliau tidak mahu duduk di kerusi bahagian belakang setiap kali hadir dan pernah memaksa polis mahkamah meletakkan kerusi khas untuknya. Beliau bukan sahaja sering menunjukkan aksi kurang senang dengan barisan pendakwa raya dan peguam malah ketika hakim bercakap dia akan menyampuk.

Akhirnya satu laporan polis dibuat terhadapnya bagi mengelak prosiding terus terganggu yang bukan sahaja melibatkan suara rungutannya tetapi juga bunyi dua telefon bimbitnya.

Pernah juga di awal perbicaraan muncul seorang wanita (wanita lain dari tadi) mendakwa dirinya mewakili satu organisasi hak wanita dengan membawa poster mengutuk Abdul Razak kerana menurutnya telah membunuh wanita dengan kejam.

Demonstrasi yang dilakukan seorang diri itu mencetuskan kemarahan polis kerana menganggu orang ramai serta perbicaraan yang sedang berlangsung hingga memaksa polis mengeluarkan amaran untuk membawanya keluar daripada perkarangan mahkamah.

Bagaimanapun, wanita lewat 40-an itu tanpa rasa takut berteriak dengan berkata, "Saya ada hak, polis cubalah halang saya dengan guna senjata api, biar orang awam jadi saksi", sedangkan ramai yang menyaksikan peristiwa itu sedar bahawa polis tidak membawa sebarang senjata pun.

Ketika ditanya pemberita apakah perasaan Mazlinda melihatkan emosi orang ramai terhadap suaminya, beliau berkata, "Saya menyerahkannya kepada Allah. Razak tidak bersalah."

PERBICARAAN SELAMA 151 HARI

Perwatakan Azilah dan Sirul Azhar yang menutup muka mereka ala ninja menjadi ikutan tertuduh kes-kes lain dan ketika ditanya Bernama mengapa mereka berbuat begitu Azilah berkata "Hidup ini masih panjang, ada yang perlu disembunyikan."

Sepanjang perbicaraan selama 151 hari ini juga berlaku peristiwa mengejutkan apabila seorang anggota polis mahkamah Lans Koperal Othman Abdul Rahman, 47, rebah semasa membawa masuk ketiga-tiga tertuduh ke bilik perbicaraan dan disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.

Mengimbas kembali isu yang dihujahkan sepanjang perbicaraan lepas, Azilah dan Sirul Azhar yang dituduh membunuh Altantuya antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja, Shah Alam, antara pukul 10 malam 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt 2006 dikatakan mengambil bahan letupan jenis PE (Plastic Explosive), detonator cord dan CLC (cutting liner charge) dari stor UTK dan mereka sememangnya mempunyai kepakaran mengendalikan bahan letupan.

Abdul Razak, yang didakwa bersubahat dengan dua anggota UTK itu pula didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Okt 2006 di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Lembaga Getah Asli Malaysia (LGAM), Jalan Ampang di Kuala Lumpur dan dia didakwa mempunyai motif dalam pembunuhan itu berikutan tekanan dan ugutan daripada Altantuya.

Berdasarkan kepada keterangan saksi pendakwaan Deputi Supritendan Muhammad Koey Abdullah, bahan letupan itu berkemungkinan diletakkan dalam mulut dan bahagian atas badan Altantuya menyebabkan tulangnya berkecai manakala Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohd Shah Mahmood pula berpendapat ketika itu Altantuya telahpun dibogelkan kerana tiada sebarang cebisan kain dijumpai di tempat kejadian.

TELITI 6,000 MUKA SURAT NOTA PROSIDING, HUJAH DAN NAS

Bagaimanapun peguam J. Kuldeep Kumar dan Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Azilah tetap menegaskan bahawa anak guamnya tidak terlibat dalam pembunuhan itu malah penemuan tempat kejadian di atas bukit itu juga bukanlah kerana ditunjukkan oleh Azilah kerana polis seolah-olah telahpun mengetahuinya terlebih dahulu.

Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Marican dan Ahmad Zaidi Zainal juga meletakkan anak guam mereka sebagai orang yang tidak bersalah dan teraniaya kerana kehadiran barang kemas Altantuya di rumah Sirul Azhar dan darah Altantuya pada selipar yang dijumpai dalam jeep Sirul Azhar dikatakan amat meragukan kerana sepanjang perbicaraan timbul percanggahan keterangan daripada beberapa penyiasat dan kenderaannya ketika itu boleh diakses oleh orang lain.

Wong yang mewakili Abdul Razak pula menyatakan pembunuhan Altantuya tiada sebarang kaitan dengan anak guamnya dan tiada sebarang bentuk arahan pembunuhan dibuktikan sepanjang perbicaraan. Beliau juga menimbulkan keraguan mengapa pihak pendakwaan tidak memanggil beberapa pegawai kanan polis untuk memberi keterangan.

Apa pun, segala hujahan dan keterangan dari 84 saksi akan dirangkumkan oleh hakim Mohd Zaki untuk membuat keputusan pada Jumaat ini yang akan meneliti 6,000 muka surat nota prosiding perbicaraan, hujah-hujah dan nas undang-undang yang telah dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak.

Sebelum keputusan pertuduhan utama dibacakan, Mohd Zaki dijangka terlebih dahulu membuat keputusan terhadap permohonan pendakwaan untuk mencabar kredibiliti Lans Koperal Rohaniza Roslan (teman wanita Azilah) ketika memberi keterangan di mahkamah, keputusan bicara dalam perbicaraan tentang penemuan barang kemas Altantuya di rumah Sirul Azhar dan keputusan bicara dalam perbicaraan berhubung kenyataan polis bahawa Azilah yang menunjukkan tempat Altantuya dibunuh dan diletupkan.

Walau apapun, semua pertuduhan dan spekulasi akan terjawab pada Jumaat ini apabila Mohd Zaki menyampaikan keputusan yang ditunggu-tunggukan ini.

Pertandingan dalam UMNO tidak adil- Shahidan

KL POS


Pertandingan merebut jawatan peringkat Majlis Tertinggi UMNO pada masa ini tidak berapa adil, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim, semalam.

Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis berkata, calon-calon dari negeri yang kecil seperti Perlis mempunyai perwakilan yang tidak ramai berbanding negeri besar yang lain seperti Pahang, Sabah, Perak dan Johor.

“Mereka dari negeri kecil payah sebab perwakilan kecil. Tetapi dalam persatuan dan persatuan sukan boleh sebab mereka hantar jumlah perwakilan sama. Kalau duduk di Perlis payah sikit,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini.

Namun katanya, beliau tidak kisah dengan perkara itu dan percaya akan mendapat pencalonan bagi kerusi Majlis Tertinggi UMNO pada pemilihan akan datang.

Shahidan yang juga Naib Yang Dipertua Perkim berkata, satu lagi perkara yang ingin dimaklumkannya ialah mengenai pandangan umum bahawa pemimpin negara hanya datang dari tiga negeri sahaja iaitu Pahang, Kedah dan Johor.

“Kalau ada dari Pulau Pinang misalnya Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) nak tumpang sekejap sahaja, dijatuhkan. Ini pandangan tak betul. Kita mesti percaya kepada qada’ dan qadar.

“Apa yang berlaku sekarang memang begitu iaitu kepimpinan Malaysia datang dari Kedah, Pahang dan Johor dan begitu juga bakal kepimpinan kelak. Orang lain nak tumpang sekaki seperti dinafikan hak mereka,” katanya.

Shahidan berkata, kepimpinan Malaysia hendaklah orang yang layak dan mampu memimpin negara ke arah yang baik.

Mengenai debat antara calon yang bertanding pada pemilihan UMNO kelak, beliau mencadangkan diadakan debat secara tertutup yang hanya disaksikan ahli pergerakan yang terbabit untuk semua calon peringkat tertinggi parti yang mahu bertanding.

“Kenapa mesti debat Pemuda sahaja. Wanita, Puteri, Naib Presiden, Timbalan Presiden pun perlu buat debat.

“Kalau cadang antara Khairy (Jamaluddin) dan (Datuk) Mukhriz (Tun Dr Mahathir) sahaja ia seperti nak memperlagakan antara mereka. Jangan tumpu Mukhriz dan Khairy semata-mata,” katanya./SINAR

Pelakon Gerak Khas ditangkap khalwat

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Seorang pelakon lelaki dalam drama bersiri Gerak Khas yang baru sahaja mendapat cahaya mata ditangkap khalwat di sebuah premis perniagaan Jalan UP 1/2, Ukay Perdana, di sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang,Supritendan Amiruddin Jamaluddin berkata, pelakon itu bersama pasangannya seorang pelakon baru wanita ditahan pada pukul 3 pagi oleh Pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Menurutnya, serbuan tersebut dilakukan setelah JAIS mendapat maklumat bahawa kedua mereka berada dalam keadaan meragukan dalam premis tersebut.

“Ketika diperiksa didapati kedua-duanya yang berpakaian lengkap berada dalam premis itu

“Mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Melawati untuk siasatan lanjut, ” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Ingatan kepada hakim

Oleh NORLIZAH ABAS


PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara yang baru, Tan Sri Zaki Tun Azmi mengingatkan para hakim bahawa mereka tidak layak menerima gaji daripada wang rakyat jika gagal melaksanakan tugas dengan baik termasuk mengamalkan rasuah dan ampu-mengampu.

Beliau menegaskan, tindakan drastik termasuk disingkirkan daripada badan kehakiman boleh dikenakan kepada mereka serta pegawai kehakiman yang gagal menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan bersungguh-sungguh.

‘‘Kita harus ingat gaji kita dibayar daripada kocek rakyat. Jika merasakan tidak mampu memberi khidmat terbaik (mungkin kerana beban kerja terlalu berat atau gaji tidak memadai), kita ada pilihan.

“Pilihannya sama ada terus memikul beban demi kepentingan awam atau meninggalkan jawatan masing-masing atas kepentingan peribadi,” katanya.

Ketua Hakim Negara ke-12 itu berkata demikian ketika berucap pada majlis pelantikan ke jawatan itu di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersara wajib pada 17 Oktober lalu.

Pada majlis itu, Zaki turut menyaksikan majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta sumpah setia Presiden Mahkamah Rayuan yang baru, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff, 62, dan Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, 58.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Kanan Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram, hakim-hakim dan bekas-bekas hakim.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Zaki turut memetik kata-kata Hakim Sir Robert Peel dalam kes Barrington pada 1830.

“Hakim Peel bertanyakan adakah layak seorang hakim yang gagal melaksanakan tanggungjawab diberi gaji daripada dana rakyat,” katanya.

Beliau juga memetik ungkapan serupa hakim berkenaan dalam kes Baron Smith yang menyebut bahawa kecuaian menjalankan tugas secara melampau boleh menyebabkan para hakim disingkirkan.

Zaki turut merakam penghargaan kepada Abdul Hamid kerana merintis jalan membolehkan beliau mencapai tahap tertinggi dan meninggalkan tanda aras yang cemerlang untuk dicontohi.

Zaki menjelaskan, sokongan padu semua pihak membuahkan hasil yang membanggakan apabila kes-kes tertunggak berjaya dikurangkan, kaedah pendaftaran dipermudahkan manakala kerenah birokrasi berada di tahap minimum.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan pegawai mahkamah yang bekerja keras tidak akan disia-siakan dan beliau sendiri akan memastikan mereka yang layak diberi ganjaran sewajarnya.

Zaki yang ditemui pemberita kemudiannya bagi mendapat ulasan sulungnya berhubung pelantikan itu menyatakan: ‘‘Saya bukan ahli politik.”

Beliau turut memberi ulasan serupa ketika ditanya mengenai penangguhan prosiding habeas corpus lima pemimpin pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf) di Mahkamah Persekutuan semalam ekoran panel terdahulu tidak menyediakan penghakiman bertulis.

Zaki dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Oktober lalu. Beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 5 Disember 2007 iaitu dua bulan selepas menjawat jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Anak kepada Ketua Hakim Negara kedua, Allahyarham Tun Mohamed Azmi Mohamed itu memperoleh ijazah undang- undang dari Lincoln‘s Inn, London pada 1969 dan pernah berkhidmat sebagai Majistret dan Presiden Mahkamah Sesyen, Ipoh.

Setelah meletakkan jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada 1984 dengan jawatan terakhir sebagai Peguam Kanan Persekutuan, beliau menyertai Tetuan Shahrizat Rashid & Lee sebagai peguam bela.

Zaki dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada 4 Februari 2004 serta Pengerusi Jawatankuasa Teknikal bagi membantu Jawatankuasa Disiplin UMNO menyiasat kes-kes politik wang pada 1995.

Pada 7 Februari 2005, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO.

Alauddin pula mendapat pendidikan undang-undang di Inner Temple London pada 1970 dan pernah menjadi peguam di United Kingdom sebelum berkhidmat sebagai Majistret di Bukit Mertajam Pulau Pinang pada 1 Februari 1971.

Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Presiden Mahkamah Sesyen Seremban, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Ogos 1992.

Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 April 2001 diikuti Hakim Mahkamah Persekutuan pada 17 Julai 2004 sebelum diumumkan sebagai Hakim Besar Malaya pada 29 Ogos 2007.

Sementara itu, Arifin yang berasal dari Kampung Repek, Pasir Mas, Kelantan mula berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang pada 1974 setelah menamatkan pengajian di Universiti Sheffield, United Kingdom.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1992 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 1994 dan Hakim Mahkamah Rayuan pada 2002 dan kemudian sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan mulai 17 Jun 2005.

Ingatan kepada hakim

Oleh NORLIZAH ABAS


PUTRAJAYA - Ketua Hakim Negara yang baru, Tan Sri Zaki Tun Azmi mengingatkan para hakim bahawa mereka tidak layak menerima gaji daripada wang rakyat jika gagal melaksanakan tugas dengan baik termasuk mengamalkan rasuah dan ampu-mengampu.

Beliau menegaskan, tindakan drastik termasuk disingkirkan daripada badan kehakiman boleh dikenakan kepada mereka serta pegawai kehakiman yang gagal menjalankan tanggungjawab dengan jujur dan bersungguh-sungguh.

‘‘Kita harus ingat gaji kita dibayar daripada kocek rakyat. Jika merasakan tidak mampu memberi khidmat terbaik (mungkin kerana beban kerja terlalu berat atau gaji tidak memadai), kita ada pilihan.

“Pilihannya sama ada terus memikul beban demi kepentingan awam atau meninggalkan jawatan masing-masing atas kepentingan peribadi,” katanya.

Ketua Hakim Negara ke-12 itu berkata demikian ketika berucap pada majlis pelantikan ke jawatan itu di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersara wajib pada 17 Oktober lalu.

Pada majlis itu, Zaki turut menyaksikan majlis mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta sumpah setia Presiden Mahkamah Rayuan yang baru, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff, 62, dan Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria, 58.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Hakim Kanan Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram, hakim-hakim dan bekas-bekas hakim.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Zaki turut memetik kata-kata Hakim Sir Robert Peel dalam kes Barrington pada 1830.

“Hakim Peel bertanyakan adakah layak seorang hakim yang gagal melaksanakan tanggungjawab diberi gaji daripada dana rakyat,” katanya.

Beliau juga memetik ungkapan serupa hakim berkenaan dalam kes Baron Smith yang menyebut bahawa kecuaian menjalankan tugas secara melampau boleh menyebabkan para hakim disingkirkan.

Zaki turut merakam penghargaan kepada Abdul Hamid kerana merintis jalan membolehkan beliau mencapai tahap tertinggi dan meninggalkan tanda aras yang cemerlang untuk dicontohi.

Zaki menjelaskan, sokongan padu semua pihak membuahkan hasil yang membanggakan apabila kes-kes tertunggak berjaya dikurangkan, kaedah pendaftaran dipermudahkan manakala kerenah birokrasi berada di tahap minimum.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan pegawai mahkamah yang bekerja keras tidak akan disia-siakan dan beliau sendiri akan memastikan mereka yang layak diberi ganjaran sewajarnya.

Zaki yang ditemui pemberita kemudiannya bagi mendapat ulasan sulungnya berhubung pelantikan itu menyatakan: ‘‘Saya bukan ahli politik.”

Beliau turut memberi ulasan serupa ketika ditanya mengenai penangguhan prosiding habeas corpus lima pemimpin pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf) di Mahkamah Persekutuan semalam ekoran panel terdahulu tidak menyediakan penghakiman bertulis.

Zaki dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Oktober lalu. Beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada 5 Disember 2007 iaitu dua bulan selepas menjawat jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Anak kepada Ketua Hakim Negara kedua, Allahyarham Tun Mohamed Azmi Mohamed itu memperoleh ijazah undang- undang dari Lincoln‘s Inn, London pada 1969 dan pernah berkhidmat sebagai Majistret dan Presiden Mahkamah Sesyen, Ipoh.

Setelah meletakkan jawatan dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada 1984 dengan jawatan terakhir sebagai Peguam Kanan Persekutuan, beliau menyertai Tetuan Shahrizat Rashid & Lee sebagai peguam bela.

Zaki dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada 4 Februari 2004 serta Pengerusi Jawatankuasa Teknikal bagi membantu Jawatankuasa Disiplin UMNO menyiasat kes-kes politik wang pada 1995.

Pada 7 Februari 2005, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO.

Alauddin pula mendapat pendidikan undang-undang di Inner Temple London pada 1970 dan pernah menjadi peguam di United Kingdom sebelum berkhidmat sebagai Majistret di Bukit Mertajam Pulau Pinang pada 1 Februari 1971.

Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Presiden Mahkamah Sesyen Seremban, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor dan Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Ogos 1992.

Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 April 2001 diikuti Hakim Mahkamah Persekutuan pada 17 Julai 2004 sebelum diumumkan sebagai Hakim Besar Malaya pada 29 Ogos 2007.

Sementara itu, Arifin yang berasal dari Kampung Repek, Pasir Mas, Kelantan mula berkhidmat sebagai Pegawai Undang-Undang pada 1974 setelah menamatkan pengajian di Universiti Sheffield, United Kingdom.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1992 sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pada 1994 dan Hakim Mahkamah Rayuan pada 2002 dan kemudian sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan mulai 17 Jun 2005.

Sekatan Umno dorong mereka berpelajaran tinggi sertai PAS - Dr M

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Tindakan Umno menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi menyebabkan mereka menyertai PAS, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Umno, kata beliau, seolah-olah menyekat kemasukan generasi muda terutamanya yang berpelajaran tinggi.

"Generasi muda ada sekatan dalam Umno, untuk masuk dalam Umno kita perlu melalui cawangan.

"Ketua cawangan memang tak suka sesiapa yang masuk cawangannya merupakan orang yang lebih berkaliber kerana takut akan kehilangan jawatan," mStar Online memetik bekas Presiden Umno itu berkata dalam satu wawancara khas yang bertajuk Budaya Pemilihan Umno siaran Astro Awani.

Tambah beliau dengan menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi, maka Umno akan kehilangan genarasi pelapis yang berdaya saing.

"Sebab itu kita lihat mereka (generasi muda) masuk PAS kerana Umno sendiri yang menyekat, kalau sekat kemasukan orang yang lebih berkaliber maka ini bermakna semakin lama semakin merosot," katanya.

Jelas bekas Presiden Umno itu, ahli Umno sendiri dilihat seolah-olah merelakan amalan yang tidak sihat diteruskan dalam parti.

"Sebab itu kita lihat tidak ramai yang berani untuk tonjolkan diri untuk (bertanding) jawatan yang sesuai dengan kebolehan mereka, kita tak ada banyak pilihan," katanya.

Ditanya mengapa Umno tidak menggunakan pemimpin muda untuk mengembalikan kegemilangannya, Mahathir berkata perkara tersebut mesti bermula dari pucuk pimpinan.

"Ini bermula dari atas, kalau yang di atas berkelakuan tak baik, maka segala desakan dan nasihat dari orang ini (pemimpin muda) tak akan dihiraukan oleh sesiapa...kita perlu orang yang ada kredibiliti," katanya lagi.

Mahathir juga menolak dakwaan yang mengatakan lanskap politik di negara ini semakin berubah sebaliknya beranggapan perubahan yang berlaku terutamanya dalam pilihan raya yang lalu adalah disebabkan tanda protes pihak-pihak tertentu.

"Sebenarnya lanskap ini tak banyak berubah kerana pada tahun 2004 Barisan Nasional (BN) menang dengan begitu besar sekali tapi dalam tempoh hanya empat tahun ia seolah-olah berubah.

"Jadi apakah perubahan ini disebabkan oleh pemikiran baru tentang asas politik di Malaysia ataupun perubahan ini kerana perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan yang ada?" katanya.

Beliau berpendapat perubahan ini berlaku kerana wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan yang ada kerana ahli akar umbi tidak mempunyai peluang untuk menyatakan pandangan mereka.

"Dari segi pemikiran masih sama, tetapi mereka ambil peluang dalam pilihan raya untuk tunjukkan protes mereka," katanya._

Nafi rombongan ke Mekah semua anggota Pas

BERNAMA


IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menafikan semua 22 anggota rombongan haji yang diluluskan khas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah anggota parti Pas.

Mohammad Nizar berkata, kenyataan Ahmad Zahid mengenai hal itu adalah tidak benar kerana sebahagian daripada bakal haji berkenaan adalah pesara kerajaan dan tidak menganggotai mana-mana parti politik.

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Perak itu turut menafikan bahawa beliau dan isterinya, Datin Seri Fatimah Taat termasuk dalam rombongan haji yang diluluskan itu.

"Saya dan isteri tidak pergi haji tahun ini, jadi saya perlu membetulkan kenyataan Ahmad Zahid dan menjelaskan bahawa daripada 22 bakal haji yang diperuntukkan bagi Menteri Besar antaranya adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi ramai yang tidak menjadi ahli parti politik. Ada cikgu pencen," katanya kepada pemberita selepas Persidangan Pengurusan Sisa Pepejal Asia-Kesatuan Eropah (EU) di sini.

Kelantan setuju kaji elaun wakil rakyat

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Kerajaan negeri bersetuju untuk mengkaji semula elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi meringankan bebanan mereka dalam melaksanakan tugas untuk membantu rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, sekiranya dipersetujui, elaun wakil rakyat akan meningkat 30 peratus menjadi RM4,840 sebulan berbanding sekarang RM3,600 sebulan.

Beliau berkata, cadangan supaya elaun tersebut dinaikkan dengan menyamai gred N52 kakitangan kerajaan adalah munasabah dan setimpal dengan beban yang terpaksa ditanggung oleh wakil rakyat berbanding pihak lain.

"Saya secara peribadi bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) supaya elaun dinaikkan, untuk makluman, kita tidak mengikut langkah kerajaan Pusat yang telah menaikkan elaun Ahli Parlimen sebanyak dua kali sebelum ini.

"Bagaimanapun cadangan ini perlu dibawa ke mesyuarat Exco terlebih dahulu untuk dibincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat. Ia juga melibatkan peruntukan kecil iaitu RM690,000 setahun," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan Bajet 2009 pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Semalam, ketika sesi perbahasan bajet, wakil pembangkang, Nozula meminta kerajaan menyemak semula kadar elaun RM3,600 sebulan bagi wakil-wakil rakyat kerana mereka terbeban dengan tanggungjawab membantu banyak aspek keperluan rakyat.

Beliau menyifatkan kadar itu kecil pada masa sekarang dan menegaskan wakil-wakil rakyat tidak harus takut dikritik dalam soal itu kerana rakyat tentunya memahami.

Menurutnya, wakil-wakil rakyat Pas mungkin keberatan untuk menyuarakannya tetapi mereka sedar tidak mampu untuk menghulurkan bantuan dengan elaun tersebut.

Husam berkata, dengan kenaikan harga barang dan bahan bakar, kadar elaun tersebut tidak mampu untuk menampung kos perbelanjaan wakil rakyat kerana ia bukan sahaja digunakan untuk keperluan peribadi tetapi dikongsi bersama rakyat.

"Sebagai contoh, jika dahulu wakil rakyat hanya perlu mengeluarkan wang sebanyak RM10 ketika pergi kenduri kahwin tetapi kini jumlahnya mungkin bertambah dua kali ganda, RM30.

"Saya harap selepas ini semua wakil rakyat berdoa agar ahli Exco dan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dengan cadangan ini," katanya.

Reaksi cadangan debat UMNO -Hishammuddin bimbang

UTUSAN ONLINE


KAJANG – Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bimbang debat yang tidak terkawal di antara calon Ketua Pemuda UMNO akan menjejaskan maruah dan imej pergerakan itu yang dibinanya sejak 10 tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan calon-calon terbabit supaya tidak meneruskan hasrat tersebut sehinggalah diberi ‘lampu’ hijau oleh kepimpinan tertinggi Pemuda UMNO.

Katanya, ia bagi mengelakkan calon yang berdebat gagal mengawal emosi sehingga mengemukakan hujah yang tidak berpijak di bumi nyata atau bercanggah dengan perancangan parti.

“Mereka kena meyakinkan saya kerana saya adalah Ketua Pemuda sehingga Mac ini dan ia (debat) tidak akan berlaku sehingga kepimpinan tertinggi Pemuda mengiakannya, jika nak jalankan terus tanpa merujuk atau dibawa berbincang, tuan punya badan kena pikul tanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

“Saya tidak mahu menjejaskan maruah dan imej Pemuda yang telah saya bina selama 10 tahun untuk diserahkan kepada barisan kepimpinan baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Bumi Hijau Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Long di sini hari ini.

Idea untuk menganjurkan debat di antara calon Ketua Pemuda dikemukakan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan ia dipersetujui oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.

Seorang lagi calon, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun bagaimanapun tidak bersetuju kerana berpendapat debat itu tidak akan mengukuhkan parti.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin menjelaskan sokongan yang diterima Mukhriz di bahagian Pekan dan Khairy di Sembrong tidak boleh ditafsirkan sebagai petunjuk mereka adalah calon pilihan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri.

Katanya, fenomena yang berlaku di peringkat bahagian pada persidangan kali ini agak berbeza kerana kebanyakan pencalonan untuk semua jawatan dibuat melalui proses pengundian.

“Ini bermakna ketua bahagian dan pemimpin tertentu termasuk saya sendiri sebagai Ketua Bahagian Sembrong tidak dapat menentukan si polan A, B dan C akan dicalonkan.

“Dalam suasana sebegitu rupa, saya rasa mustahil mana-mana pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pemuda UMNO menentukan pencalonan,” katanya.

Rabu, 29 Oktober 2008

Lebih 250,000 anak luar nikah

Editor Buletin Online


Kuala Lumpur - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah mengeluarkan 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa dari 2000 hingga Julai lalu.

Bernama memetik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata demikian ketika menjawab soalan R Sivarasa (PKR Subang).

Beliau berkata pendaftar tidak boleh mencatatkan nama bapa dalam sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf iaitu anak-anak luar nikah, kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa, selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 299.

“Bagaimanapun mengikut Seksyen 28 Akta 299, pendaftar berhak mendapatkan maklumat sebaik mungkin berkenaan ibu dan bapa yang sah bagi setiap kelahiran yang hendak didaftarkan.

“Ini bermakna pihak pendaftar boleh membuat siasatan bagi mendapat maklumat yang sahih bagi tujuan pendaftaran ke atas setiap kelahiran,” katanya

Ketua hakim baru beri kata dua

MALAYSIA KINI


Walaupun pelantikan beliau sendiri dalam kontroversi, Ketua Hakim Negara memberi kata dua kepada hakim dan pegawai kehakiman yang gagal memberikan perkhidmatan terbaik - terus berkhidmat atau tinggalkan institusi kehakiman.

Dalam ucapan sulungnya bersempena majlis angkat sumpahnya hari ini, Tan Sri Zaki Tun Azmi menambah, mereka haruslah memikul bebanan itu bagi kepentingan awam jika memilih untuk kekal berkhidmat.

"Oleh itu, kita harus sentiasa mengingatkan diri kita, bahawa gaji kita dibayar dari kocek rakyat. Betapa besar pun kepentingan kita dan betapa resahnya kita atas layanan itu, kita mesti ingat, kepentingan awam adalah jauh lebih besar," katanya di Putrajaya hari ini.

Zaki, 63, dilantik menjadi ketua hakim negara ke-12 menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersara wajib pada 17 Oktober lepas.

Pada majlis itu, lapor Bernama, Zaki menyaksikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff mengangkat sumpah dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Zaki.

Alauddin mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Arifin Zakaria pula mengangkat sumpah sebagai Hakim Besar Malaya menggantikan Alauddin.

Arifin mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk T Selventhiranathan.

Turut hadir pada majlis itu, dua bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid dan Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, serta hakim-hakim mahkamah persekutuan, rayuan dan tinggi.

Zaki dalam ucapannya menegaskan beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dan drastik terhadap segelintir hakim dan pegawai kehakiman yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka dengan baik.

"Mereka yang segelintir inilah yang telah mencemarkan imej institusi kehakiman kita. Jika mereka tidak jujur, mereka boleh juga dianggap tidak bertanggungjawab," beliau dipetik sebagai berkata.

Tambahnya, gejala itu perlu diperbaiki dengan segera sebelum ia merebak dan sekiranya wujud amalan ampu-mengampu "saya kata, hentikanlah".

Zaki berkata daripada pengamatannya selama setahun yang lepas, beliau tidak meragui terdapat hakim dan pegawai kehakiman yang telah bekerja keras dalam menjalankan tugas mereka.

"Saya akan pastikan usaha dan kerja keras mereka ini tidak sia-sia. Buktikanlah bahawa anda berhak menerima ganjaran dan saya akan mengusahakannya untuk anda," katanya.

Zaki berkata tugas besar yang perlu dihadapi oleh institusi kehakiman adalah mengatasi masalah kes-kes tertunggak dan kelewatan menyelesaikan kes.

Jelasnya, beliau tidak mengimpikan untuk memegang jawatan hakim Mahkamah Persekutuan yang merupakan satu tanggungjawab yang amat berat.

"Tidak berapa lama selepas itu, saya pula diberi tugas sebagai presiden Mahkamah Rayuan. Dalam tempoh yang singkat, saya telah cuba melakukan yang terbaik mengikut kemampuan saya," katanya.

Beliau berkata tidak ramai yang mengetahui pembaharuan yang telah dilaksanakan di bahagian pendaftaran di Mahkamah Rayuan, antaranya mempercepatkan kaedah pendaftaran dengan surat-menyurat dibalas dengan segera dan kerenah birokrasi di bahagian itu kini paling minimum.

Katanya, pengalaman beliau dalam bidang komersial mungkin membolehkan beliau memahami isu-isu pentadbiran sesuatu jabatan dengan lebih teliti.

Zaki turut merakamkan penghargaan kepada Abdul Hamid kerana telah merintis jalan baginya untuk sampai ke tahap itu sambil meninggalkan suatu tanda aras yang cemerlang untuk beliau ikuti.

"Mudah-mudahan saya tidak akan mengecewakan beliau (Abdul Hamid)," katanya.

Zaki, anak ketua hakim negara yang kedua, allahyarham Tun Azmi Mohamed, berkata sekiranya bapanya masih ada pasti gembira kerana beliau mengikut jejaknya.

Zaki ketika ditemui media selepas selesai majlis itu hanya berkata :

"Tulislah apa yang saya cakap dalam ucapan saya. Tidak perlu dihuraikan lagi. Saya bukan ahli politik."

Pelantikan Zaki dalam badan kehakiman pernah mencetuskan kontroversi ekoran kaitannya sebelum ini dengan Umno.

DUN lulus usul kutuk kelakuan Ketua Pembangkang

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Sidang DUN hari ini meluluskan usul mengutuk sekeras-kerasnya kelakuan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo yang membuat kenyataan palsu dan berunsur fitnah terhadap Adun Kinrara dan juga ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor kononnya beliau mengetuai bantahan terhadap suara azan masjid di Puchong dan Kota Damansara.

Usul tersebut dibawa oleh (Sekinchan-DAP) Ng Suee Lim yang mengutuk perbuatan keji akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkan berita-berita palsu, penulisan-penulisan berunsur ganas dan perkauman terhadap Adun Kinrara yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Teresa Kok pada 10 September, 12 dan 17 Oktober 2008.

Dalam usul tersebut beliau menyeru semua pihak menghayati semangat perpaduan dan muhibah yang selama ini dijunjung oleh semua rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang boleh memudaratkan kestabilan masyarakat.

Usul tersebut telah disokong oleh Adun (Meru-PAS), Dr Rani Othman yang memetik maksud surah Al-Maidah 8,"Wahai orang -orang yang beriman hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan kebenaran menjadi saksi yang adil dan janganlah sekali-kali kebencian mu terhadap satu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil, berlaku adil itu lebih dekat dengan takwa. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Turut membahaskan usul tersebut Hulu Kelang- PAS, Shaari Sungib ia bukan saja satu fitnah tetapi membawa bencana kepada seorang wanita yang ditahan di bawah ISA.

Katanya, ini merupakan satu bukti tentang kezaliman Umno-BN dengan menggunakan kuasa sebagaimana yang pernah berlaku dalam kes 1985 Ibrahim Mahmud (Libya) telah diambil tindakan di bawah ISA.

"Hari ini ucapan yang telah dilakukan oleh pimpinan Umno Selangor menyebabkan pihak berkuasa telah mengambil tindakan yang sama kepada exco wanita kerajaan negeri Selangor," katanya.

Beliau menegaskan, menggunakan isu azan, agama mendesak pihak berkuasa menggunakan akta yang zalim mencabul hak asasi dalam negara yang bukan beragama Islam adalah perbuatan yang amat memalukan.

Menurutnya, diatas pimpinan Umno beragama Islam menggunakan konsep Islam Hadhari membenarkan pencabulan hak asasi terhadap seorang wanita bukan Islam.

Kelana Jaya- KeADILan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Dewan perlu mengambil tindakan tegas terhadap Sungai Panjang bagi menunjukkan bahawa Dewan tidak boleh diperlakukan sedemikian.

Katanya, sebagai wakil rakyat perlu menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat.

Ketika Adun Pakatan Rakyat membahaskan usul mengutuk keras kelakuan Khir Toyo hanya tiga Adun BN berada dalam dewan iaitu Sungai Burong- Umno, Shamsudin Lias; Taman Templer-Umno, Dato' Subahan Kamal dan Kuala Kubu Bharu-MCA,Wong Koon Mun.

Bagaimanapun ketiga-tiga Adun tersebut keluar dewan sebelum perbahasan diluluskan bagi menunjukkan bantahan terhadap usul tersebut.

Adun Kampung Tunku-DAP, Lau Weng San; Subang-DAP dan Rawang-DAP, Gan Pei Nei turut membahaskan usul tersebut supaya diluluskan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata oleh kerana kerajaan negeri telah bersetuju melantik Peguam mengenai rencana yang berunsur fitnah disiarkan dalam Utusan Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri bersetuju menyeru semua pihak menghayati semangat perpaduan dan muhibah yang selama ini ditunjukkan oleh semua rakyat.

Pertarungan Umno: Siapa pilihan Najib?

Mohd Rashidi Hassan


Setakat ini bakal Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak masih belum membuka mulut, siapakah yang beliau kehendaki untuk berada dalam pasukan baru pimpinannya.

Mungkin juga Najib tidak mahu mengiyakan atau menidakkan seseorang calon, kerana bimbang ianya berlawanan dengan arus akar umbi Umno

Ada yang berpendapat mungkin Najib akan menuruti saranan bekas Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad supaya dihapuskan saki baki juak-juak Abdullah Ahmad Badawi dalam Umno.

Mungkin juga Najib perlu 'ignore' sahaja saranan Dr Mahathir kerana, dalam keadaan sekarang hampir 100 peratus bahagian, mencalonkan beliau sebagai presiden.

Semua orang Umno hendak jadi orang Najib sekarang. Sama ada dia orang Mahathir, atau orang Anwar Ibrahim, atau orang Abdullah, semua hendak dilihat 'attached' dengan Najib.

Selaku bakal Presiden, sudah tentu berfikir bahawa imejnya akan terjejas, jika orang yang dikehendakinya tewas di gelanggang pemilihan.

Ikut jadual, pemilihan pucuk pimpinan Umno akan diadakan dalam Perhimpunan Agungnya pada Mac 2009. Ada lima bulan lagi, macam-macam boleh berlaku.

Namun orang-orang Umno tidak henti-henti membuat spekulasi dan berteka teki.

Sikap berdiam diri Najib membuatkan mereka 'confius'. Mereka mahu Najib memberikan 'signal' siapa yang dikehendakinya dalam 'team' baru beliau.

Selagi Najib tidak 'membuka mulut' mereka terus membuat pelbagai hipotesis dan teori.

Sekarang ini ahli-ahli Umno peringkat bawahan pening kerana perebutan jawatan semua peringkat Umno (kecuali jawatan Presiden) amat serius dan berkecamuk.

Ada yang kata, ianya pertembungan antara puak penyokong Abdullah dengan puak Najib. Ada yang kata ianya pertarungan antara golongan muda dengan golongan veteran.

Ada yang kata wujud calon-calon yang mengambil kesempatan dari populariti Najib untuk 'tumpang semangkuk' banyak pencalonan akibat kekeliruan ahli-ahli Umno peringkat bawahan.

Peluang Muhyiddin merebut jawatan Timbalan Presiden

Ada sumber mengatakan Muhyiddin bukan orang Najib, Najib tidak pernah mengiyakan Muhyiddin sebagai regunya. Tetapi Muhyiddin yang 'mencangkukkan' dirinya dengan Najib.

Muhyiddin bukannya rakan rapat Najib. Beliau bukannya bekas Exco Pemuda Umno. Muhyiddin tahu beliau tidak mempunyai 'machinery', tiada infrastuktur dan tiada 'grass root' untuk mendokong kempennya. Ketiga-tiga faktor ini ada pada Najib.

Muhyiddin hanya dikenali dalam Umno selepas dilantik menjadi Menteri Besar Johor dan dikenali rapat dengan Timbalan Presiden Umno, Anwar Ibrahim suatu ketika.

Selepas pelantikan Abdullah sebagai PM ke-5 oleh Dr Mahathir pada November 2003, Muhyiddin telah meng'attached'kan dirinya dengan Abdullah. Selaku salah seorang Naib Presiden Umno, beliau ketika itu berpeluang dilantik menjadi TPM.

Ada sumber mendakwa ketika itu Abdullah teragak-agak hendak melantik Najib dan Muhyiddin begitu yakin Abdullah akan melantiknya sebagai TPM.

Tambahan pula Allahyarham Hendon Mahmood isteri PM lebih rapat dengan isteri Muhyiddin, Noorainee Abdul Rahman daripada Rosmah Mansor.

Hubungan Najib-Muhyiddin amat dingin. Orang-orang Najib kelihatan 'berseteru' dengan orang-orang Muhyiddin kerana beliau orang Abdullah.

Tetapi keputusan Pilihan Raya Umum 2008, mengubah pendirian Muhyiddin. Beliau secara lantang mula mengkritik Abdullah.

Muhyiddin mengambil kesempatan sebagai Pengerusi Biro Keahlian Umno untuk mengiringi Najib ke merata negeri bagi mendapatkan 'feedback' Umno akar umbi. Seorang lagi Naib Presiden, Mohd Ali Rustam, tidak pandai mengambil kesempatan.

Manakala seorang lagi Naib Presiden, Mohd Isa Abdul Samad sudah digugurkan dari jawatan dan baru lepas daripada hukuman penggantungan akibat politik wang.

Dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin ditentang dua lagi calon, iaitu Ali dan Muhammad Muhammad Taib.

Kedua-dua pencabar Muhyiddin ini kelihatan lebih 'organise' dan mempunyai infrastruktur. Cuma mereka lambat mengambil peluang untuk dilihat sebagai 'orang Najib.'

Setakat ini Ali dan Muhammad masih belum cukup kuota pencalonan. Namun jika kuota mereka cukup, belum tentu Muhyiddin akan menang.

Tambahan pula ada kalangan ahli Umno melihat usia Muhyiddin lebih tua daripada Najib. Muhyiddin 61 tahun, manakala Najib 55 tahun.

Dalam keadaan Najib tidak bercakap apa-apa soal siapa Timbalan Presiden (hanya desakan Dr Mahathir sahaja yang mahukan Muhyiddin), ini menyebabkan orang-orang Umno masih berfikir sama ada beliau layak atau tidak.

Dalam tempoh lima bulan ini, macam-macam boleh berlaku. Mana-mana calon Timbalan Presiden yang kuat dari segi infrastruktur dan dilihat satu generasi dengan Najib, beliau akan mempunyai peluang.

Naib Presiden milik siapa?

Bagi jawatan Naib Presiden pula ramai yang dicalonkan, antaranya. Hishammuddin Hussein, Shafie Apdal, Dr Ahmad Zahid Hamidi, Khaled Nordin, Syed Hamid Albar, Dr Rais Yatim, Isa Samad, Abdul Rahim Thamby Chik dan Dr Jamaluddin Mohd Jarjis.

Setakat ini Hishammudin, Shafie, Zahid, Khaled dan Syed Hamid sudah melayakkan diri untuk bertanding. Manakala Rais, Isa, Rahim dan Jamaluddin masih belum mencukupi kuota pencalonan.

Diandaikan jika semua mereka memenuhi kouta pencalonan. Akan ada sembilan calon bakal merebut tiga jawatan Naib Presiden Umno.

Kedudukan Hishammuddin sebagai salah seorang calon 'favourite' tidak boleh dinafikan, selain bekas Ketua Pemuda Umno, beliau adalah anak bekas PM, Hussein Onn dan sepupu kepada Najib.

Manakala peluang Shafie juga kelihatan agak cerah kerana beliau adalah 'orang kanan' Najib sejak dahulu. Atas sebab itu juga Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, menarik diri daripada dicalonkan sebagai Naib Presiden kerana beliau tidak mampu mengatasi populariti Shafie.

Sebelum ini pun khabarnya beberapa bulan lepas sewaktu 'orang-orang PM' menjenguk ke Sabah untuk meninjau peluang PM dicalonkan sebagai Presiden bagi penggal kedua, Musa tidak boleh memberi jaminan kerana pengaruh Shafie-Najib di beberapa bahagian Umno agak kuat.

Atas faktor ini, kemungkinan peluang Shafie, sebagai anak Sabah pertama bakal menduduki kerusi Naib Presiden Umno, agak cerah.

Bagi Zahid pula, walaupun mendapat pencalonan yang tinggi, peluangnya masih samar-samar. Zahid mendapat banyak pencalonan kerana ahli-ahli Umno di akar umbi beranggapan 'dia orang Najib'. Tambahan pula Zahid adalah bekas Setiausaha Politik Najib.

Ada sumber Umno mendakwa, Zahid sudah lama 'meninggalkan' Najib. Malah sewaktu beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno, beliau sudah tidak rapat dengan Najib. Zahid lebih rapat dengan Anwar Ibrahim.

Sejarah Umno mencatatkan, Zahid mula-mula sekali mencetus perbalahan antara Mahathir-Anwar menerusi ucapannya di Johor.

Selepas Anwar dipecat, Zahid ditahan di bawah ISA. Selepas beberapa minggu, beliau dibebaskan dan kembali ke dalam Umno dengan 'mencium tangan Mahathir' .

Zahid kembali dalam Umno dan rapat dengan Abdullah dan Khairy Jamaluddin, sehingga dilantik menjadi Menteri. Pernah suatu ketika apabila Zahid rapat dengan Abdullah, beliau sudah 'declare war' dengan Najib.'

Mungkin ramai tidak memahami hasrat Zahid di sebalik pengumumannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno.

Beliau bukannya hendak menjadi 'pair' atau regu Najib sebagai calon Presiden dan Timbalan Presiden Umno.

Beliau mahu menjadi 'pair' Abdullah, dengan mengandaikan Abdullah terus mempertahankan jawatan Presiden.

Malah ada sumber wartawan yang rapat dengan beberapa ahli MT Umno memberitahu, Zahid begitu bertegas tidak mahu Abdullah berundur, berentap dalam mesyuarat sehingga 'menghentak meja' khabarnya.

Tetapi Zahid bijak mengintai peluang. Selepas gagal menjadi 'pair' Abdullah, beliau menarik diri sebagai calon Timbalan Presiden dan hanya bertanding Naib sahaja, untuk dilihat antara 'team' Najib pula.

Sikap 'flip-flop' Zahid ini ada bahayanya bagi beliau. Kerana beliau pernah dikenali sebagai orang Najib, selepas itu orang Anwar, kemudian orang Mahathir, selepas itu orang Abdullah dan sekarang mahu menjadi orang Najib pula.

Kemungkinan peluangnya menduduki salah satu kerusi Naib Presiden agak kabur jika ahli-ahli Umno tidak mendapat 'signal' daripada Najib.

Manakala Khaled dan Syed Hamid dilihat sukar untuk menang. Pertamanya, kedua-duanya bukan orang Najib. Mereka adalah orang Abdulah. Khaled adalah anak didik Shahrir Samad, yang dilihat lebih rapat dengan Khairy.

Kedua, mereka adalah calon daripada Johor. Johor ada tiga calon. Hisham pun dari Johor juga. Sukar bagi Khaled dan Syed Hamid untuk menempatkan diri mereka.

Ketiga, faktor yang agak penting, Khaled, Shahrir dan Syed Hamid tidak begitu rapat dengan Muhyiddin. Bahagian Johor Bharu dan Kota Tinggi tidak mencalonkan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden.

Johor ada banyak bahagian. Dengan pengaruh ramai 'war-lord' yang masing-masing ada banyak kepentingan, kemungkinan Khaled dan Syed Hamid tidak akan mendapat 'solid vote' dari Johor.

Justeru harus dilihat peluang-peluang yang bakal diisi bagi jawatan Naib Presiden mungkin ada pada Rais, Isa, Rahim dan Jamaluddin.

Rais sudah 'bakar jambatan', beliau cukup marah apabila orang-orang Umno meminta wang upah untuk mendapat pencalonan.

Masalahnya dalam Umno, kalau ada kalangan calon yang awal-awal lagi mengaku tidak ada wang atau tidak mahu memberi wang, peluangnya untuk mendapat banyak pencalonan akan terkubur.

Isa adalah bekas Naib Presiden yang digantung kerana politik wang. Jika Isa pernah bersalah kerana politik wang, maka sudah tentu Isa ada wang.

Soalnya, sekarang ini mungkin Isa agak cuak, bagaimana hendak menyalurkan wangnya kepada bahagian-bahagian, takut-takut beliau akan terperangkap sekali lagi.

Rahim pernah gugur dari jawatan Ketua Pemuda Umno akibat pelbagai skandal. Banyak skandalnya tidak harus dipersoal. Namun dalam pemilihan Umno yang lepas, beliau menang jawatan Ahli MT walaupun tiada jawatan.

Akhir sekali Jamaluddin. Setakat ini kuota pencalonan beliau masih belum cukup. Beliau harus mendapat 19 pencalonan.

Jamaluddin digugurkan daripada Kabinet Abdullah selepas PRU 2008. Khabarnya beliau adalah antara orang kanan Najib yang tidak disukai Khairy.

Sebagai orang kanan Najib beliau ada banyak 'advantage'. Jika beliau menerima banyak pencalonan daripada Pahang, ianya adalah antara 'signal' utama bahawa Najib mengkehendakinya sebagai calon Naib Presiden.

Justeru bagi jawatan Naib Presiden, harus dilihat kemungkinan 'wave' baru akan mendudukinya. Oleh itu kemungkinan gandingan Hisham-Shafe-Jamaluddin tidak harus diketepikan.

Penulis hanya membuat analisis berdasarkan kajian analisis dalam Umno. Kerana, jika fenomena ini berlaku, hasrat Mahathir untuk melihat orang-orang Abdullah disingkirkan daripada Umno akan tercapai. - mks._

Artis pernah dakwa diburu ah long tuntut nafkah

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ


PETALING JAYA: Pelakon Wan Nor Azlin Wan Mohd. Husain, 40 yang sebelum ini menerima ugutan daripada ah long termasuk rumahnya disimbah cat, memfail dua tuntutan nafkah untuk dirinya dan anak-anak terhadap suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 38 di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.

Peguam Azlin, Fakhrul Azman Abu Hassan yang bercakap bagi pihaknya berkata kes tersebut difailkan kerana suami pelakon yang pernah dilanda kontroversi ini tidak memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anaknya selepas meninggalkan rumah sehingga ke hari ini sejak 10 Julai lalu.

Sementara itu, Azlin turut menyatakan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikirimkan oleh suaminya pada 27 Julai lalu seolah-olah mahu menceraikannya.

"Mesej tu bertulis minta berpisah dan jangan carinya lagi demi masa depan anak-anak," kata Azlin kepada pemberita di luar mahkamah.

Tambah Azlin, tunggakan bil air dan elektrik, duit rumah dan kereta serta makan dan minum anak-anak iaitu Daniel Luqman,8; Danny Iskandar, 7 dan Dania Camelia, 4 tahun kini ditanggung olehnya.

"Saya dah lama tak berlakon dan baru sahaja mula berlakon semula. Itupun tidak banyak. Saya dah tak boleh survive. Sebagai suami, dia perlu bertanggungjawab.

"Saya tak tahu dia di mana walaupun sudah bertanyakan keluarganya. Saya akan menghantar surat kepada keluarganya di Batu Gajah, Perak dan bertemu dengan pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) supaya memberitahu suami" jawab Azlin yang baru selesai pengambaran telefilem Iktikaf untuk TV3 dan terlibat dengan pengambaran enam episod dalam drama 20 episod Anak Betung.

Dalam masa yang sama, Azlin juga meluahkan dia tidak mahu bercerai dan semua yang dilakukan tiada motif untuk bercerai.

"Itu hak dia dan saya tak tahu isi hati dia. Selepas ini saya akan menunggu hari mediation pada 18 November depan," kata Azlin.

Dalam kata lain, kes tersebut meminta pihak defendan, Yazli supaya tampil ke mahkamah tersebut pada tarikh berkenaan, pukul 9 pagi.

Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Wan Nor Azlin pernah disimbah cat merah kerana suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, yang gagal membayar hutang ah long.

Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.

Mohd. Yazli menjelaskan punca dia menghilang kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 ah long selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.

Kit Siang gesa Azmi tidak ketuai siasatan PAC berhubung pembelian Eurocopter

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini menggesa supaya Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid tidak mengetuai jawatankuasa tersebut yang kini menyiasat isu pembelian 12 Eurocopter EC-725.

"Azmi Khalid sepatutnya melepaskan tugasnya dari ketuai siasatan ini kerana ia melibatkan kepentingan politik.

"Semasa kerajaan membuat keputusan untuk membeli Eurocopter pada 18 Julai tahun lalu, beliau adalah seorang menteri Kabinet," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut beliau, keadaan tersebut akan mempengaruhi sebarang keputusan terhadap siasatan yang dijalankan.

"Dia (Azmi) adalah sebahagaian daripada kumpulan pembuat keputusan (beli Eurocopter) dulu, jadi saya rasa tugas beliau perlu diambil-alih oleh timbalannya," katanya.

Azmi adalah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada penggal lalu.

Selain itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi hadir di Parlimen bagi membuat penjelasan yang berkaitan dengan perbezaan kos pembelian Eurocopter seperti yang dilaporkan media.

Semalam Abdullah berkata, kos keseluruhan pembelian Euorocopter tersebut ialah berjumlah RM1.67 bilion dan menafikan dakwaan yang mengatakan kerajaan membelanjakan sebanyak RM2.3 bilion untuk tujuan itu.

"Apa yang dinyatakan Perdana Menteri nyata bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah Sabtu lalu yang mengatakan kos pembelian itu adalah sebanyak RM1.1 bilion.

"Jadi bagaimana jumlah itu boleh bertambah," katanya.

Bagaimanapun Lim berkata, beliau gembira kerana Abdullah membenarkan siasatan terhadap isu pembelian ini diteruskan walaupun kerajaan mengumumkan untuk menangguhkan pembeliannya hingga keadaan ekonomi mengizinkan.

ABIM dan Pemuda PAS bantah cadangan hapus DEB

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta agar tidak terburu-buru mengubah sebarang dasar yang berkait dengan kedudukan ekonomi Bumiputera termasuk menghapuskan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad berkata, dasar pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera merupakan antara instrumen penting Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum di negara ini.

"Indikator lain juga menunjukkan pencapaian ekonomi Bumiputera masih berada di tahap yang rendah berbanding kaum-kaum yang lain.

"Umpananya hanya 15 peratus premis komersial dimiliki oleh Bumiputera berbanding 80 peratus yang dimiliki oleh bukan Bumiputera manakala pendapatan purata Bumiputera sebanyak RM3,156 juga rendah berbanding kaum Cina (RM4,437) dan India (RM3,456)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Yusri berkata, berdasarkan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan yang dibentangkan di Parlimen pada Jun lepas, kerajaan telah menyatakan komitmen untuk mencapai hak milik ekuiti Bumiputera antara 20 dan 25 peratus pada akhir tahun 2010, meningkatkan penyertaan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dalam skim unit amanah serta memperluas pemilikan Bumiputera dalam aset bukan kewangan.

Beliau berkata, kenyataan Naib Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai mengenai penghapusan dasar pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera adalah bertentangan dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi di negara ini.

"Adalah tidak munasabah dasar pemilikan ekuiti ini dihapuskan secara terburu-buru tanpa mengambil kira kesan menyeluruh tindakan itu terhadap kedudukan ekonomi Bumiputera. Dasar seperti ini tidak wajar diubah semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik sesetengah pihak," katanya.

Beliau menggesa kerajaan agar melakukan kajian secara terperinci dengan mengambil kira pandangan semua pihak sebelum melaksanakan sebarang dasar yang merubah teras DEB yang bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi antara kaum di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub meminta kerajaan mempertahankan hak 30 peratus ekuiti Bumiputera itu walaupun jika ia telah mencukupi 30 peratus.

"DPP Pusat melihat bahawa hak 30 peratus mesti menjadi penanda aras di negara ini kerana jika tidak ekuiti tersebut boleh merosot.

"Kita harus sedar bahawa sebelum 1969, ekuiti orang Melayu hampir tiada, dan setelah 40 tahun ia hanya berjumlah 19 peratus.

"Jika keadaan yang sama terus berlaku, kita masih memerlukan 20 tahun lagi untuk mencapai 30 peratus.

"Sedangkan nilai 19 peratus hari ini pun termasuk danadana awam dan sebagainya. Sekiranya ekuiti orang Melayu meningkat, bermakna ekuiti bangsa lain merosot, dan jika nilai 30 peratus ini tidak diikat, tidak mustahil ekuiti orang Melayu akan merosot semula," katanya.

Operasi Giant terlewat akibat MB?

Jimadie Shah Othman
(kemaskini)


Operasi pasar raya besar Giant di Kerteh terganggu lebih sebulan selepas gagal mendapatkan kelulusan daripada Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), didakwa akibat campur tangan menteri besar Terengganu.

Sumber-sumber pasar raya itu dan MPK memberitahu Malaysiakini hari ini, ia bercadang membuka premis barunya di Mesra Mall di Jalan Kemaman-Dungun sejak 24 September tetapi gagal mendapat lesen.

"Kerana tidak dapat (September), kita cadang mahu buka pada 10 Oktober, serentak dengan pembukaan Mesra Mall, tetapi tidak dapat juga," kata sumber.

Rangkaian pasar raya milik GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, yang berusia 60 tahun, difahamkan selewat-lewatnya dibuka pada 15 Oktober tetapi hingga sekarang tidak jelas kenapa belum menjalankan perniagaan.

Sumber di pihak berkuasa tempatan itu berkata, masalah lesen Giant itu "berkaitan dengan Datuk Ahmad Said", yang juga wakil rakyat Kijal.

Menurut sumber pasar raya terkenal itu, ia telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan untuk menjalankan operasinya termasuk mendapat pengiktirafan keselamatan daripada jabatan bomba dan mengikuti garis panduan pengubahsuaian bangunan MPK.

Pasar raya itu sekarang, tambah sumber Giant, ia hanya menunggu lesen untuk memulakan operasinya.

Ditanya jika MPK terus enggan memberikan lesen tersebut, sumber itu berkata "tunggu sahajalah."

Mesra Mall, yang dibangunkan oleh KLCC (Holdings) Sdn Bhd di atas tanah seluas 12 hektar dan diurus oleh Suria KLCC Sdn Bhd, telah dirasmikan oleh exco pembangunan luar bandar, usahawan dan koperasi Datuk Mohamed Awang Tera pada 10 Oktober lepas.

Difahamkan Giant merupakan penyewa utama kompleks membeli-belah yang diberikan jolokan "mutiara timur anda."

Menurut pelan lantai Mesra Mall, Giant ditempatkan di penghujung kanan dan kiri bahagian depan kompleks itu.

Malaysiakini setakat ini gagal mendapatkan reaksi menteri besar Terengganu.

Seorang pegawai kanan Ahmad ketika dihubungi berkata "tidak mengetahui" tentang dakwaan terhadap pemimpin tersebut.

Mahathir: Umno perlukan badan penasihat bebas pulih parti

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Umno memerlukan badan penasihat khas yang bebas daripada sebarang kepentingan peribadi jika ingin melakukan perubahan positif.

"Kita perlu ada badan penasihat, tapi badan penasihat itu perlu tidak mempunyai apa-apa kepentingan diri," katanya dalam satu wawancara khas yang bertajuk Budaya Pemilihan Umno siaran Astro Awani sebentar tadi.

Namun jelas beliau, jika badan tersebut dipengarahi pihak-pihak tertentu, ia boleh memberi kesan yang tidak baik kepada Umno itu sendiri.

"Kalau jadi badan penasihat tapi guna pengaruh yang ada untuk dapatkan sesuatu, ia akan memberikan konflik dan nasihat yang diberikan itu mungkin tidak baik," katanya.

Selain itu beliau berkata Umno seolah-olah menyekat kemasukan generasi muda terutamanya yang berpelajaran tinggi.

"Generasi muda ada sekatan dalam Umno, untuk masuk dalam Umno kita perlu melalui cawangan.

"Ketua cawangan memang tak suka sesiapa yang masuk cawangannya merupakan orang yang lebih berkaliber kerana takut akan kehilangan jawatan," katanya.

Tambah beliau dengan menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi, maka Umno akan kehilangan genarasi pelapis yang berdaya saing.

"Sebab itu kita lihat mereka (generasi muda) masuk Pas kerana Umno sendiri yang menyekat, kalau sekat kemasukan orang yang lebih berkaliber maka ini bermakna semakin lama semakin merosot," katanya.

Jelas bekas Presiden Umno itu, ahli Umno sendiri dilihat seolah-olah merelakan amalan yang tidak sihat diteruskan dalam parti.

"Sebab itu kita lihat tidak ramai yang berani untuk tonjolkan diri untuk (bertanding) jawatan yang sesuai dengan kebolehan mereka, kita tak ada banyak pilihan," katanya.

Ditanya mengapa Umno tidak menggunakan pemimpin muda untuk mengembalikan kegemilangannya, Mahathir berkata perkara tersebut mesti bermula dari pucuk pimpinan.

"Ini bermula dari atas, kalau yang di atas berkelakuan tak baik, maka segala desakan dan nasihat dari orang ini (pemimpin muda) tak akan dihiraukan oleh sesiapa...kita perlu orang yang ada kredibiliti," katanya lagi.

Mahathir juga menolak dakwaan yang mengatakan lanskap politik di negara ini semakin berubah sebaliknya beranggapan perubahan yang berlaku terutamanya dalam pilihan raya yang lalu adalah disebabkan tanda protes pihak-pihak tertentu.

"Sebenarnya lanskap ini tak banyak berubah kerana pada tahun 2004 Barisan Nasional (BN) menang dengan begitu besar sekali tapi dalam tempoh hanya empat tahun ia seolah-olah berubah.

"Jadi apakah perubahan ini disebabkan oleh pemikiran baru tentang asas politik di Malaysia ataupun perubahan ini kerana perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan yang ada?" katanya.

Beliau berpendapat perubahan ini berlaku kerana wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan yang ada kerana ahli akar umbi tidak mempunyai peluang untuk menyatakan pandangan mereka.

"Dari segi pemikiran masih sama, tetapi mereka ambil peluang dalam pilihan raya untuk tunjukkan protes mereka," katanya.

Bagaimanapun Mahathir masih berkeyakinan BN akan pulih jika semua pemimpin parti komponennya turun padang serta kembali mendekatkan diri dengan rakyat.

"Kalau terus bergaduh sesama sendiri tak ada faedah, pilihan raya lalu bukan sahaja buruk bagi Umno malah semua parti komponennya hampir hancur.

"Jadi BN perlu tunjuk teladan yang baik untuk kembalikan keyakinan rakyat," katanya.

Dun Selangor: Demonstrasi tidak takutkan pelabur asing

Saidah Hairan


SHAH ALAM - Isu demonstrasi mencetuskan sedikit pertengkaran antara exco kerajaan dengan Adun pembangkang dalam sesi soal jawab lisan berhubung kawasan industri yang kompetatif untuk pelabur di negeri Selangor.

Tuduh menuduh antara exco kerajaan, Teresa Kok dengan Dato' Mohamad Satim Diman (BN-Seri Serdang) menyebabkan Speaker memutuskan kedua-dua parti Pakatan Rakyat dan BN membuat demonstrasi.

Dalam soalan tambahan, Mohamad Satim mendakwa demonstrasi selama in menimbulkan kesan ke atas pelabur-pelabur yang hendak datang ke negeri Selangor atau Malaysia.

Beliau mempersoalkan adakah demonstrasi yang sering berlaku di negeri Selangor boleh menimbulkan kerisauan pelabur-pelabur hendak datang ke negeri itu.

Sehubungan itu, exco kerajaan negeri Teresa Kok mengatakan Seri Serdang (Mohamad Satim) seolah-olah melupakan bahawa partinya (Umno) sering mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan SUK sejak kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran.

"Itukan kalau yang buat demonstrasi tapi yang buat perhimpunan di stadium sana, di stadium sini, di jalan sana di jalan sini. Terjadi pula perkara di luar dugaa seperti konsert," celah Mohd Satim.

Sehubungan itu Teresa menjelaskan, Pakatan Rakyat hendak membantah tentang kenaikan harga minyak dan demonstrasi itu dibuat dalam stadium dan mendapat permit.

Katanya, perkara itu langsung tidak menakutkan pelaburan asing untuk datang ke negeri Selangor.

Beliau berkata, banyak rakyat negara maju melakukan demonstrasi tetapi negara mereka tetap stabil.

"Saya rasa ini satu hak manusia untuk berkumpul dengan membentangkan permintaan mereka jadi saya tak rasa ini akan menakutkan pelaburan tetapi yang menakutkan pelabur adalah penahanan ISA.

"Pelabur takut, mereka tak sangka ini boleh berlaku di negara yang kelihatan stabil dan aman seperti Malaysia," tegasnya. - lanh _

Guna duit KWSP RM5 bilion, kenyataan PM mengelirukan

Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC), Syed Syahir Syed Mohamud mendesak kerajaan menjelaskan persoalan berkaitan penggunaan wang Kumpulan Wang simpanan Pekerja atau KWSP berjumlah RM5 bilion bagi menyelamatkan syarikat saham besar, Value Cap.

"Saya keliru dengan kenyataan perdana Menteri, Timbalannya, menteri kewangan kedua yang menyatakan bahawa fundamental negara masih kuat bagi menghadapi krisis ekonomi.

"Jika kita sudah kuat, apa guna kita ambil RM5 bilion daripada KWSP? Ini semacam ada kontradiksi atau ada suatu yang tidak kena - yang mana satu betul ni?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Bahkan beliau turut mengemukakan beberapa persoalan lagi berhubung isu yang sama - menjelaskan lagi rasa tidak puas hati pihak MTUC dengan kenyataan pemimpin negara tersebut.

"Persoalan saya ialah untuk apa RM5 bilion tersebut digunakan? Sejauhmana ketelusan proses pengambilan dan urusan bail-out tersebut dijalankan dan apa manafaat yang diperolehi pencarum KWSP khususnya golongan berpendapatan rendah kesan daripada tindakan tersebut?

"Walau apapun tindakan yang dibuat kerajaan, wang tersebut tetap wang milik rakyat dan ianya tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya," ujarnya.

Mengulas lanjut tindakan yang akan dibuat MTUC mengenai isu tersebut, Syed Syahir menjelaskan pihaknya berkemungkinan akan mengajukan hal tersebut kepada perdana menteri atau menteri kewangan setelah selesai mengadakan perbincangan dengan jawatankuasa MTUC.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan AJK Bersih meminta pihak yang terbabit dengan desas-desus cadangan pemecatan 50,000 pekerja kontrak di Jabatan Perkhidmatan Awam agar tampil memberi penjelasan bagi meleraikan permasalahan tersebut.

"Kita minta pihak yang terbabit menjelaskan apa cerita sebenarnya di sebalik kesemua ini? Ianya masih belum jelas," katanya tegas.

Isu tersebut telah mendapat perhatian banyak pihak namun pihak Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam,Tan Sri Ismail Adam telah memberikan maklumbalas mengenai hal tersebut.

"Tetapi jawapan yang diberikan masih belum jelas," ujarnya lagi.

Walau bagaimanapun, beliau tetap mengingatkan para peniaga agar tidak terlalu cepat bertindak dengan dengan hanya merujuk kepada suatu isu yang tidak mempunyai asas dan latar belakang yang kukuh. - mks._

Selasa, 28 Oktober 2008

Semakan daftar pemilih terbaru bermula

MALAYSIA KINI


Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku ketiga 2008 dipamerkan mulai hari ini hingga 3 Nov depan di 985 tempat seluruh negara selaras dengan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Pegawai perhubungan awam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabri Said berkata ia akan dipamerkan di pejabat pilihanraya negeri, pejabat pos berkomputer, pejabat Kerajaan, pejabat daerah, pejabat tanah, majlis daerah atau perbandaran serta dewan serbaguna, rukun tetangga, balai raya dan balai penghulu.

"Sepanjang tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Ketiga di antara Julai hingga September tahun ini, SPR telah menerima 24,531 permohonan pemilih baru dan 6,200 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi.

"Sehubungan itu mana-mana warganegara Malaysia yang terlibat dalam kedua-dua permohonan tersebut diminta agar menyemak Rang Daftar Pemilih yang dipamerkan itu," katanya dalam kenyataan, lapor Bernama hari ini.

Mana-mana individu yang mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam daftar pemilih itu boleh membuat tuntutan menggunakan Borang B dalam tempoh tujuh hari dari tarikh daftar pemilih dipamerkan.

Pemilih yang ingin membuat bantahan atas kemasukan mana-mana nama pemilih bagi bahagian tertentu pula boleh berbuat demikian dengan menggunakan Borang C juga dalam tempoh tujuh hari.

Daftar itu juga mempamerkan nama-nama yang dikeluarkan daripada daftar pemilih atas sebab kematian, lucut hak warganegara, persaraan daripada Angkatan Tentera Malaysia atau Polis Diraja Malaysia dan sebagainya, katanya.

Sehubungan itu, semua waris bagi pemilih yang telah meninggal dunia diminta menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur kepada Pejabat Pilihanraya di kawasan masing-masing.

"Ia boleh dihantar menerusi faks, pos atau datang sendiri ke pejabat SPR yang berdekatan," katanya.

Bagi penyemakan Daftar Pemilih Induk 2007 untuk sebarang pembetulan ke atas butir-butir diri pula, Sabri berkata ia boleh dilakukan menerusi e-mel kepada info@spr.gov.my, surat atau datang sendiri ke pejabat SPR.

"Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan dengan menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-88 85 65 00 atau menerusi faksimili di talian 03-88 88 91 17 atau pejabat SPR atau laman web SPR di www.spr.gov.my.

Syarikat gagal tawar WiMax hadapi kemungkinan ditarik balik lesen

BERNAMA


KUALA LUMPUR — Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengenakan tindakan menarik balik lesen Wimax kepada syarikat yang gagal menawarkan perkhidmatan tersebut dalam tempoh percubaan selama enam bulan, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor.

Bagaimana pun, kerajaan sebelum itu akan meneliti masalah sebenar yang dihadapi oleh syarikat tersebut, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran dan Persidangan “My Broadband” 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

WiMAX, singkatan bagi Gelombang Mikro Yang Boleh Saling Dikendali ke Seluruh Dunia, merupakan satu teknologi telekomunikasi yang menyediakan transmisi wayarles data menggunakan pelbagai mod transmisi yang menghubungkan hujung ke hujung, sehingga kepada akses jenis mudah alih selular.

Ketika ini, kata Shaziman, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menganalisis kemajuan empat syarikat terbabit. “Secara umum, tiga syarikat telah melaksanakan tanggung jawab dengan baik.Satu agak kebelakang sedikit,” katanya.

Empat syarikat telah diberikan lesen Wimax pada Mac tahun lalu, di mana mereka dikehendaki melancarkan perkhidmatan tersebut selepas tarikh pemberian lesen yang berakhir pada Ogos lepas.

Empat syarikat iaitu Bizsurf (M) Sdn Bhd, Packet One Networks Sdn Bhd (yang dahulunya dikenali sebagai MIB Comm Sdn Bhd), Asiaspace Dotcom Sdn Bhd dan Redtone-CNX Broadband Sdn Bhd telah berjaya merebut lesen spektrum akses tanpa wayar jalur lebar 2.3GHz.

Bizsurf adalah sebuah anak syarikat YTL e-Solutions manakala Packet One merupakan milik Green Packet.

Semua lesen tersebut, kecuali yang diberikan kepada Redtone-CNX, meliputi kawasan di Semenanjung Malaysia. Redtone-CNX telah diberikan lesen bagi Sabah dan Sarawak.

“Jika syarikat berkenaan gagal memberikan sebab yang baik mengenai sebab tidak dapat memberikan pelan perniagaan seperti yang dicadangkan, kami ingin mengambil balik lesen berkenaan dan memberikannya kepada pihak yang benar-benar berminat dan serius dalam industri itu.” Sekiranya kerajaan tidak menarik balik lesen tersebut, katanya antara tindakan yang boleh diambil adalah termasuk mengurangkan jaminan bank syarikat tersebut seperti yang dinyatakan di dalam cadangan perniagaan ketika mereka memohon lesen tersebut.

“Kita tetap akan mengambil tindakan.” Sungguh pun begitu, Shaziman tidak menetapkan tempoh masa bagi meneliti kelemahan syarikat itu, sebelum menarik balik lesen tersebut.

Sebelum ini, SKMM berkata kesemua pemegang lesen dijangka melancarkan perkhidmatan itu kepada 25 peratus daripada penduduk di kawasan yang peruntukkan kepada mereka menjelang akhir 2007, dengan peruntukan perkhidmatan sekurang-kurangnya 1MBps pada kadar termampu.

Pada akhir tahun ke-tiga, adalah dijangka syarikat berkenaan akan berupaya untuk melancarkan perkhidmatan kepada sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk di kawasan yang diperuntukkan kepada mereka, kata suruhanjaya itu.

Setiap syarikat itu dijangka melabur antara RM250 juta dan RM300 juga bagi tempoh tiga tahun pertama pelaksanaan WiMax itu.

Pelajar perempuan tendang guru disingkir

BERNAMA


KANGAR — Seorang pelajar perempuan yang bertindak ganas dengan menendang seorang guru wanita di Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis dekat sini baru-baru ini disingkir daripada sekolah itu berkuatkuasa hari ini.

Pengarah Pelajaran Perlis Mansor Lat ketika dihubungi Bernama hari ini berkata keputusan menyingkirkan pelajar tingkatan dua itu diputuskan Jawatankuasa Disiplin sekoleh itu namun beliau tidak menyatakan bila keputusan itu dibuat.

Sebelum ini, pelajar berusia 14 tahun itu yang menendang guru sivik, Azhana Ibrahim, 27, di dalam bilik darjah sekolah itu pada 16 Okt lalu telah digantung persekolahannya selama seminggu untuk siasatan.

Bagaimanapun setelah siasatan selesai, jawatankuasa itu memutuskan pelajar itu disingkir daripada sekolah yang sebahagian besar pelajarnya berketurunan Cina.

Bagaimanapun, Mansor berkata pelajar itu tetap diberi peluang mengemukakan rayuan kepada Jabatan Pelajaran Perlis untuk membolehkannya dipertimbangkan menyambung persekolahan di sekolah-sekolah lain.

Pelajar itu dilaporkan bertindak ganas setelah guru itu meminta penjelasan daripadanya mengenai tulisan “gila babi” yang ditulis dalam satu tugasan yang diarahkan guru itu.

Mengenai kes pergaduhan sekumpulan 16 pelajar sekolah yang sama pada 20 Okt lalu, beliau berkata empat daripada mereka yang terbabit telah dikenakan hukuman disingkir daripada sekolah berkuatkuasa hari ini manakala selebihnya digantung persekolahan serta diberi surat amaran keras.

Pergaduhan itu dikatakan berpunca daripada salah faham sebelum berlaku pergaduhan yang terpaksa dileraikan dengan kehadiran anggota-anggota polis.

Mansor berkata tindakan ini merupakan satu tindakan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan berharap ia menjadi satu pengajaran terhadap pelajar-pelajar ini.

Sementara itu, pada 31 Okt ini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra akan berangkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis bagi merasmikan Kelab Rukun Negara yang diwujudkan untuk menyatupadukan serta mengharmonikan para pelajar berbilang bangsa di sekolah itu.

“Saya harap kelab itu akan dapat mengawal insiden seperti itu daripada berulang lagi dan segala tindakan yang diambil sebelum ini diharap mampu memberi pengajaran kepada para pelajar lain,” kata Mansor.