HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 September 2007

Azalina kena letak jawatan !

Laporan audit lebih RM74 juta, Azalina mesti letak jawatan!

Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Rentetan laporan audit negara baru-baru ini yang mendedahkan wujudnya penyelewengan dana rakyat dalam kontrak Kementerian Belia dan Sukan, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi digesa untuk memecat Menterinya Dato' Azalina Othman dengan serta-merta.

Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin berkata menteri seharusnya mengambil tanggungjawab atas penyelewengan dana rakyat yang begitu jelas telah didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2006.

“Kontrak-kontrak perolehan ini telah melahirkan keuntungan yang amat besar untuk pihak-pihak tertentu. Susah hendak dipercayai bahawa pegawai-pegawai Kementerian langsung tidak tahu-menahu tentang perkara ini,” katanya baru-baru ini yang dipetik daripada Suara KeADILan online.

Selain itu, Zuraida juga menggesa Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan meletak jawatan juga, atas 11 kontrak yang telah diluluskannya. Setiap kontrak itu dipercayai bernilai antara RM7.99 juta dan RM74.2 juta.

Namun demikian, Ketua Setiausaha tidak mempunyai mandat untuk meluluskan sebarang kontrak yang bernilai lebih RM5 juta.

Sebelum ini dilaporkan bahawa laporan audit itu antara lain mendedahkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membeli peralatan pada kadar harga terlalu tinggi sehingga lebih daripada 200 peratus membuktikan korupsi peringkat kementerian berada di tahap yang parah.

Ia termasuklah membeli barangan yang berharga RM50 pada kadar RM5,700, merujuk Laporan Audit Negara malah, pembelian dua buah kren menara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga yang tidak munasabah iaitu hampir RM3 juta berbanding harga pasaran kira-kira RM1.5 juta,turut didedahkan dalam laporan tersebut.

“Ini rasuah yang jelas di hadapan mata kita,” kata Zuraida dan menyatakan bahawa kedua-dua Menteri dan Ketua Setiausaha haruslah didakwa di mahkamah.

“Pihak berkuasa, terutamanya Peguam Negara, perlulah bertindak tegas, tidak takut dan tidak berpihak kepada sesiapa sekalipun.”

“Perlakuan pegawai kerajaan kita sewajarnya bebas daripada segala cacat-cela. Kita berhak mengharapkan perlakuan yang paling baik daripada mereka, kerana kita telah memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menguruskan dana kita,” katanya.-a

Tiada ulasan: