HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Ogos 2008

Kulim-Bandar Baharu antara 3 kerusi lagi saksi pilihan raya kecil?

Oleh G. MANIMARAN
(Dikemas kini)

PETALING JAYA: Selepas pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Selasa lalu kini tumpuan beralih ke atas tiga kerusi termasuk dua di utara Semenanjung.

Sejurus selepas keputusan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diumumkan, pemerhati-pemerhati dan parti-parti politik sudah mula melihat tahap saingan jika pilihan raya kecil diadakan membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dan Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, sebenarnya terdapat tiga kerusi yang menjadi banyak pihak perhatian sejak kebelakangan ini.

Ketiga-tiga kerusi berkenaan membabitkan keputusan petisyen pilihan raya berbanding Permatang Pauh yang pilihan rayanya diadakan selepas ia dikosongkan oleh penyandang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketiga-tiga kerusi berkenaan ialah Sanglang di Perlis, Kulim Bandar-Baharu (Kedah) dan Pensiangan (Sabah), kata Wan Ahmad.

"Rayuan berkenaan keputusan petisyen kerusi Sanglang sedang didengar di Mahkamah Persekutuan manakala petisyen kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu akan didengar dalam waktu terdekat.

"Sebenarnya, satu lagi kerusi menarik untuk diperhatikan ialah Pensiangan," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Pada 19 Ogos lalu, Mahkamah Pilihan Raya telah menetapkan 16 September ini untuk mendengar semula petisyen bagi mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu pada pilihan raya umum 8 Mac lalu sebagai tidak sah.

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi menetapkan tiga hari bermula dari tarikh itu untuk meneruskan perbicaraan setelah kes berkenaan tertangguh tiga kali.

Setiap petisyen yang dikemukakan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan dari tarikh ia difailkan.

Ia difailkan pada 27 April lalu.

Bekas calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan tersebut, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir memfailkan petisyen memohon keputusan pilihan raya umum bagi kerusi itu diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah.

Alasan yang dikemukakan oleh Abdul Aziz ialah Zulkifli Nordin yang memenangi kerusi Parlimen itu tidak mengemukakan penyata perbelanjaan beliau pada pilihan raya lalu yang melanggar Akta Pilihan Raya.

Zulkifli dari PKR mendapat 22,255 undi, menewaskan Abdul Aziz yang memperoleh 16,672 undi.

Dalam pada itu Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan sebelum menentukan sama ada pilihan raya kecil Sanglang perlu diteruskan atau sebaliknya.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan yang difailkan calon Pas, Hashim Jasin.

Rayuan itu difailkan pada 26 Jun lalu bertujuan meminta Mahkamah Persekutuan mengisytiharkannya sebagai pemenang, sekali gus dipilih menjadi wakil rakyat DUN Sanglang.

Mahkamah Tinggi Pilihan Raya menyerahkan kepada SPR sama ada perlu mengadakan pilihan raya ataupun sebaliknya.

Mahkamah Pilihan Raya menolak permohonan Hashim untuk mengisytiharkan dirinya sebagai pemenang yang layak bagi kerusi Sanglang, walaupun petisyennya untuk membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-12 bagi kerusi itu diterima.

Pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh awal minggu ini, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi apabila memperoleh 31,195 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendapat 15,524 undi.

Seorang lagi calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu, Hanafi Mamat, 61, daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia pula telah hilang wang pertaruhan selepas memperoleh hanya 92 undi.

Mahkamah Tinggi Pilihan Raya menetapkan 17 September ini untuk memberikan keputusannya mengenai petisyen pilihan raya kerusi Pensiangan yang dimenangi tanpa bertanding oleh calon BN, Tan Sri Joseph Kurup.

Menurut Wan Ahmad, kesemua petisyen perlu didengar oleh Mahkamah Tinggi Pilihan Raya dalam tempoh enam bulan manakala rayuan pula oleh Mahkamah Persekutuan juga dalam tempoh enam bulan dari tarikh rayuan didengar.

"Oleh itu, kes Sanglang mungkin mengambil sedikit masa untuk diketahui keputusan," katanya.

Mufti Perlis selar penganjuran Konsert Avril

Bashir Ishak


KANGAR - Dalam satu kenyataan ringkas berkaitan konsert Avril Lavigne, Mufti Perlis,Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkannya amat tidak wajar konsert itu diluluskan.

Katanya, konsert tersebut boleh menyumbang kepada unsur-unsur negatif terhadap golongan muda di negara ini.

"Amat tidak wajar bagi pihak yang meluluskan konsert Avril Lavigne yang boleh menyumbang kepada unsur-unsur negatif kepada muda-mudi di negara ini.

"Penganjuran konsert ini menunjukkan ketidakprihantinan yang serius terhadap masalah keruntuhan moral yang sedang berlaku dalam negara ini," memetik kenyataannya dalam laman web beliau:drmaza.com. - mks._

Polis akui amalan keagamaan mampu bendung kes jenayah

Mohd Sabri Said


BUKIT MERTAJAM - Pihak polis mengakui dengan cara mengerjakan sembahyang mengikut panduan agama masing-masing sahaja dapat membendung kes jenayah yang semakin meningkat sekarang ini.

Menurut Pegawai Hal Ehwal Awam, Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Chif Inspektor Chong Kean Heng, bila seseorang mengerjakan perbuatan terbaik dalam agamanya lazimnya orang itu tidak akan terdedah dengan berbagai gejala yang merugikan masa depan bangsa dan agamanya.

"Gejala jenayah hanya boleh diatasi dengan cara mengerjakan sembahyang mengikut budaya agama masing-masing, Tanpa tunduk pada tuhan seseorang itu boleh berkelakuan 'kurang ajar' atau lebih membimbangkan wujudnya Gengsterism di kalangan remaja sekolah, " tambahnya.

Ibu bapa di rumah wajar memastikan anak-anak mereka sembahyang atau membaca kitab suci bagi memandukan perjalanan mereka ketika berhadapan dengan dunia global.

Antara faktor pendorong remaja terlibat dengan gejala yang tidak sihat itu ialah pengaruh kawan, remaja yang kurang keyakinan diri dan direkrut secara paksa oleh ahli kumpulan,katanya.

"Semua pihak kena mainkan peranan masing-masing mengikut keperluan kerana tanpa pengawasan yang cukup menyenangkan mereka ke gejala yang dianggap tidak bermaruah, " jelasnya.

Ketika berucap sempena pelancaran Kempen Belia Anti Jenayah di ruang legar Summit, Bukit Mertajam semalam beliau menambah, ibu bapa harus juga mengenal pasti siapa rakan taulan anak-anak di samping menyibukan masa mereka dengan aktiviti yang bermanafaat.

Program setengah hari itu dianjurkan oleh Kerajaan Negeri dan dirasmikan oleh Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuiti Negeri Pulau Pinang, Ong Kok Fooi.

Hadir sama ke program yang dikelolakan oleh Persatuan Sahabat Belia Pulau Pinang itu ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Choong Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Lalang, Micheal Tan. - mks._

Akujanji Ahli Parlimen Sabah satu tindakan terdesak

Nabila Abdullah


KOTA KINABALU - Tindakan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memaksa ahli parlimen Sabah dan Sarawak menandatangani surat akujanji merupakan suatu tindakan terdesak bagi mengelak Barisan Nasional (BN) tersungkur menyembah bumi.

“ Jelas merasa cemas dengan kemenangan Anwar di Permatang Pauh, ini amat ditakuti oleh Najib dan Abdullah sehingga mereka memaksa ahli parlimen BN Sabah dan Sarawak menandatangani surat akujanji bagi mengelak parti itu tersungkur menyembah bumi,"kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Menurutnya, surat akujanji tidak mempunyai apa-apa kesan kepada undang-undang yang boleh menyekat seseorang Yang Berhormat (YB) untuk terus kekal di dalam parti yang sedia ada

Tambahnya, surat akujanji sebenarnya hanya meletakkan harga diri seorang YB sama seperti seorang pegawai kerajaan yang selama ini telah menzahirkan kesetiaan mereka kepada pemerintahan BN.

Beliau yang juga YDP Pas Kawasan Batu Sapi berkata, sewaktu kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) meluluskan undang-undang anti lompat di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah, BN menolak undang-undang tersebut, jadi mengapa kini PM memaksa ahli parlimen Sabah dan Serawak menandatangani akujanji tersebut

Sehubungan itu katanya, "saya menasihatkan mana-mana YB BN Sabah yang ingin menyertai Pakatan Rakyat, YB harus bersedia mengadaptasi senario politik yag serba baru yang asas perjuangan untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini."

"Pakatan Rakyat tidak akan menjanjikan politik wang atau kemewahan peribadi seperti yang dijanjikan oleh BN dan ahli parlimen BN mesti bersedia mengisytiharkan aset mereka bagi mengembalikan kepercayaan rakyat di negeri ini agar Pakatan Rakyat yang mereka sertai benar-benar mencerminkan sebuah pakatan yang bersih dari rasuah dan amalan kronisme," katanya.

Beliau juga menyatakan senario politik Sabah banyak diwarnai babak YB yang cenderung melompat parti sehingga sesuatu parti yang memenangani pilihanraya negeri dengan hanya majoriti mudah boleh ditumbangkan dengan melompatnya seseorang YB ke parti lawan.

Ini terbukti dalam pilihan raya DUN negeri Sabah pada 1995 yang menyaksikan parti PBS tumbang apabila dua Adunnya melompat ke Umno. - mks._

Siapa PM tidak penting, Islam mesti berkuasa Ditulis oleh WanKay Hulu Terengganu – Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menegaska

Ditulis oleh WanKay


Hulu Terengganu – Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menegaskan, dasar Islam yang jelas dibawa PAS meletakkan matlamatnya, Islam mesti menguasai pemerintahan Negara, tanpa mengira siapa yang bakal meneraju kepimpinan sebagai Perdana Menteri

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvokensyen Kali Ke Enam, Kolej Universiti Darul Quran Islamiah (KUDQI) di Dewan Utama Kolej tersebut, Kubang Lembek, Manir, hari ini.

“Kita (PAS) tidak kira siapa kerana yang penting Islam menguasai negara. Anwar ke, siapa ke…itu tidak penting. Cumanya, dasar PAS Islam mesti menguasai pemerintahan ini,” tegas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ketika mengulas isu pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau enggan mengulas panjang dan berkata persoalan tersebut mesti menunggu masa dan tarikh 16 September 2008 akan datang, apabila beliau diminta mengulas lanjut kenyataan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa tarikh 16 September 2008 bakal mengubah senario politik Negara.

“Itu kena tunggu 16 September dan saya pun belum dapat senarai yang dikatakan mereka (Ahli Parlimen) akan masuk Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali dan Timbalannya, Dato’ Ustaz Harun Taib selaku penasihat dan pengerusi kolej berkenaan yang ditubuhkan sejak enam tahun lalu.

Harris syor Sabah, Sarawak usul royalti minyak 20 peratus

BERNAMA


KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Harris Salleh mencadangkan supaya kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Sarawak membahas serta meluluskan usul bagi meminta kenaikan royalti minyak sehingga 20 peratus daripada kerajaan pusat dan Petronas.

Harris berkata, beliau percaya kerajaan pusat boleh mempertimbangkan cadangan itu sekiranya diluluskan di kedua-dua DUN itu.

"Ini boleh dibuat kalau Sabah dan Sarawak bersatu hati meluluskan usul itu di DUN masing-masing dan ini boleh dilakukan pada persidangan akan datang," katanya pada sesi soal jawab di Konvensyen Isu-isu Sabah di sini hari ini.

Beliau ditanya oleh salah seorang peserta konvensyen yang ingin tahu sama ada Sabah, salah sebuah negeri pengeluar minyak, berpeluang untuk menikmati kenaikan royalti bahan itu.

Bagaimanapun, Harris berkata, jika kerajaan pusat menimbangkan cadangan itu, namun akan berlaku perubahan pada peruntukan kepada kedua-dua negeri itu, terutamanya peruntukan pembangunan.

"Bila dikira semula, ia mungkin berbalik kepada yang sama," tambahnya.

Harris menjadi tetamu khas untuk memberi pandangannya mengenai isu-isu seperti masalah pendatang asing tanpa izin dan isu tanah negara, khususnya di Sabah.

Perutusan Ulangtahun Kemerdekaan ke-51

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang


Alhamdulillah negara kita Malaysia akan merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke-51 pada 31 Ogos 2008 ini.

Penambahan usia negara kita ini seharusnya tidak melupakan kita kepada jasa dan pengorbanan mereka yang terdahulu yang telah bertungkus-lumus berkorban dan berjuang bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini dari belenggu penjajah.

Menurut lipatan sejarah PAS sendiri telah terlibat dalam menyumbang terhadap kemerdekaan negara kita sejak dari tarikh keramat penubuhannya pada tahun 1951, iaitu warisan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948.

Malah tujuan penubuhan PAS itu sendiri adalah bagi memenuhi tuntutan melepaskan negara ini dari sebarang rupa dan bentuk penjajahan oleh kuasa bukan Islam sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, sosial atau kebudayaan.

Kerana itu PAS telah terlibat secara aktif bersama parti-parti lain ketika itu bagi menuntut penjajah British untuk mengadakan pilihan raya umum sehingga terzahirnya pilihan raya umum persekutuan pada tahun 1955 dimana PAS telah mengambil bahagian dan memenangi satu kerusi.

Di ambang kemerdekaan ketika itu PAS juga turut mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Kerana itu PAS turut berbangga merayakan ulangtahun kemerdekaan ini sehinggakan perlembagaan PAS fasal 5(2) menyebut bahawa tujuan perjuangan PAS termasuklah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Sepanjang 51 tahun usia kemerdekaan negara ini PAS telah terus gigih berjuang jatuh dan bangun mengisi kemerdekaan ini dengan Islam yang merupakan prinsip dan dasar perjuangannya.

PAS telah menyumbang dalam pembangunan negara melalui wakil-wakil rakyatnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpinnya disamping yang ia turut serta terlibat di dalamnya.

Saya yakin dan percaya berteraskan dasar perjuangannya itu PAS akan terus berperanan di dalam negara Malaysia yang Merdeka dan berbilang kaum ini sehingga lahir di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang adil dan saksama yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dengan peraturan dan hukum yang diredhai Allah SWT.

Politik Islam yang luhur yang dibawa oleh PAS akan terus relevan kerana ianya keperluan manusia secara fitrah dan menepati obejektif peranan manusia yang dijadikan oleh Tuhan pencipta alam ini. Allah swt telah menetapkan beberapa prinsip yang menjadi landasan yang wajib ditaati oleh hamba ciptaanNya secara menyeluruh.

Prinsip ini terkandung dalam surah an Nisa ayat ke 58-59:

"Sesungguhnya Allah memerintah supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat . Wahai orang-orang yamng beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan ulamak). maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al Quran) dan Rasul (as Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan lebih elok penyelesaiannya."

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51, "Perpaduan teras kejayaan" dengan izin Allah SWT.

Debaran Menjelang 16 September – Anggota Parlimen Sabah Tak Mahu ‘sign’ Taat Setia

Buletin Online


Walaupun Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata hasrat Pakatan Rakyat (PR) untuk membentuk kerajaan pada 16 September ini sukar, namun riak-riak kebenaran janji Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ada tandanya.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen (AP) Gua Musang berkata Pakatan Rakyat sukar membentuk kerajaan kerana menurutnya persefahaman dalam parti yang berada di bawah pakatan itu -- PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) -- dilihat masih belum jitu.

Walhal, pada 28 Ogos jam 11 pagi lalu, Majli Pemimpin Pakatan Rakyat telah pun mengadakan mesyuarat mereka di pejabat Ketua Pembangkang, bangunan Parlimen.

Mesyuarat tersebut mengambil pendirian bahawa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat buat mengulangi pendirian untuk memperkukuhkan semangat kerjasama di dalam Pakatan Rakyat.

Selain itu, Pakatan Rakyat akan mengadakan Perhimpunan Sempena Menyambut Hari Kemerdekaan di Permatang Pauh pada 31 Ogos 2008 pada pukul 9:00 malam.

Tengku Razaleigh sebenarnya cuba menteteramkan dirinya sendiri kerana dimaklumkan beliau sedang berusaha keras mengumpul jumlah pencalonan bagi membolehkan beliau bertanding melawan Presiden UMNO, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pemilihan UMNO yang akan datang.

Sumber dalaman UMNO memberitahu, Tengku Razaleigh yakin beliau akan mendapat cukup pencalonan dan akan berjaya mengalahkan Abdullah seterusnya menjadi Presiden dan Perdana Menteri Malaysia.

Menurut sumber itu, Tengku Razaleigh berkata beliau sekurang-kurangnya akan mendapat tiga pencalonan dari negeri Terengganu.

Suatu ledakan dan kejutan juga berlaku, Bahagian Besut yang di kuasai oleh bekas Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Idiris Jusoh adalah salah satu bahagian yang akan mencalonkan Tengku Razaleigh.

Idris akan mencalonkan Tengku Razaleigh kerana beliau dikatakan sudah hilang kepercayaan kepada Abdullah kerana tidak membantu beliau dalam menghadapi menghadapi serangan dan tuduhan berkaitan projek-projek mega Terengganu.

Walhal, mereka (Idris dan Abdullah) bersama-sama merancang dan melaksanakan projek tersebut termasuk perlumbaan perahu layer Monsoon Cup dan juga Taman Tamadun islam di Pulau Wan Man.

Justeru itu, Tengku Razaleigh perlu membuat kenyataan ‘kontra’ kepada usaha Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya kerana beliau sendiri bercita-cita ke arah yang sama.

Dalam pada itu, Anwar, pada hari pertama kembali ke Parlimen (28 Ogos) telah pun mengadakan pertemuan dengan sekumpulan AP dari Sarawak dipercayai antara lain membincangkan strategi mereka menyertai Pakatan Rakyat.

mStar Online melaporkan pertemuan itu diadakan di ibu negara lewat petang hari tersebut.

Dimaklumkan bahawa dalam pertemuan tersebut, memfokus beberapa langkah yang perlu diambil untuk menyertai Pakatan Rakyat.

"Ada sekumpulan wakil rakyat (BN) telah menemui beliau (Anwar), dalam lingkungan 10 orang... beberapa perkara dibincangkan," kata sumber yang dipercayai.

Sumber itu tidak menolak penyertaan ahli-ahli Parlimen BN ke dalam Pakatan Rakyat akan berlaku dalam waktu terdekat.

Pertemuan itu diadakan walau baru beberapa jam shaja selepas ahli-ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak mengisytiharkan taat setia mereka akan bersama BN pada sidang media bangunan Parlimen.

Dalam perkembangan yang sama, Dato’ Seri Najib Razak berkata hari ini, beliau telah menerima penjelasan beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah yang enggan menandatangani surat jaminan taat setia kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Utusan Online memetik Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Ahli Parlimen terbabit telah menghubungi beliau secara peribadi dan menjelaskan sebab tidak menandatangani surat jaminan berkenaan.

Walaupun AP terbabit memberi jaminan tetap menyokong BN tetapi mereka tidak mahu terikat dengan menandatangani surat jaminan tersebut

Anwar: 'Saya sibuk minggu depan temui MP bincang lompat parti'

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi sasaran 16 September masih kekal sambil menegaskan, beliau mempunyai agenda ketat mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dalam tempoh beberapa hari akan datang bagi membincangkan soal menyertai Pakatan Rakyat.

Wakil-wakil rakyat berkenaan termasuk mereka dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak - antara lain laluan bagi membentuk kerajaan baru persekutuan.

mStar Online difahamkan kelmarin beliau telah mengadakan pertemuan dengan enam wakil rakyat BN dari Sarawak di ibu negara - beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat.

Malah mStar Online, Anwar juga telah dijemput untuk menghadiri pertemuan khas dengan ahli-ahli Parlimen Sarawak di Kuching esok.

Bagaimanapun Anwar masih meneliti perkara itu kerana mempunyai jadual menemui pengundinya di Permatang Pauh.

Selepas mengangkat sumpah, desas-desus timbul mengatakan 40 hingga 50 wakil rakyat sudah menyatakan kesediaan untuk melompat parti.

Ketika ditemui wartawan di Permatang Pauh sempena majlis perhimpunan bersama rakyat dan terima kasih selepas kembali sebagai Ahli Parlimen bahagian itu hari ini, Anwar berkata, beliau akan memberi tumpuan sepenuhnya sepanjang beberapa hari akan datang untuk membuktikan sasaran 16 September akan dicapai.

Kata Anwar, tidak menjadi masalah bagi beliau jika ada pihak yang mempersendakannya dan sasaran 16 September untuk membentuk kerajaan.

"Pada awalnya mereka mendakwa jika saya menang di Permatang Pauh, saya hanya akan memperoleh majoriti lebih 1,000 undi sahaja.

"Mereka juga mengatakan bahawa tiada negeri yang akan jatuh kepada pembangkang dalam pilihan raya umum Mac lalu. Tetapi satu pun daripada tanggapan sedemikian menjadi," katanya.

Pembangkang kini menguasai lima negeri - Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor.

Mengulas lanjut mengenai soal melompat ke Pakatan Rakyat, Anwar berkata, pihaknya tidak akan menggunakan wang, tekanan ataupun ugutan bagi menarik wakil rakyat BN menyertai barisan pembangkang.

Kata beliau, tiada mana-mana wakil rakyat BN yang ditawarkan jawatan menteri setakat ini.

"Mengapa saya harus menjanjikan mereka ketika saya sendiri pun tidak pasti di mana kedudukan saya (dalam kerajaan Pakatan Rakyat)," kata beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pihaknya hanya menjanjikan keadilan dan kesaksamaan perwakilan kepada ahli-ahli Parlimen yang menyatakan kesediaan untuk melompat ke dalam Pakatan Rakyat.

Sumber-sumber terdekat PKR tidak menolak penyertaan ahli-ahli Parlimen BN ke dalam Pakatan Rakyat akan berlaku dalam waktu terdekat

Kelmarin, beberapa ahli-ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak mengisytiharkan taat setia mereka akan bersama BN pada sidang media bangunan Parlimen.

Anwar mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh Selasa lalu.

Kemenangan itu dikatakan menambah spekulais bahawa beliau akan mempercepatkan strategi melompat parti.

Abdullah cakap orang cemuh, Muhyiddin cakap orang terima…

Kiriman Politica


Sejak PRU12 Muhyiddin Yassin nampaknya bersuara berbeza dari bosnya Abdullah Badawi. Bos dia nampak sangat macam tak kisah dengan kekalahan BN. Muhyiddin pula jelas menyuarakan sesuatu yang relevan dengan kekalahan itu. Suara Abdullah dipertikai oleh rakyat. Suara Muhyiddin sesuai dengan citarasa ramai.

Semalam pun Abdullah cakap lain, Muhyiddin cakap lain, pasal impak PRK Permatang Pauh. Cakap Abdullah orang cemuh. Cakap Muhyiddin orang terima.

Perkembangan macam ni menyebabkan Muhyiddin macam kena gam oleh orang kuat Abdullah dan sesetengah media massa. Kadang-kadang berita menantu Abdullah lebih besar dari berita Muhyiddin. Nasib badan. Inilah antara dugaan bila seseorang memperkatakan kebenaran!

Hari ini ada desas-desus, Muhyiddin nak jumpa empat mata dengan Abdullah. Tunggu punya tunggu, sampai dah lebih dua bulan, Muhyiddin belum lagi dapat jumpa bosnya. Kalau ini sahih, kesian betul!

Baru-baru ni Muhyiddin kata, dia tak nak tanding mana-mana jawatan lebih tinggi dalam UMNO. Katanya, dia cuma nak pertahankan jawatannya sekarang – Naib Presiden UMNO. Dalam hal ni pun peluang Muhyddin masih touch-n-go. Proksi Abdullah dan menantunya tentu ramai yang nak lanyak Muhyiddin.

Banyak pihak terkilan dengan kenyataan Muhyiddin. Ada yang marah dia, ada yang tempelak dia, ada yang sindir dia. Habis nak buat macam mana? Najib dah termakan gula-gula peralihan kuasa hidangan Abdullah. Kalau Muhyiddin langgar Najib, orang kata kurang ajar. Kalau Muhyiddin langgar Abdullah, orang kata, lagi kurang ajar besar. Serba salah Muhyiddin!

Tapi nampaknya UMNO akar umbi tak peduli. Ada gula-gula peralihan kuasa atau tidak, banyak juga cawangan UMNO dah desak bahagian masing-masing yang mereka mahu Abdullah disingkir. Mereka mahu Najib jadi Presiden UMNO, Muhyiddin jadi Timbalan Presiden UMNO.

Sesetengah cawangan mahukan Tengku Razaleigh Hamzah jadi Presiden UMNO dan Muhyiddin jadi Timbalan Presiden UMNO.

Ini semua menunjukkan UMNO cawangan berani gunakan kuasa dalam Perlembagaan UMNO. Tapi, mereka juga cemas kalau-kalau usul mereka tu tak sampai ke mana – dibakulkansampahkan oleh bahagian masing-masing.

Rasa-rasanya ada lagi harapan untuk orang UMNO bertindak. Mereka boleh gunakan mesyuarat perwakilan bahagian mulai Oktober 2008, untuk bangkang pencalonan Abdullah ke jawatan Presiden UMNO. Ini diizinkan oleh perlembagaan parti.

Nak takut apa? Ini hak ahli UMNO. Kalau Presiden dah tak boleh memperkasakan parti, buat apa dia nak jadi presiden lagi? Kalau UMNO bawah pimpinan dia hari ni kucar-kacir, buat apa nak pilih pemimpin yang jadikan UMNO lebih kucar-kacir lagi?

Tapi, Najib nampaknya susah nak diketengahkan. Nama dia susah nampaknya nak diterima oleh sesetengah orang UMNO. Itu terserahlah. Kalau tak mau Najib, Muhyiddin ada, Tengku Razaleigh ada, Rais Yatim ada, sapa-sapa lagi pun boleh dicalonkan, asalkan bukan Khairy!

Kalau orang UMNO dah tak mau Abdullah, kenalah kerja dari sekarang. Tapi godaan dan cobaannya banyak. Para pendukung Abdullah, luik cak bo liaw lo! Jadi, jangan izinkan diri dirasuah dengan duit yang menimpa-nimpa. Kalau dia orang bagi, ambik! Lepas tu, cepat-cepat bawa duit tu ke pejabat BPR terdekat dan buat laporan sejelas-jelasnya.

Ingat ni. Raya dah nak dekat. Jangan gelap mata, jangan lemah iman. Orang bagi duit ambik! Tapi jangan buat belanja beli bunga api ke, beli langsir baru ke, beli karpet baru ke.. Cepat-cepat bawa duit tu ke pejabat BPR!

Kalau semua orang UMNO berani buat macam ni, harapan Najib, Muhyiddin, Tengku Razaleigh atau Rais untuk naik agak cerah. Kalau tak, bersyarahlah sampai berbuih mulut, walhasil balik asallah jawabnya! Abdullah akan terus berkuasa, UMNO jadi lebih celaru, kita semua hidup sengsara !.

Sabtu, 30 Ogos 2008

Sempena sambutan kemerdekaan ke 51: mendesak Abdullah mengundurkan diri Politically Incorrect

Ruhanie Ahmad


Esok kita merayakan kemerdekaan negara yang ke-51 tahun. Kemuraman suasana terpancar di mana-mana. Rasa sedih dan pilu menyelubungi jiwa. Ini kerana dalam kedewasaan usia kemerdekaan, kita terpaksa berhadapan dengan kepimpinan nombor satu negara yang paling lemah dalam sejarah tanahair.

Realiti kelemahan pemimpin besar ini jarang-jarang sekali disuarakan secara rasmi, meluas dan terbuka, konon kerana ianya “politically incorrect” kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang masih terus bertakhta di Purtajaya.

Soal kelemahan ini banyak kali dibicarakan secara terbuka oleh segolongan bloggers sosio-politik Malaysia. Malangnya, kumpulan ini pula dilabelkan sebagai kelompok partisan yang menyebarkan fitnah untuk mencemarkan imej, kredibiliti dan integriti Abdullah.

Ada juga pelbagai NGO akar umbi berusaha membicarakan hakikat ini menerusi forum di merata negara. Tapi, usaha mereka pula sering disabotaj oleh pihak yang menerima arahan daripada Putrajaya.

Pada ketika ini ada warga akar umbi yang berusaha merobah kepimpinan Abdullah menerusi saluran UMNO. Tetapi, hanya 110 daripada 20410 cawangan UMNO di seluruh tanahair yang kini berani bertindak sedemikian rupa.

Buta Hati

Yang lainnya sama ada tidak peduli apa yang sedang dan akan berlaku, sibuk berpolitik untuk pertahankan jawatan masing-masing, sudah buta hati akibat politik wang, atau takut ditekan dan diugut.

Pihak yang mengakui hakikat kelemahan Abdullah, tetapi takut untuk bertindak menegakkan kebenaran, lebih rela jadi hipokrit. Mereka redha memutihkan yang hitam dan menghitamkan yang putih. Mereka lakukan ini semua kerana enggan “ditekan atau dianaiya.” Tetapi, ada juga antara mereka yang mengharapkan untuk “dibeli” dengan harga yang cukup lumayan.

Fenomena ini menyebabkan rakyat jelata yang kecewa dengan Abdullah jadi tambah marah. Mereka yang mahukan Abdullah mengundurkan diri secara terhormat jadi makin keliru. Mereka keliru kerana niat Abdullah hendak mengundurkan diri memang telah tersebar luas selepas PRU 12. Tetapi, niat ini dibatalkan kerana desakan kuat segelintir manusia di sekeliling Abdullah.

Sekarang kita rasakan sendiri bahana kedolak-dalikan ini. Keyakinan rakyat terhadap Abdullah makin terhakis. UMNO dilanda dilemma. Peralihan kuasa daripada Abdullah kepada penggantinya hanya akan dilakukan pada 2010. Tempoh yang panjang ini hanya menjanjikan anxieties, uncertainties, keresahan, kekecewaan dan kemarahan di kalangan rakyat jelata yang mengharapkan perubahan kepimpinan tertinggi negara dengan segera.

Dalam keadaan seperti ini, banyak pihak menudingkan jari kepada Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mewariskan tampuk kepimpinan Malaysia kepada Abdullah. Mereka lupa, UMNO juga turut bertanggungjawab dalam hal ini kerana UMNO yang memuktamadkan pilihan Mahathir dengan merestui Abdullah jadi Presidennya.

Boneka Asing

Mahathir menyerahkan Malaysia kepada Abdullah dalam keadaan baik - tidak ada krisis keyakinan, tidak ada manipulasi keluarga, tidak ada campur tangan asing, tidak diperlekehkan komuniti antarabangsa.

Mahathir juga mewariskan Malaysia kepada Abdullah dalam keadaan rakyat jelata hidup sejahtera, harmoni, merasai kemakmuran, menyaksikan kestabilan politik, sentiasa komited kepada kemajuan negara, sentiasa menambah-nilai kemampuan diri, sentiasa memelihara kemerdekaan tanahair, sentiasa mempertahankan kedaulatan pertiwi.

Ini kerana Mahathir menerima tampuk kekuasaan kerajaan dan parti dengan penuh rasa tanggungjawab. Beliau menguruskan kerajaan, BN dan UMNO dengan amanah, cekap dan jujur. Mahathir berdisiplin, berwibawa tinggi, sentiasa menjajarkan dirinya dengan perkembangan global dan serantau menerusi proses pengkayaan ilmu yang berterusan, mampu mentafsirkan implikasi geopolitik kepada survival negara-bangsanya, berwawasan futuristik, berminda proaktif, pintar mentafsir mimpi, peluang dan realiti, tidak tunduk kepada mana-mana kuasa besar, tidak berkompromi dengan mana-mana jiran tetangga yang busuk hati.

Pastinya Mahathir juga mengharapkan Abdullah berkhidmat dan berjuang demi agama, bangsa dan tanahair. Maksudnya, jangan sekali-kali dikongkong, dikuasai, dimanipulasi atau dicorak-warnakan oleh keluarga, sahabat atau jiran tetangga. Abdullah dituntut berdisiplin, berwibawa tinggi, tegas, bijaksana, amanah, prihatin, jujur dan ikhlas. Dalam ertikata lain, Mahathir mengharapkan Abdullah tidak relakan diri, kerajaan dan partinya jadi boneka kepada sesiapa; tidak disusupi oleh mana-mana boneka; tidak jadi lemah, tempang dan terumbang-ambing.

Harapan Mahathir ini adalah juga harapan rakyat jelata kepada Abdullah. Tetapi, mungkin Mahathir tidak huraikan harapan ini secara terperinci kepada Abdullah. Biarpun begitu, harapan ini pastinya mampu dirincikan sendiri oleh Abdullah.

Kata Dua

Pada ketika ini, amat janggal untuk sesiapa bersemuka dengan Abdullah dan ingatkan beliau akan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri, terutama sekali selepas BN mengalami kekalahan teruk di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dalam PRU12. Kekalahan tersebut adalah manifestasi kepada sesuatu yang perlu diperbetulkan, yang memerlukan kajian yang jujur, mendalam dan menyeluruh; yang menuntut Abdullah sendiri jadi paksi utama kepada proses melaksanakan koreksi total sewajar-wajarnya.

Tetapi, kerana situasi semasa semakin gawat dan bercelaru akibat Abdullah terus diulit keyakinan kononnya kerajaan masih kuat dan siasahnya juga terus disokong oleh rakyat, beliau mestilah diberikan kata dua yang tegas supaya berundur dari persada kekuasaan di Putrajaya. Inilah sahaja pilihan terbaik buat saat dan ketika ini.

Pada waktu yang sama, adalah juga sia-sia dan membuang masa untuk sesiapa insafkan Abdullah bahawa beliau bukannya tauke sarkas yang perlu menaungi segolongan badot kelas atasan; bukan collector boneka aneka wajah yang boleh meriasi pejabatnya di Putrajaya; bukan kepala gerombolan lanun kolar putih yang bermaharajalela sesuka hatinya; bukan pemilik syarikat sole proprietorship yang mesti mengaut khazanah rakyat untuk dijadikan warisan keluarga.

Begitulah hakikatnya Abdullah pada hari ini. Era kepimpinan Abdullah ini akan tercatat dalam sejarah tanahair sebagai satu-satunya yang penuh dengan pelbagai citera negatif. Abdullah juga akan tercatat dalam sejarah sebagai pemimpin yang membawa UMNO ke arah kehancurannya.

Banyak lagi persoalan mengenai Abdullah yang boleh dijadikan kata dua untuk mendesak beliau mengundurkan diri dengan seberapa segera. Antaranya adalah mengenai samarnya pemikiran strategik beliau selaku seorang Perdana Menteri di abad ke-21 yang menjadikan Asia Tenggara, termasuk Malaysia, sebagai sasaran utama puak zionis yang menguasai AS dan sekutunya. Dalam konteks ini, Abdullah tidak sensitif dan gagal membaca seluruh kilat dan kilau geopolitik mutakhir. Beliau gagal mentafsir setiap gerak membabitkan kuasa besar Barat serta proksi-proksinya di rantau ini.

Singapura

Contohnya, sewaktu jadi Timbalan Pedana Menteri, Abdullah amat vokal terhadap Singapura yang berusaha mempolitikkan isu harga air hingga ke pelantar antarabangsa. Bila berkuasa, kenapakah tersebar luas tohmahan bahawa Abdullah telah menggadaikan maruah bangsa dan kedaulatan negara ini kepada Singapura? Kedolak-dalikan Abdullah mengenai projek Jambatan Bengkok di Tanjung Puteri, Johor Bahru, Johor, hingga kini belum terjawab misterinya. Kemurahan hati Abdullah membuka Iskandar Malaysia yang disorot umum sebagai wilayah tambahan kepada Singapura kini sangat-sangat memilukan banyak pihak. Kesediaan Abdullah menangguhkan perbincangan ke atas seluruh isu tertunda membabitkan Singapura pula terus diselubungi tanda tanya besar. Kekalahan Malaysia dalam kes tuntutan Pulau Batu Puteh yang kini diserahkan kepada Singapura amat menyayat hati majoriti rakyat jelata.

Oleh itu, sampai bilakah desakan supaya Abdullah mengundurkan diri secara terhormat daripada persada kepimpinan tanahair akan dianggap sebagai “politically incorrect”? Berapa lama lagikah kenyataan-kenyataan yang benar mengenai kelemahan Abdullah akan terus jadi suara derhaka?

Selagi Abdullah masih mahu terus berkuasa? Selagi Abdullah masih setia kepada maksud bait-bait puisi “Damai Abadi”? Selagi insan tertentu belum jadi Perdana Menteri mencecah usianya 40 tahun? Selagi Datuk Seri Najib Tun Razak masih boleh dimomokkan dengan persepsi negatif? Atau, selagi kerajaan, BN dan UMNO belum tersungkur ke bumi untuk menyembah kekalahan yang paling total dalam sesuatu pilihan raya umum?

Persoalan-persoalan ini melatarbelakangi pemikiran banyak pihak pada perayaan kemerdekaan negara ke-51. Tetapi, seluruh persoalan ini masih amat sukar sekali untuk dijadikan “politically correct” bagi memudahkan Abdullah mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya kepada kepimpinan tanahair tercinta ini!

Esok kita sambut hari kemerdekaan negara kita. Tapi lihatlah sendiri, berapa banyak bendera dikibar dikereta-kereta seperti dulu? Mana ada keghairahan mengenai sambutan kali ini? Adakah semua ini mencerminkan hati dan jiwa rakyat jelata yang sedang luka dilanda dilemma akibat kepimpinan Abdullah yang lemah dan tempang? Renungkan dan fikir-fikirkanlah!

Diari Pasung RTM pesong fakta ISA

Ali Bukhari Amir


Pada pagi 26 Ogos (11.15 pagi) saya menaiki bas dari kampung ke KL. Tiba di tol Sg Dua Pulau Pinang debaran memuncak. 'Road-block' polis bermula. Setibanya di Seberang Jaya, barulah warna-warni api peperangan hari ini semakin jelas menyala terang.

Kelihatan kibaran bendera Barisan Nasional yang berselangseli dengan bendera Keadilan. Kelibat anak-anak muda pro-Keadilan berkonvoi makin jelas di mana-mana.

Sukar untuk melihat kenderaan memakai pelekat Umno dan BN berkonvoi begitu.

Dari kampung ke KL, balada Permatang Pauh

Mungkin mereka ada, tetapi hal sebegitu dibuat di tempat lain. Saya tiba di Hentian Putra KL sekitar jam 5 petang. Malam itu Diari Pasung menyiarkan pula dokumentari Kemta di Kemunting, Perak yang melibatkan tahanan ISA. Sakit hati betul menontonnya. Hisy!

Kata orang kalau mahu tekanan darah meningkat, rajin-rajinlah menonton RTM. Tapi tak apalah, sabar itulah sebaik-baik bekalan. Kalau kita sabar, kita akan dapat pahala.

Jadi, seharian dalam perjalanan sehingga ke petang, dalam fikiran saya sering terfikirkan tiga perkara. Bagaimanapun, semua ini hanya telahan ramalan peribadi saja.

Pertama, jika Permatang Pauh dimenangi Anwar, apakah nasib tahanan ISA? Kedua, jika Anwar jadi PM, bagaimanakah kedudukan Malaysia di dalam peta dunia? Ketiga, perihal kedajalan Umno yang gemar dan handal menipu rakyat.

Baiklah, marilah kita bualkan satu persatu. Pertamanya, hal-ehwal ISA. Saya merujuk hal ini terhadap dokumentari Diari Pasung malam itu.

Antara yang diwawancara ialah Dr Agus Yusof dan Dato' Ibrahim Ali. Entah bagaimana, mereka barangkali terlupa agaknya untuk menemuramah Said Zahari yang merengkok di dalam penjara selama 17 tahun, kerana mempertahankan pendiriannya.

Saya difahamkan Pak Said Zahari ketika mewawancarai beliau tidak lama dahulu bahawa pihak KDN pernah menemuramah beliau untuk diminta pendapatnya tentang ISA ini. Di mana akhirnya rakaman itu, dan atas tujuan apa tidaklah diketahui.

"Barangkali, mereka gunakan rakaman itu semata-mata untuk mengkaji dan menganalisa pandangan saya berhubung Akta ISA tersebut," demikian kata Pak Said.

Soalan cepu emas, kenapakah tak digunakan rakaman tersebut di dalam Diari Pasung untuk menggambarkan keseluruhan isi tema wacana tentang ISA? Kalau mereka gunakan perkataan ahli-ahli tahanan yang sudah insaf, itu jelas propaganda semata-mata.

Semak catatan tahanan ISA secara menyeluruh

Antara yang sudah 'insof' itu bernama Yazid. Jadi, mereka mempergunakan tahanan ISA yang telah 'insof' untuk meriwayatkan kebaikan ISA, sekali gus mempengaruhi kita

Semak juga catatan Pak Sako, memoir Said Zahari, Pak Samad dan lainnya jika Abdullah Ahmad Badawi jujur dan berani. Seperkara lagi, bagaimana mereka mahu jawab tentang ugutan, ancaman SB ke atas keluarga tahanan ISA?

Apa yang ditunjukkan ialah menu makanannya yang baik. Diakui sejak dulu malah dalam memoir catatan tahanan ISA sendiri, menu dan diet makanan mereka memang baik. Tapi, bukanlah hal itu yang dipertikaikan oleh tahanan ISA.

Yang dipertikai, ialah kenapa 'jenayah' fikrah dan pemikiran mereka tak pernah dibantah secara umum sama ada dalam mahkamah atau melalui debat terbuka oleh kerajaan?

Keduanya, 'makanan perut' dipelihara, tapi 'makanan akal dan otak' seperti menulis untuk berhubung dengan dunia luar dinafikan. Adakah tahanan ISA diberi ruang menulis?

Dokumentari itu juga menyebut bahawa tahanan boleh mengakses bahan bacaan. Namun, sempat juga dicemuh pandangan tahanan apabila tahanan melemparkan rungutan bahawa, buku-buku itu dikatakan tidak kemaskini.

"Inilah yang dikatakan mereka tidak sedar diri, tidakkah mereka sedar bahawa mereka itu cuma tahanan?" kalau tidak salah saya, kurang lebih, begitulah bunyi ayat cemuhan itu. Sakit hati, jiwa dan perasaan walaupun saya bukannya salah seorang tahanan ISA.

Dr Agus ketika ditemubual, turut menyatakan bahawa mereka tidak boleh dilayan sebagai banduan. Bermaksud, tentu ada kelainan di antara 'jenayah politik', 'jenayah ekonomi' dan 'jenayah seksual'. Tapi, apakah ada pihak yang menggariskan bentuk 'kelainan' itu?

"Mereka tak pernah dibicarakan. Jadi mereka bukannya penjenayah biasa. Maka, tahanan ada hak beribadat, hak berhibur, menonton tv dan hak menemui keluarga," katanya.

Hak menulis dan mengundi

Kita ingin mencadangkan agar tahanan ISA ini diberi hak menulis ketika berada di dalam penjara. Dan, hal ini tentu sulit bagi kerajaan untuk memberikannya. Kerajaan boleh beri apa saja. Makanan dan minuman terbaik, hak beribadat, beruzlah dan berkhalwat.

Tapi, hal untuk memuntahkan pemikiran, idea, dan fikiran itu tidaklah boleh dipenuhi. Ini kerana, kebanyakan mereka itu bukan ditahan kerana tindakan jenayah, tetapi oleh kerana idea dan perbezaan idealogi di antara mereka dengan kerajaan.

Jadi adakah kerajaan akan memberi ruang sekali lagi untuk mereka menyebarkan idea-idea mereka itu?

Jawapannya, sekali-kali tidak! Ini kerana, oleh kerana idea itulah mereka dipasung. Saya berani potong jari jika mereka diberi hak menulis di akhbar termasuk hak mengundi!

Syahadan, kembali kita kepada persoalan ramalan awal tadi. Adakah selepas pasca politik Permatang Pauh, tahanan ISA dibebaskan dan ISA dimansuhkan?

"Saya takut ISA masih digunakan. Selepas ini digunakan atas alasan membendung aliran yang dikatakan memudaratkan agama khasnya Islam," demikianlah bicara seorang teman.

Sekali lagi diingatkan, ini cuma telahan dan ramalan saja.

Kedua, bagaimana rupa paras peta Malaysia ini selepas politik pasca Permatang Pauh? Di Amerika kini, Obama dinobatkan sebagai bakal Presiden di republik tersebut. Mujur juga tiada yang mengaitkan Obama dengan Osama, kerana sebutan nama itu hampir sama.

Adakah negara kita akan berkiblatkan Amerika jika Obama menang? Politik dunia yang tak menentu seperti Rusia menyerang Georgia baru-baru ini memungkinkan perang dunia ketiga akan terjadi. Blok kapitalis Amerika pimpinan George Bush sebelum kejatuhannya mungkin akan melakukan percekcokan dan 'chaos' dengan cara menyerang Rusia.

Malaysia, pasca Permatang Pauh di bawah pimpinan Pakatan Rakyat akan mahu berkiblat ke mana selepas itu? Mahu bergabung dengan Amerika atau Rusia? Matawang Amerika dan ekonominya yang lembap tentulah menyebabkan negara kita mesti membuat pilihan. Saya syor kita alihkan 'kiblat ekonomi dan politik' dengan cepat kepada blok Rusia.

Keputusan ini perlu dibuat beberapa tahun sebelum kemunculan Imam Mahdi, Ratu Adil.

Bagaimanapun, simpan syor ini dalam kepala pimpinan PR masing-masing. Kita mestilah siap sedia dengan pelbagai kemungkinan.

Hujung usia dunia

Kita kini berada di hujung usia dunia. Yakjuj Makjuj telah tiba serta dajjal si penipu telah lama bertindak melebarkan cengkamannya. Di Malaysia, tanpa perlu berdalih, Umnolah dajjal yang mewarisi legasi Freemason di Malaya sejak kehadiran Portugis, British.

Mereka menipu rakyat dengan menggunakan jentera media dan sentiasa menyatakan ISA itu bagus dan Auku itu memang baik. Memang disebutkan dalam hadis bahawa hanyalah yang beriman sahaja yang tidak mudah ditipu oleh dajjal, manakala yang lainnya teruslah ditipu dan dipermainkan dajjal dengan tipudayanya.

Syahadan, selepas Anwar menang, Umno BN akan berdendam ke atas rakyat Permatang Pauh seperti mana Umno BN melepaskan dendamnya ke atas rakyat yang tidak mengundi mereka dalam pilihan raya lalu. Antara contoh dendam itu, harga minyak dinaikkan.

Dan, memang inilah sifat dajjal seperti yang disebutkan dalam hadis nabi. Iaitu, di bawah pemerintahan dajjal, mana-mana orang yang enggan mengikutinya, maka akan diletakkan mereka itu di dalam neraka dunia. Maka, ISA itu adalah serpihan neraka dunia itu.

Najib, Muhyiddin sentuh strategi selamatkan BN

mstar online


PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan mendengar dan menilai suara rakyat sebelum melakukan "apa yang patut" bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada kerajaan pimpinan BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, BN akan mengkaji semua aspek termasuk strategi berkempen dan melakukan apa yang sepatutnya selepas mengalami kekalahan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini.

"Kita mengambil iktibar dan menghormati keputusan rakyat, itu pertama, dalam demokrasi kita kena dengar suara rakyat, dan BN pun sebagai sebuah parti kalau kita hendak bertahan lama, kita kena menilai suara rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau Parlimen Pekan bersempena menjelang Bulan Ramadan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat "pembangkang tidak menang, sebaliknya BN tewas di Parlimen Permatang Pauh" pada pilihan raya kecil kawasan itu 26 Ogos lepas.

"Maknanya BN kena buat apaapa yang perlu untuk tambah keyakinan rakyat kepada BN dan InsyaAllah ini akan dilakukan supaya kita dapat sokongan yang bertambah,
Macam-macam komen (telah disuarakan), sebab itu kita mesti buat sesuatu untuk kembalikan keyakinan rakyat kepada BN, kita tak boleh lihat BN dalam sudut satu pilihan raya kecil sahaja, kemuncaknya pada pilihan raya umum akan datang," kata Najib.

Pada pilihan raya kecil itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menewaskan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat dengan majoriti 15,671 undi.

"Kita kaji semua aspek, apa yang patut kita lakukan, kita akan lakukan," kata Najib.

Najib juga berkata beliau ternanti0nanti jawapan pihak pembangkang apabila dakwaan mereka kononnya untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September ini tidak tercapai.

"Insya-Allah kerajaan BN boleh bertahan, kita tunggu apa jawapan parti pembangkang kalau tidak jadi 16 September ini (untuk tubuhkan kerajaan)," katanya.

Mengulas mengenai pengakuan tidak berbelah bagi wakil rakyat Sabah kepada kerajaan, Najib berkata, beliau yakin wakil rakyat Sabah akan terus menyokong kepimpinan kerajaan BN.

"Mereka beri pengakuan untuk sokong, ada yang tandatangani, ada yang tidak menandatangani tapi berhubung secara langsung dengan saya (nyatakan sokongan), tapi mereka tidak setuju kaedah ini (tandatangani sokongan), seolah-olah kita tidak yakin pada mereka, seolah-olh mereka hendak menyeberang kepada pihak pembangkang," kata Najib.

Di KUALA LUMPUR, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO memerlukan sokongan daripada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi mempertahan kedudukannya dalam menentukan perikatan itu terus berkuasa di negara ini.

"Sebab itu konsep perikatan BN kita terima tapi mesti ada satu pembaharuan yang sesuai mengikut keadaan semasa tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti-parti di dalamnya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin melepaskan konvoi 20 buah kereta di bawah program Hijrah

Merdeka anjuran Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan.

Konvoi kembara berkenaan, yang akan singgah di beberapa pusat pengajian tingi di sepanjang jalan ke Melaka, adalah yang pertama anjuran persatuan itu dalam mengisi aktiviti Hari Kebangsaan yang akan disambut serentak di seluruh negara, esok.

Muhyiddin berkata, hasrat yang disuarakan oleh pemimpin parti komponen BN untuk meninggalkan parti itu walaupun mungkin "main-main" tetapi ia merupakan "bunga-bunga tidak sihat" yang perlu ditangani segera.

Beliau turut mengulangi pandangannya tentang perlunya mewujudkan BN "baru" bagi mengekalkan sokongan dan kesetiaan orang ramai kepada parti itu.

"BN perlu berani mewujudkan sebuah BN baru dalam konteks pemikiran baru dan harapan baru supaya ia terus relevan dan sehaluan dengan kehendak serta matlamat pengundi muda," katanya.

Mengenai usaha Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang hendak mengumpul tandatangan mengikrarkan taat setia semua 58 ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak kepada BN, Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak yang terlibat.

Beliau berkata, kenyataan mereka untuk kekal bersama BN sebelum ini sudah memadai.

Beliau berkata, Anggota Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak adalah orang-orang yang bijak.

"Mereka sendiri sudah mengatakan mereka bukan barang yang boleh dijual beli, mereka ada prinsip, jadi saya fikir itu cukup penting dalam kita nak terima itu sebagai satu kenyataan," katanya.

"Kalau tak buat pun tidak apa, kita dah terima ikrar mereka kerana kalau ia sudah dinyatakan secara terbuka dalam media bukan sekali tapi beberapa kali, jadi kita terima kenyataan itu, kita tidak perlu surat," katanya.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang esok?

Oleh G. MANIMARAN



PETALING JAYA: Tinggal kurang 24 jam sasaran tarikh 31 Ogos yang diletakkan oleh Barisan Nasional (BN) Perak untuk mengambil alih kerajaan negeri Perak!

Adakah ia akan menjadi kenyataan esok?

"Saya menunggu tarikh itu (31 Ogos). Ia Merdeka bagi kita semua," kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Ipoh hari ini.

"Pada 31 Ogos, Pakatan Rakyat akan tetap mempunyai 31 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kami akan menyambut hari kemerdekaan yang sebenar," tambah beliau.

Menteri Besar itu menekankan, esok sebenarnya merupakan hari kemerdekaan yang sebenar bagi rakyat negeri Perak.

Pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, pembangkang yang terdiri daripada DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya membentuk kerajaan baru - kerajaan campuran - selepas menang 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala BN hanya mampu menguasai 28 kerusi. Pembangkang turut menang di 11 kerusi Parlimen manakala BN memperoleh 13 kerusi.

Awal bulan ini, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali
melahirkan keyakinan bahawa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu akan jatuh menjelang sambutan Hari Kemerdekaan yang jatuh esok.

Bulan lalu, beliau yang juga Pengerusi BN Perak mengharapkan lebih daripada dua ADUN Pakatan Rakyat akan menyertai BN.

Malah akhir bulan lalu, Tajol Rosli ada menawarkan jawatan Menteri Besar kepada PAS jika bersedia untuk membentuk kerajaan campuran dengan BN.

Nizar merupakan wakil PAS dan dilantik sebagai Menteri Besar.

Turut ditawarkan ialah tiga ataupun empat jawatan Exco kepada parti tersebut.

Selepas tanggal 31 Ogos, rakyat akan menanti sama ada sasaran Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai tarikh 16 September membentuk kerajaan baru persekutuan akan menjadi kenyataan.

Dilema imam Ramlang: 'Saya tidak kempen, cuma jelaskan isu sumpah'

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi yang menjadi saksi angkat sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan yang didakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengejutkan banyak pihak ketika kempen pilihan raya Permatang Pauh minggu lalu menjelaskan dia masih lagi imam masjid berkenaan.

"Hingga kini, Insya-Allah saya masih lagi imam di Masjid Wilayah Persekutuan," katanya kepada mStar Online semalam.

Ramlang memberitahu, beliau tidak menerima sebarang surat tunjuk sebab atau arahan daripada pihak pentadbiran berhubung kedudukan jawatannya sekarang.

"Tidak, tidak terima apa-apa surat pun. Mengapa pula saya nak dikenakan tindakan sedangkan saya tidak melakukan kesalahan," katanya.

Beliau yang kini sedang bercuti selama seminggu bermula Isnin lalu akan kembali bertugas seperti biasa Selasa ini.

Rabu lalu Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, kemungkinan Ramlang boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dengan kempen pilihan raya Permatang Pauh.

Bagaimanapun jelas beliau, kehadirannya di Permatang Pauh, yang dikatakan 'berkempen' untuk Anwar, adalah bertujuan menjelaskan kepada masyarakat mengenai perkara sebenar serta tidak mahu orang ramai salah anggap tentang kehadirannya semasa Mohd Saiful bersumpah.

"Saya bukan berkempen. Saya hanya mahu beri penjelasan sebenar. Satu patah perkataan pun saya tak sebut mengenai kempen.

"Saya tidak kata pun kepada mereka di sana supaya undi mana-mana calon," katanya yang enggan menyatakan di mana beliau berada sekarang.

Beliau yang dihubungi hari ini juga enggan menyatakan di mana beliau berada bimbang keselamatannya terancam.

Ramlang berkata, beliau hadir ke 'pentas' Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah atas kehendak sendiri tanpa didorong oleh sesiapa mahupun untuk kepentingan peribadi.

Anwar bertanding atas tiket PKR dan menang Selasa lalu.

Jelasnya lagi 'kebetulan' PKR menyediakan platform serta memberi ruang kepadanya untuk membuat penjelasan berhubung perkara ini.

Ditanya mengapa tidak menggunakan saluran lain untuk membuat penjelasan, beliau berkata pihak lain mungkin susah menerima penjelasannya itu.

"Saya tak pilih Barisan Nasional (BN) sebab saya tahu penjelasan saya tidak akan diterima.

"Cuba anda fikir, jika saya ada pilihan iaitu sama ada BN, kenyataan media atau PKR... mana satu saluran yang orang nak dengar dan percaya?"

Diminta penjelasan mengapa beliau tidak memilih PAS untuk tujuan itu kerana PAS sememangnya memperjuangkan Islam, beliau berketa: "Sebab PAS tak jemput saya dan tak beri peluang kepada saya,".

Ramlang juga menyatakan kehadirannya semasa Mohd Saiful bersumpah laknat pada 15 Ogos lalu adalah secara kebetulan kerana beliau bertugas pada hari tersebut.

"Kebetulan saya bertugas, jadi pihak atasan mengarahkan saya untuk mendengar sahaja, bukan untuk mengatur.

"Saya tegur sewaktu dia (Mohd Saiful) tersalah sebut perkataan Watallahi sebab terlalu jelas kesalahannya, yang lain-lain saya dengar sahaja," katanya.

Bagaimanapun beliau kesal kerana ramai pihak yang menuduhnya bersekongkol dengan pihak-pihak tertentu.

Diminta mengulas mengenai 'arahan pihak atasan' seperti yang dimaksudkannya sebelum ini, beliau berkata dalam hal ini ia perlu difikirkan secara logik akal.

"Ini kena fikir logik. Masjid Wilayah Persekutuan adalah di bawah kerajaan negeri, jika kita ingin melakukan sesuatu di dalam masjid, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari pihak atasan.

"Sepatutnya imam besarlah... tapi dia tidak ada kerana mengerjakan umrah. Jadi anda fikirlah masjid ini di bawah pentadbiran siapa? Siapa lagi yang boleh memberi kebenaran?" katanya yang enggan menyebut siapakah pihak yang dimaksudkannya itu.

Othman Abdul nafi beri wang pada ahli ke Ptg Pauh

Muda Mohd Noor


Bekas ketua Umno bahagian Pendang, Datuk Othman Abdul menafikan dakwaan bahawa beliau memberi wang kepada ahli parti untuk ke Permatang Pauh semasa pilihanraya kecil di situ.

Beliau berkata, laporan sedemikian rupa muncul kerana beliau akan bertanding jawatan ketua bahagian Pendang, Oktober depan.

"Tidak betul...itu tipu kalau kata saya hendak beri wang kepada mereka.

"(Ketika) musim pemilihan memang boleh berlaku cerita seperti itu walaupun ia sebenarnya tidak ada (berlaku)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Othman berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa beliau memberi wang kepada beberapa ahli parti untuk membolehkan mereka ke Permatang Pauh.

Beberapa ahli Umno Pendang yang ditemui di Permatang Pauh mendakwa mereka mendapat RM100 yang diberikan oleh Othman.

Mereka mendakwa, wang tersebut diberikan oleh penyokong kuat Othman sehari sebelum bertolak ke Permatang Pauh, Selasa lalu.

Dalam pertandingan jawatan ketua bahagian Pendang, Othman dijangka berdepan dengan ketua bahagian sekarang, Datuk Md Rozai Shafian.

Reaksi Md Rozai

Daripada 143 cawangan yang telah mengadakan mesyuarat, Othman mendapat 98 pencalonan manakala Md Rozai, 45.

Sebanyak 45 cawangan lagi belum mengadakan mesyuarat ekoran ditangguhkan kerana pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Sementara itu, Md Rozai pula berkata, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan ia bertujuan untuk memburuk-burukkan calon yang bertanding ketua bahgian.

Beliau yang akan mempertahankan jawatan berkata: "Apa kena mengena pemilihan Umno Pendang dengan pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh?"

Katanya, mungkin ada orang tertentu yang menyebarkan cerita tersebut untuk meraih kepentingan mereka.

Sementara itu, ahli jawatankuasa (AJK) Umno Pendang, Md Kamal Saidin berkata, setakat ini beliau tidak mendengar laporan mengenai perkara tersebut.

"Mungkin pihak lawan cuba memburuk-burukkan pihak yang satu lagi menjelang pemilihan peringkat bahagian bulan depan," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui Umno bahagian membayar RM40 sehari kepada petugas parti yang berkempen di Permatang Pauh.

Krisis '88: Peguam lancar laporan bersih nama hakim

Malaysiakini


Hasil siasatan dalam laporan yang disediakan oleh sebuah panel tokoh-tokoh terkemuka bagi membersihkan nama enam hakim yang terjejas dalam krisis kehakiman 1988 dari sebarang salah laku, dilancarkan oleh Badan Peguam Malaysia hari ini.

Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga berkata sebuah panel enam tokoh terkemuka itu dibentuk pada Ogos tahun lalu untuk mengkaji, menyiasat, menyemak dan menyediakan laporan selepas badan Peguam Malaysia, Persatuan Peguam Antarabangsa (IBA), LAWASIA dan Transparency International-Malaysia membentuk sebuah jawatankuasa bersama bagi menjalankan kajian mengenai krisis itu.

Bernama memetik beliau sebagai berkata panel itu dibentuk bagi membetulkan rekod terhadap hakim-hakim terjejas yang sama ada digantung jawatan atau disingkirkan sebagai hakim berikutan penubuhan sebuah tribunal yang menyiasat dakwaan salah laku terhadap mereka.

Ambiga berkata, laporan itu mengandungi prinsip-prinsip dan garis panduan universal mengenai isu kedaulatan undang-undang dan kebebasan kehakiman, akan dikemukakan kepada kerajaan serta Persatuan Peguam di seluruh dunia dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.

"Tujuan (laporan itu) ialah untuk membetulkan rekod. Bagi badan peguam, kami tahu hakim-hakim ini tidak bersalah tetapi malangya terdapat rekod bercetak yang mengatakan sebaliknya, jadi kami berpendapat adalah perlu membetulkan rekod itu," kata Ambiga di majlis pelancaran laporan itu di Auditorium Majlis Peguam di Kuala Lumpur.

"Kami (Majlis Peguam) telah digelar dengan pelbagai nama dulu - pro-pembangkang, anti-kerajaan, pro-kerajaan dan baru-baru ini dengan beberapa nama lagi. Tetapi sejarah dan tingkah laku kami menunjukkan hanya satu label sebenarnya yang menyifatkan majlis ini sebagai pro-keadilan. Majlis ini sebenarnya sebuah organisasi Malaysia yang memperjuangkan impian Malaysia mewujudkan sebuah
masyarakat adil," kata Ambiga.

Dalam krisis kehakiman itu, Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan hakim-hakim Mahkamah Agung Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah telah dipecat dari jawatan.

Tiga hakim lain yang digantung jawatan tetapi kemudiannya dikekalkan semula jawatan ialah allahyarham Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh.

Gesa bebas tahanan ISA

Panel tokoh terkemuka itu terdiri daripada Ketua Hakim bersara Supreme Court India Hakim J.S.Verma, Hakim bersara Supreme Court Pakistan Hakim Fakhruddin G. Ebrahim, Peguam bela Supreme Court Pakistan Dr Ms. Asma Jahangir, Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas Presiden LAWASIA Dr Gordon Hughes dan rakan kanan di firma undang-undang Azman Davidson & Co Datuk W.S.W Davidson.

Ambiga berkata: "Ada kalangan berpendapat bahawa peristiwa 1988 harus dibiarkan berlalu dan kita harus bergerak ke depan. Bagaimanapun, kami percaya proses kebenaran dan perdamaian adalah kritikal sebelum kita boleh bergerak ke depan, oleh kerana ketidakadilan yang berlaku pada 1988 tidak boleh dibiarkan tanpa penyelesaikan dan diperakui dalam sejarah negara. Kami percaya ini adalah langkah pertama yang penting dalam proses reformasi kehakiman".

Beliau berkata kerajaan telahpun memperakui kesilapan yang telah dilakukan terhadap hakim-hakim yang terjejas dalam krisis itu dengan memberi mereka atau keluarga mereka bayaran ex-gratia, dan menambah laporan itu dalam satu cara, mengesahkan tindakan kerajaan dalam memberi bayaran tersebut dan dengannya isu krisis itu harus ditutup.

Ambiga, bagaimana menggesa Kerajaan mempercepat proses pembentukan suruhanjaya pelantikan kehakiman serta proses reformasi kehakiman.

Dalam hal berkaitan, Ambiga, dalam ucapannya juga menyeru supaya 66 tahanan ISA termasuk pemimpin-pemimpin Hindraf di pusat tahanan Kamunting dibebaskan segera.

Logo Merdeka 50% tiru simbol Taiwan

malaysiakini


Logo sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-51 didakwa mirip logo anugerah produk cemerlang yang diberikan oleh kementerian hal-ehwal ekonomi Taiwan.

Logo tiga warna utama Jalur Gemilang yang memenangi hadiah RM10,000 berbeza sedikit daripada lambang anugerah Taiwan, yang serba merah, apabila ia memuatkan tiga bulatan kecil di tengah-tengahnya.

Sisi-sisi reka bentuk itu juga lebih bulat berbanding logo Taiwan itu.

Dengan kerjasama Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA), produk-produk yang cemerlang dari negara itu ditampalkan dengan logo anugerah itu setiap tahun sejak 2003.

Bersama logo merah itu yang telah didaftarkan sebagai cap dagang, produk terbaik republik itu bertulis "It's very well. Made in Taiwan."

Logo sambutan kemerdekaan Malaysia tahun ini dengan slogan 'Perpaduan Teras Kejayaan' dimenangi oleh seorang artis bernama Anuar Dan.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, artis itu mengakui "50 peratus" logo sambutan kemerdekaan itu diambil daripada lambang produk terbaik Taiwan.

Lambang itu dirujuk sebagai bahan kajiannya sebelum menghasilkan logo 'Perpaduan Teras Kejayaan', katanya.

Anuar menjelaskan, beliau memasukkan idea-ideanya sendiri untuk mencipta logo sambutan itu.

Logonya antara 800 penyertaan yang diterima untuk peraduan melukis logo sambutan ulang tahun kemerdekaan negara tahun ini yang bakal disambut dua hari lagi.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melancarkan logo dan slogan itu awal bulan ini bersama lagu baru ciptaan Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan Lokman Ghani.

Menurut penjelasan rasmi, logo ini diilhamkan daripada "ikatan tiga figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan 'Perpaduan Teras Kejayaan'.

"Tiga ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara" yang mewakili pelbagai kaum mencapai kejayaan dalam perpaduan.

Di logo sambutan kemerdekaan itu, merah membawa makna "keberanian rakyat", putih (kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia), biru (perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia), manakala kuning (sistem beraja dan Yang di-Pertuan Agong).

Malaysiakini telah dimaklumkan mengenai kemiripan kedua-dua logo itu melalui emel yang diterima daripada seorang pembaca.

Intipati bajet 2009 'kerajaan prihatin'

malaysiakini


Berikut adalah intipati Bajet 2009 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Rakyat hari ini.

Jumlah bajet Bajet 2009 sebanyak RM207.9 bilion - naik 5.1 peratus dari tahun lalu.

Dari jumlah itu RM154.2 bilion bagi peruntukan mengurus manakala RM53.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Peruntukan pengurusan - RM86.3 bilion atau 56.6 peratus (pemberian dan kenaan bayaran tetap); RM38 bilion (emolumen), RM26.5 bilion (perkhidmatan dan bekalan), RM2.4 bilion (pembelian aset) dan RM1 bilion (perbelanjaan lain).

Peruntukan pembangunan - RM27.8 bilion (sektor ekonomi - pertanian, perindustrian, perindustrian dan infrastruktur), RM17.8 bilion (sektor sosial - pendidikan, kesihatan dan perumahan), RM4.1 bilion (sektor keselamatan), RM2.1 bilion (pentadbiran) dan RM2 bilion (simpanan luar jangka).

Bajet 2009 menumpukan kepada langkah-langkah yang akan memastikan kesejahteraan yang telah dibina selama ini terus terjamin dan untuk itu adalah penting diperkukuhkan daya tahan ekonomi supaya negara berupaya menangani kesan persekitaraan luar yang semakin sukar.

Bertemakan Kerajaan Prihatin, Bajet 2009 tertumpu kepada tiga strategi khusus iaitu, menjamin kesejahteraan rakyat, membangun modal insan berkualiti dan memperkukuh daya tahan negara.

Kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah bertujuan meringankan beban kos sara hidup, terutamanya ke atas golongan berpendapatan rendah dan yang kurang bernasib baik.

Jaringan keselamatan sosial

Kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah kini ditingkatkan daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuk semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah.

Menghargai jasa pesara, dan bagi membantu pesara berpendapatan rendah yang menghadapi kesukaran untuk menampung sara hidup harian, pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada RM720 sebulan mulai 1 Januari 2009.

Kerajaan akan menubuhkan satu tabung khas berjumlah RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang hilang punca punca pendapatan secara mengejut seperti akibat kemalangan.

Memandangkan tanggungjawab besar ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, kerajaan telah menaikkan jumlah Elaun Ibu Pelihara daripada RM600 kepada RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai 1 September 2008.

Membasmi kemiskinan

Kadar kemiskinan dikurangkan dari 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007.

Kerajaan telah menyediakan RM50 juta dibawah Program Bantuan Rumah untuk membina 1,400 rumah baru dan membaikpulih 1,000 buat rumah.

Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di Sabah dan Sarawak, terutamanya untuk mempertingkatkan kemudahan asas, seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar bandar. Untuk ini, RM580 juta disediakan bagi Sabah dan Rm420 juta untuk Sarawak.

Kecuali bil elektrik RM20

Isi rumah yang membayar bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan tidak perlu menbayar bil elektrik berkuatkuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia ialah 6.3 peratus bagi suku kedua 2008, menjadikan pertumbuhan setengah tahun pertama tahun ini pada tahap 6.7 peratus.

Cukai pendapatan

Rebat cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Ekoran itu 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah, tidak lagi dikenakan cukai.

Barangan pengguna

Duti import atas beberapa barangan pengguna - pengisar makanan, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro dan cerek elektrik - dikurangkan dari antara 10 hingga 60 peratus kepada 5 hingga 30 peratus.

Cukai jalan

Cukai jalan bagi kenderaan penumpang bersendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat, dikurangkan mengikut kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, mulai 1 September 2008.

Orang Kurang Upaya (OKU)

Memberi elaun RM150 sebulan kepada Orang Kurang Upaya (OKU).

Murid OKU di sekolah pendidikan khas akan ditambah dari RM50 kepada RM150.

Bayaran insentif RM200 sebulan untuk pembantu guru di sekolah pendidikan khas.

Kakitangan kerajaan

Bayaran bonus sebulan gaji bagi 2008 atau minimum RM1,000 dalam dua bayaran pada September dan Disember ini.

Tempoh pinjaman perumahan dilanjutkan dari 25 tahun kepada 30 tahun bagi pinjaman baru.

Kemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubahsuai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan kerajaan.

Buka panel insurans pinjaman perumahan kerajaan kepada semua syarikat insurans yang layak. Pada masa ini ia terhad kepada lima syarikat sahaja.

Kelayakan pendapatan isirumah untuk mendapat subsidi yuran Taska bulanan RM180, dinaikkan dari RM2,000 kepada RM3,000 mulai 1 Januari 2009.

Kemudahan tambang pergi-balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal iaitu antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak ditambah daripada sekali bagi setiap dua tahun, kepada setiap tahun mulai 1 Januari 2009.

Pembangunan Koridor Pertumbuhan

Iskandar Malaysia - Peruntukan tambahan RM300 juta di bawah Dana Pelaburan Strategik disediakan bagi melaksanakan projek perkongsian sektor awam dan swasta, seperti pengangkutan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan industri kreatif.

Pelancongan

Kerajaan sedia peruntukan RM50 juta untuk kerja pemuliharaan di Pulau Pinang dan Melaka, yang akan dikendalikan oleh badan bukan kerajaan dan sektor swasta.

Pelaburan baru oleh pengusaha hotel bertaraf empat dan lima bintang di Sabah dan Sarawak dikecualikan cukai pendapatan 100 peratus atau elaun cukai pelaburan 100 peratus bagi tempoh lima tahun.

Syarikat modal teroka yang melabur sekurang-kurangnya 30 peratus dalam bentuk permulaan dan pembiayaan peringkat awal.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Peruntukan RM5.4 bilion untuk tingkatkan keupayaan PDRM - RM4.8 bilion bagi belanja mengurus dan RM600 juta belanja pembangunan.

Peruntukan RM200 juta bagi pembinaan ibupejabat, balai dan pondok polis di seluruh negara.

Semua premis perniagaan yang memasang alat kawalan keselamatan di beri Elaun Modal Dipercepatkan yang boleh dituntut sepenuhnya dalam tempoh satu tahun.

Pengangkutan

K'jaan sedia kemudahan pinjaman mudah melalui dana pengangkutan awam RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk biayai perolehan aset bas dan rel.

Pengurangan 50 peratus bayarn tol bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh du atahun mulai 15 September 2008.

Kecekapan pengangkutan awam ditingkatkan melalui perbelanjaan RM35 bilion dari 2009 hingga 2014.

Kesihatan

Duti eksais spesifik ke atas rokok dinaikkan sebanyak 3 peratus sebarang - dari 15 sen kepada 18 sen.

Dengan ini, cukai untuk sekotak rokok 20 batang kini meningkat sebanyak 60 sen.

Kadar bayaran insentif pakar perubatan akan dinaikkan untuk 3,800 pegawai dengan perbelanjaan tambahan RM26 juta.

Kadar bayaran insentif pasukan perubatan udara di Sabah dan Sarawak dinaikkan.

Bagi pembantu perubatan, kadar bayaran dinaikkan dari RM20 kepada RM30 satu penerbangan pergi balik.

Bagi jururawat pula, dari RM15 kepada RM30 satu penerbangan pergi balik.

Pengecualian cukai bagi perubatan radisional seperti akupuntur dan ayuvedic.

Nelayan dan petani

Peruntukan RM300 juta, yang mana RM180 juta adalah untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan manakala RM120 juta sebagai insentif tangkapan ikan.

Elauan pelaburan semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan bagi penternak ayam dan itik.

Peruntukan RM475 juta bagi bantuan input pertanian, baja dan racun perosak bagi membantu pesawah.

Pemansuhan duti import bagi baja dan racun perosak.

Dr M kecam k'jaan haram Malaysia Today

Malaysiakini


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengecam kerajaan kerana memungkiri janjinya selama ini untuk tidak menapis kandungan internet - dasar yang perkenalkan semasa pentadbirannya dahulu.

"Bila kerajaan membuat janji kepada negara dan kemudian memungkirinya, maka kerajaan bukan sahaja hilang kredibiliti tetapi juga rasa hormat rakyat sebelum ini," kata Dr Mahathir dalam blognya - Chedet blog.

Dr Mahathir yang memperkenalkan dasar tiada tapisan internet pada pertengahan tahun 1990-an, berkata tindakan kerajaan itu menunjukkan "tahap keangkuhan yang menindas menyerupai sebuah negara kuku besi".

Rabu lalu, Malaysiakini melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan semua penyedia perkhidmatan internet (ISPs) di negara ini supaya mengharam Malaysia Today.

"Saya tidak sentiasa bersetuju dengan Malaysia-Today.net dan (editor lamanweb itu) Raja Petra Kamaruddin. Beliau adakalanya agak tidak bertanggungjawab," tambah Dr Mahathir.

"Tetapi tindakan mahkamah telahpun diambil terhadapnya. Jika dia didapati bersalah, terdapat hukuman yang mencukupi yang boleh dijatuhkan (ke atasnya)," tambahnya.

Raja Petra (kiri) sedang berdepan dengan beberapa saman, termasuk tuduhan menghasut dan melakukan fitnah selepas beliau mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya dengan kes pembunuhan seorang wanita Mongolia.

Tapisan internet

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar mempertahan tindakan terhadap Malaysia-Today, dengan berkata lamanweb itu diharamkan kerana ia menyiarkan kandungan yang berunsur 'fitnah'.

Sementara itu, parti pembangkang, PKR turut mengecam keputusan kerajaan itu, yang disifatkannya sebagai tindakan terdesak kerajaan Barisan Nasional.

Sambil menyifatkannya sebagai serangan terbaru terhadap kebebasan awam, parti itu berkata, keputusan tersebut merupakan tapisan terhadap internet.

"Ia juga merupakan satu tindakan terdesak kerajaan BN yang masih tergugat selepas mengalami kekalahan berturut-turut dan enggan menerima isyarat yang jelas dari rakyat berulang-kali melalui peti undi.

"Alasan yang diberikan bahawa Malaysia Today merupakan sebuah lamanweb yang berunsur menghasut adalah tidak berasas sama sekali dalam mana-mana prinsip undang-undang, memandangkan terdapat undang-undang yang mencukupi yang mengendalikan aktiviti seumpama itu dan masih belum ada sebuah mahkamah pun di Malaysia yang telah mendapati lamanweb itu menyiarkan kandungan yang berunsur menghasut," tambah Setiausaha Agung PKR, Salahuddin Hashim dalam satu kenyataan hari ini.

Salahuddin menegaskan, PKR memandang serius tentang kemungkinan ia merupakan langkah permulaan dalam percubaan yang lebih besar untuk mengekang rakyat Malaysia daripada mengakses internet, yang selama ini menjadi benteng kebebasan bagi mereka yang mahu mendapatkan pandangan alternatif.

Laman alternatif

Oleh itu, katanya, PKR menggesa SKMM dan kerajaan supaya mengotai janjinya kepada KRM (Koridor Raya Multimedia) dan segera menarik balik arahan tersebut.

PKR juga, tambahnya, menentang sebarang percubaan untuk mengenepikan hak rakyat untuk mengakses maklumat alternatif.

Di bawah Bil Jaminan 10 Perkara KRM, kerajaan berjanji untuk memastikan tiada tapisan internet.

Raja Petra yang mengasaskan Malaysia Today, telah menyediakan laman alternatif melalui penyedia internet asing.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa tindakan kerajaan itu tidak akan menghalangnya untuk terus menulis.

Malaysiakini telah menyemak dengan laman alternatif tersebut dan sehingga 1 tengahari tadi, ia masih aktif.

Cuepacs tunggu 3 lagi tuntutan

Muda Mohd Noor


Cuepacs menyambut baik pemberian bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pembentangan bajet hari ini.

Presidennya, Omar Osman berkata, pembayaran bonus tersebut telah memenuhi janji perdana menteri kepada tuntutan Cuepacs awal tahun ini.

Bagaimanapun, perdana menteri, kata Omar, tidak memberi respons kepada tiga lagi tuntutan Cuepacs.

Tiga tuntutan tersebut ialah imbuhan tetap perumahan, mengkaji semula penilaian tahap kecekapan (PTK) dan penyelarasan Cola untuk semua kakitangan awam.

"Pembayaran bonus itu menunjukkan kerajaan memahami masalah peningkatan kos sara hidup yang dihadapi oleh kakitangan awam berpendapatan rendah setelah kenaikan harga barangan.

"Dan selepas ini kita berharap kerajaan akan memenuhi tuntutan Cuepacs yang lain," katanya ketika diminta mengulas pembayaran bonus sebulan gaji atau RM1,000 kepada kakitangan awam.

Beliau berkata, ada kira-kira 1.3 juta kakitangan awam di seluruh termasuk 50,000 yang berkhidmat secara sambilan dan kontrak.

Tuntutan Cola

Omar berkata, kakitangan kerajaan yang berpendapatan rendah memerlukan imbuhan tetap perumahan kerana kadar sewa rumah yang mahal terutama di bandar-bandar besar.

Katanya, ada kakitangan awam yang terpaksa membelanjakan separuh daripada pendapatan mereka untuk bayaran sewa rumah.

Beliau berkata, Cuepacs meminta kerajaan mengkaji semula PTK kerana ia tidak menggambarkan kebolehan sebenar kakitangan awam.

Mengenai Cola, Omar berkata, pembayaran yang dibuat sekarang tidak selaras kerana ia bergantung kepada tempat mereka bertugas.

"Ketika ini mereka dibayar antara RM100 hingga RM300 seorang tetapi Cuepacs meminta ia diselaraskan kerana harga barangan adalah sama," katanya.

Beliau berkata, Cuepacs menghantar tuntutan Cola kepada perdana menteri dua bulan lalu.

BPR mula rekod keterangan Nallakaruppan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) Datuk S. Nalakaruppan hari ini memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membantu siasatan berhubung dakwaannya bahawa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menerima RM60 juta dari Magnum Corporation ketika beliau menjadi Menteri Kewangan.

Pengarah Siasatan BPR Datuk Shukri Abdul ketika dihubungi mengesahkan bekas orang kanan penasihat PKR itu dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaannya namun enggan mengulas lanjut.

"BPR mula merekod keterangan Nallakaruppan sejak pukul 3 petang ini. Bagaimanapun pegawai kami tidak mengambil keterangannya di Ibu Pejabat BPR Putrajaya.

"Lokasinya tidak dapat didedahkan kepada media tetapi saya boleh mengesahkan bahawa BPR sedang merekodkan keterangan beliau," katanya di sini hari ini.

Nallakaruppan, 61, pada ceramahnya di Permatang Pauh pada 23 Ogos lalu mendakwa menyerahkan RM60 juta daripada sebuah syarikat perjudian kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 untuk tujuan yang tidak diketahui.

Nallakaruppan mendakwa menyerahkan sendiri wang itu kepada Anwar dan turut mendakwa Penasihat PKR itu meluluskan banyak lesen perjudian serta kedai empat nombor ekor ketika menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri.

Jumaat, 29 Ogos 2008

Pertemuan rahsia Anwar, amaran Pak Lah jangan rampas mandat sah BN

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Dilihat sebagai amaran kepada pihak-pihak yang cuba untuk membentuk kerajaan persekutuan menggunakan jalan belakang, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengingatkan agar tidak merampas kuasa yang diberikan oleh rakyat secara tidak sah.

Ketika membentangkan ucapan Bajet 2009 di Parlimen hari ini, Abdullah tidak merujuk dengan khusus mana-mana pihak tetapi pemerhati politik melihat ia menjurus ke arah Pakatan Rakyat yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri kembali ke Dewan Rakyat semalam selepas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh Selasa lalu.

Bekas Menteri Kewangan itu telah berulang menegaskan akan membentuk kerajaan menjelang 16 September ini.

mStar Online difahamkan semalam beliau mengadakan pertemuan dengan sekumpulan Ahli Parlimen dari Sarawak di ibu negara - kira-kira lapan jam selepas mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat.

Terdahulu petang semalam ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak telah membuat ikrar taat setia untuk tetap bersama Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Abdullah.

"Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional yang diberi mandat oleh rakyat pada bulan Mac lalu akan terus memelihara kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran ekonomi negara.

"Usaha pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan ini, dengan merampas kuasa secara tidak sah tanpa mandat majoriti rakyat, perlu ditolak," kata Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional.

Selepas pilihan raya umum ke-12 pada Mac lalu, tegas beliau, "kita tidak boleh membenarkan ketidakpastian yang timbul berterusan."

"Sedikit sebanyak ia akan memberi kesan negatif kepada pelabur asing, sentimen ekonomi dan juga pasaran modal," katanya.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan menambah, beliau tidak akan membenarkan gangguan yang dirasai sekarang berterusan.

"Saya tidak akan membenarkan mandat rakyat dirampas daripada parti Barisan Nasional yang telah menang majoriti pilihan raya umum secara sah dan mengikut lunas demokrasi.

"Saya yakin rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional untuk melaksanakan tugas-tugas mentadbir negara.

"We need to get on with the business of governing and not waste any more time with opportunistic threats to seize the people’s mandate through undemocratic means, dengan izin," kata beliau.

Abdullah membangkitkan perkara itu di akhir ucapannya yang disiarkan menerusi televisyen tempatan.

Ucapan beliau memakan masa kira-kira 90 minit bermula pukul 4 petang tadi.

Lebih 200 membantah konsert Avril Lavigne malam ini

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Lebih 200 mahasiswa, anggota badan bukan kerajaan dan parti politik berkumpul di pekarangan Masjid Negara hari ini bagi membantah penganjuran konsert Avril Lavigne yang akan berlangsung malam ini di Stadium Merdeka.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Mohd Dzulkhairi Mohd selaku jurucakap kumpulan itu berkata, konsert Avril sewajarnya dihentikan bagi mengelakkan pengaruh negatif terhadap golongan remaja lebihlebih lagi dengan kehadiran bulan Ramadan dan sambutan kemerdekaan negara yang ke-51.

"Sepatutnya sambutan Hari Kemerdekaan perlu bermotifkan semangat cintakan negara, mempertahankan kedaulatan, mengagungkan pejuang kemerdekaan dan seumpamanya yang boleh menaikkan semangat nasionalisme.

"Avril bukanlah seorang role model yang boleh disamakan dengan tokohtokoh wanita negara," katanya dalam perhimpunan aman itu yang berlangsung kira-kira 20 minit.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamarulzaman Mohammad berkata seramai 500 orang akan berkumpul pada 7 malam ini di Stadium Merdeka bagi membantah dan seterusnya memastikan konsert tersebut tidak berjalan dengan lancar.

Keselamatan wanita terus diperjudikan pemerintah

Roy Rasul


KUALA LUMPUR - Hari Wanita Kebangsaan negara jatuh pada tarikh 25 Ogos lalu bertemakan 'Wanita Penjana Ekonomi Negara'. Tarikh tersebut sebenarnya diperkenalkan bekas Ketua Pergerakan Kaum Ibu Umno, Tun Tan Sri Dr Fatimah Hashim.Apa pun, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) melihat perayaan Hari Wanita Kebangsaan kali ini, bagaikan tidak menyeluruh.

Setiausahanya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, meskipun diraikan saban tahun, namun sambutan kelihatan sepi dan hambar. Ini dakwanya, mungkin tarikh itu berpihak kepada sejarah perjuangan Pergerakan Kaum Ibu Umno semata-mata dan dilihat tidak mewakili sejarah perjuangan wanita keseluruhannya.

"Lebih malang bila mana Perjuangan Umno kini dilihat gagal untuk mengurus tabdir negara, rasuah, salah guna kuasa, peningkatan jenayah,ancaman keselamatan terhadap wanita dan kanak-kanak, pembunuhan dan pelbagai penyakit sosial yang parah.

"Peranan dan fungsi kaum wanita dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara sememangnya tidak dapat dinafikan," katanya.

Katanya, peranan dan fungsi cergas wanita bermula sejak sejarah awal Tanah Melayu, hatta ketika negara kita berada dalam cengkaman penjajah, era perjuangan menuntut kemerdekaan, era membangunkan ekonomi negara dan sehinggalah sekarang dalam zaman teknokrat, langit terbuka dan dunia tanpa sempadan.

Berdasarkan perangkaan tahun 2006, katanya, jumlah penduduk Malaysia ialah seramai 26.64 juta dan 13.08 juta (iaitu 49.1%) daripadanya merupakan kaum wanita.

Guna Tenaga Wanita Malaysia 2006 jelas membuktikan betapa 45.8% daripada populasi wanita itu merupakan mereka yang menyumbang kepada pembangunan negara secara langsung iaitu bekerja di pelbagai sektor pekerjaan.

Selebihnya pula katanya, merupakan mereka yang menyumbang kepada pembangunan negara secara tidak langsung sama ada masih belajar, melanjutkan pelajaran, suri rumah sepenuh masa (68.6%) dan lain-lain.

"Kaum wanita tanpa mengira ideologi politik yang sempit mesti terus diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh kerajaan. Usaha pemerkasaan dan pemberdayaan wanita mesti dibuat secara menyeluruh; di Kota dan di Desa, berkerjaya atau tidak, yang kaya mahupun yang miskin, yang kuat mahupun yang lemah, yang tua mahupun yang muda semuanya mesti diangkat martabat kehidupan mereka," katanya.

Kerajaan yang menghargai pengorbanan wanita semestinyalah bersikap mampu dan mahu memastikan wujudnya dunia dan persekitaran yang selamat untuk kaum wanita. Ironinya, keselamatan dan keamanan untuk kaum wanita semakin diperjudikan oleh pihak pemerintah.

Statistik rogol sahaja dakwanya meningkat sehingga 9 mangsa wanita setiap hari. Statistik Kehilangan kanak-kanak 3-4 orang sehari!

"Inikah hadiah kerajaan Barisan Nasional kepada kaum wanita Malaysia selepas 50 tahun memerintah negara," soalnya Atirah. Beliau berkata, kaum Wanita mahukan satu perubahan iaitu keselamatan terjamin ke atas anak-anak dan ahli keluarga serta anggota masyarakat.

"Tidak ada ertinya menyambut Hari Wanita Kebangsaan setiap tahun jika segala titik bengit ini tidak mampu diperbetulkan oleh kerajaan. Sesungguhnya, Kita tidak mahu menerima madu di tangan kanan dan pada masa yang sama diberikan racun pada tangan kiri," katanya.

Sementara itu, Presiden Tenaganita, Irene Fernandez berkata, selari dengan pengiktirafan Hari Wanita Umno, sambutan hari pekerja kebangsaan sehingga sekarang masih gagal untuk membela kaum wanita dengan tuntutan semasa.

Bahkan katanya kepada Harakah 25 Ogos lalu, nasib pekerja wanita agak terjejas dengan pekembangan ekonomi negara yang tidak stabil.

"Contohnya lebih 80 peratus wanita terlibat dalam sektor pengeluaran, tetapi gaji mereka sangat rendah iaitu dalam purata RM800, ditambah pula dengan tekanan kenaikan harga barangan yang terpaksa mereka pikul.

"Mereka bekerja pula selama 12 jam sehari dan tenaga mereka sekali lagi diperah apabila sampai ke rumah dan inilah hakikat yang ditanggung pekerja wanita," katanya.

Tuntutan tersebut katanya, menjadikan penjanaan ekonomi mereka terjejaS. Begitu juga katanya, nasib kira-kira 30,000 wanita yang bekerja di sektor perladangan dan pertanian.

Rata-rata mereka dakwanya, berada dalam ketogori yang agak bahaya kerana terpaksa berhadapan dengan bahan-bahan kimia seperti racun perosak dan sebagainya.

"Jadi bagaimana mereka hendak menjana ekonomi jika kesihatan mereka teramcam," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta kerajaan memberi perlindungan kepada mereka dan kerajaan juga tidak boleh meminggirkan kaum wanita daripada menikmati hak mereka sebagai pekerja.

Ini katanya, biarpun wanita menceburi semua bidang pekerjaan tetapi mereka masih dipinggirkan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Wanita Jemaah Islah Malaysia (Jim), Che Asmah Ibrahim berkata tidak dinafikan golongan wanita banyak menyumbang untuk menjana ekonomi negara.

Bagaimanapun katanya, apabila wanita itu keluar bekerja khususnya untuk menyara keluarga kerajaan hendaklah mempastikan tempat kerja mereka terjamin.

Terutamanya beliau berkata, di segi jaminan keselamatan keluarganya, kemudahan menjaga anak dan sebagainya.

"Perkara-perkara ini akan dapat menyokong wanita untuk keluar bekrja dan dalam erti kata lain kita tidak hendak dengan penglibatan wanita dalam menjana ekonomi ini akhirnya institusi keluarga diabaikan.

"Jadi perlu ada kumpulan sokongan melihat kepada aspek-aspek kebajikan wanita yang bekerja," katanya.

Dalam konteks ini katanya, elemen-elemen kebajikan untuk wanita yang bekerja terabai. Seterusnya beliau berkata, wanita yang keluar bekerja hendakkah dilengkapi dengan pelbagai kemahiran.

"Kadang-kadang wanita yang bekerja menghadapi tekanan lebih termasuk keluarga, diri dan kerjayanya.

"Mereka ini mesti dilengkapi dengan ilmu-ilmu yang mencukupi supaya keseimbanagn dapat dicapai termasuk juga pengurusan kewangan keluarga itu sendiri," katanya.

Dalam pada itu katanya ketika dihubungi Harakah, bukan saja wanita yang bekerjaya dilihat sebagai penjana ekonomi negara, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi.

Tegas beliau, ini kerana mereka juga menjamin kesejahteraan sosial bagi mewujudkan peningkatan ekonomi negara. - (tmj)_

Puspakom akan periksa semula kenderaan yang dilulus sindiket

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kenderaan yang diluluskan oleh "sindiket" yang ditumpaskan Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan dipanggil untuk diperiksa semula bagi memastikan tahap keselamatan kenderaan itu terjamin, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Suret Singh.

Beliau berkata pegawai Puspakom akan memeriksa kenderaan tersebut di Pusat Puspakom.
"Adalah tidak bertanggungjawab untuk meluluskan kenderaan yang tidak memenuhi piawaian keselamatan," katanya.

Beliau mengulas laporan bahawa 55 orang di seluruh negara termasuk 28 anggota Puspakom ditahan BPR pada Selasa dan Rabu lepas.

Mereka dipercayai memperolehi pendapatan RM1,000 sehari atau RM55,000 sebulan hasil pemeriksaan yang mereka lakukan terhadap kenderaan yang dihantar ke Puspakom.

Sementara itu Pengarah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, Naimah Ramli berkata bas ekspres yang membawa penumpang ke selatan pada musim Hari Raya ini akan beroperasi di Kompleks Sukan Bukit Jalil dan bukan di Puduraya.

Pemindahan pusat operasi itu adalah bagi mengelakkan kesesakan di Pudu Raya.

Bas ekspres yang menghala ke utara tetap beroperasi di Pudu Raya dan Hentian Jalan Duta sementara ke timur akan tetap berlepas di Hentian Putra dan Plaza Pekeliling, katanya.

Perbelanjaan kerajaan persekutuan dijangka meningkat kepada 4.4 peratus

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Perbelanjaan kerajaan persekutuan pada tahun 2009 dijangka meningkat 4.4 peratus kepada RM205.899 bilion dari RM197.211 bilion pada tahun 2008.

Perbelanjaan mengurus dijangka bertambah 2.1 peratus kepada RM154.170 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak 11.8 peratus kepada RM51.729 bilion, kata Kementerian Kewangan (MOF) di dalam Laporan Ekonomi 2008/2009 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Perbelanjaan mengurus diperuntukkan sebanyak RM154.170 billion atau 74.9 peratus daripada jumlah perbelanjaan dalam Bajet 2009.

Sebahagian besar daripada peruntukan ini, kata Kementerian Kewangan digunakan bagi perbelanjaan terikat dan kenaan tetap seperti emolumen, bayaran khidmat hutang serta pencen dan ganjaran.

"Dasar fiskal yang berhemat, cekap dan efektif akan diteruskan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi," katanya.

Defisit bajet pada tahun 2009 dijangka turun kepada 3.6 peratus dari 4.8 peratus pada tahun 2008.

Berikutan kesan kenaikan harga bahan api, makanan dan komoditi lain serta bahan berkaitan pembinaan, katanya kerajaan akan menyediakan dana yang lebih besar untuk bayaran subsidi, termasuk program jaminan makanan, program bantuan sosial dan kebajikan serta memastikan pelaksanaan projek pembangunan disiapkan mengikut jadual.

Laporan itu menyatakan peruntukan bekalan dan perkhidmatan meningkat 2.3 peratus kepada RM26.488 bilion bagi memastikan penyelenggaran asset awam yang lebih baik serta meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Untuk geran, menurutnya serahan dan bayaran tetap, sebanyak RM86.328 bilion disediakan, termasuk subsidi dan sumbangan untuk badan berkanun kerajaan.

Peruntukan bagi subsidi dijangka kekal tinggi iaitu sebanyak RM33.799 bilion atau 21.9 peratus daripada perbelanjaan mengurus.

Peruntukan subsidi disediakan terutamannya untuk bahan api berjumlah RM21 bilion, perbezaan kadar faedah termasuk pinjaman pengajian tinggi (RM978 juta), skim berkaitan padi (RM1.16 bilion), serta rebat tunai bagi pemilik kenderaan persendirian sehingga bulan Mac 2009 (RM2 bilion).

Sehingga 21 Ogos, 2008, Pos Malaysia Bhd telah membayar RM1.6 bilion kepada 3.7 juta pemilik kenderaan berdaftar, kata Kementerian Kewangan.

Di samping itu, katanya peruntukan sebanyak RM1.2 bilion akan disediakan untuk memberi subsidi harga runcit minyak masak.

"Kerajaan juga akan memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi serta mengawal harga melalui usaha mencegah aktiviti menyorok stok, penyeludupan dan mengambilan untung secara berlebihan," katanya.

Dr. Mahathir kecewa liputan, 'pertikai' kebebasan media

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga mempertikaikan kebebasan media dengan menekankan banyak perkara yang disentuh beliau pada sidang media baru-baru ini, susulan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak dilaporkan oleh media arus perdana.

"Selepas pengumuman Barisan Nasional kalah di Permatang Pauh pemberita datang ke Yayasan Kepimpinan Perdana dan mendesak supaya saya adakan satu sidang akhbar.

"Dalam sidang akhbar itu saya secara terus terang berkata sidang akhbar tidak berguna kerana mereka tidak akan dibenar melaporkan jawapan-jawapan saya melainkan yang boleh diputar supaya ternampak saya menyokong Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaannya.

"Seperti yang saya jangka laporan yang dibuat berlainan dengan apa yang saya perkatakan," kata beliau dalam tulisan terbaru blognya hari ini.

Kata Dr. Mahathir, apabila ditanya berkenaan dengan penurunan harga minyak, beliau menjawab bahawa ia ada kaitan dengan Permatang Pauh.

"Kita patut ada lebih banyak pilihan raya kecil supaya harga minyak dikurangkan lagi.

"Yang dilapor ialah saya berkata penurunan harga minyak adalah baik untuk rakyat. Itu sahaja," katanya.

Malah, kata Dr. Mahathir, beliau juga ditanya tentang perancangannya selepas Permatang Pauh dan sama ada akan kembali ke UMNO.

"Saya ingatkan mereka bahawa saya keluar UMNO dengan bersyarat. Saya akan mohon kembali ke UMNO jika Dato Seri Abdullah tidak lagi menjadi presidennya, iaitu jika dibenar.

"Apabila saya kembali saya akan turun padang dan bekerja keras untuk menarik balik bekas-bekas penyokong UMNO dan BN yang telah sokong parti lawan dalam pilihan raya Umum ke-12," katanya.

Beliau keluar Umno Mei lalu.

Kata bekas Presiden Umno itu, beliau menjelaskan yang kerja tersebut memerlukan masa.

"Kalau kepimpinan bertukar pada Jun 2010, tidak ada masa untuk pulih parti sebelum pilihan raya umum ke- 13.

"Semua ini tidak sedikitpun dilapor dalam mana-mana akhbar atau televisyen. Inikah yang dikatakan kebebasan media yang dijanjikan oleh Dato Seri Abdullah," soal beliau.

Anwar temui MP BN Sarawak bincang sertai Pakatan Rakyat

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan pertemuan dengan sekumpulan Ahli Parlimen dari Sarawak dipercayai antara lain membincangkan strategi mereka menyertai Pakatan Rakyat. MStar Online difahamkan pertemuan itu diadakan di ibu negara lewat petang semalam.

Sumber memberitahu, dalam pertemuan tersebut memfokus beberapa langkah yang perlu diambil untuk menyertai Pakatan Rakyat.

"Ada sekumpulan wakil rakyat (BN) telah menemui beliau (Anwar), dalam lingkungan 10 orang... beberapa perkara dibincangkan," kata beliau hari ini.

Sumber itu tidak menolak penyertaan ahli-ahli Parlimen BN ke dalam Pakatan Rakyat akan berlaku dalam waktu terdekat.

Pertemuan itu diadakan beberapa jam selepas ahli-ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak mengisytiharkan taat setia mereka akan bersama BN pada sidang media bangunan Parlimen.

Semalam Anwar, bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Presiden Umno mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh Selasa lalu.

Muhyiddin: Usah pandang rendah laporan anggota BN mahu sertai Pakatan

SINGAPURA: Laporan yang menyatakan ada kemungkinan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) akan keluar dari gabungan tersebut tidak boleh dipandang ringan, kata Menteri Perdagangan dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya rasa kecewa bila ada cerita parti nak keluar BN. Trend begini tak pernah berlaku dahulu," kata Muhyiddin yang juga Naib Presiden UMNO.

Beliau berkata, BN perlu melakukan langkah proaktif untuk menggerakkan pelan pemulihan dalam semua aspek termasuk menjenamakannya semula.

"Kami tahu yang ada kelemahan pada parti komponen," kata Muhyiddin ketika bertemu dengan wartawan Malaysia di luar Mesyuarat Menterimenteri Ekonomi Asean (AEM) di sini.

Beliau berkata, BN perlu dipakejkan semula untuk mempersembahkan imej yang bersesuaian kepada para pengundi. BERNAMA