HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Jun 2016

DAP Pulau Pinang putuskan Lim tak perlu letak jawatan

MALAYSIAKINI


Lim Guan Eng mahu DAP memutuskan sama ada beliau harus bercuti atau meletakkan jawatan sebagai ketua menteri memandangkan tuduhan terhadapnya.

Bagaimanapun, berdasarkan komen-komen pemangku pengerusinya, Tan Kok Wai, ia seolah-olah Lim tidak mungkin menghadapi sebarang tekanan dalaman untuk berundur.

Tan mendakwa anggota parti itu tidak mempunyai keraguan berhubung kejujuran dan integriti setiausaha agung mereka itu.

"Moralnya yang tinggi adalah kualiti pemimpin yang menjadikan parti itu bangga dan yakin. Yakin dan percaya pada beliau untuk terus memimpin Pulau Pinang pada saat-saat yang sukar," kata Tan.

Disoal mengenai pendiriannya sebelum ini, Lim menjawab: "Parti akan membincangkannya."

Jawatankuasa DAP Pulau Pinang mengadakan mesyuarat tergempar di Wisma DAP, ibu pejabat parti itu di Jalan Rangoon, untuk membincangkan perkara berkaitan selepas Lim didakwa di mahkamah hari ini.

Sementara itu, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang hadir pada sidang akhbar itu, berkata proses pendakwaan tidak menjejaskan pentadbiran Pulau Pinang.

"Jawatankuasa DAP negeri memutuskan tiada keperluan untuk Lim mengambil cuti daripada tanggungjawabnya sebagai ketua menteri.

"Jawatankuasa DAP negeri memberi jaminan operasi pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas oleh pendakwaan itu," katanya.

Chow juga membidas keputusan mahkamah yang menetapkan wang jaminan RM1 juta ke atas Lim yang dianggap adalah keterlaluan.

"Kita terpaksa menggunakan keseluruhan wang dalam akaun DAP negeri bernilai RM890,000 dan mengambil RM110,000 daripada akaun DAP pusat," katanya.

'Tolong sembahyang, kebumikan anak saya'

'Tolong sembahyang, kebumikan anak saya'
 Mayat bayi dibungkus dengan kain batik bersama sekeping nota diletakkan di atas meja di pekarangan Masjid Jamek Baru Gopeng, malam tadi.
 
 
GOPENG - Seorang jemaah masjid terkejut mendapati plastik merah yang ditemui di meja di pekarangan Masjid Jamek Baru Gopeng, berisi mayat seorang bayi lelaki, malam tadi.

Mayat bayi malang yang cukup sifat itu ditemui lelaki berkenaan kira-kira jam 10.35 malam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, mayat seberat 900gram itu dijumpai dalam keadaan dibungkus dengan kain batik dan dimasukkan ke dalam plastik berwarna merah bersama sekeping nota.

"Nota berkenaan bertulis 'Assalamualaikum minta jasa masjid mengebumikan dan sembahyangkan anak saya'.

"Siasatan dijalankan dengan bantuan Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan dianggarkan bayi berkenaan berusia 6 hingga 7 bulan," katanya.

Menurut Kong Soon, mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.


Zaid: Bos sedang perhati, kes Lim boleh lonjakkan AG

Kes mahkamah yang membabit Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempunyai potensi untuk melonjakkan Peguam Negara Mohamad Tan Sri Apandi Ali ke tahap lebih tinggi, menurut Datuk Zaid Ibrahim.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu mengulas tindakan Apandi yang mengetuai enam timbalan pendakwaraya hari ini.

Zaid, yang hadir di mahkamah sesyen di Georgetown ketika Lim didakwa dengan dua pertuduhan rasuah pagi ini, mendakwa Apandi muncul ceria dengan senyuman sinis.


"Sudah tentu beliau yakin. Tiada AG akan kendalikan kes seperti ini, yang sedang diperhatikan oleh orang ramai, kecuali beliau yakin boleh mendapatkan keputusan bersalah.

"Bukan hanya orang ramai, tetapi bosnya (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) juga sedang merhatikan.

“Lagipun ini kes penting yang jika berjaya boleh melonjakkan kejayaan AG ke peringkat cemerlang," katanya menerusi Tweeter.

Bagaimanapun, Zaid berkata bahawa kes itu tidak sebegitu mudah seperti yang dijangkakan oleh AG.
Apandi dilantik tahun lalu selepas peguam negara terdahulu Tan Sri Abdul Gani Patail dilucutkan atas alasan kesihatan.

Walau bagaimanapun, para pengkritik mendakwa penyingkiran Abdul Gani dikaitkan dengan pasukan petugas khas yang menyiasat isu berkaitan Najib dan skandal 1MDB.

Kerajaan menafikan perkara tersebut.

Sementara itu, Zaid juga berhujah bahawa tidak ada sebab untuk Lim melepaskan jawatan ketua menteri.
Beliau berkata ini adalah kerana setiausaha agung DAP tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kes berkenaan.

"Beliau tidak mempunyai kuasa untuk memecat peguam negara, mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menutup fail atau menukar hakim (perbicaraan) ke Gua Musang," katanya.

Lim didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial.



Beliau juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, ahli perniagaan wanita Phang Li Khoon, yang menjual banglo tersebut kepada Lim, pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng.

Berikutan itu, terdapat desakan dari pihak tertentu, khususnya parti komponen BN supaya Lim meletakkan jawatan sebagai ketua menteri.


Bulatkan muafakat, kata Azmin selepas Najib langkaui sempadan

MALAYSIAKINI


Kuasa tanpa imbang periksa akan bertukar menjadi perkakas penindasan dan kezaliman, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Azmin Ali.

Dan timbalan presiden PKR menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertindak melangkaui sempadan salahguna kuasa apabila memulakan dakwaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Sehubungan itu, Azmin menggesa pembangkang yang berpecah-belah untuk merapatkan barisan.
“Pembangkang kini perlu bersatu dan kekal fokus kepada perjuangan tunggal kita.

“Kita mahu bersihkan pertiwi ini daripada wabak rasuah di peringkat tertinggi, salah guna kuasa yang tidak terbendung serta bebas daripada cengkaman sekumpulan elit yang berterusan menjarah sumber negara demi memuaskan tembolok nafsu mereka.

“Kini masanya untuk kita mengenepikan prejudis dan perbezaan pada masa lalu dan kembali mengatur langkah bersama.

“Kita wajib membulatkan muafakat, jauh lebih teguh dari sebelum ini, dan bersama membina blok pembangkang yang kuat untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media petang ini.

Mengenai pertuduhan rasuah terhadap Lim, pemimpin PKR itu berkata ia menandakan bermulanya satu era baru politik kotor lagi jijik tajaan Umno BN sejak pendakwaan berniat jahat dan melampau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir dua dekad lalu.

“Namun, pendakwaan dan penganiayaan terpilih terhadap Guan Eng hari ini bukanlah satu perkara yang mengejutkan kita.

“Ia sudah dapat dijangka apabila mengambil kira kempen berlarutan melibatkan cercaan dan pembunuhan watak oleh pentadbiran Najib terhadap rakan seperjuangan saya Lim Guan Eng.

“Pendakwaan hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan terancang seorang individu terdesak yang untuk terus bergayut pada dahan kekuasaan dengan menggunakan apa-apa cara sekali pun.

“Individu ini tergamak mengheret negara kita bergelumang dalam keaiban dan skandal semata-mata kerana ingin terus kekal menjadi perdana menteri,” katanya.

Azmin berkata memang benar, Najib mempunyai kuasa terhadap semua perkakas kuasa - yang kini sama sekali tiada imbang periksa sebaik sahaja Akta Majlis Keselamatan Negara diluluskan.

Namun, beliau harus beringat yang sejarah membuktikan bahawa diktator-diktator dengan kuasa yang tidak terbatas sekali pun pernah tersungkur apabila rakyat bangkit menumbangkan mereka.

Menteri besar itu juga menyifatkan tuduhan terhadap Lim sebagai bermotifkan politik, berniat jahat dan satu bentuk salahguna kuasa eksekutif secara terang-terangan.

“Tuduhan ini dipalitkan kepadanya sewaktu lambakan bukti rasuah, penggubahan wang haram dan salahguna kuasa terhadap Najib tidak langsung membuahkan sebarang siasatan serius dan bersungguh-sungguh apatah lagi membawa kepada pendakwaan jenayah.

“Kita juga harus ingat bahawa Lim belum bersalah selagi belum dibuktikan bersalah melampaui secebis keraguan sekalipun seperti diperuntukkan undang-undang.

“Saya ingin tegaskan bahawa saya bukan semata-mata bersangka baik terhadapnya. Tetapi, saya juga amat yakin yang beliau tidak bersalah sama sekali dalam tuduhan ini.

"Jangan kita lupa, Lim tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di luar bayangan keraguan oleh mahkamah undang-undang.

“Saya juga yakin jika perbicaraan ini bebas daripada campur tangan eksekutif dan kehakimannya tidak tunduk kepada sebarang tekanan secara langsung ataupun tidak langsung, Lim pastinya akan dibebaskan dan nama baiknya dibersihkan,” katanya.

Harga petrol naik 5 sen, RON95 jadi RM1.75


Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing akan meningkat sebanyak 5 sen seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Ini bermakna harga baru RON95 akan menjadi RM1.75 seliter manakala RON97 akan dijual pada harga RM2.10 seliter.

Bagi diesel pula, harga barunya adalah RM1.60.

Kali terakhir harga minyak naik adalah pada April lalu dan harga tidak berubah selama tiga bulan.

Sesetengah pihak mengaitkan harga minyak yang tidak berubah itu dengan pilihan raya negeri Sarawak serta pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar di sebalik harga pasaran minyak mentah yang dilaporkan mencatatkan peningkatan sejak beberapa bulan lalu.

Harga minyak mentah Brent adalah serendah AS$36 setong pada Mac tetapi secara beransur-ansur meningkat sehingga kira-kira AS$ 48 pada bulan April dan kekal sehingga kini pada tahap yang sama.

Ringgit pada hari ini, diniagakan pada RM3.98 bagi setiap dolar AS, sedikit lemah berbanding h pada akhir bulan April lalu apabila ia berada pada paras RM3.93 bagi setiap dolar AS.

Kerajaan menentukan harga bahan api melalui apungan terurus.

Ia mengambil kira beberapa faktor, termasuk harga minyak mentah dunia dan kekuatan nilai mata wang negara pada bulan sebelumnya.


Malaysia tidak sempurna tetapi...

Datuk Seri Azalina Othman Said
Datuk Seri Azalina Othman Said


KUALA LUMPUR - Malaysia sebuah negara yang aman jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, rakyat merasai keamanan itu meskipun Malaysia bukan sebuah negara yang sempurna.

"Saya selalu ingatkan, kalau kita bandingkan negara kita dengan negara-negara lain, mungkin kita tidak begitu sempurna dalam banyak segi tapi kita sebuah negara yang begitu aman. Dengan masyarakat majmuk tetapi kita masih hidup dengan aman.

"Kalau kita lihat Indonesia, Thailand, Filipina, penduduknya ramai. Sebab itu negara kita menerima ramai pendatang asing tanpa izin dan dengan izin. Pelancong juga ramai ke negara kita ini," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Majlis Aids Malaysia (MAC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan sentiasa prihatin pada golongan yang kurang bernasib baik.

"Kerajaan Malaysia tidak diskriminasi kepada mereka yang sentiasa menganggap diri mereka didiskriminasikan oleh masyarakat.

"Itu sebabnya kerajaan sentiasa bekerjasama dengan NGO-NGO untuk membantu secara terus kepada mereka-mereka yang memerlukan bantuan," katanya.

Pada majlis tersebut 10 rumah perlindungan di bawah MAC menerima RM100,000 untuk persiapan Aidilfitri dan keperluan harian.

Presiden MAC, Bakhtiar Talhah berkata pihaknya mengalami kekurangan dana sejak kebelakangan ini.

"Dana kita memang kurang sejak zaman gawat ini. Pengurangan lebih 60 peratus daripada dana yang biasa kita terima.

"Setahun kos disediakan selalunya RM1 juta tapi sekrang sudah berkurang kepada RM400,000.


Penahanan Guan Eng: Pembangkang cepat melatah


Guan Eng
Guan Eng


KUALA LUMPUR - Pembangkang didakwa cepat melatah apabila penyokongnya berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantah penahanan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebaiknya penyokong pembangkang menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada Guan Eng bersalah atau tidak.

"Tapi pembangkang ini saya lihat macam melatah. Belum apa-apa sudah beremosi.

"Adakah mereka beremosi kerana takut tuduhan itu benar atau sebab mereka tak faham proses undang-undang? Tapi bagi saya, nak kata tuduhan itu, banyak orang pun kena tuduh. Jadi, kita tidak boleh buat sebarang kesimpulan," katanya dalam sidang media di program berbuka puasa bersama Majlis Aids Malaysia, di sini, hari ini.

Menurut beliau, tindakan penyokong DAP itu seolah-olah cuba memberi tekanan kepada SPRM.

"Saya lihat cara mereka keluar beramai-ramai itu seolah-olah nak beri tekanan kepada SPRM dan saya tak tahu sama ada bila kes ini berjalan, mereka nak beri tekanan pula kepada mahkamah. Saya tak tahulah," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada Guan Eng wajar bercuti atau melepaskan jawatannya, Azalina berkata, ia terserah kepada dasar parti DAP.

"Elemen cuti bila kena tuduh itu BN yang pakai. Kalau tak salah saya ada dua tiga kes pemimpin BN terpaksa lepaskan jawatan.

"Saya tak pasti dasar DAP. Tetapi ini bukan kali pertama SPRM buat tuduhan kepada ahli politik, wakil rakyat BN pun pernah ada macam-macam kes berlaku," katanya.


'Saya terkesan bila Tun dihina'


Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali


PUTRAJAYA - “Kita tak boleh buat apa, mereka berkuasa sangat, serah saja kepada ALLAH. Mungkin ada hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku," demikian luahan hati isteri bekas Perdana Menteri keempat, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Saya tahu suami saya (Tun Dr Mahathir Mohamad) kecewa dan sedih jadi tunggu saja, serah kepada ALLAH. Tak pe lah.. orang tu terlalu berkuasa, kita tak boleh buat apa,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Yayasan Kepimpinan Perdana sempena pelancaran buku, My Name is Hasmah, semalam.

Menurutnya, tidak ada apa yang boleh dilakukan memandangkan ‘lawannya’ itu terlalu berkuasa meskipun selepas 22 tahun menerajui negara dan Umno namun jasa bekas Perdana Menteri itu dakwanya sedikit pun tidak dihargai oleh parti itu, pimpinan masa kini termasuk juga segelintir rakyat Malaysia.

Berkongsi dugaan perjuangan yang dihadapi suaminya, Dr Siti Hasmah mengakui beliau turut terkesan dengan kata-kata nista dan tindakan yang dilakukan oleh pimpinan negara ketika ini.

“Sebagai isteri kepada Mahathir, saya mengaku serangan dan perbuatan mereka terhadap beliau sangat memberi kesan tapi saya tak tunjuk, tak nak beliau bertambah risau.

“Sebab itu saya memilih untuk sentiasa bersamanya setiap masa dan menghormati perjuangannya yang masih belum selesai. Kadang-kadang saya kasihan mengenangkan nasib beliau yang diperlakukan sedemikian rupa,” katanya dengan nada perlahan.

Tindakan Najib 'tidak baik'

Beliau yang bakal menginjak usia 90 tahun pada 20 Julai ini menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Dr Mahathir sebagai ‘tidak baik’ kerana hubungan keluarga mereka sangat erat sebelum ini.

“Keluarga kami sangat rapat, ayah Najib, Tun Razak itu belajar satu sekolah dengan abang saya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), jadi kami dah lama kenal.

“Tapi dengan apa yang terjadi akhir-akhir ini, benar-benar membuatkan saya sedih. Malah saya sendiri berkawan rapat dengan Tun Suhailah dan juga Tun Rahah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, paling menyedihkan apabila Mahathir tidak lagi menerajui Proton Holdings kerana syarikat itu menyimpan nilai sentimental kerana dibangunkan suaminya bermula dari kosong sehingga gah seperti sekarang.

“Cara dan tindakan Najib terhadap Mahathir itu kelihatan sangat tidak baik, saya dapat rasakan perasaan suami saya tapi apa boleh buat,” katanya.

Sebagai ibu bekas Menteri Besar Kedah, Dr Siti Hasmah menegaskan beliau bukan ahli politik malah ketika menjadi isteri perdana menteri, suaminya hanya mendaftarkan beliau sekadar ahli Umno sahaja.

“Kepada anak-anak, saya cuma nasihatkan mereka sekiranya terjun ke bidang politik, perkara utama yang perlu dilakukan ialah berhati-hati dan menyantuni rakyat di peringkat akar umbi kerana dari situlah seseorang pemimpin politik mendapat sokongan,” katanya.

Anak-anak kena ambil vaksin

Sementara itu, sebagai doktor wanita Melayu pertama Malaysia, Dr Siti Hasmah memberi peringatan kepada semua ibu bapa untuk mengambil vaksin terhadap anak-anak mereka demi kesejahteraan.

“Setiap kali saya jumpa ibu dan anak saya akan pergi kepadanya dan bertanya, ini anak ke berapa? Vaksin dah ambil? Itu memang soalan wajib.

“Pengambilan vaksin sangat penting dan ia tidak boleh dianggap remeh. Vaksin sebagai imunisasi melindungi manusia daripada serangan penyakit dan wabak,” katanya.

Berkenaan karyanya, My Name is Hasmah terbitan Kumpulan Media Karangkraf  adalah berkisar mengenai suara, sudut pandang dan pengalaman beliau sejak kecil, zaman persekolahan, universiti, berkahwin serta membina keluarga termasuk sebagai bekas wanita pertama.

“Sebagai isteri Mahathir di rumah beliau suami saya dan apabila di luar Mahathir milik masyarakat, saya hormat perkara itu.

“Bab paling menarik dalam buku ini dan hidup saya ialah menjadi isteri Mahathir dan mempunyai anak-anak bersamanya,” kongsinya.


Saya lebih rela mati berdiri, daripada hidup melutut – Guan Eng

WhatsApp-Image-20160630

Roketkini.com

 
GEORGE TOWN:  “BN boleh dakwa saya, tetapi tidak akan dapat membunuh iltizam saya demi membebaskan Malaysia daripada rasuah.

“BN boleh memangsakan saya, tetapi tidak akan menghancurkan semangat saya untuk membebaskan saya daripada mereka yang merompak masa depan anak cucu kita.

“BN boleh aibkan saya, suka-suka tahan saya. Tetapi mereka tidak akan berjaya menukar hitam jadi putih, tidak akan berjaya menukar makruf jadi mungkar, mungkar jadi makruf.”

Demikian kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam sidang media selepas didakwa di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, setelah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Beliau menegaskan tidak akan tunduk terhadap permainan politik jahat dan kotor yang bertujuan menghancurkan reputasinya mahupun imej negeri Pulau Pinang sebagai negeri yang paling bersih dan paling baik urus tadbirnya di Malaysia.

“Kami bangga dengan pelaksanaan tender terbuka dan bangga dengan pujian daripada Transparency International dan laporan tahunan Ketua Audit Negara,” ujarnya.

Menyifatkan pendakwaan terhadapnya sebagai percubaan BN untuk cuba memalit lumpur ke muka orang lain demi menyembunyikan skandal rasuahnya sendiri.

“Jika BN rasa ia boleh mematahkan semangat saya dengan menahan saya, mereka salah sama sekali! Saya lebih rela mati daripada hidup melutut,“ tegas beliau yang juga Setiausaha Agung DAP.

Hairan dengan pertuduhan

“Saya juga hairan dengan apa yang bermula sebagai serangan politik jahat terhadap saya kononnya menjual tanah Taman Manggis yang sepatutnya diberikan kepada orang miskin akhirnya berakhir tanpa sebarang penghujung.

“Apa guna menteri BN kecoh-kecoh tentang Taman Manggis? Jelas sekali tidak ada apa-apa yang salah dengan penjualan tanah Taman Manggis,” tambahnya mengulas pendakwaan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembelian rumah daripada Cik Phang Li Koon adalah dilakukan dengan tulus hati, antara individu yang tidak mempunyai kepentingan perniagaan, atas dasar kerelaan penjual dan pembeli tanpa sebarang paksaan atau sebarang balasan istimewa daripada saya mahupun kerajaan negeri.

“Tidak seperti kes Khir Toyo, Cik Phang tidak rugi sehingga RM5 juta, malah memperoleh keuntungan kecil sebanyak RM300 ribu daripada harga asal RM2.5 juta yang dibayarnya.

“Tidak seperti kes Khir Toyo, Cik Phang bukanlah pemaju perumahan yang haru bergantung kepada kerajaan negeri untuk meneruskan perniagaannya,” jelasnya lagi, mengulas perbezaan kesnya dengan kes rasuah mantan menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo.

“Tentang pertuduhan kedua berkait kelulusan permohonan Magnificent Emblem Sdn. Bhd. (MESB) untuk menukar status tanahnya daripada tanah pertanian kepada tanah perumahan; MESB tidak berjaya melakukan pertukaran status hartanahnya kepada tanah perumahan.

“Hartanah tersebut masih kekal sebagai tanah pertanian. Apa faedah yang didapati MESB apabila ia tidak mendapat kelulusan pertukaran status terbabit apabila ia tidak mendapat izin akhir daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang,” soal beliau.

Peguam Negara Datuk Mohamed Apandi Ali yang mengetuai pendakwaan meminta jumlah ikat jamin sejumlah RM1 juta dengan seorang penjamin bagi Guan Eng, dengan syarat tambahan mesti memaklumkan kepada Pejabat Peguam Negara dua hari lebih awal sebelum ke luar negara.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh 22 September 2016 jam 9.00 pagi sebagai sesi pengurusan kes di kamar Mahkamah Tinggi. – Roketkini.com


Selepas dua pegawai kanan SPRM bersara awal, Guan Eng didakwa

 MALAYSIA DATELINE
 
 
Lim Guan EngLim Guan Eng


Pendakwaan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selepas dua pemimpin kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersara awal didakwa bertujuan memusnahkan karier politik setiausaha agung DAP itu.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam satu kenyataannya berkata, tindakan ini juga dibuat oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas menang besar dalam pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Perdana menteri sedang mengambil peluang untuk melemahkan pembangkang selepas memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum kemungkinan mengadakan pilihan raya umum lebih awal pada awal tahun depan," kata Tony dalam satu kenyataannya hari ini.

Kata Tony, ini bukan kali pertama Lim didakwa oleh kerajaan BN.

Dia telah ditangkap dan didakwa pada tahun 1994 kerana mengkritik kerajaan yang gagal mendakwa Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik di atas dakwaan merogol gadis di bawah umur.

Lim telah didakwa di bawah akta mesin cetak 1984 dan dipenjarakan selama 18 bulan di penjara Kajang.

"Walaupun telah dimalukan, Lim tidak hilang kepercayaan rakyat apabila beliau diundi untuk kembali ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008.

"Dia kemudiannya membuktikan bahawa pembangkang yang ada mampu memerintah Malaysia dan menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang makmur di negara ini," katanya.

Tony juga berkata, DAP mempunyai keyakinan penuh ke atas kewibawaan Lim dan yakin beliau tidak bersalah "dan kami akan menentang dakwaan yang dibuat tanpa asas undang-undang ini".

Lim bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini di bawah seksyen 23 Akta SPRM dan seksyen 165 Penal Kod.

Dakwaan pertama berkaitan dengan dakwaan salah guna kuasa mengubahsuai zon tanah manakala dakwaan kedua pula berkaitan pembelian banglo yang didiaminya dengan dakwaan ia dibeli di bawah harga pasaran.

Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali akan mengetua pasukan pendakwaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan timbalannya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull telah bersara lebih awal dari jadual sebenar.

Sebelum bersara, Bahri bertanggungjawab mengendalikan kes SRC International Sdn. Bhd. yang berkaitan dengan skandal 1MDB dan pernah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, tetapi kedudukannya di SPRM kemudiannya dipulihkan semula selepas mendapat kritikan teruk.

Warga tua diabai keluarga dorong anak muda tubuh rumah kebajikan

 BERNAMA
 
 
Warga tua terabai dapat dilihat di mana mana.Warga tua terabai dapat dilihat di mana mana.


Segalanya bermula dengan rawatan di hospital kerana denggi.

Pengurus Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai di Taman Tas, Kuantan Mohamad Fauzi Ramli berkata beliau terpinga-pinga bila katilnya diletakkan di tengah-tengah laluan di wad.

Apabila ditanya, doktor memberitahunya bahawa ruang terhad kerana katil-katil di ruang biasa masih dipenuhi pesakit kebanyakannya orang tua yang tidak dijenguk dan diambil keluarga.

"Sejenak itu, terlintas di fikiran saya betapa perlu ditubuhkan sebuah rumah kebajikan untuk mereka," kata Mohamad Fauzi dalam satu temu bual.

Untuk itu, Mohamad Fauzi sanggup berhenti kerja sebagai tukang masak di sebuah syarikat di Pelabuhan Kuantan walaupun gajinya agak lumayan.

Beliau mengambil keputusan menubuhkan rumah kebajikan itu bersama pengasasnya Zahari Mamat, 55, sekitar Februari 2013.

Beliau menumpukan seluruh masa dan tenaga di rumah kebajikan itu.

Bagi Mohamad Fauzi, 27, yang berasal dari Perak, memiliki pekerjaan bergaji lumayan, kereta dan rumah besar, melancong ke luar negara tidak wujud dalam senarai impian hidupnya.

Beliau bertekad melindungi orang tua yang daif dan dipinggirkan keluarga, bersama Zahari memandangkan sebelum itu pengasas rumah kebajikan tersebut pernah meluahkan hasrat hendak menjaga orang tua.

"Saya melakukan Solat Istikarah sebelum betul-betul mengambil keputusan berhenti kerja, Allah SWT bagi petunjuk menerusi mimpi.

"Dalam mimpi, saya menjaga orang tua dan memandikan mereka," katanya.

"Akhirnya pada 21 Ogos 2013 rumah kebajikan ini sah berdaftar dengan ROS (Pejabat Pendaftar Pertubuhan) dan 17 Jun 2014 pula mendapat pendaftaran Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Mohamad Fauzi berkata kini hatinya lebih tenang dan bahagia biarpun tidak memiliki gaji besar dan keretanya ditarik bank.

Katanya, keutamaannya sekarang adalah untuk berbakti kepada seramai 15 penghuni lelaki tua di rumah kebajikan itu.

"Sekarang saya berpegang teguh kepada konsep bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT. Rezeki semuanya datang daripada Allah SWT.

"Kebahagiaan dan rezeki bukan diukur semata-mata dengan mempunyai wang yang banyak sahaja, paling penting ketenangan hati," katanya.

Beliau berkata sudah hampir empat tahun tidak pulang ke kampung halamannya demi menjaga penghuni di rumah kebajikan itu kerana hanya dirinya bersama Zahari sahaja yang menguruskan makan minum dan pakaian orang tua berkenaan.

"Nasib baik ahli keluarga saya boleh terima pilihan saya ini dan pernah mak saya datang melawat saya di sini sebab hendak melihat sendiri apakah benar saya menjaga di rumah orang tua ini," katanya.

Ditanya mengenai cabaran ditempuhi menjaga orang tua, Mohamad Fauzi berkata antaranya perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah penghuni termasuk anggota keluarga datang menuntut harta penghuni yang sudah meninggal dunia.

"Orang tua-tua ini ada macam-macam perangai. Ada yang sudah ingat-ingat lupa seperti nyanyuk hinggakan ada bermain dengan najis sendiri yang memerlukan saya bersihkan semula. Ini semua perlukan banyak bersabar.

"Ada juga ahli keluarga datang bertanya saham atau duit yang arwah ayah mereka tinggalkan.

"Saya dan Zahari tidak mengambil tahu langsung tentang harta penghuni di sini, sedangkan makan minum dan pakaian penghuni kami sediakan sendiri tanpa perlu bayaran," katanya.

Mohamad Fauzi kini mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia di sebuah universiti swasta di sini.

Bukan Guan Eng, heret dahulu dalang masalah 1MDB

 ARIF ATAN
 
 
Lim Guan Eng menggenggam tangan ke udara ketika dibawa ke kamar mahkamah.Lim Guan Eng menggenggam tangan ke udara ketika dibawa ke kamar mahkamah.


Rakyat bukan mahu melihat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa tetapi menuntut mereka yang terlibat dengan kontroversi menyelubungi syarikat pelaburan negara sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diheret ke muka pengadilan.

Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, penangkapan Guan Eng semalam seperti sengaja mahu mengalih perhatian rakyat terhadap isu kepincangan urus tadbir negara yang semakin menonjol pada masa ini.

"Rakyat juga tertanya-tanya apa perlunya rombakan Kabinet ketika ramai pihak termasuk dari Umno-BN sekalipun mendesak pengunduran Najib.

"Rakyat juga mahu tahu apa sebenarnya berlaku di sebalik pemecatan dan arahan bertukar beberapa jawatan kritikal dalam negara.

"Ini termasuklah Ketua Pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang dikatakan akan bersara awal Ogos ini walaupun kontrak beliau hanya tamat pada 2018," ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Mengulas lanjut penangkapan Guan Eng atas dua tuduhan rasuah dan didakwa di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pagi ini, beliau berkata, rakyat sebenarnya menuntut kerajaan menyelesaikan kemelut ekonomi bukannya membuat tindakan bermotif politik kepartian.

"Rakyat mahu kerajaan ada usaha dalam menangani masalah ekonomi negara pada masa ini.

"Padahal, Pulau Pinang yang diterajui Guan Eng menyaksikan ekonomi negeri itu makmur dengan manfaat turut dirasai termasuk institusi agama Islam," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat semakin menyedari krisis kepimpinan Umno-BN yang diterajui Najib semakin tidak relevan serta tidak memberi manfaat kepada mereka.

Moratarium bauksit di Kuantan dilanjutkan

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic 
PUTRAJAYA: Kabinet telah bersetuju tempoh moratarium terhadap aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang dilanjut selama dua bulan lagi sehingga 14 September depan.
 
Lanjutan moratarium kali ketiga itu dibuat selepas perbincangan antara Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pada 24 Jun lalu.
 
Perbincangan itu merangkumi beberapa perkara yang memerlukan penyelesaian terutama dalam menyelesaikan isu pengosongan stokpil bauksit yang berada di luar Perlabuhan Kuantan iaitu di sekitar bandar Kuantan dan Bukit Goh.
 
Wan Junaidi berkata, jumlah bauksit dalam stokpil di luar Pelabuhan Kuantan dianggarkan sebanyak 5.4 juta tan.
 
Kata beliau, jumlah tersebut meliputi 1.3 juta tan dalam stokpil di kawasan Gebeng, 2.3 juta di kawasan lombong dan 1.8 juta tan di kawasan Felda.
 
“Bagi tujuan mengosongkan stokpil tersebut, kementerian telah mengeluarkan sebanyak 25 permit import (AP) khas dengan kuantiti yang diluluskan berjumlah 2.46 juta tan.
 
“Namun sehingga 1 Jun lalu, hanya sebanyak 187,438 tan sahaja yang dieksport sedangkan kapasiti pengendalian eksport bauksit di Pelabuhan Kuantan adalah 1.5 juta sebulan dan Pelabuhan Kemaman sebanyak 700,000 tan sebulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Pada 8 April lalu, Kabinet bersetuju moratorium perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang yang sepatutnya berakhir 15 April depan dlanjutkan untuk tempoh tiga bulan lagi bagi membolehkan stok simpanan bauksit sedia ada yang berjumlah hampir empat juta tan dapat dieksport ke luar negara.
 
 

Guan Eng mengaku tak bersalah terhadap 2 tuduhan rasuah babitkan tanah, banglo

ANTARAPOS.COM


Post Pic


GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini di atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
 
Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada ahli perniagaan Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta.

Sedangkan nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta yang mana tertuduh mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya (Lim).

Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 28 Julai 2015.

Bagi pertuduhan kedua itu Lim didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu bekas pemilik banglo itu Phang Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.

Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Jangan Cepat Hukum Guan Eng - KJ

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin meminta semua pihak tidak terlalu awal menghukum Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung dakwaan berkaitan isu pembelian banglo.

Beliau berkata, semua pihak perlu mematuhi undang-undang negara dan ada proses perundangan yang dilaksanakan bagi setiap pendakwaan.

"Kita tidak mahu menghukum terlalu awal lagi. Sekiranya ada tindakan susulan... tindakan mahkamah dan sebagainya, beliau (Guan Eng) ada peluang untuk membela diri.

"Tidak ada sesiapa yang boleh lepas daripada tindakan undang-undang di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Pemuda Umno di Matrade di sini, Rabu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu menahan Guan Eng dan seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Khoon, dipercayai berkaitan isu pembelian sebuah banglo.

Setiausaha Agung DAP itu ditahan di pejabatnya di tingkat 28 Bangunan Komtar, Pulau Pinang pada pukul 5.45 petang.

Sementara itu, Li Khoon pula ditahan pada pukul 4.15 petang di pejabatnya di Tingkat 6, Penang Garden.

Tangkapan dibuat selepas mendapat arahan  Pejabat Peguam Negara bagi menuduh mereka di mahkamah yang dijadual pada Khamis.

Pertuduhan kedua-duanya akan dibuat di Mahkamah Seksyen Pulau Pinang, pada pukul 10 pagi mengikut Akta SPRM 2009.

Polis Sekat Jalan Ke Mahkamah, Bangunan SPRM Di P.Pinang

Oleh: CRYSTAL CHIAM SHIYING
 
 
 
 
GEORGE TOWN: Polis telah melakukan sekatan jalan raya berhampiran bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri dan jalan-jalan menuju ke mahkamah sebagai langkah berjaga-jaga, apabila Ketua Menteri Lim Guan Eng dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, pagi Khamis.

Beribu-ribu pelajar dan pekerja lewat tiba ke sekolah dan pejabat gara-gara penutupan jalan tersebut.

Polis telah mengadakan sekatan jalan raya di Jalan Sultan Ahmad Shah sebelum bangunan SPRM dan di Lebuh Farquhar berhampiran mahkamah Pulau Pinang.

Aliran trafik tergendala dari Jalan Pangkor ke Jalan Sultan Ahmad Shah, manakala trafik perlahan di Lebuh Farquhar.

Jalan-jalan ini adalah jalan-jalan utama ke beberapa buah sekolah di George Town seperti Convent Light School, St Xavier's Institute, SMK Hutchings dan terminal feri di Weld Quay.

Pengguna jalan raya dari utara dan selatan menuju ke pusat bandar dinasihatkan mengelakkan diri daripada menggunakan Jalan Sultan Ahmad Shah dan Pulau Tikus untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid yang berada di bangunan SPRM sejak pukul 7.45 pagi berkata sekatan jalan raya dibuat untuk memastikan proses menghantar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ke mahkamah berjalan lancar.

"Kita bukannya cuba untuk menyebabkan masalah kepada rakyat tetapi kita perlu berbuat demikian supaya prosiding mahkamah berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata polis juga akan mengawal bilangan orang yang memasuki bangunan mahkamah atas sebab yang sama.
 
 

AirAsia Promosi KLIA2 Sebagai Terminal Penerbangan Tambang Rendah Dengan Pelaburan RM20 Juta

MSTAR ONLINE
 
 
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar bercakap kepada media selepas mengadakan mesyuarat tertutup bersama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai di Putrajaya, Rabu. -foto MOHD SAHAR MISNI/The Star
 
 
PUTRAJAYA: AirAsia akan terus mempromosikan KLIA2 sebagai Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) dengan AS$5 juta (RM20 juta) akan dibelanjakan untuk kempen pemasarannya, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes.

"Dengan jangkaan lebih banyak LCCT (pada masa akan datang), kami akan memanggilnya LCCT KL, hab tambang rendah Asia, dan sehenti untuk ke mana-mana sahaja di Asia pada kadar tambang terendah," katanya menerusi laman twitter selepas menemui Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai di sini Rabu.

AirAsia tidak akan membelanjakan wang tersebut di Malaysia tetapi di negara lain untuk mempromosikan KLIA2 seperti Lapangan Terbang Dubai, yang menjadi hab transit utama.

Beliau berkata dalam pertemuan selama dua jam itu, menteri telah mengambil perhatian mengenai pelan syarikat penerbangan itu untuk mempromosikan KLIA2 sebagai hab tambang rendah serantau.

Pertemuan antara Fernandes dan Liow itu untuk menyelesaikan isu antara  AirAsia dan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang telah menjadi pertikaian berhubung nama dan penjenamaan KLIA2.

"Pertemuan yang amat baik dengan Liow dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. Paling penting adalah penerimaan bahawa terminal kita adalah hab tambang rendah.

"Isu penting bukan nama tetapi yang dipromosikan dalam terminal dan kepada dunia bahawa KLIA mempunyai hab tambang rendah dengan kadar tambang yang rendah," katanya dalam laman blog mikro, Twitter.

Fernandes yakin Liow akan dapat mencari penyelesaian 'menang-menang' yang baik bagi AirAsia dan MAHB.

"Matlamatnya untuk mendapatkan lebih ramai penduduk ASEAN, Asia dan dunia menggunakan hab tambang rendah kami. Satu juta (orang telah melakukan perjalanan melalui klia2) setakat ini tahun ini. Kami mahu meningkatkannya. (Ini) akan menjadi amat baik kepada ekonomi," katanya.

Liow sebelum ini telah mengumumkan bahawa tiada perubahan nama pada KLIA2.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kementerian bersedia untuk mendengar cadangan AirAsia untuk meletakkan KLIA2 di peringkat antarabangsa sebagai terminal tambang rendah yang utama untuk terus meningkatkan sektor pelancongan dan penerbangan negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali berkata pengendali lapangan terbang itu mempunyai hak untuk mengekalkan jenama KLIA2 termasuk mengambil tindakan undang-undang.

Mengenai perkembangan lain, Fernandes berkata beliau telah membincangkan potensi untuk menjadikan lapangan terbang lama di Melaka sebagai terminal tambang rendah.

"Kami mahu menggunakan lapangan terbang Melaka. Kami telah berjaya dengan Lapangan Terbang Langkawi. Bagaimanapun, kami masih belum mendapat kebenaran  MAHB untuk menggunakan lapangan terbang tersebut," katanya.

Beliau berkata AirAsia akan memulakan sektor Langkawi-Hong Kong dan syarikat penerbangan itu berminat untuk melaksanakan inisiatif sedemikian di Melaka.

Pelepasan Khas Pada 8 Julai Jika Aidilfitri Pada 6 Julai

MSTAR ONLINE
 
 
Tan Sri Dr Ali Hamsa
 
 
PUTRAJAYA: Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan pelepasan khas daripada bertugas pada 8 Julai ini kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan sekiranya Hari Raya Aidilfitri diisytiharkan pada 6 Julai, demikian umum Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Bagaimanapun, katanya pelepasan khas daripada bertugas itu tidak terpakai sekiranya Hari Raya Aidilfitri diisytiharkan pada 5 Julai.

"Orang awam yang merancang untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan pada hari pelepasan khas tersebut digalakkan untuk mengunjungi jabatan dan agensi yang berkenaan sebelum cuti umum Hari Raya Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Ali dalam pada itu merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bersetuju dengan cadangan  daripada penjawat awam itu khususnya oleh Cuepacs.

"Semoga penjawat awam dapat memanfaatkan pemberian pelepasan khas daripada bertugas untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik dan produktif apabila kembali bertugas di jabatan dan agensi masing-masing," katanya.

"Tambang Dibayar Balik, Tunggakan Gaji Tidak" - Pekerja Rayani Air

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Gambar fail Zulkalnain (tengah) pada sidang media, April lalu.
 
 
 
PETALING JAYA: Pekerja Rayani Air mempersoalkan tindakan majikan yang masih belum melunaskan tunggakan gaji mereka sedangkan bayaran balik tambang penumpang sudah mula dibuat sejak Isnin lalu. 

Wakil kakitangan Rayani Air, Zulkalnain Azdan berkata, syarikat penerbangan itu pada Isnin lalu membuat pengumuman mengenai bayaran balik tambang, yang dimuat naik di akaun rasmi Facebook Rayani Air.

“Bila syarikat mula atau meneruskan proses pembayaran balik tambang kepada penumpang, ini bermakna mereka mempunyai sumber kewangan bagi bayaran itu.

“Kenapa tidak syarikat melakukan perkara yang sama terhadap pekerja, dengan melunaskan tunggakan gaji kepada kakitangan syarikat yang ketika ini tiada sumber pendapatan tetap atau kerja lain selepas Rayani Air tidak lagi beroperasi,” katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, pengumuman mengenai bayaran balik tambang yang dimuat naik di akaun rasmi Facebook Rayani Air telah ditarik balik, sehingga menimbulkan persoalan di kalangan pengguna laman sosial itu.

MB: Solidariti bersama Guan Eng

SELANGOR KINI


SHAH ALAM : Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan solidariti bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selepas beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.

Menerusi satu kenyataan, Mohamed Azmin berkata keyakinan sepenuhnya dengan kepimpinan dan pentadbiran Guan Eng di Pulau Pinang.

Jambatan Pulau Pinang Lim Guan Eng

“Saya menyatakan kepada Guan Eng bahawa saya teguh di belakangnya pada masa sangat genting ini.

“Beliau kini dianiaya penguasa yang bersungguh-sungguh mahu memperlekeh dirinya dan pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, walaupun penahanan Guan Eng dengan kehadiran peguam, tindakan itu sekali lagi menimbulkan keraguan terhadap keadilan dalam proses siasatan serta objektiviti Peguam Negara.

“Kita perlu sedar tindakan Kerajaan tidak lain dan tidak bukan adalah sebahagian daripada konspirasi berterusan serta bersungguh-sungguh untuk memburukkan Guan Eng dan ahli politik pembangkang lain,” katanya.EZY


Pas Sabah tawar tempat pada ahli Umno

Mohd Aminuddin Aling
Mohd Aminuddin Aling


SHAH ALAM - Pas Sabah hari ini menawarkan tempat dalam parti Islam itu kepada ahli Umno yang kecewa dengan pemecatan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta penggantungan, Datuk Seri Shafei Apdal.

Pesuruhjaya Pas Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata, sudah tiba masanya ahli Umno beralih kepada Pas kerana ‎parti itu mempunyai matlamat yang jelas dan tidak mudah dipermainkan lawan mahupun kawan.

"Berdasarkan laporan media saya difahamkan di Semporna sahaja 300 cawangan Umno dibubarkan termasuk sayap pemuda, wanita dan puteri.

"Saya yakin ramai di kalangan ahli Umno yang tidak suka kepada penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang ada dalam kerajaan sekarang. Tetapi mereka disekat daripada bersuara kerana kesannya seperti yang berlaku kepada Muhyiddin dan Mukhriz," katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat lalu memutuskan Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta.

[ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin, Mukhriz dipecat, Shafie digantung jawatan]

Sementara Shafie digantung dari jawatannya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata, tindakan itu dipersetujui sebulat suara kerana mendapati mereka melakukan kesalahan serius.


Mufti ingatkan umat Islam jujur cari rezeki

SINAR HARIAN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN


KANGAR - Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan umat Islam agar jujur dalam mencari rezeki untuk mendapat keberkatan dengan menggunakan sumber wang yang halal.

Mohd Asri berkata, penggunaan wang yang halal hasil titik peluh ketika bekerja sudah pasti digunakan untuk keperluan harian anggota keluarga termasuk soal pemakanan.

"Jangan sesekali lupa bahawa pemakanan halal amat penting bagi setiap umat Islam kerana Allah hanya akan memakbulkan doa dari mereka yang makan makanan dibeli dari hasil wang atau rezeki yang halal," katanya.

Mohd Asri menyampaikan tazkirah zohor sempena program Raudhatul Iktikaf di sepuluh terakhir Ramadan anjuran Jabatan Mufti Perlis di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini, hari ini.

Mufti Perlis menarik perhatian dengan memberi contoh mereka yang terlibat dalam penipuan pengendalian pakej umrah dengan menjanjikan jemaah tempat tinggal istimewa di tanah suci Mekah dan Madinah.

"Ada yang menawarkan pakej yang memberi keselesaan kononnya kerana dekat dengan masjid, tetapi hakikat sebenar jaraknya jauh.

"Bagaimanapun mereka tidak dibenarkan bersuara dan menuntut apa-apa hak atas alasan perlu bersabar dan reda dengan pelbagai ujian di tanah suci," katanya.
 
Katanya, tidak kurang juga bentuk penipuan lain terutamanya oleh peniaga. 

"Makanan yang dimasak atau ikan yang disimpan beberapa hari tetapi peniaga memaklumkan kepada pembeli makanan itu disediakan menggunakan ikan segar.

"Doa mereka ini (peniaga) tidak akan diterima oleh Allah walaupun selalunya pada akhir sepuluh Ramadan Allah memperkenankan doa setiap umatNya," katanya.

Malah perbuatan seperti ini akan menjadi punca terjadinya segala masalah hati dan sahsiah manusia yang akhirnya mempengaruhi serta merosakkan komuniti sesebuah masyarakat, kata Mohd Asri. - Bernama


Tidak puasa: Jual makanan ikut tingkap

Tidak puasa: Jual makanan ikut tingkap
Anggota penguat kuasa merampas barangan jualan dan peralatan memasak semasa operasi dilakukan.


PASIR MAS - Kehadiran beberapa buah kereta yang di pakir di hadapan sebuah kedai kopi pada waktu pagi di bulan Ramadan di Kampung Gaung, Tendong menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk serta pengguna laluan berkenaan.

Persoalan itu akhirnya terlerai apabila, anggota penguatkuasa Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) dan Pejabat Agama Islam Jajahan Pasir Mas melakukan serbuan seterusnya mendapati premis berkenaan menjual makanan di luar waktu dibenarkan pada bulan Ramadan.

Menggunakan modus operandi menjual makanan melalui tingkap berjaya dihidu oleh anggota penguatkuasaan biarpun pemilik premis beranggapan tindakan itu mampu mengaburi mata.

Jika dilihat dari luar kedai kopi tersebut seperti tidak beroperasi tetapi pemiliknya menggunakan tingkap untuk melakukan urus niaga dengan pelanggan yang ponteng puasa.

Difahamkan kebanyakan pelanggan adalah terdiri dari golongan muda dan pelajar sekolah.

Yang Dipertua MDPM, Dr Che Hamat Che Muda berkata, serbuan tersebut dilakukan kira-kira jam 1.30 petang oleh 10 anggota penguatkuasa.

"Kejayaan ini adalah hasil maklumat orang awam dan intipan yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa sebelum membuat serbuan," katanya.


AG sendiri ketuai pasukan pendakwaan untuk kes Guan Eng

MALAYSIAKINI


Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Lim bakal berdepan pendakwaan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"InsyaAllah, saya akan mengetuai pasukan pendakwaan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang," kata Mohamed Apandi kepada Bernama.

Lim kini berada di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang setelah penangkapan ke atas beliau dilakukan sejurus nya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis eksekutif di Komtar.

Turut ditahan ialah Phang Li Koon, penjual banglo di Jalan Pinhorn , Pulau Pinang kepada Lim pada harga RM2.8 juta.

'Bebas Guan Eng, Tangkap Najib' bergema di himpunan nyalaan lilin

Susan Loone

Pemimpin dan ahli DAP berkumpul di luar ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pulau Pinang malam tadi untuk menuntut pembebasan setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng ditahan di premis itu bersama dengan Phang Li Khoon, pemilik sebelumnya banglonya di Jalan Pinhorn pada pukul 6 petang semalam.

Pemimpin utama DAP Pulau Pinang termasuk Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy dan Exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng, Danny Law dan Chong Eng dilihat di kalangan orang ramai.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mujahid Yusof Rawa tiba selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Bukit Gelugor, yang sepatutnya turut dihadiri Guan Eng.

Laungan "Bebaskan Guan Eng" dan "Hidup Guan Eng" kedengaran di kalangan orang ramai.

Mereka juga melaungkan "Tangkap Najib, tangkap Jho Low", merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan rakan keluarganya, anak kelahiran Pulau Pinang yang dikaitkan dengan isu 1MDB, Low Taek-Jho.

Orang ramai seramai kira-kira 1,000 orang terus melaungkan slogan 'bebaskan Guan Eng' apabila salah sebuah kereta rasmi kerajaan negeri, Toyota hitam dengan nombor pendaftaran PCM 1, dilihat meninggalkan perkarangan bangunan itu.

Lim tidak berada di dalam kereta.

Dia akan didakwa di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang terhadap dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana dikatakan berkaitan dengan pengezonan semula tanah pertanian kepada lot komersial.

Dia juga akan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana didakwa membeli banglonya di bawah nilai pasaran, satu kesalahan bagi seorang pegawai awam.

Keganasan tak selesaikan masalah - PAS

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS mengutuk serangan pengebom nekad di Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul, Turki malam tadi waktu tempatan.
 
Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, keganasan tidak boleh menyelesaikan sebarang masalah lebih-lebih lagi kejadian itu turut mengorbankan nyawa orang awam.
 
Malah, Islam katanya sama sekali mengutuk amalan keganasan apatah lagi melibatkan nyawa pihak awam yang tidak berdosa. 
 
"Dewan Pemuda mengutuk keganasan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan di Lapangan Terbang Ataturk, Istanbul, Turki.
 
"DPPM sekali lagi menegaskan bahawa keganasan tidak pernah menjadi penyelesaian kepada mana-mana masalah. Islam sama sekali mengutuk amalan keganasan apatah lagi melibatkan nyawa pihak awam yang tidak berdosa. 
 
"Serangan berani mati di lokasi awam seperti di lapangan terbang ini jelas sekali dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan sama sekali tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana agama," kata Nik Abduh dalam satu kenyataan hari ini.
 
Dalam serangan tersebut, sebanyak 36 nyawa terkorban di samping 147 orang lagi mengalami kecederaan dalam tiga serangan pengebom nekad di lapangan terbang berkenaan.
 
Agensi berita Dogan melaporkan penyerang mula menembak pengawal lapangan terbang di pintu masuk terminal sebelum meletupkan bom yang dibawa mereka kira-kira jam 10.00 malam waktu tempatan.
 
Nik Abduh turut berkata serangan oleh pihak pengganas itu kini tertumpu ke negara-negara Islam dan menyifatkan Tukri menjadi sasaran utama keganasan.
 
"Turki seolah-olah sedang menjadi plot utama serangan keganasan. 
 
"Dunia masih mengingati bagaimana pada 13 Mac yang lepas, bandar Ankara diserang dengan letupan bom yang mengorbankan 34 orang dan mengakibatkan kecederaan 125 orang mangsa," katanya lagi.
 
Ini kali kedua dalam tahun ini Turki diserang pengganas apabila kejadian sama turut berlaku 12 Januari lalu.
 
Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya 10 nyawa melayang dan menyebabkan lebih 15 orang cedera ekoran insiden letupan berhampiran sebuah taman warisan purba Greek yang menempatkan tugu Obelisk.
 
 
 

Suspek kes tembak Batu Caves mati ditembak polis

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SUBANG JAYA: Lelaki yang dipercayai suspek utama kes tembak di Batu Caves minggu lalu, mati ditembak polis di kawasan perumahan USJ11/1D di sini, tengah hari tadi.
 
Polis berjaya mengesan suspek selepas mendapat laporan orang awam yang melihat suspek dalam keadaan mencurigakan dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah.
 
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, ketika anggota menghampiri suspek untuk melakukan pemeriksaan, secara tiba-tiba lelaki itu mengeluarkan pistol dan menyebabkan polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan dan mengenai badan suspek.
 
"Pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemui sepucuk pistol jenis Glock. Semakan kenderaan dinaiki suspek juga mendapati ia kereta curi yang dilaporkan hilang di Kepong. 
 
"Kita percaya suspek tidur di dalam kereta selepas mengetahui dia menjadi buruan polis, berdasarkan penemuan stok pakaian dalam kenderaannya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 
 
Beliau berkata, dengan kejayaan kes itu, polis juga percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 12 kes samun bersenjata yang dilakukan suspek.
 
Katanya, polis kini juga sedang berusaha mengesan seorang lagi lelaki yang juga rakan subahat suspek yang turut sama terbabit dalam jenayah dilakukannya.
 
 

Dapatan Ilham Centre dedahkan anak muda terlalu bosan situasi politik kini

ARIF ATAN
 
 
Hisommudin berpendapat Pakatan Harapan perlu segera tangani persepsi segmen pengundi muda dan MelayuHisommudin berpendapat Pakatan Harapan perlu segera tangani persepsi segmen pengundi muda dan Melayu


Pengundi muda dikenal pasti berada dalam situasi terlalu bosan dengan realiti pergolakan parti pembangkang selain kebobrokan Umno-BN sedia ada.

Pengerusi Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, kelompok terbabit tidak teruja untuk mengundi kerana menyedari mereka tidak mempunyai pilihan.

"Nak undi BN, skandal kewangan sana-sini. Nak undi pembangkang berlaku pergolakan tidak berkesudahan," ujarnya pada forum di Gerak Budaya di Petaling Jaya semalam.

Berkongsi pengalaman interaksinya dengan beberapa parti baharu di Indonesia, beliau memberitahu golongan muda menjadi sasaran parti-parti terbabit.

"Mereka abaikan saja kelompok pengundi tegar parti sebaliknya tumpu pada anak muda. Tidak seperti di Malaysia. Hak kumpulan terbanyak sekitar 30 hingga 40 peratus ini terabai tidak disambut parti pembangkang," jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hisommudin turut mengulas pola pengundian pemilih Melayu susulan penyertaan Tun Mahathir ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini.

"Kelompok berkenaan (Melayu) jauh dari membuat perubahan besar. Elemen Tun Mahathir hanya memberi sedikit lonjakan kepada parti Amanah tapi belum cukup untuk mengubah mereka supaya mengundi blok pembangkang pada PRU14 nanti.

"Bagaimana mahu tangani psikik orang Melayu ini supaya mereka berani buat perubahan?," soalnya dalam Wacana Terbuka: Amanah Bawa Tuah atau Rebah? anjuran Free Public Forum dengan kerjasama Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu.

Mengulas lanjut trend pengundi di Sungai Besar dan Kuala Selangor, Hisommudin mendedahkan sikap responden Melayu yang dilihat menyerahkan segalanya pada kepimpinan politik.

"Kalau kita jumpa tanya tentang skandal 1MDB, baik Sungai Leman atau Parit 1 sampai 16, mereka jawab, 'terserah pada pemimpin.'

"Mereka tak fikir pun soal RUU (Rang Undang-Undang Akta 355). Apa yang mereka soal kos kenaikan barang. Itu cara pengundi Melayu berfikir," tambahnya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan Pakatan Harapan akan kalah jika Pilihan Raya Umum ke-14 diadakan pada masa terdekat.

"Pembangkang boleh hilang undi popular. Pakatan Harapan sudah tidak popular seperti ketika Pakatan Rakyat," ujarnya lagi.

Isu kafir harbi: Jakim, PDRM didesak segera bertindak

| ARIF ATAN
 
 
Faiz FadzilFaiz Fadzil


Pemuda Amanah Nasional mendesak pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak segera terhadap Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang mengeluarkan kenyataan dibimbangi menjejaskan kestabilan masyarakat majmuk di negara ini.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, tuduhan mufti itu ke atas mana-mana pihak sebagai harbi memerlukan kajian terperinci bagi mengelak salah faham dalam kalangan masyarakat.

"Kita juga mahu mengelak sebarang bentuk hasutan, unsur fitnah dan menggangu keharmonian.

"Tapi hampir seminggu kenyataan Mufti Pahang yang mendakwa DAP dan penentang Rang Undang-undang (RUU) 355 sebagai kafir harbi, masih tiada sebarang respond daripada polis mahupun Jakim walaupun terdapat laporan polis dibuat," ujarnya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Beliau berkata, Jakim perlu tampil memberikan pencerahan kepada masyarakat tentang takrifan sebenar kafir harbi, syarat dan kesannya.

"Jakim mesti memainkan peranan bagi menunjukan sifat Islam sebenar sebagai agama yg membawa rahmat.
"Ironinya, RUU 355 belum lagi dibahaskan tetapi bagaimana fatwa sebegitu boleh timbul? Walhal, selaras dengan firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 135 bahawa Allah menyuruh berdakwah dengan hikmah dan nasihat yang baik," jelas peguam itu.

Menurutnya, Jakim bahkan pihak mufti harus memberi penjelasan kepada masyarakat terutama orang bukan Islam tentang keperluan RUU 355.

Menempelak kecenderungan institusi agama dijadikan alat pemerintah Umno-BN untuk membangkitkan perpecahan dalam masyarakat dengan sentimen perkauman atas nama agama, Faiz menyeru fahaman takfiri dibendung daripada terus menular di negara ini.

"Islam adalah agama yang suci dan kesucian itu hendaklah dijaga. Pihak polis hendaklah menjalankan siasatan segera kerana kenyataan kafir harbi boleh mengundang pertumpahan darah akibat tanggapan darah mereka kononnya halal.

"Keamanan adalah tuntutan utama dalam Islam. Tindakan dan respond segera pihak berkuasa amat dituntut," tegasnya lagi.

Kenapa Lim Guang Eng tidak Najib, soal Amanah

MALAYSIA DATELINE
 
 
Lim Guan Eng memTindakan terhadap Lim Guan Eng buktikan kerajaan BN melakukan pendakwaan terpilih kata Mohamad SabuLim Guan Eng memTindakan terhadap Lim Guan Eng buktikan kerajaan BN melakukan pendakwaan terpilih kata Mohamad Sabu


Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu mendakwa tindakan pihak berkuasa menahan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuktikan kerajaan BN melakukan pendakwaan terpilih.

Mengakui kagum dengan kecekapan pihak berkuasa terhadap isu membabitkan pemimpin pembangkang, Mohamad mempersoal mengapa tindakan sama tidak dilakukan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

"Di sebelah pihak lagi, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak mengaku terang-terangan bahawa beliau menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadi beliau.

"Namun Peguam Negara diarah berhenti, Timbalan Perdana Menteri dipecat, Menteri Luar Bandar dipecat, Menteri Besar Kedah dipecat, Timbalan Pengarah Cawangan Khas ditukar tempat kerja, pegawai-pegawai SPRM disiasat dan pucuk kepimpinan SPRM pula berhenti secara mengejut," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam nada kecewa Mohamad berkata rakyat Malaysia terutamanya orang Islam masih tidak sensitif dengan rasuah dan penyelewengan.

Lebih menghairankan katanya, ada dikalangan mereka bergelar pemimpin pembangkang berkelulusan agama, tetapi menyokong perdana menteri yang mengaku menerima wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi.

"Inilah corak kehidupan rakyat Malaysia terutama orang Islam.

"Sampai bila kita hendak berkeadaan begini dengan tidak melaksanakan tanggungjawab agama iaitu menyeru kepada makruf dan menentang kemungkaran," katanya.

Di samping mengharapkan Setiausaha Agung DAP itu diadili sebaik-baiknya, Mohamad turut menyeru rakyat terus bangun melawan rasuah dan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau RM2.6 bilion dan pelbagai skandal yang lain.

Mohamad yang juga kawan karib kepada Lim Guan Eng ketika mereka ditahan di bawah ISA satu masa dahulu berkata, Setiausaha DAP itu pernah dipenjara kerana cuba membela seorang gadis yang dianiaya oleh seorang pempimpin politik BN.

"Dakwaan terpilih sentiasa berulang kali berlaku di Malaysia.

"Kita berharap pasukan pembela akan dapat melakukan pembelaan terbaik ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP ini," katanya.

Laporan menyebut Lim ditahan petang tadi oleh SPRM dan akan dihadapkan ke mahkamah esok atas dua pertuduhan rasuah.

Beliau juga dibawa ke Ibu pejabat SPRM Pulau Pinang dan akan bermalam di sana sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Georgetown esok.

Beliau akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Lim Guan Eng dan Phang ditahan, akan didakwa esok

 MALAYSIA DATELINE
 
 

Lim ditangkap dan dibawa oleh SPRM dan akan didakwa esok.Lim ditangkap dan dibawa oleh SPRM dan akan didakwa esok.


Lim Kit Siang mengesahkan anaknya, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung pembelian sebuah banglo dan akan didakwa esok.

Dalam tweetnya, Lim berkata,  setiausaha agung DAP itu akan dihadapkan ke mahkamah esok atas dua pertuduhan rasuah.

Lim dilaporkan sedang dibawa ke Ibu pejabat SPRM Pulau Pinang dan akan bermalam di sana sebelum dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Georgetown esok, lapor Malaysiakini.

Beliau akan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Pertuduhan pertama berkaitan dengan dakwaan salah menggunakan kuasa dengan menukar status tanah Taman Manggis daripada pertanian kepada komersial, dan dakwaan kedua pula berhubung memperolehi banglo berkenaan di bawah harga pasaran.

Menurut exco kerajaan negeri Chow Kon Yeow, Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah menolak permohonan untuk menukar status tanah tersebut.

Laporan media juga mendakwa ahli perniagaan Phang Li Khoon, yang menjual rumah di Jalan Pinhorn pada harga RM2.8 juta itu juga telah ditangkap.

Sejak petang tadi, beberapa kenderaan polis juga dilaporkan menunggu di luar bangunan itu di mana Lim sebelum ini mempengerusikan mesyuarat exco mingguan.

Penyokong dan pemimpin DAP mula berkumpul di tingkat 28 manakala aktivis PERKASA menunggu di tingkat bawah.

Pada 4 Mac lalu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahya menuduh beliau membeli sebuah banglo yang didakwa jauh di bawah harga pasaran dan mengaitkannya dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis kepada pemaju swasta.

Lim bagaimanapun menafikan sebarang kaitan dan berkata tanah berkenaan dijual melalui jawatankuasa tender terbuka yang dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri yang dilantik oleh kerajaan persekutuan.

Menurut Kanun Keseksaan, membeli hartanah di bawah nilai pasaran dianggap satu kesalahan bagi seorang penjawat awam.

Musa Tidak Sangka Sanjeevan Hanya Nampak Baik Di Depan Sahaja…





LIHAT VIDEO DI SINI

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Musa Hassan tidak menyangka Pengerusi MyWatch, Datuk Sri R Sanjeevan hanya nampak baik di depan sahaja, tetapi memalukan jika siasatan polis mendapati dia benar-benar terlibat dalam aktiviti peras ugut itu

Tambahnya, jika pertuduhan itu benar, ia bukan sahaja memalukan Sanjeevan, malah turut mencemar imejsemua NGO antijenayah yang wujud di Malaysia.

“Kalau betul. Memalukanlah. Kerana lama kelamaan, masyarakat tidak akan percaya dengan NGO-NGO yang diwujudkan untuk mencegah jenayah.

“NGO-NGO (anti-jenayah) ini patut lebih kredibel sebab dia nak bantu masyarakat. Tetapi kalau mereka pula bertindak sebaliknya, daripada membantu mencegah jenayah kepada terlibat sama dengan kegiatan-kegiatan yang tidak betul, maka haram lah..malulah kita,”katanya.

Musa turut mengakui beliau terkejut apabila Sanjeevan telah ditangkap polis kerana dia kelihatan jujur dan baik.

“Selepas (Sanjeevan) ditangkap, saya dapati sebaliknya. Jadi saya rasa agak memalukan.

Musa sebelum ini pernah dilantik sebagai penaung MyWatch yang diterajui Sanjeevan, namun beliau meninggalkan NGO itu pada September 2013, apabila mendapati NGO itu ada ciri-ciri keganjilan.

Beliau berkata, MyWatch tidak pernah membabitkannya dalam mesyuarat dan pembabitannya dalam NGO berkenaan hanya sebagai penaung yang bertujuan memberi nasihat mengenai perjalanan MyWatch.

“Saya minta untuk mengadakan mesyuarat dengan ahli tetapi sampai akhirnya tiada satu pun mesyuarat yang diadakan.

“Saya melihat keganjilan dalam perjalanan MyWatch namun saya tidak menyalahkan sesiapa dalam NGO itu,”kata Musa.

LIHAT VIDEO DI SINI

Sementara itu, dilaporkan reman polis terhadap Sanjeevan dan pemandunya yang merupakan seorang lelaki warga India, dilanjutkan sehingga esok bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes peras ugut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara berkenaan.

Pada 22 Jun lalu, mereka berdua ditahan polis berdekatan Plaza Tol Nilai kerana dipercayai melakukan ugutan jenayah dan peras ugut.

Menurut laporan portal berita, pengerusi NGO berumur 32 tahun itu yang tinggal di Kajang ditahan pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Bukit Aman, sebaik menerima wang perlindungan RM25,000 daripada pengadu yang merupakan seorang pengusaha perjudian haram berumur 38 tahun.

Menurut laporan itu, dalam tangkapan jam 10.50 malam Rabu itu, polis turut menemui wang tunai RM16,080 di dalam kereta suspek.

DAP enggan tarik balik gelaran 'bodoh' kepada penyokong BN

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak akan menarik balik semula perkataan kesat yang dikeluarkan terhadap penyokong Barisan Nasional (BN) yang hadir pada sesi debat terbuka di sini, malam tadi.
 
Pendirian itu dinyatakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, sebentar tadi.
 
Guan Eng berkata, pihaknya tidak akan menarik balik perkataan kesat seperti 'bodoh' dan 'samseng' yang digunakan Exco Kerja Raya, Pengangkutan Awam dan Utiliti negeri, Lim Hock Seng pada sesi debat berkenaan.  
 
"Tak payah cakap lagi (mengenai penggunaan kata kesat pada sesi debat terbuka). Kita ada perkara lebih besar yang perlu difikirkan," katanya kepada pemberita.  
 
Terdahulu, Hock Seng yang hadir pada sidang media sama dihalang Guan Eng daripada menjawab soalan sama ada akan menarik balik kenyataannya pada sesi debat berkenaan.
 
Semalam, sesi debat terbuka berhubung isu terowong dasar laut dan tiga jalan utama menjadi tegang selepas Hock Seng gagal mengawal emosi dan mengeluarkan pelbagai perkataan kesat sehingga menyebabkan pasukan keselamatan campur tangan.
 
Debat terbuka kira-kira dua jam di antara Hock Seng dan Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng itu diadakan di Dewan Kompleks Penyayang bagi membincangkan isu berhubung pembinaan projek terowong dasar laut yang dirangka kerajaan negeri.
 
 

JPJ terima 11,683 tempahan nombor plat siri F

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerima tempahan sebanyak 11,683 bagi nombor pendaftaran siri F, demikian menurut kenyataan jabatan itu.
 
"Orang ramai yang telah mengemukakan tempahan nombor pendaftaran siri F boleh mula menyemak keputusan tempahan pada 1 Julai 2016," katanya.
 
Nombor pendaftaran siri F dibuka untuk tempahan pada 1 Jun lepas dan ditutup pada 12.00 tengah hari, 14 Jun.
 
JPJ berkata notis keputusan akan dipamerkan di Pejabat JPJ Cawangan Putrajaya dan Bahagian Pelesenan Kenderaan, Aras 3, Ibu Pejabat JPJ Malaysia, Putrajaya serta semua Ibu Pejabat JPJ Negeri.
 
"Pemenang bagi tempahan nombor pendaftaran siri F boleh membuat bayaran baki di mana-mana pejabat JPJ Negeri atau cawangan yang melaksanakan urusan pendaftaran kenderaan," katanya.
 
Menurut JPJ, jumlah tempahan siri F itu merupakan jumlah kedua tertinggi tempahan nombor pendaftaran selepas siri WWW yang dikeluarkan oleh JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2012.
 
JPJ berkata orang ramai yang berminat untuk mendapatkan nombor pendaftaran semasa siri F yang tidak ditempah, juga boleh berbuat demikian di mana-mana Pejabat JPJ Negeri mulai 3 Julai bagi negeri-negeri yang bekerja pada hari Ahad dan 4 Julai bagi negeri-negeri lain.
 
 

Bekas tahanan ISA dapat ganti rugi RM 5.2 juta

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Lima individu mendapat sejumlah RM5.2 juta ganti rugi termasuk faedah dan kos selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan kerajaan Malaysia dan dua pihak lagi gagal dalam rayuan mereka untuk mengurangkan ganti rugi ekoran kesemuanya ditahan secara salah, 15 tahun lalu.
 
Lima individu itu Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, Hishamuddin Rais, Saari Sungib, Badaruddin Ismail dan Dr Badrulamin Bahron. 
 
Masing-masing ditahan secara salah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tempoh yang berbeza.
 
Kelima-lima mereka akan mendapat ganti rugi dalam tempoh kira-kira setahun selepas melalui beberapa prosedur.
 
Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak kerajaan dan memerintahkan kos RM30,000 dibayar kepada responden-responden.
 
Kerajaan merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Disember 2014 yang memerintahkan bayaran ganti rugi RM10,000 sehari serta faedah lapan peratus setahun kepada pihak responden. Saman itu dikemukakan pada April 2004.