Kerajaan belanja RM100 juta untuk puja pemimpin negara!
Azamin Amin
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Betapa ramai yang mencemuh tatkala melihat Umno 'merampas' sambutan kemerdekaan negara baru-baru ini apatah lagi semakin jelak melihat Naib Ketua Umno Khairy Jamaluddin yang sering kali 'interframe' laksana beliaulah pejuang dan pemuda harapan bangsa di mana-mana sahaja program kemerdekaan negara yang di siarkan di kaca televisyen.
Harakah keluaran lalu juga turut mengulas panjang berhubung sikap dan tindakan Barisan Nasional (BN) khususnya Umno menjadikan Merdeka sebagai kempen menjulang dan mengangkat nama parti mereka sehingga mengenepikan tokoh-tokoh pejuang dan kumpulan lain yang turut sama mengisi dan melalui keperitan memperjuangkan kemerdekaan negara.
Ramai yang tidak mengetahui di Parlimen baru-baru ini Timbalan Menteri Kewangan Dato' Dr Awang Adek ketika menjawab soalan menjelaskan bahawa kerajaan telah membelanjakan lebih RM100 juta untuk mengadakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.
Ini termasuklah kos perbelanjaan kos kempen bendera, konsert, jamuan, perbarisan dan kos-kos berkaitan dan Anggaran asal perbelanjaan bagi sambutan tersebut di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah RM74 juta, tetapi perbelanjaan tambahan RM18.25 juta menjadikan keseluruhannya mencecah RM93 juta,katanya yang dipetik daripada akhbar Suara KeADILan.
Menurut laporan juga, Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisaan memperuntukkan sejumlah RM7.2 juta untuk semua kawasan Parlimen dan difahamkan kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM38 juta untuk sambutan kemerdekaan tahun 2006,manakala untuk 2005 berjumlah RM35 juta.
Antara kos-kos yang dibazirkan sewaktu sambutan kemerdekaan baru-baru ini ialah ialah sejumlah RM 3 juta bagi Pelancaran Sambutan ulangtahun Kemerdekaan dan Menaikkan Jalur Gemilang di Melaka pada 17 Ogos lalu.
Bagi Sambutan Ambang Merdeka (menunggu detik 12 tengah malam) yang dijalankan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Ogos, kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM8.9 juta untuk tujuan tersebut manakala pada keesokan harinya iaitu Perbarisan Hari Merdeka besar-besaran di tempat yang sama sejumlah RM26 juta telah dibelanjakan.
Diikuti pula dengan Sambutan Merdeka pada malam yang sama di Stadium Merdeka yang menelan belanja RM17 juta manakala RM 4 juta diperuntukkan untuk Penutupan Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan di Kuching, Sarawak.Sebagai rekod Kempen mengibarkan Jalur Gemilang sebanyak RM8.5 juta!
Rakyat khususnya golongan masyarakat gelandangan rata-ratanya berpendapat kerajaan tidak menunjukkan contoh yang baik menguruskan dana awam malah sanggup pula menasihati rakyat jelata untuk berjimat cermat dalam kegawatan harga barang yang semakin naik tetapi bertindak mereka bertindak adalah sebaliknya.
Perasaan tidak pusa hati ini secara ama dikumpul daripada aduan para pemanggil, surat-surat dan email pembaca-pembaca Harakah dan Harakahdaily.net yang begitu kecewa dengan tindakan kerajaan membazirkan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya malah digunakan untuk mempromosi pula parti politik mereka sebagai satu-satu parti yang memperjuangkan kemerdekaan negara demi meraih sokongan ramai.
Ramai pihak juga berpendapat jumlah RM100 juta merupakan satu pembaziran besar bagi sesebuah program pesta merdeka yang lebih bertujuan untuk memuja pemimpn negara dan kepentingan Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum akan datang. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan