HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Julai 2016

Pakar: Pelantikan penjawat tinggi awam mengejutkan

MALAYSIAKINI


Pakar undang-undang Dr Abdul Aziz Bari hari ini mempersoalkan sekiranya pertukaran dalam perkhidmatan awam dilakukan mengikut norma dan amalan yang diterima.

Aziz berkata Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru, Datuk Dzulkifli Ahmad bukan benar-benar merupakan pegawai kanan ketika di Jabatan Peguam Negara.

"Pelantikan ini dan rombakan pegawai tinggi tertentu - terutamanya dalam SPRM dan Imigresen - telah menimbulkan kebimbangan dalam beberapa kumpulan; termasuk dalam perkhidmatan kerajaan," kata Aziz kepada Malaysiakini.

Walaupun beliau mengakui langkah itu tidak pernah berlaku sebelum ini, pemimpin DAP Selangor itu berkata, kerajaan perlu lebih berhati-hati berikutan skandal 1MDB.

"Ia mesti memastikan bahawa integriti (perkhidmatan awam) - yang amat berhubung dengan (dasar) berkecuali - tidak terjejas," kata Aziz.

"Dari segi perlembagaan, perkhidmatan awam perlu menjadi neutral dan itulah sebabnya ia telah menyediakan perlindungan tertentu termasuk pencen, disiplin, kenaikan pangkat dan sebagainya."

Beliau berkata pejabat Yang di-Pertuan Agong nampaknya digunakan untuk menghalalkan kenaikan pangkat pegawai-pegawai tertentu, dan kemungkinan diturun pangkat dan dibuang kerja.

"Walaupun ia adalah tidak realistik untuk mengharapkan Agong membuat keputusan sendiri, Perlembagaan telah merangka satu sistem di mana terdapat semak dan imbang serta ketelusan apabila ia datang kepada proses di atas," katanya.

Aziz juga tertanya-tanya mengapa jawatan panglima angkatan tentera masih dipegang oleh panglima tentera darat.

Beliau mempersoalkan apa yang telah berlaku kepada penggiliran jawatan tersebut di kalangan panglima tentera darat, laut dan udara seperti dilaksanakan bertahun-tahun yang lalu.

"Lebih-lebih lagi apabila penyandang sekarang telah melampaui umur persaraan wajib 60 tahun," katanya.
Semalam, tiga pegawai atasan SPRM - Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Timbalan Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Mustafar Ali - mengucapkan selamat tinggal kepada agensi itu.

Abu Kassim akan terus berkhidmat sebagai pegawai perkhidmatan anti-rasuah sehingga bersara wajib pada 2020, manakala Shukri difahamkan bersara daripada perkhidmatan awam.

Sementara itu, Mustafar dilantik sebagai ketua pengarah Jabatan Imigresen yang baru berkuat kuasa 1 Ogos, menggantikan Datuk Seri Sakib Kusmi yang ditukarkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam.

'Semua tentera patut dapat pencen, tak kira berapa lama berkhidmat'

MALAYSIAKINI


Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali mendesak kerajaan agar meningkatkan imbuhan dan kebajikan warga tentera termasuk pemberian kediaman rumah yang selesa dan pembiayaan pendidikan anak-anak tentera.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu semua anggota tentera terutama yang berpangkat rendah diberikan bayaran pencen bulanan tanpa mengira tempoh perkhidmatan.

"Ini kerana ada anggota tentera yang menjadi cacat akibat bertempur dengan musuh dengan tempoh perkhimatan kurang 25 tahun dan tidak mendapat pencen," kata Ibrahim dalam kenyataannya.

Seramai 131,813 kakitangan awam Kementerian Pertahanan termasuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menikmati kenaikan satu tangga gaji bermula 1 Julai yang lalu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kenaikan itu dilaksanakan mengikut Skim Perkhidmatan Awam Persekutuan di bawah Sistem Saraan Malaysia.

"Agenda penambahbaikan ini juga melibatkan aspek kebajikan anak-anak anggota dengan menyediakan perkhidmatan bas sekolah termasuk perumahan yang selesa," kata Hishammuddin.

Mengulas lanjut, Ibrahim menambah, kerajaan wajar mengkaji semula secara inklusif berkenaan kebajikan anggota tentera yang berpangkat rendah.

"Merekalah yg bertempur, merekalah yg terkorban dulu dan mereka adalah dinding keselamatan dan kedaulatan negara," ujar beliau.




Slogan 'Ubah' bergema kembali di Sabah

Zulaikha Zulkifli


Bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal menggesa supaya rakyat Sabah berani untuk mengubah kepimpinan kerajaan negeri yang sedia ada.

Tanpa memperincikan tentang perkara itu, Shafie berkata, perubahan di negeri Sabah tidak mustahil berlaku sekiranya rakyat di negeri itu bersatu.

"Tak ada yang mustahil dalam politik kalau rakyat bersatu. Yang tentukan kerajaan di Sabah ialah rakyat Sabah.

"Negeri kaya tapi rakyat miskin, kita ada tanaman kelapa sawit antara terbesar di Malaysia, pelancongan yang bagus. Tapi negara kaya, rakyat miskin, pemimpin jutawan.

"Tak mustahil kita akan tumbangkan BN di Sabah," kata Shafie semasa berucap merasmikan majlis Irau Rakyat di Tenom, Sabah, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Wilfred Bumburing serta Naib Presiden PKR dari Sabah yang juga Anggota Parlimen Penampang, Darell Leiking.

Sebelum berucap, Shafie terlebih dahulu melaungkan slogan 'Sabah Ubah' sambil disambut oleh ribuan hadirin yang hadir pada majlis berkenaan.

Malah, terdapat juga poster yang dibawa oleh orang ramai yang bertulis 'Ubah Sabah demi masa depan rakyat Sabah' dan 'Untuk Sabah kita bangun, demi rakyat kita lawan'.

Selain itu, bekas menteri kabinet itu juga menyangkal dakwaan bahawa sekiranya BN tidak lagi menjadi pemerintah, sesebuah negeri itu akan 'mati'.

Malah, beliau juga mempertahankan dirinya daripada dakwaan yang mengatakan dirinya tidak mempunyai sokongan di Sabah dengan memberitahu bahawa beliau telah mempunyai pengalaman 30 tahun dalam politik dan ia melayakkannya untuk mentadbir sebuah negeri.

"Ingat kita mati ke kalau tak ada Umno? Di Kelantan Umno tak ada (tak memerintah) nak dekat 20 tahun, orang Kelantan masih hidup. Di Selangor, hampir 10 tahun kerajaan Pakatan memerintah, tak pernah saya dengar orang Melayu, Cina mati.

"Mana ada yang mati. Yang mati mungkin yang mahu kaya, mereka mati akal.

"Walaupun saya anak orang kampung, saya sudah 30 tahun berkhidmat di Kuala Lumpur, dan saya tadbir kementerian. Masakan saya bodoh tak boleh tadbir negeri Sabah. Saya tadbir satu kementerian dengan peruntukkan RM15 bilion setiap tahun.

"Ini Sabah (peruntukkan) baru RM3 bilion, takkan saya tak boleh tadbir. Jangan kata saya tidak layak untuk tadbir negeri ini," kata bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu dengan lantang.

Dalam sidang media selepas majlis tersebut, ketika diminta untuk mengulas mengenai gesaan supaya rakyat Sabah 'ubah', Shafie enggan mengulas lanjut dan memberitahu bahawa perkara itu akan diberitahu bila sampai waktunya.

"Bila sampai waktu saya akan jelas terpeinci perubahan apa kita akan lakukan di Sabah," katanya ringkas.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan parti politik yang ingin ditubuhkannya, Shafie hanya meminta supaya pemberita menunggu sedikit masa lagi.

Malah, beliau memberitahu, hasratnya untuk menubuhkan parti di Sabah itu juga sudah diketahui oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Tunggu sedikit masa lagi.

"Mereka (Mahathir dan Muhyiddin) tahu saya akan tubuh parti di peringkat negeri Sabah. Walaupun dipelawa jadi timbalan presiden (untuk parti baru mereka) tetapi saya jelaskan apa rasionalnya, saya bukan tolak. Yang penting ialah untuk ubah negeri Sabah," katanya.

Pada Julai lalu, Shafie mengumumkan keluar dari Umno selepas beliau digantung keahlian daripada parti itu.
Ia ekoran tindakannya yang dilihat bersama Mahathir, Muhyiddin serta bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang lantang bersuara mengenai isu skandal 1MDB.

Kit Siang: Tiga sebab Dzulkifli tak layak terajui SPRM

MALAYSIAKINI


Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menyenaraikan tiga sebab utama atas tindakan beliau tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Dzulkifli Ahmad dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

Menurut ahli parlimen Gelang Patah itu, pertamanya, Dzulkifli terlalu 'junior' untuk mengepalai suruhanjaya tersebut kerana beliau perlu dinaikkan pangkat kepada Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A tingkat tertinggi untuk dilantik untuk mengetuai SPRM.

Kedua pula ialah pelantikannya sangat tidak wajar ketika negara sedang berdepan perhatian negatif antarabangsa ekoran saman sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat membabitkan aset bernilai AS$1 bilion yang berkait rapat dengan 1MDB.

"Dzulkifli memainkan peranan penting dalam membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB dan RM2.6 bilion dengan terbukti, duduk bersebelahan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali ketika sidang akhbar mengumumkan tidak ada pertuduhan ke atas Najib pada 26 Jan yang lalu," ujar beliau.

Sebab ketiga ialah tahap kelayakan Dzulkifli untuk jawatan nombor satu suruhanjaya itu padahal beliau dan Apandi gagal untuk mengenal pasti 'Malaysian Official 1" yang dinamakan sebanyak 36 kali dalam saman DOJ itu, kata beliau.

Justeru, rakyat negara ini perlu bertanya sama ada individu yang tidak mengetahui 'Malaysian Official 1' sebagai layak dan sesuai untuk mengetuai agensi anti-rasuah di negara ini, tambah Lim.

Lim berkata demikian semasa majlis makan malam anjuran DAP cawangan Sri Kembangan semalam.

Dzulkifli, yang merupakan Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara diumumkan sebagai pengganti Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed mulai 1 Ogos 2016 sehingga 31 Julai 2021 oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memperkenankan pelantikan Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Abu Kassim pula akan ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), kata Ali.

Mukhriz harap ROS tak halang parti baru Dr M

Koh Jun Lin 


LIHAT VIDEO DI SINI

Bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berharap Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak akan menghalang permohonan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti politik baru.

"Kami berharap ROS akan memberi pertimbangan sewajarnya dan memastikan tiada halangan, halangan yang tidak perlu dan sebagainya," katanya.

Minggu lalu, Mahathir mengesahkan bahawa parti politik baru akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Tidak lama lagi," katanya selepas majlis pelancaran buku isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Parti baru akan ditubuhkan bagi merealisasikan objektif pergerakan 'Selamatkan Malaysia'.

Sementara itu, Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim yakin parti baru yang ditubuhkan Mahathir tidak akan mendapat sambutan khususnya di kalangan oleh orang Melayu.

Menurut Rais parti baharu itu bakal menempuh 'warna' dan suasana seperti yang pernah dialami oleh parti Semangat 46 dahulu yang gagal mendapat sambutan.

Semangat 46 akhirnya terkubur setelah bekerjasama dengan DAP, dan parti lain menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) demi bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1990.

Berniaga burger tepi jalan, dapat RM12,000 sebulan

DETIK DAILY
 



PETALING JAYA: Seorang pemuda mampu meraih pendapatan sebanyak RM12,000 sebulan dengan berniaga burger di tepi jalan.

Mior Asyraf Hizaq Zulkefli, 24, berkata beliau mula membuka gerai burgernya di Kota Damansara sejak lapan tahun lalu usai menamatkan pelajaran sekolah menengah.

Katanya, beliau pernah memperoleh pendapatan bersih RM12,000 sebulan hasil jualan burgernya di gerai, tetapi jumlah itu bukanlah diperoleh setiap bulan dan kebiasaannya, purata pendapatan bulannya ialah RM7,500.

“Saya pilih untuk berniaga sebab senang dapat duit setiap hari. Memanglah pada pandangan orang meniaga burger ini macam tidak ada keuntungan, tetapi apa yang saya boleh beritahu, cubalah berniaga,” katanya.

Mior Asyraf berkata hasrat untuk membuka gerai burger bermula apabila melihat bapanya memulakan perniagaan dengan menjalankan perniagaan burger, sebelum menceburkan diri ke bidang kontraktor.

Bercerita mengenai detik sukar dalam perniagaannya, Mior Asyraf mengakui pernah dapat RM45 saja hasil berniaga.

“Saya masih ingat, pada 9 September 2014, jualan untuk satu malam hanya RM45 saja. Tetapi, pada esoknya, Tuhan bagi rezeki jualan burger RM700.

“Sekarang ini, hasil jualan burger sehari boleh bertahan tiga beg iaitu lebih kurang RM500 sehari. Manakala modal dikeluarkan untuk ‘rolling’ perniagaan pada esoknya hanya RM150 saja,” katanya kepada FMT.

Katanya, dalam usaha untuk terus mengembangkan perniagaan burgernya, Mior Asyraf merancang untuk menceburi perniagaan trak makanan (food truck).

Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui pada tiga tahun pertama menjalankan perniagaan, beliau tidak serius dalam bisnes makanan itu.

“Semasa umur 18 tahun, keadaan tidak stabil. Saya berjiwa muda, bila dapat untung, esoknya saya tidak akan bukan gerai. Tetapi, selepas tiga tahun berniaga, kesedaran untuk lebih serius dalam perniagaan wujud dengan sendiri.

“Saya akui tidak ada KWSP, tetapi mencarum di ASB dan caruman untuk syarikat. Saya sendiri mendaftar syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia atas nama Asyraf Hizaq Resources,” katanya.

Mior Asyraf berkata walaupun berniaga di tepi jalan, beliau tidak terlepas daripada mendapatkan suntikan pelalian kepialu.

“Dalam 365 hari, boleh datang ke gerai untuk lihat berapa hari saya bercuti, malah pada raya ketiga saya sudah menjalankan perniagaan seperti biasa,” katanya.

Terpilih mewakili sekolah sukan Arsenal

Mior Asyraf berkata dia aktif dalam bidang sukan bola sepak hingga pernah terpilih mewakili negara untuk pasukan bawah 17 tahun.

Malah, pencapaian yang paling membanggakan buat dirinya dan keluarga adalah apabila berjaya terpilih mewakili Arsenal Soccer School.

Namun, hasrat menjadi pemain bola sepak profesional terhenti apabila beliau mengalami kecederaan ligamen di bahagian lutut kirinya.

Rakan pinjam duit di tengah bulan

Mior Asyraf turut mengakui tidak terlepas daripada persepsi negatif daripada masyarakat yang memandang perniagaan burger sebagai tidak menguntungkan.

“Ada kawan bekerja di bidang yang gah, tetapi hakikatnya apabila tengah bulan mereka akan pinjam duit dengan saya,” katanya.

Beliau berkata, tidak salah remaja bekerja makan gaji, tetapi mereka juga perlu berani mencuba menjalankan perniagaan sendiri.

“Jujur, amanah, setia dan ikhlas perlu ada pada diri beliau yang hendak menjalankan perniagaan terutamanya dalam bidang makanan.

“Ramai pelanggan yang cerewet tetapi sebagai peniaga kita harus sentiasa tersenyum dan anggaplah permintaan mereka sebagai amal jariah,” katanya.

Azizah muncul bersama Muhyiddin, ajak rakyat bangkit selamatkan M’sia

THE MALAYSIAN TIMES


azizah


KUALA LUMPUR : Presiden parti KEADILAN (PKR ) Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata di saat Malaysia dilanda krisis kegagalan urus tadbir yang berpunca daripada rasuah berskala besar, rakyat turut menyaksikan salahguna kuasa yang memusnahkan institusi-institusi utama demokrasi negara.

Ini semestinya menjadi detik dan waktu di mana semua pejuang dan patriot yang menjunjung demokrasi akan bangkit berjuang dalam satu halatuju, iaitu untuk menyelamatkan Malaysia.

Rakyat Malaysia telah terlalu lama menyaksikan bagaimana pemusatan kuasa politik mengakibatkan terhakisnya institusi-institusi negara dan terbantutnya demokrasi; bagaimana dasar-dasar menekan rakyat hanya menambah beban termasuk melalui peningkatan harga barang; dan bagaimana gejala ekstremisme dan perkauman sempit yang semakin menular mampu memecahbelahkan kita.

Rakyat Malaysia telah menjadi mangsa kebobrokan pentadbiran di Putrajaya yang telah banyak kali gagal memimpin negara untuk menangani krisis penyelewengan dan dalam kes terkini, RM28 bilion yang didakwa diseleweng daripada 1MDB, katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau yang muncul julung kalinya bersama bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin   dalam satu sidang media khas hari ini  berkata “Ramai di Malaysia malah seluruh dunia sudah mengetahui siapakah ‘Malaysian Official 1’ yang disebutkan tetapi Putrajaya tetap cuba menafikan penglibatan YAB Perdana Menteri.

WANG DI SALAH GUNA

“Malah keengganan Perdana Menteri mengadakan sidang Parlimen khas dengan segera untuk menjelaskan isu 1MDB hanya mengesahkan persepsi bahawa kepentingan rakyat diselewengkan menerusi 1MDB.

“Wang berbillion RM dipinjam dan disalahgunakan untuk meraikan gaya hidup mewah, berjudi, bertemasya arak, membeli jet peribadi, membuat filem Hollywood, membeli lukisan mahal ketika rakyat disuruh berjimat, berkorban dan bekerja kuat telah tidak dipedulikan.

‘KEADILAN sudah mendepani kemelut salahguna kuasa yang membelenggu negara dari dahulu lagi dan Ketua Umum parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membayar dengan kebebasan beliau akibat kelantangan bersuara terhadap salahguna kuasa, penyelewengan rasuah, skandal 1MDB dan skandal-skandal sebelumnya”, ujarnya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata belliau  juga turut merasai keperitan dan kekeliruan semua lapisan masyarakat apabila pegawai kerajaan yang lantang serta profesional dan berkecuali dimangsakan secara sistematik.

Maka jelaslah negara kita perlu diselamatkan. Bagi KEADILAN, selagi agenda reformasi termasuk reformasi parlimen, reformasi kehakiman, reformasi sistem pilihanraya malah juga dasar pemisahan kuasa belum tercapai, selagi itulah kami akan bangkit dan lawan kezaliman yang menghalang kemajuan rakyat.

Justeru, KEADILAN mengalu-alukan kesediaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama, dan berganding bahu bersama KEADILAN dan rakan-rakan PAKATAN HARAPAN, parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan serta individu-individu dalam menggerakkan momentum menangani krisis rasuah, salah guna kuasa, memusnahkan institusi-institusi negara demi kepentingan sendiri yang semakin berleluasa sebelum terlewat. Ini termasuklah siri jelajah yang dianjur pelbagai pihak untuk menerangkan isu-isu mutakhir termasuk kes dakwaan kecurian wang 1MDB, katanya.

“Kami mengajak rakyat untuk bersama, menyebar maklumat dan menyertai satu gerakan massa demi masa depan negara yang lebih baik”, katanya.

Pluralisme, sebahagian daripada ajaran Islam – Pakar

 
Kecelaruan yang berlaku pada masa kini bukan masalah berakar umbi daripada agama tetapi politik.


Nader-Hashemi-1


KUALA LUMPUR: Pandangan dan fahaman negatif terhadap pluralisme di Malaysia mengejutkan Pengarah Pusat Kajian Timur Tengah di Universiti Denver, Nader Hashemi.

Nader menjelaskan, pluralisme adalah sebahagian daripada ajaran Islam namun pedekatan negatif yang digunakan oleh sebuah negara yang majoritinya Islam (Malaysia) agak “mengecewakan”.

“Dari aspek sejarah, Islam adalah agama pluralis dan ia amat mengejutkan apabila anda di sini melihat dalam situasi sebaliknya,” katanya dalam forum meja bulat bertajuk “Hak Asasi Manusia dan Kepelbagaian: Cabaran Masyarakat Islam” di Universiti Nottingham, di sini, hari ini.

“Empayar Oman kaya dengan kepelbagaian budaya, begitu juga sewaktu tempoh Andalusia,” tambahnya.
Beliau berkata, Islam adalah agama yang menekankan kepentingan menghormati kepelbagaian dan perbezaan sesama manusia sebagai satu kewajipan dan ia jelas dilihat dalam kehidupan Nabi Muhammad dan al-Quran.

“Dalam peperangan antara umat Islam di Madinah dan bukan Islam di Mekkah, Mekkah mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk. Tanpa mengira agama, Rasulullah memutuskan untuk menghantar 500 dinar kepada orang miskin bukan Islam di sana dan ia dilakukan di sebalik kebenaran bahawa orang Islam di Mekkah terpaksa lari keluar dari sana untuk menyelamatkan diri.”

Beliau juga memetik Al-Quran ayat 13, Bab 49; “Wahai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu dari lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Nader menyatakan Quran juga mengajak semua orang saling mengenali antara satu sama dan bukan memusnahkan satu sama lain.

Beliau beranggapan, kecelaruan yang berlaku pada masa kini bukan masalah berakar umbi daripada agama tetapi politik.

“Banyak negara Islam mempunyai pemimpin yang mementingkan diri sendiri sehingga mengembangkan fahaman kononnya penerimaan hak asasi manusia dan pluralisme tidak Islamik tetapi sebenarnya adalah pemesongan ajaran Islam.”

Beliau mendakwa bahawa masalah ini berasal dari tafsiran Wahabbi yang berkembang dari Arab Saudi.

Siri jelajah 1MDB pembangkang, tiada kesan pada kerajaan

 
Isu berkenaan 1MDB bukanlah satu perkara yang baharu, malah sudah mula dipermainkan pihak pembangkang sejak tiga tahun lepas.


johari


KUALA LUMPUR: Siri jelajah pembangkang bagi menerangkan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak akan memberi kesan kepada kerajaan, kata Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata ini kerana isu berkenaan 1MDB bukanlah satu perkara yang baharu, malah sudah mula dipermainkan pihak pembangkang sejak tiga tahun lepas.

Katanya keutamaan sepatutnya diberikan dalam usaha mencari jalan penyelesaian mengenai isu berkenaan supaya perkara yang sama tidak berulang kembali.

“Kita tidak boleh halang pihak tertentu untuk mengadakan program jelajah ke seluruh negara, perkara ini (jelajah) sudah pun berlaku sekian lama, kebanyakan isu yang diperkatakan adalah isu lama dan tiada perkara baharu yang hendak diterangkan kepada rakyat.

“Lebih baik mereka berusaha mencari jalan penyelesaian, itu lebih penting daripada berterusan 365 hari bercerita mengenai 1MDB seperti tiada isu lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri dan Sambutan Bulan Kebangsaan anjuran Majlis Belia Kawasan Titiwangsa di sini, hari ini.

Semalam Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata PKR dan Pakatan akan mengadakan sesi penerangan ke seluruh negara yang akan disertai rakan-rakan mereka di dalam kem pembangkang, termasuk rakan-rakan baharu yang dulunya berada dalam UMNO.

Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata adalah lebih baik sekiranya isu yang berbangkit mengenai 1MDB diserahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan penyiasatan.

“Kerajaan tidak pernah menyembunyikan sebarang perkara mengenai 1MDB, jika kita memang mahu menyembunyikan sesuatu sudah pasti kita tidak akan melantik Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Audit Negara untuk menyiasat isu ini,” katanya.

Pentadbiran lemah jadi punca kualiti kebersihan di Selangor merosot

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SUBANG: Kelemahan pemerintahan pakatan pembangkang di Selangor adalah punca utama kemerosotan kualiti kebersihan di negeri itu, kata Tan Sri Noh Omar hari ini.
 
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yang menyifatkan pakatan itu sebagai 'pakatan cacamarba' berkata, Selangor adalah antara negeri yang paling banyak sampah tidak dikutip, sekali gus merekodkan kes denggi yang tertinggi di Malaysia.
 
"Punca berlakunya masalah ini adalah kerana kerajaan Selangor menolak pemakaian Akta 672 di mana mengikut akta itu, kerajaan Persekutuan memperuntukan sebanyak RM2.2 billion setahun untuk membersihkan sampah-sarap.
 
"Bagaimanapun, peruntukan itu hanya diberikan kepada negeri yang menerima pakai akta tersebut dan Selangor tidak," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Keluarga Bahagia 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield di sini.
 
Akta 672 merujuk kepada Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, bertujuan mengawal selia pengurusan sisa pepejal terkawal dan pembersihan awam bagi maksud menyenggarakan kebersihan yang sepatutnya dan bagi perkara yang bersampingan dengannya.
 
 

NAJIB TAK FAHAM ATAU CUBA NAK PERDAYA MAKCIK FELDA?

shahbudindotcom


Agak menjengkelkan mendengar reaksi terbaru Najib Razak mengenai saman sivil yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman AS untuk menyita harta-harta bernilai RM4,000 juta yang dipercayai berasal daripada dana 1MDB yang telah dilencongkan.

Setelah reaksi pertamanya menyatakan kerajaan sedia memberi kerjasama berhubung saman sivil itu dan kemudian mahukan semua yang dinamakan, termasuk anak tirinya Riza Aziz, membersihkan nama masing-masing, kali ini Najib menyatakan 1MDB tidak terlibat dalam tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman AS itu.

Katanya, 1MDB tidak mempunyai kaitan dengan saman sivil itu memandangkan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu tidak dinamakan sama sekali.

Dalam saman tersebut, 1MDB tidak dinamakan. Jadi, secara langsungnya 1MDB tidak terlibat, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO.

Tambah Najib lagi, saman tersebut juga tidak menyebut 1MDB mempunyai aset di AS, selain tidak mengambil pandangan mana-mana daripada 1MDB atau pun pihak berkuasa di Malaysia.
 
 
 
 
Apa yang Najib cuba gambarkan kepada rakyat dengan reaksinya yang sedemikian rupa itu?

Adakah Najib mahu menggambarkan 1MDB tidak bersalah dan AS sebenarnya yang salah?

Adakah Najib tidak faham mengenai tindakan Jabatan Kehakiman AS itu atau ini satu lagi percubaan untuk memperdaya pakcik kampung dan makcik Felda tentang putih bersihnya 1MDB itu?

Dalam kes saman sivil tersebut, adalah jelas disebut harta-harta itu mahu disita kerana kerana ia dipercayai dibeli dengan menggunakan wang 1MDB yang dilencongkan. Harta-harta bernilai RM4,000 juta itu dibeli sebagai kaedah mencuci wang haram atau penggubahan wang daripada 1MDB yang pihak AS dapat kesan berjumlah RM14,000 juta atau AS$3.5 bilion.

Empat pemilik harta yang disebut itu ialah Jho Low, Riza Aziz, Khadem Al-Qubaisi dan Mohamed Al-Badawy.

Dalam hal ini, memanglah nama 1MDB tidak disebut dalam saman sivil yang difailkan kerana 1MDB adalah mangsa kecurian. Apabila mahu menyita harta, yang dinamakan sudah tentu yang disyaki pencurinya, bukan pihak yang kena curi. 

Mereka yang dipercayai mencuri duit 1MDB itulah yang membeli harta-harta, membuat filem, berjudi dan sebagainya dengan wang tersebut. Oleh itu, siapa pun faham 1MDB memang tiada harta di AS, tetapi daripada wang 1MDB yang dicuri itulah mereka membeli pelbagai harta.

Tetapi adakah 1MDB tidak terlibat?

Jangan lupa, dalam kenyataan Peguam Negara AS , Loretta Lynnh itu juga beliau menyebut tentang komplot mencuri wang 1MDB dan ia didakwa dilakukan berkali-kali.

Apabila disebut komplot, bermakna ada pakatan tertentu yang dilakukan melibatkan pihak-pihak dalam 1MDB sendiri untuk menjayakan pencurian wang  itu. Sebab itu, pihak AS mengesan wang yang dicuri ialah sebanyak AS$3.5 bilion atau RM14,000 juta manakala Laporan Audit pula mengesan jumlah pengaliran wang yang tidak dapat disahkan berjumlah AS$7 bilion atau RM28,000 juta.

Bermakna, adalah tidak tepat untuk Najib mengatakan 1MDB tidak terlibat dalam saman Jabatan Kehakiman AS itu. Lagi pun, ini baru peringkat permulaan, selepas saman sivil dilakukan dan harta-harta dapat disita bagi mengelakkan mereka yang disebut namanya itu mencairkan harta-harta tersebut, ia pasti akan disusuli dengan saman jenayah akhirnya.

Hakikatnya, bukan 1MDB tidak terlibat dalam tindakan Jabatan Kehakiman itu, bahkan 1MDB adalah punca segala-galanya. Melalui 1MDBlah munculnya Jho Low dan kemudiannya wujud pula PetroSaudi, IPIC, Khadem, Mohamed Al-Badawy, Riza Aziz dan pelbagai nama yang lain.

Dalam maklumat Jabatan Kehakiman AS dan FBI itu juga mereka mempunyai maklumat bahawa Malaysian Official 1 turut menerima wang yang dipercayai bersumberkan 1MDB dengan jumlah keseluruhan sebanyak AS$731 juta atau lebih RM3,000 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya di Ambank.

Maka, berhentilah cuba menyucikan 1MDB dengan mengatakan ia tidak terlibat dan tidak mempunyai aset di AS. 1MDB adalah punca segala masalah yang sedang berlaku ini.

Tanpa 1MDB,  tiadalah kita kenal kleptokrasi.
 
 
 

Siti Hasmah ditawar rasuah dua kali

 
Rasuah wujud sejak sekian lama, tetapi tidak pernah seteruk sekarang, kata Siti Hasmah.


hasmah-bribe-1


PUTRAJAYA: Isteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Siti Hasmah Mohd Ali, tidak terkecuali daripada ditawarkan rasuah sepanjang zaman perkhidmatannya di hospital awam.

Siti Hasmah yang salah seorang pelopor kepada pembentukan parti baharu yang dicadangkan suaminya, berkongsi pengalaman beliau ditawar rasuah.

“Ketika itu, saya bekerja sebagai pegawai kerajaan di Kedah dan sepanjang pengalaman 18 tahun, saya telah ditawarkan rasuah dua kali,” katanya sambil menambah, memerangi gejala rasuah adalah sebab utama Dr Mahathir membentuk partinya sendiri.

“Jika anda melihat keadaan sekitar, anda akan berasa sedih. Dan walaupun rasuah telah wujud untuk jangka masa yang lama, ia tidak pernah seteruk sekarang.”

Bercakap dalam majlis sambutan Hari Raya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini, Siti Hasmah berkata rasuah pertama ditawarkan oleh seorang lelaki miskin dari “kampung” demi isterinya yang memerlukan pemindahan darah kerana komplikasi ketika melahirkan anak mereka.

“Saya sedang duduk di meja, menulis laporan mengenai kes itu. Dia menghampiri saya dan menyerahkan duit RM10 untuk ‘membeli’ darah (darah) untuk isterinya.

“Pada mulanya saya marah, kemudian saya fikir pasti seseorang dalam jabatan ini yang meyakinkannya supaya menawarkan rasuah. Jadi saya memberitahu lelaki itu menggunakan wang itu membeli makanan untuk isterinya.”

Insiden kedua, tambah Siti Hasmah, adalah apabila dia telah berkhidmat di Jitra, Kedah.

“Seorang individu dari Kulim menulis surat, menawarkan RM50 jika saya mengambilnya berkerja di sana.
Saya membawa surat itu kepada jabatan rasuah yang mana kemudiannya mengarahkan saya supaya membalas dan meminta individu datang ke pejabat saya.

“Pegawai-pegawai rasuah merancang untuk menyerbu sebaik dia menawarkan saya rasuah. Laci saya dipasang perakam tetapi apabila individu itu datang berjumpa saya, dia langsung tidak menyebut tentang rasuah itu.”

Siti Hasmah juga pernah mempersoalkan kesahihan surat itu dan tertanya-tanya jika ia hanya cubaan untuk menguji kejujuran beliau dalam menjalankan tugasnya.

Di akhir ucapan beliau menjelaskan betapa pentingnya keikhlasan dan rasa takut kepada Allah, dalam membasmi rasuah.

“Ia akan mengambil masa, tetapi jika kita melakukan perkara yang betul, Insya-Allah, dapat menyucikan negara daripada rasuah.”

Pada bulan Februari yang lalu, kedua-dua Siti Hasmah dan Dr Mahathir meninggalkan Umno atas alasan parti di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu menyokong amalan rasuah.

Awal bulan ini, Dr Mahathir mengumumkan bakal menubuhkan sebuah parti baharu demi memenuhi keperluan mereka yang tidak lagi menyokong Umno tetapi teragak-agak untuk menyertai pembangkang.

Turut hadir dalam majlis hari ini ialah anak pasangan itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang turut disingkir sebagai Menteri Besar Kedah dan kemudian dipecat daripada Umno.

DAP penakut, ikut kehendak PKR

 
Ia berikutan langkah DAP negeri itu yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan cadangannya mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.


dap-pkr


GEORGE TOWN: Parti Gerakan Pulau Pinang menyifatkan Kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpini DAP sebagai penakut dan tidak berani.

Ia berikutan langkah DAP negeri itu yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan cadangannya mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.

Naib pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata demikian apabila DAP yang memiliki 19 kerusi di dewan undangan negeri berbanding 10 oleh PKR, masih perlu mengikut kehendak PKR.

“DAP takut kepada PKR, walaupun mereka mempunyai kelebihan dari segi jumlah kerusi,” katanya, lapor Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan cadangannya membubarkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi mengadakan pilihan raya mengejut selepas tidak mendapat sokongan rakannya dalam Pakatan, PKR.

Terdahulu Gerakan mengumum akan bertanding bagi 13 kerusi sekiranya pilihan raya negeri mengejut diadakan dan yakin akan mencatat prestasi lebih baik berbanding pada pilihan raya sebelum ini.

Idea mengadakan pilihan raya mengejut ditumbulkan DAP selepas Lim dihadapkan ke mahkamah bagi dua tuduhan rasuah awal bulan ini dan digugurkan olehnya sendiri.

Ketum mampu jana pendapatan negara - Pengerusi Risda

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
PADANG BESAR: Ketum berpotensi menyumbang pendapatan berbilion ringgit kepada negara, kata Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Zahidi Zainul Abidin.
 
Beliau berkata, cadangan penanaman ketum secara terkawal yang dikemukakannya lebih kepada tujuan eksport kerana terdapat permintaan ketum dari syarikat farmasi di Eropah dan Amerika Syarikat.
 
Jelasnya, syarikat-syarikat farmasi itu nampak kebaikan tanaman itu sebagai alternatif untuk perubatan moden kerana ketum didapati memiliki ramuan penting dalam pembuatan ubat bagi kegunaan musim sejuk.
 
“Mereka (negara lain) akan mempatenkan segalanya sebelum dipasarkan ke seluruh dunia dan kita perlu bertindak pantas dalam isu ini,” katanya yang dipetik Bernama ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri Umno Padang Besar di Taman Beseri Indah, semalam.
 
Ini kerana, katanya, farmasi di Eropah dan Amerika Syarikat banyak membuat penyelidikan mengenai tumbuhan itu, termasuk Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang.
 
“Sekolah Menengah Sains Tengku Mohamad Jiwa, Sungai Petani (Kedah) pula mendapat anugerah peringkat Asian kerana membuat kajian mengenai ketum.
 
“Masalah yang berlaku ialah terdapat segelintir orang yang mencampurkan air rebusan ketum dengan bahan lain seperti ubat nyamuk dan ubat gegat untuk menjadikan peminumnya merasa khayal.
 
“Sejak zaman duhulu ketum digunakan dalam perubatan tradisional untuk memulihkan tenaga, rawatan kolesterol, kencing manis dan cirit-birit.
 
“Saya sudah kemukakan cadangan kepada kerajaan dan masyarakat. Sekarang terpulang, jika kita tolak, beberapa negara lain bersedia menanam ketum untuk memenuhi permintaan tersebut,” katanya.
 
Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Padang Besar berkata, Risda perlu mencari alternatif lain disebabkan harga getah yang tidak stabil dan ramai yang menentang cadangan penanaman ketum itu.
 
Cadangannya itu ditentang beberapa pihak termasuk Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang menegaskan pemilik tanah yang baru mendapat geran hak milik akan ditarik balik hak milik itu sekiranya didapati menanam pokok ketum di tanah mereka.
 
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut melarang pekebun kecil menanam ketum secara komersil sebagai sumber pendapatan tambahan.
 
 

Jawatan Ketua Menteri memang milik Kon Yeow tapi dicaras Guan Eng - PAP

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sepatutnya sudah lama menyerahkan jawatan ketua menteri yang dipegangnya sejak tahun 2008 itu kepada Chow Kon Yeow, kata Setiausaha Organisasi Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak.
 
Katanya, Kon Yeow sepatutnya menjadi Ketua Menteri sejak 2008 namun memberi laluan kepada Guan Eng kerana terhutang budi dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang juga merupakan bapa kepada ADUN Air Putih, yang banyak membantu dalam menaikkan kerjaya politiknya.
 
"Chow Kon Yeow sepatutnya dah menjawat jawatan Ketua Menteri sejak 2008 sejak Pakatan Rakyat mengambil alih Pulau Pinang dahulu maknanya (Guan Eng) berhutang dengan Kon Yeow dua penggal.
 
"Sekarang ini ibarat kata 'ludah ke langit jatuh ke batang hidungnya sendiri'. Dia (Guan Eng) sudah sedar kesilapan yang dia lakukan. Guan Eng ini jadi Ketua Menteri dulu atas pelawaan diri sendiri di hadapan ayahnya (Kit Siang) semasa mereka tubuh kerajaan dulu," katanya kepada Antarapos hari ini.
 
Terdahulu, Guan Eng memberitahu bahawa Kon Yeow adalah individu yang paling sesuai menggantikan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
 
Katanya, Kon Yeow menjadi pilihannya secara peribadi untuk menjadi ketua menteri seterusnya, jika beliau dipenjara berkaitan kes rasuah yang dihadapi ketika ini.
 
Bagaimanapun katanya, cadangan itu perlu dibincangkan dan dipersetujui bersama kepimpinan DAP sebelum membuat keputusan.
 
Dalam pada itu, Rahmad menyifatkan Guan Eng berada dalam keadaan terdesak pada masa kini yang membuatkan beliau menamakan Kon Yeow bagi menggantikan beliau.
 
"Jadi sekarang ini jika dia hendak pulangkan kembali jawatan Ketua Menteri kepada Kon Yeow saya boleh katakan itu satu keadaan yang sepatut dilakukannya dulu bukannya sekarang.
 
"Bila sudah terdesak sangat baru hendak pulangkan jawatan itu kepada orang yang sepatutnya menjawat jawatan daripada peringkat awal lagi," katanya lagi.
 
Cadangan Guan Eng itu muncul selepas didakwa terlibat dalam tuduhan rasuah cubaan menukar status tanah (zon pertanian kepada zon komersil) dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran di Jalan Pinhorn, George Town.
 
 

Exco Selangor diminta kemuka bukti sehingga esok mengenai status tanah Paya Indah Wetlands

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin memberi tempoh sehingga esok kepada Exco Kerajaan PKR Selangor Elizabeth Wong untuk membuktikan status tanah di Paya Wet Land tidak ditukar seperti yang dinafikan sebelum ini.
 
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, Elizabeth perlu memberi penjelasan bagaimana tanah di Lot 68504 Mukim Tanjong Dua Belas, Kuala Langat ditukar status dan kegunaannya.
 
“Saya beri masa kepada dia sehingga Isnin ini untuk membuktikan status tanah tersebut. Jika beliau gagal, saya akan keluarkan semua bukti yang ada dan rakyat akan tahu penipuan Kerajaan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya.
 
Kata Chegubard, sepatutnya status tanah itu tidak boleh ditukar kerana lot tanah tersebut terletak di dalam kawasan Paya Wet Land yang telah diiktiraf sebagai kawasan hutan warisan dunia dalam Perjanjian Ramsar 1995.
 
“Dia menipu, bukan setakat geran tanah yang telah ditukar status, dalam simpanan saya ada dokumen kronologi status itu ditukar.
 
“Dia sebagai exco sudah tentu tahu lot tanah itu pernah ditolak permohonan penukaran status sejak zaman Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar,” katanya yang dipetik SelangorPost.
 
Apa yang dikesalkan, Chegubard berkata, penafian yang dilakukan Elizabeth secara tergesa-gesa dan pantas ini menunjukkan seperti ada sesuatu yang disorokkan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat.
 
“Exco itu jawab tergesa-gesa sehingga membuat penafian palsu.
 
“Kita tunggulah dia buktikan. Jika dia gagal, saya cabar dia untuk meletakkan jawatan sebagai exco kerana menipu terhadap rakyat Selangor,” katanya lagi.
 
Selain SAMM, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan Barisan Nasional (BN) turut menuntut penjelasan yang sama daripada kerajaan negeri.
 
Isu penukaran status tanah Paya Indah Wetlands itu dibongkar Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan menampilkan bukti minit mesyuarat exco sebagai bukti untuk menyokong hujahnya.
 
Kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Azmin Ali pada sekitar Febuari 2015 memulakan usaha pelengkungan semula (re zone). Azmin mengambil alih jawatan menteri besar daripada tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada September 2014.
 
 

Tindakan DoJ ke atas 1MDB cacat

 
Lynch melampaui batas kuasanya dengan merumuskan bahawa satu kesalahan atau beberapa kesalahan telah dilakukan oleh Malaysia atau ejennya.


doj


KUALA LUMPUR: Langkah Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat merampas aset yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mempunyai kecacatan dari segi undang-undang, kata seorang peguam kanan Australia kelahiran Malaysia.

Quintin Rozario, seorang peguam litigasi terkemuka di Brisbane, berkata dengan membuat kenyataan terbuka mengenai individu Malaysia yang didakwa melakukan pengubahan wang haram ke Amerika Syarikat, Peguam Negara Loretta Lynch sendiri telah ‘keterlaluan dan melanggar keadilan asasi”.

Rozario yang dihubungi dari Brisbane memberitahu Bernama, Lynch sudah melampaui batas kuasanya dengan merumuskan bahawa satu kesalahan atau beberapa kesalahan telah dilakukan oleh Malaysia atau ejennya.

“Beliau seterusnya membayangkan mereka telah melakukan kesalahan itu menerusi kenyataan tanpa disertai bukti kukuh atau keputusan mahkamah yang sah yang boleh menyokong dakwaannya.

“Untuk perkara itu berlaku, defendan rakyat Malaysia itu harus diadili terlebih dahulu. Bagaimanapun mereka tidak pun diadili,” katanya.

Rozario berkata menjadi prinsip undang-undang bahawa penjenayah paling keji sekalipun layak dan berhak mendapat keadilan asasi mengikut perlembagaan.

“Hak untuk didengar dan peluang membentangkan hujah mempertahankan diri, mencabar dakwaan dan keterangan terhadap mereka, dan untuk pendakwa berhadapan dengan orang yang dituduh, masih belum berbangkit.

“Sebagai pegawai tertinggi undang-undang di negaranya, tindakan Loretta Lynch baru-baru ini adalah menafikan perbicaraan yang adil atau apa juga perbicaraan kepada responden. Loretta sendiri pada masa sama telah menjadi hakim, juri dan pelaksana hukuman,” katanya.

Rozario berkata tindakan Peguam Negara Amerika Syarikat itu juga jelas bertentangan dengan keputusan Mahkamah Agung negara itu pada 2014 dala kes Daimler lawan Baume.

Dalam kes berkenaan, mahkamah tertinggi negara itu memutuskan sebarang pelanggaran tindakan yang dilakukan penduduk di Amerika Syarikat, perbuatan mereka tidak dapat dikaitkan dengan kerajaan atau dalam kes ini, 1MDB.

“Sebaliknya Mahkamah Agung memutuskan aktiviti mereka hanya akan mewujudkan bidang kuasa tertentu di negeri tempat mereka tinggal di Amerika Syarikat,” katanya.

Pada 20 Julai lepas, Lynch dalam kenyataannya ketika mengumumkan tindakan undang-undang, antara lain berkata ahli perniagaan Malaysia dikenali sebagai Jho Low melakukan pengubahan wang haram berjuta-juta dolar ke Amerika Syarikat, dengan membeli hartanah serta menjalani gaya hidup mewah.

“Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada 2014 itu cukup jelas.

“Walaupun Jho Low atau individu yang disebut dalam aduan itu adalah penduduk di Amerika Syarikat dan adalah agen 1MDB atau kerajaan Malaysia, mereka telah melakukan kesalahan di negeri mereka tinggal, perbuatan mereka tidak boleh dikaitkan dengan kerajaan atau 1MDB,” kata Rozario.

Beliau juga menyentuh rekod Amerika Syarikat dalam mematuhi undang-undang antarabangsa yang digambarkannya sebagai ‘tidak konsisten pada tahap terbaik, bersifat memilih dan mempunyai kecacatan paling teruk’.

Katanya, Amerika Syarikat mempunyai kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraan yang boleh digunakan ke atas pihak yang mereka boleh atau mahu tundukkan.

“Pendekatan Loretta Lynch dalam isu 1MDB ini adalah seiring dengan tindakan Amerika Syarikat selama ini yang menggunakan taktik kekerasan ke atas negara kecil.

“Ini lakukan dengan beranggapan bahawa ia mempunyai kuasa untuk menjejaskan kedaulatan Malaysia dan menguatkuasakan ‘kewajipan undang-undangnya’ dengan merampas kuasa itu daripada mahkamah Amerika Syarikat dan Malaysia serta agensi lain dalam kerajaan mereka,” katanya.

Hujah Rozario mengukuhkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lepas bahawa proses perundangan perlu dihormati dan mereka yang dinamakan dalam tindakan DOJ harus diberi peluang mempertahankan diri, termasuk di mahkamah.

APA PERLU DILAKUKAN KEPADA UMNO?

shahbudindotcom


Kata Tun Mahathir Mohamad, parti yang bakal ditubuhkannya akan dibarisi pemimpin baharu yang mampu menukar cara perjuangan UMNO yang ketika ini dipimpin oleh Najib Razak.
 
 
 
 
Hari ini dasar perjuangan UMNO hanya untuk tentukan Najib tidak dihadapkan ke mahkamah, ujar beliau.

Muhyiddin Yassin pula mengumpamakan UMNO ibarat sebuah kereta rosak yang tidak boleh diperbaiki lagi.
 
 
 
 
Bila dibaiki pun ia akan terus rosak, lebih-lebih bila Presiden UMNO sendiri seorang yang amat tidak bertanggungjawab. Jadi, kita kena tukar dengan kereta baru, katanya.

Mohd Shafie Apdal pula mengatakan, orang Melayu tidak akan mati tanpa UMNO, sambil memberi contoh apa yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan sekarang.
 
 
 
 
Sehubungan itu, beliau juga nenggesa rakyat Sabah agar berani mengubah kepimpinan kerajaan negeri tersebut.

Mukhriz Mahathir meminta rakyat membuat pilihan yang bijak dalam pilihanraya akan datang demi menyelamatkan masa depan negara.
 
 
 
 
Sama ada negara dapat diselamatkan atau tidak, penentuannya ialah pilihanraya akan datang, tegas bekas Menteri Besar Kedah itu.

Jadi, apa yang perlu dilakukan kepada UMNO? Apa pilihan yang sebaiknya?
 
 


Atau barangkali ini jawapan paling munasabah sekali?


250 mat rempit tolak motosikal ke JPJ

SINAR HARIAN
 
 
JPJ


SEREMBAN - Lebih 250 penunggang motosikal terpaksa menolak kenderaan mereka sejauh 200 meter sehingga ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dalam Op Rempit berhampiran Plaza Tol Senawang awal pagi tadi.

Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Mohd Hafidzal Zainal Abidin berkata, kesemua penunggang motosikal itu diarah berbuat demikian bagi pemeriksaan lanjut dan menjalani ujian air kencing.

"Dalam operasi ini, sebanyak 285 motosikal dan 300 individu diperiksa, sebelum 278 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan.

"Antara kesalahan yang dikesan ialah tiada lesen memandu, tiada lampu brek, tiada cermin sisi, penunggang berumur bawah 16 tahun, ubah suai aksesori dan tidak mempamer lesen L atau P," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lima pegawai dan 72 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, satu pegawai dan 17 anggota JPJ serta 10 kakitangan Jabatan Alam Sekitar negeri terbabit dalam operasi yang bermula dari 12 tengah malam hingga 5.30 pagi itu. - Bernama


'Umno tak boleh dibaiki lagi'

Wartawan Sinar Harian
Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin. - Foto Sinar Harian


KULIM - “Umno sekarang seperti kereta buruk, bila baiki rosak lagi, jadi kita tukar kereta baru lah,” demikian kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, walaupun perlembagaan parti boleh dipinda, namun ia tetap tidak berubah, malah kembali seperti sediakala juga.

”Nak baiki macam mana lagi Umno ini? Nak pinda perlembagaan? Ya, betul saya pengerusi perlembagaan. Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) pun sama.

"Tapi tak berubah, macam itu lah juga Umno, lebih lagi bila presiden partinya menjadi seorang yang amat tak bertanggungjawab” katanya.

Jelasnya, sebab itu rakyat tidak perlu lagi mempertahankan Umno yang semakin rosak keseluruhannya dan perlu memilih parti baharu yang bakal ditubuhkan nanti.

“Sebab itu, kita tak boleh harap lagi pada Umno, tapi saya tahu nak berganjak dari Umno bukan mudah kerana berpuluh tahun bersama parti ini.

“Memang Umno perjuangkan dan bela nasib bangsa, agama dan negara, namun sampai setakat mana parti itu baik,” katanya.

Malah katanya, dengan pengalaman beberapa pemimpin yang akan mengemudi parti baharu nanti, sudah pasti hak rakyat, kedaulatan negara dan berteraskan agama dapat diperjuangkan.

“Sampai masa kita akan umum parti baharu. Parti ini akan berjuang untuk kita, lebih hebat daripada  diperjuangkan Umno selama ini. Jangan susah. Tak apa-apalah tinggalkan Umno. Kita ada pengalaman ,Tun Mahathir ada, (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) dan  (Datuk Seri Mohd) Shafie (Apdal).

“Parti yang lebih demokratik, progresif, dinamik, teras Islam, perjuangan rakyat termasuk orang Melayu dan sebagainya. Kita akan jelaskan nanti,” katanya.


TH optimis langkah keselamatan diambil Arab Saudi

SINAR HARIAN

Tabung Haji


MADINAH - Lembaga Tabung Haji (TH) berpuas hati dan  yakin dengan langkah keselamatan yang telah diambil kerajaan Arab Saudi bagi membendung insiden yang tidak diingini sepanjang musim haji tahun ini.

Naib Konsul Haji Malaysia, Mohd Zawawi Bostam berkata ia berikutan beberapa‎ langkah mengetatkan kawalan keselamatan yang dilakukan di tempat strategik termasuk di hotel penginapan.

"Saya berasa yakin dengan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil itu dan kita dapat lihat mereka telah menempatkan anggota polis di sekitar masjid dan juga tempat strategik.

"Pihak hotel juga telah memaklumkan mereka telah menyediakan alat pengimbas keselamatan di pintu masuk bagi tujuan yang sama," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Hal-Ehwal Jemaah Haji Malaysia di sini, hari ini.

Pada 4 Julai lalu, empat dilaporkan maut manakala lima lagi cedera dalam ‎ insiden letupan di perkarangan Masjid Nabawi di sini.

Bagaimanapun tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam letupan berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata serangan itu berlaku ketika orang ramai sedang menunggu waktu berbuka puasa.

Mohd Zawawi yang juga Pengarah Operasi Madinah berkata pihak hotel juga telah menyediakan beberapa langkah keselamatan lain dan sebarang perkembangan, TH akan memaklumkannya kepada jemaah haji nanti.

"Soal keselamatan adalah perkara kritikal di Arab Saudi dan kami ingin  menasihati para jemaah agar jangan mencampuri soal keselamatan ini dan juga tidak  membawa unsur-unsur berpolitik," katanya.

Sementara itu, TH juga kini sudah bersiap sedia menerima kedatangan seramai 22,320 jemaah haji Malaysia musim ini dengan membuat beberapa penambahbaikan untuk keselesaan jemaah.

"Antara penambahbaikan itu adalah menggunakan bas yang lebih selesa dan langkah membawa bagasi para jemaah dengan lebih sistematik," katanya.

Beliau berkata selain itu petugas TH juga telah bersiap sedia untuk  memberikan khidmat sokongan kepada jemaah iaitu khidmat kesihatan, pengeluaran wang, kaunseling dan khidmat pelanggan.

"Kini seramai 70 peratus petugas TH di Madinah telah sampai dan sebahagian besar menggunakan khidmat petugas yang berpengalaman," katanya.

Mohd Zawawi turut menasihati jemaah agar mengambil langkah sewajarnya bagi menangani keadaan cuaca panas yang dijangka melebihi 40 darjah Celcius bagi mengelak berlakunya masalah kesihatan.  

Beliau juga turut menasihati agar para jemaah menumpukan sepenuhnya dalam soal menunaikan haji dan tidak terbabit dalam perkara yang boleh melanggar undang-undang Arab Saudi.

Pada musim haji ini seramai 11,796 jemaah akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah manakala bakinya di Lapangan Terbang Antarabangsa King AbdulAziz di Jeddah.

Ia membabitkan sebanyak 47 penerbangan iaitu 25 penerbangan ke Madinah dan bakinya ke Jeddah. - Bernama


Parti baharu beri saingan untuk Umno, BN berjaya

SINAR HARIAN
Salleh Said Keruak
Salleh Said Keruak
 
 
KUALA LUMPUR - Parti baharu yang akan ditubuhkan bekas‎ Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi Umno dan BN persaingan untuk menjadi lebih berjaya, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu yang menyambut baik langkah Mahathir berkata negara seperti Jepun dan Jerman cemerlang kerana mereka terpaksa berjuang untuk terus hidup manakala empayar seperti Britain semakin menghilang akibat kemusnahan dan bersikap puas hati.

"Kadang-kadang persaingan adalah baik apabila ia membuat anda sedar, melainkan jika anda bersemangat dan bekerja lebih keras anda menghadapi risiko kekalahan.

"Jadi mungkin Mahathir sedang menolong Umno dan BN dengan menawarkan kami beberapa persaingan kerana persaingan sentiasa baik untuk mengecapi kejayaan," katanya dalam laman blog beliau sskeruak.blogspot.com.

Bendahari Umno yang baru dilantik itu bagaimanapun berkata, keputusan‎ Mahathir membuktikan pendiriannya dengan jelas bahawa beliau tidak berusaha untuk menyelamatkan Umno, sebaliknya memusnahkan parti berkenaan.

"Dr Mahathir akhirnya mengakui bahawa satu-satunya cara untuk mengubah kerajaan adalah melalui pilihan raya umum. Sudah pastinya, Mahathir tidak akan mengakui bahawa beliau sedang berusaha untuk menukar kerajaan.

"Beliau mendakwa, beliau hanya berusaha untuk membuang Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak untuk menyelamatkan Umno, BN dan Malaysia.

"Adalah pelik, Seseorang mahu menyelamatkan parti yang didakwa masih menyayangi parti berkenaan dengan berusaha untuk memusnahkannya. Ia seperti mengatakan bahawa anda mahu menyelamatkan manusia dengan memusnahkan dunia," kata Salleh. - Bernama


Negeri Sembilan tanggung kos bawa balik Mohamad Sahar

SINAR HARIAN

Negeri Sembilan tanggung kos bawa balik Mohamad Sahar
Mohamad (depan, kiri) bersalaman dengan peserta kursus haji perdana di Masjid Kariah Paroi.


SEREMBAN - Kerajaan negeri bersedia menampung kos diperlukan untuk membawa pulang Ketua Kerani Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Rembau, Mohamad Sahar Mhd Noor, 57, yang diserang angin ahmar sejak 4 Julai lalu dan kini terlantar di Charing Cross Hospital, West London, ke tanah air.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah meminta melalui Pejabat Menteri Besar supaya menolong apa yang patut, walaupun pesakit terbabit mendapat bantuan kewangan daripada Mara.

"Dengarnya Mara telah beri bantuan sebanyak £30,000 (RM159,768). Tapi tidak cukup untuk (tanggung) bayaran perubatan yang kini dikhabarkan menjangkau £50,000 (RM266,262). (Tambahan pula) sekarang ini pegawai perubatan di Charing Cross Hospital kata, mesti ada doktor terlatih dan peralatan canggih untuk bawa dia balik.

[ARTIKEL BERKAITAN:  'Selangkah lagi bawa ayah pulang']

"Jadi, apa yang kurang kita akan tambah. (Misalnya) tambang kapal terbang, kos doktor, pengiring, jururawat, peralatan dan lain-lain lagi. Ini ihsan daripada kerajaan Negeri Sembilan untuk memastikan pesakit dan keluarganya dapat dibawa balik dengan selamat ke tanah air, insya-ALLAH," katanya.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil atas dasar kemanusiaan terutama apabila memikirkan nasib anak-anak Mohamad Sahar.

"(Cuba) bayangkan kita di sana. Ayah sakit dan kita tidak ada upaya untuk buat apa-apa. Memang mahal kos perubatan di London atau luar negara. (Kalau) tiada insurans dan sebagainya, susah. Jadi elok juga dibawa balik.

"Tapi biarlah keadaan dia benar-benar stabil dan boleh naik kapal terbang. Kalau tidak nanti, akan menyebabkan pendarahan amat teruk akibat tekanan semasa penerbangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kursus Perdana Haji Musim 1437 Hijrah Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Kariah Paroi Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Selamat Paigo; Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Kamal Amran Kamarudin.

Sinar Harian melaporkan sebelum ini, bapa kepada empat orang anak itu diserang angin ahmar ketika tiba di Lapangan Terbang Heathrow untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga, di samping menghadiri majlis graduasi anak perempuannya yang menamatkan pengajian peringkat sarjana di Brunel University, London.

Menurut anak kedua Mohamad Sahar, Amirah, bapanya tiba-tiba pengsan setelah 20 minit keluar dari balai ketibaan dan situasi bertambah sukar apabila tidak dilindungi insurans perjalanan.


Segera buka semula siasatan 1MDB atau KP baru SPRM dilihat berkepentingan

MALAYSIA DATELINE
 
 
Pendedahan telah dibuat pihak DoJ kata Muhammad Syafiq AzmiPendedahan telah dibuat pihak DoJ kata Muhammad Syafiq Azmi


Ketua Pengarah SPRM yang baru dilantik, Datuk Dzulkifli Ahmad didesak untuk segera membuka kembali kertas siasatan berkenaan skandal 1MDB, jika tidak perlantikan beliau akan dilihat mewakili "kepentingan peribadi" pihak tertentu.

"Beliau juga perlu meyakinkan peguam negara Apandi Ali untuk membenarkan kes ini disiasat dan sekaligus membuka kertas pendakwaan kepada nama-nama yang terlibat seperti Riza Aziz, Jho Low dan "Malaysian Official 1" menurut pendedahan yang dibuat pihak DoJ," kata pengarah komunikasi pemuda Amanah Melaka, Muhammad Syafiq Azmi.

Jika ini tidak dapat dilakukan katanya, morang ramai akan beranggapan perlantikan Ketua Pengarah SPRM yang baru oleh pihak kerajaan ibarat "cuba menutup bangkai gajah dengan nyiru".

Datuk Dzulkifli bin Ahmad yang baru dilantik sebagai Ketua Pengarah SPRM yang baru menurut beliau adalah orang penting yang punya kaitan menguruskan isu 1MDB dari pejabat peguam negara.

"Beliau adalah ketua Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara(NRRET) yang diletakkan dibawah seliaan Peguam Negara.

"Pasukan ini telah ditugaskan untuk memulihkan hasil cukai dan aset negara serta mempunyai skop tugas termasuk siasatan keatas 1MDB.

"Pasukan yang diketuai Datuk Dzulkifli Ahmad juga turut dianggotai pihak Polis Di Raja Malaysia(PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negari(LHDN), Bank Negara Malaysia(BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya,

Kemusykilan imbul katanya, bagaimana SPRM disingkirkan dari kumpulan siasatan ini.

"Ramai yang bimbang akan wujud konflik kerana seperti yang sedia maklum Pejabat Peguam Negara juga antara yang terkesan dengan tindakan yang diambil oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat(DoJ) baru-baru ini.

Seadang isu 1MDB kata beliau telah mendapat liputan yang meluas diperingkat antarabangsa.

"Dokumen setebal 136 muka surat yang didedahkan DoJ menyatakan dengan jelas siapa yang terlibat.

"Maka perlantikan ini juga boleh menimbulkan spekulasi dimana perlantikan individu yang mempunyai hubungan terus dengan peguam negara akan mempengaruhi keputusan SPRM selepas ini," katanya.

Petik epal: Dapatlah seminggu RM2,000

Petik epal: Dapatlah seminggu RM2,000
Zaquan (kiri) bersama rakannya mencari rezeki di ladang anggur di Australia.
 

DARI sisi lain, tidak semua pemetik buah di Australia hidup menderita dan ditipu ejen, kerana masih ada juga bernasib baik dan berpeluang mengumpul wang yang banyak untuk dibawa pulang ke tanah air.

Seorang bekas penjual kereta terpakai, Zaquan Ahmad, 28, dari Jitra, Kedah, kini sudah tiga bulan bergelar pemetik buah di benua Australia tanpa sebarang masalah.

Malah dia kini dalam proses mendapatkan visa pekerja bagi melanjutkan lagi tempoh mencari rezeki di sana untuk dua atau tiga tahun akan datang.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kami pendatang di bumi asing]

Berkongsi kembaranya, Zaquan berkata, hasrat berhijrah ke Australia timbul selepas perniagaan kereta terpakainya merudum akibat GST.

“Lepas perniagaan kereta terpakai susah nak laku tiga bulan lepas, saya dan rakan sekampung nekad berhijrah ke Australia menjadi pemetik buah. Kami tidak gunakan khidmat ejen, pergi sendiri guna visa pelancong.

“Buat masa ini, masih guna visa pelancong tapi sekarang dalam proses dapatkan visa pekerja dan visa perlindungan. Kalau dapat visa Kelas A, tidak perlu mohon visa bekerja sebab automatik dapat, tetapi kalau dapat visa Kelas C kena la mohon permit kerja," katanya.

Bersyukur kerana tidak ditipu “Alhamdulillah, pendapatan mingguan diperoleh biasanya sekitar AU$500 hingga AU$700 (RM1,500- RM2,140) bergantung kepada kerja.

Kadang-kadang dibayar ikut jam, ada juga dibayar secara kontrak,” kongsinya.

Kata Zaquan, jika kerja mengikut jam dia dibayar AU$14 (RM42), manakala kontrak ia tidak menentu dan bergantung tahap kerajinan.

“Kalau kutip (petik) anggur harganya berbeza kerana ikut jenis buah. Dalam tiga bulan di sini, sudah tiga kali pindah ladang...habis satu tempat pindah tempat lain pula.

“Waktu kerja biasanya jam 8 hingga 5 petang. Di sini, jam 4 petang sudah gelap. Kalau hujan lebat memang tidak boleh kutip langsung,” katanya.

Zaquan yang kini berada di daerah Victoria berkata, kerjanya kini kurang rancak kerana musim memetik buah sudah tamat.

“Sekarang masa pulling and rolling atau bersihkan ranting dan dahan anggur kering serta betulkan kedudukan pokok. Kerja ini teruk sikit dan dibayar murah tapi mahu atau tidak kenalah kerja. Di negara sendiri pun kita kerja kan?," soalnya.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba musim petik buah, upah dalam tempoh seminggu mencecah A $1,000 (RM3,000) boleh menyimpan RM3,000 sebulan.

"Di Malaysia, nak simpan duit sebanyak tu dalam tempoh dua bulan belum tentu lagipun harga barangan di sini murah,” katanya.

Tips & nasihat buat pemetik buah Untuk bekerja di negara orang, hati mesti kental, tahan lasak dan tidak manja.

“Hati kena kental, mula-mula kerja memang susah nak buat duit tapi dah lama, OK la. Kalau rasa tidak boleh buat kerja teruk sikit, lupakan hasrat mahu jadi pemetik buah.

“Buat masa sekarang, tak ada masalah sangat, lagipun bila dah dapat visa pekerja boleh lanjut lagi tempoh bermastautin di sini untuk dua atau tiga tahun lagi,” katanya.

Jelasnya, kerja memetik buah lasak dan perlukan individu itu berdiri serta jalan jauh.

“Sekarang musim bersihkan ladang dan pokok anggur, upah bulanan RM6,000 sebulan. Kebanyakan pemetik buah yang guna khidmat ejen mesti tak tahan lama, ada ditipu datang pada bukan musim buah jadi tak ada kerja,” katanya.


Marang dicadang tarik balik RUU Akta 355, desak menteri yang bentang

MALAYSIA DATELINE
 
 
Wawancara dengan Dr Zulqarnain yang disiarkan oleh Amanah keluaran minggu ini yang kini berada di pasaran.Wawancara dengan Dr Zulqarnain yang disiarkan oleh Amanah keluaran minggu ini yang kini berada di pasaran.


Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dicadangkan supaya menarik balik rang undang-undang (RUU) peribadi yang beliau bawa ke Dewan Rakyat dan sebaliknya mendesak agar ia dibawa oleh pihak kerajaan.

Cadangan itu dikemukakan oleh peguam yang juga peguam syarie, Dr Zulqarnain Luqman dalam wawancara yang disiarkan oleh akhbar mingguan Amanah yang berada di pasaran sekarang.

Menurut bekas ahli Jawatankuasa Teknikal pelaksanaan kanun jenayah syariah peringkat kebangsaan yang ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan Kelantan, berdasarkan roadmap yang dibuat jawatan kuasa itu, sepatutnya menteri yang membawa rang undang-undang itu bukannya pembangkang.

"Bagi saya, Marang kena tarik balik dan dalam masa sama mendesak kerajaan persekutuan membawa RUU ini untuk meminda Akta 355. Ia lebih munasabah dan rendah risiko untuk gagal," kata Dr Zulqarnain Luqman, peguam dan peguam syarie yang banyak mengkaji pelaksanaan undang Islam di Malaysia.

Bagi beliau, risikonya jika usul ini tidak lulus mudarabnya lebih besar kepada bukan Abdul Hadi sahaja tetapi semua orang Islam dan institusi mahkamah syariah.

Dr Zulqarnain LuqmanDr Zulqarnain LuqmanBagi beliau, presiden Pas itu tidak perlu malu untuk menarik balik usul itu kerana mudharatnya lebih besar kalau ia tidak berjaya diluluskan oleh parlimen apabila beliau yang membentangnya.

"Ia bukan soal malu tetapi maruah mahkamah syariah dan orang Islam semuanya. Marang kena berjiwa besar. Kalau RUU Marang tidak lulus, hasrat Kelantan untuk melaksanakan KJS2015 hanya tinggal atas kertas sahaja dan boleh simpan di muzium," katanya.

WAWANCARA KHAS dengan beliau boleh dibaca di mingguan Amanah yang berada di pasaran sekarang.

Presiden Pas telah membentangkan Rang Undang-undang Persendirian bagi meminta Akta 355 Mahkamah Syariah bagi membolehkan bidang kuasa mahkamah itu ditingkatkan setaraf dengan Mahkamah Sesyen sivil.

Setelah tiga kali difailkan, ia berjaya dibentangkan kepada Dewan Rakyat selepas disokong oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Selepas ini, cadangan ini perlu dibahaskan dan diundi.

Jika lulus, menteri perlu membentangkan RUU ini untuk bacaan kali kedua sebelum diundi dan diluluskan.

RUU ini telah ditentang keras oleh ahli parlimen bukan Islam dan juga yang beragama Islam termasuk menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang.

Berdasarkan sejarah parlimen, hampir kesemua RUU yang dibentangkan kerajaan berjaya diluluskan manakala tidak ada lagi RUU yang dibentang melalui RUU Persendirian oleh pembangkang diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Khairy jarakkan diri dari Khairul Azwan, nafi laporan polis berkait pemuda Umno

BERNAMA
 
 
Tindakan Khairul Azwan Harun membuat laporan polis tiada kaitan dengan pemuda Umno kata KhairyTindakan Khairul Azwan Harun membuat laporan polis tiada kaitan dengan pemuda Umno kata Khairy


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengambil pendirian menjarakkan diri naibnya Khairul Azwan yang membuat laporan polis terhadap tiga individu bersabit skandal 1MDB.

Serangan pelbagai pihak berkaitan rasional tindakan ini dilihat punca beliau berbuat demikian.

"Tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun membuat laporan polis berkaitan dakwaan wujudnya konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri adalah bersifat individu, bukannya pendirian kita (pemuda)," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurutnya, laporan itu dibuat atas kapasitinya sebagai seorang individu kerana mempunyai maklumat tertentu yang telahpun dikongsi bersama polis dalam keterangannya.

"Kita serah kepada polis untuk buat siasatan lanjut. Seperti yang Perdana Menteri sudah sebut, laporan polis yang dibuat (oleh Khairul Azwan) adalah sebagai individu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan FIT Malaysia Fasa II Johor di Stadium Batu Pahat di sini hari ini.

Khairy, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan naibnya membuat laporan polis sama ada ia adalah pendirian Pemuda UMNO ataupun persendirian.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO itu adalah tindakan peribadi bukannya parti dan Khairul Azwan mempunyai hak untuk membuat laporan polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan sebagai berkata keterangan Khairul Azwan diambil di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pagi semalam dan siasatan masih diteruskan berhubung perkara itu.

Selasa lepas, Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap tiga orang yang didakwanya terbabit dalam konspirasi menggulingkan Najib dan kerajaan Malaysia.

Mereka yang dinamakannya ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed.