HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Februari 2010

ATM nafi terbabit dengan aktiviti pengganas di Acheh

BERNAMA



Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyangkal laporan mendakwa tentera Malaysia terlibat dalam aktiviti pengganas di Aceh baru-baru ini.

NONESehubungan itu, beliau akan meminta polis Indonesia menyiasat perkara itu secara menyeluruh.

Beliau berkata, Malaysia akan meminta Ketua Polis Indonesia melaporkan siasatan mereka melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

"Saya fikir secara langsung mahupun tidak langsung memang tidak pernah ada penglibatan oleh tentera Malaysia dan jauh sekali ada penglibatan oleh kerajaan Malaysia untuk campur tangan dalam sebarang pergolakan di negara-negara jiran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penghantaran Kumpulan Pemantauan Antarabangsa-Mindanao V (TPA-M V) di Pangkalan Udara Subang dekat Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid diminta mengulas laporan agensi berita AFP mengenai penemuan pakaian seragam mirip tentera Malaysia ketika polis Indonesia membuat serbuan ke atas sebuah pusat latihan paramilitari Jemaah Islamiyah (JI) pada Selasa lepas.

military malaysia army tentera 131106 trainingAFP melaporkan seramai 100 anggota polis yang dilengkapi senjata berat terbabit dalam serbuan itu di kawasan hutan daerah Aceh Besar, kira-kira 70 kilometer di timur ibu negeri wilayah, Banda Aceh.

Laporan AFP dipetik sebagai berkata, dalam serbuan itu, polis Indonesia turut merampas dokumen, wang dan beberapa pasang pakaian seragam yang mirip kepada pakaian tentera Malaysia.


Sepakat desak, gugurkan pendakwaan Anwar

Oleh Wan Nik Wan Yussof

Kesan daripada perjalanan perbicaraan pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah muncul suara sepakat mendesak pendakwaan itu digugurkan. Siri perbicaraan itu sebenarnya telah membongkar nilai kehakiman yang bermotif politik dan tersasarkan daripada lunas keadilan sejagat.

Setelah Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu membuat keputusan muktamad menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibekalkan semua dokumen penting pendakwaan ke atasnya membabitkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, maka beberapa urutan perbicaraan mahkamah telah diteruskan. Sehinggalah berlaku pula permohonannya untuk menggugurkan tuduhan Mohd Saiful ke atas Anwar di Mahkamah Rayuan. Sebelumnya, pihak Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan menolak permohonan Anwar.

Setakat ini mahkamah telah tidak melayan permohonan Anwar atas tiga isu penting: minta mendapatkan akses dokumen pertuduhan ke atasnya, minta supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya, dan permohonan digugurkan pertuduhan ke atasnya.

Sehubungan itu, permohonannya supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya yang difailkan pada 8 Februari akan didengar pada 25 Mac nanti. Anwar juga telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Februari yang telah menolak rayuannya agar mahkamah membatalkan pertuduhan terhadapnya. Sementara tarikh perbicaraan rayuan itu belum ditetapkan.

Sepakat

Ekoran daripada itu, berlakulah beberapa desakan demi desakan beberapa pihak agar kerajaan dapat menggugurkan pertuduhan kali kedua yang tidak munasabah ke atas Anwar itu. Senarai pihak yang mendesak itu antaranya ialah ahli parlimen Australia, presiden PAS, menteri besar Kelantan, ahli senat Amerika Syarikat, bekas perdana menteri Kanada, penasihat seumur hidup DAP dan ulama dunia terkenal.

Ahli parlimen

Antara yang awal adalah 50 Ahli Parlimen Australia yang diketuai oleh Michel Danby menghantar surat bantahan kepada Pesuruhjaya Tinggi Canberra, Datuk Salman Ahmad agar Kerajaan Malaysia menggugurkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby menyerahkan surat itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Salman Ahmad.

Surat itu berbunyi antara lainnya, “adalah perlu untuk dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia bahawa pada pandangan kami sanjungan global terhadap Malaysia akan terjejas dengan tuduhan-tuduhan ke atas Anwar ini.

“Ramai pemerhati mesra Malaysia mendapati sukar untuk mempercayai seorang pemimpin pembangkang utama (seperti Anwar) dikenakan tuduhan liwat buat kali kedua, sejurus selepas partinya memperoleh kejayaan besar dalam pilihan raya kebangsaan.

Ahli senat

Ia kemudian disusuli kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John Kerry yang menggesa kerajaan memastikan perbicaraan yang adil dan saksama kepada Anwar.

“Menggesa kerajaan Malaysia menyediakan perlindungan perundangan yang sewajarnya, yang beliau berhak peroleh selaku seorang Ahli Parlimen dan seorang rakyat dan untuk menyelesaikan kesnya dalam cara yang boleh membina keyakinan dari segi ia tidak memihak dan kewibawaan sistem kehakiman Malaysia."

Bekas perdana menteri

Kemudian, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin dalam The Globe and Mail turut mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan pendakwaan ke atas Anwar.

Menurutnya, jika Malaysia mahu mengambil tempat sebagai antara negara progresif di dunia, adalah sangat penting tuduhan yang didakwanya bermotifkan politik itu digugurkan.

“Sebagai sebuah negara demokratik yang menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, Anwar juga harus diberikan kebebasan untuk melaksanakan visinya.”

Presiden PAS

Sehubungan dengan kritikan pihak luar terhadap perbicaraan Anwar berkaitan tuduhan Mohd Saiful itu, terutamanya oleh pihak 50 ahli parlimen Australia, maka bagi Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melihat sebagai ketempangan sistem kehakiman negara sehingga pihak luar mempersoalkan tuduhan dan pendakwaan ke atas Anwar.

Maka Presiden PAS memakai pertimbangan rasional dengan maksud, sekiranya kehakiman itu menepati nilai keadilan sebenar tidak mungkin pihak luar akan menegur amalan sistem keadilan di Malaysia.

Dua era kezaliman

Justeru itu, memahami konteks maklum balas tersebut, Anwar semacam berdepan dengan dua era kezaliman ke atasnya. Apabila dinilai kepada kehakiman yang pernah dilalui ketika era Dr. Mahathir kerana dituduh dengan pertuduhan yang sama seperti sekarang, pada akhirnya Anwar telah dibebaskan. Maka, pertuduhan ketika itu adalah sengaja dibuat dengan kerana motif politik.

Kini era Mohd Najib, tidak mustahil pertuduhan ke atas Anwar diulangi lagi. Memetik kata-kata John Kerry, tuduhan ke atas Anwar itu bermotifkan politik itu, maka wajarlah ia digugurkan.

Bersama meragui

Langsung, motif sebenar ahli parlimen Australia, John Kerry dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah manifestasi fakta yang secara bersama meragui realiti keadilan dalam kehakiman di Malaysia. Betapa, seluruh pihak di dunia dapat melayari kenangan apabila undang-undang jakun seperti Akta Keselamatan Negeri yang menangkap dan menahan ‘mangsa’ tanpa bicara adalah masih utuh dipakai sehingga ke hari ini.

Ditambah lagi dengan peristiwa rampasan kuasa di Perak yang membelakangkan semangat perlembagaan dan suara demokrasi rakyat. Dikemaskan lagi dengan amalan fahaman jakun yang menepikan perjanjian tatkala menolak pembayaran lima peratus “cash payment” (royalti) hasil minyak di Terengganu dan Kelantan.

Selain daripada, banyak cerita yang masyhur mengenai kes-kes kehakiman yang tertangguh dan pendakwaan terpilih atas salah laku jenayah yang melibatkan individu berprofil VIP. Di samping turut tersebar banyak fitnah bahawa berlaku ‘campur tangan politik’ di dalam proses kehakiman di negara ini.

Menteri besar

Di atas nilai yang sedemikian, Mursyidul Am PAS juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut tidak bersetuju dengan sistem kehakiman di negara ini yang dianggap tidak dapat mencerminkan keadilan sebenar apabila melayan tuduhan yang tidak masuk akal ke atas Anwar yang dibicarakan secara terbuka sehingga membuka aib orang kepada umum.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menegaskan, “apabila orang Australia pun turut sama membuat bantahan, ini bermakna mereka pun terasa dakwaan itu adalah karut.”

Penasihat seumur hidup

Menarik lagi, apabila ‘orang lama’ yang juga penasihat seumur hidup DAP, Dr. Chan Man Hin seperti mana dilaporkan Harakah turut menuntut agar pihak kerajaan menggugurkan segera dakwaan ke atas Anwar.

Baginya, kesan perbicaraan ke atas Anwar akan menyebabkan kesan buruk kepada ekonomi negara berikutan pihak dunia luar akan mengenakan sekatan ke atas Malaysia seperti mana berlaku di Myanmar, apabila negara itu menahan pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi.

“Anwar boleh menjadi seorang lagi Aung San Suu Kyi kerana Anwar dilihat ancaman kepada Najib.”

Pandangan Dr. Chan itu dilihat menjurus kepada perspektif global yang turut mendedahkan wujudnya kesedaran komuniti antarabangsa tentang hakikat pendakwaan ke atas Anwar itu sebagai tindakan mengelakkan Anwar menjadi pencabar Najib sebagai Perdana Menteri.

Ulama dunia terkenal

Turut menggegarkan pelaksanaan kehakiman Malaysia dalam konteks pendakwaan ke atas Anwar ialah ulama dunia terkenal, Tokoh Maal Hijrah Malaysia bagi tahun 1431 Hijri, Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi. Pihak Syeikh Dr. Yusof menggesa kerajaan menimbang untuk menggugurkan pendakwaan ke atas Anwar kerana ia akan menjejaskan nama baik Malaysia di kalangan dunia Islam.

Apatah lagi, pendakwaan itu dibuat dengan penuh keraguan, dan sekiranya wujud keperluan pendakwaan itu, ia hendaklah dilakukan di mahkamah syariah bukannnya mahkamah sivil. Sewajarnya, kehakiman negara ini dapat memberi keadilan kepada Anwar yang berdepan dengan pendakwaan itu.

Serius

Apa pun, pihak kerajaan hendaklah memandang serius atas nilai-nilai keadilan dan ketelusan sistem kehakiman di negara ini. Atas pendakwaan melibatkan Anwar ini terbukti telah wujud suara pemimpin utama dari dalam dan luar negara yang menggesa supaya ia digugurkan. Bermula dengan desakan pemimpin luar (ahli parlimen Australia, ahli senat Amerika Syarikat dan bekas Perdana Menteri Kanada serta Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi) dan pemimpin dalam negeri (Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi dan Dr. Chan Man Hin) menjadikan kes pendakwaan ke atas Anwar kali kedua ini sebagai fokus antarabangsa.

Sehubungan itu, atas nilai kesejagatan keadilan, Anwar sewajarnya menerima pengadilan yang telus dan adil serta berteraskan syariah. Di sini relevan dan rasionalnya gesaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi, dan Dr. Yusof al-Qaradhawi. Maka, ia harus diambil kira demi menyelamatkan maruah negara daripada amalan kehakiman yang rakus dan di luar konteks keadilan.

Sesungguhnya, Tuhan Yang Esa adalah Maha Adil kepada sekalian hamba-Nya.

(*) Wan Nik Wan Yussof,Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris)


TOPENG PERAK
Perjanjian (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris)

ROYALTI : Kelantan bakal jadi Darul Runtuh......

Oleh Tok Pijat

Nampaknya "kesungguhan" Kerajaan Pusat untuk "membantu" Kelantan semakin terserlah. Kali ini Kelantan menjadi sasaran "[Lambang_Kelantan.jpg]Projek Lanun" mereka selepas begitu puas "melanun" royalti Terengganu sejak tahun 2000 era pemerintahan PAS.

Dengan "sedekah" RM 20 juta bakal diagih-agihkan kepada "rakyat termiskin" warga Kelantan. Dilantiknya Awang Adek Husin yang pernah dicalonkan jadi MB Kelantan jika PAS tewas menjadi Ketua Agihan RM 20 juta itu. Awang Adeklah yang "membetulkan" fakta dengan menyatakan Kerajaan pimpinan Tun Razak dan Husien On melakukan kesilapan kerana memberi royalti minyak kepada Terengganu.

Barangkali untuk membalas jasa Awang Adek yang begitu bermatian mempertahankan dasar "melanun"Putrajaya walaupun dianggap pengkhianat oleh Kota Bahru, maka diangkat Awang Adek menjadi Ketua Agihan RM 20 juta.

Melihat cara Putrajaya melayan tuntutan Kota Bahru, terbayang dua gambaran iaitu :

a) Agihan wang RM 20 juta umpama agihan wang rompakan Robin Hood dan Botak Chin. Rompak kemudian agih kepada orang miskin.

b) RM 20 juta umpama "rasuah" agar rakyat Kelantan "diam dan tutup mulut" dengan rompakan Putrajaya RM 2 bilion sejak gas dijumpai di perairan Kelantan.

Selepas ini, rakyat Kelantan perlu jauhi mana-mana projek yang dibina hasil dari duit "rasuah" RM 20 juta. Ini kerana projek itu tidak berkat dan terkena sumpahan doa orang yang dizalimi. Dan lebih bahaya, ianya bakal "runtuh" seperti di Terengganu. Duit panas!

Seronoknya UMNO Kelantan dapat RM 20 juta. Kepada rakyat Kelantan RM 20 juta umpama umpan "dajal" untuk menarik sokongan bagi menumbangkan Kerajaan Islam di Kelantan.

Jangan lupa pakat kibarkan bendera Kelantan tanda "lawan" kezaliman dan kelanunan Putrajaya!

http://tokpepijat.blogspot.com/

Shabery kesal gelagat penyokong Indonesia

SINAR HARIAN ONLINE



KEMAMAN - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek (gambar) melahirkan kesal dan sedih dengan gelagat penyokong bola sepak Indonesia yang tidak menghormati lagu Negaraku yang dimainkan semasa pasukankebangsaan menentang Vietnam dalam pusingan kelayakan Kejohanan Futsal Piala AFC di Jakarta, Isnin lalu.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku, namun menurutnya beliau tidak menganggap perbuatan ini sesuatu yang sengaja diatur sama ada ada oleh persatuan bola sepak mahupun kerajaan Indonesia.

“Ia adalah perbuatan segelintir daripada mereka yang cuba merosakkan hubungan baik kerajaan dan rakyat di kedua-dua negara,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Dialog Agensi dan Jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas aksi penyokong Indonesia yang tidak menghormati lagi kebangsaan Malaysia pada kejohanan itu sehingga mengakibatkan Pasukan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PPSI) dikenakan tindakan denda RM17,006.:

Tindakan itu diambil Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) susulan aduan pengurus pasukan Malaysia Datuk Hamidin Mohd Amin yang tidak berpuas hati dengan tindakan biadab penyokong bola sepak Indonesia itu.

Penyokong Indonesia dilaporkan menyanyikan lagi kebangsaan mereka Indonesia Raya ketika lagi Negaraku dimainkan selain menjerit perkataan maling (pencuri) dan pondan kepada pemain pasukan negara semasa perlawanan berlangsung.

Menurutnya, semua pihak baik rakyat di negara jiran mahupun rakyat tempatan, harus menghormati lagu kebangsaan sesebuah negara.

”Kerana ia mencerminkan sikap menghormati negara berkenaan, dan inti pati sukan itu sendiri bukanlah melibatkan soal menang atau kalah semata-mata,” katanya.

Ditanya sama ada beliau bercadang menghantar memorandum bantahan kepada menteri sejawatnya di Indonesia berhubung kejadian itu, Ahmad Sha- bery berkata: ”Perkara tersebut tidak perlu kerana tindakan yang dikenakan oleh AFC: berhubung perkara itu sudah memadai.”

Ku Li berhak bersuara

SINAR HARIAN ONLINE


BACHOK - Semua pemimpin dan anggota UMNO termasuk Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah boleh menyuarakan pandangan berhubung isu tuntutan royalti minyak di Kelantan asalkan tidak menjejaskan parti.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun menegaskan, setiap pandangan yang diutara harus berasaskan ‘semangat kekeluargaan’ yang sekali gus tidak menjejaskan keharmonian parti.

”Kerajaan bersikap terbuka dalam menerima pandangan mereka tetapi pandangan itu perlu disuarakan dengan cara yang bijak tanpa mewujudkan sebarang polemik politik yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Satu Program Universiti Malaysia Kelantan, Satu Daerah 2010 di Sekolah Menengah Teknik Bachok, di sini, semalam.

Kelmarin, Tengku Razaleigh berkata, beliau tetap setia kepada UMNO walaupun mendakwa pelbagai pihak menuduhnya sebagai pengkhianat berikutan penjelasan mengenai isu royalti minyak di Kelantan.

Beliau berkata, segala penjelasan berhubung perkara itu bertujuan untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat Kelantan terhadap perjuangan UMNO dengan sikap berterus terang tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Dalam pada itu Mustapa berkata, pihaknya menghargai pendirian kesetiaan Tengku Razaeleigh meskipun pernah muncul bersama pemimpin Pas bagi menyokong isu tuntutan wang royalti minyak kepada Kelantan sebelum ini.

”Kita mengalu-alukan pendirian Ku Li dalam hal ini, satu perkembangan yang positif. Kita menghargai beliau dalam UMNO dan berterima kasih atas kenyataan yang dibuatnya,” katanya.

Dalam menyelesaikan isu itu, Mustapa berkata, beliau sendiri telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh baru-baru ini, disusuli pertemuan antara pemimpin veteran itu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi lihat Syafiah dicampak, dipijak

UTUSAN ONLINE


HULU SELANGOR - Seorang saksi mendakwa, dia ternampak Syafiah Humairah Sahari disepak seperti bola selain dicampak dan dipijak oleh teman lelaki ibu kanak-kanak itu.

Kejadian itu, menurut Ahmad Fikri Khalis Zakaria, 19, berlaku di sebuah padang bola di Kampung Batu 30, Batang Kali di sini kira-kira pukul 6 petang Khamis lalu.

Ahmad Fikri Khalis berkata, pada masa itu dia ternampak kanak-kanak berusia tiga tahun tersebut sedang bermain bola di tepi padang berkenaan.

Katanya, suspek yang dipanggil Abang Mat tiba-tiba datang dengan memakai kasut but bola dan memarahi mangsa.

"Abang Mat kemudian menyepak mangsa seperti bola, selepas itu dia mengangkat Syafiah Humairah menggunakan sebelah tangan sebelum mencampakkan kanak-kanak itu ke atas padang.

"Tidak cukup dengan itu, suspek memijak perut mangsa dengan kasut bola dan menyepak beberapa kali bahagian belakang budak tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Kematian Allahyarham Syafiah Humairah mengundang rasa marah semua pihak kerana dia dibunuh teman lelaki ibunya secara kejam, kelmarin.

Akibat rasa marah dengan kejadian itu, penduduk setempat turut menconteng dinding hadapan rumah suspek dengan perkataan 'pembunuh' menggunakan cat merah.

Tambah Ahmad Fikri, mangsa yang tidak menangis ketika itu cuba berdiri tetapi jatuh semula kerana kecederaan yang dialaminya.

Seorang lagi saksi, Faleeq Hakim Zazali, 16, berkata, dia dan Ahmad Fikri cuba membantu mangsa namun dihalang suspek.

"Untuk memastikan Abang Mat tidak terus memukul mangsa, kami hanya mampu mengangkat kanak-kanak itu dan memasukkannya ke dalam teksi suspek.

"Namun, pada sebelah malam, kami dengar berita kanak-kanak itu telah meninggal dunia di hospital," ujarnya.

Syafiah alami kecederaan parah

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED


HULU SELANGOR - Betapa berat seksaan yang dihadapi oleh Allahyarham Syafiah Humairah Sahari sebelum dia menemui ajal, kelmarin.

Selain dipukul dan ditampar, kanak- kanak malang itu turut dipijak dan ditendang oleh teman lelaki ibunya tanpa belas kasihan, hanya disebabkan oleh kesalahan kecil yang dilakukannya.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu disahkan meninggal dunia akibat pendarahan pada otak dan mengalami kerosakan buah pinggang, akibat dihentak dan ditendang dengan kuat oleh suspek yang tidak berhati perut.

Hari ini, bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat kanak-kanak itu di Hospital Kuala Kubu Bharu mendapati, kematian Syafiah Humairah akibat kecederaan serius termasuk kulit kepalanya terkoyak kerana dipijak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan Bakhtiar Rashid berkata, bedah siasat mendapati, mangsa mengalami penderaan berterusan dan ia boleh dilihat berdasarkan kepada kecederaan yang terdapat pada tubuhnya.

"Terdapat kesan-kesan kecederaan luaran yang baru dan lama dipercayai akibat dipukul dengan objek keras pada tubuh mangsa.

"Kesan lebam turut dikesan di bahagian belakang tubuh mangsa selain di leher, pipi dan bahunya," katanya ketika ditemui di bilik mayat hospital itu di sini hari ini.

Kelmarin, Syafiah Humairah mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali.

Kanak-kanak malang itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu kira-kira pukul 8.30 malam oleh teman lelaki ibunya, mendakwa dia terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.

Berikutan itu, suspek berusia 28 tahun kemudian ditahan pukul 3 pagi semalam bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, kematian Syafiah Humairah yang begitu kejam turut membongkar rahsia perhubungan haram antara ibu kanak-kanak itu dan teman lelakinya sejak enam tahun lalu.

Ibu kanak-kanak itu yang masih bersuami, disangkakan telah berkahwin dengan suspek kerana mereka memiliki seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan, malah, wanita itu kini sedang hamil empat bulan.

Namun, rahsia perhubungan mereka yang hanya menyamar sebagai suami isteri itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati pasangan itu tidak boleh berkahwin kerana wanita itu masih mempunyai suami.

Difahamkan, bapa kanak-kanak malang itu yang hanya dikenali sebagai Sahari ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana didakwa terbabit dalam kes bunuh sejak tahun 2006.

Selain berhadapan tuduhan bunuh, suspek yang ditahan reman selama tujuh hari sehingga Khamis depan bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang syariah kerana bersekedudukan sehingga melahirkan anak luar nikah.

JLKN kecewa program komuniti tidak dapat kerjasama masyarakat

BERNAMA


PASIR MAS: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak memberi contoh baik kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), terutama apabila tidak ramai yang membabitkan diri dalam program khidmat komuniti pelatih.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata sikap sedemikian harus dikikis kerana ia tidak memberi faedah kepada pelatih.

"Dalam kebanyakan aktiviti khidmat komuniti atau masyarakat seperti gotong-royong, hanya pelatih PLKN sahaja yang dilihat terlibat secara aktif sedangkan masyarakat setempat hanya sebahagian kecil malahan ada yang hanya memerhati," katanya kepada pemberita selepas melawat kira-kira 100 pelatih di kem Cancun Park, di sini hari ini.

Beliau berkata, tujuan khidmat komuniti yang dimasukkan dalam modul PLKN diadakan adalah supaya pelatih dapat melihat dan belajar dari masyarakat berkaitan sikap dan perhubungan dengan orang ramai, namun keadaan jadi sebaliknya apabila penduduk tidak banyak membantu.

Katanya, jika keadaan ini berterusan, sesuatu perlu dilakukan dan mungkin modul latihan itu terpaksa diubah.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata orang ramai boleh mula menyemak panggilan ke kem latihan untuk sesi kedua tahun ini mulai minggu depan dan semakan boleh dilakukan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), atau melayari laman web JLKN atau melalui e-mail.

"Seramai 42,000 pelatih akan terbabit untuk sesi kedua ini di seluruh negara," katanya.

Pakatan: Satu lawan satu di Sarawak

Hafiz Yatim


Pakatan Rakyat telah bersetuju agar semua pertandingan dalam pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang adalah pertembungan satu lawan satu antara Pakatan dengan BN.

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, Pakatan telah mula membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka diadakan beberapa bulan akan datang, kemungkinan antara bulan Jun dan Julai ini.

Pilihan raya negeri Sarawak - yang terakhir berlangsung pada 2006 - mesti diadakan dalam tempoh 16 bulan ini. Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mengadakan pilihanraya negeri serentak dengan pilihanraya Parlimen.

Saifuddin berkata, strategi satu lawan satu itu - yang telah menghasilkan kemenangan besar kepada pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 - akan digunakan dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

"PKR, DAP dan PAS pada prinsipnya telah bersetuju dengan pertandingan satu lawan satu dengan BN. Kita pastinya berharap ia akan memberi impak yang besar kali ini," katanya kepada Malaysiakini.

Tsunami politik pada 2008 menyaksikan lima negeri di Semenanjung jatuh ke tangan pembangkang serta menafikan BN penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Sarawak mempunyai 71 kerusi negeri, dengan 62 daripadanya dikuasai oleh BN. Manakala DAp, Parti Cinta Malaysia yang baru ditubuhkan dan Bebas, menang sembilan kerusi.

Pilihan raya umum 2008 telah menyaksikan berlakunya beberapa pertandingan tiga penjuru yang membabitkan parti-parti Pakatan di Sabah dan Sarawak.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang berkata, perkara itu telah dibincangkan oleh majlis presiden Pakatan pada hari Isnin.

Majlis itu, kata beliau, seterusnya akan menumpukan kepada perbincangan mengenai pilihan raya negeri Sarawak, khususnya mengenai strategi pertandingan satu lawan satu, serta memanfaatkan jentera pilihan raya bersama.

Hafiz Ng Berdakwah Dengan Kereta 'Sports

'BERNAM




Mohamad Hafiz Ng Abdullah bersama isteri Asmah Beng Abdullah
dan dua anaknya Mohd Qayim Mohd Hafiz Ng,17, (kanan) dan
Mohd Sina Mohd Hafiz Ng,16, gembira selepas menerima
anugerah Tokoh Pendakwah dari Sultan Perak Sultan Azlan
Shah pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri
di Dataran Perbandaran Taiping, Perak, hari ini. Mohamad
Hafiz Ng adalah Mubaligh Islam dan Timbalan Pengerusi
MACMA Ipoh, berdakwah melalui kaunseling, penulisan,
ceramah dan pengendalian ICT dan turut berceramah
ke perkampungan orang asli, saudara-saudara baru, anak-anak
cacat, anak-anak yatim dan kelas di pusat-pusat pemulihan.
-Foto BERNAMA

TAIPING: Bergelar pendakwah tidak menghalang Mohamad Hafiz Ng Abdullah untuk memandu kereta sports miliknya semasa menjalankan tugas berkongsi keindahan agama Islam dengan masyarakat.

Beliau yang menerima anugerah 'Tokoh Pendakwah' di Perak sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini hari ini, berkata sebaliknya kereta sports itu berfungsi sebagai daya tarikan untuk mendekati orang ramai.

"Memandu kereta sports dengan memakai songkok dan berbaju Melayu memberi kelebihan kepada saya kerana ia menarik perhatian masyarakat," katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini.

Majlis dirasmikan Sultan Perak Sultan Azlan yang turut berkenan menyampaikan anugerah 'Tokoh Keluarga Mithali' kepada Jurij Sulaiman, yang membesarkan lima orang anak yang berjaya dalam pelbagai bidang, 'Tokoh Guru Sekolah Agama Rakyat' kepada Soed Ibrahim, 71, yang mempunyai pengalaman mengajar lebih 30 tahun dan 'Tokoh Pegawai Masjid' kepada Abdul Rahim Abu Bakar,65, yang masih aktif sebagai imam dan mengajar kelas agama.

Mohamad Hafiz, 44, yang memeluk Islam pada 4 Disember 1986 dan mula menjalankan kegiatan berdakwah sejak 1992 juga menyifatkan strategi itu membawa mesej bahawa Islam bukanlah agama yang sempit dan hanya bertumpu kepada akhirat semata-mata.

"Saya juga senang bergaul dengan rakan-rakan dan sesiapa yang bukan Islam dengan cara begitu. Ia sekaligus memberi peluang dakwah kepada mereka mengenai Islam. Contohnya apabila mahu solat, saya ajak mereka menemankan saya ke masjid dan mereka ikut saya," katanya.

Mohamad Hafiz yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim cawangan Ipoh berkata beliau memeluk agama Islam selepas mengkaji al-Quran selama dua tahun.

Selain memandu kereta sports yang telah diubahsuai, Mohamad Hafiz juga berdakwah menerusi kaunseling, penulisan, ceramah dan mengadakan kelas untuk Orang Asli, saudara baru, anak yatim serta agensi kerajaan.

Beliau dan isterinya Asmah Beng Abdullah, 43, kini sedang menghasilkan buku mengenai strategi untuk berdakwah kepada bukan Islam.

Dakwah bukan sekadar berceramah tetapi satu perjalanan hidup, katanya.

Penganggur Di Malaysia 36,000 Sehingga Dis 2009, Kata Maznah

BERNAMA


ROMPIN: Jumlah penganggur di Malaysia dari Okt 2008 sehingga Dis tahun lepas mencatatkan sebanyak 36,000 orang atau 3.6 peratus daripada jumlah penduduk negara, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan.

Katanya kebanyakan daripada statistik itu adalah daripada sektor perkilangan ekoran kekurangan pengeksport kerana kemerosotan ekonomi di Amerika Syarikat pada 2008.

Beliau berkata jumlah tersebut bagaimanapun masih berada dalam kawalan berbanding 84,000 penganggur dicatatkan pada krisis ekonomi Asia dalam tempoh yang sama pada 1997.

"Akibat krisis ekonomi melanda di Amerika Syarikat, ramai buruh-buruh yang terdiri daripada golongan dewasa terpaksa diberhentikan kerja secara sementara.

"Syarikat-syarikat dalam sektor perkilangan terpaksa mengecilkan jumlah pengeluaran kerana permintaan yang kurang," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Chap Goh Mei di sini, Sabtu malam.

Menurut Maznah, bagi mengurangkan kadar pengangguran dalam negara, Kementerian Sumber Manusia telah menempatkan semula kira-kira 29,000 pekerja manakala sebahagiannya mengikuti skim kemahiran supaya mereka diberi peluang untuk menimba kemahiran.

Majlis anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina daerah Rompin itu dihadiri lebih 2,000 orang dari pelbagai kaum.

Maznah berkata sambutan kali ketujuh tersebut akan dijadikan sebagai pesta kedua terbesar pada masa akan datang selepas pesta pantai Rompin.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman Datuk Mohd Johari Hussain, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina daerah Rompin Au Ong Kiat serta Ketua Polis daerah DSP Johari Jahaya.

Tiada Pengecualian Berhubung Siasatan Dakwaan Rasuah Terhadap Nik Aziz

BERNAMA

KOTA BAHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan bahawa tiada pengecualian terhadap kes siasatan rasuah ke atas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melibatkan tajaan mengerjakan haji dan isu penyelewengan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Zakaria Jaffar berkata tidak ada pihak yang boleh dianggap "terkecuali" dalam kes seperti ini termasuk Menteri Besar itu dan siasatan dilakukan mengikut undang-undang yang ditetapkan.

Malahan, katanya, siasatan yang dibuat ke atas Nik Abdul berhubung kes rasuah adalah mengikut prosidur biasa undang-undang negara ini, katanya.

"Siasatan kita standard dan siasatan SPRM tidak terikat kepada sesiapa," katanya kepada pemberita selepas majlis Serah Menyerah Tugas antara Pengarah SPRM Kelantan, Mohd Jaafar Hussin dan Timbalan Pengarah Akademi SPRM, Nasaruddin Mohd Nor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Pergerakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan kepada SPRM di Putrajaya sebelum ini berhubung sebuah blog menyiarkan artikel "SPRM Kelantan Pro-Pas: Siasatan Kes Nik Aziz Terbengkalai".

Ketuanya, Anuar Sapian berkata, pergerakan tersebut membuat laporan itu kerana mahu SPRM menyiasat dakwaan itu kerana SPRM merupakan sebuah badan bebas.

Semalam, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahya berkata, SPRM Kelantan telah selesai menjalankan siasatan kes dakwaan rasuah terhadap Nik Abdul Aziz itu dan kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Zakaria berkata peruntukan undang-undang adalah jelas dan telus tanpa mengira sesiapa dan tindakan akan dibuat berdasarkan kepada fakta-fakta kes yang disiasat oleh pihak siasatan SPRM.

Beliau berkata pihaknya kini menunggu keputusan pendakwa raya sama ada untuk mendakwa atau tidak.

"Sekarang kita tunggu keputusan pihak pendakwa sama ada boleh didakwa atau tidak, (kerana) siasatan kita sudah selesai," kata Zakaria.

Sebelum itu, Jaafar berkata SPRM Kelantan menerima 426 laporan tahun lepas dan sebanyak 24 kes dibuka kertas siasatan manakala sebihnya tiada tindakan lanjut kerana didapati tiada asas.

Warkah Guantanamo

Gambar terbaru Hambali yang sedang membaca Al-quran di Kem Guantanamo, Cuba.

CIANJUR (Jawa Barat): Sejak ditahan di Thailand pada tahun 2003, kita tidak pernah menatap wajah pengganas bernama Hambali - pemimpin keempat terpenting dalam rangkaian al-Qaeda dan Osama bin Laden - yang dikaitkan dengan pengeboman Bali dan juga serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York.

Tetapi hari ini untuk pertama kalinya dalam tempoh tujuh tahun, wajah terbaru lelaki itu - seorang rakyat Indonesia beristerikan rakyat Malaysia - dipaparkan kepada umum dalam laporan “eksklusif dunia” Mingguan mStar.

Dalam proses untuk memperoleh laporan eksklusif ini, wartawan Mingguan mStar telah menjelajah dari Kuala Lumpur ke Jakarta dan kemudiannya ke Cianjur di Jawa Barat sebelum menyusuri pedalaman dalam kegelapan malam tanpa bintang sehingga tiba di kediaman asal Hambali.

Dilihat sebagai salah seorang daripada segelintir anggota bukan Arab dalam rangkaian al-Qaeda, Hambali kini sedang dipertimbangkan untuk dibawa ke ibu negara Amerika Syarikat, Washington D.C. atau New York untuk perbicaraan di mahkamah terbuka.

Pusat tahanan Guantanamo yang ditadbir oleh AS di tengah Cuba kini dalam proses penutupan atas arahan Presiden Barack Obama.

Gambar Hambali yang dirakam pada tahun 1995 semasa perkahwinannya

Pada 15 Disember tahun lalu, presiden itu menandatangani memorandum mengarahkan sebuah pusat pemulihan baru diwujudkan di bandar Thomson, Illinois bagi penempatan semula para tahanan dari pusat tahanan yang mendapat bantahan penduduk dunia.

Berita mengenai perbicaraan Hambali itu telah menimbulkan reaksi negatif di kalangan penduduk dan masyarakat di kedua-dua buah bandar raya terbabit kerana bimbangkan keselamatan mereka.

Perbicaraan Hambali, 46, dianggarkan melibatkan wang pembayar cukai sebanyak AS$250 juta (RM851 juta) - bakal menjadikannya perbicaraan paling mahal di dunia.

Sementara nasib tahanan tersebut sedang mengambil tempat, tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai nasib dua orang rakyat Malaysia yang sedang ditahan di Teluk Guantanamo.

Kedua-duanya - Mohd Farik Amin@Zubair dan Mohd Nazir Lip@Lilliie - disifatkan sangat berbahaya dan mempunyai kaitan secara langsung dengan Jemaah Islamiah, iaitu sebuah lagi organisasi yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.

Amin dan Nazir dipercayai menerima arahan secara langsung daripada Hambali untuk melaksanakan serangan di bumi AS.

Gambar ketika keluar meninggalkan Malaysia pada tahun 2001.

Mingguan mStar yang berjaya menjejaki kampung halaman keluarga Hambali di sini baru-baru ini, telah memperoleh foto terbaru Hambali dan juga berpeluang menatap surat-surat yang dikirimkan kepada keluarganya itu dari Guantanamo.

Gambar terbaru lelaki buruan AS itu dipercayai dirakamkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah di dalam selnya di Kem Delta - iaitu salah satu daripada tiga blok utama kem tahanan Guantanamo.

Ia menunjukkan Hambali yang memakai baju tahanan duduk membaca al-Quran dan kelihatan jauh lebih kurus dengan jambang yang lebih panjang berbanding gambar-gambarnya semasa ditahan pada tahun 2003 dan juga pada tahun 2001 ketika dia berjaya meloloskan diri dari Malaysia.

Bagaimanapun, Hambali berjaya ditangkap di Ayuthaya, Thailand pada 2003 dan kemudiannya dia ditempatkan di beberapa pusat tahanan yang dirahsiakan sebelum diterbangkan ke Guantanamo pada tahun 2006.

Dalam warkah yang dikirim dari Cuba itu Hambali tanpa berselindung menyatakan perasaan rindu terhadap ibunya yang dipanggil “ummi”. Hambali juga menulis bagaimana dia turut merindui adik-beradik dan sanak-saudaranya yang lain selain sentiasa berdoa untuk mereka di samping mengharapkan mereka juga turut mendoakan kesejahteraannya.

Gambar pada 2003 sebagaimana dalam pasport Sepanyol

Warkahnya itu ditulis menggunakan bahasa Indonesia dan juga dialek etnik Sunda iaitu etnik kedua terbesar di Jawa dan merupakan populasi terbesar di Barat Jawa.

Malah terdapat juga di sana sini perkataan Inggeris yang turut dicoretkan Hambali dalam warkahnya itu.

Hubungan kaum makin erat di era Pakatan

Rusli Yasmin


AMPANG: Hubungan di antara masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama semakin erat di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat pada sambutan Tahun Baru Cina.

Sambutan Tahun Baru Cina di Kampung Baru Ampang, malam tadi cukup menggambarkan sokongan masyarakat pelbagai kaum khususnya kaum Tionghhua kepada Pakatan Rakyat tidak luntur dan semakin utuh.

Mereka memenuhi Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru di sini bagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dun Chempaka, Jawatankuasa Penduduk Kampung, Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat, Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Selangor dan PAS Kawasan Pandan.

Menurut seorang penduduk yang ditemui, program tersebut merupakan program terbesar yang pernah dianjurkan semenjak tahun 1974 dan beliau merasa sangat gembira.

Bermula pada jam 8.00 malam dengan kehadiran tetamu-tetamu jemputan, antaranya Adun Chempaka, Iskandar Samad yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Kamaruzaman Mohamad, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Li Shuok Jin ahli majlis zon 17 dan Khairul Faizi Ahmad Kamil, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat.

Selepas itu, gimik perasmian sambutan dimulakan dengan persembahan tarian singa.

Kemudian, Iskandar Samad dan Li Shuok Jin diberi penghormatan membuka kain rentang yang bertulis bermaksud Harimau Garang Menghalau Kezaliman dan Sing Tiong Hwa menyambut Tahun Baru yang berharapan. (gambar kanan)

Iskandar Samad dalam ucapan ringkasnya melahirkan rasa gembira dan terharu di atas sambutan yang sangat hebat oleh masyarakat Tionghua di sekitar situ.

Beliau juga berjanji, Pakatan Rakyat akan terus memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

"Selepas ini kita akan memberi bermacam-macam lagi untuk rakyat, tapi sekiranya dapat tawan satu Malaysia kita akan beri 'the best' lagi untuk rakyat," katanya yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Katanya juga, rakyat yang berbilang kaum, agama dan berbeza ideologi politik mesti saling faham memahami di antara satu sama lain.

"Kalau kita berbeza tidak semestinya kita bergaduh, yang penting kita mesti erat perpaduan di antara kita,” tambahnya.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang hadir agak lewat turut diberi peluang menyampaikan ucapan ringkas kepada hadirin.

Pemuda PAS pula mengedarkan risalah perutusan Tahun Baru Cina Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat kepada semua masyarakat Cina di situ. (gambar kiri)

Malam itu turut diserikan dengan acara cabutan bertuah, persembahan daripada orkestra Cina, kompang, urami, sketsa dan persembahan nyanyian daripada Mr. Yau, Juara Karaoke Kampung Baru, Ampang pada tahun lepas.

Selain itu, Iskandar turut memberi angpau kepada kanak-kanak yang hadir.

Pertunjukan bunga api turut mewarnai program pada malam tersebut.

Akhir sekali, para jemputan dan semua yang hadir menyanyi dan bergambar beramai-ramai.

Menteri BN Sabit Kes Rasuah Perlu Letak Jawatan

SABAH DAILY

Menteri Informasi, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang mengemukakan saranan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim melepas jawatan Ketua Pembangkang, sepatutnya lebih dulu mendesak menteri yang pernah disabitkan atas kesalahan rasuah dan pecah amanah, supaya meletak jawatan.

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK) yang membidas Rais kerana mencadangkan Anwar Ibrahim supaya melepas jawatan semata-mata kerana terlibat dalam perbicaraan konspirasi kedua sedangkan mahkamah belum membuat sabitan.

Menyifatkan cadangan itu berniat jahat dan bertujuan mengalihkan kebimbangan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap isu integriti institusi kehakiman, Gerak menganggap kenyataan Rais itu semata-mata bermotif politik..

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Ahli Lembaga Pengarah GERAK, hari ini, mereka menyeru Rais supaya melaungkan nada sama terhadap ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan supaya melakukan perkara sama.

“Mereka yang sabit kesalahan oleh Jawatankuasa Disiplin atas kesalahan rasuah politik dalam Perhimpunan Agung UMNO, selain terpalit dengan kontroversi melibatkan projek mega seperti isu PKFZ dan isu moral, sepatutnya turut berbuat demikian.

“GERAK berpendirian, seseorang itu tidak bersalah dan dilihat sebagai tidak bersalah selagi mahkamah tidak memutuskannya sebagai bersalah,” kata kenyataan itu.

Mengikut kenyataan berkenaan, GERAK berharap semua pihak menghormati hak seseorang warganegara untuk mendapatkan pengadilan melalui proses mahkamah yang bebas dari campur tangan mana-mana pihak.

“Tindakan mengaibkan maruah dan peribadi seseorang amat bertentangan dengan nilai Integriti,” kata kenyataan itu lagi.

GERAK turut mendesak kerajaan supaya menumpukan usaha memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat dan negara luar terhadap kebebasan dan keadilan proses perundangan negara. -TVS

Khairy Datang kelantan,Hendak Mengajar Ku Li

Oleh: WFAUZDIN NS


KJ Ketua Pemuda Umno yang masih belum layak jadi Menteri dalam kabinet Najib `merantau' ke Kelantan pula. Di Negeri Serambi Mekah tersebut, KJ bukan bercerita pasal royalti minyak tetapi ingin menjual `tahi minyak'. Ketua Pemuda yang disabitkan dengan rasuah politik wang ini diketahui sebagai pengukir sejarah Ketua Pemuda yang lemah dan tidak berpengaruh. Sewajarnya beliau tidak diberi apa jua jawatan di dalam kabinet Najib

Di dalam Umno yang sedang `nyawa-nyawa' ikan sekarang ini, Ketua Pemuda bukan sahaja mesti pandai bercakap atau berpidato, tetapi sekurang-kurangnya dilihat bijak menarik golongan muda khususnya untuk bersama dengan parti berlambangkan `keris telanjang tanpa sarung' itu. KJ ternyata gagal di dalam hal ini, bahkan beliau tidak berupaya menarik sokongan padu di kalangan Exco dan JK Pemuda Umno itu sendiri. Bukan rahsia lagi bila mana terdapat suara-suara di peringkat Pemuda Umno yang mahukan beliau meletakkan jawatan akibat kegagalan ini.

Berada di bumi Kelantan, KJ tiada sasaran untuk Tok Guru Nik Aziz kerana tokoh Ulamak itu bukan tandingannya. Akhirnya beliau menyerang Ku Li tokoh veteren Umno yang telah lama berjuang dan mengenali Umno semenjak KJ memakai `pampers' lagi, KJ tiada hujah untuk menyatakan Ku Li bersalah kerana tidak sependapat dengan pimpinan Umno berkaitan royalti minyak di Kelantan. Oleh kerana tiada hujah akibat kebebalan Ketua Pemuda ini, maka dituduhnya Ku Li ingin menjadi `Hero'. Lihat berita di akhbar Sinar hari ini. Tidakkah KJ tahu sebenarnya Ku Li bukan bercita-cita untuk menjadi Hero, tetapi rakyat Kelantan telah pun mengiktirafnya sebagai `Hero' di dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat. Umno tidak perlu mengiktiraf Ku Li sebagai Hero kerana Ku Li telah pun menjadi Hero setelah begitu lama menjadi `Gurkha' di dalam Umno.

Siapa pula `Gurkha' Umno sekarang? Jika ada yang merasakan KJ amat sesuai dinobatkan sebagai `Gurkha' Umno, saya boleh bersetuju dengan pandangan itu. Jika ada pula yang berpandangan KJ lebih layak menjadi `pencacai' kepada Umno sebaris dengan Ezam raja sesumpah, pandangan itu pun saya rasa lebih tepat. Hakikatnya hayat politik KJ semakin di penghujung cuma menanti saat Pemuda Umno `menyepak' menantu Pak Lah ini keluar. KJ akan mendapat nasib yang seakan sama dengan bapa mertuanya itu./

wfauzdin.blogspot.com

Facebook punca masalah sosial kalangan remaja Indonesia

Oleh BORHAN ABU SAMAH


MAJLIS Ulama Indonesia pernah mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, namun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang menganggapnya tidak wajar.

Kritikan itu kerana Facebook kini menjadi medium penting di Indonesia, bahkan di seluruh dunia untuk orang ramai berkomunikasi di dunia maya. Sehingga rakan-rakan yang puluhan terpisah, dapat ditemui semula hanya melalui Facebook.

Selain menghubungkan silaturahim, Facebook juga menjadi alat komunikasi secara percuma tanpa mengira, jarak atau batas sempadan negara.

Namun perkembangan yang begitu cepat menyebabkan banyak pihak belum bersedia dengan kesan buruk yang muncul bersama teknologi terkini itu.

Facebook ibarat pisau yang mempunyai dua mata, selain memberi kemudahan, ia juga mempunyai keburukan jika tidak dapat dikawal, khususnya bagi golongan remaja dan murid-murid sekolah yang masih mentah serta dangkal fikirannya.

Memiliki akaun Facebook bagaikan suatu yang wajib di Indonesia dan sesiapa tidak mempunyai akaun Facebook dia akan dianggap telah ketinggalan zaman.

Di negara republik itu juga para pengendali telekomunikasi berlumba-lumba menawarkan pakej langganan dan telefon bimbit yang mempunyai kemampuan mengakses Facebook pada kadar yang cukup murah.

Kebanjiran telefon bimbit dari negara China dengan ciri-ciri akses Facebook menyebabkan kanak-kanak yang masih berada di sekolah rendah telah mampu memiliki telefon bimbit sedemikian.

Dengan berjimat duit belanja sekolah untuk beberapa bulan mereka telah dapat membeli sebuah telefon bimbit sedemikian.

Selain itu mereka juga dapat mengakses Facebook di kafe siber yang berselerak di seluruh Indonesia, khususnya di kota-kota utama.

Kini Facebook menjadi masalah baru kepada ibu bapa yang tidak mengikuti perkembangan teknologi itu. Anak-anak yang masih berada di bangku sekolah rendah menjadikan Facebook untuk berkenalan dengan teman yang baru.

Baru-baru ini seorang murid perempuan sekolah rendah di Jakarta hilang dari rumah kerana mengikut teman lelaki yang dikenali melalui Facebook.

Bagaimanapun selepas dua hari hilang, murid perempuan itu ditemui oleh orang ramai dan diserahkan kepada ibu bapanya setelah kisah kehilangan murid berkenaan dihebahkan oleh sebuah stesen televisyen.

Teman lelakinya baru berusia belasan tahun, ditangkap polis, namun akhirnya dia dibebaskan kerana ibu bapa gadis berkenaan menarik kembali laporan polis, setelah mendapati anaknya selamat dan tidak diapa-apakan.

Sebelum itu seorang gadis berusia 14 tahun diculik oleh teman lelaki yang baru dikenali melalui Facebook. Setelah berjaya dikesan polis, gadis itu diselamatkan dan teman lelakinya telah diberkas dan kini didakwa di mahkamah kerana menculik.

Empat orang pelajar sebuah sekolah menengah pula dibuang sekolah kerana menulis kata-kata kesat dan mengugut guru wanita mereka di dalam Facebook.

Sebelum itu seorang lelaki berdepan dengan hukuman penjara lima tahun jika didapati bersalah kerana menghina rakannya di dalam Facebook.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Nasional Perlindungan Anak Indonesia, Arist Merdeka Sirait berkata, fenomena baru itu harus diawasi oleh ibu bapa kerana ia memberi kesan yang negatif kepada anak-anak jika tidak digunakan dengan betul.

Ibu bapa katanya, tidak seharusnya melarang anak-anak daripada memiliki akaun Facebook, sebaliknya mereka perlu sama memiliki akaun berkenaan dan menjadi kawan kepada Facebook anak mereka sebagai langkah pencegahan dan kawalan daripada pengaruh yang tidak baik.

Badan bukan kerajaan itu setakat ini telah menerima 36 aduan berhubung kes anak dan remaja yang menjadi mangsa kepada Facebook sejak Januari hingga Februari tahun ini.

Untuk penculikan anak, kami mencatat ada tujuh kasus yang dilaporkan," kata Arist.

Menurut Arist, laporan tersebut menunjukkan modus operandi perdagangan anak dan mangsa rogol berpunca daripada Facebook.

Namun aspek utama yang harus diberikan perhatian oleh ibu bapa adalah masa meluangkan masa untuk anak-anak.

Kebanyakan anak-anak yang terbabit dengan gejala sosial berpunca daripada sikap ibu bapa yang gagal meluangkan masa untuk anak-anak.

Anak-anak khususnya perempuan memerlukan perhatian, pujian, kasih sayang dan pengiktirafan. Jika itu tidak diperolehi di rumah mereka akan mencarinya di luar. Cara paling mudah adalah dengan mencari kenalan melalui Facebook.

Apabila anak-anak mula mencurah perasaan melalui Facebook dan tidak lagi kepada ibu atau bapanya, ia merupakan petanda bahawa akan timbul masalah.U/M

Nik Aziz tonton filem buat julung kali?

Oleh Mohd Zuharman

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menonton filem “Ketika Cinta Bertasbih” yang akan ditayangkan di Balai Islam Lundang esok, yang menurut pegawainya ini kali pertama beliau berbuat demikian di khalayak ramai dalam hidupnya.Setiausaha Politik kepada Nik Aziz, Wan Nik Wan Yusuf mengesahkan perkara itu ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

“Setakat ini disahkan tok guru akan hadir,” katanya.“Jika Tok Guru Nik Aziz hadir menonton filem itu, maknanya ini adalah kali pertama beliau menonton filem dalam hidupnya.

“Sebelum ini beliau memang tak pernah menonton wayang.

“Tok Guru rasa minat nak tengok filem itu kerana mesejnya yang berunsur kerohanian dan keagamaan,” kata beliau.

Tayangan filem tersebut diadakan sempena Hari Hiburan Islam selaras dengan usaha kerajaan negeri yang tidak pernah menyekat persembahan hiburan, yang sebahagiannya menjadi aspirasi rakyat Kelantan khususnya di kalangan remaja.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Baihaqi Atiqullah yang juga selaku pengarah program berkata tayangan filem berkenaan dijangka bermula pukul 9 malam.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dijemput mengupas filem tersebut.

“Saya menjemput orang ramai hadir bersama-sama menonton filem bercorak kerohanian itu selain untuk berhibur, ia juga dapat menambah ilmu pengetahuan,” katanya.

“Ketika Cinta Bertasbih” sebuah filem yang diadaptasikan daripada novel karya penulis Indonesia, Habiburrahman El-Syirazi dan merupakan filem “box-office” di Indonesia tahun lalu.

Pada 14 Feb lalu, lebih 1,000 penonton menyaksikan tayangan filem “Ketika Cinta Bertasbih” bahagian pertama yang diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC).

Sempena program tersebut Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan telah meraikan kunjungan selebriti TV3, Wardina Safiyyah dan Habiburrahman yang juga selaku pengarah filem tersebut.

Nik Aziz menghargai kehadiran mereka ke negeri ini sebagai ikon kepada persembahan hiburan Islam.M/I

Sabtu, 27 Februari 2010

Harap Zila Bakarin patuh perintah Allah

Oleh Ismail Hashim

Pengasas Maahad Tahfiz Darul Fikri, Kuantan, Ustaz Rosli Abdul Jabar berharap artis Zila Bakarin akan segera mematuhi perintah Allah SWT di dalam semua hal dan melaksanakan hukum-Nya tanpa berdolak-dalik lagi.

Beliau amat prihatin dengan kenyataan artis itu berhubung pemakaian tudung kerana dibimbangi membawa mudarat kepada ketauhidan seseorang Muslim jika dibuat dalam keadaan mempersendakan namun berharap Zila membuat kenyataan itu dalam keadaan ‘tidak tahu’.

“Namun mesti ada usaha untuk memahamkan beliau (Zila) atau menjadi kewajipan beliau sendiri untuk belajar ilmu agama dengan lebih mendalam lagi,” tegas Ustaz Rosli selepas menyampaikan kuliah bulanan di Markas PAS Seksyen 18, dekat sini semalam.

Ini, katanya kerana umat Islam tidak kira dari golongan apa pun wajib menunaikan segala hukum dan perintah Allah SWT dan daripada menurut perintah-Nya dengan ikhlas sahajalah, mereka akan mendapat petunjuk daripada Allah.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Zila yang enggan memakai tudung selagi mana hatinya masih mempunyai rasa tidak baik terhadap orang lain dan memohon Allah SWT memberikan petunjuk kepadanya.

Dengan menyatakan dalil al-Quran yang bererti, “Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasiq”, Ustaz Rosli berkata, beliau hanya memberikan peringatan secara umum kepada semua orang tidak hanya kepada artis itu sahaja dan berharap mereka akan mengikuti jalan benar dengan segera.

Dalam satu laporan portal berita bertajuk ‘Zila Bakarin: Buat Apa Pakai Tudung Kalau Hati Tak Betul’, artis itu berkata: “Misalnya pakai tudung memang saya nak sangat tetapi biarlah saya ubah perkara yang lain dulu. Bagi saya bertudung ini bagus dan harap-harap Tuhan bukakan pintu hati ini”.

“Saya tak nak pakai tudung di luar tetapi hati kita benci dengan orang lain. Saya nak berbaik dengan semua orang dulu. Biarlah orang tak suka saya pun, itu perkara nombor 10,” kata Zila.

ADUN pula dapat AP

MALAYSIA KINI


Semua ADUN kini masing-masing boleh memohon untuk mendapatkan satu permit AP untuk mengimport kereta ke negara ini.

Dengan itu, mereka kini menyertai ahli parlimen serta peniaga dan pengimport kereta, diplomat dan individu lain yang menikmati kemudahan tersebut untuk memohon AP daripada kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti).

Surat dari bahagian import dan eksport Miti itu, dikeluarkan pada bulan Februari dan dialamatkan kepada setiausaha dewan undangan negeri (DUN) Selangor, Mohd Yasin Bidin, menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan keputusan tersebut pada 25 Oktober 2009.

Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan para 'yang berhormat' kepada rakyat dan negara, kata surat tersebut.

Menurutnya lagi, kereta yang diimport itu - mesti berusia lima tahun atau kurang - tidak boleh dipindahkan hakmilik kepada pihak lain.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada pemberian AP kepada ADUN itu juga memerlukan mereka membayar yuran RM10,000 untuk permit yang diperolehi itu.

Pembayaran yuran tersebut diumumkan oleh Miti pada bulan Oktober ekoran aduan bahawa AP telah disalahgunakan dengan dijual pada pihak ketiga, daripada digunakan untuk memajukan usahawan kereta bumiputera.

Pemuda perlu berani berubah dan melakar sejarah baru- Salahudin

Rusli Yasmin


SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyeru Pemuda PAS supaya berani membuat perubahan dan melakar sejarah baru dalam suasana politik negara yang penuh mencabar.

"Pemuda pasti berjiwa besar, membuka luas minda, tidak terjebak dalam emosi dan sentimen yang menyempitkan perjuangan.

"Pemuda juga mesti berani berubah, berani untuk melakar sejarah kerana itulah sifat pemuda" katanya yang merupakan mantan Ketua Pemuda PAS pada sesi lepas.

Beliau tidak bimbang soal aqidah dan daya juang yang ada dalam diri pemuda selagi sistem tarbiyyah PAS dipandu dan terus diperjuangkan oleh kepimpinan ulamak yang sedia ada pada hari ini.

Jati diri pemuda juga katanya tidak boleh dibina di atas emosi dan sentimen bagi berhadapan dengan suasana politik yang semakin mencabar.

"Apa yang penting bagi pemuda ialah terus maju ke hadapan, kerana cabaran hari ini tidak sama dengan cabaran 30 tahun yang lalu.

"Hari itu telah berlalu, hari ini era yang baru, politik yang memerlukan pemikiran baru, pemikiran yang lebih bijaksana dalam mengharungi bahtera perjuangan ini.

"Hari ini mesti ada nilai tambah, diri kita mesti terus belajar dan terus belajar" katanya.

Beliau merasmikan majlis penerangan dan pelancaran Polisi Latihan Kompetensi Bersepadu Pemuda PAS di Hotel Qualiti Shah Alam semalam.

Program selama dua hari itu dianjurkan oleh Akademi Kepimpinan Pemuda di bawah dewan Pemuda PAS Pusat.

Pengarah Program, Ahmad Sabki Yusuf menyatakan bahawa latihan ini bertujuan untuk menyediakan barisan kepimpinan di dalam PAS.

Menurutnya, setiap pemuda PAS mesti menjadi seorang yang kompiten, melaksanakan tugas dengan sempurna dan berkesan selain menjadi orang yang beramanah dan berintegriti.

"Kita tidak boleh menjadi orang yang baik semata-mata tetapi tidak boleh melaksanakan tugas dengan baik.

"Adalah menjadi suatu fitnah pada agama kita, sekiranya kita mendokong perjuangan agama ini tetapi diri kita tidak diterapkan dengan 'al-qawiyy' dan 'al-amin'." kata beliau yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Program tersebut dihadiri oleh 200 Pemuda PAS yang merupakan pelapis kepimpinan pemuda yang mewakili setiap negeri.

Turut hadir dalam program semalam, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani, bersama exconya Kamaruzaman Mohamad, Adram Musa, Ir Hj Mohd Khairil Nizam dan Zuraidin Abdullah.

Jangan sambut kelahiran Nabi sekadar cogan kata

Khairul Azlam


MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam agar tidak menyambut kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. sekadar dengan cogan kata atau lambang-lambang kemegahan.

Apa yang penting, katanya, mengambil kefahaman serta pengajaran dari kelahiran Nabi s.a.w. dengan menghayati ajarannya yang sebenar.

“Marilah kita mengambil kefahaman dari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dan kerasulannya ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut peristiwa yang besar ini bukan hanya sekadar mengagungkan cogan kata dan lambang-lambang yang dimegahkan tanpa menghayati ajarannya yang sebenar,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Bahkan, katanya Allah SWT mewujudkan keadaan dunia yang benar-benar berhajat kepada petunjuk daripada Allah yang dibawa oleh seorang rasul yang paling hebat di kalangan rasul-rasul yang diutuskan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, cahaya Allah Taala (Islam) itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa sahaja termasuk kuasa besar dunia.

Menurutnya, meski pun umat Islam mengalami ‘hakisan’ serta kekurangan yang lemah hingga berlaku pasang surut tetapi agama Islam itu tetap akan terpelihara serta tidak boleh dihapuskan pada hari ini hingga ke hari kiamat.

Tanak NCR Penduduk Sarawak Habis Dibawah Politk BN

SABAH DAILY

Seperti yang kita sedia maklum, polisi kerajaan Barisan Nasional Sarawak sekarang adalah polisi pembangunan yang dipanggil politik pembangunan.

Di bawah politik pembangunan ini antara lain yang terlibat adalah pembangunan tanah dan pembangunan hidro elektrik.

Di bawah rancangan pembangunan tanah terutamanya tanah NCR, kerajaan BN akan mensasarkan keluasan ladang sampai lebih kurang Satu (1)juta hektar tanah.

Sebelum menulis lanjut, ingin diingatkan lagi kepada pembaca bahawa konsep tanah NCR adalah termasuk:

1. Temuda;
2. Pendam;
3. Pemakai menua; dan
4. Pulau Galau.

NCR tidak terhad kepada temuda sahaja seperti yang diwar-warkan oleh pihak tertentu. Sila rujuk kes keputusan Mahkamah dalam Madeli Salleh yang telah diputuskan di Mahkamah Persekutuan iaitu Mahkamah tertinggi di Malaysia. Kes ini mengiktiraf dan menghormati konsep yang betul dan sebenar. Kerajaan Sarawak seolah-olah tidak mengiktiraf hak NCR rakyat dalam keputusan ini.

Di Sarawak selagi BN berkuasa, melalui politik pembangunan, BN akan memberikan lesen perladangan kepada syarikat-syarikat untuk membuka ladang-ladang sawit mahupun penanaman semula hutan tanpa meminta kebenaran dari rakyat tempatan.

Kerajaan BN juga akan terus membina 12 lagi empangan sehingga tahun 2030 kalau mereka terus diberi kuasa oleh rakyat.

Kesan – kesan langsung daripada perladangan dan pembinaan banyak dam ini, adalah TANAH NCR rakyat akan habis sebab pemilikan tanah NCR akan bertukar tangan dari rakyat rumah panjang kepada syarikat-syarikat dan NCR di tepi sungai pula pasti akan TENGGELAM.

Kerajaan BN hari ini hanya mengiktiraf tanah NCR yang dibuka sebelum 1.1.1958 yang kebetulan pula berada berdekatan tepi-tepi sungai. Sebabnya kebetulan pengangkutan utama sejak dulu adalah sungai sebelum kemudahan lain seperti jalan darat muncul.

Oleh itu, apabila Empangan atau Dam dibina, takungan dari Dam ini pasti akan menenggelamkan tanah NCR rakyat. Keluasanya mencecah ratusan ribu hektar. Contohnya Bakun Dam sahaja keluasan Tanah NCR yang ditenggelamkan adalah seluas Negara Singapura.

TANAH NCR Rakyat dan anak cucu cicit punya MANA? HABIS!

Contoh paling jelas, Tanah NCR rakyat Orang Ulu di Belaga sangat luas di ulu Sungai Balui (ratusan ribu hektar), diberi ganti hanya dengan Satu(1) hektar sahaja. Malang lagi kalau tanah itu berbatu dan berpasir dan tidak sesuai untuk aktiviti pertanian.

Tanah yang luas di kawasan Asap Belaga pula telah diberi kepada syarikat-syarikat. Penduduk mengatakan mereka umpama dalam “penjara” di Asap Belaga.

Pihak tertentu pula mengatakan mereka tidak merampas tanah rakyat dan memberi amaran kepada rakyat agar jangan dengar hasutan pihak tertentu yang melawan kerajaan.

Rakyat ditakut-takutkan dengan pelbagai ugutan dan gertakan sama ada dari rakyat kelas kurang berpelajaran hinggalah kepada mereka yang memiliki PHD. Semua ditakut-takutkan.

Rakyat tidak perlu takut. Negara ini adalah negara demokrasi. Rakyat bebas memilih. Rakyatlah yang empunya kuasa kerajaan.

Kalau pihak kerajaan mengatakan mereka tidak merampas tanah NCR rakyat, berikan geran kepada mereka berbanding memberikannya kepada syarikat-syarikat yang bukan penduduk ASAL sesuatu tempat itu.

Rakyat (termasuk pemimpin masyarakat)jangan takut apabila digertak dan diugut oleh pihak tertentu. Mungkin ugutan itu berbentuk diberhentikan kerja, dipindahkan kerja, tidak akan dilantik lagi dan sebagainya.

Di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, mereka – mereka yang “diugut” tidak hilang kerjapun. Sekolah tidak hilang, klinik tidak hilang dan jalanraya tidak hilang dan sebagainya tidak hilang. Yang pasti hilang adalah pemimpin-pemimpin yang tamak haloba dan yang merampas tanah NCR rakyat. Tapi rakyat kenna faham isu dan berani membuat PERUBAHAN.

Kita tidak mahu kehilangan tanah NCR dari Tenggelam oleh DAM dan DIRAMPAS oleh polisi yang memberi lesen kepada syarikat berbanding Orang Asal.

Secara ringkasnya KESAN langsung akibat politik pembangaunan Taib di sini adalah:
1. Tanah NCR yang luas di tepi sungai akan diTENGGELAMkan dan diganti hanya dengan 1 hektar SAHAJA (Contoh Bakun);
2. Tanah NCR di tanah tinggi pula DISERAH kepada SYARIKAT-SYARIKAT perladangan selama 60 tahun dan boleh diperbaharui.

Dan jika BN terus berkuasa bermakna :

1. DAM terus dibina walaupun dibantah; dan
2. Tanah NCR Rakyat diberikan lesen kepada Syarikat-Syarikat perladangan.

Untuk mengelak perkara ini terus berlaku… jawapan DI TANGAN RAKYAT yang memilih…Gunakan hak dengan penuh hikmat dari Tuhan.

-http://abunsuianyit.blogspot.com/

Isu royalti: UMNO takut bertindak terhadap Ku Li?

-The Malaysian Insider


Jika Umno pernah mengambil tindakan tegas ke atas ahli-ahlinya yang membelakangkan semangat parti masa-masa lalu, mengapa tidak ke atas ahli seumur hidup Tengku Razaleigh Hamzah (gambar), yang memperlihatkan pendirian yang bercanggah dengan kerajaan pusat pimpinan Umno-BN, khususnya dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan.

The Malaysian Insider difahamkan itu sebahagian pendirian anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menghadiri mesyuarat lebih tiga jam malam Khamis.

Malah, difahamkan ini juga kali pertama MT kembali kepada ahli-ahlinya memberikan pandangan atas kapasiti Tengku Razaleigh bukannya ahli biasa tetapi dilihat sebagai seorang pemimpin veteran parti.

“Ada syor agar tindakan dikenakan ke atas Tengku Razaleigh… tetapi bukan saranan agar diambil tindakan yang tegas,” kata seorang anggota MT yang enggan namanya disiarkan.

“Ada pandangan mengapa parti tidak mengenakan tindakan ke atas Tengku Razaleigh sedangkan parti pernah bertindak tegas ke atas ahli-ahli parti yang bertindak bertentangan dengan dasar parti,” kata seorang lagi anggota MT yang enggan namanya didedahkan kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun isu berkaitan dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu bukan agenda utama mesyuarat malam tadi.

“Ia ada disentuh tetapi bukan isu utama perbincangan,” katanya lagi.

“Ada juga ahli yang berpendapat isu ini perlu ditangani dengan cermat,” kata sumber itu dengan mengambil kira situasi semasa dan juga kedudukan Tengku Razaleigh yang merupakan bukan ahli biasa dalam Umno.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata bentuk tindakan terhadap Tengku Razaleigh akan ditentukan selepas menerima pandangan daripada ahli-ahli parti.

“(Kami) nak dengar pendapat ahli-ahli dulu,” kata Najib yang juga Presiden Umno.

Beberapa jam sebelum mesyuarat MT semalam, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendiriannya bahawa beliau hairan dengan tindakan dan kenyataan Tengku Razaleigh yang masih tidak sehaluan dengan keputusan kerajaan persekutuan mengenai isu royalty minyak Kelantan sedangkan pelbagai langkah penjelasan sudah diberikan.

Muhyiddin pernah menyatakan bahawa Tengku Razaleigh perlu menyatakan pendiriannya dalam isu tersebut.

Selain Muhyiddin, segelintir ahli dan pemimpin khususnya dari Kelantan pernah menggesa agar Tengku Razaleigh melepaskan kerusi Parlimen Gua Musang selain dikenakan tindakan disiplin.

The Malaysian Insider difahamkan jawatankuasa pengurusan Umno belum membincangkan isu tersebut secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh ketika dihubugi The Malaysian Insider menjelaskan pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh bagi ahli-ahli Umno untuk memberikan pandangan mengenai isu Tengku Razaleigh.

“Mana-mana ahli ataupun cawangan boleh memberikan pandangan mereka… kami tidak menetapkan sebarang tempoh (untuk mengemukakan pandangan mereka).

“Cawangan boleh hantar kepada bahagian, bahagian boleh hantar ke Badan Perhubungan Negeri dan seterusnya kepada ibu pejabat,” kata beliau sambil menambah, belum ada petanda jelas tentang pandangan akar umbi berhubung pendirian Tengku Razaleigh.

Sehubungan itu kata Rauf, pandangan mereka akan dipertimbangkan oleh pucuk kepimpinan kemudian.

Ketika ditanya sama ada pandangan itu diharapkan hasil mesyuarat agung tahunan cawangan, Rauf berkata: “Tidak. Ahli dan cawangan boleh memberikan pandangan bila-bila masa.”

Cawangan-cawangan Umno akan mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing mulai 1 Mei hingga 15 Jun ini.

Tengku Razaleigh, yang menjadi tumpuan dalam isu ini sejak Pakatan Rakyat menawarkan beliau agar mengetuai kokus pertikaian royalty minyak sejak November lalu, telah pun menyatakan pendiriannya bahawa terserah kepada Umno untuk membuat keputusan tindakan disiplin termasuk kemungkinan memecatnya.

Ekonomi tumbuh 4.5% dengan kos palsu

Penarik Beca

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peningkatan itu (iaitu apa yang didakwanya sebagai pertumbuhan di luar jangkaan sebanyak 4.5 peratus pada suku keempat 2009) disumbangkan oleh pertumbuhan penggunaan swasta yang berterusan dan peningkatan perbelanjaan dalam sektor awam yang membawa kepada permintaan dalam negeri lebih baik (lihat Utusan Malaysia 25/2/10 “KDNK suku keempat 4.5 peratus“).

Dalam analisis bertajuk “Sebahagian besar industri berkembang dengan kos palsu“, Bernama mengemukakan fakta yang menarik. Dalam keadaan kerajaan tak henti-henti menunjuk-nunjuk sikap yang begitu berkira untuk memberi subsidi kepada rakyat, alangkah untungnya kapitalis. Siap dapat subsidi dari kerajaan untuk “merancakkan pertumbuhan”.

Bernama : Kos pengeluaran dan operasi sebahagian besar industri di Malaysia boleh dikatakan “kos palsu” kerana sejumlah besar elemen kos tersebut merupakan subsidi yang ditanggung kerajaan, demikian menurut mereka yang arif dalam perkara tersebut.

Golongan pengeluar sewajarnya berasa “malu” apabila mengatakan mereka mengaut keuntungan tetapi pada dasarnya sebahagian besar kos mereka ditanggung pihak lain iaitu kerajaan.

Apatah lagi jika gagal, kerana ditanggung kerajaan pun mereka tetap gagal.

Mengambil contoh gas, sebahagian besar industri berubah kepada penggunaan gas bagi menjalankan aktiviti pengeluaran produk mereka berikutan harga yang lebih murah berbanding diesel.

Walhal kedua-duanya disubsidi oleh kerajaan dan yang membezakannya adalah lebih tinggi atau rendah jumlah subsidi itu.

Harga gas yang disubsidikan bagi sektor tenaga adalah RM10.70 setiap juta unit termal British (mmbtu), pengguna terbesar RM15.35/mmbtu, dan Gas Malaysia Sdn Bhd RM11.05/mmbtu.

Harga tanpa subsidi atau harga pasaran gas ketika ini bagi sektor tenaga adalah RM41.16/mmbtu, pengguna terbesar RM56.20, dan Gas Malaysia RM42.35/mmbtu.

Bagi diesel pula, harga diesel bersubsidi bagi nelayan dan pengangkutan adalah RM38.65/mmbtu atau RM1.43 seliter dan harga di pam ialah RM45.95/mmbtu atau RM1.70 seliter.

Harga pasaran bagi diesel ketika ini adalah RM55.00/mmbtu.

Melihat angka-angka ini, pihak industri pasti boleh membezakan harga gas bersubsidi yang mereka “nikmati” selama ini.

Golongan sasar bagi subsidi seperti para nelayan pula pasti “menggelengkan kepala” melihat betapa rendahnya subsidi yang mereka terima jika dibandingkan sebahagian besar industri itu.

Kerajaan dianggarkan menanggung beban bagi subsidi gas sahaja melebihi RM20 bilion pada tahun ini dan akan terus “menggunung” pada tahun-tahun akan datang sekiranya harga gas terus disubsidikan.

Lebih malang adalah jumlah subsidi yang pada awalnya berada pada sekitar RM7 bilion pada lima tahun lalu hanya dinikmati oleh sebahagian industri tertentu tetapi tidak oleh masyarakat keseluruhan.

Sebahagian besar industri ini mungkin “pura-pura” tidak sedar bahawa mereka sebenarnya tidak cekap dalam penggunaan bahan api atau komoditi tersebut dengan berterusan menggunakan gas berharga rendah “akibat” disubsidikan kerajaan.

Penggunaan gas berharga pasaran mungkin akan “menyedarkan” mereka ini untuk meningkatkan kecekapan dan berusaha untuk menjimatkan kos mereka dan seterusnya meningkatkan daya saing.

Berdasarkan Perjanjian Pembekalan Gas di antara Petronas dan pembeli (elektrik dan bukan elektrik), harga gas yang dibekalkan oleh Petronas disandarkan kepada harga minyak bahan api medium (MFO).

Umum mngetahui harga minyak di pasaran dunia meningkat sepanjang tahun lalu menjadikan harga MFO turut menghadapi trend yang sama.

MFO didagangkan sekitar AS$72 setong pada Disember 2009 berbanding AS$37 setong pada Mac 2009.

Semakin tinggi harga MFO, semakin tinggi juga subsidi yang perlu diperuntukkan kerajaan bagi sebahagian industri yang menggunakan gas.

Kerajaan terus dibebankan lagi untuk menampung subsidi berikutan permintaan gas daripada sebahagian industri tertentu yang juga semakin tinggi.

Petronas dikatakan menghadapi kekangan bekalan berikutan permintaan terhadap gas yang meningkat secara mendadak dan ini juga melebihi keupayaannya untuk membekalkan komoditi itu.

Tenaga Nasional Bhd turut menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan gas daripada Petronas dan ini telah memaksanya bertukar sebahagian penjanaan elektrik kepada arang batu.

Mungkin sudah tiba masanya bagi pihak kerajaan mendasarkan harga bahan api seperti MFO, diesel, gas dan arang batu kepada harga pasaran agar sebahagian industri tempatan akan mempunyai lebih banyak pilihan.

Dengan itu, pergantungan kepada bekalan gas tidak akan begitu tinggi atau keterlaluan kerana harga pasaran antara suatu bahan api dengan yang lain kemudiannya tidak akan jauh berbeza.

Sehubungan ini, sebahagian besar industri boleh memilih untuk menggunakan bahan api yang lain sekiranya bekalan gas tidak dapat dipenuhi.

Pilihan bahan api yang lebih luas akan mengurangkan tekanan ke atas permintaan terhadap sumber gas tempatan yang semakin menyusut.

Langkah atau dasar yang dicadangkan seterusnya akan membantu memanjangkan hayat rezab gas negara untuk kegunaan generasi akan datang.

Secure Express Tidak Kenal DSP Rosmah Mansor?

Oleh: MUTALIB M.D (sabahkini)

AMAT malang bagi Wanita ‘1Malaysia’ yang dijulang sebagai ‘Wanita Nombor Satu Negara’ kerana tidak dikenali oleh sebuah syarikat penghantaran cepat, Securexpress yang beribu pejabat di Selangor, Darul Ehsan.

Sehubungan itu, Naib Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA),, Datuk Patrick Sindu mendesak kerajaan mengkaji semula kelayakan dan mengetatkan syarat pemberian lesen kepada sesebuah syarikat penghantaran cepat (kurier) agar tidak memalukan Malaysia di mata dunia.

Patrick membuat desakan sedemikian setelah menerima aduan daripada seorang pengguna di Lahad Datu bahawa Securexpress telah mengembalikan surat yang diamanahkan untuk dihantar kepada Datuk Seri Panglima Rosmah Mansor pada 24 Februari 2010 melalui ‘consignment’ bernombor 600212405483.

“Menurut aduan, surat tersebut telah diserahkan kepada Securexpress Lahad Datu pada 4 Februari 2010 dan gagal diserahkan selepas 20 hari. Memang amat mengejutkan kerana mereka tidak mengenali siapa Datuk Seri Rosmah Mansor sekalipun alamat yang disertakan amat lengkap,” ujar Patrick yang kesal kerana syarikat berkenaan tidak kompetan untuk menjulang imej 1Malaysia.

Bukan surat itu sahaja yang gagal disampaikan, kata Patrick malah surat kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan bernombor 600212405472 juga dikembalikan ke Lahad Datu kerana tidak berjaya dihantar kakitangan Securexpress yang bertugas di ibu pejabat selepas 20 hari dikirim.

“Dulu kita terima aduan pos laju yang lambat sehingga kerajaan benarkan penubuhan syarikat kurier. Tapi Securexpress keterlaluan kerana gagal menemui Kediaman Perdana Menteri yang tersergam indah dan Pejabat KSN di Putrajaya,” kata Patrick yang menyifatkan kes ini amat menakjubkan.

Sehubungan itu, Patrick mendesak agar Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia menjalankan siasatan rapi dan membatalkan lesen yang diluluskan lesen kepada Securexpress di bawah Akta Perkhidmatan Pos 1991 sebagai pengajaran kepada syarikat kurier yang cuba ‘menghina’ isteri Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara.

Sementara itu, Securexpress di Lahad Datu ketika dihubungi mengesahkan surat berkenaan ada di Lahad Datu kerana gagal disampaikan oleh kakitangan mereka di Kuala Lumpur setelah 20 hari mencari lokasi alamat berkenaan di Putrajaya!

Share |

5,000 Sertai Perarakan Maulidur Rasul Di Selangor

TV SELANGOR


Seramai 5,000 umat Islam terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Selangor hari ini.

Perarakan sejauh dua kilometer melibatkan 110 kontinjen bermula di Stadium Shah Alam dan berakhir di Stadium Malawati, Shah Alam. Ia disertai beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan-badan berkanun dan syarikat swasta.

Majlis berkenaan dirasmikan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah. Turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan EXCO kerajaan Negeri.

Dalam ucapannya, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud berkata, tema Maulidur Rasul pada tahun ini ialah 'Memantapkan Ukhuwah, Memperkasakan Ummah'.

Beliau menggesa umat Islam membetulkan tekad dengan menumpukan soal utama bagi memacu pembangunan ummah dan mengelak anasir yang boleh memecah belah perpaduan rakyat.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipilih pemenang perarakan bagi kategori Badan Kerajaan hasil gimik menarik.

"Mungkin sebab kita buat gimik dengan membawa kerusi roda, jadi nampaklah imej kebajikan. Yang penting komitmen semua, jalan ikut aturan walaupun kita praktis tak lama," kata jurucakap JKM.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula memenangi perarakan kategori badan berkanun walaupun penyertaan mereka semata-mata untuk untuk meraikan sambutan ulang tahun kelahiran Rasulullah.

"Kemenangan ini adalah bonus kepada kita bukan kata kita sasarkan kepada kemenangan tetapi kepada program ini sendiri. Jadi bila menang itu satu bonus bagi MBPJ pagi ini," kata wakil MBPJ.

Majlis turut diserikan dengan persembahan dari Amy Search, kumpulan nasyid Rabbani dan Hijjaz.

Dalam pada itu, kerajaan Selangor turut menyediakan enam anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul berteraskan nama tokoh Islam iaitu Anugerah Saidina Ali, Anugerah Saidatina Khadijah, Anugerah Uthman Ibnu Affan, Anugerah Imam Al-Ghazali, Anugerah Khalid Al-Walid dan Anugerah Umar Abdul Aziz.

Muhammad Mu'az Mohd Abd Azis dipilih penerima Anugerah Saidina ali manakala Anugerah Umar Abdul Aziz (Datuk Mohd Talha Abd Rahman), Anugerah Saidatina Khadijah (Prof Dr Jawiah Dakir), Anugerah Imam Al Ghazali (Mohd Salleh Ashaari), Anugerah Khalid Al Walid (Datuk Khalid Abu Bakar) dan Anugerah Uthman Ibnu Affan (Mohd Ilham Ikhsan).

Bercakap kepada TV Selangor, Mohd Talha berterima kasih atas penghargaan kerajaan negeri walaupun tidak pernah mengharap balasan atas setiap jasanya.

“Jangan salahkan mahasiswa M’sia yang lesu” - Dr Anwar Ridhwan

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR : Mahasiswa Malaysia tidak sepatutnya dipersalahkan secara keseluruhan apabila timbul isu berhubung mahasiswa itu lesu, kata Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan dalam suatu sesi dialog sempena seminar dunia penerbitan di Universiti Malaya baru-baru ini.

"Jangan salahkan mahasiswa seratus-peratus. Kita mesti lihat juga terdapat beberapa peraturan yang mengongkong mereka," katanya ketika mengulas soalan seorang peserta yang membuat perbandingan antara mahasiswa Malaysia dan mahasiswa Indonesia dalam beberapa hal tertentu.

Hal kelesuan ini, tambah beliau, telah bermula sejak pendidikan ke atas murid-murid sekolah di peringkat rendah dan menengah lagi.

"Saya melihat teknik pembelajaran di sekolah rendah kita yang tidak begitu kuat dan ada beberapa perkara yang perlu dirombak di peringkat sekolah menengah juga," tambah Dr Anwar Ridhwan lagi.

Menurut beliau, keadaan mahasiswa hari ini tidak boleh disamakan dengan mahasiswa tahun 1970-an.

"Kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi perlu melihat masalah ini dengan serius mengenai perancangan mereka ke atas mahasiswa," katanya.

Tambah beliau lagi, cabaran kedua dalam dunia pendidikan hari ini ialah dengan melihat kedudukan kementerian pelajaran dan kementerian pengajian tinggi itu sendiri.

Jumaat, 26 Februari 2010

Hak Melayu terhakis? (Bhgn 2)

Jahaberdeen Mohamed Yunoos (loyarburok.com)


Sebelum saya mulakan perbincangan mengenai Perkara 153 yang kita sering dengar hari ini, elok jika saya turunkan keseluruhan peruntukkan itu untuk tatapan dan fikiran pembaca dahulu. Melalui cara ini, mudah untuk pembaca ikuti perbicangan saya nanti. Penyataan penuh Artikel 153 Perlembagaan Malaysia dapat dibaca di sini.

BENARKAH PERKARA 153 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TERCABAR?

Seperkara yang perlu diingat ialah: Perbincangan mengenai Perkara 153 telah dipersembahkan sebagai satu isu yang “sensitif” dan oleh itu tidak harus dibincang seolah-olah rakyat jelata tidak matang dan tidak mampu berfikir. Di satu pihak ada yang melaungkan perkara 153 sebagai “hak Melayu” yang “tidak boleh dicabar” tanpa memahami maksud undang-undangnya.

Di pihak yang lain pula ada yang menuduh perkara 153 sebagai “tongkat Melayu” seolah-olah ia sesuatu yang harus dimalukan. Kedua-dua pendirian sedemikian tidak membantu ke arah memahami Perkara 153 mahupun ke arah melaksanakannya dengan cara yang menguntungkan Negara.

Satu lagi perkara:- Di laman web “Pusat Maklumat Rakyat“ Kerajaan, ditulis sedemikian:

Kedudukan Istimewa Orang Melayu

Perkara 153 Perlembagaan telah memaktubkan Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak meliputi:-

- perkhidmatan awam :Perkara 153 (2,3 dan 4)

- ekonomi : Perkara 153 (6)

- pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4)

- Kedudukan Istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 ? berhubung dengan tanah rizab Melayu.

- Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

Saya berpendapat ada beberapa kecacatan dan kesilapan fakta di dalam penerangan di atas.

1. Perkara 153 menyebut mengenai “kedudukan istimewa” dan bukan “hak istemewa”. Ini adalah dua perkara yang amat berlainan dari segi undang-undang Perlembagaan.

2. Saya rasa kurang senang dengan keperluan untuk menyatakan bahawa “hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi oleh Akta Hasutan 1948? atas beberapa sebab. Pertamanya, ia berbunyi ugutan daripada penerangan. Keduanya, pertikaian mengenai tafsiran sesuatu perundangan sentiasa berlaku di dalam Mahkamah serta di dalam penulisan undang-undang.

3. Dalam sistem demokrasi, Rakyat juga mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka sekiranya suatu peruntukan perundangan itu disalah tafsir atau di salah guna. Tidak masuk akal sekiranya tafsiran sesuatu undang-undang itu menjadi hak mutlak penjawat awam yang bergaji sahaja — terutama apabila kualiti kebolehan pemikiran mereka sendiri di pertikai. Tindakan sedemikian tidak termasuk sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan. Perkara yang menjadi kesalahan ialah niat serta perbuatan untuk “menghasut”.

4. Perkara 153 pernah dipinda oleh Parlimen beberapa kali untuk memperjelaskan maksud peruntukan itu.

ANALISA PERKARA 153

Sekarang kita akan cuba untuk meneliti peruntukan-peruntukan didalam Perkara 153 satu demi satu. Adalah penting untuk kita memahami peruntukan Perkara 153 supaya kita tidak diperalatkan oleh politikus-politikus yang mahu mempersembahkan diri mereka sebagai “jaguh Melayu” berdasarkan pembohongan dan penyelewengan fakta. Begitu juga, pemahaman Perkara 153 juga membolehkan kita berhadapan dengan rasis yang membantah terhadap Perkara 153.

A. Perkara 153(1) memperuntukan bahawa YDPA bertanggung jawap untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak DAN kaum-kaum lain mengikut peruntukan di situ.

B. Perkara 153 memberi “kedudukan istimewa” dan bukannya “hak” kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. “Hak” adalah sesuatu yang dimiliki oleh pemegang hak dan tidak ada orang lain yang boleh mengambil dan mengurangkan hak tersebut kecuali jika dibenarkan oleh Perlembagaan. Hanya sipemegang hak sahaja yang mempunyai budibicara samada ia hendak gunakan hak tersebut atau tidak. Orang lain tidak mempunyai budibicara terhadap penggunaan haknya (kecuali ada undang-undang yang mungkin menggekang penggunaan haknya. Sebagai contoh, Akta Fitnah terhadap kebebasan bersuara). Kedudukan istimewa, sebaliknya bergantung kepada budibicara munasabah pihak lain. Dalam konteks Perkara 153, budibicara munasabah ini di jalankan oleh YDPA (tertakluk kepada perkara 40 iaitu nasihat kabinet).

C. Perkara 153 (2), (3), (4) dan (8A) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

D. Perkara 153 (2) dan (6) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda sebahagian permit-permit dan lesen-lesen perniagaan untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah danSarawak.

E. Perkara 153 (2), (3) dan (4) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda sebahagian daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

F. Perkara 153 (5) memperuntukan bahawa segala peruntukan dalam Perkara 153 tidak boleh mengurangkan peruntukan Perkara 136 yang memperuntukan bahawa

“Tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan mereka, semua orang, walau apa pun rasnya, dalam gred yang sama dalam perkhidmatan Persekutuan hendaklah diberi layanan yang saksama”

Ini bermakna didalam soal kenaikan pangkat dalam gred yang sama ianya adalah berdasarkan kebolehan/meritokrasi dan bukannya ras.

G. Perkara 153 (9) pula memperuntukan bahawa

“Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak”

Ini boleh ditafsir bahawa keutamaan Parlimen untuk memastikan perkembangan ekonomi Negara lebih tinggi daripada keperluan untuk merizaban lesen-lesen atau permit-permit bagi orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak. Walau apa pun, perizaban tidak boleh menghasilkan penyekatan perniagaan atau pertukangan untuk Rakyat Malaysia yang lain (termasuk Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati perizaban tersebut).

H. Perkara 153 (2) memperuntukan bahawa kuasa yang dijalankan oleh YDPA di bawah Perkara 153 adalah tertakluk kepada Perkara 40. Perkara 40 (1A) memperuntukan bahawa di mana YDPA dikehendaki bertindak mengikut nasihat atau selepas menimbangkan nasihat Jemaah Menteri atau seseorang Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, Baginda WAJIB menerima nasihat tersebut dan WAJIB bertindak menurut nasihat tersebut. Di dalam erti kata yang lain, Jemaah Menteri lah yang membuat keputusan dari segi fakta walaupun dari segi undang-undang Perlembagaan, ianya dibuat oleh YDPA.

I. Perkara 153 mengunakan ungkapan “suatu kadar perizaban yang difikirkan munasabah oleh YDPA”. Ini bermaksud, keputusan kadar perizaban dibuat oleh YDPA (iaitu atas nasihat Jemaah Menteri) dan keputusan ini tidak boleh dicabar. (Kalau pun di bawa ke Mahkamah, saya percaya usaha itu akan gagal). Lain lah sekiranya ungkapan yang diguna adalah “suatu kadar perizaban yang munasabah oleh YDPA”. Jika ungkapan kedua ini diguna, maka besar kemungkinan keputusan kadar perizaban boleh dicabar dalam Mahkamah berkaitan dengan apa itu “munasabah”

KESIMPULAN

1. Pada saya amat jelas bahawa Perkara 153 memperuntukan kedudukan istimewa kepada orang Melayu (seperti yang tertakrif dalam Perkara 160) dan anak Negeri Sabah dan Sarawak (seperti yang tertakrif dalam Perkara 161A).

2. Kedudukan istimewa ini adalah berkaitan kadar perizaban daripada:

(a) jawatan dalam perkhidmatan awam;

(b) biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan;

(c) apa-apa permit atau lesen yang dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan.

3. Perkara 153 tidak memberi “hak” tetapi “kedudukan istimewa”. Implikasinya ialah Melayu atau anak Negeri Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati perizaban tersebut tidak boleh menuntutnya. Sebaliknya, jika ianya “hak”, semua Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak berhak dari segi undang-undang untuk menikmatinya dan mereka yang tidak menikmatinya boleh menuntutnya di dalam Mahkamah.

4. Sepanjang pengetahuan saya, Perkara 153 tidak pernah dicabar di dalam Mahkamah. Ianya jelas termaktub dalam Perlembagaan dan ekoran ini, adalah tidak benar jika sesiapa berkata bahawa Perkara 153 dicabar.

5. Jika ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap implementasi Perkara 153, rungutan, cadangan atau bantahan harus di kemukakan kepada Jemaah Menteri dan bukannya berucap berapi-api di medan politik dengan dakyah bahawa Perkara 153 dicabar. Itu adalah perbuatan yang sia-sia yang tidak menguntungkan Rakyat langsung, apatah lagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Demikianlah tafsiran undang-undang saya terhadap Perkara 153 dan saya mengalu-alukan sebarang tafsiran yang berbeza supaya isu ini dapat di bincang dengan sopan dan secara intelek.