HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Jun 2019

WAKIL rakyat wajib gunakan bahasa Melayu dalam media sosial mereka



Sebagai penggubal dasar negara dan negeri, segala yang mereka sampaikan perlu difahami oleh semua rakyat Malaysia.

Tidak ada alasan untuk mereka menggunakan bahasa lain apabila berinteraksi dengan rakyat, apatah lagi bahasa ibunda yang hanya difahami segelintir rakyat.

Jika dalam keadaan perlu sekalipun, gunakanlah terjemahan. Bukan susah pun.

Antara yang paling kerap menggunakan bahasa ibunda dalam hantarannya dalam media sosial ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Pada bulan Jun sahaja, terdapat tujuh hantaran dalam laman Facebook milik Nie Ching menggunakan sepenuhnya bahasa Mandarin.

Memanglah sebahagiannya tentang kehidupan peribadi serta hal-hal pendidikan Cina, namun adakah rakyat yang tidak faham bahasa Mandarin tiada hak untuk membacanya?

Yang mengundi parti anda sehingga boleh bersemayam selesa sebagai pentadbir negara itu penutur bahasa Mandarin sahajakah?

Salah satu perkongsian beliau adalah tentang pengalamannya sebagai ibu yang bekerja. Ia menarik tetapi mengapa hanya untuk mereka yang faham bahasa Mandarin?

Sebab itu bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan yang di dalamnya terkandung fungsi sebagai bahasa perpaduan.

Sebagai Timbalan Menteri, Nie Ching wajib menggunakan bahasa Melayu untuk berkongsi pengalamannya dengan semua pengikut media sosialnya yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Ini caranya untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Namun, segelintir ahli politik lebih suka mengetepikan bahasa kebangsaan ini dan mengangkat bahasa-bahasa lain lebih tinggi.

Ini termasuk juga beberapa ahli politik muda yang kemaruk bahasa Inggeris. Berbual di Twitter tidak mahu guna bahasa Melayu, acah ‘urban’ dan ‘international’.

Sesuai dengan sumpah yang mereka angkat sebagai ahli Parlimen dan ahli Kabinet, mereka wajib memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Cukuplah bahasa Melayu dipijak-pijak maruahnya dengan pelaksanaan ‘dasar singkat akal’ seperti PPSMI dan DLP. YB-YB harus mula jalankan tanggungjawab mengangkat martabat bahasa Melayu. – UTUSAN ONLINE


Risiko kanser jika terdedah gas akrilonitril, kata pensyrah kimia

Bernama  

   

Kejadian gangguan kesihatan di Pasir Gudang terutama dalam kalangan pelajar sekolah sehingga kini belum diketahui puncanya.

Bagaimanapun, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin baru-baru ini memaklumkan tiga jenis gas iaitu akrilonitril, akrolein dan metil merkaptan dikesan di kawasan itu.

Berikutan itu, segelintir penduduk di Pasir Gudang yang ditemui Bernama membangkitkan pelbagai persoalan berhubung kesan sampingan daripada aspek kesihatan dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang jika mereka terdedah kepada bahan itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Ir Dr Zulkifli Abdul Rashid berkata berdasarkan analisisnya, gas akrilonitril mempunyai sifat karsinogenik yang mampu mengakibatkan kanser jika seseorang terdedah kepada gas itu setiap hari atau terlalu lama.

Ini terbukti daripada kajian saintifik seperti yang dilaporkan dalam pangkalan data Badan Toksikologi untuk Penyakit Toksikologi dan Pendaftaran Badan Toksikologi (ATSDR) untuk akrilonitril, katanya ketika dihubungi Bernama.

"Jika mereka (penduduk) terdedah dengan bau gas ini (akrilonitril) terlalu lama, ia bukan sahaja memudaratkan kesihatan bagi kesan masa pendek, tetapi boleh membahayakan organ dalaman sehingga bertindak balas menghasilkan bentuk kanser untuk kesan masa panjang.

"Keputusan kajian epidemiologi menunjukkan bahawa akrilonitril boleh menjadi karsinogen kepada manusia.

"Melalui eksperimen pendedahan bahan kimia atau gas itu terhadap tikus makmal mendapati ia boleh mengakibatkan tumor pada tikus, malah beberapa kajian saintifik juga menunjukkan bahan kimia akrilonitril ini juga dikatakan penyebab kanser paru-paru terhadap manusia," katanya.

Aspek geografi
 
Beliau berkata kebarangkalian penduduk berisiko menghidap kanser bergantung kepada beberapa faktor antaranya sejarah perubatan mereka sama ada mempunyai asma, faktor umur, durasi dan konsentrasi pendedahan kepada gas itu.

"Selain itu, aspek geografi atau kedudukan penempatan penduduk yang tinggal berdekatan dengan punca pencemaran udara yang berlaku ketika ini lebih berisiko tinggi menghidap kanser dalam masa yang lebih singkat berbanding mereka yang tinggal berjauhan daripada punca pencemaran gas ini," jelasnya.

Kejadian gangguan kesihatan di kawasan Pasir Gudang sejak 20 Jun lepas adalah kali kedua selepas insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim tiga bulan lepas, yang menyaksikan lebih 4,000 orang jatuh sakit dan 111 sekolah ditutup.

Pada 20 Jun, gelombang kedua dilapor berlaku di Sekolah Agama Taman Mawar yang melibatkan 15 murid mengalami gejala muntah, loya dan sesak nafas dipercayai akibat terhidu udara yang telah tercemar, diikuti 13 murid Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, pada hari sama.

Hari ini, iaitu hari pertama sesi persekolahan selepas semua sekolah di kawasan itu ditutup sejak 25 Jun sehingga Khamis, beberapa murid dan seorang guru Sekolah Kebangsaan Kopok, Pasir Gudang mengalami sesak nafas dan muntah-muntah sejak awal pagi.

Sementara itu, Zulkifli turut menjangka wujud lima gas toksik termasuk tiga yang telah dikesan setakat ini memandangkan metil merkaptan dan akrilonitril yang bertindak balas dengan unsur air boleh menghasilkan dua jenis gas toksik lain iaitu hidrogen sulfida dan hidrogen sianida yang mengakibatkan bau busuk dan tengik.

Bau 'misteri' yang dialami penduduk di sekitar Pasir Gudang kemungkinan kerana terhidu satu daripada dua gas itu, katanya.

Sebelum ini, Bernama melaporkan kebanyakan penduduk di sekitar Pasir Gudang yang terjejas mengadu sentiasa terhidu bau busuk dan tengik selepas cuaca hujan dan pada waktu malam.

Zulkifli menjelaskan bau hidrogen sulfida menusuk hidung seperti bau telur busuk, manakala hidrogen sianida digambarkan sesekali mempunyai bau ‘badam pahit’ tetapi tidak semua orang dapat mengesan bau itu.

Kehadiran gas hidrogen sianida dilapor dicatatkan paling tinggi di Taman Tanjung Puteri Resort semasa kejadian pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada 13 Mac lepas.
- Bernama


Azmin digesa terima cabaran Haziq di mahkamah

MALAYSIAKINI

   

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid menggesa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menerima cabaran untuk membersihkan namanya di mahkamah.

Abdullah Sani berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mencabar Azmin untuk membawa kes berkaitan klip video seks yang dikaitkan dengannya ke mahkamah.

Kata Abdullah Sani, hanya dengan cara itu orang ramai dapat melihat kebenaran di sebalik kontroversi berkenaan.

"Pada peringkat awal saya tidak tahu cerita sebenar tetapi sekarang budak itu (Haziq) sudah mencabar dia di mahkamah jadi bagi saya ini sudah terlampau berat.

"Jadi saya minta dia menerima cabaran ini dengan memfail laporan polis dan kemudian masuk ke mahkamah. Kemudian biar rakyat lihat siapa yang benar dan menipu,” kata Abdullah Sani dipetik Utusan Malaysia.

Pada 23 Jun lalu, Haziq yang mengaku sebagai salah seorang lelaki dalam video seks berkenaan dan mendakwa Azmin individu yang bersamanya, mencabar timbalan presiden PKR itu membuat laporan polis terhadapnya.

Selain itu, pemuda berusia 27 itu juga turut mencabar Azmin mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika isu klip video seks dan dakwaan yang dilemparkannya adalah fitnah.

Haziq sebelum ini menyorot bahawa polis telah mengambil keterangan Azmin dan laporan polis pula hanya dibuat oleh setiausaha politiknya, Muhammad Hilman Idham.

Azmin menafikan terlibat dalam video seks itu dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Bagaimanapun, Haziq menegaskan sekali lagi bahawa dia dan Azmin merupakan individu dalam klip video seks sejenis itu.


Pelajar, guru pengsan beberapa jam lepas sekolah dibuka


 
Baru beberapa jam sesi persekolahan di kawasan Pasir Gudang bermula setelah semua sekolah di situ diarahkan tutup Selasa lepas, gangguan kesihatan berupa sesak nafas dan muntah-muntah kembali menghantui beberapa sekolah di kawasan sama.

Wartawan Bernama yang ditugaskan untuk membuat liputan sekolah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok pada kira-kira 8.30 pagi tadi, menyaksikan sendiri insiden itu yang mana beberapa pelajar dan guru pengsan, di depan mata.

Selain sekolah itu, difahamkan turut terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SMK Seri Alam Dua, SK Taman Pasir Putih, SK Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Plentong, SMK Taman Nusa Damai dan SK Taman Cendana.

Sekurang-kurangnya tiga ambulans daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Hospital Sultan Ismail dikejarkan ke sekolah berkenaan dipercayai untuk membawa keluar pelajar yang terjejas.

Ibu bapa pelajar juga turut kelihatan membawa anak mereka pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga kini, tiada pengesahan berapa jumlah pelajar yang terlibat.

Beberapa mangsa pula kini, dipercayai sudah dibawa ke Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan klinik kesihatan terdekat untuk diberi rawatan awal.

Stadium itu sebelum ini dijadikan oleh pihak berkuat kuasa sebagai Bilik Operasi Gerakan Pemantauan kes terbabit.

Sementara itu, usaha untuk menemu bual kakitangan dan guru terlibat tidak berjaya kerana mereka dilarang untuk memberi sebarang kenyataan.- Bernama


KJ: Umno tak boleh menang hanya kerana rakyat bencikan PH


   
Umno tidak boleh mengharapkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 hanya dengan kebencian rakyat terhadap PH, kata bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Kata ahli parlimen Rembau itu, Umno perlu mempunyai kekuatan tersendiri untuk meyakinkan rakyat bagi kembali menerajui negara.

Jelas Khairy, kemenangan hanya disebabkan kebencian rakyat terhadap PH tidak akan kekal lama dan pasti akan menerima "kifarah" (balasan) seperti mana kerajaan PH kini.

"Saya tak mahu Umno menang kerana kebencian rakyat terhadap PH.

"Sebaliknya Umno perlu kemukakan tawaran baru untuk rakyat. Umno perlu dilihat seperti 1957 yang memerdekakan negara.

"Kalau nak semai kebencian (pada PH) siapa saja boleh buat. Hari ini orang muda sokong Umno kerana benci kepada PH," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sungai Buloh di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama Ketua Umno Sungai Buloh, Megat Firdouz Megat Junid dan Yang Dipertua PAS kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad.

BN yang dipimpin bekas perdana menteri, Najib Razak buat pertama kali tumbang dalam PRU lalu selepas lebih 60 tahun menerajui negara.

Ia menyaksikan BN buat pertama kali mucul selaku pembangkang di Dewan Rakyat.

Keputusan itu juga menyaksikan Najib melepaskan jawatannya selaku presiden Umno dan seterusnya menyaksikan parti itu menjalinkan kerjasama politik dengan bekas seteru politiknya, PAS.

Dalam perkembangan isu berasingan, Khairy yang juga merupakan bekas menteri belia dan sukan menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan PH untuk menurunkan had usia mengundi 21 tahun kepada 18 tahun.

Bagaimanapun katanya, sebelum keputusan itu dia buat ia perlu disulami dengan pendidikan politik kepada anak muda yang buat pertama kali menjadi pemilih dalam PRU.

"Secara peribadi saya setuju usia mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

"Usia 18 tahun sudah boleh bawa kereta, usia 18 tahun sudah boleh jadi ahli Umno, usia 18 tahun boleh berkahwin.

"Kita jangan hina orang muda, kalau had mengundi diturunkan kepada 18, Pemuda dan Puteri (Umno) kena buat kerja (untuk raih sokongan)," katanya.

Waspada dengan Dr M, pesan KJ pada Umno


   
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin mengingatkan Umno berwaspada dengan keupayaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meskipun sokongan rakyat pada PH kini dilihat merosot.

Ini kerana, jelas bekas ketua Pemuda Umno itu, Dr Mahathir merupakan negarawan dan pakar dalam menyusun strategi.

"Dr Mahathir pemimpin negarawan ulung. Jangan ingat Mahathir tidak tahu urus politik.

"Dr Mahathir seorang strategis yang hebat," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sungai Buloh di Shah Alam, hari ini.

Oleh itu kata Khairy, Umno tidak boleh terleka dengan kemerosotan populariti PH ketika ini.

Bahkan, katanya, Umno perlu meningkatkan lagi usaha dan menggandakan gerak kerja bagi meraih kembali sokongan rakyat terhadap parti itu.

Jelas Khairy, pelbagai perkara boleh berlaku menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Jelasnya, beliau yakin Dr Mahathir sedar bahawa sokongan dan populariti PH hari ini semakin merosot.

"Melayu mudah lupa, apa yang kita risau pada tahun-tahun akhir (sebelum PRU), dia keluarkan semua peruntukan yang dikumpul selama ini, habislah kita.

"PH tidak akan kekal tidak popular, dan begitu juga Umno tidak akan kekal popular," katanya memetik ungkapan Dr Mahathir.

Tambah Khairy, Umno perlu kembali kepada rakyat dan membina keyakinan rakyat seperti tahun 1957 ketika bertindak sebagai pejuang kemerdekaan selain menjadi agen penyatuan kaum ketika rusuhan pada 1969.

Dr Mahathir mencipta rekod bukan saja sebagai perdana menteri paling tua, malah membuat penampilan kali kedua sebagai perdana menteri selepas memegang jawatan itu selama 22 tahun.

Beliau yang memimpin PH pada PRU ke-14 lalu menempa sejarah apabila berjaya menumbangkan BN yang menguasai kerajaan selama 60 tahun.

Dalam pada itu Khairy berkata Umno perlu berpijak pada realiti dan perlu menerima hakikat serta tidak sesekali mengulangi kesilapan lalu.

Menurutnya, kekalahan BN pada PRU ke-14 lalu adalah disebabkan pemimpin Umno termasuk beliau sendiri gagal menerima realiti rakyat menolak mereka ketika itu.


Zahid umum kembali pimpin Umno

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

BAGAN DATOK: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan akan kembali aktif memimpin parti itu selepas bercuti selama 6 bulan sebelum ini.

Zahid membuat pengumuman itu pada satu majlis Hari Raya di Sungai Sumun di Perak, bersempena 1 tahun beliau dipilih sebagai presiden Umno.

Beliau mengingatkan khalayak bahawa beliau dipilih, bukannya dilantik, sebagai presiden Umno setahun lepas.

“Hari ini genap satu tahun saya dipilih oleh perwakilan Umno sebagai presiden.

“Ini satu tahun yang cukup signifikan. Dengan ini saya umumkan saya kembali dari cuti.
“Saya tak sanggup lihat rakyat terus ditipu dan dihina,” katanya dengan menamatkan ucapan beliau dengan teriakan slogan Hidup Umno.

Semalam, bekas presiden Umno, Najib Razak berkata, Zahid tidak perlu mendapat persetujuan Majlis Tertinggi Umno sekiranya berhasrat kembali aktif berpolitik dan menyambung semula tugasnya.

Najib berkata, mengikut perlembagaan parti, Zahid berhak memimpin Umno memandangkan beliau masih mempunyai mandat selepas menang dalam pemilihan parti sebelum ini.

Terdahulu, laporan media memetik sumber melaporkan bahawa Zahid sedang menilai respons akar umbi parti itu sebelum membuat keputusan untuk kembali menjalankan tugas selepas lebih 6 bulan bercuti.

Ini memandangkan terdapat desakan daripada ketua Umno bahagian yang mahu Zahid kembali menerajui parti.

Zahid membuat penampilan rasmi pertama di pentas Umno selepas lebih 6 bulan berehat sejak Disember tahun lalu dengan merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kepong pada 22 Jun lalu.

Sehari kemudian, Zahid dilihat hadir merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Masjid Tanah, di Melaka.

Pada 21 Jun, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menegaskan Zahid tidak disekat merasmikan sebarang mesyuarat perwakilan Umno bahagian meskipun sedang bercuti.

Malah katanya, sesiapa saja boleh datang untuk merasmikan mesyuarat parti itu di peringkat bahagian.

Zahid kini berdepan 87 pertuduhan di mahkamah membabitkan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.

Lombong mangan di Kuala Koh disita

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata, lesen kebenaran 
dikeluarkan oleh kerajaan negeri, manakala kebenaran melombong 
perlu mendapat kelulusan daripada JMG.

KOTA BHARU: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menyita lombong bijih mangan di Aring 11 Kuala Koh, Gua Musang sejak 11 Jun lepas, kata Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob.

Beliau berkata, lombong itu disita kerana tidak mendapat skim kebenaran daripada JMG.

“Lesen kebenaran dikeluarkan oleh kerajaan negeri, manakala kebenaran atau skim melombong perlu mendapat kelulusan daripada JMG.

“Syarikat perlombongan memiliki lesen daripada kerajaan negeri, namun tidak mempunyai skim kebenaran daripada JMG,” katanya ketika ditemui di Lembah Sireh di sini, hari ini.
Sebelum ini, pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat aktiviti perlombongan tanpa kebenaran di Kuala Koh.

Beliau berkata, atas faktor terbabit, JMG menyita lombong itu pada 11 Jun lalu sehingga mendapat kebenaran semula (untuk melombong).

“Kebenaran melakukan operasi melombong yang dikeluarkan oleh kerajaan pusat sudah tamat tempoh pada 2017, namun aktiviti itu masih diteruskan sehingga kini,” katanya.

Dalam perkembangan lain berhubung tuntutan royalti minyak, Ahmad berkata, sehingga kini kerajaan negeri sudah memenuhi syarat dengan menarik balik saman sebagaimana yang diminta kerajaan persekutuan.

“Proses penarikan saman sudah diselesaikan di semua peringkat dan kerajaan negeri kini menunggu maklum balas daripada kerajaan persekutuan.

“Kita belum menerima apa-apa berita dan berharap kerajaan (pusat) mempercepatkan proses pembayaran wang royalti itu bagi membolehkan wang berkenaan digunakan untuk kebajikan termasuk infrastruktur, kesihatan, kebersihan, masalah air, bantuan orang kurang upaya (OKU) dan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Peralihan kuasa: Anwar mengaku tersinggung laporan media

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak mengingati 
mempunyai percanggahan dengan Dr Mahathir berhubung isu 
peralihan kuasa.

GEORGE TOWN: Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini mengaku tersinggung dengan cara penulisan laporan media yang terlalu memberikan keutamaan kepada proses peralihan kuasa antara beliau dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata, tumpuan kini seharusnya diberikan kepada usaha melaksanakan janji yang dibuat serta agenda perjuangan dalam Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat.

Katanya, beliau sendiri tidak pernah mengingati mempunyai percanggahan atau pertembungan dengan Mahathir berhubung soal peralihan kuasa seperti yang ditafsir oleh pihak luar.

“Saya kadang-kadang rasa tersinggung juga kerana dalam penulisan itu, soal penting adalah Mahathir untuk Anwar… soal peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepada saya ini menjadi masalah kepada banyak orang, tetapi ia tidak jadi masalah kepada saya.

“Bagi saya apa yang penting adalah PH tetap pada landasannya menjaga demokrasi, menjaga kepentingan rakyat, banteras rasuah, dan elak daripada penyalahgunaan kuasa,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu dalam ucapan perasmian Wisma Parti Keadilan Rakyat Pulau Pinang di Bayan Baru sini, hari ini.

Sementara itu, Anwar turut menafikan terdapat sebarang pepecahan di dalam PH seperti mana yang ditafsir dalam laporan media setiap hari.

Katanya, beliau musykil di mana adanya perbedaan besar di dalam PKR kerana penjumpaannya dengan barisan pemimpin di beberapa negeri tidak mempunyai masalah sedemikian.

Pengecualian duti setem pembelian rumah pertama dilanjut hingga 31 Dis tahun ini

Menurut Kementerian Kewangan, bilangan kediaman tidak 
terjual di Malaysia meningkat kepada 32,313 unit bernilai 
RM19.86 bilion sehingga suku ke-4 2018.

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan tempoh pengecualian duti setem bagi pembelian rumah kediaman Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk tempoh 6 bulan lagi, bermula 1 Julai sehingga 31 Disember, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, lanjutan tempoh adalah bagi terus menggalakkan lagi peningkatan jumlah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat dan bagi mencapai objektif mengurangkan bilangan rumah yang tidak terjual.

HOC mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai kerana insentif pengecualian duti setem dan pemberian diskaun sebanyak 10% dapat mengurangkan kos pemilikan rumah kediaman, terutamanya bagi rakyat Malaysia yang belum pernah memiliki rumah,” kata Lim dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

HOC diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2019 dan dilaksanakan mulai 1 Januari sehingga 30 Jun merupakan kerjasama di antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda).

Rehda bersama-sama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (Shareda) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (Sheda) terlibat sepenuhnya dalam kempen HOC dengan tujuan utama membantu rakyat Malaysia memiliki rumah kediaman dengan harga dan kos yang lebih rendah, dan pada masa yang sama menangani isu hartanah yang tidak terjual.

Mengikut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), Lim berkata, bilangan kediaman yang tidak terjual di Malaysia meningkat kepada 32,313 unit bernilai RM19.86 bilion sehingga suku ke-4 2018.

“Ini mencerminkan cabaran kemampuan pemilikan rumah yang berlanjutan serta ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah di pasaran.

“Berbanding dengan suku ke-4 2017, ini merupakan peningkatan sebanyak 30.6% dari segi bilangan kediaman yang tidak terjual dan sebanyak 27.0% dari segi nilai kediaman tersebut,” katanya.

Selain insentif untuk HOC, Lim berkata, kerajaan juga menyediakan insentif untuk pembelian rumah pertama (tanpa mengira pembelian daripada pemaju perumahan atau pasaran sekunder), di mana pembeli rumah pertama boleh menuntut pengecualian duti setem.

Bagi harga rumah sehingga RM300,000 mendapat tempoh pengecualian bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari sehingga 31 Disember, 2020, dan harga rumah di antara RM300,001 dan RM500,000 bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Julai sehingga 31 Disember, 2020.

130 pelajar, guru jatuh sakit sebaik sekolah dibuka di Pasir Gudang


Sebahagian guru yang turut mengalami gejala sesak nafas dan 
mual sebaik sesi persekolahan bermula di Pasir Gudang hari 
ini. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Beberapa jam sesi persekolahan di kawasan Pasir Gudang bermula setelah semua sekolah di situ diarahkan tutup Selasa lepas, gangguan kesihatan berupa sesak nafas dan muntah-muntah kembali menghantui beberapa sekolah di kawasan sama hari ini.

Wartawan Bernama yang ditugaskan untuk membuat liputan sekolah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok pada kira-kira 8.30 pagi tadi, menyaksikan sendiri insiden itu yang mana beberapa pelajar dan guru pengsan, di depan mata.

Difahamkan turut terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort, SMK Seri Alam Dua, SK Taman Pasir Putih, SK Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Plentong, SMK Taman Nusa Damai dan SK Taman Cendana.

Sekurang-kurangnya 3 ambulans daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Hospital Sultan Ismail dikejarkan ke sekolah berkenaan dipercayai untuk membawa keluar pelajar yang terjejas.

Ibu bapa pelajar juga turut kelihatan membawa anak mereka pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga kini, 30 pelajar dan guru dari 15 sekolah di Pasir Gudang dibawa ke klikik kesihatan berikutan simptom muntah-muntah dan pening sejak pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, pada awalnya 130 pelajar yang didapati mengalami gangguan kesihatan berkenaan, tetapi selepas saringan hanya 30 orang termasuk 3 orang guru dirujuk ke Klinik Kesihatan Masai dan Pasir Gudang.

Bagaimanapun menurutnya, sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa.

“Hari ini sekolah tidak tutup dan sesi persekolahan akan berjalan seperti biasa. Cuma dinasihatkan kepada pihak sekolah jika pelajar ada simptom berkenaan segera bawa ke klinik kesihatan.

“Untuk makluman, dari pagi tadi hasil pemeriksaan Pasir Gudang Mutual Aid (Pagema) juga menunjukkan bacaan kualiti udara masih berada pada tahap yang normal,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok di sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan pelajar yang mengalami simptom berkenaan adalah yang berada di tingkat atas.

“Jadi esok kita akan letakkan mereka di tingkat bawah sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Sebanyak 111 buah sekolah rendah dan menengah di Pasir Gudang mula dibuka semula pada hari ini setelah ditutup semenjak Selasa lepas.

Di BANGI, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu pelan jangka panjang dirangka, bagi menjamin penyelesaian menyeluruh masalah pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor.

Katanya, pelan penyelesaian jangka panjang itu penting, supaya insiden sama yang memberi kesan buruk kepada kesihatan penduduk setempat, tidak berulang pada masa akan datang.

“Selepas insiden itu, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengambil dan melaksanakan beberapa langkah jangka pendek, termasuk akan membina stesen pencerapan gas automatik di kawasan tersebut.

“Ini baik kerana dapat memberi amaran selepas bahan toksik yang dilepaskan ke udara melepasi tahap kritikal, yang membolehkan tindakan segera dapat diambil, termasuk memindahkan penduduk,” katanya selepas menutup Program Khalifah Junior 2019, Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini hari ini.

Bagaimanapun, timbalan perdana Menteri berkata langkah itu masih tidak mampu memberi penyelesaian menyeluruh dalam jangka panjang, kerana kedudukan kilang yang berpusat dan berada di dalam persekitaran kawasan kediaman.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan dan pihak yang berkenaan perlu memikirkan langkah menempatkan semula penduduk, dengan mengambil kira titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau juga mahu faktor penjanaan ekonomi daripada industri perkilangan, turut diberi perhatian dalam merangka pelan jangka panjang tersebut.

Insiden pembuangan bahan kimia dan pencemaran udara yang melanda Pasir Gudang mengundang rasa kesal Sultan Ibrahim, yang kemudiannya menitahkan semua pihak berkuasa kerajaan mengambil langkah segera mengatasinya, termasuk menangkap dan menghukum pelakunya.

Mufti Perlis pesan bersikap adil walau tak setuju pandangan


MALAYSIAKINI

   

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengingatkan agar umat Islam bersikap adil meskipun tidak bersetuju dengan pandangan seseorang.

Kenyataan itu dimuat naik Mohd Asri di Facebook dengan mengepilkan laporan media tentang isu ungkapan puisi berkembar bahasa Cina di pejabat Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
"Kita mungkin tidak bersetuju dalam hal tertentu dengan seseorang.

"Namun kita wajib bersikap adil. Agama kita melarang kita menjadikan kebencian sebagai punca untuk kita tidak bersikap insaf dan adil," kata Mohd Asri.

Mohd Asri juga berpesan agar umat Islam tidak "menajamkan permusuhan" kerana menurutnya ia boleh menyebabkan bukan muslim salah faham terhadap Islam.

"Mereka akan menyangka Islam mengajar sikap bermusuh tanpa sebab dan benci-membenci.

"Kritiklah apa yang patut dikritik. Berikan pujian apa yang patut dipuji. Bersikap adil dalam menilai sesuatu.

"Itu jika kita ingin beragama, bukan mempergunakan agama," katanya.

Lim sebelum ini mempersoalkan pihak yang mempertikaikan dua ungkapan puisi bahasa Cina di pejabatnya.

Ungkapan puisi itu masing-masing bermaksud: "Apabila manusia tidak bersengketa dan keluarga aman, maka semua urusan perniagaan akan membawa keuntungan" dan "Negara yang berjaya dan makmur akan menjurus kepada kebahagiaan.”

Lim menjelaskan bahawa ungkapan itu digantung di pejabatnya pada Feb lalu sempena Tahun Baru Cina.

"Ia (ungkapan puisi) itu dipasang pada Tahun Baru Cina.

"Tapi kenapa (cuma) siarkan ungkapan ini dan tak siarkan ayat al-Quran yang juga ada di pejabat saya.

"Kita kena ingat. Satu bilik ada empat dinding. Jangan hanya lihat satu dinding saja. Kita jangan terlibat dengan orang yang tak berakal atau tak masuk akal," kata ahli parlimen Bagan itu.

Setiausaha politik ahli parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan sebelum ini turut tampil mempertahankan Lim dan menyifatkan menteri kewangan hanya ingin menghiasi pejabatnya dengan puisi atau ungkapan budaya.


Jumaat, 28 Jun 2019

Hutang negara cecah RM800 bilion bulan depan – Najib

Wartawan MalaysiaGazette
 65561326_10156170393445952_782585076176125952_n


KUALA LUMPUR – Hutang rasmi negara dijangka cecah RM800 bilion pada bulan depan. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, semalam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminjam lagi sebanyak RM4 bilion lagi.

“Maka hutang rasmi negara hari ini naik ke RM797. 4 bilion berbanding RM686.8 bilion pada akhir tahun 2017 di bawah Barisan Nasional (BN),” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Najib, itu pun belum dikira duit RM82 bilion Petronas yang dipaksa bayar kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Selepas pinjam banyak tahun lepas, kerajaan PH terus menambah hutang negara dengan kadar yang jauh lebih pantas berbanding masa BN.

“Tak sampai setengah tahun 2019, mereka telah pinjam RM74.3 bilion (RM67 bilion sukuk tempatan serta RM7.3 bilion bon Samurai) dan bayar balik RM17.7 bilion.

“Guan Eng kata pinjaman 1MDB sebanyak RM30 bilion jahanamkan negara walaupun ada projek-projek bernilai RM140 bilion (Bandar Malaysia dan RM40 bilion (TRX) serta perjanjian penyelesaian dengan IPIC.

“Tapi dia tambah hutang negara dengan sebanyak RM56.6 bilion net dalam enam bulan sahaja pula.

“Sekarang dia sedang berkunjung ke China untuk pinjam bon Panda,” ujarnya yang juga bekas Menteri Kewangan.

Jika kadar ini berterusan, katanya, hutang rasmi negara akan cecah RM1 trilion pada akhir tahun depan.- MalaysiaGazette



Chegubard juga kecewa pelantikan Mohd Bakke

Manzaidi Mohd Amin
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard

KUALA LUMPUR – Lagi suara kesal dan kecewa dari bekas pemimpin PKR berhubung pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi Felda yang baharu.

Kali ini, bekas ahli seumur hidup parti itu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan Chegubard menyuarakan perkara sama sebagaimana rakannya, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

Beliau berkata, pelantikan Mohd Bakke membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan slogan Malaysia Baharu tetap mentadbir dengan wajah lama.

“Lantikan Mohd Bakke ini sekali lagi membuktikan Malaysia Baharu berwajah lama. Untuk rekod, beliau ini selain dilantik Pengerusi Felda, beberapa bulan sebelum ini juga dilantik Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)

“Cuba teka berapa belas juta (ringgit) jumlah gaji dan elaun serta kelebihan korporat yang bekas Pengarah 1MDB ini peroleh,” katanya dalam status yang dimuat naik menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Semalam, Mohamad Ezam menyifatkan pelantikan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) itu sebagai keputusan songsang atau langkah ke belakang dari sudut membina Malaysia Baharu yang telus dan bernafas baru.

Beliau yang merupakan Presiden penaja Parti Negara menjelaskan, Mohd Bakke adalah warisan pentadbiran lalu kerana menduduki banyak posisi utama yang dilantik langsung oleh perdana menteri terdahulu.

Mengulas lanjut, Chegubard memberitahu, antara masalah Barisan Nasional (BN) yang lalu ialah harta dan kekayaan serta peluang berkisar dalam kelompok sama dan yang pegang jawatan pula bisu demi kepentingan sendiri.

Maka katanya, jika ini diakui mengenai masalah BN, seharusnya PH melantik orang baharu kerana di Malaysia ini bukan sedikit kepakaran dalam pelbagai bidang, yang ada.

“Namun, pelantikan Mohd Bakke sebagai Pengerusi Felda yang baharu semalam, betul-betul mengundang kecewa ramai pihak.

“Mohd. Bakke antara pengarah dilantik kerajaan lama dalam 1MDB. Dia juga terlibat dalam banyak kegiatan dengan kerajaan lama. Kenapa watak yang sama masih diberi nyawa dan ruang dalam kerajaan Malaysia Baharu?

“Kalau setakat tokoh korporat bukankah ‘kita’ sendiri ada ramai tokoh korporat kalau bukan pro PH tapi sekurang-kurangnya ramai tokoh korporat hebat yang bersih dengan rekod baik serta tidak pernah terlibat dalam kerajaan lama,” katanya.

Beliau secara menyindir berkata, tokoh korporat lain tengok sahajalah, nanti bila masa nak jual meja, kutip derma menjelang pilihan raya kamu akan diingati. – MalaysiaGazette

Pelantikan Bakee keputusan songsang – Ezam

Manzaidi Mohd Amin

MGF170519_PERMOHONAN-PARTI-NEGARA06
Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor. foto SYAFIQ AMBAK

KUALA LUMPUR – Parti Negara (Negara) hari ini menyatakan rasa kesal dan kecewa kerajaan terhadap Pakatan Harapan (PH) melantik Tan Sri Bakee Salleh sebagai Pengerusi Felda yang baharu.

Presiden penaja, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor berkata, pelantikan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) itu disifatkan sebagai keputusan songsang atau langkah ke belakang daripada sudut membina Malaysia Baharu yang telus dan bernafas baru.

Beliau menjelaskan, Bakee adalah warisan pentadbiran lalu kerana menduduki banyak posisi utama yang dilantik langsung oleh Perdana Menteri terdahulu.

“Ianya sama sekali tidak mencerminkan kerajaan baharu yang memberi ruang kepada tokoh baharu yang mampu membawa nafas baharu kepada imej pentadbiran.

“Apakah negara ini tidak mempunyai tokoh korporat lain yang benar-benar bersih dari sebarang kaitan dengan pentadbiran lalu?

“Kerajaan pembaharuan dan reformasi harus mempunyai keberanian menguji dan memberi ruang kepada tokoh muda yang berkaliber, bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sudah bersetuju dengan pelantikan Bakee yang akan bersara dengan SDP Ahad ini.

Bakee yang menggantikan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang mengumumkan peletakan jawatan kelmarin akan memulakan tugas baharu itu selama dua tahun berkuatkuasa 1 Julai ini hingga 30 Jun 2021.

Menurut Mohamad Ezam, sebagai sebuah agensi besar dan kritikal kepada rakyat biasa seperti Felda, pelantikan itu tidak membawa harapan baharu.

“Kami juga kesal dengan kenyataan bahawa integriti merupakan antara faktor perlantikan beliau.

“Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) langsung tidak mempamerkan sikap tanggungjawab dan integriti yang utuh dan boleh dibanggakan.

“Ini kerana beliau hanya dilaporkan tidak bersetuju dengan perjalanan 1MDB semasa beliau mengetuainya,” katanya.

Beliau berkata, sikap integriti yang utuh seharusnya dipamerkan dengan tindakan lebih bertanggungjawab dan serius seperti mengambil tindakan undang-undang terhadap pimpinan kerajaan pada waktu itu yang lalai demi kepentingan rakyat.

Katanya juga, integriti bukan perkataan biasa yang murah dan boleh digunakan secara simplistik.

Ianya membawa makna besar dan hanya layak digunakan kepada entiti yang benar-benar diuji dan sedia berkorban mempertahankan setiap aspek integriti itu sendiri.

Pada April 2016, Mohamad Ezam mengumumkan peletakan jawatan di Kementerian Kewangan sebaik mengetahui skandal 1MDB dan seterusnya menyaman seluruh Ahli Lembaga Pengarah 1MDB termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Bakee.

Ketika menjawat jawatan Pengerusi Hisbah juga Ezam turut mengkritik keras pelantikan Bakee sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) oleh Kementerian Perusahaan Utama tahun lalu. – MalaysiaGazette

Macam mana banyak sangat pingat, bintang Latheefa?

Manzaidi Mohd Amin
Lokman kata takkan PH nak bantah kalau dia dilantik Ketua Polis Negara.
Lokman kata takkan PH nak bantah kalau dia dilantik Ketua Polis Negara.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam memuji Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), latheefa Koya yang dikatakan cantik apabila mengenakan pakaian seragam.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan dalam tempoh sebulan peguam PKR itu dilantik Ketua Pesuruhjaya, banyak bintang dan pingat atau riben perkhidmatan yang dipakai pada pakaian seragamnya.

“Sekali pandang segak betul ayam sabung (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) yang baru diangkat menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM ni.

“Cuma yang pelik, KP SPRM ni biasa start pun paling tinggi Jusa A, kerja baru sebulan, macamana banyak sangat bintang dan pingat perkhidmatan yang dia pakai,” katanya sinis dalam hantaran akaun Facebooknya hari ini.

Semalam, viral Latheefa Koya yang memakai pakaian seragam KP SPRM menghadiri majlis perbarisan hormat anggota agensi itu.

Tindakannya yang pertama kali memakai pakaian seragam SPRM itu menerima pelbagai kritikan sindir dan sinis, terutama riben perkhidmatan, yang dikatakan belum layak dipakainya.

Menurut Lokman, beliau ketika berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lapan tahun dengan pangkat Jusa B, baru satu bintang “DIMP” diterimanya dari Pahang dan dua Pingat Pertabalan.

“Ada bintang dan pingat boleh beli kat Lazada ke? Memandangkan PH dah set trend peguam PKR boleh jadi KP SPRM, Peguam Ketua Komunis Malaya boleh jadi Peguam Negara, takkan bila Barisan Nasional (BN) dan Pas memerintah nanti kalau saya dilantik Ketua Polis Negara mereka nak bantah kan.

“Nak tanyalah kata mana dia beli bintang banyak-banyak tu. Ada sesiapa boleh bagi pencerahan? Maklumlah, saya ni budak baru belajar,” katanya dengan sindiran. – MalaysiaGazette

Tuntutan royalti minyak : kes saman Kerajaan Kelantan terhadap Kerajaan Persekutuan selesai

Bernama

mahkamah-1-3


KUALA LUMPUR – Selepas sembilan tahun, pertikaian berhubung tuntutan royalti minyak antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan selesai sepenuhnya hari ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Ini berikutan Kerajaan Negeri Kelantan menarik balik tuntutan saman terhadap Kerajaan Persekutuan yang difailkan pada 2010, melalui notis untuk tidak meneruskan saman itu di Mahkamah Tinggi hari ini.

Peguam Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang mewakili Kerajaan Negeri memaklumkan pihaknya telah menfailkan notis pemberhentian untuk tidak meneruskan saman itu.

Hakim Datuk Ahmad Bache kemudiannya membatalkan saman itu tanpa kebebasan untuk menfailkan saman baru dan atas persetujuan kedua-dua pihak. Hakim juga tidak membuat perintah terhadap kos.

Peguam Kanan Persekutuan Natra Idris mewakili Kerajaan Persekutuan yang merupakan defendan kedua dalam saman itu.

Pada 21 Mei lepas, Kerajaan Negeri Kelantan telah menarik balik saman sama terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang dinamakan sebagai defendan pertama melalui notis pemberhentian saman yang difailkan pada 13 Mei lepas.

Pada 2 Julai 2014, Mahkamah Persekutuan mengarahkan kes saman itu dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi di sini dan diselesaikan melalui hujahan berkaitan isu undang-undang tanpa perbicaraan penuh mengikut Kaedah 14A Kaedah-kaedah Mahkamah 2012.

Dalam keputusan itu, panel lima hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong berkata tiada pertikaian fakta dalam kes itu yang memerlukan mahkamah memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 April 2012, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kes saman sivil itu ditentukan menerusi isu undang-undang.

Bagaimanapun, pendengaran berhubung isu undang-undang di Mahkamah Tinggi belum lagi didengar.

Pada 30 Ogos 2010, Kerajaan Negeri selaku plaintif memfailkan saman terhadap Petronas sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan, Kerajaan Negeri menuntut syarikat minyak itu membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa hadapan bagi hasil minyak yang dikeluarkan di pesisir pantai Kelantan, seperti yang termaktub dalam perjanjian carigali petroleum.

Kerajaan Negeri itu turut menuntut bayaran ganti rugi dengan kos. Bagaimanapun, ia tidak menyatakan jumlah spesifik tuntutan terhadap Petronas.

Dalam saman itu, Kerajaan Negeri itu menyebut bahawa dalam Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei 1975, ia jelas tertera Petronas harus membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak, sama ada daripada usaha cari gali di kawasan pantai atau di pesisir pantai.

Dakwanya, satu klausa perjanjian itu menjelaskan bayaran harus dibuat dua kali setahun, pada atau sebelum 1 Mac dan satu lagi sebelum 1 Sept.

Pada 7 Mac lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas selesai prosiding penarikan balik saman terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat selesai. – Bernama

30 Julai cuti umum Hari Pertabalan YDPA

Wartawan MalaysiaGazette

MGF11032019_ISTIADAT-PEMBUKAAN-PENGGAL-KEDUA-MAJLIS-PARLIMEN-YANG-KE-1412
Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sambil diiringi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (kiri) pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Yang Keempat Belas 2019 turut hadir Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memutuskan Hari Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong XVI pada 30 Julai 2019 sebagai cuti umum seluruh negara.

Ketua Setiausaha Negara, Dr.Ismail Bakar berkata, pengisytiharan hari kelepasan am tamabahan itu dibuat berdasarkan Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Manakala, katanya, bagi Sabah dan Sarawak, tindakan akan diambil oleh kerajaan-kerajaan negeri tersebut mengikut undang-undang di negeri masing-masing.- MalaysiaGazette

Parti Negara minta MITI siasat Mimos

Manzaidi Mohd Amin
 
partinegaramimos-1


PUTRAJAYA – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diminta menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat penyelewengan peruntukan kerajaan kepada Mimos Berhad (Mimos) yang didakwa berlaku pada zaman kerajaan terdahulu.

Sekretariat Penaja Parti Negara (Negara) mahu kementerian itu turut mengambil langkah segera menangani isu terbabit yang jika dibiarkan, bakal memudaratkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut setiausaha agung penaja parti itu, Abdul Ghani Haroon, siasatan itu membabitkan perbelanjaan peruntukan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10 dan RMK-11).

Katanya, kementerian wajar memanggil semua ketua projek terbabit untuk disoal siasat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita minta kerajaan menggantung sementara semua pegawai pengurusan tertinggi sedia ada dan Ahli Lembaga Pengarah supaya tidak mengganggu proses siasatan oleh badan berwajib.

“JAN juga harus mendedahkan segala penemuan hasil siasatan awal yang telah diadakan pada awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama Naib Presiden Parti Negara, S. Gobi Krishnan menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Sulit Kanan MITI, Zamri Maulan di pejabat kementerian itu di sini.

Menurut Abdul Ghani, pihaknya turut menggesa kementerian itu melakukan siasatan terhadap empat pegawai tertinggi Mimos yang telah dipecat pada April lalu bagi memastikan tiada unsur penganiayaian kepada mereka yang tidak bersalah.

Kata beliau, siasatan terperinci juga perlu dijalankan terhadap projek Mimos termasuk kontrak kepada semua kontraktor dan pembekal syarikat itu sama ada harga diberikan munasabah dan melibatkan apa juga unsur ketidaktelusan serta pilih kasih.

“Semua pekerja Mimos yang diberhentikan sebelum ini secara penamatan kontrak atau peletakan secara paksa kerana kecurangan pentadbiran lalu dipanggil semula dan ditemubual secara neutral bagi memastikan tiada penganiayaan berlaku ke atas mereka.

“Kami juga menuntut diadakan pelantikan pegawai baharu dari kalangan mereka yang jujur dan ikhlas bagi memenuhi hala tuju Mimos seperti terkandung dalam hasrat asal penubuhannya.

“Pegawai dilantik juga mesti mempunyai kelulusan, pengalaman dan kepakaran relevan seperti dihasratkan kerajaan PH tanpa adanya unsur pilih kasih dan kecenderungan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, satu proses rasionalisasi menyeluruh pula harus diadakan ke atas semua pegawainya terutama yang menerima gaji tidak setimpal, tidak munasabah dan terlalu tinggi untuk sebuah agensi “non-profit” kerajaan seperti Mimos.

Selain itu, MITI perlu memanggil semua syarikat penerima teknologi Mimos yang terpaksa membayar fi mahal kepada syarikat itu tanpa mendapat apa-apa manfaat daripadanya.

Belilau turut menuntut siasatan dijalankan terhadap proses “divestment” Mimos yang menyebabkan kerugian teruk kepada kerajaan dan penganiayaan kepada pekerja.

“Ini pernah berlaku kepada syarikat ‘Jaring’ pengendali internet pertama negara yang akhirnya terpaksa ditutup dan dilelong.

“Semua perbelanjaan Mimos dan kemerosotan ketara rizab simpanan Mimos sebanyak RM100 juta juga perlu disiasat, termasuk mengenalpasti kenapa terlalu banyak projek pengubahsuaian bangunan Mimos dan siapa mendapat manfaat atas projek itu,” katanya. – MalaysiaGazette

Putrajaya lancar kempen cegah buang bayi

Menurut statistik polis, 577 kes pembuangan bayi direkodkan 
dalam tempoh 4 tahun sehingga 2018. (Gambar Bernama)
 
SEPANG: Kes pembuangan bayi merupakan satu isu serius dan harus ditangani segera, dengan kehamilan luar nikah dan kehamilan remaja merupakan antara punca berlakunya kejadian itu, kata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut statistik polis, 577 kes pembuangan bayi direkodkan dalam tempoh 4 tahun sehingga tahun lepas (2018), katanya.

Ketika melancarkan kempen mencegah pembuangan bayi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) hari ini, Wan Azizah yang juga menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menasihatkan remaja atau wanita yang terlanjur supaya tidak melakukan tindakan yang boleh membahayakan nyawa mereka dan bayi yang dikandung.

“Kami memfokuskan kepada keselamatan, kesihatan dan kebajikan kedua-dua bayi dan ibunya,” katanya.

Beliau berkata mereka boleh menghubungi talian Kasih 15999 bagi mendapatkan pertolongan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempunyai kaunselor bertauliah dalam mengendalikan kes sebegitu termasuk membantu dan memberi pelindungan kepada mereka.

Beliau berkata KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyediakan Rumah Perlindungan kepada kanak-kanak dan wanita yang hamil luar nikah.

Wan Azizah berkata pihaknya juga kini bekerjasama dengan polis melaksanakan pemetaan lokaliti dan campur tangan strategik bagi kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas kes pembuangan bayi.

Mengenai kempen yang dilancarkan, Wan Azizah berkata inisiatif bersama PLUS itu akan menyaksikan pelekat dan poster kesedaran termasuk nombor Talian Kasih diletak dan ditampal di lokasi strategik termasuk di pintu tandas di semua 22 R&R di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh
 yang turut hadir pada pelancaran itu berkata inisiatif tersebut merupakan pendekatan baru kementerian dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat selepas mengambil kira jumlah 1.6 juta pengguna lebuh raya yang menggunakan R&R setiap hari.

Beliau berkata pihaknya merancang mengembangkan inisiatif itu melalui perkhidmatan yang menjadi tumpuan ramai seperti di transit aliran ringan (LRT) serta lapangan terbang.

Menurut Yeoh, untuk tempoh Januari hingga Mei lepas, 65 kes pembuangan bayi direkodkan dengan Johor mencatat kes tertinggi iaitu 13 diikuti Selangor 11 dan Kuala Lumpur (7).

Menurutnya, kawasan perumahan yang merekodkan 226 kes pembuangan bayi menjadi kawasan tertinggi bagi kes pembuangan bayi untuk tempoh 2010 hingga 2018 diikuti tandas dan tempat pembuangan sampah dengan masing-masing 108 dan 89 kes.

“Dalam kes seperti ini, hanya 30% daripada bayi yang dijumpai masih hidup,” katanya.

Rayuan kes ‘bin Abdullah’ diteruskan selepas gagal capai persetujuan

Pendengaran semua rayuan JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan
terhadap keputusan membenarkan anak tidak sah taraf beragama 
Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapa akan diadakan 
di Mahkamah Persekutuan pada 16 Ogos ini.
 
PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan 2 pihak lagi gagal mencapai penyelesaian luar mahkamah berhubung kes seorang kanak-kanak Islam tidak sah taraf dibinkan dengan nama bapanya dan bukan “Abdullah” dalam sijil kelahiran.

Peguam, Nizam Bashir yang mewakili pasangan suami isteri Islam dan anak terbabit, berkata beliau dimaklumkan peguam kanan persekutuan, Mazlifah Ayob yang mewakili pihak kerajaan, penyelesaian di luar mahkamah gagal dicapai.

Justeru, katanya, Jabatan Peguam Negara mahu meneruskan kes rayuan itu.

Perkara itu dibangkitkan dalam pengurusan kes menerusi sistem E-semakan di depan Timbalan Pendaftar, Norhafizah Zainal Abidin, hari ini.

Berikutan perkembangan itu, 7 panel hakim Mahkamah Persekutuan akan meneruskan pendengaran semua rayuan JPN terhadap keputusan membenarkan anak tidak sah taraf beragama Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya pada 16 Ogos ini.

Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada sepasang suami isteri dan anak mereka yang memfailkan semakan penghakiman untuk mendesak ketua pengarah JPN menggantikan nama “Abdullah” kanak-kanak itu dengan nama bapa kandungnya dalam sijil kelahiran.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulis 25 Julai 2017 memutuskan nama anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah boleh “dibin atau dibinti” nama bapanya, bukannya “Abdullah”.

Hakim, Abdul Rahman Sebli yang menyampaikan penghakiman itu berkata ketua pengarah JPN tidak terikat kepada fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang memutuskan nama “dibin atau dibinti” kepada anak luar nikah.

Pada 8 September 2017, Mahkamah Persekutuan membenarkan JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Mujahid di Beijing berucap tentang ‘berita palsu’ mengenai Xinjiang

Mujahid Yusof Rawa menghadiri pameran mengenai ‘terorisme’ 
di Xinjiang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Selepas penggunaan isitilah propaganda China untuk merujuk kepada kem tahanan Xinjiang dikritik warga Internet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai “berita palsu”.

“Berita palsu di China mengenai umat Islam ditindas boleh mencetuskan gelombang simpati pada orang yang ditindas dan menjejaskan hubungan,” kata Mujahid dalam ucapan yang disampaikan di Universiti Pengajian Luar Beijing semalam.

Beliau kemudian membuat perbandingan dengan dakwaan penganut Hindu di Malaysia dianiaya.

“Sementara berita palsu tentang penganut Hindu diperlakukan secara tidak adil oleh orang Islam di Malaysia, contohnya, boleh mencetuskan kebencian terhadap orang Islam minoriti di India,” katanya.

Kenyataan itu menyusuli kritikan terhadap Mujahid menggunakan istilah “pusat latihan” bagi meruguk kepada sebuah kem kontroversi yang ditubuhkan untuk “mendidik semula” penentang beragama Islam di wilayah Xinjiang yang bergolak.

Susulan lawatannya, Mujahid menulis di Facebook: “Pusat ini menjalankan aktiviti latihan perindustrian dengan pelbagai kemahiran seperti menjahit, kelas perundangan, seni, gubahan bunga dan sebagainya,” katanya di Facebook bersama gambar lawatannya.

Catatan itu mengundang kritikan daripada pengguna Facebook, yang berkata Mujahid mengulangi propaganda China apabila menggambarkan kem-kem tahanan di Xinjiang sebagai “pusat latihan”.

China pernah menafikan pendedahan-pendedahan mengenai kewujudan kem-kem tahanan seperti itu, tetapi kemudian berkata ia adalah “pusat-pusat vokasional” untuk “menyelamatkan” orang daripada pengaruh pelampau.

Badan-badan hak asasi sekian lama menuduh China bertindak keras terhadap penentangan di Xinjiang dengan alasan melawan ekstremisme orang Islam.

Dalam ucapannya, Mujahid berkata Malaysia dan China berkongsi pendekatan sama dalam mengintegrasikan kumpulan etnik berbeza.

“Malaysia mengamalkan integrasi nasional melalui pemeliharaan budaya dan tradisi setiap kumpulan etnik tetapi bersatu sebagai satu keluarga besar iaitu rakyat Malaysia.

“Republik Rakyat China (PRC) mengamalkan pendekatan sama dengan menjaga identiti setiap kumpulan etnik tetapi mengintegrasikan ke arah satu unit keluarga yang besar.”

Beliau berkata perlembagaan Malaysia dan China memperuntukkan hak bahawa setiap warganegara berhak mengamalkan agama mereka.

“Satu-satunya perbezaan perlembagaan Malaysia menetapkan Islam sebagai agama persekutuan, sementara PRC tidak menganggap mana-mana agama sebagai agama negara,” katanya.

Mujahid juga memuji usaha China memerangi ekstremisme.

Kumpulan sivil dakwa polis musnah bukti kes kematian dalam tahanan


(Dari kiri) bekas pengarah eksekutif Suaram, A Aruchelvan, 
Penyelaras Program Suaram Muhammad Alshatri Abdullah and 
Pengerudi Edict, M Visvanathan.

PETALING JAYA: Dua kumpulan sivil mendakwa polis memusnahkan bukti penting seperti rakaman CCTV dan rekod penting berhubung inkues berterusan berhubung siasatan lelaki yang mati dalam tahanan di lokap polis Jinjang.

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) berkata inkues yang dijalankan di Mahkamah Koroner pada 26 Jun lalu menyaksikan pegawai penyiasat (IO), Shahruddin Rajab memberi keterangan bahawa rekod perubatan dan pendaftaran masuk untuk 2017 telah dilupuskan.

IO itu juga berkata rakaman CCTV bagi tempoh 26 Jun 2017 hingga 9 Julai 2017 tidak lagi disimpan di lokap Jinjang.

Beliau memberi alasan rakaman CCTV hanya boleh disimpan selama 2 bulan pada satu masa.

Laporan polis dibuat terhadap IO oleh penyelaras program Suaram, Muhammad Alshatri Abdullah.Kumpulan itu mendakwa ia adalah penghapusan bukti yang disengajakan dan bertentangan dengan Akta Polis 1967 dan peruntukannya.

“Dalam inkues tersebut, sangat penting bagi kes itu untuk mempunyai semua rekod supaya punca kematian dapat dikenalpasti.

“Oleh itu, kita menuduh mereka melakukan jenayah di bawah Akta Polis kerana kes itu masih berterusan dan mereka tidak boleh memusnahkan dokumen yang diperlukan,” kata Alshatri.

Benedict Thanilas, 43, meninggal dunia dalam tahanan polis selepas ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah pada 29 Jun 2017.

Berdasarkan laporan, dia ditahan mengikut Seksyen 3(1) dan Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Semasa penahanannya, dia mempunyai sejarah komplikasi kesihatan, termasuk tekanan darah tinggi dan diabetes. Dia dikehendaki mengambil 8 jenis ubat setiap hari. Dia juga dikehendaki mengambil 3 suntikan insulin pada siang hari dan 1 suntikan pada waktu malam.

Dia dilaporkan mengalami kesukaran bernafas dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pada pagi 10 Julai 2017 tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

Suaram dan Edict juga berkata penyiasatan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul memandangkan kematian Benedict melibatkan Bahagian Narkotik di sana.

Mereka berkata ini akan mengakibatkan pegawai yang terlibat dalam penyiasatan itu berdepan potensi konflik kepentingan.

Kumpulan itu mendesak tindakan segera terhadap mereka yang bertanggungjawab memusnahkan rekod dan rakaman CCTV.



Khamis, 27 Jun 2019

Talam dua muka lagi? kata Firdaus Wong kepada Siti Kassim


“Cik Siti Kassim yang mencabar saya untuk berdebat dan saya menerima cabarannya. Komunikasi antara kami sangat jelas iaitu ‘representative’ (wakil) saya akan berhubung dengan beliau & beliau menjawab ‘okie dokie’!”

Itu kata pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) dalam kenyataan hari ini, selepas wakilnya yang menghubungi peguam, Siti Zabedah Kassim atau Siti Kassim, dimarahi.

“Setelah wakil saya iaitu Abu Shariz berhubung dengan beliau, Cik Siti Kassim memarahi Abu Shariz dengan mengatakan beliau tidak melayan wakil saya dan hanya mahu berurusan terus dengan saya!

“Bukankah beliau tadi bersetuju untuk wakil saya berhubung dengan beliau? Talam dua muka lagi? Tunjuk baik di Facebook tetapi secara ‘private’ lain pula?

“Setelah Abu Shariz Badr menghantar butiran cadangan kami melalui e-mail dan WhatsApp, beliau ‘block’ Abu Shariz di WhatsApp yang menyebabkan wakil saya tidak dapat lagi berhubung dengannya menerusi WhatsApp,” katanya, hari ini.

Firdaus Wong berkata, beliau kini masih menunggu sama ada Siti Kassim akan membalas e-mel daripada wakilnya atau akan terus berdolak-dalik di dalam media sosial.

“Perlu ingat bahawa yang mencabar saya untuk berdebat adalah Cik Siti Kassim dan yang bersetuju untuk wakil kedua-dua pihak berbincang juga adalah dia serta yang enggan berbincang dengan wakil saya kini juga adalah dia. Apa sebenarnya yang Cik Siti Kassim mahukan?

“Pada awalnya Cik Siti Kassim yang mahu berdebat sangat tetapi kini dari statusnya beliau seperti seolah-olah mahu ‘talk’ (berbual, bersembang) ala melepak di mamak? Kenapa asyik pusing sini sana dan ‘changing goalpost’?,” katanya.

Firdaus Wong berkata, beliau akan berdebat secara rasmi dengn Siti Kassim, bukannya bersembang di kedai mamak, kerana jika melihat sejarah, peguam itu suka menjerit.

“Apabila hilang rasional akan memaki hamun dan menunjukkan isyarat lucah kemudian akan ‘claim victory’ di media sosial.

“Insha-Allah kita nantikan update seterusnya dari Cik Siti Kassim. Kalau tak berani secara rasmi dan beradab, sila maklumkan awal agar tidak membazir masa kami yang kami boleh gunakan untuk menyampaikan Islam kepada lebih ramai orang,” katanya.

Cabaran debat itu dibuat Siti Kasim melalui ruangan komen dalam hantaran yang ditulis Firdaus Wong di Facebook beliau mengenai berita diterbitkan National Evangelical Christian Fellowship of Malaysia (NEFC) berkaitan misi pertubuhan itu terhadap masyarakat orang asli.

Siti Kasim dalam ruangan komen menulis:

“Firdaus, lets have a face to face debate if you want on this. I’m open to it. You game? (Firadus, jom kita berdebat secara bersemuka mengenai isu ini. Saya bersedia. Anda bersedia?).”

MR :  Nak lari, buat hal supaya tak nampak takut

Ada apa dengan tulisan Cina di pejabat Guan Eng?


   
ULASAN | Saya terpanggil untuk mengulas tentang perkara yang berlegar di minda saya. Ia mengenai gambar yang tersebar menunjukkan ungkapan bahasa Cina ditampal pada dinding dalam pejabat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Orang yang sinis sudah tentu akan kata saya mahu membela setiausaha agung parti saya. Saya tidak dapat lari daripada tuduhan seperti itu.

Justeru saya cuma minta anda baca dengan hati terbuka.

Saya terbaca komen dalam Facebook bahawa tulisan bahasa Cina dalam pejabat itu "macam dekat Beijing", dan ia seperti suatu penghinaan kepada bahasa kebangsaan.

Sekejap. Mengapa ini boleh menjadi jadi isu bahasa kebangsaan pula?

Saya anggap diri saya sebagai seorang yang ghairah mahu memartabatkan bahasa Melayu. Kalau tidak percaya, anda boleh baca tulisan-tulisan saya sebelum ini.

Tetapi saya tidak faham mengapa ini menjadi isu menghormati bahasa kebangsaan pula?

Adakah kita cuba untuk tahu apa yang ditulis dalam bahasa Cina dan ditampal pada dinding pejabat Menteri Kewangan tersebut?

Ingin sedikit hiasan 
 
Saya ada tanya, dan ungakapan-ungkapan tersebut boleh diterjemahkan secara mudah menjadi begini: “Apabila insan tidak bersengkata dan keluarga aman, maka semua urusan perniagaan akan membawa keuntungan" dan "Negara yang berjaya dan makmur akan menjurus kepada kebahagiaan.”

Dalam bahasa Inggeris ianya adalah antithetical couplet, ungkapan puisi berkembar.

Biasanya ia digantung pada kedua-dua belah pintu masuk sesebuah rumah untuk memberi ‘ong’ kepada penghuninya. Anda boleh buat carian dalam Wikipedia mengenai hal ini.

Ya, kita mungkin tidak percaya akan perkara-perkara seperti ini, dan saya pun tidak tahu sama ada Menteri Kewangan sendiri percaya atau tidak, tetapi ini adalah sebahagian daripada budaya masyarakat Cina.
Pada hemat saya, Menteri Kewangan ingin menghiasi sedikit pejabatnya dengan puisi atau ungkapan budayanya.

Adakah kita sampai pada suatu peringkat yang kita tidak boleh terima seseorangmenteri berbangsa Tionghua (atau India, Kadazandusun, Iban dan sebagainya) memperlihatkan walau secebis budaya mereka dalam pejabat sendiri?

(Selepas ini, adakah menteri tidak boleh letak ‘kalender kuda’ dalam pejabat sebab ada tulisan Cina?)

Sejak bila budaya Cina berhenti menjadi sebahagian daripada citra negara Malaysia ini?

(Orang Cina bukan hanya tinggal di Beijing sahaja, saudara.)

Ini bukan isu bahasa. Apa yang ditampal itu bukannya papan tanda dalam pejabat Menteri Kewangan. Tulisan Cina tersebut tidak diterjemahkan kepada ‘Selamat Datang ke Pejabat Menteri Kewangan Lim Guan Eng’, atau apa-apa yang sewaktu dengannya.

Ia adalah ekspresi budaya yang dizahirkan dalam bentuk perkataan Cina.




Samalah juga kalau kita ada pejabat, dan kita letak ayat-ayat al-Quran. Ia bukan untuk tujuan rasmi, tetapi kerana ia sebahagian daripada identiti kita, dan kita mahu mendapat ketenangan daripada ayat-ayat tersebut.

(Dalam pejabat Menteri Kewangan juga ada petikan daripada surah al-Hud)

Ya. Bahasa kebangsaan mesti digunakan dalam semua urusan rasmi. Ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini tidak boleh dipertikaikan. Tetapi ini bukan isu bahasa.

Menampal ungkapan Cina untuk membawa kemakmuran dalam pejabat tidak ada kena-mengena dengan urusan rasmi yang diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu tidak tergadai, terjejas atau diperlekehkan hanya kerana Lim Guan Eng mahu menghias sedikit pejabatnya dengan hiasan budaya Cina.


SYAHREDZAN JOHAN ialah peguam yang juga setiausaha politik kepada Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.


SPRM: Senarai baru saman lucut hak 1MDB dua minggu lagi

MALAYSIAKINI

   

Senarai terbaharu individu dan entiti yang terlibat dalam kes permohonan perlucutan hak sivil berkaitan dana 1MDB yang difailkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan dikeluarkan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya memerlukan masa untuk membuat penelitian lanjut mengenai saksi, lokasi aset dan pelbagai aspek lain memandangkan senarai responden itu terlalu panjang.

“Kami perlu tengok balik dan menyenarai pendek dahulu nama-nama yang kami ada ini sebab ada banyak perkara perlu dibincang dengan pegawai penyiasat dan pihak peguam negara. Yang mana boleh diambil tindakan undang-undang, kami akan lakukan,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 23 Bil 1/2018 dan Kursus Peralihan (Pengurusan dan Profesional) Siri 4/2019, di Banting hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan anggaran jumlah individu dan entiti yang bakal menerima saman itu, namun menyarankan mana-mana pihak yang pernah menerima dana berkenaan supaya memulangkannya semula.

“Sebenarnya, mereka sendiri tahu yang mereka ada terima wang (dana 1MDB) kerana ia diberi dalam bentuk cek, bukan secara tunai.

“Nasihat saya, eloklah mereka pulangkan semula (dana 1MDB) sebab tindakan undang-undang yang boleh dikenakan kepada mereka adalah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA),” katanya.

Semalam, Azam dilapor berkata lebih banyak lagi saman itu akan dikeluarkan susulan suruhanjaya berkenaan telah memfail saman terhadap 41 individu dan entiti pada minggu lepas bagi mendapatkan kembali RM270 juta dana 1MDB.- Bernama