HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 November 2014

UMNO telah dirampas oleh gulungan elitis, mengaku sebagai wakil Melayu



Perhimpunan Agung UMNO yng baru sahaja selesai Sabtu lalu, walaupun tiada apa yang ‘significance’ berlaku, ia juga membawa satu paparan yang jelas tentang ketakutan UMNO akan jatuh dan tersungkur dihadapan mata rakyat yang kini sedang dalam kemarahan dan kritikal terhadap parti itu.

Timbalan Presidennya dengan ringkas merumuskan yang UMNO perlu berubah jika tidak mahu diubah. Beliau telah memasukan isu ini sebagai inti parti dalam ucapan perasmian tiga sayap parti itu Selasa lepas.

Elok juga kita tanya setidak-tidaknya dua soalan penting dalam usaha untuk berubah ini. Pertamanya apa yang hendak diubah dahulu, kerana UMNO perlu melakukan perubahan dalam terlalu banyak perkara. Kesemua perkara yang perlu diubah itu semuanya dalam keadaan tenat sehinggakan UMNO sudah tidak tentu rupanya lagi dan parti itu sedang berada dalam keadaan ‘brain-death’, hanya tubuh sahaja yang nampak besar tetapi tidak berfungsi lagi.

UMNO bagi setengah orang sedang bergantung kepada ‘life-support’ ia itu kuasa dan jentera kerajaan yang kian hari kian lemah dan tidak diyakini lagi oleh rakyat yang ramai dibawah-bawah ini. Apabila ‘life-support’ itu sudah tidak berguna lagi atau dicabut dari tubuh UMNO itu UMNO akan mati dan akan tinggal nama sahaja. Itu lah kemungkinan maksud Muhyiddin itu.

Tetapi persoalan terhadap Muhyiddin ialah, mahukan Muhyiddin sendiri menjadi agen kepada perubahan itu? Bagaimana jika salah satu dari perkara yang perlu dilakukan ialah Muhyidn sendiri yang perlu melakukannya waimma jika beliau sendiri terpaksa berhenti dan bersara bagi meninggalkan jasa beliau kepada UMNO. Berkorban untuk parti bukan sahaja kekal dengan jawatan, tetapi bersara dan meninggalkan jawatan dan tanggungjawab juga adalah pengorbanan yang besar.

Najib sudah pasti tidak mahu berundur dan jika boleh beliau mahu memerintah negara ini selama 22 tahun sekurang-kurangnya. Masalah UMNO itu bukan masalah ahli-ahlinya. Masalah UMNO ialah masalah pemimpin-pemimpin mereka termasuk ‘warlords’ yang disebut oleh Muhyiddin itu.

Ahli-ahli UMNO seperti biasa adalah pengikut tegar yang tidak tahu pun apa masalah yang dihadapan mereka. Ahli-ahli biasa UMNO itu hanyalah diperguna oleh pemimpin mereka untuk memberikan dokongan kuat dan selalunya untuk mendapatkan representasi untuk menampakkan sokongan itu ialah melalui perhimpunan parti itu sekali setahun. Perhimpunan yang baru selesai Sabtu lepas boleh memperlihatkan mentaliti dan nilai perwakilan yang datang yang berjumlah beribu-ribu orang itu.

Perhimpunan itu adalah premis untuk memperlihatkan yang UMNO itu adalah parti yang kuat dan bersatu. Tetapi hakikatnya ahli-ahli parti itu hanya bersatu dengan teguh ialah semasa menyanyikan lagu UMNO itu sahaja. Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat, itulah cogan kata lagu yang dinyanyikan oleh semua perwakilan dalam perhimpunan itu. Selepas sahaja mereka menyanyikan lagu itu, mereka tidak menampakkan bersatu dan bersetia, lebih jauh lagi untuk berkhidmat.

Mereka, terutamanya pemimpin-pemimpinnya betul-betul bersatu tetapi bersatu untuk menambah kekuasaan kepada segelintir ahli-ahli UMNO dan orang Melayu. Mereka setia dengan pemimpin mereka yang rasuah dan menguruskan negara dengan ketirisan yang amat besar sehinggakan kantung kerajaan semakin menurun malahan ramai yang berpendapat kerajaan kita sedang dalam keadaan kering kontang. Mereka tidak ada lagi khidmat kepada ahli-ahlinya jauh sekali untuk berkhidmat dengan jujur terhadap rakyat keseluruhannya.

UMNO itu sudah bertukar menjadi kelab untuk elitis dan bukannya untuk ahli-ahli dan orang ramai yang berbilang kaum ini. Rakyat tidak boleh menyalahkan UMNO kerana tidak mahu berkhidmat untuk rakyat, kerana parti itu telah menganak tirikan ahli-ahlinya sendiri, masakan parti itu ada waktu dan kemampuan untuk memberikan fokus kepada rakyat yang ramai.

Pimpinan elitis UMNO mempunyai dokongan dari segelintir ‘industrialists’ dan peniaga-peniaga besar. Mereka lebih cenderung untuk bersama dengan elitis dan kumpulan ‘industrialists’ ini kerana pimpinan kita akan lebih menerima untung dan laba yang besar.

Mereka beranggapan rakyat yang ramai ini adalah kumpulan yang banyak masalah dan mereka rimas dengan tindakan ramai yang membuat kritikan terhadap mereka (pimpinan). Memperjuangkan rakyat itu dianggap mereka sebagai kerja yang membosankan. Parti ini di kuasai oleh elitis ini yang sekarang memparmirkan kumpulan mereka sebagai kumpulan yang mewakili orang Melayu.

“Dah beri BRIM setahun sekali, apa yang mereka hendak lagi?” mungkin itulah yang terpahat dalam jiwa dan nilai itulah yang ada dalam diri kepimpinan kita. Tetapi diperingkat zahiriahnya mereka melaungkan slogan yang besar-besar. Laungan untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju menjelang tahun 2020 dan rakyat negara yang berpendapatan tinggi. Apa ini semua? Sedangkan rakyat sedang berhadapan dengan kemungkin menjadi rakyat yang termiskin dengan kos sara hidup yang tidak dapat di zahirkan oleh rakyat yang ramai.

Sesungguhnya seperti yang disebutkan diatas tadi, persoalan yang penting itu sekarang ialah apakah yang hendak diubah itu? Pendeknya yang pelu diubah ialah perubahan persepsi rakyat terhadap mereka yang memimpin negara. Melaunglah dengan sekuat yang boleh rakyat tetap dengan persepsi yang pimpinan  UMNO parti ini adalah pemimpin-pemimpin yang tidak boleh dipercayai dan itulah lagunya tahun demi tahun dalam perhimpunan agung parti itu.

Mereka hanya pandai menunjukan otot yang besar dan memberikan ugutan yang bodoh-bodoh terhadap rakyat yang ramai. Pengekalan akta hasutan oleh Najib itu adalah tindakan membesarkan otot untuk menakut-nakutkan sesiapa yang cuba mengkritik kerajaan.

Mereka memberikan alasan yang tindakan itu ialah untuk menurunkan suhu perbezaan kaum dan agama bagi menjamin keselamatan negara. Mungkin itu sahaja lah alasan yang agak boleh diterima. Itu sebabnya saya selalu berkata kepada parti-parti diluar BN itu, supaya beragak sedikit untuk membuat kritikan, kerana mereka mengkritik apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan dan menganggapnya sebagai rasis. Kita pun hendak melihat bagaimana Akta Hasutan ini dipergunakan oleh pihak kerajaan dari sekarang.

Persoalan keduanya ialah siapa yang hendak melakukan perubahan itu? Sudah terlalu panjang tulisan ini. Mungkin kita sentuh dalam posting yang akan datang ini.

Parti komponen BN kini dipinggirkan




Oleh Wong Shu Qi 


Sekian lama Umno disifatkan sebagai parti hegemoni yang lebih berkuasa daripada parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN). Jika diteliti siri-siri perbahasan sepanjang Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 membuktikan parti komponen BN seperti MCA, Gerakan, MIC, PBB dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak lagi memberikan keuntungan politik dalam gabungan itu.

Menurut laporan media, Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Khairul Anwar Rahmat dalam ucapan perbahasannya di PAU menyelar kritikan-kritikan oleh pemimpin parti komponen BN yang menyatakan Umno merupakan parti rasis.

Beliau mencadangkan supaya pengerusi-pengerusi MCA, MIC ataupun Gerakan seharusnya mendapatkan restu daripada Umno terlebih dahulu sebelum diposisikan sebagai Ahli Majlis Tertinggi BN.


“Ini adalah untuk memastikan pemimpin-pemimpin (komponen parti BN) bukan sekadar jaguh kampung.”

"Jikalau pengerusi parti-parti komponen ini berasa tidak senang hati, mereka boleh keluar daripada BN supaya dapat mengurangkan penderitaan BN," ujar Khairul Anwar.

Kenyataan Khairul Anwar membuktikan MCA, Gerakan, MIC, PBS, PBB adalah sekadar 'window-dressing' semata-mata bagi Umno dalam BN.

Sumbangan parti komponen lain sememangnya tidak dihargai. Walaupun Umno mendapat 88 kerusi (parti yang mendapat jumlah kemenangan kerusi terbesar) di Parlimen, tetapi Umno tidak mungkin dapat membentuk kerajaan persekutuan tanpa sokongan 14 kerusi daripada PBB, 7 kerusi daripada MCA, 6 kerusi daripada PRS, 4 kerusi daripada MIC dan lain-lain.

Tambahan lagi, Pengerusi Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga turut mengakui rakyat di kubu kuat Umno di Johor juga terhakis apabila peratusannya menjunam teruk daripada 80% pada 2004 kepada 54% pada 2013.

Umno Johor hampir tewas di kerusi Parlimen Pasir Gudang, Muar dan Ledang apabila hanya mampu meraih kemenangan dengan majoriti tipis sekitar lingkungan 1000 undi sahaja.

Di saat Malaysia dijangka bakal berhadapan pelbagai cabaran, Umno terus mempermainkan sentimen perkauman sempit dan manipulasi agama untuk menutup kegagalan urustadbir dan tatakelola yang bersih dan berintegriti dalam pemerintahan negara.

Umno memperkenalkan GST dalam suasana kelembapan ekonomi dan memungkiri janji apabila terus mempertahankan Akta Hasutan. Ini antara tanda-tanda ketirisan dalam pentadbiran Umno/BN.

Dengan terus kekal berada dalam BN, MCA, MIC dan PBB bersubahat dengan Umno untuk menjahanamkan negara. Lebih malang lagi, daripada ucapan Khairul Anuar di PAU, ternyata Umno pada hakikatnya tidak menghargai parti-parti komponen BN ini.

Memandangkan BN dikuasai sepenuhnya oleh Umno, saya cadangkan agar BN dibubarkan sahaja dan parti komponen lain boleh menggunakan tiket Umno sahaja untuk bertanding dalam PRU yang akan datang. –M/Insider

* Penulis adalah pengarah polisi dan Adun Senai.

Di mata Najib, blogger pro-Umno serang Umno ‘bangang’



Oleh Amin Iskandar


Antara yang menarik dalam ucapan penggulungan Datuk Seri Najib Razak semalam adalah apabila beliau mengatakan blogger pro-Umno yang menyerang kembali parti Melayu itu sebagai “bangang”.

Menurut presiden Umno itu, blogger-blogger ini seharusnya memfokuskan serangan kepada parti-parti pembangkang kerana mereka harus ingat siapa yang membiayai mereka.

“Bloggers kita ini cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang.


“Itu cara kita hendak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tidak masuk akal. Bangang,” katanya semasa berucap di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur semalam.

Selain menyerang kembali blogger-blogger yang mengkritik Umno ini, Najib sebenarnya secara tidak langsung memberikan pendedahan terbuka partinya membiayai kumpulan ini.

Sekian lama blogger-blogger pro-Umno ini menafikan mereka dibiayai (walaupun sudah menjadi rahsia terbuka) untuk mempertahankan kerajaan daripada serangan di media sosial, ucapan Najib semalam secara tidak langsung memberi “peluru” untuk golongan ini diserang di media sosial.

“Pecah tembelang....“Bloggers kita ini cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita hendak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tidak masuk akal.

Bangang,” BANGANG... BANGANG... BANGANG... BANGANG... HA HA HA,” tulis pengguna Facebook bernama Kassim Baba.

Sementara pengguna Facebook Mat Indra pula menulis: “Hahaha blogger Umno cari makan rupanya... upah tak cukuplah tu Datuk Najib. Up lah sikit.”

“MasyaAllah londeh aib sendiri akhirnya! Ingatkan cerdik... kalau ye pun, PM jangan londeh dalam perhimpunan agong yang semua orang tengok! Mak aii... ingat lepas ni lagi ganas pula blogger serang balas! Hehehe,” tulis pengguna Facebook yang menggunakan nama Biaq Betoi.

Di Twitter @AbdMalekHusin menulis: “Bukan kita yang kata, Presiden Umno yang kata, "Blogger Umno bangang!" ♫ Beginilah nasib diriku yang malang... oh Tuhan ♫.”

“Sebelum tidur nak peringat sekali lagi ye 'Blogger pro-Umno ni BANGANG!!' - kata #NajibRazak . Selamat malam,” tulis @RoslanKz di Twitter.

Dari segi sejarahnya, Umno dan Barisan Nasional (BN) mula memfokuskan untuk mempunyai pasukan bloggers selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 kerana merasakan mereka hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat apabila meninggalkan dunia siber.

Selepas itu, selain mempunyai pasukan bloggers, pimpinan-pimpinan Umno dan BN juga mula membuka blog kerana kepercayaan mereka akan mendapat sedikit “saham” sokongan daripada pengguna Internet yang sebelum ini hanya dimanfaatkan pemimpin pembangkang.

Namun keputusan PRU13 menunjukkan sebaliknya, BN hilang majoriti lebih besar apabila hanya berjaya memenangi 133 kerusi Dewan Rakyat berbanding 140 kerusi pada PRU12.

Lebih parah lagi, buat pertama kalinya BN kehilangan undi popular kepada Pakatan Rakyat (PR).

Mempunyai pasukan bloggers yang besar tidak memberi kelebihan kepada BN. Apa lagi ketika PRU13, blog sudah tidak lagi relevan berbanding Facebook, Twitter dan YouTube.

Dan blogger upahan tidak mempunyai semangat juang tinggi berbanding yang berjuang kerana kepercayaan mereka. Blogger upahan tidak akan bekerja jika upah tidak turun.

Mungkin sudah sampai masanya Umno berhenti membuat pembaziran membayar bloggers yang tidak banyak membantu mereka memenangi pilihan raya.

Lebih baik Umno berubah mengikut peredaran zaman.

Umno mula ditinggalkan hari ini kerana golongan tua sudah mula pupus dan golongan muda semakin maju pemikiran mereka.

Mana-mana parti sekalipun jika tidak mengikut peredaran zaman sudah pasti akan ditinggalkan kerana dianggap “bangang” oleh masyarakat.

Indeks Syariah Malaysia akan diperkenal

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mengumumkan satu Akta Indeks Syariah Malaysia akan diwujudkan dalam memastikan hala tuju agama Islam yang dibawa oleh parti itu selama ini berpandukan tuntutan Islam sebenarnya.
 
Beliau berkata keperluan akta itu adalah untuk memastikan Umno terus menjaga dan melindungi agama Islam.
 
Akta itu bakal dibentangkan di Parlimen pada bulan Februari 2015 dan dipertanggungjawabkan kepada satu jawatankuasa yang terdiri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pakar agama untuk menyediakan indeks berkenaan.
 
"Indeks syariah ini akan membuat penilaian sejauh mana negara ini bawah Umno telah menjaga agama kita, akal, keturunan, nyawa dan harta benda. 
 
"Lima tuntutan Maqasid Syariah, saya telah minta supaya satu 'task force' ditubuhkan dikendalikan oleh UIA dan Jakim jadi urus setianya dan dijaga oleh pakar agama dan indeks syariah ini untuk negara Malaysia," katanya ketika menggulung sesi perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2014 sebentar tadi.
 
Malah beliau yakin dengan penubuhan akta seperti ini boleh menjadi contoh atau teras kepada negara lain dalam mengembangkan Islam. 
 
"Bila kita dah bentangkan indeks syariah ini, kita boleh juga berbuat demikian untuk negara-negara Islam yang lain supaya dengan ini mudah-mudahan kita boleh gambarkan dan tunjukan supaya tiada siapa boleh sangkal sama sekali bahawa negara yang dibawah pimpinan Umno ini telah benar-benar menegakkan dan mengembangkan Islam," ujar Perdana Menteri ini lagi.   
 
Pengumuman Najib ini mungkin berkaitan dengan isu-isu yang berlaku akhir-akhir ini yang dilihat boleh menggugat kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara.
 
Antaranya adalah program 'I Want To Touch A Dog', kalimah Allah, pemulangan kitab Bible di Selangor dan terkini golongan transgender yang menuntut hak mereka di Mahkamah Syariah.            
           
Selain PAS sering menuduh Umno menguruskan negara tanpa berlandaskan ajaran Islam dan mendakwa Malaysia masih jauh daripada diiktiraf sebagai sebuah negara Islam.

Jangan sesekali bawa tuntutan Sabah Sarawak keluar daripada Malaysia

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan sesekali berkompromi dengan desakan supaya Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia, tegas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
 
"Yang pentingnya, jika mereka rasa ada hak tertentu, kita boleh berunding. Misalnya soal royalti, kuasa dan sebagainya. 
 
"Tetapi soal keluar daripada Malaysia, ia tidak boleh dikompromi. Kalau nak rundung hal lain, kita setuju. Tapi jangan bawa tuntutan keluar," katanya semasa mengadakan sidang media selepas Ucapan Penggulungan Himpunan Agung Umno 2014, petang tadi.
 
Najib terdahulu diminta mengulas gesaan seorang pemimpin parti komponen Barisan Nasional di Sarawak supaya kerajaan mendengar suara akar umbi di Sabah dan Sarawak yang mahu keluar dari Malaysia.
 
Akhir-akhir ini desakan supaya Sabah dan Sarawak dipisahkan daripada Malaysia semakin lantang kedengaran, ditambah dengan petisyen bagi mengumpulkan persetujuan para penyokong.
 
Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM), merupakan satu kumpulan di laman sosial Facebook yang mendesak kajian semula dibuat terhadap Perjanjian Malaysia 1963. 
 
Pihak pendesak sebelum ini mendakwa kerajaan tidak memenuhi beberapa perkara di dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang membawa Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak membentuk kerajaan Persekutuan.
 
Seterusnya, mereka menuduh kerajaan gagal memberikan jumlah dana yang adik kepada kedua-dua negeri itu meskipun hampir kesemua keuntungan petroleum disalurkan kepada kerajaan pusat.
 
Mengikut perjanjian tersebut, Sabah dan Sarawak diberi lebih kuasa autonomi dalam hal kewangan, pendidikan, perkhidmatan awam dan hal ehwal agama.
 
Tidak itu sahaja, semenjak beberapa tahun ini kebencian di kalangan penduduk Sabah semakin memuncak setelah kerajaan didakwa memberikan kad pengenalan kepada masyarakat Islam Filipina dan Indonesia, sekaligus merubah struktur demografi negeri.
 
Di dalam sidang media yang sama, Najib menuntut agar perkara-perkara berkaitan agama Islam, bangsa Melayu dan kedudukan Raja-raja tidak lagi menjadi pertikaian selepas ini.
 
Meskipun sedar pengumuman untuk mengekalkan akta kontroversi itu menjadi tumpuan sepanjang PAU2014, namun beliau menafikan ia dilakukan disebabkan mendapat tekanan daripada pemimpin-pemimpin parti itu sendiri.
 
Tidak. Saya sentiasa beritahu bahawa Akta Hasutan menjamin orang Melayu, bukan Melayu, Islam dan bukan Islam. Ia akan melindungi semua. 
 
"Ini adalah perisai kita untuk tidak membiarkan konflik berlaku. Jika kita asyik persoal, menghina, pertikai dan perlekehkan hal-hal yang menjadi asas kepada orang Melayu, maka sudah tentu akan timbul ketegangan kaum di negara kita. Dan kita tahu apa kesan ketegangan kaum jika berlaku," tegasnya lagi.
 
Ketika merasmikan Perhimpunan Agong Umno Selasa lalu, Najib mengumumkan bahawa Akta Hasutan akan dikekal dan ditambah dengan peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam dan agama lain juga tidak boleh dihina.
 
Pindaan juga akan dibuat supaya supaya tindakan boleh diambil terhadap sesiapa yang cuba menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Elak daki Gunung Datuk di musim hujan - Polis

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
REMBAU: Orang ramai diminta supaya menghentikan sementara aktiviti pendakian di Gunung Datuk dekat sini berikutan keadaan tidak selamat dan merbahaya ketika musim hujan sekarang.
 
Ketua Polis Daerah Rembau, DSP Ibrahim Sharif berkata aktiviti ini tidak sesuai dilakukan berikutan musim tengkujuh sekarang kerana ia boleh menyebabkan pelbagai kemungkinan yang membahayakan pendaki.
 
"Saya nasihatkan supaya orang ramai mencari masa yang lebih sesuai iaitu sehingga cuaca betul-betul kembali pulih untuk memulakan semula aktiviti mendaki gunung tersebut.
 
"Di samping itu mereka perlu mengikut kesemua peraturan keselamatan yang telah ditetapkan terutamanya dari segi masa pendakian. Selain jangan pergi seorang diri atau pun berpecah dari kumpulan," katanya kepada Bernama.
 
Beliau berkata setiap pendaki perlu membawa bersama alat komunikasi agar pihak berkuasa dapat mengesan kedudukan jika mereka hilang arah, selain lampu suluh sewaktu aktiviti dijalankan pada waktu malam.
 
Beliau diminta mengulas dua kejadian pendaki tersesat semasa mendaki gunung itu bulan ini melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi.
 
Sementara itu Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Norazam Khamis berkata Jabatan Perhutanan Negeri telah diarahkan untuk mengehadkan aktiviti pendakian Gunung Datuk.

PM kata Akta Hasutan tak jamin BN menang

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bahawa keputusannya untuk mengekalkan Akta Hasutan tidak akan menjamin kemenangan BN dalam pilihan raya umum ke-14.

"Perlindungan pada BN tidak datang daripada Akta Hasutan,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan konvensyen parti PPP di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

“Akta Hasutan tidak memastikan BN dipilih semula dalam pilihan raya umum ke-14. Ia hanya boleh diraih melalui kemahuan dan sokongan rakyat,” katanya.

Pengumuman Najib pada hari Khamis lalu bertentangan dengan janjinya, dua tahun lalu untuk menggantikan Akta Hasutan.

Para pemerhati melihat tindakan itu dibuat ekoran tekanan dari akar umbi Umno bagi memastikan kedudukan parti tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

Jangan hirau golongan gunting dalam lipatan


Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
 
 
KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan tidak menghiraukan golongan ‘gunting dalam lipatan’ di dalam parti itu yang cuba memecahbelahkan perpaduan parti.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Wanita Umno akan sentiasa berdiri di belakang pemimpin parti dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

“Kepada presiden, ayuh jalankan tugas. Jangan khuatir, tidak perlu toleh belakang, sama ada jika ada gunting dalam lipatan atau pun tidak.

“Kami Wanita (Umno) beri sokongan tidak berbelah bahagi sebagai satu pasukan supaya pemimpin berganding bahu membawa bukan hanya parti tetapi negara ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya dalam ucapan penangguhan di Perhimpunan Agung Umno, di sini, semalam.

“Kepada Presiden Umno, Wanita ada pesanan istimewa sekali bahawa hidup Wanita taat kepada presiden.

“Dari dulu tidak kira masa, bersingsing lengan dan tegakkan petua, berikat selendang pertahankan fatwa. Setia kepada presiden, satu amanah dipegang teguh, taat memelihara parti dan ummah. Juga taat kepada janji dan maruah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menggugat hak keistimewaan Melayu, institusi raja, bahasa Melayu dan Islam di negara ini.

Katanya, jika masyarakat patuh kepada peruntukan dalam perlembagaan, maka Malaysia akan sentiasa berada dalam keadaan aman.

“Namun dalam masa sama, kami mengingatkan bahawa kaum lain juga mempunyai hak mereka yang sah di dalam Perlembagaan. Kita perlu menghormatinya kerana kita adalah masyarakat majmuk,” katanya.

Akta Hasutan: Garis tiga elemen penting

SINAR HARIAN

Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi
 
 
MELAKA - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan tiga elemen penting yang diambil kira dalam memperkasa Akta Hasutan 1948.
  
Elemen itu ialah hasutan di Internet terutama media sosial, sensitiviti keagamaan serta isu membawa keluar Sabah serta Sarawak dari Malaysia.
  
Beliau berkata elemen tersebut perlu diambil kira kerana ia amat penting dalam mengukuh perpaduan dan keharmonian antara rakyat berbilang latar belakang.
  
"Ini (tiga elemen itu) merupakan sebahagian daripada banyak elemen yang kita teliti bagi memperkasa Akta Hasutan. Perbincangan dilakukan bersama penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara untuk melihat apa yang perlu diperkasa dan dipinda.
  
"Pindaan akta ini dijangka dibentang di Parlimen pada Mac tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program 'From Bikers 4 Gaza' dan Karnival Motosikal Melaka di Autocity, Ayer Keroh hari ini yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye.

Program From Bikers 4 Gaza bertujuan meraih sumbangan bagi membantu rakyat Gaza yang ditindas regim zionis Israel manakala Karnival Motosikal Melaka selama dua hari bermula semalam mengumpulkan lebih 200 motosikal pelbagai jenis dan turut menampilkan 30 khemah pameran juga jualan produk motosikal.
  
Ahmad Zahid berkata hasutan di Internet terutama di media sosial tidak boleh dibiarkan berlaku begitu sahaja dan perlu dibendung supaya ia tidak menjadi barah perosak keharmonian negara.
  
"Akta Hasutan diperkenalkan pada 1948 yang mana pada waktu itu tiada Internet. Maka akta ini perlu dipinda bagi mengambil kira bentuk komunikasi Internet, juga bentuk komunikasi moden yang lain," katanya.
  
Bagaimanapun beliau menegaskan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merupakan akta khusus bagi menangani salah laku Internet dan pihak polis sentiasa bekerjasama dengan pihak bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam menangani salah laku itu.
  
Sementara itu Ahmad Zahid berkata kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam sebarang desakan untuk membawa pulang abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng. - Bernama

Peguam Negara tidak tegas kuat kuasa Akta Hasutan – Zam

 
Kelemahan tersebut memaksa Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menggesa Peguam Negara bertindak tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang

tan-sri-zainuddin-maidin
PETALING JAYA : Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mendakwa Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang berakhir semalam menjadi ‘undi tidak percaya’ kepada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, Peguam Negara yang dketuai Tan Sri Abdul Ghani Patail takut menghadapi kontroversi dan cabaran pihak pembangkang untuk menguatkuasakan Akta Hasutan 2014.

Menurut wartawan veteran itu, kelemahan tersebut memaksa Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menggesa Peguam Negara bertindak tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang itu serta meminta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi melakukan siasatan sewajarnya terhadap kes-kes hasutan.

“Kata Najib (Perdana Menteri) dalam Perlembagaan, Peguam Negara ada kuasa mutlak tapi kita minta ketegasan dari Peguam Negara untuk bertindak tegas. Ini bererti bahawa Peguam Negara selama ini tidak tegas.

“Sebelumnya (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi juga diberikan tepuk sorak oleh para perwakilan apabila beliau meminta Jabatan Peguam Negara membantu polis dalam menjalankan pendakwaan di bawah Akta Hasutan yang mahu diimplementasikannya dengan segera,” katanya dalam entri terbarunya zamkata.blogspot.com.

Zainuddin yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan menyifatkan kata-kata Zahid ”Jangan salahkan polis, polis hanya menyiasat dan menangkap” merupakan suatu pembelaan terhadap polis yang selalu disalahkan oleh pihak Peguam Negara kerana lemah dalam menyediakan kes untuk pendakwaan.

Beliau turut mempersoalkan apakah Peguam Negara dapat memberikan bantuan yang berkesan susulan hasrat Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri untuk mengambil tindakan serta merta di bawah akta itu dan ketegasan yang mahu dilihat oleh Perdana Menteri.

Katanya, perkara yang menjadi permasalahan kepada kerajaan adalah sekiranya Peguam Negara disingkirkan, maka ia menunjukkan berlakunya campur tangan politik dalam penyingkiran itu.

“Tetapi jika rakyat yang diberikan harapan tinggi oleh Najib dikecewakan oleh sikap Peguam Negara, maka Najiblah yang akan tersungkur. Ramai orang berprasangka bahawa Peguam Negara juga berada di belakang pengumuman Najib untuk menghapuskan akta itu,” ujar beliau.

35,000 Rumah Selangorku sebelum 2018 realistik - Exco

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Jumlah 15,000 unit Rumah Mampu Milik atau Rumah Selangorku yang diumumkan oleh Menteri Besar semasa Ucapan Belanjawan adalah sasaran di bawah insentif yang diumumkan dan mesti dibina pada tahun 2015.

"Walau bagaimanapun seperti yang saya telah umumkan pada hari pertama sidang kali ini bahawa terdapat 15,529 unit Rumah Selangor yang sama ada telah dibina, sedang dibina atau telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)," ujar Iskandar Abdul Samad.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan negeri itu berkata sebanyak 5,473 unit dibina oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri dan 9,786 unit oleh pemaju swasta.

Selain dari itu, ujarnya kerajaan negeri terus menerima permohonan dari pemaju-pemaju untuk membina Rumah Selangorku.

"Malah jawapan saya pada hari pertama sidang dewan tidak melibatkan projek-projek yang diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada minggu lepas. Ia merangkumi 4,346 unit Rumah Selangorku," katanya lagi.

Ini, jelas beliau bermakna bilangan keseluruhan Rumah Selangorku yang diluluskan setakat ini adalah 19,865 unit.

Oleh yang demikian, katanya sasaran agar 35,000 unit mula dibina sebelum tahun 2018 adalah sesuatu sasaran yang realistik.

Walau bagaimanapun, tambah beliau perlu ada pemantauan agar projek-projek yang diluluskan oleh MMKN mendapat kebenaran merancang (KM) secepat mungkin.

"Untuk memastikan ini berlaku, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku yang dipengerusikan oleh Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar sendiri," katanya.

Beliau menambah, ianya bertindak untuk membincangkan projek-projek Rumah Selangorku sebelum memasuki unit pusat setempat (OSC) di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelas Iskandar, PBT dan agensi-agensi yang terlibat akan dipanggil supaya apabila projek itu memasuki OSC, ia tidak mempunyai masalah untuk diluluskan.

Kerajaan negeri juga, kata beliau akan menghukum pemaju-pemaju yang mendapat kelulusan MMKN untuk membina Rumah Selangorku tetapi gagal membuat permohonan KM.

Tambahnya, tindakan menyenarai hitam (blacklist) akan dilaksanakan untuk pemaju-pemaju yang gagal. - HARAKAHDAILY

'Kecewa jika miliki aset maju tetapi tidak boleh diguna'

BERNAMA 


KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan yang secukupnya bagi penyeliaan dan penyelenggaraan peralatan ketenteraan.

Baginda bertitah bagi menghadapi musuh-musuh yang mengancam negara, peralatan dan persenjataan sedia ada mestilah diselia dengan baik dan sempurna supaya dapat digunakan pada bila-bila masa.

"Adalah amat mengecewakan jika memiliki aset yang maju dan canggih tetapi tidak boleh digunakan dan disimpan di dalam stor atau gudang kerana tidak mempunyai alat ganti disebabkan kekurangan kewangan," titah baginda yang juga Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Baginda bertitah demikian pada majlis Santapan Diraja Kapten Yang Dipertua TLDM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Istana Alam Shah di Istana Alam Shah, Klang, Sabtu malam.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Datuk Seri Roslan Saad, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kira-kira 800 pegawai TLDM, TUDM dan PDRM.

Selain itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga meminta semua peringkat pasukan keselamatan negara supaya berkhidmat dengan penuh jujur dan ikhlas serta mengutamakan kualiti kerja yang cemerlang.
"Gejala rasuah, salah guna kuasa dan mengutamakan kepentingan peribadi hendaklah dielakkan," titah baginda.

Baginda memuji langkah kerajaan menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan meminta ia diperluaskan dari semasa ke semasa.

Baginda menyeru rakyat supaya memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan agar matlamat untuk mengekalkan keamanan di negara ini dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya. - Bernama

Mampukah Umno pertahan kampung warisan?

KHAIRIL ABDUL RAHIM






BANDAR JENGKA: Akhirnya nasib, keluhan dan suara hati penduduk Matau di sini diserahkan melalui memorandum kepada pemimpin Umno pada perhimpunan agung parti itu pada Jumaat lalu melalui Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis). (Foto atas oleh Nasir Sudin)

Memorandum berkenaan antara lain meminta pemimpin-pemimpin parti pemerintah turut mempertahankan tanah warisan yang telah diteroka sejak berpuluh-puluh tahun lalu, daripada terlepas kepada kaum kapitalis terutama bukan Melayu.

Memorandum tersebut dirasakan tepat pada masanya di saat terdapat beberapa kerat perwakilan Umno yang begitu lantang mahukan kerajaan dan Umno sendiri mempertahankan tanah milik Melayu daripada terlepas ke tangan bangsa lain.

Seperti perjuangan mempertahankan Kampung Banggol Donas di Terengganu dan Kampung Chubadak di Kuala Lumpur, Matau yang kini dalam proses dimangsakan atas nama pembangunan juga turut menuntut perhatian pemimpin Umno.

Mengikut catatan sejarah, Matau ialah penempatan awal di kawasan Felda terbesar itu dan mula diduduki pada tahun 1969 oleh pekerja-pekerja sebuah syarikat pembalakan dari Kanada yang beroperasi di situ. Selain daripada itu ada juga penghijrah-penghijrah berbangsa Melayu dari luar Pahang yang membuka tanah di situ.

Ketika Bandar Pusat Jengka dibangunkan sekitar 1980-an di kawasan Jengka Tiga Segi merangkumi tiga daerah iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut, penduduk Matau sudah pun bermastautin dan mengusahakan pelbagai aktiviti perniagaan.

Bermula pada tahun 1986 penempatan di Matau telah diiktiraf oleh Majlis Daerah Maran (MDM) dan penduduk telah dikenakan bayaran TOL (cukai pendudukan tanah sementara). Bagaimana pun pada tahun 2000 ketika penduduk ingin menjelaskan bayaran tol seperti biasa, tiba-tiba tidak diterima oleh MDM tanpa sebarang penjelasan. Pada tahun 2003 pula MDM mengisytiharkan kawasan Matau sebagai milik MDM.

Permasalahan penduduk Matau yang tidak mendapat geran tanah dan ketiadaan bekalan air paip telah lama diperjuangkan mereka dan mendapat perhatian pemimpin politik terutama dari Umno sehingga sering kali berjanji untuk menyelesaikan permasalahan penduduk setiap kali pilihan raya.

Terdapat hampir 600 penduduk Matau dengan seratus peratus Melayu daripada 101 buah rumah termasuk 33 premis kedai di kawasan seluas 27 ekar itu.

Akhirnya MDM telah mengeluarkan notis arahan kepada penduduk supaya mengosongkan premis dan tapak di kawasan tersebut. Alasannya MDM telah menandatangani satu perjanjian dengan pemaju Mentiga Corporation Bhd.

Bagi penduduk, mereka tidak boleh menerima apapun alasan untuk pembangunan berkenaan kerana di pekan Sungai Jerik, iaitu juga dalam daerah Maran, diizinkan pula peneroka awal bukan Melayu meneruskan perniagaan mereka. Begitu juga dengan Gambang dan Sri Jaya.

Perkembangan terkini menyaksikan sudah banyak premis dirobohkan dan tanah diratakan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan tersebut.

Difahamkan pemaju akan membina lot kedai bangunan tiga tingkat dengan harga menjangkau setengah juta ringgit setiap unit.

Penduduk telahpun membawa kes berkenaan di mahkamah namun rayuan mereka untuk terus kekal menetap di situ telah ditolak.

“Kita mungkin tidak dapat lagi untuk mengembalikan tanah Matau kepada penduduknya, akan tetapi kita mahukan keadilan kepada mangsa-mangsa terutamanya peniaga,” kata salah seorang pejuang tanah Matau Mohd Syafie Mohd Isa.

“Apa yang dapat kita perjuangkan sekarang ialah menuntut kerajaan negeri memberikan pampasan setimpal yang sesuai dengan mereka.

“Umpamanya mereka perlu diberi tapak gantian yang sesuai sesuai kepada pengusaha-pengusaha kilang keropok, kilang sos, bengkel motosikal, tapak pasar mini, kedai runcit, kedai tayar, hardware dan lain-lain agar mereka dapat meneruskan perniagaan mereka seperti sedia kala.

“Mereka tidak minta jutaan ringgit sebagai tekanan atau pampasan tetapi yang mereka minta ialah tempat berteduh dan premis atau tapak yang sesuai untuk mereka meneruskan perniagaan,” katanya.

Menurut Syafie, pada masa ini perniagaan penduduk Matau terpaksa ditutup sedangkan mereka dapat menyaksikan tanah milik mereka sedang diagihkan kepada bangsa lain di atas nama pembangunan.

“Dengan itu kita minta siapa saja terutama wakil rakyat agar berbuat sesuatu demi sedikit keadilan untuk penduduk yang teraniaya ini,” keluhnya.

Tambahnya, sudah tiga generasi penduduk bermukim di situ dan setiap kali menjelang kali pilihan raya mereka dijanjikan dengan penyelesaian yang menang-menang. Namun pada hakikatnya, janji tidak pernah ditepati. - HARAKAHDAILY




PAU 2014: Solidariti Untuk Malaysia

MSTAR ONLINE
 
 
TERIMA KASIH… Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) melambaikan tangan ke arah pengamal media di hari terakhir Perhimpunan Agung Umno Ke-68 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu. -fotoBERNAMA
 
 
 
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno 2014 berakhir pada Sabtu dengan satu mesej paling jelas iaitu solidariti untuk rakyat Malaysia.

Seluruh rakyat Malaysia tiada pilihan. Kestabilan politik dan perpaduan rakyat menjadi kunci utama bagi Malaysia kekal aman dan harmoni bagi merealisasikan matlamat untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Keputusan mengekalkan Akta Hasutan 1948, ketegasan berhubung hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, Raja dan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan negara, sebenarnya menjurus ke arah solidariti rakyat Malaysia.

Menggunakan pentas perhimpunan agung tahunan parti terbesar orang Melayu, yang mempunyai 3.47 juta ahli, Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dengan berani dan tegas berkata perkara berhubung hak istimewa berkenaan tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

Ini membuktikan kerajaan mendengar dan mengambil kira pandangan rakyat yang membantah pemansuhan Akta Hasutan berikutan beberapa isu dan tindakan segelintir pihak yang menyentuh perkara sensitif sehingga menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

Laungan mesej Perdana Menteri berkenaan solidariti iaitu bersatu dalam satu angkatan yang kukuh dan padu bukan sahaja untuk solidariti Melayu dan bumiputera, solidariti Umno, tetapi yang paling penting adalah solidariti rakyat Malaysia.

Dalam keadaan Umno sedang menyongsong arus perubahan dan menghadapi landskap politik yang berbeza lagi mencabar, parti tonggak Barisan Nasional (BN) bukan sahaja bertanggungjawab terhadap Melayu dan bumiputera tetapi seluruh kaum lain.

Ketegasan kerajaan mengekalkan Akta Hasutan adalah untuk melindungi keselamatan seluruh rakyat Malaysia dan bukannya orang Melayu dan bumiputera sahaja.

Walaupun tindakan itu dilihat satu pusingan-U selepas Akta Hasutan dicadang dimansuhkan pada Julai 2012 itu bukan sahaja dikekalkan, malahan diperkukuhkan dengan dua peruntukan khas bagi melindungi kesucian agama Islam dan agama lain serta mendakwa mereka yang menghasut agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia

Kebebasan bersuara bukanlah segala-galanya. Demokrasi di Malaysia mestilah mengikut acuannya sendiri dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

"Ini mengenai perlindungan untuk semua. Kita tidak mahu konflik mana-mana agama dan etnik berlaku di negara ini. Kita akan lakukan yang terbaik untuk mencegahnya daripada berlaku, itu yang paling penting," kata Najib.

Mengenai Umno, Najib yang mengambil alih kepimpinan parti pada 2009, berkata parti itu mesti melahirkan barisan pewaris kepimpinan yang roh perjuangannya membara seperti pada mula-mula Umno ditubuhkan.

Mendengar keluhan dan rintihan anak muda yang ingin turut serta dalam perjuangan parti, Umno akan membuka pendaftaran keanggotaan secara online kepada anak-anak muda seawal usia 18 tahun, dan dikendalikan terus oleh bahagian pendaftaran Ibu Pejabat Umno pusat.

Bagi Umno merealisasikan peremajaan itu, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin berkata peremajaan parti bukan sekadar menggantikan orang lama dengan orang muda sebaliknya diterjemahkan dalam konteks menyeluruh.

Para perwakilan yang menghadiri perhimpunan termasuk peringkat sayap, seramai 5,739 orang, rata-rata bersetuju gandingan pemimpin lama dan baharu penting dan diperlukan bagi memperkukuh parti meraih kembali sokongan rakyat, khususnya generasi muda.

Perhimpunan agung yang saban tahun dinantikan banyak pihak membicarakan pelbagai isu menyentuh agenda memperkasakan ekonomi orang Melayu dan bumiputera, memartabatkan agama Islam dan akses pendidikan serta hala tuju parti bagi memastikan parti itu sentiasa memenuhi aspirasi rakyat keseluruhannya yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa.

Bina rumah mampu milik di Rizab Tanah Melayu


Grafik Sinar Online Grafik Sinar Online
 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran mempertimbang cadangan menggunakan Tanah Rizab Melayu untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi orang Melayu.

Menurut Pemuda Umno Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, langkah tersebut dicadangkan bertujuan membantu bangsa Melayu dari segi ekonomi dan sara diri.

"Kerajaan negeri lain perlu mencontohi pentadbiran kerajaan Johor atas kejayaannya meningkatkan peratusan tanah Rizab Melayu di negeri itu.

"Kita juga perlu segerakan penubuhan satu badan pentadbir khas Majlis Tanah Amanah Negara seperti yang dicadangkan oleh Ketua Pemuda Johor, Hahasrin Hasyim," katanya dalam siri perbahasan "Ekonomi Orang Muda: Tongkat Sakti atau Kudis Buta" di hari terakhir Perhimpunan Agung Umno yang mengambil tempat di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Dalam pada itu beliau turut menyeru kerajaan untuk  mempertingkatkan keluasan dan pembangunan Tanah-tanah Rizab Melayu di negara ini.

"Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak yang berkeupayaan dalam menangani perkara ini.

"Proses pertukaran status tanah dan geran wajar dipercepatkan. Kadar premium tukaran status tanah juga boleh dikurangkan untuk menarik minat pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik," jelasnya.

Lantikan semula bukti Anwar masih berbisa


Prof Dr Azmi Hassan - Foto Bernama Prof Dr Azmi Hassan - Foto Bernama



SHAH ALAM – Keputusan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali melantik semula Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor disifatkan menongkah arus tindakan yang dilaksanakan bekas menteri besar sebelum ini.

Pensyarah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, Azmin cuba membuktikan tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menutup pejabat Penasihat Ekonomi Selangor adalah sesuatu yang tidak wajar, malah ketua pembangkang itu masih relevan memegang posisi berkenaan.

“Lantikan semula ini menunjukkan Anwar masih berbisa, bagaimanapun Azmin perlu tegas dalam menjalankan pentadbiran negeri agar tidak mudah dipengaruhi.
“Tetapi Azmin tidak akan menjadi ‘remote control’, sebaliknya banyak keputusan membabitkan hal pembangunan Selangor akan mendapat tempias daripada Anwar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Azmi menambah, pelaburan luar negara mungkin tidak akan berubah namun diramalkan Anwar akan membantu merancakkan pembangunan infrastruktur.

“Sebab berdasarkan sejarah Anwar, beliau tidak banyak membantu menyuntik pelaburan besar ke Selangor. Malah keputusan Azmin kelak akan selari dengan hasrat penasihat ekonomi,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berpendapat Azmin mengambil risiko besar kerana Anwar masih menanti keputusan Mahkamah Persekutuan yang menangguhkan tarikh lain keputusan rayuan akhir terhadap sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

“Tindakan Azmin melantik semula Anwar dilihat sebagai menghargai hubungan akrab mentornya, bagaimanapun saya yakin beliau mempunyai rasional tersendiri.

“Umum maklum jawatan berkenaan tidak diperlukan memandangkan Anwar telah memegang banyak peranan lain, contohnya selaku ketua pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh. Ia dilihat  membebankan beliau,” katanya.

Kelmarin, Azmin yakin Ketua Umum PKR itu mampu memainkan peranan penting  dalam usaha menarik minat pelabur luar ke Selangor.

Katanya, Anwar boleh memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri itu.

Selasa lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Shamsudin Lias sewaktu sesi perbahasan mencadangkan kerajaan negeri menutup terus pejabat Penasihat Ekonomi Selangor kerana dilihat hanya membazir.

Rasuah: Akar Umbinya Di Sekolah

Oleh: SHAH A. DADAMEAH
 
 
Pegawai polis mengiringi pegawai Kastam yang didakwa atas tuduhan rasuah tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pada 29 Spetember lalu. Seramai lapan pegawai Kastam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen KL terhadap 25 pertuduhan menerima rasuah.
 


KIRA-KIRA seramai 30 orang pegawai Kastam dilaporkan ditangkap kerana disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah.

Ada yang sudah dihukum, ada yang menunggu untuk dihadapkan ke mahkamah dan ada kes yang masih disiasat.

Persoalannya, adakah jabatan ini akan menjadi lebih bersih dan segala unsur-unsur rasuah dilenyapkan setelah semua kes berjaya diselesaikan?

Seperkara lagi, adakah jabatan-jabatan lain akan turut berwaspada mengenai gejala rasuah ini dan berani bertindak untuk mendedahkan pegawai-pegawai yang korup di kalangan mereka?

Yang sangat-sangat diharapkan ialah mereka yang mulanya menawarkan dan memberi rasuah akan juga ditangkap dan dihukum.

Rasuah merupakan suatu perbuatan yang bersifat maut kerana ia membawa kepada kemusnahan yang berkekalan kepada hidup keluarga.

Bayangkan, bila seseorang yang dituduh kemudian dipenjarakan kerana makan suap, isteri dan anaknya akan merana sepanjang hayat sebab masyarakat akan menyisihkan mereka dan tiada siapa ingin membantu.

Rasuah juga membawa keaiban kepada pihak pemerintah, pentadbiran undang-undang dan penyelengaraan ekonomi negara.

Rasuah membuat orang lupa kepada nilai-nilai perikemanusiaan, keikhlasan dan amalan-amalan soleh yang dianjurkan oleh agama.

Malah, alim ulama juga tidak terkecuali bila rasuah menular.

Rasuah ibarat raksasa yang ganas dan tidak mempunyai keperihatinan atau rasa belas kasihan ke atas mangsa-mangsanya, tidak kira siapa.

Ia berlaku di siang hari, ia juga berlaku di sebelah malam; ia berlaku di sebalik pintu yang tutup, ia juga berlaku di luar bilik dan secara terbuka.

PINTAS DARI BAWAH

Penulis berpendapat bahawa penyelewengan dan rasuah lebih mudah dipintas dari peringkat bawahan; lebih baik dari bilik darjah.

Kita sering dengar pihak sekolah menganjurkan kempen mengutip derma dengan pemberian hadiah lumayan kepada kanak-kanak yang dapat mengumpul derma terbanyak.

Kita boleh buat andaian yang munasabah bahawa anak orang kaya, dengan menggunakan kabel mak bapanya, berupaya mendapat sumbangan ratusan ringgit untuk memenangi hadiah yang sekolahnya tawarkan.

Murid di kalangan golongan miskin agak susah mengumpul wang begitu banyak, dan ini akan mendorongkan mereka mencari muslihat untuk menambahkan dana.

Misalnya, mereka akan mencuri wang daripada ibubapa atau memeras ugut budak-budak lemah untuk mendapat wang.

Ataupun, mereka akan ponteng sekolah dan membuat kerja sampingan, seperti mencuci kereta untuk mendapat upah.

Dalam kedua-dua keadaan, kita dapat melihat  pentadbiran sekolah sudah mula menyemaikan sifat tamak haloba ke dalam sanubari pelajar-pelajar muda mereka.

Pihak persatuan guru-ibubapa dan masyarakat setempat juga bertanggung jawab kerana bersubahat serta menggalakkan salahlaku di kalangan murid.

Sudah tentu, di sinilah lahirnya cinta kepada rasuah.

Amat mengeciwakan jika kita cuba menafikan perkara paling asas ini.

Kaum remaja pula, terutama di kalangan penuntut maktab dan universiti, berminat membuat protest.
Namun, penulis menganggap kaedah yang di gunakan tidak tepat, kerana mereka selalu membuat andaian bahawa rasuah berlaku hanya di dalam kerajaan dan di dalam parti kerajaan yang tertentu.

Maka, protest mereka tidak memberi kesan kerana pihak yang menjadi sasaran juga akan mendedahkan ahli dan aktivis politik yang lebih korup dikalangan penaja-penaja protest itu.

Yang jelas, tiada aktiviti yang bebas daripada gejala rasuah; samada di bidang sosial, pendidikan, economi, malah, juga di bidang kehakiman dan keagamaan.

Ini suatu lagi hakikat – samada suka atau tidak – yang mesti kita terima jika bersungguh-sungguh ingin melenyapkan rasuah secara muktamad.

MENJADI MANGSA NODAAN

Sememangnya, manusia berdepan dengan pelbagai nodaan.


Wang, barang kemas, malah, wanita juga menjadi umpan bagi pegawai tinggi dan politikus yang tidak bersegan silu untuk menerima imbuhan-imbuhan seperti ini.

Mereka tak berupaya menahan tangan mereka yang selalu gatal untuk mencapai sesuatu yang menguntungkan.

Godaan wang dan emas menjadi  sebahagian pekung yang ada pada mereka.

Lebih getik ialah sikap hipokrit yang menyertai sifat tamak haloba mereka.

Amat sedih bila seseorang yang korup, selepas mengambil rasuah, bercakap-cakap pula pasal isu moral, kemuliaan insan, dan ketakwaan kepada Allah.

Lagi jelek bila mereka menyuruh dan menyeru kita agar menjadi manusia yang jujur dan ikhlas, dengan mengambil contoh Nabi Muhammad s.a.w dan insan-insan lain yang turut mengajar mengenai kebaikan sesama insan, seperti pujangga tersohor Luqman Hakim, Mahatma Ghandi dan Nelson Mandela.

Sikap hipokrit ini membuat penyelewengan mereka lebih tenat tapi pak menteri, ahli politik, ketua masyarakat dan pegawai besar yang sudah biasa dengan amalan buruk ini tidak menghirau akan risikonya.

ADAKAH IA RESAM HIDUP?

Mereka begitu yakin pihak perundangan tidak akan mengesan mereka.

Mereka tetap memegang kepada pendirian bahawa rasuah adalah resam hidup yang tidak dapat dielak; kononnya ia sebahagian daripada menjalankan tugas demi  mendapat pencapaian terbaik untuk jabatan atau pertubuhan mereka.

Mereka tidak melihatnya sebagai suatu penyakit yang bisa dan membinasakan diri.

Sungguh malang, terdapat ramai orang yang sudah menjadi penagih rasuah dan tindak tanduk mereka dituruti ahli keluarga dan anak buah di tempat mereka bekerja.

Sesungguhnya, negara perlu transformasi yang menyeluruh agar kemansuhan rasuah tidak sekadar menjadi impian dan janji-janji kosong.

Bermuafakat membawa berkat. Maka, setiap golongan masyarakat mesti membantu secara aktif untuk membina sebuah negara yang bebas daripada RASUAH.

BR1M: Beri Atau Tidak?


Oleh: MAT RODI
 
 




IA bergantung bagaimana anda melihatnya.

Tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang akan menolak pemberian percuma. Lagi-lagilah jika wang percuma. Sesiapa yang berbuat demikian mungkin sudah terlalu kaya ataupun kurang siuman.

Tidak ada juga kerajaan di dunia ini yang mahu dilabel sebagai kurang siuman kerana tidak memberikan apa-apa ‘bentuk pemberian’ kepada rakyatnya.

Sebagaimana subsidi-subsidi yang lain, BR1M juga mempunyai baik buruknya.

RM4.5 bilion setahun adalah jumlah yang banyak. Tidak lama lagi, jumlah ini akan menjadi RM9 bilion setahun. Jika penjimatan daripada program rasionalisasi subsidi lebih rendah daripada angka pemberian BR1M, kita boleh mengucapkan selamat tinggal kepada usaha untuk mengurangkan kadar defisit negara.

Persoalan timbul, apakah impak positif kepada ekonomi melalui pemberian BR1M?

Dengan RM4.5 bilion berlegar di dalam kitaran ekonomi, ia semestinya meningkatkan permintaan terhadap pasaran domestik. Orang ramai akan berbelanja lebih. Peniaga mendapat lebih keuntungan dan keuntungan tersebut akan dicukai oleh kerajaan.

Jadi secara asasnya kerajaan akan mendapat kembali wang BR1M tersebut. Ini jauh lebih baik daripada kerajaan memberikan subsidi kepada GLC yang kemudiannya menggunakan wang tersebut untuk membeli hartanah di London, misalnya.

TELUS LWN WAJAR

Selain daripada mengurangkan beban golongan susah, BR1M adalah pemberian yang telus. Lebih tujuh juta rakyat Malaysia menerima manfaat BR1M dan mustahil untuk kita katakan tujuh juta penerima ini adalah kroni kerajaan.

Dari segi politiknya, BR1M tidak boleh dinafikan kepentingannya dalam membantu populariti kerajaan. Pembangkang yang sedar akan hal ini juga terpaksa mengakui kepentingan politik BR1M sehinggakan mereka hanya mampu berhujah 'ambil wang itu tetapi undi kami.

'Malangnya BR1M tidak benar-benar membantu dari segi undi semasa pilihan raya. Mungkin ia agak berkesan di kawasan-kawasan tertentu tetapi secara keseluruhannya BR1M tidak membantu parti pemerintah.

Apapun, tidak kiralah dari sudut politik atau ekonomi, pemberian wang tunai kepada rakyat tidak wajar diteruskan untuk jangka masa panjang.

Wang BR1M hanya boleh membawa kesan gandaan optimum apabila kurangnya pelaburan sektor swasta ke dalam ekonomi negara.

Kerajaan sebagai pelabur terbesar perlu berbelanja untuk merangsang ekonomi. Pemberian BR1M adalah salah satu cara menggalakkan perbelanjaan. Tetapi itu cerita semasa krisis ekonomi.

Jadi apabila seorang bekas perdana menteri menyuarakan kebimbangannya terhadap BR1M, beliau hanya menyatakan hakikat bahawa kita mempunyai sebuah kerajaan yang sedang menghadapi defisit dan memikul hutang yang besar.

PRO-INDUSTRI

Kita wajib memahami insan yang membuat kritikan ini adalah seorang lelaki pro-industri. Beri beliau RM800 juta, beliau akan mewujudkan sebuah industri automotif - bukan sahaja menghasilkan Proton, tetapi turut membangunkan sehingga rantaian nilai yang lengkap; vendor, alat ganti, reka bentuk, insurans dan lain-lain.

Bukan ingin mengagungkan beliau tetapi hakikatnya inilah insan yang telah menerajui industri minyak dan petroleum di Malaysia sehingga Petronas menjadi pemain utama O&G dunia dengan modal yang tidak sampai bajet BR1M setahun.

Dengan hanya beberapa bilion ringgit juga, sebuah koridor multimedia diwujudkan dan hari ini kita dapat saksikan beberapa syarikat multimedia yang telah berjaya dan juga animasi terkenal seperti ‘Upin & Ipin’ menjadi pemain utama industri tersebut.

Ini belum dicampur lagi dengan beberapa projek infrastruktur yang pada zaman beliau dianggap ‘gajah putih’ tetapi telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pendek kata, bagi seseorang seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau lebih gemar mewujudkan industri baru yang menghasilkan pekerjaan, meningkatkan pengetahuan dan teknologi yang mana pada akhirnya menyumbang kepada pendapatan kerajaan juga.

Hanya dengan melihat perkara-perkara ini kita dapat memahami mengapa beliau dan mungkin juga sebilangan besar insan pro-industri di Malaysia menyokong supaya pemberian BR1M dihentikan.
Sifirnya mudah - wang itu lebih baik dibelanjakan untuk sesuatu yang lain khususnya dalam mewujudkan sesuatu yang lebih bernilai.

Bayangkan apa yang boleh dihasilkan melalui RM 4.5 bilion. Kita boleh menaik taraf kesemua lapangan terbang di seluruh negara untuk mewujudkan beberapa hub tambang murah di utara, selatan, timur dan barat tanah air.

Kita juga boleh membiayai produser-produser Hollywood untuk membikin filem bertaraf blockbuster seperti Transformers, Lord Of The Ring dan Star Wars di Malaysia.

Kesemua ini hanyalah contoh. Tetapi ideanya adalah, ia jauh lebih bernilai daripada pemberian wang tunai kepada rakyat yang boleh dibelanjakan habis dalam tempoh 24 jam.

PERKETATKAN BR1M

Sebagaimana subsidi yang lain, BR1M lambat laun akan menjadi seperti candu yang mana akan menyebabkan ketagihan rakyat. Dan kita semua tahu apabila sudah ketagih, adalah amat sukar bagi kerajaan untuk menarik balik ‘candu’ ini.

Memberi itu mudah tetapi untuk mengambil kembali adalah ibarat membunuh diri. Jika pemansuhan 20 sen subsidi gula pun sudah boleh menyebabkan banyak masalah kepada kerajaan, bayangkan apakah wang RM1,200 BR1M boleh lakukan.

Kerajaan boleh menimbang untuk memberikan BR1M berdasarkan prestasi ekonomi negara. Mungkin dengan cara ini, ia memberi galakan kepada rakyat untuk meningkatkan produktiviti negara. Pada masa yang sama, kriteria penerima BR1M diperketatkan agar lebih kurang penerimanya.

Sesungguhnya kita tidak perlu mendabik dada dengan mengatakan lebih tujuh juta rakyat kita adalah penerima BR1M.

Bukankah dengan berkata begitu bermakna tujuh juta rakyat Malaysia sebenarnya tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi sehingga menyebabkan mereka perlu menerima wang BR1M?

Menaikkan pendapatan tujuh juta orang ini melalui pemberian wang tunai juga 'superficial'. Ini bukanlah perkara yang perlu dibanggakan.

> Mat Rodi atau Radzi Tajuddin, 24, adalah seorang graduan dalam bidang senibina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau adalah anak jati Selayang dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana di Manchester School of Architecture. Beliau juga adalah seorang penulis bebas dan kolumnis mStar.

Peruntukan Program Bantuan Rumah bakal dinaikkan


Datuk Seri Mohd Shafie Apdal Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan bakal menaikkan peruntukan Program Bantuan Rumah (PBR) bukan sahaja bagi membina rumah malah membantu rakyat memiliki tanah kepada mereka yang layak.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah itu bertujuan membantu rakyat di luar bandar yang tidak berpeluang menikmati skim tersebut kerana tidak memiliki tanah atau tapak rumah.

"Pada masa ini, rakyat luar Bandar menikmati Program Bantuan Rumah (PBR) dengan peruntukan RM 40,000 bagi sebuah rumah.

"Hakikatnya ramai orang di luar Bandar yang layak tetapi tidak mempunyai tanah yang akhirnya menyebabkan mereka tidak berpeluang menikmati program ini," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan di Persidangan Agung Umno 2014 di PWTC, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah juga menyarankan kerajaan supaya Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diperluaskan kepada penduduk di luar bandar.

"Ini bagi membolehkan mereka yang layak turut mengecapi kemudahan serupa dengan masyarakat bandar," katanya lagi.

Najib: Jangan pertikai lagi hak Melayu, raja dan agama Islam

MALAYSIAKINI



 
 
 
Perhimpunan Agung Umno 2014, berakhir dengan mesej tegas dan lantang Presiden Umno bahawa hak keistimewaan orang Melayu, Raja dan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan negara, tidak boleh dipertikaikan lagi.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata seluruh rakyat Malaysia perlu berhenti berbalah mengenai perkara berkenaan, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada usaha memajukan negara, lapor Bernama.
 
"Kebebasan pun ada had. Kebebasan bukan mutlak. Tak boleh hina agama Islam, tak boleh cabar hak istimewa Melayu, tak boleh persoal sistem Raja-Raja Melayu, askar Melayu dan kita jaga kepentingan kaum lain.
 
"Jadi, amanlah kita. Asyik berbalah memanjang... kerja lain tak jadi. Saya nak kita memberi fokus bahawa kita majukan negara Malaysia tercinta ini. Kita nak bawa Malaysia ke depan. (Bukan) asyik berbalah saja," katanya dalam ucapan penggulungan perhimpunan itu di PWTC hari ini.
 
Ketegasan perdana menteri itu disambut sorakan dan tepukan gemuruh lebih 2,700 perwakilan yang berada di Dewan Merdeka, malahan mereka yang mengikuti ucapan itu di luar dewan.

Najib berkata atas rasa tanggungjawab bagi mengekalkan keamanan dan keharmonian negara serta menangani tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan perlembagaan negara, maka Akta Hasutan 1948 dikekalkan.
 
"Orang kata Akta Hasutan tak demokratik, akhbar antarabangsa serang saya. (Tuduh) saya mungkir janji, guna kekerasan. 
 
"Saya nak beritahu, tanggungjawab saya sebagai perdana menteri jaga keamanan dan keselamatan dalam negara kita," kata Najib, yang mengumumkan pengekalan Akta Hasutan 1948 semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Khamis.
 
Menyorot kembali bagaimana Malaysia mencapai kemerdekaan, mengecapi keamanan dan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama, beliau menekankan bahawa konsep solidariti adalah asas kejayaan itu.
 
Najib turut menjelaskan bahawa solidariti yang beliau tegaskan semasa menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dan telah menjadi antara topik perbahasan Perhimpunan Agung Umno kali ini bermaksud: 'bersatu dalam satu angkatan yang kukuh dan padu'.
 
Sambil menunjukkan salinan akhbar terbitan 1 September 1957, Najib berpendapat kata-kata Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman: "Look at the past with gratitude, look to the future with confidence" (Lihat masa lalu dengan rasa terhutang budi, lihat kepada masa depan dengan keyakinan), masih relevan diguna pakai pada hari ini. 
 
Kata Najib, keyakinan itu sebenarnya dibentuk hasil daripada perjuangan parti keramat Umno sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini. 
 
Bagaimanapun, Perdana Menteri turut menarik perhatian perwakilan akan peri pentingnya Umno dan Barisan Nasional (BN) terus meraih sokongan kaum lain. 
 
Katanya, tidak mungkin pemimpin negara terdahulu menubuhkan Parti Perikatan yang mewakili tiga kaum terbesar di negara ini, yang seterusnya dijenamakan semula sebagai BN, jika ia tidak memberi faedah kepada orang Melayu. 
 
"Sebab itulah penting bagi kita jaga BN, tapi tidaklah sampai mengorbankan prinsip-prinsip yang dekat di hati orang Melayu. 
 
"Orang kata Melayu adil, tegas, kontrak sosial dan sebagainya itu kenapa? Sebab kita bukan hanya nak tengok soal pilihan raya, tapi nak bina sebuah negara Malaysia, negara bangsa yang berjaya," katanya.

Sabtu, 29 November 2014

Akta Hasutan: Najib tak berjanji, sebaliknya kata mahu mengkaji

Oleh Shuhaniza Said & Wan Anis Ilayani W. M.Azhar
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Reaksi pihak pembangkang yang mendakwa Perdana Menteri 'mungkir janji' berhubung pengekalan Akta Hasutan 1948 diibaratkan seperti 'cacing kepanasan', kata Perwakilan Kedah, Haji Mohd Kamal Saidin.
 
Beliau berkata, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada waktu itu tidak pernah berjanji untuk memansuhkan akta zaman British itu, sebaliknya hanya berkata mahu mengkaji akta tersebut.
 
"Bagi yang yang tak setuju maka mereka buat berbagai tohmahan fitnah.. semalam saya baca surat khabar, pihak pembangkang telah membangkitkan nahawa Preiden kita kononnya tak menepati janji tentang Akta Hasutan. 
 
"Bukan beliau berjanji nak hapuskan, beliau kata nak dikaji, nak diteliti.. tapi dengan syarat. Ini kena jawab bila balik ke kawasan.. Presiden tak pernah berjanji tapi sebaliknya minta syarat...kalau mereka beri sokongan dan keyakinan, kalau umno terus menerajui maka kita akan mengkaji," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin. 
 
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Najib gagal mengotakan janji yang telah dibuat pada 2012 yang mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948.
 
Najib pada 2012 pernah berkata Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan, dan digantikan dengan akta baru, yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.
 
Beliau bagaimanapun akhirnya menamatkan teka-teki berkenaan apabila mengumumkan pengekalan Akta Hasutan 1948 sewaktu menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2014, dua hari lalu. 
 
Mengulas lanjut kata beliau, pihak pembangkang adalah pihak yang memungkiri janji.   
 
"Kalau nak diagih tentang janji, siapa yang memungkir janji? Merekalah yang mungkir janji.. mereka siapa? Kaum cauvinis.. pelampau perkauman, ekstremis yang anti Islam, pembangkang Melayu yang bersekongkol dengan pengkhianat negara.
 
"Tapi kena berbalik apa akan jadi jika Akta Hasutan ini kalau dikekalkan dan ditambah baik, kalau kita dapat tangani bersama saya yakin baahwa negara kita dapat dikekalkan kestabilan dan keamanan," katanya.

[VIDEO] Najib Tunduk Kepada Golongan Ektremis Dalam UMNO

KELAB GREENBOC




Mujahid: Bagaimana pula pada 2014, Akta Hasutan jadi relevan?

Ahli Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN), Datuk Mujahid Yusof Rawa kesal dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan.

"Saya melahirkan rasa kesal dengan kenyataan tersebut," kata Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar dan pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS.

Katanya, pada 11 Julai 2012, Najib yang juga presiden Umno telah berikrar untuk memansuhkan Akta Hasutan dengan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional atas alasan Akta Hasutan tidak lagi releven.

"Bagaimana pada tahun 2014 ia menjadi releven pula?" soal Dr Mujahid dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, MKPN dibentuk sendiri oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan melalui Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar, telah diminta oleh JPM untuk memberi input kepada undang undang baru bagi menggantikan Akta Hasutan.

Jawatankuasa tersebut, tegasnya, telah pun menyediakan input dan mengadakan siri rundingan awam supaya undang-undang baru yang dinamakan RUU Keharmonian Nasional dapat disediakan.

Bahkan, kata Mujahid, draf tersebut sudahpun diserahkan kepada majlis penuh MKPN dan Jabatan Perdana Menteri.

"Dengan memperkukuhkan Akta Hasutan, presiden Umno telah mengirimkan isyarat yang salah bahawa undang-undang penjajah ini perlu dikekalkan sedangkan suasana hari ini menuntut undang-undang negara lebih releven dan menepati zaman.

"Secara substantif, Akta Hasutan mempunyai tahap pembuktian yang rendah dan terdedah kepada salahguna kepada maksud menghasut dan mengancam, sedangkan akta baru yang dicadangkan mengetatkan tahap pembuktian dan bagi memelihara pada waktu yang sama kebebasan bersuara," tegas Mujahid.

Katanya, dalam muktamarnya yang lalu, PAS turut meluluskan usul sebulat suara supaya Akta Hasutan dihapuskan dan digantikan dengan yang lebih baik untuk memelihara kepentingan keharmonian nasional.

"Ternyata dengan pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri ini membuktikan beliau adalah seorang tidak mempunyai pendirian tetap dan telah mungkir janji untuk memansuhkan Akta Hasutan yang telah diikrarkannya sebelum ini.

"Lebih malang, apakah perdana menteri telah tunduk kepada golongan ektrimis dalam Umno yang mahukan Akta Hasutan ini dikekalkan?" katanya.



Akta Hasutan: Janji adalah komitmen, kata Majlis Peguam kepada Najib

Majlis Peguam mengingatkan Datuk Seri Najib Razak hari ini, janji kepada rakyat ialah komitmen yang kukuh, susulan keputusan perdana menteri itu berhubung penarikan semula janjinya pada 2012 bagi menghapuskan Akta Hasutan.

Bertujuan memastikan Najib bertanggungjawab terhadap ikrarnya, Presiden Majlis Peguam Christopher Leong berkata, satu janji menandakan wujud satu komitmen melaksanakan sesuatu perkara walau bagaimana susah sekalipun.

“Majlis Peguam sangat kecewa perdana menteri dilaporkan berkata Akta Hasutan 1948 tidak akan dimansuhkan, dan beliau tidak akan menepati janjinya berhubung perkara itu.

“Seperti yang kita biasa faham, janji ialah satu komitmen melaksanakan sesuatu walaupun dalam keadaan yang sukar, bukan hanya sekiranya ia mudah dilakukan,” kata Leong dalam satu kenyataan.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pemimpin Barisan Nasional (BN) lain juga akan seumpama itu berpatah balik dengan kenyataan mereka dan menyokong Najib dalam melindungi undang-undang era penjajah itu.

“Adakah pemimpin negara kita yang lain turut memungkiri pendirian mereka yang dinyatakan secara umum menentang Akta Hasutan?

“Adakah mereka akan mengambil pilihan mudah atau sebaliknya melakukan perkara yang betul?

“Majlis Peguam menyeru kerajaan menunaikan janjinya memansuhkan Akta Hasutan, dan merangka satu undang-undang baru keharmonian nasional yang menganjurkan kepada keharmonian dan kedamaian yang tulen,” katanya.
-TMI

LIHAT VIDEO DI SINI

Mashitah Patut Ditahan & Disiasat Di Bawah Akta Hasutan

KELAB GREENBOC



 
DAP buat laporan polis terhadap Mashitah

DAP membuat laporan polis terhadap Ketua Wanita Umno Baling Datuk Mashitah Ibrahim berhubung kenyataannya yang masyarakat Cina didakwa membakar al-Quran semasa upacara sembahyang.

"Kami merasakan bahawa kenyataan ini tidak bertanggungjawab," kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Katanya, hanya terdapat satu kejadian itu dilaporkan di Kedah, tetapi Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir menjelaskan pada 24 November bahawa pelakunya adalah seorang lelaki Melayu yang mengalami sakit mental.

Menteri besar juga mendedahkan bahawa al-Quran tidak terbakar tetapi dikoyak.

Teo berkata Mashitah perlu disiasat di bawah Seksyen 298 (A) dan 505 Kanun Keseksaan.

Seksyen 298 (A) berhubung kesalahan yang boleh memudaratkan keadaan harmoni dan perpaduan, manakala Seksyen 505 mengenai kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Mashitah telah membuat kenyataan itu semasa perhimpunan agung Wanita Umno ketika menggesa ahli sayap itu mempertahankan Islam.

Teo berkata, walaupun jika laporan membakar Quran oleh masyarakat Cina itu benar, rakyat akan menentangnya dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Malah jika lelaki atau perempuan Cina atau bukan Islam yang membakar al-Quran, kita semua akan mengutuk perbuatan sedemikian," katanya.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mengiringi Teo membuat laporan di balai polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Setiausaha Politik penasihat DAP Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud dan ahli parti itu, Syefura Othman.

Bercakap kepada pemberita, Dyana berkata kenyataan Mashitah itu adalah "tidak wajar" dan boleh mencetuskan ketegangan kaum. -mk

ULASAN GB

Sepatutnya, Mashitah Ibrahim menjadi orang pertama yang perlu ditahan di bawah Akta Hasutan setelah ianya dikekalkan oleh Najib kerana mengeluarkan kenyataan yang benar-benar bersifat "menghasut".

Semua orang tahu bahawa kes bakar (koyak?) Al-Quran di Pulau Pinang itu adalah angkara seorang Melayu yang tidak siuman.

Tiba-tiba Mashitah menuduh ia dilakukan orang Cina di dalam upacara sembahyangnya.

Polis perlu adil dan saksama di dalam menjalankan siasatan dan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas Mashitah. Jangan pilih kasih dan pilih bulu.

Wanita Umno bimbang tanah rizab terhakis

MALAYSIAKINI

 
 
Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sekali lagi meyuarakan kebimbangan pergerakan itu berhubung tanah rizab Melayu terhakis termasuk di negeri-negeri yang tidak diperintah oleh BN.
 
Beliau berkata pihaknya khuatir mana-mana kerajaan negeri menggunakan "alasan teknikal" untuk memiliki tanah rizab melayu sehingga tanah itu terhakis.
 
"Sehubungan itu, kita minta Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menguruskan (satu) pindaan perlembagaan untuk memberi kuasa Peguam Negara sebagai 'custodian' untuk berkuasa membuat petisyen di mana tidak ada ganti wajib atau ganti semula kepada tanab rizab Melayu.
 
"Kita takut nanti ia akan dituntut oleh waris kita sebelum ini kerana kita gagal mewariskan sebuah negara kepada orang Melayu," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di perhimpunan agung Umno di PWTC hari ini.
 
Selain itu, Shahrizat memberi amaran bahawa pihaknya tidak akan berkompromi sebagai jentera politik untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kontrka sosial.
 
"Jadi jangan ada sesiapa berhasrat untuk mempertikaikan agama Islam, institusi raja, hak istimewa orang Melayu dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.
 
"(Oleh itu) patuh peruntukan perlembagaan, sihatlah Malaysia," katanya 
 
Shahrizat turut mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri yang "mendengar" suara Wanita dengan mengekalkan Akta Hasutan selepas pergerakan itu berusaha mengutip satu juta tandatangan sebagai bantahan pemansuhannya.
 
"Ini satu keberanian kepada perdana menteri Malaysia," katanya.

Beranikah Najib Mendakwa Jurucakap Perhimpunan UMNO Dengan Akta Hasutan?

shahbudindotcom


Beberapa cabaran kini menanti Najib Razak di sebalik keputusannya untuk terus mengekalkan Akta Hasutan 1948  di perasmian Perhimpunan Agung UMNO, Khamis lalu setelah dua tahun lalu berjanji mahu memansuhkannya.

Kumpulan kanan dalam UMNO dan masyarakat yang gembira dengan pengekalan Akta Hasutan tidak akan berhenti setakat ini saja. Mereka kini bakal menumpukan tekanan agar Najib mengembalikan semula ISA dan Ordinan Darurat yang sudah dimansuhkannya sebelum ini.

Kejayaan menekan Najib sehingga Akta Hasutan tidak jadi dimansuhkan adalah kejayaan bagi kumpulan ini dan sekaligus merupakan "lesen besar"  untuk mereka melakukan gugatan yang seterusnya.

Berbanding Akta Hasutan, lebih ramai golongan kanan ini berpendapat bahawa menghapuskan ISA adalah salah satu tindakan "paling bodoh"  yang dilakukan Najib selaku ketua sebuah kerajaan.

Jelas bahawa mereka ini belum cukup puas hati selagi ISA dan Ordinan Darurat tidak dikembalikan sama. Mereka hanya benar-benar gembira dan puas hati dengan kepimpinan Najib jika beliau sanggup memulihkan semula semua akta-akta tersebut.

Ini sekali lagi merupakan tekanan yang berterusan kepada Najib kerana sementara beliau terus ditekan oleh kumpulan kanan yang "mahu paha setelah mendapat betis", sebaliknya golongan liberal dan pejuang kebebasan pula mahukannya komited dengan janji-janji pembaharuan dan keterbukaan yang selalu dilaung-laungkannya.

Golongan liberal dan pro hak asasi yang turut disokong oleh pembangkang tidak menunggu lama untuk menyerang dan mengecam Najib sebagai seorang yang mungkir janji setelah Akta Hasutan ini diumum untuk terus dikekalkan.

Golongan ini bukan saja berikrar akan terus berjuang ke arah penghapusan Akta Hasutan, malah mulai melabelkan Najib sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai, mungkir janji serta mudah mengalah kepada tekanan. Najib juga diperingatkan bahawa janji adalah suatu komitmen.

Dianggap sebagai janji terbesar kepada rakyat yang dimungkirinya ialah membatalkan pemansuhan Akta Hasutan, rakyat juga tentunya tidak lupa dengan beberapa janji Najib seperti tidak menaikkan harga minyak dan ikrar lebih mendengar keluhan rakyat bawahan, turut juga dimungkirinya sebelum ini.

Dengan ini, bersama banyak janji lain yang tidak ditepati serta janji berkaitan pemansuhan Akta Hasutan, ianya bakal memberi kesan besar kepada sokongan BN dalam pilihanraya akan datang, terutamanya daripada pengundi bukan Melayu dan mereka yang tinggal di bandar atau separa bandar.

Di kelompok yang lain, Najib kini mula dilihat sebagai pemimpin yang paling lemah, mudah mengalah dan tidak kukuh pendiriannya. Beliau juga dilihat sebagai pemimpin yang tidak memikir dengan mendalam sebelum mengumumkan sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Ramai yang menganggap keputusan Najib mengekalkan Akta Hasutan ini semata-mata untuk kepentingan diri dan masa depannya yang semakin kelam dalam UMNO. Beliau dikatakan hanya ingin meredakan kemarahan dalam partinya sendiri yang ternyata masih kuat dengan aliran kanan dan konservatif.

Tambahan pula, sebaik Akta Hasutan terus dikekalkan, Dewan Merdeka di mana sedang berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO ketika ini terus bergema dengan ucapan banyak jurucakap yang terus menyentuh isu-isu kaum dengan menyerang pihak lain yang dianggap cuba mengancam dan menggugat mereka.

Tanpa menyedari bahawa Dewan Merdeka bukanlah Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang memberikan kekebalan untuk bercakap apa saja, ramai jurucakap dalam Perhimpunan Agung UMNO seakan terlupa hakikat ini. Banyak nada rasis, perkauman, serangan dan sentuhan hal-hal sensitif melibatkan kaum lain dapat didengar dalam perhimpunan kali ini.

Sebagai meraikan kejayaan mengekalkan Akta Hasutan, lebih ramai yang tampil mahu menjadi juara bangsa pada perhimpunan kali ini kerana menganggapnya suatu kejayaan bagi mereka.

Untuk membuktikan bahawa Akta Hasutan dikekalkan tidak semata-mata untuk kepentingan dirinya atau UMNO, sesuatu yang harus Najib buktikan ialah berani mengenakan dakwaan di bawah akta tersebut keatas mana-mana jurucakap Perhimpunan Agung UMNO kali ini yang didapati melampau dari segi menyentuh isu berkaitan kaum, bangsa atau agama lain.

Jurucakap-jurucakap ini hakikatnya tidak kebal sama-sekali sepertimana wakil-rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bercakap dan berhujah. Dewan Merdeka PWTC bukanlah Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri yang mempunyai  kekebalan dan melindungi sesiapa daripada bercakap apa saja. Najib tidak harus "double standard" kerana akta ini seharusnya dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.

Jika ini dapat dilakukan Najib sebaik berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO, beliau mungkin dapat meraih sedikit kepercayaan daripada rakyat yang selama ini ragu-ragu dengan tujuan dan keikhlasannya mengekalkan Akta Hasutan itu.