HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 September 2007

Rogol meningkat ?...

Kes rogol meningkat

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila statistik jenayah terbaru menunjukkan peningkatan mendadak membabitkan kes rogol apabila 2,431 wanita dilaporkan diperkosa sepanjang tahun lalu, berbanding 1,931 mangsa pada 2005.

Peningkatan 26 peratus itu lebih membimbangkan apabila 70 peratus daripada mangsa remaja berusia di bawah 18 tahun dengan 54 peratus di bawah usia 16 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, berkata statistik turut menunjukkan 56 peratus daripada mangsa perkosaan adalah pelajar, manakala 25 peratus lagi penganggur.

Menurutnya, kebanyakan mangsa diperkosa teman lelaki selepas bersetuju keluar melakukan temu janji.

“Setakat ini Selangor mencatatkan kejadian tertinggi iaitu 17 dan 19 peratus daripada keseluruhan indeks jenayah rogol, yang turut membabitkan kes sumbang mahram, setiap tahun,” katanya selepas menghadiri majlis taklimat kepada Wanita MCA oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak di Auditorium Bukit Aman di sini, semalam.

Menurutnya, kes sumbang mahram turut menunjukkan peningkatan ketara daripada hanya 294 kes pada 2005 kepada 332 kes pada tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 67 peratus mangsa sumbang mahram di bawah umur 16 tahun dengan 59 peratus daripadanya pelajar sekolah,” katanya.

Sementara itu, kes penderaan kanak-kanak mencatat penurunan 25 peratus daripada 189 kes dilaporkan pada 2005 kepada hanya 141 kes pada 2006.

Bagaimanapun, kes penderaan terbabit hanya membabitkan kes yang dilaporkan kepada polis dan tidak termasuk kes yang terus diambil tindakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, bagi kes keganasan rumah tangga, beliau berkata jumlah kes meningkat sebanyak enam peratus iaitu daripada 3,093 pada 2005 kepada 3,264 pada 2006 dan kebanyakannya berpunca masalah kewangan, perselisihan faham dan cemburu.

“Statistik ini menunjukkan lebih sembilan wanita menjadi mangsa keganasan keluarga setiap sehari,” katanya.

Menurutnya, susulan peningkatan jenayah seksual dan keganasan rumah tangga itu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mewujudkan unit baru, Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak atau D11, yang dianggotai pegawai wanita bermula 16 Mei lalu.

“Ia ditubuhkan bagi memantapkan dan meningkatkan tahap kecekapan dalam menangani masalah yang berkaitan dengan kes kanak-kanak dan keganasan rumah tangga.

“Jabatan itu dianggotai 101 anggota wanita yang terlatih untuk mengendalikan kes seksual, penderaan dan kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, Unit Perlindungan Kanak-kanak (CPU) dengan kaedah rakaman keterangan kanak-kanak melalui rakaman video turut diperkenalkan.

Wan berkata, kes jenayah semakin meningkat setiap tahun dan beliau berharap ibu bapa lebih mesra dengan anak-anak supaya kegiatan mereka mudah diawasi.

Ditanya berhubung siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, beliau meminta masyarakat memberi masa kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pembunuh terbabit.

Tiada ulasan: