ULASAN | Projek kereta api laju
(HSR) Singapura – Kuala Lumpur bukan diilhamkan hanya berdasarkan kepada
keputusan yang dibuat oleh satu negara sahaja.
Keputusan untuk projek ini dibuat berdasarkan kepada kajian
terperinci terhadap manfaat dari kos yang dibuat oleh kedua-dua pihak
bertahun lamanya yang turut membuktikan wujud manfaat sosial dan ekonomi
bagi kedua-dua negara.
Projek ini mempunyai potensi untuk membentuk masa depan dan bagaimana
kita dapat bekerjasama bagi faedah bersama. Kajian turut menunjukkan
Malaysia adalah penerima manfaat utama bagi projek ini memandangkan
majoriti landasan adalah di negara ini.
Menggabungkan secara integrasi dua bandar utama dan ekonomi di Asia
Tenggara akan menghasilkan manfaat yang besar yang melangkaui jualan
tiket dan kos bagi infrastruktur itu.
Ia adalah sebahagian daripada agenda transformasi dan visi kita untuk
Malaysia baharu yang akan mewujudkan industri baharu, kaedah baharu
untuk kerjasama antara dua negara, meningkatkan pekerjaan berpendapatan
tinggi dan gaya serta taraf hidup lebih baik untuk semua rakyat.
Ia juga akan mewujudkan satu pusat pertumbuhan baharu dan memberi
nafas baharu kepada bandar seperti Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Melaka
dan Seremban di mana manfaat berganda daripada projek ini adalah sangat
besar.
Pada ketika kita memahami bahawa ia adalah prerogatif kerajaan baharu
Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk membatalkan projek ini, saya kecewa
dengan keputusan terburu-buru untuk membatalkannya dan menggesa kerajaan
untuk bersikap lebih telus dan mengadakan rundingan sebelum membuat
apa-apa keputusan kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan
ekonomi, peluang pekerjaan dan jenis pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Saya turut merasakan adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi
pencerahan bagaimana keputusan dibuat kerajaan BN terdahulu bersama
kerajaan Singapura bagi projek ini.
Kenaikan nilai hartanah
Pertama, kerajaan baharu mendakwa kos projek ini adalah RM110 bilion.
Jawatankuasa bersama Malaysia – Singapura, sehingga awal tahun ini
telah mengunjurkan kos bagi projek ini adalah kira-kira RM72 bilion,
termasuk pengambilan tanah dibayar kepada rakyat Malaysia, berasaskan
kepada penilaian antarabangsa yang dilakukan dan dikemukakan sebelum
ini.
Kos sebenar hanya diketahui apabila tender sepenuhnya bagi mereka
bentuk, membina, pembiayaan dan penyelenggaraan kesemua stok guling (
rolling stock) dan aset keretapi HSR, yang dijangka ditutup sepenuhnya pada 28 Disember, 2018.
Sehubungan dengan itu, kerajaan seharusnya memberitahu kita bagaimana
mereka memperolehi angka RM110 bilion? Adakah angka ini juga dinaikkan
atas dasar politik sebagaimana dilakukan terhadap angka RM1 trilion bagi
‘hutang negara?’
Saya juga terkejut dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang
menyatakan bahawa Malaysia tidak mendapat pulangan sesen pun daripada
projek HSR.
Realitinya, projek infrastruktur seperti HSR ini, membawa pulangan
dan manfaat dalam bentuk kenaikan nilai hartanah, kepesatan ekonomi
setempat, pemindahan teknologi, peluang pekerjaan pendapatan tinggi,
kemasukan tenaga pakar ke dalam negara dari Singapura serta pelancongan.
Saya mahu bertanya kepada Dr Mahathir, apakah projek-projek Lebuhraya
Pan Borneo dan Lebuhraya Central Spine Road yang tiada tol, projek LRT,
MRT dan monorel mendapat pulangan dari hasil tiket sahaja? Sudah tentu
tidak.
Projek-projek infrastruktur ini mendatangkan pulangan kepada negara
dari segi kepesatan ekonomi. Kerajaan akan meraih pendapatan daripada
cukai yang diperoleh daripada ekonomi yang lebih rancak. Manakala,
rakyat pula mendapat kemudahan dan peluang pekerjaan kerana dapat
berhubung dengan mudah.
Rasional yang sama digunakan dalam pembinaan HSR ini. Untuk
pengetahuan rakyat Malaysia, laluan penerbangan Kuala Lumpur Malaysia
adalah yang tersibuk di dunia.
Terdapat permintaan yang luar biasa terhadap perjalanan Kuala
Lumpur-Singapura ini. Kerana itulah HSR ini sebenarnya sangat
menguntungkan negara.
Projek jangka panjang
Saya juga ingin bertanya adakah agensi terlibat dengan projek ini
sudah diberi ruang untuk membentangkan kes mereka kepada kabinet dan
Majlis Penasihat Kerajaan? Adakah kajian impak ekonomi dan penilaian
impak alam sekitar sudah dibentangkan dan dipertimbangkan? Bolehkah
kajian ini kini didedahkan kepada umum?
Unjuran yang terkandung dalam laporan berkenaan yang pernah saya
lihat menunjukkan manfaat ekonomi sehingga RM650 bilion bagi GNI
sehingga 2069. Manakala akan wujud 110,000 peluang pekerjaan dan ia
diunjurkan akan meningkat sehingga 442,000 menjelang 2069.
Untuk lebih telus, laporan ini seharusnya ditunjukkan kepada orang
awam sebagaimana dilakukan kerajaan BN sebelum ini ketika laporan
dipamerkan kepada orang ramai untuk maklum balas.
Adakah pembatalan ini adalah keputusan seorang sahaja? Saya
difahamkan Menteri Pengangkutan baharu telah membuat kenyataan bahawa
projek HSR ini tidak pernah dibincangkan dalam kabinet manakala Menteri
Kewangan baharu enggan memberi ulasan tentang pembatalan projek HSR ini.
Projek HSR ini adalah projek jangka panjang dengan pelaburannya akan
dapat diperolehi kembali pada dekad mendatang, dari pertumbuhan trafik
selain kesan limpahan manfaat ekonomi berkaitan projek ini.
Impak ekonomi dari projek HSR ini juga turut mengambil kira analisa
kewangan dan laporan Bank Dunia bagi unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia
tahun ini dan beberapa tahun akan datang.
Dengan pembatalan projek ini, prospek pertumbuhan KDNK Malaysia akan
menyusut dan pertumbuhan peluang pekerjaan akan terencat? Kerajaan
baharu perlu mengambil kira faktor ini dan mempunyai langkah pilihan
bagi mengisi jurang kekurangan ini.
Zaman kini sudah berubah dan ekonomi hari ini lebih sofistikated dari
dulu dan adalah mengecewakan jika Perdana Menteri gagal melihat
pulangan projek ini sebagai pemangkin ekonomi seperti HSR ini di luar
skop hasil jualan tiket sahaja.
Jangan membuat keputusan semata-mata kerana dendam kesumat terhadap
individu ataupun kerajaan BN. Keputusan yang dikaburi emosi hanya akan
merugikan rakyat.
DATUK SERI NAJIB RAZAK adalah anggota parlimen pembangkang bagi kawasan pekan dan merupakan bekas pengerusi BN.