HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 November 2007

TOL kekal....petrol bagaimana?
Oleh : KAMAL AMIR

LEDAKAN pertama sebagai umpan pilihan raya didengungkan oleh sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi bernama Mr. Samy Vellu (akronimnya SamyTol) adalah jaminan kerajaan tidak menaikkan kadar tol di empat buah lebuhraya.untuk tahun hadapan. Hanya untuk satu tahun sahaja sebaliknya tahun mendatang tol tetap dinaikkan mungkin jumlahnya dua kali ganda.

Meskipun Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Parlimen Datuk Shahrir Samad mencadangkan agar kerajan mengambilalih saham-saham dari syarikat yang memegang konsesi lebuhraya namun tiada reaksi positif ke arah itu sebagai usaha menyelesaikkan kemestian menaikkan kadar tol setiap tahun.

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Kabinet hari ini bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol bagi empat buah lebuh raya termasuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pengumuman tersebut dibuat setelah Kabinet bermesyuarat hari ini dan ia hanyalah untuk tempoh setahun iaitu pada tahun 2008 sahaja.

``Lebuh raya lain yang terlibat adalah Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Ulu Klang (PROLINTAS), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) Kerinchi dan Damansara Link,’’ katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Ekoran langkah tidak menaikkan tol itu, kata Samy Vellu, kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada PLUS sebanyak RM145 juta, Jambatan Pulau Pinang sebanyak RM39 juta, SPRINT RM32 juta dan PROLINTAS sebanyak RM26 juta.

Kerajaan juga katanya, perlu membayar pampasan sebanyak RM75 juta bagi tahun 2008 kepada Syarikat Konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong kerana mengurangkan kadar tol daripada RM2.10 kepada RM1.60.

Selain itu, jelas beliau, kerajaan juga perlu membayar sebanyak RM27 juta kepada Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) bagi tempoh 2005 hingga 2007.

``Keseluruhan pampasan yang perlu dibayar kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya adalah sebanyak RM344 juta,’’ katanya.

Jelas beliau, jumlah pampasan tersebut merupakan anggaran sahaja dan tertakluk kepada jumlah trafik sebenar.

Samy Vellu berkata, keputusan untuk tidak menaikkan kadar tol tersebut ialah kerana kerajaan tidak mahu membebankan pengguna yang banyak menggunakan lebuh raya tersebut.

Bagaimanapun beliau menafikan pengekalan kadar tol tersebut adalah sebagai helah pilihan raya umum.

Sementara itu, Samy Vellu berkata, kadar tol di enam lebuh raya lain akan dinaikkan mengikut perjanjian konsesi.

Lebuh raya itu adalah Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah; Lebuh Raya Kulim Butterworth, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuh Raya Pintas Selat Klang Utara Baru serta Tambak Johor dan Plaza Bukit Kayu Hitam.

``Kadar minimum bagi kenaikan tersebut adalah tujuh peratus dan maksimum sehingga 50 peratus,’’ ujar beliau.

Katanya, kenaikan itu dibuat kerana tidak ramai pengguna jalan raya yang menggunakan lebuh raya tersebut.

Jelas beliau, sebagai contoh, hanya terdapat 16,000 pengguna yang menggunakan Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura setiap hari.- Utusan Malaysia

Dari angin yang bertiup kencang sudahpun tersebar perkhabaran duka bakal melonjaknya harga pasaran minyak petrol dan gas menjelang awal tahun di mana kesan kepada kenaikan tersebut sudah pasti tembolok rakyat bakal semakin terjerut lagi.

Hanya disebabkan kenaikan harga petrol sebanyak tiga puluh sen enam bulan lalu mengakibatkan seluruh barang keperluan mencanak naiknya hinggakan harga tepung gandum turut dilonjakkan dari RM 1.80 kepada 2.80 beberapa minggu lalu, apakah dengan kenaikan harga petrol dan gas awal tahun nanti kesemua barang keperluan rakyat boleh dikekang untuk tidak mendadak lagi?

Bertolak dari kenaikan harga petrol enam bulan lalu juga boleh dikatakan setiap rakyat bawahan dibayangi kehidupan serba suram. Bagaimana pula jadinya bila harga bahan tersebut terus melonjak lagi?

Khabarnya kerana mahu memastikan kadar tol tidak dinaikkan maka kerajaan harus membayar ratusan juta ringgit kepada pemilik konsesi lebuhraya. Dan tentulah kesannya kantung simpanan negara bakal dirobek sementara menanti waktu sesuai untuk tetap dinaikkan di masa mendatang.

Resah rakyat semakin tenat sejak berlalunya musim perhimpunan Agung Umno awal November lalu kerana sewaktu menggulung perbahasan Abdullah sekadar menyatakan bahawa beban subsidi terhadap kos minyak dan petrol tidak mungkin termampu ditanggung lagi oleh kerajaan.

Tiada jaminan langsung dari cucu ulamak ini memberi ketegasan tidak akan berlaku kenaikan harga minyak dan petrol. Dalam erti kata lain tunggu sahajalah nanti pengumuman rasmi dari kerajaan berhubung kadar baru kenaikan harga minyak yang sudahpun dianggarkan oleh kalangan pengampu Abdullah sekadar tiga puluh sen sahaja naiknya.

Perlu diingat, jika benar ramalan kenaikan harga minyak sebanyak tiga puluh sen ia membawa erti bagi setiap sepuluh liter petrol dan disel yang dibeli pengguna harus membayar tambahan sejumlah tiga ringgit dan kesannya kos pengangkutan pasti akan naik lagi. Dengan kenaikan tersebut maka keseluruhan harga barang di pasaran bakal turut mencanak naiknya.

Lebih malang lagi jika tariff elektrik dan bil air juga turut dinaikkan di mana berita ke arah kenaikan tersebut sudahpun dijelmakan dua bulan lalu. Yakinlah rakyat bakal terus dihimpit badai kehidupan serba sukar menjelang kehadiran tahun 2008 kerana dari laporan berita yang tersiar petang tadi Gabenor Bank Negara Tan Sri Zetti Akhtar Aziz sekadar menyatakan ramalan simpanan rezab negara kian bertambah dengan petunjuk ekonomi begitu memberangsangkan.

Sebaliknya tiada pula jaminan bakal terhentinya kenaikan harga barang keperluan di pasaran untuk masa-masa mendatang.Malahan Abdullah Ahmad Badawi sendiri tidak sedikitpun memberi jaminan secara jelas dan nyata.

Kenyataan Timbalan Menteri Pertanian untuk mengkaji semula pemberian subsidi minyak diesel kepada lebih 80,000 nelayan pantai harus dilihat sebagai petunjuk awal semakin hampirnya kita untuk menghadapi kenaikan harga minyak dan petrol. Hanya waktu sahaja yang menentukannya.

Rencam kehidupan rakyat yang semakin sesak sejak akhir-akhir ini tidak sedikitpun dicari upaya oleh Abdullah Ahmad Badawi bersama sidang wazirnya penyelesaiannya. Belum terdengar sebarang cadangan secara “holistik” atau menyeluruh untuk dijadikan formula dalam usaha membasmi kerakusan kaum kapitalis menaikkan harga barang.

Kembali menyentuh tentang kenaikan kadar tol seperti yang diumumkan oleh Samy Vellu hari ini, cuba hayati dengan teliti bagaimana pemikiran rakyat cuba dikelirukan oleh sidang wazir pembodek tersohor dengan menyatakan laluan kedua Singapura Malaysia tetap dinaikkan kerana tidak ramai menggunakannya di mana sejumlah RM16,000 kenderaan sahaja sehari.

Jika dihitung jika kadarnya satu ringgit ini bererti setiap hari syarikat konsesi pengendali lebuhraya berkenaan bakal mengutip sejumlah RM16,000 dan jumlah sebulan tidak kurang dari RM480,000. Ertinya untuk satu tahun jumlah kutipan adalah sebanyak RM5,760,000.00. Bagaimana pula kutipan di Tol Sungai Besi, Damansara, Sungai Buluh dan beberapa kawasan lain?

Datuk Shahrir Samad sudahpun mencadangkan agar kerajaan mengambilalih syarikat konsesi tol tetapi kenapakah saranan tersebut ditolak? Aneh dan agak melucukan. Kenapakah syarikat Petronas milik kerajaan tidak digunakan untuk tujuan tersebut? Seandainya kesemua lebuh raya di negara ini diambil semula oleh pihak pemerintah kita amat berkeyakinan persoalan kadar kenaikan tol pasti dapat dikawal agar tidak berterusan membebankan rakyat pembayar cukai.

Begitulah cara Abdullah mentadbir negara, idea dan cadangan yang menguntungkan rakyat akan disisihkan tetapi jika ia menguntungkan kaum kerabat serta kroni di sekeliling pasti segera dilaksanakan. Beginilah untung nasib rakyat di era kepimpinan hadhari. Sewaktu awalnya menjelma sebagai Mr.Clean untuk tidak hidup berpoya-poya dan mengumpul harta bertimbun, tetapi bila kuasa diperolehi sepenuhnya dia bertukar menjadi “vacuum cleaner” ghairah menyedut apa sahaja ke dalam temboloknya. Fikir-fikirkanlah!
UMNO sendiri lahir dari perhimpunan haram
Oleh : Dr Lo’lo’ bt Hj Mohd Ghazali
AJK PAS Pusat

Perhimpunan-perhimpunan menentang Malayan Union adalah menjadi penyebab kepada lahirnya Umno. Sejarah telah merakamkan bahawa setelah orang Melayu keluar beramai-ramai dan berdemonstrasi menentang Malayan Union, mereka telah berkumpul dan menubuhkan Umno. Sekiranya orang Melayu pada masa itu menunggu permit polis dari Kerajaan British nescaya Malayan Union tidak dapat dihalang dan Umno tidak akan wujud. Malaya akan tetap di bawah British.

Jadi demo dan himpunan rakyat untuk menyatakan ketidakpuasan hati adalah budaya kita sejak dulu, budaya Umno, budaya PAS, budaya NGO dan sebahagiaan mereka yang berprinsip dan bangun mewakili rakyat majoriti.

Mengapa Umno dengan tiada segan dan silu kerap kali mengungkapkan perkataan Perhimpunan Haram bagi melabel tindakan rakyat Malaysia berhimpun dan menyatakan sikap mereka? Adakah Umno “mengata dulang paku serpih”? Sedangkan sudah berapa kali Umno, MCA dll NGO berdemo atas isu antarabangsa serta tempatan. Malah dalam filem Hati Malaya yang saya tonton video klip promosinya, dipaparkan sejarah rakyat yang celik dan berani bangun menentang kezaliman penjajah. Yang tidak mahu berdemo selain kerana keuzuran adalah mereka dari golongan pengampu, penakut dan dayus.

Malah di Kelantan himpunan anjuran Umno didalangi Annuar Musa dalam percubaan Umno untuk menabal sultan lain selain dari Sultan Kelantan yang ada sekarang. Mengapa Umno boleh melakukannya sedang orang lain tidak? Himpunan rakyat mencerminkn masyarakat madani. Kini dua hero rakyat lahir dari kegelapan Umno/BN. Hero dari Parlimen Cameron Highland YB S.K.Devamany dan YB dari Penang. Mereka sekurang-kurangnya meminta pimpinan Umno/BN melihat dan mengkaji mesej yang dihantar oleh para pen‘demo’ dan rakyat yang berhimpun, bukat mengugut.

Peristiwa 1946 dibahasa di DUN Kelantan

Hujah tentang demo dan himpunan menentang British di atas ini juga digunapakai oleh YB Nasaruddin Daud dalam Perbahasan Titah Sultan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kelatan baru-baru ini. Ia telah menyebabkan wakil-wakil rakyat Umno seperti terkejut (sebab menafikan sejarah). Itulah sikap hipokrit dan tidak cerdiknya mereka. Berbagai-bagai alasan tidak cerdik telah cuba digunakan oleh wakil-wakil rakyat Umno bagi membenarkan sikap “double standard” mereka. Tidak hairanlah juga antara mereka ada seorang YB yang masih tidak cukup umur dan cukup akal. Masih duduk dalam khayalan zaman kanak-kanak, di mana kaki dan tangan jadi senjata bila kalah berhujah.

Hujah yang mengatakan Perhimpunan 1946 bukan perhimpunan haram kerana waktu itu tiada undang-undang adalah dangkal dan buta sejarah. Mana ada negara yang tiada undang-undang meskipun dijajah. Jika British menjajah, undang-undang yang digunapakai adalah undang-undang British, tapi datuk nenek kita dulu bangun berdemo dan berhimpun ramai-ramai untuk nyatakan perasaan. Kerana apa? Kerana penjajah atau pemerintah yang ada tidak mendengar dan menafikan keluhan dan ketidakpuasan hati rakyat.

Hujah yang menyatakan Demonstrasi sekarang ini tidak dibenarkan kerana ianya membawa kepada keganasan juga tidak berpijak dibumi nyata. Kalau sejarah 13 Mei yang dijadikan sandaran, ramai orang sudah tahu fakta sejarah bahawa yang menyebabkan peristiwa 13 Mei adalah kerana provokasi melampau dari penyokong-penyokong Umno dan faktor ketidakadilan sosial dan ekonomi pada masa tersebut. Selepas itu ’Bloody Sunday’ yang terkenal, mereka yang cedera parah adalah para demonstran kerana campur tangan dan provokasi polis. Peristiwa Batu Burok pula, bukan program demo tetapi ceramah di laman rumah individu yang tidak perlu permit. Banyak sudah ceramah diadakan di situ tanpa sebarang insiden. Jelas kepada kita, bahawa demo dan perhimpunan menjadi ganas hanya apabila berlaku campur tangan serta tindakan biadab pihak polis terhadap ahli perkumpulan. Apabila tiada campur tangan pihak polis, semua perhimpunan tersebut menjadi aman.

Hujah seterusnya, Perhimpunan tersebut menjadi haram kerana tiada permit (yakni bertentangan dengan undang-undang negara). Ia tiada permit kerana Umno/BN tidak mahu memberi permit tanpa alasan yang kukuh. Hanya kerana perhimpunan-perhimpunan ini merugikan Umno dari segi politik sahaja dan ia juga mendedahkan kebobrokan, kepincangan dan kemungkaran Umno dan BN kepada rakyat.

Harus diingat bahawa permit diberikan oleh Polis manakala Polis diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang dikawal oleh Umno/BN. Sekiranya pihak polis menolak permit mana-mana pihak bererti ianya adalah penolakan dari Umno/BN.

Polis Adalah Alat Barisan Nasional Untuk Terus Berkuasa

Pihak Polis di Malaysia tidak lebih dari biro di dalam Umno bertanggungjawab mengekalkan kuasa Barisan Nasional di Malaysia. Mereka hanya mengikut arahan Umno dan bertindak dengan begitu rakus menggagalkan sesiapa sahaja yang dikhuatiri merugikan Barisan Nasional. Ini dibuktikan dalam soal siasat terhadap tahanan-tahanan ISA. Yang ditanyakan soalan-soalan politik dan pimpinan politik parti-parti selain BN, soalan-soalan tentang keselamatan negara langsung tidak popular.

Pihak Polis lebih sanggup menjalankan sekatan-sekatan jalan raya di dalam usaha menggagalkan perhimpunan rakyat dari berusaha mencegah jenayah. Tidak pernah lagi kita dengar polis menyuraikan himpunan Mat Rempit.

Dikala rakyat Malaysia hidup dalam ketakutan angkara penjenayah serta perogol. Sampai sekarang pembunuh kejam Nurin belum ditangkap, bgitu juga pembunuh Prissy, 9 tahun. Mengapa tidak dikerah seluruh kekuatan polis untuk menangani jenayah yang makin menjadi-jadi? Polis sanggup menumpukan tenaga dan usaha mereka ke arah menjayakan agenda politik Barisan Nasional, tapi tidak bersungguh untuk menjaga keselamatan rakyat.

Jelas kepada kita bahawa Polis Diraja Malaysia sudah hilang komitment mereka kepada rakyat Malaysia.

Kasihan rakyat Malaysia seolah-olah tiada tempat lagi untuk berteduh dan berlindung. Kerajaan BN hanya mahu melindungi kepentingan dan kekayaan kroni dan Umnoputra dan rakyat terpaksa bersusah payah dan menderita. Apabila rakyat bersuara tidak puas hati, Polis digunakan untuk bertindak kasar dan zalim kepada rakyat. Media juga sama, sanggup melacurkan habis etika kewartawanan mereka.

40% pegawai atasan boleh didakwa keranaa hidup mewah melebihi pendapatan, perlantikan hakim yang diatur melalui panggilan talifon, pesalah rasuah yang masih bergelar YB dalam DUN dan Parlimen, Jenayah yang sudah masuk dalam rumah dan kejiranan kita, harga barang dan sara hidup yang berlipat kali ganda naik, bangunan yang bocor dan runtuh. Rumah, masjid, surau, kuil rakyat yang diroboh oleh pihak penguasa atas nama pembangunan.

Saya tidak tahu bagaimanakah nasib anak-cucu serta keturunan saya selepas ini jika Umno/BN terus menipu, memerintah dan menghancurkan Malaysia. Sekarang rakyat mesti cepat bertindak dan lakukan apa yang betul bukan ikut nafsu yang hanya pentingkan keselesaan diri dan keluarga masing-masing sahaja.
Rashid yang suruh Bersih serah memo pada Agong
Posted by: raja petra
Petikan malaysiakini

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sewaktu perhimpunannya 10 November lalu atas nasihat Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Dalam memorandum tersebut, Bersih menuntut supaya diadakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini.

Setiausaha Sekretariat Bersih, Faisal Mustaffa berkata, Abdul Rashid menasihatkan anggota rombongan Bersih supaya berbuat demikian dalam satu pertemuan di pejabat pengerusi SPR itu di Putrajaya pada 3 Julai.

Katanya, dalam pertemuan tersebut pengerusi SPR itu memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menukar peraturan dan perjalanan pilihanraya.

"Sehubungan itu, Abdul Rashid mencadangkan kepada Bersih supaya menghantar memorandum tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong. "

"Awak (Bersih) hantar kepada Agonglah kerana saya (Abdul Rashid) tiada kuasa," kata Faisal dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Berikutan itu, kata Faisal, Bersih mengadakan perhimpunan yang hadiri kira-kira 40,000 dan menyerahkan memorandum tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 November lalu.

Memorandum tersebut diserahkan kepada wakil Istana Negara oleh delegasi yang diketuai oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa; Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bagaimapun, kata Faisal, Abdul Rashid telah menukar pendiriannya itu apabila mendapat tahu yang Bersih akan mengadakan perhimpunan untuk menyerahkan memorandum sepertimana yang dinasihatkan oleh beliau.

Dalam satu kenyataan selepas itu, Abdul Rashid berkata SPR akan memendekkan masa berkempen dalam pilihanraya umum akan datang, jika Bersih meneruskan perhimpunan tersebut.

Sehubungan itu, kata Faisal, Bersih akan mengedarkan pita perbualan antara Abdul Rashid dengan anggota rombongan Bersih itu di mana beliau telah menasihatkan gabungan itu menghantar memorandum itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, seorang lagi wakil Bersih, Tian Chua berkata, PKR mempunyai pengalaman pahit setiap kali berurusan dengan pengerusi SPR itu.

Beliau mendakwa, Abdul Rashid hanya mengikut telunjuk Barisan Nasional (BN) dan kerana itulah kerajaan cuba untuk melanjutkan khidmatnya setahun lagi.

"Abdul Rashid akan bersara pada 31 Disember ini tetapi kerajaan mahu meminda perlembagaan untuk membolehkan khidmatnya disambung," katanya yang juga Ketua Penerangan PKR
Sidang Dun Kelantan ditonton secara 'live', dapat pujian luar Negara
Salmah Mat Husain

KOTA BAHRU (Hrkh) - Keterbukaan kerajaan Kelantan yang mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan yang ketiga (Belanjawan) bagi tempoh penggal keempat yang disiarkan secara langsung seluruh dunia melalui internet mendapat pujian pemerhati rakyat Malaysia di luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato' Husam Musa, memberitahu menurut maklumat yang diterima melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sidang Dun Kelantan menduduki ranking tertinggi setakat ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap menggulung perbahasan Belanjawan 2008 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan bagi tempoh penggal yang keempat Dun Kelantan yang ke-11.

Sambungnya, setakat ini maklum balas mereka yang mengikuti sidang Dun Kelantan adalah dari United Kingdom, Mesir, Jordan, Korea, Jepun, Kanada, Vietnam dan Australia.

"Sidang Dun Kelantan mendapat perhatian pemerhati seluruh dunia dan ianya mendapat ranking tertinggi setakat ini.

"Inilah keterbukaan yang kita lakukan terhadap pentadbiran kerajaan negeri dalam bentuk apa sekalipun termasuk menyiarkan secara langsung sidang Dun berbanding negeri lain yang tidak berbuat demikian,"ujarnya.

Sidang Dun Kelantan yang bermula 19 November lalu telah dapat diikuti melalui www.kelantan.tv dan www.ipglobal.tv secara langsung sepanjang persidangan Dun berkenaan berjalan. - mks.
Desakan Abdullah Berundur Bukan Suara Main-Mainan
Oleh : Rohanie Ahmad

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi didesak mengosongkan seluruh jawatannya dalam kerajaan dan Pekembar (UMNO) dengan serta-merta demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Demikianlah semangat baru yang meledak di kalangan sesetengah rakyat jelata Malaysia setelah gelombang kuning melanda Kuala Lumpur pada 10 November 2007.

Desakan-desakan seperti ini disuarakan dengan lantang, tegas, nyata dan berbuka, menerusi postings dan komen-komen dalam blogs dan portal berita tempatan. Ia juga dipolemikkan di sesi-sesi sembang di kedai-kedai kopi di desa dan kota.

Desak-desakan ini bukan main-mainan. Kalau Abdullah mahukan bukti-buktinya, silakan layari sendiri sebilangan besar blogs dan portal berita maya kebelakangan ini. Bacalah postings mereka dan bacalah juga komen-komen yang ditinggalkan oleh para pengunjung ke blog-blog terbabit.

Abdullah juga boleh memperolehi bukti-bukti mengenai perkembangan ini menerusi maklum balas yang telah dikutip oleh seluruh jentera perisikan kerajaan di seluruh negara.

Oleh itu, Abdullah sewajarnya melapangkan sepenuh masanya pada ketika ini untuk membaca seluruh bukti-bukti ini untuk memastikan kebenaran dan realitinya.

Pada waktu yang sama, Abdullah mestilah bebaskan dirinya daripada cengkaman penyakit atau sindrom penafian yang sedang beliau hidapi.

Kalau beliau tidak berbuat demikian, pasti Abdullah tidak akan dapat berpijak di alam nyata. Sebaliknya, beliau akan terus berada di awang-awangan dengan keyakinan bahawa rakyat jelata terus menyanjung beliau dan kerajaannya pula dalam keadaan stabil.

Fenomena terbaru ini membuktikan bahawa kekecewaan rakyat jelata terhadap Abdullah dan kelemahan serta kepincangannya memang sudah sampai ke peringkat paling maksima. Ia juga membuktikan bahawa kemarahan rakyat jelata terhadap menantu Abdullah juga sudah sampai ke tahap yang sama.

Lantaran itu, beranikah menantunya menasihati Abdullah supaya berundur dengan serta-merta? Atau, mungkinkah kalau Abdullah tidak berundur, maka keputusan itu bukannya keputusan Adullah, sebaliknya keputusan menantunya yang disifatkan oleh banyak pihak, sebagai sedang mabuk kuasa?

Khamis, 29 November 2007

Tajol Rosli letak jawatan PTNP selepas bangunan runtuh

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP), 17 hari selepas kompleks PTNP di Pulau Banding, dekat Gerik runtuh.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi memudahkan siasatan yang sedang berjalan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian pada 13 Nov lepas.

"Kalau saya (kekal) pengerusi akan menyukarkan penyiasatan dibuat dan sebagainya. Jadi saya bersedia untuk disoal siasat oleh mana-mana pihak," katanya pada persidangan akhbar selepas majlis Sambutan Hari Kualiti Perkhidmatan Awam peringkat negeri Perak di Dewan Bankuet di sini hari ini.

Beliau berkata peletakan jawatan itu juga bagi memberi ruang kepada seseorang yang mempunyai lebih banyak masa untuk memberi tumpuan kepada PTNP dilantik sebagai pengerusi yang baru.

"Taman Negeri perlukan seorang yang ada banyak masa untuk menjaga Taman Negeri, itu sebab saya lepaskan jawatan. Saya akan mencari seseorang itu dalam masa seminggu," katanya.

Tajol Rosli berkata tidak ada sesiapa akan memangku jawatan pengerusi PTNP sehingga pelantikan pengerusi baru dibuat.

Katanya selain pengerusi PTNP, beliau juga akan melepaskan beberapa jawatan pengerusi lain yang dipegangnya bagi memberi laluan kepada muka baru yang mempunyai lebih banyak masa dilantik.

Kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah badan penyiasat yang dipengerusikan ketua pengarah JKR Datuk Wong Wai Ching bagi menyiasat punca kejadian itu.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga turut menjalankan siasatan berhubung kejadian itu bagi menentukan sama ada terdapat salah laku semasa pembinaannya.

Tajol Rosli sebelum ini dilaporkan berkata laporan awal JKR menunjukkan kelemahan pada cerucuk dan ketidaksuaian reka bentuk bangunan mungkin menjadi punca bangunan pusat pentabiran Taman Negara Royal Belum itu runtuh.

Kompleks PTNP bernilai RM4.5 juta itu yang dibina di tebing Tasik Temenggor dirancang sebagai pusat setempat bagi kemudahan pelancong melawat Taman Negeri Royal Belum.

PTNP ditubuhkan pada 2004 sebagai sebuah perbadanan bagi memulihara dan melindungi khazanah semula jadi di Hutan Simpanan Kekal Belum, di Daerah Hulu Perak yang kini telah diwartakan sebagai Taman Negeri Royal Belum pada Mac lepas. BERNAMA
Eksklusif: Gasak Utusan, gasak NSTP
Oleh Wartawan KLpos.com

KUALA LUMPUR: Kumpulan akhbar Utusan Melayu dan NSTP Berhad akan mengadapi cabaran baru berikutan kehadiran gabungan Gerakan Anti Salah Maklumat (GASAK) yang akan mengetuai kempen ke akar umbi untuk membiokot kedua-dua akhbar terbabit.

GASAK yang melibatkan beberapa NGO diketuai oleh kumpulan pemikir Anwar Ibrahim, Institut Kajian Dasar (IKD) pagi tadi mengadakan sidang media menjelaskan mengenai kempen boikot tersebut.

Menurut Pengarah Eksekutif IKD Khalid Jaafar, kempen tersebut mensasarkan semua produk percetakan dua kumpulan terbabit kerana kedua-duanya dibayangi oleh Umno dan Barisan Nasional.

"Kempen ini dilancarkan selepas mendapati kedua-dua kumpulan akhbar tersebut secara sengaja terlibat menyebarkan maklumat yang salah, atau berat sebelah, terutamanya melibatkan isu-isu politik," katanya kepada KLpos.com.

Kemuka 3 tuntutan utama

Menurut beliau, Gasak akan mengemukakan tiga tuntutan minima kepada media yang terbabit kerana memberikan laporan yang seimbang, dengan mengetepikan pandangan dan melaporkan daripada dua dimensi iaitu pimpinan kerajaan serta pihak yang menganjurkan sesuatu perhimpunan atau apa-apa acara.

"Industri media hendaklah bebas dalam editorial dan tidak bersandarkan kepada tekanan daripada pemerintah atau pemilik syarikat tersebut. Ia tidak seharusnya dipengaruhi oleh sesiapa yang boleh memutuskan mengenai berita atau maklumat itu melainkan Jabatan Pengarang media itu sendiri," ujarnya dalam sidang media pelancaran kempen 'Boikot Media Pembohong' di sini pagi tadi.

GASAK kesinambungan kempen boikot media 1999

Jelasnya, penubuhan Gasak adalah sebagai kesinambungan kempen Boikot Media ketika era reformasi pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.

"Kemudian, momentum itu mulai hilang disebabkan oleh keterbatasan pada masa itu, di samping ia tidak melibatkan jaringan NGO dan parti politik yang lebih pelbagai dan kami rasakan ia perlu digembeling kembali," responnya kepada soalan.

Beliau berkata, antara objektif utama penubuhan Gasak adalah kerana keprihatinan terhadap laporan pihak media dalam perhimpunan Bersih dan Hindraf yang lalu.

Sementara itu, Khalid menafikan bahawa penubuhan Gasak adalah bersifat sementara memandangkan senario politik tanah air kini yang mendekati pilihan raya umum.

Apa yang penting katanya, keperluan rakyat untuk mengetahui mengenai kebenaran yang terjadi dalam sesuatu peristiwa itu dapat disampaikan secara sahih dan memenuhi etika kewartawanan.

"Malangnya, apa yang mengecewakan kita adalah apabila media kerajaan memainkan peranan untuk mengawal institusi media lain di negara kita, seterusnya mengaburkan pandangan rakyat dengan maklumat palsu dan penuh dengan penipuan," dakwanya.

Laporan media mengenai BERSIH, Hindraf sebagai contoh

Gasak menjadikan peristiwa dua perhimpunan bersejarah yang terjadi dalam bulan ini, anjuran Bersih dan Hindraf sebagai contoh bagi membuktikan kesalahan media tersebut iaitu fakta dari segi angka kehadiran, laporan yang berat sebelah yang secara tidak langsung menggambarkan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab serta melanggar prinsip kebebasan media dan kewartawanan.

"Kami akan melancarkan kempen kesedaran kepada mereka yang membaca, melanggan dan membeli akhbar kumpulan Utusan dan News Straits Times sebagai langkah awal berdasarkan pengalaman tindakan yang sama pada 1998 lalu yang memberi kesan yang buruk kepada media tersebut," kata Setiausaha Gasak, Hasmi Hashim yang juga wakil Komuniti Seni Jalan Telawi.

Di samping itu katanya, Gasak akan menggerakkan kempen ke seluruh negara bagi menggembeling kemarahan NGO, parti politik, portal berita dan para blogger untuk mendapatkan kosensus mereka bagi menyertai gerakan ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah ahli jawatankuasa protem Gasak, Dr Xavier Jayakumar dan wakil Middle Eastern Graduate Centre, Mustaqim.

Sementara itu, KLpos.com dimaklumkan GASAK akan menemui Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang bagi mendapat sokongan menjayakan kempen tersebut tidak lama lagi. klpos.com, harakahdaily.net
Rombak keanggotaan SPR untuk dapat kepercayaan umum

Tatacara perlantikan dan terma rujukan perlantikan jelas memperlihatkan bahawa SPR mempunyai autonomy atau discretionary powers yang tinggi untuk bertindak sebagai sebuah badan yang benar-benar bebas dan adil.

Rasionalnya ialah apa yang telah diamalkan oleh kerajaan berhubung perlantikan dan keanggotaan jawatankuasa kira-kira awam (PAC) turut melantik anggotanya daripada kalangan parti pembangkang, maka tidak ada sebab kenapa pihak kerajaan tidak boleh mengadakan perubahan yang sama berhubung ahli SPR.

oleh Wan Abdul Rahman Wan Ab Latif
Pengarah Pusat Inisiatif Penambahbaikan Pilihan Raya

SISTEM Demokrasi Berparlimen merupakan satu bentuk sistem politik yang popular diamalkan oleh negara-negara yang mempraktik sistem demokrasi. Antara contoh penting negara yang mengikuti sistem politik ini ialah Britain. Di bawah sistem politik ini, kaedah majoriti mudah (simple majority) dipakai dalam memilih pihak mana yang akan memerintah.

Sistem memilih sebegini akan dijayakan melalui suatu pilihan raya yang berasaskan sistem first-past-the-post (FPTP). Ini bermaksud pihak yang pertama mencapai majoriti adalah selayaknya dipilih sebagai parti yang menang dan atau membentuk kerajaan. Malaysia sebagai sebuah negara yang pernah dijajah oleh Britain telah menerima pakai sistem politik ini.

Teras atau pun nadi kepada Sistem Demokrasi Berparlimen ialah terlaksana-nya pilihan raya secara berkala, biasanya dalam jangka waktu lima tahun sekali.

Dalam hal ini, Malaysia secara konsisten dan secara berkala telah menjalankan pilihan raya bermula pada tahun 1955, iatu pilihan raya pra-merdeka dikenali Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan. Pilihan raya pertama selepas merdeka pula diadakan pada tahun 1959, diikuti pilihan raya umum kedua 1964 dan yang ketiga 1969. Kemudian pilihan raya umum yang seterusnya ialah 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995, 1999 dan ke-11 diadakan 2004.

Walau bagaimana pun, pilihan raya umum yang dilaksanakan telah dikritik sebagai mempunyai kelemahan yang tersendiri. Ini disebabkan pilihan raya itu dianggap berlaku di atas padang permainan yang tidak sama rata (unlevelled playing ground). Parti pemerintah bermain di padang yang rata/selesa, sementara parti bukan pemerintah (opposition party) bermain di padang yang tidak rata.

Hal sedemikian dianggap suatu kelemahan. Di antara kelemahan itu ialah meliputi beberapa proses perjalanan pilihan raya seperti persempadanan kawasan pilihan raya, pendaftaran pemilih, penetapan tarikh pilihan raya, penamaan calon, proses pengundian, pembilangan undi, pengisytiharan keputusan dan bantahan.

Sungguhpun menyedari terdapat beberapa kelemahan dalam perjalanan pilihan raya di Malaysia, parti-parti bukan kerajaan/pembangkang tetap menyertainya. Kesannya didapati keupayaan menang bagi parti pembangkang adalah terhad. Reali-tinya parti pemerintah mempunyai keupayaan yang tinggi untuk menang. Kesannya, hegemoni parti pemerintah adalah mengatasi parti pembangkang dan sehingga kini Barisan Nasional (BN) terus kekal menguasai tampuk pemerintahan.

Meskipun begitu, parti-parti pembangkang, terutamanya PAS tetap berpartisipasi secara konsisten dalam setiap kali pilihan raya umum yang diadakan. Lebih-lebih lagi didapati PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan politik Islam sentiasa membangkitkan desakan terhadap pihak pemerintah agar memperbaiki perjalanan sistem demokrasi di Malaysia agar selari dengan prinsip keadilan dan ketelusan menurut prinsip politik Islam.

Sikap PAS tersebut adalah selari dengan dua pertimbangan asas; pertama, ia sejajar dengan pendekatan syar’iah yang mengenepikan kekerasan atau radikalisme dalam penyelesaian politik. Kedua, ia sebagai satu sumbangan kepada gerakan atau gelombang ketiga pendemokrasian (third wave of democratization), terutamanya sebagaimana yang berlaku di negara-negara membangun lain yang setaraf dengan Malaysia.

Gelombang atau gerakan ketiga pendemokrasian sebagaimana yang dikemukakan oleh Huntington bermaksud berlaku peningkatan lebih baik pengamalan demokrasi di negara-negara Dunia Ketiga dan secara khusus perjalanan sistem pilihan rayanya yang bebas, telus dan adil sesuai dengan sistem demokrasi itu sendiri.

Sekiranya diambil kira pengalaman terkini negara-negara membangun mengendalikan pilihan raya, sebagai contoh Indonesia selepas berlaku reformasi pada tahun 1989 telah memperlihatkan pelaksanaan pilihan raya yang lebih demokratik dengan memperkenalkan sistem pilihan raya campuran yang terdiri daripada sistem majoriti mudah (FPTP) dan perwakilan berkadar (proportional representation).

Begitu juga pelaksanaan pilihan raya di Thailand, juga dianggap berlaku penambahbaikan dari sudut perjalanan sistem demokrasi. Malah di Vietnam pun yang pernah dicengkam oleh sistem komunisme, perjalanan pilihan raya memperlihatkan penambahbaikan ke arah yang lebih demokratik.

Tetapi apa yang membimbangkan dalam konteks Malaysia ia tidak memperlihatkan satu panambahbaikan yang “progresif”, malah dalam hal-hal yang tertentu ia memperlihatkan tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai berbentuk “regresif”.

Malah kalau dibanding dengan Singapura sekalipun, Malaysia berada di anak tangga yang lebih rendah, walhal Singapura juga mengamalkan sistem parti dominan seperti Malaysia. Kalau diukur dari indeks demokrasi di negara-negara ASEAN, kedudukan Malaysia adalah kedua tercorot selepas Myanmar. Kedudukan tercorot Myanmar amat difahami kerana Myanmar adalah di bawah pemerintahan tentera yang tidak membenarkan pilihan raya.

Menyedari bahawa Malaysia adalah sebuah negara terpenting di kalangan negara-negara ASEAN, sebagai penggerak utamanya, dan juga di kalangan negara Islam dan masyarakat antarabangsa, maka adalah sesuatu yang malang apabila indeks demokrasi Malaysia berada pada tahap yang amat tidak memberangsangkan. Ini sudah semestinya memberi imej yang tidak baik kepada negara-negara lain di dunia umumnya.

Sekiranya model negara Barat yang demokratik dan menjadi ikutan Malaysia dari segi standard pembangunan ekonominya, “sepatutnya’ ikutan itu hendaklah dituruti sama dari segi standard pembangunan sistem demokrasi. Dalam konteks pembangunan ekonomi, Malaysia mempunyai matlamat yang jelas iaitu untuk menjadi negara maju pada tahun 2020. Sebaliknya dalam konteks amalan demokrasi, Malaysia didapati belum dilihat ke arah mengamalkan sistem demokrasi yang sebenar.

Menyedari betapa pentingnya pembangunan ekonomi negara “disejajarkan” dengan pembangunan demokrasi, maka inilah salah satu sebab penting kenapa cadangan penambahbaikan kepada sistem pilihan raya dikemukakan kepada pihak berwajib.

Pengalaman Taiwan dan Korea Selatan adalah menepati kehendak prinsip ini dalam mana pembangunan ekonomi diiringi secara serentak dengan pembangunan demokrasi. Satu yang terkecuali dalam hal ini ialah pengalaman pembangunan ekonomi China yang tidak diikuti dengan pembangunan demokrasi yang setimpal. Walaubagaimana pun sudah semestinya China bukanlah menjadi model Malaysia kerana ia diperintah oleh sistem satu parti iaitu Parti Komunis China.

Satu lagi hujah kukuh kenapa Malaysia memerlukan kepada penambahbaikan sistem pilihan raya ialah kerana sistem pilihan raya merupakan sesuatu yang integral untuk menggambarkan sistem demokrasi sebenarnya mencerminkan “perubahan” masyarakat. Statistik memperlihatkan peratusan masyarakat yang berpendidikan tinggi semakin bertambah di Malaysia.

Ini bermakna masyarakat berpendidikan adalah rakyat dan pengundi yang terdedah kepada maklumat terkini tentang pilihan raya. Ini juga bererti bahawa rakyat dan pengundi sekarang adalah lebih matang (a matured and informed citizens and voters).

Rakyat dan pengundi yang sebegini menginginkan perubahan yang progresif dalam sistem demokrasi negara termasuklah perubahan dari aspek perjalanan sistem pilihan raya.

Dalam konteks ini, berdasarkan pengalaman rakyat di negara maju Barat, mereka mengharap satu sistem pelayanan perkhidmatan awam yang baik dari pihak kerajaan. Sensitiviti dan perubahan yang dialami oleh anggota masyarakat dilihat sebagai petunjuk penting bahawa kerajaan telah melaksanakan penambahbaikan dalam pelbagai bidang termasuklah bidang politik.

Malah perubahan-perubahan yang berlaku dalam masya-rakat Barat yang dilihat menjejas sistem demokrasinya dengan segera dilakukan penambahbaikan bagi memastikan sistem demokrasinya semakin baik. Britain adalah negara yang amat sensitif mengenai perkara ini.

Terkini Britain telah memper-kemaskan undang-undang bagi mengawal undi pos daripada disalahgunakan oleh pengundi. Kepekaan Britain untuk melaksanakan pilihan raya yang bebas dan adil terbukti apabila dilantik seorang menteri khusus memegang portfolio pilihan raya (Elections Minister). Buat masa ini jawatan ini disandang oleh Harriet Harman.

Dalam konteks Malaysia, undang-undang induk pilihan raya adalah terkandung di dalam Perkara 113 hingga Perkara 120, Perlembagaan Persekutuan. Perkara 113, berkaitan perjalanan pilihan raya. Perkara 114, berkaitan keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya. Perkara 115, berkaitan bantuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya. Perkara 116, berkaitan bahagian pilihan raya persekutuan. Perkara 117, berkaitan bahagian pilihan raya negeri. Perkara 118, berkaitan cara mencabar pemilihan. Perkara 119, berkaitan kelayakan pemilih-pemilih dan Perkara 120, berkaitan pemilihan terus bagi Dewan Negara.

Berdasarkan undang-undang induk itu, maka beberapa akta khusus telah digubal bagi memandukan proses pilihan raya di Malaysia. Di antara undang-undang yang dimaksudkan ialah Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1957 (Akta 31).

Ketiga-tiga Akta ini bolehlah dianggap sebagai akta asas pilihan raya yang melibatkan perkara-perkara seperti perlantikan ahli Suruhanjaya Pilihan raya, kuasa mempersempadankan bahagian-bahagian pilihan raya, kuasa mengadakan daftar pemilih, kuasa cara-cara menjalankan pilihan raya dan kuasa umum Suruhanjaya Pilihan raya untuk menga-dakan pelbagai peraturan berkaitan dengan pilihan raya yang difikirkan perlu dan sesuai mengikut perkembangan semasa. Daripada akta-akta pilihan raya ini digubal pula beberapa peraturan pilihan raya.

Sehingga kini, terdapat tujuh peraturan yang berkaitan, di antaranya Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan raya) 1981, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 1971 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 1959. Di samping atas inisiatif SPR sendiri ada menerbitkan Buku Panduan Calon dan Buku Panduan Pasukan Penguatkuasaan Kempen Pilihan Raya sebagai memudahkan pengurusan parti-parti politik menyertai pilihan raya.

Perlu ditekankan bahawa tidak terdapat perubahan atau pindaan yang signifikan kepada ketiga-tiga akta dan peraturan yang penting ini. Apa yang terdapat ialah penambahbaikan minimum yang dilakukan oleh SPR berhubung dengan peraturan pilihan raya.

Antaranya ialah kerani di tempat mengundi tidak lagi mencatatkan nombor siri di counterfoil kertas undi, proses ulangkira dibolehkan apabila berbeza dari 2 peratus kepada 4 peratus, pembilangan semula undi tidak dilakukan di pusat penjumlahan undi, penggunaan tong undi boleh nampak (transparent), deposit pilihan raya boleh dibuat dalam bentuk deraf bank selain tunai dan terbaru persetujuan untuk mengguna dakwat pada kuku.

Tidak mencatatkan nombor siri di counterfoil kertas undi adalah satu penambahbaikan yang boleh dialu-alukan kerana ia memperkukuhkan aspek bahawa undi adalah rahsia (the secrecy of votes). Walaupun begitu, kesan daripada tidak adanya tandaan pada counterfoil kertas undi, ia telah menghapuskan bukti seseorang pengundi itu sekiranya salah laku pengundi itu didakwa ke mahkamah pilihan raya.

Sementara cadangan melaksanakan tandaan dakwat pada kuku masih di dalam proses dari segi tekniknya.

Justeru itu, banyak lagi penambahbaikan yang perlu diusahakan oleh pihak kerajaan melalui SPR bagi memperkukuhkan lagi perjalanan pilihan raya di Malaysia agar ia memenuhi tuntutan demokrasi yang sebenar.

Atas semangat inilah, kajian ini sedia mencadangkan beberapa penambahbaikan kepada kerajaan melalui SPR agar dapat dilaksanakan dan adalah sesuai dengan kesediaan parti-parti pembangkang dan Gabungan Menuntut Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) untuk terus terlibat secara konsisten dalam proses pilihan raya; dan penglibatan ini diyakini turut menyuburkan proses demokrasi berpartisipasi (participatory democracy) di Malaysia.

Secara kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa gesaan ke arah penambahbaikan sistem dan perjalanan pilihan raya di Malaysia bukan sahaja datangnya dari parti pembangkang seperti PAS tetapi juga daripada badan-badan gabungan seperti BERSIH dan individu-individu penting yang mempunyai hubungan langsung dan/atau tidak langsung dengan proses pilihan raya Malaysia.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohammed Suffian, misalnya pernah mengkritik kelemahan sistem pilihan raya Malaysia yang berkaitan dengan peranan Hakim Pilihan Raya yang menganggap berlakunya penghakiman yang tidak konsisten, peranan pemerhati antarabangsa yang terhad dan peranan media yang memihak (dlm. Tunku Sofiah Jewa, 2003).

Semasa menyampaikan ucaptama pada Majlis Pelancaran Akademi Pilihan Raya Malaysia (8 Januari 2007), Pengerusi SPR, Tan Sri Hj Ab. Rashid Ab. Rahman turut membuat gesaan ke arah penambah-baikan sistem dan perjalanan pilihan raya Malaysia.

Beliau menekankan betapa perlunya dan pentingnya badan pengurusan pilhan raya seperti SPR senantiasa mendapat kepercayaan awam, tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak, segala urusannya harus dilihat sebagai senantiasa adil dan tidak berpihak dan semua pihak yang mengambil bahagian dalam pilihan raya dapat menjalankan urusan dan aktiviti secara bebas (Ab.Rashid 2007: 2).

Atas kesedaran inilah akhirnya Pengerusi SPR mencadangkan “…masanya dikirakan telah tiba untuk kita semua memohon agar kajian semula dilakukan terhadap kerangka undang-undang yang merangkumi urusan pilihan raya ini, termasuk perlembagaan persekutuan, undang-undang pilihan raya yang wujud dan undang-undang lain yang terpakai dalam musim pilihan raya”. (Ab.Rashid 2007: 14).

Kajian semula sistem pilihan raya dirasakan amat perlu selepas negara mengharungi 50 tahun proses demokrasi beriringan dengan proses pembangunan dan pemodenan yang pesat, bagi tujuan memenuhi kehendak awam yang menginginkan amalan-amalan demokrasi dalam pilihan raya di Malaysia dibangun, diperdalam dan diperteguh sesuai dengan tuntutan semasa (Ab.Rashid Ab. Rahman, 2007: 14).

Atas perkembangan dan tuntutan sebagaimana yang dibincang di atas, maka kajian ini berpendirian bahawa telah sampai masanya penambahbaikan sistem dan perjalanan pilihan raya di Malaysia hendaklah dilaksanakan oleh kerajaan Islam Hadhari Malaysia pimpinan Abdulah Ahmad Badawi.

Dua perkara asas cadangan penambahbaikan badan Suruhanjaya Pilihan Raya
Berikut adalah cadangan penambahbaikan hasil kajian yang difokuskan untuk tujuan siaran ini (setakat ini) hanya melibatkan dua perkara asas mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai badan pengurusan pilihan raya: perlantikan Ahli Suruhanjaya Piliah Raya dan bidangkuasa umum SPR. Selain itu, kajian ini juga mensejajarkan beberapa aspek pindaan yang melibatkan peruntukan undang-undang pilihan raya yang harus dilaksanakan.

Perlantikan Ahli SPR. Mengikut Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, Ahli Suruhanjaya Pilihanraya dilantik oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Ahli SPR yang dilantik terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima orang ahli.

Apa yang lebih penting, mengikut Perkara 114 Perlembagaan ialah terma rujukan (terms of reference) dalam melantik SPR adalah merujuk kepada ‘perimustahaknya diadakan satu Suruhanjaya Pilihanraya yang boleh senantiasa mendapat kepercayaan awam’.

Perlembagaan juga memperuntukkan kedudukan yang istimewa kepada ahli-ahli SPR yang mereka ini tidak boleh dilucutkan daripada jawatan melainkan dengan tatacara yang sama melucutkan jawatan seorang hakim mahkamah tinggi. Ahli SPR juga di bolehkan memegang jawatan sehingga berumur 65 tahun (dulu-cadangan pindaan ialah kepada 66 tahun).

Sehubungan dengan ini, ‘asas mendapat kepercayaan awam’ ada hubungannya dengan pengurusan SPR yang memberi kesan yang adil dan telus serta benar-benar bersifat bebas daripada pengaruh parti pemerintah.

Namun apa yang berlaku nilai-nilai ini masih boleh dipertikaikan lantaran ahli SPR kebanyakannya adalah daripada pensioner pegawai perkhidmatan awam yang boleh diragui sikap bebas, adil dan telus.

Cadangan Penambahbaikan: Tatacara perlantikan dan terma rujukan perlantikan jelas memperlihatkan bahawa SPR mempunyai autonomy atau discretionary powers yang tinggi untuk bertindak sebagai sebuah badan yang benar-benar bebas dan adil. Bagi mempertingkatkan lagi autonomi SPR agar ia tidak dipolitikkan (politicization) oleh pihak pemerintah, dicadangkan perkara-perkara berikut:

a) SPR perlu bertanggungjawab terus kepada Parlimen;
b) Ahli SPR berjumlah lima orang itu hendaklah:
(i) seorang NGO,
(ii) seorang mewakili parti politik kerajaan (BN), dan
(iii) seorang mewakili parti pembangkang (BA);
(iv) seorang yang terpuji perkhidmatannya dalam profesyen pengadilan, dan (v) seorang yang terpuji perkhidmatannya dalam profesyen penguatkuasaan.

Rasionalnya ialah apa yang telah diamalkan oleh kerajaan berhubung perlantikan dan keanggotaan jawatankuasa kira-kira awam (PAC) turut melantik anggotanya daripada kalangan parti pembangkang, maka tidak ada sebab kenapa pihak kerajaan tidak boleh mengadakan perubahan yang sama berhubung ahli Suruhanjaya Pilihan raya.

c) SPR perlu memanfaatkan Perkara 115(1) Perlembagaan Malaysia bagi melantik stafnya sendiri daripada bergantung kepada JPA. Tambahan lagi, Bahagian II, Akta Pilihanraya 1958 dengan jelas memberi kuasa kepada SPR untuk melantik pegawai-pegawai yang akan menjalankan segala urusan pilihan raya termasuk perlantikan Setiausaha dan pegawai-pegawai pilihan raya negeri (Ab.Rashid 1994: 6). Penguatkuasaan peruntukan-peruntukan ini sudah semestinya dapat mempertingkatkan lagi autonomi SPR dari sudut pentadbiran.

Bagi melaksanakan cadangan-cadangan di atas maka undang-undang yang perlu dipinda ialah Perkara 114 (1) dan menerima pakai Perkara 115(1) Perlembagaan Persekutuan, serta melaksanakan Bahagian II, Akta Pilihanraya 1958.

Bidangkuasa Umum SPR: Secara umumnya terdapat tiga tugas penting SPR melibat-kan tugas-tugas mempersempadankan bahagian-bahagian pilihan raya, menjalankan pendaftaran pemilih dan menjalankan pilihan raya (Perkara 113).

Fungsi utama SPR dijalankan berdasarkan undang-undang (akta-akta), peraturan dan prosedur pilihan raya yang telah diluluskan untuk diterima pakai. Apa yang berlaku sekarang ialah pelaksanaan apa-apa fungsi oleh SPR (dalam tiga fungsi utama) sama ada yang berkaitan dengan undang-undang (akta-akta), peraturan dan prosedur pilihan raya tidak dirujuk terus kepada institusi Parlimen, tetapi amalannya hendaklah dirujuk/perlu mendapat kelulusan dari pihak Eksekutif (Kabinet) terlebih dahulu atau secara khusus dari Perdana Menteri.

Cadangan Penambahbaikan: Hanya pindaan yang melibatkan undang-undang (akta-akta) pilihan raya sahaja yang perlu mendapat kelulusan pihak Eksekutif (Kabinet) dan seterusnya Parlimen. Pindaan yang berkaitan dengan peraturan dan prosedur pilihan raya tidak perlu kepada kelulusan pihak Eksekutif terlebih dahulu. Ini adalah bidangkuasa pentadbiran dan autonomi SPR.

Ini bersesuaian dengan peruntukan Bahagian VI, Akta Pilihanraya 1958 yang menggariskan kuasa-kuasa SPR untuk mengadakan pelbagai peraturan yang berkaitan dengan pilihan raya (Ab. Rashid Ab. Rahman,1994: 7).

Bagi melaksanakan cadangan-cadangan di atas maka undang-undang yang perlu dipinda ialah Bahagian VI, Akta Pilihanraya 1958 yang melibatkan Seksyen 15(1), 16(1) dan 17.
Sebagai makluman, fokus kajian juga tertumpu kepada beberapa aspek yang perlu kepada penambahbaikan. Di antaranya yang tidak dsiarkan di sini ialah dalam aspek persempadanan bahagian pilihan raya, daftar pemilih dan perjalanan pilihan raya serta beberapa aspek perundangan yang melibatkan undang-undang pilihan raya.

Namun, apa yang diharapkan melalui pendedahan dua aspek di atas adalah sebagai respon kepada cadangan kerajaan meminda umur perkhidmatan sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, dan semuga ia akan memberi sedikit gambaran betapa ke arah mempertingkat amalan demokrasi di Malaysia, masih banyak lagi aspek yang perlu dilihat dan dipinda.

Tetapi kesemuanya berada dalam gengaman kerajaan BN sekarang. Suara dan keputusan rakyatlah yang boleh melaksanakan matlamat penambahbaikan tersebut.
Intelektual beri amaran 'kegilaan media BN' menjelang pilihanraya
Oleh Wartawan KLpos.com

KUALA LUMPUR: Cadangan pihak tertentu untuk menggadakan kembali 'kempen boikot media' mendapat sokongan daripada kolumnis popular media alternatif, Rustam A Sani. Beliau dalam tulisan terbarunya bertajuk 'Tiba masanya boikot media dilancarkan semula' memberi amaran kepada pihak yang mahukan pilihanraya bebas supaya bersiap sedia bagi menghadapi serangan dari jentera propaganda dan putar belit maklumat yang akan digerakkan pada waktu pilihanraya nanti.

Menurut Rustam, yang pernah mengetuai kempen serupa pada tahun 1999, situasi penggunaan media secara tidak beretika pada waktu kempen pilihanraya itu sebagai suatu “kegilaan". Dan kegilaan ini akan berulang lagi sewaktu pilihanraya yang akan datang – semakin terdesak pihak kerajaan maka akan semakin tenatlah “kegilaan” tersebut," kata beliau dalam tulisannya di akhbar Siasah.

Berhujah lanjut, katanya, situasi tersebut kerana oleh kerana orang yang paling berpengalaman dalam melaksanakan kegilaan ini dalam kerangka sebuah syarikat akhbar, yakni Utusan, kini sudah menjadi Menteri Penerangan maka dapatlah dijangkakan bahawa liputan kegilaan itu akan menjadi lebih luas lagi – meliputi semua media cetak dan eletronik yang dikuasai pemerintah maupun parti-parti politik BN.

KLpos.com sebelum ini memetik sumber mengatakan usaha sedang dibuat untuk melancarkan semua kempen boikot media dengan diketuai oleh PAS.

Tetapi dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar berkata pihaknya masih belum sampai ke tahap 'memboikot media' namum membayangkan bersedia berbuat demikian jika keadaan 'memaksa'

Kesedaran politik dan etika demokrasi

Kata Rustam, tujuan persediaan (baca: boikot) itu sebenarnya bukanlah sekadar untuk “melawan” jentera propaganda kerajaan itu secara partisan, tetapi juga sebagai suatu langkah untuk melaksanakan pendidikan politik dan etika demokrasi di kalangan rakyat dan para pengundi di negara ini.

"Jika upaya dan usaha melakukan “spin” berita dan maklumat merupakan pendekatan utama jentera propaganda pemerintah, maka kita mestilah pula bersedia dengan teknik dan kebijaksanaan despin kita pula – untuk menelanjangi kepada rakyat apakah maksud dan niat jahat di sebalik spin mereka itu," katanya yang diiktiraf sebagai pemikir Gerakan Reformasi.

Kempen “boikot media” yang demikian itu sebenarnya sudah pernah dilakukan pada tahun 1999 dahulu dan hasilnya, cukup memberangsangkan.

"Sebagai hasil inisiatif tersebut, jumlah edaran akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times telah merudum.

"Sebaliknya pula, akhbar-akhbar parti pembangkang dan beberapa penerbitan bebas lainnya, seperti Harakah, Detik dan sebagainya, telah mengalami peningkatan edaran yang belum pernah dialami sebelum ini – sehingga pihak kerajaan terpaksa bertindak mengurangkan kekerapan penerbitannya," katanya.

Pengalaman BOIKOT MEDIA 1999

Menurut Rustam, kempen pada tahun 1999 itu telah dilaksanakan oleh Barisan Alternatif dengan mendapat sokongan daripada sejumlah NGO.

"Atas pertimbangan dan kebijaksanaannya sendiri, DAP tidak menyokong secara rasmi kempen boikot media itu, tetapi beberapa tokoh pemimpinnya (seperti Ronnie Liu) senantiasa menyertai kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh jawatankuasa yang melaksanakan kempen tersebut.

"Selain itu, sewaktu pilihanraya tahun 1999 itu pihak BA juga turut mengadakan program-program tertentu bagi “membilas” tindak tanduk media BN.

"Misalnya, pihak BA menggerakkan sebuah pusat maklumat bersama yang bertindak menangani sebarang bentuk misinformation yang disebarkan pihak BN dan mengadakan sidang media setiap pagi untuk keperluan media tempatan maupun antarabangsa," kata beliau.

Jelasnya lagi, dengan pengalaman penyelarasan yang telah diperolehi daripada upaya menganjurkan perhimpunan rakyat 10 November baru-baru ini oleh pihak parti-parti pembangkang dan Bersih, inisiatif tahun 1999 itu bukan sahaja dapat diulang malah dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi kali ini.

"Selain itu perkembangan maklumat yang terdapat hari ini bukan sahaja akan membolehkan kempen memboikot media dilaksanakan tetapi juga usaha melawan dan menelanjangi sebarang bentuk misinformation yang akan cuba disebarkan melalui media terpasung yang dikuasai pihak pemerintah akan dapat dilakukan."
Buat kenyataan hina Speaker - Dua Adun BN digantung enam bulan
Nyza Ayob

KOTA BHARU (Hrkh)- Dewan Undangan Negeri Kelantan menggantung dua Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional, Dato' Nozula Mat Diah (Adun Paloh) dan Mohd Adhan Kechik(Adun Bukit Bunga) daripada menghadiri persidangan bagi tempoh enam bulan kerana enggan meminta maaf dengan Speaker, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Speaker membuat keputusan penggantungan tersebut berdasarkan peruntukan yang telah dilaksanakan pada peringkat Parlimen Malaysia selepas kedua-duanya engan meminta maaf kerana membuat kenyataan diluar dewan.

Pada 21 November 2007 , kedua-dua Adun tersebut mengeluarkan kenyataan akhbar yang disiarkan akhbar tempatan yang berupa tuduhan ke atas Speaker yang mempertikaikan kedudukan Speaker.

Kenyataan akhbar dibuat di luar dewan selepas Nozula digantung daripada menyertai persidangan dewan pada hari tersebut kerana keengganannya mematuhi arahan Speaker supaya duduk ketika meminta giliran untuk berucap ketika sesi perbahasan menjunjung titah Sultan Kelantan.

Usul penggantungan kedua-dua Adun tersebut dikemukakan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato' Takiyuddin Hassan pada persidangan 26 November.

Tuduhan tersebut jelas Takiyuddin merupakan satu penghinaan kepada Speaker dan Dewan Undangan Negeri.

Usul tersebut dibahaskan oleh Drs Zainuddin Awang Hamat(PAS Limbongan) dan mendapat sokongan majoriti.

Sewaktu usul tersebut dibahaskan, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Panglima Anuar Musa mempertikaikan penggunanaan peruntukan pada peringkat Parlimen Malaysia bagi keputusan penggantungan kedua-dua Adun itu.

Bagaimananapun jelas Takiyuddin, penggantungan berdasarkan peruntukan Standing Order 125 yang memperuntukkan mana-mana perkara yang tidak disyaratkan dalam peraturan Standing Order, syarat dan peraturan Dewan Rakyat digunakan. Usul yang dikemukakannya itu berdasarkan kepada Standing Order Parlimen dan amalan yang dilaksanakan di Parlimen.

Sementara itu Nozula dan Adhan dalam sidang media yang diadakan semalam mendakwa usul pengantungan ke atas mereka ialah dengan menggunakan kelebihan dan kedudukan sebagai pihak kerajaan.

Mereka menyatakan tidak pernah berniat menghina Speaker dan Dun serta pertuduhan tersebut tidak jelas, tidak kukuh dan berniat jahat.

Kedua-dua Adun itu turut mendakwa mereka dinafikan hak untuk bersuara dan mengemukakan permasalahan yang perlu dijelaskan oleh kerajaan negeri.

Difahamkan kedua-dua Adun tersebut segera bergegas ke pejabat BPR Kota Bharu selepas sidang media tersebut.

Sementara itu, Adun di pihak pembangkang turut mengeluarkan kenyataan akhbar sebagai tanda sokongan terhadap tindakan Nozula dan Adhan yang menyerahkan maklumat kepada BPR untuk siasatan.

Selain itu , mereka juga mengambil keputusan tidak menyertai perbahasan lanjut(belanjawan) di Peringkat Jawatankuasa dan bacaan ketiga Rang Undang-undang yang dikemukakan pada hari terakhir persidangan. - mr
Penipuan pilihan raya, Anwar tunjuk bukti kepada PM, SPR
Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini mengecam kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menafikan berlakunya penipuan dalam perjalanan pilihan raya di negara ini.

Sambil melaungkan kekecewaan terhadap pemimpin Islam Hadhari itu beliau menyatakan bahawa penafian berterusan ini hanya akan menjejaskan imej Malaysia.

Anwar berkata demikian ketika mengadakan sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.Turut serta ialah, Pengerusi Mafrel, Abdul Malik Hussin dan Pegawai Khas Anwar, Din Merican.

Ini buktinya!

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mengemukakan dokumen-dokumen yang disebut sebagai bukti yang baginya 'mustahil' bagi SPR dan PM tidak mengetahuinya.

Anwar mendakwa telah menyerahkan satu surat kepada Perdana Menteri pada Jun 2006 berhubung bukti penyelewengan pilihan raya beserta laporan 'Sham Democracy' yang dibuat KeADILan mengenai penipuan pilihan raya 2004.

Laporan tersebut disokong dengan bukti yang telah pun ada dalam pengetahuan SPR sendiri seperti daftar pemilih yang tidak bersih dan tempoh berkempen pada pilihan raya 2004 yang paling pendek dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Anwar melampirkan bukti-bukti yang baginya adalah satu alasan kukuh SPR dan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi perlu melihatnya dengan serius dan melakukan perubahan segera.
Antara bukti yang dinyatakan Anwar ialah :

1 : Pada tahun 1999, SPR mendakwa mereka tidak 'mempunyai masa yang mencukupi' untuk meluluskan daftar pengundi yang mendaftar pada Mei untuk pilihan raya yang berlansung pada November.Kelulusan katanya mengambil masa tiga bulan.Ini jelas sekali satu usaha yang terancang untuk menafikan seramai 680,000 pengundi baru ketika era reformasi (1998-1999).

2 : Pada tahun 2004, daerah mengundi tidak wujud ditemui di Parlimen Gombak, di mana wujud dua daerah mengundi dengan nama yang sama (Kemensah 098/18/04) tetapi memberikan dua keputusan yang berbeza.

3 : Pada tahun 2004 juga, rekod mencatatkan Ali Bin Omar (No.K/P 280903-02-5057), iaitu bapa kepada pemimpin KeADILan, Azmin Ali yang telah meninggal dunia pada tahun 2001 hadir mengundi pada tahun 2004 dengan mengundi BN.

4 : Pada pilihan raya 2004 juga, 37.6 peratus daripada pengundi di kawasan Parlimen Lembah Pantai didapati mempunyai alamat yang tidak boleh dikesan.Menurut daftar pengundi seramai 141 pengundi mendaftar di satu alamat iaitu di sebuah kedai kecil beratap zink di lot 4742 Bukit B, Kampung Kerinchi.

5 : Pada pilihan raya kecil Dun Ijok, sebanyak 142 kertas undi tidak dipulangkan dari Peti Undi 4 daerah mengundi di Pekan Batang Berjuntai Bestari Utara.

6 : Oktober 2007, di kawasan Parlimen Ipoh Timur yang merupakan kubu kuat DAP, didapati wujud 8463 pengundi baru dalam kawasan itu dalam masa hanya tiga bulan sahaja.Sebelum ini Parlimen tersebut mempunyai 48,000 pengundi berdaftar dan pembangkang memenanginya dengan majoriti 9774 undi.

SPR dan PM tahu?

Bagi Anwar, semua bukti ini sebenarnya diketahui SPR dan pembangkang antaranya PAS, DAP dan KeADILan telah beberapa kali menyerahkan laporan penyelewengan kepada SPR.

Namun kata Anwar, semua laporan itu tidak dijawab oleh SPR sebaliknya Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rahsid Abdul Rahman menyatakan bahawa 'tiada bukti'.

Menurut Anwar, 100,000 rakyat baru sahaja melepaskan rasa tidak puas hati mereka pada 10 November lalu bagi membantah penyelewengan pilihan raya, tetapi kerajaan masih meneruskan reaksi angkuh mereka meneruskan penipuan yang ada.

"Kami menuntut penilaian penuh dasar dan prosedur SPR agar mereka menepato tahap ketelusan antarabangsa sebelum berlangsungnya pilihan raya umum akan datang," kata Anwar.

ISA zalim, kata Anwar

Dalam hal lain, Anwar menyelar kenyataan PM bahawa kerajaan tidak teragak-agak akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada peserta himpunan aman.

Baginya, seorang pemimpin Islam Hadhari tidak seharusnya berkata dan bersikap demikian dalam melayani tuntutan dari pelbagai pihak termasuk golongan pembangkang atau minoriti.

Baginya, penggunaan ISA jelas sekali menzalimi rakyat, dan ia telah terbukti dalam kes saman Abdul Malik Hussin (bekas tahanan ISA yang menang RM2.5 juta) bahawa ISA digunakan dengan cara yang paling kejam sekali.

Sebagai seorang pemimpin negara dan Islam Hadhari, PM seharusnya mendengar dan menghalusi tuntutan rakyat dan Islam sendiri tidak menegahnya.

Dalam hal perhimpunan aman pula, Anwar menyelar sikap PM yang tidak membenarkan perhimpunan aman diadakan di negara ini.

Baginya himpunan sedemikian rupa adalah satu amalan biasa di negara lain yang mengamalkan demokrasi, kerana ia adalah hak paling 'basic' kepada rakyat untuk menyatakan pandangan.

Bagaimanapun di negara ini ia tidak diamalkan, sebaliknya hak berhimpun ini boleh hanya kepada Umno sahaja, kerana Umno telah beberapa kali mengadakan himpunan memprotes pelbagai isu. - mks.

Rabu, 28 November 2007

Harga minyak: MIER ramal kenaikan kecil 30 sen
Oleh Ainul Asniera Ahsan

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan kerajaan akan mengenakan kenaikan kecil harga minyak domestik berikutan peningkatan bahan bakar itu yang kini hampir mencecah AS$100 (RM336) setong.

Pengarah Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem berpendapat, kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen adalah munasabah berbanding spekulasi sebanyak 80 sen.

“Macam-macam spekulasi dibuat berhubung kadar kenaikan harga minyak, ada yang menyatakan kerajaan akan menaikkan harga minyak sebanyak 80 sen seliter.

‘‘Tetapi selepas mengambil kira kenaikan minyak yang berterusan ini, bagi saya kenaikan sebanyak 30 sen adalah munasabah,’’ katanya ketika ditemui pada Forum Tinjauan Ekonomi Kebangsaan 2008-2009 di sini hari ini.

Menurut Mohamed Ariff, kadar kenaikan itu sebenarnya masih rendah berbanding kenaikan yang berlaku di negara-negara lain.

Malah, katanya, Malaysia merupakan negara kedua yang menikmati harga minyak paling rendah di dunia.

Mohamed Ariff berkata, kenaikan harga minyak pasti berlaku kerana kerajaan tidak mungkin berupaya menampung jumlah subsidi minyak yang lebih besar.

“Sekarang kerajaan membelanjakan sebanyak RM16 bilion untuk subsidi minyak dan tidak mungkin kerajaan berupaya untuk terus menanggung subsidi minyak yang semakin meningkat.

“Harga minyak akan naik, cuma masanya sahaja yang tidak dapat ditentukan,’’ jelasnya yang yakin kerajaan akan mengenakan kenaikan harga minyak yang sedikit untuk mengurangkan beban rakyat.

Katanya, kenaikan harga minyak domestik bakal memberi implikasi terhadap keseluruhan perbelanjaan rakyat berikutan kenaikan kos pengangkutan akan menyebabkan harga barangan turut naik.

Berikutan itu, tambah beliau, kadar inflasi negara juga dijangka meningkat kepada tiga peratus tahun depan.

Menurut Mohamed Ariff, walaupun kerajaan terpaksa menanggung subsidi minyak namun pendapatan kerajaan tidak terjejas kerana Malaysia merupakan negara pengeksport minyak bersih.

Malah, katanya, Malaysia dijangka memperoleh peningkatan pendapatan hasil daripada kenaikan harga minyak mentah.

Selain itu, tambah beliau, pengukuhan ringgit juga membolehkan negara mengimport barangan pada harga yang lebih murah.

Selasa, 27 November 2007

Ketua Polis Negara pun dah sakit

Oleh: Sang Kelembai

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika dihubungi mengenai perhimpunan Hindraf berkata, tindakan menahan peserta perhimpunan haram tersebut diambil berikutan mereka bertindak liar dengan membaling batu dan besi kepada anggota polis yang bertugas mengawal keadaan.

Menurutnya, polis terpaksa bertindak demikian kerana kumpulan berkenaan mengingkari arahan bersurai selepas diminta berbuat demikian. Seramai 4,000 anggota polis yang ditugaskan, kata Musa dan pihaknya tidak menggunakan kekerasan dalam usaha menyuraikan mereka daripada menyertai perhimpunan haram itu.

Ditanya dalang di sebalik perhimpunan haram itu katanya, polis masih menyiasat individu yang bertanggungjawab menganjurkannya dan yakin mereka dapat dikenal pasti dalam masa terdekat ini.

‘‘Para peserta perhimpunan haram hari ini seolah-olah tiada haluan dan berpecah belah, sekali gus menunjukkan seolah-olah mereka tiada ketua,’’ katanya. Utusan Malaysia . 26hb Nov 2007.

"Di situ, polis menggunakan tindakan pencegahan paling minimum, iaitu pancutan air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka tanpa menggunakan kekerasan fizikal,"katanya. Musa menegaskan, polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur perhimpunan haram itu termasuk pemimpinnya.


"Polis mempunyai cukup bukti untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin, penganjur serta penunjuk perasaan terbabit," katanya sambil menjelaskan polis sudah memantau aktiviti Hindraf dalam tempoh tertentu. Beliau berkata, polis sedia mengadakan rundingan dengan pemimpin kumpulan itu untuk menyerahkan memorandum kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Britain , tetapi tidak seorang pun pemimpin Hindraf yang kelihatan sehingga jam1.30petang.


"Mereka berucap dan pulang tanpa menyerahkan sebarang memorandum pun seperti di war-war," katanya.
Berita Harian 26hb Nov 2007


Bila membaca kedua berita dalam surat khabar arus perdana milik ULC-Umno Link Company tiada apa-apa yang tidak kena mengenai pemberitaan mereka terhadap Perhimpunan halal dari segi Perlembagaan Malaysia tetapi haram dari segi undang-undang Polis ke atasa Hindraf-Hindu Right Action Force.

Tetapi jika teliti laporan yang dibuat oleh Berita Harian perkara mengenai KPN-Ketua Polis Negara menyatakan Polis bersedia berunding dengan pemimpin Hindraf menimbulkan tanda tanya.

Bukan kah pada Khamis, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan perintah melarang lima pemimpin Hindraf dan penyokong mereka daripada menganjurkan atau menyertai perhimpunan hari ini di ibu kota.

Kelima-lima mereka ialah P. Uthayakumar, adik lelakinya Waythamoorthy, M. Manoharan, V.S. Ganapathi Rao dan R. Kengadharan.

Polis bukan sahaja tidak memberikan kebenaran bagi mengadakan perhimpunan itu kerana bimbangkan keselamatan awam tetapi melarang sesiapa sahaja untuk mendekati atau berhimpun di Pejabat Suruhanjaya atau Kedutaan British, Di Jalan Ampang

Soalnya tak akan KPN tidak mengetahui bahawa ada pemimpin Hindraf setengahnya ditahan dan berada dalam penjara dan setengahnya dilarang ke kawasan tersebut. Ini bererti jika pemimpin Hindraf didapati berada di kawasan tersebut dengan secara sendiri mereka boleh ditangkap.

Maka berita itu menjadi senda gurau, bagaimana Polis mengatakan bahawa bersedia berunding dengan pemimpin mereka, walhal pemimpin mereka ada yang sudah ditahan polis dan berada dalam penjara. Ini bererti KPN sendiri sudah mula mengidap penyakit lupa, jika tidak seteruk Menterinya yang sudah jelas "mental disorder" atau kenapa Polis tidak berunding sebelum perhimpunan itu disuraikan secara paksaan dengan belantan, water canon dan gas pemedih mata.

Akhirnya Polis pun dengan pertolongan semua saluran berita TV dan surat khabar memberikan cerita mohon simpati bila berulang kali menayangkan akan kisah Polis yang luka kerana dibaling oleh peserta perhimpunan. Publisiti Polis yang cedera menjadi berita utama dari menceritakan akan kisah puluhan ribu orang awam yang tidak berdosa disemburi dengan air kimia dan gas pemedih mata dan jauh sekali seperti di Terengganu akan kisah bagaimana orang awam ditembak Polis, mangsa tidak pernah dikunjungi Polis jauh sekali di “interview” untuk menceritakan kisah yang sebenarnya.

Orang ramai dan rakyat bukan tidak simpati dengan Polis tetapi bila mereka melihat cara Polis dalam menangi isu perhimpunan halal yang diharamkan dan juga provokasi Polis terhadap orang awam dengan cara membuat sekatan jalan raya supaya orang ramai akan memaki seranah atau marah kepada penganjur perhimpunan dan keadaan itu akan menguntungkan Kerajaan Tiga Beranak yang di pimpin oleh Abdullah Hj Ahmad, tetapi sebaliknya orang ramai sebenarnya lebih marah kepada Polis daripada simpati.

Sebenarnya jika Polis hendak membantu Kerajaan Tiga Beranak,dalam dwifungsi barunya belajar cara pemikir Polis terdahulu yang menasihatkan kerajaan, soal perhimpunan halal atau haram sudah beberapa kali berlaku sebelum dan selepas merdeka. Tetapi pemikir keselamatan dahulu tidak menggunakan formula bodoh dengan membenarkan pemimpin kerajaan bercakap mengatakan bahawa perhimpunan itu di dalang oleh parti pembangkang dan berunsur kepentingan politik.

Dahulunya hanya dengan satu kenyataan sahaja oleh Kerajaan bahawa perhimpunan yang diadakan itu berunsur ""anti nasional" atau dihasut oleh "elemen subversif," dengan sendiri rakyat takut untuk melibatkan diri dalam satu-satu perhimpunan, malah bila Polis berdepan dengan perhimpunan yang boleh mengganggu keselamatan orang awam, orang awam menerima senang hati tindakan Polis dalam menyuraikan perhimpunan, demonstrasi atau bahasa selalunya dipanggil penunjuk perasaan kerana demonstrasi itu sudah menjadi musuh orang ramai.

Bila penunjuk perasaan sudah menjadi musuh rakyat dan rakyat tidak langsung bersimpati dengan penunjuk perasaan tetapi hari ini sudah menjadi berlainan. Semenjak beberapa kali perhimpunan dan demonstrasi diadakan serta melihat cara polis bertindak maka kesimpulan yang timbul adalah tindakan polis sudah diambil kira sebagai tidak selari dengan Hak Asasi Manusia.

Kenapa jadi begitu. kerana terlalu ramai sangat orang yang hendak bercakap dalam isu keselamatan, dari Menteri Penerangan, Menteri Kerja Raya dan macam-macam Menteri semuanya membuat ulasan termasuk Timbalan Perdana Menteri. Dahulunya seorang atau dua orang sahaja yang terlibat sama ada Perdana Menteri atau Menteri Keselamatan Dalam Negeri

Itulah yang menyebabkan orang ramai menjadi keliru, seperti isu Perhimpunan 10hb November dan 25hb November, pengharaman perhimpunan itu isu keselamatan atau isu memperkukuhkan kuasa Abdullah Hj Ahmad? Yang dinanti sekarang adalah gelombang rakyat untuk menunggu siapa nak mulakan Perhimpunan Aman untuk mengadakan majlis "Berhenti Dolah Berhenti" ia itu mendesak Abdullah Hj Ahmad berhenti menjadi Perdana Menteri, sebelum negara ini lingkup atas gaya hidup yang berfoya-foya dengan menggunakan lawatan rasminya ke Mesir untuk meraikan hari jadi yang ke 69 tahun.

Jika Abdullah Hj Ahmad ini bijak dan boleh berfikir, bukankah tarikh 25hb itu, dia berada di sidang Chogm di Uganda, dia benarkan sahaja perhimpunan itu dan di sana dia berkata jika kes tuntutan itu di bawah ke Mahkamah British, Kerajaan Malaysia akan berpihak kepada Kerajaan British untuk menyediakan peguam untuk menolak kes itu. Tetapi kerana dia kurang cerdik kerana banyak tidur dari jaga, dia tak tahu macam mana nak urus krisis dan damage control.

Sang Kelembai: Jika buka fail “Special Branch” sudah pasti akan terjumpa pada tahun 60an, orang China telah membuat tuntutan "Hutang Darah" kepada Jepun, ada juga tunjuk perasaan tetapi Almarhum Tunku Abd Rahman semasa Perdana Menteri, memberikan sokongan sepenuhnya dan menjadi jurucakap tuntutan itu kepada Kerajaan Jepun. Walau akhirnya pemberian hutang darah dibayar dalam bentuk pemberian kapal yang sekarang bernama MISC dan ditadbir oleh Petronas sebelum terjual ke Hong Kong. Apalah salahnya jika hari ini Abdullah Hj Ahmad sendiri mengetuai perbincangan "Hutang Perhambaan" orang India yang dibawa ke Malaya oleh British.

Umno berperang kerana rebut kekayaan

PENGERUSI GERAK Mohamad Ezam Mohd Noor melontarkan pandangannya, pertembungan merebut kuasa dalam kancah politik orang Melayu terutamanya Umno ialah kerana merebut kekayaan dan bukannya ikhlas untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

Hakikat ini katanya berlaku selepas negara mengorah langkah ke arah kemajuan terutamanya setelah penemuan dan penghasilan minyak dan gas.

Sebelum daripada itu katanya, tepatnya sebelum tahun 1987, politik orang Melayu berada dalam keadaan aman dan tidak ada perebutan kuasa di dalam parti.

Bercakap pada majlis baca puisi dan cakap politik di perkarangan rumah Kamal Amir Kamal Hijar di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur malam tadi, katanya, pertembungan itu jelas kerana masing-masing hendak merebut kekayaan negara dan bukan ikhlas kerana perjuangan membela orang Melayu.

"Jika diperhatikan orang Umno mula bertembung sesama sendiri selepas negara menghasilkan minyak di mana masing-masing cuba hendak menguasai kekayaan negara selepas penghasilan bahan berkenaan," katanya.

Team A dan Team B punca perjuangan Umno beralih kiblat

Beliau lantas secara terus terang menyebut perbalahan antara Dr Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987 yang dikenali dengan nama team A dan team B adalah detik mula perbalahan kerana kebendaan (kekayaan) dan bukan sangat kerana perjuangan untuk bangsa.

Begitu juga tambahnya dengan pertembungan tahun 1987 antara bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Dr Mahathir Mohamad juga berlandaskan kebendana dan bukan kerana perjuangan.

Analisa yang dibuat oleh Ezam itu menarik dan suatu kebenaran berpandukan kepada pengalamannya kerana dalam pertembungan Mahathir - Anwar pada 1987 beliau bersama Anwar.

Tegas Ezam sebelum tahun itu tidak ada perbalahan seteruk itu. "Saya bukan mengatakan pentadbiran Tuanku Abdul Rahaman baik, namun yang jelasnya pertembungan untuk menguasi negara tidak separah selepasnya," tambahnya.

Kagum dengan perjuangan Tun Dr Ismail

Ezam yang kini tidak menyertai mana-mana parti politik menjelaskan beliau tidak hairan dengan apa yang berlaku itu kerana pemikir Islam terkenal Ibnu Khaldum pernah menjelaskan didalam bukunya (Muqadimah), saat keruntuhan sesebuah tamadun (kekuasaan) ituialah apabila pemimpin dan rakyat negara itu mulai merebut kekayaan.

Justeru katanya untuk tidak melihat negara terus porak peranda adalah baik kalau semua pemimpin dan rakyat kembali kepada matlamat asal iaitu berjuang untuk agama, bangsa dan tanahair.

Ezam yang baru selesai membaca buku biografi Tun Dr Ismail - Bukan kerana pangkat menyarankan semua pemimpin terutamanya generasi baru mengambil sikap dan semangat perjuangan bekas TPM itu yang padanya sungguh mengkagumkan.

Lebih kurang 26 hari pada majlis berkenaan terdiri daripada penulis blog, penyair dan orang politik. Antara mereka, Raja Petra Kamarudin, Rahman Othman, Yahaya Ismail, Dramala NS, Mansor Abdullah dan lain-lain. http://www.msomelayu.blogspot.com/

Pembangunan hebat: 6 anak luar nikah lahir sehari !

Oleh :AYu

Selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih pemerintahan Terengganu daripada PAS pada pilihan raya umum 2004 lalu, ramai yang terpesona dan dapat menyaksikan betapa pembangunan semakin hebat di negeri ini sebagaimana yang diuar-uarkan oleh pemimpin yang ada sekarang.

Sebagaimana yang dikatakan oleh pemimpin BN negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, pembangunan yang tidak pernah dilihat, kini boleh dilihat sekalipun apa yang disebut itu bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat negeri ini.

Pemimpin kerajaan BN termasuk Idris tidak lekang daripada mempromosikan pembangunan yang dikatakan hebat dan pesat itu walaupun ianya dilaksanakan oleh kerajaan Pusat seperti pembinaan lebuh raya, pembesaran lapangan terbang, pembinaan universiti dan lain-lain.

Bagaimanapun ternyata dalam masa yang sama, di sebalik pembangunan yang tidak seberapa itu yang dibangga-banggakan oleh Idris dan suku sakatnya, keruntuhan moral di kalangan rakyat terutama golongan remaja semakin parah.

Situasi ini dapat dilihat di kawasan rekreasi atau tumpuan orang ramai termasuk di Pantai Batu Burok dan Taman Shahbandar di sini, pasangan remaja lelaki dan perempuan tidak segan silu berdua-duaan dalam keadaan yang memalukan.

Berpelukan atau berciuman di khalayak ramai bukanlah asing bagi pasangan remaja di negeri ini bahkan ianya semakin menjadi-jadi dan seolah-olah tidak dapat dibendung.

Namun fenomena yang semakin membimbangkan ialah jumlah kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah semakin bertambah sehingga mencapai 178 kes sebulan atau sekitar enam kes sehari.

Gejala kelahiran anak tidak sah taraf semakin menakutkan apabila sebanyak 1,068 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh enam bulan tahun lalu.

Ini dinyatakan sendiri Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri, Adnan Abu Bakar sebagaimana laporan media baru-baru ini.

Menurutnya, kelahiran seumpamanya itu berlaku 52 kes pada 2000, 114 (2001), 175 (2002), 206 (2003), 193 (2004) dan 328 (2005).

Beliau mengakui gejala itu satu peningkatan kerana angka itu tidak termasuk yang dilaporkan pada 2006 dan tahun ini.

Antara sebab peningkatan gejala tersebut kerana bertambahnya kejadian rogol, sumbang mahram dan perzinaan di kalangan remaja.

Berdasarkan jumlah tersebut, kadar kelahiran anak tidak sah taraf di negeri ini melangkau jumlah yang dilaporkan berlaku di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur dikatakan bahawa setiap bulan lebih kurang 100 bayi luar nikah dilahirkan.

Dengan jumlah kelahiran anak tidak sah taraf sebanyak 178 kes sebulan itu menunjukkan bahawa betapa seriusnya gejala sosial di kalangan rakyat di negeri ini terutama golongan remaja.

Melalui slogan Islam Hadhari, Terengganu Bestari, ternyata pembangunan pesat yang dikatakan berlaku di negeri ini sekarang, tempiasnya turut melibatkan kes kelahiran anak tidak sah taraf yang juga `pesat’ berkembang.

Atau ini juga yang dikatakan sebagai `tidak pernah didengar dan dilihat’ seperti mana dakwaan pemimpin BN negeri yang mengaitkannya dengan pembangunan yang berlaku hari ini.

Secara perbandingan, angka 178 kelahiran sebulan mengatasi jumlah yang berlaku dalam masa setahun pada zaman pemerintahan PAS sebelum ini iaitu tahun 2000 hingga 2002.

Walaupun isu kelahiran anak luar nikah bukan perkara baru, namun `kebanjiran’ mereka di negeri ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan kerana yang pastinya jumlah tersebut memberi gambaran bahawa kepincangan masyarakat kini semakin parah.

Justeru itu, pemimpin BN negeri terutama Idris jangan mendabik dada kononnya berjaya membawa pembangunan sebaliknya gagal menangani keruntuhan moral rakyat.

Budaya hedonisme yang diwujudkan oleh kerajaan negeri dengan berleluasanya gejala pergaulan bebas, penguatkuasaan syariah yang tidak aktif dan program pembangunan insan dan keagamaan yang diabaikan adalah antara punca merebaknya penyakit sosial termasuk kelahiran anak tidak sah taraf.

Isnin, 26 November 2007

Tiba masanya boikot media dilancarkan semula

Tidak ada sebab mengapa upaya menentang monopoli maklumat pihak BN kali ini tidak boleh lebih berhasil daripada inisiatif pada tahun 1999 itu – dan memang sepatutnya dilaksanakan dalam semangat meneruskan kejayaan perhimpunan rakyat 10 November tersebut.

Oleh Rustam A Sani
Mingguan Siasah 25 Nov 2007


Perhimpunan rakyat pada 10 November lalu telah dengan jayanya mencatatkan bantahan rakyat terhadap suatu kecacatan besar dalam sistem demokrasi negara ini: pilihanraya yang tidak telus lagi tidak adil.

Sewaktu membidas tindakan rakyat berdemonstrasi, baik Zainuddin Maidin, Khairy Jamaluddin maupun Nazri Aziz telah menyatakan bahawa cara itu bukanlah cara kita. Kita kononnya bukan Burma maupun Pakistan, kita masih punya pilihanraya, dan rakyat perlu menggunakan pilihanraya itu untuk mencatatkan bantahan mereka.

Namun itulah inti persoalannya. Wujudnya pilihanraya yang diadakan sekian tahun sekali sahaja tidaklah bermakna wujudnya demokrasi yang tulen. Pilihanraya itu sendiri perlulah dilaksanakan dengan telus lagi adil sebagai institusi untuk mencatatkan keputusan rakyat yang sebenarnya.

Pilihanraya yang dijalankan dengan cara memberikan kelebihan yang tidak adil terhadap pihak tertentu, selalunya pihak berkuasa yang dari segi teorinya hanya memainkan peranan “penjaga” sewaktu pilihanraya dijalankan, pastinya merupakan institusi demokrasi yang pincang.

Pilihanraya yang demikianlah yang menjadi sasaran bantahan rakyat yang diwakili oleh Bersih dalam perhimpunan pada 10 November itu. Hanya beberapa pemimpin Umno – seperti Zainuddin Maidin, Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin – yang tidak mempunyai kejituan intelek bagi memahami intipati protes rakyat tersebut.

Pembetulan

Bersih sebenarnya telah mengemukakan secara khusus ciri-ciri pilihanraya negara ini yang dibantahnya beserta dengan langkah-langkah pembetulan yang dituntutnya – supaya institusi tersebut dijadikan lebih bersih, lebih telus dan lebih adil, demi mencapai sistem demokrasi yang tulen.

Salah satu prasyarat yang dituntut sebagai salah satu institusi terpenting ialah wujudnya media bebas – yakni media yang tidak diperalatkan dan didalangi pihak berkuasa, tetapi berperanan menyalurkan makluman yang benar, sebagai bantuan kepada rakyat dalam membuat pilihan dan mengambil keputusan yang bijak lagi tepat.

Sebagaimana yang kita ketahui, media yang bebas merupakan salah satu institusi yang terpenting dalam sebarang sistem demokrasi yang tulen lagi benar-benar berfungsi.

Sayangnya, dalam sistem pemerintahan negara ini institusi media bebas ini bukan sahaja semakin hari semakin terhakis kebebasan dan ketulenannya, malah semakin hari semakin dinodai dan ditransformasi untuk menjadi alat propaganda pihak pemerintah sahaja.

Malah, sejak akhir-akhir ini – sejak institusi ini dibayangi oleh sikap dan pandangan seorang Menteri Penerangan yang pernah menjadi wartawan (Zainuddin Maidin) tetapi samasekali tidak memahami, apa lagi menghargai, konsep kewartawanan bebas yang tulen – penodaan institusi tersebut semakin menjadi-jadi.

Oleh yang demikian, sebuah proses pilihanraya yang tulen, yang demokrastis lagi adil, sudah pasti tidak akan tercapai dalam sebuah sistem sosial dan politik yang hanya membenarkan wujudnya media yang dikuasai pihak yang memerintah dan dijadikan alat propaganda dan alat putarbelit maklumat yang kotor oleh pihak tersebut.

Di sebaliknya pula, kewujudan media yang mewakili pihak yang menentang pihak berkuasa itu terus menerus dihalang dan ditindas secara yang tidak adil dan tidak demokratis.

Jika dalam keadaan normal suasana media negara ini dapat dikatakan tidak adil, maka dalam suasana pilihanraya ketidakadilan itu bukan sahaja akan meningkat tetapi akan dilaksanakan dengan caranya yang tidak beretika dan tidak bermoral.

Dalam buku saya, Menjelang Reformasi (2004), saya pernah memerikan situasi penggunaan media secara tidak beretika pada waktu kempen pilihanraya itu sebagai suatu “kegilaan.” Dan kita dapat menjangkakan bahawa kegilaan ini akan berulang lagi sewaktu pilihanraya yang akan datang – semakin terdesak pihak kerajaan maka akan semakin tenatlah “kegilaan” tersebut.

Oleh kerana orang yang paling berpengalaman dalam melaksanakan kegilaan ini dalam kerangka sebuah syarikat akhbar, yakni Utusan, kini sudah menjadi Menteri Penerangan maka dapatlah dijangkakan bahawa liputan kegilaan itu akan menjadi lebih luas lagi – meliputi semua media cetak dan eletronik yang dikuasai pemerintah maupun parti-parti politik BN.


Kotor

Bayangan tentang kewartawanan kotor yang mampu dan sanggup dimainkan oleh Zainuddin Maidin ini, misalnya, sudah dapat kita lihat dalam tindak-tanduk pelbagai media tersebut sewaktu berlangsungnya beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini.

Di tangan ahli propaganda dan pakar misinformation seperti Menteri Penerangan itu, perkara remeh temeh seperti Anwar Ibrahim yang bergerak menurut rentak lagu Tamil misalnya boleh sahaja ‘dispin’ menjadi persoalan nasional yang besar!

Oleh kerana itu, bagi saya, semua pihak yang komited terhadap menegakkan institusi pilihanraya yang bersih dan adil di negara ini perlulah bersiap sedia bagi menghadapi serangan dari jentera propaganda dan putar belit maklumat yang akan digerakkan pada waktu pilihanraya nanti.

Tujuan persediaan itu sebenarnya bukanlah sekadar untuk “melawan” jentera propaganda kerajaan itu secara partisan, tetapi juga sebagai suatu langkah untuk melaksanakan pendidikan politik dan etika demokrasi di kalangan rakyat dan para pengundi di negara ini.

Jika upaya dan usaha melakukan “spin” berita dan maklumat merupakan pendekatan utama jentera propaganda pemerintah, maka kita mestilah pula bersedia dengan teknik dan kebijaksanaan despin kita pula – untuk menelanjangi kepada rakyat apakah maksud dan niat jahat di sebalik spin mereka itu.

Dalam hubungan ini saya amat tertarik dengan suatu item berita yang disiarkan oleh portal berita KL.pos baru-baru ini. Menurut portal tersebut PAS dengan disokong oleh sebilangan NGO dan parti-parti pembangkang lain, akan melancarkan suatu kempen besar-besaran bagi memboikot media pro-BN – sebagai lanjutan dari kejayaan inisiatif gerakan gelombang kuning 10 November itu.

Kempen “boikot media” yang demikian itu sebenarnya sudah pernah dilakukan pada tahun 1999 dahulu dan hasilnya, menurut pertimbangan saya, cukup memberangsangkan. Sebagai hasil inisiatif tersebut, jumlah edaran akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times telah merudum.

Sebaliknya pula, akhbar-akhbar parti pembangkang dan beberapa penerbitan bebas lainnya, seperti Harakah, Detik dan sebagainya, telah mengalami peningkatan edaran yang belum pernah dialami sebelum ini – sehingga pihak kerajaan terpaksa bertindak mengurangkan kekerapan penerbitannya.

Boikot media

Kempen pada tahun 1999 itu telah dilaksanakan oleh Barisan Alternatif dengan mendapat sokongan daripada sejumlah NGO.

Atas pertimbangan dan kebijaksanaannya sendiri, DAP tidak menyokong secara rasmi kempen boikot media itu, tetapi beberapa tokoh pemimpinnya (seperti Ronnie Liu) senantiasa menyertai kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh jawatankuasa yang melaksanakan kempen tersebut.

Selain itu, sewaktu pilihanraya tahun 1999 itu pihak BA juga turut mengadakan program-program tertentu bagi “membilas” tindak tanduk media BN. Misalnya, pihak BA menggerakkan sebuah pusat maklumat bersama yang bertindak menangani sebarang bentuk misinformation yang disebarkan pihak BN dan mengadakan sidang media setiap pagi untuk keperluan media tempatan maupun antarabangsa.

Pada hemat saya, dengan pengalaman penyelarasan yang telah diperolehi daripada upaya menganjurkan perhimpunan rakyat 10 November baru-baru ini oleh pihak parti-parti pembangkang dan Bersih, inisiatif tahun 1999 itu bukan sahaja dapat diulang malah dilaksanakan dengan lebih berkesan lagi kali ini.

Selain itu perkembangan maklumat yang terdapat hari ini bukan sahaja akan membolehkan kempen memboikot media dilaksanakan tetapi juga usaha melawan dan menelanjangi sebarang bentuk misinformation yang akan cuba disebarkan melalui media terpasung yang dikuasai pihak pemerintah akan dapat dilakukan.

Gerun

Haruslah diingat bahawa kempen tahun 1999 itu telah dilaksanakan dengan agak berjaya juga pada ketika teknologi maklumat baru yang melibatkan laman web, laman blog, web tv dan sebagainya masih belum berkembang seperti sekarang.

Kini teknologi-teknologi tersebut bukan sahaja sudah berkembang dan meluas dipergunakan, malah ternyata amat digeruni oleh pihak BN yang amat bergantung terutamanya pada kemampuannya menyaring alat-alat dan teknologi penyebaran maklumat – yang sebenarnya tidak mampu disaringnya itu.

Tidak ada sebab mengapa upaya menentang monopoli maklumat pihak BN kali ini tidak boleh lebih berhasil daripada inisiatif pada tahun 1999 itu – dan memang sepatutnya dilaksanakan dalam semangat meneruskan kejayaan perhimpunan rakyat 10 November tersebut.