HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mei 2008

Kes mahasiswa UKM: Polis didakwa lakukan pedakwaan terpilih
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Pihak polis dan pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masih lagi gagal menyelesaikan kes rampasan komputer riba milik seorang mahasiswa, Ammar Khalis Ishak dan juga pembuangan kolej terhadap Mohd Arif Misrol.

Pihak berkuasa universiti sehingga kini mengambil sikap berdiam diri tanpa memberikan apa-apa penjelasan dan pembelaan terhadap kes ini.

Kordinator Jawatankuasa Keselamatan yang menangani isu ini, Hishamuddin mendakwa bahawa pihak polis seolah-olah melakukan pendakwaan terpilih dalam menjalankan siasatan terhadap pihak keselamatan dan juga pentadbiran Universiti.

"Tindakan pihak polis yang menabur janji manis untuk menyelesaikan masalah ini tidak lebih sekadar melepaskan batuk di tangga meskipun Kanun Acara Jenayah jelas memihak kepada pelajar yang dirampas laptopnya tanpa sebarang catatan mahupun dokumentasi sebagai 'barang kes'," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily.

Tegasnya, pihak pentadbiran UKM bukanlah 'Sacred Cow' atau lembu suci yang mempunyai kekebalan dari segi undang-undang memandangkan pendakwaan terpilih yang dilaksanakan pihak Polis adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan seperti peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap orang sama di sisi undang-undang.

"Jika inilah sikap pihak polis dan pentadbiran universiti, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini mahkamah dan menuntut ganti rugi atas kacau ganggu terhadap segala kebejatan dan pencabulan undang-undang yang dilakukan oleh mereka," ujarnya.

Malah, pihaknya akan memastikan isu tersebut diselesaikan sehingga ke akar umbi seterusnya mencadangkan agar UKM merujuk kembali kes sebelum ini yang menimpa pelajar UPM.

Menyentuh isu pembuangan kolej ke atas pelajar, Arif Misrol tanpa alasan yang kukuh, beliau menyatakan bahawa berlaku diskriminasi terhadap hak asasi mahasiswa itu.

Jelasnya, merujuk kepada Perkara 6.4.8 Peraturan Khas Kolej UKM yang perlu dibaca dengan Perkara 35 (3) Kaedah-Kaedah Universiti Kebangsaan Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999 yang menyatakan bahawa mahasiswa yang dituduh dengan kesalahan tatatertib, perlu diberi peluang untuk membuat representasi atau pembelaan diri secara lisan.

Hal ini jelas bertentangan dengan tindakan pihak Pengurus Kolej Pendeta Za'ba yang tidak melakukan prosiding awal serta tidak menyatakan kesalahan yang didakwa mengganggu ketenteraman awam dan tatatertib asrama yang telah didakwa dilakukan oleh pelajar terbabit, ujarnya.

Mengulas mengenai isu ini, Hishamuddin menegaskan bahawa ia perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

"Kami mahukan isu ini diselesaikan segara dan pelajar terbabit perlu ditempatkan kembali ke kolej asalnya.

"Sekiranya pihak pentadbiran masih tidak berganjak dengan keputusan asal mereka, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara tersebut ke pengetahuan parlimen dan pihak mahkamah," ujarnya.

Difahamkan isu ini cuba diselesaikan secara diplomasi tetapi sikap dolak-dalik dan putar-belit pihak pentadbiran UKM telah menyebabkannya berlarutan selama dua bulan.

Mengenai isu rampasan laptop, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 17 April lalu.

Walau bagaimanapun, sehingga kini pihak polis tidak menjalankan sebarang siasatan berhubung laporan tersebut. - mns
Umno akan terus kucar-kacir sehingga Disember - Mohd Sabu
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Umno-BN dijangka akan terus mengalami pergolakan dan perpecahan sehingga Disember ini.

Pandangan tersebut dilontarkan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu kepada Harakahdaily dekat sini ketika memberikan penjelasan berhubung kenyataan mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim yang memohon maaf kepada Suruhanjaya Pilihan Raya semalam.

"Umno akan terus begini sehingga Disember apatah lagi selepas pemilihan dan pelantikan pucuk kepimpinan akan datang," katanya.

Tambahnya, keadaan akan menjadi lebih parah sekiranya kerajaan bertukar tampuk kepimpinan kepada Pakatan Rakyat.

Bahkan katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan meneruskan siri serangan beliau menerusi satu program ucaptama yang akan berlangsung di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya pada jam 9 pagi esok.

Mengulas mengenai kembalinya Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Nor semula ke pangkuan Umno, Mohamad yang merupakan Pengerusi Mobilisasi Demokrasi berpendapat ia tidak akan banyak mengubah keadaan dalaman Umno yang telah sedia kucar-kacir.

"Tindakan Ezam tersebut merupakan pilihan beliau secara peribadi, cuma yang saya kurang pasti sekarang adalah sama ada prinsip perjuangan Ezam untuk membasmi rasuah dan penyelewengan dalam kerajaan boleh dilaksanakan melalui parti yang ditentangnya selama ini?" katanya.

Ujarnya, terpulanglah kepada Ezam untuk meneruskan prinsip perjuangannya itu.

"Saya fikir Ezam perlu menjelaskan tindakan dan keputusan beliau itu sendiri kepada mereka yang pernah mengikuti ceramah dan rapat umum sebelum ini yang mengharapkan ianya dibuat," ujarnya.

Sementara itu, Mohamad yang pernah mengetuai Jawatankuasa Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 10 November lalu anjuran Bersih menyifatkan kenyataan yang dibuat Wan Abdul Rahim semalam sebagai bersifat peribadi.

"Sesiapapun yang membuat tuntutan maaf itu adalah pandangan peribadi, bahkan keputusan Mobilisasi Demokrasi dan Bersih akan meneruskan tuntutan kami sebelum ini termasuklah memorandum yang telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong tahun lalu.

"Walaupun Pakatan Rakyat berjaya menawan lima buah negeri dalam pilihan raya umum lalu, ia tidak bermakna sistem pilihan raya kita telah pun bersih dan baik," ujarnya lagi.

ini kerana tegasnya, penyelewengan tersebut tenggelam oleh tsunami politik yang dilakukan oleh kebangkitan rakyat berdasarkan faktor luaran dan senario politik semasa ketika itu.

"Justeru, kejahatan dan penipuan oleh pihak SPR tidak dapat dihidu dan tidak kelihatan dengan ketara, namun kita mendapat maklumat calon Pakatan Rakyat tewas di beberapa tempat setelah pengiraan semula dijalankan," katanya.

Jelasnya ini menyebabkan suatu suruhanjaya perlu ditubuhkan bagi menyiasat masalah ini.

"Kami tidak pernah berganjak daripada meneruskan tuntutan sebelum ini kerana kemenangan yang diperolehi Pakatan Rakyat bukanlah bermakna sistem pilihan raya di negara ini telah pulih dan bersih.

"Ia masih kotor dan tidak telus," katanya lagi.

Bersih sebelum ini pernah mengemukakan empat tuntutan termasuk pembersihan daftar pemilih, mengkaji semula pelaksanaan undi pos, serta penggunaan dakwat kekal pada jari pengundi menerusi memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 November lalu. - mns
Kabinet arah jalan BMC dibuka
malaysiakini


Kabinet hari ini mengarahkan supaya jalan akses yang digunakan oleh penduduk Bandar Mahkota Cheras (BMC) bagi mengelak membayar tol di Lebuhraya Cheras-Kajang dibuka kepada lalulintas.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat mingguan jemaah menteri hari ini dan berkuatkuasa serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Buka Jalan BMC, Tan Boon Hwa berkata, beliau telah dimaklumkan oleh menteri pengangkutan Datuk Ong Tee Keat mengenainya tengah hari tadi.

Menteri kerja raya Datuk Mohd Zin Mohamed kemudiannya membuat pengumuman rasmi mengenainya apabila mengadakan pertemuan dengan kira-kira 300 penduduk taman perumahan tersebut.

Katanya, jalan akses itu akan dibuka serta-merta dan syarikat konsesi tol Grand Saga akan diarahkan memperbaiki jalan tersebut.

Mohd Zin bagaimanapun tidak pasti sama ada jalan akses akan dibuka untuk sementara atau secara kekal.

Katanya, ia akan bergantung kepada keputusan kes mahkamah antara pemaju perumahan itu Narajaya Sdn Bhd dan Grand Saga.

Hadir sama ialah pengarah eksekutif Grand Saga, Zainal Abidin Ali.

Mohd Zin berkata, dianggarkan 10,000 kenderaan menggunakan jalan akses tersebut setiap hari. Ini bermakna Grand Saga akan kehilangan RM9,000 sehari, atau kira-kira RM3.3 juta setahun.

Grand Saga diberi konsesi selama 20 tahun untuk menguruskan lebuhraya tersebut, dan ia mungkin meminta kerajaan membayar pampasan bagi kehilangan pendapatan tersebut.

Pertikaian berhubung tindakan syarikat itu membina benteng menutup jalan akses berlarutan sejak tiga tahun lalu tetapi ia sampai ke kemuncaknya pada 21 April lalu apabila penduduk di situ, dengan sokongan beberapa ahli exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat, bertindak memusnahkan benteng yang dibina pada 2005.

Grand Saga kemudiannya membina semula benteng di situ, tetapi penduduk bertindak memusnahkannya semula.

Bagaimanapun, percubaan Grand Saga untuk membina benteng konkrit setinggi tiga kaki - bagi kali ketiga - pada malam 8 Mei lalu terganggu, apabila polis melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penduduk yang berhimpun di situ.

Empat hari kemudiannya, penduduk gagal mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk menghalang syarikat konsesi lebuhraya itu mendirikan semula benteng konkrit tersebut.

Selepas mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada Grand Saga, Zainal Abidin mengeluarkan notis tiga hari lalu bahawa benteng konkrit akan dibina semula di situ dan berharap orang ramai tidak mengengkari penghakiman mahkamah.

Bagaimanapun, kelmarin, penduduk BMC sekali lagi bertindak membuang semula benteng tersebut yang menutup jalan akses tersebut.
MSN: Suhakam diminta buka semula siasatan
Malaysiakini


Gerakan Rakyat Anti Korupsi Malaysia (GERAK) akan menuntut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya membuka sdan meneliti semula proses siasatan yang dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan rasuah dalam isu pembayaran gaji atlet sukan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).

Dakwaan wujudnya unsur penyelewengan dalam MSN timbul ekoran dakwaan seorang bekas jurulatih gimnastik tempatan, Yap Yee Yin, 21, yang masih menerima bayaran elaun biarpun selepas kontraknya tamat pada penghujung 2005.

Dalam satu kenyataannya, GERAK berkata, pihaknya bersama dengan Yap akan menemui Suhakam Isnin ini untuk mengemukakan tuntan tersebut.

Menurut Setiausaha Gerak, Siti Nurkamsiah Mohd Zabidi, BPR, dalam keputusan akhir siasatannya, berkata tiada kes dalam dakwaan tersebut.

BPR menganggap kes tersebut selesai dan tiada sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadap sesiapa.

"GERAK terkilan dengan keputusan itu dan bersedia untuk meneruskan tindakan dakwaan tersebut.

"Justeru, Gerak akan bersama-sama Saudari Yap Yee Yin membuat tuntutan kepada Suhakam agar membuka dan meneliti kembali proses siasatan yang telah dijalankan oleh BPR," kata Siti Nurkamsiah.

Pada 27 Ogos 2007, Yee Yin telah menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Datuk Azalina Othman Said dengan diiringi Pengerusi Gerak ketika itu, Ezam Mohd Noor.

Beliau mendakwa berlakunya penyelewengan di MSN apabila dia masih menerima elaun walaupun kontrak berakhir penghujung 2005.

Dia mendakwa MSN masih mendeposit elaun sebanyak RM1,300 dan seorang lelaki yang menjadi orang tengah MSN telah meminta dia menyerahkan separuh daripada elaun itu kepadanya.

Yee Yin merupakan bekas ahli gimnastik negara yang bersara selepas Sukan SEA 2003 di Chieng Mai dan selepas itu dilantik menjadi jurulatih MSN mulai Oktober 2004 dengan kontrak selama setahun, dengan bayaran elaun RM1,150 sebulan.

Selepas tamat kontrak tersebut pada September 2005, Yap berkata, MSN telah menawarkan kepadanya kontrak baru dengan bayaran RM1,300 sebulan, tetapi beliau menolaknya.
Batal rancangan bubarkan Kem Majidee


KUALA LUMPUR: PAS meminta kerajaan mengkaji semula pembubaran kem Majidee di Johor Bharu untuk membolehkan projek pembangunan dijalankan di situ kerana ia melibatkan soal keselamatan negara.

Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub berkata, kedudukan kem Majidee di selatan tanah air adalah terlalu strategik dari segi keselamatan dan ia adalah warisan sejarah negara untuk dibubarkan.

"Saya mendesak agar rancangan untuk menjadikan kawasan itu kawasan komersial dibatalkan kerana Batu Pahat terlalu jauh dari sempadan untuk berfungsi dengan baik. Ianya dua jam perjalanan dari Johor Bharu ke Batu Pahat," kata Salahudin.

Sebuah akhbar harian Jumaat lepas telah menjadikan isu kem ini sebagai berita muka depannya dan menyifatkan pembubaran kem ini bertujuan keuntungan kewangan semata-mata.

Kem ini akan dibangunkan dengan pusat komersial dan perumahan. Ia bakal dimajukan oleh anak syarikat kerajaan negeri Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Sdn Bhd dengan Tasik Zamrud Sdn Bhd.

Yang menjadi isu adalah, kem Majidee adalah kem yang paling selatan di Semenanjung. Ia sepatutnya dibubarkan selepas selesainya pembinaan Kem Skudai.

Projek itu belum bermula lagi, namun separuh dari tentera yang ada di situ, yang menempatkan Gerak Khas dan Briged Tujuh, telah dipindahkan ke kem di Kluang, Gemencheh dan Gemas.

Menurut satu sumber lain, mykmu.net, anggota Parlimen Johor Bharu, Shahril Samad adalah antara personaliti yang terlibat dalam usaha untuk menswastakan Kem Majidee ini untuk ditukarkan kepada projek pembangunan komersial pada pertengahan tahun 1990an lalu.
Pukul Pemuda, Tindakan Polis Melampau - Suhakam


KUALA LUMPUR (SK)- Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia, Suhakam hari ini mengecam tindakan ganas pihak polis ketika tercetus pergaduhan di Bandar Mahkota Cheras (BMC) pada 27 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, seorang pemuda yang berusia 21 tahun telah mengalami kecderaan yang teruk apabila dipukul oleh 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang bersenjatakan cota dan perisai.

Persuruhjaya Suhakam, S Subramaniam dalam sidang akhbar di ibu pejabat Suhakam disini, 30 Mei lalu, mempersoalkan bagaimana seorang remaja yang tidak mampu mengacam nyawa anggota polis boleh dipukul bertubi-tubi tanpa belas kasihan oleh kumpulan anggota FRU terbabit.

Mengulas tindakan kejam polis di kejadian berkenaan, Subaramaniam berkata, pihak polis tidak sepatutnya menggunakan pendekatan tindakan sedemikian walaupun mereka mempunyai kuasa untuk bertindak.

“Ketika menjalankan tugas, mereka perlu mesra hak asasi dan kekerasan yang digunakan tidak mewajarkan (tindakan mereka). Jika polis mempunyai bukti yang mereka dilanggar oleh kereta tersebut, maka mereka perlu memberi nama-nama anggota yang cedera,” katanya lagi.

Beliau menambah, adalah “tidak masuk akal” bagi sekumpulan anggota FRU yang terlatih untuk “merasa terancam” oleh empat remaja yang tidak bersenjata.

Subramaniam, bagaimanapun berkata, sehingga kini pihak polis masih tidak dapat memberikan butiran terperinci mengenai mereka yang cedera dan dimana anggota polis tersebut dirawat.

Chang Jiun Haur, yang berada dalam sebuah kereta bersama adik perempuannya dan dua orang lagi, didakwa telah diheret keluar dari kereta Proton Wira yang dipandunya dan ditendang dan dipukul bertubi-tubi oleh 20 anggota FRU yang bersenjatakan cota dan perisai.

Dia kemudian, telah dimasukkan ke hospital kerana kecederaan di muka dan bahagian lain di badannya.
Khir perlu desak Pusat tarik balik halangan terhadap Pakatan Rakyat
Saidah Hairan


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan Selangor, Dr Halimah Ali menyambut baik niat Ketua Pembangkang dan Adun Umno-BN Selangor untuk membantu Pakatan Rakyat melaksanakan tugas sebagai sebuah kerajaan.

Beliau berkata demikian ekoran bekas Menteri Besar, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo serta Adun Umno-BN berulang kali menyatakan kesanggupan untuk membantu kerajaan Selangor menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto.

Khir dan Adun Umno-BN menyatakan kesanggupan itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (Dun) yang diadakan selama empat hari di Shah Alam.

"Saya menyeru Khir dan Adun Umno-BN meminta Kerajaan Pusat supaya menarik arahan mencegah Adun dan exco Pakatan Rakyat memberi perhatian untuk menambah baik prestasi akademik di Selangor," katanya.

Beliau berkata, walaupun arahan daripada Kementerian Pelajaran melarang mana-mana ahli politik masuk ke sekolah hampir 20 tahun, tetapi ia tidak dipatuhi oleh Umno-BN.

Sebaliknya kata beliau, apabila Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya 8 Mac lalu arahan tersebut terus berkuat kuasa terhadap Exco dan Adun Pakatan Rakyat.

"Saya dijemput oleh Yang Dipertua (YDP) PIBG ke majlis yang diadakan 0di sekolah berkenaan tetapi Guru besar sekolah berkenaan menjemput pihak lain," jelasnya.

Perkara itu juga tambah beliau berlaku terhadap Exco Hal Ehwal Agama untuk menghadiri majlis di sekolah tetapi guru besar berkenaan memberi alasan pihak sekolah tidak menjemput Adun Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu beliau berharap Khir dan Adun Umno mendesak Kerajaan Pusat supaya memansuhkan arahan Kementerian Pelajaran tersebut bagi memudahkan kerajaan Selangor melaksanakan segala program menambah baik prestasi akademik di negeri itu.

Katanya, kerajaan Umno-BN perlu merdekakan pemikiran rakyat negeri Selangor daripada terus dicengkam oleh penjajah Umno. - mns
Kerajaan Selangor janji masalah selesai 2 minggu, pastikan tembok penghadang dialihkan


CHERAS (SK) - Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim berjanji akan menyelesaikan masalah mengenai tembok penghadang bagi laluan jalan raya di Bandar Mahkota Cheras dalam tempoh dua minggu ini.

Menurutnya ketika mengadakan lawatan di sini tengah hari tadi, Khalid berkata, perkara ini melibatkan Narajaya Sdn Bhd. dengan Grand Saga Sdn Bhd bukannya melibatkan penduduk disini.

“Apa yang kita mahu sekarang ialah jalan dibuka,” tegas beliau dan disambut dengan sorakan kira-kira 200 penduduk yang hadir.

Mengulas perkara yang sama Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu berkata pemasangan penghadang tembok oleh pihak Grand Saga tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata hanya LLM atau Menteri Kerja Raya yang boleh memberi arahan memasang penghadang itu atau membukanya.

Sementara itu, Kerajaan negeri Selangor akan mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) kerana kerajaan negeri mempunyai saham sebanyak 20 peratus melalui Kumpulan Perangsang Selangor (KPS).
Kamaruddin bangkitkan aksi gesel-gesel ketika Monsoon Cup
Abdul Halim Mohd Rashid


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Datuk Kamaruddin Jaffar (PAS-Tumpat) mengecam peruntukan hanya sebanyak RM100 ribu sahaja untuk sambutan hari peladang, penternak dan nelayan Terengganu sedangkan jumlah yang lebih besar boleh dibelanjakan untuk Monsoon Cup.

"Kalau untuk Monsoon Cup berpuluh-puluh juta (dibelanjakan), berpegang-pegang tangan, bergesel-gesel," kata Setiausaha Agung PAS itu sambil meminta sidang Dewan Rakyat hari ini menolak sahaja peruntukan sebegitu kecil untuk Terengganu itu.

Haji Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pula mempersoalkan pemberian baja kepada petani yang akhirnya tidak boleh digunakan.

Akibatnya, kata Ketua Penerangan PAS itu, "bawah rumah (petani) penuh dengan baja yang tidak boleh digunakan". Begitu juga dengan racun, kata beliau.

Beliau juga menyatakan kebimbangan tentang kemungkinan syarikat yang berkepentingan yang tidak dapat menjual baja yang dikeluarkannya menukar jenama untuk masuk dalam skim insentif baja kepada petani.

Perkara sedemikian, katanya, akan memberi kesan yang tidak baik kepada pertumbuhan yang dijangkakan.

Beliau juga membangkitkan masalah petani yang tidak cukup bimbingan manakala pegawai-pegawai berkaitan pula tidak mempunyai latihan yang secukupnya untuk membimbing petani.

Dr Mohd Hayati Othman (PAS-Pendang) meminta diwujudkan badan kajian dan penyelidikan (R&D) untuk industri padi dan beras negara seperti International Rice Research Institute (IRRI) di Manila.

Beliau juga mambangkitkan bantuan kepada petani yang tidak dapat digunakan oleh mereka.

"Vitamin padi (yang diberikan kepada para petani) lebih teruk dari baja padi," kata beliau sambil mendedahkan vitamin padi tersebut akhirnya "duduk di bawah rumah sahaja".

Begitu juga projek pengumpulan jerami padi yang dirancang untuk dijadikan baja organik yang akhirnya "hanya jadi sampah sarap".
Khalid: Islam hadhari 'bukan isu besar'
Jimadie Shah Othman


Keputusan Selangor melarang penyebaran Islam hadhari di institusi agama di negeri itu "bukan isu besar", kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Isu Islam hadhari itu adalah masalah konsep, bukan praktikal. Ini bukan isu besar," katanya apabila diminta mengulas kenyataan exco hal-ehwal agama negeri Datuk Dr Hassan Mohamed Ali kelmarin.

"Kita dah bincangkan. Isu Islam hadhari adalah isu konsep. Konsepnya, adakah tamadun Islam atau satu usaha meningkatkan tamadun Islam?

"Jawapan negeri Selangor, tamadun Islam sudah ada. Jadi kita meneruskan tatacara tamadun Islam. Terjemahan Islam hadhari adalah 'Islam bertamadun'.

"Maknanya, kita masih dalam proses lagi. Pada pendapat kita, tidak ada lagi proses, hanya tatacara. Itu pandangan (Selangor)," kata Khalid di sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Shah Alam petang ini.

Mengulas sama ada Selangor mempolitikkan isu Islam hadhari, Khalid menjawab:

"Ini bukan isu yang besar. Tetapi kalau orang tanya saya apa bezanya (Islam hadhari dan tamadun Islam), saya terangkan sebagai (seseorang) yang pernah mengikuti kursus kebudayaan, dan kebudayaan Islam.

"Sekurang-kurangnya saya terangkan maknanya. Itu saja. Tapi sebenarnya tak ada apa," katanya.

Di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu, exco Selangor itu tidak membenarkan semua masjid dan surau mengadakan sebarang program yang menyentuh konsep Islam itu yang diperkenal oleh perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

"Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam hadhari," kata Dr Hassan.

Mengulas kenyataan exco itu yang memberi amaran akan menarik balik tauliah imam-imam yang menyebarkan konsep Islam hadhari, Khalid berkata "tidak, tidak, tidak, belum ada tarikan (balik tauliah)."

Dr Hassan memberitahu Malaysiakini semalam: "Kita mengambil keputusan tidak mempromosikan Islam hadhari di sekolah, dalam khutbah Jumaat dan program- program keagamaan."

Menurut Harakahdaily.net pula, beliau mengingatkan imam-imam yang membaca khutbah berunsurkan Islam Hadhari boleh dikenakan tindakan sedemikian.

Tiada cacat celanya

Sementara itu, Perak pula disaran mengikut jejak langkah kerajaan Selangor mengharamkan program yang promosi konsep Islam hadhari.

Saranan tersebut dibuat oleh Pemuda PAS kawasan Ipoh Timur dan Pasir Salak hari ini.

Mufti Perak semalam bagaimanapun dilaporkan berkata kerajaan Selangor tidak harus mengharamkan program berkonsepkan Islam hadhari.

Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut boleh mengelirukan umat Islam terhadap konsep Islam tersebut yang diperkenalkan perdana menteri.

Pulau Pinang, sebuah lagi daripada lima negeri Pakatan Rakyat, bercadang mencontohi Selangor dalam satu kenyataan negeri itu semalam.

"Negeri (Pulau Pinang) akan mengambil tindakan yang sama dalam masa terdekat," kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin kepada Malaysiakini.

Tarikh pelaksanaannya bagaimanapun tidak dinyatakan.

Manakala beberapa pihak, khususnya yang dekat dengan kerajaan persekutuan, semalam tidak menyokong langkah Selangor.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyifatkan langkah Selangor mengharamkan program berkaitan Islam hadhari merugikan umat Islam.

Yang dipertuanya Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, konsep itu yang diperkenalkan oleh perdana menteri bertujuan memajukan pemikiran umat Islam, meliputi semua bidang yang mengambil kira kedudukan masyarakat majmuk di negara ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan arahan itu tidak wajar kerana pendekatan Islam hadhari yang mengandungi 10 prinsip "tiada cacat celanya".

Ketua pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata satu persidangan Islam di Putrajaya tahun lepas yang dihadiri lebih 90 ulama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan 1,000 ulama yang menghadiri multaqa alumni al-Azhar awal tahun ini, "telah sepakat menerima pendekatan Islam hadhari".
Keluar Umno: perangkap Mahathir untuk jerat Abdullah dan Anwar?
Basiron Abdul Wahab


Selepas Tun Mahathir meninggalkan Umno, Tun Musa Hitam kata duri dalam Umno dah tercabut, ertinya mahathir selama ini menjadi duri bagi Umno rupanya.

Tiba-tiba Ezam Mohd Noor juara Gerak pula dikatakan masuk Umno. Dulu Ezam pernah dakwa akan masuk Umno jika tindakan itu dapat mengeluarkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari penjara.

Ekoran itu Ezam dikatakan berbalah dengan Azman Ali lalu Ezam keluar KeAdilan. Ezam tidak menyertai PAS mungkin kerana PAS rakan KeAdilan, tidak manis bagi PAS menerima Ezam bekas pemimpin KeAdilan.

Ezam tiada pilihan melainkan mempopularkan Gerak bagi membenteras rasuah, Ezam menjelajah ke seluruh negara membicarakan tentang rasuah membuat laporan polis dan sebagainya.

Bagaimanapun keupayaaan Ezam tentulah terhad, tidak sehebat sewaktu dalam KeAdilan yang mempunyai stuktur lebih kukuh. Di Gerak hanya dia dan beberapa orang rakan karibnya sahaja.

Dalam pilihan raya 8 Mac lalu, Ezam tidak bertanding, tiada kerusi untuknya sama ada dari PAS, DAP atau lain-lain. Ezam tentunya sunyi, Ezam melihat rakan-rakannya telah menjadi Wakil Rakyat.

Azmin, Saifuddin sekadar beberapa nama semuanya telah menjadi YB, kenapalah tiada parti yang beri kerusi untuknya, Ibrahim Ali pun diberi kerusi.

Ezam tentu berasa cemburu kedudukanya semakin terpencil sedangkan rakan-rakannya gegak gempita meraikan kemenangan, dia sunyi Lalu masa terbaik untuk menyertai Umno ialah apabila Umno berada dalam keadaan kelam kabut, masa terbaik tiba jua apabila pemimpin Agong Umno meninggalkan parti.

Sekalian Umno sedih dengan pemergian Tun, ramailah ahli Umno yang dukacita sedih bimbang ajal Umno sudah tiba. Lalu Ezam datang mengisytiharkan diri menyertai Umno, walaupun Ezam tidak setanding Adi jagat itu, tetapi sekurang-kurangnya ada juga orang yang mahukan Umno dan Orang itu ialah Ezam Mohd Noor tokoh memerangi rasuah!.

Kemungkinan Ezam menyertai Umno mungkin disebabkan bapa rasuah (persepsi Ezam) telah meninggalkan Umno, ertinya umno sudah bersih dari rasuah! Jika tidak masakan Ezam boleh menyertai parti kaki rasuah yang didakwanya sebelum ini. Kemungkinan kedua ialah Ezam merupakan mengikut setia Dato' Seri Anwar Ibrahim, ramai yang percaya walaupun Ezam meninggalkan KeAdilan, tetapi hubunganya dengan Anwar tidak pernah putus, siapakah jika bukan Ezam yang sanggup berbuat apa saja untuk membebaskan Anwar dahulu.

Ezam pernah berkata dia sanggup menyertai Umno andainya itu syarat untuk membolehkan Anwar bebas, siapa tau Anwar bebas dengan perjanjian sulit Ezam!.

Jika benar apa yang berlaku ini, senario politik negara bakal berubah dan Anwar semakin hampir untuk mendapatkan semula haknya sebagai perdana menteri yang terlepas kepada Abdullah Badawi.

Dan Ezam adalah bidak percaturan Anwar yang mengorbankan diri semata-mata untuk membolehkan Anwar kembali ke dalam Umno semula!. Ezam sedang merintis jalan ke Putrajaya.

Tun Mahathir sudah menghidu terlebih dahulu percaturan politik Abdullah-Anwar ini. Justeru beliau tidak boleh bertahan lebih lama untuk melepaskan bomnya sebagai ancaman kepada Abdullah supaya segera melepaskan jawatannya kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sedangkan Najib bagi Abdullah bukanlah orang sesuai untuk menjadi penggantinya kerana mempunyai pelbagai isu yang diperkatakan rakyat. Perlu diingat Najib gagal dalam ujian sebagai pengarah pilihan raya BN dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu. Najib bercakap berapi-api di televisyen untuk menyapu bersih Kelantan, rupa-rupanya bukan PAS yang disapunya, BN yang nyaris disapu bersih oleh PAS di Kelantan.

Najib hanya berjaya meningkatkan majoriti undi dilubuk sendiri iaitu di Pekan dan Rompin sedangkan di Pahang keseluruhannya, enam kerusi BN dirampas Pakatan Rakyat, dua PAS, dua DAP dan dua Perlimen oleh KeAdilan.

Adalah jelas, Najib tidak sehebat Anwar yang menguasai timur dan barat. Anwar ada imej Islam, Anwar ada imej korporat, Anwar ada segala ramuan untuk memimpin Malaysia ia dihormati PAS dan DAP dari kalangan pembangkang.

Siapalah Najib berbanding Anwar, hanya Mahathir dan pemimpin Umno Pahang sahaja yang mati-matian mahu Najib menjadi perdana menteri tetapi malangnya satu demi satu tokoh 'kumpulan penyokong' pro Najib tersungkur. Lihat saja Abdul Razak Baginda dan kini Jamaluddin Jarjis (JJ) sudah dilumpuhkan dan dijatuhkan kerana wanita jelita!. Malang sungguh. Jarjis yang menang besar di Rompin kini diberitakan sudah jarang pulang menjenguk kawasan, tiba-tiba Abdullah mengambil pula tokoh yang tidak dibantu JJ, Dato' Maznah Mazlan menjadi Timbalan Menteri.

Ia suatu penghinaan lagi kepada JJ sekali gus memalukan Najib. Dalam banyak-banyak ahli parlimen dari Pahang Maznah seorang Adun pula diambil Abdullah, ia sungguh memalukan sekalian ahli parlimen dari Pahang yang ramai itu.

Untuk apa Abdullah berbuat begitu jika tidak kerana untuk memalukan Najib!. Ini kerana semua ahli parlimen dari Pahang itu semua adalah orang Najib, Abdullah mahukan mereka berada di dalam barisan menterinya. Bagi Mahathir, dia sudah nampak bahaya bakal menimpanya jika Najib gagal menjadi perdana menteri, lebih lagi dia tidak gembira jika Anwar menjadi pardana menteri.

Justeru sebagai peluru terakhirnya, beliau keluar dari Umno dan mengajak ahli-ahli parlimen mengikuti jejaknya kemudian. Tindakan Mahathir itu tentunya untuk mengacau Abdullah dan Anwar.

Mahathir menggunakan serampang dua mata dalam tindakanya kali ini, bagi Abdullah perlu diganggu dan Anwar perlu 'dibunuh' untuk kali keduanya. Percubaan membunuh Anwar dahulu telah digagalkan Abdullah dan menantunya Khairy Jamaluddin yang bertanding ke rumah Anwar kerana menghantar dokumen perjalanan Anwar untuk keluar negara sebaik dibebaskan dari penjara.

Fakta ini tidak wajar dilupakan sesiapa, Khairy sememangnya mempunyai jasa kepada Anwar. Bayangkan apa terjadi jika ada ahli parlimen BN meninggalkan BN menuruti jejak Mahathir, katanya sudah 30 orang ahli parlimen menyertai kumpulan Mahathir, Ketika itu komposisi kerusi parlimen ialah BN (110) Pakatan Rakyat (82) kumpulan Mahathir (30).

Ini bermakna kumpulan Mahathir mempunyai kuasa tawar menawar yang kuat. Mereka diperlukan oleh BN dan Pakatan Rakyat untuk berkuasa. Jika BN mahu meneruskan penggal pemerintahan, mereka sudah tiada kekuatan kerana majoriti parlimen berada ditangan Pakatan Rakyat dan kumpulan Pro Mahathir dengan julah 112 berbading 110!.

Nah, inilah percaturan starategi Mahathir yang hebat untuk mengajar Abdullah dan Anwar sekali gus. Jika ini perlaku maka tidak syak lagi akan bermulalah era baru dalam politik negara.

Abdullah tidak mempunyai pilihan melainkan dua, iaitu beliau akan membubarkan parlimen atau menggunakan kuasa tradisional Umno /BN iaitu ISA!
Khir Toyo pemimpin tidak bertamadun - Badrul Amin
Nabila Abdullah


KOTA KINABALU (Hrkh) Ahli Majlis Tertinggi Parti KeAdilan Rakyat (KeADILan), Dr Badrul Amin menyatakan tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo menghilangkan surat rasmi kerajaan dengan membawa lari fail kerajaan negeri itu menampakkan ia seolah-olah ditadbir oleh orang yang hilang akhlak dan tidak bertamadun.

"Bila kita (Pakatan Rakyat) ambil alih Selangor jelas menunjukkan pimpinan terdahalu ditadbir oleh orang yang tidak berakhlak hilangkan surat rasmi kerajaan, bawa lari fail, pimpinan di bawah bawa lari kerusi, kipas menampakkan tidak bertamadun," katanya dalam ceramah umum menjelaskan isu semasa Pakatan Rakyat di sini semalam.

Katanya, cabaran besar bila Pakatan Rakyat ambil alih Selangor ialah bagaimana meyakinkan rakyat tentang akhlak buruk pemimpin terdahalu yang tidak boleh dipertahankan.

"Saya tidak tahu kalau ada orang ingin pertahankan akhlak pemimpin yang suami bawa lari fail kerajaan dan yang isteri bawa lari duit Balkis RM 9 juta," katanya.

Menurutnya, rakyat Sabah perlu tahu Pakatan Rakyat berdepan dengan satu sistem yang telah hancur disebabkan oleh pemimpin yang tidak bermoral.

Jelas beliau, selepas Pakatan Rakyat memerintah lima buah negeri (Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan) banyak perubahan dilakukan dan rakyat Sabah harus tahu untuk membuang fahaman buruk masyarakat negeri ini terhadap Pakatan Rakyat.

Tambahnya, masyarakat Selangor sekarang ini menikmati pemberian air percuma sehingga 20 meter padu, di Kedah, cukai tanah diturunkan, di Pulau Pinang, Ketua Menteri, Lim Guan Eng menaikkan gaji guru sekolah agama kerana beliau berpendapat guru sekolah agama berperanan dalam mengurangkan masalah sosial yang berlaku di negeri tersebut.

Oleh itu katanya, rakyat Sabah perlu sedar dan bangkit kembali meminta hak-hak rakyat di negeri ini yang telah dirampas.

Dalam majlis yang sama, Ketua Pemuda PAS Sabah, Anuar Ali mengharapkan semua ahli Pakatan Rakyat di negeri ini terus bekerja di mana-mana bahagian bagi persiapan kemungkinan berlakunya pilihan raya.

"Kita sedang merancang untuk membawa Menteri Besar Pakatan Rakyat untuk mengadakan perhimpunan yang lebih besar bagi membawa agenda besar di negeri di bawah bayu," katanya.

Tambahnya, gandingan Menteri Besar daripada PAS, KeAdilan dan DAP dalam majlis perhimpunan rakyat Sabah bertujuan untuk menuntut kembali hak rakyat Sabah yang telah dinafikan.

Justeru katanya, rakyat Sabah perlu ambil kesempatan bangkit menuntut kembali hak mereka. - mns

Jumaat, 30 Mei 2008

Pembaziran Rosmah, Dr. M Kerajaan Perlu Jelaskan


Parlimen (SK) – Kementerian Luar hari ini diminta menjelaskan soal pemberian cek bernilai USD1.2 juta kepada sebuah pertubuhan American International Centre yang mempunyai hubungan rapat dengan pelobi agen Yahudi, Jack Abramoff.

Difahamkan bahawa bukti cek bertarikh 6 Mac 2002 tersebut dikeluarkan Kedutaan Malaysia di Washinton DC semata-mata bertujuan mengatur pertemuan antara Dr. Mahathir dengan George W. Bush suatu ketika dahulu.

Persoalan ini ditimbulkan Mohamed Azmin Ali (KeADILan-Gombak) semasa membahaskan peruntukkan tambahan melalui pindaan Rang Undang-Undang, Akta Perbekalan Tambahan Tambahan (2007) 2008 bagi Kementerian Luar.

Azmin turut meminta Kementerian Luar menjelaskan tentang beberapa aduan menyalahgunakan peruntukkan kementerian tersebut khususnya oleh pemimpin negara yang bercuti di luar negara di samping menguruskan hal isteri-isteri mereka.

Antara aduan yang banyak diterima adalah mengenai isteri Timbalan Perdana Menteri, Rosmah sewaktu lawatannya ke Bandaraya London. Dilaporkan beliau berbelanja dengan begitu mewah dengan beberapa kos terpaksa ditanggung kedutaan Malaysia di London dan MAS berikutan keengganan membayar cukai.
Tiga mungkin dihukum - Zaid, Mukhriz, Tajuddin ke Lembaga Disiplin langgar arahan parti
Oleh ZULKIFLI JALIL


PUTRAJAYA – Seorang menteri dan dua ahli Parlimen UMNO akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar sehingga mencemarkan imej UMNO di mata rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ketiga-tiganya iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman didapati menyalahi pekeliling yang diedarkan oleh ibu pejabat parti yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar UMNO.

“Pekeliling mengenai larangan itu bukan sahaja telah diedarkan kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan ketua-ketua bahagian sejak sebulan lalu, malah ia turut dikuatkuasakan ke atas semua parti komponen Barisan Nasional (BN).

‘‘Ia satu arahan melarang pertelingkahan parti dibangkitkan dalam media tetapi ketiga-tiga mereka ini melanggarnya dengan bergaduh macam budak kecil sehingga mencemarkan imej UMNO.

“Ketiga-tiga mereka akan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin dan bentuk hukuman terserah kepada badan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Zaid dilaporkan meminta BN mengambil tindakan terhadap Mukhriz dan Tajuddin kerana mengkritik kerajaan termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara terbuka.

Tindakan itu mencetuskan kenyataan balas Tajuddin yang mempersoalkan kedudukan Zaid dan menggesa Perdana Menteri meneliti semula pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Semalam, Abdullah berkata, beliau tidak bercadang menilai semula pelantikan Zaid sebagai menteri.

Sebaliknya, tegas beliau, BN dan UMNO mengamalkan pintu terbuka kepada ahli untuk membuat teguran.
Exco: Beras percuma untuk S'gor
Jimadie Shah Othman


Golongan miskin berpendapatan bawah RM1,500 sebulan di Selangor akan mendapat bantuan beras bagi menampung kenaikan harga makanan ruji itu, kata exco kebajikan negeri Dr A Xavier Jayakumar.

"Kita akan beli RM500,000 beras untuk diberikan kepada golongan miskin dalam negeri Selangor," katanya di sidang media bersama menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas mesyuarat exco negeri di Shah Alam petang ini.

"Dengan kenaikan harga-harga komoditi di Malaysia, (pemberian) ini memberi sedikit pertolongan pada penduduk Selangor (yang berada) dalam kemiskinan."

Bantuan tersebut akan disalurkan melalui wakil-wakil Pakatan Rakyat di kawasan masing-masing kecuali tempat yang dimenangi BN.

Beliau menambah, kawasan itu akan disalurkan melalui exco kerajaan negeri.

"Exco kita 10 orang ini telah dibahagikan (untuk menyalurkan bantuan) kepada 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi BN.

"Mereka (wakil rakyat BN) telah pun menggunakan (90 peratus) peruntukan untuk setahun, dihabiskan dalam masa dua bulan. Yang ini adalah tambahan yang akan digunakan oleh exco-exco tertentu," katanya.

Wakil-wakil rakyat BN dilaporkan membelanjakan lebih 90 peratus daripada peruntukan RM29.5 juta antara Januari hingga Februari sehingga ditegur oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan pembukaan persidangan penggal pertama DUN Selangor minggu lepas.

Sementera itu, mengulas peruntukan tambahan untuk kegunaan wakil rakyat selepas perbelanjaan boros BN dahulu, Khalid menjawab:

"Penggunaan Adun (ahli DUN) akan datang kita sudah bagi. Kita sudah bagi serupa macam dulu dan tiap-tiap DUN mendapat peruntukan sebanyak RM375,000," katanya.
Tidak adil 45% untuk bukan bumiputera
Malaysiakini


Membuka peluang besar sehingga 45 peratus kepada bukan bumiputera menikmati biasiswa tidak "mewujudkan keadilan sosial" di negara ini, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Kerajaan semalam mengumumkan pengenalan dasar baru itu untuk biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi program ijazah luar negara berkuatkuasa mulai tahun ini.

Langkah menaikkan peluang tersebut, yang asalnya dengan peratusan 10 bukan bumiputera dan 90 untuk bumiputera, adalah "tidak tepat dan tersasar daripada matlamat" dalam Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub sebagai keistimewaan Melayu, kata setiausaha agung Abim, Khairul Arifin Mohd Munir.

"Mengambil kira tiga faktor, sudah pasti menaikkan peratusan pembahagian biasiswa (untuk) bukan bumiputera kepada 45 peratus, iaitu peratusan hampir sama dengan bumiputera, sama sekali tidak mencerminkan sebuah dasar yang dilaksanakan ke arah mewujudkan keadilan sosial di negara ini," katanya, .

Faktor-faktor tersebut, tambahnya, jumlah penduduk bumiputera lebih tinggi, kadar kemiskinan dalam kalangan bumiputera juga tinggi, dan mereka khususnya di Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dalam bidang profesional.

"Adalah jelas bahawa kedudukan bumiputera masih perlu diperkasakan," kata Khairul Arifin lagi.

"Dalam jangka masa panjang, keputusan ini akan terus merugikan dan menyebabkan bumiputera terus ketinggalan di belakang."

Beliau bagaimanapun berhujah, peruntukan hak istimewa bumiputera, khususnya Melayu, bukanlah untuk mengatasi kemiskinan semata-mata tetapi ia menjadi "kontrak sosial dan quid pro quo" antara Melayu dengan kaum-kaum lain menjelang kemerdekaan.

"Maka, walaupun selepas 50 tahun (merdeka), peruntukan ini perlu dipertahankan kerana ia menjadi elemen asasi yang mencirikan Perlembagaan Persekutuan dan pembinaan negara ini," tambahnya.

Abim turut mempertikaikan langkah ini yang dibuat tanpa penjelasan lanjut dan "tergesa-gesa" tanpa kajian terperinci untuk mengenal pasti permasalahan sebenar.

Berlatar senario politik pasca pilihanraya umum 8 Mac, katanya, pertubuhan itu bimbang sentimen perkauman khususnya bumiputera akan memuncak jika mereka tidak menerima penjelasan tersebut.

"Tindakan menaikkan peratusan (bukan bumiputera) ini ... akan menyebabkan banyak pihak, khususnya bumiputera berasa marah dan tidak berpuas hati," katanya.

"(Tanpa penjelasan meyakinkan), secara pasti (dasar baru) akan menimbulkan kesan sentimen perkauman dan rasialisme ... tanpa dielakkan lagi."
Selangor kaji tamatkan kontrak Alam Flora
Oleh Kosmo


SHAH ALAM - Selangor sedang mengkaji kemungkinan menamatkan kontrak pengurusan sisa pepejal yang dijalankan Alam Flora Sdn. Bhd. di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu kecuali Majlis Daerah Hulu Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan negeri, Ronnie Liu berkata, tindakan itu ekoran pengurusan sampah yang dijalankan Alam Flora masih mendapat rungutan penduduk.

Selain itu katanya, PBT pula terpaksa mengeluarkan peruntukan besar, namun perkhidmatan yang diberikan didapati masih tidak memuaskan sehingga kebanyakan penduduk merungut.

"Kerajaan negeri berkemungkinan berbuat demikian dan menubuhkan Lembaga Pengurusan Sampah Selangor yang akan dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri.

"Cadangan ini akan dibentangkan kepada kerajaan negeri setelah kajian siap dijalankan," kata beliau.
WPI lebih membimbangkan dari Batu Puteh
Abdul Halim Mohd Rashid


KUALA LUMPUR (Hrkh): Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) lebih membimbangkan dari Pulau Batu Puteh, kata Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

Ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini, beliau bimbang, WPI juga akhirnya akan menjadi seperti Pulau Batu Puteh jika satu hari nanti di bawa kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) apabila kawasan itu jatuh ke tangan asing.

Di WPI, katanya, semua pihak boleh membeli tanah tanpa halangan.

"Kawasan di WPI termasuk kawasan orang Melayu, tanah orang-orang Melayu," kata Ibrahim yang menjangka kawasan tersebut akhirnya akan menjadi milik asing.

Mengenai Pulau Batu Puteh, beliau berkata, Malaysia seolah-olah mengaku pulau itu bukan miliknya apabila membawa perkara itu ke ICJ sedangkan "kita tahu dah Batu Puteh milik kita".

Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap loji air Singapura di Gunung Pulai, Johor yang tidak boleh dimasuki oleh pihak keselamatan Malaysia.

Loji itu, katanya, boleh digunakan untuk mensabotaj Malaysia kerana jika loji itu dipecahkan, ia boleh menenggelamkan kawasan yang besar di Johor.

Khamis, 29 Mei 2008

Mangsa serangan Memali kini Senator
Abdul Halim Mohd Rashid


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang juga salah seorang mangsa serangan ganas polis ke atas penduduk Kampung Memali, Muhamad Yusof Husin mengangkat sumpah sebagai Senator untuk penggal pertama di Dewan Negara semalam.

Beliau yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Kedah mengangkat sumpah bersama seorang lagi ahli Dewan Negara yang baru dari Kedah iaitu Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Ir. Zamri Yusuf.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh sebelum sidang Dewan Negara bermula.

Pelantikan mereka yang berkuat kuasa semalam adalah untuk tempoh satu penggal.

Muhamad Yusof, 54 dan Zamri, 43, merupakan pilihan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah untuk jawatan tersebut.

Kedua-dua mereka yang mewakili Kedah dilantik ke jawatan itu setelah wakil Barisan Nasional (BN) negeri itu, Datuk Yaakob Mohammad dan Chua Kim Chuan tamat tempoh perkhidmatan pada 10 April lalu.

Ketika ditemui, Muhamad Yusof berharap akan dapat menyampaikan ucapan sulungnya di Dewan Negara hari ini.
Nikmat rakyat Selangor yang tidak dikecapi dalam pemerintahan BN
Adnan Ibrahim


Pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan menyiasat penglibatan samseng yang memukul penduduk hingga berlaku tragedi berdarah, sama ada ia turut melibatkan syarikat konsesi lebuh raya Cheras-Kajang atau tidak, sangat dialu-alukan rakyat.

Kes orang awam kena pukul oleh semseng yang diupah syarikat pemaju atau konsesi memang sudah menjadi perkara biasa dalam pemerintahan BN.

Sebab itu pemerintah BN memang terkenal dengan berleluasanya mafia yang `mencari makan' dengan golongan kapitalis untuk mengugut dan memukul orang awam yang dikatakan menggangu urusan `pembela' mereka.

Malah bagi bukti penglibatan semseng dengan pemaju amat sukar kerana ia dilindungi sama ada pihak berkuasa atau pengaruh kerajaan sendiri. Walaupun perkara ini juga berkait dengan unsur rasuah atau imbuhan lumayan bertujuan tutup mulut dan putar belit kejadian sebenar.

Bagi menjaga kepentingan kapitalis ini, tidak hairanlah orang awam turut dipukul oleh pasukan keselamatan. Polis yang hadir sepatutnya bertindak menjaga keselamatan apabila ada perhimpunan sebaliknya mereka bertindak di luar etika memukul orang awam.

Dalam kes 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) membelasah remaja Chang Jiun Haur dengan cota dan ditendang sehingga berdarah, memang boleh berlaku kerana dasar seumpama itu masih lagi menguasai Kerajaan Pusat.

Chang Jiun, 21 dikatakan hadir di tempat pembinaan benteng konkrit dekat Bandar Mahkota Cheras (BMC) malam tadi bersama adik perempuannya dan dua lagi rakan lelaki.

Ketika memandu keluar dari tapak benteng tersebut pada kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, kereta beliau dikepung oleh anggota polis yang sebelum ini, menyeleraikan pergaduhan membabitkan penduduk BMC.

Alasan beliau dipukul kerana didakwa melanggar anggota FRU. Bagaimanapun, seorang pegawai polis yang membawa Chang ke Hospital Kajang berkata tidak seorangpun anggotanya dilanggar oleh kereta remaja itu.

Sementara media elektronik dan akhbar 'mainstream' secara besar-besaran serta menjadi berita utama melaporkan remaja terbabit melanggar anggota FRU dengan keretanya.

Laporan yang sering kali menyalahkan orang awam apabila berlaku tragedi sedemikian tanpa usul periksa memang kerap berlaku. Malah penduduk yang dipukul samseng juga dilaporkan secara memutar belitkan kejadian dengan menuduh penduduk bergaduh dengan pekerja.

Akhbar berbahasa Cina melaporkan lebih daripada 10 orang cedera parah dalam kejadian pergaduhan samseng dengan penduduk tersebut.

"Mereka terus menyerang penduduk terbabit. Kira-kira 10 orang dipukul dan tiga daripadanya adalah wartawan. Kamera juga turut dirampas," dakwa Pengerusi Jawatankuasa Buka Jalan BMC, Tan Boon Hwa.

Penduduk BMC, Chin Kee Chong patah tangan kanannya serta turut cedera di bahagian kepala, manakala seorang lagi penduduk, Lee Ah Seng, cedera parah di kepalanya yang memerlukan tujuh jahitan.

Akhbar Inggeris ada menyiarkan jurugambar Utusan Malaysia, Roy Azis Abdul Aziz dipukul ketika beliau cuba mengambil gambar pergaduhan tersebut.

Sebaliknya media memanipulasikan berita mengatakan wartawan dipukul penduduk dan kemera mereka dirampas.

Bagaimanapun penduduk Selangor kali ini sangat bersyukur mempunyai pemerintah yang prihatin tentang nasib dan maruah mereka yang diaibkan sedemikian rupa.

Hal seumpama ini tidak berlaku dalam pemerintah Barisan Nasional (BN) yang lebih memihak kepada pemaju bila berlaku konflik antara kedua pihak.

Nikmat hidup sebagai rakyat yang dihargai pemerintah mula terasa sejak pakatan rakyat mengambil alih pemerintahan selepas pilihan raya umum lalu. Inilah pentingnya menyokong kerajaan berjiwa rakyat.

Kebahagian seumpama ini hanya dapat dikecap semasa pemerintahan khalifah Umar apabila mengarahkan tentera memerangi Yahudi yang mempersendekan dan mentertawakan seorang muslimat yang auratnya terdedah dikalayak ramai di pasar.

Wanita tersebut merasa terhina dan maruahnya dicabar lalu mengadu kepada pemerintah Umar. Lalu Umar mengarahkan tentera tersebut bertujuan memberi peringatan dan pengajaran bahawa rakyat di bawah pemerintahan Islam akan dibela maruah dan keaiban mereka.

Ini contoh negara Islam dan perkara inilah yang perlu diteladani oleh pemerintahan pakatan rakyat.

Dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan Selangor, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan menyiasat hubungan kumpulan samseng yang didakwa diupah oleh syarikat konsesi lebuh raya Cheras-Kajang sehingga menimbulkan ketegangan berdarah di BMC.

"Kerajaan negeri akan memanggil (mesyuarat agung tergempar atau EGM) untuk membuat audit terhadap Grand Saga Sdn Bhd untuk mendapatkan penjelasan aliran kewangan untuk mengupah samseng tersebut," kata Abdul Khalid.

"Jika ada bukti syarikat (konsesi lebuh raya) tersebut ada berbuat demikian, kerajaan percaya pegawai-pegawai termasuk pengarah syarikat boleh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencedera," kata Abdul Khalid di Shah Alam, semalam.

Khalid berkata Selangor tidak boleh mengetepikan hak orang awam walaupun anak syarikat kerajaan negeri memiliki saham dalam Grand Saga. - mns
Yayasan Selangor perlu rombakan besar-besaran
Dipetik: pemudabersih.blogspot


Sejak penubuhannya pada tahun 2000 Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS)di Kuala Selangor ia lebih dikenali sebagai institusi pindah-randah kerana sudah 4 kali berputar-putar sekitar Kuala Selangor.

Kini IKYS sedang terhalau dari bumi kelahirannya oleh kuasa luar yang rakus dan bergaya sombong.

IKYS ditubuhkan di Kuala Selangor iaitu tanah kelahiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor bermula dengan kampusnya menyewa deretan bangunan kedai di Bandar Malawati dengan kos pengubahsuian tidak sampai RM400,000.00.

Program ini di asaskan oleh bekas Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor Tuan Haji Idrus Bahari yang juga rakan senior sepersekolahan Tan Sri MB. Oleh kerana sifatnya sebagai pendidik tulin, Haji Idrus tewas kepada politicking dalam Yayasan Selangor.

Haji Idrus terkeluar dari Yayasan Selangor bersama pemikiran pendidikannya yang terkehadapan itu. Sebagai kredit Hj Idrus Bahari adalah antara tenaga pemikir awal dalam penubuhan Unisel.

IKYS sebelum ini di kenali sebagai Pusat Latihan Kemahiran Yayasan Selangor mendapat pentauliahan daripada Suruhanjaya Tenaga yang sebelumnya di kenali Jabatan Bekalan Elektrik untuk menjalankan kursus pendawaian fasa I sehingga III secara sepenuh masa dan separuh masa untuk pengajian 4 semester. Bantuan pinjaman kewangan juga disediakan kepada pelajar.

Ketiadaan Tuan Haji Idrus, IKYS dipindahkan ke bangunan peninggalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di Jalan Tanjong Keramat dengan kos pengubahsuaian lebih kurang RM3 juta pada tahun 2003.

Pada tahun 2005 berpindah pula ke bangunan kosong yang dicadangkan untuk Institut Latihan Keusahawanan di Seksyen 19, Kuala Selangor dengan kos pengubahsuaian lebih kurang RM3juta juga.

Sekarang ini IKYS para stafnya (akan berulang-alik setiap hari kerana 80% tinggal di Kuala Selangor) sedang bertungkus lumus mengemas lagi untuk berpindah ke Bagan Terap kerana kampusnya ‘ditakluk’ Kolej Inpens yang di ketuai oleh Presidennya Dato’ ‘Nana’ Mydin.

Sekali lagi pengubahsuaian dilakukan. Kos pengubahsuaian kompleks pertumbuhan desa di Bagan Terap yang ‘design’ asalnya bukan untuk tujuan pendidikan berjumlah RM7.2 juta dilakukan sebelum PRU12.

Kontrak ini juga diberikan kepada orang dalam Yayasan Selangor sendiri. Sebahagiannya mungkin untuk ‘dana’ pilihanraya BN DUN Sekinchan.

Campur tolak IKYS sudah berbelanja pengubahsuaian lebih RM10 juta sejak lapan tahun hanya untuk setiap pengambilan 48 pelajar setiap semester!

Ini tidak termasuk kos pindah randah, emolumen staf, pengurusan, penyelengaraan dan pinjaman pelajar. Mengapa kos sebegini besar hanya untuk kursus setakat fasa III? Sepatutnya boleh melahirkan ‘chargeman’.

Jawapannya tentu berada dalam simpanan Pengurus Besar Yayasan Selangor dan Timbalannya. Yayasan Selangor kini diketuai oleh CEO nya Hj Takril Tasuki yang tidak ada langsung kelayakan pendidikan atau pengurusan pendidikan.

Bukan objektif penubuhann IKYS dipertikaikan, keperluannya disangsikan tetapi adakah kos sebegini besar dilakukan secara berhemah dan telus yang sebenarnya boleh menampung perbelanjaan sebuah sekolah menengah dengan penuntutnya 1000 orang selama 5 tahun tanpa berpindah randah!

Yayasan Selangor selama ini seolah-olah kebal dari pandangan media termasuk ‘bloggers’ perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor agar fungsinya dapat dikembalikan ke landasan yang asal objektif penubuhannya
MP KeADILan dakwa Rosmah berbelanja besar di London atas biaya kedutaan
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Jawapan yang diberikan Menteri Luar, Dato' Rais Yatim dipertikaikan Azmin Ali (KeADILan-Gombak) mengenai peranan yang dimainkan oleh pegawai-pegawai di WIsma Putra di luar negara termasuk menanggung kos perbelanjaan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin seri Rosmah Mansor ketika beliau mengunjungi London baru-baru ini.

Rais mengesahkan bahawa menurut maklumat yang baru diterimanya daripada pegawai di Pejabat Kedutaan London, isteri TPM itu tidak menggunakan khidmat kedutaan London untuk kepentingan peribadi.

Perkara tersebut merupakan persoalan yang dibangkitkan Azmin pada perbahasan sidang dewan pagi tadi apabila beliau mendakwa Rosmah telah berbelanja besar di London dalam satu lawatan beliau dan kos tersebut ditanggung oleh Kedutaan Malaysia di London.

"Saya bersetuju dengan peranan yang dimainkan Kementerian Luar untuk membantu rakyat Malaysia di luar negara, namun saya membantah peranan pegawai-pegawai kedutaan ini yang lebih bertumpu untuk melayan isteri-isteri menteri, timbalan-timbalan menteri.

"Bahkan saya ingin menyatakan bahawa tidak benar kenyataan menteri tadi bahawa semua rakyat Malaysia dilayan oleh pegawai-pegawai kedutaan di luar negara," katanya pada sidang dewan rakyat hari ini.

Sebaliknya beliau mendakwa, pegawai-pegawai kedutaan telah digunakan untuk melarang rakyat Malaysia di luar negara daripada mendengar taklimat daripada pimpinan Pakatan Rakyat ketika mengunjungi negara tersebut.

Hal tersebut telah mengundang suasana yang bising di dalam parlimen.

"Apa yang menghairankan saya mengenai faks jawapan yang diterima menteri tadi daripada London adalah, ia perlu dibuat dengan lebih teliti kerana maklumat tersebut harus disiasat dengan lebih menyeluruh.

"Tidak mungkin pihak kedutaan di London dapat menjalankan siasatan dalam masa yang singkat kerana di London sekarang ini waktu tengah malam," ujarnya.

Namun begitu, Rais enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan Azmin itu sambil menyatakan ia berbentuk sangkaan buruk. - mns
Ezam sudah tidak relevan - PKR
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB


KUALA LUMPUR: "Ezam sudah tidak relevan dengan politik Malaysia dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)."

Demikian komen Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Shamsul Iskandar Mohamad ketika diminta mengulas kemasukan semula Mohamad Ezam Mohd Nor ke dalam Umno, semalam.

Beliau berkata, PKR mencapai kejayaan yang baik dalam pilihan raya ke-12 tanpa Ezam dan Angkatan Muda juga berjaya di bawah kepimpinanannya.

"Sebelum pilihan raya pun, beliau sudah tidak jadi ahli PKR dan kita tetap berjuang.

"Alhamdulillah, dalam Parlimen, kita ada lapan wakil Angkatan Muda Keadilan dan akan teruskan perjuangan.

"Bagaimanapun, saya nak ucap tahniah kepada Umno kerana bersetuju mengambil Ezam masuk semula ke dalam Umno. Saya tidak sebarang masalah," katanya.

Shamsul berkata, beliau percaya tidak akan ada ahli PKR khususnya Angkatan Muda yang akan mengikut jejak langkah Ezam
Pembangunan Tanah UM Adik Najib Terlibat?


Parlimen, (SK) – Soalan mengenai pembangunan 11 hektar tanah di Universiti Malaya oleh syarikat yang punyai kaitan dengan adik Timbalan Perdana Menteri, Mohd Johari Abdul Razak enggan dijawab Kerajaan hari ini.

Soalan tersebut tidak dijawab Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Idris Haron sebaliknya memesongkan jawapannya mengenai beberapa langkah penarafan Institusi Pengajian Tinggi di negara ini.

Isu tersebut dibangkitkan Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) daripada soalan asal beliau mengenai langkah-langkah kerajaan meningkatkan kedudukan universiti awam dalam ranking universiti dunia.

Menurut Mohd Nasir, tindakan membangunkan 11 hektar tanah di institusi berkenaan secara tidak langsung menyebabkan universiti hilang fokus terhadap ‘core-business’ untuk melahirkan graduan kelas pertama yang sekaligus boleh menjatuhkan ranking universiti itu di peringkat antarabangsa.

Mohd Nasir turut meminta penjelasan mengenai tindakan kerajaan memendekkan tempoh perkhidmatan Naib Cancelor daripada tiga tahun kepada 6 tahun sebagaimana yang berlaku di Universiti Malaysia dan UNIMAP.

“Adakah tindakan itu dibuat terhadap Naib Cancelor yang tegas menjalankan keputusannya yang boleh menyebabkan golongan yang punyai hubungan rapat dengan parti pemerintah tergugas”, kata beliau dalam soalannya.
Selangor haramkan Islam Hadhari - Dr Hassan Ali
Harakahdaily


SHAH ALAM (Hrkh) - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang pertama selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat mengumumkan langkah mengharamkan sebarang program yang ada kaitan dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di negeri itu.

"Kita haramkan Islam Hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

"Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam Hadhari," kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato' Dr Hassan Mohamed Ali semasa menggulung perbahasan di hari akhir sidang DUN itu di Shah Alam Isnin.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau ada hubung kait dengan Islam Hadhari.

Beliau mencabar mana-mana pihak supaya tampil memberikan bukti yang menunjukkan ada pemimpin PAS, termasuk dirinya yang membuat janji itu kepada rakyat pada pilihan raya.

"Jika ada yang mendakwa saya atau pemimpin PAS yang membuat dasar janji ini, sila tunjukkan bukti, " katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu berkata, PAS yang bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat mahu mentadbir Selangor dengan menegakkan prinsip sama rata dan keadilan.

"Kita tidak mahu mengamalkan pentadbiran 30 peratus komisen, 50 peratus komisen atau memberi tender kepada kroni.

"Malah kita ubah tender yang diberi secara runding terus kepada tender terbuka kerana tidak mahu membuat dosa," katanya seperti dilapor Agendadaily. - mr
"Tiada bukti Khir Toyo, exco pernah isytihar harta
Oleh Bernama


SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mendakwa tidak menemui sebarang dokumen membuktikan bekas Menteri Besar dan anggota Exconya pernah mengisytiharkan aset masing-masing.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pihaknya tidak menemui apa-apa perisytiharan harta dibuat oleh bekas Menter Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan barisan Exconya di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Tiada bukti terdapat rekod-rekod di pejabat Menteri Besar dan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) ataupun di pejabat undang-undang negeri, yang dapat mengesahkan perisytiharan harta oleh Menteri Besar dan anggota-anggota Exco pernah dibuat.

"Kami hanya dimaklumkan sepucuk surat telah dihantar oleh ketua setiausaha Menteri Besar bertarikh Disember 1999 dan September 2000, memaklumkan anggota Exco dan ahli-ahli Dewan Undangan supaya mengisytiharkan aset masing-masing.

"Bagaimanapun tiada borang dikemukakan kepada Pejabat Menteri Besar," kata beliau di sini semalam selepas sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.
Jelas beliau, kesemua dokumen perlu dikemukakan dan difailkan dengan teratur sebelum dimusnahkan.

Malah, tindakan memusnahkan fail juga memerlukan kelulusan Jabatan Arkib Negara.

Kata beliau, kerajaan negeri menggunakan Borang APK 104 iaitu borang yang digunakan bagi tujuan perisytiharan aset oleh ahli-ahli Parlimen.

"Kami terpaksa menggunakan borang ini kerana tiada sampel berhubung perisytiharan (aset) daripada kerajaan terdahulu, yang boleh kami gunakan.

"Kami telah cuba mendapatkan bantuan daripada Parlimen dan Badan Pencegah Rasuah tetapi belum memperoleh bantuan diperlukan.

"Bagaimanapun kini kami telah mengisi borang dan dikemukakan kepada firma perakaunan Ernst & Young bagi tujuan audit sebelum diumumkan kepada orang ramai," katanya.

Kata Khalid, Borang APK 104 tidak memerlukan mereka mengisytiharkan aset kanak-kanak bahawa 21 tahun.

Mohamad Khir pula berkata, kesemua borang perisytiharan aset ketika tempoh kepimpinannya telah dikemukakan terus kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara dan ia dilakukan setiap tahun.

"Kami telah menghantar borang-borang berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana mereka adalah ketua kami dan itu sebabnya borang berkenaan tiada di sini (pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri).

"Kami menggunakan borang biasa, yang disediakan kepada kakitangan kerajaan memandangkan kami semua termasuk Menteri Besar dan Exco merupakan kakitangan awam.

"Saya tidak tahu mengenai kerajaan negeri semasa," kata beliau dan menambah, sebagai kakitangan awam mereka juga perlu mengisytiharkan aset anggota keluarga mereka termasuk anak.

Selasa, 27 Mei 2008

Penduduk Pasar Minggu Kampung Baru dihalau
Abdul Halim Mohd Rashid


KUALA LUMPUR(Hrkh) - Penduduk dan peniaga Pasar Minggu Kampung Baru kini dikategorikan sebagai setinggan dan dihalau keluar.

Peliknya, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup pula mendakwa penduduk dan peniaga tersebut tidak akan dianak tirikan. Kenyataan Salleh itu disifatkan bercanggah dengan notis yang menghalau mereka dari kawasan itu.

"Apa kebenaran kata-kata beliau? Kami telahpun menerima notis supaya berpindah dari Pasar Minggu Kampung Baru," kata mereka dalam blog mereka.

Menurut notis berkenaan, mereka tidak akan diberi sebarang ganti rugi atau tempat gantian.

"Ini adalah notis yang bersifat keras ke atas penduduk. Ke mana kami akan pergi?" tanya mereka.

Walaupun Pasar Minggu Kampung Baru satu ketika dahulu menjadi tarikan pelancong, tetapi selepas itu "tiada pihak yang berwajib mengambil kisah di Pasar Minggu dan dipandang sepi".

"Tapi kini bila pembangunan mahu dilaksanakan, penduduk diketepikan atas dasar setinggan," kata penduduk dalam blog mereka.

Sebelum ini, Persatuan Peniaga dan kebajikan Pasar Minggu Kampung Baru mempersoalkan: "Mengapa kami dikategorikan sebagai setinggan dan diarah keluar?"

Mereka menerima notis daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengosongkan dan berpindah dari kawasan tersebut pada 8 Mei lalu.

Sebuah akhbar harian melaporkan, seorang penduduk, Mohd Isa Said, 54 memberitahu, sebelum ini peniaga-peniaga Kampung Baru sering diberikan surat tawaran projek perumahan PPR Air Panas, tetapi pada 8 Mei 2008 lalu, notis pembersihan setinggan pula yang diberikan kepada mereka.

"Kalau betul tanah ini didakwa milik DBKL sedangkan semakan dan carian yang kami buat di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan masih di bawah PKNS. Bagaimaana dakwaan DBKL?" soal beliau.

Jumaat lalu, ahli-ahli persatuan tersebut mengadakan piket sebagai tanda protes tindakan DBKL yang mengelar mereka sebagai 'setinggan' serta meminta penjelasan sekiranya pembangunan dijalankan di situ.
Isu wakil BN boros ke balai polis


SHAH ALAM - Isu wakil-wakil rakyat BN Selangor berbelanja boros peruntukan mereka awal tahun ini diadukan kepada polis kerana disyaki terdapat unsur-unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN itu didakwa membelanjakan lebih 90 peratus daripada peruntukan RM29.5 juta antara Januari hingga Februari sehingga ditegur oleh Sultan Selangor pada Rabu lepas.

"Beta memandang serius perbelanjaan peruntukan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun 2008 yang habis dibelanjakan pada dua bulan pertama tahun ini," titah Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan pembukaan persidangan penggal pertama DUN Selangor.

"Kerajaan negeri telah melaksanakan budaya perbelanjaan berhemah dengan memastikan semua perbelanjaan dibuat secara lebih efisien dan berkesan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran sumber.

"Beberapa surat pekeliling telah dikeluarkan sebagai garis panduan perbelanjaan berhemah yang efektif di mana program-program jabatan dilaksanakan berdasarkan ketepatan kos," titah baginda lagi.

Menurut Bernama, naib ketua Angkata Muda PKR (AMK) negeri Hamsah Djabir membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah Shah Alam hari ini.

Sementara bendahari AMK negeri Mohd Ali Hanapiah Ali Murtada pula membuat laporan polis terhadap kepimpinan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) kerana disyaki terdapat penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan aktiviti berunsur rasuah di dalam proses perbelanjaan dan pengurusan dananya.

Menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang DUN Jumaat lepas berkata Balkis membelanjakan RM158,000 untuk menyediakan pakaian sukan bagi anggotanya dan RM121,000 untuk pakaian batik anggota dan suami masing-masing.

Sebelum ini Balkis dilanda kontroversi apabila didakwa memindahkan wang RM9.9 juta kepada sebuah badan amal lain selepas ia dibubarkan tidak lama selepas pilihanraya umum 8 Mac.
Budaya takut bersuara jejaskan kekuatan Umno- Shahrir


KUALA LUMPUR: Pemilihan Umno pada tahun ini, yang akan dimulai di peringkat cawangan pada Julai, merupakan satu proses penting parti yang dilihat boleh membawa perubahan dan memulihkan keyakinan rakyat terhadapnya.

Ini kerana selepas 62 tahun ditubuhkan, ia sedang berhadapan dengan cabaran untuk menambah sokongan orang Melayu, bagi menguatkan lagi kedudukannya sebagai sebuah parti politik pilihan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Abdul Samad percaya faktor dalaman adalah antara punca parti itu semakin kurang mendapat sokongan orang Melayu.

Ini kerana Umno diselubungi apa yang beliau sifatkan sebagai amalan "feudal" yang tebal.

"Selagi amalan ini tidak dibuang, tidak dihapuskan, Umno tidak akan berjaya sepenuhnya untuk menarik sokongan orang Melayu, dan rakyat amnya," katanya.

Shahrir berkata budaya "feudal" yang dimaksudkan beliau ialah sikap pemimpin bawahan yang `takut' bersuara kerana tidak mahu mengatasi pemimpin atasan.

"Mereka takut bersuara kerana takut dikatakan melebih-lebih. Mereka tunggu pemimpin atas bersuara. Pemimpin bawahan juga takut bersuara menegur jika apa yang dirasakan mereka tidak kena. Semuanya takut," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sikap itu terbentuk kerana pemimpin berkenaan mahu menjaga kepentingan sendiri.

"Ya, mereka tak nak bersuara takut kedudukan mereka terjejas. Inilah juga masalah dalam parti sekarang. Mereka bukan lagi nak perjuangkan parti dan bangsa, tetapi untuk diri sendiri," katanya.

Shahrir yang terkenal dengan kelantangan bersuara pernah melalui pengalaman sedemikian apabila beliau dilucutkan daripada jawatan Menteri Wilayah Persekutuan semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad kerana perselisihan pendapat.

Beliau juga pernah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) setelah dikatakan memihak kepada pandangan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang beberapa tahun lepas.

Menyifatkan amalan "feudal" itu sebagai `api dalam sekam', Shahrir yang kini kembali ke kabinet sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata pemimpin sedia ada harus berbalik kepada asas penubuhan Umno jika benar-benar sayangkan parti.

"Jika dilihat daripada sejarah Umno, kekuatan Umno sebagai sebuah gerakan popular masyarakat Melayu ialah kerana Umno bertindak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Dia (Umno) melihat kepada masalah masyarakat, dan menyelesaikan masalah masyarakat, dia mendengar pandangan masyarakat, Umno menjadi saluran kepada pandangan masyarakat dan ini memberikan satu sistem maklum balas yang demokratik," katanya.

Shahrir berkata pada zaman itu juga apabila pemimpin Umno bercakap sama ada di peringkat parti mahupun kerajaan, mereka mewakili pandangan orang ramai bukan pandangan sendiri.

Bagaimanapun katanya Umno tidak lagi menjalankan peranan itu sebaliknya menyerahkan tanggungjawab menangani masalah orang ramai kepada NGO yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan sekarang.

"Ini menyebabkan rakyat jauh daripada kita. Kita tidak tahu apa yang sebenar berlaku kepada orang-orang kita. Pada saya untuk kita menarik semula hati mereka, maka kita sebagai pemimpin Umno harus mendekati mereka, mendekati NGO yang menjadi rakan mereka sekarang.

"Kita dah tak boleh lagi serahkan tugas itu kepada pemimpin NGO sematamata, atas alasan kita sibuk dengan perkara lain. Tak boleh," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kepada faktor itu juga pemimpin Umno tidak berhak meminta rakyat menyokong mereka sebagai membalas budi.

"Umno ditubuhkan untuk mengatasi masalah rakyat, membantu mereka. Saya tak setuju jika kita minta orang-orang yang berjaya atas bantuan kita ini balas budi dan undi kita. Tolong mereka itu tugas kita. Kita berkhidmat kepada mereka.

"Saya rasa kalau kita tak ada cacat cela mereka tak ada sebab untuk tidak menyokong kita. Jadi apa sebab kita nak mereka ini yang dah berjaya di bawah dasar-dasar yang kita buat 20 tahun dulu, undi kita sekarang bila kita sendiri sudah terpesong," katanya.

Mengulas mengenai persepsi masyarakat khususnya generasi muda sekarang bahawa Umno sebuah parti yang dipenuhi elemen kronisme dan nepotisme, serta subur dengan amalan `politik wang', Shahrir berkata ia berpunca daripada sikap pemimpin parti yang hanya menjaga kedudukan sendiri.

Mereka percaya bahawa untuk mencapai cita-cita politik, mereka harus berjaya dalam Umno.

"Untuk berjaya dalam Umno dia kena memikat dan mendapat sokongan daripada ahliahli Umno. Fokusnya bukan lagi memberi khidmat kepada masyarakat yang lebih besar tetapi untuk mendapat sokongan ahliahli Umno semata-mata.

"Ini kerana selama ini pemimpin Umno lah yang menjadi anggota Parlimen, memegang jawatan dalam kerajaan negeri dan pusat. Jadi suka tak suka ramai yang berusaha lebih untuk menentukan dan mengekalkan kedudukan mereka dalam parti sebelum menumpukan kepada usaha menguatkan parti dalam konteks masyarakat dan pengundi," katanya.

Berdasarkan faktor berkenaan, Shahrir berkata kuasa untuk merawat Umno terletak di tangan anggota parti sendiri, yang harus melakukannya dari dalam di setiap peringkat.

"Kita harus berbalik kepada asas perjuangan Umno dulu sebagai NGO yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara utama. Saya yakin jika sistem 'feudal' yang mengikat pemimpin bawah daripada bersuara ini ditolak beramai-ramai, Umno boleh dapat sokongan yang lebih besar daripada rakyat," katanya. BERNAMA
Puncak Niaga kendali 32 loji rawatan air di Selangor
Saidah Hairan


SHAH ALAM (Hrkh) - Puncak Niaga Malaysia Sdn.Bhd, Sungai Selangor Sdn.Bhd. dan Konsortium ABBASS Sdn. Bhd mengendalikan 32 loji rawatan air di negeri Selangor.

Demikian menurut Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Istiadat dan Infrastruktur Perkhidmatan Awam, Dato' Dr Hasan Ali menjawab soalan daripada Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dalam sesi soal jawab, sidang Dun.

Beliau berkata, teknologi rawatan air mentah ketika ini telah menepati piawaian dan kualiti bekalan air minuman berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, kaedah yang digunakan meliputi tapisan, campuran bahan kimia dan mendapan di loji rawatan tersebut.

"Masalah loji rawatan air seperti di Sungai Semenyih yang menurun akibat pengorekan pasir boleh mengancam kestabilan struktur muka sauh atau rubber wear dan lintasan air paip mentah," katanya.

Beliau berkata, punca pencemaran kawasan perindustrian berlaku di Beranang dan Arab Malaysian Nilai dan kawasan perindustrian Nilai di negeri Sembilan.

Menurut beliau, pengorekan pasir di Sungai Semenyih yang dihentikan pada tahun 2007 menjadi punca pencemaran di samping penternakan babi.

Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dalam soalan tambahan meminta penjelasan apakah cadangan untuk membeli air dari Pahang dan Perak diteruskan.

Dr Hasan menjawab, permasalahan air di negeri Selangor bermula tahun 1998 setelah menghadapi kemarau yang melibatkan pelbagai masalah.

Mengenai air dari Pahang katanya, perjanjian telah ditandatangani di antara kedua-dua pihak di samping kajian akan terus dilakukan bagi melihat pengaliran air dari Pahang boleh terus dialirkan ke negeri Selangor.

Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib mengajukan soalan tambahan, kenapa rakyat perlu menanggung kos yang tinggi untuk membeli penapis air khususnya di Hulu Kelang.

Menjawab pertanyaan itu, Dr Hasan menjelaskan, Syabas menjamin air yang disalurkan selamat dari segi kesihatan. - mns
Selangor antara yang pertama hantar bantuan ke China
Salmiyah Harun


SEPANG (Hrkh) - Kerajaan Negeri Selangor di antara yang pertama menghantar misi kemanusiaan ke negara China yang dilanda gempa bumi pada 12 Mei lalu.

Sehingga kini angka kematian rakyat negara itu mencecah 62,664 orang akibat gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter yang melanda kawasan utara Chengdu.

Manakala seramai 23,775 mangsa masih lagi hilang, sebagaimana yang diumumkan kerajaan Republik China itu.

Atas sifat kemanusiaan, Kerajaan Selangor telah menghantar sekumpulan perubatan yang terdiri daripada enam orang doktor, lima orang paramedik, dua logistik, dan tiga orang pembantu perubatan.

Seramai 16 orang petugas pasukan perubatan yang mempunyai pengalaman dalam misi seperti itu bertolak pada 25 Mei dan dijangka pulang pada 30 Mei ini.

Pasukan perubatan itu diketuai oleh Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Amal) Hussin Ismail. Turut mengikuti misi itu jurugambar Harakah Wan Zahari Wan Salleh.

Beberapa NGO turut menyertai pasukan itu termasuklah Wirda, Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan), Kelab Motor, dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia.

Menurut Hussin ketika ditemui di KLIA, misi itu adalah misi kali pertama yang membawa khidmat dan bahan perubatan memandangkan mereka masih di peringkat awal untuk menghadapi keadaan dan apa yang diperlukan oleh mangsa bencana.

"Misi ini juga sebagai 'tinjauan' pertama kita bagi melancarkan misi seterusnya pada awal Jun depan, oleh kerana buat masa ini kerajaan China amat memerlukan perubatan jadi kami dahulukan apa yang diperlukan mereka," katanya.

Tambahnya, pengalaman di Acheh tahun lalu sedikit sebanyak akan memudahkan mereka untuk memberi khidmat perubatan kepada rakyat Republik itu.

Katanya, hampir 12 hari menunggu keputusan daripada kerajaan China untuk membenarkan mereka memasuki negara itu.

Bagaimanapun katanya, sebaik sahaja pulang dari China mereka akan berangkat pula ke Mynamar bagi memberi khidmat perubatan serta membawa barang keperluan kepada mangsa Taufan Narjis.

Turut mengiringi misi itu serta memberi kata-kata semangat sebelum berangkat Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Beliau turut menasihatkan anggota misi itu supaya bekerjasama dengan mereka yang berpengalaman bagi merapatkan hubungan masyarakat China dengan Malaysia.

"Gunakan pengalaman yang ada untuk memberi bantuan kepada rakyat China dan ambilah peluang ini untuk menonjolkan nama Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, jurugambar Harakah yang menghubungi di sini sebaik sahaja tiba di Guangzhoa selepas empat jam berlepas dari KLIA pada 9.30 pagi, dan tiba di Chengdu pada jam 7.20 malam memberitahu cuaca mendung dan berkabus mencecah 24 darjah celcius akan berterusan sehingga Jumaat ini.

Sebanyak 69 empangan yang retak dalam gempa bumi di barat daya China dua minggu lalu kini menghadapi bahaya akan pecah.

Tanah runtuh berpunca daripada gempa bumi pada 12 Mei lalu juga menyebabkan laluan sungai tersekat dan mewujudkan puluhan 'tasik gempa.' - mns
SPR syor daftar pengundi berusia 50 tahun diganti baru
Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu satu daftar pemilih segar, yang akan melibatkan pendaftaran semula pengundi di seluruh negara, disediakan bagi menggantikan daftar induk semasa yang disifatkan badan itu sebagai “telah lapuk.”

Bagi tujuan tersebut, SPR akan mengesyorkan kepada kerajaan agar menyediakan undang-undang khas selepas mesyuarat anggota panel suruhanjaya itu 9 Jun ini.

“Kita perlu adakan satu daftar yang baru sama sekali mengikut keperluan dan kehendak semasa, yang boleh diterima oleh semua tanpa ragu-ragu,” kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam temu bual dengan mStar Online di sini.

Jika kerajaan menerima cadangan itu, proses pendaftaran pemilih baru perlu diadakan untuk mendaftar semula para pemilih.

“Kita harap kerajaan akan terima cadangan ini,” katanya sambil berseloroh “ia juga telah menjadi satu isu seolah-olah duri dalam daging” kerana dikritik banyak pihak sebelum ini.

Daftar pemilih semasa terdiri daripada 10.9 juta pengundi manakala empat juta rakyat yang layak masih belum mendaftar.

Kata Abdul Rashid, keseluruhan proses penyediaan undang-undang dan penyediaan daftar induk baru dijangka memakan masa dua tahun.

Oleh itu, jelas beliau jika siap, daftar induk baru yang dimaksudkan boleh digunakan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Mungkin memerlukan dua tahun... ia bergantung kepada kelulusan kerajaan dan saranan jawatankuasa (jika ditubuhkan kerajaan) untuk membuat kajian,” katanya lagi.

Proses penyediaan daftar pemilih lazimnya melibatkan pendaftaran pemilih, pameran daftar, siasatan dan pameran semula daftar, dan penyediaan daftar induk.

Langkah itu dijangka boleh membantu mengatasi rungutan dan kritikan parti-parti politik yang mendakwa daftar pemilih semasa, yang dikemaskinikan dari semasa ke semasa sejak 50 tahun lalu, tidak mempunyai rekod terkini dan terdiri daripada pengundi-pengundi hantu.

Menjelang tarikh pengundian 8 Mac lalu, SPR telah menerima 235 aduan berhubung kehilangan nama pengundi daripada daftar pemilih sejak 2004 hingga Mac 2008.

Hasil siasatan SPR mendapati nama-nama pemilih berkenaan telah dikeluarkan disebabkan beberapa faktor seperti status yang diragui selepas nombor kad pengenalan mereka disahkan tidak ada dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Faktor lain ialah nombor kad pengenalan pemilih-pemilih terbabit disahkan oleh JPN adalah kepunyaan orang lain atau pemiliknya sudah meninggal dunia.

Malah terdapat juga aduan nama sesetengah pemilih ditukarkan ke bahagian lain tanpa pengetahuan mereka. Selain itu, nama mereka yang tidak pernah mendaftar juga terdapat dalam daftar pemilih induk semasa.

Ketika ditanya tentang keperluan mengadakan daftar pemilih induk baru, Abdul Rashid berkata:

“Selama ini kita hanya menyemak dan mengemaskinikan daftar semasa, kami cuma ada kuasa untuk mengemaskinikan daftar semasa, bukannya menyediakan daftar pemilih baru (jika perlu).”

Cadangan mengenai kekurangan dalam proses pendaftaran dan daftar pemilih merupakan antara perkara yang turut dibangkitkan dalam mesyuarat postmortem SPR di seluruh negara selepas pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini.

“Maklum balas yang diterima ketika mesyuarat postmortem ialah sudah tiba masa bagi negara mempunyai satu daftar pemilih induk yang baru,” katanya.

Bagaimanapun jelas untuk berbuat demikian SPR juga memerlukan perbincangan mendalam bersama parti-parti politik.

Kini SPR menggunakan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 semasa dikuat kuasa sejak 16 Julai 2002.

Peraturan ini membolehkan pendaftaran pemilih dijalankan sepanjang tahun dan daftar pemilih disemak setiap suku tahun.
Usul tergempar ISA di DUN S'gor


Wakil-wakil Pakatan Rakyat akan membawa usul tergempar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini bagi membantah penahanan berlanjutan seorang rakan mereka M Manoharan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Usul tersebut dijangka dibawa oleh ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Wen Sang, petang ini.

M Manoharan , yang menang atas tiket DAP di kerusi Kota Alam Shah, kini ditahan di kem Kamunting, Taiping sejak Disember lepas.

Aturan mesyuarat DUN hari ini memuatkan usul, antaranya, yang berbunyi:

"Bahawa dewan ini mengkritik penahanan Yang Berhormat M Manoharan dari Kota Alam Shah dan aktivis Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang lain serta menggesa Kementerian Dalam Negeri agar membebaskan semua tahanan ISA."

Manohan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu.

BERITA BERKAITAN:

S'gor bantu keluarga 16 tahanan ISA


Selangor akan membantu keluarga 16 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini terkurung di kem Kamunting, Perak.

Menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bantuan tersebut, termasuk kewangan, selepas kunjungan Gerakan Mansuhkan ISA (ISA) dan keluarga tahanan di Dewan Undangan Negeri tengah hari tadi.

Bantuan tersebut termasuklah kos berulang-alik melawat tahanan, biasiswa pendidikan kepada anak-anak dan mencari peluang pekerjaan kepada anggota keluarga tahanan.
Gagal isu Melayu, Umno cuba jadi hero isu agama?
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Walaupun Umno-BN kelihatan ingin menjadi 'hero' dalam membawa isu-isu agama bagi menggantikan peranan yang selama ini dibawa oleh PAS, namun ianya tidak menjadi kenyataan.

Hal tersebut dinyatakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada Harakah semasa menghadiri sidang dewan rakyat baru-baru ini.

"Umno hanya ingin kepada Islam sebagaimana yang dikehendaki Barat yakni mengambil Islam secara terpilih seperti yang terkandung di dalam Islam Hadhari," ujarnya.
Maka menurutnya, tidak hairanlah Islam dalam pentadbiran di negara ini dianggap sebagai agama tetapi tidak mempunyai kuasa secara berdaulat.

"Penganutnya boleh hanyut sehingga melakukan maksiat seperti contoh, juruhebah televisyen yang boleh memberikan salam ketika memulakan rancangan tetapi tidak menutup aurat sedangkan antara aurat dan salam, aurat adalah wajib.

"Inilah yang dikatakan sebagai Islam Hadhari yakni Islam bentuk baru yang diizinkan oleh kuasa Barat yang tidak boleh memberi kemuliaan umat untuk menangani kuasa-kuasa lain," tambahnya yang juga merupakan ahli parlimen Marang.

Jelasnya, pendekatan Islam Hadhari adalah serba boleh mengikut kehendak manusia tanpa berpandukan kepada al-Quran dan Hadis.

Oleh itu, tegasnya, tidak timbullah isu yang menyatakan bahawa Umno lebih ke depan dalam memperjuangkan isu-isu Islam ini selepas kegagalan mereka menarik pengundi dan rakyat dalam isu perjuangan bangsa khususnya Melayu.

Walau bagaimanapun, PAS katanya tetap komited dalam memperjuangkan Islam sebagai dasar kepada sistem pentadbiran dan kehidupan manusia tanpa mengira kaum, masa dan tempat. - mns

Isnin, 26 Mei 2008

PENDUDUK BANTAH TINDAKAN DBKL


KAMPUNG BARU - Tidakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengistiharkan kawasan Pasar Minggu Kampung Baru setinggan dibantah oleh penduduk kampung berkenaankerana mereka menyifatkan label setinggan tersebut sebagai tidak berasas dan menindas.

Yang Dipertua Persatuan Peniaga dan Kebajikan Pasar Minggu (PPKPM), Kampung Baru, Dr. Hosni Hussien Md Saat berkata, DBKL tidak seharusnya mengeluarkan arahan keras kepada penduduk supaya segera mengosongkan kawasan tersebut.

Jelasnya, kehadiran penduduk di situ buka baru malah sudah memasuki generasi ketiga iaitu sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri pertama, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

"Kalau setahun dua kami baru menetap di tanah rizab melayu ini tidak apalah kami pasrah dipindahkan, namun perkara itu sebaliknya dan kami tidak akan berpindah selagi tiada jaminan daripada DBKL bahawa kami akan dibenarkan masuk semula di tanah kelahiran ini.

"Kami tidak menolak pembangunan dan sentiasa mengalu-alukan apa jua pembangunanyang dirancang oleh pihak kerajaan, tetapi pastikan hak kami tidak diperkecilkan begitu sahaja", katanya ketika mengadakan sessi dialog bersama penduduk dan media di kampung baru di sini, semalam.

Dalam sessi dialog itu sekurang-kurangnya 50 penduduk hadir bagi membincangkan sekali gus mencari jalan penyelesaian berhubung perkara tersebut.

Ketika perbincangan itu berlangsung, mereka mendakwa, DBKL menceroboh kawasan mereka dengan meletakkan papan tanda bahawa kawasan Pasar Minggu Kampung Baru menjadi milik penuh DBKL dan mendesak mereka agar keluar dari kawasan tersebut.

Tambah hosni, setelah beberapa generasi mereka menetap di situ kemudian setelah DBKL wujud mereka dipaksa pula keluar dalam tempoh 14 hari sebagaimana yang terdapat dalam notis yang diberi kepada mereka dua minggu lepas.

"Ini tidak adil dan menafikan hak kesemua penduduk disini memandangkan ketika bancian dibuat oleh DBKL pada tahun 2004terdapat angka dan simbol yang mengelirukan kami.

"Saya juga merasa hairan kenapa hanya 32 orang penduduk sahaja yang menerima notis mengosongkan tapak sedasngkan jumlah semua penduduk disini dianggarkan lebih daripada 126 orang", ujarnya.

Jelasnya, sekiranya DBKL benar-benar telus dalam hal ini seharusnya perbincangan lebih profesional diadakan antara kedua-dua pihak.

"Jika mengimbau kembali sejarah di Kampung Baru, sebenarnya penempatan mereka di lot 25 tersebut adalah atas jemputan Kerajaan Negeri Selangor yang ketika itu diuruskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada tahun 1965.

"Bedasarkan pencarian semakan hak milik yang kami buat di Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan semalam (kemarin), kawasan ini masih lagi menjadi milik PKNS dan tiada langsung nama DBKL tercatat, namun kanapa DBKL mengistiharkan kawasan ini telah menjadi milik mereka", katanya.

Tambah Dr Hosni, kesemua penduduk mahukan penjelasan daripada pihak DBKL tentang kedudukan mereka dan sekiranya mereka bersetuju untuk dipindahkan beberpa pampasan yang bakal diterima serta adakah mereka akan dibenarkan memasuki semula kawasan Kampung Baru Sekiranya ia telah dibangunkan mengikut perancangan sedia ada.

"Jika kesemua persoalan tersebut tidak mendapat jawapanyang memuaskan, kami tidak akan berpindah dari sini", tegasnya.
SPR sudah sedia, pilihan raya tergempar?
Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB


PUTRAJAYA: Lebih 140,000 pekerja yang secara langsung terlibat dalam pilihan raya umum ke-12 telah dinasihatkan agar bersedia untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguruskan kemungkinan pilihan raya umum tergempar.

Sambil menegaskan tidak mahu membuat spekulasi mengenainya, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, beliau telah meminta mereka supaya bersedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan.

Beberapa pemerhati politik, dengan mengambil kira senario politik semasa, tidak menolak kemungkinan pilihan raya boleh diadakan.

"Saya tidak mahu membuat spekulasi, kami tidak boleh membuat spekulasi.

"Bagaimanapun kami bersedia untuk apa jua kemungkinan. SPR berupaya untuk menguruskan pilihan raya (tergempar jika diadakan) kerana kami mempunyai segara infrastruktur (untuk mengadakan pilihan raya)," kata Abdul Rashid.

Pilihan raya tergempar merujuk kepada pilihan raya yang diadakan secara tiba-tiba tanpa sebarang penunjuk awal.

Abdul Rashid menyatakan demikian dalam temu bual khas dengan mStar Online di pejabatnya di sini.

Malah, Abdul Rashid menjelaskan, ketika mesyuarat postmortem pilihan raya umum ke-12 sejak dua bulan yang lalu, beliau telah menyeru agar membuat persedian yang sepatutnya.

"Saya telah memaklumkan mereka dalam pertemuan sepanjang dua bulan yang lalu, sila membuat persediaan kerana pilihan raya (tergempar) boleh diadakan bila-bilan masa jua. Ini nasihat yang saya berikan kepada mereka," katanya.

Katanya, beliau memberikan nasihat sedemikian kerana ia merupakan sebahagian daripada fungsi dan peranan suruhanjaya berkenaan.

"Saya tidak membuat spekulasi apa-apa, ia tidak baik untuk membuat spekulasi kerana ia hanya politik sahaja," katanya.

"Sebagai badan fungsian, kita perlu membuat persediaan. Ia merupakan tugas kami, tugas anggota panel Suruhanjaya untuk memberikan nasihat (agar bersedia)," katanya.

Pertengahan bulan ini, Timbalan Pengerusi, Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu, pilihan raya umum yang baru boleh diadakan pada bila-bila masa meskipun tempoh mandat kerajaan yang memerintah kurang daripada dua bulan.

Undang-undang tidak menghalang daripada membubarkan Parlimen dan Dewan Perundangan Negeri.

Malah pada minggu lalu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, ahli-ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya tergempar ekoran tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar parti.

Sementara itu, Dr. Chandra Muzaffar, pemerhati politik tanah air dan hubungan antarabangsa berkata, kemungkinan untuk diadakan pilihan raya tergempar dalam waktu terdekat memang ada.

"Ia adalah satu kemungkinan kerana ada laporan yang mengatakan terdapat ahli-ahli Parlimen yang akan masuk parti lain (Pakatan Rakyat). Jika ini berlaku, kemungkinan Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), dari segi lunas perundangan boleh menghadap Yang di-Pertuan," katanya.

Jika ramai wakil rakyat yang melompat parti, Yang di-Pertuan Agong boleh mengundang parti yang ada majoriti di Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru ataupun memberi perkenan bagi membubarkan Parlimen.

"Bagaimanapun saya tidak menganggap ia sebagai satu kemungkinan serius. Tetapi dalam politik kemungkinan-kemungkinan seumpama itu tidak boleh ditolak begitu sahaja," kata beliau yang juga Presiden Pergerakan Just.

Jika keadaan itu berlaku, jelas beliau, ia boleh menjadi detik bersejarah kerana tidak pernah berlaku di negara ini.

Prof. Madya Dr. Abdul Muati @ Zamri Ahmad, pensyarah komunikasi politik dari Universiti Putra Malaysia memberitahu, tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya tergempar.

Bagaimanapun, jelas beliau, peluang untuk diadakan pilihan raya tergempar memang ada jika ada ahli Parlimen yang melompat parti.

Malah, keputusan mengadakan pilihan raya tergempar juga bergantung sama ada parti pemerintah boleh memperoleh lebih banyak kerusi daripada sekarang.

"Berdasarkan sentimen semasa, Umno dan BN kemungkinan tidak akan memperoleh lebih daripada kerusi semasa.

"Sentimen sokongan kepada Pakatan Rakyat masih kukuh. Jadi, jika BN berpendapat bahawa ia boleh mendapatkan lebih banyak kerusi, maka pilihan raya tergempar mungkin diadakan," katanya lagi.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN memperoleh 140 kerusi di Dewan Rakyat dan pembangkang pula 82.

Katanya, langkah mengadakan pilihan raya tergempar juga tidak begitu baik kepada ekonomi kerana ia boleh menjejaskan keyakinan rakyat.

"Ini kerana ia akan menggambarkan suasana negatif di kalangan pelabur. Oleh itu, jika benar-benar BN merasakan boleh menang banyak kerusi, ia akan mengadakan pilihan raya tergempar," katanya.

Bagaimanapun, Profesor Datuk Dr. Syed Arabi Idid yang berada di luar negara berkata, setakat ini tiada kemungkinan pilihan raya tergempar akan diadakan.

"Tiada nampak apa-apa sebab pilihan raya tergempar akan diadakan," kata beliau.
Eksklusif

Umno pupus tahun 2013 jika Abdullah masih PM - Sanusi Junid
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid mendakwa bahawa Umno bakal pupus dan lenyap pada tahun 2013 sekiranya tampuk pemerintahan negara masih dipegang oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menegaskan, kerana alasan itulah juga yang menyebabkan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bertindak keluar daripada Umno.

"Tun Mahatir tidak mahu lihat Umno ini hapus. Kalau macam sekarang, habis pilihan raya kita tengok macam mana perlantikan menterinya, kita lihat bahasa-bahasa yang digunakan dan komentar-komentar mereka.

"Jika ianya berlanjutan, pada tahun 2013, Umno akan pupus," katanya kepada Harakah dalam wawancara eksklusif dengan beliau di kediamannya dekat sini petang semalam.

Di tanya alasan beliau yang turut mengisyhtiharkan diri keluar parti, Sanusi berkata, tidak ada faedahnya beliau terus dalam Umno, jika tidak ada menampakkan sebarang perubahan bahkan beliau tidak sanggup berada dalam parti yang mencaci bekas pemimpinnya seperti Tun Mahathir.

"Kalau dia (Mahathir) tunggu dalam Umno dan tunggu sehingga 2013, maka dia adalah sebahagian daripada kemusnahan Umno dan dia adalah sebahagian daripada pemimpin yang tak mampu pertahankan Umno," kata Sanusi yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah.

Beliau menegaskan, lebih baik pihak lain (merujuk kepada Tengku Razaleigh Hamzah) yang menggalas tugas sebagai Perdana Menteri berbanding Abdullah kerana individu tersebut masih belum ada kepentingan keluarga dan peribadi.

Katanya, sudah terbukti dalil-dalil yang menunjukkan dasar kepimpinan Abdullah begitu lemah sehingga situasi terkini orang mula mempersoalkan Raja-raja Melayu dan Dasar Ekonomi Baru.

"Waktu Tun lantik itu sebab nampak dia baik, bersih. Itu tak salah Tun Mahahtir.
Rakyat juga percaya di 'Mr Clean' sehingga 2004, kita menang rekod kemenangan manakala pada 2008 kita pegang rekod kekalahan pula.

"Masa menang 2004, dia kata faktor dia sahaja tetapi bila kalah 2008, dia kata bukan salah dia seorang. Kenapa dia tak mengaku pula?" kata Sanusi.