HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 November 2015

Siasatan terhadap Nurul Izzah, Tian Chua dirujuk kepada peguam negara

THE MALAYSIAN INSIDER

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sudah selesai merakamkan percakapan Nurul Izzah, dan laporan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara selepas pihaknya mengambil keterangan Ahli Parlimen Batu Tian Chua. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 November, 2015. 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sudah selesai merakamkan percakapan Nurul Izzah, dan laporan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara selepas pihaknya mengambil keterangan Ahli Parlimen Batu Tian Chua. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Siasatan kes melibatkan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung pertemuannya dengan Jacel Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013, akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat. 
 
 Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sudah selesai merakamkan percakapan Nurul Izzah, dan laporan itu akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara selepas pihaknya mengambil keterangan Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

"Dalam satu dua hari ini kita akan panggil Tian Chua untuk rakam percakapan... selepas itu polis akan kemaskan siasatan dan serahkan kepada Jabatan Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas memakaikan pangkat kepada 21 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Nurul Izzah dalam kenyataannya sebelum ini mengakui beliau bertemu Jacel pada 9 November lepas semasa berada di Filipina bersama Tian Chua sebagai sebahagian daripada rombongan PKR bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan di negara itu. 
 
Beliau sebelum ini dilaporkan membuat permohonan maaf selepas gambarnya bertemu Jacel di Filipina dimuat naik di laman Facebook mendapat kritikan, manakala semalam, Tian Chua pula menafikan beliau adalah dalang pertemuan itu.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata peguam Americk Sidhu memaklumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan polis berhubung kenyataan yang dibuat anak guamnya, Charles Suresh Morais.

Charles, adik Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais, dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini baru-baru ini yang mendakwa pembunuhan abangnya itu mempunyai kaitan dengan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Khalid berkata Americk dijangka memberi keterangan sama ada hari ini atau esok.

"Kita terpaksa panggil beliau kerana kita nak tahu apa perbicangan beliau dengan Charles... pendedahan itu merupakan pendedahan yang serius," katanya.

Mayat Kevin, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September lepas selepas beliau dilaporkan hilang pada 4 September lepas. – Bernama


Anak Ku Nan ditanya siapa pemimpin paling berani di Malaysia ?

 
Seorang pensyarah di universiti tempatan menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin paling berani di negara ini.


tengku-adnan-mansor,mahathir,anwar


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas sesetengah pensyarah yang bermain politik dan cuba mempengaruhi golongan muda supaya menyokong pembangkang.

Menteri Wilayah Persekutuan itu menceritakan pengalaman anaknya yang sedang menuntut di salah sebuah universiti tempatan.

“Saya beri contoh, macam anak saya baru-baru ini di universiti di tanya, siapa pemimpin di Malaysia yang berani?

“Dia (pensyarah) bagitahu jawapannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jadi macam mana?.. Anda tahu karekter si polan (Anwar) ini…jika itu ikon awak, apa akan jadi kepada anak anda,” katanya ketika berucap dalam Majlis Konvensyen Kebangsaan Kesejahteraan Sosial Komuniti Bandar: Ke Arah Pengukuhan Agenda Berpaksikan Rakyat di Hotel Istana.

Tengku Adnan atau Ku Nan berpandangan pemimpin yang berani di negara ini bukan Anwar sebaliknya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pemimpin paling berani bukan Anwar Ibrahim, tetapi sebenarnya Tun Mahathir.

“Pensyarah-pensyarah ini semua akan tukar pemikiran anda…Tapi ingat jika anda tukar pemikiran anak anda hari ini, apa akan jadi masa akan datang.

“Inilah masalah kita hadapi.. saya merayu dan minta pensyarah di Malaysia lebih berjaga-jaga,” katanya.

Husam dan kerajaan Kelantan diarah ‘kunci mulut’

Tindakan itu diambil bagi memudahkan Pas menjalankan siasatan berhubung dakwaan Husam Musa terhadap kerajaan Kelantan.


tuan-ibrahim,husam-musa


KUALA LUMPUR: Datuk Husam Musa dilarang membuat sebarang kenyataan kepada media sehingga dakwaannya terhadap kerajaan Kelantan dan pimpinan Pas selesai disiasat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata arahan itu bagi mengelak berlaku sebarang polemik antara kedua-dua pihak.

Katanya, keputusan yang diambil itu juga telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Kita juga bersetuju bahawa perkara-perkara yang melibatkan urusan dalaman parti, kerajaan negeri dibuat menggunakan platform parti dan diselesai mengikut saluran parti serta tidak diviralkan kepada umum.

“Kita juga bersetuju tidak akan ada sebarang kenyataan daripada beliau (Husam) dan kerajaan negeri yang boleh menimbulkan polemik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata buat masa ini tidak ada sebarang tindakan lagi yang dibuat terhadap Husam.

Beliau juga mengesahkan telah menerima dokumen dan bukti berhubung kenyataanya Husam itu.

“Hari ini tidak ada sebarang keputusan dibuat terhadap beliau sebab ini bukan jawatankuasa disiplin.

“Kita juga telah menerima segala dokumen serta bukti daripada beliau dan pertemuan hari ini sangat baik….Dokumen tersebut juga akan diteliti dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan berkata segala penjelasan beserta bukti yang dikemukakan oleh Husam akan disiasat dengan teliti.

Beliau juga tidak menolak sekiranya Husam akan dipanggil semula bagi memberi penjelasan berhubung kenyataan itu.

“Parti akan teliti bukti yang dikemukakan itu dan jika dirasakan perlu kita akan panggil Husam semula,” katanya.

Ibu Pejabat UMNO makin merepek

 
Khairuddin Abu Hassan mendakwa Ibu Pejabat UMNO bertindak sesuka hati dan tidak mengikut Perlembagaan parti.dalam mengambil tindakan terhadap ahli.


khairusdin


PETALING JAYA: Ibu Pejabat UMNO dikatakan semakin merepek kerana membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada Perlembagaan parti.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, ibu Pejabat UMNO tidak menghormati serta tidak mengikut Perlembagaan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap sesiapa saja yang tidak sehaluan dengan kepimpinan parti.

“Hakikatnya, Ibu Pejabat UMNO ingat parti ini milik bapa mereka kot?

“Sekiranya inilah sikap pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO masa kini; yakinilah parti UMNO akan hanya menjadi sebuah pertubuhan kebajikan saja suatu hari nanti tanpa mendapat sokongan lagi dari akar umbi serta rakyat jelata.

“Ibu Pejabat UMNO kini suka bertindak mengikut selera ataupun citarasa mereka sendiri. Perlembagaan, praktis serta tradisi UMNO seringkali diketepikan,” tulisnya di Facebook.

Khairuddin berkata, kejadian yang menimpa Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila amalan praktis serta hak Timbalan Presiden UMNO untuk merasmikan Perhimpunan sayap-sayap parti telah disekat.

Katanya, majoriti ahli-ahli UMNO tidak puashati serta membuat protes secara senyap.

“Dalam apa jua keadaan sekalipun; puak-puak korup dan kaki bodek minda lemah otak udang ini bakal jatuh tersungkur. Hanya masa ketika saja yang bakal menentukannya.

“Lawan tetap lawan demi menegakkan kebenaran seperti mana yang dituntut oleh agama Islam. Pantang ‘anak Melayu berundur sebelum lawan’ tetapi dasar bacul anak Bugis saya tak tahulah,” katanya.

Kadar tol naik lima peratus setiap tiga tahun bermula 2016

ANTARAPOS.COM


Post Pic

KUALA LUMPUR: Projek Lebuhraya Usahasama Bhd (PLUS) akan menaikkan kadar tol mereka di bawah perjanjian konsesi mereka setiap 3 tahun sebanyak 5% bermula tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Beliau berkata, kenaikan itu akan berterusan sehingga tamat tempoh perjanjian konsesi pada 2018.
PLUS dimiliki syarikat milik negara Khazanah Nasional Bhd.
"Berdasarkan perjanjian tambahan konsesi yang ditandatangani pada November 2011, kerajaan dan PLUS bersetuju untuk tidak menaikkan kadar tol selama 5 tahun antara 2011 dan 2015.
"Kenaikan itu hanya akan dilaksanakan pada 2016, kecuali untuk Jambatan Pulau Pinang, yang tidak mengalami kenaikan tol sehingga tamat perjanjian konsesi pada Disember 2018," katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.
"Kadar kenaikan tol ditetapkan pada kadar 5% setiap 3 tahun dan akan tamat tempoh konsesi pada 2018," katanya, selepas menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat daripada Datuk Ahmad Fauzi  Zahari (BN-Setiawangsa).
Fauzi bertanyakan sekiranya tempoh konsesi dilanjutkan, ia bermakna tidak akan berlaku kenaikan tol sehingga 2018
Kali terakhir perjanjian konsesi PLUS disemak semula adalah pada 2011, di mana syarikat konsesi itu dibenarkan menaikkan tol sebanyak 5% setiap 3 tahun.
Rosnah bagaimanapun berkata, tiada kenaikan tol sejak 2011 sehingga sekarang.
Beliau turut mengesahkan kenaikan kadar tol hanya akan  bermula tahun hadapan.
Dalam pada itu, Rosnah berkata, kerajaan akan mengkaji permohonan PLUS berhubung kenaikan tol dengan mengambil kira indeks harga pengguna dan jumlah trafik yang diperakui oleh juruaudit bertauliah.
"Ini bermakna tidak akan ada kenaikan secara automatik kepada PLUS," katanya. 
Terdahulu, Ahli Parlimen Pokok Sena, daripada PAS, Datuk Mahfuz Omar di lobi Parlimen mengkritik tindakan itu dan berkata, ketika tempoh konsesi PLUS dipanjangkan, kadar tol tidak seharusnya dinaikkan.

'Tiada bantuan untuk bekas atase serang sumbang wanita'

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
Bekas atase tentera Muhammad Rizalman Ismail tidak akan menerima sebarang bantuan daripada Kementerian Pertahanan mahupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
 
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata demikian ketika mengulas tindakan Rizalman yang membuat pengakuan bersalah pada perbicaraan hari ini atas tuduhan serangan sumbang terhadap seorang wanita di New Zealand.
 
“Saya tidak pernah melindungi sesiapa dalam konteks mendapat keadilan. Sesiapa yang di bawah kita kalau salah tetap salah, sekiranya telah melalui perbicaraan.
 
“Sama ada mengaku salah atau tak, kalau dia didapati bsalah, mesti berhadpan dengan hukuman yang setimpal. Dan tidak akan dapat pertolongan daripada kita, samada Mindef atau daripada ATM,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.
 
Mangsa, Tania Billingsley, yang diserang di rumahnya di Wellington oleh bekas atase tentera itu dilaporkan “benar-benar gembira" apabila tertuduh mengaku bersalah pagi ini.
 
Mahkamah hari ini diberitahu bahawa Rizalman hampir bogel apabila dia ke rumah Billingsley, di pinggir bandar Wellington di Brooklyn.
 
Beliau ditangkap pada 10 Mei 2014.
 
Selepas pengkapannya, Rizalman menjadi sasaran kemarahan politik dengan meninggalkan New Zealand di bawah kekebalan diplomatik.
 
Dia meninggalkan New Zealand tanpa menghadapi perbicaraan selepas Malaysia menggunakan kekebalan diplomatik - dengan kepercayaan bahawa ia berbuat demikian dengan restu Kerajaan New Zealand.
 
Dia kembali ke New Zealand dengan diiringi oleh polis selepas pendengaran ekstradisi difailkan di Malaysia.
 
 

Jangan sentuh Americk, kata NGO guaman kepada polis

MALAYSIAKINI


 


Lawyers for Liberty (LFL) mahu polis membatalkan niat mereka untuk menyoal peguam Americk Sidhu berhubung akuan bersumpah (SD) anak guamnya yang ‘panas’.

Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen hari ini memberi amaran bahawa tindakan seumpama itu adalah satu bentuk gangguan terhadap seorang peguam yang semata-mata melaksanakan tugas mewakili anak guamnya.

"Americk, seperti mana-mana peguam lain, mesti dibenarkan menjalankan kerja-kerjanya dengan bebas dan tanpa gangguan yang tidak wajar.

"Kami juga mahu pihak polis mengiktiraf dan menghormati fungsi penting yang dimainkan oleh peguam dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan hak-hak perlembagaan, termasuk hak mendapatkan khidmat undang-undang seperti yang dijamin oleh Perkara 5, Perlembagaan Persekutuan," kata Paulsen dalam satu kenyataan.

Americk dijangka disoal siasat oleh polis esok berhubung SD yang dibuat oleh anak guamnya, Charles Suresh Morais berhubung pembunuhan abangnya, timbalan pendakwa raya kanan Kevin Anthony Morais.

Pemilik rangkaian hotel yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu melarikkan dirinya dari Malaysia, tidak lama lagi selepas mendedahkan kandungan SD itu kepada media pada Rabu lalu.

Sementara itu, Paulsen berkata langkah untuk menyiasat peguam yang mewakili anak guamnya adalah serangan serius ke atas kebebasan Bar dan prinsip asas hak istimewa peguam-anak guam, di mana semua peguam terikat.

"Ini adalah asas yang semua komunikasi dan rundingan antara peguam dan anak guam mereka dalam hubungan profesional adalah sulit dan suatu keistimewaan.

"Di samping itu, peguam tidak boleh dikaitkan dengan anak guam dan tindakan mereka ketika melaksanakan tugasnya.

"Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa piawaian antarabangsa seperti Prinsip Asas Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Peranan Peguam (1990) dipatuhi," katanya.

Dr Mahathir senaraikan kepincangan pentadbiran Najib

MALAYSIAKINI


 


Dalam surat terbuka kepada ahli dan pemimpin akar umbi Umno menjelang perhimpunan agung tahunan parti minggu depan, Tun Dr Mahathir Mohamad menggariskan apa yang didakwanya sebagai kepincangan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga mengulangi dakwaannya bahawa Umno kini milik Najib dan perjuangan parti terhad kepada mendokong presiden.

“Kesetiaan ahli terhad kepada presiden, tidak lagi kepada parti, tidak lagi kepada bangsa, agama dan negara,” katanya dalam tulisan terbaru di blog.

Mahathir yang mengetuai Umno dan negara selama 22 tahun juga menyenaraikan kepincangan pentadbiran Najib hari ini.

Berikut antaranya,
  • Memperkenalkan slogan 1Malaysia, yang sama dengan Malaysian Malaysia (slogan DAP);
  • Melantik penjajah sebagai penasihat;
  • Penggunaan konsultan barat:
  • Mewujudkan PEMANDU untuk menggantikan Unit Perancang Ekonomi;
  • Bayaran gaji kepada badan bukan Kerajaan yang amat tinggi;
  • Meletak negara di bawah kehendak Singapura;
  • Pinjaman berbillion ringgit yang dilabur sebahagian besar di luar negara;
  • Menubuh 1MDB dengan modal pinjaman yang besar;
  • Tidak dapat membukti di mana modal yang dilabur berada;
  • Gagal membayar faedah hutang;
  • Beli tanah kerajaan dengan harga yang amat murah;
  • Jual tanah kepada institusi kerajaan dengan harga 50 kali ganda lebih tinggi;
  • Kejatuhan mata wang dan nilai saham yang teruk
“Wang Tabung Haji diguna secara yang sama, keuntungan yang berlebihan ini diguna untuk menampung kerugian 1MDB,

“(Wang) RM2.6 billion tiba-tiba berada dalam akaun peribadi Najib, kononnya derma dari orang Arab, siasatan oleh SPRM dan Bank Negara ditamat oleh Najib sebelum tindakan dapat diambil.

"Pendakwa Raya dibuang, PAC dibubar supaya tidak dapat menyiasat 1MDB,” kata Dr Mahathir.

Beliau juga membidas cara hidup mewah lebih dari kemampuan perdana menteri dan tindakan rakyat yang menegur disoal-siasat oleh polis dan dituduh sabotaj bank dan kewangan negara.

Dr Mahathir juga berkata cukai GST dikenakan sehingga peniaga kecil terpaksa tutup kedai, kos sara hidup meningkat dan beban bagi rakyat bertambah.

“Besar kemungkinan parti akan kalah dalam PRU-14 seperti di Selangor dan Pulau Pinang. BN dan Umno akan menjadi parti pembangkang.

“Sebagai pembangkang tidak akan ada apa-apa yang boleh dibuat oleh Umno untuk bangsa, negara dan agama,” katanya lagi.

Lepas kena lokap Khairuddin mungkin insaf


 Wan Azizah Wan Ismail
Wan Azizah Wan Ismail


KUALA LUMPUR - "Bila kena tahan (lokap), kena denggi mungkin beliau (Khairuddin) sudah insaf," demikian respon Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila ditanya tentang kenyataan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang menyokong gesaan supaya bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara.

Mengulas lanjut, Azizah mengulangi pendirian beliau sebelum ini bahawa Anwar tidak bersalah dan perlu dibebaskan.

"Anwar tidak bersalah sepatutnya dibebaskan, berilah keadilan bukan sahaja pada  Anwar dan keadilan untuk warganegara Malaysia termasuk YB yang  dikenakan Sosma macam pendakwaan terpilih tidak sepatutnya terjadi," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu Khairuddin dalam satu kenyataan mengatakan bahawa beliau menyokong penuh mana-mana daya usaha untuk membebaskan Anwar dari penjara Sungai Buloh.

‎Katanya, sudah tiba masanya Anwar berada di luar penjara Sungai Buloh untuk menyemarakkan lagi landskap serta senario politik tanah air.


Bekas CEO 1MDB jawab PAC hari ini

SINAR HARIAN


1MDB
1Malaysia Development Berhad
 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini tampil memberi keterangan kali kedua kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Shahrol tiba kira-kira jam 10 pagi di bangunan Parlimen sebelum sesi memberi keterangan bermula yang turut dihadiri Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin dan anggota jawatankuasa PAC.

Pada 25 November lepas, PAC memanggil Shahrol pada pendengaran kali pertama untuk memberi keterangan berkaitan pembentukan 1MDB, yang dilapor berlaku dalam 2009 ketika di bawah pengurusan beliau.

Hasan dilapor sebagai berkata PAC memanggil semula Shahrol untuk pendengaran kali kedua berikutan ada beberapa maklumat yang harus dimaklumkan semula sebelum PAC mendengar keterangan daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy esok (1 Dis).

Hasan dalam kenyataannya sebelum ini turut menjelaskan ia dilakukan agar PAC dapat membentangkan satu laporan jawatankuasa dengan lebih telus, menyeluruh serta adil. - Bernama


PAC: Laporan audit 1MDB akan diserah 17 Dis




Hasan Arifin
Hasan


KUALA LUMPUR - Laporan lengkap Ketua Audit Negara terhadap 1Malaysia Development Berhad ( 1MDB) dijangka akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) 17 Disember ini.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin, berkata, pihaknya sudah menyiapkan laporan awal serta penerangan daripada Ketua Audit Negara berhubung syarikat pelaburan strategik negara itu.

Sehubungan itu, katanya, PAC memutuskan akan memanggil Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin bagi memberi keterangan selepas jawatankuasa itu mendengar Laporan Akhir Ketua Audit Negara.

"Keutamaan jawatankuasa ini adalah untuk menjalankan siasatan yang adil dan menyeluruh ke atas 1MDB dan laporan lengkap berhubung siasatan ini disasarkan untuk siap pada Mac 2016," katanya melalui satu kenyataan yang diedarkan di Parlimen, hari ini.‎

Menurutnya lagi, setakat ini prosiding berlangsung dengan mengambil keterangan bekas Presiden syarikat itu Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

"PAC ingin mengumumkan prosiding siasatan terhadap 1MDB telah disambung dengan penerangan selama dua hari oleh Shahrol hari ini. Beliau memberikan kerjasama yang memuaskan.

"PAC juga berkesempatan bertanya soalan yang begitu memuaskan daripada segi semua aspek mengenai Kawalan Tadbir Urus syarikat tersebut,” katanya.

Katanya, Presiden syarikat itu Arul Kandasamy akan memberi keterangan berhubung isu 1MDB, esok.

Nurul Izzah perlu beri justifikasi pertemuan

SINAR HARIAN


Nurul Izzah Anwar, Jacel Kiram
Gambar Nurul Izzah bersama Jacel Kiram yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar perlu memberi justifikasi jelas berhubung pertemuannya dengan Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013, demikian pandangan beberapa penganalisis politik.

Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata Naib Presiden PKR itu sendiri dengan sengaja mengundang persepsi buruk masyarakat apabila mengadakan pertemuan dengan Jacel, pada 9 November lepas.

"Gelaran pengkhianat negara itu timbul ekoran daripada pertemuan berkenaan.

"Apakah dengan memfailkan saman terhadap individu-individu yang didakwa  kononnya memfitnah beliau dapat melenyapkan persepsi negatif masyarakat terhadapnya? Sebagai seorang ahli politik, beliau seharusnya lebih maklum bahawa persepsi merupakan elemen penting yang membawa kepada penilaian masyarakat terhadap seseorang pemimpin," katanya kepada Bernama.

Pada Khamis lepas, Nurul Izzah memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Polis Negara Tan
Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung dakwaan beliau seorang pengkhianat selepas bergambar dengan 'puteri Sulu' itu.

Dakwaan itu timbul selepas gambar pertemuan mereka tersebar menerusi media sosial.

Melalui pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa Khalid pada sidang media di Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman pada 22 November telah mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah, yang membawa maksud bahawa beliau adalah dalang di sebalik serangan dan pencerobohan oleh Tentera Sulu di Sabah pada 2013.

Nurul Izzah turut mendakwa Ismail Sabri melalui sidang media selepas satu majlis di Bera, Pahang, mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah yang dalam makna asal atau biasa bermaksud beliau merupakan penderhaka kepada negara dan telah mengisytiharkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata Nurul Izzah sepatutnya berwaspada dalam setiap tindak-tanduknya dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat.

"Walau apa pun niat beliau pada perjumpaan itu, apa yang kekal dalam fikiran rakyat ialah Jacel merupakan anak bekas ketua kumpulan pengganas (Sulu) (Jamalul Kiram III). Pencerobohan (di Lahad Datu) mengakibatkan anggota keselamatan kita terkorban dan rakyat Sabah hidup dalam kesengsaraan, sememangnya tragedi hitam buat negara.

"Dalam keghairahan mengadakan hubungan dengan pihak luar termasuklah kuasa antarabangsa bagi meraih sokongan mahupun simpati, Nurul Izzah serta pemimpin pembangkang yang lain perlu lebih berjaga-jaga agar tidak sampai ke tahap mengenepikan kepentingan negara," tegasnya.

Sementara itu, pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib berkata tindakan Nurul Izzah memfailkan saman menunjukkan ketidakmatangan beliau sebagai seorang pemimpin.

"Jika Nurul Izzah benar-benar seorang yang demokratik serta jujur dalam perjuangan politiknya, beliau seharusnya bersifat terbuka menerima teguran dan kritikan.

"Mengapa memilih mahkamah sebagai platform untuk menyekat atau menutup sesuatu isu yang ditimbulkannya sendiri? Ahli politik tidak seharusnya membiasakan diri menggunakan pendekatan saman-menyaman sebagai budaya dalam kerjaya mereka kerana ia akan memberi imej buruk terhadap kredibiliti mereka sebagai pemimpin," katanya.

Berpendapat tindakan keterlaluan Nurul Izzah itu bukan sahaja mencerminkan dasar pembangkang yang tidak patriotik dan pro-Malaysia, ia bahkan boleh disalahertikan oleh individu luar sebagai pengiktirafan terhadap kumpulan pengganas yang menyerang negara ini.

Beliau berkata pertemuan itu juga dikhuatiri mengundang agenda politik keterlaluan parti pembangkang, sehingga boleh menggangu-gugat kedaulatan Malaysia.

Sehingga Selasa lepas, polis menerima lebih 90 laporan di seluruh negara berhubung pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan Jacel Kiram.

Pertemuan Nurul Izzah dan Jacel itu menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan keluarga mangsa yang terkorban di Lahad Datu sehingga Dun Sabah pada Khamis meluluskan usul menghalang beliau dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua daripada memasuki negeri itu. - Bernama


CHOGM berminat pelajari kejayaan Malaysia laksana deradikalisasi - Zahid

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
VALLETTA: Kejayaan Malaysia dalam melaksanakan pemulihan atau proses 'deradikalisasi' terhadap pengganas dan golongan ekstremis sudah mencapai tahap 95 peratus, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 
 
Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan Malaysia dalam menangani pengganas sejak era komunis mendapat pengiktirafan dunia dan banyak negara menyatakan hasrat untuk mempelajari pengalamannya. 
 
"Saya telah berkongsi fakta-fakta mengenai kejayaan kita mencegah, membanteras dan memulih pengganas pada Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) dan mereka mahu mempelajari cara kita melakukan deradikalisasi," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri CHOGM di sini, semalam. 
 
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman. Beliau berkata, Malaysia menjemput rakan CHOGM untuk menghadiri Persidangan Deradikalisasi yang akan dianjurkan Kuala Lumpur pada 25 dan 26 Januari depan. 
 
"Di situ kita akan berkongsi pengalaman kita. Malah kita juga menjemput beberapa negara Asean untuk berkongsi pengalaman mereka," katanya. 
 
Ahmad Zahid berkata, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara, kerajaan juga memutuskan untuk membabitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), golongan ulama dan pakar psikologi untuk memerangi serta memulih pengganas dan golongan ekstremis di Malaysia. 
 
"Saya yakin program deradikalisasi di Malaysia boleh mencapai kejayaan 100 peratus dalam tempoh terdekat dengan usaha yang dilakukan pihak berkuasa," katanya. 
 
Ahmad Zahid berkata, beliau juga berkongsi mengenai beberapa akta yang digubal Malaysia untuk mencegah dan memulihkan pengganas, termasuk Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan pencegahan pengganas luar negara dan pindaan kepada Kanun Keseksaan berkaitan keganasan, yang diterima baik pemimpin Komanwel. 
 
Katanya, pemimpin Komanwel menganggap Malaysia sebagai negara Islam yang mengamalkan kesederhanaan. 
 
"Saya memaklumkan semua akta itu bertujuan mengawal dan memerangi pengganas yang menerima latihan di luar negara, pengganas luar negara yang datang ke Malaysia, selain pengganas rakyat Malaysia yang menerima latihan di luar negara dan pulang untuk melakukan keganasan di dalam negara. 
 
"Pemimpin Afrika juga bercakap mengenai kumpulan Bako Haram di negara mereka. 
 
Di Nusantara, khususnya kumpulan yang bertapak di Selatan Thailand dan Filipina mempunyai hubungan dan jaringan antarabangsa. 
 
"Ini kita khuatir. Jadi perlu ada langkah-langkah pencegahan drastik untuk mengawal mereka daripada melebarkan kegiatan di Nusantara dan ASEAN," katanya. 
 
Ahmad Zahidi berkata, selain isu keganasan, pemimpin CHOGM juga banyak membincangkan isu imigran yang dihadapi banyak negara ketika ini. Beliau berkata, satu tata atur sedang diteliti untuk menangani isu imigrasi ini. 
 
"Malaysia ada peraturan imigresen yang baik, termasuk bagaimana kita menerima pelarian dari Myanmar dan komitmen kita untuk menerima 3,000 pelarian Syria. 
 
"Saya juga jelaskan kita ada pengalaman ketika menerima pelarian dari Bosnia-Herzegovina. 
 
Jadi, kita jadikan pengalaman itu sebagai acuan dalam pengurusan pelarian baru," katanya.
 
 

Sesi dialog terbuka TPPA di MITI Selasa ini - Ahmad Maslan

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
PUTRAJAYA: Semua pihak dijemput hadir ke program Dialog Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed di Menara MITI, Kuala Lumpur, Selasa ini. 
 
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, berkata semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti pembangkang dijemput menghadiri dialog yang akan diadakan secara terbuka seperti sesi townhall. 
 
"Dialog akan dimulakan dengan sesi ceramah oleh Mustapa diikuti sesi soal jawab. Pegawai kanan kementerian akan hadir pada dialog berkenaan. 
 
"Orang ramai boleh hadir secara 'walk-in' di dewan serbaguna yang boleh memuatkan 2,000 orang," katanya kepada pemberita selepas menyambut peserta Kayuhan Jelajah Hujung Benua di pekarangan Kementerian Kewangan di sini, hari ini. 
 
Selain Malaysia, 11 negara terbabit dalam rundingan TPPA ialah Singapura, Brunei, Vietnam, Amerika Syarikat (Amerika), Kanada, New Zealand, Australia, Peru, Chile dan Mexico. 
 
Rundingan TPPA dimulakan pada 2005 dan telah dimuktamadkan pada 5 Oktober lepas. 
 
Ahmad berkata, kajian analisis kos faedah mengenai TPPA yang dihasilkan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) sudah dibentangkan kepada Kabinet pada Jumaat. 
 
Kajian berkenaan akan turut diedarkan kepada Ahli Parlimen pada Khamis ini, katanya. 
 
"Satu lagi dialog dengan orang awam akan diadakan pada Januari diikuti dialog dengan Ahli Parlimen sebelum sesi khas di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan ditentukan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara," katanya. - BERNAMA
 
 

Salleh persoal motif pihak terus kritik 1MDB

MALAYSIAKINI


 


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mempersoalkan motif pihak tertentu yang terus mengkritik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi tidak menerima penjelasan yang diberikan.

"Terdapat segelintir masyarakat yang berasa tidak berpuas hati dengan tindakan 1MDB yang telah meminjam berbilion-bilion untuk melakukan pelaburan, dan mereka mahu hutang ini dibayar balik," kata Salleh.

Beliau berkata kumpulan masyarakat berkenaan turut tidak berpuas hati dengan syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berhasrat untuk membeli sebahagian daripada aset 1MDB.

"Mereka tidak membenarkan sebarang syarikat tempatan seperti TNB untuk membeli aset. Jikalau 1MDB menjual asetnya kepada syarikat tempatan tersebut, maka masyarakat ini akan memanggilnya sebagai "bailout"!," katanya dalam blog sskeruak.blogspot.com hari ini.

Salleh berkata kini, 1MDB berada pada peringkat akhir proses menjual anak syarikat milik IMDB Edra Global Energy Berhad kepada pelabur asing.

Tindakan itu katanya, banyak menerima kritikan kerana pengkritik mendakwa harga penjualan itu adalah amat rendah, meskipun harga yang dikenakan kepada pelabur asing berkenaan lebih tinggi, jika dijual kepada TNB.

Selain itu, katanya terdapat juga kata-kata bahawa keadaan itu merupakan satu tindakan pengkhianatan kerana melibatkan pelabur asing dan sebagainya.

"Keadaan menjadi semakin rumit apabila masyarakat tidak mengetahui apa yang diinginkan mereka.

Mereka mahu 1MDB mengurangkan beban hutang dan pada masa sama, mereka tidak mahu mana-mana syarikat tempatan membeli aset 1MDB, begitu juga tidak membenarkan 1MDB untuk menjual asetnya kepada pelabur asing. Dengan itu, apa yang mereka ingin 1MDB lakukan?," katanya.

Beliau berkata pada akhirnya, 1MDB hanya boleh melakukan tiga perkara sahaja dan ketiga-tiga perkara itu, tidak dapat diterima oleh para pengkritik.

"Justeru, wujudnya juga alternatif keempat iaitu muflis. Adakah ini merupakan satu tindakan yang mereka ingin 1MDB lakukan iaitu 1MDB diisytiharkan muflis? Supaya mereka boleh menggunakan isu ini untuk menentang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)?," hujah Salleh.-Bernama


'Saya tak boleh tanggung dosa jika terus berdiam'

Hafiz Yatim  





Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyuarakan kebimbangannya mengenai isu 1MDB dan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak kerana ia juga merupakan kerisauan rakyat dan bahagian Pagoh.

Untuk itu, beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri, katanya dalam perhimpunan solidariti terhadapnya di Pagoh hari ini.

Menurutnya lagi, beliau kini bersedia berdepan untuk dipecat oleh timbalan presiden Umno.

Bagaimanapun, Muhyiddin mempersoalkan jika tindakan beliau itu bertentangan dengan perlembagaan parti atau apa yang dilakukannya adalah jenayah.

"Sekarang mereka melebarkan tindakan terhadap saya dengan tidak membenarkan saya bercakap di Perhimpunan Agung Umno.

"Adakah Najib takut kepada seorang lelaki bahawa beliau telah melanggar tradisi parti dengan tidak membenarkan timbalannya untuk bercakap?

"Beliau kata beliau dapat sokongan tiga juta ahli Umno tapi adakah rakyat Pagoh menyokong beliau?" soal Muhyiddin.

"Saya sedar tindakan dan ucapan saya boleh menyebabkan orangm marah tapi saya akan terus bercakap demi rakyat dan kepentingan negara.

"Tak apalah jika rakyat di Putrajaya mungkin tidak mendengar apa yang saya kata, tapi saya gembira orang di Pagoh bersama saya. Tiada siapa hidup selama-lamanya dan saya tidak boleh tanggung dosa jika saya terus berdiam.

"Jika mereka mahu buang saya, maka buatlah tetapi jangan abaikan sumbangan saya selama 36 tahun, "katanya lagi.

Muhyidin kemudiannya bertanya sama ada penduduk di Pagoh bersedia diwakili oleh wakil rakyat bebas yang mana kemudiannya 1,000 hadirin berkata mereka bersedia untuk tetap susah dan senang dengan beliau.

Beliau berkata tiada siapa yang hidup selama-lamanya dan tindakannya mengkritik 1MDB kerana beliau sayang kepada rakyat dan negara malah rakyat malu kerana skandal 1MDB itu.

Saya mahu pertahan Kevin dan PM, kata Richard Morais

MALAYSIAKINI


 


Adik-beradik Morais terperangkap dalam persengketaan keluarga yang panas, dengan dua saudara saling jawab menjawab dalam media, kononnya atas nama saudara mereka Kevin yang dibunuh.

Charles mendakwa akuan bersumpahnya (SD) yang mengaitkan individu berprofil tinggi adalah untuk memberikan keadilan terhadap Kevin, timbalan pendakwa raya timbalan (DPP) dengan Jabatan Peguam Negara

Bagaimanapun, adik bongsu Richard mencabar akuan bersumpah saudaranya itu, berkata dia mahu mempertahankan bukan sahaja Kevin, tetapi juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"Saya mahu mempertahankan Kevin dan maruah perdana menteri saya [...] kerana beliau (Najib) juga dikaitkan dalam SD beliau (Charles).

"Dan dia (Charles) mengatakan bahawa Kevin memberikannya (bukti terhadap Najib) kepadanya.
"Ia adalah satu kesalahan dengan membabitkan orang lain," Richard kepada Malaysiakini.

Ahli perniagaan itu sebelum ini berkata beliau akan bertemu Najib berhubung akuan bersumpah Charles itu.

Bagaimanapun Richard menafikan mempunyai sebarang hubungan dengan perdana menteri.

"Saya boleh pergi melihat beliau secara peribadi atas kehendak saya sendiri, saya tidak perlu mempunyai hubungan dengan dia," katanya.

Tambahan kereta mewah 'rasmi' KM Melaka dibidas

MALAYSIAKINI


 


ADUN DAP Ayer Keroh Khoo Poay Tiong mempersoalkan keperluan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron untuk memiliki tiga kereta rasmi untuk kegunaannya, dua daripadanya dianggap sebagai kereta mewah.

Khoo berkata walaupun ketua kerajaan negeri berhak untuk kenderaan rasmi yang baik - yang mana Haron sudah mempunyai sebuah kereta jenis Honda Accord - tiga kereta terlalu banyak.

Khoo berkata dua lagi kereta adalah Mercedes Benz S400 dengan nombor pendaftaran MCM 1 dan Lexus R350 dengan nombort plat kereta MCS 11.

Ini telah disahkan dalam jawapan bertulis daripada ketua menteri kepada Khoo yang bertanyakan mengenai kenderaaan tersebut sewaktu sidang DUN Melaka pada 16 hingga 19 November.

Ia berkata Mercedes diperolehi melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) berjumlah RM592,450.00 pada Julai 2015 manakala Lexus pula diperolehi melalui Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk RM402,507.36 pada Oktober 2013.

Idris adalah pengerusi bagi PKNM dan SAMB disebabkan kerana beliau ketua menteri Melaka.
Dalam jawapan bertulis itu, kerajaan negeri mempertahankan pembelian kereta rasmi tambahan.

Keterujaan bapa bertukar duka


Keterujaan bapa bertukar duka
Jenazah Shuhada disemadi di sebelah suaminya dalam satu liang lahad di Kampung Raja, semalam.


KAMPUNG RAJA - Kegembiraan seorang bapa, Mat Hassan Abdullah, 74, menunggu kepulangan anak perempuan bersama keluarga bercuti di rumahnya bertukar duka apabila menyambut jenazah mereka.

Shuhada Mat Hassan, 34, anak kelima daripada 12 beradik maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu suaminya, Muhammad Zulkifli Awang, 36, dilanggar treler berhampiran Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Lak Loh, Kuala Krai, Kelantan malam kelmarin.

Mat Hassan berkata, semasa menunggu kepulangan mereka bersama dua anak mangsa, Nur Umairah Husna 6, dan Muhammad Hafiz Hakimi, 2, dia menerima panggilan pada jam 12 tengah menyatakan anak dan menantunya maut.

“Saya terkedu dan tidak dapat menggambarkan perasaan ketika menerima panggilan tersebut dan setelah diberitahu cucu saya, Nur Umairah Husna patah kaki kanan dan adiknya cedera ringan,” katanya, semalam.

Katanya, kali terakhir arwah pulang ke sini dua minggu lalu, namun tidak sangka semalam saya hanya bertemu jenazahnya.

Sementara itu bapa Muhammad Zulkifli, Awang Seman, 58, berkata, Allahyarham Muhammad Zulkifli merupakan anak sulung daripada 12 beradik dan bertugas sebagai anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Kuantan, Pahang.

Katanya, sebelum kejadian, dia bersama isteri dan dua anaknya keluar dari rumahnya di Jengka 23, Pahang selepas solat Jumaat kelmarin untuk pulang bercuti di rumah keluarga mertua di sini pula.

“Saya perasan perubahan pada dirinya iaitu dia mahu berjumpa suami adik-beradik ketika pulang bercuti di rumah saya dan dia pulang melalui Gua Musang, Kelantan kerana mahu singgah di Paloh 2, Gua Musang untuk melihat anak saudaranya yang baru dilahirkan.

“Dia tidak sempat lagi lihat adiknya yang baru dapat cahaya mata. Selepas meninggalkan rumah adiknya, dia terlibat kemalangan,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Syed Jamaluddin Syeh Mohamed berkata, Muhammad Zulkifli seorang anggota yang berdedikasi malah dia dipanggil ustaz dalam kalangan rakan setugas kerana sering memimpin solat atau majlis keagamaan di balai tersebut.

Menurutnya, Allahyarham bercuti sejak Isnin lalu dan beliau berkhidmat di jabatan tersebut selama 12 tahun dan bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng empat tahun.

“Beliau banyak bertugas di bahagian pentadbiran, tetapi jika ada kes tertentu, dia bantu dan kami kehilangan anggota berdisiplin,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, semalam.

Jenazah pasangan suami isteri itu dikebumikan dalam satu liang lahad jam 2 petang semalam.
Sementara kedua-dua anak mangsa masih dirawat Hospital Kuala Krai dan dalam keadaan stabil.


Serang KJ, Umno tanya apa pencapaian Nik Nazmi?


Khairy, Nik Nazmi
Khairy dan Nik Nazmi


SHAH ALAM – Pemuda Umno membidas Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad susulan ucapannya pada penggulungan Kongres Nasional PKR hari ini yang menyerang ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Exco Pemuda Umno, Ibdilillah Ishak berkata, politik sempit dengan cara menyerang peribadi Khairy tidak mencerminkan Nik Nazmi sebagai pemimpin yang kononnya intelektual dan progresif.

“Sebagai seorang yang menjawat jawatan Ketua AMK dan Exco Kerajaan Negeri Selangor, beliau seharusnya lebih matang dalam berpolitik. Beliau perlu cermin diri dahulu sebelum menuduh dan menyerang peribadi orang lain.

“Selama beliau menjawat jawatan Ketua AMK dan Exco Selangor, apakah pencapaiannya? Apa yang telah beliau anjurkan untuk anak muda Selangor selain hanya menyampaikan ceramah ataupun ucapan yang berunsur retorik politik semata-mata?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi hari ini melalui ucapan penggulungannya menyarankan agar Khairy fokus untuk menjadi bintang TV susulan kegagalannya dalam mengekang belenggu perkauman, menghentikan kemusnahan hak-hak asasi dan kebebasan politik serta kesetiaannya terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibelenggu banyak skandal dan kontroversi.

Mengulas lanjut, Ibdilillah berkata, sepanjang Khairy menjadi Ketua Pemuda dan Menteri Belia dan Sukan, Ahli Parlimen Rembau itu tidak henti menganjurkan program, mencadangkan idea, polisi dan dasar yang memberi nilai tambah kepada orang muda Malaysia.

“Pemuda Umno dibawah kepimpinan beliau mengambil pendekatan politik khidmat bakti. Pelbagai program yang telah dianjurkan dan pelbagai idea yang telah direalisasikan kerajaan.

“Contohnya, berkait kos sara hidup rakyat, pemilikan rumah mampu milik, peluang pekerjaan, kadar gaji minimum, pendidikan dan berbagai lagi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan Nik Nazmi itu sebagai satu helah untuk mengalih perhatian rakyat daripada krisis kepercayaan ahli AMK terhadapnya sekarang.

“Saya difahamkan YB Nik Nazmi sedang berdepan krisis kepercayaan dalam AMK yang beliau sendiri terajui.

“Namun menyerang peribadi YB Khairy bukanlah 'jalan keluar'  daripada krisis politik dalaman yang serius dalam AMK itu,” katanya.


Peniaga vape minta tempoh kembali modal

SINAR HARIAN


vape
Gambar hiasan.


JOHOR BAHRU - Peniaga vape di negeri ini meminta kerajaan negeri mempertimbangkan larangan penjualan produk itu dan memberi tempoh kepada mereka mendapatkan kembali modal perniagaan sebelum ia dikuatkuasakan.

Tinjauan Bernama di beberapa premis perniagaan vape di bandar raya ini  mendapati suasana di premis agak suram dan beberapa penjual vape turut melahirkan rasa sedih dengan larangan tersebut.

Akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai bertitah agar larangan penjualan vape dikuatkuasakan dan semua premis yang menjual vape diberi tempoh sehingga 1 Januari depan untuk menutupnya.

"Berilah masa untuk kami mendapatkan kembali modal bagi penjualan vape ini," kata Noor Azlan Nardi, peniaga vape di Kilang Bateri, Jalan Tampoi, di sini ketika ditemui Bernama hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sultan haramkan vape di Johor, tutup operasi]

Pengusaha berusia 42 tahun itu berkata beliau terkilan dengan perkembangan terbaru itu kerana menjejaskan perniagaan anak Melayu sepertinya.

"Kami mula berniaga di tepi jalan, menumpang kedai mamak, sehinggalah kini kami mampu berniaga di kedai sendiri," katanya.

Beliau turut kesal kerana terasa teraniaya memandangkan maklumat mengenai sama ada perniagaan vape dibenarkan atau tidak sentiasa berubah.

"Kita peniaga rasa teraniaya sebab vape ini sekejap boleh, sekejap tidak boleh," katanya.

Noor Azlan berkata peniaga sepertinya telah mengeluarkan modal yang besar untuk memulakan perniagaan dan adalah sangat mustahil mendapatkan kembali modal dalam tempoh sebulan.

"Saya harap ada pihak yang mahu mendengar keluhan daripada peniaga vape dan mempertahankan hak kami," katanya sambil menambah memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk mendapat kembali modal sepenuhnya.

Sementara itu, Mohd Izwandi Suhaimi, 29, berkata beliau sedih dengan perkembangan berkenaan kerana baru sahaja memulakan perniagaan tersebut tiga bulan lalu.

"Tindakan itu umpama menutup periuk nasi kami, di mana kami hendak dapat modal balik kalau kami tutup kedai, sekurang-kurangnya bagi masa kepada kami dapatkan balik modal, separuh modal pun tak apa," katanya.

Terdahulu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Johor Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri akan membincangkan titah Sultan Johor itu pada mesyuarat Exco dalam masa terdekat.

Beliau berkata pihaknya bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Bahagian Farmasi akan turut mengadakan perbincangan mengenai perkara itu sebelum dikemukakan pada mesyuarat itu.- Bernama


Ahad, 29 November 2015

Dr Mahathir anggap Umno kini ‘parti Najib’

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas acara Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2015 di Kuala Lumpur, hari ini. Beliau kesal dengan tindakan Datuk Seri Najib Razak menghalang Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada perhimpunan agung Umno. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 29 November, 2015.  
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas acara Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2015 di Kuala Lumpur, hari ini. Beliau kesal dengan tindakan Datuk Seri Najib Razak menghalang Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap pada perhimpunan agung Umno. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.  


Umno kini seolah-olah menjadi "parti Najib" apabila mereka yang mengkritik Datuk Seri Najib Razak dipecat, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Dr Mahathir, fenomena itu terserlah apabila Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin diputuskan tidak akan berucap merasmikan persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bulan depan.

"Ini bila ada sesiapa tegur Umno atau presiden parti, buang. Jadi seolah-olah ini bukan parti Umno, tetapi parti Datuk Seri Najib," katanya pada sidang media selepas acara KL Summit 2015 di Kuala Lumpur hari ini.


Menurut Dr Mahathir, sewaktu menjadi presiden Umno, mereka yang tidak bersetuju dengannya mempunyai ruang seluas-luasnya dalam parti sehingga boleh mencabar jawatan presiden.

Beliau berkata demikian sewaktu ditanya wartawan jika terdapat sebarang persamaan di antara situasi di dalam Umno sekarang dengan pemilihan Umno 1986.

"Kalau betul ada krisis dalam Umno pada masa itu, tiada siapa dilarang daripada bercakap.

"Ada orang yang hendak bertanding dengan saya pun boleh dan tiada siapa dilarang berkempen.

"Ini saya tak boleh berjumpa ahli Umno, tak boleh bercakap dengan menteri Umno, tak boleh bercakap dengan orang Umno," katanya.

Mengulas tindakan beberapa ketua cawangan yang sejak akhir-akhir ini mula bersuara mendesak Najib meletak jawatan, Dr Mahathir berkata perkara itu berlaku kerana ketua-ketua bahagian tidak lagi bersuara mewakili akar umbi.

"Kita dapati ketua-ketua bahagian dah jadi bisu, bila yang bisu tak boleh bercakap, orang yang boleh bercakap, bercakaplah.

"Ini ahli tak boleh bercakap, orang itu tak boleh bercakap, orang ini tak boleh bercakap, ini demokrasi apa?" katanya.

Demokrasi bukan bermaksud puji Najib sahaja, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kekesalan larangan berucap kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Umno tidak layak untuk bercakap hal demokrasi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 29 November, 2015. 
Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan kekesalan larangan berucap kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Umno tidak layak untuk bercakap hal demokrasi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.



Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan peluang berucap semasa perhimpunan agung parti pada 8 hingga 12 Disember depan.

Harapan itu dizahirkannya sewaktu mengulas tindakan Majlis Tertinggi (MT) yang memutuskan Muhyiddin tidak merasmikan persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

"Kalau dia (Muhyiddin) hendak bercakap, saya harap speaker bagi peluang dia bercakap.


"Kalau tak kita jangan bercakap pasal demokrasi.

"Kalau nak puji (presiden Umno) Datuk Seri Najib (Razak) saja baru bercakap, ini bukan lagi parti Umno," katanya pada sidang media selepas acara penutup KL Summit 2015 di Kuala Lumpur pagi ini.

Baru-baru ini Umno memutuskan persidangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri akan datang dirasmikan ketua sayap sahaja.

Keputusan itu sekali gus melenyapkan peluang Muhyiddin berucap dan merasmikan sidang sayap-sayap itu selaku timbalan presiden – satu kebiasaan dalam perhimpunan agung.

Keputusan itu dicapai MT Umno sewaktu Muhyiddin tidak menghadiri mesyuaratnya pada 25 November lalu.

Pengguna Twitter kaitkan Najib, Rosmah dengan kes bunuh beri keterangan polis

Pengguna media sosial memberi keterangan polis berhubung postingnye yang mengaitkan beberapa kes bunuh dengan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya. – Gambar fail AFP, 29 November, 2015. 
Pengguna media sosial memberi keterangan polis berhubung postingnye yang mengaitkan beberapa kes bunuh dengan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya. – Gambar fail AFP, . 


Pengguna media sosial yang dikehendaki polis kerana didakwa mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri dengan beberapa pembunuhan berprofil tinggi di negara ini hadir memberikan kenyataannya kepada pihak polis semalam, menurut satu daripada posting rakannya yang disiarkan di laman Facebook.

Faisal Rohban memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam 2.30 petang semalam.

Difahamkan telefon bimbitnya dirampas pihak polis berhubung siasatan kes itu.


Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Khamis mengarahkan Faisal ditangkap kerana menulis komen berunsur hasutan pada posting keduanya di Twitter, yang mengulas mengenai perdana menteri dan isteri dipercayai terlibat dalam pembunuhan beberapa kes.

Pembunuhan yang disenaraikan dalam posting itu adalah kes wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, pengasas AmBank Hussain Ahmad Najadi dan timbalan pendakwa raya Anthony Kevin Morais, serta kematian penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Posting Faisal mendakwa kematian individu berkenaan mempunyai kaitan dengan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Bagaimanapun, keluarga dan rakan-rakan Faisal kecewa dengan arahan ketua polis negara yang mendakwa beliau hanya menyindir dan postingnya bertujuan menyindir pengkritik Najib dan isterinya.

Beberapa rakannya di Facebook menyatakan sokongan kepada beliau dan memperjelaskan sindiran yang dibuat itu semata-mata ditujukan kepada pembangkang.

Faisal, ketika mengulas mengenai arahan Khalid supaya menahannya, berkata beliau bersedia untuk disoal siasat polis dan mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakannya atas sokongan mereka.

"Saya ingin memberitahu kamu, kawan-kawan saya, untuk tidak mempersoalkan apa yang ketua polis negara katakan.

"Biar polis yang menyiasat. Mungkin terdapat kesilapan di sana (posting) yang saya tidak sedar. Saya hanya menyindir, "kata Faisal dalam posting pada jam 4 petang, Khamis lalu.

‘Jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang patut disandang anak tempatan’

ZALINAH NOORDIN

 

FLY_2622
Shamser berkata, mandat untuk menjadi Ketua Menteri perlu diberikan kepada individu berasal dari Pulau Pinang, sebaik-baiknya pemimpin akar umbi, bukannya orang luar. - Foto TRP/ Adib Hakim


GEORGE TOWN,  Jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang sepatutnya dipegang Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow, bukannya Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti pemerintah Pulau Mutiara itu.


Seorang perwakilan parti, Shamser Singh Thind dari Taman Chai Peng berkata, mandat untuk menjadi Ketua Menteri perlu diberikan kepada individu berasal dari Pulau Pinang, sebaik-baiknya pemimpin akar umbi, bukannya orang luar.

Lim yang merupakan wakil rakyat di Melaka sebelum ini, dilahirkan di Johor.

“Ia hanya adil kepada seseorang yang berasal dari Pulau Pinang untuk memimpin rakyat Pulau Pinang dan untuk warga Pulau Pinang memutuskan siapa yang patut memimpin mereka,” katanya yang mendapat sorakan gemuruh daripada perwakilan dalam dewan di Hotel Equatorial, ketika sesi perbahasan sempena Konvensyen DAP Pulau Pinang, hari ini. 

Beliau turut mencadangkan proses pemilihan ahli jawatankuasa ditukar, memandangkan ia tidak memberi kuasa penuh kepada akar umbi untuk memilih pemimpin mereka seperti dalam pemilihan Pemuda Sosialis DAP, baru-baru ini.

Sebagai contoh, majoriti telah memilih (Ahli Parlimen Puchong) Gobind Singh Deo di Selangor, tetapi (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) Tony Pua yang berada di tempat kelapan, dipilih sebagai Pengerusi DAP negeri. 

“Perkara sama berlaku di Perak,” kata Shamser yang memetik mendiang Karpal Singh sebagai berkata, tiada kawan atau musuh kekal dalam politik.

Beliau turut mempersoalkan tindakan DAP berpaut kepada PAS di Selangor, apabila Pulau Pinang sudah membentuk kerajaan Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan PKR. 

“Sekarang ia kelihatan seperti ada empat parti dalam Pakatan Harapan. Adakah ia sukar untuk DAP melepaskan ‘kekasih lama’?” soalnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri di Selangor terdiri daripada empat parti, iaitu DAP yang mempunyai 15 kerusi, PKR 13 kerusi, PAS 13 kerusi dan Amanah dua kerusi. 

“Bukan itu sahaja, tiga daripada exco negeri adalah pemimpin PAS. 

“Mengapa DAP masih berdampingan dengan musuh terbaru, PAS selepas perceraian itu?” soal Shamser yang turut membangkitkan isu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, baru-baru ini.

Beliau mempertikaikan kerajaan negeri pimpinan DAP, khasnya Lim, menegur wakil rakyat yang menyokong usul dikemukakan BN itu.

“Setahu saya, di Pulau Pinang, wakil rakyat Pakatan Harapan tidak boleh menyokong atau undi berkecuali usul pembangkang.

“Tetapi Pakatan Harapan masih mengharapkan Ahli Parlimen Barisan Nasional menyokong undi tidak percaya terhadap (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib Razak. 

“Jika ia adalah kewajipan wakil rakyat Pakatan Harapan untuk membantah semua usul Barisan Nasional, saya mahu tanya kenapa tidak ada seorang pun Ahli Parlimen Pakatan yang membantah kenaikan gaji bulanan Ahli Parlimen di Parlimen?” soalnya.

Pada persidangan DUN Pulau Pinang lalu, Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) mengemukakan usul yang mencadangkan semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan, tertakluk kepada perdebatan umum.

Susulan itu, Speaker DUN, Datuk Law Choo Kiang menolak usul Muhamad Farid, selepas 23 Adun membantah, 10 menyokong dan lima berkecuali, pada dua minggu lalu.

Mereka termasuk Ong Chin Wen (PKR-Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti), Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubuk), Cheah Kah Peng (PKR-Kebun Bunga) dan Dr T. Jayabalan (PKR-Batu Uban).

Ahli Dewan Undangan Negeri DAP-Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu yang menyokong usul BN itu, bertindak meletak jawatan sebagai Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang berkuat kuasa 23 November lalu.

Saya tak kisah dikritik – Lim Guan Eng

ZALINAH NOORDIN

 

lim guan eng DAP (m)
Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng (kiri) ketika menghadiri Konvensyen Biasa DAP Negeri Pulau Pinang 2015 di Hotel Equitorial, Bukit Jambul. Foto TRP/ Adib Hakim


GEORGE TOWN,  Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, dia tidak kisah dikritik berhubung sebarang kesilapan samada yang dilakukannya atau DAP, tidak seperti Barisan Nasional (BN).


“Ok untuk dikritik dan kami menerima kritikan dengan hati terbuka kerana kita pun hidup berpaksikan sistem demokrasi DAP.

“Sebelum ini, saya mendengar pandangan mengenai saya dan parti yang dibangkitkan delegasi, Shamser Singh Thind.

“Tetapi tidak apa.. dia akan bekerja selepas ini. Mereka yang bekerja boleh mengkritik dan ia dilakukan dengan betul dan saya menerima dan menghormati pandangan setiap mereka,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di Hotel Equatorial, dekat sini, hari ini.

Lim berkata, apa yang membezakan antara DAP dan BN adalah DAP akan mengakui kesilapan, tidak seperti BN yang akan melakukan apa saja untuk melindungi kesilapan mereka.

“Kita berani berdepan media kerana tiada apa yang kita sembunyikan,” katanya lagi.

Sebelum itu, seorang delegasi dari Chai Peng Park, Shamser Singh Thind mencadangkan supaya jawatan Ketua Menteri diberikan kepada Pengerusi DAP negeri dan patut disandang anak tempatan.

Beliau turut mencadangkan supaya proses pemilihan ahli jawatankuasa ditukar kerana ia tidak memberikan kuasa penuh kepada akar umbi untuk memilij pemimpin mereka seperti dalam pemilihan DAP baru-baru ini.

Pagi tadi, sekumpulan individu yang tampil menunjukkan sokongan kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sebelum konvensyen bermula dan berkata beliau yang sepatutnya berhak menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Isu supaya Chow menggantikan Lim sebagai Ketua Menteri timbul sejak beberapa minggu lalu.

Hari ini, 48 pemimpin negeri dan akar umbi berlumba-lumba merebut 15 jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif Negeri dengan kehadiran 876 delegasi dari pelbagai bahagian untuk membuang undi.

Perwakilan DAP Bidas Sistem Pemilihan J/Kuasa Tak Telus

MSTAR ONLINE


 
 
GEORGE TOWN: Perwakilan ke Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang 2015 pada Ahad membidas sistem pemilihan jawatankuasa parti DAP negeri yang didakwa tidak telus dan saksama.

Perwakilan dari Taman Chai Leng Shamsher Singh Thind berkata, sistem pemilihan anggota jawatankuasa DAP negeri harus diubah kerana tidak memberi kuasa sepenuhnya kepada akar umbi memilih pemimpin mereka.

"Sistem pemilihan jawatankuasa DAP Pulau Pinang harus diubah supaya menjadi lebih telus kepada mereka yang mendapat undi yang tinggi dan diberi jawatan pengerusi," katanya ketika sesi perbahasan konvensyen itu di sini, Ahad.

Beliau turut menggesa Jawatankuasa Pusat (CEC) dan Jawatankuasa DAP negeri mensyaratkan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, sekiranya diberi kepada DAP, harus diserahkan kepada pengerusi DAP negeri dan bukan kepada yang lain.

Terdahulu, perwakilan Sri Tanjung Bungah Lim Cheng Hoe turut membangkitkan perkara sama supaya kepimpinan parti dapat membuat perubahan dalam sistem pemilihan jawatankuasa negeri.

Katanya, mana-mana pemimpin yang mendapat undi yang tertinggi dalam pemilihan jawatankuasa negeri seharusnya diberi peluang memimpin parti sebagai pengerusi.

"Dalam sistem lama, 15 pemimpin yang terpilih akan diundi sekali lagi untuk menentukan jawatan masing-masing dan sistem ini tidak memberi kelebihan kepada pemimpin yang mendapat undi tertinggi," katanya.

1MDB Kesal Tun M Terus Keluar Kenyataan Mengelirukan

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kesal dengan tindakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan salah dan mengelirukan secara berterusan terhadap syarikat pelaburan strategik negara itu.

Dalam kenyataan di sini Ahad, 1MDB berkata, kenyataan itu kemudian dilaporkan secara tidak bertanggungjawab tanpa analisis atau siasatan kewartawanan oleh portal berita dalam talian tertentu.

Merujuk kepada tulisan Dr Mahathir dalam blognya berhubung penjualan Edra Global Energy Bhd kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN), IMDB berkata, bekas perdana itu telah gagal dalam beberapa percubaan untuk mempolitikkan isu 1MDB.

"Berdasarkan penyata kewangan Edra bertarikh 31 Mac 2015, menerusi penjualan itu, 1MDB akan menerima tunai, nilai ekuiti RM9.83 bilion. Di samping itu, Kumpulan CGN akan menanggung hutang aset operasi Edra berjumlah RM7.43 bilion.

"Oleh itu, melalui penerimaan tunai dan pemindahan hutang, 1MDB akan mencapai pengurangan hutang sehingga RM17 bilion, iaitu dalam lingkungan jangkaan RM16 bilion hingga RM18 bilion mengikut pelan rasionalisasi.

"Adalah penting untuk menjelaskan bahawa pwengurangan hutang sehingga RM17 bilion adalah melebihi dividen tunai kira-kira RM2 bilion yang diperoleh oleh 1MDB daripada aset tenaga semasa pemilikannya," katanya.

Kenyataan itu menyebut 1MDB pada dasarnya kos dan pulangan pelaburannya adalah sama rata menerusi proses tender antarabangsa, walaupun terpaksa menjual aset-asetnya semasa dalam serangan berterusan dan mengelirukan daripada pembangkang dan Dr Mahathir sendiri.

"Jika Tun Dr Mahathir sanggup meluang masa untuk mengkaji semula Nota 29(v) penyata kewangan 1MDB beraudit 31 Mac 2014 yang boleh diperoleh oleh umum, beliau akan sedar bahawa daripada hutang 1MDB berjumlah RM42 bilion, sebanyak RM19.82 bilion hutang dalam denominasi Ringgit Malaysia dan RM22 bilion dalam denominasi dolar Amerika (USD).

"Oleh itu terhadap lebih dari mencukupi hutang dalam denominasi Ringgit Malaysia untuk dilunaskan daripada RM9.83 bilion hasil jualan tunai Edra," katanya.

Ia berkata bagi hutang dalam bentuk USD yang menjadi kebimbingan Dr Mahathir, mengikut perjanjian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 28 Mei 2015, ia adalah hasrat 1MDB bahawa bond jaminan IPIC sebanyak AS$3.5 bilion akan diselesaikan menerusi kaedah pertukaran hutang untuk aset dengan IPIC.

Langkah ini terarah kepada 1MDB memindahkan aset syarikat kepada IPIC dalam bentuk deposit tunai dan dana unit USD, sebagai balasan untuk IPIC mengambil alih jaminan bond AS$3.5 bilion, katanya.

Menurut kenyataan itu, Dr Mahathir juga telah mengelirukan pembaca blognya dengan gagal menyebut bahawa tarif bagi Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) bagi aset Edra ditetapkan bagi tempoh hayat perjanjian pembelian tenaga.

"Secara purata di semua loji tenaga kuasa Edra, ini adalah untuk tempoh 10 tahun akan datang. Jadi, tidak ada persoalan tarif IPP akan meningkat bagi tempoh hayat perjanjian pembelian tenaga walaupun pertukaran hak milik," katanya.

1MDB juga meminta Dr Mahathir supaya menggunakan fakta-fakta dan angka dalam hujahannya dan menghentikan serangan politik yang mengelirukan terhadap syarikat itu.

"Tun Mahathir telah berulang kali memperdaya orang awam dengan kenyataan-kenyataan palsu. Paling ketara sekali beliau berkata 'RM42 bilion hilang' dalam 1MDB.

"Penjualan aset Edra dengan pengurangan hutang sehingga RM17 bilion, jelas menunjukkan bagaimana sering kali dan terus Tun Mahathir melakukan kesilapan.

"Kedua, Tun Mahathir telah berulang kali mempersenda bahawa RM2.6 juta dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah daripada 1MDB walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan tiga kenyataan bahawa tiada dana dari IMDB masuk ke dalam akaun Datuk Seri Najib," katanya. - Bernama

Kenapa Umno mahu mesyuarat dalam kelambu?



Oleh Izmil Amri


Umno khabarnya mahu bermesyuarat dalam kelambu bulan depan. Mesyuarat dalam kelambu ini diumumkan tidak lain, setiausaha agungnya sendiri Datuk Seri Tengku Adnan Mansor beberapa hari lalu. Beliau kemudiannya menarik balik larangan liputan media ini semalam.

Selalunya yang bermesyuarat dalam kelambu ini adalah suami isteri yang sedang dilanda masalah rumah tangga. Jadi kita pun agak terkesima, kenapa Umno mahu bermesyuarat dalam kelambu.

saban tahun, perhimpunan agung Umno mendapat liputan besar-besaran media tradisional arus perdana. Stesen televisyen yang dikawal kerajaan akan menyiarkan siaran langsung untuk slot yang penting, seperti ucapan penggulungan presiden dan tidak lupa juga ucapan timbalan presiden.

Malang sekali tahun ini, kerana Umno sedang berdepan masalah rumah tangga, maka senario pinggan mangkuk berterbangan barangkali tidak akan dipaparkan kepada kita di kaca televisyen.

Lebih menarik lagi, terdapat perbahasan mengenai sama ada mahu dibenarkan atau tidak sang timbalan presiden Umno daripada berucap di sesi penggulungan sepertimana adat dan kelazimannya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas timbalan perdana menteri yang baru tempoh hari dilengser dan digantikan dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, khabarnya tidak akan diberi peluang berucap. Kita tidak pasti kenapa dan apa yang dirisaukan. Kita juga tertanya-tanya sekiranya timbalan perdana menteri yang baharu itu akan diberikan peluang berucap pula.

Sebenarnya alang-alang kita mahu bertanya tentang cadangan mesyuarat dalam kelambu ini, ada banyak persoalan yang boleh kita tanyakan.

Ini termasuklah sama ada perwakilan akan dihalang daripada bercakap dengan media, adakah telefon pintar mereka akan dirampas, adakah mereka akan dilarang membawa kamera, adakah rakan parti komponen Barisan Nasional tidak akan dijemput, adakah para diplomat, duta dan pemerhati politik juga tidak akan dibenarkan hadir dan berkongsi apa yang mereka dengar dan lihat di media sosial?

Adakah Tun Dr Mahathir Mohamad pula akan dihalang daripada hadir? Bagaimana pula dengan gerombolan yang menyokong Dr Mahathir dan tidak bersetuju dengan pemecatan Muhyiddin Yassin?

Bagaimana pula dengan kawanan Umno Johor yang berpihak kepada Muhyiddin?

Adakah mereka yang didapati membuat rakaman video dan yang seumpamanya akan diberkas dan dihalau daripada mesyuarat? Bagaimana pula dengan pesta dan keraian yang sering berlangsung di luar perkarangan PWTC? Apa nasib pakcik songkok tinggi yang pernah dirakam berjoget dan menyanyi di perhimpunan agung Umno?

Mungkinkah perhimpunan tahun ini akan menjadi paling hambar di kalangan segala perhimpunan yang pernah berlangsung dalam sejarah Umno?

Apa yang lebih menarik untuk diteka ialah perancangan sedang dilakukan kem Muhyiddin setelah timbalan presiden itu nampaknya menulis di Facebook, bertanyakan apa salah dan dosanya terhadap Umno.

“Apalah dosa yang saya lakukan terhadap Umno sehingga tradisi berucap yang saban tahun diberikan kepada setiap timbalan presiden dinafikan kepada saya pada tahun ini?”

“Atau apakah ada mereka cukup takut dengan apa akan saya ungkapkan di depan anak-anak muda yang dipercayai boleh meluputkan keyakinan kepada seseorang pemimpin.”

Memandangkan tidak akan ada liputan media, saya hanya boleh membayangkan sekiranya Muhyiddin dibenarkan berucap merasmikan sidang Pemuda dan Wanita, selain ucapan penggulungannya, beliau akan berkata begini:

“Datuk Seri presiden yang saya kasihi, sidang perwakilan yang saya sayangi; Umno ialah parti kita semua.

Parti keramat ini perlu kita pertahankan selagi hayat dikandung badan. Saya pasti para perwakilan sedar dengan masalah yang sedang melanda parti. Sebagai pucuk pimpinan, kita pasti mendengar keluh kesah akar umbi yang berdepan penyokong pembangkang setiap hari, bertanyakan soal skandal 1MDB, ‘derma’ RM2.6 bilion selain masalah kepimpinan yang sedang melanda negara.

“Saya pasti rakan-rakan perwakilan turut berkongsi kebimbangan saya. Dalam sebuah negara yang bebas dan merdeka, tiada siapa yang boleh mendiamkan kebimbangan kita semua. Kita akan terus berbicara menyatakan yang hak. Perjuangan kita di dalam Umno bukan untuk mempertahankan mana-mana individu, tetapi untuk membela agama, bangsa dan negara yang tercinta.

“Saya yakin Datuk Seri presiden, ahli-ahli Majlis Tertinggi dan sidang perwakilan juga bersetuju sekiranya saya katakan parti keramat ini sedang dilanda masalah; dan masalah ini berpunca daripada seorang individu.”

Nah. Kalau dah begini tunggang terbalik keadaan Umno, apa kejadahnya parti pembangkang tak boleh sepakat dan kukuhkan gabungan mereka?

Gerakan menentang Najib wujud dan akan tewas



Oleh Anuar Mohd Nor


Buat apa sahaja, pemegang kuasa pasti akan berjaya. Buang dan pecat sesiapa yang tidak sehaluan, memecahkan rahsia dalam apa bentuk – korupsi, kes jenayah, kronisme, nepotisme, tindas rakyat dengan kos hidup yang melambung tetapi tetap sama, yang memegang kuasa tetap memegang kuasa dan usaha memperbetulkan pemegang kuasa akan terus terbantut selagi ia berpaut pada politik dalaman.

Ia seperti apa yang dikata, kebenaran itu terletak kepada mereka yang menang dalam perebutan kuasa. Dapat kuasa – segala-galanya betul dan benar.

Inilah hakikat dalam Umno dan sebarang gerakan menjatuhkan kuasa akan menjadi sulit kerana dalam organisasi keramat  Melayu ini, semua berpaksi kepada kuasa.

Kuasa pemerintahan dan wang menjadi penentu dalam apa bentuk  termasuk penilaian kebenaran dan keadilan. Definisi kebenaran dan keadilan akan tertakluk kepada kuasa dan paling utama adalah kuasa kewangan.

Maka dengan itu, tidak akan ada kesalahan dilakukan sekiranya ia dilihat daripada kanta wang.

Akhirnya, benarlah apa yang dikatakan perdana menteri Malaysia yang juga presiden Umno – wang adalah penentu dan segala-galanya berpaksi kepada wang.

Lantas akan kekal beliau sebagai perdana menteri selagi penglihatan – ukuran kebenaran dan keadilan dilihat dari sudut kewangan dan keperluan kewangan.

Tidak akan ada perubahan walau bertimpa-timpa isu menyelubungi Datuk Seri Najib Razak – daripada isu Altantuya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu wang masuk ke akaun peribadi dan segala macam kontradiksi dalam pemerintahannya.

Dalam Umno, ia akan tetap diterima sebagai sesuatu yang boleh diterima kerana ukuran pembelian sokongan adalah wang.

Hari ini, timbalan perdana menteri yang baharu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan ada gerakan mahu menumbangkan kerajaan, yang erti sebenarnya adalah mahu menumbangkan perdana menteri yang juga presiden Umno.

Ini benar, tidak ada rahsia lagi.


Gerakan kecil-kecilan wujud selepas pendedahan dan gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam siri jelajah beliau dalam usaha menolak perdana menteri.

Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal daripada Kabinet menyemarakkan lagi gerakan tetapi kedua-dua pemimpin yang dipecat itu tidak secara langsung mendesak Najib melepaskan jawatan.

Gerakan ini mula menampakkan perkembangan apabila beberapa ratus ketua cawangan bangkit mendesak Najib melepaskan jawatan.

Maka bertambah ghairahmereka yang mahu Najib berundur bangkit menyatakan hasrat melalui kenyataan media.

Namun sehingga kini, ia terbantut setakat itu sahaja. Perjuangan mereka terus dilihat sebagai percakaran dalam Umno – perebutan tempat dan jawatan, pergeseran politik dalaman dan ini tidak melibatkan rakyat terbanyak. Ini gerakan dalaman politik Umno.

Dan dalam pergeseran ini, ia masih terbantut dengan hasrat segelintir di bawah mahukan Najib melepaskan jawatan sedangkan timbalan presiden Umno masih lagi tidak berganjak dengan alasan – hanya mempersoalkan dan bukan mendesak Najib melepaskan jawatan.

Gerakan yang mahu Najib berundur wujud – dengan cebisan komen di sana sini melalui media alternatif, grup kecil dalam diskusi aplikasi telefon pintar, dengan kutukan dan kritikan pedas terhadap Najib serta kenyataan media, hanya ibarat berbisik dalam kelambu.

Itu semua adalah gerakan politik dalaman yang hanya memberi kesan seketika dan tidak menyeluruh. Gerakan itu akan pudar apabila kepimpinan yang cuba diangkat mereka khususnya Muhyiddin masih pasif dan hanya menyatakan kritikan dalam keselesaan.

Perjuangan itu tidak melimpah sebagai perjuangan rakyat dan hanya akan terikat sebagai satu perjuangan politik yang tidak akan dapat memberi impak besar.

Gerakan mahu menjatuhkan Najib akan terus bersuara dalam keadaan kecil selagi mereka tidak jumpa tunjang besar yang akan mengarahkan perjuangan mereka.

Bagi rakyat pula, ia adalah pergeseran politik dalaman Umno walau rakyat terasa dari banyak sudut kesan kepimpinan Najib dalam peningkatan kos hidup yang ada.

Rakyat masih melihat sama ada mahu terbabit dalam isu memperjuangkan hak rakyat iaitu mendesak Najib undur atas kelemahan pentadbiran tetapi dalam masa yang sama tidak mahu memberi loncatan kepada perjuangan dalaman Umno yang mahu Najib meletakkan jawatan.

Akhirnya keberuntungan masih tetap pada Najib. Kemelut dalam Umno dilihat akan lebih baik dibiarkan selesai Umno dahulu sebelum usaha membantah kerajaan Umno dalam memastikan mereka tumpas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Rakyat yang menyebelahi pembangkang percaya Muhyiddin bukan pejuang rakyat dalam membela nasib rakyat bila berdepan peningkatan kos hidup, rasuah yang menjadi keadaan ekonomi negara terancam dan keadaan penjelasan lain melibatkan kepincangan sistem perundangan dan kepolisan yang semuanya terselongkar daripada kemelut politik Umno.

Bagi pembangkang, itu soal Umno yang boleh membantu dalam menjatuhkannya pada PRU14.

Mereka tunggu dan lihat dalam masa rakyat terpaksa bergelut dengan masalah harian.

Dalam Umno pul, gerakan menjatuhkan Najib semakin hari semakin terasa. Perjuangan mereka terbantut kerana kepimpinan yang cuba diagungkan tidak menunjukkan sikap perjuangan yang mahu dilihat.

Muhyiddin tidak menyeluruh bangkit mengutarakan kepincangan yang berlaku dalam parti dan tindakan Najib dalam isu menerima wang derma dan khususnya masalah 1MDB.

Isu 1MDB seolah-olah dijadikan isu politik dan tidak melimpahkan masalah ini sebagai masalah rakyat.

Maka yang bangkit hanyalah perbalahan teknikal dalam korupsi, kronisme dan nepotisme dalaman Umno.

Akhirnya Umno akan tetap kekal sebegitu, apa yang ada hanya akan diikat sebagai gerakan politik dalaman. Hanya akan dikira sebagai perebutan yang tidak akan kekal sebagai perjuangan reformasi dalaman Umno, memperlihatkan pendedahan demi pendedahan tetapi tidak akan ada perubahan.

Mereka yang menerajui gerakan akan sedar kuasa wang dalam sirkulasi politik adalah penting dan gerakan akan pupus dalam keselesaan kepimpinan mereka.

Namun jawapan kepada Umno akan hanya kita lihat pada PRU14 nanti apabila apa yang terselongkar hari ini dijadikan modal kenapa rakyat perlu menolak Umno.

Selamatkan UMNO bukan tinggalkan parti

 
Bung Mokhtar menyelar Saifuddin Abdullah yang tidak mencari jalan menyelamatkan parti tetapi meninggalkan UMNO.

umno1


PETALING JAYA: Datuk Bung Mokhtar Radin menyelar Datuk Saifuddin Abdullah kerana menuduh UMNO kini sedang nazak dalam sejarah sejak penubuhan parti itu.

Katanya, jika UMNO nazak, pemimpinnya perlu mencari jalan keluar untuk menyelamatkannya bukan meninggalkan parti seperti yang dilakukan Saifuddin yang menyertai PKR.

“Apa yang penting kalau parti kita nampak sudah nazak kita harus mencari jalan keluar untuk memperkuatkan parti kita semula dan bukan dengan cara meninggalkan parti seperti yang dilakukan oleh saudara Saifuddin,” katanya kepada FMT.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kinabatangan itu menafikan tuduhan Saifuddin itu bahawa UMNO sedang nazak di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, UMNO tidak nazak tetapi hanya perlu menukar strategi bagi menangkis segala tuduhan yang datang dari setiap penjuru.

“UMNO tidak nazak lagi cuma ketika ini UMNO diserang dari segenap penjuru luar dan dalam, sebab itu UMNO perlu menukar strategi dan cara mengendalikan isu.

“Saya yakin UMNO masih sebuah parti yang relevan lagi dan masih disegani serta diperlukan lagi oleh orang Melayu dan Bumiputera yang làin,” katanya.

Bung Mokhtar berkata, tidak ada parti politik di negara ini yang tidak mempunyai krisis cuma bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan untuk menyelesaikannya.

“UMNO sebagai sebuah parti yang telah lama memerintah di dunia ini. Sudah tentu ada banyak kelemahan nya. Dan inilah masanya UMNO harus bangkit memperbaiki kekurangan dan mengenepikan kelemahannya,” katanya.