HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Februari 2009

Pesara TLDM menyamar 'Datuk' dijel

Oleh WAZIHA WAHID


KUALA LUMPUR - Seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam setelah disabitkan bersalah menyamar 'Datuk' untuk menipu pengarah syarikat pembalakan, lima tahun lalu.

Hakim Rozana Ali Yusoff mengarahkan Ismail Che Abdullah, 62, menjalani hukuman tersebut mulai semalam. Bagaimanapun, jika tertuduh gagal membayar denda, Ismail bakal dihukum penjara 10 bulan.

Rozana menjatuhkan hukuman berkenaan setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu di akhir pembelaan.

Ismail didakwa memperdaya Rosmawati Mat Jusoh, 43, yang juga Pengarah Syarikat Regal Blue supaya mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan kerja untuk pengeluaran balak dari Kompartmen 151, hutan simpan balak di Kompleks Perkayuan Kelantan, Sungai Balak.

Tertuduh turut memberikan surat tawaran kontrak pengeluaran balak dari kompleks berkenaan kepada Syarikat Regal Blue (M) sedangkan diketahui dokumen itu adalah palsu.

Tindakan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM28,830 kepada tertuduh. Kesalahan itu dilakukan di No. 22-2, Jalan S/23E, Taman Danau Kota, Batu 4 1/2 Sentul di sini antara November 2003 dan Mac 2004.

Pelajar di Mukah siar aksi buli di YouTube

BERNAMA


KUCHING: Sekumpulan pelajar Sekolah Menengah di Mukah bertindak berani apabila merakam dan memasukkan aksi buli mereka ke atas seorang pelajar lain ke dalam YouTube.

Perbuatan itu mendapat liputan meluas media tempatan hari ini.

Di dalam klip video selama 3.05 minit itu, mangsa yang dikatakan pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama di Dalat, dilihat disepak, diterajang dan dipukul termasuk menggunakan cerek air oleh sekumpulan pelajar lain yang masih berpakaian seragam sekolah, di dalam sebuah bilik asrama.

Walaupun mangsa kelihatan cuba merayu tidak diapa-apakan, beliau terus dibelasah tanpa belas kasihan.

Satu laporan menyebut keluarga mangsa yang berasal dari Kampung Penat, Oya, sudah membuat laporan polis Isnin lalu di Balai Polis Dalat.

Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak, Dr Julaihi Bujang berkata kes itu turut dimaklumkan kepadanya oleh Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mohmad Salleh.

"Ia teruk dan serius. Kita akan membuat siasatan dan tindakan tegas akan diambil. Saya sudah diberi kebenaran untuk bertindak tegas," kata Julaihi.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Dalat turut terkejut dengan kejadian itu dan mahu laporan lengkap mengenainya.

"Saya akan mendapat maklumat lebih lanjut daripada sekolah berkenaan," katanya.

Dua tahun lalu, masyarakat di Sarawak turut gempar dengan berita kematian seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Teknik Bintulu, yang dipercayai dibuli oleh sekumpulan 18 pelajar sekolah terbabit di sebuah blok asrama. - Bernama

Anak Muda Kena Guna ‘Bahasa Undi’ – Pak Samad

Wan Kay


Dungun – Rakyat disaran menggunakan ‘bahasa undi’ untuk mengajar pimpinan Melayu yang bakal ‘membunuh’ bahasa ibundanya (Melayu) sendiri demi menyelamat bangsa dan bahasa dari kepupusan.

Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said, 76, berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan Isu Pengajaran Pembelajaran Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) di perkarangan Surau Tuan Guru Zainal Abidin, Sura Gate, Dungun, kelmarin.

Katanya, pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya boleh diajar dengan kuasa undi dalam pilihan raya.

“Saya menyarankan jika kita (rakyat) sayangkan bahasa kita. Jika mahu bahasa (Melayu) kita dilanjutkan dan dilestarikan. Gunakanlah undi anda (kita), gunakan undi anda.

“Sebab, pemimpin-pemimpin jenis ini hanya tahu ‘bahasa undi’ (pilihan raya). Dia (pemimpin Umno) tidak tahu bahasa Melayu,” tegasnya.

Menurutnya, Umno-BN memperkecilkan golongan muda yang bakal menentukan masa depan negara ini.

Oleh itu, kata beliau golongan muda wajar menggunakan kuasa mengundi (pilihan raya) bagi menentukan pemimpin dan masa depan negara ini.

“Dia (Umno) selalu memperkecilkan ‘angkatan’ (generasi) muda. Angkatan tua biasanya sudah bersikap jika dia Umno tetap akan Umno, jika syahdunya PAS dia akan tetap dengan PAS.

“Kuasa imbangan yang terbesar sekarang adalah ditangan anak-anak muda dan janganlah lupa menggunakan kuasa (pilihan raya) itu untuk menentukan masa depan bangsa dan bahasa,” ujarnya.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Samad’ mendakwa pemimpin Negara ini telah melakukan satu ‘jenayah’ kerana melanggar Akta Pendidikan dan Perlembagaan.

Katanya, kemajuan yang mahu dinikmati oleh rakyat dan negara ini bukan dengan cara ‘membunuh’ bahasa dan bangsa sendiri.

“Kenapakah pemimpin (Umno-BN) kita telah melakukan satu jenayah dengan melanggar Akta Pendidikan dan melanggar Perlembagaan yang mensucikan bahasanya.

“Sekarang tahun 2009, perlanggaran itu berterusan. Apakah orang seperti saya yang membantah PPSMI kerana tidak mahu kemajuan.

“Saya telah berusia 76 tahun dan saya telah menulis sepanjang lebih 50 tahun dan menghasilkan 65 buah buku khazanah untuk bangsa saya.

Katanya, permasalahan isu PPSMI berlarutan sejak enam tahun lalu kerana negara ditadbir oleh pemimpin yang hanya berfikir lima tahun ke hadapan dan bukan 50 tahun ke hadapan.

“Kita (Melayu) sudah kepupusan huruf (jawi) dan kita sudah hilang Utusan Melayu oleh kerana kepupusan huruf.

“Kita (Melayu) hilang kitab-kitab jawi dan tidak lama lagi dalam lima dekad kita akan hilang bahasa kita (Melayu) sendiri,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Ustaz Wan hassan Ramli dan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Gerakan Memansuhkan PPSMI, Suhaizan Kaiat.

Radio24 makin panas dengan slot 'Kerusi Panas' mulai Mac

KLPOS.COM


BERNAMA Radio24 akan melancarkan program baru mulai Mac 2009. Program yang dinamakan “Kerusi Panas” itu akan menampilkan personaliti pelbagai bidang sebagai tetamu termasuk politik, perniagaan, kemasyarakatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), seni dan sukan.

Ketua Pegawai Operasi stesen radio berita itu, Sheikh Raffie Abd Rahman berkata, setiap hari personaliti tertentu akan diletakkan di “Kerusi Panas” dan diajukan soalan-soalan yang relevan dan telus. “Kerusi Panas” akan ke udara pada slot 2:15 petang dan 6:30 petang Isnin hingga Jumaat.

Dalam pada itu, pendengar juga dijemput untuk memberikan cadangan soalan atau tetamu untuk diletakkan di “Kerusi Panas.” Cadangan soalan atau tetamu boleh dihantar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) ke BERNAMA Radio24. Pendengar hanya perlu menaip R24KERPAN[cadangan soalan atau tetamu] di telefon bimbit mereka dan hantarkan kepada 32728.

“Objektif program ini ialah untuk memberikan ruang dan kesempatan kepada personaliti tertentu untuk menjawab soalan-soalan yang sering dilontarkan oleh masyarakat,” tambah Sheikh Raffie.

Selain itu pendengar akan mendengar sendiri jawapan kepada soalan yang menjadi perbincangan hangat di kalangan masyarakat.

"BERNAMA Radio24 sering mencari kelainan dalam penstrukturan programnya," kata Sheikh Raffie. "Dalam hal ini, kami sentiasa memastikan kepuasan pendengar menjadi keutamaan, dan dalam senario politik dan ekonomi masakini, BERNAMA Radio24 berharap dapat memainkan peranan sebagai satu platform untuk menghuraikan isu sebenar sesuatu persoalan."

Menurut Sheikh Raffie lagi, ide “Kerusi Panas” timbul setelah beberapa personaliti sering berhadapan dengan isu kontroversi yang kadangkala tidak dapat ditepis kerana kekurangan ruang pada media lain yang berkonsepkan format tertentu.

Program “Kerusi Panas” akan diterajui hos berkaliber dan berpengalaman, antara lain ialah Datuk Seri Azman Ujang, Penasihat Media BERNAMA.

Kitar Semula Plastik Dan Orang Politik

A Kadir Jasin


KITAR semula tidak begitu berleluasa di Malaysia. Kempen-kempen menggalakkan masyarakat mengamalkan kitar semula kurang mendapat sambutan.

Banyak pusat kitar semula terbengkalai dan dipenuhi sampah sarap. Sifat pengotor dan tidak disiplin rakyat Malaysia menyebabkan botol dan beg plastik serta tin aluminium bersepah di merata tempat.

Majoriti rakyat Malaysia Muslim. Islam mengajar umatnya bersih, berdisiplin dan beradab. Tetapi kedai dan gerai makan milik orang Islam jarang mengutamakan kebersihan.

Di Terengganu, saya terbaca papan tanda berbunyi “kebersihan sebahagian daripada iman”. Tetapi tandas di banyak masjid dan surau kotor sehingga kita tidak tergamak menggunakannya.

Kitar semula bahan-bahan buangan baik untuk alam sekitar dan boleh membantu menjaga kebersihan di samping memberikan pendapatan tambahan. Jadi kita perlu meneruskan kempen kesedaran alam sekitar, kebersihan dan kitar semula ini.

Tetapi kitar semula yang tidak digalakkan kerana boleh memudaratkan adalah kitar semula orang politik atau orang pentadbiran awam.

Kalau diperlukan pun, biarlah kitar semula setakat untuk menjadi penasihat, ahli nujum, pawang buaya dan penghalau hantu raya sahaja. Jadi Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri tak payahlah.

Ketika saya membesar di pinggir Sungai Pendang pada tahun 1950-an, buaya masih banyak. Justeru itu, pawang buaya atau sesiapa saja yang memperkenalkan diri sebagai pawang buaya pasti dihormati.

Satu kepercayaan orang kampung mengenai buaya ialah jangan sekali-kali membasuh kelambu dalam sungai. Kononnya buaya cukup marah kelambu dibasuh di dalam sungainya. Agaknya bau manusia pada kelambu mudah dikesan oleh buaya.

Berbalik kepada kitar semula, jenis kitar semula yang kita tidak mahu adalah kitar semula untuk menjadi peneraju parti politik atau Menteri Kabinet, Menteri Besar, Ketua Menteri dan jawatan-jawatan seumpamanya.

Ada orang kata ramai calon Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan bulan depan adalah calon kitar semula. Kalau kitar semula emas atau tembaga tak apalah. Tapi kalau setakat plastik dan botol buruk tu tak payahlah kot.

Saya ada seorang member teh tarik di Raju yang bergiat dalam industri kitar semula. Dia budak muda Melayu berkelulusan kejuruteraan. Katanya dia lebih banyak kitar semula tembaga dan logam-logam yang bernilai tinggi.

Baru-baru ini dia rugi besar. Harga besi buruh merudum daripada RM1,800 setan kepada RM800 dan tembaga daripada RM27 sekilogram kepada RM11.50. Sekarang dia buat eksperimen bela ayam turki di Bukit Gantang, Perak.

Saya tidak berani hendak kata calon kitar semula Umno itu daripada jenis plastik, kaca, aluminium, besi waja, tembaga atau emas. Papan litar komputer (printed circuit board) kalau dilebur boleh menghasilkan emas.

Kita semua tahu antara calon MT Umno tu ada bekas Menteri, bekas Ketua Menteri dan Menteri Besar, bekas Menteri Besar yang dikitar semula menjadi Menteri, Menteri Besar yang hilang negeri dan banyak jenis mantan lagi.

Rasa-rasanyalah banyak yang sudah tidak boleh digilap dan digunakan semula. Pakailah banyak mana Brasso pun tidak bersih dan berkilat lagi. Orang kampung kata dah lebam. Sudah sampai masa dilebur atau dimasukkan ke dalam loji pelupusan sebagai bahan bakar.

Dalam itu pun, elok juga kita berhati-hati bila membuang barang-barang lama. Sekarang barang-barang lama yang tergolong dalam kategori antik sangat berharga.

Di rumah ayah dan emak saya ada sebuah katil besi pusaka yang sudah berusia hampir 100 tahun. Bila digilap dengan Brasso masih berkilat. Tapi kalau digunakan dengan lasak, ia berbunyi sana sini. Maklumlah katil lama. Nak kurangkan bunyi, jangan tidur lasak atau selalu masukkan pada celah-celah penyambungnya minyak pelicin Singer. Brasso untuk mengilat logam

Saya rasa setelah melihat apa yang terjadi kepada Umno dan Kerajaan Barisan Nasional selepas persaraan Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003, parti-parti seperti Pas dan DAP tidak akan tergesa-gesa membersarakan veteran mereka macam Nik Abdul Aziz Nik Mat (78 tahun), Lim Kit Siang (68) dan Karpal Singh (67).

Orang tua kita kena hormat. Jadi saya tidak setujulah orang tua cacat macam Karpal dikasari apatah lagi di Parlimen.

Maaf cakaplah orang kita, khasnya yang muda-muda tu, nampaknya tidaklah matang seperti yang didakwa.

Harap-haraplah Parlimen kita tidak jadi macam Parlimen Taiwan di mana mereka nampaknya lebih kerap bertinju dan berkuntau daripada berdebat secara waras dan bijaksana.

Akhir kalam, sokonglah kempen kitar semula bahan-bahan buangan, terutamanya plastik. Plastik amat buruk kepada alam sekitar. Saya harap dalam masa terdekat ini kita boleh mengurangkan atau menjimatkan penggunaan plastik.

PNSB Mesti Menyerahkan Keuntungan Yang Tidak Diisytiharkan Kepada LHDN

KENYATAAN AKHBAR


Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated) hari ini mengarahkan Permodalan Negeri Selangor (PNSB) supaya menyerahkan senarai lengkap faedah dan kemudahan yang diberikan kepada kalangan pekerjanya pada tahun-tahun lepas kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Arahan tersebut dikeluarkan berikutan penemuan bahawa PNSB tidak mengisi borang-borang EA bagi mengisyhtiharkan keuntungan beberapa tahun lalu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim, yang juga pengerusi MBI dan PNSB, berkata langkah tersebut dilakukan bagi memastikan anak syarikat Kerajaan Negeri tidak mengingkari undang-undang supaya membayar cukai pendapatan.

Selama beberapa tahun PNSB ada memberikan faedah dan keuntungan kepada para pekerjanya – termasuk Pengerusinya, ahli-ahli Lembaga Pengarah – dalam bentuk barangan atau wang tunai, atau dua bentuk pemberian tersebut. Antaranya, kereta dan pemandu, di samping percutian di dalam dan luar negara. Faedah melancong diberikan kepada semua kakitangan manakala kereta berpemandu diberikan hanya kepada Ketua Eksekutif dan Pengarah, kalangan pengurus kanan dan kalangan pengurus.

Sekumpulan penasihat lantikan MBI kini sedang melakukan penilaian terhadap prestasi PNSB. Dalam proses tersebut, didapati pengerusi sebelum ini Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo pernah diberikan kereta Toyota Harrier pada tahun 2005 dan disediakan seorang pemandu pada tahun 2006. Beliau menggunakan kesemua faedah sehingga bersara selaku pengerusi PNSB pada Mac 2008. Walau bagaimanapun, tiada kemudahan ini yang dinyatakan dalam borang EA yang diserahkan oleh PNSB sebelum ini. Juga didapati kemudahan petrol dan penyenggaraan kereta Harrier semuanya ditanggung oleh PNSB.

Dato’ Menteri Besar menyedari tentang keprihatinan kalangan pekerja PNSB sendiri terhadap implikasi kewangan akibat pengurusan PNSB tidak mengisyhtiharkan pendapatan dalam borang EA. Beliau mendesak agar kakitangan PNSB bersabar kerana mereka kini perlu menunggu tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menaikkan tambahan cukai bagi individu yang berkaitan.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

Tindakan Biadap Pemuda UMNO Mengecewakan!

ANWAR IBRAHIM


Semalam saya menerima undangan makan tengah hari bersama Pesuruhjaya Tinggi Australia di kediaman beliau. Saya kembali ke Parlimen dan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid di Pejabat Ketua Pembangkang.

Sejurus kemudian saya diminta segera turun ke Dewan kerana saudara Karpal Singh mengemukakan bantahan atas tekanan dan ugutan oleh pimpinan Pemuda UMNO Selangor. Saya terkejut dengan gelagat sebahagian ahli parlimen UMNO-BN yang memandang enteng serangan tersebut malah melalak menafikan ruang untuk saudara Karpal dan rakan lainnya berhujah.

Dalam keriuhan tersebut saya bangun dan diberikan ruang oleh Speaker. Saya tidak menuding kepada ahli parlimen UMNO. Namun mereka harus waras dan matang mengecam kebiadapan menodai kemurnian kawasan Parlimen. Kita berhak berbeda pendapat secara sopan tetapi tidak pantas bertindak kasar dan ganas.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin memberikan jamninan bertindak. Maka kami keluar untuk memberikan kenyataan bersama kepada media. Dan selanjutnya ke pejabat Speaker menggesa beliau bertindak segera secara tegas.

Maka berakhirlah satu lagi babak keji dalam sejarah Parlimen - bersambung dari drama pembunuhan, ugutan, penculikan, rasuah dan akhirnya hingga ke kawasan Parlimen.

Sikap Umno menyamai 'Dajjal'?

Tjareif


Apabila disebut nama Dajjal, semua umat Islam dapat membayangkan bentuk, perangai dan perjuangan makhluk ini seperti yang diterangkan oleh ustaz-ustaz dalam kuliah-kuliah yang berasaskan sumber Quran dan hadis Nabi.

Tujuan Dajjal muncul sebelum kiamat ialah tidak lain hanya untuk menyesatkan manusia supaya mengikut nya untuk kufur kepada Allah dan mati sesat. Manusia ketika keadaanya amat cemas dan susah, maka datanglah Dajjal dan kuncu-kuncunya menawarkan berbagai-bagai tawaran samada berbentuk kemewahan atau apa saja asalkan manusia ketika itu setuju mengikut dan menyokongnya. Mana-mana yang tidak setuju akan disiksa dan dibunuh terus.

Dizaman Nabi juga ada unsur-unsur seperti Dajjal ini dimana Nabi sendiri dan pengikutnya ditawarkan dengan harta, pangkat dan kuasa dengan syarat meninggalkan perjuangan Islam yang diperintahkan oleh Allah, mana-mana yang ingkar akan disiksa malahan dibunuh.

Kini walaupun Dajjal sebenar belum wujud tetapi jelmaan perangai dan perjuangan ala Dajjal telah muncul, matlamatnya sama untuk mengajak manusia yang tidak punya iman dan aqidah yang mantap untuk bersama menyokong mereka semata-mata untuk mengekalkan kuasa, pamgkat dan harta.

Sesiapa yang ingkar atau melawan akan ditindas, dimalukan, difitnah hatta dipenjarakan dengan direkacipta dengan ebrbagai tuduhan palsu. Mana-mana yang setuju ikut, akan selamat dan hidup senang.

Contoh lain yang boleh diambil untuk menyamakan puak ini dengan Dajjal ialah, dalam kaedah Islam boleh bercampur antara yang hak dan yang bathil, tidak boleh bercampur kerja haram dan halal dalam masa yang sama dan tidak boleh berlaku dosa dan pahala dalam waktu yang sama. Umpamanya tidak ada dalam Islam penganutnya disuruh membina masjid dan dalam masa yang sama membina kilang arak dan tempat judi.

Jadi mana munasabahnya yang Umno ini perjuangannya selari dengan Islam dan diterima oleh Islam? Ini golongan sesat lagi syirik sebenarnya.

Mereka sibuk dengan agenda melayu, agenda bangsa tetapi mereka lupa bangsa tidak ada nilainya disisi Islam sekiranya perjuangan mereka jelas lari dari Islam. Khalifah atau raja-raja dahulu tidak peduli akan bangsa mereka tetapi mereka mengutamakan Islam dari segala-galanya.

Mereka tak kaut harta rakyat, tak libat diri dengan projek atau kawasan balak tetapi sekarang apa saja yang mereka nak semua dapat. Nak arak, nak perempuan, nak apa saja semua dapat. Yang merana, yang merempat, yang kelaparan adalah rakyat bawahan yang tidak di pedulikan atau dipandang jijik.

Ini bukan pemerintah yang digarispandukan oleh Islam. Ini pengkhianat agama dan penderhaka pada Allah dan Rasul sebenarnya. Sikit-sikit derhaka, sikit-sikit derhaka. Derhaka apa? Ajaran sapa? Yang mereka jelas derhaka dan melawan Allah dan Rasul tidak pula ditonjolkan.

Apa hak kamu nak paksa rakyat ikut dan taat serta patuh kepada kamu yang saban waktu dan masa bergelumang dengan maksiat dan kemungkaran pada Allah dan Rasul. Pedulikan dan jangan layan semua itu. Asalkan apa yang kita buat tidak bercanggah dengan ajaran Nabi, teruskan.

Mereka ini bukan penyelamat kita diakhirat kelak malahan mereka inilah bakal membawa kita ke neraka sekiranya kita tunduk dan mengikut telunjuk dan akur dengan perjuangan mereka.

Yang akan menyelamatkan kita ialah Allah, Nabi kita serta amalan soleh kita. Oleh itu berpeganglah dengan ajaran Nabi dan perintah Allah dan jangan ikut ajaran puak sesat yang jelas mengikut skrip Dajjal ini. Perjuangan berasaskan Quran dan Hadis saja yang benar dan diperakui oleh Allah dan Rasul kelak. _

Bukti salah guna MB Selangor, SPRM pertahan kenyataan

BERNAMA


MIRI: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap berpegang dengan kenyataan yang dikeluarkan barubaru ini bahawa terdapat bukti kukuh berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, beliau tidak akan gentar dengan sebarang tindakan undang-undang yang bakal diambil pembangkang.

"Kami perlu berpegang teguh dengan apa yang kami lakukan. (Sebagai kakitangan awam) Kami melakukan perkara yang betul.

"Tapi saya (juga) mengalu-alukan sebarang komen negatif atau (dakwaan) salah laku.

"Kita mesti berkerjasama untuk menentang rasuah," katanya kepada pemberita selepas program latihan menembak antara SPRM dan Agensi Pencegahan Rasuah Brunei (BMR) di lapang sasar Pasukan Gerakan Am (PGA) di Km 29 Jalan MiriBintulu di sini hari ini.

Minggu lepas, Ahmad Said dilapor membuat kenyataan SPRM mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa Khalid dalam kes penyenggaraan sebuah kereta mewah jenis Lexus milik peribadi dan pembelian 46 ekor lembu korban untuk kawasan Parlimen Khalid iaitu Bandar Tun Razak.

Kenyataan yang dibuat di Pulau Pinang itu mencetuskan rasa tidak puas hati beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk pengerusi DAP Karpal Singh, yang mempersoalkan motif Ahmad Said mengumumkan hasil siasatan itu.

Sementara itu, Ahmad Said memberi jaminan SPRM bersedia untuk memantau tiga pilihan raya kecil yang bakal diadakan iaitu kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak, Dewan Udangan Negeri (DUN) Bukit Selambau (Kedah) dan DUN Batang Ai (Sarawak).

Mengenai latihan bersama antara SPRM dan BMR, beliau berkata ia adalah sebahagian daripada kerjasama berterusan antara dua badan itu untuk meningkatkan keupayaan kakitangan mereka dalam mengendalikan senjata api.

Penyokong tahanan ISA himpun di IPD, MP Kapar antara 17 ditahan

Anwar kecewa wakil rakyat PKR ditahan polis

MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Polis terpaksa bertindak "tegas" menyuraikan sekumpulan individu, yang berhimpun di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini pagi tadi untuk membuat laporan secara beramai-ramai berhubung layanan tidak adil kepada salah seorang tahanan ISA, P. Uthayakumar.

Kumpulan tersebut enggan bersurai walaupun diarahkan oleh polis beberapa kali.

Kira-kira 200 orang itu terdiri daripada beberapa Ahli Parlimen.

Pihak polis membenarkan kira-kira 50 orang yang terdiri daripada lima anggota keluarga Uthayakumar dan 45 wakil iaitu lima orang bagi setiap negeri termasuk ahli-ahli Parlimen memasuki IPD untuk membuat laporan masing-masing.

Bagaimanapun mereka yang menunggu di luar IPD pula diminta meninggalkan pekarangan premis tersebut.

Ramai yang mematuhi arahan tersebut tetapi kira-kira 30 orang enggan berbuat demikian.

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga mula melepaskan air ke arah kumpulan tersebut.

Pada awalnya mereka meninggalkan kawasan itu tetapi kembali semula, menyebabkan FRU terpaksa meneruskan tindakan mereka.

Kumpulan itu berhimpun semula buat kali ketiga lalu berhadapan dengan tindakan FRU, tetapi akhirnya meninggalkan kawasan IPD.

Menurut Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, polis menahan 17 orang termasuk Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Sehubungan itu, polis menetapkan ruang lingkup kawasan larangan demi keselamatan.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata, rancangan 500 individu untuk membuat laporan secara beramai-ramai di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini dianggap sebagai perhimpunan haram dan menasihatkan orang ramai agar tidak menyertainya.

Kata beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan dan melibatkan diri di dalam perhimpunan tanpa permit yang jelas boleh menggugat ketenteraman awam, tegas beliau.

Sekumpulan 500 individu yang merupakan penyokong tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) P.Uthayakumar merancang untuk membuat laporan polis beramai-ramai di IPD Brickfields esok kerana mendakwa pihak berkuasa mengabaikan kesihatan Uthayakumar yang berada dalam tahanan.

Beliau berkata tindakan membuat laporan polis beramai-ramai dilihat sebagai satu cara untuk mempersendakan tugas pihak polis kerana menurutnya walaupun hanya satu sahaja laporan dibuat, ia tetap akan disiasat seadil-adilnya.

Katanya, polis tidak pernah menghalang mana-mana individu untuk membuat laporan polis tetapi bukan secara beramai-ramai.

Polis akan mempertimbangkan untuk membenarkan mereka membuat laporan polis dengan minimum tiga orang.

Dalam pada itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa kesal dengan tindakan polis menahan Ahli Parlimen Kapar.

"Beliau hanya datang untuk membuat laporan kerana merasakan berlaku ketidakadilan kepada rakan di Kamunting dan ditahan kerana menyebabkan kesesakan di kawasan itu (Brickfields).

"Mereka (polis) boleh jaga lalu lintas... pada hal sebelum ini, saya pernah melihat perhimpunan Umno di Pulau Pinang, polis menjaga kesesakan lalu lintas dan tiada yang ditahan," katanya.

Surat layang: MB Kedah mahu Pemuda Umno lebih profesional

BERNAMA


ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Pergerakan Pemuda Umno perlu lebih profesional dalam berhadapan dengan isu surat layang yang mendakwa berlaku penghinaan terhadap Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Beliau berkata, perkara tersebut amat mendukacitakan kerana tuduhan yang dianggap tidak berasas itu dibuat semata-mata berdasarkan isi kandungan surat layang yang tidak diketahui dari mana dan siapa pengirimnya.

"Mungkin dia (Pemuda) yang buat surat itu sendiri dan lagipun ramai pihak dah terima surat layang, tapi saya tak faham kenapa yang di Kedah nih yang depa (mereka) heboh sangat," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Dialog Industri dan Seminar Pembangunan Industri Halal Nasional, peringkat negeri di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Mesyuarat Kerajaan negeri Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira pukul 9 malam tadi berhubung isu berkenaan.

Amiruddin yang bertindak sebagai wakil kerajaan negeri berkata, tindakan itu diambil supaya siasatan dilakukan terhadap kenyataan Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat yang mendakwa menerima surat layang mengandungi dialog antara seorang Exco dan pegawai kanan kerajaan menghina Sultan yang telah dipos ke rumahya 23 Februari lalu.

Umno-BN tadbir negara dengan hasil judi

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - PAS khuatir tindakan yang dilakukan oleh bakal Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak seolah menggambarkan Umno/BN mentadbir negara dengan hasil wang judi.

Ini berikutan, tindakan Najib yang meluluskan 10 'special draw' judi sebaik sahaja menerajui Kementerian Kewangan menampakkan 'tembelang' sebenar bakal Presiden Umno itu.

Demikian kata Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli semasa mengulas jawapan bertulis Kementerian Kewangan mengenai kelulusan 10 cabutan 'special draw' kepada Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook baru-baru ini.

"Jawapan bertulis yang diberi kepada Loke terdapat 10 kali 'special draw' (cabutan khas) yang dibuat selepas Najib menerajui Kementerian Kewangan.

"Dengan cabutan itu kerajaan mendapat hasil cukai itu sebanyak RM77,026,171.04. dan dalam jawapan kementerian itu bahawa cabutan bertujuan untuk dana pendidikan, kesihatan dan sebagainya, "dakwa Hatta.

PAS khuatir tindakan ini sekali lagi menggambarkan bahawa Umno/BN mentadbir negara dengan hasil wang judi, katanya.

Malah paling dikesali, dalam keadaan ketiadaan wang kerajaan Umno/BN begitu mudah menggunakan industri judi untuk mendapatkan sumber kewangan, ujarnya.

"Ini juga menunjukkan kerajaan sebenarnya menggalakkan orang ramai berjudi, sedangkan judi akan mengundang kepada masalah sosial dan sebagainya," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Paling membimbangkan, dalam keadaan ekonomi gawat, tabiat judi ini digalakkan dengan kelulusan 'special draw' akan hanya memusnahkan lagi ekonomi dan kantung rakyat, kata Hatta.

Sementara itu, Loke mendedahkan Kementerian Kewangan telah meluluskan 10 cabutan 'special draw' (cabutan khas) pada tahun 2008.

Katanya jumlah kutipan cukai yang diperolehi daripada cabutan khas tersebut adalah sebanyak RM77,026,171.04.

Kerajaan membenarkan cabutan khas diadakan berdasarkan kepada keperluan semasa yang bertujuan untuk membiayai pelbagai program dan projek pembangunan yang berbentuk sukan, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kemasyarakatan, dedahnya.- azm/mks. _

Hishammuddin: Pemuda Umno provokasi Karpal sebab terlalu marah

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan anggota Pemuda Umno yang menemui dan menuntut Pengerusi DAP, Karpal Singh memohon maaf kerana menggunakan perkataan "celaka" terhadap mereka di Parlimen baru-baru ini adalah akibat kemarahan yang tidak dapat dibendung.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kemarahan mereka adalah akibat provokasi berulang kali oleh Karpal yang menghina Pemuda dengan memberi gelaran seperti "celaka", "gangster" dan "mafia" di samping tidak menghormati institusi raja-raja.

"Apa yg berlaku (pergaduhan di bangunan Parlimen) semalam (kelmarin) membuktikan (apa yang boleh berlaku) bila emosi kemarahan tak dapat dibendung dan dalam keadaan seperti itu lebih mudah untuk membakar semangat supaya semuanya huru-hara, daripada membendung keadaan," katanya.

Malah kelmarin Pemuda Umno memberi tempoh 24 jam untuk Karpal mengemukakan bukti yang mendakwa Pemuda Umno bertanggungjawab atas kiriman peluru terhadapnya baru-baru ini.

Terdahulu beliau mendengar titah bertajuk "Belia Untuk Keamanan Dunia", yang disampaikan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pada Persidangan Belia Antarabangsa mengenai Keganasan di sini.

Kelmarin, pekarangan bangunan Parlimen kecoh apabila sekumpulan Pemuda Umno berhimpun untuk menuntut anggota Parlimen Bukit Gelugor itu memohon maaf kerana menggunakan perkataan "celaka" terhadap mereka pada satu perbahasan persidangan Dewan Rakyat.

Keadaan bertambah kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen masuk campur, membawa kepada insiden tolak menolak sesama mereka.

Dipetik Bernama, Hishammuddin berkata, beliau sudah menghubungi Pemuda Umno yang terlibat dan mereka akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Keistimewaan Parlimen.

"Saluran tertentu sedia ada dan saya ikut sistem dalam hal ini.

"Pemuda yang terlibat sudah saya hubungi dan mereka akan bertanggungjawab di atas tindakan mereka itu," katanya dan menambah, beliau sendiri sanggup bersama-sama mereka jika perlu, walaupun sekiranya perkara itu terpaksa dibawa ke mahkamah.

Apabila ditanya sama ada Pemuda Umno akan meminta maaf di atas kejadian itu, Hishammuddin berkata, isu itu tidak timbul langsung.

Sementara itu, Umno Selangor dan Pulau Pinang semalam mempertahankan tindakan Pemuda Umno yang mendesak Karpal supaya memohon maaf.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, Pemuda Umno berhak membantah terhadap provokasi Karpal yang menunjukkan perangai biadab terhadap orang Melayu.

Dalam satu kenyataan, Muhammad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, Karpal sewajarnya lebih faham adab dan adat resam penduduk berbilang kaum di Malaysia.

Di Pulau Pinang, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah berkata, Karpal perlu memohon maaf kerana menuduh Pemuda Umno bertanggungjawab terhadap dua butir peluru yang dihantar ke rumah Pengerusi DAP itu.

"Keceluparan Karpal sudah melampaui batas dengan menggunakan istilah yang cukup jijik terhadap Pemuda Umno yang jelas menggambarkan beliau sebagai orang yang tidak menghormati orang lain," katanya.

Di Alor Setar, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, menyifatkan Karpal sebagai pengecut dan tidak bertanggungjawab kerana gagal mengemukakan bukti dalam tempoh 24 jam seperti yang dituntut oleh Pemuda Umno untuk membuktikan bahawa pergerakan itu bertanggungjawab mengirim dua butir peluru bagi mengugutnya.

"Dakwaan Karpal Singh di Dewan Rakyat sebenarnya adalah satu rekaan serta fitnah," katanya sambil mengingatkan Karpal supaya menghentikan provokasi serta tuduhan liar kerana ia boleh menyebabkan seluruh 700,000 anggota pergerakan itu hilang sabar.

Tol ditangguh, tiada kaitan pilihan raya kecil - PM

BERNAMA


HUA HIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata keputusan kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya yang sepatutnya berkuatkuasa Ahad ini sehingga akhir tahun ini, tidak ada kena mengena dengan tiga pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Tidak, tidak," kata Perdana Menteri ketika ditanya sama ada ada keputusan yang dibuat kabinet semalam ada kena mengena dengan pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau yang akan diadakan serentak pada 7 April ini serta bagi kerusi DUN Batang Ai di Sarawak, yang tarikh belum ditetapkan.

Abdullah, yang bercakap kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak Asean ke-14 di sini, berkata kerajaan sedia menampung bebanan melebihi RM500 juta bagi membayar pampasan kepada pemegangpemegang konsesi semata-mata kerana memahami beban yang perlu ditanggung oleh rakyat dalam keadaan ekonomi yang muram sekarang.

Mengenai cadangan supaya kerajaan mengambil alih syarikat-syarikat konsesi lebuh raya, Perdana Menteri berkata ia perlu dikaji dengan teliti kerana kosnya amat tinggi sedangkan kerajaan juga perlu berbelanja untuk tujuan lain.

"Ini (pampasan) amat memberatkan kerajaan sebenarnya. Sama-samalah kita memahami...apabila kita menghadapi masalah, kita kenalah juga berkorban," katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed mengumumkan di Kuala Lumpur bahawa kabinet hari ini menangguhkan kenaikan kadar tol itu kerana keadaan ekonomi yang tidak baik sekarang dan bantahan daripada orang ramai.

Berikutan itu, kerajaan perlu membayar pampasan berjumlah RM195 juta kepada PLUS, RM36 juta kepada Sprint, RM27 juta kepada Akleh, RM9 juta kepada Besraya dan RM20 juta kepada NPE untuk tempoh masa 1 Jan hingga 31 Dis tahun ini, di samping RM245 juta yang telahpun dibayar kepada PLUS, Akleh dan Sprint sebelum ini.

Abdullah berkata beliau telah menghubungi Datuk Seri Najib Tun Razak semalam untuk meminta agar kabinet membincangkan semula perkara itu kerana kenaikan itu "tidak secocok dengan rancangan kerajaan untuk membantu rakyat melalui pakej rangsangan".

"Kita sekarang dalam waktu membantu rakyat dan kenaikan tol nampaknya menimbulkan tentangan yang kuat dan ramai orang tidak bersetuju.

"Ketika perbincangan Kabinet dua minggu lepas, satu cadangan (kenaikan) dibuat pada waktu situasi ekonomi kita tidak seberat yang kita hadapi hari ini...kalau ekonomi kita berat, adalah paling wajar cadangan kenaikan itu dibincang semula," katanya.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Kabinet semalam memutuskan kadar baru tol di lima lebuh raya yang sepatutnya bermula Ahad ini ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkannya.

Beliau berkata kadar baru tol itu tidak akan dilaksanakan dalam jangka masa terdekat atau sehingga akhir tahun ini seperti yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Mohd Zin pada sidang akhbar di kementeriannya semalam berkata kerajaan akan menangguhkan kadar baru di Lebuhraya UtaraSelatan (PLUS), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat AmpangKuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) sehingga akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata penangguhan kenaikan kadar tol itu akan menyebabkan kerajaan terpaksa membayar RM500,000 juta, yang terdiri daripada wang pembayar cukai kepada syarikat konsensi kelima-lima lebuh raya itu.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai perkara itu pada sidang akhbar mengenai ekonomi negara di Kementerian Kewangan di sini.

Istilah Allah: Majlis gereja bantah KDN kenakan syarat baru

MALAYSIA KINI


Majlis Gereja Malaysia (CCM) membantah syarat tambahan yang dikenakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewaktu membenarkan penggunaan Allah dalam sebarang penerbitan agama tersebut.

"Syarat ini tidak adil dan satu bentuk larangan yang tidak perlu dalam pengamalan agama Kristian di negara ini," kata setiausaha agung majlis tersebut, Dr Hermen Shastri hari ini.

"Memperkenalkan syarat-syarat itu sebagai prasyarat untuk menggunakan perkataan-perkataan tersebut (seperti Allah, Kaabah, Baitullah dan solat) masih satu bentuk penghadan terhadap kebebasan beragama seperti tlah dijamin pada Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Keadaan ini tidak boleh diterima."

Beliau mengulas langkah terbaru kementerian itu yang mengenakan syarat label "Untuk Penganut Kristian Sahaja" di semua penerbitan yang menggunakan nama Allah.

Label tersebut - bersaiz 16 jenis fon Arial berhuruf tebal - hendaklah dipaparkan di muka depan penerbitan Kristian seperti arahan KDN menurut Seksyen 22(1)(c) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Arahan yang dikeluarkan 21 Januari lalu itu berkuatkuasa mulai 16 Februari, kata Dr Hermen lagi.

KDN sejak penghujung 2007 mengharamkan penggunaan istilah Allah dalam mingguan Katolik, The Herald sehingga memaksa penerbitan itu menyeret kontroversi tersebut ke mahkamah.

Kes saman akhbar tersebut terhadap kerajaan akan disebut hari ini.

Dalam kenyataannya hari ini, CCM juga mempertikaikan tindakan KDN yang hanya melarang penganut Kristian, walhal penganut agama Sikh juga turut menggunakan perkataan Allah dalam kitab-kitab sucinya.

Dr Hermen juga menyatakan rasa kesal apabila kerajaan tidak mengajak majlis itu mengadakan perbincangan sebelum memperkenalkan arahan terbaru itu.

CCM bagaimanapun berterimakasih kepada KDN kerana telah membenarkan perkataan Allah digunapakai untuk penerbitan selain Islam.

Kembali kepada hukum Allah untuk kesejahteraan ummah

LanH


Berdasarkan senario antarabangsa yang membabitkan umat Islam, kita dukacita saudara seagama terus ditindas penguasa zalim. Di Myanmar (Burma), ribuan umat Islam Rohingya diusir dari tanah air mereka (Arakan) dan terpaksa membawa diri ke negara jiran yang tidak kurang menekan mereka.

Diberitakan ribuan pelarian Rohingya terpaksa menempuh gelombang lautan, sejumlah mereka terdampar di pantai Aceh baru-baru ini. Mereka berada dalam keadaan sangat daif tetapi sungguh malang masyarakat antarabangsa termasuk pertubuhan dan dunia Islam memandang sepi permasalahan mereka. Ratusan ribu lagi melarikan diri ke Thailand, Bangladesh dan ke negara kita, tetapi nasib mereka bagaikan lari daripada mulut harimau masuk ke mulut buaya.

Orang Rohingya bukanlah satu-satunya kumpulan minoriti Islam yang menerima nasib sedemikian rupa. Orang Kashmir, orang Melayu Thailand, orang Moro di selatan Filipina, penduduk Xinjiang (China), Muslim India dan orang Chechen (di Rusia) menghadapi tekanan paling hebat; sebahagiannya disebabkan mereka beriltizam mengekalkan cara hidup Muslim.

Berdasarkan perkembangan semasa, umat Islam sewajarnya tidak lagi menaruh harapan sepenuhnya kepada pertubuhan sejagat antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat untuk menyelesaikan permasalahan mereka. Banyak contoh menunjukkan bahawa pertubuhan dan kuasa dunia tidak memandang sebelah mata kepada permasalahan ummah sebaliknya segera bertindak dalam isu membabitkan orang bukan Islam.

Ambil contoh nasib orang Moro dan Timor Timur. Konflik di Moro sudah berlarutan berdekad-dekad, pertubuhan antarabangsa tidak mengambil peduli akan nasib orang Islam di sana tetapi dalam konflik Timor Timur yang kebanyakan penduduknya beragama Kristian, PBB dengan segera mengusahakan gencatan senjata, seterusnya referendum yang membawa kemerdekaan wilayah itu yang kini dikenali sebagai Timor Leste daripada Indonesia.

Kemudian dalam perubahan tampuk kekuasaan Presiden Amerika kepada seorang tokoh kulit hitam yang digelar warga dunia, Barack Obama mulai 20 Januari lalu; dunia Islam bukan disantuni sebaliknya dikenakan tekanan lebih hebat. Amerika di bawah Obama telah melancarkan beberapa siri serangan udara di sempadan Pakistan-Afghanistan menyebabkan sejumlah orang awam terbunuh manakala laporan terbaru menyebut Washington akan menghantar 17,000 askar tambahan ke Afghanistan.

Demikianlah betapa pergantungan kepada kuasa kufar dan pertubuhan antarabangsa yang dikuasai mereka tidak membantu kesejahteraan ummah. Umat Islam perlu keluar daripada kepompong pergantungan ini tetapi persoalannya bagaimana? Apakah mereka boleh menyandarkan harapan kepada saudara seIslam mereka dari negara-negara Islam dan juga organisasi yang memayunginya iaitu Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)?

Jawapannya tetap kabur kerana negara umat Islam malah OIC berterusan membisu dalam hal-hal membabitkan penganiayaan terhadap umat Islam sejagat. Sebagai contoh ketika konflik Bosnia, Chechen, Kashmir, Iraq, Afghanistan dan terkini di Palestin dan Myanmar di manakah OIC dan pemimpin negara umat Islam? Ertinya pemimpin dan umat Islam bernafsu-nafsi dalam tindak-tanduk mereka, semuanya berpunca daripada ketidaksediaan mereka mengikut peraturan hidup termasuk hukum-hakam yang sudah termaktub dalam al-Quran dan hadis Rasul yang membawa rahmat kepada sekalian alam, apatah lagi ummah.

Negara umat Islam hari ini adalah jelmaan pecah dan perintah kuasa Barat. Sedangkan Islam mengajarkan umat Islam adalah bersaudara, mereka tidak dapat dipisahkan oleh sempadan. Mereka ibarat satu tubuh; jika sakit satu anggota maka sakitlah seluruh badan. Semua panduan untuk berjaya di dunia dan akhirat terkandung dalam al-Quran, malangnya umat keberatan mengikutinya. Oleh kerana itu mereka berpecah-belah; dan selagi tidak kembali kepada al-Quran selagi itu mereka dihina bukan saja oleh kuasa besar dunia tetapi juga rejim pariah seperti Yangon dan Tel Aviv.

* Artikel lain penulis boleh diakses di Lanh14.blogspot.com _

Arah Pemuda PAS hadir 'Himpunan Bantah PPSMI' 7 Mac ini

Salmiyah Harun


KUALA LUMPUR - Ketua Dewan Pemuda PAS Salahuddin Ayub mengarahkan pemuda-pemuda seluruh negara untuk sama-sama menyertai perhimpunan aman membantah PPSMI pada 7 Mac, Sabtu nanti.

Katanya, ahli yang mengaku mereka adalah pemuda PAS haruslah memastikan kehadiran mereka sebagai komitmen terhadap perjuangan mengembalikan serta memartabatkan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir akibat dasar PPSMI.

"Kita juga akan memastikan pemuda-pemuda PAS negeri dan kawasan supaya hadir dan menyertai perhimpunan membantah PPSMI itu nanti," katanya semasa dihubungi.

Malah, katanya, antara usaha Pemuda PAS menyokong himpunan 100,000 yang dianjurkan oleh Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) iaitu mengadakan 'road show' seluruh negara sebagai penerangan jelas kepada rakyat bawaha dasar itu tidak boleh diteruskan.

Salahuddin juga memberi jaminan, kekecohan tidak mungkin akan berlaku jika tidak ada provokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Saya jamin perhimpunan itu akan diadakan secara aman dan mereka yang datang tidak akan buat kacau melainkan ada pihak yang sengaja melakukan provokasi," katanya.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato' Dr Hassan Ahmad yang dianggotai kumpulan NGO, sayap-sayap Pemuda PAS dan KeADILan akan menyerahkan memorandum bantahan PPSMI kepada Agong.- azm _

Insiden rampasan Harakah, Suara KeADILan memalukan demokrasi - Nasharudin

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menyifatkan insiden yang berlaku kepada Harakah dan Suara Keadilan amat memalukan dalam proses demokrasi media dalam negara.

Dalam perbahasan Titah Ucapan Yang DiPertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini, Ustaz Nasharuddin menyatakan, akhbar-akhbar ini yang cuba menjawab tohmahan jahat akhirnya dirampas.

"Saya merasa ataupun melahirkan kesedihan sekiranya terdapat pihak media yang dipergunakan oleh ahli-ahli politik untuk membunuh karektor ahli politik yang lain seperti dituduh derhaka, ejen Israel dan sebagainya meskipun perkara tersebut belum terbukti kesahihannya," katanya.

Lebih teruk lagi apabila media yang melaporkan berita-berita untuk menjelaskan tuduhan-tuduhan pula dirampas dan disekat, katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Bachok.

Justeru itu Ustaz Nasharudin menjelaskan etika dalam melaporkan, menerbitkan dan melontarkan idea mestilah dilakukan dengan rasa penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Ia selaras dengan titah Yang Dipertuan Agong telah menekankan mengenai kecenderungan sesetengah pihak yang mudah mempercayai fitnah dan berita-berita palsu yang berlegar di ruang maya, kata Ustaz Nasharudin.

Peranan media yang hakiki mestilah menerbitkan kenyataan-kenyataan yang jujur, adil, benar, fakta dan tanpa menimbulkan persepsi yang negatif, tegasnya.

Media juga disarankan agar tidak melaporan isu kontroversi hanya semata-mata untuk mengejar populariti dan keuntungan, katanya.

Komunikasi politik telah banyak mengkaji mengenai pengaruh media masa di dalam kehidupan politik seperti mana yang ditulis oleh Joseph T. Klapper dalam bukunya, 'The Effects of Mass Communication' pada tahun 1990 di mana media memiliki kemampuan untuk mempengaruhi 'opinion' masa dan perilaku masyarakat, katanya. - azm _

Siasat Speaker Perak buktikan SPRM tidak faham perlembagaan

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR- Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Speaker Perak, V.Sivakumar membayangkan badan itu tidak memahami asas perlembagaan negara dan negeri.

"Tindakan itu jelas menunjukkan bahawa SPRM tidak memahami asas perlembagan negara dan negerai yang mana Speaker Dun Negeri dan Parlimen itu adalah di luar daripada tugas dan bidang kuasa pihak seperti SPRM untuk campur tangan," kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar.

Malah katanya lebih hina lagi apabila SPRM membuat siasatan dan memanggil Speaker untuk disiasat yang mana itu satu kesalahan dari segi perbezaan dan kewibawaan atau kedudukan tinggi Parlimen atau Dun, katanya.

Perkara ini katanya adalah soal keluruhan yang tidak boleh dipersoalankan dan menjadi bahan, katanya.

"Lainlah jika speaker ada tuduhan bunuh, rogol, rasuah dan sebagainya, tetapi jika Speaker buat keputusan dengan kedudukan rasmi selaku Speaker, saya tak nampak macam mana SPRM boleh buat siasatan," katanya.

Mengulas kononnya SPRM bebas kerana keanggotannya pelbagai termasuk dari kalangan pembangkang, Kamarudin menafikan ianya benar-benar bebas.

"Keanggotaan yang dipertonton kononnya bebas, tetapi sebaliknya setakat ini tak nampak kesan yang sepatutnya atau boleh diharapkan daripada pengujudan dan perlantikan jawatankuasa yang kononnya bebas kerana libatkan tokoh pembangkang," kata Ahli Parlimen Tumpat itu.

Seharusnya SPRM dihormati kerana adanya jawatankuasa penasihat tetapi setakat ini SPRM berlagak bebas daripada jawatankuasa namun hanya tertakluk kepada pimpinan Umno/BN sahaja, dakwanya.

Sementara itu mengulas isu yang sama, Speaker Dun Perak pula melahirkan rasa kecewa dengan tindakan SPRM yang menyiasatnya, walaupun segala tindakannya sebagai Speaker Dewan dibuat secara sah.

"Saya amat kecewa dengan tindakan SPRM ini. Saya rasa tindakan mereka ini adalah satu penghinaan kepada institusi Dun dan sememangnya saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku," katanya.

Sivakumar menegaskan, beliau cuma menjalankan tugas mengikut peraturan sedia ada, dan menurutnya "tetapi nampaknya saya pula yang disoal siasat".

Begitupun, Sivakumar yakin telah memberi kerjasama penuh dengan memberi keterangan kepada dua pegawai SPRM.

Baginya siasatan itu menjejaskan prinsip demokrasi dalam negara dan mengancam doktrin pengasingan kuasa antara tiga badan kerajaan, iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Jumaat lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dato' Seri Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata Suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa V. Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan Dun berkuatkuasa serta merta.- azm _

Menteri Kewangan tak tahu adakah Malaysia boleh elak kemelesetan

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop "benar-benar tak tahu" adakah Malaysia boleh mengelak kemelesetan ekonomi dunia sekarang.

Apabila ditanya sama ada Malaysia boleh mengelak kemelesetan, Bernama memetik beliau berkata: "Saya benar-benar tak tahu kerana terdapat terlalu banyak keadaan tidak menentu sekarang. Enam bulan lalu, kita tidak menjangka dunia akan berada dalam situasi berlarutan seperti sekarang dan kita tidak tahu daripada sekarang, bagaimana keadaan dunia di masa depan".

Menurut beliau, terdapat keadaan tidak menentu yang ketara yang kita harus akui dari segi senario luar terutamanya dari segi sedalam mana, sejauh mana dan selama mana kegawatan ekonomi antarabangsa akan berlaku.

November lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan yakin bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal tahun ini.

Sebelum itu, beliau berkata Malaysia tidak berada di dalam keadaan krisis kewangan dan tidak sepatutnya diperkatakan berada di dalam keadaan sedemikian.

Bagaimanapun, kenyataan Najib itu bertentangan dengan laporan Jabatan Perangkaan yang menunjukkan Malaysia tidak dilindungi dalam suku keempat tahun lalu kerana pertumbuhan ekonomi yang perlahan di semua pasaran utama.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang hanya 0.1 peratus sahaja pada suku keempat 2008 daripada 4.7 peratus pada suku ketiga, yang jelas mencerminkan kesan limpahan keadaan ekonomi global yang kian buruk.

Pengurangan aktiviti pelaburan mendorong kepada pertumbuhan negatif pembentukan modal tetap kasar (-10.2 peratus; suku3: 3.1 peratus) di dalam suku keempat.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan ekonomi yang perlahan dijangka mengekang tekanan bekalan dan permintaan ketara di dalam peningkatan harga domestik.

Trend itu disahkan oleh perangkaan bagi bulan Januari 2009 di mana inflasi berada pada paras 3.9 peratus, kata BNM._

Umno Selangor, P.Pinang sokong tindakan Pemuda

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Selangor dan Pulau Pinang hari ini mempertahankan tindakan Pemuda Umno yang mendesak pengerusi DAP Karpal Singh supaya memohon maaf kerana menggunakan perkataan "celaka" terhadap pergerakan itu dan membuat tuduhan melulu tehadap Pemuda Umno.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata Pemuda Umno berhak membantah terhadap provokasi Karpal yang menunjukkan perangai biadab terhadap orang Melayu.

Dalam satu kenyataan, Muhammad yang juga Ketua Penerangan Umno, berkata Karpal sewajarnya lebih faham adab dan adat resam penduduk berbilang kaum di Malaysia.

Di Pulau Pinang, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah berkata Karpal perlu memohon maaf kerana menuduh Pemuda Umno bertanggungjawab terhadap dua butir peluru yang dihantar ke rumah Pengerusi DAP itu.

"Keceluparan Karpal sudah melampaui batas dengan menggunakan istilah yang cukup jijik terhadap Pemuda Umno yang jelas menggambarkan beliau sebagai orang yang tidak menghormati orang lain," katanya.

Di Alor Setar, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, menyifatkan Karpal sebagai pengecut dan tidak bertanggungjawab kerana gagal mengemukakan bukti dalam tempoh 24 jam seperti yang dituntut oleh Pemuda Umno untuk membuktikan bahawa pergerakan itu bertanggungjawab mengirim dua butir peluru bagi mengugutnya.

"Dakwaan Karpal Singh di Dewan Rakyat sebenarnya adalah satu rekaan serta fitnah," katanya sambil mengingatkan Karpal supaya menghentikan provokasi serta tuduhan liar kerana ia boleh menyebabkan seluruh 700,000 anggota pergerakan itu hilang sabar. BERNAMA

Polis siasat dalang sebar surat layang

UTUSAN ONLINE


ALOR SETAR – Polis masih menyiasat dalang penyebaran surat layang membabitkan seorang Exco kerajaan negeri ini yang dikatakan menghina Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, siasatan juga dilakukan untuk mengenal pasti sama ada Exco itu telah mengucapkan dialog terbabit.

Beliau berkata, sehingga semalam terdapat kira-kira enam laporan polis mengenai kes surat layang tersebut dibuat di seluruh negeri Kedah.

“Setakat ini pihak polis sudah mengambil keterangan daripada mereka yang telah membuat laporan mengenai surat layang tersebut.

“Siasatan terperinci bagi mengesan dalang menyebarkan surat dan sama ada benar Exco itu mengucapkan dialog yang dikatakan menghina Sultan Kedah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penyebaran surat layang membabitkan seorang Exco di negeri ini yang dikatakan telah mengeluarkan kenyataan menghina institusi kesultanan Kedah.

Selain itu, Exco berkenaan juga dikatakan tidak berpuas hati dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sehingga mengucapkan kata-kata ‘MB mengikut telunjuk tiga ekor’ iaitu merujuk kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Surat layang tersebut yang tidak mempunyai nama, tanda tangan serta alamat pengirim diterima di dalam peti pos di rumah Setiausaha Pemuda UMNO Kedah, Haris Che Mat, Isnin lalu

Jumaat, 27 Februari 2009

Pemuda Umno tidak akan minta maaf...

MALAYSIA KINI


Pemuda Umno tidak akan meminta maaf ekoran tindakan sekumpulan anggota pergerakan itu yang didakwa mengepung pengerusi DAP, Karpal Singh di Parlimen semalam.

Ketuanya, Datuk Hishammuddin Hussein berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin DAP, Lim Kit Siang yang menuntut pergerakan itu memohon maaf.

"Tidak timbul isu minta maaf. Provokasi ini bukan kali pertama, dengan menuduhkan kita celaka, tuduh kita terlibat (menghantar) peluru (kepada Karpal) dan isu-isu membabit Raja-raja Melayu dan kedaulatannya.

"Kalau diheret ke mahkamah pun saya sanggup lakukan untuk memperjelaskan apa yang berlaku," katanya selepas menghadiri persidangan antarabangsa pemuda mengenai keganasan di ibunegara hari ini.

Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah menyampaikan titah diraja sempena persidangan tersebut petang ini.

Ditanya mengenai kejadian semalam, Hishammuddin yang juga menteri pelajaran berkata: "Saya tidak arah dan tidak tahu (kejadian semalam)... jadi tidak timbul isu minta maaf."

Sebaliknya ditanya sama ada pihaknya akan menuntut Karpal minta maaf kerana memanggil Pemuda Umno 'celaka', Hisham berkata: "Kalau minta pun, kita tahu dia tidak akan lakukan."

Ditanya sama ada kekecohan di Parlimen semalam akan menjejaskan imej Umno berkata, ia hanya membabitkan segelintir sahaja anggota Pemuda Umno.

"...tak sampai 15 hingga 20 orang, takkanlah tindakan segelintir itu akan menjejaskan imej kesemua Pemuda Umno dan Pemuda BN."

Hishammuddin juga mendakwa tindakan Karpal memanggil 'celaka' kepada Pemuda Umno sebagai satu provokasi.

Kabinet tunda kenaikan tol di lima lebuhraya

MALAYSIA KINI
(kemaskini 4:48pm)


Kabinet hari ini menunda keputusan menaikkan kadar tol di lima lebuh raya seperti diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed semalam.

Dalam sidang medianya sebentar tadi, Mohd Zin berkata berikutan itu, kenyataannya semalam mengenai kenaikan kadar tol tersebut, dibatalkan.

Katanya, kenaikan kadar tol itu ditangguhkan sehingga akhir tahun ini, ekoran reaksi negatif orang ramai serta keadaan ekonomi sekarang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengumumkan perkara yang sama dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kementerian Kewangan di Putrajaya jam 5.30 petang ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta keputusan menaikkan kadar tol itu dikaji semula kerana sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk membuat keputusan.

Semalam kalangan wakil-wakil rakyat kerajaan mempertikaikan tindakan mendadak kementerian tersebut.

Semalam, Mohd Zin Mohamed mengumumkan kenaikan kadar tol - antara 0.68 sen/km hingga 50 sen - bagi Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Kadar kenaikan tol terbabit adalah seperti berikut:

- Lebuhraya Utara-Selatan (Plus): Kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus dinaikkan 0.68 sen sekilometer bagi kereta. Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.

- Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint). Plaza tol Pantai: naik 50 sen dari RM1.50 kepada RM2 (naik 33) dan Plaza tol Damansara: naik 30 sen dari RM1 kepada RM1.30 (naik 30%).

- Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12): Kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kereta - dari RM1.50 hingga RM2 (naik 33%).

- Kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya): Kadar tol dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kereta - dari RM1.30 kepada RM1.40 (naik 7.7%). Bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines kerana Tol Salak Selatan Jaya telah ditutup mulai semalam.

- Lebuhraya Baru Pantai (NPE): Kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kereta - dari RM1.60 kepada RM2 (naik 25%).

Dalam kenyataannya, Mohd Zin menyifatkan kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil.

Desak gugur kes 3 pelajar UUM kena tindakan disiplin

Jimadie Shah Othman


Tinggal lagi 48 jam, golongan mahasiswa diseru merayu kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) supaya menggugurkan kes tiga pelajarnya yang didakwa bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) selepas membantah kenaikan tambang bas kampus.

"Kami harap mahasiswa dan orang ramai dapat menandatangani rayuan segera sebagai tekanan kepada universiti supaya menggugurkan tuduhan terhadap mereka (tiga mahasiswa yang didakwa).

"Kami juga meminta mereka turun beramai-ramai ke UUM pada tarikh perbicaraan (Isnin depan) untuk memberikan sokongan kepada mereka," kata penyelaras kampus Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malasia (Dema), Lau Wai Seng.

Tiga mahasiswa UUM – Choo Kok Wei, Medecci Lineil Repong dan Tengku Mohd Hasrul Tengku Malek – dipanggil untuk tindakan tatatertib di Bangunan Canselori.

Tengku Mohd Hasrul, yang pernah mengetuai jawatankuasa bantahan tersebut, menghadapi tuduhan berbeza iaitu mengkritik pegawai tinggi UUM melalui satu tulisan di blog peribadinya.

Selain Dema, wakil-wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) dan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) yang hadir dalam sidang media di Kuala Lumpur turut menyokong gesaan tersebut.

Menjelaskan kempennya itu, Lau berkata, Dema telah memulakannya sejak kelmarin dengan mengedarkan contoh surat rayuan ke seluruh universiti di Malaysia.

Surat rayuan tersebut dialamatkan kepada Naib Canselor UUM, Tan Sri Nordin Kardi dengan salinan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Ia mendesak UUM menggugurkan pertuduhan terhadap tiga mahasiswa berkenaan serta menggesa kontrak perkhidmatan bas antara UUM dan syarikat pengendali Unic Symbol Sdn Bhd (UNIC) didedahkan kepada umum.

Pengerusi Dema, Ng Yong Jin berkata, setakat ini, seramai 230 mahasiswa di UUM telah menghantar surat gesaan tersebut.

Sementara itu, mengulas kenyataan Mohamed Khalid semalam yang dilaporkan tidak akan campur tangan dalam kes itu, Lau menyifatkan menteri berkenaan sebagai "tidak bertanggungjawab" dan mengeluarkan kenyataan yang "tidak wajar".

Menurutnya, kaedah tatatertib yang digunakan oleh UUM mendapat kuasa oleh AUKU. Oleh itu, tambahnya, jika menteri memainkan peranan meminda akta tersebut, masalah tidak akan timbul.

Choo, Medecci dan Tengku Mohd Hasrul antara 10 pelajar yang terlibat dalam jawatankuasa khas memantau harga tambang bas di kampus di Sintok itu.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bulan lalu selepas mahasiswa membuat bantahan melalui petisyen dalam talian berhubung kenaikan tambang bas di universiti berkenaan daripada RM0.40 sen untuk satu destinasi kepada RM0.55.

Tujuh lagi mahasiswa yang menganggotai jawatankuasa itu setakat ini tidak dikenakan apa-apa tindakan.

‘Saya pinjam pentas PAS’ - Dato’ A.Samad Said

Wan Kay


Terengganu - Dato’ A Samad Said rasa sangat dukacita dan bimbang tentang masa depan bahasa ibunda yang disifatkan semakin ‘kuncup’ , ‘nazak’ dan bakal ‘terkubur’ sekiranya kerajaan Barisan Nasional tetap berdegil.

Sasterawan Negara itu berkata, beliau tidak ada wadah lain untuk mempertahankan bahasa Melayu, melainkan pentas PAS, yang masih mempunyai ruang dalam perjuangan ini.

“Memang Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (GMPPSMI) ini anjuran PAS dan memang saya akui itu.

“Tetapi harus diingat bahawa saya meminjam pentas untuk menyatakan sikap saya. Tidak ada pentas lain,” jelasnya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, dekat sini, hari ini.

Menurut ‘Pak Samad’, seramai 65 orang profesor dahulu telah menyatakan sikap dan telah menyatakan pandangannya tetapi tidak diterima oleh kerajaan.

Katanya, beberapa anjuran bagi bersemuka secara jujur dan ‘waras’ (baik) juga tidak diterima oleh pihak berkuasa.

Bahkan, kata beliau fikiran serta pandangan daripada budayawan juga tidak diambil-kira oleh pihak kementerian.

“Jadi apa lorongan yang tinggal dan kebetulan PAS memberikan pentasnya dan saya meminjam pentas itu.

“Kalau Parti KeADILan Rakyat (PKR) memberikan pentasnya saya akan pinjam juga dan kalau Umno memberikan pentasnya juga saya akan gunakan itu semata-mata kerana saya tidak mahu bahasa saya itu dikuncupkan, dinazakkan dan dikuburkan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut menafikan telah ‘dibeli’ oleh pihak parti pembangkang dalam usahanya memperjuangkan bahasa Melayu dalam isu PPSMI tersebut.

“Saya tidak ‘dibeli’ tetapi saya berjuang kerana bangsa saya. Dari satu negeri ke satu negeri yang kami pergi dan kami memperjelaskan ini adalah ‘gerakan sopan’ dan bukan ‘gerakan garang’.

“Ini juga adalah gerakan hati nurani yang rata-ratanya mempercayai bahawa lidah bangsa (bahasa) itu harus dijaga bukan ‘ditetak’(bunuh),” ujarnya.

Katanya, jika kelantangan bersuara kerana berjuang dan mempertahankan bahasa ibunda (Melayu) itu dianggap tidak menguntungkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan gelaran Sasterawan Negara mahu ditarik-balik.

“Saya bersedia dan apa juga gelaran (Sasterawan Negara) itu sebenarnya untuk sementara dan tidak menjadi masalah kepada saya jika, kerajaan mahu menarik-balik gelaran Sasterawan Negara.

“Dan yang paling penting ialah perjuangan saya sebagai seorang Sasterawan untuk melestarikan bahasa saya, bahasa ibunda (Melayu) saya,” ujarnya dalam siri ‘roadshow’ GMPPSMI ke negeri Terengganu.

Katanya, Kementerian terbabit telah melanggar Undang-undang dan Akta serta tidak sah disisi Perlembagaan Negara.

Hadir sama pada majlis siding media itu Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Gerakan Memansuhkan PPSMI, Suhaizan Kaiat, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik dan Pengarah Institut Kajian Polisi (IKP), Mohamad Draman.

Rancangan pengurusan air di negeri Selangor cuba digugat

Muhammad Arif Ismail


SHAH ALAM - Rancangan penstrukturan semula pengurusan air di negeri Selangor dengan mengambil alih aset dan ekuiti daripada syarikat konsesi air di negeri ini digugat angkara tindakan kerajaan persekutuan yang sengaja menganggu usaha pengambilan semula pengurusan air.

Perkara ini didedahkan oleh seorang ahli panel penilai air, Fahda Nur berkata, Kerajaan persekutuan sudah sedia maklum bahawa kerajaan negeri telah mengeluarkan satu tawaran untuk mengambil alih pengurusan air di Selangor," katanya.

Namun katanya, pada 18 Febuari lalu kerajaan persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat satu pengumuman bahawa mereka akan mengadakan rundingan terus kepada empat syarikat konsesi ini.

"Kalau ada dua tawaran yang berbeza, satu tawaran yang sudah dijanjikan dan ada orang datang pun nak berunding, sudah tentu tawaran itu tidak akan diterima dan tawaran negeri Selangor itu akan ditolak oleh kerajaan Persekutuan.

"Mereka kononnya memberi alasan kenapa tidak mahu meneruskan rundingan mengenai isu ini adalah harga yang ditawarkan oleh kerajaan negeri Selangor adalah rendah.

"Mereka hanya mahu menolak tawaran yang dibuat kerajaan negeri," beliau berkata demikian selepas ditemui dalam taklimat media, penstrukturan semula pengurusan air di Selangor yang diadakan di Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, baru-baru ini.

Padahal menurutnya, pada 16 Februari 2008, kabinet telah mengeluarkan arahan dan keputusan bahawa usaha penstrukturan semual industri air di Selangor perlu dilakukan oleh kerajaan negeri dan selaras dengan keputusan kabinet, maka kerajaan negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah memulakan usaha ini.

"Dari awal mereka kata akan memberi kerjasama kepada kerajaan negeri kerana pengambilalih pengurusan air ini akan menurunkan harga air yang bakal memberi faedah kepada seluruh penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Ini merupakan satu matlamat yang adil kepada semua rakyat. Pada masa itu mereka bersetuju, tetapi baru-baru ini pendirian kerajaan persekutuan mengenai isu ini sudah berubah," katanya.

Sementara itu mengikut, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua pula berkata matlamat kerajaan negeri Selangor adalah membekalkan harga air yang murah seterusnya mempertingkatkan persaingan syarikat kerana kos air menjadi murah dan mengekalkan dasar air percuma 20 meter padu air.

"Kenaikan harga air sepatutnya sudah berlaku pada bulan Januari 2009 setelah satu perjanjian antara Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Shaziman Abu Mansor dengan Syabas.

"Namun, kenaikan ini ditunda kepada 31 Mac ini kerana membolehkan proses penstrukturan semula industri air di Selangor. Menurut perjanjian ini penigkatan harga air akan terus meningkat setiap sehingga 2035," katanya.

Dalam perjanjian tersebut katanya, lebih banyak tarif dijangka berlaku. Kenaikan 37 peratus pada tahun 2009, 25 peratus pada 2012, 20 peratus pada 2015, 10 peratus pada 2019 dan lima peratus pada 2021 hingga 2030.

"Syarikat konsesi ini juga dibelenggu dengan jumlah hutang yang sangat besar dengan jumlah RM 6.4 bilion. Dengan jumlah hutang bersih Puncak Niaga, RM1.3 bilion; Syabas, RM 2.9 bilion; Splash, RM 1.6 bilion dan Abass, RM 640 juta," tegasnya.

Menurut beliau lagi, Syabas merupakan syarikat yang mendapat lesen monopoli pengagihan air oleh kerajaan persekutuan dengan prestasi yang buruk iaitu mutu air yang tidak memuaskan, kelewatan penyelesaian masalah air, denda penyambungan semula paip air sebanyak RM 50 lebih rendah ketika sebelum diswastakan iaitu RM 10.

"Serta elaun pengerusi antara yang tertinggi di Malaysia iaitu RM 1.5 juta pada tahun 2007," tegas beliau.

Beliau juga mendesak supaya peranan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Shaziman Abu Mansor yang mempunyai kuasa terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 supaya mempertahankan hak rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebelum ini, Syabas juga pernah membuat penyelewengan dalam perjanjian konsesi seperti tiada tender terbuka, skandal paip luar negeri iaitu pembelian paip dari syarikat Indonesia yang berjumlah RM600 juta dan dari syarikat milik pengerusi Tan Sri Rozali Ismail yang merupakan pengerusi Syabas dan Puncak Niaga.

Selain itu, terdapat percanggahan nilai kontrak sebanyak RM325 juta semasa pengauditan dan pengubahsuaian sehingga mencecah RM51.2 juta sedangkan kerajaan hanya mempersetujui untuk memperuntukkan RM 23.2 juta. - azm_

BN halang Nizar guna kemudahan, beri penerangan seluruh Perak

Johari Jaafar


IPOH - Rejim 'haram' BN yang menggulingkan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak kini menunjukkan 'taringnya' apabila Menteri Besar Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin tidak dibenarkan menggunakan dewan serbaguna dan orang ramai dalam rangka kerjanya menerangkan isu sebenar kemelut politik di negeri ini kepada rakyat.

"Hari ini Dato' Seri dalam lawatannya ke seluruh Parlimen di negeri ini tidak dibenarkan premis kerajaan, dewan serbaguna, dewan orang ramai, padang dan program hanya dapat diadakan di premis sendiri saperti markaz." demikian pendedahan yang dibuat oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Misbahul Munir Masduki kepada Harakah hari ini.

Menurut beliau seawal perlantikan Nizar sebagai Menteri Besar, beliau mengumumkan semua premis milik kerajaan negeri dibenarkan digunakan oleh semua pertubuhan politik, Badan Bukan Kerajaan (NGO), belia dan sebagainya.

Mereka hanya perlu membuat tempahan sama ada melalui Majlis Daerah, Penghulu atau Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Malah dalam ucapan menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri bulan November yang lalu, sekali lagi Nizar mengulangi bahawa semua premis kerajaan terbuka untuk digunakan oleh parti politik, NGO atau apa sahaja pertubuhan tertakluk dengan peraturan yang dibuat oleh pihak yang bertangungjawab mengurus tadbir premis tersebut.

Umno turut mengambil kesempatan menggunakan premis tersebut tanpa sebarang halangan dan sekatan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.Tetapi baru sahaja berkuasa sebagai kerajaan BN yang tidak sah, Nizar sudah tidak dibenarkan pulla menggunakan premis kerajaan.

"Dewan Orang Ramai, Dewan Serbaguna, Stadium, Padang dan sebagainya kalau dulu sewaktu Pakatan Rakyat memerintah, Umno dibenarkan menggunakaan premis-premis tersebut, kali ini PAS tidak boleh menggunakannya.

"PAS terpaksa menggunakan premis sendiri bagi tujuan menjalankan program-program tersebut, sekarang rakyat dapat melihat siapakah yang zalim," kata Misbah. - azm _

'Dulu masa jadi menteri tak pernah bayar tol...tak pernah merasa.'

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - Demikian dinyatakan sendiri Ahli Parlimen Padang Besar Dato' Seri Azmi Khalid ketika diminta mengulas berhubung kenaikan tol mulai 1 Mac yang diumumkan Menteri Kerja Raya, Dato' Seri Mohd Zin Mohamed semalam.

Kenaikan kadar tol itu melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat, Lebuh Raya Bertingkat AmpangKuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Sungai Besi dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).

"Dulu semasa jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tingggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu. Kalau saya merasai, orang lain pun tentu merasai," katanya yang dipetik daripada akhbar online.

Azmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kirakira Wang Negara, berkata beliau faham bahawa terdapat perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi yang mengizinkan kenaikan tol dibuat.

"Dalam perjanjian memang ada kenaikan tol oleh pengusaha tol, memang susah kerajaan nak elak. Kalau boleh kerajaan kaji dengan teliti supaya perkara ini tidak membebankan rakyat, " katanya.

Ahli Parlimen Batu Pahat Dr. Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kenaikan kadar tol pada masa kini tidak wajar.

"Baru-baru ini sudah diberitahu bahawa kerajaan akan beri keutamaan kepada rakyat dalam apa saja keputusan bila ada syarikat konsesi meminta kenaikan tol, tapi saya terkejut bila dapat maklumat harga tol akan dinaikkan bermula Ahad ini," katanya.

Puad berkata kerajaan seharusnya menangguhkan dahulu kenaikan kadar tol ini sehingga mini bajet dibentangkan pada 10 Mac ini. - azm

Di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), kadar tol di plaza tol Pantai naik setinggi 33 peratus iaitu 50 sen dari RM1.50 kepada RM2 manakala di Plaza tol Damansara pula naik 30 sen dari RM1 kepada RM1.30 (naik 30%).

Kadar tol di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12) juga dinaikkan sehingga 33 peratus iaitu sebanyak 50 sen bagi kereta - dari RM1.50 hingga RM2.

Dalam satu kenyataan Mohamad Zin menyifatkan kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil.

Kenaikan kadar tol di lebuhraya-lebuhraya lain ialah:

Lebuhraya Utara-Selatan (Plus): Kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus dinaikkan 0.68 sen sekilometer bagi kereta. Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.

Kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya): Kadar tol dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kereta - dari RM1.30 kepada RM1.40 (naik 7.7%). Bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines kerana Tol Salak Selatan Jaya telah ditutup mulai semalam.

Lebuhraya Baru Pantai (NPE): Kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kereta - dari RM1.60 kepada RM2 (naik 25%). - azm _

Gaduh di Parlimen tragis, kawalan diperketat

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN
[DIKEMAS KINI]


KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh hari ini berkata, tahap keselamatan di Parlimen akan diperketatkan berikutan insiden pergaduhan semalam.

"Apa yang berlaku semalam adalah sesuatu yang tragis dan tidak patut berlaku di Parlimen tetapi disebabkan kebodohan kumpulan tertentu, sekatan terpaksa dikenakan terhadap sesiapa yang ingin memasuki kawasan Parlimen," katanya selepas menerima kunjungan hormat delegasi anggota Parlimen Eropah di Parlimen di sini.

Petang semalam, suasana di pintu masuk ke bangunan Parlimen kecoh apabila Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Latt Sharizan Abdul dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gombak, Megat Zulkarnain Amiruddin mengepung ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh sambil meminta Karpal mengakui ada menyebut perkataan "Pemuda Umno celaka" dan meminta maaf kepada mereka.

Bagaimanapun, keadaan menjadi bertambah kecoh apabila Ahli Parlimen Segambut, Lip Li Eng dan Bukit Bintang, Fong Kui Lun cuba mempertahankan Karpal.

Campur tangan mereka bagaimanapun menimbulkan pergaduhan antara kedua-dua pihak sehingga pihak polis terpaksa datang untuk mententeramkan keadaan.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Hamid berkata, beliau berasa sedih mengenai insiden itu dan menyifatkan kumpulan tersebut sebagai manusia yang tidak memahami penguatkuasaan undang-undang dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Bagaimanapun katanya, mereka yang ingin melawat Parlimen tidak akan dihalang berbuat demikian.

"Pelajar-pelajar sekolah masih boleh mengadakan lawatan ke sini.

"Kita cuma mengadakan sekatan terhadap mereka yang dikesan boleh mengganggu atau mengancam ketenteraman dan keselamatan Parlimen," katanya.

Ditanya sama ada mereka yang menimbulkan kekecohan semalam akan disenaraihitam daripada memasuki kawasan Parlimen, beliau berkata, langkah itu tidak perlu namun pihaknya perlu bergantung kepada maklumat dan risikan pihak keselamatan.

Katanya, insiden semalam bukan hanya memalukan Parlimen malah seluruh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, Dr Abdul Hamid berkata, bilangan anggota keselamatan di Parlimen tidak akan ditambah sebaliknya jumlah kemasukan mereka yang tidak berkenaan akan dihadkan.

Ditanya kemungkinan insiden semalam akan berulang dan menjadi lebih buruk selepas ini, Dr Abdul Hamid berkata, ia tidak akan berlaku sehingga melibatkan kecederaan fizikal seperti mana yang pernah terjadi negara lain.

"Saya suka apa yang saya baca dalam akhbar hari ini. Apa yang salah tetap salah. Kita tidak boleh mengamalkan politik yang bersifat kepartian," katanya.

Katanya lagi, Parlimen sepatutnya menjadi tempat yang bebas untuk membahaskan sebarang isu tanpa dihalang oleh mana-mana pihak.

Pemilih di Bukit Gantang, Bukit Selambau boleh semak maklumat pengundian

BERNAMA


PUTRAJAYA: Pengundi di dua kawasan pilihan raya kecil yang bakal diadakan serentak 7 April ini iaitu di kawasan Parlimen Bukit Gantang di Perak dan kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah, boleh mula menyemak maklumat pengundian mereka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ngah Senik berkata maklumat yang boleh disemak termasuk nama pusat mengundi dan nombor saluran mengundi.

Semakan boleh dibuat melalui tiga cara, iaitu melalui laman web SPR iaitu www.spr.gov.my, melalui SMS dan di Bilik Gerakan Pilihan Raya Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak dan di Kedah, katanya dalam sebuah kenyataan di sini hari ini.

Bagi perkhidmatan SMS, Ngah berkata perkhidmatan itu mula beroperasi mulai Rabu lalu sehingga 7 April nanti, dan caj sebanyak 35 sen dikenakan untuk setiap SMS yang dihantar.

Untuk menghantar SMS, pemilih berdaftar di bahagian-bahagian pilihan raya tersebut hanya perlu menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Bagi semakan dengan Bilik Gerakan Pilihan Raya Negeri, pemilih di Bukit Gantang boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak di talian 05-2547189 manakala pengundi di Bukit Selambau boleh menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri Kedah di talian 04-7001313 atau 04-7001303.

Semakan itu boleh dibuat setiap hari dari 1 Mac hingga 7 April ini.

Pada 13 Feb lepas, SPR menetapkan kedua-dua pilihan raya kecil diadakan serentak, iaitu penamaan calon masing-masing pada 29 Mac dan pengundian pada 7 April.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum, daripada PAS pada 9 April akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Bukit Selambau dikosongkan oleh V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan.

Kerajaan tetap syarat guna perkataan "Allah" dalam penerbitan Kristian

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Penerbitan bahan agama Kristian dilarang menggunakan perkataan "Allah" melainkan jika di kulit muka depan penerbitan itu ditulis dengan terang perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN".

Perkara itu terkandung dalam warta kerajaan P.U. (A) 62 bertarikh 16 Feb 2009 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penggunaan Perkataan Tertentu Pada Dokumen dan Penerbitan) 2009.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri Che Din Yusoh memberitahu dalam satu kenyataan hari ini bahawa perkara itu diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Perenggan 2.(1) warta itu menyebut: "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan apaapa dokumen dan penerbitan yang berhubung dengan agama Kristian yang mengandungi perkataan "Allah", "Kaabah", "Baitullah" dan "Solat" adalah dilarang melainkan jika di kulit muka depan dokumen dan penerbitan itu ditulis perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN".

Perenggan 2.(2) Perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN" yang disebut dalam subperenggan (1) hendaklah ditulis dengan fon jenis Arial bersaiz 16 dalam huruf tebal.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan berkaitan agama Kristian tidak lagi dilarang seperti terkandung dalam warta baru yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri awal tahun ini.

Peguam Kanan Persekutuan Nizam Zakaria, yang mewakili Pejabat Peguam Negara, memaklumkan mahkamah bahawa Menteri Dalam Negeri, selaku responden pertama dalam prosiding semakan kehakiman itu yang difailkan oleh Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur, telah mewartakan perintah bertarikh 21 Jan, 2009, bertajuk 'Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penggunaan Perkataan Tertentu Pada Dokumen dan Penerbitan) 2009'.

Warta itu menyebut "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan apaapa dokumen dan penerbitan yang berhubung dengan agama Kristian yang mengandungi perkataan "Allah", "Kaabah", "Baitullah" dan "Solat" adalah dilarang melainkan jika di kulit muka depan dokumen dan penerbitan itu ditulis perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN".

Perintah itu diwartakan pada 16 Feb, 2009 dan berkuatkuasa pada tarikh itu. Berikutan perkembangan itu, peguam Porres P.Royan, yang mewakili pemohon, Ketua Paderi Datuk Murphy Pakiam, memaklumkan Hakim Lau Bee Lan bahawa mereka akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara berhubung mplikasi perintah itu. "Jika, selepas perbincangan kami berasa selesa, dengan itu jelas perkara ini mungkin tidak perlu diteruskan dan didengar. Kami akan maklumkan kepada mahkamah jika kami mencapai penyelesaian.

"Masih terlalu awal untuk kami membuat keputusan," katanya sambil memohon kepada mahkamah untuk memberikan masa dua hingga tiga bulan bagi keduadua pihak sebelum menetapkan tarikh perbicaraan bagi permohonan semakan penghakiman itu.

Terdahulu, Porres memberitahu mahkamah yang beliau akan tetap meneruskan permohonan untuk mengenepikan perintah campur tangan yang dipohon pada 21 Nov tahun lepas oleh tujuh majlis agama Islam negeri Wilayah Persekutuan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MCMA) untuk campur tangan dan dinamakan sebagai responden dalam prosiding semakan penghakiman itu.

Mahkamah menetapkan 28 Mei untuk mendengar permohonan itu bersamasama dengan permohonan Majlis Gurdwaras Malaysia untuk turut campur tangan.

Mahkamah juga menetapkan 7 Jun untuk mendengar permohonan tujuh majlis agama Islam negeri dan MCMA, untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan mengenai persoalan perlembagaan. Pada 5 Mei tahun lepas, Datuk Murphy, selaku penerbit The Herald, menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam usahanya bagi diisytiharkan keputusan responden bertarikh 12 Feb, 2008, melarangnya menggunakan perkataan "Allah" dalam "HeraldThe Catholic Weekly" adalah melanggar undang-undang.

Beliau juga memohon perisytiharan yang beliau berhak menggunakan perkataan "Allah" dan perkataan "Allah" bukan eksklusif untuk agama Islam.

Keputusan SPM diketahui 2 minggu lagi

MSATAR ONLINE


KUALA LUMPUR:Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada minggu kedua bulan Mac ini.

"Pelajar boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing pada hari terakhir hujung minggu tersebut," kata Ketua Pengarah Pelajran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Keputusan rasmi mengenainya telah pun diedarkan ke sekolah-sekolah di seluruh negara sejak beberapa hari yang lalu.

Seramai 442, 936 pelajar telah menduduki peperiksaan tersebut tahun lalu.

Telur di hujung tanduk

Mohd Basir Abdullah


Sungguh sayang negara yang dicinta ini sudah menjadi seumpama telur di hujung tanduk. Bangsa Melayu yang berkedudukan tuan dengan hak istimewanya telah hilang arah tuju, telah hilang akal dan bakal hilang segalanya tidak lama lagi.

Segalanya yang mereka telah kecapi adalah hasil pengorbanan nenek moyang mereka dan yang menyayat hati, mereka telah mensia-siakan segalanya. Hancur hati melihat gelagat mereka.

Jelaslah bangsa Melayu telah longlai dari segi pegangan agama mereka, malah mereka telah dipisahkan jauh daripada agama mereka. Adakalanya mereka bertindak seolah-olah mereka telah tiada Tuhan lagi, tidak berlandas iman dan di luar kawalan akal.

Agenda yang terpenting adalah semua mahu memerintah dan menunjuk kuasa. Hinggakan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pun mahu berperanan dan berkuasa menentukan halatuju negara mengikut telunjuk beliau.

Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah pula tidak ambil peduli. Beliau tidak berminat membetulkan keadaan negara yang diserahkan kepada beliau oleh mantan Perdana Menteri.

Keadaan bertambah buruk lagi dengan Islam Hadhari yang beliau kemukakan. Sekarang, ada dua agama Islam dan dua jenis umat Islam. Satu, berpandukan nafsu dan yang satu berpandukan iman. Lihatlah keadaan dan fikirlah apa yang dikata.

Beliau seperti berbulan madu berterusan bersama Gin Abdullah. Ke hulu ke hilir macam pasangan remaja yang baru bernikah. Keputusan demi keputusan yang beliau buat adalah demi kemajuan dunia. Tidakkah beliau sedar, kemajuan yang dibawa itu telah melupakan kita mengenai apa yang menanti di akhirat?

Mengapa dan siapa yang telah izinkan beliau menjadi Perdana Menteri negara ini? Beliau sendiri berkata tidak pernah menjangka yang beliau akan jadi Perdana Menteri Malaysia pada suatu hari nanti.

Apa perkara baik yang pernah beliau lakukan untuk negara ini hingga negara ini sekarang berada di ambang kehancuran? Agama diperkosa, negara dibiarkan dirompak oleh para perompak yang rapat dengan beliau. Menantunya sedang menghantui negara ini.

Lima koridor cukup hebat didengar. Jumlah kos pembangunan lima koridor ini mencapai Ringgit Malaysia satu trillion. Secara rambang jika beliau mengambil 1% sebagai haknya daripada jumlah kos satu trillion itu berapa agaknya?

Sepuluh keturunan pun tak habis pakai dan joli. Tumpuan beliau hanyalah kepuasan hati serta nafsu biarpun rakyat tertipu dan negara tergadai. Penggantinya yang tentunya belum sanggup memikul tanggungjawab negara ini tetapi lihatlah gelagatnya. Belum pun diberi kuasa, sudah melangkah memporak-perandakan negara ini tanpa segan silu.

Beliau belum tentu menjadi Perdana Menteri negara ini tapi sudah bertindak membuat itu dan ini. Yang dia lupa ialah negara ini milik Allah yang maha kuasa, bukanlah kepunyaan Umno. Sekelip mata, pelbagai perkara boleh berlaku.

Ingatan khusus kepada Najib

Jangan beliau lupa.. allahyarham ayahandanya Tun Abdul Razak tidak sempat mentadbir negara ini sepenggal. Terkejut negara apabila beliau aibkan arwah Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri pertama tanpa belas kasihan.

Dalam masa yang singkat menjadi Perdana Menteri kedua, beliau telah meninggal dunia. Jadi, jangan mudah lupa, ambillah iktibar terhadap apa yang telah terjadi.

Saya nasihatkan Dato' Seri Najib, jangan terbawa-bawa kehendak nafsu yang melampau. Tidakkah Dato' Seri sedar bahawa Dato' Seri manjadi pak sanggup di atas dosa-dosa yang dilakukan terhadap negara, agama dan bangsa yang ditinggalkan Tun Dr Mahathir, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Berbaloikah apa yang dilakukan Umno; mengganas, merosak, dendam porak-perandakan kedudukan bangsa, agama dan negara. Tidakkah PM, TPM para penguasa dan ahli Umno sedar apa boleh berlaku jika perbuatan ini tidak dihentikan?

Raja-Raja Melayu perlu bertanggungjawab

Saya merayu Raja-Raja Melayu jangan bisu, pekak dan buta, walhal tuanku ketua agama Islam. Seandainya Tuanku tak mahu bertanggungjawab ke atas negara agama dan bangsa, bersedialah, tidak siapa yang akan bersama tuanku ketika dimasukkan dalam liang lahad. Ia tiada bezanya walaupun ukurannya berbeza. Ia sama untuk semua umat Islam.

Itu, jika kita meninggal dalam keadaan telur di hujung tanduk. Kalau Allah murka dengan apa yang sedang berlaku terutamanya empat perkara yang diharamkan Islam berleluasa di negara ini; Judi, Arak, Dadah & Pelacuran yang mencemarkan kesucian negara Islam, tak mustahil Allah menurunkan malapetaka dalam bentuk bencana alam besar yang meragut ramai nyawa. Pada masa itu, tidak perlu lagi liang lahad.

Kepada semua, tidak kira rakyat, ahli politik, pemimpin atau ulamak, saya merayu supaya sedar dan insaflah. Untuk penguasa yang sanggup mengguna agama dan kehalusan emosi orang Melayu demi kedudukan dan kuasa rakus mereka, hentikanlah amalan terkutuk itu kerana Allah maha melihat, maha mengetahui dan maha bijaksana.

Saya merayu kepada Dato' Ahmad Zahid Hamidi, selaku menteri agama Islam negara ini, agar kenanglah apabila roh dipisah dari jasad yang sedang sangat berkuasa sekarang dato' pasti disoal apa yang diamanahkan.

Manusia merancang, Allah merancang, rancangan Allah yang lebih baik. Salam selamat. Berani kerana benar.

Saya boleh dihubungi melalui talian 019-6705730 atau mohamad.basir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _

Sejarah Umno khianat Raja-raja Melayu tidak boleh dipadamkan - MB Kedah

Izwan Abdul Halim


ALOR SETAR-Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyifatkan Umno kini cuba menjadi jaguh kononnya mempertahankan Raja-raja Melayu dan cuba menggambarkan PAS sebagai menentang sedangkan Umno mempunyai sejarah penghianatan mereka kepada Raja-raja Melayu.

Terbaru, dalam laporan Buletin Utama TV3 semalam (25 Februari), Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Haris Che Mat mengumumkan untuk membuat laporan polis terhadap seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah dengan tuduhan menghina Tuanku Sultan Kedah berdasarkan satu surat layang.

Sehubungan itu, Ustaz Azizan selaku Pesuruhjaya PAS Kedah mencabar Pemuda Umno berkenaan untuk mengemukakan bukti dan sekiranya gagal mereka akan berhadapan dengan saman yang akan dikemukakan.

"Mereka cuba nak jadi 'hero' dan 'champion', nak buat laporan polis nak heret Exco-exco kita. Kalau perkara ini tidak betul, kita akan saman TV3 dan saman Pemuda Umno.

"Ini bukan sahaja tohmahan yang cuba melaga-lagakan kita dengan Raja-raja Melayu atau Tuanku Sultan Kedah yang kita kasihi, tetapi cuba memberikan imej yang buruk kepada PAS dalam konteks politik dan perjuangan bangsa dan negara. Mereka jangan main-main!" tegasnya semasa berceramah merasmikan Ekspo Pertanian Dan Produk Halal anjuran PAS Kawasan Pokok Sena di Kompleks PAS Kawasan Pokok Sena, di sini semalam.

Sebaliknya tegas beliau, Exco yang berkenaan akan diberhentikan sekiranya terbukti menghina Raja-raja.

Menurut Ustaz Azizan, usaha pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah telah lama dilakukan termasuk menggunakan nama istana seperti juga krisis yang dicipta di Perak dengan menggambarkan PAS sebagai jahat dan menentang Raja-raja.

Bagaimanapun katanya, sebagaimana 31 Ogos 1957 adalah Hari Kemerdekaan Negara yang tidak boleh dipadam sejarah, begitu jugalah sejarah pengkhianatan Umno kepada Raja-raja Melayu juga tidak boleh dipadamkan sejarah.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau, tegas beliau, Pakatan Rakyat Kedah tidak bimbang bahkan bersedia menghadapi 'Pilihan Raya Besar' iaitu pilihan raya seluruh negeri Kedah.

Beliau secara sinis turut mempersoalkan sumber kewangan Umno hingga sanggup menawarkan wang berjumlah RM5 juta untuk mempengaruhi Adun Kulim, Lim Soo Nee melompat parti sebagaimana didakwa Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam Parlimen baru-baru ini.

"Awat (Apa) Umno ni kaya mana? Umno ni kaya sangat ka? Kalau tak ambil duit rakyat, tak ambil duit anak syarikat kerajaan, tak ambil hutang balak, nak cari duit mana? Tapi mereka telah telah menyalahgunakan kuasa.

"Hal inilah yang rakyat tak mau kepada mereka. Maka mereka cuba membuat pelbagai fitnah untuk menghilangkan keyakinan rakyat kepada kita," tegasnya yang turut mengaku telah mempunyai banyak butiran penyelewengan Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini selain penyiasatan-penyiasatan lain juga masih dijalankan.

Menurut beliau, Kerajaan Pakatan Rakyat berusaha membuktikan bahawa telah mentadbir secara lebih baik daripada Barisan Nasional. "Kita cuba memberi keyakinan kepada rakyat bahawa zaman takut, zaman menindas, zaman ugutan, zaman mematikan dasar demokrasi dan perlembagaan negara, telah berlalu," ujarnya.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mempunyai hubungan yang baik dengan Tuanku Sultan Kedah dan menyifatkan baginda sebagai Sultan yang sentiasa bersama dan mengutamakan rakyat.

Jelas Ustaz Azizan lagi, beliau sebagai Menteri Besar juga setiap minggu mengadakan pertemuan dengan Tuanku Sultan Kedah melaporkan perkembangan semasa negeri.

"Tuanku tahu apa yang kita buat dan sering memberi nasihat kepada kita. Bagaimana mungkin kita derhaka kepada Raja? Tetapi mereka (Umno) cuba melaga-lagakan kita dengan Raja. Sebab itu saya tidak berapa seronok bila ada pihak-pihak yang nak heret Istana nak bergaduh dengan kita dalam hal ini.

"Insya-Allah saya sudah arah Exco yang dituduh ini berjumpa saya dan Setiausaha Kerajaan Negeri. Saya (akan) memanggil orang yang buat cakap fitnah yang kata kita menghina Raja-raja, kita akan bersemuka dan selesaikan dengan cepat," tegas beliau sambil mengungkap dalil al-Quran mengenai azab api neraka terhadap mereka yang mengadakan fitnah.

Beliau turut menyeru agar pihak-pihak tersebut agar segera bertaubat dan menghentikan cakap-cakap bohong.

Turut menyampaikan ceramah pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar dan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Saifuddin Nasution. - azm_

PPSMI: Nak debat apa lagi, tanya Hisham

Abdul Rahim Sabri


Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menolak cabaran Dewan Pemuda PAS untuk berdebat berhubung Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kalau kita di peringkat pengubalan dasar, (maka) bolehlah kita debat, tak ada masalah.

"Tetapi kita sedang dalam peringkat hendak mengubahsuai dasar sedia ada dan memikirkan kaedah yang baru.

"Sebelum ini, perbincangan meja bulat pun telah diadakan. Saya pun telah beritahu sebelum ini di Parlimen bahawa pelbagai pilihan telah diketengahkan.

"Jadi, di peringkat yang kita berada hari ini, (maka) nak debat apa lagi. Lebih baik mereka (Pemuda PAS) berikan cadangan dan pandangan," kata Hishammuddin selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pemuda dan Keganasan di ibu negara pagi ini.

Selasa lalu, Pemuda PAS telah menghantar surat cabaran debat kepada Hishammuddin berhubung isu PPSMI melalui Naibnya, Khairy Jamaluddin di Parlimen.

Sehubungan itu, Hishammuddin yang juga menteri pelajaran menggesa Pemuda PAS supaya mengemukakan cadangan kepada kementeriannya berhubung dasar tersebut.

Perbincangan meja bulat

"Jemputan kepada mereka untuk ke persidangan meja-meja bulat telahpun dipanjangkan. Kalau tak salah saya pihak PAS pun hadir sama.

"Jadi debat untuk apa. Bagi saya dalam konteks dah sampai ke peringkat akhir rumusan kita, panjangkan padangan-pandangan mereka supaya diambilkira.

"Lainlah kalau nak cari publisiti, nak cari populariti, tapi hal-hal berhubungkait dengan masa depan anak kita, nak debatkan suatu yang telah difikirkan oleh kementerian untuk diubahsuai, saya rasa tidak sesuai," katanya.

Mengulas lanjut pertikaian berlarutan terhadap dasar itu, Hishammuddin mendakwa "ada pihak tertentu yang ingin terus menghangatkan suasana".

"Kalau sekiranya YB Karpal Singh di Parlimen semalam memberi gelaran celaka kepada Pemuda, dalam isu PPSMI, YB (Datuk Seri) Abdul Hadi telah menyatakan (mereka) yang menyokong dasar ini, juga celaka.

"Kalau disasarkan (celaka itu) kepada saya, saya boleh terima, asam garam dalam arena politik. Tetapi ramai di luar sana orang biasa yang menyokong dasar ini.

"Apakah mereka juga dicelakakan?" soal Hishamuddin.

Nafi dakwaan Karpal

hishammuddin hussein ppsmi languanges debate issue 260209 02Dalam sidang media itu, Hishammuddin turut menjelaskan bahawa pihaknya sedang mengkaji pandangan dan cadangan semua pihak dan akan membawa perkara itu untuk dibincangkan ke peringkat kabinet beberapa minggu lagi.

Katanya, walaupun seandainya kabinet membuat keputusan hari ini pun, ia hanya dapat dilaksanakan awal tahun hadapan.

Hishamuddin juga menafikan dakwaan Karpal Singh bahawa Pemuda Umno telah mengirimkan dua butir peluru kepada pengerusi DAP itu.

Ketua Pemuda Umno itu berkata tuduhan Karpal itu adalah satu cubaan untuk mengalih pandangan umum dan memprovokasi pergerakan tersebut.

"Beliau cuba mengalih pandangan ekoran kesilapan dan keangkuhan beliau kerana menghina Sultan Perak," katanya.

PIBG seluruh negara bantah PPSMI

Jimadie Shah Othman


Gerakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima lonjakan sokongan apabila Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) pula menyokongnya.

Gabungan nasional PIBG tidak rasmi kira-kira 8,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pertama kali hadir ke mesyuarat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibu negara, Isnin lalu.

Pengerusi PIBGN Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, sokongan majlis tersebut terhadap GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI, termasuklah sedia terlibat dalam perhimpunan raksasa 100,000 orang di Istana Negara pada 7 Mac.

"Kita minta kerajaan membuat keputusan segera. Jangan sampai ibu bapa turun buat demonstrasi, termasuklah di jalanan secara haram.

"Sekarang ini trend penduduk tidak lagi khuatir (berdemonstrasi), seperti juga amalan bangsa-bangsa lain (di seluruh dunia).

"Kita mahukan keadaan aman, (kerajaan perlu) buat keputusan segera. Jangan tunggu selepas perhimpunan Umno (24 – 28 Mac ini) atau tahun depan baru hendak buat keputusan," katanya.

GMP menganjurkan perhimpunan besar minggu depan bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung dasar itu.

Mohamad Ali turut mengkritik persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bagi membincangkan pelaksanaan PPSMI yang didakwanya “tidak begitu bebas”.

"Kita perlukan kajian yang benar-benar bebas. Mungkin sudah tiba masanya kita menubuhkan suruhanjaya bebas bagi mengkaji pelaksanaan PPSMI.

"(Sidang) meja bulat ini kita lihat tidak begitu bebas. Tidak ada laluan yang luas," kata Mohd Ali.

Katanya, PIBGN hadir kesemua lima kali persidangan meja bulat kementerian dan membantah PPSMI dalam pertemuan itu tetapi ia tidak memberikan sebarang kesan apabila dasar itu terus diamalkan sejak enam tahun lalu.

Mengulas pelaksanaan dasar kontroversi itu, beliau menyifatkan PPSMI gagal kerana dikendalikan oleh guru yang kebanyakannya "tidak berdaya" dan "tidak cukup latihan".

"Insentif 10 peratus kenaikan gaji yang diberikan kepada mereka yang terlibat dalam PPSMI tidak nampak setimpal dengan kenaikan tersebut. Prestasi mereka sepatutnya lebih daripada 10 peratus," katanya.

Selain itu, Mohd Ali menambah, PPSMI mengakibatkan banyak pembaziran apabila guru-guru terlibat yang dibekalkan komputer riba bagi membantu pengajaran tetapi gagal memanfaatkan sepenuhnya.

"Begitu juga dengan perisian-perisian yang tidak dimanfaatkan. Hanya 1/3 perisian pengajaran (daripada kira-kira 25 jenis) yang dicadangkan oleh kementerian digunakan," katanya.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad dianggotai kumpulan NGO dan sayap-sayap Pemuda PKR dan PAS.