HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Oktober 2010

Taib mungkin bubar DUN Sarawak bulan ini, kata penganalisis

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR— Di sebalik spekulasi mengenai pilihan raya negeri Sarawak, penganalisis Dr Ong Kian Ming meramalkan kemungkinan ia diadakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang atas alasan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud kelihatan “lebih berminat” untuk membubarkannya bulan ini.

Bagaimanapun Ong juga memberitahu, meskipun Taib lebih “berminat” ke arah hujung bulan depan, tetapi maklumat diterimanya juga menunjukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersedia untuk mengendalikan pilihan raya dalam tempoh itu.

“Kemungkinan ia akan diadakan hujung bulan depan adalah antara 30 hingga 40 peratus... kebarangkalian ini adalah berdasarkan tahap kesediaan untuk mengadakan pilihan raya jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan,” kata beliau.

“Sebenarnya, sukar bagi SPR untuk mengadakan pilihan raya dalam notis yang singkat,” hujah Ong pada sesi taklimat berkaitan pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi serta pilihan raya negeri Sarawak di sini baru-baru ini.

SPR dipercayai telah bersiap sedia dari segi sumber manusia tetapi kemungkinan berhadapan dengan kekangan logistik jika DUN Sarawak dibubarkan bulan ini.

Latihan awal bagi pekerja-pekerja pilihan raya dikatakan telah diadakan pertengahan tahun ini.

Kini, SPR sibuk dengan urusan pengendalian pilihan raya kecil kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi.

DUN Sarawak dijadual untuk bersidang hari ini.

Ong berkata, sementara komponen Pakatan Rakyat (PR) Sarawak masih “bertelagah” dalam menentukan pembahagian kerusi, Taib (gambar) kemungkinan mengambil kesempatan itu dan juga suasana pemilihan pucuk kepimpinan PKR yang akan berakhir hujung bulan ini.

Proses pengundian pemilihan pucuk kepimpinan PKR secara berperingkat-peringkat bermula Jumaat ini.

“PKR dan DAP belum selesai memuktamadkan pembahagian kerusi masing-masing, malah PKR pula bercelaru dengan proses pemilihan dan kongres mereka.

“Saya berpendapat Taib akan menggunakan peluang ini (kecelaruan) untuk membubarkan DUN,” kata beliau.

Jelas beliau, sekiranya ia tidak diadakan sebelum awal Disember, kemungkinan besar pilihan raya negeri Sarawak hanya akan diadakan Mac depan.

“Jika diadakan Mac depan, pembangkang berpeluang memperoleh lebih banyak kerusi, kemungkinan boleh menafikan majoriti dua pertiga BN di DUN,” katanya.

Katanya, jika diadakan tahun ini PR boleh memperoleh sekitar 21 kerusi, kurang tiga untuk menafikan majoriti dua pertiga BN.

Mandat semasa DUN Sarawak akan berakhir Julai 2011. Sekiranya tidak dipanggil pilihan raya awal ia akan terbubar dengan sendirinya.

Di DUN Sarawak, BN memiliki 62 kerusi, Barisan Bersatu Sarawak (dua), Parti Keadilan Rakyat (satu), Parti Kebangsaan Sarawak (satu), DAP (enam) dan calon Bebas (satu).

Parti-parti komponen BN telah diminta mengenal pasti calon masing-masing sebelum Disember ini.

Awal September lalu, Taib berkata BN Sarawak sedang memuktamadkan senarai calonnya untuk pilihan raya negeri akan datang.

Katanya, beliau masih menunggu parti komponen BN negeri untuk membuat penilaian sendiri dan memuktamadkan calon mereka pada pilihan raya negeri berkenaan.

Taib, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB), tunjang BN Sarawak sebelum ini berkata, beliau telah mengenal pasti 70 peratus daripada calonnya untuk pilihan raya negeri akan datang.

Ong juga berkata, kecuali SUPP parti-parti komponen lain dalam BN juga belum bersedia dan rela jika pilihan raya negeri diadakan tahun depan.

Menjelaskan kedudukan SUPP, katanya, parti masyarakat Cina itu kelihatan tidak akan memperoleh sokongan majoriti pengundi Cina dan oleh itu tidak kisah bila pilihan raya negeri diadakan.

“Selain SUPP, parti-parti komponen BN yang lain sememangnya tidak bersedia, mereka gemar jika ia diadakan tahun depan, dilewatkan lagi,” kata beliau.

Rakyat Merana, Najib Belanja Dana Awam Seperti Hak Peribadi

Oleh Fazli Othman

seriperdanamalamKUALA LUMPUR - Dalam keadaan ekonomi dunia dilanda krisis, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak pula mengamalkan pimpinan melalui teladan sebaliknya semakin boros berbelanja menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pada perbahasan Bajet 2011 semalam berkata peningkatan kos perjalanan bagi Perdana Menteri dan timbalannya sebanyak 75.2 peratus daripada Perdana Menteri sebelumnya.

"Peningkatan mendadak juga dilihat dalam keputusan Perdana Menteri yang telah membelanjakan tiga kali ganda jumlah yang dibelanjakan sebelumnya iaitu sebanyak RM65 juta untuk ubah suai kediaman rasmi beliau, Seri Perdana.

"Apa yang dikesalkan, Seri Perdana baru sahaja dinaik taraf beberapa tahun lalu.

Sri_perdana"Kemewahan tahap manakah yang sebenarnya diperlukan Perdana Menteri dan keluarganya," soal Khalid yang juga Menteri Besar Selangor.

Tambahnya lagi, peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk tahun 2011 turut naik dua kali ganda daripada peruntukan tahun 2010 - daripada RM10.2 bilion kepada RM18.14 bilion.

Pada tahun 2006 peruntukan untuk JPM hanyalah sebanyak RM4.3 bilion.

"Bolehkah Perdana Menteri menjustifikasikan peningkatan sebanyak 422 peratus atau RM14 bilion dalam tempoh 5 tahun?.

"Atau apakah ini satu lagi bukti Perdana Menteri menganggap duit rakyat sebagai kepunyaan peribadi beliau dan keluarganya?," soal beliau berhubung peruntukan kepada JPM yang mewakili 8.55 peratus daripada keseluruhan bajet nasional.

Kempen Bantah Menara Warisan 100 Tingkat Cecah 204,000 Orang

Oleh Suara Keadilan

1M_Menara_WarisanKUALA LUMPUR t - Cadangan Pembinaan Menara Warisan 100 tingkat yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2011 mendapat tekanan hebat apabila laman sosial facebook yang menentang pembinaan Menara Warisan 100 tingkat sudah melebihi 200,000 orang, setakat hari ini.

Laman sosial facebook '1M Malaysians Reject 100-storey Mega Tower' dilancarkan sejak 2 minggu lepas mendapat sambutan hangat selepas mendapat kritikan pelbagai pihak apabila dikatakan kos pembinaan menelan kos sebanyak RM5 bilion.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang di dalam twitternya membidas tindakan 'cybertrooper' MCA yang memperlekehkan sokongan rakyat bertali arus membantah pembinaan menara 100 tingkat tersebut.

"Sungguh memalukan! MCA melalui cybertrooper sanggup memperkecil-kecilkan sokongan rakyat yang sudah melebihi 200,000 orang terhadap kempen di laman sosial Facebook "NoMegaTower" di mana sepatutnya Menteri dan pemimpin MCA sepatutnya menyuarakan pendapat mereka," ujar beliau.

Kit Siang turut menegaskan supaya Najib memberikan respon segera terhadap 8.7 juta pengguna laman facebook di Malaysia yang terdiri dari 38% kumpulan umur lingkungan daripada 18-24 tahun dan 33% kumpulan umur lingkungan daripada 25-34 tahun.

Setakat pukul 12 tengahari, seramai 203,922 orang telah memberikan sokongan kepada kempen tersebut.

Sebelum itu, Najib berkata Menara Warisan 100 tingkat bakal disiapkan menjelang tahun 2020 dengan kos sebanyak RM5 bilion dengan menggunakan dana daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Hidup gerila

Amin Iskandar

Lebih kurang tujuh tahun lalu, saya bernasib baik kerana diperkenalkan dengan Mohd Yunus Lebai Ali yang lebih dikenali dengan panggilan Yunus Ali.

Mungkin ramai yang mengenalinya dan ramai juga yang tidak pernah mengetahui tentang kewujudan manusia hebat ini.

Yunus adalah bekas aktivis mahasiswa sekitar tahun 70-an. Beliau juga seorang 'korban' Operasi Lalang yang menyaksikan lebih 100 orang pemimpin parti pembangkang dan NGO menjadi mangsa kerakusan kerajaan pada ketika itu.

Selain seorang pensyarah sambilan, tidak ramai yang tahu bahawa beliau merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menjadi anggota unit komando Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di bawah pimpinan Yaser Arafat!

Senator Yusuf Husin, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Datuk Mahfuz Omar adalah teman-teman baik beliau semasa di Kem Tahanan Kamunting.

Selain itu di pihak pemerintah, Ahmad Zahid Hamidi, Ismail Sabri Yaacob dan Ahmad Shabery Cheek adalah teman rapat beliau sewaktu bersama dan selepas memimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Saya tidak pernah menyangka bahawa pertemuan itu akan mengubah perjalanan hidup saya. Pada ketika itu, Amerika Syarikat sudah setahun dua menjajah Iraq.

Ayat pertama Yunus Ali kepada saya sebaik saja kami diperkenalkan adalah: "Kalau aku muda macam kamu ini, dah lama aku pergi Iraq."

Kenyataan itu menyebabkan saya berminat untuk mengenali beliau dengan lebih mendalam.

Yunus pada waktu itu adalah pengarah eksekutif kepada Pusat Janadaya atau Empower, sebuah NGO yang melaksanakan kerja-kerja mempromosi demokrasi dan hak asasi manusia.

Selain itu, NGO tersebut turut menjalankan program-program bagi membantu mangsa tsunami di Kuala Muda, Sungai Petani dan Pulau Langkawi, Kedah.

Yunus mengundang saya dan kawan-kawan untuk membantunya menjayakan program-program Empower di Kuala Muda dan Langkawi.

Pada waktu itu, fokus Empower untuk menjalankan program untuk kaum ibu dan remaja.

Menubuhkan NIEI

Sewaktu bekerja, saya dapat melihat kehebatan Yunus. Sifatnya yang lemah-lembut menawan hati peserta-peserta program termasuklah kami di pihak penganjur. Yunus juga seorang penyabar dalam mengurus organisasi.

Saya dan kawan-kawan yang agak "liar" pada ketika itu dapat beliau tangani sehinggakan kami berubah untuk menjadi manusia yang lebih baik. Hubungan beliau dengan peserta tidak kurang hebatnya.

Sehingga kini, jika kami beritahu Pak Teh di Kuala Muda tentang niat untuk ke kampungnya, beliau akan pastikan ikan-ikan laut yang terbaik hasil tangkapannya di masak oleh Mak Teh untuk kami. Begitulah hebatnya saudara Yunus Ali.

Saya berani katakan jika pilihan raya diadakan di Kuala Muda atau Pulau Langkawi terutamanya di kawasan-kawasan dimana program-program dilaksanakan oleh Empower, sesiapa yang menentang Yunus pasti akan hilang "wang depositnya".

Selepas selesai program membantu mangsa Tsunami di Kedah, saya mendekati Yunus untuk bersama-sama menubuhkan sebuah NGO yang bekerja untuk demokrasi dan pilihan raya.

Kami menubuhkan Institut Integriti Pilihan Raya (NIEI) bersama dengan berberapa rakan-rakan aktivis yang lain. Pada 4 Julai 2007, NIEI secara rasminya didaftarkan.

Pada waktu itu, Yunus hanya memberikan satu pesan kepada saya iaitu, perlu ada istiqamah dalam perjuangan. Pada mulanya, saya tidak faham mengapa beliau berkata demikian, akan tetapi apabila waktu bergerak seiring dengan perjalanan NIEI, barulah saya faham apa yang beliau maksudkan.

Di dalam perjuangan untuk membangunkan NIEI sebagai sebuah organisasi, banyak pengorbanan yang dilakukan oleh Yunus. Beliau memberikan tumpuan sepenuh masa kepada NIEI dan meninggalkan kerja-kerja lain.

NIEI mula mendekati masyarakat dengan menganjurkan program pendidikan pengundi di Sabah.

Sebulan selepas itu NIEI memulakan program yang pertama di Sabah dengan kerjasama PACOS-Trust, sebuah NGO besar di Sabah. Program kami mendapat sambutan dan diperluaskan ke daerah-daerah lain. Pada tahun 2008, program dikembangkan ke Sarawak. Kami berjaya menganjurkan program di Kuching, Bintulu dan Miri.

Selain itu, NIEI turut melibatkan diri dalam melakukan pemantauan terhadap perjalanan proses pilihan raya kecil (PRK) seperti di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Penanti dan banyak lagi.

Tidak kira ada dana atau tidak, Yunus akan mencari wang termasuk menggunakan wang peribadinya untuk memastikan NIEI ikut turut serta dalam setiap PRK.

Arena antarabangsa

Di arena antarabangsa, NIEI dijemput menjadi ahli kepada Asian Network for Free Election (ANFREL). Kami menghantar wakil untuk bersama-sama ANFREL ke Afghanistan, Bangladesh, Cambodia, Filipina, Indonesia, Korea Selatan, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Singapura, Taiwan dan Timor Timur.

Pada tahun 2007, sewaktu membantu ANFREL menjayakan misi pemantauan di Autonomous Region of Muslim in Mindanao (ARMM) di Filipina, Yunus memperlihatkan kepimpinannya di arena antarabangsa.

Kefahamannya yang mendalam terhadap masalah yang berlaku di Mindanao menyebabkan pemerintah Filipina, media dan pihak yang bertelagah senang hati dengan kehadiran ANFREL.

Sidang akhbar ANFREL selepas selesai misi pemantauan dibanjiri oleh media tempatan dan antarabangsa. Yunus diwawancara secara langsung oleh BBC dan Channel News Asia.

Yunus sebenarnya menghidap penyakit SLE atau digelar "lupus". Penyakit ini sama bahayanya dengan penyakit leukimia. Selain itu, Yunus turut menghidap penyakit gout yang menghalang dirinya untuk sering makan daging kambing bakar kegemaran.

Yunus kegeringan

Namun semangat yang ada pada Yunus sangat tinggi. Setiap kali sebelum NIEI mempunyai kerja-kerja penting baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa, Yunus pasti akan menjaga kesihatannya bagi memastikan beliau dapat bersama. Begitulah kuatnya semangat orang yang bernama Yunus Ali.

Penglibatan terakhir Yunus dalam misi ANFREL adalah sewaktu pilihan raya presiden pada tahun 2009. Saya pada ketika itu membantu ANFREL sebagai penyelaras bagi pemantau-pemantau jangka panjang (LTO).

Sesampainya Yunus di Kota Kabul sebagai ketua delegasi dari Malaysia, beliau terus jatuh sakit. Sepanjang misi, seorang pemantau dari Thailand, Air telah menjaganya dengan baik seperti mana anak gadis menjaga seorang ayahnya.

Menurut isteri kepada Yunus, Maria Chin yang juga seorang aktivis hak wanita yang terkenal di Malaysia, semenjak pulang dari Afghanistan, kesakitan Yunus tidak pernah sembuh.

Pada pertengahan bulan September tahun ini sewaktu saya berada di Beijing, China bagi mengikuti program Building a Better Asia (BABA) anjuran The Nippon Foundation, saya menerima SMS dari seorang teman, yang juga anggota NIEI.

SMS tersebut berbunyi, "Yunus sudah berhenti bernafas, doktor sudah mengesahkannya".

Saya terus lari keluar dari International Center, University of Peking, tempat program berjalan. Saya membuat panggilan kepada berberapa orang termasuk Hishamuddin Rais, teman seperjuangan Yunus semenjak zaman mahasiswa.

Selepas sah Yunus meninggal dunia, saya berjalan perlahan-lahan menggelilingi universiti. Sedar tak sedar air mata berlinang akhirnya tangisan menjadi semakin kuat sepertimana tangisan Michael Corleone dalam filem The Godfather 3 apabila anak perempuannya mati ditembak.

Gadis-gadis cantik, mahasiswa universiti yang tinggi lampai yang berada berhampiran turut bersedih tetapi pasti tidak mengerti mengapa saya menangis.

Selepas Yunus tiada lagi

Sehingga kini saya masih belum percaya bahawa Yunus telah meninggal dunia. Saya belum kuat untuk bertemu dengan Maria Chin dan anak-anak Yunus.

Saya akan cuba kuatkan diri untuk pergi bertemu dengan mereka secepat mungkin untuk menyelesaikan segala perkara yang tertunggak. Janji saya kepada diri, cita-cita Yunus Ali untuk melahirkan sistem pilihan raya yang baik dan demokratik akan saya teruskan.

NIEI akan terus berdiri sebagai sebuah badan yang independen tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik. Kami tidak peduli soal siapa yang akan memerintah, yang penting, perjalanan pilihan raya di Malaysia, bebas dan adil untuk semua pihak.

Segala pelajaran yang diberi oleh Yunus akan saya kongsikan kepada anak-anak muda yang berminat untuk bersama perjuangan NIEI. Dalam usia yang masih muda dan terkontang-kanting membina hidup, bukanlah satu perkara yang mudah untuk menjadi pengerusi NIEI.

Akan tetapi, berkat tunjuk ajar dan bimbingan yang diberi oleh Yunus Ali, seorang sahabat dan pemimpin yang amat dikasihi, cabaran akan disahut untuk terus berjuang bagi memastikan Malaysia akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Untuk pengetahun semua pembaca, ini adalah artikel yang paling susah untuk disiapkan. Ianya memakan masa hampir dua bulan. Artikel ini mula di tulis di China, kemudian diteruskan di Malaysia dan alhamdulillah akhirnya berjaya disiapkan di Thailand.

Selamat jalan Yunus Ali. Kita pasti akan bertemu lagi. Kami akan terus merinduimu. Al-Fatihah. Pelajaran yang paling penting yang saya pelajari dari Yunus Ali adalah bagaimana untuk melaksanakan segala kata-kata.

Sepertimana kata Rendra, seorang penyajak ulung dari Indonesia, "perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata".

Semoga Yunus aman disana. Bersama-Nya. Bersama Dr Burhanuddin Helmy, Ahmad Boestamam, John Lennon Che Guavara. Dan yang paling penting bersama Muhammad SAW dan Ali bin Abi Talib.

Umno peralat agama, orang agama untuk politik

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Umno bukan sahaja mahir memperalat agama, malah orang agama juga dipergunakan untuk kepentingan politik mereka, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Katanya, dakwaan berhubung perkara itu bukan fitnah, tapi realiti yang sudah diketahui umum.

Beliau merujuk kepada cara kempen Umno di Galas yang memainkan isu agama.

"Ustaz-ustaz Umno disuruh berkempen untuk menghalalkan apa yang Umno buat.

"Merekalah orang yang mencari dalil untuk menghalalkan arak, judi dan program maksiat yang ditaja oleh kerajaan umno BN," katanya.

Namun apa yang menghairankan katanya, ketika isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menjadi penaung kepada Festival Fesyen Islam di Monte Carlo, Monarco pada 9 Ogos 2010, orang agama di dalam Umno membisu, seolah-olah mulut penuh dengan sagon, tidak berani tegur.

"Mana suara ustaz umno apabila kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP)?," soalnya.

Katanya, banyak lagi bukti orang agama di dalam Umno hanya menjadi tukang baca doa dan marhaban sahaja tidak lebih daripada itu.

Orang agama di dalam umno ujarnya hanyalah membesarkan tembolok sahaja.

Mereka hanya mencari hujah untuk melawan dengan PAS.

Ianya termasuk isu orang bukan Islam masuk masjid yang dibenarkan melalui keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Hujah berkenaan dengan sumber judi telah makan diri sendiri.

"Rakyat mula berkata, umno haram duit judi, tetapi halalkan lesen judi," katanya.

Beliau turut mempersoal ke mana pergi orang-orang agama di dalam umno yang berkelulusan tinggi, seperti Dr Hamid Osman, Dr Abdullah Mohd Zin, Dr Yusuf Nor, Ustaz Zainal Abidin Abd Kadir, Datuk Dasuki Haji Ahmad, Ustaz Fadhil Hanafi, Dr Amran Kasimin.

"Kenapakah isteri Presiden Umno tidak bertudung mereka membisu," katanya.

Kami perlukan YB yang boleh selesai masalah

Analisa oleh M FAQIH
GUA MUSANG: Melewati Kampung Batu Papan, Gua Musang begitu mendamaikan. Pemandangan mengkagumkan sekali. Gua batu kapur yang mengelilingi kampung mengasyikkan pandangan mata.

Di sebelah lagi ada bukit, tumbuh subur pokok getah yang menjadi sumber rezeki penduduk.

Inilah keunikan Gua Musang yang tidak ada di tempat lain. Di mana-mana sahaja anda menjejak kaki pasti ketemukan gua batu kapur. Berbeza dengan Ipoh dan Batu Caves di Selangor kerana di sini, panoramanya masih segar.

Belum ada pencemaran udara yang boleh menyedakkan dada. Bangkit dari tidur di awal pagi, suasananya tidak ubah seperti di Tanah Tinggi Lojing atau Cameron Highlands. Sejuknya mencucuk ke kulit.

Hawa sejuk beransur menjadi sedikit hangat apabila muncul matahari di sebalik gua-gua batu kapur. Hangatnya kini bertambah sekali ganda apabila dicurah dengan isu-isu politik bagi menarik simpati pengundi.

Menonton televisyen atau membaca akhbar harian, pastinya kesimpulan mudah dibuat calon Barisan Nasional (BN) sudah menang mudah di atas kertas.

Pelbagai isu dikorek bagi memberi gambaran kelemahan kerajaan negeri, PAS, Pakatan Rakyat, calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan apa-apa sahaja yang ada kaitan. Sebaliknya calon BN, Abdul Aziz Yusoff diberi gambaran sebagaikan dewa atau raja yang mempunyai 1001 satu kelebihan.

Pendidikan setakat SPM bukan menjadi perkiraan bagi Umno dan BN. Ini kerana tiada sijil pun ada agensi boleh memberi pekerjaan. Syaratnya mesti penyokong setia Umno.

Ada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kemas, Kesedar, Rela dan banyak lagi agensi yang mendapat peruntukan kerajaan dikutip daripada rakyat digunakan bagi membayar gaji atau elaun penyokong Umno.

Tengoklah apa yang berlaku ke atas bekas calon BN di Manek Urai, Tuan Abdul Aziz Tuan Mat. Sepanjang pilihan raya kecil menjelang 14 Julai 2009, Tuan Aziz adalah wira, diangkat dan dijulang.

Setiap gerak dan geri dirakam lensa kamera. Kenyataannya disumbat dalam media harian setiap hari. Sebelum meletak jawatan bertanding dalam pilihan raya, beliau merupakan pengurus kilang milik Kesedar.

Hari ini Tuan Aziz hilang pekerjaan di kilang Kesedar kerana gagal dalam pertaruhan di Manek Urai. Namun beliau tidak perlu risau kerana ada peluang mendapat kontrak kerajaan.
Mungkinkah situasi serupa juga berulang kepada Abdul Aziz.

Kedua-dua Abdul Aziz ini mungkin berkongsi pengalaman, mengulangi nasib serupa. Abdul Aziz Limau sudah lama mempunyai hubungan rapat dengan kontraktor.

“Biar pun sekolah setakat tingkatan lima, namun dia jarang berkawan dengan orang kampung. Rakan-rakannya dari kalangan kontraktor,” kata seorang kakitangan di Kesedar.

Tanpa berselindung beliau meluahkan Abdul Aziz Limau tidak jauh berbeza dengan Tuan Aziz, Kuala Krai. Kedua-dua seumpama golongan elit yang dilahirkan dari mahligai Kesedar.

Apa yang mampu orang kampung harapkan kepada mereka. Kelayakan untuk bergelar wakil rakyat sejak dari awal lagi menjadi buah mulut orang.

Maka tidak keterlaluan dikatakan Umno bermula dalam keadaan tempang di Galas. Berlainan benar berbanding dengan Batu Sapi di Sabah. Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Dun Galas, Tengku Razaleigh Hamzah was-was sejak dari awal lagi.

Bukan orang lain yang mengeluarkan hujah seumpama itu, tetapi pengarah Pilihan Raya BN sendiri. Ketika ditanya pemberita mengenai corak berkempen BN yang dilihat lesu di permulaan kempen Ku Li berkata, ia memang berbeza dengan kempen di tempat lain.

“Pengundi di Gua Musang lebih menyukai corak kempen secara sederhana, seperti bersua muka dengan pengundi. Disebabkan itulah saya mahu jentera berbuat demikian,” ujarnya kelmarin.
Sebelum itu beliau mengeluarkan kenyataan masih lagi sebagai ketua bahagian biar pun percaturan di Galas tidak berjaya.

Ku Li juga tidak hadir di pusat penamaan calon 26 Oktober lalu. Ketempangan kelihatan berganda-ganda menimpa Ku Li. Apakah ini doanya yang pernah diminta Ku Li untuk selama-lamanya bergelar gurkha.

Kelmarin Tengku Razaleigh melawat pusat mengundi pos Hao untuk bertemu pengundi Orang Asal yang terletak lebih 40km dari Gua Musang.

Kalau dahulu Ku Li dianggap masyarakat Orang Asal sebagai ‘Raja Kita’, namun sekarang tidak lagi. Aris Itam Tambo, 38 dari Pos Hau memberitahu rata-rata masyarakat Orang Asal tidak lagi menghormati Ku Li.

“Tidak ada apa yang hendak dimegahkan. Kami hanya mahu wakil rakyat yang mampu selesaikan masalah tanah, Ku Li dan Abdul Aziz tidak ada kuasa berbuat demikian,” katanya.

BN dapat sokongan di Galas dan Batu Sapi, kata TPM

FREE MALAYSIA TODAY

muhyiddinn2 SANDAKAN: Maklum balas orang ramai terhadap kempen-kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri di Galas dan pilihan raya kecil Parlimen di Batu Sapi ketika ini cukup baik, dan sokongan dilihat berpihak kepada Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun menurutnya beliau tidak dapat membuat andaian sekiranya pengundi di kedua-dua kawasan itu akan memberi majoriti besar kepada calon BN, dan menurutnya BN masih perlu bekerja lebih keras lagi untuk kedua-dua kawasan
berkenaan.

“Jelas rakyat di kedua-dua kawsan pilihan raya mahu BN membantu,” katanya
kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Penjawat Awam di sini hari
ini, lapur Bernama.

Katanya beliau berpendapat ini kerana orang ramai sedar bahawa sekiranya
mereka mengundi pembangkang, apa jua kemajuan yang mereka harapkan di kawasan
mereka, mungkin tidak ditunaikan.

Hari pengundian kedua-dua pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 4 November
ini dengan kerusi Parlimen Batu Sapi menyaksikan pertandingan tiga penjuru
antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, calon Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk
Yong Teck Lee dan calon Parti Pakatan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah, manakala
kerusi DUN Galas menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Abdul
Aziz Yusof, dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad.

Polis: Pemandu bas korban tujuh tiada lesen memandu

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Km38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan kepada polis mengenai perkara tersebut.

“Pemandu bas tersebut sebelum ini mengaku kepada pihak polis bahawa beliau mempunyai lesen memandu, namun setelah kami memeriksanya dengan pihak JPJ, kami mendapati bahawa dia tidak mempunyainya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Che Husin berkata pemandu tersebut yang patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ditahan polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara merbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit dengan kesalahan.

Che Husin berkata polis sedang menyiasat sama ada pemandu tersebut mempunyai rekod kesalahan memandu lampau atau pun tidak, serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kemalangan tersebut.

Ini termasuk memeriksa kotak hitam bas tersebut untuk menentukan punca kemalangan sebenar, katanya.

Dalam kemalangan malam tadi, bas rombongan dari Kedah, yang dinaiki 44 penumpang yang terdiri daripada belia Kampung Baru Siong, Baling, dilaporkan hilang kawalan semasa menuruni Genting Highlands di KM38, Genting Sempah dekat sini pada pukul 7.50 malam tadi.

Bas tersebut terbabas dan terbalik di laluan bertentangan yang mengakibatkan tujuh orang maut, 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan, termasuk dua pemandu bas tersebut.

Rombongan itu yang dalam lawatan ke Genting Highlands bertolak dari Kedah pada pukul 11 malam Khamis dan tiba di Genting Highlands pada pukul 8 pagi semalam.

Pada pukul 7 malam tadi, rombongan itu telah bertolak ke Kuala Lumpur untuk ke Kampung Melayu Subang, Selangor bagi menyertai program Inap Desa dan dijangka pulang ke Baling, Kedah petang ini.

Samy Vellu: Umno kalah di 70 kerusi jika ingat bukan Melayu tak perlu


THE MALAYSIAN INSIDER

SUNGAI SIPUT — Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu mengingatkan Umno — parti dominan dalam Barisan Nasional (BN) — tidak boleh menang di hampir 70 kerusi Parlimen tanpa sokongan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum ke-13.

Sehubungan itu beliau menegaskan, pemangku ketua Umno Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani yang mengatakan partinya tidak memerlukan sokongan bukan Melayu sebagai tindakan tidak sensitif dengan senario politik semasa.

Samy Vellu (gambar) merujuk kepada prestasi BN yang gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen pada Mac 2008.

Kata Samy Vellu, pemimpin Umno itu pada hakikatnya tidak harus jadi ahli politik sama sekali.

“Bagaimana dia boleh bercakap yang Umno tidak memerlukan sokongan orang Cina dan India?” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

“Tanpa sokongan orang Cina dan India, BN menang di hampir 70 kerusi,” kata bekas Ahli Parlimen Sungai Siput yang pernah menyebut beliau menang di kerusi itu pada 1990 kerana sokongan pengundi Melayu.

Sebaliknya pemimpin veteran ini yang menerajui MIC sejak tiga dekad lalu juga menegaskan, undi orang India sangat penting dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam ucapan pada satu majlis tertutup seperti yang tersiar di You Tube baru-baru ini, Johari didakwa berkata Umno Titiwangsa tidak memerlukan undi kaum Cina dan India jika mendapat 70 peratus pengundi Melayu.

Sebelum ini, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga meminta pemimpin Umno Titiwangsa itu agar bersara dari politik.

Beberapa pemimpin Umno khususnya dari Wilayah Persekutuan juga melihat pandangan Johari itu boleh menjejaskan sokongan pengundi kaum Cina dan India kepada BN kelak.

Kata mereka ini bermakna di kawasan yang mempunyai pengundi bukan Melayu sekitar 20 hingga 30 peratus, BN sukar untuk menang.

Malah kata mereka bukan semua pengundi Melayu mengundi BN atau Umno kerana undi Melayu telah berpecah kepada tiga iaitu Umno, PAS dan PKR.

Kata Samy Vellu, dalam persekitaran di mana masyarakat India mula kembali kepada BN secara beransur-ansur, jangan memandang rendah keperluan sokongan mereka kepada perikatan tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

“Dia menyebabkan kemudaratan besar ke atas budaya politik baru Perdana Menteri yang mahu menyatukan kesemua kaum bersama BN.

“Kita tidak memerlukan ahli-ahli politik macam ini yang menganggap bahawa BN boleh menang dengan hanya pengundi Melayu,” kata Samy Vellu sambil menambah, beliau terkejut untuk mengetahui pemimpin dalam BN sanggup bercakap demikian.

Titiwangsa, majoritinya pengundi Melayu, salah satu bahagian Parlimen di Wilayah Persekutuan yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dua tahun lalu.

Kontrak sosial: Majlis Raja-Raja pandang berat trend politik semasa

BERNAMA

KUALA LUMPUR— Raja-Raja Melayu menitahkan seluruh rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada kontrak sosial iaitu semangat permuafakatan dan persefahaman antara kaum dan persetujuan Raja-Raja Melayu.

“Raja-Raja Melayu berpegang bahawa kontrak sosial yang telah dipersetujui ini merupakan watikah yang menjadi asas kepada keadilan sosial di negara ini yang merangkumi cita-cita bagi mencapai hasrat pembahagian ekonomi secara adil.

“Sikap tolak ansur antara kaum menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 yang berlangsung di Istana Negara pada 13 dan 14 Oktober lepas memandang berat mengenai trend politik semasa yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar kedaulatan Perlembagaan negara.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum akan perkembangan semasa serta kebimbangan yang disuarakan oleh individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berhubung perkara-perkara menyentuh agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu dan bahasa Melayu.

Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan itu memandang serius kewujudan jumlah jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah berat, yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman dan imej negara.

Raja-Raja Melayu bersama Yang Dipertua-Yang Dipertua negeri memahami serta menghargai usaha-usaha kerajaan persekutuan menyatupadukan rakyat berlandaskan semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, Raja-Raja Melayu menitahkan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama supaya terus bersatu serta setia kepada negara demi memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara kerana setiap rakyat mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

Setiap rakyat hendaklah terus menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dan mengelakkan tindak-tanduk yang membawa pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum yang menjejaskan kemakmuran dan keharmonian negara, titah Raja-raja Melayu.

“Demi kedaulatan dan keharmonian negara yang kita kasihi ini, Raja-Raja Melayu berharap rakyat tidak akan memberi peluang untuk penglibatan dan campur tangan pihak luar dalam urusan negara,” menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu turut menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan tidak bertelingkah sesama sendiri berlandaskan semangat persaudaraan Islam, agar kedudukan orang Melayu tidak terpinggir dan terhakis dalam arus pembangunan negara.

“Pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu wajib mencari persamaan, bermuafakat menggunakan hikmah dan kebijaksanaan, melindungi dan membela nasib orang Melayu,” menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa keutuhan bangsa Melayu serta nasib orang Melayu tidak akan terpelihara jika para pemimpin pertubuhan Melayu lebih cenderung untuk bertelagah dan memilih untuk berselisih faham.

“Raja-Raja Melayu berdoa agar Malaysia yang dikasihi ini sentiasa berada dalam keadaan aman damai dan rakyatnya yang berbilang kaum terus bersatu serta kekal makmur dan sejahtera.

“Semoga Malaysia terus mendapat perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata''ala,” menurut kenyataan itu.

Pelajar dakwa guru guna seterika panas kejut untuk solat Subuh

BERNAMA

PASIR MAS — Seorang guru di asrama sebuah sekolah menengah di sini didakwa menggunakan seterika panas untuk mengejutkan 11 pelajar yang lewat bangun untuk menunaikan solat Subuh dalam satu kejadian pada 12 Oktober lepas.

Dua daripada pelajar berkenaan, Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya Muhammad Fairuz, 14, mendakwa kejadian berlaku kira-kira 6.15 pagi ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Berikutan itu kedua-dua beradik tersebut melecur di bahagian kaki dan lengan menyebabkan keluarga mereka membuat laporan polis pada keesokannya.

Mengulas kejadian itu kepada pemberita di sini, Muhammad Al-Hakim berkata pada kebiasaannya penghuni dormitori itu bangun kira-kira pukul 6 pagi untuk bersiap menunaikan solat Subuh.

“Entah kenapa pada hari itu ramai daripada kami nyenyak sangat tidur dan ketika itu saya terkejut apabila terasa sesuatu yang panas pada bahagian tapak kaki kiri dan selepas tersedar saya tengok cikgu tersebut berdiri sambil memegang seterika panas.

“Ketika itu dalam dom kami ada 14 pelajar tetapi tiga daripadanya telah bangun lebih awal menyebabkan mereka terselamat,” katanya.

Adiknya, Muhammad Fairuz mengalami lecur di bahagian lengan kiri akibat terkena seterika panas tersebut.

Muhammad Al-Hakim mendakwa sebelum ini guru tersebut pernah mengejutkan mereka dengan cara merotan, menyimbah air sabun serta menggunakan penyapu yang diletakkan di muka.

Ibu mereka, Siti Fatimah Yusof, 52, berkata dia hanya mengetahui insiden itu pada petang hari kejadian selepas salah seorang saudaranya membawa Muhammad Fairuz pulang ke rumah, menyebabkan dia ke sekolah tersebut dan membawa Muhammad Al-Hakim pulang.

“Saya tidak kisah sekiranya anak saya dihukum atau dilakukan apa sahaja oleh cikgu untuk mengajar tetapi kalau guna seterika panas untuk kejut sembahyang Subuh saya rasa itu bukan cara yang betul,” katanya.

Katanya, dia turut ke sekolah tersebut bagi mendapatkan penjelasan daripada pengetua serta guru terbabit, namun mereka bukan saja tidak memohon maaf bahkan pihak sekolah turut mempertahankan tindakan guru berkenaan.

“Saya hanya mahukan keadilan, sekurang-kurangnya guru tersebut meminta maaf atas kejadian tersebut tetapi sebaliknya mereka mempertahankan tindakan tersebut serta memarahi saya dan meminta saya menarik semula laporan polis yang dibuat,” katanya.

Katanya, Muhammad Fairuz yang merupakan anak kelapannya kini berada dalam keadaan trauma sehingga kadang kala enggan bercakap dan bertemu sesiapa serta takut untuk ke sekolah selepas peristiwa tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliluddin Rahim mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 13 Oktober lepas dan polis telah menahan guru terbabit yang berumur lingkungan 40-an untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata merbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan,” katanya.

Pemandu bas ditahan reman empat hari

BERNAMA

KUALA LUMPUR— Pemandu bas yang mengakibatkan tujuh orang maut dalam satu kemalangan di Km38 Genting Sempah dekat sini malam tadi, kini ditahan reman sementara dirawat di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Pemandu itu S. Muthumani, 40, yang patah kaki kanan dan cedera di muka, kelihatan dikawal rapi oleh seorang anggota polis di Wad 5, di HKL di sini.

Tinjauan Bernama mendapati beliau berseorangan di katilnya, dan polis yang menjaganya tidak membenarkan beliau ditemuramah.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah memberitahu Bernama pemandu bas itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu keadaan di HKLumpur, yang menempatkan lima mangsa kemalangan itu, termasuk dua cedera parah dan kehilangan kaki, turut dikawal ketat oleh polis bantuan hospital itu bagi memastikan tiada kesesakan pelawat sejak awal pagi tadi.

Bagaimanapun kawalan itu dilonggarkan ketika waktu melawat dari pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang dan kelihatan kelima-lima mangsa dikelilingi oleh anggota keluarga terdekat.

Dalam kejadian 7.50 malam tadi, sebuah bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Baling, terbabit dalam kemalangan itu ketika menuruni bukit selepas bertolak dari Genting Highlands.

Sabtu, 30 Oktober 2010

Bekas calon BN maki hamun rombongan MB

M Fakeh

GUA MUSANG: Bekas calon BN Pengkalan Chepa, Nor Idris memaki hamun Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menziarahi rumah bekas Adun Galas, Haji Omar Mohamad, sebentar tadi.

(GAMBAR: Mohd Nor Idris memaki rombongan MB Kelantan di rumah bekas Adun Galas)

Kejadian yang mengejutkan itu berlaku ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz menziarah bekas wakil rakyat Dun Galas dari Semangat 46 di Kampung RPT Sungai Terah selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Maahad Muhammadi Gua Musang.

Rombongan Menteri Besar yang turut disertai anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed dan pegawai-pegawai kanan Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Sebaik sahaja Tuan Guru Nik Abdul Aziz tiba, Haji Omar yang berada di dalam rumah keluar menyambut mesra kehadiran Menteri Besar dan rombongannya.

Kemudian tuan rumah mempersilakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz masuk dan diikuti anggota rombongan. Bagaimanapun ketika tiba di ruang tamu Nor yang juga bekas pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya enggan bersalam dengan Menteri Besar.

Sebaliknya beliau terus menengking dengan mempersoalkan mengapa PAS berkawan dengan DAP.
“Ana tidak mahu bersalam dengan anta selagi PAS berkawan dengan DAP,” kata Nor dengan suara nyaring.

Dengan suara yang keras dengan dilaungkan sekuat hati beliau mengajak Mursyidul Am PAS berdebat.

Ekoran itu Mohd Amar cuba menenangkan keadaan dan meminta Ustaz Nor bertenang, namun pada awalnya beliau enggan dan terus menegangkan urat lehernya.

(Gambar: Bekas Adun Galas, Haji Omar (baju batek biru) menyambut Nik Aziz dan rombongan dengan mesra tetapi Mohd Nor yang ada di situ memaki orang)

Beliau yang memakai baju kameja biru tertera gambar 1Malaysia enggan mendengar nasihat anggota Exco terbabit sehingga menyebabkan anggota rombongan lain cuba menangkan keadaan.

Sebagai tetamu kita hendaklah menghormat tuan rumah. Kita sama-sama tetamu. Saya datang bukan hendak berbahas dengan sesiapa cuma hendak menziarahi tuan rumah,” kata Menteri Besar.

Ustaz Nor terus menengking dengan mengatakan semuanya hendak berpolitik.
Ketika tuan rumah mengangkat air, Menteri Besar meminta Ustaz Nor minum air dahulu bagi menyejukkan emosinya.

Haji Omar hanya memerhati telatah Ustaz Nor yang dianggap boleh mencemarkan imejnya sebagai tuan rumah kerana menengking Menteri Besar yang datang ke rumahnya.

Beliau merupakan bekas Adun Semangat 46 Dun Galas dua penggal pada 1990 dan 1995. Bagaimanapun kerusi itu dirampas semula BN pada pilihan raya 1999 dan 2004 melalui Mohd Saufi Deraman.

Ustaz Nor pernah bertanding di kerusi parlimen Pengkalan Chepa menentang Mohd Amar.
Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan ketika ditemui kemudian melahirkan rasa di atas sikap pemimpin Umno terbabit yang langsung tidak menghormati tetamu yang berkunjung.

“Beliau bukannya tuan rumah untuk menengking tetamu yang datang. Tuan rumah tidak ada masalah cuma Ustaz Nor yang tidak ada kaitan dengan tuan rumah tiba-tiba tidak dapat menahan emosi,” katanya.

Seorang pegawai Yik menyifatkan orang yang waras tidak mungkin menengking orang lain tak tentu pasal.

Aksiden yang berlaku itu menambah lagi koleksi ketempangan kempen Umno. Ia secara langsung mencemarkan moral Umno yang masih terkial-kial mencari arah.

Kem Zaid desak pemilihan PKR dihentikan

Aidila Razak & Abdul Rahim Sabri

Agen calon jawatan timbalan presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim hari ini mendesak supaya dihentikan pemilihan parti itu kerana mendakwa berlakunya penyelewengan yang serius di empat cabang yang mengadakan pengundian memilih pucuk pimpinan parti itu hari ini.
Bagaimanapun, setiausaha jawatankuasa pemilihan, Radin Shamsulkamar Radin Shamsudin (kiri), pula berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali.

"Saya mengawasi seluruh operasi dan saya tidak mempertahankan orang-orang saya tanpa sebab," katanya.

Menurut agen pemilihan Zaid - Rashid Azad Khan dan pembantunya Muhammad Firdaus Christopher - penyelewengan itu berlaku di empat cabang yang tiga daripadanya mencalonkan Zaid untuk jawatan nombor dua itu.

Dalam satu kenyataan, mereka mendakwa kertas undi di Tumpat dan Alor Setar belum tiba sehingga 12 tengahari - dua jam selepas pengundian sepatutnya bermula (10 pagi).

"Ramai ahli yang telah beredar untuk solat Jumaat tanpa mengundi," kata mereka.

Veteran Umno: PAS 'ditendang' kerana mungkir

BERNAMA


Majlis Veteran Umno Kelantan menyangkal kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa PAS telah "ditendang" keluar daripada BN sekitar 70-an dan bukannya PAS yang tidak mahu berkerjasama dengan Umno ketika itu.

Pengerusinya, Datuk Rozali Isohak berkata sebenarnya PAS mungkir dengan janjinya untuk tidak menubuhkan cawangan mereka di kawasan yang dikuasai oleh Umno semasa bergabung dalam BN.

"PAS juga berbalah sesama sendiri, sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan Mageran iaitu Majlis Keselamatan Negara di Kelantan dan dengan keadaan itu menyebabkan pemimpin Umno merasai PAS tidak perlu bersama BN lagi," katanya kepada Bernama.

Rozali yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan diminta mengulas kenyataan Nik Aziz yang dari satu aspek menyebut bahawa parti itu telah ditendang daripada BN pada tahun 70-an selepas dipelawa Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein dan bukannya PAS tidak mahu bekerjasama dengan Umno.

Nik Aziz dalam ulasannya seperti yang tersiar dalam laman portal Harakah Daily yang diberi tajuk "Fatwa `Ikut Suka PAS': Umno Keliru dan Terus Keliru" yang antara lain menyebut bahawa PAS dengan ikhlas menyambut ajakan masuk bergabung ke dalam BN oleh Tun Razak pada 1973 yang kemudiannya menjadi perangkap bagi PAS.

PAS, katanya bergabung dengan Umno membentuk BN demi perpaduan, namun hasilnya PAS khususnya di Kelantan berpecah kepada empat iaitu PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa.

PAS menurut Menteri Besar Kelantan itu hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut dan seterusnya membawa kepada peristiwa PAS ditendang daripada BN dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978.


Sheikh Muszaphar: Perlu angkasawan wanita

BERNAMA


Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha mencadangkan wanita dipilih sebagai angkasawan berikutnya bagi membuktikan bahawa semua pihak berpeluang ke angkasa lepas tanpa mengira jantina.

Beliau berkata apa yang penting, misi angkasawan negara berikutnya perlu berbeza dengan misi yang dilakukannya sebelum ini, terutama kajian dalam bidang sains, teknologi dan pendidikan.

"Kita mesti hantar wanita negara kita ke angkasa lepas, tetapi hendaklah dalam bentuk objektif yang berbeza sekali daripada angkasawan pertama.

"Kita mesti menumpukan kepada bidang sains, teknologi dan pendidikan yang perlu kita kaji bila berada di sana," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Seminar Pelajar dan Kerjaya Bersama Angkasawan Negara di Kota Bharu hari ini, yang dihadiri lebih 1,000 pelajar.

Sheikh Muszaphar Shukor telah dipilih oleh Jawatankuasa Pemilihan Angkasawan Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roscosmos) sebagai angkasawan pertama Malaysia untuk menyertai misi ke angkasa lepas pada 2007.

Pakar ortopedik dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu berada selama 10 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dan telah menyempurnakan dua ujian berkaitan penghabluran protein yang membawa kepada aplikasi paten serta cap dagang.

Selain beliau, Malaysia turut mempunyai seorang lagi angkasawan iaitu Mejar Dr. Faiz Khaleed.

Sheikh Muszaphar Shukor juga berkata ketika ini, ramai orang terutama pelajar, belum mengetahui nama planet dan apa sebenarnya angkasa lepas itu dan mereka wajar diberi pendedahan secara agresif bagi melahirkan minat untuk menjadi angkasawan pada masa depan.

"Objektif menghantar angkawasan pertama ialah menyuntik inspirasi kepada rakyat Malaysia, dan ini sudahpun tercapai," katanya.

Beliau juga bersetuju bahawa dalam tempoh terdekat ini, negara sebenarnya belum bersedia menghantar angkasawan lain ke angkasa lepas kerana membabitkan kos yang tinggi.

Katanya, negara memerlukan masa sekurang-kurangnya lima sehingga 10 tahun lagi sebelum bersedia menghantar seorang lagi angkasawan ke angkasa lepas.

"Tanggapan ia satu pembaziran tidak benar kerana setiap penghantaran angkasawan itu ada objektif dan kebaikan untuk negara, dan sebab itu, kita perlu mengetahui dengan jelas apakah objektif yang kedua, jika mahu menghantar angkasawan berikutnya," katanya.


Hanya 34 peratus pensyarah PhD di IPTA

BERNAMA


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan 75 peratus pensyarah yang berkelulusan doktor falsafah (PhD) mengajar di di setiap 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata sasaran itu meliputi kepakaran dalam semua bidang pengajian di IPTA.

"Kita harap dengan memiliki ramai pensyarah berkelulusan PhD ia dapat melahirkan lebih ramai pelajar berkeupayaan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Bahagian Pendidikan Masyarakat Kemas Parlimen Temerloh di Kampung Pangsenam dekat Temerloh, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya difahamkan hanya 34 peratus pensyarah di IPTA mempunyai kelulusan berkenaan dan ia masih tidak mencukupi bagi menghasilkan mahasiswa yang baik dan kompetitif.

"Kita mahu pensyarah yang lebih pandai daripada pelajar dan mempunyai personaliti yang baik bagi menghasilkan IPTA bertaraf dunia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pensyarah kanan kini boleh terus dinaikkan pangkat ke jawatan "Turus" tanpa perlu memegang jawatan di bahagian pengurusan.

Katanya, sebelum ini mereka (pensyarah kanan) perlu memegang jawatan Naib Canselor terlebih dahulu sebelum dilantik ke jawatan Turus.

Beliau juga berberharap pihak pengurusan universiti kelak menggunakan Bajet 2011 sebaik-baiknya bagi meningkatkan lagi kualiti pengurusan dan melahirkan mahasiswa yang kreatif dan kritis.

"Pada pembentangan Bajet 2011, KPT telah menerima penambahan peruntukan sebanyak 14.5 peratus iaitu sebanyak RM10.2 bilion berbanding RM8.9 bilion bajet tahun 2010.

"Penambahan bajet itu menunjukkan kerajaan peka terhadap keperluan universiti bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan mampu memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dan profesional," kata Saifuddin.


Modul PLKN akan dikaji semula

BERNAMA


Modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dikaji semula bagi menerapkan nilai ekonomi untuk disesuaikan dengan pasaran tenaga kerja, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata melalui modul baru itu, sektor awam dan swasta akan memberi pengiktirafan kepada pelatih PLKN dengan memberi keutamaan kepada mereka ketika mengambil pekerja.

"Jabatan Latihan Khidmat Negara, badan profesional, bekas pelatih, jurulatih dan masyarakat umum akan membuat kajian menentukan apakah bentuk nilai ekonomi itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Kementerian Pertahanan di Kem Permata Resort, Air Paabas di Alor Gajah malam tadi.

Ahmad Zahid berkata ia juga akan mengkaji kemungkinan melanjutkan lagi tempoh latihan PLKN yang kini selama tiga bulan.

Modul PLKN sedia ada melibatkan khidmat komuniti, latihan fizikal, pembinaan karakter dan kenegaraan.

Kira-kira 500,000 remaja berusia 18 tahun (lepasan Sijil Pelajaran Malaysia) telah mengikuti PLKN sejak ia dilaksanakan pada 2004, dan membabitkan kos sebanyak RM3.8 bilion, katanya.

Beliau berkata hasil kajian sebuah universiti tempatan yang dibentangkannya kepada jemaah menteri baru-baru ini, mendapati pelaksanaan PLKN telah mencapai matlamat penubuhannya, dan kabinet memberi penghargaan terhadap kejayaan itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata seramai 3,168 jurulatih PLKN akan diperkasa melalui seminar Transformasi Kejurulatihan Unggul.

Katanya, mereka akan dilengkapi pelbagai pengetahuan berkaitan tugas masing-masing supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.


Orang kuat S'wak sedia masuk gelanggang

KS Paul

Ahli politik heavyweight Sarawak Salleh Jafaruddin kini bersedia kembali masuk gelanggang untuk menghadapi pilihan raya umum negeri itu yang akan datang.

Bekas timbalan menteri pelajaran itu bagaimanapun masih belum menyatakan akan menyebelahi parti politik yang mana.

Beliau meluahkan perkara itu kepada Malaysiakini dalam temu bual di rumahnya di Petaling Jaya.

Terdapat spekulasi kamu mahu kembali aktif dalam politik Satawak. Adakah ini benar?

Saya tidak pasti daripada spekulasi ini muncul. Perkara ini menarik memandangkan saya sudah lebih 20 tahun tidak terlibat dalam arena politi.

Tetapi saya mesti katakan, ia berbaloi untuk dipertimbangkan. Saya banyak masa lapang sekarang. Kesihatan pun baik. Banyak teman-teman menggalakkan saya kembali membantu pemimpin muda di Sarawak.

[Bekas presiden Pervez] Musharraf juga merancang kembali dan memimpin Pakistan, Kembali ke rumah, hingga Umno pun minta Tengku Razaleigh Hamzah jadi calon di Galas.

Saya kadang-kadang rasa, jika seseorang itu merasakan masih mampu menyumbangkan perkhidmatannya kepada negeri dan negara, dia perlu menjadi warganegara yang bertanggungjawab. Kembali dan berkhidmatlah jika perkhidmatan kamu masih diperlukan.

Saifuddin: Bahang pusat tak sampai ke cabang

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata peratusan keluar mengundi yang rendah pada hari pertama pemilihan parti, antaranya mungkin disebabkan oleh bahang kehangatan pemilihan jawatan kanannya tidak sampai ke peringkat cabang.

"Apa yang berlaku sekarang tidak menggambarkan seperti mana pemilihan di peringkat cabang dahulu," kata Saifuddin ketika ditanya sebab-sebab berlakunya fenomena itu.

Semalam, semakan Malaysiakini mendapati, daripada sembilan cabang yang mengadakan pemilihan jawatan dalam majlis pimpinan pusat PKR, peratusan keluar mengundi amat sedikit.

Contohnya, di Pokok Sena, daripada 314 anggota, hanya 24 orang sahaja yang hadir mengundi.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Saifuddin menjelaskan, setakat semalam, hanya 15 hingga 20 peratus sahaja anggota parti itu yang turun memilih calon-calon yang bertanding.

Menurutnya, jika trend ini berterusan, mungkin sasaran 75,000 anggota - seperti semasa pemilihan di peringkat cabang sebelum ini- terlibat dalam pemilihan sukar dicapai.

Sementara itu, Saifuddin juga berpendapat, fenomena tidak keluar mengundi itu juga mungkin berlaku kerana pemilihan di peringkat cabang baru sahaja tamat.

Hanya aduan kelewatan

"Jadi, mobilisasi (supaya keluar mengundi) kena dibuat dua kali," jelasnya yang juga ahli parlimen Machang.

Sehubungan itu, Saifuddin menyeru kesemua 400,000 anggota parti itu menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.

"Kita (sekretariat) sudah sediakan yang terbaik. Jadi, saya harap mereka turun beramai-ramai mempraktikkan demokrasi melalui sistem 'satu ahli, satu undi' yang diperkenalkan ini," katanya.

Ditanya tentang aduan rasmi yang diterima setakat ini, Saiffuddin berkata, pihaknnya baru menerima beberapa aduan berhubung kelewatan memulakan pengundian.

Sementara itu, semakan Malaysiakini setakat jam 3 petang ini, peratusan keluar mengundi bagi memilih pucuk pimpinan parti masing kurang memuaskan.

Di cabang Kuantan, difahamkan baru 100 daripada 1,400 pengundi hadir melaksanakan tanggungjawab mereka. Manakala di Seremban sebanyak 110 dari 2,800 berbuat demikian.

Di Teluk Kemang pula setakat jam 12.30 tengah hari tadi, difahamkan seramai 70 daripada kira-kira 2,000 pengundi, telah membuat pilihan mereka.

Beberapa pemimpin cabang berpendapat perkara itu disebabkan anggota PKR yang rata-rata berpendapatan rendah di luar bandar masih terpaksa keluar bekerja pada hari ini.

PAS Berjaya Robohkan Tembok Penghalang Di bumi Sabah

SABAH DAILY



Jefrey Kidung Benang lelaki berusia lebih separuh abad dari Merotai Tawau yang saya temui di Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah(HEMPAS) Ahad lalu adalah seorang penganut agama Kristian yang taat dan berstatus seorang paderi dari suku Dusun

Beliau bersama menantunya Robert Genggai adalah antara penggerak utama penduduk Merotai yang memperjuangkan hak mereka ke atas tanah yang diteroka lebih 30 tahun lalu yang kini dirampas secara rakus oleh kerajaan Umno Barisan Nasional pimpinan Musa Aman.

Di dalam sebuah negeri yang dipimpin parti perkauman Umno Barisan Nasional, dan negeri yang menjadi tali hayat kepada Umno/BN,Perjuangan Parti Islam Semalaysia(PAS) tentu sekali sesuatu yang begitu asing bagi Encik Jefrey yang memilih DAP sebagai platform memperjuangkan haknya.Begitulah rata ratanya sikap rakyat Sabah yang ketandusan sumber maklumat semasa untuk lebih mengenali PAS yang sudah 20 tahun memerintah Kelantan tanpa seekarpun tanah rakyat dirampas.

Tetapi kesungguhan Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat yang dipimpin saudara Mazlan Aliman dalam menangani isu tanah telah berjaya merobohkan tembok penghalang untuk PAS mendekati rakyat dari negeri negeri Borneo yang terdiri dari berpuluh puluh suku kaum yang begitu berbeza dari Semenanjung Malaysia.

Kunjungan Mazlan Aliman bersama rombongan dari Lujnah Tanah PAS Pusat ke Merotai awal tahun lalu untuk melihat sendiri kesan kerakusan kerajaan Barisan Nasional ke atas tanah bumiputera Sabah itu telah membuka mata rakyat untuk lebih mendekati PAS.

Bagi Encik Jefrey beliau tidak berselindung lagi di hadapan siapa juga,dengan penuh bangga beliau berkata,”Darah daging yang berada dalam dalam tubuh badan saya adalah darah daging PAS”.Inilah ungkapan yang beberapa kali diucapkan beliau di hadapan penulis sendiri.Katanya beliau tidak pernah berselindung lagi walaupun di hadapan pemimpin atau penyokong Barisan Nasional.

Kunjungan Lujnah Tanah PAS telah membawa beliau ke tangga Parlimen seterusnya bertemu pemimpin negara termasuk Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia yang juga pemimpin dari Sabah,Nazri Aziz,ahli Parlimen PAS dan Pakatan Rakyat yang lain seterusnya penyerahan Memorandum kepada Perdana Menteri pada April 2010 .

Dalam ucapan Robert Genggai menantu kepada Jefrey yang diberi peluang berucap di Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah(HEMPAS) Ahad lalu,beliau sangat sangat menghargai kesungguhan PAS dalam membantu mereka.

Katanya tanpa bantuan daripada PAS beliau tidak tau mana pintu masuk ke Parlimen,mana tangga naik ke Parlimen,bagaimana hendak bertemu Menteri.Dalam kunjungan tersebut mereka juga dapat mengenali PAS dengan lebih dekat apabila dapat berkunjung ke Kelantan melihat sendiri kediaman Menteri Besar Kelantan yang begitu sederhana berbanding dengan rumah Musa Aman Ketua Menteri Sabah.

Sempena dengan himpunan HEMPAS yang dianjurkan PAS di Dewan Hokka Sandakan Ahad lalu yang dirasmikan sendiri Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Jefrey membawa bersama penduduk kampung dari Merotai ke himpunan bersejarah yang dihadiri lebih 2000 rakyat Sabah itu.

Sebahagian mereka yang hadir ke himpunan bersejarah tersebut datang seawal hari Sabtu dengan konvoi kereta dan bas dari seluruh pelusuk bumi Sabah menempuh perjalanan mencecah sepuluh jam melalui jalan jalan dari banjaran gunung ganang sekeliling bumi Sabah.

Seperkara yang perlu diketahui perjuangan PAS dalam isu tanah dan setinggan di Sabah bukanlah baru bermula pada tahun ini,tetapi telahpun dimulakan seawal kemunculan PAS di negeri ini pada tahun 1985.Inilah yang ditegaskan Hj Hamzah Abdullah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah yang bertanggungjawab membawa PAS Ke Sabah.

Namun mungkin disebabkan factor kekurangan tenaga serta sistem perhubungan di negeri Sabah yang begitu jauh ketinggalan ditambah dengan bentuk muka buminya yang bergunung ganang pasti sahaja menyukarkan sesiapa sahaja yang mahu menyampaikan mesej perjuangan kepada rakyat marahain yang tinggal di kawasan pedalaman.

Dengan pertambahan tenaga PAS di negeri Sabah ,moga sinar bulan purnama bakal menerangi negeri di bawah bayu ini.

Oleh: ARIS FEZUL BIN ISMAIL
SETIAUSAHA LUJNAH TANAH PAS PUSAT

Umno-BN Lebih Pentingkan Projek Mega Dari Pendidikan Untuk Rakyat

Oleh Fazli Othman

khalid7KUALA LUMPUR - Kerajaan Umno-Barisan Nasional lebih mementingkan pembinaan projek mega seperti Menara Warisan Merdeka 100 tingkat daripada memperuntukan dana bagi program latihan dan kemahiran untuk belia di negara ini.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan Umno-BN lebih sanggup membelanjakan lebih lima kali ganda daripada peruntukan Bajet 2011 untuk pembinaan kota di awang-awangan sementara warga belia dan golongan pekerja gagal diberikan pendidikan, kemahiran dan latihan yang diperlukan untuk memasuki alam pekerjaan berpendapatan tinggi.

"Jumlah yang diperuntukkan untuk membangunkan minda anak muda negara bagai setitis air di lautan luas dibandingkan dengan jumlah yang akan dibelanjakan untuk membina menara megah, mencantikkan istana dan membeli kapal selam yang tidak mampu menyelam.

"Rakyat bukan mengharapkan menara pencakar langit sebaliknya sekadar mengharapkan peluang sebenar untuk meningkatkan kemahiran dan kedudukan mereka untuk menyara kehidupan," kata beliau semasa perbahasan Bajet 2011 di Parlimen semalam.

Tambahnya lagi, kerajaan Umno-BN hanya menumpukan terhadap membina bangunan sekolah dan infrastruktur semata-mata tanpa menghiraukan institusi pendidikan yang lebih utuh dan jitu.

"Apa gunanya kita membina bangunan sekolah indah mempersona dan kemudahan penyelidikan bertaraf dunia sedangkan semangat untuk mencari ilmu itu sendiri, terkongkong dan terbelenggu oleh undang-undang zalim seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

"Kerajaan juga alpa berhubung latihan vokasional untuk pelajar yang mampu menyumbang ke arah pembangunan negara.

"Sikap mementingkan perkakasan dan bukannya perisian tidak pernah berubah sejak kerajaan Umno-BN mentadbir negara," tegasnya lagi.

Apa yang lebih malang kata Abdul Khalid, di dalam keadaan negara tidak mempunyai ekonomi yang berteraskan golongan pekerja berpendapatan tinggi, kerajaan Umno-BN pula berbelanja secara boros dan tidak terkawal.

Anwar Lawan Umno-BN Seperti Nabi Musa Lawan Firaun

Oleh Dzulkarnain Taib

Anwarbatusapi2SANDAKAN - Bekas Ahli Parlimen Kemaman, Abdul Rahman Yusof berkata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih jalan sukar melawan kekuasaan Umno dan Barisan Nasional untuk membela rakyat daripada ditindas dan dianiaya kerana inilah pendekatan yang digunakan oleh Nabi Musa ketika menentang kezaliman Firaun dahulu.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Politik kepada Anwar menegaskan disebebkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu berpihak kepada rakyat dan mempertahankan hak mereka sebagai warganegara Malaysia, Umno-BN telah menggerahkan segala jentera politik dan kerajaan untuk mengaibkan beliau melalui fitnah liwat.

"Umno dan BN mahu mengaib dan memalukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan melemparkan tuduhan yang sebegini jijik supaya rakayta di kampung, orang Melayu pandang beliau dengan dan tidak mempercayai beliau.

"Kalau Anwar hendak jadi kaya dia boleh angguk sahaja apa yang Mahathir hendak, rasuah ok, dia boleh jadi Perdana Menteri tetapi beliau tidak akan pandang rakyat miskin di bawah. Beliau akan hanya jumpa tauke-tauke Cina kaya, dia akan pandang orang-orang kaya sahaja, yang jumpa dia sebab nak projek, yang hanya akan jumpa dia nak bagi rasuah, nak projek ini nak projek itu seperti pemimpin umno-BN yang ada seperti sekarang.

"Anwar memilih untuk membela umat Islam, bela rakyat miskin yang teraniaya yang kebanyakannya adalah umat Islam Bumiputera. Sebab itulah tuan-tuan tidak ada pilihan dalam pilihan raya ini kerana rakyat di Semenanjung sudah menolak BN dan memilih Pakatan Rakyat yang diketuai Anwar," kaytab Abdul Rahman ketika berceramah di Kampung Sundang, Sekong semalam.

Beliau berkata walaupun Umno-BN berusaha mematikan karier politik Anwar dan cuba sekali lagi untuk memenjarakan beliau, namum umat Islam dunia telah mengangkat martabat beliau saebagai pemimpin Islam yang ulung.

"Semasa dialog antara dunia Barat dan Islam yang diadakan di Baitul Muqaddis tahun ini, antara 1.5 bilion umat Islam, mereka telah melantik Anwar sebagai salah seorang daripada empat tokoh terkemuka dunia Islam untuk menyelesai persengketaan antara orang Islam dan penganut Kristian. Oleh kerana itu Mahathir, Pak Lah dan Najib amat takut kepada manusia ini dan sebab itu mereka buat fitnah terhadap beliau," jelas beliau lagi.

Justeru, Abdul Rahman menyeru rakyat Sabah tidak tertipu lagi dengan dakyah Umno-BN yang mahu rakyata negeri ini terus miskin dan hidup dalam kehinaan kerana dengan cara itu mereka boleh terus memerintah.

"Pada pilihan raya ini kita katakan cukup kepada BN kerana merompak harta Sabah, cukup mengambil bertimbun-timbun duit Sabah dan cukup menganiaya rakyat Sabah.

"Kalau Umno-BN mahu bina mebara 100 tingkat kita di kampung kena tanya apa manfaat kita dapat. Menara berkembar Petronas, berapa ramai rakyat kampung Sabah yang berpelunag menjejak kaki ke bangunan itu, apa faedahnya kepada rakyat Sabah. Yang kita tahu menara Petronas di bina atas duit wang royalti negeri Terengganu tapi rakyat Terengganu tidak dapat apa-apa terus miskin," tambanhnya.

Anwar Minta Rakyat Batu Sapi Cipta Sejarah Cetus Perubahan Di Sabah

Oleh Dzulkarnain Taib
AnwarTaitongSANDAKAN - Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa mesej jelas kepada rakyat Sabah khususnya pengundi Batu Sapi supaya segara membuat perubahan yang kritikal dalam usaha Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Bercakap kepada pengundi di Dewan Serbaguna Tadika Tai Tong malam tadi, Anwar menegaskan seperti rakyat Sibu, Sarawak yang menolak Barisan Nasional pada pilihan raya kecil padsa Mei lalu, pengundi Batu Sapi juga mampu menghantar mesej yang terang kepada BN bahawa rakyat di kawasan parlimen ini juga menolak mereka.

"Pemimpin Umno dan BN sombong dan bongkak dan mereka tidak membela rakyat yang miskin. Balak mereka ambil , hasil minyal mereka sapu, tanah rakyat mereka rampas. Apa yanb rakyat dapat, mereka terus miskin, hidup melarat dan menjadi kuli dan hamba kepada tauke-tauke kaya.

"Berapa lama dia mahu tipu rakyat? Akhirnya apa yang kita lihat di Sibu, kubu kuat mereka berjaya kita rampas dan Sibu menjadi petanda gelombong perubahan di Sabah. Rakyat Batu sapi juga mampu cipta sejarah sebagaimana rakyat Sibu.

"BN perintah Sabah hampir 50 tahun, air hujan banyak tapi bekalan air rakyat tidak ada. saya pernah pergi ke Mali, sebuah negara Afrika, juga di sana tidak ada air sebab hujan turun hanya dua kali setahun. Di sini air banyak tapi air untuk minum tidak ada," tegas Anwar yang terus menemui pengundi daripada kalangan masyarakat Cina di kawasan Karamunting.

Mesej yang sama di bawa kepada penduduk miskin di Kampung Gas Besar yang merupakan penempatan masyarakat Melayu yang hidup dalam keadaan serba dhaif.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata rakyat Batu Sapi tidak ada pilihan melainkan memenangkan wakil Pakatan Rakyat sekiranya mahu suara mereka diangkat dan diutarakan dalam Parlimen.

"Saya mahu rakyat Batu Sapi memberi peluang kepada Pakatan Rakyat dengan mengundi calon kita, Haji Ansari Abdullah. Saya berjanji sebagai pengerusi Pakatan Rakyat jika tuan-tuan dan puan-puan pilih dia, kami akan pantau prestasi dia, kalau tidak buat kerja kita humban dalam laut kata Anwar secara berseloroh.

"Tinggal Serumah, Tak Buat Apa-Apa" - Aida Khalida


Aida kini lebih tenang hidup solo.

PETALING JAYA: Pelakon Aida Khalida mengaku bahawa bekas suami, Joe Radzwil tinggal serumah dengannya selepas disahkan bercerai talak satu pada 25 Ogos lalu.

Bagaimanapun, Joe telah keluar daripada rumah tersebut kira-kira dua minggu lalu.

Menurut Aida, dia terpaksa membiarkan Joe tinggal bersama untuk memberi peluang kepeada bekas suaminya itu mencari rumah baru.

"Dah 10 tahun kami bersama, takkan saya tidak berhati perut menghalaunya keluar. Saya memberi tempoh kepada Joe untuk mencari tempat tinggal baru.

"Saya tahu ada beberapa media yang gosipkan tentang kami. Walaupun kami tinggal serumah, saya masih lagi menutup aurat, malah kami tidur belainan bilik.

"Bukankah saya sudah "berhijrah"? Perkara-perkara sebegini sudah semestinya saya titik beratkan.

"Rasanya saya tidak perlu memberitahu semua orang apa yang kami buat di rumah. Orang luar memang suka mengandaikan macam-macam hal, tetapi ia sebagai pengajaran buat kami," jelasnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Tambah Aida yang masih dalam tempoh edah, walaupun tinggal bersama, tidak pernah berlaku rujuk atau merancang untuk rujuk semula kerana keputusan (cerai) telah pun dibuat.

"Ini semua salah faham. Lagipun, bila saya balik rumah, dia tak ada dan bila dia balik rumah, saya pula yang tiada. masing-masing buat hal sendiri.

"Walaupun dia mahu kembali bersama saya dan mengajak untuk berkahwin semula, rasanya penceraian adalah yang terbaik buat kami.

"Tiada lagi perasaan sayang yang berbangkit," ujarnya yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Seribu Kali Cinta.Melalui kehidupan solo semula, Aida kini lebih selesa dengan kehidupan barunya.

Baginya, ia merupakan satu rahmat yang diterima daripada Allah S.W.T untuk menjadikannya seorang wanita yang lebih tabah mengharungi kehidupan bersendirian.

"Kini hidup saya lebih positif. Walaupun penceraian itu nampak seperti buruk, ia ada kebaikannya. Kadang kala, penceraian bukanlah suatu perkara yang teruk. Saya percaya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambanya.

"Apapun, buat masa sekarang ini saya enggan berfikir tentang kahwin atau mencari teman hidup baru.

"Bagi saya, jika mempunyai seseorang untuk dijadikan suami, saya perlu menunaikan tanggungjawab saya sebagai isteri lagi sekali. Kalau pengorbanan itu dihargai, tak apa juga," ujarnya yang sedang merancang membuka perniagaan sebagai pemborong tudung

Umno-BN akan buat apa sahaja untuk menang - PAS

GUA MUSANG - Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mendakwa Umno-BN sanggup melakukan apa sahaja bagi merampas kembali Dun Galas yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Kenyataan demikian dibuat pada satu sidang media di Markaz Besar PAS pagi tadi.

Ujarnya, Umno-BN akan menggunakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mengeluarkan kad pengenalan dan melaburkan wang kepada pengundi-pengundi supaya menyokong mereka.

"Jika terpaksa buat untuk mendapatkan sokongan, Umno-BN akan tawarkan sogokan kepada pengundi-pengundi di sini.

"Malah saya percaya Umno-BN akan menghantar petugas-petugas mereka untuk menyamar sebagai pengundi ketika hari pengundian nanti (4 November).

"Ini memang amalan tradisi Umno-BN, bila terpaksa mereka akan beli undi untuk menang," tegasnya kepada pemberita.

Wan Abdul Rahim yang juga ahli parlimen Kota Bharu menggesa agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik bagi mengelak wujudnya penipuan dan penyamaran semasa hari pengundian nanti.

Sementara itu, beliau turut menolak dakwaan wujudnya 'perjanjian' antara PAS dengan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, Tengku Razaleigh Hamzah dalam isu royalti minyak.

Ia ekoran terdapat desas-desus yang menyatakan agar isu tersebut tidak dibangkitkan pada kempen pilihan raya kecil ini.

"Tiada sebarang perjanjian pun," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai isu royalti minyak yang tidak dibangkitkan pada pilihan raya ini beliau berkata ia berbuat demikian dengan menggunakan penceramah yang berkebolehan.

"Kita akan bangkitkan (royalti minyak) tapi sekarang kita tidak mempunyai penceramah yang berkebolehan seperti Dato' Husam Musa (Exco Kerajaan Negeri Kelantan) dan Salahuddin Ayub (Naib Presiden PAS).

"Bukan semua orang PAS boleh cakap isu ini, royalti minyak kalau nak bercakap perlu ada fakta dan pengetahuan yang tinggi, baru boleh cakap," ujarnya.

Kemenangan Galas perkukuhkan kerajaan Islam

BULETIN ONLINE

GUA MUSANG: PAS menyifatkan kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil N45 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas 4 November depan penting bagi memperkuatkan kerajaan Islam Kelantan.


Meski pun, jika kekalahan PAS mempertahankan kerusi tersebut tidaklah menjatuhkan kerajaan tetapi kemenangannya memperkuatkan kerajaan PAS Kelantan.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Gerak Kerja Jentera Pilihan Raya Kecil PAS Terengganu di Surau Kampung Tanjung Keriting, Galas, 26 Oktober lalu.

Katanya, kerajaan Islam Kelantan yang diterajui oleh PAS wajar dipertahankan setelah berjaya dibina sejak 20 tahun lalu.

“Pentingnya pilihan raya (Dun Galas) ini kerana untuk menguatkan lagi kerajaan Islam yang telah kita (PAS) bina selama 20 tahun di Kelantan.

“Walau pun (jika) kalah satu kerusi (Galas) ini tidak jatuh lagi kerajaan tetapi dengan menangnya satu kerusi ini menguatkan kerajaan kita (PAS),” tegasnya.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab kepada PAS untuk menyelamatkan manusia dengan Islam.

Oleh itu, katanya selagi ada cara yang damai dengan memujuk serta boleh berkempen dengan baik Islam hendaklah memilih cara tersebut.

“Ini (memerintah) menjadi kita (PAS) untuk menyelamatkan manusia dengan Islam. Selagi ada cara damai, dengan cara memujuk, boleh berkempen dengan baik. Islam hendaklah memilih cara baik,” ujarnya.

Menurutnya, PAS menyertai pilihan raya adalah bagi menegakkan Syariat Islam melalui sokongan rakyat yang ramai.

Katanya, amalan demokrasi yang diperkenalkan oleh barat membolehkan mana-mana parti berkempen dan memujuk hingga menubuhkan kerajaan.

Sebab itu, kata Ustaz Abdul Hadi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyertai pilihan raya kerana dibenarkan dalam feqah Islam.

Hadir sama pada majlis tersebut Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad, Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat, Setiausaha PAS Terengganu, Yahya Ali, Bendahari PAS Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid, Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

TPM umum masjid baru RM5 juta di Batu Sapi

BERNAMA


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM5 juta untuk membina sebuah masjid baru di kawasan Batu Sapi.

Beliau berkata berkata masjid berkenaan adalah untuk memberi keselesaan kepada ribuan penduduk Islam di kawasan berkenaan untuk menunaikan ibadat.

"Oleh kerana di sini terdapat ribuan umat Islam maka kita luluskanlah. Inilah berkat kita ada kuasa dan kemampuan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lupak Meluas di Sandakan.

Projek PPR berkenaan melibatkan pembinaan 500 unit rumah dengan kos setiap blok dianggarkan antara RM80,000 dan RM100,000 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Rumah yang mempunyai kemudahan tiga bilik tidur, dua bilik air, dapur, ruang tamu serta dilengkapi dengan bekalan elektrik dan air adalah untuk penduduk setinggan di kawasan itu dengan penghuni dikenakan sewa sebanyak RM124 sebulan.

Menurut Muhyiddin kesediaan kerajaan memberi peruntukan untuk membina masjid, rumah, sekolah dan memberi bantuan kepada rumah-rumah ibadat lain seperti gereja, tokong dan kuil adalah kerana kerajaan BN ada kuasa dan kemampuan.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat perlu terus memberi kepercayaan kepada BN untuk memerintah negara ini kerana hanya kerajaan BN mampu menunaikan janji meskipun kadang-kadang mengambil masa kerana perlu memenuhi prosedur tertentu.

Tidak seperti parti pembangkang katanya, seperti PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang cuma gah menjanjikan bulan dan bintang meskipun menyedari mereka tidak mampu menunaikannya kerana tidak ada kuasa.

Muhyiddin meminta penduduk Sabah dan Batu Sapi khasnya supaya tidak terpedaya dengan pelbagai isu yang cuba dibawa pembangkang untuk meraih simpati kerana ia cuma akan merugikan rakyat Sabah sendiri.

"Ada pihak yang datang sini menjanjikan bulan dan matahari. Sebenarnya mereka tidak ada kuasa dan tidak akan mampu melaksanakannya. Kalau 10 (Datuk) Yong Teck Lee pun, Yong Teck Lee tidak mungkin dapat bina sebuah untuk rakyat di Sandakan.

Menurut Muhyiddin slogan "Sabah untuk Rakyat Sabah" yang digembar-gemburkan SAPP merupakan perkara lama tanpa menyedari bahawa ramai rakyat Sabah sekarang sudah maju malah ramai di kalangan mereka memegang jawatan tinggi di semenanjung.

"Begitu ramai rakyat Sabah yang maju. Bukan sahaja di Sabah malah di Kuala Lumpur. Mereka menjawat jawatan tinggi. Menteri ada, ketua pengarah ada Peguam Negara ada dan banyak lagi. (Mereka) Bukan untuk Sabah sahaja tetapi untuk negara kita Malaysia," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata isu yang penting sekarang ialah untuk memantapkan Sabah dengan meletakkannya di tempat yang wajar sesuai dengan kedudukannya sebagai negeri kedua terbesar di negara ini.


Umno: Nampak sangat PAS tak boleh selesai masalah

Salhan K Ahmad

Ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai kedatangan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V ke satu kawasan di Gua Musang sebelum ini.

Kedatangan Sultan Muhammad sebelum ini dipercayai berkaitan masalah tanah yang dihadapi sekumpulan masyarakat di kawasan tersebut.

"Tapi kalau sultan sendiri kena datang selesai, nampak sangat kerajaan negeri tak boleh selesaikan (masalah)," kata Ahmad ketika bercakap kepada pemberita di bilik gerakan BN di Bukit Cekati hari ini.

Beliau menjawab soalan berkenaan yang sebenarnya diajukan kepada calon BN Abdul Aziz Yusof.

Turut ditanya ialah sebab kedatangan Sultan Muhammad V ke kawasan itu sebelum ini, yang ketika itu bergelar Tengku Mahkota Muhammad Faris Petra.

Isu mengenai kedatangan Sultan Muhammad V ke kawasan pilihan raya kecil DUN Galas timbul semalam apabila desas-desus mengenainya dikutip oleh sebuah blog.

Pengelola istana Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad semalam bagaimanapun menafikan desas-desus bahawa Sultan Kelantan akan menyertai kempen pilihan raya kecil DUN Galas.

PAS-DAP: Kempen Umno makin terdesak di Galas

Nazri Abdullah

GUA MUSANG: Siri kempen Pilihan Raya Kecil Galas memperlihatkan Umno terus terdesak apabila cuba menyamakan bentuk kerjasama Umno-MCA dengan PAS-DAP.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bentuk kedua-dua kerjasama tersebut adalah sangat jauh berbeza di mana Umno perlu wala' (patuh) kepada MCA biarpun terpaksa menggadai perinsip Islam.

Manakala dalam hubungan PAS-DAP, kedua-duanya hanya bertahaluf (berkerjasama) atas perkara yang sependapat, tanpa menyentuh atau menggadai perinsip Islam.

"Ada dua kerjasama- kerjasama tahaluf, iaitu satu kesefahaman di dalam menentang kezaliman dengan tidak menggadaikan prinsip Islam yang telah ditetapkan oleh Allah.

"Kerjasama kedua ialah kerjasama wala' yang memberi kelonggaran kepada Islam dengan menggadaikan ketetapan Islam sehingga sanggup menentang Islam," katanya.

Beliau menjawab dakwaan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen di kawasan masyarakat Orang Asli Galas bahawa, PAS hanya membuat fatwa ‘ikut suka’ demi kepentingan diri.

Timbalan Perdana Menteri itu merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi pada satu ceramah di sini yang menjelaskan kerjasama PAS-DAP adalah tidak salah dan berbeza dengan kerjasama Umno-MCA.

Semalam, memberi respons isu sama, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz melahirkan rasa hairan di atas sikap ‘buat-buat tak faham’ Umno melihat perbezaan tersebut.

"Kadang-kadang terfikir juga pasal apa tak faham sangat Umno ini pada hal telah berkali-kali kita beri penjelasan.

"Kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

"PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud," katanya.

Mengulas lanjut, Nik Aziz berkata kerjasama dengan DAP yang dikatakan sebagai chauvinis Cina tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Beliau menyifatkan Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit sehingga tidak tahu menilai kesyumulan Islam secara keseluruhan.

"Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama Lebai Malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama.

"Apa yang mereka tahu, hanya mengkritik orang saja," jelasnya.

SKMM siasat ‘notebook’ percuma 1 Malaysia dijual

THE MALAYSIAN INSIDER

PAKAN, Sarawak — Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat dakwaan penjualan haram notebook Program Komputer 1 Malaysia.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Joseph Salang Gandum berkata sesetengah unit notebook itu didapati di kedai-kedai komputer di kompleks membeli-belah di Kuala Lumpur.

“Kita serius dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa ada dakwaan pelajar menjual komputer di bawah Program Komputer 1 Malaysia yang diberikan percuma oleh kerajaan,” kata Salang kepada pemberita selepas menghadiri Pesta Pakan tahunan di sini malam tadi.

Komputer itu diberikan secara percuma kepada kumpulan sasar keluarga isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 sebulan bagi kawasan luar bandar dan bawah RM5,000 bagi kawasan bandar berdasarkan nisbah yang ditetapkan.

Salang berkata kemungkinan komputer itu bukan dijual dengan sengaja tetapi telah dicuri dan kemudian dijual dan jika ini berlaku, perkara tersebut sangat serius dan hendaklah diberhentikan.

Beliau mengingatkan pembeli notebook itu bahawa mereka boleh didakwa kerana menyimpan barang curi atau kerana memiliki barang kepunyaan kerajaan secara haram.

Katanya kerajaan telah mengedarkan sejuta unit komputer itu kepada pelajar daripada keluarga yang tidak berkemampuan dan sesetengah pemimpin msyarakat di seluruh negara bertujuan membolehkan mereka akses pada internet.

Sebanyak 300,000 unit lagi dijangka diedarkan sebelum akhir tahun ini, kata Salang.

Pemberian komputer ini akan membantu pelajar dalam proses pendidikan menerusi internet dan untuk urusan pengurusan bagi pemimpin masyarakat, tambah beliau.

Berucap ketika merasmikan Pesta Pakan, beliau berharap agar pertandingan tradisi lisan Iban seperti beremban, berbiau, berpantun dan gendang papat diadakan bagi memperkenalkannya kepada generasi akan datang. — Bernama

Tragedi bas: Tujuh maut ahli Belia 4B dari Kedah

THE MALAYSIAN INSIDER


Kelihatan bas pelancongan yang terbabit dalam kemalangan setelah terbabas lalu terbalik di KM38 Genting Sempah. — Foto Bernama
KUALA LUMPUR — Tujuh maut manakala 39 lagi dilaporkan cedera selepas sebuah bas pelancongan yang membawa para belia terbabas lalu terbalik di Km38 Genting Sempah dekat sini kira-kira 7.50 malam semalam.

Kemalangan yang melibatkan bas yang membawa 46 penumpang yang terdiri daripada ahli Belia 4B Kampung Siong, Baling, Kedah dan dua pemandu bas berlaku ketika kenderaan itu menuruni Genting Highlands.

Bas tersebut yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas lalu terbalik di laluan bertentangan, demikian menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail.

Berdasarkan siasatan awal polis, masalah brek dipercayai menjadi punca kemalangan itu.

Timbalan Ketua Polis Gombak Supt Rosly Hassan memaklumkan daripada 46 mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu termasuk dua pemandu; tujuh mangsa maut, 17 cedera parah dan 22 lagi cedera ringan.

Mereka yang terbunuh berusia antara 13 tahun hingga 28 tahun, enam daripada mereka mati di tempat kejadian manakala seorang lagi iaitu guru agama dan juga ketua rombongan tersebut Mohd Zaidi Mohd Sufian, 28, mati dalam perjalanan ke Hospital Selayang.

Azizan berkata bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.51 malam daripada bomba Bentong yang memaklumkan mengenai insiden itu.

Tujuh jentera bomba termasuk dari Bentong, Kuala Lumpur, Selayang dan Taman Melawati berada di tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa antaranya yang maut kerana tersepit di bawah bas.

Mangsa-mangsa dibawa ke Hospital Bentong, Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur.

Mereka yang dilaporkan kritikal dan dibawa ke Hospital Selayang ialah Mohamad Fais Nasharuddin, 18 dan Ahmad Iswas Abd Halim, 15.

Yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang ialah Mohd Shamsuri, 15; Mohd Ajril Azizi Azhari, 15; Mohd Akram, 19, dan Mohammad Hafifi Yahya, 19.

Mereka yang mendapatkan rawatan cedera ringan di hospital itu ialah Mohd Safuan Md Mokhtar, 20; Hafizudin Onan, 16; Muhamad Syakur Sulaiman, 19; Mohamad Nazren, 16 dan Faiz Syazwan Azlan, 18.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek turut melawat mangsa di Hospital Selayang.

Beliau meminta agar laporan polis dapat disiapkan segera untuk memastikan punca kemalangan sebenar sama ada ia masalah mekanikal atau kecuaian pemandu.

Sambil mengucapkan takziah kepada mangsa yang terkorban, Ahmad Shabery berkata pegawai kementeriannya akan membantu keluarga mangsa menguruskan jenazah.

Di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula, lapan mangsa yang cedera dihantar untuk rawatan di mana tiga mangsa mengalami cedera ringan manakala lima lagi parah.

Mohd Zairul Hafizat, 15, yang mengalami cedera ringan ketika ditemui di HKL berkata kemalangan berlaku ketika hujan renyai-renyai.

Dia yang baru tersedar dari tidur ketika kejadian mendakwa bas itu terbabas akibat brek bas yang “tidak makan”.

Mohd Zairul berkata lawatan sambil belajar itu disertai seramai 43 golongan muda antara 14 hingga 25 tahun dari beberapa kampung dari Daerah Baling yang diketuai oleh Mohd Zaidi.

Rombongan itu bertolak dari Kedah pada pukul 11 malam hari Khamis dan tiba di Genting Highlands pada pukul 8 pagi Jumaat, katanya.

Rombongan itu bertolak kira-kira pukul 7 malam pada Jumaat dari Genting Highlands untuk ke Kampung Melayu Subang bagi menyertai program homestay.

Mereka sepatutnya bertolak pulang pada pukul 5 petang ini.

Mohd Zairul berkata dia juga tidak mengetahui keadaan abangnya yang turut menyertai rombongan itu.

Seorang lagi mangsa, Ahmad Amirul Shukri, 13, yang juga cedera ringan berkata ketika kejadian dia sedang tidur dan tersedar ketika bas terbalik.

Katanya dia berjaya keluar melalui tingkap bas yang pecah.

Di Hospital Bentong, Pahang, seramai 15 mangsa yang kesemuanya mengalami cedera ringan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Menceritakan detik mencemaskan itu, Mohd Zahid Azmi, 15 berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dan terjaga apabila mendengar suara rakan-rakannya melaungkan ‘‘Allahuakbar’’ dan lari ke belakang bas.

“Bila saya sedar, semua yang berada di depan bas lari ke belakang sebab bas hilang kawalan,” katanya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Genting Highlands.

Mohd Saiful Mohamad Nor, 16, pula menyifatkan kejadian itu berlaku sekelip mata apabila bas yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik.

Beliau yang cedera di belakang badan dan luka di tangan mengakui serik untuk mengikuti rombongan seumpama itu.

Turut melawat mangsa yang tercedera di Hospital Bentong ialah Pegawai Khas kepada Anggota Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai iaitu Tan You Seng yang berkata pengangkutan akan disediakan untuk memindahkan kesemua mangsa yang cedera di Hospital Bentong ke Hospital Selayang awal pagi ini. - Bernama