HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 November 2011

PKR: RM5j dana NFC biaya Benz, tanah di Putrajaya dan cuti

TERKINI

KUALA LUMPUR — PKR meneruskan serangan berhubung skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), dengan hari ini mendakwa RM5 juta dana awam projek ternakan lembu itu digunakan untuk membeli Mercedes Benz dan tanah di Putrajaya serta wang tunai RM588,585 disalurkan kepada syarikat-syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dakwaan terbaru oleh pemimpin PKR berhubung salah guna ini muncul beberapa jam selepas Shahrizat mempertahankan dirinya ketika berucap pada Persidangan Agung Tahunan Wanita di sini pagi ini.

PKR juga berkata NFC telah mengeluarkan sebanyak 15 cek bagi agensi pelancongan Impian Global Network Services.

Mendedahkan perkara itu petang ini, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendesak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat “memberitahu siapa yang pergi bercuti.”

Rafizi menambah RM534,622 digunakan untuk membeli Mercedes Benz CLS350, dana NFC yang disalurkan kepada National Meat and Livestock Corporation (NMLC) dan RM588,585 lagi dipindahkan kepada Meatworks (Singapore), kedua-dua syarikat yang milik penuh keluarga Shahrizat dan tiada apa-apa kaitan dengan rancangan perniagaan NFC.

“Ketua Pemuda Umno (Khairy Jamaluddin) ada mengatakan bahawa NFC tiada bisnes di Singapura... jadi mengapa sejumlah wang itu dipindahkan ke sana?” kata beliau pada sidang media di sini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail berkata, tanah juga dibeli di Precinct 10 Putrajaya, yang sebahagian besar merupakan kawasan kediaman.

“Saya pasti pelan induk Putrajaya tidak melibatkan ternakan lembu di sana,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Machang.

Semasa mempertimbangkan syarikat-syarikat yang berkelayakan dan berpotensi untuk menerajui Projek Fidlot Kebangsaan, anak muda ini yang telah menghabiskan bertahun-tahun masa dan wang simpanannya untuk mengejar cita-cita beliau, tidak pula dipanggil untuk turut serta dalam proses tender.

Saifuddin (gambar) juga berkata, PKR bertegas bahawa proses anugerah projek NFC kepada keluarga Shahrizat adalah tidak telus dan menyeleweng kerana salah satu syarikat yang paling awal mencadangkan projek ini langsung tidak dipanggil untuk turut serta.

“Ini telah menjadi penyakit dalam Umno bila mana idea dan keringat orang lain dicuri untuk menyelewengkan wang rakyat.

“Oleh itu, PKR mendesak Perdana Menteri bertanggungjawab dengan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan beliau kerana keputusan itu penuh dengan unsur penyelewengan dan menindas usahawan-usahawan muda yang bertungkus-lumus berusaha,” katanya.

Merujuk kepada kenyataan-kenyataan pimpinan Barisan Nasional termasuklah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa penganugerahan NFC kepada syarikat milik keluarga menteri terbabit dibuat mengikut prosedur bidaan dan tender yang betul, kata Saifuddin:

“Saya juga merujuk kepada kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa kelulusan pinjaman RM250 juta dan penganugerahan projek tidak dibuat di Kabinet, sebaliknya di peringkat Jawatankuasa Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.”

Katanya, mengambil kira keangkuhan pimpinan Umno terutamanya Shahrizat yang sedikit pun tidak mahu memahami kemarahan rakyat mengenai isu ini, PKR pada hari ini mendedahkan bahawa idea asal untuk mewujudkan sebuah industri daging dan penternakan komersil telah dibawa seawal tahun 2003 oleh sebuah syarikat usahawan muda Bumiputera.

“Cadangan asal yang dibincangkan di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mardi dan kerajaan Negeri Sembilan langsung tidak membabitkan suntikan dana atau pinjaman dari kerajaan.

“Syarikat terbabit hanya memohon persetujuan kerajaan negeri untuk menyewa tapak ladang penternakan di Gemas,” katanya lagi.

Kata beliau, syarikat terbabit juga telah berjaya mendapat khidmat nasihat dan kerjasama dari Profesor Jerry J Reeves, seorang pakar teknologi penternakan dari Washington State University.

“Ladang ternakan tersebut bakal menggunakan teknologi terkini untuk membangunkan baka terbaik tempatan melalui proses artifisial ‘insemination’ menggunakan mani dan embrio baka lembu wagyu.

“Proses sebegini dijangkakan adalah lebih mudah dan murah untuk membangunkan ladang satelit dan membantu penternak kecil berbanding dengan kaedah mengimport lembu untuk digemukkan di fidlot seperti yang dibuat NFC,” katanya lagi.

Malah menurut beliau, syarikat terbabit telah mengadakan perbincangan lanjut dengan Mardi dan hampir menandatangani memorandum persefahaman.

“Cadangan ini juga telah dibawa ke peringkat tertinggi di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta kerajaan Negeri Sembilan.

“Malangnya, cadangan dan usaha anak muda usahawan Bumiputera ini akhirnya terbantut di situ sahaja setelah mereka membelanjakan hampir RM300,000 membuat persediaan,” kata beliau lagi.

Krisis Felda: Singkirkan saja Isa

Khairil Abdul Rahim


Apabila Tan Sri Isa Samad bertegas beliau tidak akan sekali-kali meminta maaf kepada Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Shamsuddin Othman yang mendakwa Pengerusi Felda itu telah menghina beliau, maka bermulalah satu episod hitam dalam sejarah Felda.

Belum pernah berlaku cabar mencabar dan suasana ‘panas’ di antara komuniti peneroka dengan pengurusan tertinggi Felda, sehinggalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang pernah digantung keahlian kerana kesalahan rasuah politik Umno itu dilantik menjadi Pengerusi Felda pada 1 Januari 2011 menggantikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Shamsudin, 59, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) Wilayah Johor Bahru, merupakan satu-satunya wakil peneroka yang berada dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Sebelum ini beliau yang dikenali di kalangan peneroka dengan panggilan Pak Sam, dalam satu sidang akhbar bersama (JKPP) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda, telah memberi tempoh 14 hari kepada Isa supaya memohon maaf secara terbuka ekoran dakwaan mengeluarkan kenyataan menghina peneroka atau menghadapi tindakan saman.

Isa didakwa mengeluarkan kenyataan seperti "jika budak kecil, saya dah lempang", "munafik", "pembohong", "penipu" dan "jika saya jumpa saya akan lutu (ketuk) dia".

Kata-kata yang dianggap menghina warga peneroka itu didakwa diucapkan Isa semasa sesi penerangan kepada perwakilan koperasi peneroka di Melang Inn, Kuala Pilah bagi peneroka-peneroka Felda Wilayah Raja Alias pada 12 November lalu. Sementara klip video ucapan Isa itu tersebar luas di internet.

‘Konfrontasi’ antara peneroka dengan Pengerusi Felda bermula apabila Isa dilantik secara kontroversi menjadi Pengerusi Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) dengan mengenepikan Pengarah Besar Felda, Datuk Zulkifli Wahab (Datuk Zul). Hasilnya, dikatakan kepimpinan Felda terpecah dua kepada dua kelompok.

Menurut edaran media Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Isa sebenarnya tidak layak menjadi ahli KPF dan keahliannya di dalam KPF adalah bertentangan dengan undang-undang disebabkan jawatan beliau sebagai Pengerusi KPF adalah hanya bertaraf kontrak sedangkan Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi ahli KPF ialah peneroka Felda, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan Felda yang berstatus tetap.

Akan tetapi yang menjadi kehairanan semua ialah apabila pada 23 Jun 2011 (sehari sebelum Mesyuarat Agung KPF bagi tahun 2011) beliau tiba-tiba telah menjadi ahli KPF.

Sudahlah begitu, tidak sampai dua bulan selepas menjadi ahli KPF, Ketua Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri (PM) iaitu Datuk Aziz telah menulis surat bertarikh 15 Ogos 2011 kepada Isa memaklumkan bahawa PM telah bersetuju supaya Isa dilantik sebagai Pengerusi KPF yang baru dengan mengenepikan begitu sahaja Datuk Zul, yang belumpun sampai dua bulan disahkan pelantikannya sebagai Pengerusi KPF dalam mesyuarat agung.

KPF sememangnya dilihat sebagai ‘lombong emas’. Sebagai sebuah koperasi terkaya di Malaysia maka tidak hairanlah KPF menjadi sasaran rebutan. Setakat ini, keahliaan KPF telah mencecah 220,210 orang ahli dengan 193,506 orang ahlinya iaitu sekitar 87.9% adalah dari kalangan peneroka Felda, ahli keluarga dan generasi kedua.

Berbalik kepada konfrontasi antara peneroka dengan Isa, pertembungan memuncak apabila Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet pada 7 Oktober lalu mengumumkan Felda akan disenaraikan dalam bursa saham melalui Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH).

Pada masa ini, kepentingan dan hak seramai 220,210 orang peneroka, anggota keluarga peneroka, generasi kedua dan kakitangan Felda mempunyai pegangan ekuiti sebanyak 51% di dalam Felda Holding Berhad (FHB) yang dipegang melalui KPF. Manakala baki pegangan sebanyak 49% di dalam FHB adalah dipegang oleh FGVH yang dimiliki 100% oleh Felda.

Selama ini FHB dianggap sebuah syarikat yang maju dan berdaya saing. Pada tahun 2009 sahaja, FHB yang menumpukan perniagaannya di dalam negara melalui 47 anak-anak syarikatnya yang aktif telah mencatat perolehan sebanyak RM11.8 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM804.3 juta.

Hasil daripada dividen dan bonus yang dibayar FHB itu telah membolehkan KPF, selaku pemegang saham majoriti di dalam FHB (51%), merekodkan perolehan sebanyak RM15.64 bilion pada tahun kewangan berakhir 2010 dan juga keuntungan sebelum cukai sebanyak RM766,660 juta. Kejayaan ini melayakkan KPF dianugerahkan sebagai Koperasi Terbaik Negara 2010 (kategori kluster besar).

Dalam struktur baru selepas penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, KPF akan melepaskan kepentingan sebanyak 51% di dalam FHB di mana nanti FHB dan seluruh komponennya akan diletakkan di bawah FGVH dan KPF akan memegang kepentingan sebanyak 60% bagi mewakili para peneroka dan kakitangan FELDA.

Kes ini samalah dengan syarikat yang rugi dan lemah boleh ‘menelan’ sebuah syarikat yang maju dan terbukti profitability’nya. Jika FHB selama ini mempunyai track record yang baik, tetapi lain pula dengan FGVH yang menjalankan perniagaan dan pelaburan di luar negara yang mana pencapaiannya begitu mengecewa dan memalukan.

Inilah punca sebenarnya yang membuatkan peneroka mulai menentang keputusan Felda!

Shamsuddin sendiri, berkata penghinaan oleh Isa terhadapnya itu dipercayai ada kaitan dengan tindakannya yang mempersoal perolehan Felda yang hanya akan mendapat RM500 juta setahun selepas memajak 360,000 tanah kepada FGVH untuk disenaraikan ke bursa saham nanti.
Bagi Naib Presiden Anak, Aris Fezul Ismail, beliau melihat kes ‘Isa lawan Pak Sam’ ini ialah pertembungan antara dua kepentingan iaitu antara kepentingan ‘kroni’ dengan kepentingan peneroka kerana Pak Sam mewakili seluruh warga peneroka.

“Dalam hal ini, kerajaan sepatutnya mendengar suara peneroka dan kebimbangan dan protes oleh Pak Sam ada asasnya kerana rekod FGVH selama ini tidak baik menyebabkan seluruh perniagaannya rugi hampir RM500 juta.

“Kerajaan mesti lakukan sesuatu kerana jika dibiarkan persengketaan antara Isa dengan Pak Sam yang mendapat sokongan padu peneroka ini dibiarkan berlarutan, perjalanan Felda sendiri dikhuatiri boleh pincang,” katanya yang juga anak peneroka Felda Jengka 16.

Bagi Pengarah Task Force Felda PAS Pahang, Yohanis Ahmad pula, jalan terbaik untuk memelihara keharmonian warga Felda ialah kerajaan memecat sahaja Isa daripada semua jawatannya dalam Felda.

“Kita kena ingat Isa hanya seorang ahli poilitik yang dilantik secara kontrak sedangkan Pak Sam mendapat sokongan padu daripada peneroka dan keluarga mereka yang berjumlah kira-kira sejuta orang.

“Sepatutnya kena tengok mana yang lebih ramai. Lagipun kerajaan kena ingat, pelantikan Isa sebagai Pengerusi Felda dulupun dipertikaikan secara terbuka oleh dua orang tokoh terkemuka ekonomi iaitu Prof Dr Zainal Aznam (Penasihat Bank Negara dan Ahli MTEN) dan juga Datuk Tengku Zafrul Tengku Aziz (CEO Maybank Investment).

RUU himpunan: Wujud agenda ‘membebal’ masyarakat

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sekali lagi mengulangi bantahannya terhadap penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman 2011 di parlimen, semalam.

Presidennya, Amidi Abd Rahman berkata, Abim menilai penggubalan undang-undang itu seakan tidak menghiraukan sensitiviti serta pandangan yang diketengahkan oleh pelbagai pihak berhubung implikasi negatif yang bakal dicorakkan menerusi kelulusan undang-undang itu.

“Dalam hal ini, Abim amat menyesali sikap tertutup kerajaan yang enggan membicarakan penggubalan rang undang-undang ini secara terbuka dan meluas sambil membabitkan konsultasi awam dan suara masyarakat sivil di negara ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, Abim memandang keengganan tersebut bertentangan sama sekali dengan komitmen keterbukaan yang menjadi intipati agenda perubahan yang dilaungkan oleh pihak kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, Abim menanggapi pendekatan tersebut tidak lain dan tidak bukan, seakan menzahirkan wujudnya agenda ‘pembebalan’ ke atas masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi, dengan menutup serta menafikan sama sekali ruang ekspresi bersuara di kalangan rakyat.

Beliau menambah, adalah amat menyedihkan kerana ia hanya akan menghalang kepada perkembangan wacana demokrasi dan kenegaraan yang sihat serta progresif di negara ini.

Tegasnya, demokrasi merupakan intipati penting kepada perkembangan sesebuah negara maju.

Katanya lagi, lunas-lunas demokrasi meraikan sebarang perbezaan pendapat dengan menjamin kebebasan bersuara di peringkat akar rumput.

Demokrasi juga, jelasnya merupakan wahana penting yang merapatkan jurang di antara rakyat dan pemerintah menerusi komunikasi dua hala rakyat-pemerintah dan rakyat-pemerintah.

“Kelulusan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 sekaligus menafikan fungsi serta potensi demokrasi itu sendiri sebagai agen perkembangan ekonomi dan politik di negara ini,” katanya lagi.

Baginya, adalah amat malang amalan demokrasi dinafikan di atas nama prerogatif menjaga ketenteraman awam, walhal ia (demokrasi) merupakan wahana paling berpengaruh dalam menjamin keamanan serta kestabilan politik di sesebuah negara.

“Menilai implikasi-implikasi tersebut, Abim ingin mengulangi gesaan agar rang undang-undang ini ditarik balik,” ujarnya.

Abim juga, katanya menggesa pihak kerajaan agar bersikap terbuka terhadap sebarang teguran serta mengadakan konsultasi awam sebelum menggubal sebarang undang-undang di masa akan datang.

Selebriti usah rasa gentar untuk ‘berhijrah’

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengajak para artis dan selebriti tempatan agar segera ‘berhijrah’ dengan menjadi insan mukmin yang soleh dan bertaqwa kepada Allah SWT.

“Hijrah ini penting sebagai usaha mengajak dan mendidik masyarakat untuk menjadi generasi yang berakhlak mulia di negara ini,” kata Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) DPPWP, Fadhil Osman.

Bagi DPPWP, katanya para artis serta selebriti adalah golongan yang menjadi idola dan ikon masyarakat.

Menurutnya, mereka digilai oleh ribuan anak-anak muda yang ingin melihat aksi mereka dalam dunia hiburan.

Katanya, setiap pergerakan mereka pasti dalam pengetahuan peminat fanatik mereka.

Justeru, ujarnya para artis atau selebriti adalah umpama magnet yang boleh menarik anak-anak muda di negara ini ke mana sahaja.

“Apa yang mendukacitakan, ada kalangan artis atau selebriti tempatan tidak menunjukkan contoh yang baik terhadap masyarakat,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, meskipun jumlah mereka tidak ramai, namun gejala negatif yang dilakukan oleh mereka turut menjadi ikutan para peminat.

Antaranya, kata beliau seperti penyalahgunaan dadah, bersekedudukan, jenayah, budaya hidup sosial yang melampau serta berpakaian yang menjolok mata.

Justeru, ujarnya penghijrahan mereka akan menarik sama anak-anak muda untuk turut jejak langkah mereka.

Jelasnya, DPPWP tidak pula bermaksud meminta para artis meninggalkan dunia hiburan yang mereka ceburi kerana mungkin ia telah menjadi sumber pendapatan mereka, namun apa yang penting adalah mereka menjadi insan teladan yang baik dan boleh dicontohi oleh masyarakat.

“Dalam hal ini, DPPWP memuji beberapa orang artis yang telah berhijrah seperti Catriona Ross, Bob Lokman, Sham Kamikaze, Iwan, Wardina, Irma Hasmie serta beberapa orang artis wanita yang telah mengubah penampilan dengan memakai pakaian menutup aurat dan menjaga solat,” katanya.

Beliau menambah, meskipun mereka masih berlakon dan aktif dalam dunia seni, mereka tidak mengabaikan syariat Islam.

Bahkan, kata beliau imej baik itu akan menjadi contoh teladan yang baik para artis Malaysia di pentas antarabangsa.

DPPWP juga, ujarnya mengharapkan agar para artis dan selebriti tidak merasa gentar terhadap usaha penghijrahan.

“Insya Allah, perubahan pada penampilan tidak akan merencatkan rezeki mereka, malah rezeki akan lebih mencurah-curah.

“Daripada pentas lakonan sehingga ke masjid-masjid, para artis yang telah berhijrah ini akan dijemput untuk memberi perkongsian serta persembahan,” ujarnya.

Anak muda diajak tolak Akta Perhimpunan Aman

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Mohd Firdaus Jaafar mengingatkan golongan muda agar tidak terpengaruh dengan 'jaminan keselamatan' kerajaan dalam Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau sebaliknya menyeru golongan muda menolak akta tersebut kerana ianya jelas menghalang kebebasan bersuara anak muda yang menyokong sistem demokrasi.

Katanya, akta itu digubal hanya untuk menjaga kepentingan politik Umno BN untuk terus memerintah negara.

"Kita minta anak muda tolak undang-undang ini dengan slogan undang-undang ini dipinda untuk kesinambungan politik Barisan Nasional, bukan untuk keamanan rakyat.

" Akta ini akan menghalang perhimpunan yang dilakukan oleh belia apatah lagi apabila disebutkan remaja 15 tahun ke bawah tidak boleh menyertai himpunan. Jadi ini akan menjejaskan aktiviti anak muda," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Firdaus berkata, Umno BN ternyata menggunakan Parlimen untuk kepentingan mereka apabila membentangkan dan meluluskan akta tersebut secara tergesa-gesa dan menolak cadangan Pakatan Rakyat agar ianya dibawa ke Jawatankuasa Khas Parlimen untuk diteliti.

"Undang-undang ini bukan untuk keamanan tapi untuk keselamatan pimpinan Umno BN. Umno BN guna Parlimen untuk keselesaan mereka memerintah Malaysia, bukan undang-undang untuk beri manfaat besar kepada rakyat," katanya.

Rang undang-undang tersebut diluluskan petang semalam selepas penggulungannya dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Sebelum itu ia dibahaskan oleh enam Ahli Parlimen termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), Abdul Hadi Awang (PAS-Marang), Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas).

RUU baru tak upaya sekat kebangkitan rakyat

Aslani M


KOTA BHARU: Tindakan tergesa-gesa kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman dan diluluskan semalam disifatkan sebagai tindakan terdesak bagi menghadapi kebangkitan rakyat.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentang RUU tersebut pada 24 November lalu merupakan langkah mundur ke bekalang.

”Hakikatnya RUU yang baru dilulus itu lebih teruk berbanding Seksyen 27 Akta Polis. Di bawah akta lama denda dikenakan sebanyak RM2,000 jika sabit kesalahan.

“Manakala rang undang-undang yang baru diluluskan memperuntuk denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan sama,” katanya di sini.

Semalam parlimen meluluskan RUU Perhimpunan Aman biar pun ditentang hebat Pakatan Rakyat, Majlis Peguam dan pelbagai pihak lain. Anggota parlimen Pakatan bertindak keluar dewan sebagai membantah tindakan kerajaan BN.

Abdul Latiff yang juga Adun Mengkebang mempersoalkan kenapa kerajaan BN terlampau gerun dan bimbang menghadapi perhimpunan aman oleh rakyat.

Menurutnya perhimpunan aman yang diadakan tidak pernah mencetuskan masalah kecuali diprovokasi pihak tertentu.

Kata beliau di Kelantan, Pemuda Umno pernah mengadakan perhimpunan di hadapan Kota Darulnaim bagi menyerahkan memorandum isu Ladang Rakyat pada 16 Mei lalu.

”Saya turut menyaksikan perhimpunan tersebut dilaksanakan dan berjaya menyerah memorandum kepada pihak kerajaan negeri. Dalam hal ini kerajaan negeri bersikap terbuka,” ujarnya.

Oleh itu kata beliau tidak ada sebab kerajaan menaruh bimbang terhadap perhimpunan aman yang dijamin haknya di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, biar pun pelbagai undang-undang dicipta bagi menyekat kebebasan rakyat, namun kebangkitan mereka tidak dapat dibendung seperti berlaku di Mesir, Tunisia, Libya dan beberapa buah negara Arab lain.

”Kebangkitan rakyat menyaksikan jatuhnya kuasa-kuasa diktator apabila mereka terlampau meluat dengan sikap pemimpin yang berlindung di sebalik tembok kuasa,” tambahnya.

PRU 13: Apa maksud Najib kata ‘luar biasa’

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jentera Umno bersiap sedia menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 yang disifatkan sebagai ‘luar biasa’ dengan tindakan ‘luar biasa’.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, DPP Malaysia menganggap kenyataan Datuk Seri Najib sebagai bahaya kerana boleh disalah tafsir oleh pelbagai pihak, memandangkan beliau adalah Perdana Menteri dan mempunyai kuasa di negara ini.

“DPP Malaysia hairan, bagaimana ungkapan sedemikian boleh keluar dari mulut Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, walaupun ia diucapkan terhadap jentera dalaman Umno, namun ia sudah menjadi berita yang semua rakyat membaca dengan pelbagai persepsi.

Bagi sesetengah pihak, ujarnya ucapan Najib boleh memberi makna akan berlaku sesuatu yang buruk terhadap rakyat dan negara.

Justeru, katanya DPP Malaysia mempersoalkan, apakah PM sudah meramalkan sesuatu yang luar dari kebiasaan akan berlaku dalam PRU ke 13 kali ini.

“Mungkinkah akan berlaku insiden-insiden buruk dalam PRU ke 13 nanti?” tanya beliau lagi.

Bagi DPP Malaysia, ujarnya ucapan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Perdana Menteri, seakan-akan mengejutkan serta memakutkan rakyat.

Sepatutnya, beliau berkata Najib menenangkan rakyat dengan jaminan PRU ke 13 adalah PRU yang terbaik, paling aman, serta berlangsung dalam suasana penuh demokrasi.

Untuk itu, tambahnya DPP Malaysia telah sedia mempersiapkan jentera pemuda PAS diseluruh peringkat juga dengan persiapan ‘luar biasa’.

“Kali ini seluruh jentera pemuda PAS diingatkan supaya bersedia menghadapi apa juga serangan yang bakal dilakukan oleh Umno BN dalam pelbagai bentuk,” ujarnya.

Menurutnya, sudah 12 kali PRU dihadapi, dan sudah acap kali juga serangan bertali arus dikenakan terhadap jentera PAS khususnya pemuda PAS di seluruh negara.

Malah, ujarnya pemuda PAS pernah dipukul seperti di Pilihan Raya Kecil Ijok, Bagan Pinang dan lain-lain lagi.

Tambahan pula, katanya PRU ke 13 nanti akan berlangsung dalam suasana sistem pilihan raya yang masih tempang dan pincang dan dalam keadaan demokrasi yang kontang dari kebenaran.

Justeru, katanya tidak hairanlah jika berlaku sekali lagi manipulasi undi, undi pos yang meningkat mendadak, pengundi hantu yang kembali turun mengundi, beli undi, rasuah pilihanraya, rakyat negara asing yang turun mengundi, fitnah melalui media, akses media yang berat sebelah dan lain-lain lagi.

“Semua insiden ini pernah berlaku sebelum ini dan tidak mustahil akan berlaku lagi nanti.

“Insya Allah, DPP Malaysia telah mempersiapkan mental kesemua petugas dengan kesemua kemungkinan sesuatu yang ‘luar biasa’ yang akan berlaku,” katanya lagi.

Beliau menambah, PRU 13 adalah masa terbaik untuk menukar kerajaan yang sudah tamat tempoh.

“Selamatkan Malaysia dari pemimpin yang korup, rasuah dan mementingkan diri sendiri,” katanya.-Harakahdaily

'Itulah tahap pemikiran sebenar Muhyiddin'

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub (gambar) menyifatkan ucapan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi yang sarat dengan mesej kebencian terhadap parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebagai 'tidak sepatutnya diucap oleh bakal perdana menteri'.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, ucapan Muhyiddin itu hanya 'memalukan dirinya' dan mencerminkan itulah tahap pemikiran sebenar beliau sebagai timbalan perdana menteri.

"Pada saya, ia tidak sepatutnya berucap begitu, sebab taraf dia timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

"Sepatutnya sebagai bakal perdana menteri, ucapan beliau perlu penuh dengan gagasan dan wawasan membangunkan negara, bukan penuh dengan kecaman kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau mengulas ucapan Muhyiddin ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin tanpa segan silu membidas DAP, PKR dan PAS dengan kata-kata penuh penghinaan.

DAP dilabel parti cauvinis Cina yang jahat dan mahu menubuhkan negara republik.

PKR pula dituduh sebagai parti ultraliberal yang hanya berjuang untuk Datuk Seri Anwar manakala PAS pula bukan lagi memperjuangkan Negara Islam kerana mengangkat Negara Berkebajikan.

Mengulas lanjut Salahudin bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas ucapannya itu yang secara tidak langsung mengakui PAS berada di persada politik tanah air.

"Apapun kita ucap terima kasih kerana menyebut tentang PAS dalam ucapan beliau.

"Maknanya mereka akui PAS berada di persada politik negara," katanya. HarakahDaily

Shahrizat: “NFC tiada kaitan dengan saya”, timbul kemarahan orang ramai

Wong Choon Mei, Malaysia Chronicle

Senator Umno Shahrizat Jalil enggan berdepan dengan dakwaan rasuah sekitar tuduhan penglibatan keluarga beliau dalam projek pengeluaran daging lembu negara, NFC. Akan tetapi, kedegilan beliau mungkin akan menghancurkan diri dan mempercepatkan kejatuhan politik beliau.

Sudah ada suara-suara sumbang dalam Umno, yang juga sangat sinonim dengan perbalahan dalaman ; menggesa beliau untuk melepaskan jawatan tersebut. Terdapat juga mereka-mereka yang mengintai jawatan Ketua Wanita tersebut. Di luar Umno pula, keengganan beliau untuk bertanggungjawab terhadap perkara itu telah menambah kemarahan orang ramai. Shahrizat juga merupakan menteri hal ehwal Wanita.

Tiada sebab beliau patut menyalahkan Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat tidak pernah memaksa NFC atau keluarganya untuk membeli dua kondominium mewah dengan dana awam. Selain itu, benarkah tanpa status beliau dalam BN, beliau berani katakan bahawa kerajaan persekutuan akan memberikan projek tersebut kepada suami dan anak beliau? Adakah mereka mempunyai pengalaman yang mencukupi atau kepakaran dalam membangunkan industri ternakan lembu? "Naib PresidenPKR, Chua Jui Meng memberitahu Malaysia Chronicle.

Tiada kaitan dengan saya

Yang luar biasanya, Shahrizat menganggap bahawa dia tidak ada kaitan dengan skandal RM250 juta NFC, walaupun Ketua Audit Negara telah mengatakan bahawa projek tersebut dalam "keadaan kucar-kacir". Menurut beliau, Pakatan Rakyat sebenarnya cemburu akan beliau kerana kekuatan sayap Wanita Umno itu.

Ironinya, hanya beberapa hari yang lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin -yang juga Timbalan Presiden Umno - mengakui bahawa Wanita, Puteri dan Belia tidak mencapai jangkaan Umno.

"Saya bersetuju mengenai perkara ini dan saya percaya bahawa orang lain juga berkongsi pendapat yang sama (bahawa Pemuda, Puteri dan sayap Wanita dilihat sebagai tidak aktif seperti sebelum ini). Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah menyatakan ini dalam mesej khas kepada sayap parti baru-baru ini, "Muhyiddin memberitahu Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

"Perjumpaan ini diadakan kerana kita mahu mereka menyedari bahawa mereka mempunyai peranan yang lebih besar kerana pandangan orang luar terhadap pergerakan Pemuda dan Puteri tidak mencapai jangkaan. Kami memang akui ini."

Tulisan di dinding

Kelihatan seperti akan berlaku satu pertelingkahan politik dan kemungkinan Shahrizat tidak mampu untuk terus hidup. Tanda-tanda sudah jelas dan dia mungkin tidak mempunyai pilihan lain tetapi untuk mengumumkan rancangan beliau meletak jawatan sebagai ketua Wanita sebelum pilihan raya umum akan datang, yang dijangka akan diadakan awal tahun depan.

Sementara itu, Shahrizat berjanji untuk berjuang. Beliau berjanji untuk menangani kontroversi NFC semasa perhimpunan agung Umno minggu ini, walaupun menegaskan bahawa "Ia tiada kaitan dengan saya."

"Tidak ada masalah jika isu NFC dibahaskan. Saya akan menjawab semasa perhimpunan Wanita Umno. Saya akan menghantar satu mesej yang jelas kepada orang-orang di luar sana, Malaysian Insider melaporkan beliau sebagai berkata dan merujuk kepada Pakatan Rakyat.

"Sebagai seorang wanita saya perlu bertenang. Mereka (Pakatan Rakyat) lakukan ini kerana mereka takut kepada kekuatan Wanita Umno. "Malaysia Chronicle

Nga tak perlu minta maaf: "Hitam metalik" bukan warna rasmi kulit kaum India

P Sugumaran

Berperang kenyataan dengan ungkapan serta caci mencaci sewaktu berpentas politik adalah menjadi satu amalan biasa dalam arena politik yang sebelumnya diamalkan oleh pemimpin BN secara tradisi.

Kini realitinya pula BN tidak dapat menerima kecekapan, kefasihan dan kemahiran seorang pemimpin DAP yang berbangsa Cina yang begitu lancar dalam penggunaan Bahasa Politik.

Exco Kerajaan Negeri Perak Dato Mah Hang Soon harus mencari jalan untuk mengambil rehat ataupun mendiamkan diri daripada memprovokasikan kenyataan Sdr Nga Kor Ming jikalau tidak faham bahasa. Tindakan Mah menunjukkan bahawa beliau suka bercakap mengikut desakan kuncu-kuncu BN.

Adakah Sdr Nga Kor Ming berkata Dato Seri Zambry adalah seorang "India Hitam Metalik"? Jikalau tidak, apakah kena mengena dengan warna Hitam Metalik dengan pemimpin India DAP Perak ataupun dengan masyarakat kaum India? Dimanakah elemen rasis dalam ungkapan itu? Betapa pentingkah bagi pemimpin India DAP Perak untuk menjawab persoalan yang tidak masuk akal oleh Dato Mah?

Ingin saya melemparkan kepada Dato Mah Hang Soon beberapa persoalan; Adakah Kerajaan BN di Negeri Perak diberikan mandat oleh Rakyat untuk mentadbir? Dan adakah Dato Seri Zambry mengangkat sumpah selepas diiktirafkan oleh rakyat yang mengundi? Apakah salahnya kalau dipanggil sebagai Menteri Besar Perak "Pintu Belakang"?

Bukan pada satu kaum

Kenyataan Setiausaha DAP Negeri Perak Sdr Nga Kor Ming terhadap Dato Seri Zambry sebenarnya sengaja disalah tafsir oleh kuncu-kuncu Barisan Nasional demi kepentingan keadaan politik semasa. Pihak NGO pula yang kononnya berlakon sebagai Perwira BN harus ingat, dimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Sdr Nga Kor Ming adalah bukannya pada satu kaum, malah hanya pada seorang sahaja iaitu Dato Seri Zambry Kadir seperti yang dilaporkan. Kalaulah Dato Seri Zambry tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, maka beliau bolehlah mencabar kenyataan itu ataupun bolehlah memilih untuk berdiam diri.

Mah sengaja berniat untuk mempersendakan kaum India dan mahu mengapikan-apikan isu perkauman diantara kaum India dan Cina. Saya ingin menasihatkan Dato Mah Hang Soon supaya jangan memasak dan hidang bisa dengan niat bagi menjatuhkan martabat masyarakat kaum India secara tidak langsung. Oleh yang demikian, Mah Hang Soon harus meminta maaf pada masyarakat India dan pada Sdr Nga Kor Ming kerana memputar belitkan kenyataan yang tidak disebut oleh Setiausaha DAP Perak itu.

Selain daripada itu, saya juga ingin menegaskan Dato Mah dan kuncu-kuncu BN dimana, kaum India bukannya berwarna Hitam Metalik dan tidak wujud asasnya untuk Sdr Nga Kor Ming untuk memohon maaf pada mana-mana pihak dalam isu ini. Keadaan ini juga membuktikan bahawa BN begitu daif taktik politik bagi menentang kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat.

P Sugumaran ialah Pengarah Biro Pendidikan Politik DAPSY Negeri Perak

Surat terbuka kepada Wakil Rakyat mengenai RUU Perhimpunan Awam 42/2011

Lim Chee Wee


Anda mungkin pernah dengar bahawa Bar Malaysia menentang Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 (“PA 2011”) di atas alasan ia meletakkan sekatan yang tidak munasabah dan tidak seimbang ke atas kebebasan berhimpun yang dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat peruntukan-peruntukan di dalam PA 2011 yang jauh lebih ketat daripada undang-undang semasa seperti pengharaman "tunjuk perasaan jalanan" (perhimpunan bergerak atau perarakan) dan kuasa tidak terhad yang terletak pada pihak polis untuk menetapkan masa, tarikh, tempat dan kelakuan perhimpunan. Terdapat juga peruntukan-peruntukan dalam PA 2011 yang tidak logik. Sebagai contoh, walaupun pihak polis tidak perlu diberitahu tentang satu perhimpunan agama, perhimpunan seperti itu tidak boleh diadakan di tempat ibadat. Tambahan pula, orang yang tinggal dalam jarak 50 meter daripada tadika atau sekolah tidak dapat mengadakan rumah terbuka bagi perayaan, perarakan pengebumian atau majlis perkahwinan.

Perdana Menteri (gambar kanan) dalam ucapan Hari Malaysia pada 15 September 2011, menjanjikan kepada rakyat seperti berikut:

Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya...

Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak di samping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa... (penekanan ditambahkan)

Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri. . . .

Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada insiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif....

Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu...

PA 2011 adalah tidak konsisten dengan "norma antarabangsa", tidak "mengikut dengan ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan menghormati hak asasi manusia dan hak-hak individu". Sebaliknya, Rang Undang-Undang ini akan membawa kita lebih jauh daripada "sebuah negara yang moden dan progresif".

Ia adalah keterlaluan bahawa perhimpunan bergerak adalah dilarang.

Perhimpunan bergerak memberi peserta perhimpunan penonton daripada khalayak yang lebih ramai dan jarak penglihatan yang lebih luas, untuk melihat dan mendengar punca atau rungutan yang membawa kepada perhimpunan tersebut. Perhimpunan bergerak telah digambarkan sebagai "satu kaedah bersuara yang kuat dan adalah fenomena biasa dalam masyarakat demokrasi". Sejarah adalah penuh dengan perhimpunan bergerak aman, yang merupakan ejen perubahan dan kebaikan.

Pada 27 Februari 1946, Dato 'Onn Jaafar, pengasas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ("UMNO") dan datuk kepada Menteri Dalam Negeri sekarang, mengetuai perarakan seramai 15,000 individu untuk membantah penubuhan Malayan Union, yang mengabaikan kepentingan Raja-Raja Melayu dan orang Melayu. Ini adalah permulaan kepada siri perarakan yang berjaya menentang Malayan Union, dan kemudian membawa kepada kemerdekaan negara kita. Pada 27 Februari 2008, Perdana Menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi memimpin 20,000 orang dalam satu perarakan satu kilometer dari pejabat UMNO Batu Pahat ke stadium untuk memperingati perhimpunan ini.

Telah ada perarakan lain yang memanggil untuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, hak-hak minoriti dan pembaharuan pilihanraya

Bagi Bar Malaysia, kami menganjurkan "Walk for Justice", yang telah diadakan pada 26 September 2007, untuk meminta Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat klip video VK Lingam dan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, di mana kedua-duanya kemudiannya ditubuhkan oleh kerajaan.

Larangan perarakan sekarang mencuri hak Rakyat yang kini wujud di bawah Seksyen 27 Akta Polis, yang mengawal selia "perhimpunan, mesyuarat dan perarakan".

Di tempat lain, sejarah adalah penuh dengan pelbagai perarakan aman yang diketuai oleh Mahatma Gandhi, Martin Luther King Jr dan Nelson Mandela, untuk menamakan seberapa, yang membawa kepada pengakhiran undang-undang, dasar dan rejim-rejim yang menindas.

Ia adalah ironik bahawa kerajaan kini mahu melarang perarakan yang membawa kepada penubuhan negara kita, dan lain-lain yang mengerakkan Perdana Menteri untuk menjanjikan pembaharuan perundangan. Pembaharuan yang dijanjikan kini menyerang kembali di demonstrasi yang menjadi pemangkin kepada mereka.

Bar Malaysia adalah teguh dalam pendirian dan keazaman bahawa PA 2011, dalam bentuk semasa, tidak boleh menjadi undang-undang. Bar Malaysia tegas bahawa sebarang cubaan untuk mengawal kebebasan asas yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilakukan selepas berunding dengan semua pihak yang berkepentingan, termasuk ahli-ahli Parlimen pembangkang dan kumpulan-kumpulan masyarakat sivil. Untuk tujuan ini, Bar Malaysia telah mencadangkan satu rang undang-undang alternatif untuk dipertimbangkan, dan panggilan untuk PA 2011 akan diremitkan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk pertimbangan. Pada bacaan kedua PA 2011, kami meminta bahawa anda, sebagai Rakyat giat, sokongan panggilan kami.

Adalah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa esok, anda akan memegang kebebasan Rakyat di tangan anda. Kami meminta agar anda melayannya dengan penghormatan yang sewajarnya. Sekarang, lebih daripada biasa, anda perlu ingat bahawa anda telah dipilih sebagai wakil kepada rakyat, untuk menjalankan tanggungjawab sebagai "Wakil Rakyat".

Tolong jangan meletakkan ketaatan buta kepada parti dan sikap berat sebelah sebelum tugas anda sebagai pengkhidmat rakyat. Rakyat tidak harus dibuat untuk menderita akibat politik berparti. PA 2011 adalah satu undang-undang yang tidak adil, yang dibuat dengan terburu-buru tidak wajar, yang telah menerima kutukan Rakyat.

Tidak ada pilihan lain.

Jangan luluskan PA 2011. Sokong rang undang-undang alternatif dan panggilan kami untuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

Yang benar,
Lim Chee Wee (gambar kanan)
Yang Dipertua
Bar Malaysia

Kavyan: Interlok Kulit Biru belum murni

Kumpulan karyawan tersebut turut membantah tindakan DBP yang tidak memberi hak cipta karya kepada penulis asalnya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.



PETALING JAYA: Dalam perkembangan terbaru kontroversi novel Interlok Edisi Murid, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berpendapat bahawa teks Komsas itu yang dicetak semula baru-baru ini adalah edisi yang lebih baik daripada cetakan 2010 tetapi bukan edisi yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu.

Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan penelitian terperinci ke atas edisi 2011 serta membandingkannya dengan edisi 2010 dan senarai saranan pindaan yang diperakukan Panel Bebas.

Uthaya menggunakan istilah “Interlok Kulit Merah” bagi edisi cetakan 2010 dan “Interlok Kulit Biru” bagi cetakan 2011.

“Kavyan memutuskan bahawa kerja-kerja pemurnian yang dipersetujui oleh Muhyiddin di Bangunan Parlimen pada 23 Mac lalu dan diumumkan oleh beliau di Dewan Rakyat pada keesokannya belum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan rasmi yang disiarkan di blog Kavyan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Kavyan berasa bangga kerana berjaya memperjuangkan maruah dan hak Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain apabila nama beliau dicetak pada kulit hadapan novel itu.

Terdapat beberapa perkara yang tidak dipersetujui oleh Kavyan, misalnya, frasa “Cetakan Pertama 2010” tidak memadai, sebaliknya perlu ditambah frasa yang menunjukkan dengan jelas bahawa Interlok Kulit Biru dicetak pada 2011.

Hak cipta

“Kami turut membantah sekeras-kerasnya dan merakamkan kenyataan tidak bersetuju dengan tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak mengembalikan hak cipta karya kepada Datuk Abdullah Hussain,” kata Uthaya dalam kenyataan itu.

Kavyan bagaimanapun gembira dan puas hati kerana maklumat yang dicetak pada kulit belakang (blurb) tidak lagi berciri propaganda politik.

Ayat “Varuntinal varataku illai” pada halaman 209 masih menimbulkan bantahan kerana ayat itu tidak membawa makna yang wajar.

“Perkara ini sudah dinyatakan dengan jelas dalam senarai saranan pindaan yang diperakukan Panel Bebas tetapi tidak dibetulkan dalam Interlok Kulit Biru.

“Hal ini boleh dilihat sebagai sikap tidak prihatin pihak berkenaan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan,” kata kenyataan itu.

Kavyan bagaimanapun puas hati dengan beberapa pindaan dan pemurnian yang dibuat.

Antaranya adalah membuang frasa “seperti kambing” (211), “seperti lembu atau kambing memamah biak” (224) serta frasa “yang ada hubungannya dengan kaman, dewa cinta” (227).

Kavyan juga amat berpuas hati dengan aspek pemurnian melibatkan pembuangan frasa “untuk dewa Palikai” (227), bahagian “diikuti dengan upacara nalanku … perkataan nalam itu sendiri” (228) serta ayat “Menurut kepercayaan, tiap-tiap langkah … dan kesetiaan” (228).

“Kavyan yang amat prihatin terhadap aspek bahasa, sastera, seni dan budaya juga merakamkan rasa gembira kerana perkataan ‘tali’ dibetulkan kepada ‘taali’ (228).

“Perkara ini penting kerana terdapat perbezaan amat besar antara ‘tali’ (string) dan ‘taali’ (mangala sutra),” kata Uthaya yang turut dilantik menganggotai panel bebas itu sebelum ini.

Menurutnya, hasil penelitian terhadap novel cetakan terbaru itu, Kavyan mendapati bahawa kerja-kerja pemurnian tidak dilakukan sepenuhnya seperti diharapkan.

“Ini adalah edisi yang lebih baik daripada cetakan 2010 tetapi bukan edisi yang dijanjikan Muhyiddin,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber-sumber dalaman memaklumkan bahawa MIC dan dua panelis kaum lain telah pun memberikan lampu hijau kepada edisi ini.

‘Tiada faedah bagi orang Melayu’

Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Ripin menganggap Perhimpunan Agung Umno tidak lebih dari, untuk mempertahankan kuasa yang semakin hilang itu.



PETALING JAYA: PKR hari ini mendakwa Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung sekarang tidak memberi sebarang manfaat kepada orang Melayu.

Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Ripin menganggap ianya tidak lebih dari, untuk mempertahankan kuasa yang semakin hilang itu.

“Pekikan kononnya untuk memperkasa orang Melayu hanya omong kosong menyebabkan apa sahaja yang dibuat tidak diterima orang.
Berbeza dengan yang dibuat oleh PKR dan Pakatan Rakyat semuanya untuk rakyat,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bermula malam tadi dengan berlangsungnya majlis perasmian Pemuda, Wanita dan Puteri oleh Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Manakala pagi esok, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan perhimpunan induk kira-kira jam 10 pagi dan diikuti dengan perbahasan usul hingga Ahad.

Dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri menyelar parti Pakatan Rakyat satu persatu termasuk PKR yang dikemudi mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum.

“PKR ini ketandusan agenda untuk orang Melayu dan Islam. PKR sebuah parti ultraliberal yang tiada asas moral dalam perjuangannya.

Jika tidak, masakan orang yang sedang dibelenggu krisis kredibiliti yang serius terus diangkat memimpin parti itu secara tidak demokratik.

“Mana mungkin kedudukan agama, bangsa dan negara boleh dijaga oleh PKR jika yang diangkat menjadi pemimpin pun bergelumang dengan masalah kredibiliti.

“Ringkasnya, PKR sebuah parti yang amat tenat…,” kata Muhyiddin di depan kira-kira 2,800 perwakilan ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Mengulas perkara ini, Rozan berkata, PKR merupakan parti paling berjaya kerana dalam tempoh 10 tahun sudah mempunyai 31 ahli parlimen.

Katanya, dalam usia semuda ini PKR semakin mara ke depan dan diyakini rakyat.

Mengapa RUU Perhimpunan Aman 2011 harus dibantah?

Ahmad Fuad Rahmat


"Memberitahu kebenaran kepada pemerintah yang zalim adalah jenis jihad yang terbaik." -Muhammad S.A.W.

Makna dan matlamat demokrasi adalah "Kuasa Rakyat". Media yang bebas, dan jaminan hak asasi untuk bersuara adalah antara unsur-unsur penting untuk membolehkan Rakyat meluah pandangan dan pendapat mereka dalam proses pemerintahan sesuatu kerajaan. Tanpa jaminan-jaminan tersebut, Rakyat tidak boleh dianggap berkuasa. Tanpa jaminan hak asasi, demokrasi tidak bermakna.

Jaminan-jaminan tersebut lebih bernilai jika dilihat dari sudut sistem demokrasi berparlimen. Kerana pilihanraya hanya dikendali sekali setiap empat atau lima tahun, jaminan hak untuk bersuara adalah penting untuk memastikan bahawa kehendak dan isu-isu rakyat diiktiraf pada masa antara pilihanraya.

Kebebasan bersuara merangkumi pelbagai aspek dan jenis. Di antara jenis yang pelbagai itu, kebebasan berhimpun ialah kebebasan bersuara yang paling unik dan mampan. Ia visual dan spatial. Suara massa dipamerkan kepada ruang awam secara jasmani dan langsung terutamanya dalam zaman e-media ini. Jika bilangan persertanya ramai, ia satu cara berhubung dengan kuasa, pemerintah dan masyarakat yang berkesan.

Justeru itu, Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011, yang bertujuan khas untuk mengkongkong hak bersuara dan berhimpun rakyat memang jelas bersifat anti-demokrasi.

Lawyers for Liberty menerangkan rang itu dengan lebih jelas secara berikut:

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman bertujuan untuk melarang, antara lain, demonstrasi jalanan, perhimpunan secara aman di kawasan-kawasan yang dilarang, dan perhimpunan secara aman yang dianjurkan oleh seseorang di bawah umur 21 tahun. Rang Undang-undang juga mengenakan notis 30 hari diberi kepada pihak polis sebelum perhimpunan yang dirancang. Tafsiran "protes jalanan" dalam Rang Undang-Undang itu pun sebenarnya tidak lain daripada perhimpunan aman.

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman pada asasnya mencairkan hak untuk berhimpun secara aman kerana ia mengenakan sekatan yang tidak munasabah dan syarat-syarat yang boleh menyebabkan hak untuk berhimpun secara aman kerana ia mengenakan sekatan yang tidak munasabah dan syarat-syarat yang boleh menyebabkan hak untuk berhimpun secara aman tidak boleh dicapai dan oleh itu tidak berperlembagaan.

Rang Undang-Undang ini juga memberi kuasa yang luas kepada pihak polis dalam menangani perhimpunan secara aman di mana seksyen 8 Rang Undang-Undang jelas menyatakan bahawa seorang pegawai polis boleh mengambil "langkah-langkah seperti yang difikirkannya perlu". Seksyen ini agak samar dan terbuka kepada penyalahgunaan.

Satu alasan yang kerap diberi dalam menentang tuntutan hak untuk kebebasan bersuara dan berhimpun ialah seperti berikut, "Kebebasan tidak boleh mutlak dan harus dihadkan. Jikalau tidak masyarakat akan terumbang-ambing akibat pintaan kebebasan dari pelbagai pihak".

Masalah utama alasan itu ialah kebebasan bersuara dan berhimpun bukan sama dengan kebebasan untuk merusuh atau menindas. Hanya rejim yang tidak yakin dengan keadilan dan ketelusan permerintahannya yang gelisah melihat apa jua perhimpunan sebagai ancaman terhadap kestabilan kuasanya.

Dalam demokrasi yang berfungsi, ahli politik bekerja untuk rakyat, bukan rakyat bekerja untuk ahli politik. Ahli politik harus menyediakan, melancarkan dan memudahkan, sebanyak yang boleh dan sebaik mungkin, ruang dan peluang untuk rakyat bersuara.

*Ahmad Fuad Rahmat ialah Felo Penyelidik, Islamic Renaissance Front.

DAP musuh sebenar, bukan Anwar

Zaliha Najmuddin dari Wilayah Persekutuan berkata DAP adalah sebuah parti sosialis yang bertunjangkan fahaman komunis.



KUALA LUMPUR: Seorang wakil wanita mendakwa musuh sebenar Umno bukanlah (Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi DAP yang menjadi ancaman terbesar kepada kelestarian politik Umno.

Zaliha Najmuddin dari Wilayah Persekutuan berkata DAP adalah sebuah parti sosialis yang bertunjangkan fahaman komunis.

Beliau berkata demikian ketika membahas ucapan Ketua Wanita pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Justeru itu, beliau menyeru agar Umno serta pemimpin seperti Anwar dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat kembali ke pangkal jalan bersatu demi perjuangan politik orang Melayu.

“Ancaman politik Umno bukan Pakatan Rakyat, bukan Anwar Ibrahim tetapi ancaman atau musuh sebenar Umno adalah DAP iaitu parti sosialis yang punya fahaman komunis.

“Tidak terfikirkah Anwar dan Nik Aziz untuk bersatu demi Melayu? Perkara ini sungguh memalukan.

“Apa sudah jadi dengan orang Melayu sekarang ini sedangkan kita patut bersatu demi perjuangan Melayu….Kalau sesat kembalilah ke pangkal jalan,” katanya.

Menyentuh mengenai kuota 30 peratus wanita dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, Zaliha mencadangkan agar pendekatan itu diperluaskan.

Katanya, kuota itu sepatutnya bukan sahaja meliputi jawatan-jawatan kanan seperti Setiausaha Politik, sebaliknya mampu meletakkan wanita dalam organisasi pentadbiran secara keseluruhannya.

“Kuota 30 peratus wanita untuk PRU itu baik. Tapi perlu diperbaiki dan ditambah dengan meletakkan wanita dalam organisasi pentadbiran secara meluas,” katanya.

Khairy mahu PM beri Shahrizat peluang

Shahrizat wajar diberi peluang berkhidmat dalam parti berikutan rekodnya yang cemerlang.



KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyeru kepada ahli pergerakan itu memberi peluang kepada Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjelaskan isu National Feedlot Corporation (NFC).

Katanya, Shahrizat wajar diberi peluang berkhidmat dalam parti berikutan rekodnya yang cemerlang sebagai pemimpin sayap Wanita dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Dalam politik pelbagai rintangan yang perlu ditempuh.

“Jadi tolong bagi dia masa untuk jelaskan semuanya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda dalam Perhimpunan Agung Umno di PWTC di sini hari ini.

Majlis perasmian Pemuda, Wanita dan Puteri dilakukan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

Khairy juga meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi peluang yang sama kepada Shahrizat untuk menjelaskan penglibatannya dalam skandal NFC sebelum mengambil apa-apa tindakan.

“Harap PM pertimbang’

“Kalau Perdana Menteri puas hati dengan penjelasan itu maka dia perlu diberi peluang untuk teruskan kerjayanya.
“Saya harap Perdana Menteri akan beri pertimbangan sewajarnya,” katanya.

Bagaimanapun, Shahrizat menegaskan beliau tidak ada kena-mengena dengan isu berkaitan NFC.

Katanya, beliau tidak akan menggunakan Perhimpunan Agung Umno minggu ini untuk menjawab sebarang isu yang dibangkitkan pembangkang berkaitan NFC.

“Saya tidak akan jelaskan (isu NFC) tetapi ada satu, dua mesej yang nak saya jelas kepada pihak di luar sana semasa persidangan Wanita nanti.

“Tunggulah. Sebagai pemimpin, kita kena banyak bersabar, tenang dan jangan cepat melatah.

Tidak halang

“Saya tidak akan jawab. Kalau nak bertanya mengenai NFC, tanyalah kepada orang NFC. Saya hanya akan tumpukan pada Pergerakan Wanita Umno,” katanya pada sidang media.

Bagaimanapun Shahrizat berkata, beliau tidak akan menghalang mana-mana perwakilan untuk berbahas isu berkenaan NFC.

Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya diikuti dakwaan pembangkang wujud penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC di mana suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail menjadi Pengerusi Eksekutifnya.

Turut baca:

Khairy kecam kelompok muncul di ambang p’raya

Kerajaan cadang pinda Akta Undang-Undang Sivil 1956

MALAYSIA KINI

Kerajaan bercadang untuk meminda Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Akta 67) bagi meningkatkan jumlah pampasan untuk kecederaan dan kematian.

donald limTimbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, cadangan itu akan dibawa kepada Kabinet untuk dibincangkan.

Beliau berkata, setakat ini kementerian telah mengadakan perundingan bersama dengan pihak pengguna dan syarikat insuran iaitu melibatkan aspek pengendalian dan penjelasan berhubung skim premium sedia ada.

"Kementerian memang bercadang untuk menaikkan skim premium iaitu pampasan yang mengambil kira kecederaan dan kematian yang dihadapi pengguna.

"Oleh itu kita berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum tahun 2016,” katanya semasa menjawap soalan Manogaran Marimuthu (Teluk Intan-DAP) di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

MP pertikai penjelasan RM1.8j kempen media sosial


Salhan K Ahmad

Ahli parlimen Rasah, Anthony Loke hari ini mempertikaikan lagi penjelasan kementerian pelancongan berhubung perbelanjaan sebanyak RM1.8 juta untuk kempen media sosial.

Antara yang dipertikai Loke ialah bayaran untuk hadiah dan pertandingan untuk enam kempen dijalankan kementerian di laman tersebut.

NONEKos sebanyak RM558,432 itu termasuk bayaran untuk penghantaran hadiah.

Loke tidak berpuas hati dengan penjelasan berkenaan kerana hadiah yang ditawarkan untuk kempen pertandingan itu didakwa tidak bernilai begitu tinggi.

"Hadiah tempat pertama hanya (komputer tablet) Ipad2. Berapa harga Ipad2? RM2,500? Berapa banyak Ipad2 yang diberikan?"

"Kalau hadiah untuk baucer mungkin boleh dihantar dengan pos? Adakah mereka hantar dengan limosin?" soalnya lagi.

Turut dibangkitkannya kali ini adalah bayaran sebanyak RM160,000 yang dibuat kementerian untuk "memberi kepakaran pengurusan media sosial."

Beliau mempertikaikan bayaran itu kerana pengurusan berkenaan tidak memerlukan kepakaran.

"Bagaimana dia hendak buat justifikasi kepada bayaran rundingan untuk sesuatu yang tidak memerlukan kepakaran?"

Jelasnya, tugas termasuk menguruskan tulisan di laman Facebook, menguruskan maklumat pelancongan dan memberi maklum balas kepada pengguna tidak memerlukan bayaran sebanyak itu.

"Tapi mungkin mereka gunakan kerani bertaraf menteri," katanya sinis dalam sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas satu jawapan kementerian kepada satu soalannya di Dewan Rakyat bertarikh 23 November.

Jawapan oleh timbalan menteri, Datuk Dr James Dawos Mamit itu turut menjelaskan, bayaran untuk memberi maklum balas kepada pertanyaan pengunjung Facebook kementerian adalah sebanyak RM80,000 sebulan.

Daftar mohon bantuan RM500 dibuka 10 Disember

MALAYSIA KINI

Pendaftaran permohonan bantuan tunai RM500 akan dibuat mulai 10 Dis ini untuk tempoh satu bulan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

husni eon bank function 120310 ahmad husniSehubungan itu, pembayaran bantuan RM500 hanya akan dibuat kepada ketua isi rumah yang layak mulai pertengahan Januari tahun depan, kata Ahmad Husni dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, borang pendaftaran boleh didapati secara percuma mulai tarikh tersebut, di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), serta agensi-agensi kerajaan.

Borang yang lengkap diisi berserta salinan kad pengenalan, hendaklah diserah untuk proses pendaftaran di Jabatan Pembangunan Persekutuan/Negeri, sekolah-sekolah terpilih serta pejabat-pejabat cawangan LHDNM, katanya.

Menurut Ahmad Husni, bantuan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada seramai 5.2 juta isi rumah atau 79.5 peratus daripada keseluruhan isi rumah di negara ini.

"Pemberian ini melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM2.6 bilion.

"Bantuan ini adalah tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kenaikan kos sara hidup rakyat,” kata Ahmad Husni.

Isi rumah yang layak memohon, merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada ahli yang tinggal serumah atau ketua keluarga.

Ia merangkumi individu berkahwin, termasuk anak yang berkahwin dan tinggal bersama ibu bapa; ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan; individu (bujang, duda, ibu tunggal) bujang yang mempunyai tanggungan; dan warga emas sebatang kara.

Ketua isi rumah yang berkerja sendiri juga layak untuk memohon, katanya.- Bernama

Projek lembu: Pemimpin PKR diberi amaran keras


Jimadie Shah Othman

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil hari ini memberikan amaran keras kepada pemimpin PKR kerana memainkan isu projek lembu, Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang diterajui suaminya.

NONESambil menegaskan beliau tiada kaitan dengan projek lembu itu, Shahrizat berkata beliau tidak takut dengan serangan oleh Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategik parti itu, Rafizi Ramli.

"Senyum punya senyum, saya tak larat nak senyum lagi... Itu belum angkat kain lagi. Wahai Zuraida, ketua (Wanita) PKR yang biadap, cik puan ingat kami takut dengan kamu. Oh, suruh saya letak jawatan, siapa kamu?" soalnya.

Ketika menyampaikan ucapan dasar dalam persidangan Wanita Umno di ibu negara, hari ini, Shahrizat menyifatkan tindakan Zuraida seolah-olah "gajah depan mata tak nampak".

"Ada MP (anggota parlimen) Kelantan, sepatutnya jaga pengundi tetapi sibuk di Kuala Lumpur, tutup pusat khidmat. Tanya Machang," katanya di hadapan lebih 900 perwakilan.

Supaya dilihat konsisten, katanya, Shahrizat juga menggesa Zuraida mendesak Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail meletakkan jawatan.

"Saya gesa ketua wanita gesa presiden PKR letak jawatan atas angkara suaminya ketua umum yang pernah dihukum dan disabit pelbagai angkara," katanya.

NONESementara itu, Rafizi (kiri) pula dilabelkan sebagai "si Tanggang muda" berikutan serangan bertali-arus yang ditujukan padanya.

"Anak muda ini, apa namanya? Rafizi? Mafizi? (Dia) adalah si Tanggang muda, sepatutnya belajar dengan ibu-ibu di sini, bukan jadi anak derhaka, jual agama dan bangsa," kata Shahrizat.

Dilihat melepaskan geram di gelanggang sendiri, Shahrizat yang kerap diam menghadapi isu itu menyifatkan penjelasannya hari ini sebagai "mukadimah" sahaja.

"Oh, mentang-mentang saya sapu ketua di zaman krisis, jangan siapa fikir saya lemah walau senyum saya meleret," katanya.

Pada masa yang sama, tanpa menyebut khusus mana-mana pihak, menteri pembangunan wanita itu mengingatkan ahli Umno supaya tidak mengambil mudah peranan wanita dalam parti.

"Kita Wanita tak pernah curang. Tetapi bila kita susah, apakah mereka bantu kita? Adakah mereka setia bersama kita?" soalnya.

PKR dedah pula dakwaan pembelian tanah, kenderaan

PKR hari ini meneruskan pendedahan berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek fidlot yang diusahakan keluarga menteri pembangunan wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil – kali ini didakwa melibatkan pembelian kereta mewah dan juga lot tanah di Putrajaya.

Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa dana National Feedlot Corporation (NFC) itu digunakan untuk membeli sebuah kereta mewah Mercedes Benz berharga RM534,622 pada Disember 2009.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini, Rafizi mendakwa pembelian itu dibuat oleh National Meat and Livestocks Corporation, sebuah syarikat milik penuh keluarga Shahrizat.

Dakwanya, bayaran untuk membeli kenderaan terbabit pada Disember 2009 dibuat NMLC melalui dana yang disalurkan melalui NFC.

"(Bayaran untuk) menyelenggara pula dibuat terus daripada akaun NFC. Saya pasti ia adalah untuk kegunaan pengarahnya," dakwanya lagi.

Selain itu, Rafizi juga mendakwa, NMLC telah membeli dua bidang tanah di Presint 10, Putrajaya dengan bayaran berjumlah RM3,363,507.

Pendedahan hari ini timbul berikutan tindakan Shahrizat yang menggunakan peluang berucap di perhimpunan agung Umno hari ini untuk menyerang pemimpin PKR berhubung siri pendedahan berhubung dakwaan penyelewengan dana NFC.

Pua: 'Tambang murah' mana MAHB tak paham?


MALAYSIA KINI

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mempertikaikan sama ada Malaysia Airports Bhd (MAHB) memahami konsep ‘tambang murah’.

Ini kerana kos pembinaan KLIA2 bagi menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) meningkat daripada RM2 bilion kepada RM3.9 bilion.

NONEKemudahan tambahan di KLIA2 termasuk pembinaan bagi menanmpung psawat operasi A380, walkalator (laluan bergerak), sistem automasi pengendalian bagasi, sebuah pusat membeli belah dan empat buah hotel.

"Apa yang MAHB sedang bina adalah sesuatu yang 80 peratus lebih besar daripada terminal sekarang... Ini memberi gambaran bahawa KLIA2 akan menggantikan terminal utama KLIA dan bukannya dijadikan LCCT baru,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Terminal itu dinaikkan taraf daripada dua tingkat kepada sembilan tingkat dengan kos tambahan RM420 juta manakala saiznya diperluaskan sebanyak 130.7 peratus dengan bayaran tambahan RM670 million.

Menurut Pua dengan penaikkan taraf itu, terminal baru berkenaan boleh mengendalikan 45 juta penumpang berbanding 30 juta sebelum ini. KLIA mempunyai kapasiti untuk menampung 25 juta penumpang tetapi kini hanya mengendalikan 18.7 juta orang.

Isnin, 28 November 2011

PROJEK IC SABAH : Bumiputera Sabah Semakin Terancam & PATI di Sabah Semakin Bermaharajalela?

Staff Berita Semasa

projek ic sabah 4 PROJEK IC SABAH : Bumiputera Sabah Semakin Terancam & PATI di Sabah Semakin Bermaharajalela?


Sebelum ini cukup kerap projek IC Sabah ini didedahkan kepada umum dan dibawa untuk pengadilan, tetapi sehingga ke hari masalah ini tidak mendapat “perhatian” daripada pihak berkuasa. Kenapa?

Pembongkaran projek IC Sabah dibongkarkan sekali lagi semasa parti-part politik memberi keterangan kepada panel PSC yang diketuai pengerusinya, Tan Sri Maximus Jonhnity Ongkili iaitu Upko, LDP dan PBS dari parti pemerintah dan PKR, DAP dan PSM untuk pembangkang.

Projek IC Sabah dilaporkan sebagai operasi bersepadu tetapi terselindung pada tahun 1980-an dan 1990-an untuk memberi kad pengenalan kepada rakyat asing, untuk tujuan mengubah demografi Sabah oleh parti pemerintah

projek ic sabah 5 PROJEK IC SABAH : Bumiputera Sabah Semakin Terancam & PATI di Sabah Semakin Bermaharajalela?

Antara data yang menarik perhatian kami semasa berlangsung keterangan tersebut. Kami sertakan contoh mudah untuk difahami :

  • Penduduk tempatan yang dilahirkan di Sabah meningkat sebanyak kira-kira 120,000 antara 1951 dan 1960 tetapi…….
  • Bilangan pengundi dalam senarai daftar pemilih 1999 bagi mereka yang lahir antara 1952 dan 1960, meningkat sebanyak 150,000
  • Secara logiknya jika 80 % daripada 120,000 itu merupakan pengundi berdaftar, maka pengundi kelahiran Sabah adalah di bawah 100,000. Mengapa lebih? Mengapa ada 150,000?

projek ic sabah 6 PROJEK IC SABAH : Bumiputera Sabah Semakin Terancam & PATI di Sabah Semakin Bermaharajalela?

Bagaimana kita sebagai rakyat Semenanjung Malaysia merasa tidak senang ataupun marah dengan kebanjiran warga asing di Malaysia, mungkin begitulah perasaan rakyat-rakyat di Sabah selama ini berhadapan dengan masalah kebanjiran warga asing yang berjaya mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia dengan begitu mudah sekali jika memang ada kebenaran disebalik skandal Projek IC Sabah ini.

Projek IC Sabah : Wujudkan Siasatan Bebas!!

Jika tidak betul buatlah satu siasatan bebas, tidak cukup jika hanya menidakkan sahaja. Bukti sudah ada banyak dikemukan oleh parti-parti di Sabah, NGO-ngo dari Sabah mahupun rakyat Sabah sendiri, terpulang samada mahu buat siasatan yang telus atau membiarkan sahaja. Berani kerana benar, takut kerana salah. Buat atau tidak siasatan yang bebas, rakyat Malaysia umumnya dan rakyat Sabah amnya akan terus memerhati & menilainya ketika ini.

Persoalannya, adakah Projek IC Sabah telah “berjangkit & merebak” pula di Semenanjung Malaysia seperti yang berlaku di Hulu Selangor sebelum ini?

P/S : Walaubagaimanapun, jika ada Sabahan di sini, sila kongsikan pendapat. Jika tidak ada katakan tidak, tetapi jika benar berlakunya Projek IC Sabah ini sila kongsikan apa sebenarnya yang berlaku di anda?

Akta Polis bersalin kulit jadi Negara Polis


Bil ataupun Rang Undang-undang Perhimpunan Aman yang dibentang oleh BN di Parlimen merupakan satu insiden hitam bagi sebuah negara demokrasi. BN mengambil sistem demokrasi untuk negara tetapi takut dengan sistem itu sendiri.

Apa yang akan dibentangkan dan diluluskan oleh parlimen ini merupakan satu tindakan yang mengekang perhimpunan secara aman dan nampaknya kerajaan yang memerintah amat gerun dengan kebangkitan rakyat untuk menyuarakan suara dan manifestasi mereka secara terbuka.

Cadangan ini adalah bercanggah dengan kehendak perlembagaan yang membenarkan rakyat menyuarakan pandangan dan pendapat mereka melalui perhimpunan secara aman. Demokrasi hanyalah dalam bentuk pembungkusannya sahaja tetapi sebenarnya di dalam bungkusan itu penuh dengan elemen kuku besi (diktator) dan jika BN mengambil kesempatan untuk mendapatkan kelulusan dengan sokongan ‘simple majority’ di Parlimen, ia tidak lain dari tindakan menekan terhadap gerakan fikiran rakyat untuk melakukan perubahan.

Bagi pendapat saya secara peribadi, BN akan teruskan membentangkan bill ini dan akan mendapat kelulusan ‘simple majority’ di dewan parlimen. Tidak ada siapa yang boleh menyangkalnya jika BN masih mahukan akta yang menekan ini untuk dikenakan kepada rakyat.

Perhimpunan tidak dibenarkan di semua tempat dan ini adalah cara BN untuk mengelakkan insiden seperti Bersih 2.0 untuk berlaku sekali lagi. Tentunya bill ini merupakan tanda-tanda yang kerajaan BN tidak akan melaksanakan pilihan raya secara adil dan bill ini penting untuk mengelakkan reaksi marah rakyat yang ramai.

Saya tidak mahu komen banyak tentang isu ini. Hanya saya hendak bersama dalam isu menentang bill ini kerana ianya akan menjadikan negara ini sebagai apa yang dikatakan sebagai Negara Polis (police state) dan ianya tidak ada bezanya dengan sebuah negara yang berkepimpinan diktator yang bersalutkan demokrasi.

Saya telah sebutkan beberapa kali yang demokrasi di negara ini telah beransur-ansur mati. Jika pilihan raya diadakan kali ini saya berkeyakinan yang isu ini akan dapat diatasi jika semua rakyat bersatu; tidak kira apa bangsa sekali pun untuk pergi ke peti undi dengan aman dan terus sahaja memberikan undi kepada mana-mana parti selain dari UMNO dan BN.

Dengan cara ini tidak payah lagi kita hendak bertengkar dan berbahas. Bagi saya masa untuk berbahas sudah tidak ada lagi kerana UMNO dan BN tidak akan dapat mengubati penyakit rendah diri itu lagi. Penyakit itu sudah menjadi kanser tahap empat. UMNO tidak akan berubah lagi.

Kita sepatutnya tidak merasa bersalah lagi untuk meninggalkan UMNO itu kerana ianya lebih membawa penyakit dari membawa yang baik untuk rakyat. Rakyat tidak diberikan kebebasan untuk berfikir. Kita hanya dibenarkan untuk mengangguk sahaja dan tidak dibenarkan mengeleng.

Jika ini cara UMNO memimpin dan membina pembangunan rakyat, kita akan menjadi rakyat yang tolol dan tidak boleh berbeza fikiran lagi.

Apabila saya membaca apa yang sedang berlaku ini, ada juga keinginan saya untuk keluar memberikan pandangan dalam ceramah-ceramah dan perhimpunan bagi menambah usaha untuk bersama-sama membetulkan keadaan yang tidak baik yang sedang menyelubungi politik negara.

Kita tidak juga boleh menyalahkan BN menggubal akta seperti ini. Kita mesti faham mereka yang sedang berkuasa ini amat takut dan gerun untuk menerima kekalahan yang saya rasa akan mereka alami. Selalunya mana-mana kerajaan yang akan jatuh selalunya bersikap seperti apa yang kita lihat sedang dilakukan oleh BN sekarang ini.

BN tidak gentleman. Mereka terlalu seronok dengan kuasa dan tidak mahu melepaskannya walaupun mereka tahu mereka tidak berkelayakan lagi untuk mentadbir negara. Tetapi mereka masih mahu berkuasa, maka tidak hairan kenapa mereka menggubal dasar-dasar yang ketat dan dianggap gila oleh mereka yang berfikir.

Jika rakyat benar-benar hendak mengelakkan akta seperti ini wujud, caranya ialah untuk tidak memberikan kuasa lagi kepada mereka yang bertanggungjawab menggubal akta yang tidak senonoh ini. Jika mereka tidak lagi berkuasa, maka mereka tidak akan lagi berada di tampuk kuasa untuk menggubal dasar-dasar yang menekan seperti ini.

Kita mesti mengakui yang peralihan kuasa itu adalah fenomena normal dalam sesebuah negara demokrasi. Jika mereka yang terpilih melanggar semangat demokrasi itu rakyat mempunyai hak untuk memberikan mandat itu pada pihak lain, dan itu bukan sekali-kali merupakan kesalahan. Memberikan sokongan kepada pihak lain itu bukannya satu tindakan yang kriminal. Kita boleh melakukannya tanpa takut kepada mana-mana pihak.

Sebenarnya rakyatlah yang bertanggungjawab. Jika mereka masih memberikan sokongan dan seterusnya mandat untuk berkuasa maka rakyatlah yang patut dipersalahkan. Mereka yang berkuasa sekarang memang tidak merasa bersalah kerana melakukan kesalahan itu adalah kerja mereka.

Rakyatlah yang bertanggungjawab sama ada akta ini mahu diteruskan atau dibubarkan. Itu sahaja komen dari saya. Jika kita kaji secara halus tentang apa yang sedang berlaku di sekeliling kita, untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya kali ini bukanlah satu perkara yang mustahil malahan ianya merupakan keadaan yang agak mudah bagi parti-parti pembangkang untuk memenangi pilihanraya ini.

Ingat kepada slogan ABU (Asalkan Bukan UMNO), undilah mana-mana parti yang lain. Insyaallah segala akta yang menekan boleh kita hapuskan. - Aspan Alias (disunting oleh M@RHAEN)

Mansuh ISA: Najib berbohong atau ada orang dalam Umno nak kenakan Najib

Oleh: Editor@WD



WarkahDaily – Antara dua, Najib atau ‘musuh’ Najib dalam Umno yang mahu ‘kenakan’ Najib tahu akan perkara ini.

Namun yang pasti, Umno-BN memang berbohong dengan rakyat konon ISA dah dihapuskan sambil mengaku ianya bukan desakan mana-mana pihak.

Mansuh tahi kucing engkau!

Dalam satu laporan berita pada 14 November lalu yang menyebut bahawa seramai 13 orang ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 7 daripadanya ialah warganegara Malaysia konon atas tuduhan pengganas yang dikehendaki.

Bagaimana mereka itu ditahan ISA sedangkan Najib ketika sambutan Hari Malaysia 16 September lalu telah mengumumkan konon kerajaan telah pun menghapuskan akta zalim itu.

Jadi siapa yang berbohong dalam hal ini. Dipetik dari Harakahdaily, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didesak memberi penjelasan berkenaan penahanan 13 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), baru-baru ini.

Penahanan tersebut disifatkan sebagai bercanggah dengan pengumuman Najib pada sambutan Hari Malaysia 16 September lalu berkenaan dengan ISA.

Demikian tegas Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din ketika mengulas laporan berita pada 14 November lalu yang menyebut bahawa seramai 13 orang ditahan, 7 daripadanya ialah warganegara Malaysia.

“Kita harap PM tidak berbohong kepada rakyat Malaysia mengenai pemansuhan ISA,” katanya.

“Kita mahu semua mereka yang bersalah dibicarakan di mahkamah, buat apa kita mansuh ISA tapi roh ISA masih ada, kita mahu roh dan jasad ISA dihapuskan, kita mahukan seseorang tidak dianggap bersalah kecuali diadili di mahkamah,” tegas beliau lagi.

Di dalam Islam, katanya seseorang itu tidak dianggap bersalah kecuali diadili di mahkamah.

Justeru, ujarnya kalau benar Malaysia memperjuangkan Islam, mengapa prinsip semudah itu tidak realisasikan.

Najib kena sabotaj?

Jika Najib tidak berbohong, apakah beliau telah disabotaj dari ‘musuh dalaman’ dalam Umno-BN? Perkara itu tidak mustahil kerana ada khabar dalaman Umno-BN, ada pihak dalam Umno-BN cuba ‘singkir’ Najib dari kepimpinan Umno-BN seperti mana yang dialami Tun Abdullah Badawi sebelum ini kerana campur tangan keluarga dalam kerajaan.

Mungkin ada yang ingin perbodohkan Najib yang sebelum itu telah mengumumkan pemansuhan ISA tetapi dalam masa yang sama, akta zalim itu masih digunakan. Seolah-olah ‘musuh’ Najib dalam Umno-BN mahu memberitahu, Najib berbohong dengan rakyat.

Siapa dalang di sebalik ‘projek perbodohkan’ Najib itu? Mungkin Menteri Keselamatan Dalam Negeri boleh memberitahu akan hal itu kerana penangkapan terbaru itu dikendalikan bawah kementeriannya.

Nak kata akta baru yang menggantikan akta ISA pun, akta berkenaan belum lagi dibincang dan diwartakan lagi.

Hentikan saja kutipan tol, syarikat-syarikat sudah kaut untung besar

Roketkini.com


KUALA LUMPUR – Kerajaan pusat Barisan Nasional jelas tidak adil dan tidak berhati nurani kerana masih membenarkan syarikat-syarikat pengendali lebih raya terus mengutip tol walau pun mereka sudah pun mengaut keuntungan yang amat besar.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, kerajaan BN melalui jawapan bertulis Parlimen telah mengakui bahawa syarikat pengendali tol Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) yang telah membelanjakan RM5.945 bilion untuk pembinaan lebuh raya itu telah memperolehi RM24.266 bilion daripada kutipan tol dan pampasan kerajaan sehingga 31 Disember 2010.

Katanya, ia menunjukkan bahawa syarikat pengendali tol NSE telah mencatat lebihan RM18.321 bilion setakat 31 Disember 2010 daripada pelaburan asal.

“Adakah perlu lagi untuk syarikat tersebut untuk mengutip lagi banyak tol daripada rakyat apatah lagi untuk menaikkan kadar tol?

“Sepatutnya, dan jika diambil kira kepentingan rakyat, kutipan tol bagi NSE patut dihentikan serta merta sedangkan hasil kutipannya sudah pun tiga kali ganda pelaburan asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menjelaskan, keadaan yang sama berlaku kepada Jambatan Pulau Pinang yang dikuasai kerajaan pusat telah mengutip RM1.859 bilion dengan kos pembinaan RM944 juta, iaitu ia mencatatkan lebihan RM924 juta.

Bagi Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) pula, katanya, tol yang dikutip berjumlah RM340 juta, dengan kos pembinaannya RM256 juta, iaitu lebihan sebanyak RM84 juta.

“Rakyat Pulau Pinang bukan sahaja tidak sepatutnya terus dibebani tol sehingga 31 Disember 2038, malah kutipan tol bagi Jambatan Pulau Pinang dan BKE harus dihentikan serta merta,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, rakyat di Pulau Pinang menjadi mangsa keputusan kerajaan BN melanjutkan kutipan tol selama 17 tahun untuk Jambatan Pulau Pinang, iaitu sehingga akhir tahun 2038, dan bukannya tarikh luput asal pada tahun 2021.

Menurutnya, rakyat juga dihukum atas perkara yang sama untuk (BKE) yang turut dilanjutkan tempoh tol 11 tahun kepada tahun 2038 berbanding tarikh luput asal tahun 2026.

“Ini telah dilakukan supaya kenaikan kadar tol untuk lima lebuh raya lain dibeku selama lima tahun. Tambahan pula, tidak ada lanjutan tempoh tol bagi NSE atau Linkedua Malaysia-Singapura, “ tambahnya.

Justeru, Guan Eng mencabar Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk berdebat secara terbuka mengenai perkara tersebut setelah Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa beliau (Guan Eng) bersikap “double-standards” dalam bantahannya terhadap semakan semula perjanjian tol.

“Saya tidak faham bagaimana saya boleh dikatakan sebagai mengamalkan “double-standards” apabila saya mengambil pendirian yang berprinsip untuk membantah syarikat-syarikat pengendali tol yang selama ini meraut keuntungan yang besar daripada rakyat,” katanya.

PENGECUALIAN PAMPASAN TOL ~ SEMAKAN SEMULA TERMA KONSESI

Lebuhraya Sekarang hingga 2015 Struktur tol Semasa Struktur tol baru Tarikh luput semasa konsesi Tarikh luput baru konsesi
NSE Tiada kenaikan 10% setiap tiga tahun

5% pada 2016 and setiap tiga tahun selepas

Dec 31, 2038

Dec 31, 2038

Elite Tiada kenaikan 10% setiap tiga tahun May 31, 2030
Linkedua Tiada kenaikan 25% setiap lima tahun Dec 31, 2038
BKE Tiada kenaikan 15% – 25% setiap lima tahun June 27, 2026
Penang Bridge Tiada kenaikan 10% setiap lima tahun Tiada kenaikan Dec 31, 2021

Menurut Guan Eng, semakan semula terma konsesi seperti di atas bukanlah satu keadaan “menang-menang” bagi semua pihak kerana ia hanya satu kemenangan besar bagi syarikat-syarikat pengendali tol sahaja.

Beliau hairan bagaimana menteri berkenaan tetap mendakwa bahawa semakan semula perjanjian tol itu membawa manfaat kepada rakyat melalui pembekuan kenaikan kadar tol, sedangkan kenaikan kadar tol tersebut sebenarnya menyamar di sebalik lanjutan tempoh tol.

“Kesannya mungkin tidak dirasai sekarang, tetapi kesakitannya akan berlanjutan selama 17 tahun bagi Jambatan Pulau Pinang dan 11 tahun bagi BKE,” tambah beliau. – Roketkini.com

Hijrah bangsa Malaysia

Oleh Adil Mat Selamat


Tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang warga negaranya terdiri dari satu bangsa atau satu kaum sahaja. Kata-kata politik yang mendakwa Malaysia itu unik kerana ia adalah sebagai negara berbilang bangsa yang aman damai tidaklah tepat kerana hampir semua negara mempunyai masyarakat berbilang bangsa, kaum dan suku kaum.

Bumi Arab pelbagai kaum, agama

Negara-negara di Timur Tengah, sungguh pun majoritinya berbangsa Arab (atau lebih tepat lagi berbahasa Arab), bangsa ini dibeza-bezakan antara mereka dengan suku kaum dan kabilah. Suku kaum atau puak ini walau pun mungkin sama dari segi warna mata dan ikal rambutnya, tetap berbeza dari segi amalan budaya, adat resam, dialek, makan minum, mahu pun sikap.

Difahamkan, bangsa Arab terbahagi dari tiga susur galur terbesar, iaitu Ba’idah, Aribah yang juga dikenali sebagai Arab Qahthanifah, dan Musta’ribah. Mereka adalah kaum-kaum Arab yang berasal dari keturunan lsma’il, yang disebut pula Arab Adnaniyah.

Dari tiga pecahan susur galur ini, mereka dipecahkan lagi dengan pelbagai suku kaum yang kecil hingga jumlahnya berpuluh-puluh lagi.

Itu belum termasuk lagi pecahan mengikut negara bangsa yang moden di mana setiap negara di Timur Tengah mempunyai kaum-kaum minoriti masing-masing, sama ada dari segi ras dan etnik, dan juga agama. Walau pun majoriti mereka beragama Islam, mazhab mereka berbeza-beza; dari yang pecahan besar iaitu Sunnah dan Syiah, kepada mahzab-mazhab kecil daripada kedua-dua aliran anutan itu.

Selain itu, golongan minoriti dalam negara-negara Arab juga menganut agama selain Islam seperti Kristian, Majusi dan Yahudi, dan di kalangan mereka yang bukan Islam ini juga mempunyai mazhab-mazhab masing-masing.

Malaysia juga pelbagai kaum, agama

Di Malaysia, yang Melayu itu ada pelbagai keturunan dan salasilah. Ada Minang, Bugis, Jawa, Banjar, Minang, Boyan (Bawean), Patani, Mandailing dan sebagainya. Itu belum melihat dari aspek keturunan lagi. Ada yang Bugis Daeng, Jawa juga pelbagai, ada keturunan Syed dan Syarifah, Wan, Abang, Megat, Dayang dan bermacam-macam lagi termasuk golongan Muslim India yang juga berbeza-beza suku kaum dan bahasa seperti Tamil, Malayalam, Hindi dan Bengali.

Yang bukan Melayu pula ada Cina dari pelbagai keturunan, dialek dan agama, dan juga India yang mempunyai kepelbagaian masyarakat yang bukan sahaja terhadap kepada mereka yang berbahasa Tamil tetapi juga Malayalam dan Punjabi.

Di Sabah dan Sarawak pula, kaum dan suku kaum Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut, Orang Ulu, Bugis, Bajau dan banyak lagi.

Begitu juga kumpulan masyarakat awal yang menetap di tanah air ini sejak awal zaman lagi sebagai Orang Asal atau Asli yang mana mereka juga berbeza-beza mengikut kawasan, cara hidup, bahasa dan dialek, serta agama.

Negara-negara lain pun unik juga

Tidak ada salahnya bagi kita untuk meraikan ‘keunikan’ kepelbagaian kaum, bahasa dan agama di Malaysia. Malah ia patut digalakkan. Namun kita perlu berhati-hati dengan kalimah politik yang sentiasa mempunyai banyak muslihat.

Jika ‘keunikan’ Malaysia dijadikan alasan untuk menyekat hak, mengekang kebebasan dan melanggar hak asasi, maka itu adalah penindasan yang berasaskan pembohongan.

Alasan bahawa Malaysia tidak boleh mengamalkan kebebasan, demokrasi dan hak asasi seperti di Barat kerana negara kita adalah ‘unik’, maka itu adalah penipuan kerana benua-benua Eropah, Amerika dan Australasia juga unik dengan kepelbagaian kaum, agama, budaya dan bahasa.

Malah, di Barat hari ini, sudah ada jutaan umat Islam serta penganut-penganut kepercayaan Hindu, Buddhisme, Taosime dan pelbagai agama lain, sama ada yang dianuti oleh mereka yang berkulit putih atau pelbagai warna kulit lain.

Justeru, adalah lebih adil jika kita mengakui bahawa bukan kita sahaja yang berbilang kaum dan suku. Negara lain juga begitu, mereka juga aman. Kalau berlaku kekecohan, di Malaysia juga ada kekecohan. Jika ada jenayah, Malaysia pun tidak kurang jenayahnya.

Perbezaan adalah persaudaraan

Kepelbagaian inilah yang mendorong manusia menggunakan ilmu yang telah diberi untuk hidup bersama-sama tanpa ada prasangka buruk antara satu sama lain. Yang memecah-belahkan manusia bukanlah Tuhan, sebaliknya sikap kita sendiri.

Buktinya, setinggi mana pun seseorang itu bersekolah atau sekaya mana pun seseorang itu memiliki harta, belum tentu mereka tidak bersikap rasis dan berprasangka buruk antara kaum atau puak lain.

Namun, bukanlah bermakna menuntut ilmu itu tidak baik dan tidak berkesan untuk mengubat penyakit syak wasangka ini, sebaliknya ia melibatkan soal sikap. Ilmu hanya akan memberi pengetahuan untuk manusia menilai sesuatu dan menggunakannya, tetapi sebaliknya ilmu tidak akan mampu mengubah apa-apa selagi sikap kita tidak turut sama berubah.

Dalam soal perkauman dan sikap rasis, ia wujud di mana-mana, sama ada dalam golongan miskin, sederhana atau kaya.

Belajar dari sejarah

Jika kita dapat lihat bagaimana perjuangan Nabi Muhammad SAW menyebarkan dakwahnya, antara sisi yang kurang diberi perhatian oleh cerdik pandai agama adalah bagaimana dakwah Rasulullah berhadapan dengan sikap manusia yang senantiasa berburuk sangka tanpa mendengar dengan teliti ajarannya dan mengkaji sedalam-dalamnya dakwah beliau.

Masyarakat disekeliling Nabi pada zaman itu bukanlah satu bangsa seperti zaman batu yang bercawat dan duduk di dalam gua. Sebaliknya masyarakat zaman itu sudah punya budaya, ada pendidikan, ada bahasa, ada puisi, ada perniagaan. Mereka berpengetahuan dan berpelajaran.

Namun mengapa mereka digelar masyarakat jahiliyah? Tidak lain dan tidak bukan, kerana sikap mereka.

Sikap berpuak-puak, sikap prejudis kepada kaum wanita dan hamba, assabiyah dan taksub puak serta kabilah, tamak pada kebendaan dan kuasa, berburuk sangka hingga sanggup membunuh dan menzalimi kaum lemah termasuk kanak-kanak dan orang kurang upaya. Inilah yang dimaksudkan dengan jahiliyah – kegelapan.

Kedatangan Nabi Muhammad SAW bukan sekadar mengIslamkan masyaraktnya tetapi juga baginda datang untuk membantu mengubah sikap masyarakatnya. Hanya dengan perubahan sikap, maka risalah baginda akan difahami dan diikuti manusia.

Soal Islam atau kafirnya seseorang itu hanya Tuhan yang menentukan. Soal hati, iman dan akidah, yakni hidayah, adalah seratus peratus kuasa dan hak Tuhan. Kerja dakwah dan berbuat baik ini adalah tanggungjawab manusia.

Hijrah

Apabila kita memahami dengan fikiran dan hati yang tenang tentang hikmah hijrah Rasulullah, kita seharusnya dapat memahami bahawa ia bukan sekadar penghijrahan (perpindahan) secara fizikal, sebaliknya ia adalah satu peralihan spiritual dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain. Dalam konteks ini, ia bermakna penghijrahan spiritual masyarakat yang yakin dengan kepercayaannya.

Selain dari persoalan iman dan agama, keyakinan ini juga tidak terpisah daripada iltizam untuk menjadi manusia yang lebih baik yang redha dengan kuasa Tuhan.

Untuk mencapai satu tahap di mana hati menjadi ikhlas, pengorbanan diri harus dilakukan. Pengorbanan ini memerlukan satu sikap yang positif atau optimis dengan apa yang bakal mereka perolehi kelak – ganjaran Tuhan.

Apabila rombongan Nabi dari Makkah sampai di Madinah, lihat saja bagaimana sikap orang Madinah yang kebanyakannya bukan Islam, menyambut penuh ikhlas dan gembira kunjungan pengikut-pengikut Rasulullah, malah memberi perlindungan kepada mereka yang berada dalam keadaan cemas dan ditindas sewaktu di Makkah.

Orang-orang Madinah menerima mereka bukan sahaja kerana sikap berbaik sangka dengan orang Islam tetapi juga kerana sikap para pengikut Nabi yang melihat orang Madinah sebagai manusia, sebagai insan, dan bukan sebagai orang ‘kafir’.

Rombongan Makkah telah menunjukkan satu sikap sebagai golongan amanah yang boleh dipercayai dan boleh memahami perbezaan budaya dan kepercayaan. Justeru, kehadiran mereka di bumi Madinah tidak dihalang, malah dialu-alukan.

Inilah bukti di mana dengan sikap, ia boleh mengubah persepsi seseorang kepada kita. Orang yang baru kita kenali tidak akan bertanya tentang kekayaan kita, mereka tidak akan bertanya tentang setinggi mana kita belajar, tetapi mereka menilai terus dari sikap kita. Jika kita tawadhuk dan ikhlas, pasti ia akan terpancar jelas di mata dan sanubari manusia.

Islam milik semua yang cintakan kebenaran, keadilan

Hijrah Nabi Muhammad SAW bukanlah sekadar lari dari kekejaman penentang Islam di Makkah. Ia adalah penghijrahan untuk mengubah persepsi manusia ke atas perjuangan demi kebenaran. Persepsi yang baik ini hanya akan dapat dibentuk menerusi sikap kita yang berbaik sangka antara kaum dan agama.

Melihat kepada politik Malaysia yang tidak habis-habis dengan pihak yang menguasai pemerintahan pusat membenarkan fitnah dan adu-domba antara masyarakat kita, ini menunjukan mereka belum tawadhuk pada perjuangan mereka.

Tidak ada salahnya, malah digalakkan membela nasib bangsa, kaum atau suku kaum sendiri. Tetapi jika ia dilakukan dengan cara menekan, menyekat dan menindas orang lain, ia menjadi persoalan ketidakadilan kepada yang lain. Apabila berlaku ketidakadilan, kezaliman dan kekejaman, ia bererti bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.

Perjuangan di Malaysia tidak sepatutnya berlandaskan assabiyah, sebaliknya mana-mana pihak sekali pun perlu memastikan asas perjuangan politik mereka adalah untuk menolong dan membela nasib golongan yang lemah, tidak kira kaum atau bangsa.

Bagi sesetengah orang Islam yang sudah terlupa, mungkin elok diperingkatkan kembali bahawa Rasulullah SAW tidak diutuskan Tuhan untuk bangsa dan kaum Arab sahaja. – Roketkini.com