HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Oktober 2007

Bazir RM95 juta untuk angkasawan Malaysia uji yoyo dan gasing?

Azamin Amin

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Belum pun Angkasawan pertama Malaysia, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha tiba ke bumi pada 21 Oktober (esok), pelbagai kritikan dan luahan kesal sebilangan masyarakat telah didengari terhadap projek angkasalepas negara yang dianggap sebagai satu pembaziran besar yang wajar dinilai dan dikaji semula kerana melibatkan kos perbelanjaan yang begitu tinggi.

Malah ada yang menyifatkannya ianya sekadar projek 'melancong ke angkasa' yang tidak memberi sebarang impak besar terhadap teknologi angkasa lepas negara ini dan hanya mahu berbangga nama Malaysia dilakarkan di mata dunia semata-mata seorang rakyat Malaysia telah pun dihantar ke angkasa.

Lebih sinis pemimpin Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) dilabelkan sebagai pemimpin yang sering menunjuk-nunjuk dengan pencapaian yang diperolehi oleh Malaysia dan akan mencanangkan kepada satu negara hasil usaha yang telah dicapai dan telah dilaksanakan oleh BN selama ini sedangkan pencapaian itu terpaksa disokong dan 'dileburkan' dengan menggunakan duit rakyat jelata.

Dalam satu petikan daripada Kolumnis akhbar The Age, Melbourne, Michael Backman yang mengkritik projek ini berpendapat bahawa rakyat Malaysia hanya menumpang kapal angkasa milik orang lain dengan membayar kapal itu seumpama teksi sahaja.

"Apa yang Malaysia dapat dengan menggunakan program angkasalepas milik orang lain sebagai teksi? Sah tiada manafaat teknologi yang diperolehi. Tetapi sudah tentu Malaysia sekali lagi akan berkata 'boleh'. Masalahnya mereka tidak, ini bukan program angkasawan mereka," tulis Backman.

Angkasawan lain sudah uji yoyo

Bahkan akhbar Australia itu menyifatkan Malaysia sebagai "boleh" tetapi "bodoh" apabila membelanjakan RM95 juta untuk menghantar rakyatnya di angkasa lepas.

Ada tanggapan,bahawa Malaysia semakin menunjukkan kebodohannya apabila membelanjakan wang sebanyak itu semata-mata untuk membuat ujikaji 'bodoh' di angkasa lepas yang telah pun dibuat oleh angsawan lain sebelumnnya.

Antara ujikaji yang disifatkan boleh menjadikan tawa negara luar yang dipetik daripada blog ntbn.wordpress ialah putaran gasing,putaran yoyo, catuan Strawberry,campuran minyak dan air dan kelajuan bola berbilang saiz.

"Cuba kita bayangkan. Selain ianya dilakukan sekali lagi atau menjadi bahan tawa negara maju betapa Malaysia sudah ketinggalan di dalam ilmu angkasa sehingga yoyo dan gasing pun menjadi perkara pelik untuk dibuat ujikaji," kata blog tersebut

Dilaporkan ujikaji terhadap yoyo ini telah pun dilakukan pada 12 April 1985 oleh Astronaut David Griggs manakala ujian susulannnya dilakukan oleh Astronaut Jeffery Hoffman pada 31 Julai 1992.

"Nak buat macamana, setakat kaji yoyo, mereka dah boleh digelarkan sebagai angkawasan dan saintis...tak ke kelakar namanya tu," kata blog itu lagi.

Kebanggaan Malaysia juga tidak dapat bertahan lama sebagai sebuah negara membangun yang berjaya menghantar rakyatnya ke angkasa lepas kerana akhirnya 'dibenam' oleh Afghanistan yang jauh lebih mundur daripada negara ini yang telah mencipta sejarah 19 tahun lalu dengan menghantar angkasawannya Abdul Ahad Mohmand.

Rakyat Afganistan ke angkas lepas 19 tahun lalu

Juruterbang tentera Afganistan berusia 48 tahun itu berlepas ke angkasa dengan roket Soyuz TM6 pada 29 Ogos 1988 dengan ditemani 2 angkasawan Russia,Vladimir Lyakhov dan Valery Polyakov dan tiba di bumi pada 6 September 1988, menurut tulisan ibnuzack2 yang dipetik daripada laman web Tranungkite.

"RM 100 juta bukan sedikit. Andai jumlah sebesar itu digunakan bagi membina rumah kos rendah,maka 25 000 rakyat kerdil akan dapat berteduh dari hujan dan panas.

"Tidak perlu lagi rakyat Kampung Berembang hidup di dalam khemah dan tidak perlu lagi penduduk Kampung Bujal menangis melihat tumbangnya masjid mereka. Andai wang sebanyak itu disalurkan untuk kemudahan pendidikan,maka ratusan ribu remaja Islam tidak perlu menanggung beban riba PTPTN," kata ibnuzack2.

Mengakhiri tulisannya beliau menasihati supaya projek angkasalepas ini tidak 'mengaburi' penganiayaan yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat yang semakin hari makin tertindas akibat penyalahgunaan kuasa dan harta oleh para pemimpin yang rakus dan tamak haloba.

"Jangan tuan-tuan,andainya kejayaan Dr Syeikh Muszaphar ini akan melupakan kita pada Kampung Berembang,peristiwa Kampung Bujal, skandal kapal selam,skandal kehakiman,penganiayaan di Batu Burok,ISA,rampasan royalti,peminggiran dan berat sebelah terhadap rakyat dan kerajaan Kelantan serta pelbagai lagi kisah lampau yang masih berdarah lagi lukanya," katanya lagi.

Tiada ulasan: