HALAMAN SANTAI

Ahad, 14 Oktober 2007

Salah laku moral tiga 'anak buah' resahkan Khir Toyo

Azamin Amin

KUALA LUMPUR - Desas-desus hangat memperkatakan bahawa sekurang-kurangnya empat Menteri Besar (MB) bakal digugurkan dalam rombakan kabinet bakal diumumkan oleh Perdana Menteri sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 berakhir.

Mereka yang disebut bakal digugurkan adalah Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo, Dato' Seri Ali Rustam, Dato' Abdul Ghani Othman dan Dato' Seri Musa Aman yang dikira mempunyai masalah-masalah di negeri masing-masing yang gagal ditangani dengan baik sehingga dianggap menjejaskan nama baik serta imej Barisan Nasional (BN).

Menurut sumber, sungguhpun begitu, biarpun bakal digugurkan, Dr Mohd Khir dijangka akan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar bagi memberikan ruang berkhidmat di peringkat pusat sebagai menteri kabinet.

Cuma ramai berpendapat pertukaran Dr Khir ada kaitan dengan pembangunan negeri Selangor tidak seimbang dan kegagalan beliau menangani Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), termasuk masalah setinggan dan kemiskinan tegar di negeri ini.

Paling meresahkan Khir Toyo ialah dakwaan salah-laku tiga 'anak buah kesayangannya' yang diharap dapat mengangkat Umno Selangor selama ini tetapi telah mencemarkan prestasi dan menjadi bualan hangat masyarakat setempat yang boleh menjejaskan peluang Umno di kawasan tertentu untuk memenangi pilihan raya akan datang.

Menurut sumber, ketiga-tiga mereka yang dimaksudkan ialah Senator Datin Paduka Norhayati Onn yang merupakan anggota Exco Wanita Umno Malaysia yang didakwa terlibat dengan isu kontroversi berhubung gambar intimnya dan dakwaan khalwat dengan Ahli Parlimen Gombak, Dato' Dr Rahman Ismail (orang kuat Khir Toyo) di beberapa hotel yang berbeza sekitar semenjak Disember 2005.

Manakala "anak buah" Khir yang ketiga ialah Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib disyaki berkelakuan tidak sepatutnya yang boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang wakil rakyat, di sebuah hotel di ibu kota pada 26 Ogos lalu.

Menurut sumber, hasil maklumat orang ramai, suami Rozaidah yang merupakan seorang pengurus bank, Radzmi Othman, 47, telah datang ke hotel terbabit kira-kira jam 4 pagi bagi 'menyerbu' bilik yang dipercayai didiami oleh Ketua Wanita Umno Ampang itu dengan dibantu pengurus dan pengawal keselamatan hotel.

Sehingga kini kata sumber, kisah skandal ketiga-tiga pemimpin Umno Selangor ini walaupun berjaya dihidu tetapi sedaya-upaya cuba disembunyikan termasuk mengelak daripada dibicarakan di Mahkamah Syariah mahupun Sivil supaya berpeluang untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.

Difahamkan Norhayati akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang bagi menggantikan Dato' Zakaria Mat Deros yang mempunyai pelbagai masalah sungguhpun 37 tuduhan terhadapnya digugurkan baru-baru ini.

Laporan polis terhadap tiga pemimpin Umno jadi tanda tanya

Terdapat sembilan laporan polis terhadap Norhayati Onn yang masih tidak diketahui perkembangan terkini dan status siasatan oleh pihak Polis, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Selangor yang dilihat menimbulkan syak dan menjejaskan nama baik mereka yaang wajar dijawab segera yang sehingga kini menjadi tanda tanya umum.

Berikut adalah antara laporan polis yang pernah dibuat oleh suami Ketua Wanita Umno Bahagian Kelang itu, Mohd Suffian Abdul Aziz, di Balai Polis Shah Alam bertarikh 8 Oktober 2006:

"Terkandung di dalam telefon bimbit berkenaan (milik isterinya) ada beberapa gambar-gambar yang tersimpan yang menunjukkan gambar-gambar Dato' Dr Rahman bin Ismail, Ahli Parlimen Gombak, berpelukan dengan isteri saya di dalam bilik-bilik hotel iaitu di Hotel Riverview, Kota Bharu, Kelantan semasa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, Kelantan dan dalam bilik tidur di Hotel Eastin, Kuala Lumpur."

Ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Syariah Shah Alam 11 September lalu, Suffian mendakwa penarikan itu dibuat semata-mata untuk menutup kes khalwatnya dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Gombak itu.

"Jika kes ini diteruskan, saya ada peluang untuk kemukakan cerita Norhayati dengan Abdul Rahman.Tetapi peluang itu tiada setelah kes ini ditarik balik," katanya.

Beberapa sumber memaklumkan, Norhayati (anak kepada Pengerusi Tetap Umno Malaysia Tan Sri Onn) menarik balik kes tersebut kerana tidak mahu rahsia salah-lakunya tidak terbongkar memandangkan beliau tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kes mahkamah menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 kerana beliau dikatakan akan bertanding untuk di Pelabuhan Klang menggantikan Dato' Zakaria Deros pada pilihan raya umum akan datang tersebut.

Sumber menyatakan bahawa sudah ada bukti untuk mengaitkan Norhayati dengan kes salah-laku seperti hampir 10 laporan polis dibuat semenjak Disember 2005 yang sehingga kini belum mempunyai perkembangan terkini termasuk beberapa keping gambar intim kedua-dua pemimpin Umno Selangor itu di lokasi hotel yang berlainan.

Manakala berikut adalah cabutan dan petikan laporan Polis bernombor JTRAZAK/005585/07 yang dibuat suaminya Radzmi Othman 47 tahun yang diterima Koperal Azizan Hassan terhadap Ahli Parlimen Ampang, Dr Rozaidah Talib disyaki berkelakuan tidak sepatutnya yang boleh menjejaskan imejnya sebagai seorang wakil rakyat, di sebuah hotel di ibu kota pada 26 Ogos lalu.

"... saya mengesyaki bahawa Yasmin (anaknya) tiada dalam bilik tetapi berkemungkinan isteri saya bersama lelaki lain di dalam bilik tersebut, Saya sebagai suami tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik malah beliau meminta waran daripada pihak polis untuk memasuki bilik tersebut dan selepas itu kami semua beredar dari Hotel Crown Princess ..."

"... Saya datang ke balai polis buat laporan kerana tidak puas hati dengan sikap dan tindakan serta kecurangan isteri saya dan mahu rujuk perkara ini ke pejabat agama. Sekian laporan saya."

Pemerhati menjangkakan Dr Rozaidah dan Dr Rahman mungkin tidak terpilih lagi sebagai calon BN dalam pilihan raya ke-12 akan datang.

"Seteru politik masing-masing, dalam Umno sendiri, menunggu peluang untuk mencantas mereka, apatah lagi kedua-duanya dilihat calon bidan terjun dalam pilihan raya lalu," kata sumber, sambil menambah, waktu itu, mereka tidak mempunyai jawatan tinggi dalam Umno bahagian.

Oleh kerana kedua-dua wakil rakyat itu baru ditampilkan dalam pilihan raya 2004, mereka sering dianggap sebagai "orang Khir Toyo".

Justeru, jika Rozaidah dan Rahman dikaitkan dengan pelbagai skandal yang memalukan, apatah lagi dakwaan itu tidak langsung membabitkan pembangkang, ia dikira boleh memalitkan imej negatif kepada Dr Khir, bukan sahaja sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, tetapi juga sebagai "kawan rapat" mereka berdua. -az

Tiada ulasan: