HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Oktober 2007

Orang asing masuk Malaysia sepantas 60 saat!
Oleh SA'ODAH ELIAS

KUALA LUMPUR: Malaysia kini sudah menjadi sebuah negara yang paling "mesra orang asing" berikutan keputusan kerajaan memperkenalkan visa ketibaan (VOA) akhir tahun lalu sebagai langkah merancakkan ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia tahun ini.

Dengan langkah itu, Malaysia memegang rekod sebagai negara yang paling mudah untuk dimasuki. Proses orang asing melepasi pemeriksaan imigresen di negara ini hanya mengambil masa kurang 60 saat.

"Rekod kita ini yang paling pantas di dunia," akui Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Rekod hebat itu bagaimanapun bukan boleh dibanggakan kerana ia kini membawa masalah besar terutama aspek keselamatan.

Mengikut statistik, lebih 30 peratus daripada 120,000 pemegang VOA yang dikeluarkan sejak September tahun lalu kini masih berada di negara ini tetapi lokasi dan kegiatan mereka tidak diketahui. Kebanyakan mereka datang dari India, Pakistan, Sri Lanka dan China.

"Sebelum ini, Jabatan Imigresen pernah cuba memastikan setiap orang asing yang masuk ke negara ini benar-benar pelancong tulen. Kerana itu mereka diminta mengemukakan bukti tempat tinggal serta tiket kapal terbang pulang ke negara masing-masing tetapi tindakan ini tidak disenangi pihak tertentu kerana kononnya ini tidak menggalakkan pelancong berkunjung ke Malaysia.

"Jadi sekarang sesiapa sahaja yang minta, Jabatan Imigresen keluarkan sahaja visa, sampai berlambak-lambak," kata Radzi lagi.

Masalah lain yang timbul akibat kemasukan warga asing yang tidak dipantau ialah, kesemua 14 depoh tahanan imigresen sudah sesak sehingga operasi memburu pendatang asing kini bukan lagi dilakukan mengikut keperluan, tetapi mengikut kekosongan di depoh berkenaan.

Keselamatan dan kedaulatan negara yang sepatutnya dipertahankan dalam apa jua keadaan kini nampaknya seolah-olah sudah boleh diketepikan demi melihat statistik kemasukan pelancong yang tinggi.

Radzi sendiri mengakui bahawa sistem kemasukan orang asing saat ini boleh dikategorikan sebagai "terlalu longgar" sehingga berpotensi menggugat keselamatan negara dan membuatkan orang ramai terasa "asing" di negara sendiri.

Katanya, keluhan orang ramai bahawa mereka tidak lagi selesa pergi ke sesuatu kawasan seperti Chow Kit kerana bukan sahaja sebahagian besar pengunjung, tetapi juga peniaga terdiri daripada orang asing, telah kerap sampai ke telingannya.

Namun beliau tidak mahu kementeriannya serta agensi-agensi di bawahnya dipertanggungjawabkan dengan masalah itu kerana ia berlaku bukan kerana keculasan pihak-pihak berkenaan menguatkuasakan undang-undang serta peraturan.

Beliau membayangkan bahawa agensi-agensi di bawah kementeriannya kini beroperasi seolah-olah dengan "sebelah tangannya terikat" apabila banyak perkara yang hendak dilaksanakannya mendapat bantahan.

Malah semua depoh tahan pendatang asing, walaupun dipanggil Depoh Imigresen, sebenarnya bukanlah ditadbir oleh jabatan itu, tetapi oleh Jabatan Penjara Malaysia yang terletak bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri kecuali di lapangan terbang KLIA dan semua depoh di Sabah yang ditadbir oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan.

Kedudukan yang agak pelik ini juga menimbulkan masalah dari segi penyelarasan, sehingga pernah berlaku pendatang tanpa izin yang ditahan dalam operasi Rela, sebuah lagi agensi di bawah Radzi, terpaksa dilepaskan semula kerana keengganan pengurusan depoh berkenaan menerima mereka kerana sebab-sebab tertentu.

Kerana itu, maka tidak peliklah jika statistik rasmi menunjukkan jumlah pendatang asing di negara kini seramai 1.98 juta termasuk hampir 400,000 pendatang tanpa izin dan 10,000 yang ditahan di depoh tahanan, sudah melebihi kaum warganegara ketiga terbesar, iaitu kaum India yang pada bancian terakhir berjumlah 1.81 juta.

Jika keadaan ini tidak diperbetulkan, ia akan menjadi lebih parah, lebih-lebih lagi apabila pembangunan tiga lagi wilayah baru di selatan, utara dan timur Semenanjung mula berjalan rancak dan memerlukan lebih ramai lagi pekerja terutama dalam sektor pembinaan.

Tiada ulasan: