HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Oktober 2007

Saman trafik RM300 tanpa rayuan bagi kesalahan serius

KUALA LUMPUR: Kompaun RM300 tanpa rayuan akan dikenakan kepada pengguna jalan raya, sama ada pemandu kenderaan persendirian atau kenderaan perdagangan, yang didapati melakukan kesalahan serius bermula esok hingga 21 Okt ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy berkata antara kesalahan serius bagi pemandu kenderaan persendirian ialah memandu melebihi had laju yang ditetapkan, memotong barisan, melanggar lampu isyarat, menggunakan lorong kecemasan dan memotong secara berbahaya.

Beliau berkata bagi pemandu kenderaan perdagangan pula kategori kesalahan serius ialah seperti melebihi masa memandu lapan jam dalam setiap 24 jam, tidak berehat setengah jam setiap empat jam perjalanan dan tidak ada pemandu kedua bagi perjalanan jauh melebihi 300 kilometer atau empat jam pemanduan.

"Kesalahan lain ialah kegagalan pemandu merekodkan pergerakan termasuk waktu bertolak, lokasi tukar pemandu dan waktu sampai di lokasi dalam buku log, pelanggaran perintah had laju dan melanggar syarat lesen perubahan sementara," katanya.

Chan berkata langkah itu bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya supaya mereka lebih berhati-hati ketika pulang berhari raya sempena musim perayaan tahun ini.

"Tidak ada rayuan yang akan diterima bagi mereka yang didapati melakukan kesalahan serius di jalan raya," katanya kepada pemberita selepas perasmian kempen bersepadu keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri 2007 di Perhentian Duta di sini oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Chan berkata sempena musim perayaan ini juga aktiviti penguatkuasaan bersepadu juga akan diadakan, antaranya membabitkan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Jeanne dalam ucapannya pada majlis itu mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika pulang memandu, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.

"Kepada semua ibu bapa, sayangilah anak-anak dengan menjaga keselamatan mereka bukan sahaja dari ancaman jenayah tetapi juga keselamatan jalan raya. Berikan contoh yang baik kepada anak-anak ketika berada di jalan raya," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: