HALAMAN SANTAI

Selasa, 16 Oktober 2007

Pelampau Umno buang banner selamat hari raya PAS ke dalam longkang

Basiron Abdul Wahab


KUALA LIPIS (Hrkh)- PAS Cameron Highlands kesal dengan tindakan anasir "pelampau" yang cuba mewujudkan ketegangan di kalangan penyokong PAS-Umno dengan membuang "banner" PAS ke dalam longkang di Felda Sungai Koyan, dekat sini.

Yang Dipertuanya, Ustaz Ahmad Ludin percaya, tindakan itu dilakukan oleh pelampau Umno yang lahir daripada kursus-kursus anjuran parti itu.

Katanya, golongan itu diasuh supaya membenci parti-parti lain selain Umno dan parti komponen Barisan Nasional. Justeru, apabila melihat "banner" PAS terpampang di mana-mana, ia menyakitkan hati mereka lalu bertindak melulu dengan membuangnya.

"Bagi golongan itu, hanya BN-Umno sahaja yang berhak mempamerkan "banner" bagi mengucapkan selamat hari saya kepada rakyat di negara ini.

"Saya pasti apa yang dilakukan pelampau Umno itu kerana asuhan daripada pemimpin Umno. Walhal PAS juga berhak untuk mengucapkan selamat hari raya buat umat Islam di negeri ini. Tiada sebab kami dihalang daripada berbuat demikian," katanya.

Justeru, apabila terlihat gambar dan ucapan selamat hari raya daripada pemimpin PAS menimbulkan semacam "fobia, kehairanan dan sakit hati" kepada golongan pelampau Umno itu.

Menurut Ahmad, beliau amat bimbang provokasi golongan itu membangkitkan kemarahan di kalangan penyokong PAS pula.

Ini kerana Umno turut meletakkan "banner" sama seperti PAS di kawasan strategik seperti di persimpangan jalan utama dan sebagainya.

Katanya, perkara itu telah dinyatakannya kepada pemimpin kanan Umno yang menghubunginya baru-baru ini.

Difahamkan Umno telah menubuhkan pasukan pemuda elitnya yang boleh dikenali kerana memakai gelang warna kuning berlambang Umno di tangan.

Adalah dipercayai pemuda-pemuda ini telah diberi latihan tertentu "ala pemuda tahan lasak" dahulu.

Selain itu Umno juga telah menguasai pertubuhan Melayu tertentu yang dipanggil pemimpinnya dengan panggilan "abang long" atau "abang ngah" seperti terdapat dalam cerita kongsi gelap Cina.

Tiada ulasan: