HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Oktober 2007

Panel bebas 'perkakas kerajaan' tutup kes 'Pita Lingam'

Wan Nordin Wan Yaacob

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Sejak Panel Bebas ditubuhkan lebih sebulan yang lalu bagi menyiasat skandal 'Pita Lingam' badan itu tidak henti dihujani kritikan kerana kegagalannya memanggil mahupun melindungi saksi dalam siasatan mereka.

Hari ini panel yang dikepalai Tan Sri Haidar Mohd Nor itu sekali lagi dikecam dan disifatkan menjadi 'perkakas kerajaan' bagi menutup skandal 'Pita Lingam' oleh Parti KeADILan Rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kecaman itu dibuat Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan beberapa pimpinan NGO serta pemuda dan wanita KeADILan dalam satu sidang media selepas pertemuan 10 minit dengan panel bebas di Suhakam pagi tadi.

Tian Chua berkata, setakat ini panel itu hanya menghabiskan masa dan wang rakyat kerana hanya menjadi 'perkakas' kepada kerajaan untuk menutup kes tersebut.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum mewakili pelbagai pihak parti politik dan NGO kepada Panel Bebas di pejabat Suhakam hari ini.

Turut serta ialah, Ketua Penerangan Angkatan Muda KeADILan, Latheefa Koya; Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamarudin; wakil Suaram, Eric Paulsen dan beberapa aktivis NGO lain.

KeADILan berpendirian panel ini langsung tidak berwibawa dengan hanya mengharapkan maklumat dari Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan tidak berkuasa memanggil saksi, kata Tian Chua.

Beliau juga melihat bahawa keenganan panel bebas untuk berbincang lebih lama dengan delegasi KeADILan serta NGO hari ini menyebabkan wibawa panel itu sekali lagi boleh dipertikai.

Katanya, tiada guna kerajaan menubuhkan panel itu jika pihak yang mendedahkan maklumat tidak diberi peluang yang secukupnya untuk berbincang dan memberi maklumat serta pandangan kepada panel tersebut.

Seharusnya panel bebas itu mencadangkan kepada kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat skandal dalam pita tersebut yang sebenarnya memberi kesan besar kepada sistem kehakiman negara.

Sementara itu wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Eris Paulsen juga senada dengan Tian Chua yang mahukan Suruhanjaya Diraja dibentuk segera.

Ujar Eric lagi, memandangkan sebelum ini dalam beberapa kes dan skandal lain kerajan boleh menubuhkan Suruhanjaya Diraja, mengapa tidak dalam kes sebesar kes 'Pita Lingam' ini.

Terdahulu sebelum itu semua delegasi NGO dan KeADILan telah dihalang dari bertemu dengan panel itu hingga salah seorang ahli panel, Dato' Mahadev Shankar keluar ke pekarangan pejabat Suhakam di Tingkat 30 bertemu dan berbincang dengan delegasi.

Hasil dari itu hanya tiga orang sahaja yang dibenarkan untuk masuk ke pejabat Suhakam itu pun hanya sepuluh minit sahaja untuk bertemu dengan Panel Bebas itu antaranya, Tian Chua, Eric Paulsen dan Ketua Penerangan Pemuda KeADILan, Latheefa Koya.

Berikutan itu kekecohan berlaku sebentar dan sementara menanti kebenaran masuk, pelbagai aksi dilakarkan di luar pejabat Suhakam.

Antara yang menarik aksi Tian Chua melakarkan semula kartun yang sudah siap sedia dilukis oleh seorang pelukis yang enggan identitinya dikenali.

Lukisan itu menggambarkan tiga ekor burung Ostrich yang kepalanya terbenam ke tanah dan masing-masing ditulis nama tiga panel tersebut iaitu nama Mahadev, Tan Sri Haidar Mohd Nor dan Lee Lam Thye.

Dengan nada sinis tertera tulisan 'Where is the evidence' bersebelahan dengan lakaran kartun burung Ostrich.

Ramai yang tertawa dengan lakaran itu yang cukup sinis, dan ada juga yang masam kerana kurang suka dengan lakaran tersebut.

Sudah tentu mereka yang kurang suka adalah di kalangan polis dan Pegawai Cawangan Khas (SB) yang sejak pagi lagi asyik memperhati gelagat delegasi serta wartawan yang membuat liputan penyerahan memorandum kepada panel bebas. - mks.

Tiada ulasan: