Malaysia negara maju, tapi pemimpin masih berfikiran kuno
Oleh Nyza Ayob
KUALA LUMPUR - Sungguhpun Malaysia mencapai tahap negara membangun tetapi kerajaan masih mempunyai pemikiran kuno terhadap perumahan yang menjadi salah satu tunggak hak asasi manusia.Kenyataan tersebut disuarakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam, Andrew Khoo Chin dalam Forum Hari Habitat Sedunia 2007, anjuran Jaringan Rakyat Tertindas(Jerit) baru-baru ini. Andrew yang merupakan salah seorang panel dalam forum tersebut berkata, kerajaan masih mengamalkan cara pemikiran yang tidak mengiktiraf hak asasi manusia kerana walaupun negara sudah mencapai 50 tahun kemerdekaan, negara masih terikat dengan undang-undang darurat.
Katanya, Penggunaan Ordinan Darurat Pembersihan Setinggan 1969 ini menunjukkan Pihak Berkuasa Tempatan menggunakan jalan yang amat mudah 'membersihkan' kawasan setinggan iaitu yang memberi kuasa membuat sewangan-wenangnya tanpa berhadapan dengann proses penghakiman.
"Jika permasalahan setinggan ini adalah isu politik, kami juga perlu melihat daripada segi politik untuk menyelesaikan masalah iniDalam menuntut kebebasan penghakiman, pihak peguam terpaksa membuat perarakan untuk mendapatkan tindak balas daripada kerajaan. Ini adalah salah satu cara yang terpaksa kami lakukan untuk membuat kerajaan peka dan perihatin terhadap masalah peneroka bandar.
"Mungkin kerajaan ada menyatakan mereka prihatin terhadap isu setinggan dengan mengadakan rumah kos rendah dan sederhana, tetapi ia tidak mencukupi.Apakah negara kita masih seperti Myanmar yang masih menghadapi pergolakan kuasa di antara kerajaan dan rakyat yang mana kita perlu meneruskan ordinan darurat ini,"katanya.
Selain Andrew, panel lain yang terlibat ialah Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam, dan Wakil Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah, Julie Wong. Wakil daripada penduduk Kampung Berembang, Alizan Ali dan wakil Jerit, Parameswary turut terlibat dalam forum tersebut.
Sementara itu, beliau menegaskan, hak asasi ke atas perumahan digariskan dalam perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang diterima dan digunakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB). Perisytiharan tersebut menyatakan setiap individu mempunyai hak untuk tinggal dalam satu keadaan yang sesuai bagi memastikan kesihatan diri dan keluarga terpelihara, termasuk mempunyai makanan, pakaian dan perkhidmatan perubatan dan sosial yang diperlukan.
Andrew berkata, PBB harus memperjuangkan undang-undang yang termaktub ini, malangnya katanya, ia tidak dapat dilihat dalam undang-undang di Malaysia dan keputusan mahkamah yang dikeluarkan.
Jelasnya lagi, pembinaan rumah di kawasan yang berhampiran dengan pelbagai kemudahan juga termasuk dalam konteks hak-hak asasi. Andrew juga menekankan bahawa kerajaan seharusnya melaksanakan tanggung jawab seiring dengan persetujuan dalam perjanjian dan konvesyen antarabangsa. Tambahan pula katanya, Malaysia juga merupakan Ahli Majlis Hak Asasi di PBB.
"Jika pendatang asing seperti pelarian Rohingya dilayan dengan baik oleh kerajaan, masakan peneroka bandar ini tidak dilayan dengan baik berbanding golongan ini?Adakah Malaysia sebagai ahli dalam majlis tersebut akan mempertimbangkan hak asasi orang kita sendiri? " soalnya.
Sementara itu, seorang lagi panel, Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam turut menekankan Undang-undang di Malaysia masih zalim dan sudah tiba masanya Ordinan Darurat Pembersihan Setinggan 1969 dihapuskan. Jelas Siva, undang-undang tersebut diguna pakai pada waktu tersebut supaya wujud satu dasar semua kaum dapat hidup bersama di satu tempat.
Katanya, apabila pembangunan berlaku, rakyat perlu berpindah dan ditakrif sebagai setinggan. Kedatangan pemaju yang inginkan keuntungan mengusir golongan setinggan ini seperti yang berlaku di beberapa buah kampung seperti yang berlaku di Kampung Berembang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan