Penel bebas perlu dibubarkan bukan tangguh mesyuarat
Perkara tersebut dibuktikan lagi apabila penal itu menangguhkan mesyuarat keduanya yang dijadualkan berlangsung pada pagi semalam di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali berkata demikian ketika mengulas penangguhan mesyuarat yang diketuai oleh bekas Hakim Besar Malaya, Haidar Mohd Noor.
Dua lagi anggota penal itu ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mahadev Shankar dan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Lee Lam Thye.
Mesyuarat itu dipercayai ditangguhkan kerana Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak dapat menyiapkan siasatannya terhadap klip video Lingam itu.
Walau bagaimanapun, tarikh penangguhan mesyuarat itu masih belum ditetapkan lagi dan panel itu diberi tempoh sebulan untuk menyiasat kesahihan klip video tersebut.
Mesyuarat yang kedua itu sepatutnya berlangsung antara anggota penal dengan BPR, Pejabat Peguam Negara dan pihak polis untuk mengumpulkan maklumat.
Menurut Syed Husin, jalan terbaik yang perlu diambil adalah penal itu sepatutnya dibubarkan dan bukan hanya menangguhkan mesyuarat mereka yang menyebabkan siasatan terhadap krisis kehakiman negara terus tertangguh.
“Pembubaran penal itu seterusnya perlu diganti dengan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes klip video ini,” kata beliau.
Jelasnya, sejak pendedahan klip tersebut KeADILan dari awal lagi mendesak kerajaan supaya menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat krisis yang berlaku dalam badan kehakiman itu.
Beliau juga menegaskan bahawa sejak dari awal lagi KeADILan menolak penubuhan penal bebas yang diumumkan oleh kerajaan pada 26 September lalu untuk menyiasat klip video perbualan Lingam dengan Ketua Hakim Negara, Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pada tahun 2000 mengenai pelantikan hakim.
Penal tersebut yang memulakan mesyuarat pertamanya di pejabat Suhakam pada 3 Oktober lalu mendapat bantahan daripada ‘Jawatankuasa Pemandu untuk Membebaskan Badan Kehakiman’ kerana mereka inginkan suruhanjaya diraja.
Kehadiran Peguam Negara Abdul Gani Patail, Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Timbalan Ketua BPR Abu Kasim Mohamad di mesyuarat itu dicurigai merupakan satu bentuk tindakan untuk mempengaruhi panel tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan