HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Oktober 2007

Penerbit jamin bekalan buku teks cukup


PUTRAJAYA: Buku teks percuma akan dibekalkan ke semua sekolah di seluruh negara tiga atau empat hari sebelum sesi persekolahan tahun depan bermula, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata, penerbit buku teks turut memberi jaminan bekalan buku teks di kedai buku untuk keperluan pelajar sekolah swasta dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah mencukupi.

"Kementerian terutama Bahagian Buku Teks sudah mengadakan pertemuan dengan semua penerbit buku teks bagi memastikan bekalan buku teks mencukupi dan dapat diedarkan lebih awal sebelum sesi persekolahan 2008 bermula," katanya.

Alimuddin berkata demikian pada sidang media bagi menjelaskan pelbagai isu termasuk berkaitan bekalan buku teks, yuran sekolah, sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), beg berat, penggal persekolahan 2008 dan program angkasawan di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Buku Teks, Abdul Hamid Md Shah dan Timbalan Pengarah (Dasar), Sulaiman Wak.

Penggal persekolahan 2008 akan bermula pada Rabu 2 Januari di Kelantan, Terengganu, Kedah, manakala negeri lain pada Khamis 3 Januari.

Pada pembentangan Bajet 2008, kerajaan mengumumkan keputusan memperluaskan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua murid tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak di semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah menengah agama rakyat mulai 1 Januari depan.

Alimuddin berkata, perluasan skim itu akan memanfaatkan 5.7 juta pelajar berbanding 4.5 juta pelajar sebelum ini dengan kos tambahan sebanyak RM128 juta.

"Ketika ini, kementerian membelanjakan antara RM170 juta hingga RM190 juta setahun untuk membiayai skim berkenaan terutama bagi menggantikan buku teks rosak," katanya.

Sementara itu, Alimudin berkata, PIBG tidak mempunyai kuasa untuk mewajibkan ibu bapa membuat sumbangan bagi mengisi tabung persatuan itu.

Katanya, Peraturan 5 (4), Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998, hanya membenarkan persatuan mengutip sumbangan selepas dipersetujui mesyuarat agung dan dimaklumkan kepada pendaftar, iaitu Pengarah Pelajaran Negeri.

"Sebenarnya, ibu bapa tidak diwajibkan membuat sumbangan kepada PIBG kerana ia bukan yuran dan jumlahnya juga fleksibel, iaitu mengikut kadar yang dipersetujui pada mesyuarat agung PIBG.

"Malah, pengecualian diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan dan anak ramai supaya ia tidak membebankan mereka," katanya.

Alimuddin berkata, sekolah juga mesti mendapatkan kelulusan Pengarah Pelajaran Negeri sebelum mengutip sebarang yuran tambahan selaras dengan hasrat kerajaan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat.

Katanya, kementerian akan menghantar pekeliling kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri untuk memaklumkan mengenai kadar `siling' yuran tambahan kepada ibu bapa, antaranya sumbangan PIBG, komputer, alat tulis dan sukan tahunan.

Tiada ulasan: