HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Oktober 2007

Sarjan polis terbabit dalam rompakan kedai emas

SEREMBAN: Salah seorang daripada dua lelaki yang ditahan polis selepas mereka menyamun sebuah kedai emas di pekan Kuala Pilah semalam adalah seorang anggota polis berpangkat sarjan.

Timbalan Ketua Polis Negeri SAC II Osman Salleh berkata seorang lagi lelaki itu mempunyai rekod kes curi dan dadah.

"Kedua-dua suspek berumur dalam lingkungan 40-an. Mereka kini direman seminggu untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.15 petang itu, dua lelaki menggunakan sepucuk pistol dan tukul besi menyamun kedai emas berkenaan dan melarikan barangan kemas bernilai RM50,000.

"Mereka dipercayai melarikan diri dengan menggunakan sebuah motosikal sebelum menukar dengan menaiki sebuah kereta.

"Polis yang mendapat maklumat orang awam berjaya mengesan kereta yang digunakan dan mengejarnya sejauh 20 kilometer sebelum berjaya menahan mereka.

"Polis turut menjumpai barangan kemas yang dirompak," katanya.

Osman berkata seorang pekerja lelaki kedai emas itu cedera di bahu setelah perompak terbabit melepaskan satu das tembakan.

Katanya pekerja terbabit dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan keadaannya dilaporkan stabil. BERNAMA

Tiada ulasan: