HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Oktober 2007

Sahih! Wujud Penyelewengan Dalam Daftar SPR Selama Ini.


Kenyataan Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor , ada antara Penolong Pegawai Pendaftaran (PPP) yang dilantiknya menyalah guna kuasa dengan memindahkan nama pemilih ke kawasan lain tanpa kebenaran telah menurunkan tandatangan palsu pada borang pendaftaran membuktikan kesahihan dakwaan memang wujud penyelewengan di dalam daftar SPR.

Untuk menutup kelemahan SPR, Kamaruzaman menyatakan, ""Tindakan tidak jujur segelintir PPP itu menyebabkan SPR dikecam pihak tertentu yang mendakwa Daftar Pemilih disediakannya tidak lengkap dan bersih, bahkan ada menuduh ia bertujuan memberi kelebihan kepada parti tertentu."

Pegawai terbabit dikesan memindahkan nama pemilih baru atau sedia ada, yang memohon menukar alamat mengikut Sistem Pendaftaran Bermusim (SPB) yang dilaksanakan sebelum 16 Julai 2002.

Pada 7 Julai lepas, Yang Dipertua PAS Serdang Dr Shafie Abu Bakar mendedahkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Selangor telah memindahkan lokaliti 1,402 pengundi dari kawasan Hulu Langat dan Kajang ke Serdang dan Bangi, Selangor supaya dapat mengurangkan sokongan dan undian kepada Barisan Alternatif (BA) pada pilihanraya umum akan datang.

Tindakan ini telah dilakukan secara sembunyi pada tahun 2005, setahun selepas pilhanraya umum 2004 tanpa pengetahuan para pengundi yang terlibat dan dijangka akan mengakibatkan kekeliruan termasuk mengulangi sejarah 'kekecohan' pada hari pengundian berikutan daftar pemilih yang berbeza pada saat akhir seperti yang pernah berlaku di Gombak, Selangor.

Pengendalian perjalanan pilihan raya umum dan beberapa pilihan raya kecil di negara ini telah dipertikai oleh pembangkang terutamanya yang melihat SPR sebagai agen bagi Umno dan BN untuk mengekalkan kuasa.

Di dalam pilihan raya 2004, terdapat laporan mengenai kehilangan 10,245 kertas undi bagi Parlimen Kuala Terengganu; bagaimanapun Pengerusi SPR,Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman ketika itu hanya menyatakan kehilangan itu kerana pengundi membawa pulang kertas undi sebagai koleksi kenang-kenangan.

Kenyataannya itu telah diselar oleh pelbagai pihak termasuk wakil Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), R.Sivarasa.

Mengulas lanjut kenyataan Abdul Rashid, Sivarasa berkata, Pengerusi SPR itu sebenarnya sengaja tidak mengendahkan perkembangan-perkembangan terkini di mana Mahkamah-mahkamah telah menyatakan dengan jelas peranan yang sepatutnya dimainkan oleh SPR dalam menjayakan pilihan raya secara keseluruhan.

Malah kenyataan Abdul Rashid itu, tegas beliau hanyalah untuk menyelamatkan SPR yang sebenarnya diperkudakan oleh BN untuk mengekalkan kuasa.

Pengerusi SPR itu sebenarnya menjawab bagi pihak BN dan dalam banyak kes membuktikan bahawa pengendalian pilihan raya oleh SPR sebenarnya hanya menyebelahi pihak BN, katanya.

Sebagai contoh katanya, pada tahun 2001, Hakim Dato' Muhammad Kamil Awang membatalkan keputusan Pilihan Raya bagi Likas, Sabah atas alasan senarai pemilih bagi pilihan raya yang diadakan pada tahun 1998 bagi kawasan berkenaan tidak mengikut undang-undang kerana adanya pengundi hantu dibenarkan mengundi pada hari pembuangan undi.

Dalam penghakimannya, Muhammad Kamil telah menyatakan bahawa SPR gagal menjalankan tanggungjawabnya dalam mengesah, menggazet senarai pemilih yang mencurigakan di samping banyak laporan yang dibuat ke atas kepincangan SPR, katanya.

Begitupun selepas penghakiman tersebut, kerajaan dengan kerjasama SPR membuat pindaan kepada Akta Pilihan Raya 1954 pada bulan Jun 2002 di mana senarai pemilih yang disahkan atau disahkan semula oleh SPR dianggap muktamad dan diterima, kata Sivarasa.

Tiada ulasan: