HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Oktober 2007

Pak Lah temui Al-Ghazali di pintu rasuah!

Oleh 'Deep Throat' Sabah

"Aku cari bukan kawan-kawan, untuk hidup sekadar berfoya-foya, Aku cari mana dia Al-Ghazali...," antara bait yang dideklamasi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menyemarak dan menyemai sanggar sajak Dr Mahathir Mohammad, 'Melayu Mudah Lupa' di kalangan ahli Umno dan rakyat jelata.

Namun, sehingga sekarang Pak Lah tidak sedar apakah beliau telah menemui Al-Ghazali yang dicari kerana gagal meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang disenangi lawan dan disukai kawan sekalipun beliau kini menjadi Presiden OIC.

Integriti beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden OIC menimbulkan banyak keraguan kerana masyarakat melihat Pak Lah gagal membanteras rasuah yang semakin menyubur dan sekadar menggunakan rasuah sebagai senjata untuk menjatuhkan pihak tertentu terutama yang tidak disukainya, bukannya kerana memantapkan integriti.

Mungkinkah Al-Ghazali yang dicarinya berteleku di pintu rasuah?

Senario ini menyebabkan pemilik Laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin melancarkan perang terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa setelah berjaya dalam 'Free Anwar Campaign'.

Kesungguhan dan keprihatinan laman web terutama Malaysia Today membantu kerajaan mendedahkan skandal rasuah memang tidak dapat disangkal lagi.

Keberanian pemilik laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin menentang ketidakadilan sosial dan pencabulan undang-undang telah berjaya membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggendong semula agenda Rasuah yang tercicir daripada pegangannya.

Pendedahan demi pendedahan yang dibuat oleh Raja Petra dan pejuang Maya yang bermastautin di Malaysia Today menyebabkan Kabinet Pak Lah tidak dapat tidur lena sekalipun Pak Lah menjadikan acara rasmi sebagai tempat untuknya melelapkan mata.

Pak Lah sudah mula memperbaiki melodi lagu 2004 dengan meletakkan Integriti bukan hanya satu nilai atau amalan yang perlu diamalkan setiap masa bahkan nilai murni itu mesti lahir dari sanubari setiap insan.

"Integriti perlu dipupuk dalam diri seseorang insan sejak dari kecil lagi supaya negara dapat melahirkan sebuah masyarakat yang mempunyai nilai integriti yang tinggi dan ini akan membantu Malaysia berjaya dalam semua bidang," kata Pak Lah dalam Ucaputamanya di Konvensyen Integriti Nasional 2007 di Putrajaya pada 6 September 2007.

Dalam keadaan melalut kerana tidak cukup tidur, Pak Lah menyebut bahawa Orang Jepun sangat takut dimalukan dan dengan itu mereka akan mengambil segala langkah agar tidak dimalukan oleh sesiapa kerana gagal melakukan sesuatu tugas dengan betul sehingga tidak berfikir dua kali untuk melakukan 'harakiri' (bunuh diri).

Abdullah turut mengajak rakyat agar menanam tekad untuk membetulkan integriti diri masing-masing supaya setiap yang dirancang akan membawa kebaikan termasuk melakukan muhasabah diri dengan bertanyakan soalan mengenai apa yang betul dan apa yang salah dalam setiap perkara yang dilakukan.

"Yang bantah dan yang menyeleweng semuanya berpunca dari diri kita sendiri, sedangkan peraturan yang banyak itu adalah untuk memperkuat dan memperbetulkan manusia, semua itu termasuk pindaan undang-undang dan peraturan adalah untuk menjadikan kita orang baik," katanya Pak Lah yang bangga kerana Malaysia mempunyai Institut Integriti Malaysia (IIM).

Namun khalayak berpendapat IIM hanya membazir wang kerajaan kerana tidak memberi manfaat yang besar kepada rakyat sebaliknya hanya sebagai sebuah 'parlimen kecil' untuk menerapkan nilai integriti di kalangan masyarakat umum, bukan pemimpin Malaysia yang semakin kehilangan identiti dan tidak mempunyai integriti.

Kerajaan Malaysia sekarang dilihat tidak langsung mempunyai integriti kerana pentadbiran yang lemah sekalipun menumpukan pembangunan modal insan yang diselitkan dengan pembangunan 'superficial' yang tidak memberi faedah langsung kepada rakyat kerana disulami dengan kenaikan harga barang yang semakin tidak terkawal.

Bak kata pepatah, hina besi kerana karat, hina manusia kerana rasuah. Rasuah di Malaysia telah menghilangkan integriti Pak Lah sebagai seorang Perdana Menteri yang gagal mentafsirkan dengan baik apa itu rasuah sehingga tidak ada satupun jemaah menterinya yang benar-benar bersih daripada rasuah.

Rasuah atau korupsi berasal daripada bahasa Latin iaitu 'corruptio' dari kata kerja corrumpere yang bererti busuk, rosak, menggoyahkan, memutarbelit dan menyogok.

Mengikut tafsiran Wikipedia, 'Rasuah' merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang di mana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut.

Namun mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta No. 575) telah diluluskan oleh Parlimen dan telah diwartakan pada 25 September 1997 merupakan gabungan dari tiga Akta rasuah yang terpakai sebelum ini iaitu:

i) Akta Pencegah Rasuah 1961
ii) Akta Badan Pencegah Rasuah 1982
iii) Ordinan (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat No. 22 1970. Akta ini terbahagi kepada Lapan Bahagian yang terdiri daripada 62 seksyen.

Namun jenayah rasuah melibatkan penyalahgunaan kedudukan atau jawatan semakin parah dan sukar dikawal kerana karenah birokrasi memangkinkan jenayah rasuah.

Mengikut takrif BPR, mana-mana pegawai badan awam (termasuk menteri) menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapat suapan membuat apa-apa keputusan atau mengambil tindakan berhubungan dengan apa-apa perkara mengenainya, di mana pegawai itu, saudara maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung

Menurut Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Malaysia, Datuk Haji Ahmad Said Hamdan, rasuah merupakan satu jenayah yang berlaku tanpa mengira zaman, negara, bangsa, gender, umur atau ras.

"Menghapuskan jenayah rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan bukanlah mudah dan ia memerlukan masa dan usaha terancang serta berterusan semua pihak," ujar Ahmad Said lagi.

Tegas beliau, penggemblengan usaha pelbagai pihak ini akan menyemarakkan agenda memerangi jenayah rasuah ke arah 'mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika yang paling tinggi' sebagaimana dihasratkan dalam Wawasan 2020.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Nazri Abdul Aziz menyalahkan sikap rakyat Malaysia sebagai punca yang menyukarkan usaha membanteras rasuah di negara ini.

Masyarakat Malaysia, katanya, suka menyelesaikan masalah mereka dengan cepat, tanpa perlu menghadapi perkara yang remeh-temeh seperti berbaris menunggu giliran dan sebagainya.

"Dalam isu rasuah ini, kita jangan ingat orang yang menerima sahaja, tetapi juga mereka yang memberi, dan selagi sikap orang Malaysia tidak berubah, gejala rasuah juga sukar dibanteras," katanya ketika menjawab Senator Lee Sing Choon di Dewan Negara baru-baru ini.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak percaya Pak Lah akan melakukan sesuatu yang drastik "kerana itu bukan pembawaannya (untuk berbuat demikian)". Tetapi, katanya lagi, sekurang-kurangnya berilah sesuatu yang memperlihatkan kuasa dan kewibawaan kepada BPR.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Ibrahim Ali pula menyifatkan cakap-cakap untuk memerangi rasuah di negara ini hanya 'temberang sahaja' selagi BPR tidak dijadikan satu suruhanjaya yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agung serta bertanggungjawab kepada Parlimen dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak dihapuskan, menyebabkan rakyat merasa takut untuk mengemukakan bukti-bukti yang mereka perolehi.

Lebih dari itu, katanya, "rakyat mahu tahu siapa bekas menteri yang patut didakwa kerana rasuah tetapi Perdana Menteri selamatkan malah diberi pangkat pula."

"Perkara yang pernah dibangkitkan oleh Tun (Dr Mahathir Mohamad) ini adalah isu besar kerana melibatkan wang rakyat termiskin."

Sementara itu, Indeks rasuah negara ini terus merudum menggelungsur ke tangga 44 daripada 163 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International yang diumumkan pada 6 November 2006 yang membuatkan ramai pemimpin kerajaan terutama Umno terkesima dengan indeks terbaru rasuah tersebut sehingga mereka tidak berani lagi untuk menyatakan bahawa mereka adalah juara memerangi rasuah.

Kedudukan Malaysia 2005 ialah pada tangga ke 39 dari 158 negara. Malaysia hanya mendapat lima mata sahaja dari 10 mata maksimum tahun ini, dari 5.1 mata tahun lalu sama dengan kedudukan negara pada tahun 2004 juga pada tangga ke 39, merudum dari tangga ke 37 pada tahun 2003.

Transparency International (TI) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Berlin, Jerman, mula melakukan kajian ini pada tahun 1995 berdasarkan pengumpulan data dari pelbagai pihak di berbagai tempat serta persepsi ahli-ahli perniagaan yang berurusan di sesebuah negara.

CPI memberi fokus kepada elemen rasuah dalam sektor awam dan ahli politik dengan melihat kepada penyalahgunaan kemudahan awam untuk kepentingan atau keuntungan peribadi.

Seperti yang diumumkan oleh Presiden TI-Malaysia, Tan Sri Ramon V. Navaratnam kedudukan CPI Malaysia bagi 2006 sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya, iaitu daripada tangga ke-39 daripada 158 negara pada tahun lalu kepada kedudukan 44 daripada 163 negara pada tahun ini. Begitu juga dengan skornya yang turun dari 5.1 mata pada 2005 kepada 5.0 tahun ini.

Rakyat masih ternanti-nanti apakah indeks CPI bagi tahun 2007 ketika Malaysia diambang pilihan raya dan berbahang berikutan 'pembersihan' yang dilakukan oleh Peguam Negara yang 'membebaskan serta melepaskan' tanpa syarat 'Three Stooges' iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato' Johari Baharom; Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Bekas Ketua Pengarah BPR Dato' Zulkifli Mohd Noor.

Ramai berpendapat kelembapan perlaksanaan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan disebut sebagai satu daripada sebab yang mengakibatkan indeks persepsi rasuah Malaysia menurun lima anak tangga.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah memberikan contoh bagaimana orang yang menghidap kudis akibat hanya digigit nyamuk perlu diubati dengan segera bagi mengelaknya daripada terus merebak dalam usahanya untuk membasmi rasuah.

"Masa kecil nampak macam kudis, makin besar jadi tokak, jadi gangren lepas itu jadi beracun, lepas itu mungkin kena potong kaki, potong tangan lepas itu bawa maut," kata Pak Lah yang kelihatan mengerikan ramai pihak, tetapi hakikatnya rasuah semakin menjadi-menjadi.

Keyakinan rakyat terhadap keseriusan Pak Lah untuk memerangi rasuah pada peringkat awal perlantikan Pak Lah sebagai Perdana Menteri terserlah apabila dibuktikan dengan penangkapan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan rasuah dan penipuan berhubung keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta saham Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah yang dilakukan pada 1996.

Dua hari sebelum itu, bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan pecah amanah jenayah melibatkan wang RM76.4 juta pada 1994.

Namun, apabila Peguambela telah berjaya meyakinkan hakim tidak ada bukti yang melampaui keraguan munasabah yang boleh mengaitkan Tan Sri Eric Chia dengan rasuah, maka beliau dibebaskan Mahkamah.

Siasatan sambil lewa BPR dan Peguam Negara tidak ubah seperti kes ikan paus yang menyerah diri ke pantai Teluk Likas tetapi dihambat kembali ke laut namun mati akhirnya mati kerana Jabatan Perikanan tidak mempunyai tenaga pakar yang terlatih menyelamatkan paus berkenaan.

Datuk Seri Dr. Rais Yatim sewaktu menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah mengumumkan bahawa masih terdapat 18 kes rasuah berprofil tinggi membabitkan orang kenamaan termasuk menteri yang sedang dalam peringkat akhir siasatan untuk dihadapkan ke mahkamah dan diikuti penangkapan Eric dan Kasitah yang telah menyebabkan Pak Lah disanjung tinggi sebagai 'Mr Clean' turut sama membuat kenyataan terhadap isu ini.

"Kerajaan akan menggunakan dua pendekatan serentak iaitu langkah pencegahan dan hukuman dalam kempen habis-habisan memerangi rasuah. Mereka yang mengatakan kerajaan tidak berbuat apa-apa, sebenarnya silap kerana mereka menilai usaha itu hanya daripada segi tangkapan dan hukuman semata-mata," kata Pak Lah lagi.

Namun ramai berpendapat kegagalan membasmi rasuah berpunca daripada kelemahan Pak Lah sendiri yang hanya serius ketika berkata-kata tetapi terlalu lemah dalam tindakan.

Sebuah NGO di Malaysia yang terlibat dalam kempen memerangi rasuah, Gerakan Demokrasi dan anti-Korupsi (GERAK) membuat kenyataan bahawa pengumuman Transparency Intrnational (TI) bahawa kedudukan Malaysia merosot dari tangga 39 ke tangga 44 dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) bukanlah satu perkara yang memeranjatkan.

Pengerusi GERAK, Mohamad Ezam Mohd Nor melahirkan kekecewaan kerana Pak Lah tidak pernah berusaha untuk memperkasakan institusi penguatkuasaan anti rasuah seperti Badan Pencecah Rasuah (BPR) sekalipun cuba menonjolkan imej sebagai pemimpin yang memerangi rasuah namun hakikatnya sepanjang empat tahun pemerintahan beliau gejala rasuah terus berleluasa.

GERAK telah mendesak kerajaan supaya bertanggungjawab terhadap keadaan ini dan membuat penjelasan mengapa sehingga ke hari ini, sebuah pemerintahan yang dimulakan dengan janji untuk memerangi rasuah tidak melakukan sebarang tindakan konkrit dari sudut pindaan undang-undang dalam mempertingkat dan memperkasakan setiap elemen masyarakat dan institusi yang relevan dalam membanteras rasuah.

Lebih malang lagi Umno pula terus kebal daripada rasuah dan terdapat satu 'imuniti' kerana melakukan rasuah di dalam Umno tidak menyalahi undang-undang negara sejajar dengan pengakuan Dato' Seri Mohd Nazri Aziz yang memperakui dan bersetuju dengan pandangan bahawa ahli Umno memang kebal dari sudut rasuah dan undang-undang.

"Rasuah sememangnya penyakit dalam Umno dan kerajaan, tetapi mereka seolah-olah kebal daripada pendakwaan dan penguatkuasaan kerana penguasaan politik dan BPR yang tidak bebas dan jika ada pendakwaan atau tindakan ke atas mana-mana ahli Umno kerana rasuah itupun dilakukan berdasarkan tindakan politik," ujar Nazri lagi.

Kata-kata Nazri ternyata benar apabila bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad yang dikenakan tindakan penggantungan kerana rasuah wang dalam pemilihan Umno kerana terlibat dalam rasuah (politik wang) semasa pemilihan Umno tetapi BPR tiada kuasa untuk membuat penyiasatan.

Amat malang sekali kerana dua anggota polis, masing-masing berpangkat Cif Inspektor dan Lans Koperal kerana mereka dihadapkan ke mahkamah sebab memalsukan dokumen dan tanda tangan yang membawa kepada siasatan rasuah terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Menurut sumber, dua anggota itu yang masing-masing berusia 42 tahun dan sudah berkhidmat 20 tahun dalam pasukan itu, dipercayai mereka kenyataan polis serta memalsukan tandatangan yang memaksa pihak berkaitan memulakan siasatan terhadap Musa.

Sebaik menerima laporan dakwaan rasuah terhadap Musa oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum, Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuat siasatan menyeluruh Jun lalu.

"Siasatan BPR tidak menemui bukti wujudnya unsur rasuah, sebaliknya mendapati kesalahan jenayah (memalsukan kenyataan polis dan tandatangan) yang dipercayai dilakukan dua pegawai polis itu. Sehubungan itu, kes itu diserahkan kepada polis," kata Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail yang mengarahkan BPR menutup siasatan terhadap Musa yang dikatakan menerima rasuah RM2 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat.

Abdul Gani dilaporkan berkata siasatan BPR melalui saksi dan dokumen berkaitan mendapati tiada keterangan yang boleh mengaitkan Musa dengan tohmahan terhadapnya.

Bagaimanapun kekalutan yang timbul akibat tuduhan skandal rasuah bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Zulkifli Mohd Noor, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan yang telah meruncingkan integriti di Malaysia sehingga memaksa Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail menghakis keyakinan rakyat apabila membebaskan 'Three Stooges' ini daripada tuduhan rasuah dengan mengarahkan fail mereka ditutup.

Pelepasan 'Three Stooges' ini akibat membasuh najis dengan air kencing kerana Gani langsung tidak mempunyai integriti apabila menyalahguna kuasanya sebagai Peguam Negara yang sepatutnya menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada 'Three Stooges' ini bersalah, bersih atau sebaliknya.

Jika Peguam Negara yang sepatutnya mendaulatkan undang-undang dan meluhurkan Perlembagaan Negara dijadikan 'Vacuum Cleaner' kerajaan Islam Hadhari, maka beberapa tahun akan datang, Malaysia akan berada di tangga tertinggi dalam Index Transparency International.

Skandal klip video yang melibatkan peguam kanan menambah luka integriti Kerajaan Malaysia yang semakin parah terutama sebelum pengumuman Budget 2008.

Struktur dasar undang-undang yang digubal di negara yang diwarisi daripada penjajah memberi kelebihan kepada pemerintah kerana kuasa mutlak negara 'Authoritarian' yang dilembutkan dengan terminologi 'Demokrasi Berparlimen' terletak di tangan diktator yang memegang kuasa eksekutif negara Authoritarian iaitu Perdana Menteri Malaysia.

Semua agensi penguatkuasa yang ditubuhkan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa kerana Kerajaan Authoritarian Malaysia memfaraidkan secara mutlak kuasa pendakwaan kepada Peguam Negara.

Badan yang berkaitan terus dengan rasuah ialah Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang sebelum ini dikenali sebagai Biro Siasatan Negara (BSN-Bukan Bank Simpanan Nasional). Penjenamaan semula BSN sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) memberi erti sebenar fungsi badan berkenaan yang diamanahkan untuk 'mencegah dan menyiasat', bukannya menangkap atau mendakwa pihak yang terlibat.

Walaupun BPR ditubuhkan di Parlimen dan diamanahkan untuk menguatkuasa undang-undang berkaitan rasuah, namun kuasanya terbatas kerana tidak mempunyai locus standi untuk membuat pendakwaan.

Bak kata pepatah, Kerajaan Malaysia hanya memberikan pistol kepada BPR tetapi peluru berada di tangan Perdana Menteri dan sebahagiannya disimpan di pejabat Peguam Negara yang kuncinya dipegang oleh Perdana Menteri.

Senario ini sinonim dengan kebodohan Kementerian Pertahanan Malaysia yang membeli jet pejuang seperti Sukhoi yang dilengkapi dengan peluru berpandu yang memerlukan penalaan kod sebelum dilancarkan. Kod yang mengunci peluru berkenaan disimpan oleh pengeluar kapal terbang berkenaan yang sudah pastinya akan bertanya ke mana sasaran yang hendak ditujukan.

Jika sasaran kita Singapura, Jakarta, Bangkok, Manila atau Brunei, maka sudah pastinya sasaran peluru berpandu berkenaan akan diketahui oleh pihak musuh yang akan memintas peluru berpandu yang akan kita lancarkan. Bukankah ianya membazir wang rakyat?

Oleh itu, kadar rasuah di Malaysia semakin meningkat sehingga Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Hanif Omar membuka pekung di dada dengan mengatakan 40 % pegawai tinggi polis boleh ditangkap tanpa siasatan kerana terlibat dengan rasuah.

Kedudukan Perdana Menteri Malaysia sebagai institusi paling kebal sejak Kemerdekaan Malaya diisytiharkan pada 31 Ogos 1957 dan Sabah pada 16 September 1963, menyaksikan nasib pembesar negara atau pegawai tinggi kerajaan yang rasuah terletak di tangan Perdana Menteri.

BPR diwujudkan hanya untuk orang awam dan pegawai berpangkat rendah atau orang yang bukan sekutu Perdana Menteri dan bukannya untuk Ahli Parlimen, Adun, Pegawai Tinggi dan Timbalan Perdana Menteri (melainkan Anwar Ibrahim).

Hampir 100 peratus menteri yang terdapat dalam Kabinet Pak Lah hari ini terpalit dengan skandal rasuah baik rasuah politik atau rasuah am, namun imuniti Pak Lah melindungi mereka daripada disentuh BPR yang digelar sebagai Badan Penerima Rasuah di era Zulkifli menjadi Ketua Pengarah sinonim dengan slogan 'Saya Anti Rasuah' yang dipopularkan oleh PDRM kepada 'Saya Menanti Rasuah'.

Walaupun terdapat bukti yang melampaui keraguan munasabah, namun Rafidah Aziz, Hishamuddin, Azalina, Samy Vellu, Nor Mohd Yakcop dan sebagainya masih tersenyum lebar kerana Pak Lah belum memberi restu kepada Peguam Negara untuk menghadapkan mereka ke Mahkamah.

Lebih malang, apabila Ezam Mohd Noor, telah menghantar memorandum setebal 363 muka surat kepada Pak Lah agar mengambil tindakan terhadap seorang menteri kanan yang terbukti melakukan rasuah, namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan dilakukan.

Pak Lah hanya berkata belum melihat memorandum berkenaan yang ditindis tindan seperti stor barang terpakai di pejabat Setiausaha Sulit Kanannya (yang kerjanya hanya menerima memorandum), Datuk Ahmad Yaakob.

Walaupun Ezam tidak mendedahkan nama menteri kanan terbabit kepada media dan massa, namun dikulit memorandum yang disampaikan kepada Datuk Ahmad Yaakob mencatatkan nama Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohd Yakcop!

Tidak cukup dengan menteri kabinet yang terpalit dengan skandal rasuah sejak di zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beberapa Ketua Menteri turut kebal daripada siasatan BPR.

Selain Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Mohd Taib Mahmud, Ketua Menteri Melaka Datuk Wira Ali Rustam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo, kini giliran Ketua Menteri Sabah yang dibelenggu dengan Skandal Rasuah Kelas Pertama.

Tindakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, memfailkan 81 kes rasuah terdapat Musa Aman belum memberi sebarang kesan sekalipun terdapat desas-desus kononnya siasatan sedang dijalankan yang kemudian, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz menjelaskan di parlimen bahawa Musa Aman bebas kerana Peguam Negara mengarahkan fail siasatan terhadap Musa Aman ditutup kerana tiada kes untuk disiasat.

Walaupun Peguam Negara belum membuat kenyataan rasmi seperti dalam kes 'Three Stooges', namun Musa mampu tersenyum lega kerana meyakini adiknya, Datuk Anifah Aman yang didalangi Jutawan Robert Tan Bersaudara dan dibantu oleh 'anak angkat'Ketua Pengarah BPR, Henry Voon mampu menjinakkan BPR dan Peguam Negara kerana membawa utusan Agong (RM).

Rakyat Sabah kecewa kerana 81 Dalil yang difailkan Jeffrey mempunyai bukti yang kukuh terutama kes Wisma Bandaraya yang didaftarkan atas nama syarikat peribadi milik Musa Aman.

Namun perkembangan mutakhir menggembirakan rakyat Sabah yang diawali dengan 'Operasi Khas BPR' di Keningau dengan tertangkapnya 20 lori yang sarat dengan muatan 1,000 batang balak ketika Pak Lah melahirkan pujian melangit terhadap Musa Aman dan Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan.

Kes berkenaan menyebabkan berlaku konflik antara BPR dengan Jabatan Perhutanan Sabah sehingga memaksa Ketua Pengarah BPR, Dato' Ahmad Said Hamdan campurtangan yang berpihak kepada jabatannya.

Sam Mannan melakukan kesilapan paling besar dalam sejarah kerana penafian dan pembelaannya sekaligus meyakinkan orang ramai tentang cerita di sebalik berita yang menjadi buah mulut dan 'parlimen kedai kopi' bahawa kayu balak berkenaan milik Hafiz Musa!

"Semua orang tahu Hafiz jadi Taiko di sini. Kebanyakan kayu balak yang tidak dibayar cukai di semua kilang papan di Keningau milik Hafiz. Tapi kami tidak pernah tanya dari mana dia dapat kayu balak yang cantik-cantik. Kami beli sahaja kerana sudah runding dengan Forestry," kata Michael yang memiliki sebuah kilang papan di Jalan Nabawan.

Sehingga berita ini ditulis, BPR masih lagi menjalankan siasatan di semua kilang papan yang diarah menghentikan operasi sejak sebulan lalu sehingga ekonomi Keningau merudum secara mendadak.

Belum pulih isu balak Keningau, BPR telah menangkap Dinosour Chong sebelum menjerat Michael Chia dan Loh Man Heng orang kepercayaan Musa dalam urusan pembalakan.

Michael Chia merupakan anak Pengerusi syarikat Chia & Sons Sdn.Bhd yang telah membantu Musa dalam kegiatan pembalakan termasuk menyewakan tongkang dan menyediakan modal pusingan pada peringkat awal.

Walaupun berita penangkapan Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah, Mohd Daud Tampokong yang bersembunyi di rumah seorang pembesar negara di London belum dapat disahkan, namun ramai saksi melihat Daud Tampokong diiring oleh Pegawai BPR sejak daripada Lapangan Terbang Heathrow London lagi.

Apakah Daud ditangkap oleh Interpol atau BPR sendiri belum dapat dipastikan, namun Penangkapan Daud merupakan kejayaan besar BPR sejak Daud melarikan diri ke London melalui New Zealand.

Daud merupakan kunci khazanah Musa dan penangkapan tersebut menanamkan keyakinan rakyat Sabah bahawa zaman Musa telah berakhir kerana sudah pasti Daud akan mendedahkan segala-galanya untuk menyelamatkan diri kerana Daud bukanlah manusia yang sanggup mengorbankan dirinya.

Sehari selepas Daud ditangkap, rakan kongsi Hafiz, Admund Looh yang merupakan orang paling rapat dengan Musa selepas Nasir Yeo dan Andrew Lim, diserkup ketika cuba melarikan diri ke Shenzen, China.

Dengan kedudukan Hafiz dan S Abdillah Hassan yang belum dikenalpasti tempat persembunyiannya, hampir ke semua yang dikehendaki BPR telah diambil keterangan melainkan Rosmawati, Nasir Yeo dan Adrew Lim yang masih gagal ditemui.

Manakala John Nip yang menjadi pengarah filem Heli-Lumber yang skripnya ditulis oleh Sam Mannan telah memberi keterangan secara sukarela kepada BPR bahawa tidak ada Reduce Impact Logging (RIL) sebaliknya pembalakan besar-besaran untuk membersihkan hutan sebelum diserahkan kepada NGO untuk dipulihara.

Belum reda dengan berita penangkapan orang yang terlibat dengan Musa yang dikhuatiri terlibat dengan kegiatan mensabotaj ekonomi negara, pengurniaan pingat kebesaran negeri Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) yang membawa gelaran Datuk kepada bakal menantunya, Ustaz Haji Ariffin Haji Ariff (Adun Membakut) mengejutkan semua pihak kerana Ariffin terlalu junior dalam politik Sabah.

"Pingat kebesaran negeri adalah hak mutlak TYT, namun Musa yang memutuskan siapa yang akan diberi pingat. Pemberian pingat kepada Ariffin tidak wajar. Jika benar dia berkelulusan Al-Azhar, dia patut tolak dengan baik kerana boleh dikaitkan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa," ujar seorang pegawai kanan kerajaan yang hampir 28 tahun berkhidmat tetapi hanya disenaraikan sebagai penerima Bintang Setia Kinabalu (B.S.K) sahaja.

Musa dijadual akan mengadakan Majlis Pernikahan anaknya dengan Ariffin pada 20 Oktober 2007 di kediaman rasminya Sri Libaran.

Surat jemputan yang telah diedarkan kepada VVIP dan taukey sekadar untuk menutup malu kerana krisis dengan Istana Negeri dan BPR akan menyebabkan sokongan rakyat terhadapnya semakin terhakis yang dibuktikan ketika lawatan Pak Lah ke Sandakan pada 9 hingga 10 Ogos 2007 lalu, sehingga memaksa jawatankuasa penganjur mengerahkan semua kakitangan kerajaan dan 'fmenyewa' pendatang tanpa izin dan pelarian Filipina untuk meramaikan majlis.

Bukan sahaja Musa semakin bingung, malah Pak Lah turut bercelaru kerana jika dia membela Musa semata-mata kerana Musa telah merasuahnya dengan keprihatinan Musa membayar bil perubatan Allahyarham Endon Mahmud yang mencecah USD2.5 juta sehingga Pak Lah merestui pengambilalihan operasi Fomema (syarikat yang ada kaitan Endon) oleh Growarisan Sdn.Bhd, besar kemungkinan dia akan ditarik turun oleh musuh peribadi dan politiknya di dalam parti.

Mengikut peraturan yang diterima pakai di Malaysia, Growarisan Sdn.Bhd, tidak mempunyai kelayakan untuk dilantik bagi menggantikan Fomema kerana tidak bertauliah, namun Musa memperdayakan Pak Lah dengan menyerahkan operasi Fomema di Sabah kepada Unit Pelaburan Kerajaan Negeri, Warisan Harta Sabah Sdn.Bhd.

Musa kemudiannya menubuhkan Growarisan Sdn.Bhd yang dilantik sebagai wakil tunggal untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan untuk warga asing. Namun ketidakcekapan Growarisan menyebabkan operasi pemeriksaan kesihatan dilakukan semula oleh Fomema dan Growarisan bertindak sebagai 'Commission Agent' yang mengaut keuntungan di atas angin.

Growarisan adalah syarikat peribadi Musa yang berselindung di sebalik nama proksinya, Azlan Yeo @ Yeo Guan Hock iaitu anak Nasir Yeo yang melakukan kesilapan besar kerana menggunakan alamat kediaman rasmi Musa, Sri Libaran sebagai alamat rasminya.

Tidak cukup dengan masalah yang bersimpang siur, Musa turut menyalahguna kuasa dan menimbulkan perasaan tidak senang hati dengan menghalang pembinaan patung Dewa Ma Tzu yang kononnya terlalu berdekatan dengan Masjid As-Syakirin di Kudat.

"Perlakuan ini juga tertakluk di bawah Akta Pencegah Rasuah 1997 iaitu memberi penekanan kepada penganut agama lain dan menyalahguna kuasa untuk memantapkan pengaruh," ujar seorang peguam kanan, HM Kong.

Persoalan yang timbul sekarang, mampukah Musa bertahan ketika ilham pilihanraya umum belum mengetuk pintu hati Pak Lah yang masih lagi memikirkan tarikh pelepasan Anwar daripada sekatan politik sebagai tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya umum.

Sebagai seorang yang berfikiran jauh kerana sering khusyuk sehingga terlelap di hampir semua majlis yang dihadirinya, Pak Lah diyakini tidak akan mengadakan pilihanraya dalam waktu terdekat kerana bimbang dunia Islam akan mengutuknya yang cepat-cepat mengadakan pilihanraya kerana bimbang dengan pengaruh Anwar Ibrahim.

Jika Pak Lah mengambil kira faktor Anwar, paling awal pilihanraya akan diadakan pada September 2008 kerana Pak Lah akan bertarung dengan Anwar sebagai Anak Jantan dan mengharapkan kegemilangan 2004 akan berulang.

Pelbagai teori kemungkinan kebarangkalian sudah bermain di kepala Pak Lah dan pemimpin Sabah terutama kedudukan Musa Aman bagaikan telur di atas kuali yang panas namun formula penyelesaiannya berada ditangan Pak Lah sendiri yang semakin tersenyum lebar dengan kebijaksanaan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Haji Shafie Haji Afdal menangani karenah rakyat berikutan kenaikan harga barang!

Tiada ulasan: