HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Oktober 2007

DAP dakwa syarikat milik Umno bolot projek PKFZ bernilai RM2.8 bilion

Intan Abdullah

KUALA LUMPUR - (Hrkh) - Tindakan kerajaan memberikan projek sebesar RM2.8 bilion kepada syarikat yang didakwa milik Umno, Kuala Dimensi, merupakan satu lagi kepincangan yang akan merosakkan masa depan negara.

Langkah kementerian kewangan di bawah Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi 'menganugerahkan' projek besar kepada syarikat kroni, walaupun mendapat tentangan dari PAC, jelas menunjukkan 'kesilapan' cara pentadbiran Perdana Menteri.

Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw berkata, punca kos pembangunan Zon Bebas perlabuhan Klang (PKFZ) melebihi nilai yang sepatutnya, kerana tanah projek tersebut dibeli oleh kerajaan pusat dan tidak diambil alih.

Tindakan pembelian 1 ribu ekar tanah tersebut, menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kos perbelanjaan yang lebih kerana kos pembelian adalah RM25 bagi satu kaki persegi berbanding RM10 satu kaki persegi jika ia diambil alih.

"Apatah lagi jika sekiranya berlaku apa-apa pada projek tersebut, kerajaan pusat terpaksa menanggungnya disebabkan syarikat yang dilantik sebagai kontraktor turn-key design PKFZ, Kuala Dimensi mengeluarkan bon bernilai lebih RM3 bilion itu hanya menyediakan surat sokongan, bukan surat jaminan," ujar, Tan kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kepong, turut mempertikaikan perlantikan Kuala Dimensi sebagai kontraktor bagi menyediakan prasarana PKFZ yang meliputi bekalan air, jalan raya, kabel elektrik, hotel, pusat kenvensyen dan pelbagai infrastruktur dengan harga RM2.8 bilion.

"Kenapa kerajaan guna 'turn-key' dan tidak tender terbuka? Kuala Dimensi ini bukanlah pakar sangat dalam tugas ini, tetapi ia memang syarikat yang menyokong Umno-BN," kata beliau dalam nada tidak puas hati.

"Begitu juga kos penyediaan prasarana dan infrastruktur PKFZ yang begitu tinggi, sedangkan ia masih boleh dikurangkan," katanya.

Menurutnya, tanah PKFZ itu dijual daripada Koperasi Pulau Indah kepada Kuala Dimensi dengan harga RM95 juta yang kemudiannya beralih tuan kepada kerajaan pusat dengan harga lebih RM1 bilion .

Setelah itu, Kuala Dimensi dilantik sebagai kontraksi turn-key design untuk memperlengkapkan projek tersebut dengan infrastruktur dengan kos RM2.8 bilion.

"Sebagai ahli parlimen yang mengganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berasa sangat tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan pusat kerana ia merugikan wang rakyat," tegasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain PAC dilaporkan mahu meneliti laporan terperinci mengenai kaedah perbelanjaan luar jangka yang meliputi 20 peratus daripada RM2.8 bilion anggaran perbelanjaan pembangunan PKFZ yang dipertikaikan.

Pengerusinya, Dato' Shahrir Samad berkata, jumlah perbelanjaan sebanyak 20 peratus yang melibatkan kos RM560 juta itu dianggap sangat besar dan pihaknya ingin mengetahui berapa banyak peruntukan yang telah digunakan daripada jumlah yang diminta.

"Kita dimaklumkan PKFZ akan siap sepenuhnya apabila kerja-kerja pembinaan hotel perniagaan serta dewan pameran dan jalan masuk utama selesai masing-masing pada penghujung November dan Disember ini.

"Selepas semua projek itu siap, kita harap kita boleh dapat tahu jumlah sebenar yang telah dibelanjakan sama ada melebihi anggaran yang telah dibuat atau tidak.

"Kita juga ingin tahu berapa banyak perbelanjaan luar jangka yang telah digunakan, kata beliau kepada pemberita selepas sesi taklimat tertutup yang disampaikan oleh Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan PKFZ, Chia Kon Leong di Wisma PKFZ, Pulau Indah di sini petang ini.

Menurut Shahrir, PAC masih menanti tarikh sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara bagi mendapatkan tafsiran dan pendapat dari segi undang-undang mengenai pembelian PKFZ.

"PAC bukan kumpulan antipembangunan tetapi kita mahu projek yang disokong kerajaan mendapat kejayaan.

"Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan menggunakan kedudukan masing-masing untuk mendapatkan keuntungan,” katanya. - mr

Tiada ulasan: