BN akan guna kejayaan angkasawan untuk tutup kelemahannya – Salahudin
Intan Abdullah
KUALA LUMPUR - Tindakan Kerajaan Umno-BN secara berterusan untuk mengaburi mata dan pemikiran rakyat dengan menjadikan projek angkasawan negara sebagai bahan untuk berkempen menjelang pilihan raya umum amat dikesali.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub mengingatkan masyarakat agar tidak mudah lupa dengan isu sebenar yang berlaku di sekitar kini.
"Projek yang menelan belanja yang tinggi itu sudah tentu perlu disalurkan kepada yang lebih utama iaitu rakyat yang menderita dan lebih memerlukan, apatah lagi di saat umat Islam sedang meraikan sambutan perayaan Aidilfitri," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Sebaliknya, beliau berpendapat ia merupakan satu usaha bagi menutup segala kelemahan dan masalah negara dengan pelancaran pesta besar-besaran yang telah dijadikan budaya.
Bahkan, Salahudin juga menjangkakan Umno-BN akan menjaja kejayaan tersebut sebagai bahan kempen utama mereka menjelang PRU tidak lama lagi.
"Saya tidak hairan dengan tindakan tersebut, kerana kita telah pun menjangkakannya. Lagipun, mereka memang suka memburu nama dan mementingkan kebanggaan," ulasnya mengaitkan projek tersebut dengan kesannya terhadap kepentingan politik Umno-BN.
"Apapun, saya masih menganggap ia sebagai satu kejayaan negara," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mahu kerajaan mendedahkan kejayaan yang berjaya diperolehi hasil kajian yang telah dijalankan oleh angkasawan negara selama 10 hari berada di angkasa lepas.
Ini kerana, beliau tidak mahu projek ini menjadi projek 'gajah putih' seperti mana yang berlaku pada 'silicon valley' yang telah membazirkan sejumlah besar wang rakyat.
"Kita tak mahu usaha ini tidak berbaloi, setelah membelanjakan kos yang begitu tinggi, tetapi matlamat utama projek tersebut tidak tercapai. Hanya mahukan nama dan kebanggaan semata-mata," jelas Salahudin lagi.
Ketika ini, uji kaji terhadap dua jenis sel iaitu kanser dan leukimia sudah ditamatkan, manakala dua lagi membabitkan kesan radangan dan kajian tulang masih diteruskan. Sementara kajian pengkristalan protein juga masih berjalan sehingga ke saat akhir Dr Sheikh Muszaphar di ISS pada 21 Oktober nanti.
Tiga kajian sains hayat yang dijalankan di ISS dipilih daripada 50 cadangan. Tiga uji kaji yang dipilih berkenaan adalah berdasarkan keperluan, peralatan dan kepakaran diperlukan.
Dr A Rahman menjalankan kajian sel di angkasa membabitkan sel kanser hati dan sel leukimia; sel osteoblas dan sel endotelia; sementara Felo Kanan UMBI, Prof Dr Ramelah Mohamed menjalankan kajian ke atas mikrob atau bakteria jenis enterobacter cloacae dan acinetobacter baumanii, manakala Prof Dr Raja Noor Zaliha Raja Abd Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kajian ke atas penghabluran protein. - mr
Tiada ulasan:
Catat Ulasan