HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Oktober 2007

Peristiwa Ar – Raafiq
Menyaksikan Tindakan Tidak Bertamaddun Pihak Jais
Oleh: Us. Nasrudin Tantawi



3 hari sebelum saya dijadualkan untuk membentang Muqaddimah kitab Feqhud Daulah Karangan Dr. Yusuf al Qaradhawi pada Majlis Tafaqquh Fid Deen di Surau ar Raafiq di Seksyen 7 Kota Damansara , saya telah menerima tidak kurang 10 maklumat melalui sumber yang berauthoriti dan juga sms bahawa pihak JAIS akan menangkap saya di surau tersebut.

Sehari sebelum jadual itu berlangsung ( iaitu pada 29 . Sept . 2007 / sabtu ) , pihak penganjur telah menghubungi saya bagi mengesahkan laporan bahawa saya akan ditangkap oleh JAIS jika menghadhiri program Tafaqquh Fid Deen keesokkan harinya jam 9.00 am adalah laporan yang benar dan tepat.

Pihak cuba mendapatkan keputusan dari saya , apakah saya akan hadhir atau tidak ?

Saya menegaskan bahawa program Tafaqquh Fid Deen mesti diteruskan dan saya pasti akan hadhir . Pihak JAIS tidak sepatutnya mengambil langkah sedemikian kerana terlalu banyak kerja yang boleh mereka lakukan terutama pada Ramadhan ini , seperti menangkap golongan yang tidak berpuasa dan makan pula di khalayak ramai .

Jika tindakan JAIS itu adalah bertujuan untuk menakutkan saya agar tidak menyampaikan ilmu agama ini kepada masyarakat , ternyata tindakan JAIS itu sia - sia malah tidak sedikit pun menjejaskan reputasi saya sebagai seorang pejuang insyaallah .

Kalau langkah JAIS adalah untuk mengawal perkembangan agama dan penceramah memerlukan tauliah untuk menyampaikan ceramahnya , maka saya merasakan tindakan menangkap penceramah bukan cara atau langkah yang bijak dan bertamaddun.

Berkali penganjur mengingatkan saya bahawa maklumat rancangan JAIS untuk menangkap saya adalah suatu yang serius kerana ia datang dari sumber yang dipercayai .

Berkali juga saya memberi penegasan kepada penganjur bahawa saya akan tetap hadhir kerana ia adalah kewajipan saya dan saya tidak nampak tindakan saya itu adalah salah . Kerana sebelum daripada ini , saya telah menyampaikan ceramah hampir seluruh surau di negeri Selangor dan saya mendapat feed back yang positif tanpa sebarang masaalah apalagi membawa perpecahan dikalangan masyarakat ummat Islam .

30 September 2007

Saya tiba di Surau ar Rafiiq sekitar jam 9.30 am tanpa sebarang senjata melainkan sebuah kitab Feqhud Daulah untuk saya bentang.

Para hadhirin telah lebih awal memenuhi ruang surau tersebut dan majlis telah bermula di bawah pimpinan Ustaz Nasir Zakaria , seorang guru agama dan pendakwah yang bertauliah di negeri Selangor.

Saya dimaklumkan bahawa SB dan beberapa orang yang tidak dikenali serta sangat mencurigakan telah berada di dalam surau . Saya terus melangkah penuh yakin dan tenang membuat perkiraan terhadap kemungkinan apa yang akan berlaku di saat itu.

Apabila saya telah berada di dalam surau , saya mendapat maklumat dari penganjur bahawa anggota JAIS sekitar 30 orang telah masuk ke kawasan surau. Lagak mereka langsung tidak menampakkan mereka adalah penguasa agama , sebaliknya laksana gengster menuju medan pergaduhan .

Pihak Penganjur meneruskan program seperti biasa dengan Ustaz Nasir selaku penceramah dan pendakwah yang bertauliah terus memberi ceramahnya sekitar tajuk Feqhud Daulah .

Format yang Menarik

Setengah jam kemudian , Ustaz Nasir menamatkan kuliah beliau dan membuka majlis kepada soal jawab mengenai Feqhud Daulah . Format ini dilakukan kerana saya tidak dibenarkan untuk menyampaikan kuliah dan ianya berkuatkuasa serta merta kerana akur kepada JAIS yang tidak membenarkan saya menyampaikan kuliah.

Para audien mengambil kesempatan untuk terus mengajukan soalan mengenai Feqhud Daulah kepada Ustaz Nasir yang memimpin majlis Tafaqquh Fid Deen pada hari itu.

Ustaz Nasir , sejurus menerima pelbagai soalan tidak berlengah untuk terus menjawab segala soalan dengan tenang. Sementara keadaan di luar agar hingar dengan perbincangan dan perancangan untuk terus menangkap saya , sedang saya masih berada saf hadapan dalam majlis tersebut.

Tiba - tiba Ustaz Nasir membuka kepada audien jika ada sebarang penambahan terhadap jawapan yang telah beliau berikan. Mungkin kerana menyedari kehadhiran agak ramai ulama' muda seperti Ustaz One G , Ustaz Riduan Ismail malah Ustaz Zaharudin turut kelihatan dalam majlis tersebut.

Ustaz One G yang berada betul - betul dibelakang saya mengisyaratkan agar saya ambil bahagian untuk menambah point jawapan yang telah diberikan oleh Ustaz Nasir. Ustaz Izwan selaku pengerusi majlis , spontan menyerahkan microfon kepada saya .

30 minit ulasan.

Saya terus mencapai mic lalu menambah point - point penting mengenai Feqhud Daulah sebagai jawapan tambahan kepada soalan yang dikemukakan. Setelah 30 minit saya menjawab , saya mengembalikan mic kepada pengerusi. Majlis kian rancak dengan pelbagai soalan diutarakan oleh audien .

Ustaz One G turut ambil bahagian menjawab , demikian juga Ustaz Riduan Ismail untuk memeriahkan lagi majlis Tafaqquh Fid Deen. Malah saya sendiri tidak terkecuali untuk terus memberi komitmen menghidupkan majlis ilmu yang cukup unik pada hari itu dengan terus melontarkan idea dan ilmu yang ada buat pengetahuan dan maklumat kepada semua yang hadhir .

Keseluruhan slot yang saya guna untuk menambah point atas jawapan yang diselia oleh Ustaz Nasir Zakaria yang juga seorang guru bertauliah pada pagi itu , pada anggarannya melebihi tempoh satu jam. Saya puas hati dengan format baru ini walaupun bukan saya yang memimpin majlis kerana menghormati pihak JAIS yang tidak membenarkan saya menyampaikan kuliah.

Suasana di Luar Semakin Kalut

Beberapa orang saksi memaklumkan bagaimana pihak yang cuba untuk menangkap saya berada dalam keadaan blur dan dilema setelah didapati bukan saya yang menyampaikan kuliah sebaliknya Ustaz Nasir Zakaria yang memberi kuliah. Saya hanya menambah beberapa point atas permintaan dan dibawah selia Ustaz Nasir seorang penceramah yang bertauliah.

Tapi jelas kelihatan dari kegelisahan dan gerak geri mereka , mereka nak tangkap juga saya pada hari itu , dan kelihatan sekitar 20 orang anggota polis beruniform telah masuk ke kawasan surau .

Sementara majlis telah berada di penghujung. jam telah menunjukkan pukul 11.30 am . Keadaan di luar surau bagai dikepong oleh JAIS , Polis dan SB . Seorang saksi menelefon saya memberi anggaran lebih 100 orang yang bersedia untuk menangkap saya pada saat itu.

Saya Tidak Mahu Mengalah

Pihak penganjur mula meminta saya keluar , tetapi saya enggan keluar sehinggalah majlis selesai , kerana saya merasakan saya tidak bersalah .

Saya faham benar langkah yang diambil oleh penganjur. Mereka tidak mahu saya ditangkap. Mereka tidak mahu pemimpin mereka ditangkap oleh pihak yang tidak demokratik dan bertamaddun itu . Ya , saya memahami hal itu , malah jika saya selaku penganjur , saya juga akan menyelamatkan pemimpin saya dari diapa- apakan oleh tangan kotor yang tidak bermaruah itu .

Tetapi saya tidak mahu mengalah kerana saya berada di pihak yang benar . Apakah salah saya menyampaikan ilmu ? kalau ilmu yang saya sampaikan itu salah , mereka ada rakaman , mereka ada SB yang dihantar untuk mencatit , mereka boleh dakwa saya di mahkamah tanpa perlu menyerbu dan menangkap saya dengan menggunakan kekuatan anggota polis sebegitu ramai .

Saya terus berada dalam majlis tersebut sehingga ianya selesai . Saya lihat pihak penganjur mula bimbangkan keselamatan saya . Saya menenangkan mereka.

Saya tidak bimbangkan kekuatan manusia yang hanya dikerahkan untuk menghalang kegiatan makruf sedang mereka membiarkan sahaja pelacur selesa beroperasi biarpun disiang Ramadhan , malah saya melihat sebuah gerai yang beroperasi memberi makan kepada mereka yang tidak berpuasa , tidak jauh dari tempat program tersebut. Kenapa JAIS tidak menangkap mereka sebalik merancang untuk menangkap saya ? atau mereka bertindak atas arahan orang - orang tertentu ? apakah JAIS hanya menjadi alat orang politik yang terdesak untuk mengekalkan pengaruh politik mereka ?

Sejurus Majlis Selesai.

Saya terus berada dalam majlis sehinggalah majlis tersebut selesai dan saya terus bangun untuk keluar menuju kereta yang disediakan oleh penganjur untuk menghantar saya pulang ke pejabat saya .

Semasa saya melangkah keluar , 4 atau 5 orang unit keselamatan pihak penganjur mengiringi saya keluar melalui pintu depan dan terus menuju ke kereta . Alhamdulillah , takdir Allah swt. sebegitu ramai anggota JAIS dan Polis yang mengepong , mereka tidak perasan saya meninggalkan majlis dan terus pulang ke pejabat saya.

Dalam perjalanan saya ke pejabat , saya dihubungi oleh seorang rakan bagaimana pihak JAIS dan Polis menyerbu naik ke atas surau setelah menyedari majlis telah tamat untuk menangkap saya dan mereka terpinga - pinga melihat saya telah tiada . Mereka mengeledah 4 penjuru surau dan mereka terus mengepong surau dan mencari di persekitaran surau .

Mereka menyangka saya menyorok di mana - mana . Malah kelihatan sebahagian dari mereka yang marah - marah kerana gagal menangkap saya . Ada yang mungkin sebelum menyamar pakai kupiah , mencabut kupiah lalu menghempasnya ke bumi penuh kecewa kerana gagal menangkap saya , ada yang meludah marah penuh kecewa.

Saya hanya tersenyum mendengar laporan kawan sayan melewati telefon . Apa yang lucu , mereka turut mengekori mana - mana kenderaan yang keluar dari surau tersebut , bimbang kalau - kalau saya berada dalam kereta tersebut. Mereka mencari kenderaan saya , mereka bagai tidak percaya saya berjaya lolos dari kepongan mereka.

Saya teringat firman Allah swt .


Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu
untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka
memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik
Pembalas tipu daya. - Al-Anfaal Ayat 30


HJ NASRUDIN HASSAN TANTAWI
TIMBALAN KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUSAT

Tiada ulasan: