HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Ogos 2011

Dr Wan Azizah: Pemimpin boros tapi rakyat terus ditindas

KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) membidas sedangkan negara menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-54, rakyat terus ditindas dengan desakan dan tekanan sara hidup membebankan sedangkan pemimpin berkuasa dengan sewenangnya membelanjakan wang untuk kepentingan tertentu.


Dalam perutusan Hari Kemerdekaan dikeluarkan hari ini, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, saban hari rakyat dipinta untuk “berkorban” dan ubah gaya hidup dalam menampung sara hidup seharian, tetapi jutaan ringgit terus dibelanjakan tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat.

Justeru kata beliau, PKR akan terus memperjuangkan prinsip keadilan hak dan kebebasan rakyat. Juga akan terus membina nilai moral dan akhlak dalam pemerintahan yang telus dan efektif.

“Inilah kemerdekaan total yang akan PKR perjuangkan. Membebaskan rakyat dari tekanan ekonomi, kebebasan dalam fahaman dan kepercayaan, memberi ruang anak muda untuk meneladani perkembangan akhlak dan moral, memastikan bebanan pinjaman pelajaran kepada mahasiswa diurus dengan baik agar kecemerlangan akademi berterusan,” katanya lagi.

Dr Wan Azizah berkata, adalah menjadi satu prinsip PKR untuk membina bangsa dan negara sejajar dengan gerakan rakyat yang berhak atas negara ini. “Dengan landasan yang betul, jujur dan tanggungjawab maruah bangsa akan dapat dimartabatkan,” kata beliau.

Beliau juga berkata, kemerdekaan yang diburu adalah kebebasan hati dan bukan kemerdekaan yang hanya sekadar mengibarkan Jalur Gemilang.

Kata beliau, seharusnya rakyat mesti dipupuk untuk melahirkan jiwa merdeka.

“Justeru, marilah kita sama-sama memaknai kemerdekaan ini dengan memerdekakan sepenuhnya jiwa kita dari cengkaman dan kezaliman demi membina negara yang aman harmoni antara semua bangsa. Kemerdekaan tidak semestinya ditafsirkan sebagai bebas dari tekanan dan cengkaman penjajah.

“Malah ia merangkumi segala aspek kehidupan, politik, ekonomi, moral dan masyarakat. Kemerdekaan ini juga harus menjadi asas keterbukaan khususnya kepada golongan muda yang bakal mewarisi pentadbiran negara suatu masa nanti,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, negara sepatutnya mampu menyediakan prasarana ekonomi agar kekayaan negara dapat dikongsi bersama tanpa membataskan kedudukan bangsa dan agama.- Malaysian Insider

Tiada ulasan: